Orang Biasa aje, "Tell me and I'll forget; show me and I may remember; involve me and I'll understand." Pentingnya ILMU untuk di pelajari dan di kongsi bersama....Yang baik jadikan tauladan dan yang buruk jadikan sempadan....
Showing posts with label JOHOR. Show all posts
Showing posts with label JOHOR. Show all posts
Thursday, 10 December 2015
.: Tunku Jalil - KASIHNYA KERABAT Hajat Yang TAK KESA...
.: Tunku Jalil - KASIHNYA KERABAT Hajat Yang TAK KESA...: Tuanku Jalil di pembaringan Nota TERAKHIR Arwah Tunku Jalil Hajat Yang TAK KESAMPAIAN Sebelum Mangkat...
Monday, 7 December 2015
Istiadat pemakaman lancar
Allahyarham Tunku Abdul Jalil selamat disemadi sebelah makam nenda
07 Disember 2015 2:02 AM
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mendahului jenazah Allahyarham Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim ketika dibawa menuruni tangga Istana Besar, Johor Bahru selepas penghormatan terakhir semalam. – BERNAMA
JOHOR BAHRU 6 Dis. - Hujan tidak lama selepas jenazah Allahyarham Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim diarak keluar dari Istana Besar Johor dan sebaik sahaja istiadat pemakaman selesai, seolah-olah mewakili kesedihan kerabat diraja dan rakyat negeri ini keseluruhannya.
Istiadat bagaimanapun berjalan lancar dengan rakyat pelbagai bangsa mengambil peluang memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di pekarangan Istana Besar Johor seawal pukul 9 pagi ketika bendera seluruh negeri mula dikibarkan separuh tiang selama tiga hari.
Kesayuan mengisi ruang Bilik Singgahsana Istana Besar tempat jenazah Allahyarham ditempatkan ketika bacaan tahlil dan al-Quran oleh petugas Jabatan Agama Islam Johor dan rakyat yang beragama Islam.
Penghormatan terakhir kemudiannya dilakukan kerabat diraja dari negeri lain dan orang kenamaan iaitu Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom serta Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut memberikan penghormatan terakhir diikuti Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.
Sementara itu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang tidak dapat hadir kerana menghadiri Konvensyen PAP, menghantar Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean serta Menteri Hal Ehwal Luar dan Menteri Undang-Undang Singapura, K. Shanmugam.
Selesai solat zuhur, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat bersama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff dan Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd. mengiringi jenazah Allahyarham dari Istana Besar ke Makam Diraja Mahmoodiah sejauh kira-kira tiga kilometer.
Jenazah Allahyarham di atas pedati diraja turut diiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang duduk di sebelah kanan manakala Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim di sebelah kiri.
Jenazah turut diiringi ribuan pengiring lelaki berpakaian baju Melayu teluk belanga berwarna putih dan sut hitam berlilit putih di lengan bagi bukan Islam manakala kaum wanita memakai baju kurung teluk belanga putih.
Allahyarham selamat disemadikan di sebelah makam nendanya iaitu Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail sambil disaksikan Sultan Ibrahim; Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Ismail dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam serta anakanda baginda yang lain.
Sultan Ahmad Shah dan Pengiran Muda al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah turut mencemar duli dalam bacaan doa dan talkin yang dipimpin Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut sehinggalah istiadat pemakaman itu berakhir pukul 3.20 petang.
Allahyarham yang menghidap kanser hati tahap empat sebelum ini mangkat di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pukul 7.11 malam semalam.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/istiadat-pemakaman-lancar-1.166404#sthash.5QmwxEXw.dpuf
Pesakit kanser jadikan Tunku Abdul Jalil inspirasi
07 Disember 2015 1:59 AM
Low Mui Cheng bersama suaminya, Fong Kee Hui memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tunku Abdul Jalil di Istana Besar, semalam
JOHOR BAHRU 6 Dis. – Kekuatan dan ketabahan Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim dalam melawan penyakit kanser hati yang dihidapinya sejak tahun lalu menjadi inspirasi kepada seorang wanita yang juga pesakit kanser.
Bagi Low Mui Cheng, 60, aura positif yang sering ditunjukkan Allahyarham Tunku Abdul Jalil itu memberikan semangat kepadanya untuk melawan kanser limfoma tahap empat yang dihidapinya sejak setahun yang lalu.
Mengakui sekadar mengenali putera keempat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah itu melalui bacaan di internet dan media, ia sudah cukup membuatkan dia kagum dengan semangat juang yang ada pada Allahyarham.
“Tunku Abdul Jalil seorang kuat semangat dan terus berjuang melawan penyakit kanser yang dihidapinya sehingga ke hujung nyawa. Tunku Abdul Jalil sering menunjukkan aura positif kepada umum.
