Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label AGAMA ISLAM. Show all posts
Showing posts with label AGAMA ISLAM. Show all posts

Monday, 22 February 2016

Tuesday, 8 December 2015

Wajar bertaubat

Boleh membawa murtad

SYUKRI SHAARI, 
SOFIAN BAHAROM 
DAN AZHARI ZAINOODDIN | 08 Disember 2015 1:32 AM


Harussani Zakaria menunjukkan maklumat yang mencetuskan kontroversi oleh G25 menerusi telefon pintarnya dalam sidang akhbar selepas Program Bersama Mufti di Samudera di Jeti TLDM, Lumut, Perak, semalam. – Utusan /Kamal Basir Wahab

LUMUT 7 Dis. - Kumpulan bekas penjawat awam yang menggelar diri mereka sebagai G25 disaran segera bertaubat kerana tindakan ‘cuba’ meminda atau memansuhkan undang-undang syariah yang didakwa bertentangan dengan Perlembagaan negara boleh membawa kepada murtad.

Saranan itu disuarakan Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria yang menyifatkan bahawa hasrat kumpulan itu mahu memansuhkan beberapa undang-undang syariah sama seperti menentang hukum Islam dan juga Allah.

Harussani juga menganggap gerakan itu sebagai ancaman kepada umat Islam dan menegaskan bahawa umat Islam boleh jatuh kufur sekiranya ‘keluar’ daripada perintah Allah.

Menurutnya, jika kata khalwat itu adalah hak asasi manusia, kalau begitu, mencuri pun hak asasi manusia juga, bebas untuk mencuri, begitu juga dengan membunuh.

“Pada saya gerakan ini kelihatan seperti kumpulan orang-orang yang putus asa, mungkin kerana mereka tidak diberi kesempatan atau peluang selepas pencen, sebab itu cari jalan ini.

“Saya minta kumpulan ini bertaubatlah dan buat kerja amal yang lebih baik daripada kita mahu rosakkan agama, pecah-belahkan umat Islam. Lebih baik mereka buat persatuan menggunakan kebijaksanaan untuk membantu perkara-perkara yang membangunkan umat. Janganlah kita terbawa-bawa dengan budaya Barat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Bicara Bersama Mufti di Samudera di Jeti Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini, hari ini.

Semalam, G25 mahu penubuhan sebuah jawatankuasa perunding bagi membincangkan untuk meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah termasuk hukuman terhadap perbuatan berkhalwat yang didakwa melanggar hak kebebasan seseorang seperti termaktub di dalam Perlembagaan.

Jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin berkata, dengan berpandukan pada prinsip Perlembagaan, kumpulan tersebut menentang sebarang hukuman terhadap perbuatan khalwat jika dilakukan di rumah persendirian kerana itu adalah hak dan privasi setiap individu.

Dalam pada itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohammad Shukri Mohammad ketika dihubungi menegaskan, tindakan kumpulan itu mengangkat perjuangan hak privasi individu menggambarkan seolah-olah mereka membelakangkan hak yang lebih agung iaitu hak Tuhan.

Katanya, hak Tuhan perlu diperjuangkan terlebih dahulu, kecuali seseorang itu tidak mempercayai wujudnya Tuhan.

“Undang-undang khalwat ini dibuat sebagai mekanisme membasmi kemungkaran dalam masyarakat. Tindakan dalam mencegah kemungkaran ini sememangnya adalah peraturan Islam.

“Kita juga ada hak masyarakat. Bagaimana hendak asingkan hak individu dengan hak masyarakat sedangkan kita semua hidup dalam satu rangkaian tanggungjawab kepada satu sama lain?” soalnya.

Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, prinsip Perlembagaan tidak mengatasi al-Quran kerana Kalam Allah itu mengatasi segala-galanya.

Tegasnya, telah termaktub dalam Perlembagaan yang turut menetapkan Islam adalah agama rasmi Persekutuan.

“Jadi bagaimana pula khalwat itu dikatakan perkara peribadi dan tidak boleh dijadikan sebagai jenayah? Kumpulan bekas penjawat awam (G25) bercakap tanpa pengetahuan tentang jenayah Islam yang ditetapkan oleh al-Quran.

