Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label PALESTIN. Show all posts
Showing posts with label PALESTIN. Show all posts

Thursday, 23 October 2014

PALESTIN : Israel bahagi Masjid Al-Aqsa

23 Oktober 2014 1:35 AM

Wanita Palestin beragama Islam mengadakan tunjuk perasaan membantah kehadiran penganut Yahudi di pekarangan Masjid Al-Aqsa pada 14 Oktober lalu. – REUTERS

Israel dilapor akan membentangkan rang undang-undang bertujuan untuk membahagikan kawasan Masjid Al-Aqsa antara penduduk Islam dan Yahudi.

Seorang anggota Parlimen (Knesset) Israel berketurunan Arab, Masoud Ghanayim yang dipetik oleh akhbar Palestin, Felesteen, kelmarin berkata, rang undang-undang itu disediakan oleh Jawatankuasa dalaman Parlimen, yang menetapkan penduduk Yahudi turut boleh bersembahyang di dalam Masjid Al-Aqsa.

“Perkara ini merujuk kepada cadangan untuk memberi hak sama rata kepada umat Islam dan Yahudi, serta akses untuk menggunakan tempat suci itu.

“Ia juga menetapkan beberapa lokasi tertentu yang boleh digunakan orang Yahudi untuk bersembahyang,’’ katanya yang dipetik portal Middle East Monitor.

Pada masa ini, undang-undang Israel dan Rabbinical melarang penduduk Yahudi bersembahyang di Masjid Al-Aqsa.

Kebanyakan Yahudi yang melobi untuk bersembahyang di Masjid Al-Aqsa merupakan pendatang haram Yahudi yang terdiri daripada pelampau kumpulan berhaluan kanan yang mempunyai agenda.

Kota Lama di Baitulmaqdis yang menempatkan masjid itu diiktiraf oleh antarabangsa sebagai tanah yang dijajah Israel. Pihak berkuasa Israel sering menghalang penduduk Islam bersembahyang di masjid itu.

Menurut Ghanayim, undang-undang yang digubal itu termasuk melarang penganjuran demonstrasi awam dan demontrasi di perkarangan Al-Aqsa termasuk menetapkan hukuman kepada sebarang pencabulan.

Katanya, tindakan meluluskan undang-undang itu merupakan satu `pencerobohan terang-terangan terhadap hak asasi penduduk Islam di seluruh dunia’ termasuk menyifatkannya sebagai sebahagian daripada rancangan Israel menyebarkan fahaman Yahudi di bandar Baitulmaqdis.

“Undang-undang itu semata-mata untuk mewajarkan pembinaan berdasarkan mitos sejarah dan agama yang disokong Israel,’’ katanya ketika mengulas tentang rang undang-undang itu.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/israel-bahagi-masjid-al-aqsa-1.15772#sthash.YBMknNHx.dpuf


Thursday, 4 September 2014

PALESTIN : Kata dua kepada Israel


Seorang wanita Palestin membawa anak-anaknya melalui runtuhan bangunan untuk ke kem pelarian Rafah, Genting Gaza, kelmarin. - AGENSI

BAITULMAQDIS 3 Sept. - Pemimpin Palestin menetapkan tempoh tiga tahun supaya Israel menamatkan penjajahan ke atas Tebing Barat dan Genting Gaza dalam satu resolusi yang akan dikemukakan ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Resolusi itu dicapai ketika perunding Palestin akan mengadakan pertemuan dengan wakil kerajaan Amerika Syarikat (AS) di Washington hari ini, untuk membincangkan perjanjian gencatan senjata jangka masa panjang di Gaza dan beberapa isu lain.

Anggota kepimpinan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Hanan Ashrawi berkata, pihaknya akan mendapatkan sokongan Majlis Keselamatan PBB bagi meluluskan resolusi berkenaan walaupun menyedari AS akan menggunakan kuasa veto untuk menghalang usul terbabit.

"Penjajahan Israel ke atas wilayah Palestin sejak 47 tahun lalu perlu berakhir dalam tempoh tiga tahun.

"PLO juga mungkin mengambil langkah untuk mengemukakan resolusi itu ke Perhimpunan Agung PBB (UNGA)," katanya.

PLO dijangka mengemukakan usul resolusi berkenaan secara rasmi ke PBB pada hujung bulan ini.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Jabatan Negara AS, Jen Psaki berkata, Setiausaha Negara AS, John Kerry dijangka menghubungi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum mengadakan pertemuan dengan perunding Palestin, Saeb Erakat.

Menurut Paski, kedua-dua pihak akan berbincang tentang beberapa isu termasuk rundingan gencatan senjata di Gaza dan menetapkan tarikh rundingan seterusnya bagi mencari penyelesaian jangka masa panjang.

Israel dan Palestin sepatutnya mengadakan perbincangan dalam tempoh terdekat untuk mencapai perjanjian damai kekal tetapi tiada tarikh ditetapkan untuk memulakan rundingan.

Kali terakhir Kerry bertemu dengan pemimpin Palestin adalah pada Julai lalu apabila beliau cuba menjadi pengantara bagi mengakhiri konflik di Gaza, tetapi menemukan kegagalan. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140904/lu_01/Kata-dua-kepada-Israel#ixzz3CJPVRw1v  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Thursday, 28 August 2014

PALESTIN : Penduduk Gaza rai kejayaan


Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum (tengah) diusung oleh beberapa orang penduduk Palestin bagi meraikan persetujuan gencatan senjata dengan Israel di Gaza City, kelmarin. - REUTERS

GAZA CITY 27 0gos - Persetujuan gencatan senjata di antara Palestin dan Israel bagi menamatkan pergolakan berdarah di Gaza yang memasuki hari ke-50 semalam, disambut dengan penuh rasa kesyukuran dan gembira oleh penduduk di wilayah ini.

"Hari ini kami mengisytiharkan kejayaan atas rintangan yang kami hadapi. Hari ini kami isytiharkan kejayaan bagi Gaza," kata jurucakap pergerakan Hamas, Sami Abu Zuhri.

Penduduk Palestin meraikan persetujuan tersebut dengan berkumpul dan berarak di jalan-jalan raya sambil membunyikan hon kenderaan masing-masing, selain corong-corong pembesar suara di masjid turut memainkan lagu-lagu yang memuji kebesaran Allah.

"Perasaan saya ketika ini bercampur baur. Kami terluka setelah berlakunya banyak kematian, tetapi kami juga berasa bangga kerana kami walaupun berperang secara bersendirian, tetapi perpaduan kami masih lagi kekal utuh," kata seorang penduduk Gaza yang dikenali sebagai Ahmed Awf.

Bagaimanapun, Israel yang enggan memberi maklum balas lanjut berkenaan persetujuan itu berkata, jika persetujuan itu dihormati, usaha untuk membawa masuk bantuan makanan, perubatan dan bahan binaan bagi membangunkan semula Gaza akan berjalan dengan lancar.

