Orang Biasa aje, "Tell me and I'll forget; show me and I may remember; involve me and I'll understand." Pentingnya ILMU untuk di pelajari dan di kongsi bersama....Yang baik jadikan tauladan dan yang buruk jadikan sempadan....
Showing posts with label UNDANG-UNDANG. Show all posts
Showing posts with label UNDANG-UNDANG. Show all posts
Friday, 26 February 2016
.: KEKEJAMAN MISSI Cina Indonesia (‘Po An Tui’) DAN C...
.: KEKEJAMAN MISSI Cina Indonesia (‘Po An Tui’) DAN C...: by nahimunkar.com Bukti nyata Cina Indonesia antek penjajah Sekarang, para anak keturunan dan anak cucu laskar PO AN TUI telah...
Wednesday, 23 September 2015
dinturtle - Blogger PARTI MELAYU: Rauf Guna Alasan Teknikal Tolak Saman Anina - Apak...
dinturtle - Blogger PARTI MELAYU: Rauf Guna Alasan Teknikal Tolak Saman Anina - Apak...: astroawani Laporan paper semalam mengesahkan Ab Rauf menggunakan alasan teknikal untuk memohon mahkamah membatalkan saman Anina yakni A...
Wednesday, 9 September 2015
Protes: Maria Chin, 7 individu lain didakwa
MARZITA ABDULLAH | 09 September 2015 12:53 AM
Maria Chin Abdullah, Mandeep Singh (kiri), dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 8 Sept. - Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah dan tujuh yang lain dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan menyertai protes jalanan dalam perhimpunan #KitaLawan di ibu negara, awal tahun ini.
Yang turut didakwa ialah Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Chang Lih Kang; anggota Sekretariat Bersih, Mandeep Singh; Pengerusi Jingga 13, Mohd. Fariz Abd. Talib; pegawai khas ahli Parlimen Batu, Rozan Azen Mat Rasep; ahli PKR, Lee Chean Chung dan aktivis propembangkang, Adam Adli Abd. Halim.
Kesemua mereka yang didakwa sebagai orang kena saman (OKS) di mahkamah berasingan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan masing-masing.
Maria Chin, Mandeep, Mohd. Fariz dan Tze Tzin didakwa bersama-sama beberapa individu lain yang masih bebas menyertai protes itu dengan tujuan tertentu iaitu reformasi dan bebas Datuk Seri Anwar Ibrahim serta cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka bermula di hadapan kawasan air pancut di persimpangan Jalan Tun Perak dan berakhir di kompleks beli-belah Sogo di sini antara pukul 3.15 petang dan 6 petang, 28 Mac lalu.
Mohd. Fariz sekali lagi didakwa bersama-sama Adam Adli dan beberapa individu lain yang masih bebas terhadap pertuduhan sama dengan tujuan iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib berundur, bantahan kenaikan harga barang dan kos sara hidup, Anwar dibebaskan dan menjemput peserta hadir protes Kita Lawan.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu bermula di hadapan Sogo dan berakhir di Esplanade KLCC antara pukul 4 petang dan 7.30 petang, 28 Februari lalu.
Lih Kang, Rozan Azen dan Chean Chung juga didakwa dengan tuduhan dan tujuan sama termasuk menggesa Ketua Polis Negara dipecat, bermula di hadapan Sogo dan berakhir di kawasan air pancut persimpangan Jalan Tun Perak di sini antara pukul 4.30 petang dan 5.05 petang, 21 Mac lalu.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Sesyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000.
Pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Faizal Ismail, Majistret Mohd. Rehan Mohd. Aris dan Majistret Mohd. Asyraf Abdul Manan.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Musli Ab. Hamid mencadangkan ikat jamin setiap OKS sebanyak RM500 dengan seorang penjamin seperti yang telah dipersetujui oleh pihak pembelaan.
Mahkamah membenarkan permohonan jaminan itu dan menetapkan 16 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi kesemua OKS kecuali Adam Adli dan Mohd. Fariz yang sebutan semula kes mereka ditetapkan pada 19 Oktober ini.
OKS diwakili peguam-peguam, Ramkarpal Singh, Datuk S. Ambiga, Latheefa Koya, Amer Hamzah Arshad dan Eric Paulsen.
Sepanjang prosiding tersebut mahkamah penuh sesak dengan kehadiran penyokong-penyokong OKS termasuk Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Exco kerajaan negeri Selangor, Elizabeth Wong.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/protes-maria-chin-7-individu-lain-didakwa-1.133605#sthash.CrB6WJIR.dpuf
Tuesday, 30 June 2015
Hakim terpengaruh tafsiran ala Barat
Mengabai peruntukan Perlembagaan Persekutuan terhadap agama Islam
SOFIAN BAHAROM | 29 Jun 2015 1:36 AM
KUALA LUMPUR 28 Jun - Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad meluahkan kekhuatiran beliau terhadap segelintir golongan hakim di negara ini yang sangat terpengaruh dengan tafsiran hak asasi manusia ala Barat.
Abdul Hamid Mohamad
Kata beliau, tindakan itu menyebabkan mereka memberi tafsiran yang sangat liberal mengenai peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan.
Menurutnya, hakim-hakim itu mengabaikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kesalahan terhadap perintah agama Islam.
Jelasnya, perkara itu telah mula dilihat dalam kes kontroversi melibatkan larangan dan hukuman terhadap tiga juru andam lelaki yang berpakaian seperti wanita di tempat awam di Negeri Sembilan sebelum ini.
Apa yang merisaukan beliau, katanya, adalah alasan-alasan yang diberi untuk mengisytihar Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Mereka juga memakai prinsip kemunasabahan (reasonableness) yang diketengahkan oleh Supreme Court (Mahkamah Agung) India yang memberi kuasa kepada hakim-hakim untuk mengisytiharkan undang-undang yang dibuat oleh Parlimen tidak sah atas alasan ia ‘tidak munasabah’ (unreasonable).
“Perlembagaan negara-negara itu tidak serupa dengan Perlembagaan kita. Perlembagaan mereka tidak ada peruntukan-peruntukan mengenai agama Islam seperti yang ada dalam Perlembagaan kita. Nilai-nilai mereka tidak sama dengan nilai-nilai kita,” kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas berhubung keputusan oleh Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) bahawa pasangan gay dan lesbian mempunyai hak berperlembagaan untuk berkahwin di semua 50 negeri di negara itu.
Dengan keputusan 5-4, mahkamah tertinggi di AS itu memutuskan bahawa di bawah Perlembagaan, golongan gay dan lesbian boleh berkahwin di mana sahaja mereka tinggal di negara itu dan pihak berkuasa negeri tidak boleh melarang perkahwinan sejenis.
Sementara itu, Abdul Hamid berkata, alasan-alasan yang diberi oleh Mahkamah Rayuan dalam kes peruntukan enakmen agama Islam Negeri Sembilan, dilihat sangat luas implikasinya.
“Perkara itu berlaku apabila sesuatu hukum syarak boleh diisytiharkan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran yang liberal seperti yang diberi oleh mahkamah-mahkamah di negara sekular itu apabila hukum syarak diukur dengan nilai liberal hak asasi ala Barat.
“Apabila hukum syarak boleh dicabar atas alasan ia ‘tidak munasabah’ (unreasonable) kepada seseorang hakim, termasuk yang bukan Islam, maka hukum syarak akan sentiasa terdedah kepada kemungkinan diisytiharkan tidak sah,” kata beliau.
Dengan menggunakan alasan-alasan yang sama, menurutnya, undang-undang yang membenarkan seorang lelaki Islam berkahwin lebih daripada satu, undang-undang yang menjadikan kesalahan jika seorang Islam tidak membayar zakat, kesalahan meminum minuman yang memabukkan, kesalahan zina serta liwat dan lain-lain juga boleh diisytiharkan tidak sah.
“Malah, penghakiman ini membuka jalan untuk membenarkan perkahwinan sejenis,” jelas beliau.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/hakim-terpengaruh-tafsiran-ala-barat-1.108421#sthash.0eqr4fq3.dpuf
Tuesday, 7 April 2015
Dewan Rakyat lulus POTA selepas lebih 12 jam dibahas
SELASA, 7 APRIL 2015 @ 7:46 AM
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 diluluskan tanpa pindaan di Dewan Rakyat pada 2.25 pagi ini, selepas dibahaskan lebih 12 jam.
POTA diluluskan selepas undian belah bahagian kesembilan dilakukan dengan undian terakhir memihak kepada kerajaan dengan kiraan 79 bersetuju dan 60 tidak bersetuju (untuk meluluskan).
Sebelum itu, rang undang-undang yang dibahaskan lancar di peringkat dasar, namun melalui waktu sukar di peringkat jawatankuasa apabila pelbagai pindaan dicadangkan oleh anggota Parlimen pembangkang sehingga sesi perbahasan dan penggulungan di peringkat itu berlarutan sehingga awal pagi ini.