“Mereka perlu meneliti dan mendalami jenayah Islam dan bila tidak tahu, mulalah bercakap ikut hukum akal, walhal (hukuman) memang sudah termaktub dalam hukum syarak,” tegasnya.

Dalam pada itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor meminta G25 tidak terlalu ghairah meniru gaya hidup masyarakat Barat yang terlalu bebas sehingga hilangnya nilai-nilai moral dalam kehidupan.

Beliau berkata, peraturan yang termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri di Malaysia dan undang-undang syariah yang diguna pakai adalah bagi memelihara kesejahteraan umat Islam di negara ini daripada perkara-perkara merosakkan termasuk perbuatan berkhalwat.

Tegas beliau, sekiranya kehidupan umat Islam di negara ini tidak lagi berlandaskan nilai-nilai moral dan prinsip berakhlak murni, keutuhan negara akan tergugat, sekali gus menjadikan kehidupan masyarakat menjadi kucar-kacir.

Katanya, kumpulan ini amat terpengaruh dengan pemikiran liberal Barat dan bernostalgiakan zaman penjajahan lalu yang meminggirkan agama serta budaya tempatan.

“Sepatutnya mereka memanfaatkan kesempatan yang ada setelah bersara untuk mendalami pengetahuan agama dan beribadat demi persediaan serta bekalan di akhirat kelak.

“Tidak sepatutnya masa yang ada ini dibazirkan dengan menimbulkan isu-isu yang aneh, janggal dan mengelirukan masyarakat. Jangan meracuni fikiran masyarakat dengan fahaman sendiri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/wajar-bertaubat-1.166829#sthash.EqhU0E24.dpuf


Thursday, 15 October 2015

Friday, 9 October 2015

CELAH GELEGAR: [ITUPUN MELAYU MALAYA MASIH 'BUTA'?] Dulu Singapur...

CELAH GELEGAR: [ITUPUN MELAYU MALAYA MASIH 'BUTA'?] Dulu Singapur...: Apa dah jadi kepada Filipina? Dulunya Manila diperintah oleh Raja Sulaiman. Mindanao diperintah oleh Sultan Muhammad Kabungsuwan. Sek...

Berpakaian, berlagak seperti wanita di tempat awam boleh didakwa

09 Oktober 2015 1:28 AM


Sebahagian daripada peguam yang mewakili Kerajaan Negeri Sembilan yang terlibat dalam Bantahan Awal Kerajaan Negeri Sembilan dan lima yang lain berhubung Undang-undang Jenayah Syariah yang melarang lelaki berpakaian wanita, di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, semalam. UTUSAN/ABDUL NAZIR MOHAMED

Penyokong komuniti transgender berkumpul di luar Mahkamah Persekutuan selepas mahkamah menerima Bantahan Awal Kerajaan Negeri Sembilan dan lima yang lain berhubung Undan. undang Jenayah Syariah yang melarang lelaki berpakaian wanita di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, semalam. 

PUTRAJAYA 8 Okt. – Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 adalah sah di sisi undang-undang dan boleh terus dikuatkuasakan terhadap kaum lelaki yang memakai pakaian perempuan ataupun berlagak seperti wanita di tempat awam.

Perkara itu berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini sewaktu mengetepikan penghakiman kontroversi Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan seksyen berkenaan, melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif memutuskan demikian ketika membenarkan bantahan awal Kerajaan Negeri Sembilan dan lima pihak lain berhubung semakan kehakiman yang difailkan oleh tiga jurumekap pengantin bagi mencabar kesahan seksyen berkenaan.

Seksyen itu disandarkan untuk pihak berkuasa agama Negeri Sembilan mendakwa Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26, Syukor Jani, 28, dan Wan Fairol Wan Ismail, 30, di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban.

Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Zaharah Ibrahim.

Hakim Md. Raus ketika membacakan keputusan itu menyatakan, semakan kehakiman yang difailkan oleh tiga pondan tersebut tidak mengikut prosedur kerana ia gagal mematuhi Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan.

Pada hemat panel itu, Mahkamah Tinggi melakukan kesilapan yang serius pada peringkat awal lagi kerana membenarkan permohonan semakan kehakiman ketiga-tiganya untuk mempersoal kesahan seksyen itu.