“Malah, semangat juangnya yang tinggi itu memberi insipirasi kepada saya untuk teruskan hidup dan melawan penyakit kanser limfoma ini sekali gus tidak menyerah bulat-bulat hidup saya kepada takdir,” katanya yang turut hadir memberi penghormatan terakhir Allahyarham di Istana Besar Johor, di sini hari ini.
Dia yang hadir ditemani suaminya, Fong Kee Hui, 65, berkata, semangat juang yang ditunjukkan oleh Allahyarham Tunku Abdul Jalil itu perlu ada di dalam setiap diri pesakit kanser.
Mui Cheng yang sudah enam kali menjalani rawatan kimoterapi dan akan menjalani rawatan radioterapi sebanyak 15 kali tetap menanam impian agar dia boleh sembuh seperti sedia kala.
Sementara itu, Kee Hui berkata, kehadiran dia dan isteri ke Istana Besar Johor adalah untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tunku Abdul Jalil selain semangat bangsa Johor yang menebal dalam diri.
“Sultan Johor adalah seorang pemerintah yang berjiwa rakyat. Jadi saya hadir sebagai bangsa Johor yang sangat berdukacita dengan kemangkatan Tunku Laksamana. Kita kehilangan seorang putera raja yang penuh dengan kasih sayang,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pesakit-kanser-jadikan-tunku-abdul-jalil-inspirasi-1.166390#sthash.vSyFvq8d.dpuf
Tunku Abdul Jalil mangkat
HANIZA HASSAN
DAN AZIZI MAJID | 06 Disember 2015 1:10 AM
KENANGAN ... Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memimpin anakandanya Tunku Abdul Jalil menuju ke kereta selepas majlis penyampaian anugerah 'International Sailing Federation (ISAF) President Development Award 2014' di Istana Bukit Serene, pada 24 November 2014. Anugerah tersebut merupakan satu pengiktirafan sumbangan Tunku Abdul Jalil kepada pembangunan sukan pelayaran di Malaysia. – Bernama
JOHOR BAHRU 5 Dis. - Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, 25, mangkat di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pukul 7.11 malam ini.
Kemangkatan Allahyarham diumumkan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli dalam satu sidang akhbar khas di Bilik Gerakan Tun Abdul Razak di Bukit Timbalan di sini pukul 9.30 malam.
Abdul Rahim berkata, jenazah Allahyarham akan disemadikan di sebelah makam nendanya iaitu Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail esok di Makam Diraja Mahmoodiah, di sini selepas solat zuhur.
"Malam ini juga jenazah Allahyarham akan diiring ke Istana Besar dan disemayamkan di bilik jenazah sebelah singgahsana istana berkenaan. Malah, malam ini juga, Jabatan Agama Islam Johor akan mula bacaan tahlil dan al-Quran di bilik jenazah itu," katanya.
Tunku Abdul Jalil yang diputerakan pada 5 Julai 1990 merupakan anak keempat daripada enam beradik.
Allahyarham yang menghidap kanser hati tahap empat pernah menjalani pembedahan di hospital swasta di Guangzhou, China tahun lalu.
Tambah beliau, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan putera-puteri baginda akan mengiringi jenazah Allahyarham dari Istana Besar ke Makam Diraja Mahmoodiah yang terletak kira-kira tiga kilometer.
Menurut Abdul Rahim, orang awam boleh memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham bermula pukul 9 pagi hingga pukul 11.30 pagi, manakala pukul 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari adalah bagi orang kenamaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, semua bendera di negeri ini akan dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bermula tarikh kemangkatan Allahyarham.
"Tempoh berkabung bagi orang awam adalah selama tiga hari manakala kerabat adalah seminggu. Bagaimanapun esok tidak dikira sebagai cuti umum," katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tunku-abdul-jalil-mangkat-1.166006#sthash.f3ZlACHA.dpuf
Friday, 28 August 2015
APANAMA: DAULAT TUANKU! Sultan Johor titah Solat Hajat seti...
APANAMA: DAULAT TUANKU! Sultan Johor titah Solat Hajat seti...: DYMM Sultan Ibrahim, yang baru-baru ini menegur kerajaan serta wakil rakyat agar peka akan rintihan rakyat serta lebih bertanggungjawab da...
Thursday, 13 August 2015
KMJ : Sultan Johor pandu bas jumpa rakyat di tiga daerah
FIKRI ROSLY | 13 Ogos 2015 1:15 AM
SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR bersama peserta Konvoi KMJ 2015 tiba dengan memandu sendiri bas Prevost Marathon di Padang Perumahan Kilang Sawit PPNJ, Batu 17 di Kahang, Kluang, Johor, semalam.
