Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label PETRONAS. Show all posts
Showing posts with label PETRONAS. Show all posts

Monday, 30 May 2016

F1 : Hamilton juarai perlumbaan 
dramatik Monaco

30 Mei 2016 1:07 AM


LEWIS HAMILTON meraikan kejayaan menjuarai Grand Prix Monaco, semalam. REUTERS

MONACO 29 Mei – Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton merangkul kemenangan pertama musim ini dalam Grand Prix Formula Satu (F1) Monaco yang berlangsung penuh dramatik, di mana rakan sepasukannya, Nico Rosberg diarah ketepi, manakala peluang Daniel Ricciardo untuk memenangi perlumbaan dirosakkan oleh pasukan Red Bull.

Tuah akhirnya menyebelahi juara dunia tiga kali, Hamilton dalam saingan yang cukup mencabar ekoran permukaan trek basah, yang menyaksikan Rosberg terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di tangga ketujuh dengan ketinggalan 93.2 saat.

Walaupun memulakan perlumbaan dari petak depan buat kali pertama dalam kariernya, Ricciardo terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan selaku naib juara ekoran kesilapan yang dilakukan pasukannya dalam hentian pit kedua.

Melengkapkan kedudukan podium tempat ketiga adalah pelumba Mexico, Sergio Pe­rez daripada pa­sukan Force India.

“Saya selalu berdoa untuk mendapat hari seperti ini, jadi saya rasa benar-benar diberkati,” kata Hamilton yang bergelut dengan masalah tekanan bahan api dalam pusingan kelayakan sehingga meletakkannya pada petak ketiga permulaan.

Kereta keselamatan dipanggil pada permulaan perlumbaan susulan hujan lebat, dan sejurus saingan disambung, berlaku beberapa insiden pelanggaran, selain kesilapan yang dilakukan krew pasukan Ricciardo.

Sebaik sahaja keluar daripada keretanya, Hamilton disambut oleh penyanyi pop Kanada, Justin Bieber yang me­ngucapkan tahniah kepadanya atas kemenangannya.

Pada ketika Hamilton meraikan kemenangan yang cukup menakjubkan, Ricciardo pula merasakan kejayaannya seperti dirompak pasukan sendiri apabila dipanggil memasuki hentian pit sedangkan tayar belum disediakan.

“Ia sangat teruk. Saya dipanggil masuk ke pit, jadi mereka sepatutnya sudah bersedia.

“Tiada kata-kata yang boleh menjadikan keadaan bertambah baik,” kata pemandu Australia itu.

Juara dunia empat kali, Sebastian Vettel dari Ferrari menduduki tempat keempat, manakala rakan sepasukannya, Kimi Raikkonen gagal menamatkan sai­ngan ekoran sayap depan patah. – REUTERS

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/hamilton-juarai-perlumbaan-8232-dramatik-monaco-1.336377#sthash.atG6pE5o.dpuf


Monday, 18 April 2016

F1 : Rosberg cipta hatrik di China, Hamilton ketujuh

18 April 2016 12:15 AM


NICO ROSBERG menjulang trofi ketika meraikan kejayaannya memenangi Grand Prix Vhina di Shanghai semalam. – AFP

SHANGHAI 17 April - Nico Rosberg merangkul kejayaan dalam kekalutan perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) China sekali gus melengkapkan kemenangan hatrik bagi permulaan musim 2016.

Pelumba Mercedes AMG Petronas itu dipintas Daniel Ricciardo pada awal perlumbaan tetapi selepas berjaya mengelak kemalangan di selekoh pertama, dia berjaya memintas pelumba Red Bull itu dan merangkul kejuaraan dengan kelebihan 38 saat di hadapan pelumba Ferrari, Sebastian Vettel.

Juara dunia Lewis Hamilton, yang bermula di petak belakang selepas mengalami kerosakan mekanikal sewaktu sesi kelayakan semalam, berjaya meraih tempat ketujuh meskipun terpaksa masuk lebih awal ke pit untuk menggantikan sayap hadapan yang rosak.

“Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan. Lewis hanya ketinggalan 30 mata, tidak banyak, hanya satu perlumbaan dan sudah pasti dia tidak akan berputus asa,” kata Rosberg yang kini mendahului senarai kejuaraan dengan kelebihan 36 mata.

Ferrari berdepan nasib malang selepas Vettel dan Kimi Raikkonen kemalangan di selekoh pertama yang membolehkan Daniil Kvyat dari Red Bull me­raih kedudukan ketiga.

Vettel berjaya memberikan persaingan sepanjang perlumbaan dari kedudukan ke-15 tetapi menyalahkan Kvyat kerana memandu seperti orang gila dalam pertelingkahan yang berlaku di dalam radio pasukan.

“Pemanduan Kvyat seperti aksi membunuh diri,” kata pemandu Jerman itu kepada Kvyat ketika Rosberg memberikan ucapan kejayaan.

“Awak memandu seperti torpedo!” kata Vettel kepada Kvyat lalu melangkah mening­galkan podium sebelum Kvyat membalas: “Ini adalah perlumbaan.”

Juara dunia empat kali itu mengakui dia bernasib baik kerana berjaya menamatkan perlumbaan.

“Saya bernasib baik kerana masih boleh meneruskan perlumbaan.

“Kemalangan itu sangat kuat di antara saya dengan Kimi. Saya bersimpati dengan Kimi tetapi saya seperti sandwich di antara Kimi dan Daniil, tiada apa yang boleh dilakukan,” kata Vettel.

Sementara itu, Rosberg menjadi pemandu keempat meraih enam kemenangan berturut-turut, termasuk memenangi tiga perlumbaan terakhir 2015, untuk menyertai Vettel (sembilan), Alberto Ascari (tujuh) dan Michael Schumacher (enam). – AFP

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/rosberg-cipta-hatrik-di-china-hamilton-ketujuh-1.273787#sthash.yaDPsozm.dpuf


Monday, 21 March 2016

F1 2016 : Rosberg takluk Grand Prix Australia

Lakar kemenangan dalam perlumbaan dramatik

21 Mac 2016 12:16 AM



PEMANDU Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg (tengah) meraikan kejayaan muncul juara Grand Prix Australia selepas menewaskan rakan sepasukan, Lewis Hamilton (dua dari kiri) dan Sebastian Vettel dari Ferrari (empat dari kanan) di Litar Melbourne, semalam. AFP

MELBOURNE - Nico Rosberg memenangi perlumbaan sulung Formula Satu (F1) 2016 yang berlangsung penuh dramatik semalam, di mana kesilapan strategi tayar merosakkan peluang Sebastian Vettel untuk muncul juara Grand Prix Australia, manakala Fernando Alonso terselamat daripada kemalangan.

Rosberg melakar kemenangan ke-15 dalam kariernya dan yang keempat berturut-turut selepas turut memenangi tiga perlumbaan terakhir musim lalu.

Pemandu pasukan Mercedes AMG Petronas itu mengambil kesempatan atas permulaan buruk rakan sepasukan dan juara dunia, Lewis Hamilton, yang terpaksa menamatkan saingan di tangga kedua biarpun bermula dari petak pertama.

Juara dunia empat kali, Vettel terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga walaupun mendahului sebahagian besar perlumbaan selepas strategi penggunaan tayar agresif bertukar menjadi mendatar sebaik saja saingan dihentikan akibat kemalangan yang menimpa Alonso.

“Strategi memainkan peranan penting hari ini, jadi saya amat berterima kasih kepada pasukan kerana melakukan tugas dengan amat baik.