Ujar Hakim Md. Raus, permohonan semakan kehakiman itu sepatutnya telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi atas alasan mahkamah tersebut tidak mempunyai bidang kuasa mendengarnya.

Panel itu berpendirian, ketiga-tiga mak nyah tersebut sepatutnya memfailkan permohonan kebenaran di Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu untuk mencabar kesahan sesyen berkenaan melalui isu-isu perlembagaan.

Jelas Hakim Md. Raus, jika kebenaran diberikan, mereka selanjutnya boleh meneruskan tindakan dengan memfailkan petisyen di mahkamah tertinggi negara untuk mendapat perisytiharan berhubung isu yang dibangkitkan.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan tersebut manakala Mahkamah Rayuan turut tidak mempunyai bidang kuasa mendengar rayuan mereka.

Pada 7 November tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Seksyen 66 sebagai tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan terhadap kaum lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam.

Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Selain Kerajaan Negeri Sembilan, lima pihak yang lain ialah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pengarahnya, ketua pegawai penguat kuasa syariah, ketua pendakwa raya syariah dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Keputusan mengejutkan itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman ketiga-tiga mereka.

Muhammad Juzaili, Syukor dan Wan Fairol mengemukakan semakan kehakiman dengan mendakwa bahawa Seksyen 66 tidak terpakai kepada mereka sebagai penghidap kecelaruan identiti jantina (GID) yang mana penyakit itu telah disahkan oleh satu laporan kesihatan dari Hospital Kuala Lumpur.

Ketiga-tiga mereka dilahirkan sebagai lelaki dan beragama Islam sebelum membuat pembedahan pertukaran jantina.

Dalam prosiding tersebut, peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah mewakili pemohon pertama hingga kelima manakala Datuk Sulaiman Abdullah bagi pihak pemohon keenam. Aston Paiva mewakili ketiga-tiga responden.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/berpakaian-berlagak-seperti-wanita-di-tempat-awam-boleh-didakwa-1.144520#sthash.hLagejBq.dpuf

Tuesday, 6 October 2015

Tuesday, 29 September 2015

Saya tidak akan tunduk – Mufti Pahang

29 September 2015 12:57 AM

KUANTAN 28 Sept. – Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman tidak gentar dengan ancaman DAP yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa agama negeri kerana khutbah Aidiladha yang mendakwa DAP menentang Islam.

Abdul Rahman Osman

Menurut beliau, khutbah ter­sebut merupakan satu nasihat kepada orang Islam supaya bersatu padu dan bukan bersama dengan pihak yang mencabar Islam.

“Kita tidak akan tunduk kepada pihak yang mahu jabatan ini memohon maaf dan menarik balik teks khutbah Aidiladha itu.

“Sepatutnya mereka yang me­mohon maaf terlebih dahulu kerana campur tangan dalam hal ehwal Islam seperti pelaksanaan hudud di Kelantan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas me­ngenai tindakan DAP kelmarin yang menggesa JAIP memohon maaf ber­hubung teks khutbah Aidiladha itu.

Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puri dilaporkan memberi masa lima hari sehingga Rabu ini untuk JAIP memohon maaf secara terbuka dan menarik balik khutbah itu atau berdepan tindakan undang-undang.

Menurut Abdul Rahman, beliau sedih dengan tindakan beberapa orang Islam dalam DAP yang lebih mempertahankan dasar parti itu dan tidak menghormati institusi Islam.

“Saya rasa terkilan dengan orang Islam dalam DAP, sepatutnya mereka kena mempertahankan ahli agama dan institusi Islam ini, namun mereka pula ingin menyaman ka­mi dan meminta kami memohon maaf,” katanya.

Dalam teks khutbah solat sunat Aidiladha yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang itu, umat Islam dinasihat supaya terus bersatu padu walaupun berlainan ideologi politik bagi mengelak perpecahan dalam kalangan orang Melayu yang semakin ketara.

Perpecahan itu kerana meng­utamakan parti politik melebihi perpaduan dan persaudaraan Is­lam seperti UMNO, Pas, PKR dan ditambah dengan Parti Amanah Negara (Amanah) malahan ada dalam kalangan umat Islam yang menyertai DAP secara terang-terangan menentang Islam.