KLUANG 12 Ogos - S elepas dua hari menunggang motosikal berkuasa tinggi, hari ini Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menunjukkan kemahiran baginda mengendalikan bas untuk bertemu rakyat jelata di daerah Kluang, Mersing dan Kota Tinggi dalam siri jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2015.
Walaupun memasuki hari ketiga KMJ 2015, namun Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tetap ceria dan bersemangat memandu bas mewah, Prevost Marathon Coach sejauh 286 kilometer bermula dari Kem Batalion Ke-5 Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Batu 3, di sini menuju ke destinasi pertama Perumahan Kilang Sawit PPNJ, Batu 17, Kahang.
Pada majlis tersebut, Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan sumbangan hamper bernilai RM100 setiap satu daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada 20 individu dan pelbagai bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bernilai RM288,300 kepada 15 golongan asnaf.
Lima penerima bantuan MAINJ mendapat sumbangan perumahan berjumlah RM40,000 setiap seorang bagi membina kediaman yang dilengkapi dengan tiga bilik.
Sultan Ibrahim juga berkenan melawat pameran Jabatan Pertanian bagi melihat tanaman cili, lada, buah kelapa sawit, nanas, produk burung puyuh dan kraf tangan berasaskan rotan serta mengunjungi Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.
Baginda kemudiannya mengadili pertandingan memasak yang disertai kaum India dan seterusnya menyaksikan pertunjukan acara memanah tradisional.
Majlis tersebut turut diserikan dengan pertandingan sukan rakyat yang mengetengahkan acara seperti terompah gergasi, boling buah kelapa, lari dalam guni dan tarik upih.
Sultan Ibrahim kemudian meneruskan jelajah ke Felda Nitar 1, Mersing dan sempat singgah kira-kira setengah jam untuk beramah mesra dengan penduduk di sana.
Sementara itu, semasa singgah di Jeti Penyabong, di sini baginda berkenan menyampaikan sumbangan daripada MAINJ dan seterusnya melawat ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi menyaksikan acara memancing dan bento ketam.
Selepas itu, baginda bersama kerabat diraja dan rombongan KMJ 2015 bersantap sambil menyaksikan sukan rakyat dan persembahan kebudayaan.
Konvoi kemudian meneruskan perjalanan ke Felda Tenggaroh 3 dan Tanjung Sedili untuk bertemu masyarakat sebelum bermalam di Desaru.
Hari terakhir konvoi esok akan menjelajah ke daerah Kota Tinggi dan Kulaijaya sebelum berakhir di Mutiara Rini, Johor Bahru.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sultan-johor-pandu-bas-8232-jumpa-rakyat-di-tiga-daerah-1.123657#sthash.h8q4DTNF.dpuf
Wednesday, 12 August 2015
Konvoi KMJ disambut meriah
LUQMAN HAZIQ ABDULLAH DAN MOHAMAD FAIZAL HASHIM | 12 Ogos 2015 1:38 AM
SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR bersalam dengan rakyat jelata sempena Program Kembara Mahkota Johor 2015 di Muar, Johor, semalam Utusan/Ishak Rahmad
MUAR 11 Ogos - Program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2015 yang memasuki hari kedua penjelajahannya terus berlangsung meriah dan disertai masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Konvoi bermotosikal diketuai Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang meneruskan jelajah dari daerah Muar ke Ledang, Segamat dan Kluang itu dilepaskan dari Tangga Agong, Bangunan Sultan Abu Bakar di sini kira-kira pukul 8 pagi oleh Pegawai Daerah Muar, Muji Salimon sambil disaksikan kira-kira 3,000 penduduk.
Konvoi kemudiannya menuju ke lokasi pertama, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Persisiran Perdana, Ledang dan disambut meriah oleh warga sekolah tersebut.
Sultan Ibrahim turut berkenan melawat tapak sukan rakyat terdiri daripada 13 jenis sukan yang dimainkan secara serentak oleh pelajar sekolah itu antaranya baling pot, motor tolak, gelang getah tagen, golek tayar, lari dalam guni, teng teng dan ceper.
Baginda turut menunjukkan kemahiran bermain gelang getah tagen atau lebih dikenali sebagai gundu manakala Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim pula menunjukkan bakat bermain senapang pelantak.
Selesai bersantap bersama rakyat, konvoi berkenaan meneruskan jelajah ke Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Ledang untuk menyaksikan pameran dan produk inovasi yang dihasilkan oleh pelajar pusat tersebut.
Rombongan kemudian meneruskan perjalanan ke Kampung Paya Redan untuk sesi beramah mesra bersama penduduk diikuti Majlis Santapan di Padang Awam Lenga, Muar.
