DARI MINGGUAN MALAYSIA
3/6/2012
KUALA LUMPUR 2 Jun - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim
Mu'adzam Shah hari ini bertitah mengingatkan rakyat supaya bersatu padu
ke arah kebaikan dan tidak mencari jalan untuk bermusuhan sesama sendiri
yang pada akhirnya akan hanya mendatangkan musibah kepada semua.
"Apakah yang akan kita tinggalkan kepada darah daging kita, anak cucu
kita, selaku generasi akan datang. Adakah sebuah negara yang punah atau
watan yang makmur sejahtera. Pada hemat beta, semua pilihan ini
terletak dalam tangan setiap rakyat Malaysia.
"Sekalipun atas nama politik atau apa-apa organisasi janganlah
sehingga sanggup meletakkan ia melebihi kepentingan negara, hatta
mengkucar-kacirkan keharmonian. Ini ternyata suatu perkembangan yang
tidak sihat dan sewajibnya dielakkan," titah Seri Paduka pada Istiadat
Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan sempena Hari
Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, di sini hari ini.
Tuanku Abdul Halim bertitah, hakikatnya, kejayaan sebenar negara
adalah apa yang akan dicapai di garis-garis hadapan dan bukannya
tersimpul dalam detik-detik silam dan ia terbina atas harapan, impian,
imaginasi dan usaha gigih semua anak-anak Malaysia.
"Dalam aspek ini, beta yakin, tiada sesiapa yang boleh menafikan
bahawa keunikan Malaysia adalah tentang pendirian kerajaan yang
mentadbir sejak sekian lama menurut kerangka serta acuan kita sendiri.
"Justeru, sebagai rakyat yang sentiasa berpaksikan kepada nilai-nilai
murni dan adat budaya ketimuran, janganlah kita mengikut telunjuk
negatif anasir-anasir luar yang cuba campur tangan dalam urusan negara
termasuk dalam hal-hal seperti membudayakan demonstrasi jalanan," titah
Seri Paduka.
Tuanku Abdul Halim bertitah, sepanjang lebih lima dekad pemerintahan
institusi raja berperlembagaan, sekalipun pemegangnya silih berganti, ia
terus didokong dan dipertahan sebagai lambang peranannya dalam
memastikan kestabilan politik, kerukunan, serta keharmonian di Malaysia.
"Malah, yang lebih indah, beta melihat bahawa kedudukan ini akan
terus melindungi bukan sahaja kaum Melayu dan bumiputera, bahkan
mencakupi hak serta kepentingan yang sah kepada semua kaum di negara
ini.
"Ini antara bukti, bahawa kemajuan pesat yang dinikmati oleh
Malaysia, bukanlah terjadi dengan sendiri. Sejak dahulu lagi, ia dibina
dan dilapik oleh elemen-elemen asas yang mencorakkan sebuah sistem yang
berjaya.
"Segalanya ditonggak oleh teras-teras keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang," titah Tuanku Abdul Halim.
Mengimbas lipatan waktu, Seri Paduka bertitah, Malaysia telah menempuh pelbagai peristiwa pahit manis.
"Alhamdulillah, di sebalik cabaran dan rintangan yang sesetengahnya
hampir mencarik fabrik asas kenegaraan, kita telah mampu keluar
daripadanya dengan penuh jaya tanpa sedikit pun mengorbankan prinsip
keluhuran Perlembagaan, mahupun kedaulatan undang-undang.
Tuanku Abdul Halim turut bertitah bahawa perjalanan negara masih jauh
dan tidak hanya bermatlamat menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020,
tetapi menjadi negara yang kekal berdaya saing dan sentiasa dihormati
di persada antarabangsa.
Justeru, Seri Paduka sekali lagi mengingatkan setiap rakyat bersedia
menggalas tanggungjawab dan melaksanakan peranan masing-masing dengan
sepenuh hati, tidak ada yang terkecuali.
"Rakyat Malaysia perlulah menjadi menjadi warga yang perkasa dan
dinamik yang bukan sahaja tinggi penguasaan ilmu pengetahuan dan
kemahiran, tetapi juga tinggi nilai akhlak, moral dan etikanya," titah
Seri Paduka.
Seiring dengan perkembangan media baru dan teknologi maklumat, Yang
di-Pertuan Agong mengingatkan golongan muda khususnya, yang merupakan
aset negara supaya memperkukuh jati diri masing-masing daripada
dipergunakan untuk kepentingan kelompok tertentu.
Tuanku Abdul Halim turut melahirkan rasa sukacita terhadap
keprihatinan kerajaan melaksanakan pelbagai program transformasi yang
bermanfaat secara terus kepada rakyat sama ada di bandar mahupun di
desa.
"Setiap daripada kita perlu bijaksana dan menghargai usaha kerajaan
beta yang diketuai oleh Mamanda Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak. Justeru, hanya kitalah yang lebih maklum tentang apa yang perlu
serta terbaik untuk mengharungi masa depan bagi menggapai mercu tanda
kemajuan.
"Sesungguhnya, pengalaman beta selama puluhan tahun mengamati serta
menghalusi perjalanan negara ini, dapatlah beta simpulkan bahawa atas
nikmat kehidupan yang dikecapi, rakyat haruslah bersyukur dan berterima
kasih dengan terus memberi sokongan di atas usaha gigih kerajaan dalam
mentadbir dan mengurus Malaysia sebaik mungkin," titah Seri Paduka. -
BERNAMA
No comments:
Post a Comment