"Israel tidak mempunyai sebarang masalah dengan penduduk awam yang menyatakan sokongan mereka ke atas Gaza, tetapi kami tidak mahu melihat Hamas membina semula kekuatan ketenteraan mereka," kata jurucakap Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, Mark Regev.

Israel berpendapat pergerakan Hamas kini sedang mengalami tamparan hebat selepas beberapa orang pemimpin sayap ketenteraan mereka terbunuh, selain terowong bawah tanah yang menghubungkan mereka dengan kawasan sempadan Israel dimusnahkan.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Jen Psaki berkata, pihaknya menggesa kedua-dua belah pihak untuk mematuhi syarat-syarat perjanjian yang telah ditetapkan bagi memastikan gencatan senjata berkenaan 'bersifat kekal dan berterusan'.

"Kami melihat perkara ini sebagai satu peluang, bukan satu kepastian. Perjalanan masih panjang dan kita harus sentiasa menyedari akan perkara ini. Kita akan tangani masalah ini secara terbuka," jelas Psaki.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140828/lu_03/Penduduk-Gaza-rai-kejayaan#ixzz3BeOfra9O  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Wednesday, 27 August 2014

PALESTIN : Kemenangan untuk Gaza


Sebahagian penduduk Palestin, memantau kerosakan pada sebuah bangunan yang runtuh selepas dibedil oleh tentera rejim Zinonis di Gaza City, semalam. - AFP

RAMALLAH 26 Ogos - Delegasi Palestin hari ini menyatakan, pihaknya telah mencapai persetujuan gencatan senjata 'jangka panjang' dengan Israel di Kaherah, bagi menghentikan pergolakan di Gaza yang masuk hari-50.

Bagaimanapun tiada maklum balas daripada pihak Israel terhadap persetujuan untuk menamatkan konflik yang berlanjutan selama tujuh minggu di wilayah itu.

Pegawai Palestin menyatakan, gencatan senjata itu akan dikuatkuasakan pada pukul 4 petang waktu tempatan (12 tengah malam ini waktu Malaysia).

Presiden Mahmoud Abbas juga akan memberikan perincian lanjut mengenai perkara itu dalam satu ucapannya di Tebing Barat.

"Menurut persetujuan itu, sekatan ke atas Genting Gaza akan ditamatkan dan tuntutan penduduk Gaza akan dipenuhi," jelas pegawai itu yang enggan dikenali.

Kejayaan mencapai persetujuan itu turut disahkan oleh timbalan pemimpin Hamas, Mussa Abu Marzuk di Facebooknya.

"Rundingan itu berakhir dengan perjanjian yang memperlihatkan ketegasan dan kemenangan penduduk Palestin," katanya.

Pegawai Palestin itu menambah, persetujuan tersebut dicapai selepas 48 jam usaha diplomasi menyeluruh oleh ketua delegasi Palestin ke Kaherah, Azzam al-Ahmed.

"Sepanjang 48 jam itu, Azzam berbincang dengan pelbagai pihak termasuk kumpulan pejuang Hamas, Jihad Islam dan pemimpin Mesir selain berulang-alik ke Ramallah, Gaza dan Doha," jelasnya.

Sementara itu di Gaza, jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri dijangka membuat pengumuman rasmi tentang persetujuan tersebut. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140827/lu_03/Kemenangan-untuk-Gaza#ixzz3BYGVL9gJ  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Tuesday, 26 August 2014

PALESTIN : Israel teruskan serangan


PENDUDUK Palestin memerhati sebuah kenderaan yang ranap akibat terkena bedilan tentera Israel di Gaza, kelmarin. -REUTERS

GAZA CITY 25 Ogos - Sekurang-kurangnya 16 lagi penduduk Palestin terbunuh termasuk pegawai kewangan Hamas apabila Israel bertindak melancarkan lebih 30 serangan udara ke atas Gaza sejak tengah malam tadi.

Pasukan perubatan Palestin mengesahkan pegawai kewangan Hamas, Mohammed al-Ghul terbunuh dalam serangan itu ketika beliau sedang memandu di Gaza City.

Selain al-Ghul, enam kanak-kanak antara mangsa yang terkorban apabila tentera rejim Zionis meningkatkan serangan ke atas Gaza sebagai usaha menghapuskan Hamas, dengan serangan udara Israel tertumpu di kawasan utara Gaza.

Dengan angka terbaharu itu, jumlah korban penduduk Palestin dalam serangan Israel di Gaza meningkat kepada 2,112 orang, ketika ekonomi Gaza memerlukan masa lebih tiga tahun untuk pulih semula, ekoran kemusnahan teruk dalam sektor perindustrian, perladangan dan peningkatan kadar pengangguran.

Tiga penduduk Yahudi turut dilaporkan cedera apabila pejuang Palestin melepaskan tembakan di kawasan sempadan Israel-Gaza di Erez.

Menurut laporan portal BBC, lebih 360 kilang dilaporkan musnah atau rosak teruk dan beribu-ribu ekar tanah pertanian terjejas akibat serangan udara, bedilan meriam dan kereta kebal tentera rejim Zionis Israel sejak operasi ketenteraan dilancarkan ke atas Gaza bermula 8 Julai lalu.

Persekutuan Industri Palestin dalam laporannya menyebut, hampir 10 peratus kilang di Gaza tidak boleh beroperasi dan kebanyakan kilang terpaksa menghentikan operasi sepanjang konflik sehingga menyebabkan kerugian lebih AS$70 juta (RM210 juta).

Pertubuhan Pertanian dan Makan (FAO) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula melaporkan, kira-kira 42,000 ekar tanaman mengalami kerosakan dan setengah daripada ternakan penduduk Gaza juga musnah.

Tambah FAO dalam kenyataannya, lebih sembilan peratus hasil tangkapan ikan terjejas sepanjang tempoh antara 9 Julai dan 10 Ogos lalu.

Penganalisis ekonomi yang beribu pejabat di Gaza, Omar Shaban berkata, anggaran awal kemusnahan ekonomi akibat perang di Gaza menunjukkan peningkatan tiga kali ganda berbanding konflik Hamas-Israel pada 2008-9.

"Malah kadar pengangguran dijangka meningkat sehingga 40 peratus akibat kemusnahan banyak kilang dan tempoh untuk ekonomi Gaza pulih semula bergantung kepada perjanjian gencatan senjata sama ada sekatan ditarik semula atau tidak," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140826/lu_05/Israel-teruskan-serangan#ixzz3BStnkXt8  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Monday, 25 August 2014

PALESTIN : Israel bedil pusat kawalan Hamas


PENDUDUK Palestin memerhati runtuhan bangunan pangsapuri 13 tingkat selepas terkena bedilan meriam tentera Israel di Gaza City, semalam. - AFP

GAZA 24 Ogos - Israel meneruskan serangan ke atas Gaza, hari ini dengan menjadikan sebuah bangunan kediaman setinggi 13 tingkat sebagai sasaran, mengakibatkan 17 penduduk Palestin cedera.