Di Padang Awam Lenga, ketibaan konvoi tersebut kira-kira pukul 11.30 pagi disambut oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan dihadiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam majlis itu, Permaisuri Johor, Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah turut berkenan menyampaikan sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) kepada penerima.
Permaisuri Johor kemudian melawat gerai pameran Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor diikuti pameran Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bagi menyaksikan hasil kraf tangan masyarakat berkenaan.
Selepas beramah mesra selama kira-kira sejam di Kampung Sri Gajah, konvoi meneruskan jelajah sejauh 235 kilometer itu ke Pekan Kangkar Baru, Batu Pahat dan Kampung Melayu Batu 3 1/2 Paloh sebelum berakhir di Kem Batalion Ke-5 Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Batu 3, Kluang.
Esok, KMJ meneruskan jelajah pada hari ketiga dari Kluang menuju ke Mersing dan Kota Tinggi.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/konvoi-kmj-disambut-meriah-1.123363#sthash.nNBT8qAe.dpuf
KMJ : Sultan Johor basah kuyup bertemu rakyat
12 Ogos 2015 1:38 AM
SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR (depan) mengetuai konvoi Kembara Mahkota Johor 2015 meredah hujan lebat untuk bertemu rakyat di Labis, Johor, semalam. Utusan/Baazlan Ibrahim
LABIS 11 Ogos. – Hujan lebat tidak menghalang Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meneruskan konvoi bermotosikal untuk bertemu rakyat jelata di Kampung Sri Gajah, Chaah dekat sini.
Walaupun dalam keadaan basah, Sultan Ibrahim tetap tersenyum melayani dan bersalaman dengan rakyat berbilang kaum di salah satu lokasi persinggahan Kembara Mahkota Johor 2015 (KMJ 2015) itu.
Orang ramai juga berkumpul beramai-ramai dan tidak mahu melepaskan peluang berjumpa dan menatap wajah sultan mereka dari dekat.
Turut berangkat Permaisuri Johor, Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta anakanda baginda yang lain.
Yang turut menyertai konvoi berkenaan ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong yang juga Ahli Parlimen Labis.
Sepanjang hampir satu jam berada di Kampung Sri Gajah, Sultan Ibrahim sempat menyaksikan demonstrasi mencantum benih durian.
Baginda kemudian meneruskan KMJ yang memasuki hari kedua ke Batu Pahat dan Kluang.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sultan-johor-basah-kuyup-bertemu-rakyat-1.123367#sthash.YvoQ3454.dpuf
Tuesday, 11 August 2015
KMJ 2015 berlepas dari Pontian
Jelajah 858 kilometer erat hubungan istana Johor dan rakyat
MOHAMAD FAIZAL HASHIM | 11 Ogos 2015 1:26 AM
PONTIAN 10 Ogos - Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2015 yang menjelajah ke semua daerah sejauh 858 kilometer bermula hari ini, bakal mengeratkan hubungan antara istana dengan rakyat jelata.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program tahunan yang memasuki edisi ke-18 itu juga amat dinanti-nanti oleh rakyat berbilang kaum di negeri ini.
“Penganjuran KMJ sejak 15 tahun lalu, dilihat dapat mengeratkan hubungan baik antara istana dengan rakyat untuk memperkukuhkan institusi raja berperlembagaan. Ini merupakan peluang yang dinantikan rakyat untuk bertemu Sultan.
“Rakyat negeri ini perlu berasa bertuah kerana mempunyai sultan yang prihatin terhadap perkembangan rakyat di setiap daerah,” katanya dalam Majlis Pelepasan Kembara Mahkota Johor 2015 di pekarangan Laman Diraja Pontian, di sini hari ini.
KMJ 2015 selama empat hari itu dilancarkan sendiri oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Yang turut berangkat ke majlis berkenaan, Permaisuri Johor, Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isterinya, Che' Puan Khaleeda Bustamam serta putera dan puteri baginda.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ismail Karim dan barisan Exco kerajaan negeri.
Mohamed Khaled berkata, program berkenaan juga mampu menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.
Program bertemakan ‘Muafakat Bangsa Johor’ itu diketuai oleh Sultan Ibrahim yang menunggang motosikal Harley Davidson Street Glide dan disertai peserta konvoi yang terdiri daripada kerabat diraja dan pegawai kerajaan.
Hari ini, Sultan Ibrahim dan peserta konvoi bertemu rakyat jelata di daerah Pontian dan Batu Pahat sebelum bermalam di Muar.