Lebih menyukarkan apabila pembangkang berkeras untuk meminda hampir kesemua 35 Fasal, memaksa lapan undi belah bahagian dilakukan bagi setiap usul pindaan yang dikemukakan sepanjang perbahasan di peringkat jawatankuasa, sebelum undian terakhir dibuat bagi meluluskan rang undang-undang itu.
Bagaimanapun, semua undi belah bahagian berakhir dengan undian memihak kepada kerajaan, sekali gus menolak usul-usul pindaan dibawa pembangkang.
Antaranya, cadangan pindaan termasuk supaya pangkat pegawai polis dalam penangkapan suspek hendaklah tidak rendah daripada Superitendan, selain berhubung tempoh tahanan reman yang digesa tidak melebihi 14 hari berbanding cadangan rang undang-undang itu yang membolehkan suspek ditahan sehingga 21 hari.
Anggota Parlimen pembangkang turut mengusulkan supaya beberapa peruntukan termasuk di bawah Perkara 13 hingga 28 yang menyentuh mengenai perintah tahanan dan sekatan dibatalkan kerana disifatkan berniat jahat.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu di peringkat jawatankuasa, berkata kerajaan tidak melihat pindaan yang diusulkan itu perlu dibuat pada masa ini.
Katanya POTA harus dilihat dengan 'mata hati' untuk memahami tujuan sebenar kerajaan memperkenalkan undang-undang itu, selain tidak harus dibandingkan dengan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).
Terdahulu, Ahmad Zahid ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu di peringkat dasar, berkata elemen pemulihan menjadi keutamaan dalam pelaksanaan POTA.
Tegas Ahmad Zahid, ini kerana POTA tidak boleh dilihat hanya dari sudut perundangan semata-mata sebaliknya ia bersifat pencegahan.
"Elemen pemulihan terhadap tahanan menjadi keutamaan. Rekod tahanan ISA setakat sehingga undang-undang itu ditiadakan iaitu daripada seramai 10,800 tahanan ISA, 90 peratus berjaya dipulihkan," katanya.
Ahmad Zahid juga memberi jaminan POTA tidak akan disalah guna dan tiada sesiapa pun yang mempunyai perbezaan politik atau pendapat, akan ditahan di bawah undang-undang itu. - BERNAMA
RANG Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 diluluskan tanpa pindaan di Dewan Rakyat pada 2.25 pagi ini, selepas dibahaskan lebih 12 jam. - Foto Astroawani
Thursday, 2 April 2015
LIWAT : Mahkamah tolak semakan
SUWARNI MOKHTAR | 02 April 2015 2:17 AM
Latheefa Koya semasa hadir pada pengesahan mengenai keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam. Utusan/Hafiz Johari
KUALA LUMPUR 1 April - Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini hari ini menolak semakan kehakiman oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membatalkan keputusan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia yang tidak membenarkannya untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung kini sehingga 4 April ini.
Ia berikutan Anwar telah hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh selepas Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menolak petisyen rayuan yang dikemukakan kepada Baginda oleh keluarga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pada 24 Februari lalu.
Keputusan tersebut dibuat oleh Tuanku pada mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lalu dan berkuatkuasa serta-merta.
Hakim Datuk Asmabi Mohamad turut memerintahkan Anwar membayar kos sebanyak RM3,000 kepada semua responden di dalam semakan tersebut.
Perkara itu dimaklumkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh pada pendengaran semakan kehakiman tersebut dan pengesahan lanjut berhubung keputusan Lembaga Pengampunan terbabit.
Amarjeet yang turut dibantu oleh Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke memberitahu, semakan itu ditolak memandangkan kedudukan Anwar sebagai Ahli Parlimen merupakan teras kepada permohonan berkenaan.
“Beliau (Anwar) hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen berkuatkuasa serta-merta sebagaimana yang dinyatakan di dalam Perkara 48(4)(c) Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, tiada asas untuk semakan kehakiman ini diteruskan,” katanya.
Dalam permohonan semakan yang difailkan pada 18 Mac lalu, Anwar menamakan Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.
Anwar memohon kebenaran untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sehingga 4 April ini kerana beliau kini menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di sebuah kondominium di Bukit Damansara di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Hukuman yang bermula 10 Februari lalu dibuat selepas panel lima hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengekalkan sabitan salah dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum itu yang membebaskan Anwar daripada tuduhan itu.
Sementara itu, peguam Anwar, Latheefa Koya, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang menolak pendengaran semakan tersebut.
Peguam terbabit juga dilihat mempertikaikan keputusan Lembaga Pengampunan yang didakwanya masih belum diterima oleh anak guamnya mahupun keluarga Anwar.
Jelasnya, tiada di dalam surat dan afidavit yang dihantar oleh Sekretariat Lembaga Pengampunan, Datuk Nursiah Arshad yang menyatakan bahawa petisyen itu ditolak.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/mahkamah-tolak-semakan-1.76207#sthash.km1ymGcB.dpuf
Thursday, 26 March 2015
‘Kebebasan mutlak bukan di sini’ - DUDUK DLM HUTAN PUN RIMAU PERHATI AJE...
Perdana Menteri menegaskan kepentingan Akta Hasutan dan Rang Undang-Undang Anti Keganasan adalah tepat
MOHD. ASRON MUSTAPHA | 26 Mac 2015 2:27 AM
NAJIB TUN RAZAK melakukan tabik hormat dalam Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-208 di Kuala Lumpur, semalam. Di sebelah beliau ialah Khalid Abu Bakar. – UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR
KUALA LUMPUR 25 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kebebasan mutlak tanpa sebarang rasa bertanggungjawab yang cuba dituntut dan diinginkan pihak tertentu tiada tempat di negara ini.
Serentak dengan itu, beliau dalam nada tegas mempertahankan kepentingan Akta Hasutan, selain turut menyifatkan langkah kerajaan menggubal dan bakal membentangkan Rang Undang-Undang Antikeganasan adalah tepat.
Pada masa yang sama, Najib berkata, tiada sebab untuk kerajaan apologetik dalam usaha memelihara keamanan dan keselamatan negara, walaupun beberapa pihak menuduh langkah tersebut sebagai tidak demokratik.
“Kerajaan mesti pastikan tidak berlaku sebarang bentuk keganasan dalam negara kita, tidak perlu apologetik walaupun mungkin akan ada yang kata ini tidak demokratik. Saya nak kata bahawa tiada kebebasan mutlak.
“Kebebasan mutlak tanpa rasa tanggungjawab tiada tempat di negara ini, kita akan pastikan setiap warganegara ikut lunas undang-undang,” katanya semasa berucap pada Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-208 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Sambutan tersebut turut diserikan dengan terbang lintas tiga buah helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM), gimik pertunjukan membasmi jenayah pemerdagangan manusia oleh Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dan penyampaian Anugerah Integriti PDRM.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, untuk mentadbir dan memastikan sesebuah negara itu menjadi teguh serta kuat, terdapat empat aspek terpenting yang perlu diberi perhatian oleh mana-mana kerajaan.
Menurutnya, aspek pertama adalah mempunyai struktur ekonomi yang kukuh, disusuli kestabilan politik serta perpaduan erat dalam kalangan rakyat sebelum yang terakhirnya ialah aman tanpa sebarang kacau bilau.
“Kalau tanya saya antara empat aspek ini, mana yang lebih penting? Mana satu yang perlu kita dahulukan? Saya boleh katakan bahawa keamanan dan keselamatan adalah aspek paling penting yang perlu dipertahankan.
“Sebab itu janganlah kita sebagai rakyat tidak hormati polis, pandang rendah dan tuturkan kata nista, hormatilah mereka kerana disebabkan polis kita dapat hidup dalam keadaan aman tanpa rasa takut,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/8216-kebebasan-mutlak-bukan-di-sini-8217-1.73784#sthash.7JiZy4KQ.dpuf
Thursday, 19 March 2015
Teliti hukum hudud terlebih dahulu sebelum dilaksanakan
19 Mac 2015 2:19 AM
KUALA LUMPUR 18 Mac – Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 atau hukum hudud perlu diteliti dengan lebh terperinci kerana membabitkan banyak persoalan Perlembagaan yang perlu diselesaikan sebelum dapat dilaksanakan.
Shamrahayu Ab. Aziz
Pakar undang-undang perlembagaan, Prof. Shamrahayu Ab. Aziz berkata, terdapat banyak cabaran memandangkan wujud ruang-ruang dari sudut perundangan yang boleh dicabar dengan mudah oleh pihak yang tidak bersetuju dengan hukum ini.
“Enakmen tersebut jelas tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Contohnya dari segi kesalahan seperti keselamatan awam iaitu membunuh, mencuri dan merompak yang termaktub kesalahannya ini di bawah kuasa Persekutuan.
“Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya mempunyai kuasa bagi kesalahan seperti murtad, minum arak dan berzina sahaja. Bagaimanapun, hukuman yang ditetapkan melampaui bidang kuasa mahkamah syariah.
“Justeru, kita bimbang situasi ini akan memberi peluang kepada individu-individu yang tidak berpuas hati untuk mencabarnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kerajaan Pas Kelantan hari ini membentangkan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 dalam sidang DUN walaupun mendapat tentangan daripada rakan sekutunya, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sementara itu, Shamrahayu berkata, fasa seterusnya ialah untuk mendapatkan kebenaran meluaskan kuasa negeri menerusi Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan agar dapat mencakupi hukuman bagi kesalahan bunuh, mencuri dan merompak yang terdapat dalam enakmen berkenaan.
Katanya, satu lagi ialah meminda Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) yang sekarang ini hanya memperuntukkan bidang kuasa iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/teliti-hukum-hudud-terlebih-dahulu-sebelum-dilaksanakan-1.71148#sthash.aZ0u7Kwy.dpuf
Wednesday, 4 March 2015
11 lagi anggota UPP, PGA ditahan SPRM
Terlibat melindungi aktiviti penyeludupan petrol di sempadan
MASZUREEN HADZMAN | 04 Mac 2015 1:40 AM
SEBAHAGIAN daripada 11 anggota penguat kuasa yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan aktiviti penyeludupan petrol dan diesel di sempadan Malaysia-Thailand, semalam.
KUALA LUMPUR 3 Mac - Selepas sekumpulan anggota penguat kuasa ditahan semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memburu mereka yang terbabit dalam kes penyeludupan dan penjualan petrol ke negara jiran.
Terbaharu, 11 lagi penguat kuasa yang terdiri daripada sembilan anggota polis tugas am, dan dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ditahan SPRM dalam serbuan Op Licin 2 di Kedah dan Perak hari ini.
Serbuan tersebut menjadikan 26 individu termasuk dua orang awam yang ditahan setakat ini.
Menurut sumber, tujuh daripada mereka ditahan di Pejabat SPRM Kedah selepas dibawa dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap di Kuala Nerang manakala dua lagi di Balai Polis Kota Putra, Durian Burung, Padang Terap dan seorang di Bidor, Perak, kira-kira pukul 11.30 pagi dan 2 petang ini.
Katanya, kesemua mereka berusia antara 25 dan 58 tahun.
“Enam daripada sembilan yang ditahan merupakan anggota polis berpangkat Koperal dan masing-masing seorang Konstabel, Sarjan, Sarjan Mejar dan dua lagi merupakan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA),” katanya di sini.
Semalam, SPRM menahan 13 penguat kuasa terdiri daripada pegawai dan anggota UPP serta PGA kerana disyaki terbabit dalam sindiket melindungi aktiviti penjualan dan penyeludupan petrol ke negara jiran.
Turut ditahan seorang bekas pegawai UPP dan seorang awam yang dipercayai bersubahat dalam kegiatan terbabit.
Kesemua 15 individu terbabit ditahan dalam operasi yang dikenali sebagai Op Licin 2 di Perak dan Kedah setelah siasatan mendapati sindiket penyeludupan minyak petrol itu dilakukan secara haram melalui pintu masuk di sempadan Malaysia-Thailand.
Difahamkan, penahanan itu adalah yang terbesar selepas operasi membanteras aktiviti mengelak cukai di Zon Perdagangan Bebas Cukai (FTZ) September lalu.
Dalam pada itu, mereka turut dipercayai menerima suapan sehingga RM4,000 daripada pengusaha stor minyak petrol dan diesel yang tidak berlesen di sekitar Durian Burung, Padang Terap.
Dalam perkembangan berkaitan, menurut memberitahu, kesemua mereka yang ditahan semalam telah dibebaskan hari ini selepas kenyataan mereka diambil oleh SPRM.
Katanya, di Kedah, tujuh pegawai penguat kuasa dibebaskan dengan jaminan mulut manakala pesara UPP dibebaskan dengan seorang penjamin dan wang tunai sebanyak RM10,000.
“Di Perak pula, enam anggota PGA turut dibebaskan dengan jaminan mulut manakala seorang orang awam sudah dibebaskan dengan jaminan wang tunai sebanyak RM2,500 berserta seorang penjamin.
“Orang awam yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 manakala pegawai penguat kuasa pula disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” ujar sumber itu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/11-lagi-anggota-upp-pga-ditahan-sprm-1.65865#sthash.2tlQjiRN.dpuf
Tuesday, 3 March 2015
LIWAT : Layanan, kemudahan Anwar di penjara saksama
03 Mac 2015 1:58 AM
KUALA LUMPUR 2 Mac – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima layanan serta kemudahan yang saksama seperti banduan lain.
Zulkifli Omar
Ketua Pengarah Penjara, Datuk Zulkifli Omar berkata, ketika ini kira-kira 50,000 banduan menjalani hukuman di seluruh penjara negara ini dan layanan serta kemudahan yang diberikan terhadap semua banduan termasuk Anwar adalah sama mengikut ketetapan akta, peraturan dan prosedur penjara.
“Anwar telah menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh bermula 10 Februari lalu dan sejak itu, pelbagai tuduhan dan spekulasi dilakukan oleh pihak tertentu.
“Maka berasaskan itu, pihak kami mengambil langkah untuk menjelaskan tuduhan berkenaan seperti perjumpaan dengan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang sebelum ini telah membuat permohonan dan dibenarkan mengikut Peraturan-peraturan Penjara 2000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zulkifli, lawatan yang dinamakan Perjumpaan Khas itu dibenarkan atas urusan penting seperti mana diberikan kepada banduan lain.
“Perjumpaan itu dibenarkan atas urusan berkaitan keluarga, pembahagian harta, wasiat serta khidmat mendapatkan peguam,” jelasnya.
Katanya, selain itu, Anwar dibenarkan untuk mendapatkan penempatan dengan kemudahan bersesuaian termasuk makanan tambahan dan berbeza menerusi cadangan pegawai perubatan demi kepentingan kesihatan banduan.
“Kemudahan itu diberikan mengikut Peraturan 231 (j), Peraturan-peraturan Penjara 2000 yang perlu dipatuhi oleh pihak penjara dalam mengubahsuai kerja, diet dan hukuman yang difikirkan perlu.
“Laporan mesti dilakukan secara bertulis kepada pegawai yang menjaga banduan berkenaan, malah hasil pemeriksaan dan syor pakar perubatan Anwar adalah untuk menempatkannya di Hospital Penjara Sungai Buloh. Penempatan itu telah dilaksanakan sebelum pertemuannya dengan Mohamed Azmin pada 25 Februari lalu,” ujarnya.
Tambahnya, tentang pertukaran Pegawai Penjara yang bertanggungjawab melaksanakan kawalan keselamatan Anwar pula, ia dilakukan setiap bulan.
“Pertukaran pegawai berlaku setiap bulan yang dilakukan atas kepentingan perkhidmatan dan kebajikan pegawai terlibat, malah Pengarah Penjara tidak mempunyai sebarang kuasa terhadap pertukaran tersebut,” katanya.
“Bagi kawalan semasa perhimpunan solidariti yang berlangsung setiap malam di hadapan penjara, ia bertujuan menjaga keselamatan, sekali gus bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang mampu menjejaskan keselamatan penjara,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/layanan-kemudahan-anwar-di-penjara-saksama-1.65607#sthash.iC1f1b4S.dpuf
JENAYAH : SPRM tahan 13 anggota UPP, PGA
Terima suapan sehingga RM4,000 daripada penyeludup
ILAH HAFIZ AZIZ | 03 Mac 2015 1:57 AM
SEORANG pegawai SPRM mengiringi seorang suspek yang ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam, kerana dipercayai terlibat dalam sindiket melindungi aktiviti penjualan dan penyeludupan petrol ke negara jiran.
KUALA LUMPUR 2 Mac - Segelintir penguat kuasa yang bertugas di sempadan negara ternyata tidak pernah gentar dengan tindakan demi tindakan ke atas mereka yang terlibat dengan aktiviti penyeludupan minyak ke negara jiran.
Buktinya, 13 penguat kuasa terdiri daripada pegawai dan anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) serta Pasukan Gerakan Am (PGA) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki terbabit dalam sindiket melindungi aktiviti penjualan dan penyeludupan petrol ke negara jiran.
Turut ditahan, seorang bekas pegawai UPP dan seorang awam yang dipercayai bersubahat dalam kegiatan terbabit.
Kesemua 15 individu terbabit ditahan dalam operasi yang dikenali sebagai Op Licin 2 di Perak dan Kedah, setelah siasatan mendapati sindiket penyeludupan minyak petrol itu dilakukan secara haram melalui pintu masuk di sempadan Malaysia-Thailand.