Teks khutbah yang dibaca oleh Abdul Rahman di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 itu turut mengingatkan umat Islam supaya bergabung dan bersatu suara walaupun berlainan dasar politik mereka.

Abdul Rahman berkata, kan­dungan dalam khutbah berkenaan adalah benar dan bukannya ber­baur fitnah serta telah merujuk kepada al-Quran iaitu ayat 28 Surah Ali Imran.

Menurutnya, surah berkenaan menjelaskan larangan orang muk­min berpihak kepada orang kafir dan menjadikan mereka teman setia dengan meninggalkan orang mukmin.

“Kandungan dalam khutbah Ai­diladha bukan hasutan seperti didakwa DAP tetapi kita hendak berdakwah dan memberitahu ke­pada orang Islam lain mengenai perkara yang sudah dinyatakan dalam al-Quran.

“Kalau kita lihat dalam beberapa isu seperti hudud sebelum ini, mereka menentangnya yang ber­makna menolak hukum Islam sedangkan Islam tidak pernah me­nafikan hak orang lain walaupun Islam adalah agama Persekutuan di Malaysia,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/saya-tidak-akan-tunduk-8211-mufti-pahang-1.140977#sthash.Nci4YCKT.dpuf


Wednesday, 23 September 2015

Tuesday, 30 June 2015

Thursday, 23 April 2015

Wednesday, 22 April 2015

Thursday, 2 April 2015

LIWAT : Mahkamah tolak semakan

SUWARNI MOKHTAR | 02 April 2015 2:17 AM


Latheefa Koya semasa hadir pada pengesahan mengenai keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam. Utusan/Hafiz Johari


KUALA LUMPUR 1 April - Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini hari ini menolak semakan kehakiman oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membatalkan keputusan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia yang tidak membenarkannya untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung kini sehingga 4 April ini.

Ia berikutan Anwar telah hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh selepas Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menolak petisyen rayuan yang dikemukakan kepada Ba­ginda oleh keluarga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pada 24 Februari lalu.

Keputusan tersebut dibuat oleh Tuanku pada mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lalu dan berkuatkuasa serta-merta.

Hakim Datuk Asmabi Moha­mad turut memerintahkan Anwar membayar kos sebanyak RM3,000 kepada semua responden di dalam semakan tersebut.

Perkara itu dimaklumkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh pada pendengaran semakan kehakiman tersebut dan pengesahan lanjut berhubung keputusan Lembaga Pengampunan terbabit.

Amarjeet yang turut dibantu oleh Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke memberitahu, semakan itu ditolak memandangkan kedudukan Anwar sebagai Ahli Parlimen merupakan teras kepada permohonan berkenaan.

“Beliau (Anwar) hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen berkuatkuasa serta-merta sebagaimana yang dinyatakan di dalam Perkara 48(4)(c) Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, tiada asas untuk semakan kehakiman ini diteruskan,” katanya.

Dalam permohonan semakan yang difailkan pada 18 Mac lalu, Anwar menamakan Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.

Anwar memohon kebenaran untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sehingga 4 April ini kerana beliau kini menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di sebuah kondominium di Bukit Damansara di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Hukuman yang bermula 10 Februari lalu dibuat selepas panel lima hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengekalkan sabitan salah dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum itu yang membebaskan Anwar daripada tuduhan itu.

Sementara itu, peguam Anwar, Latheefa Koya, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang menolak pendengaran semakan tersebut.

Peguam terbabit juga dilihat mempertikaikan keputusan Lembaga Pengampunan yang didakwanya masih belum diterima oleh anak guamnya mahupun keluarga Anwar.