Esok konvoi akan menjelajah ke daerah Muar, Segamat dan Kluang.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kmj-2015-berlepas-dari-pontian-1.123023#sthash.RyC8ipOC.dpuf
Monday, 10 August 2015
Tangents: Restless Musings Of A Malay Mind: Mampukah Najib Bertahan Sehingga Perhimpunan Agung...
Tangents: Restless Musings Of A Malay Mind: Mampukah Najib Bertahan Sehingga Perhimpunan Agung...: Sudah semakin maklum bahawa DS Najib menerima sambutan sopan namun dingin dari perwakilan di Mesyuarat Agung Bahagian Pasir Gudang yang dira...
UMNO hanya perlu seorang nakhoda sahaja
10 Ogos 2015 1:33 AM
JOHOR BAHRU 9 Ogos – Badan Perhubungan UMNO Johor berikrar akan memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan berpendapat parti itu hanya memerlukan seorang nakhoda.
Mohamed Khaled
Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sehubungan itu ahli UMNO mesti memberi kepercayaan kepada Presiden parti untuk mengemudi bahtera parti.
“Kami mengambil ketetapan, UMNO hanya ada satu nakhoda iaitu Presiden UMNO dan kita mesti memberikan kepercayaan kepadanya untuk mengemudi bahtera ini,” katanya semasa berucap pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Taman Mawar, dekat sini hari ini.
Persidangan berkenaan dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak. Yang turut hadir Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Md. Jais Sarday dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Tan Sri Mohamad Aziz.
Mohamed Khaled yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang pada masa yang sama mengakui UMNO kini tidak berada dalam kedudukan sebaiknya, namun UMNO Johor tetap menyatakan sokongan sebulat suara terhadap kepimpinan Perdana Menteri serta memberikan ruang untuk beliau merungkai segala isu dan kemelut yang melanda parti, bangsa dan negara, sekali gus mengharapkan jalan pencerahan untuk mereka.
“Atas sebab itu, kami mengalu-alukan dan menghargai janji Datuk Seri Presiden untuk menyelesaikan hutang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam masa enam bulan dan kami juga menaruh kepercayaan ia akan tercapai,” katanya.
Mengenai isu pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Kabinet baru-baru ini, beliau mengulangi pendirian UMNO Johor yang menghormati keputusan Perdana Menteri biarpun pada hakikatnya ada dalam kalangan ahli UMNO Johor yang ‘terluka’.
“Mana mungkin kami akan membelakangkan Tan Sri Muhyiddin hanya kerana beliau sudah bukan lagi Timbalan Perdana Menteri. Persahabatan kami bukan kerana darjat, pangkat, gelaran dan sama sekali bukan sekadar upacara dan martabat, ia adalah cara Johor,” katanya sambil menerima tepukan gemuruh daripada perwakilan.
Dalam pada itu, Menteri Besar turut mengingatkan semua ahli UMNO supaya tidak hilang fokus terhadap agenda utama parti, iaitu memperjuang dan memastikan kepentingan serta perpaduan orang Melayu di negara ini terus utuh dan kukuh.
“UMNO bukan milik sesiapa, UMNO institusi siasah milik bangsa Melayu, milik ummah. Maka tiada siapa yang lebih besar dan gah daripada ini semua, UMNO dan perjuangan bangsa Melayu mesti diutamakan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, UMNO Johor tidak akan sekali-kali membenarkan parti tersebut dikebumikan di negeri ini yang merupakan benteng paling kuat parti terbesar melayu itu.
Justeru, beliau mengajak semua ahli parti bersatu dan bermuafakat kerana UMNO adalah satu-satunya institusi yang membuahkan begitu banyak kebaikan kepada agama, bangsa dan negara, sekali gus mahu kepentingan parti itu dipertahankan.
Beliau yang juga Menteri Besar menegaskan, sebagai benteng paling kuat, apatah lagi parti itu 'dilahirkan' di negeri ini, UMNO yang dibentuk, diasuh, ditatang dan didewasakan di sini mesti dipertahankan demi kelangsungannya.
“Dalam setiap saraf dan titik darah, di dalam batang tubuh kami di Johor ini, 'platletnya' UMNO dan 'DNA' parti juga tanpa ragu adalah UMNO, sekali gus kami tidak akan sekali-kali membenarkan UMNO dikebumikan di negeri ini.
“Biar badai apa pun menghempas, biar gerhana apa pun yang terbias, UMNO pasti akan kami jaga dengan ikhlas, dengan amanah dan dengan keringat serta darah dan yakin Datuk Seri Presiden juga berkongsi pendirian dan rasa seperti kami. UMNO adalah amanah bangsa yang sangat besar,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/umno-hanya-perlu-seorang-nakhoda-sahaja-1.122653#sthash.Uaqgw9qn.dpuf
Wednesday, 1 July 2015
APANAMA: Erti Kepimpinan - The True Meaning of Leadership
APANAMA: Erti Kepimpinan - The True Meaning of Leadership: ERTI KEPIMPINAN Almarhum nenda saya selalu berpesan, sifat kepimpinan yang paling agung adalah integriti. Malang sekali, dalam dunia masa ...