Israel mendakwa bangunan itu merupakan pusat kawalan pergerakan Hamas.

Dalam serangan itu Menara Al Zafer di Gaza City dilaporkan ranap.

Ia merupakan serangan Israel pertama yang memusnahkan satu struktur besar dan paling tinggi di Gaza sejak Israel melancarkan serangan ke atas wilayah Palestin itu pada 8 Julai lalu.

Israel melancarkan 60 serangan udara hari ini, manakala Hamas melancarkan 64 roket dan mortar ke arah wilayah Israel.

Israel memberikan tembakan amaran 10 minit sebelum melancarkan serangan roket ke arah menara tersebut.

Penduduk tempatan berkata, bangunan tersebut merupakan kediaman bagi 44 keluarga.

Semalam, Israel melancarkan 55 serangan ke atas Gaza mengorbankan 10 orang penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, ketika Mesir menggesa pergerakan Hamas dan rejim Zionis itu kembali ke meja rundingan damai.

Dalam pada itu, dua buah peluru berpandu dilancarkan dari Lebanon mengenai Galilee di Israel.

Sumber Israel dan Lebanon menyatakan mereka tidak dapat mengenal pasti siapa dalang serangan itu. Bagaimanapun tiada kematian dilaporkan.

Dalam pada itu, Mesir menggesa Israel dan Palestin melaksanakan semula gencatan senjata dan kembali ke meja rundingan.

Bagaimanapun, tiada tanda-tanda rundingan itu akan diadakan semula dengan gencatan senjata sebelum ini berakhir awal minggu ini tanpa sebarang penyelesaian.

Pegawai kesihatan Palestin berkata, kira-kira 2,085 orang penduduk Palestin terkorban, kebanyakan mereka orang awam termasuk lebih 400 orang kanak-kanak, sejak Israel melancarkan serangan ke atas Gaza pada 8 Julai lalu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140825/lu_03/Israel-bedil-pusat-kawalan-Hamas#ixzz3BNlBx6W6  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PALESTIN : Gaza kembali berdarah


SEBUAH rumah penduduk Palestin musnah terkena bedilan jet tentera udara Israel di Gaza City, semalam. - AFP

GAZA CITY 23 Ogos - Israel meningkatkan tekanan ke atas pergerakan Hamas dengan melancarkan serangan udara ke atas lebih 20 sasaran di Gaza yang mengorbankan tujuh rakyat Palestin termasuk tiga kanak-kanak, ketika Mesir bersedia untuk mengusahakan rundingan gencatan senjata baharu.

Menurut Israel, mereka melancarkan sebanyak 35 serangan udara di Gaza, hari ini, sementara Hamas melancarkan kira-kira 30 roket dan peluru mortar ke wilayah Israel, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan di pihak Israel.

Tentera Israel turut menghantar khidmat pesanan ringkas, pesanan suara dan risalah memberi amaran kepada penduduk Palestin supaya tidak mendekati anggota Hamas dan anggota Briged al-Qassam, sayap bersenjata Hamas dan rumah yang dipercayai dijadikan aktiviti ketenteraan pergerakan tersebut.

Menurut saksi dan pegawai Palestin, dua masjid musnah di kawasan Khan Younis di selatan Gaza dengan serangan ketiga mengenai kem pelarian Shati yang telahpun rosak sebelum ini akibat dibedil oleh tentera Israel.

Pegawai perubatan Palestrin berkata, serangan udara Israel itu turut meranapkan sebuah rumah di Al-Zawayda di tengah Gaza yang mengorbankan sepasang suami isteri dan dua anak mereka berusia tiga dan empat tahun termasuk ibu saudara mereka yang berusia 45 tahun.

Israel memperhebatkan serangan selepas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berikrar untuk membalas kematian seorang kanak-kanak Israel berusia empat tahun di rumahnya di kibbutz Nahal Oz, semalam akibat terkena mortar Hamas.

Mesir menerusi Kementerian Luarnya dalam pada itu mengeluarkan kenyataan ringkas, hari ini menggesa kedua-dua pihak menyambung kembali rundingan tidak langsung bagi melaksanakan gencatan senjata yang muktamad.

Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang berada di Kaherah selepas bertemu dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi turut menggesa supaya proses rundingan itu segera diadakan semula.

“Matlamat utama saya adalah supaya rundingan gencatan senjata diteruskan di Mesir secepat mungkin bagi mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah,’’ kata Mahmoud pada sidang media selepas bertemu Abdel Fattah.

Diplomat Mesir sementara itu berkata, Kaherah menjangkakan pihaknya akan menerima maklum balas daripada Israel dan Hamas pada Isnin ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140824/lu_04/Gaza-kembali-berdarah#ixzz3BNFy9C4I  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Friday, 22 August 2014

PALESTIN : Israel sasar komander Hamas


Penduduk Palestin memenuhi tapak sebuah rumah yang musnah dibedil Israel bagi mencari mangsa terperangkap di Rafah, selatan Genting Gaza, semalam. - AFP

GAZA CITY 21 Ogos - Tiga komander sayap bersenjata pergerakan Hamas adalah antara 15 orang yang terbunuh dalam serangan udara tentera Israel di Genting Gaza hari ini, ketika Perdana Menteri rejim Zionis, Benjamin Netanyahu berikrar mahu meneruskan serangan ke atas wilayah Palestin itu.

Briged Izzuddin al-Qassam mengesahkan tiga anggota tertinggi briged itu terbunuh. Mereka ialah Mohammed Abu Shamala, Raed al-Atar dan Mohammed Barhum, yang terbunuh dalam serangan di bandar Rafah, sehari selepas isteri dan anak lelaki ketua briged itu, Mohammed Deif terkorban akibat dibedil oleh tentera rejim Zionis.

Bagaimanapun, Mohammed Dief disahkan terselamat daripada serangan itu dan al-Qassam memberi amaran untuk meneruskan perjuangan menentang Israel yang melancarkan serangan ke atas Gaza yang kini memasuki hari ke-45.

Jurucakap perkhidmatan kecemasan, Ashraf al-Qudra berkata, serangan udara tentera Israel berkenaan turut memusnahkan sebuah bangunan kediaman empat tingkat.

Seorang penduduk Palestin turut dilaporkan terbunuh di kem pelarian Nusseirat di tengah Gaza.

Dalam pada itu, Netanyahu semasa berucap pada sidang akhbar di Tel Aviv berkata, Operasi Perlindungan Sempadan ke atas Gaza yang bermula sejak 8 Julai lalu akan dilanjutkan bagi memulihkan keamanan dan menjamin keselamatan penduduk Israel.

Malah beliau berkata, satu lapisan diplomatik baharu akan dicapai oleh Israel di rantau ini iaitu merujuk kepada hubungan diplomasi dengan Palestin selepas perang itu berakhir.