Jelasnya, tiada di dalam surat dan afidavit yang dihantar oleh Sekretariat Lembaga Pengampunan, Datuk Nursiah Arshad yang menyatakan bahawa petisyen itu ditolak.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/mahkamah-tolak-semakan-1.76207#sthash.km1ymGcB.dpuf


Wednesday, 4 March 2015

Thursday, 5 February 2015

Tasamuh (BERBUDI PEKERTI) dengan bukan Islam ada batasannya


Posted by celahgelegar



Tasamuh (dalam bahasa melayunya :berbudi pekerti atau berbuat baik) kepada bukan muslim adalah perkara yang diharuskan. Namun ia tetap mempunyai batas-batas yang perlu dijaga supaya tidak terjerumus dalam perkara yang dilarang Allah swt. Antara batas-batas atau garis panduannya adalah :

1. Tasamuh dengan bukan Islam hendaklah tidak sampai ke tahap mencintainya dan saling berkasih sayang dengannya (dalam ertikata wala’). Sepertimana pesan Al-Hafidz Ibnu Hajar dalam Al-Fath: “buat baik,berhubungan, dan ihsan dengan orang kafir tidak melazimkan kasih sayang, saling mencintai dengan mereka yang memang telah dilarang.” (Fathu Al-Bari li Ibni Hajar 5/233)

2. Menurut Imam As-Syahid Syed Qutub, tasamuh yang diharuskan mestilah tidak sampai tahap meredhai orang kafir kekal dengan agama mereka Qutub (Tafsir fi Zilal Al-Quran 2/910)

3. Menurut Syed Qutub lagi, tasamuh yang dibolehkan hanyalah dalam muamalah individu. Bukan dalam isu aqidah (Tafsir fi Zilal Al-Quran 2/912)

4. Kita hanya boleh tasamuh dengan mereka sekiranya mereka tidak memusuhi dan memerangi kita. Sepertimana firman Allah swt :

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil” (Al-Mumtahanah : 8)

5. Tasamuh kepada bukan Islam juga juga jangan sampai ke tahap mentaati sebarang arahan dan tuntutan mereka yang bercanggah dengan Syara’. Ini sudah termaktud dalam Al-Quran dalam Surah Luqman yang menjelaskan mengenai perkara ini. Seorang anak hendaklah berbuat baik kepada ibubapanya sekalipun mereka berdua kafir, namun diharamkan taat arahan mereka yang menyuruh mensyirikkan Allah. Firman Allah swt :

وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا
“Dan jika kedua (ibubapa) memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik” (Luqman : 15)


Wallah A’lam

Ust Ahmad bin KhairuddinBA (Hons) Shariah, Fiqh & Usul Fiqh, JordanAhli Majlis Ulama
 ISMA (MUIS)



Usaha bekukan saya daripada berceramah – Ustaz Kazim

05 Februari 2015 1:53 AM


Mohd. Kazim Elias


IPOH 4 Feb. – Pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias menyifatkan penyebaran rakaman ceramahnya yang didakwa sebagai berbaur perkauman merupakan usaha pihak tertentu untuk ‘membekukannya’ daripada muncul bercera­mah di khalayak ramai.

Menurut beliau, penyebaran rakaman video selama 2 minit 27 saat itu juga dilihat sengaja ditimbulkan bagi mengalihkan perhatian masyarakat terhadap isu lain yang sedang hangat diperkatakan dalam negara.

“Kebangkitan masyarakat untuk mendengar ceramah sangat hebat dan bukan semua orang suka perkara ini. Jika boleh, orang ini (Ustaz Kazim) diperamkan.

“Saya nampak usaha membekukan saya supaya tidak lagi boleh keluar di khalayak kerana bercakap isu perkauman padahal sebelum ini tidak pernah pun bercakap isu tersebut.

‘‘Isu ini ditimbulkan sebab Ustaz Kazim seorang yang dikenali, jika saya tidak dikenali orang tidak akan timbulkan isu ini. Kalau mahu ditimbulkan sejak 2009 lagi,’’ katanya dalam sidang akhbar di Pusat Pendidikan Al-Barakah di Manjoi dekat sini hari ini.

Terdahulu, Mohd. Kazim menyertai wakil 22 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melibatkan lebih 500 orang yang berhimpun di hadapan pusat pendidikan itu sebagai tanda sokongan terhadap beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakaman ceramah pada Disember 2009 di sebuah surau di Kemensah Heights, Kuala Lumpur itu hanya menjawab persoalan mengenai isu-isu yang hangat diperkatakan ketika itu tentang hak keistimewaan orang Melayu, ketuanan Melayu, raja dan anggota keselamatan.