“Kami tidak menyerlahkan keupayaan sebenar jentera hari ini...Kami perlu memberi tum­puan kepada pasukan merah (Ferrari), mereka sudah semakin hampir dan anda boleh lihat,” kata Rosberg.

Ferrari memulakan perlumbaan dengan baik, di mana Vettel berjaya memintas dua pemandu Mercedes yang berada di baris depan pada selekoh pertama, malah rakan sepasukannya, Kimi Raikkonen turut bermula lancar apabila memotong Rosberg untuk berada di kedudukan kedua selepas tayar kiri Rosberg terkena sayap depan Hamilton.

Vettel bagaimanapun tidak bernasib baik apabila perlumbaan dihentikan selepas pemandu McLaren, Alonso me­langgar jentera pelumba Haas, Esteban Gutierrez dalam kelajuan tinggi memasuki selekoh ketiga pada pusi­ngan ke-18.

Ketika perlumbaan berhenti, Mercedes memilih untuk menggunakan tayar sebatian sederhana untuk kedua-dua jentera, sementara Ferrari cuba bertindak agresif kekal menggunakan tayar paling lembut yang ternyata lebih pantas tetapi memerlukan mereka melakukan satu hentian pit menuju penghujung saingan.

“Jelas sekali, bendera merah tidak membantu kami.

“Kami cuba melakukan pemanduan agresif tetapi mungkin berdasarkan pengalaman lalu, kami patut mencuba sesuatu yang lain,” kata Vettel.

Pendatang baharu, Haas, pasukan Amerika Syarikat pertama ber­aksi dalam F1 sejak 30 tahun, meraikan mata pertama selepas pemandu Perancis, Romain Grosjean menamatkan saingan di tangga keenam, di belakang Daniel Ricciardo dan Felipe Massa.

Pemandu Red Bull, Daniil Kvyat antara enam pelumba yang gagal menamatkan saingan bersama pendatang baharu dari Indonesia, Rio Haryanto yang memandu buat pasukan Manor Racing. – REUTERS

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/rosberg-takluk-grand-prix-australia-1.202737#sthash.m9VlJzyI.dpuf

Tuesday, 1 March 2016

F1 : Petronas tetap taja Mercedes AMG

Kekangan kewangan tak jejas penglibatan dalam F1

FADZIL ZAINOL | 01 Mac 2016 12:27 AM


PEMANDU Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton (kiri) dan Nico Rosberg memperkenalkan jentera baharu pasukan, F1W07 Hybrid yang bakal digunakan dalam perlumbaan Formula Satu musim 2016 dalam majlis pelancaran rasmi di Litar Catalunya, Barcelona, minggu lalu. AFP

KUALA LUMPUR - Meskipun sedang melaksanakan langkah penjimatan secara besar-besaran ekoran kejatuhan prestasi kewa­ngannya, syarikat minyak negara Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) tetap komited terhadap tajaannya kepada pasukan Formula Satu (F1) Mercedes AMG.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, pihaknya menganggap tajaan yang dibuat itu merupakan inisiatif yang dilaksanakan bagi menaikkan jenama Petronas di peringkat antarabangsa.

Petronas ketika ini sedang menstruktur kedudukan kewangan­nya akibat kejatuhan harga minyak hampir 70 peratus sejak 2014, dan telah mengumumkan beberapa pembatalan dan penangguhan projeknya bagi mengimbangi ­aliran kewangannya.

“F1 bukan merupakan projek syarikat, ia lebih kepada insiatif penjenamaan syarikat. Tahun lalu, berbanding syarikat-syarikat minyak dunia yang lain, jenama Petronas berjaya meraih lebih banyak pendedahan di dalam litar-litar perlumbaan,” katanya kepada pemberita semasa membentangkan prestasi kewangan Petronas tahun 2015 di sini, semalam.

Petronas mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM36.68 bilion bagi ke­seluruhan 2015, susut 53 peratus berbanding RM77.69 bilion yang direkodkan keseluruhan 2014, dengan kejatuhan harga minyak dunia menjadi punca utama kemerosotan kewangannya.

Petronas kini merancang untuk mengurangkan perbelanjaan modal dan perbelanjaan operasi sebanyak RM15 bilion hingga RM20 bilion tahun ini, iaitu sebahagian daripada langkah penjimatan sebanyak RM50 bilion dalam tempoh empat tahun akan datang.

“Tajaan ini bermula dari 2015 sehingga 2017. Kami memberi komitmen penuh untuk meme­nuhi perjanjian tajaan yang dibuat sehingga 2017,” kata Wan Zulkiflee lagi. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nilai tajaan tersebut.

Pasukan Mercedes AMG Petronas pada 2015 berjaya merangkul kejuaraan F1 dalam kategori pelumba dan pasukan yang diwakili oleh dua pelumbanya, Lewis Hamilton dan Nico Rosberg.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/petronas-tetap-taja-mercedes-amg-1.195613#sthash.zQlasTdk.dpuf


Wednesday, 2 December 2015

F1 2016 dilanda sindrom ketidakpastian

02 Disember 2015 12:16 AM


NICO ROSBERG meraikan kejayaannya memenangi Grand Prix Abu Dhabi di Litar Yas Marina pada Ahad lalu. AFP

ABU DHABI – Kemenangan Nico Rosberg dalam perlumbaan penutup musim di Abu Dhabi mungkin tidak akan menjadikannya sebagai pelumba pilihan untuk mengatasi rakan sepasukannya dalam pasukan Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton, tetapi memberi amaran supaya juara dunia tiga kali itu berwaspada untuk musim 2016.

Selepas meraih tiga kemena­ngan berturut-turut, pelumba dari Jerman berusia 30 tahun itu telah membina semula keyakinannya sendiri, juga pasukan terhadapnya manakala Hamilton, yang memenangi gelaran juara dunia kedua berturut-turut bersama Mercedes sebulan yang lalu, dilihat bergelut untuk mendapatkan motivasi dalam usaha menyekat kemaraan Rosberg pada penghujung musim.

Bagaimanapun, ketika Formula Satu berehat pada musim sejuk dan membuat penyusunan semula, sukan itu sendiri yang kini berdepan cabaran paling besar tahun depan apabila beberapa pasukan bergelut dengan kos tinggi, ketidaktentuan bilangan penyertaan dan masa depan yang tidak jelas.

Kecaman juara dunia dua kali Fernando Alonso selepas perlumbaan di Abu Dhabi berhubung ketidakselarasan - dan ketidakberkesanan - badan pentadbir sukan itu, Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIA), adalah kesimpulannya mengenai musim ini dan pandangan ramai pihak selepas tahun yang menyaksikan pasukannya McLaren-Honda mengalami kegagalan dan kekecewaan.

“Inilah masalahnya dengan FIA. Kita nampak yang separuh daripada tempat duduk di grandstand kosong di litar ini, dan juga di litar-litar lain... Dan ada kejohanan lain yang telah memintas kita (dari segi populariti) seperti WEC (Kejohanan Lasak Dunia), MotoGP... Dan kemudian kita cuba untuk menjadikan bunyi kereta lebih kuat! Saya rasa kita memerlukan sedikit idea bernas,” kata Alonso.

Bergelut dengan masalah kewangan, politik dan teknikal, musim ini berakhir pada Ahad lalu dengan hanya sedikit tanda-tanda bahawa masa depan lebih cerah boleh dicapai. Pada awal minggu ini, bekas Presiden FIA Max Mosley memberitahu BBC bahawa F1 berada dalam masalah serius, dan tiada siapa yang mahu membeli perniagaan itu kerana telah menjadi terlalu mahal.