Difahamkan, penahanan itu adalah yang terbesar selepas operasi membanteras aktiviti mengelak cukai di Zon Perdagangan Bebas Cukai September lalu.
Menurut sumber, dalam penahanan terbaharu ini, kesemua yang terlibat merupakan pegawai penguat kuasa yang pernah bertugas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).
Katanya, mereka dipercayai menerima suapan sehingga RM4,000 daripada pengusaha stor minyak petrol dan diesel yang tidak berlesen di sekitar Durian Burung, Padang Terap, Kedah.
“Daripada 13 penguat kuasa yang ditahan itu, lima daripadanya anggota UPP manakala selebihnya Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan masing-masing enam dari Perak dan dua dari Kedah.
“Bekas pegawai UPP berpangkat Asisten Superintenden yang ditahan itu pula berusia 60 tahun,” katanya di sini.
Utusan Malaysia pada Sabtu lalu mendedahkan, penyelewengan diesel dan petrol di sempadan negara masih lagi berterusan khususnya di pintu sempadan negara meskipun usaha oleh kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sering dilakukan.
Laporan itu mendedahkan, tindakan segelintir pegawai penguat kuasa yang tidak membuat pemeriksaan ketat terhadap kenderaan-kenderaan yang disyaki membawa bahan bakar menyebabkan beberapa kawasan di pintu sempadan negara mudah dibolosi.
Mengulas lanjut, sumber memberitahu, penguat kuasa yang ditahan itu terdiri daripada pegawai berpangkat Asisten Superintenden (seorang), Inspektor (dua), Koperal (lapan) dan Konstabel (dua).
“Seorang orang awam yang ditahan pula berasal dari Ipoh, Perak. Kesemua 15 inidvidu yang ditahan tersebut berusia antara 20-an hingga 60-an.
“Dalam operasi itu, sebahagian anggota UPP ditahan di Kompleks UPP Bukit Kayu Hitam manakala anggota PGA pula ditahan di sekitar pekan Bukit Kayu Hitam.
“Bekas anggota UPP yang merupakan pesara itu ditahan di rumahnya di Alor Setar,” katanya.
Kesemua yang ditahan disisasat di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 membabitkan kesalahan meminta suapan oleh penjawat awam.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/sprm-tahan-13-8232-anggota-upp-pga-1.65602#sthash.rFbqEOMV.dpuf
Thursday, 26 February 2015
LIWAT : Petisyen pembebasan atau rayuan
Zulkifli persoal dokumen Wan Azizah kepada Istana Negara
ZULKIFLEE BAKAR | 26 Februari 2015 1:32 AM
KUALA LUMPUR 25 Feb. - Apakah kandungan sebenar dokumen yang dihantar oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah semalam, adakah ia mengandungi rayuan pengampunan atau petisyen memohon pembebasan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim?
AZMIN ALI
Persoalan itu ditimbulkan oleh bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin kerana menurut beliau, kalau ia adalah petisyen memohon pembebasan bermakna ia tidak terikat dengan Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa seseorang ahli Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika beliau dijatuhi hukuman penjara minimum setahun atau didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas.
Bagaimanapun tegas beliau, jika dokumen yang dihantar itu adalah rayuan pengampunan maka ia terikat dengan peruntukan perlembagaan tersebut yang perlu dibaca dengan Perkara 42 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan antaranya bergantung kepada keperluan tiga syarat iaitu perayu mengakui kesalahan yang disabit, menyesal dengan perlakuan kesalahan yang disabit dan memberi akui janji tidak mengulangi kesalahan yang disabit.
“Oleh itu apakah sebenar dokumen yang dihantar oleh Wan Azizah memandangkan atas faktor rayuan pengampunan sewajarnya dikemukakan oleh Anwar sendiri dan bukan pihak lain,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau mengulas desakan pembangkang supaya Anwar dibenarkan hadir sidang Dewan Rakyat berikutan pengesahan keluarga Anwar semalam bahawa mereka mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar kerana meliwat bekas pembantu pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan .
Zulkifli berkata, antara rayuan pengampunan dan petisyen pembebasan mempunyai dua maksud berbeza.
“Jika ia sekadar petisyen pembebasan pihak Istana boleh menolak melalui cara pentadbiran tanpa perlu dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong manakala Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh memaklumkan kepada Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) berlaku kekosongan bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh.
“Bagaimanapun jika ia rayuan pengampunan baharulah kedudukan Anwar sebagai Ahli Parlimen masih kekal dan Dewan Rakyat perlu menanti proses pengampunan selesai untuk mengisytiharkan kerusi Parlimen berkenaan kosong atau tidak,” katanya.
Selain itu Zulkifli menegaskan, apa yang perlu difahami rayuan pengampunan hanya berkaitan dengan hukuman sama ada dikurangkan atau ditangguhkan, namun sabitan kesalahan tetap kekal.
“Ini bermakna walaupun proses rayuan pengampunan berjalan, Anwar masih lagi disabit kesalahan jenayah, beliau kekal sebagai banduan dan masih tertakluk kepada undang-undang dan peraturan penjara,” katanya.
Zulkifli berkata, Wan Azizah perlu telus dengan mendedahkan isi sebenar dokumen tersebut bagi mengelakkan kekeliruan memandangkan langkah penghantaran dokumen itu dikaitkan dengan strategi politik beliau bagi mengelakkan berlaku pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Selain itu, kata Zulkifli, tindakan tersebut juga mewujudkan tafsiran sesetengah pihak bahawa ia langkah Wan Azizah bagi melengah-lengahkan usaha pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Pas dan DAP melantik Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang juga Menteri Besar sebagai Ketua Pembangkang dalam sidang Parlimen bulan depan.
“Apa pun jawapan ada kepada Wan Azizah untuk menjelaskan kepada rakyat isi sebenar kandungan dokumen tersebut bagi mengelakkan pelbagai andaian dibuat,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/petisyen-pembebasan-atau-rayuan-1.63755#sthash.4b1AalWG.dpuf
Wednesday, 25 February 2015
LIWAT : Keluarga Anwar yakin proses pengampunan
SELASA, 24 FEBRUARI 2015 @ 11:01 PM
MASA DIA BEBAS KAT LUAR HABIS SEMUA SULTAN DIA MAKI...SEKARANG SULTAN JUGA YANG KAU CARI BILA DAH KE DALAM..MEMAMG JENIS MANUSIA TAK MALU...
KUALA LUMPUR: Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan yang mereka hari ini mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar dalam kes liwat II.
Anak kedua Anwar, Nurul Nuha, 31, dalam satu kenyataan malam ini, berkata petisyen itu dibuat "bersandarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan."
"Kami meletakkan keyakinan kepada proses perlembagaan ini serta percaya prinsip keadilan akan ditegakkan apabila kesemua fakta-fakta diteliti secara menyeluruh tanpa campur tangan politik mahupun mana-mana cabang kerajaan bersesuaian dengan prinsip pemisahan kuasa melalui institusi Raja Berperlembagaan," katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan berikutan tindakan isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Datuk Wan Ismail serta dua anak mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha, menyerahkan petisyen itu untuk Yang di-Pertuan Agong kepada pegawai Istana Negara di sini petang tadi.
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun setelah Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lepas, menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Beliau secara automatik akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh jika tidak memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Penasihat PKR itu mempunyai tempoh 14 hari bermula dari tarikh beliau disabitkan kesalahan dan dihukum penjara, untuk memfailkan petisyen pengampunan.
- BERNAMA
Anak kedua Anwar, Nurul Nuha, 31. - Foto Amir Irsyad Omar
LIWAT : Keluarga Anwar kemuka permohonan pengampunan Diraja
SELASA, 24 FEBRUARI 2015 @ 6:08 PM
KALAU TAK LIWAT KENAPA NAK MINTA PENGAMPUNAN DIRAJA?
Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
KUALA LUMPUR: Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan permohonan bagi mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong berhubung sabitan kes liwat beliau.
Perkara ini disahkan oleh pihak Istana Negara kepada BERNAMA sebentar tadi.
Permohonan itu dikemukakan isteri beliau yang juga Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang hadir di Istana Negara bersama beberapa anaknya hari ini.
Hari ini adalah hari terakhir untuk Anwar mengemukakan permohonan pengampunan Diraja susulan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan beliau pada 10 Februari lalu bagi mengenepikan sabitan kesalahan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bahari Azlan pada 2008.
Mahkamah Persekutuan juga mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhi Mahkamah Rayuan.
Ketua Pembangkang itu akan kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh jika tidak mengemukakan permohonan untuk pengampunan diraja itu.
Sementara itu, beberapa pemimpin PKR dilaporkan berkata tindakan mengemukakan permohonan pengampunan itu bukan keputusan parti.