“Adalah menjadi kewajipan sebagai seorang Islam untuk mempertahankan pemerintah dan mempertahankan sesuatu yang disuruh oleh agama. Oleh itu, saya huraikan dan tidak lama pun huraian itu dalam dua minit lebih.

“Sudah lama benda ini, saya pun tidak tahu kenapa dibongkar dan dijadikan isu selepas sehari saya dianugerahkan dengan gelaran Datuk.

“Saya menafikan sekerasnya tuduhan ini yang merupakan satu bentuk fitnah dan tuduhan melulu tanpa melihat kepada isi keseluruhan ceramah tersebut. Saya rasa pengadu tidak faham apa yang saya cakap atau dia faham yang dua minit itu dan tidak melihat sebelum dan selepas daripada dua minit,’’ katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/usaha-bekukan-saya-daripada-berceramah-8211-ustaz-kazim-1.56152#sthash.qjPSM4SI.dpuf

Wednesday, 28 January 2015

Transgender: Negeri Sembilan peroleh kebenaran merayu

SUWARNI MOKHTAR | 28 Januari 2015 1:42 AM


Beberapa ahli NGO hadir untuk mendengar permohonan kerajaan Negeri Sembilan, berhubung keputusan mahkamah rayuan kes lelaki transgender, di Istana Kehakiman, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/MD.SHAHJEHAN MAAMIN

PUTRAJAYA 27 Jan. - Kerajaan Negeri Sembilan dan empat yang lain hari ini berjaya mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap perintah Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa undang-undang syariah negeri itu yang menghalang kaum lelaki berpakaian wanita di tempat awam sebagai melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif memutuskan demikian sebulat suara ketika bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Datuk Zaharah Ibrahim.

Sehubungan itu, panel tersebut memerintahkan semua pihak terlibat menjawab persoalan yang akan menjadi teras kepada rayuan tersebut.

Persoalan itu adalah sama ada Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Undang-Undang Negeri Sembilan 1992 yang melarang kaum lelaki memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam bertentangan dengan lima Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kelima-lima Perkara itu adalah Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan (hak rakyat untuk hidup dan kebebasan diri), Perkara 8 (1) dan (2) (perlindungan sama rata tanpa mengambil kira agama, kaum, keturunan, tempat lahir atau jantina), Perkara 9 (hak untuk bergerak dengan bebas) dan Perkara 10 (1)(a) (hak untuk bercakap dan bersuara).

Kerajaan Negeri Sembilan diwakili peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang merupakan pemohon di dalam rayuan terbabit.

Yang turut disenaraikan sebagai pemohon adalah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pengarahnya, ketua pegawai penguat kuasa syariah dan ketua pendakwa raya syariah.

Tiga pak andam, Muhamad Juzaili Mohd. Khamis, 28, Shukor Jani, 29, dan Wan Fairol Wan Ismail, 31, yang dilahirkan sebagai lelaki dan beragama Islam, kemudian membuat pembedahan pertukaran jantina dinamakan sebagai responden.

Terdahulu, panel sama membenarkan permohonan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan yang diwakili peguam Datuk Sulaiman Abdullah untuk menjadi pencelah dalam rayuan tersebut.

Permohonan serupa yang dikemukakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Selangor, Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan Majlis Agama Islam Johor pula ditolak oleh mahkamah.

Bagaimanapun, Majlis-Majlis Agama Islam negeri-negeri yang ditolak permohonannya itu dibenarkan untuk menjadi pemerhati dalam rayuan tersebut dan boleh mengemukakan permohonan untuk berhujah, jika perlu.

Pada 7 November 2014, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus sebulat suara memutuskan Seksyen 66 itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas didapati bertentangan dengan Perlembagaan.

Panel terbabit menyatakan, penguatkuasaan Seksyen 66 itu akan meletakkan pihak responden yang mengalami kecelaruan identiti jantina (GID) terus hidup dalam ketidakpastian, kesengsaraan dan rasa malu kerana undang-undang tersebut telah menghukum golongan transeksual yang mempamerkan jantina pilihan mereka, mencemarkan maruah dan nilai individu-individu tersebut dalam masyarakat.

Muhammad Shafee ketika ditemui selepas tamat prosiding memberitahu, pihak-pihak terlibat mempunyai tempoh sebulan untuk memfailkan notis dan hujah rayuan masing-masing berhubung persoalan yang diberikan oleh mahkamah.