"Saya merasakan perubahan dramatik akan berlaku di rantau Asia Barat melibatkan hubungan diplomatik baharu Israel (dengan Palestin)," katanya tanpa menjelaskan tempoh operasi berkenaan akan disambung.

Sementara itu, jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri mengutuk kenyataan Netanyahu sebagai cubaan terdesak untuk menenangkan keresahan penduduk Yahudi dan ugutan rejim Zionis ke atas kepemimpinan Hamas juga menunjukkan keganasan Israel, selain sikap tidak serius Israel dalam mencapai gencatan senjata.

"Ugutan tersebut tidak akan menggoyahkan perjuangan dan pemimpin Hamas.

"Malah kami akan terus melindungi dan mempertahankan rakyat Palestin daripada menjadi mangsa kekejaman dan jenayah Israel," katanya. - AFP/REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140822/lu_02/Israel-sasar-komander-Hamas#ixzz3B4zJMYWg  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Tuesday, 19 August 2014

PALESTIN : Senjata Israel rosak organ pembiakan

Mohd. Asron Mustapha

Abdul Azeez Abdul Rahim (dua dari kiri) memberi taklimat sebelum memulakan konvoi perjalanan kepada sukarelawan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza di Kaherah, semalam. - BERNAMA

RAFAH 16 Ogos - Israel dipercayai menggunakan sejenis bom yang dicipta khusus bagi merosakkan fungsi organ pembiakan penduduk Gaza sebagai salah satu cara untuk menghapuskan bangsa Palestin dalam tempoh jangka panjang.

Keadaan itu dapat dilihat kesannya kepada penduduk Gaza yang tercedera akibat serangan Israel, di mana hampir kesemua mangsa yang menerima rawatan susulan di Mesir mendapat kecederaan parah dari paras dada ke bawah.

Jenis kecederaan yang mereka alami juga sama iaitu melecur secara luar biasa, kerosakan di bahagian abdomen sehingga menyebabkan ramai mangsa terpaksa dipotong usus serta hancur tulang di bahagian kaki.

Menurut Pengarah Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr. Khalid Ibrahim, hasil pemerhatian beliau ke atas puluhan mangsa yang mendapat rawatan di Mesir, adalah hampir pasti bahawa organ pembiakan mereka terutama lelaki telah rosak.

"Saya setuju dengan teori bahawa corak serangan yang membawa kepada kecederaan parah sedemikian rupa ada kaitan dengan cubaan Israel untuk memastikan bangsa Palestin tidak mampu melahirkan generasi baharu.

"Ini kerana kadar lecuran dan luka pada badan mangsa bukan sahaja menyebabkan kecacatan luaran tetapi turut merosakkan alat kelamin dan saraf yang menyokong organ pembiakan," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Khalid berkata demikian ketika dilontarkan persoalan apakah beliau setuju dengan teori bahawa serangan Isreal selain bertujuan membunuh juga mahu memastikan kerosakan organ pembaikan penduduk Gaza yang tercedera.

Beliau yang merupakan pakar kesihatan awam dan pengurusan bencana merupakan salah seorang sukarelawan misi kemanusiaan Malaysia ke Gaza diketuai Kelab Putra 1Malaysia pimpinan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, beliau mengesyaki wujudnya kandungan tertentu dalam bom yang digunakan Isreal jika melihat kepada keadaan kecederaan semua mangsa walaupun tidak dapat dibuktikan secara pasti.

"Ada sesuatu dalam kandungan bom yang diguna tentera Israel kerana kecederaan semua mangsa agak pelik di mana terdapat demarcation line (garisan sempadan) terhadap setiap lecuran di badan mereka," katanya.

Sementara itu, Penasihat Kesihatan Kelab Putra 1Malaysia, Dr. Mohd. Kassim Abdul Rahim juga bersetuju bahawa Israel mahu memastikan mangsa yang cedera tidak lagi boleh melahirkan zuriat baharu Palestin khususnya di Gaza.

Katanya, kezaliman itu bukan sesuatu yang pelik bagi Israel kerana rejim Zionis itu telah melakukan pelbagai kaedah di luar batasan kemanusiaan khususnya ke atas wanita bagi memastikan tiada generasi baharu dilahirkan.

"Israel juga mahu memastikan penduduk Gaza yang cedera ini cacat seumur hidup bagi memastikan mereka tidak memiliki keupayaan untuk bangkit menentang Zionis dan membebaskan Palestin,"katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140817/dn_02/Senjata-Israel-rosak-organ-pembiakan#ixzz3Ang2meFK  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PALESTIN : Jangan abai penduduk Gaza


BEBERAPA orang wanita Palestin, menyediakan roti di tapak runtuhan yang pernah menempatkan rumah mereka di Khan Younis, selatan Genting Gaza, kelmarin. - REUTERS

GAZA CITY 15 Ogos - Pergerakan Hamas mengulangi pendirian mereka tidak akan menandatangani perjanjian damai dengan Israel sekiranya rejim Zionis itu gagal memenuhi tuntutan penduduk Palestin di Genting Gaza.

Perunding Palestin, Khalil al-Haya semasa ditemui rangkaian televisyen Al-Jazeera di Mesir menyuarakan kesukaran pihaknya untuk berunding dengan Israel, yang suka melengah-lengahkan perbincangan.

Khalil berkata, Hamas dalam tuntutannya mahu serangan dan sekatan ke atas Gaza ditamatkan secara kekal selepas wilayah Palestin itu dikepung oleh Israel sejak 2006.

Jelasnya, Hamas menunjukkan kesungguhan untuk memastikan perjanjian (damai) dicapai, tetapi Israel perlu memenuhi kehendak penduduk Gaza.

"Perang yang tercetus di Gaza satu keadaan dan bukan pilihan kerana kami tidak mempunyai pilihan lain, selain mempertahankan diri.

"Kami (Hamas) bersatu dan bersedia berkorban sebagai satu anggota badan demi mempertahankan penduduk Gaza dan peperangan ini merupakan satu permulaan ke arah kemerdekaan," katanya.

Khalil berkata demikian hanya beberapa jam selepas gencatan senjata antara Hamas dan Israel dilanjutkan selama lima hari lagi ketika wakil perunding kedua-dua pihak yang bertelagah meneruskan perbincangan mereka di Kaherah.

Delegasi Palestin turut menyatakan kesediaan untuk kembali ke Mesir malam esok bagi membincangkan lebih banyak perkara.

Sumber Mesir dan Palestin memaklumkan, buat sementara waktu, Israel bersetuju membenarkan beberapa bekalan bantuan dibawa masuk ke Gaza dan melonggarkan sekatan, sekali gus membolehkan penduduk Palestin menyeberangi sempadan mengikut syarat-syarat tertentu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140816/lu_03/Jangan-abai-penduduk-Gaza#ixzz3AnRe1bRI  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PALESTIN : Mangsa kekejaman Zionis mahu dunia buka mata


WIDAD Abu Zaid antara wanita yang masih trauma, terlantar di katil ketika dikunjungi oleh Abdul Azeez Abdul Rahim (depan) dan Anwar Al-Agha (kanan) di Pusat Pediatrik dan Ortopedik, Institut Nassir, Kaherah, Mesir, semalam. - BERNAMA

KAHERAH 15 Ogos - Petang menjelang Hari Raya Aidilfitri, Widad Abu Zaid, 65, berpeluang pulang ke kediamannya di Gaza City selepas dimaklumkan genjatan senjata selama 24 jam telah dipersetujui antara Israel dan Hamas.