“Hanya dua atau tiga pasukan yang benar-benar mampu ber­belanja (besar) seperti sekarang. Yang lain berada pada kedudukan seperti di ambang untuk menarik diri atau sekurang-kurangnya tidak bernasib baik kerana tidak mempunyai cukup wang. Saya tidak nampak bagaimana ada orang boleh menjualnya (pasukan mereka) sehinggalah masalah tersebut telah diselesaikan.

“Pasukan kaya tidak mahu pasukan yang kurang kaya untuk menjadi kompetitif,” katanya. – AFP

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/f1-2016-dilanda-sindrom-ketidakpastian-1.164437#sthash.J25m66SI.dpuf


Tuesday, 3 November 2015

F1 : Hamilton tinggalkan Mercedes?

01 November 2015 12:09 AM


PEMANDU Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton (kanan) sedang menurunkan tandatangan di atas sebuah kereta mainan milik peminat ciliknya di kawasan paddock, Autodromo Hermanos Rodriguez, Mexico City, kelmarin. AFP

MEXICO CITY – Juara dunia tiga kali Formula Satu (F1), Lewis Hamilton memberi bayangan bahawa kontrak baharu yang bakal ditandatangani bersama Mercedes AMG Petronas merupakan yang terakhir dan berhasrat memberi peluang kepada pelumba lain pula mencipta kejayaan bersama pasukan juara dunia itu nanti.

Pemandu berusia 30 tahun itu yang baharu sahaja merangkul gelaran dunia ketiganya di Texas, Amerika Syarikat hujung minggu lalu, bagaimanapun masih sayangkan pasukannya itu dan pada hakikatnya mahu terus kekal bersama Mercedes.

“Saya ditawarkan kontrak untuk tiga tahun lagi. Saya membayangkan selepas kontrak ini, mungkin saya akan menyambungnya untuk tiga atau empat tahun lagi. Saya akan terus komited untuk mencapai cita-cita saya,” katanya kepada pemberita di Grand Prix (GP) Mexico, semalam.

Berpindah ke Ferrari antara impian kebanyakan pelumba F1, namun tidak buat Hamilton.

“Selalunya, mesti ada yang akan bercakap tentang perpindahan, namun saya telah pun berbuat demikian. Saya mula berlumba bersama Mercedes sejak berumur 13 tahun, jadi secara jujurnya sukar untuk melihat kerjaya saya di tempat lain.

“Saya tidak suka untuk menyatakan tidak, namun saya rasa akan menjadi cukup hebat andai saya dapat menamatkan karier bersama pasukan ini (Mercedes),” katanya.

Hamilton mula membuat kemunculan sulung dalam sukan termahal di dunia itu pada tahun 2007 setelah diberi peluang mewakili Mclaren berikutan keputusan Kimi Raikkonen yang berpindah ke Ferrari bagi menggantikan juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher.

Pelumba kelahiran Britain itu kemudiannya berpindah ke Mercedes pada 2013, sewaktu Schumacher mengumumkan persaraannya buat kali kedua dalam sukan F1 ketika berusia 43 tahun.

“Saya masih ingat bagaimana ia berlaku pada 2006. Jika pada ketika itu Schumacher masih belum bersara, mungkin saya tidak berada dalam kedudukan seperti hari ini dan saya akan berada di tempat lain.

“Saya juga mempunyai kawan yang berpeluang mencipta nama dalam F1, namun dia gagal. Dia sukar mendapatkan peluang itu sekali lagi dan cukup jelas, ketiadaan saya nanti akan membuka peluang kepada pelumba lain pula,” katanya. – REUTERS

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/hamilton-tinggalkan-mercedes-1.152734#sthash.rJCRz28u.dpuf

F1 : Rosberg tebus 
kekecewaan 
di Mexico

03 November 2015 1:00 AM

MEXICO CITY – Nico Rosberg mengetepikan rakan sepasukan dan juara dunia yang baharu Lewis Hamilton untuk memenangi perlumbaan Grand Prix Mexico semalam.

PEMANDU Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg mengangkat trofi ketika meraikan kejayaannya memenangi Grand Prix Mexico di Autodromo Hermanos Rodriguez, Mexico City semalam. AFP

Dalam perlumbaan sulung Formula Satu di Mexico dalam tempoh 23 tahun itu, Rosberg, yang bertelingkah dengan Hamilton di Texas minggu lalu, menebus kehampaannya dengan melakar kemenangan keempat musim ini dan yang ke-12 dalam kariernya.

“Hari yang cukup menakjubkan, satu pertarungan yang hebat dengan Lewis, yang memandu dengan baik sekali dan saya sa­ngat gembira berjaya meraih kemenangan di tempat yang me­ngagumkan ini. Memang cukup manis kejayaan ini dapat diraih di depan penonton yang hebat,” kata pemandu dari Jerman ber­usia 30 tahun itu.

“Nico telah mempamerkan pemanduan yang cukup menakjubkan dalam perlumbaan ini,” kata Hamilton.

Pelumba dari Britain itu, yang bermula dari petak kedua, gagal memberikan saingan sengit di hadapan kira-kira 140,000 penonton dan menamatkan aksi di belakang rakan sepasukannya.

Bagi Rosberg, kejayaan tersebut telah memberi kepuasan kepadanya setelah dia mempersiakan peluang ekoran kesilapan sendiri tujuh hari lalu yang membuka laluan kepada Hamilton merangkul gelaran dunia untuk kali ketiga setelah memenangi Grand Prix Amerika Syarikat.

Sepanjang musim ini, Rosberg memulakan perlumbaan dari petak utama sebanyak 10 kali, namun hanya berjaya meraih kemenangan keduanya sebagai pendahulu perlumbaan sejak Grand Prix Australia.

Kemenangan tersebut turut membolehkan dia memintas pelumba Ferrari, Sebastian Vettel di kedudukan kedua, setelah juara dunia empat kali itu gagal menamatkan perlumbaan kerana kemalangan.

Nasib serupa dialami rakan sepasukan Vettel, Kimi Raikkonen yang berlanggar dengan rakan senegaranya dari Finland, Valtteri Bottas yang mewakili pasukan Williams.

Bottas menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga, sementara Daniil Kvyat dari pasukan Red Bull di tangga keempat dan rakan sepasukannya Daniel Ricciardo serta seorang lagi pelumba Williams, Felipe Massa masing-masing di tempat kelima dan keenam. – AFP

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/rosberg-tebus-8232-kekecewaan-8232-di-mexico-1.153711#sthash.hCZAkTiA.dpuf

Tuesday, 27 October 2015

F1 : Petronas sedia lanjutkan kerjasama dengan Mercedes

ZAZALI JAMIAN | 14 Oktober 2015 12:05 AM


LEWIS HAMILTON (kanan) dan Nico Rosberg sekali lagi membantu Mercedes AMG Petronas untuk memenangi kategori pengeluar dalam perlumbaan F1 sekali pun musim ini masih berbaki empat perlumbaan.

KUALA LUMPUR – Kejayaan Mercedes AMG Petronas muncul juara kategori pengeluar dua kali berturut-turut membuktikan Petronas dan Mercedes telah membentuk gandingan sempurna untuk muncul sebagai kuasa utama dalam perlumbaan Formula Satu (F1) ketika ini.

Kejayaan itu sekali gus membuktikan ketinggian kualiti minyak pelincir dihasilkan Petronas dan menambah keyakinan mereka untuk terus menjalin kerjasama de­ngan pasukan dari Jerman itu.

Pengurus Besar Kanan, Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Liz Kamaruddin berkata, kecemerlangan tersebut telah membuktikan kerjasama yang dijalin bersama pasukan tersebut sejak 2010 telah memberikan impak besar dalam dunia permotoran malah kejuruteraan minyak pelincir Petronas juga kini sudah berada di tahap tertinggi.