Tarikh pengurusan kes rayuan itu akan ditetapkan kemudian.

Dalam pada itu sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Justice for Sisters, S. Thilaga memberitahu pemberita, pihaknya mengambil pendekatan neutral dalam rayuan tersebut namun gembira mahkamah akan melihat kes tersebut dari segi Perlembagaan dan bukannya undang-undang moral.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/transgender-negeri-sembilan-peroleh-kebenaran-merayu-1.53451#sthash.XqLTMHei.dpuf

Tuesday, 27 January 2015

JENAYAH MEROTAN : Ambil kira pandangan orang ramai

27 Januari 2015 1:47 AM

MUAR 26 Jan. – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diminta mengambil kira pandangan orang ramai sebelum menggubal rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang akan menjadikan tindakan merotan anak sebagai satu ke­salahan jenayah.

Razali Ibrahim

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, pandangan orang ramai dapat membantu untuk membuat keputusan tentang perkara itu selain tidak mengetepikan keperluan hukuman tersebut mengikut Islam.

“Reaksi orang ramai boleh diberi pertimbangan yang wajar. Namun perkara ini (hukuman merotan anak-anak akan menjadi satu kesalahan jenayah) perlu diberi penjelasan bagi mengelak masyarakat salah faham sebelum digubal.

“Apabila tidak diperjelaskan secara betul, perkara ini menjadi bahan gurauan. Cadangan hukuman merotan anak-anak sebagai satu jenayah boleh dipertimbangkan,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pasar Awam Maharani, di sini hari ini.

Kelmarin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim memberitahu, merotan anak bakal menjadi satu kesalahan jenayah jika rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya Julai ini diluluskan.

Kenyataan tersebut telah mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk golongan ulama seperti Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria yang meminta kerajaan tidak terlalu mengikut kaedah atau sistem perundangan Barat dalam usaha melindungi hak dan kepen­tingan kanak-kanak di negara ini.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, masyarakat perlu faham bahawa tindakan merotan untuk mendidik anak-anak de­ngan merotan sehingga mengakibatkan penganiayaan dan pende­raan adalah dua perkara berbeza.

Justeru, cadangan itu, perlu dipastikan tidak bercanggah dengan hukum agama dan harus diperhalusi dari sudut Islam.

“Islam membolehkan merotan tetapi mesti mengikut garis panduan yang betul dan dibenarkan agama. Orang Islam tidak boleh membuat satu dasar yang menolak sesuatu perkara dibenarkan dalam agama.

“Kita mahu setiap undang-undang baharu dapat menyelesaikan masalah. Jangan kita terpesong jauh daripada konteks asal cadang­an ini. Maksudnya, ja­ngan kita tambah masalah baharu dalam kita cuba menyelesaikan masalah sedia ada,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/ambil-kira-pandangan-orang-ramai-1.53013#sthash.T8oNH5Zk.dpuf

Monday, 26 January 2015

Jangan ‘tergagau-gagau’ ikut Barat – Rais - TAK PAYAH POPULER SANGATLAH..

26 Januari 2015 1:13 AM

KUALA LUMPUR 25 Jan. – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim diminta membuat kajian terlebih dulu tanpa ‘tergagau-gagau’ mengikut budaya barat untuk menjadikan perbuatan merotan anak suatu kesalahan jenayah.

Rais Yatim

Sambil menyuarakan rasa hairan dengan kenyataan menteri itu, Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, Rohani tidak perlu terlampau mahu mengikut perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menetapkan amalan itu sehingga mengabaikan sosiobudaya yang dipraktikkan institusi keluarga di negara ini dalam mengawal tingkah laku anak-anak.

“Merotan anak ini sebenarnya perbuatan yang selaras dengan sosio budaya kita atau sengaja beliau (Rohani) nak tiru apa yang terkandung dalam konvensyen PBB sehingga menampakkannya popular.

“Sekarang pun anak-anak susah dikawal budi pekertinya, kalau bapa sendiri tak boleh merotan sedikit atau memukul tangan anaknya, ini sudah melampau.