Anwar sebelum ini dikatakan tidak akan mengemukakan permohonan pengampunan itu untuk menunjukkan bahawa beliau tidak bersalah.
Monday, 23 February 2015
POLITIK : Christopher tak wakili suara majoriti
23 Februari 2015 1:38 AM
Keratan Mingguan Malaysia semalam.
KUALA LUMPUR 22 Feb. – Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong tidak berhak menganggap kritikannya terhadap institusi kehakiman di negara ini mewakili suara majoriti ahli-ahli badan berkenaan.
Ahli Majlis Peguam, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, tidak semua ahli badan berkenaan bersetuju dengan pandangan Christopher yang mempertikaikan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini.
Menurut beliau, proses pemilihan yang menyaksikan Christopher dilantik sebagai Presiden Majlis Peguam pada 16 Mac 2013 cuma melibatkan sebanyak 1,304 ahli.
“Ada pihak berpandangan desakan yang disuarakan oleh lebih 100 ahli Majlis Peguam supaya Christopher menarik balik kenyataannya itu tidak mewakili kumpulan majoriti.
“Kalau begitu, pandangan Christopher juga tidak mewakili suara majoriti kerana jumlah ahli Majlis Peguam yang mengundi beliau sebenarnya tidak sampai 10 peratus daripada kira-kira 15,000 ahli pada 2013,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, lebih 100 peguam termasuk Mohd. Khairul Azam memberi kata dua kepada Christopher iaitu sama ada menarik balik kenyataan mempertikaikan keputusan mahkamah itu atau meletak jawatan.
Christopher sebelum ini pernah menyatakan menerusi media bahawa Anwar ‘dianiaya, bukan didakwa’ apabila Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap Ahli Parlimen Permatang Pauh itu setelah menolak rayuan terakhir dalam kes meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Mohd. Khairul Azam menambah, usul undi tidak percaya akan dikemukakan terhadap Christopher sekiranya beliau gagal menarik balik kenyataan tersebut sebelum mesyuarat agung tahunan (AGM) Majlis Peguam diadakan pada 14 Mac ini.
“Kami juga sedang giat melancarkan gerakan mendapatkan sokongan ahli-ahli Majlis Peguam yang lain bagi mendesak Christopher untuk berundur,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/christopher-tak-wakili-suara-majoriti-1.62515#sthash.H16R2AWe.dpuf
Monday, 16 February 2015
LIWAT : Kes Anwar bukan satu konspirasi
15 Februari 2015 12:09 AM
MUKADIMAH : KES Liwat II melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bermula sejak 2008 telah menemui noktahnya pada 10 Februari lalu apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan Ketua Pembangkang itu bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Namun, pelbagai teori konspirasi dan tuduhan yang mengatakan Anwar tidak bersalah, sebaliknya dianiaya oleh “orang jahat” masih dicanang oleh pembangkang bagi meraih simpati dan mengelirukan rakyat. Bagi menjawab tuduhan-tuduhan yang masih berlegar itu, wartawan Mingguan Malaysia, AZMAN ANUAR, AMIRUDDIN HARUN dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI telah mewancara TAN SRI DR. MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH yang dilantik mengetuai pendakwaan kes itu pada peringkat Mahkamah Rayuan sehingga ke peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu.
Menurut beliau, keterangan terhadap Anwar dalam kes ini terlalu kuat untuk membuktikan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bersalah sehingga tidak seorang pun daripada 14 orang peguam Anwar berani mempertikaikan fakta kes tersebut.
"Saya berani bersumpah di masjid atau di Mekah bahawa apabila saya buat rayuan kes ini, saya dengan jujur percaya Anwar salah," katanya.
MINGGUAN: Selepas 10 Februari lalu, Tan Sri berkata secara profesional berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dan berpendapat bahawa keadilan akhirnya ditegakkan. Bagaimana pula secara peribadi?
MUHAMMAD SHAFEE: Dari segi peribadi, saya tidak ada isu langsung sebab itu satu tugas yang diberikan kepada saya oleh Peguam Negara. Jadi saya laksanakan. Kalau ada pun dari segi peribadi, hanya berkenaan sama ada saya sendiri percaya dengan kesalahan Anwar sebelum saya membuat tugas rasmi tersebut. Sebab, kalau saya sendiri tidak percaya dan saya rasa dia dianiayakan, saya tidak akan buat kes itu. Tetapi saya percaya apabila saya lihat rekod rayuan tersebut. Hari pertama saya dapat (rekod rayuan), saya sudah baca sampai pagi sebab saya hendak tahu dengan jelas. Tidak ada langsung keraguan bagi saya yang Anwar salah. Saya terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi melepaskan Anwar dan sebab asas hanyalah berkenaan dengan beg plastik.
Jadi, Mahkamah Rayuan kata kalau itu sahaja sebabnya, sebab itu tidak bagus kerana kita ada banyak kes keadaan yang sama. Ada kotak yang hancur tetapi di dalam kotak itu ada bahan bukti yang termeterai dalam plastik-plastik berasingan tetapi mahkamah terima asalkan boleh buktikan benda itu tidak tercemar. Semasa ahli kimia terima, dia kata sampel-sampel itu tidak tercemar dan masih lagi sempurna. Satu lagi perkara yang ketara ialah apabila ahli kimia periksa, dia dapat profil asid deoksiribonukleik (DNA) "Lelaki Y". Empat-empat itu dapat "Lelaki Y". Kalau kita bandingkan standard dalam dunia, negara kita dikatakan mempunyai keperluan yang paling tinggi sekali. Kita minta 16 bacaan sepadan.
Dalam tubuh kita, DNA kita ini, berjuta-juta dan trilion lokus (tempat) yang kita ada. Cap jari kita pun berjuta-juta dan trilion lokus. Macam-macam punya berlainan tetapi kita perlukan 16 sahaja. Kalau 16 bacaan sepadan jari kita dengan cap jari, itulah orangnya. Kebarangkaliannya ialah satu bersamaan dengan beberapa quadrilion, bukan trilion. Ertinya mustahil orang lain yang ada sama cap jari termasuk dengan dia (Anwar) ini. Tidak ada jari orang lain yang sama bacaan dengan bacaan yang kita kata 16 tadi.
Sebab negara kita, ada undang-undang yang tidak wajibkan DNA diberi secara sukarela oleh orang yang kena tuduh seperti Anwar. Negara-negara lain diwajibkan. Kalau tidak beri, akan jadi kesalahan undang-undang. Oleh sebab itu, Anwar ambil kesempatan tidak mahu beri langsung DNA. Kalau dia tidak salah, apa yang dia takut tetapi itu hak dia. Apabila dia ditangkap, DNA Saiful sudah hantar kepada ahli kimia dan ahli kimia sudah tahu keputusan tetapi kita tidak tahu siapa "Lelaki Y". Apabila Anwar ditempatkan di dalam lokap, dia diberi tuala Good Morning, berus gigi dan ubat gigi. Dia sendiri bawa masuk satu botol minuman. Isterinya beri dia dua helai tuala yang bersaiz medium.
Apabila dia bangun pagi itu, dia sudah gunakan berus gigi dan ada pengawal yang dengar dia memberus gigi. Air itu juga habis dia minum tetapi botol dia tinggalkan. Dia tinggal ubat gigi, berus gigi dan tuala Good Morning. Yang ini dihantar kepada ahli kimia yang lain. Ahli kimia yang pertama itu namanya Dr. Seah Lay Hong. Ahli kimia kedua yang pakar DNA ini namanya Nor Aidora Saedon. Dia memeriksa DNA tanpa tahu menahu siapa punya DNA, tetapi dia diberitahu lokus yang sama untuk buat perbandingan. Apabila dia periksa, dia pun kata "Lelaki Y" tetapi tidak tahu profil DNA "Lelaki Y" yang itu dan yang ini, sama atau tidak. Apabila Nor Aidora bandingkan, 100 peratus sepadan. Habis cerita. Begitulah betapa kukuhnya kes ini.
Dalam kenyataan Tan Sri tentang ”Anwar Ibrahim Verdict”, kenapa Tan Sri mengharapkan rakyat Malaysia di dalam dan luar negara membaca fakta secara teliti dalam penghakiman sebelum membuat kesimpulan?
MUHAMMAD SHAFEE: Oleh sebab kes kita ini amat kuat. Keterangan terhadap Anwar ini terlalu kuat. Kita tidak boleh pertikai. Tak boleh hendak kata apa-apa pun berkenaan dengan fakta ini. Kalau saya jadi peguam bela dia pun, saya pening kepala sebab keterangan memang kuat. Jadi, oleh sebab keterangan itu kuat, kita berani kata sila masuk, kita tengok keterangan itu. Jangan cerita benda-benda lain. Konspirasilah, itulah dan inilah, semua itu cerita politik untuk propaganda. Kalau kita hendak tahu orang ini dianiayakan atau tidak, kita tengok fakta kes. Mereka tidak berani masuk fakta kes. Saya tidak pernah dengar sekalipun dalam mahkamah dari Mahkamah Tinggi hingga Mahkamah Persekutuan yang Anwar kata itu bukan DNA dia. Apa yang dia pertikaikan ialah cara DNA itu dikaji, cara analisis itu semua dia kata teknik salah.
