SHAH ALAM - Harimau Malaya mengotakan janji
apabila melakar kemenangan pertama selepas lapan tahun ke atas musuh
tradisi, Singapura 2-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah
Alam semalam.
Di hadapan 25,000 penonton, jaringan penyerang Negeri Sembilan, Ahmad
Shakir Ali pada minit ke-18 dan Safiq Rahim pada minit ke-62 meleburkan
badi sejak 2004, di mana Malaysia gagal mengalahkan Singapura dalam 10
perlawanan terakhir.
Kali terakhir Malaysia menumpaskan Singapura ialah pada perlawanan
persahabatan di Stadium Cheras juga dengan jaringan 2-0 ketika skuad
negara dibimbing Allan Harris.
Kemenangan semalam turut menebus kehampaan Harimau Malaya pada
perlawanan persahabatan pertama 8 Jun lalu di Stadium Jalan Besar,
Singapura yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri 2-2. Pada perlawanan tersebut, skuad negara mendahului 2-0 namun Singapura
bangkit pada lima minit terakhir dalam perlawanan yang turut
mencetuskan kontroversi.
Namun kemenangan semalam tidak boleh terlalu dibanggakan oleh skuad
Datuk K. Rajagobal kerana Singapura turun tanpa lapan pemain utama
kerana menyertai kem kerahan tenaga negara iu, juga faktor kecederaan.
Rajagobal membuat keputusan tidak menurunkan Safee Sali pada bahagian
serangan, sebaliknya memberikan peluang kepada Ahmad Shakir Ali, yang
bergandingan dengan Norshahrul Idlan Talaha di bahagian serangan. Azamuddin Mohd. Akil turut meraih tempat dalam kesebelasan utama.
Selain itu, Rajagobal juga membuat percaturan menarik meletakkan
Mohd. Fadhli Shas beraksi pada bek kiri dan memberikan kepercayaan
kepada Amiridzwan Taj Tajudin mengemudi barisan tengah pertahanan
bersama rakan sepasukan di Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd. Aidil
Zafuan. Percaturan Rajagobal meletakkan Shakir bersama Norshahrul atau Mat Yo
jelas membuahkan hasil apabila berjaya menggegar gawang Singapura
seawal minit ke-18.
Melalui hantaran silang dari sebelah kiri Mat Yo, Shakir dapat
menyambut hantaran penyerang Kelantan itu sebelum melakukan tandukan,
yang menggembirakan seluruh penyokong Harimau Malaya di Shah Alam.
Skuad negara melebarkan kedudukan pada minit ke-62 hasil sepakan
percuma menarik Safiq dari jarak 25 meter yang gagal dijangkau penjaga
gol Singapura, Mohamed Hyrulnizam Juma'at. Safee akhirnya dibawa masuk pada minit ke-64 menggantikan Shakir,
namun dia tidak banyak memberikan kesan terhadap jentera serangan untuk
mengancam kubu Singapura yang dikawal Baihakki Khaizan.
Malang menimpa Singapura apabila Mustafic Fahrudin dilayangkan kad
merah pada minit ke-67 kerana melakukan terjahan keras ke atas Mat Yo. Ini menyebabkan jurulatih Singapura, Radojko Avramovic berang kerana
tidak berpuas hati dengan keputusan yang dilakukan oleh pengadil dari Thailand, Teetichai.
No comments:
Post a Comment