Niatnya mahu membuat sedikit persiapan sambutan hari raya, biarpun dalam suasana perang selepas lebih dua minggu terpaksa mencari perlindungan di sekolah yang dibina Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Gaza City.

Dia sedikit lega apabila melihat kediaman yang menempatkan keluarga besarnya masih tidak terusik oleh serangan Israel dan meminta suami, Abdullah serta anaknya, Abu Zaid, 35, keluar membeli barangan keperluan harian.

Tapi kekejaman Israel tidak pernah mengenal erti belas, genjatan senjata yang dipersetujui dicabuli dengan bedilan tiga peluru berpandu yang meranapkan sama sekali kediaman Widad sehingga membunuh lapan ahli keluarganya.

Semua terbunuh ialah wanita dan kanak-kanak yang terdiri daripada seorang menantu perempuan, dua anak perempuan, serta lima cucu Widad yang ketika Israel melancar serangan, mereka baharu sahaja sejam berada di rumah.

Widad sendiri parah, 14 lagi ahli keluarganya yang lain juga menerima nasib serupa dan warga emas itu hanya mengetahui berita sedih tersebut selepas dimaklumkan ketika mendapat rawatan susulan di Institut Nasser, Kaherah.

Sehingga kini, warga emas itu masih trauma dan kadang-kala meracau seorang diri dengan memanggil beberapa nama ahli keluarganya.

"Israel pembunuh. Mereka bunuh wanita dan kanak-kanak. Mereka bunuh keluarga saya. Tiada bangsa lain sezalim Zionis," katanya sambil menahan kesakitan akibat kecederaan parah di perut dan beberapa bahagian badan lain.

Namun, kudratnya ternyata tidak sekuat semangat yang ada apabila Widad berulang kali merintih kesakitan menyebabkan Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, sebak melihat penderitaan nenek tua itu.

Malah, Duta Palestin ke Malaysia, Dr. Anwar Hamadto Kassem Al-Agha juga tidak mampu menyembunyikan rasa pilu melihat bangsanya diperlakukan sebegitu zalim sehingga beberapa kali dilihat mengesat air mata.

Tambah memilukan lagi suasana, apabila dua cucu Widad yang parah iaitu Roah Abu Zaid, 9, dan Ziyad Abu Zahid, 8, juga menerima rawatan susulan di institut sama tetapi berlainan bilik dan dijaga datuk mereka iaitu Abdullah.

Sewaktu lawatan oleh pasukan misi kemanusiaan Malaysia ke Gaza diketuai KP1M, Ziyad yang ususnya terpaksa dipotong dan kakinya patah, sedang menangis kesakitan serta masih trauma.

Keadaan itu menimbulkan rasa sebak di hampir kesemua sukarelawan kerana Abdullah masih lagi cuba menenangkan cucunya melalui kata-kata semangat biarpun beliau sendiri sedih dengan apa yang berlaku. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140816/dn_12/Mangsa-kekejaman-Zionis-mahu-dunia-buka-mata#ixzz3AnQL1Vnw  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Friday, 15 August 2014

PALESTIN : Israel cabul gencatan senjata


Dua orang penduduk Palestin memadamkan kebakaran di sebuah kilang makanan al-Awdah yang ranap akibat bedilan tentera Israel di Deirl al-Balah di tengah Gaza, semalam. - REUTERS

GAZA CITY 14 Ogos - Jet rejim Zionis Israel melancarkan serangan ke atas Gaza, awal hari ini selepas mendakwa pergerakan Hamas melancarkan roket ke arah wilayah Israel, sekali gus mengancam gencatan senjata terbaharu selama lima hari yang berkuatkuasa pada pukul 12 tengah malam tadi waktu tempatan (5 pagi waktu Malaysia).

Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri Palestin melaporkan Israel melancarkan empat serangan udara ke atas Gaza, kira-kira 30 minit selepas gencatan senjata terbaharu itu dikuatkuasakan, sementara Israel mendakwa Hamas melancarkan lapan roket ke arah wilayah Israel lewat semalam.

Israel berkata, pihaknya melancarkan serangan ke atas Gaza sebagai tindak balas daripada serangan roket Hamas ke wilayahnya.

Bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan dalam serangan berkenaan.

Sementara itu, Hamas menafikan pihaknya melancarkan serangan roket ke arah Israel.

Gencatan senjata terbaharu selama lima hari itu dicapai selepas gencatan senjata selama 72 jam sebelum itu yang berakhir semalam, bagi membolehkan rundingan damai diteruskan, namun setakat ini Israel dan Hamas tidak mencapai sebarang penyelesaian dalam pertemuan antara kedua-dua pihak yang bertelagah itu yang diadakan di Mesir.

Mesir yang bertindak sebagai orang tengah berjaya menggesa kedua-dua pihak untuk melanjutkan gencatan senjata tersebut selama lima hari lagi.

Anggota kanan pasukan perunding Palestin, Azzam al-Ahmed berkata, gencatan senjata kali ini akan diadakan selama lima hari.

"Masa lebih banyak diperlukan bagi membincangkan beberapa perkara yang masih menjadi perbalahan (antara Hamas) dengan Israel dalam melaksanakan gencatan senjata jangka panjang,'' ujarnya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140815/lu_05/Israel-cabul-gencatan-senjata#ixzz3AQgmu4B3  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Wednesday, 13 August 2014

PALESTIN :Israel tunduk kepada Hamas


KETUA delegasi Palestin, Azzam al-Ahmed (dua dari kiri) bersama anggota delegasi lain tiba di sebuah hotel bagi pertemuan dengan pegawai risikan Mesir di Kaherah, kelmarin. - AFP

BAITULMAQDIS 12 Ogos - Israel dilapor bersetuju untuk melonggarkan sekatan ke atas Genting Gaza dalam menyelesaikan krisis di wilayah Palestin itu ketika rundingan masih berlangsung di Mesir selepas gencatan selama 72 jam antara Hamas dan rejim Zionis, bermula semalam.

Akhbar Israel, Haaretz memetik sumber pegawai kanan kerajaan berkata, walaupun persetujuan akhir antara kedua-dua pihak masih belum dimeterai, rejim Zionis bersedia mengurangkan sekatan di beberapa kawasan terpilih berdasarkan operasi ketenteraan Israel ke atas Gaza yang dijalankan pada 2012.