Tuanku Ismail dapat hadiah jet
01 Julai 2015 1:56 AM
SULTAN IBRAHIM dan Tuaku Ismail di samping pesawat peribadi yang merupakan hadiah hari keputeraan ke-31 Tuanku Mahkota Johor di hangar Lapangan Terbang Senai, Johor.
JOHOR BAHRU 30 Jun – Sempena hari keputeraan yang ke-31, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim difahamkan menerima hadiah mewah, iaitu sebuah jet peribadi daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Berdasarkan gambar yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook Johor Southern Tigers, kelihatan Sultan Ibrahim merakamkan gambar kenangan bersama Tunku Ismail di depan pesawat peribadi tersebut di hangar peribadi baginda di Lapangan Terbang Senai.
Laman Facebook rasmi pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu dibanjiri dengan ribuan komen daripada pengikut serta peminat yang memberikan ucapan selamat dan mendoakan kesejahteraan Tunku Ismail.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua yang telah mengucapkan selamat dan mendoakan saya sempena hari keputeraan saya.
“Saya membuat keputusan setelah menerima pandangan dan nasihat Tuanku untuk mengagihkan lembu di setiap daerah untuk berbuka puasa selain menghulurkan sedekah kepada anak-anak yatim dan golongan yang kurang berkemampuan di seluruh Johor,” kata Tunku Ismail.
Dalam entri terdahulu, Tunku Ismail meraikan sambutan hari keputeraan bersama beberapa pemain pasukan Harimau Selatan dan rakan-rakan baginda.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tuanku-ismail-dapat-hadiah-jet-1.109271#sthash.K8N6OKtA.dpuf
Wednesday, 6 May 2015
TUNGKARAN HATI: Aneh! Malaysia Gagal Membina Jambatan Bengkok Untu...
TUNGKARAN HATI: Aneh! Malaysia Gagal Membina Jambatan Bengkok Untu...: Demi kemakmuran Singapura ramai pemimpin-pemimpin Malaysia mencari alasan supaya Tambak Johor tidak dirobohkan dan Jambatan Bengkok tidak di...
Thursday, 23 April 2015
TUNGKARAN HATI: Antara Jambatan Bengkok Dan Hati Bengkok
TUNGKARAN HATI: Antara Jambatan Bengkok Dan Hati Bengkok: Tindakan Perdana Menteri, Najib Razak mengungkit semula isu pembinaan Jambatan Bengkok bagi memperlekeh dan cuba memberi gambaran seolah-o...
Monday, 20 April 2015
APANAMA: DYMM Sultan of Johor said it last month
APANAMA: DYMM Sultan of Johor said it last month: Above is documentary proof of what Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim of Johor said in an exclusive pre-Cor...
Tuesday, 24 March 2015
Sultan Ibrahim berikrar pelihara Islam, jaga kedaulatan raja
24 Mac 2015 1:55 AM
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melafazkan titah ikrar sebelum Istiadat Kemahkotaan di Bilik Singgahsana, Istana Besar, Johor Bahru, semalam. Ihsan Kerajaan Negeri
JOHOR BAHRU 23 Mac – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berikrar akan memelihara kesucian agama Islam, kehormatan adat istiadat Melayu dan kepentingan semua rakyat bangsa Johor.
Baginda turut berikrar untuk menjaga kedaulatan raja dan kerajaan negeri Johor Darul Ta'zim serta memerintah negeri Johor dengan adil dan saksama serta bertimbang rasa.
“Bahawa sesungguhnya saya berikrar dan berjanji dengan limpah kurnia dan izin Allah Subhanahu Wata'ala, saya akan memerintah negeri Johor dengan adil dan saksama serta timbang rasa kepada semua rakyat dan penduduk negeri ini dengan mengikut undang-undang dan adat resam mereka yang tidak bertentangan dengan undang-undang negeri ini.
“Saya juga berikrar akan memelihara kesucian agama Islam, kehormatan adat istiadat Melayu dan kepentingan semua rakyat bangsa johor serta menjaga kedaulatan raja dan kerajaan negeri Johor Darul Ta'zim. Ya Allah, peliharakan kami semua,” ikrar baginda pada Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor di Istana Besar, di sini hari ini.
Dalam istiadat itu, Mahkota Kerajaan itu diletakkan di kepala Sultan Ibrahim oleh Mufti Johor, Datuk Tahrir Samsuddin.