Katanya, kerjasama baik antara Mercedes dan Petronas telah membentuk gandingan sempurna sehingga membolehkan pasukan itu meraih gelaran pengeluar F1 musim ini lebih awal biarpun persaingan masih berbaki empat perlumbaan.

Liz menegaskan, kecemerlangan tersebut turut dipengaruhi kerja keras dijalankan pasukan jurutera Petronas dalam menghasilkan mi­nyak pelincir berkualiti tinggi untuk perlumbaan F1 selain dibantu kecemerlangan Lewis Hamilton dan Nico Rosberg selaku pelumba.

“Ketika ini kami adalah penaja No.1 di dunia terutama dalam F1 dan Mercedes telah membantu membuktikan keupayaan minyak pelincir kami dalam bidang permotoran bertaraf tinggi.

“Dalam statistik enam tahun bersama Mercedes sebanyak 111 perlumbaan telah disertai dan kita telah meraih 31 kemenangan, 60 podium, 40 kedudukan petak hadapan dan 25 kali mencatat pusingan terpantas. Ini semua adalah hasil gandingan yang hebat menerusi kerjasama ini.

“Malah saya percaya kami juga tidak bercadang untuk bekerjasama dengan pasukan lain kerana selesa bersama Mercedes sekali gus berharap dapat terus bersama untuk lima tahun akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam temuramah khas di sini, semalam.

Tahun lalu, Hamilton dari Bri­tain dinobatkan sebagai juara dunia kate­gori pelumba manakala rakan sepasukannya Rosberg dari Jerman menamatkan persaingan sebagai naib juara untuk membantu pasukan itu muncul juara pengeluar musim 2014.

“Masih ada baki empat perlumbaan dan sekiranya Hamilton kekal konsisten saya yakin dia mampu meraih kejuaraan sekali lagi. Pasukan ini mempunyai pelumba yang hebat dan kedua-dua mereka (Hamilton dan Rosberg) mempunyai kelebihan tersendiri,” kata Liz.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/petronas-sedia-lanjutkan-kerjasama-dengan-mercedes-1.146106#sthash.WUNXDGT2.dpuf


F1 : Hamilton juara kali ketiga

27 Oktober 2015 12:19 AM


Lewis Hamilton meraikan kejayaannya memenangi Grand Prix Amerika Syarikat untuk sekali gus muncul juara dunia buat kali ketiga di Litar Americas, Austin, Texas semalam. REUTERS


LONDON - Lewis Hamilton merangkul kejuaraan Formula Satu (F1) dunia buat kali ketiga semalam untuk muncul pemandu Britain kedua memahat kejayaan tersebut sejak Jackie Stewart.

Pemandu pasukan Mercedes-AMG Petronas berusia 30 tahun itu mengesahkan gelaran dunia selepas menjuarai Grand Prix Amerika Syarikat iaitu kemenangan ke-10 yang diraihnya tahun ini.

Kejayaan Hamilton merupakan penamat yang cukup mengujakan dalam perlumbaan penuh drama, yang menyaksikan rakan sepasukannya Nico Rosberg hampir memaksa pemandu Britain itu menunggu hingga Grand Prix Mexico Ahad ini untuk dinobat sebagai juara dunia selepas mendahului saingan ketika perlumbaan berbaki 10 pusingan.

Bagaimanapun, masalah tenikal yang dialami Rosberg menyebabkan pemandu Jerman itu terpaksa memandu keluar dari trek untuk membaiki kerosakan kereta, sekali gus membuka peluang kepada Hamilton memintas.

Usaha Rosberg untuk merampas kembali kedudukan pendahulu sebaik sahaja memasuki litar menjadikan persaingan bertambah sengit, namun dalam keghairahan bersaing dia melakukan kesilapan sendiri untuk membenarkan Hamilton melepasi garisan penamat selaku pemenang.

Hamilton menamatkan perlumbaan dengan catatan masa satu jam, 50 minit dan 52.703 saat, manakala Rosberg terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan 1’50:52.850s.

Pemandu Ferrari, yang merupakan juara dunia empat kali, Sebastian Vettel mampu menjadikan persaingan terus terbuka sekurang-kurangnya hingga perlumbaan di Mexico hujung minggu ini sekiranya berjaya menamatkan persaingan di anak tangga kedua, malangnya pemandu Jerman itu sekadar menduduki tempat ketiga dengan masa 1’50:53.381s.

“Ini saat paling hebat dalam hidup saya. Terima kasih tidak terhingga kepada anda semua. Kepada keluarga, saya sayangkan anda semua,” kata Hamilton, yang kelihatan mengalirkan air mata ketika hendak menaiki podium.

Hamilton, yang turut menjuarai gelaran dunia 2008 dan 2014, berjaya memenuhi impian untuk menyamai rekod idolanya ketika zaman kanak-kanak, Ayrton Senna selaku pemilik tiga kejuaraan dunia. Dia juga menjadi pemandu Britain pertama berjaya mempertahankan gelaran yang dimenangi pada tahun sebelumnya.

“Ini detik yang sangat luar biasa, sukar untuk berkata-kata ketika ini.

“Saya masih ingat ketika saya merangkul kejuaraan Britain pertama. Saya dan bapa menyanyikan lagu We Are The Champions ketika kami memandu pulang ke rumah. Sukar untuk mempercayai, saya berada di sini sebagai juara dunia tiga kali,” kata Hamilton lagi.

Ketika Hamilton menjadi orang paling gembira semalam, Rosberg sebaliknya tidak berkongsi kegembiraan rakan sepasukannya, malah sangat kecewa kerana terlepas untuk sekurang-kurangnya menangguhkan hajat pemandu Britain itu.

Di dalam bilik ketika menunggu untuk menaiki podium, Rosberg dilihat mencampakkan topi penaja yang sebelum itu dilemparkan oleh Hamilton kepadanya. Video tersebut tersebar di laman sosial, sekali gus menguatkan dakwaan bahawa dua rakan sepasukan itu tidak mempunyai hubungan yang baik.– AGENSI

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/hamilton-juara-kali-ketiga-1.150914#sthash.qh6sxsPu.dpuf

Tuesday, 13 October 2015

F1 : Hamilton hampiri kejuaraan dunia ketiga

12 Oktober 2015 12:19 AM


PEMANDU Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton meraikan kejayaannya memenangi Grand Prix Rusia di atas pentas selepas menerima trofi di Litar Sochi Autodrom, Sochi semalam. AFP

SOCHI, Rusia – Lewis Hamilton melakar kemenangan dramatik dalam Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Rusia semalam bagi mencerahkan peluang untuk merangkul gelaran dunia buat kali ketiga selepas rakan sepasukannya dalam Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg berdepan masalah pendikit.

Penyandang juara dunia itu menamatkan perlumbaan dalam masa satu jam, 37 minit dan 11.024 saat untuk muncul juara di sini, sementara pemandu Ferrari, Sebastian Vettel di tempat kedua (1’37:16.977s), manakala pelumba Force India, Sergio Perez di tempat ketiga (1’37:39.942s).

Kejayaan Vettel menamatkan saingan di kedudukan kedua membuka laluan kepadanya untuk memintas Rosberg sebagai pencabar terdekat Hamilton setelah dipisahkan 66 mata di belakang pemandu Britain itu dengan empat perlumbaan masih berbaki dan 100 mata maksimum menjadi rebutan.

Jika keputusan seiring dengan apa yang disasarkan Hamilton, maka pelumba itu berpeluang besar untuk memastikan kejuaraan dunia menjadi miliknya di Austin, Texas, Amerika Syarikat dalam tempoh dua minggu lagi.