“Kalau tidak ikut konvensyen ini tidak mengapa, bukan satu kemestian sebab aspek-aspek hak kemanusiaan ini lebih besar, bukan terhad pada kanak-kanak sahaja...ada 11 lagi konvensyen, jika semua nak ikut tanpa disesuaikan dengan amalan sosio budaya kita, susah kita nanti,” kata beliau kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Rais yang juga pakar undang-undang dan perlembagaan Persekutuan meminta Rohani merujuk mereka yang pakar sebelum mahu menjadikan perbuatan merotan anak suatu kesalahan jenayah.

“Jangan ‘tergagau-gagau’ menjadikan perkara itu kesalahan jenayah hanya kerana nak mengikut konvensyen PBB yang seolah-olah ‘bapa meniru’ yang tampak tidak ikut budaya timur,” kata beliau.

Semalam, Rohani berkata, penggubalan Akta Kanak-Kanak 2001 yang baharu berhubung isu merotan suatu perbuatan jenayah itu kini dalam peringkat akhir untuk diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara.

Kata Rohani: “Walaupun merotan anak merupakan sebahagian budaya masyarakat kita, namun kita perlu akur dengan perjanjian CRC yang memandang serius perkara tersebut.”

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/jangan-8216-tergagau-gagau-8217-ikut-barat-8211-rais-1.52551#sthash.j9v5geTx.dpuf

Rotan: Merencatkan institusi keluarga, masyarakat

26 Januari 2015 1:14 AM


KUALA LUMPUR 25 Jan. – Kerajaan diminta menangguhkan dan melakukan kajian lebih mendalam sebelum meneruskan hasrat menggubal rang undang-undang baharu bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang akan menjadikan perbuatan merotan anak sebagai satu kesalahan jenayah.

Mas Ermieyati Samsudin

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, hukuman akibat merotan akan merencatkan institusi keluarga kerana ibu bapa sepatutnya diberi ruang sepenuhnya untuk mendisiplinkan anak masing-masing asalkan tidak berlaku penderaan.

Sehubungan itu katanya, kerajaan tidak perlu tergesa-gesa dalam melaksanakan perkara itu sebaliknya kepentingan kanak-kanak serta keluarga mereka perlu diutamakan selaras dengan amalan dan budaya di negara ini.

“Saya berharap kementerian sudah mengadakan rundingan khusus dengan semua pihak yang berkepentingan seperti persatuan ibu bapa, pakar psikologi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar-pakar berkaitan sebelum keputusan dibuat.

“Wanita UMNO juga meminta supaya Jabatan Peguam Negara mengadakan satu pertemuan segera dengan semua pihak berkepentingan termasuk Wanita Barisan Nasional (BN) untuk mendengar penjelasan dan maklum balas mengenai kesan terhadap pindaan undang-undang yang akan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Shahrizat berkata, artikel lima dan 18 dalam CRC telah menyatakan setiap negara perlu menggunakan usaha terbaik untuk memastikan pengiktirafan prinsip bahawa ibu bapa mempunyai tanggungjawab utama dalam menyediakan didikan dan perkembangan kanak-kanak, selaras dengan adat tempatan.

“Saya merujuk kepada keputusan menjatuhkan hukuman ke atas pasangan suami isteri yang merotan anak mereka seperti kes Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Norshaldi (dipenjarakan di Sweden tahun lalu) yang boleh membawa kepada pemisahan sementara antara kanak-kanak dengan ibu bapa mereka.

“Wanita UMNO mempertahankan hak kanak-kanak daripada sebarang bentuk penganiayaan, pengabaian, penderaan dan keganasan, namun pindaan ini perlu diteliti dengan lebih mendalam serta meminta kerajaan tidak tergesa-gesa menggubal rang undang-undang baharu,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kajian perlu dilakukan secara menyeluruh termasuk dalam sudut agama Islam yang mengharuskan ibu bapa merotan anak-anak bagi tujuan mendidik.

“Di negara ini, kebiasaannya anak-anak dirotan bukan untuk mendera sebaliknya yang berlaku dalam penderaan ialah kanak-kanak didera secara mental dan dipukul secara fizikal,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/rotan-merencatkan-institusi-keluarga-masyarakat-1.52564#sthash.W6DEukcC.dpuf