Tahrir kemudian turut meletakkan Mahkota Permaisuri di kepala Raja Zarith Sofiah dengan diiringi bacaan selawat.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sultan-ibrahim-berikrar-pelihara-8232-islam-jaga-kedaulatan-raja-1.73115#sthash.THehIEz9.dpuf
DAULAT TUANKU : MB wakili rakyat ucap tahniah kepada Sultan Ibrahim
24 Mac 2015 1:55 AM
JOHOR BAHRU 23 Mac – Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengucapkan tahniah kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas Istiadat Kemahkotaan baginda yang berlangsung hari ini.
Mohamed Khaled Nordin
Dalam status terkini laman Facebook beliau, Mohamed Khaled turut mendoakan semoga Sultan Ibrahim terus diberkati Allah semasa bersemayam di atas takhta kerajaan Johor Darul Ta’zim dengan penuh keberkatan dan sejahtera.
“Saya mewakili kerajaan negeri dan seluruh bangsa Johor menjunjung setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar atas Kemahkotaan Tuanku Sultan Johor.
“Seluruh rakyat Johor berdoa ke hadrat Allah agar Tuanku terus diberkati bersemayam di atas takhta Kerajaan Johor Darul Ta’zim dengan penuh keberkatan dan kesejahteraan,” katanya.
Hari ini Sultan Ibrahim yang diputerakan pada 22 November 1958 mencatat sejarah baharu dan meneruskan tradisi Kesultanan Johor Moden apabila dimahkotakan sebagai Sultan Johor selepas upacara itu kali terakhir diadakan pada tahun 1960.
Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor yang diadakan dengan gemilang, penuh tradisi dan mengikut adat istiadat Kesultanan Johor itu berlangsung di Istana Besar, di sini.
Dalam istiadat tersebut, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah turut dimahkotakan sebagai Permaisuri Johor, gelaran yang pertama kali digunakan di negeri ini.
Mahkota Kerajaan dan Mahkota Permaisuri Johor itu dipakai di kepala Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah oleh Mufti Johor, Datuk Tahrir Samsuddin.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mb-wakili-rakyat-ucap-tahniah-kepada-8232-sultan-ibrahim-1.73118#sthash.OricqbDJ.dpuf
10,000 banjiri Dataran Bandaraya
Mula hadir sejak 5 pagi saksi istiadat menerusi skrin besar
24 Mac 2015 1:55 AM
ORANG ramai menyaksikan perarakan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama Raja Zarith Sofiah selepas Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor di Jalan Skudai, Johor Bahru, semalam. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU 23 Mac - Kira-kira 10,000 orang membanjiri Dataran Bandaraya di sini bagi menyaksikan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang disiarkan secara langsung menerusi dua paparan skrin besar hari ini.
Orang ramai mula hadir ke dataran tersebut seawal pukul 5 pagi bagi menonton upacara tersebut yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 bermula pukul 7.30 pagi.
Malah, orang ramai turut beratur di sepanjang laluan Perarakan Kenderaan Diraja sejauh kira-kira lapan kilometer termasuk di dataran bagi menyaksikan peristiwa bersejarah itu.
Bagi warga emas, Leong Heng Choi, 72, dari Senai, Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor merupakan upacara yang cukup bermakna baginya memandangkan dia pernah menyaksikan upacara serupa pada tahun 1960.
“Ketika upacara bagi Almarhum Sultan Ismail dahulu saya berusia 17 tahun dan saya bersama-sama rakan sekolah pergi ke Jalan Trus di pusat bandar untuk menyaksikan perarakan itu.
“Sebab itulah saya tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan semula upacara bagi Sultan Ibrahim. Bagi saya kedua-dua peristiwa bersejarah itu adalah kenangan yang cukup indah dalam hidup saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi V. Ravi, 42, dari Senai, dia bersama keluarganya tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri upacara itu di Dataran Bandaraya memandangkan terdapat paparan skrin besar disediakan di kawasan berkenaan.
“Kalau tengok televisyen di rumah tidak begitu seronok. Sebab itulah saya bawa keluarga ke dataran ini untuk bersama-sama memeriahkan upacara ini bersama rakyat Johor yang lain,” katanya.
Seorang peniaga, Muhammad Hafiz Haikal Hisham, 25, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) sanggup datang ke Dataran Bandaraya bukan hanya untuk berniaga, tetapi pada masa sama menyaksikan siaran langsung berkenaan.
