Rakyat puji kemudahan UTC
DARI MINGGUAN MALAYSIA24/6/2012
MELAKA 23 Jun - Rakyat pelbagai kaum di negeri ini memuji usaha
kerajaan mewujudkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang pertama di
negara ini di Jalan Hang Tuah di sini yang akan memudahkan urusan harian
mereka di bawah satu bumbung.
Seorang peniaga, Abdul Latif Kadir, 50, berkata, dia berasa
amat bertuah kerana Melaka menjadi perintis projek bernilai RM28.3 juta
itu yang dahulunya adalah bangunan Wisma Persekutuan sebelum diambil
alih oleh Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan diubahsuai menjadi UTC.
"Usaha ini amat baik dan saya lihat pusat ini dapat membantu rakyat
untuk membuat semua urusan di satu tempat dan saya tidak perlu lagi ke
tempat lain kerana di sini semua urusan boleh diselesaikan.
"Bayangkan, dalam satu bumbung saya boleh menyelesaikan urusan
bayaran bil utiliti, perbankan, membeli belah, pemeriksaan kesihatan,
melayari Internet, menjelaskan zakat dan cukai tanah serta pelbagai
lagi," katanya.
Abdul Latif berkata demikian ketika ditemui Mingguan Malaysia selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyempurnakan perasmian UTC di sini hari ini.
UTC yang beroperasi di bangunan sembilan tingkat itu menempatkan 70
agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan
pelbagai perkhidmatan.
Bagi juruelektrik, Lee Kiak Tiong, 63, kemudahan yang
ditawarkan di UTC memudahkan warga emas sepertinya bergerak dalam
suasana selesa kerana dilengkapi pendingin hawa.
"Semua keperluan rakyat ada di sini termasuk Kedai Rakyat 1Malaysia,
Klinik 1Malaysia, bank, balai polis, pejabat pos dan pelbagai lagi,"
katanya.
Bagi R. Kaliammah, 42, dari Taman Peruna, Sungai Udang dekat sini, dia tidak menyangka semua urusan harian boleh dilakukan di UTC.
''Saya pada mulanya tidak faham fungsi Pusat Transformasi Bandar
tetapi apabila berpeluang hadir di sini, barulah saya dapat lihat
pelbagai bentuk kemudahan yang terdapat di sini," ujarnya. Katanya, usaha mewujudkan UTC cukup jelas menunjukkan kerajaan begitu
prihatin untuk membantu rakyat memudahkan setiap urusan harian yang
menjimatkan masa.
No comments:
Post a Comment