DARI UTUSAN MALAYSIA
18/6/2012
KUALA LUMPUR 17 Jun - Tindakan kerajaan Parti
Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mengabaikan penyelenggaraan
kemudahan-kemudahan asas rakyat negeri itu membuktikan mereka sanggup
menggadai kepentingan dan kebajikan pengundi sendiri.
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, sejak kerajaan
PKR mengambil alih pengurusan negeri itu, banyak perkara asas diabaikan
sehingga menjejaskan mutu kehidupan masyarakatnya.
Menurut beliau, selepas Pilihan Raya Umum 2008, pelbagai masalah mula
timbul di Selangor, antaranya, isu longgokan sampah yang lambat
dikutip, longkang tersumbat, lampu jalan rosak dan permukaan jalan raya
yang rosak.
Katanya, tugas-tugas menyelenggarakan kemudahan asas terletak di
bawah kerajaan negeri dan kecuaian ini menunjukkan mereka sebenarnya
tidak mampu mengurus tadbir perjalanan sesebuah negeri dengan baik.
"Mungkin ada yang melihat perkara ini sebagai remeh, tetapi bagi yang
berhadapan dengan masalah tersebut setiap hari, mereka berhak mendapat
kemudahan lebih sempurna," katanya ketika berucap pada program Sayangi
Teratai, Yakini Barisan Nasional (BN) di sini hari ini.
Program yang bertujuan mengeratkan hubungan antara ahli-ahli parti
komponen di dalam BN itu bermula dengan perarakan dari Padang Taman
Seraya hingga ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan Mewah.
Turut hadir, Pengerusi Gerakan Selangor, Senator A. Kohilan Pillay;
Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed dan Timbalan
Ketua UMNO Bahagian Pandan, Mejar (B) Mohd. Iszeham Hamid.
Sementara itu, Kohilan yang juga Timbalan Menteri Luar berkata,
penduduk Selangor boleh menilai pembangunan kerajaan negeri yang
ditadbir urus oleh pakatan pembangkang.
"Sebelum pilihan raya umum lalu, kerajaan BN banyak membawa
pembangunan dalam bentuk infrastruktur dan peluang pekerjaan kepada
golongan belia. Setiap tahun kira-kira 30,000 peluang pekerjaan baru
diwujudkan.
"Tetapi selepas Selangor ditadbir oleh pakatan, pembangunan yang
sebelum ini rancak seolah-olah terbantut kerana tiada rancangan
pengurusan yang profesional oleh kerajaan pakatan pembangkang tersebut,"
jelasnya.
Tambah beliau, peluang pekerjaan baru juga berkurangan separuh iaitu
hanya kira-kira 15,000 berbanding apa yang dicatatkan sebelum itu.
KOMEN : BILALAH RASANYA RAKYAT SELANGOR NAK BANGKIT DARI LENA JANJI BULAN DAN BINTANG PUAK PEMBANGKANG NI?
No comments:
Post a Comment