“Sebagai genarasi muda, saya amat gembira kerana dapat menyaksikan peristiwa bersejarah itu, sekali gus meningkatkan jati diri sebagai anak Johor,” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/10-000-banjiri-dataran-bandaraya-1.73111#sthash.FveboZRV.dpuf
DAULAT TUANKU : Sultan Ibrahim dimahkota Sultan Johor
Istiadat catat sejarah baharu selepas kali terakhir diadakan 55 tahun lalu
24 Mac 2015 1:55 AM
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah mengaminkan doa selepas dipakaikan dengan Mahkota Kerajaan dan Mahkota Permaisuri dalam Istiadat Kemahkotaan di Bilik Singgahsana, Istana Besar, Johor Bahru, semalam. - Ihsan Kerajaan Negeri Johor
JOHOR BAHRU 23 Mac - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini bukan sahaja mencatat sejarah baharu, malah meneruskan tradisi Kesultanan Johor Moden apabila dimahkotakan sebagai Sultan Johor selepas kali terakhir upacara itu diadakan pada 1960.
Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor yang diadakan dengan gemilang, penuh tradisi dan mengikut adat istiadat Kesultanan Johor itu berlangsung di Istana Besar, di sini.
Dalam istiadat yang bermula pukul 10 pagi itu, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah turut dimahkotakan sebagai Permaisuri Johor, gelaran yang pertama kali digunakan di negeri ini.
Istiadat Kemahkotaan itu dimulakan dengan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berangkat memasuki Bilik Singgahsana dengan pasangan diraja itu lengkap memakai kain pelayang berwarna biru gelap.
Sejurus itu, lagu Bangsa Johor dimainkan sebelum Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menghadap untuk menyembahkan pemasyhuran, sekali gus berseru memaklumkan pemahkotaan.
Majlis diteruskan dengan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli memohon perkenan supaya Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah dimahkotakan dengan pemakaian Mahkota Sultan dan Yang Dipertuan Johor dan Mahkota Permaisuri Johor.
Sultan Ibrahim kemudiannya melafazkan ikrar dan diikuti bacaan ayat suci al-Quran serta khutbah oleh Timbalan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad sebelum Istiadat Kemahkotaan disempurnakan oleh Mufti Johor, Datuk Tahrir Samsuddin.
Tahrir kemudiannya menatang Mahkota Kerajaan sebelum meletakkannya di kepala Sultan Ibrahim dan diikuti peletakan Mahkota Permaisuri di kepala Raja Zarith Sofiah dengan diiringi bacaan selawat.
Serentak itu, 21 das bedilan meriam dilepaskan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan diiringi lagu Bangsa Johor dan Yahya membacakan doa selamat.
Istiadat itu diteruskan dengan Majlis Menghadap Takzim yang dimulakan dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che' Puan Khaleeda Bustamam serta putera dan puteri Sultan Ibrahim yang lain.
Sultan Ibrahim juga menerima menghadap adinda baginda, Tunku Aris Bendahara, Tunku Abdul Majid Sultan Iskandar dan isteri Tunku Teh Mazni Yusuf yang mewakili kerabat diikuti Mohamed Khaled dan isteri, Datin Seri Rosni Omar sebagai wakil kerajaan negeri serta Abdul Rahim mewakili Jumaah Majlis Diraja Johor.
Selesai Majlis Menghadap Takzim, lagu Bangsa Johor sekali lagi berkumandang diikuti keberangkatan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah ke Anjung Istana bagi menyaksikan lintas hormat udara.
Lintas hormat udara yang melibatkan tujuh helikopter jenis Eurocopter EC725, Super Lynx dan Agusta Loh A109, dengan tiga daripada helikopter berkenaan membawa bendera Johor sambil melepaskan asap putih, biru dan merah - simbolik bagi warna bendera Johor.
Selesai upacara lintas hormat, kedengaran laungan ‘Daulat Tuanku’ dan Sultan Ibrahim serta Raja Zarith Sofiah berangkat untuk perarakan diraja menggunakan kereta Mercedes-Benz 600 melibatkan perjalanan sejauh kira-kira lapan kilometer dari Istana Besar ke Istana Bukit Serene.
Yang turut menyertai perarakan itu Tunku Tun Aminah; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar sebelum kenderaan diraja berangkat pulang ke Istana Bukit Serene.
Turut mencemar duli berangkat menghadiri Istiadat Kemahkotaan itu ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha; Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom Abdullah; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Yang turut hadir Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Sallehudin Sultan Badlishah dan isteri, Tengku Maliha Tengku Ariff; Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib; Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Ton Puan Norlidah Jasni; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan menteri-menteri turut hadir
.- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sultan-ibrahim-dimahkota-sultan-johor-1.73113#sthash.Czfx0a2W.dpuf
Subscribe to:
Posts (Atom)












