Perpaduan rakyat diiktiraf
DARI UTUSAN MALAYSIA4/6/2012
PAKAN 3 Jun - Kejayaan Malaysia dalam menyatupadukan rakyat berbilang
kaum dan agama diiktiraf pemimpin dunia, kata Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, kejayaan menyatupadukan rakyat dalam segala aspek itu
dikagumi pemimpin-pemimpin dunia termasuk dari negara maju seperti
Amerika Syarikat (AS).
"Malaysia boleh jadi negara model dan contoh kepada dunia, ini bukan
Barisan Nasional (BN) yang cakap, jauh sekali pembangkang...orang luar
iktiraf kejayaan kita, kejayaan itu adalah hakikat dan realiti yang
sebenar," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 3,000 penduduk
Rumah George anak Chunggut Nanga Nansang dan sekitar Pakan di sini, hari
ini.
Katanya, dua senator dari AS yang datang ke Malaysia baru-baru ini
kagum dengan kejayaan kerajaan BN mengekalkan keharmonian rakyat negara
ini.
Najib berkata, gagasan 1Malaysia sebenarnya sudah lama wujud dalam
kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini dan ia lebih ketara dan
jelas dalam amalan hidup rakyat Sarawak.
Menurutnya, sambutan perayaan-perayaan masyarakat di negara ini
seperti Gawai Dayak mencerminkan kepelbagaian budaya yang boleh diterima
semua rakyat di mana-mana pun di Malaysia.
"Kita sambut Gawai Dayak dengan rasa syukur bahawa negara Malaysia
diiktiraf sebuah negara berjaya, sebelum saya luahkan gagasan 1Malaysia,
Sarawak pada hakikatnya sudah amal semangat 1Malaysia selama ini,"
katanya.
Dalam pada itu, katanya, sejak memegang tampuk kepimpinan negara tiga
tahun lalu banyak kemajuan telah dibawa ke Sarawak termasuk di
kawasan-kawasan pedalaman.
Katanya, untuk memastikan pembangunan itu dapat diteruskan, BN perlu
diberi mandat semula pada pilihan raya umum akan datang kerana usaha
memajukan negara memerlukan perbelanjaan yang besar serta bukannya
mengambil masa singkat.
"BN akan terus bela, kita perlu dapat mandat baru. Kalau tiga tahun
banyak ini kita buat...tambah lagi lima tahun lagi banyak lagi perubahan
besar berlaku di negeri Sarawak," katanya.
Sementara itu, Najib yang tertarik dengan lagu tempatan bertajuk
`Berkikis Bulu Betis’ berkata, lagu tersebut memang unik kerana ia
menggambarkan kesungguhan rakyat Sarawak untuk bangkit maju walau apa
pun cabaran yang perlu ditempuh.
Katanya, sebagai mengiktiraf lagu tempatan itu beliau berharap lagu
karya Andrewson Ngalai itu dapat diangkat menjadi lagu nasional dan
dinyanyikan pada Hari Merdeka dan Hari Malaysia nanti.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib
Mahmud dan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang juga
Menteri Pembangunan Sosial, Tan Sri William Mawan Ikom. - BERNAMA
KOMEN : MANA ADA PERPADUAN KATA PUAK PEMBANGKANG, SEBAB TULAH KERAJAAN BN YANG AMAN DAMAI INI WAJIB DITUMBANGKAN.... DAN DIGANTIKAN DENGAN PAKATAN TUNGGANG-LANGGANG MEREKA YANG AKAN MENGHANCURKAN NEGARA... JIKA KERAJAAN BN TUMBANG... ORANG MELAYU AKAN ROBOH...
No comments:
Post a Comment