Hamilton, yang turut menjuarai persaingan dalam penganjuran sulung GP Rusia pada tahun lalu, turut berjaya mengatasi rekod yang pernah dicipta juara dunia tiga kali, Ayrton Senna, setelah dia mengumpul 302 mata, sementara Vettel mengutip 236 mata dan Rosberg meraih 229 mata.

“Kami seperti akan terus bersaing dan saya berasakan ini sesuatu yang hebat. Apa yang pasti kami bakal mempamerkan aksi yang menarik,” kata Hamilton, selepas menerima trofi kemenangannya daripada Pre­siden Rusia, Vladimir Putin.

Mengulas mengenai kegagalan Rosberg menamatkan perlumbaan, Hamilton yang melakar kemena­ngan kesembilannya musim ini dan yang ke-42 dalam kariernya berkata, rakan sepasukannya itu telah me­lakukan kesilapan pada selekoh pertama sehingga menyebabkan jenteranya terbabas.

“Kesilapan itu membolehkan saya memintasnya, dan selepas itu dia telah berdepan beberapa masalah. Malang sekali untuk pasukan kami. Saya sendiri tidak tahu berapa banyak lagi peluang untuk saya berada di kedudukan sebegini sekali lagi,” tambah penyandang juara dunia itu.

Sementara itu, pemandu Williams, Felipe Massa melengkapkan perlumbaan 53 pusingan itu di kedudukan keempat dalam aksi yang memaksa dua kereta keselamatan masuk ke litar selepas pelumba Finland, Valtteri Bottas dan Kimi Raikkonen berlanggar ketika bersaing merebut keputusan podium terakhir.

Bagaimanapun, Raikkonen dari Ferrari sekadar berpuas hati di tangga kelima, yang mana keputusan itu menghalang Mercedes dinobatkan sebagai juara pengeluar lebih awal buat tahun kedua berturut-turut.

Namun, perbuatan nekad Raikkonen itu mengundang padah kepadanya, setelah dia berdepan siasatan steward perlumbaan kerana terbabit dalam pelanggaran. – REUTERS

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/hamilton-hampiri-kejuaraan-dunia-ketiga-1.145462#sthash.SJ6uE6B3.dpuf


Tuesday, 29 September 2015

F1 : Hamilton kembali kepada rentak kemenangan

28 September 2015 12:01 AM


SUZUKA, Jepun – Lewis Hamilton meluru ke garisan penamat di hadapan rakan sepasukannya dalam Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg untuk memenangi Grand Prix Formula Satu Jepun semalam dan mengukuhkan peluangnya untuk memenangi gelaran dunia kali ketiga.

Lewis Hamilton melambung trofi di atas podium selepas memenangi Grand Prix Jepun di Litar Suzuka semalam. AFP

Pemandu dari Britain itu, yang memburu kejuaraan dunia berturut-turut, kini berada 48 mata di hadapan Rosberg dalam kedudukan keseluruhan pemandu ketika musim ini berbaki lima perlumbaan selepas memperagakan pemanduan mengkagumkan di Litar Suzuka.

Sebastian Vettel, yang mencipta kejutan apabila menang di Singapura minggu lalu, menduduki tempat ketiga manakala seorang lagi pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen keempat.

“Sungguh hebat Lewis! Perlumbaan yang fantastik kawan!” kata jurutera pasukan Mercedes menerusi radio sewaktu Hamilton melintasi garisan penamat sambil menumbuk udara untuk meraikan kemenangan kelapannya musim ini.

Selepas kembali mencipta kejayaan selepas perlumbaannya tamat awal di Singapura minggu lalu, Hamilton membalas: “Kerja yang fantastik kawan. Rasa sungguh gembira dapat kembali menang.”

Bersemangat selepas kecewa di Singapura, Hamilton bermula dengan hebat, meluru ke hadapan di selekoh dua selepas Rosberg terbabas sedikit ke rumput dan tercicir ke tempat keempat setelah bermula dari petak pertama.

Pemandu Red Bull, Daniel Ricciardo mendapati tayarnya koyak ketika cuba memintas tetapi berlaga tayar dengan Felipe Massa, yang kemudian terpaksa memandu kereta Williamsnya kembali ke pit untuk menukar sayap depan.

Bagaimanapun, keadaan berjalan lancar untuk kelompok hadapan dengan kedua-dua pemandu Mercedes menguasai perlumbaan untuk membalas kekecewaan mereka di Singapura sehingga membuka peluang tipis kepada Vettel. – AFP

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/hamilton-kembali-kepada-rentak-kemenangan-1.140479#sthash.ltXIJQVW.dpuf


Vettel hidupkan persaingan rebut gelaran Formula Satu

21 September 2015 12:23 AM



SEBASTIAN VETTEL mencium trofi di atas podium selepas memenangi Grand Prix Formula Satu Singapura semalam. - AFP


SINGAPURA – Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) Formula Satu Singapura setelah mengambil kesempatan terhadap ketiadaan pelumba pilihan utama Lewis Ha­milton yang gagal menamatkan persaingan semalam.

Kejayaan Vettel itu sekali gus menghidupkan semula persa­ingan untuk memburu kejuaraan F1 musim ini, yang kini berbaki enam perlumbaan.

Pelumba kelahiran Jerman itu mendahului dari awal hingga ke akhir perlumbaan dan menamatkan persaingan dengan masa dua jam, satu minit 22.118 saat dalam perlumbaan yang terganggu seketika oleh peminat yang berkeliaran di dalam trek.

Vettel melintasi garisan penamat untuk kemenangan ketiganya musim ini dengan berada 1.4 saat di hadapan naib juara Daniel Ricciardo dari pasukan Red Bull.

Rakan sepasukan Vettel, Kimi Raikkonen menduduki tempat ketiga, yang mana ketiga-tiga pelumba ini kekal di posisi sama sejak awal perlumbaan yang berlangsung di litar Marina Bay.

Pelumba Mercedes, Hamilton pula terpaksa berundur awal apabila jentera yang dipandunya mengalami masalah teknikal di pertengahan perlumbaan, namun penyandang juara itu masih meng­ungguli kedudukan keseluruhan dengan 252 mata.

Kejayaan Vettel bagaimanapun merapatkan kedudukannya di tempat ketiga keseluruhan dengan berada lapan mata di belakang rakan sepasukan Hamilton, Nico Rosberg yang menamatkan perlumbaan semalam di tempat keempat. – AGENSI

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/vettel-hidupkan-persaingan-rebut-gelaran-formula-satu-1.138446#sthash.IYa2nj5u.dpuf


Monday, 6 July 2015

F1 : Hamilton garang di tempat sendiri

06 Julai 2015 12:36 AM


Lewis Hamilton


SILVERSTONE – Pendahulu kejua­raan dunia, Lewis Hamilton menjuarai Grand Prix Britain buat kali ketiga semalam selepas bangkit mengatasi dua pelumba Williams, Felipe Massa dan Valtteri Bottas pada awal perlumbaan dalam cuaca hujan.

Rakan sepasukannya, Nico Rosberg memastikan kejayaan satu-dua buat pasukan Mercedes AMG Pe­tronas, sementara pelumba Ferrari, Sebastian Vettel berada di tempat ketiga, sekali gus menyaksikan Hamilton semakin melebarkan jurang kepada 17 mata ke atas Rosberg.

Walaupun bermula di petak paling hadapan, juara dunia itu dan rakan sepasukan, Rosberg, ketinggalan sebaik saja perlumbaan bermula apabila dipintas Massa yang berada di petak ketiga bersama Bottas.