Antara syarat yang dipersetujui, Israel membenarkan kawasan menangkap ikan di pesisiran laut Gaza diperluaskan daripada 5.5 kilometer kepada 11 kilometer dan rejim bersedia memberi kebenaran lebih jauh sehingga 22 kilometer jika tahap ke­selamatan memuaskan.

Selain itu, laluan penduduk Gaza ke Israel dan Tebing Barat dipermudahkan selain meningkatkan jumlah permit yang dikeluarkan pada setiap bulan sehingga 5,000 orang.

"Israel juga setuju meningkatkan jumlah trak yang membawa pelbagai jenis barangan untuk menggunakan laluan di Israel melalui sempadan Kerem Shalom.

"Rejim Zionis sedia membenarkan wang yang dibawa masuk ke Genting Gaza untuk membayar gaji pegawai Hamas menerusi sebuah negara ketiga, bukan melalui Qatar atau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan urusan tersebut akan dipantau bagi mengelakkan pembiayaan aktiviti keganasan," jelas laporan akhbar itu.

Bagaimanapun, Israel tidak bersedia memenuhi tuntutan Hamas membina sebuah pelabuhan atau lapangan terbang di Gaza, namun rejim mempertimbangkan untuk membebaskan berpuluh-puluh tahanan Palestin yang ditahan sebagai pertukaran dua mayat tentera mereka, Staf Sarjan Oron Shaul dan Leftenan Kedua, Hadar Goldin.

Sementara itu, sumber kerajaan Mesir melaporakan, 95 peratus masalah berbangkit dalam rundi­ngan antara kedua-dua pihak itu telah selesai, tetapi baki lima peratus perkara yang masih dibincangkan mempunyai kaitan dengan pembinaan lapangan terbang dan pelabuhan di Gaza.

Sumber tersebut menjelaskan, Israel dan Mesir bersetuju membuka semula laluan yang bersempadan dengan Gaza walaupun keputusan untuk melaksanakan pemantauan di kawasan terbabit belum dibuat.

SENARAI TUNTUTAN HAMAS

1.Israel perlu tamatkan serangan ke atas Gaza.

2.Tarik semula sekatan selama tujuh tahun ke atas Gaza yang dikenakan oleh Israel dan Mesir.

3.Bekalan tenaga elektrik disalurkan semula ke Gaza.

4.Hak menangkap ikan sejauh 22 kilometer dari pantai Gaza.

5.Pembebasan beratus-ratus anggota Hamas yang ditahan oleh pasukan keselamatan Israel.

6.Pembinaan sebuah pelabuhan dan lapangan terbang di Gaza.


Tuesday, 12 August 2014

PALESTIN :Gencatan senjata baharu di Gaza


Kubah sebuah masjid runtuh dan terbalik, sementara menara dan struktur lain rumah ibadat itu musnah sama sekali dalam serangan Israel di Khan Younis, selatan Genting Gaza, semalam. - REUTERS

BAITULMAQDIS 11 Ogos - Israel dan Hamas melaksanakan gencatan senjata baharu selama 72 jam di Genting Gaza bermula malam tadi waktu tempatan (5 pagi waktu Malaysia).

Tentera Israel berkata, tiada roket dilancarkan ke arah Israel hari ini dan tentera rejim Zionis itu tidak menyasarkan sebarang lokasi di Genting Gaza sejak pelaksanaan gencatan senjata tersebut.

Keadaan itu membenarkan rundingan damai disambung semula di Kaherah, Mesir yang menyaksikan kerajaan negara tersebut bertindak sebagai orang tengah.

Pasukan perunding Israel dilaporkan tiba di Kaherah hari ini bagi menyertai rundingan damai tersebut.

Hampir 2,000 rakyat Palestin terbunuh, sementara hampir 70 rakyat Israel maut dan beribu-ribu rumah musnah sejak konflik itu bermula pada bulan lepas.

Di Kaherah, Kementerian Luar Mesir menyatakan, gencatan senjata terbaharu itu akan membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar ke kawasan perumahan di Gaza yang teruk diserang Israel selain membuka semula rundingan damai antara kedua-dua pihak bertelagah.

Hamas mahu Israel menamatkan sekatan ke atas Gaza, manakala rejim Zionis itu mahu pergerakan tersebut memusnahkan senjata termasuk roket.

Anggota delegasi Palestin, Qais Abdelkarim berkata, rundingan damai dengan Israel yang menyaksikan kedua-dua pihak bertemu pegawai Mesir secara berasingan itu bermula hari ini. - AGENSI/AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140812/lu_03/Gencatan-senjata-baharu-di-Gaza#ixzz3A8pGo9IU  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Monday, 11 August 2014

PALESTIN : Semua yang memerhati di Mesir adalah pengintip kerajaan

Mohd.Hazli Hassan
Laporan perang di Gaza

Kanak-kanak menerima bantuan makanan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sebuah sekolah di Rafah, selatan Genting Gaza 19 Julai lalu. - AGENSI

KEHADIRAN kumpulan kami Misi Bantuan Aman Palestin ke Gaza di Kaherah, walaupun jumlahnya tidak ramai telah memberi gambaran kepada kerajaan Mesir tentang hasrat sebenar kumpulan kami itu untuk ke Gaza.

Persediaan yang dilakukan Aman Palestin daripada persiapan dan mendapatkan permit telah dijalankan dalam tempoh yang amat singkat untuk membolehkan kami meneruskan misi bantuan ke Gaza.

Namun, bagi mengelakkan timbul syak wasangka dalam kalangan polis dan tentera Mesir di Kaherah, kami membeli bekalan ubat-ubatan di Mesir dan bukan membawanya dari Malaysia.

"Memang lebih murah dan mudah untuk membawa bekalan perubatan dari Malaysia, tetapi ia akan menyukarkan pergerakan kami di sini menuju ke sempadan (Rafah) dengan membawa kotak-kotak ubat-ubatan dari Malaysia.

"Ini kerana pandangan pihak berkuasa Mesir terhadap isu Gaza kini amat berlainan berbanding dahulu semasa pemerintahaan Presiden Dr. Mohamed Mursi.

"Atas dasar itu kami perlu lebih berhati-hati," kata Pengarah Media Aman Palestin Berhad, Anas Abdul Wahab.

Sehari sebelum bertolak ke Gaza, kumpulan pakar perubatan diketuai Dr. Mohamed Nor Sundari telah 'melawat' beberapa farmasi yang ada di kota Kaherah.

Bekalan ubat-ubatan yang perlu dibeli di sini adalah bekalan kecemasan, yang merupakan bekalan paling terdesak dan perlu digunakan bagi membantu penduduk Palestin yang cedera dalam operasi ketenteraan rejim Zionis Israel di Gaza.

"Banyak juga yang kami perolehi, namun disebabkan ia dibeli secara tergesa-gesa, mereka (farmasi) menaikkan harga, tetapi keadaan itu tidak melemahkan semangat kami.