Apabila dia beri keterangan dari kandang tertuduh (dock), bukan kandang saksi, jadi dia tidak boleh disoal balas. Jadi, dia penakutlah dan ada yang dia nak sembunyi. Selalunya keterangan dari dock ini, orang-orang yang lemah fikiran dan otaknya tidak pandai. Mungkin orang terlalu muda atau ada cacat sedikit cara pemikirannya. Anwar bukan sebegitu. Anwar cakap lancar, bijak fikiran dan orang yang petah. Pasal apa dia tidak masuk dalam kandang saksi. Walhal subjek, Saiful ini tujuh hari disoal balas dan Saiful sekali pun tidak tersilap dari segi beri keterangan. Jadi, mahkamah jelas. Anwar main sandiwara banyak sangat.
Anwar dan penyokong beliau masih anggap ini merupakan konspirasi politik dan bukan kisah aduan “serangan seksual” majikan ke atas pekerjanya. Apa komen Tan Sri?
MUHAMMAD SHAFEE: Kalau konspirasi politik, ini bukan baru bermula. Ia bermula daripada kes liwat pertama. Kalau begitu konspirasi, orang yang harus masuk dalam konspirasi ini ialah Karpal Singh juga sebab dia timbulkan perkara ini dalam tahun 1997, setahun sebelum Anwar dibuang kerja. Kita hendak tanya Anwar, konspirasi itu apa maksudnya? Apakah konspirasi untuk kenakan dia atas perkara memang dia lakukan atau konspirasi kenakan dia atas perkara dia tak pernah lakukan. Kalau dia lakukan, kalau orang kata kita perlu siasat dan kenakan dia, itu bukan konspirasi yang salah di sisi undang-undang. Polis pun pakat kalau hendak siasat kes tetapi itu konspirasi yang tidak ada maksud membuat kesalahan undang-undang, sebab itu hak polis untuk siasat termasuk kes liwat kedua ini.
Orang tanya kenapa Saiful pergi jumpa Datuk Seri Najib Tun Razak dua hari sebelum dia kena liwat pada 26 Jun 2008. Menurut Saiful, dia sudah hilang akal berkenaan kepada siapa dia hendak laporkan kerana ini Anwar, Ketua Pembangkang. Dahulu pun, Anwar menang kes itu. Apabila Saiful datang jumpa, Najib terus katakan tidak boleh dan nasihatkan Saiful jumpa Ketua Polis Negara (KPN) pada masa itu. Najib beritahu Saiful perkara ini amat sensitif dan tidak mahu orang buat tuduhan.Apabila Saiful hubungi KPN, beliau pula minta Saiful jangan telefon dia lagi kerana ingat Saiful main-main. Jadi, Saiful serba salah. Apabila perkara 26 Jun 2008 berlaku, Saiful letak jawatan kerana tidak sanggup diliwat lagi sebab sembilan kali dia kena. Saiful kata dia tidak rela tetapi terpaksa menyerah kerana dominasi Anwar terlampau kuat. Hari itu, Saiful kata tidak mahu tetapi Anwar marah dia dan minta dia masuk ke dalam bilik.
Kita hendak tanya di mana kita boleh dapat air mani Anwar? Bukan dia simpan dalam bank. Bukan hanya air mani tetapi air mani itu ada sperma. Dalam kes ini, oleh sebab antara 48 hingga 56 jam, ekor sperma sudah putus sebab proses pembusukan sudah berlaku tetapi tidak begitu ketara. Sebab itu ekor sperma itu tidak ada. Ahli kimia kata proses pembusukan itu tidak mencemarkan. Dia mendapat DNA daripada kepala sperma. Apabila dia pecahkan tiap-tiap kepala, dia ekstrak DNA. Itu yang 16 bacaan menunjukkan Anwar.
Walaupun dengan bukti-bukti kukuh ini, penyokong Anwar masih tidak percaya insiden liwat ini benar-benar berlaku tetapi masih menganggap satu konspirasi.
MUHAMMAD SHAFEE: Dalam mahkamah, peguam Anwar sendiri tidak kata itu bukan dia punya DNA. Jadi, apa yang penyokong-penyokong bising. Peguam dia 14 orang, tidak pernah seorang pun kata itu bukan dia. Hanya mereka mempertikaikan proses analisis. Itu sahaja. Kalau proses analisis itu, macam mana dapat 16 daripada 16 bacaan.
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengatakan hukuman penjara lima tahun itu ialah pengorbanan Anwar untuk rakyat Malaysia. Tidakkah ini mengelirukan rakyat?
MUHAMMAD SHAFEE: Mana ada pengorbanan. Kalau pengorbanan, dia mengaku salahlah. Yang itu baru kita kata korban. Ini dipaksa masuk dalam penjara sebab didapati bersalah sebab dia bohong daripada awal. Awal-awal lagi dia kata pembelaan dia ialah alibi. Sebanyak 13 nama dia beri masuk tetapi seorang pun dia tak panggil sebab daripada awal lagi dia hendak tipu. Dia hendak kata dia bukan di apartment itu tetapi di apartment sebelah. Akhirnya apabila kita tunjuk kamera litar tertutup (CCTV), dia sudah terpegun. Alibi dia semua habis terbang. Saya pun hendak tengok dia panggil Wan Azizah untuk apa. Dalam keterangan dari kandang pun dia tidak kata alibi. Jadi, alibi kira lesap terus.
Anak perempuan Nurul Izzah ada bertanya kepada Anwar, “Atuk, kenapa mereka cakap pasal penjara?” Anwar cakap kepada cucunya, “Orang jahat nak sumbat atuk dalam penjara.” Komen Tan Sri?
MUHAMMAD SHAFEE: Saya rasa kalau dia kata orang jahat, bukan sahaja mahkamah, dia maksudkan ada konspirasi dengan kerajaan, menteri-menteri, Perdana Menteri, Pendakwa Raya dan polis pun termasuk. Kita tengok konspirasi ini. Ada satu kes di India melibatkan Sushil Sharma yang dipanggil sebagai kes pembunuhan Tandoor. Dia orang politik di Delhi, Ketua Pemuda Parti Kongres, seorang yang berpengaruh. Dia bergaduh dan menembak mati isterinya. Dia bawa mayat perempuan itu ke restorannya dan dimasukkan dalam tandoor untuk dibakar bagi hancur tetapi badan manusia bau kuat.
Polis pun tengok dan nampak ada kaki dan jari tetapi badan hampir hancur. Itu pun DNA ahli politik ini dipertikaikan. Dia kata konspirasi daripada polis, ahli kimia, kerajaan dan macam-macam lagi untuk jatuhkan karier politiknya, sama seperti Anwar tetapi semua bahan bukti ini sudah diperolehi. Dia pun buat alibi tetapi tidak pakai alibi tetapi dia lari dari tempat itu. Dia pun beri keterangan dari dock, macam Anwar 100 peratus.
Kalau konspirasi, mesti ada konspirasi daripada Saiful, kerajaan dan mungkin Kabinet, polis dan empat doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Tetapi yang doktor ini menarik. Pada 28 Jun 2008, Saiful pergi ke Hospital Tawakal dahulu tetapi diberitahu hospital itu beroperasi sampai tengah hari dan tidak ada doktor.
Baru dia pergi ke Hospital Pusrawi dan jumpa dengan doktor dari Myanmar yang mahkamah kata tidak jujur. Memang dia mengaku dia buat itu semua silap. Benda yang dia tidak pernah tulis dalam rekod, selepas tiga minggu baru dia tulis untuk menyokong Anwar. Dia yang kata Saiful kena pergi HKL sebab di situ tidak ada forensik.
Apabila sampai HKL 3.30 petang, akhirnya Saiful diperiksa pukul 9.30 malam. Kamu fikirlah kalau ada konspirasi, takkan mereka tidak aturkan untuk permudahkan. Selain itu, ahli kimia pun kena masuk konspirasi. Dua ahli kimia; seorang Cina dan seorang Melayu. Doktor pun ada satu Cina dan tiga Melayu. Selepas itu pegawai penyiasat, timbalan pendakwa raya yang awal dan saya pun mesti ada dalam konspirasi dan hakim pun mesti konspirasi, tetapi hakim pertama buang kes. Mana ada konspirasi.
Kes jenayah ini, semua dikatakan konspirasi, sebaliknya apabila kes sivil yang banyak mereka menang tidak pula dikatakan konspirasi?
