KALAULAH kita boleh duduk dan tenang-tenang
sebentar. Kemudian ambil masa sedikit hirup udara segar. Dan
renung-renungkan betapa bernasib baik dan beruntungnya kita tinggal di
bumi Malaysia bertuah ini.
Bukan memaksa, tapi cubalah.
Barangkali, tentu dan akan ada ungkapan 'apa aku kisah' kerana apa
sahaja prasarana, kemudahan asas sehinggalah penyaluran subsidi 'itu
memang tanggungjawab kerajaan. Kerajaan banyak duit dan itu adalah duit
rakyat'. Dan memang wajarlah ia dibelanjakan oleh kerajaan untuk rakyat.
'Itukan hak rakyat'.
Demikian juga dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan barangkali
apa sahaja yang berkaitan dengan pengumuman peruntukan, antaranya Felda,
Belanjawan Negara dan dan apa sahajalah...'itu duit rakyat'. Boleh
diterimakah tanggapan sebegini?
Untuk pergi jauh menjengah isu ini, maka marilah kita luangkan sedikit masa sekejap menilai fakta-fakta seterusnya ini.
Ya! kita tidak seperti negara-negara tetangga di rantau ini.
Di Indonesia, kerajaannya hanya memberi subsidi untuk golongan
berpendapatan rendah. Antaranya, beras (gred rendah), gas LPG (berat
tong 3 kilogram) dan petrol RON88. Lain-lain produk tidak disubsidikan
atau dijual pada harga pasaran.
Thailand pula hanya memberi subsidi untuk diesel bagi golongan
nelayan manakala Singapura tidak memberi apa-apa subsidi kepada
mana-mana barang atau produk keperluan harian.
Kadar tanggungan subsidi bagi setiap negara jiran tidak diketahui.
Malaysia - berasaskan fakta, mempunyai tanggungan subsidi tertinggi
berbanding negara jiran. Negara ini menanggung subsidi bagi tujuh barang
keperluan seperti beras, gula, tepung gandum, minyak masak, petrol,
diesel, LPG dan termasuk bil elektrik, pendidikan dan kesihatan.
Dalam aspek ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK) telah diberikan peruntukan berjumlah RM200 juta
untuk melaksanakan Program Penyeragaman Harga di pedalaman Semenanjung,
Sabah dan Sarawak bagi tahun ini.
Peruntukan ini bertujuan membiayai perkhidmatan transporter yang
telah dilantik untuk mengedar dan membekalkan barang keperluan
bersubsidi iaitu gula, tepung gandum, minyak masak, Beras Nasional, gas
memasak (LPG 14 kg), petrol dan diesel bagi memastikan masyarakat di
pedalaman menikmati faedah subsidi kerajaan.
Sebagai contoh di Ba'kelalan, Sarawak, harga gas memasak sebelum
pelaksanaan projek adalah RM70/tong, gula RM5/kg, beras nasional
RM45/kg, petrol dan diesel RM5.50/liter. Harga selepas projek pula
dilaksanakan mematuhi harga ditetapkan kerajaan iaitu bagi gas memasak
adalah RM26.60/tong, gula RM2.50/kg, beras nasional RM18/kg, petrol
RM1.90/liter dan diesel RM1.80/liter, setelah kerajaan menanggung kos
pengangkutan yang tinggi.
Pelaksanaan program ini membantu golongan sasaran yang berpendapatan
rendah di kawasan pedalaman hidup dengan kos sara hidup yang rendah.
Sepanjang pelaksanaan program penyeragaman harga ini (2009-2011),
sejumlah 1.77 juta penduduk (Semenanjung, sabah dan Sarawak) telah
memperolehi manfaat penjimatan boleh guna hasil daripada penyeragaman
harga kawalan ini.
Kawasan yang dipilih bagi pelaksanaan projek adalah berdasarkan
kedudukan harga runcit barang keperluan pengguna di tempat berkenaan
melebihi 15% daripada harga kawalan kerajaan.
Kesukaran penduduk tempatan mendapatkan barang keperluan adalah
disebabkan oleh keadaan muka bumi dan kos pengangkutan yang tinggi,
menyebabkan barang keperluan menjadi mahal. Contohnya, di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan jalan berturap
dan hanya menggunakan kenderaan pacuan 4 roda sahaja yang mampu melalui
kawasan tersebut. Terdapat juga kawasan yang hanya boleh dihubungi
melalui jalan air seperti sungai, tasik dan laut.
Barang keperluan yang dibekalkan di sesuatu kawasan tersebut adalah
untuk kegunaan penduduk setempat dalam komuniti berkenaan sahaja.
Contohnya seperti kegunaan petrol dan diesel bagi bot sangkut
persendirian, set penjana elektrik, mesin padi dan jentera-jentera
persendirian.
Langkah kawalan harga barangan perlu oleh kerajaan merupakan faktor
penyumbang kepada pengekalan kadar inflasi yang sederhana di negara ini.
Ia telah dapat memastikan harga barangan perlu adalah lebih rendah
berbanding dengan negara-negara jiran di rantau ini.
Kawalan harga telah memberikan impak yang minimum ke atas harga
barang-barang perlu dalam negara walaupun harga makanan dan komoditi di
pasaran dunia semakin meningkat.
Bagaimana peranan rakyat untuk memanfaatkan konsep subsidi barangan
ini supaya ia bukan suatu pembaziran kepada kerajaan dan benar-benar
menyumbang kepada ekonomi dalam negara?
Kerana itu, rakyat perlu 'mengubah cara hidup' ke arah kesederhanaan dan berbelanja mengikut kemampuan dan secara berhemah.
No comments:
Post a Comment