"Kami terpaksa menjelajah ke lebih 10 buah farmasi bagi mengelakkan timbul syak wasangka dalam kalangan mereka kenapa kami memerlukan ubat yang sebegitu banyak.

"Semuanya bernilai AS$15,000 (RM48,137), tapi jika ia dibeli di Malaysia dengan nilai yang sama, kuantitinya mungkin lebih banyak," kata Dr. Mohamed Nor.

Akhirnya kami berjaya membeli lebih 10 kotak besar ubat-ubatan dan dibawa naik ke dalam bilik hotel, dan keadaan itu mula merimaskan kami kerana ia kelihatan terlalu ketara.

"Apa kata kita susun semula ubat-ubat ini dalam bekas yang lebih kecil, kita letak dalam beg sandang, baru mereka ingat ini beg keperluan harian. Mudah juga untuk bergerak," kata seorang pakar ortopedik, Dr. Zairul Nizam Zairol Fitri.

Cadangan itu diterima sebulat suara dan akhirnya 10 buah beg penuh diisi ubat-ubatan berkenaan.

Bayangkan kami terpaksa melalui semua ini hanya ingin melepasi pemeriksaan ketat pihak berkuasa Mesir yang sentiasa syak wasangka jika ia berkaitan isu Gaza.

Segala kesusahan yang dialami itu tidak melemahkan semangat kami untuk memasuki Gaza bagi menghantar bantuan dan pakar perubatan awal kepada para doktor di beberapa hospital di Gaza yang belum dapat berehat bagi membantu memberi rawatan kepada penduduk Palestin yang cedera, malah sebahagian besar daripada mereka tidak menerima gaji sejak Israel melancarkan operasi ketenteraan di wilayah Palestin itu pada 8 Julai lalu.

Ramadan mengajar kami erti kesabaran pada tahap paling maksimum ketika berada di Mesir, selain semangat penduduk Gaza sendiri yang tidak putus asa, walaupun dihujani bom setiap hari oleh tentera Israel.

Siri seterusnya akan menceritakan getir kami menuju ke sempadan Rafah yang terletak sekitar 400 kilometer dari Kaherah. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140810/lu_06/Semua-yang-memerhati-di-Mesir-adalah-pengintip-kerajaan#ixzz3A2ymcmUc  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PALESTIN : 3 lagi masjid musnah dibedil


Salah sebuah masjid yang ranap akibat serangan udara tentera Israel di Gaza city, semalam. - AFP

GAZA CITY 9 Ogos - Tentera Israel melancarkan 21 serangan udara ke atas Gaza, awal hari ini mengakibatkan lima penduduk Palestin terkorban dan tiga buah masjid musnah, ketika Mesir mengerakkan usaha baharu untuk membawa pergerakan Hamas dan Israel kembali ke meja rundingan untuk mencapai gencatan senjata yang berkekalan.

Kementerian Dalam Negeri Palestin berkata, serangan udara yang bermula sejak tengah malam tadi memusnahkan sebuah masjid, masing-masing di Zeitoun, Jabaliya dan Nuseirat, serta tiga buah rumah akibat bedilan pesawat pengebom Israel.

Setakat ini, lebih 60 masjid musnah dalam serangan tentera Israel ke atas Gaza sejak 8 Julai lalu, yang didakwa menjadi tempat persembunyian senjata sayap bersenjata pergerakan Hamas, Briged Issucin al-Qassam.

Jurucakap perkhidmatan kecemasan, Ashraf al-Qudra berkata, dua penduduk Palestin trbunuh dalam serangan ke atas sebuah motosikal di kem perlindungan Al-Maghazi, manakala tiga mayat penduduk lelaki ditemukan di bawah runtuhan masjid di Nuseirat.

Israel kembali melancarkan serangan ke atas Gaza selepas gencatan senjata 72 jam tamat semalam, dan rundingan tajaan Mesir di Kaherah antara Hamas dan Israel menemui kegagalan bagi melaksanakan gencatan senjata yang berkekalan, menjadikan angka korban di Gaza meningkat kepada 1,898 orang, kebanyakan mereka adalah penduduk awam, dan lebih 9,000 lagi mengalami kecederaan.

Di Kaherah, Kementerian Luar Mesir menggesa Hamas dan Israel menyambung semula gencatan senjata bagi membuka pintu rundingan ke arah mencari penyelesaian kepada konflik di Gaza.

Dalam perkembangan lain, seorang penduduk Palestin terbunuh, manakala 29 lagi cedera apabila tentera Israel melepaskan tembakan peluru hidup dan peluru getah ke arah penunjuk perasaan yang membantah kekejaman rejim Zionis itu di bandar Hebron dekat Tebing Barat.

Tentera Israel mendakwa kira-kira 300 penunjuk perasaan bertindak ganas apabila membakar tayar-tayar dan melemparkan batu ke arah pihak keselamatan rejim Zionis.

"Askar Israel terpaksa bertindak balas dengan melepaskan tembakan bagi menyuraikan tunjuk perasaan," jelas jurucakap tentera Israel itu. - AFP/REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140810/lu_01/3-lagi-masjid-musnah-dibedil#ixzz3A2x3s3WG  © Utusan Melayu (M) Bhd 



palestin : Kumpulan kedua Misi Kemanusiaan Gaza berlepas ke Mesir


Anwar Hamadto Kassem Al-Agha (tengah) bergambar bersama kumpulan kedua Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia sebelum berlepas ke Kaherah, Mesir di KLIA, semalam. - BERNAMA

SEPANG 9 Ogos - Kumpulan kedua Misi Kemanusiaan Gaza anjuran Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) yang terdiri daripada 20 orang berlepas ke Mesir hari ini bagi menyalurkan bantuan kepada penduduk Palestin yang sengsara akibat kezaliman tentera Israel.

Mereka terdiri daripada petugas media, pasukan perubatan dan sukarelawan diketuai oleh Exco Pemuda UMNO, Armand Azha Abu Hanifah.

Pelepasan mereka disaksikan Duta Palestin ke Malaysia, Dr. Anwar Hamadto Kassem Al-Agha yang hadir bagi memberi sokongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Menurut Armand Azha, kumpulan kali ini membawa beberapa tan bekalan tambahan iaitu ubat-ubatan dan selimut yang sangat diperlukan oleh para penduduk di wilayah bergolak tersebut.

"Bekalan itu merupakan bantuan tambahan selepas kumpulan pertama yang tiba di Mesir meninjau keperluan barangan telah memaklumkan berhubung perkara berkenaan kepada kita baru-baru ini.

"Insya-Allah, jika tiada masalah, kumpulan ketiga diketuai Presiden Kelab Putera 1M (KP1M), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim akan bersama semua anggota misi dengan beliau akan berlepas ke sempadan Rafah pada 12 Ogos ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar mengucapkan terima kasih dan menghargai bantuan yang dihulurkan oleh rakyat Malaysia kepada penduduk Palestin di Gaza setelah menghadapi pelbagai kesulitan akibat serangan bertalu-talu tentera Israel.