Namun, Hamilton berjaya me­ngatasi kedua-dua perlumbaan tersebut sebaik melakukan hentian pit pertama dengan berada di hadapan dengan kelebihan enam saat.

Sementara itu, Bottas yang cuba mempertahankan kelebihan di tempat ketiga di hadapan Rosberg akhirnya terpaksa akur apabila hujan yang pada pusingan ke-36 menukar rentak perlumbaan.

Rosberg berjaya memecut untuk memintas kedua-dua pemandu Williams bagi berada di tempat kedua dan muncul pendahulu buat seketika sebaik saja memasuki hentian pit kedua pada pusingan yang ke-43.

Namun, tindakan Hamilton menukar tayar jenis pertengahan dengan hujan kembali reda memaksa Rosberg menukar strategi dan situasi itu memberi kelebihan kepada pelumba Britain itu.

“Buat pertama kali dalam karier, saya melakukan keputusan paling tepat mengenai pemilihan tayar dan saya fikir pada mulanya telah kehilangan suhu pada tayar depan.

“Memang sesuatu yang agak mencabar bagi mana-mana pelumba apabila mendahului tetapi buat pertama kali, keputusan yang saya lakukan paling sempurna ke­rana saya dapat lihat hujan turun tidak menentu, ” kata Hamilton.

Vettel yang bermula perlahan dengan meraih tempat kesembilan di peringkat awal perlumbaan membuktikan pengalaman ba­nyak membantu untuk berada di tangga ketiga. – AGENSI

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/hamilton-garang-di-tempat-sendiri-1.110909#sthash.Zw7DC11m.dpuf

Tuesday, 21 April 2015

F1 : Hamilton calon hangat juara dunia




21 April 2015 1:36 AM


LEWIS HAMILTON meraikan kejayaan muncul juara Grand Prix Bahrain di Sakhir kelmarin,iaitu kejuaraan ketiganya musim ini. Reuters

SAKHIR – Lewis Hamilton kini memburu gelaran Formula Satu (F1) dunia ketiga selepas meneruskan momentum dengan menjuarai Grand Prix Bahrain, kelmarin, iaitu kejuaraan ketiga­nya daripada empat perlumbaan musim ini.

Pemandu pasukan Mercedes AMG Petronas itu yang memenangi perlumbaan dari petak utama mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu dalam carta pemandu dunia dengan me­ngumpul 93 mata.

Dia kini menjarakkan kedudukan kepada 27 mata di depan rakan sepasukan, Nico Rosberg yang semakin tertekan kerana sudah mula dikejar pemandu Ferrari.

Sebastian Vettel dari pasukan Ferrari berada di tangga ketiga dengan 65 mata, manakala seorang lagi pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen berada di kedudukan keempat menerusi 42 mata.

“Tidak kira dengan siapa pun anda lawan, anda perlu mencuba dan menewaskan setiap pencabar yang berada di luar sana.

“Memang menarik dapat bersaing dengan Ferrari,” kata Hamilton yang menegaskan, persaingan musim ini berbeza dengan tahun lalu, di mana dia lebih banyak bersaing dengan Rosberg.

Pemandu Britain itu memulakan aksi dari petak depan buat kali pertama dalam perlumbaan di padang pasir.

Beraksi pada sebelah malam di bawah lampu limpah tidak menjejaskan Hamilton, 30, selepas dia memandu dengan tenang untuk mengetepikan Raikkonen dan Rosberg, yang menduduki tangga kedua serta ketiga.

Masalah brek yang dialami Rosberg ketika saingan berbaki dua pusi­ngan telah membuka laluan kepada Raikkonen untuk menaiki podium buat kali pertama dalam tempoh dua tahun.

“Ferrari telah memberikan kami saingan yang cukup baik dan kami perlu terus berusaha sebagai sebuah pasukan.

“Jadi, kami tidak 100 peratus gembira dalam perlumbaan ini kerana kami mahukan kemenangan 1-2,” kata Ha­milton lagi.

Sementara itu, Rosberg masih belum mencatat sebarang kemenangan mahu pun menempah petak utama setakat ini. Dia hanya memenangi satu perlumbaan dalam 15 saingan terakhir.

“Hamilton telah memacu jenteranya dengan laju hari ini, memang mustahil untuk mengejarnya,” kata Rosberg.

Vettel yang pada mulanya tampak berkedudukan baik untuk menaiki podium, bagaimanapun gagal mengekalkan momentum ekoran penukaran sayap depan jentera yang mengambil masa agak lama, sekali gus sekadar di tangga kelima di belakang Valtteri Bottas dari Williams. – AP

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/hamilton-calon-hangat-juara-dunia-1.83125#sthash.SjgtW5Mw.dpuf


Monday, 13 April 2015

F1 : Hamilton menang di China, Rosberg berang

13 April 2015 12:45 AM

SHANGHAI - Lewis Hamilton membuktikan kehebatannya apabila menjuarai Grand Prix China, tetapi kemenangannya itu dicemari de­ngan kemarahan rakan sepasukan dalam Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg apabila persengke­taan lama kedua-dua pemandu itu meletus kembali semalam.

Lewis Hamilton menjulang trofi kejuaraan selepas memenangi Grand Prix China di Shanghai semalam. AFP

Dalam perlumbaan yang ber­akhir dengan kereta keselamatan memimpin saingan, pemandu Bri­tain tersebut melakar kemenangan kedua daripada tiga Grand Prix yang telah berlangsung tahun ini, sementara Rosberg di kedudukan kedua dan pelumba Ferrari, Sebastian Vettel di anak tangga ketiga.

Rosberg, yang menghamburkan kemarahan terhadap mekaniknya setelah tewas tipis semasa sesi kelayakan untuk merebut petak utama, pada satu ketika meminta Hamilton agar meningkatkan kelajuan jenteranya, setelah Vettel semakin menghampiri belakang pelumba Jerman itu.

“Saya tidak mengawal perlumbaannya, saya hanya menguasai perlumbaan saya sendiri. Saya langsung tidak diancam oleh Nico sepanjang saingan,” kata Hamilton ketika ditanya tentang arahan pa­sukannya agar meningkatkan kelajuan jenteranya.

Rosberg yang benar-benar marah membalas kembali kenyataan tersebut dan berkata: “Memang menarik dapat mendengar alasan daripada anda, Lewis yang menunjukkan anda sememangnya mementingkan diri sendiri.

“Memandu lebih perlahan daripada sepatutnya pada awal saingan telah membuka laluan kepada Sebastian untuk memintas saya. Keadaan itu benar-benar meletakkan diri saya dalam bahaya.”

Hamilton melebarkan rekod kemenangannya di China kepada empat kejuaraan, tetapi kejayaannya itu telah dibayangi pertelingkahan terbaharunya dengan Rosberg.

Vettel, yang mengejutkan Mercedes apabila memenangi saing­an di Malaysia dua minggu lalu, telah menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga, dengan pemandu kedua Ferrari, Kimi Raikkonen di tempat keempat.

Hamilton berada hampir lima saat di depan Rosberg sehinggalah pemandu Torro Rosso, Max Verstappen yang berdepan masalah teknikal ketika saingan berbaki dua lagi pusingan untuk tamat, telah memaksa kereta keselamatan ma­suk ke dalam litar.

“Kereta keselamatan masuk di hujung perlumbaan benar-benar tidak membantu sesiapapun,” kata Hamilton yang hanya berdepan masalah kokpit jenteranya yang terlalu panas.