MUHAMMAD SHAFEE: Hakim yang dia maki hamun di Mahkamah Tinggi, hakim itu yang bebaskan dia. Apabila hakim itu bebaskan dia, dia kata keadilan ditegakkan. Cuba tengok dalam kes liwat satu, Anwar dilepaskan oleh Mahkamah Persekutuan. Mereka ada baca penghakiman tentang Anwar. Dalam itu, dia kata macam-macam pasal Anwar. Seorang peguam Anwar masa itu, Christopher Fernando muncul di televisyen dan menyatakan ini hari paling istimewa bagi badan kehakiman sebab buang kes ini. Selepas itu, mereka baca keputusan dengan terperinci. Hakim kata, walaupun Anwar dilepaskan atas dasar teknikal, ada bukti-bukti menunjukkan dia homoseksual. Ada aktiviti itu berlaku di Tivoli Villa.
Pada 2014, mereka cuba buat satu permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk buangkan kenyataan-kenyataan berkenaan yang hakim Mahkamah Persekutuan dahulu kata, tetapi hakim Mahkamah Persekutuan yang baharu kata tidak boleh kerana ini dapatan fakta daripada mahkamah. Dia kata, kita kekalkan sebab ada dasar dan sebab kukuh kenapa dapatan fakta itu dibuat. Jadi, ia jadi lebih konkrit.
Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong menyatakan Ketua Pembangkang sepatutnya lebih wajar didakwa mengikut Seksyen 377C iaitu bagi kesalahan lebih berat yang akan mendedahkan Anwar kepada hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun. Soalnya, kenapa pasukan Pendakwa Raya memilih untuk mendakwa Anwar di bawah Seksyen 337B yang tidak menetapkan tempoh penjara minimum?
MUHAMMAD SHAFEE: Dalam kes 377C, kita harus tunjukkan dengan begitu jelas yang tidak ada kerelaan dia dan dibuat dengan paksaan. Jadi, Peguam Negara mungkin kata kenapa hendak pergi melalui jalan itu kerana kesalahan itu memang kesalahan, sama ada dengan kerelaan Saiful atau tidak. Hukuman maksimum penjara 20 tahun juga.
Kalau Anwar kena 377C, hukuman penjara minimum lima tahun. Kalau minimum lima tahun, dia mesti terpaksa kena penjara tujuh atau lapan tahun. Lagi satu, dia kena rotan. Orang lebih 50 tahun tidak boleh dirotan kecuali kes 377C sebab kes itu serius. Mungkin sebab itu Peguam Negara tidak mahu kontroversi sangat sebab Anwar sudah berumur dekat 70 tahun. Dia patut berterima kasih kepada Peguam Negara.
Datuk S. Ambiga menyatakan dia kecewa kerana Tan Sri "menyerang" Anwar apabila mengeluarkan kenyataan menghina Anwar selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara selama lima tahun bagi pertuduhan liwat. Tan Sri juga didakwa melanggar hak asasi manusia apabila "menyerang" Anwar yang tidak boleh mempertahankan diri. Komen Tan Sri?
MUHAMMAD SHAFEE: Saya hanya keluarkan kenyataan sebab mula-mula Christopher Leong kata ini bukan pendakwaan tetapi penganiayaan. Sebagai Presiden Majlis Peguam, dia tidak boleh bercakap macam itu. Ertinya apa? Mahkamah buat aniaya, saya buat aniaya dan polis semua buat aniaya. Takkan saya tidak ada hak asasi saya sebagai Pendakwa Raya untuk menegakkan apa yang saya buat itu betul. Saya hanya menjawab. Dia yang buka pekung dulu.
Kemudian Ambiga masuk buat cerita Barisan Nasional (BN) salah langkah untuk mempenjara Anwar. Adakah mahkamah itu sebahagian BN? Sepatutnya Ambiga didakwa menghina mahkamah kerana dia menyabitkan mahkamah seolah-olah sebahagian BN. Saya cadangkan Peguam Negara ambil tindakan. Kalau perkara-perkara begini dikeluarkan, takkan kita tidak boleh jawab? Kalau kita tidak jawab, rakyat masih percaya.
Bagaimana dengan status Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh? Adakah ia akan terbatal selepas tempoh 14 hari daripada tarikh sabitan dan hukuman? Tempoh itu mungkin lebih panjang sekiranya Anwar mengemukakan petisyen bagi mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong?
MUHAMMAD SHAFEE: Anwar ada 14 hari untuk kemukakan rayuan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong. Tetapi yang peliknya, kalau kita hendak minta ampun, kita mesti kata kita salah dan minta ampun. Boleh kita kata kita tak salah tetapi kita hendak minta ampun. Kedua, ini bermaksud dalam 14 hari itu dia masih lagi Ahli Parlimen. Selepas 14 hari itu pun dia masih lagi ahli Parlimen. Sebab badan Parlimen kena bersidang dan membuat keputusan berdasarkan kes ini, dia harus disingkirkan, barulah keahlian hilang. Ini berdasarkan kes Ahli Parlimen daripada DAP, Fan Yew Teng pada 1975.
Sistem kehakiman dan mahkamah kita pada mata dunia sudah teruk sebab diburuk-burukkan dan dihentam. Bagaimana hendak memulihkannya?
MUHAMMAD SHAFEE: Apabila mahkamah buat keputusan setiap kes, hakim mesti tulis alasan penghakiman. Alasan penghakiman itu akan menunjukkan cara perjalanan otak hakim tersebut. Kalau tersalah tulis atau tersalah penghakiman, ia akan tertera dalam tulisan tersebut. Orang boleh baca. Jadi, standard alasan penghakiman mesti dipertingkat. Jadi, bukan sahaja kita tahu bahawa kita buat penghakiman yang baik tetapi orang juga harus tahu dengan membaca alasan yang kita buat keputusan yang baik. Jadi, penghakiman berlaku dan penyaksi penghakiman dilakukan juga mesti ada. Itu dalam bahasa Inggeris kata “not only justice must be done but justice must be seen to be done”. Sebab baru ada keyakinan.
Cara kita kendali dalam mahkamah pun mesti baik termasuk etika dan cara kita dengar. Saya percaya orang Melayu paling bagus sebagai hakim. Kita sabar dan tidak mudah hilang sabar. Bukan kita hendak jadi rasis tetapi peguam bangsa lain pun kata Melayu lebih bagus sebab kita sabar. Kalaulah saya aniaya Anwar, tidak payah tunggu saya mati masuk neraka. Di sini, di dunia saya dah masuk neraka. Kalau tidak jadi kepada saya, mungkin jadi kepada anak atau keluarga saya. Saya berani bersumpah di masjid atau di Mekah bahawa apabila saya buat rayuan kes ini, saya dengan jujur percaya Anwar salah.
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/kes-anwar-bukan-satu-konspirasi-1.59532#sthash.kIKs2ECs.dpuf
LIWAT : Bebelan Duta AS tidak menjadi kudis, tetapi kenalah bertindak
ANEKDOT AHAD
KU SEMAN KU HUSSAIN (KUSEMANKH@GMAIL.COM) | 15 Februari 2015 12:09 AM
Amerika Syarikat (AS) telah mencabuli kedaulatan undang-undang negara ini apabila mempersoalkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Tindakan ini bukanlah kerana berteraskan hak asasi manusia tetapi lebih kepada mahu menekan Malaysia supaya membebaskan Anwar.
Hubungan Anwar dengan AS bukan rahsia lagi. Kalau buka sejarah lama, kita akan tahu bagaimana rapatnya Anwar dengan bekas Setiausaha Pertahanan AS pada era Presiden Bill Clinton, William Cohen yang juga seorang Zionis daripada Parti Demokrat. Ketika itu Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Difahamkan Cohen mengenali Anwar pada pertengahan 1990-an melalui Projek Dailog Pasifik yang dianjurkan oleh Institut Kajian Dasar (IKD) sebuah badan pemikir yang diterajui Anwar. Ditaja oleh sebuah yayasan Kristian Jerman, Konrad Adenauer Foundation (KAF).
Semua ini serba sedikit fakta untuk menunjukkan hubungan rapat Anwar dengan AS. Ini bertujuan supaya sesetengah pihak tidak "terkejut beruk" apabila Duta AS ke negara ini, Joseph Y. Yun sanggup mempersoalkan keputusan mahkamah terhadap Anwar di atas tuduhan jenayah seksual. Dia bukan mengeluarkan kenyataan peribadi tetapi mewakili pendirian negaranya.
Nampaknya kehadiran Presiden Barack Obama ke negara ini selepas hampir setengah abad Presiden AS tidak datang ke Malaysia tidak berkesan untuk mencairkan hubungan setiakawan Anwar - AS. Walaupun sesetengah pihak begitu teruja dengan kehadiran Obama seolah-olah itu “rahmat dari Tuhan” kepada negara ini, perbuatan memperlekeh undang-undang kita kenalah dibetulkan.