"Palestin menghargai pengorbanan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk misi KP1M yang bekerja keras demi membantu saudara seagama di Gaza, Palestin," katanya.

"Atas semangat 1Malaysia itu, semangat 1Palestin telah ditonjolkan oleh rakyat negara ini dengan usaha sebegini," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140810/dn_13/Kumpulan-kedua-Misi-Kemanusiaan-Gaza-berlepas-ke-Mesir#ixzz3A2w2N4BC  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PALESTIN : Hamas cipta roket sendiri


Gambar fail bertarikh 20 Disember 2008, menunjukkan anggota pejuang Palestin bersiap sedia melancarkan roket buatan sendiri ke Israel dari Genting Gaza. - AGENSI

BAITULMAQDIS 8 Ogos - Seorang pegawai tentera Israel yang enggan mendedahkan namanya mendakwa, majoriti roket yang dilancarkan oleh pergerakan Hamas me-rupakan bom buatan sendiri yang dibina di Gaza.

"Kebanyakan roket yang dilancarkan merupakan bom buatan sendiri, hanya sebilangan kecil sahaja daripadanya merupakan Fajr 5 yang dibina di Iran," jelas pegawai itu.

Katanya, badan roket berkenaan diperbuat daripada paip air dalam pelbagai diameter, sebelum diisi dengan bahan peledak yang dihasilkan daripada produk yang digunakan dalam bidang pertanian.

Ujarnya lagi, pergerakan Hamas berjaya mengadaptasi proses membina senjata sendiri selepas kerajaan Mesir bertindak meruntuhkan terowong-terowong tikus yang digunakan untuk menyeludup barangan ke Rafah.

"Orang dari luar Gaza telah mengajar mereka bagaimana untuk membina senjata sendiri dan ada sesetengah penduduk Gaza mempelajarinya daripada negara-negara lain seperti Syria dan Iran," katanya, sambil menambah kira-kira 150 orang terlibat dalam proses pembinaan roket di Gaza.

Pendedahan itu membuktikan bahawa Israel terkejut dengan keupayaan pejuang Hamas yang serba kekurangan untuk mencipta senjata sendiri ketika pertempuran dengan rejim Zionis berlanjutan selama 29 hari.

Menurut sumber tentera Israel, sepanjang pertempuran berlaku, kumpulan pejuang Hamas melancarkan lebih 3,300 serangan roket dan mortar ke Israel dengan 500 daripadanya berjaya dipintas oleh sistem pertahanan Iron Dome. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140809/lu_06/Hamas-cipta-roket-sendiri#ixzz3A2nqMlh0  © Utusan Melayu (M) Bhd


PALESTIN : Israel berdepan bahaya - Netanyahu




BAITULMAQDIS 8 Ogos - Israel takut dengan kemampuan pergerakan Hamas selepas memandang rendah keupayaan pergerakan tersebut ketika melancarkan serangan ke atas Gaza.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (gambar) berkata, pihaknya mungkin terlalu memandang rendah kemampuan Hamas sebelum ini.

"Mungkin terdapat lebih banyak terowong digali oleh Hamas di bawah sempadan Gaza-Israel yang masih belum dijumpai," katanya kepada saluran berita, Fox News, semalam.

Netanyahu mengakui jumlah tinggi kematian orang awam dalam serangan yang dilancarkan ke atas Gaza adalah perbuatan kejam namun tidak disengajakan.

"Israel menyerang pejuang Palestin, namun tidak sengaja membunuh orang awam," ujarnya.

Beliau turut menyalahkan Iran kerana membekalkan kelengkapan roket dan peluru berpandu kepada Hamas.

"Bayangkan bahaya akan dihadapi jika mereka boleh me-nempatkan nuklear dalam peluru berpandu itu. Inilah bahaya yang dihadapi daripada Iran," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140809/lu_05/Israel-berdepan-bahaya---Netanyahu#ixzz3A2mx8yzg  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PALESTIN : Israel lancar serangan semula ke Genting Gaza


Kanak-kanak Palestin, Ibrahim al-Dawawsa, 10, menjadi korban kekejaman Israel pada hari pertama serangan rejim itu di kawasan perumahan Sheikh Radwan di utara Gaza City, semalam, selepas tiga hari gencatan senjata dilaksanakan. - AFP

GAZA CITY 8 Ogos - Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun terbunuh, manakala enam yang lain cedera selepas tentera rejim Israel melancarkan serangan udara ke Sheikh Radwan, utara Gaza sejurus selepas gencatan senjata selama 72 jam tamat hari ini.

Kementerian Dalam Negeri Palestin melaporkan, pesawat pejuang tentera Israel menyasarkan bandar Jabaliya, Gaza City dan bahagian tengah wilayah berkenaan.

Keadaan itu menyebabkan beribu-ribu penduduk Palestin bertindak meninggalkan kediaman masing-masing di Gaza City ekoran bimbang menjadi mangsa bedilan selepas gencatan senjata berakhir pada pukul 8 pagi waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia hari ini).

Terdahulu, kumpulan pejuang Hamas menyambung semula serangan balas ke atas wilayah jajahan Israel, selepas rundingan damai antara wakil Palestin dan rejim Zionis di Mesir gagal mencapai persetujuan untuk melanjutkan tempoh gencatan senjata.

Hamas melaporkan telah melancarkan 18 roket ke arah selatan Israel, namun dua daripadanya berjaya dipintas oleh sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome milik rejim itu.

Sumber keselamatan Israel berkata, serangan terbabit menyebabkan operasi penerbangan di Lapangan Terbang Ben-Gurion, Tel Aviv terpaksa ditangguhkan selama 45 minit.

Tiada kematian dan kemusnahan dilaporkan oleh media Israel akibat serangan itu.

Hamas meneruskan serangan balas itu sebagai membela kematian 1,873 penduduk Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sepanjang 29 hari operasi Israel selain mempertahankan maruah bumi Palestin yang dijajah oleh rejim Zionis sejak 1967.

Wakil Hamas ke Mesir, Izzat Risyq mengulangi pendirian bahawa gencatan senjata tidak akan dite-ruskan jika syarat yang dituntut tidak dipenuhi oleh Israel, tetapi beliau menegaskan pergerakan Pa-lestin itu sedia meneruskan rundingan di Kaherah.

Media Israel pula melaporkan, wakil rejim Zionis telah meninggalkan meja rundingan di Mesir dan pulang ke Tel Aviv selepas perbincangan selama tiga hari untuk menamatkan konflik di Gaza gagal menemukan jalan penyelesaian.

Bagaimanapun wakil kerajaan Mesir yang menjadi orang tengah dalam isu itu, tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kegagalan mendamaikan pertelagahan antara Hamas dan Israel. - REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140809/lu_03/Israel-lancar-serangan-semula-ke-Genting-Gaza#ixzz3A2l9kZ6h  © Utusan Melayu (M) Bhd