Sementara itu, dua pemandu Williams, Felipe Massa dan Valtteri Bottas masing-masing menamatkan saingan di kedudukan kelima serta keenam. – AFP

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/hamilton-menang-di-china-rosberg-berang-1.80330#sthash.thsCs160.dpuf


Thursday, 9 April 2015

F1 : Mercedes tekad bangkit di China

09 April 2015 1:00 AM


SHANGHAI - Mercedes AMG Petronas akan berusaha untuk kembali selaku kuasa dominan dalam Formula Satu apabila Grand Prix China berlangsung Ahad ini selepas pasukan itu berasa terpukul dengan kemenangan pemandu Ferrari, Sebastian Vettel di Malaysia.


LEWIS HAMILTON menjadi pelumba pilihan untuk menang Grand Prix China di Shanghai kerana litar yang bersesuaian dengan kereta Mercedes AMG Petronas selain muncul juara tahun lalu.

Lewis Hamilton menerajui penguasaan satu-dua Mercedes bersama Nico Rosberg dalam perlumbaan pembukaan musim di Melbourne, Australia bulan lalu, dengan pasangan itu menang mudah di Litar Albert Park.

Mereka dijangka mengulangi penguasaan itu di Malaysia tetapi Vettel dan Ferrari menghalangnya untuk kedua-duanya menang satu perlumbaan buat kali pertama sejak 2013, hasil kereta yang tidak begitu ‘mendera’ tayar semasa perlumbaan dalam cuaca panas, selain kebijaksanaan dalam mengatur taktikal.

Mercedes kini sangat sedar yang mereka berdepan persaingan sengit daripada pasukan yang sebelum ini merosot akibat satu demi satu krisis yang melanda mereka semasa kempen 2014, tetapi pasukan dari Jerman itu pastinya lega kerana mereka akan berlumba di gelanggang yang sesuai dengan kereta mereka manakala suhu litar tidak begitu mendera tayar Pirelli yang digunakan.

“Kami meninggalkan Malaysia dengan banyak perkara untuk difikirkan. Keputusan di sana mungkin bagus untuk sukan ini...tetapi untuk kami, itu adalah satu amaran.

“Pencabar kami telah meningkatkan kualiti mereka dan kini kami mesti meningkatkan kualiti kami lebih lagi. Seperti yang kami katakan sejak di Melbourne, kami menjangkakan persaingan sengit sepanjang musim ini untuk merebut kedua-dua kejohanan dunia (pengeluar dan pemandu) dan kami mesti memaksimumkan setiap peluang.

“China ialah peluang seterusnya untuk berbuat begitu...litar yang sangat sesuai untuk pasukan kami,” kata ketua perlumbaan Mercedes, Toto Wolff.

Hamilton menewaskan Rosberg di Shanghai tahun lalu dan walaupun trend semasa menjadikan Mercedes sebagai pilihan di litar sepanjang 5.451 kilometer itu, Ferrari pernah menang pada 2013 dan sangat teringin untuk menghalang pemandu Britain itu daripada mencatatkan kemenangan keempat di China.

Fernando Alonso merupakan seorang lagi pemandu yang mendapat amaran di Malaysia dan sementara pemandu Sepanyol itu terpaksa menarik diri lebih awal dalam perlumbaan sulungnya untuk McLaren selepas tidak berlumba di Melbourne akibat kemalangan pramusim, menyaksikan bekas pasukannya meraih kemenangan semestinya menjengkelkannya.

Williams dan Red Bull juga akan mengharapkan keputusan lebih positif selepas dua perlumbaan pertama mendedahkan ketidak­mampu­an mereka.

Williams pada awalnya dijangkakan akan bersaing dengan Ferrari untuk tempat kedua tetapi kalah teruk kepada Vettel di Australia dan Malaysia, sementara Red Bull telah diganggu oleh masalah dengan Renault yang membina enjin untuk mereka, dan gagal untuk membina sesuatu daripada sesi ujian yang cemerlang di Malaysia. – AFP

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/mercedes-tekad-bangkit-di-china-1.78937#sthash.6zTDrUvJ.dpuf


Tuesday, 31 March 2015

F1: Ferrari terlalu pantas buat kami hari ini - Hamilton

AHAD, 29 MAC 2015 @ 8:10 PM

Oleh Khairil S Iswan



SEPANG: Kemenangan Ferrari di Grand Prix Malaysia 2015 menamatkan rentetan tujuh bulan kemenangan Mercedes AMG PETRONAS sejak tahun lalu namun ia masih dianggap positif oleh pelumbanya, Lewis Hamilton.

Begitupun, pelumba kelahiran Britain itu pantas meminta pasukannya mengatasi kelemahan yang berlaku di Litar Antarabangsa Sepang itu yang disifatkannya turut berpunca daripada kesilapan strategi.

"Mereka (Ferrari) terlalu pantas buat kami hari ini," kata Hamilton yang dilihat beberapa kali mempertikaikan strategi pasukannya menerusi radio dan dapat didengari di bilik media.

"Masih ada ruang yang boleh kami tingkatkan dan kamu tidak boleh memenangi segala-galanya.

"Agak baik untuk melihat pemenang daripada pasukan lain. Saya ketika ini bersedia untuk menghadapi saingan lebih mencabar ketika ini," katanya.

Sekalipun gagal mencatat kemenangan, Hamilton masih mengungguli carta teratas kedudukan pemandu dengan mengumpul 43 mata, hanya dibezakan dengan kelebihan tiga mata berbanding Vettel di kedudukan kedua.

Pada perlumbaan pembuka musim 2015 Formula Satu (F1) di Australia, dua minggu lalu, Hamilton menjuarai perlumbaan diikuti rakan sepasukannya, Nico Rosberg di kedudukan kedua dengan Vettel melengkapkan kedudukan podium.

Mencatat kemenangan cukup meyakinkan di Melbourne, jurang itu terus mengecil di Malaysia dan kesilapan strategi pantas dibayar dengan harga yang mahal.

Bos Mercedes, Toto Wolf turut mengakui peningkatan ditampilkan Ferrari yang memaksa pasukannya bekerja lebih keras.

PEMANDU Mercedes, Lewis Hamilton menduduki petak pertama dalam perlumbaan Formula Satu (F1), Sepang. -Foto AP


F1 : Ferrari, Vettel sekat Mercedes 'di laman sendiri'

Oleh Khairil S Iswan



SEPANG: Ferrari dan Sebastian Vettel mengakhiri dominasi Mercedes AMG PETRONAS, malah lebih manis di perlumbaan Formula Satu (F1) di Grand Prix Malaysia PETRONAS yang dianggap 'laman sendiri' Mercedes, hari ini.

Lebih menggembirakan buat Ferrari dan Vettel, ia menamatkan kemarau buat kedua-duanya yang kali terakhir merakam kemenangan pada perlumbaan jentera empat roda elit itu pada 2013.

Mercedes dalam pada itu terpaksa menerima hakikat jurang yang dicipta mereka tahun lalu kian pudar apabila kedua-duanya sekadar melengkapkan kedudukan podium di Sepang.

Juara dunia tahun lalu, Lewis Hamilton menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua manakala rakan sepasukannya, Nico Rosberg ketiga.

Memulakan perlumbaan di petak kedua, Vettel menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 1 jam 41 minit 05.793 saat, kelebihan 8.5 saat di depan Hamilton.

Perlumbaan yang pada awalnya diramalkan berlangsung dalam hujan tidak menjadi kenyataan apabila hanya awan mendung berarak di SIC, hari ini.

Memulakan perlumbaan di petak pertama dan menggunakan tayar lembut menyaksikan segala-galanya seakan tidak memihak Hamilton yang kemudian mengakui bergelut dengan pemilihan yang dilakukannya.