Apabila berlaku perkara ini, diharapkan orang yang begitu teruja dengan Obama tidak menghantuk kepala ke dinding kerana kecewa dipermainkan AS. Ada yang tidak suka tulisan yang mengkritik AS dan ini menjadikan Duta AS di Kuala Lumpur agak “besar kepala” membuatkan dia berani mengkritik undang-undang kita.
AS sepatutnya menghormati sistem demokrasi sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Dalam sistem demokrasi Malaysia, Anwar ditolak apabila pakatan pembangkang gagal memenangi pilihan raya umum sebanyak tiga kali iaitu 1999, 2004, 2008 dan 2013. Hendak dikatakan sistem pilihan raya dikawal oleh kerajaan, parti kerajaan sendiri pun kehilangan banyak kerusi dan 2013 adalah sejarah terburuk parti Barisan Nasional (BN).
Ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, layanan AS terhadap Anwar melebihi kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Salah satu sebabnya Dr. Mahathir lantang mengkritik dasar-dasar AS yang berat sebelah menindas negara-negara Islam di Asia Barat terutama di Palestin dan Iraq. Sebab itulah AS berbaik-baik dengan Anwar yang hanya selangkah sahaja lagi untuk menjadi Perdana Menteri.
Saya faham AS merupakan rakan dagang Malaysia yang besar. Misalnya nilai eksport Malaysia ke AS mencecah lebih RM80 bilion. Satu jumlah yang besar. Tetapi kita wajar memperlihatkan ketegasan dalam perkara-perkara yang melibatkan maruah dan kedaulatan negara. Tidak boleh bertolak ansur dalam perkara ini.
Walaupun kenyataan Duta AS itu boleh dianggap terpencil tetapi wajar diambil tindakan. Tujuannya membuktikan Malaysia bukan berada di bawah telunjuk AS. Malaysia bukan Iraq atau Libya di mana AS boleh menghasut rakyat negara itu bertindak tidak demokratik menukar pemimpin. Tambahan pula ini bukan kali pertama AS mencampuri hal dalaman negara ini malah sebelum ini mempersoalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Hasutan 1948.
Banyak pihak tahu bahawa yang kuat menentang Akta Hasutan 1948 dan ISA ialah pembangkang, dalam kata lain ialah Anwar. Walaupun ISA telah dimansuhkan tetapi hujah hak asasi manusia terus diperalatkan dengan sokongan AS. Malah hukuman ke atas Anwar juga dikaitkan dengan pelanggaran hak asasi.
Isu Anwar ini berbeza dengan ketegangan hubungan diplomatik antara Indonesia dan Belanda apabila Indonesia menjatuhkan hukuman mati terhadap rakyat Belanda atas kesalahan mengedar dadah. Belanda sedaya upaya mahu menyelamatkan rakyatnya. Sekiranya AS mempersoalkan hukuman ke atas Anwar yang merupakan rakyatnya, kita boleh memahami situasi itu walaupun tidak sepatutnya berlaku.
Malah isu Anwar ini juga berbeza dengan nasib bekas Perdana Menteri Pakistan, Zulfikar Ali Bhutto yang dikenakan hukuman mati oleh Jeneral Zia ul- Haq yang merampas kuasa negara itu pada 1979. Banyak negara merayu kepada Zia supaya tidak melaksanakan hukuman mati itu tetapi semua rayuan itu tidak diendahkan. Yang dilakukan oleh banyak negara ketika itu adalah atas dasar kemanusiaan dan bukan mencabuli kedaulatan undang-undang Pakistan, sekalipun hukuman itu lebih kepada dendam politik. Bagaimanapun campur tangan AS dalam kes Anwar adalah satu penghinaan terhadap sistem perundangan dan kehakiman negara ini.
Kalau benarlah ketidakadilan dan pencabulan hak asasi yang menjadi asas duta itu membebel, saya fikir AS tidak layak bercakap tentang perkara itu. Saya ada banyak hujah, salah satunya AS menggunakan Patriot Act 2001 kini dikenali sebagai USA PATRIOT (Uniting and Strengthening America by Providing Appropriate Tools Required to Intercept and Obstruct Terrorism) untuk mencabul hak asasi dan keadilan.
Akta USA PATRIOT membolehkan individu terutama bukan rakyat AS yang disyaki pengganas diseksa di kem tahanan Guantanamo. Sebahagian besarnya teraniaya dan mereka ditahan tanpa bicara serta diseksa bertahun-tahun lamanya. Ini lebih tidak bertamadun. Sebab itu AS tidak layak bercakap soal keadilan dan hak asasi manusia, mereka sendiri mencabulnya.
AS berbohong mahu menegakkan keadilan atau memperjuangkan hak asasi manusia. Itu retorik yang sudah basi. Sebab itulah kita kena menyedarkan mereka tentang hal ini. Berdiam diri dan menelan kebiadaban AS boleh menghakis keyakinan rakyat, walaupun tindakan Duta AS itu tidak boleh mengubah pandangan dunia kepada Malaysia.
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/bebelan-duta-as-tidak-menjadi-kudis-tetapi-kenalah-bertindak-1.59539#sthash.YBIdiAaZ.dpuf
Friday, 13 February 2015
LIWAT : Tiada layanan VIP untuk Anwar dalam jel
SHARAIMEI AHMEDULLAH | 13 Februari 2015 1:52 AM
AHMAD ZAHID HAMIDI bersama Wan Junaidi Tuanku Jaafar (duduk dua kanan), Alwi Ibrahim (kiri) dan Noor Rashid Ibrahim serta anggota Pasukan Pancaragam PDRM selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/RASHID MAHFOF
PUTRAJAYA 12 Feb. - Tiada sebarang layan istimewa bertaraf lima bintang atau ‘VIP’ akan diberikan kepada bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang menjalani hukuman penjara selama lima tahun di Penjara Sungai Buloh.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya bekas Ketua Pembangkang tersebut akan diberi layanan sama seperti yang diperoleh banduan lain secara adil dan saksama.
“Terdapat kegusaran yang kononnya Jabatan Penjara telah memberi layanan istimewa dan luar biasa kepada beliau di Penjara Sungai Buloh dan saya ingin mengesahkan Jabatan Penjara melayan semua yang dipenjara itu secara saksama seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang dan peraturan penjara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar.
Baru-baru ini tersebar dalam laman sosial bahawa Anwar mendapat layanan istimewa termasuk menikmati pelbagai kemudahan lain di dalam Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan kelmarin mengekalkan sabitan bersalah dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya atas kesalahan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, hampir tujuh tahun lalu.
Mengulas mengenai perhimpunan nyalaan lilin yang dirancang sebagai tanda solidariti kepada Anwar oleh penyokongnya di hadapan Penjara Sungai Buloh semalam, katanya, pihaknya bertindak profesional dalam menangani isu tersebut dan tidak berniat untuk menghalangnya.
“Kita mendapat tahu beberapa perhimpunan sedang dirancang termasuk perhimpunan memasang lilin di depan Penjara Sungai Buloh. Polis bertindak secara profesional dan kita tahu bahawa mereka tidak berhajat melakukan kekecohan dan hanya mahu menunjukkan keprihatinan,” katanya.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, layanan yang diberikan kepada Anwar sama seperti diperoleh banduan lain termasuk dari segi makanan dan tempat tinggal kecuali diberikan sebuah bilik untuk seorang.
“Kita tidak laksanakan ‘double standard’ untuk beliau.Layanan yang diberikan sama seperti banduan lain malah dari segi pertemuan bersama ahli keluarga juga sama iaitu jika mula-mula masuk akan dapat berjumpa sebulan sekali, selepas itu tiga minggu sekali, dua minggu sekali dan seminggu sekali mengikut proses yang telah ditetapkan penjara,’ katanya.
Sementara itu, Noor Rashid memberi peringatan kepada penyokong Anwar supaya mematuhi peraturan dan tidak menimbulkan kekecohan ketika mengadakan perhimpunan bagi menunjukkan sokongan kepada bekas Ketua Pembangkang itu.
“Berdasarkan maklumat beberapa perhimpunan secara aman akan diadakan antaranya di hadapan pusat membeli belah SOGO dan Dataran Merdeka pada hujung minggu ini. Saya nasihatkan apa jua perhimpunan dan perarakan yang akan dilancar mesti mematuhi undang-undang sedia ada dan sekiranya dilanggar polis terpaksa mengambil tindakan tegas bagi memastikan ketenteraman awam dijaga,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/tiada-layanan-vip-untuk-anwar-dalam-jel-1.59024#sthash.VWFU0yXA.dpuf
Subscribe to:
Posts (Atom)
