Ia bertambah parah apabila bendera kuning dikibarkan marsyal perlumbaan kerana kemalangan membabitkan pelumba Sauber, Marcus Ericsson seawal pusingan kedua dengan Hamilton dan Rosberg pantas memasuki hentian pit untuk menukar tayar kepada pertengahan selepas kereta keselamatan memasuki litar.

Peluang itu terus diambil Vettel yang memimpin perlumbaan dan mengakhirinya dengan strategi dua hentian pit berbanding tiga dilakukan kedua-dua pelumba Mercedes.

Kali terakhir Vettel memenangi perlumbaan F1 adalah di GP Brazil pada November 2013 ketika menjuarai gelaran dunia keempatnya pada musim sama bersama pasukan Red Bull.

Begitupun, pelumba kelahiran Jerman itu bergelut sepanjang tahun 2014 yang menyaksikan kebangkitan Mercedes.

Kali terakhir Ferrari memenangi perlumbaan juga pada Mei 2013 pada GP Sepanyol menerusi bekas pelumbanya, Fernando Alonso yang ketika ini berlumba bersama pasukan McLaren-Honda.

Mengikuti kejayaan Vettel ialah rakan sepasukannya, Kimi Raikkonen yang mencipta kejutan menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat sekalipun memulakan perlumbaan di petak ke-11.

Dua pelumba Williams, Valtteri Bottas dan Felipe Massa turut meneruskan persembahan baik musim ini dengan menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima dan keenam.

Ini kali pertama Bottas berlumba musim ini selepas tidak dibenarkan beraksi di GP Australia kerana masalah kesihatan.

Pelumba Belanda dan Toro Rosso, Max Verstappen menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh diikuti pelumba baharu Sepanyol yang juga rakan sepasukannya, Carlos Sainz kelapan.

Masalah berterusan buat pelumba Red Bull apabila kedua-dua pelumbanya, Daniil Kvyat dan Daniel Ricciardo sekadar melengkapkan senarai pemungut mata.

Perlumbaan pusingan tiga F1 akan berlangsung di China pada 12 April depan.

SEBASTIAN Vettel mendahului perlumbaan di Sepang meninggalkan Mercedes di tempat kedua. - Foto AFP


F1: Vettel menitis air mata julang gelaran di Sepang

AHAD, 29 MAC 2015 @ 7:17 PM

Oleh Khairil S Iswan



PELUMBA Ferrari, Sebastian Vettel mengangkat tangan selepas melintasi garisan penamat perlumbaan Grand Prix Malaysia PETRONAS 2015 di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto EPA

SEPANG: Sebastian Vettel jelas terlalu gembira dan hampir kehilangan kata-kata ketika diminta mengulas kemenangan dilakar olehnya pada perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia PETRONAS, hari ini.

Turut hampir menitiskan air mata di atas podium kemenangan, pelumba baharu Ferrari itu begitupun kembali ke 'dunia nyata' dan apa yang diluahkan selepas itu pasti cukup menggembirakan pasukan berpangkalan di Itali itu.

"Sasaran kami adalah untuk membawa Kejuaraan Dunia kembali ke Maranello," kata pelumba kelahiran Jerman itu dengan nada yakin yang turut mengucapkan perkataan sama dalam bahasa Itali.


Sekalipun melakar kemenangan ke-40 sepanjang kerjayanya, ia adalah kemenangan pertama buat Vettel yang kali terakhir menjuarai perlumbaan pada 2013.

Pelumba kelahiran Jerman itu bergelut sepanjang tahun lalu bersama Red Bull tanpa memenangi sebarang kejuaraan sebelum membuat keputusan berpindah menyertai Ferrari.



PEMANDU pasukan Ferarri, Sebastian Vettel mengucup piala yang dimenangi pada perlumbaan Grand Prix Malaysia PETRONAS 2015, hari ini. - Foto AP

Jeritan di pit

Bagi Ferrari, ia pasti kejayaan yang lebih istimewa kerana kali terakhir pasukan itu memenangi Kejuaraan Dunia kategori pengeluar ialah pada 2008.

Manakala kali terakhir pasukan gergasi F1 itu memenangi gelaran pelumba ialah pada 2007 bersama pelumbanya ketika ini, Kimi Raikkonen.

"Untuk menewaskan Mercedes secara adil adalah sesuatu yang istimewa," kata juara dunia empat kali, Vettel dalam sidang media selepas perlumbaan.

Kemenangan Vettel disambut meriah ribuan peminat pasukan itu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang membanjiri podium selepas kejayaan itu.

Pasukannya turut gembira dengan kemenangan itu dan jeritan mereka di pit pasukan jelas kedengaran di bilik media.

"Ferrari kembali, Ferrari kembali," menerusi radio pasukan.

Raikkonen pula menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat sekalipun berdepan pelbagai halangan dan memulakan perlumbaan di petak ke-11.

Friday, 27 March 2015

F1 : Rosberg susun strategi terbaik

AIZAWATI AHMAD 
DAN FADHILUL IZMEL ISHAK | 27 Mac 2015 12:41 AM


NICO ROSBERG berjalan di paddock sebelum menyertai sidang akhbar di Litar Antarabangsa Sepang, semalam. Reuters



SEPANG - Pemandu Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg menyifatkan Litar Antrabangsa Sepang (SIC) sebagai litar perlumbaan terbaik untuk pasukan-pasukan menyusun strategi bagi melancarkan serangan masing-masing.

SIC yang merupakan litar perlumbaan sebenar dianggap oleh pemandu Jerman itu sebagai lokasi terbaik untuk pelumba memanfaatkan kesempatan me­mintas lawan masing-masing ketika saingan berlangsung.

Justeru, Rosberg berkata, amat penting untuknya mencatat keputusan baik dalam pusingan kelayakan dengan strategi yang tepat perlu dirancang bagi mendapatkan petak depan dalam perlumbaan sebenar nanti.

“Pusingan kelayakan amat penting untuk kami bersaing antara satu sama lain. Berdasarkan pengalaman tahun lalu, pemilihan tayar juga mempengaruhi keputusan perlumbaan, selain memanfaatkan kesempatan untuk memintas lawan.

“Persaingan hujung minggu ini mungkin peluang terbaik untuk kami menyusun strategi bagi melancarkan serangan ke atas pencabar kami,” katanya dalam sidang akhbar, di sini semalam.

Ketika ditanya tentang peluang pasukan pesaing merapatkan jurang dengan jentera Mercedes, Rosberg memberitahu, sukar untuknya mengulas mengenai perkara tersebut kerana jawapannya hanya akan diketahui apabila perlumbaan sebenar berlangsung.

“Sukar untuk saya katakan dengan keadaan litar di sini jurang akan dapat dirapatkan oleh pasukan lain, kita perlu tunggu dan lihat apa yang akan berlaku,” ujarnya.

Pemandu berusia 29 tahun itu turut meramal persaingan sengit daripada Kimi Raikkonen dan menganggap pelumba Ferrari tersebut sebagai ancaman terbesar buat pasukannya.

“Saya lihat Kimi sebagai ancaman terbesar buat kami, saya rasa Ferrari berjaya memperbaiki prestasi mereka dan dijangka mencatat keputusan lebih baik berbanding pencabar terdekat kami pada tahun lalu,” tambahnya.

NICO ROSBERG memandang pemandu McLaren, Fernando Alonso menjawab soalan wartawan dalam sidang akhbar di Litar Antarabangsa Sepang, semalam, – UTUSAN/RUSHDI SALLEH

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/rosberg-susun-strategi-terbaik-1.73942#sthash.Z4xK4cSR.dpuf