Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label SUKAN SEA SINGAPURA 2015. Show all posts
Showing posts with label SUKAN SEA SINGAPURA 2015. Show all posts

Friday, 19 June 2015

SUKAN SEA 2015 : Skuad compound cipta sejarah

19 Jun 2015 12:41 AM


Fatin Nurfatehah Mat Salleh (kanan) meraikan kejayaan bersama jurulatihnya selepas berjaya memenangi pingat emas dalam acara compound individu wanita Sukan SEA 2015 di Singapura baru-baru ini. UTUSAN

SINGAPURA – Pasukan memanah compound yang diketuai Fatin Nurfatehah Mat Salleh wajar menerima pujian tinggi selepas mereka melakar sejarah dengan memenangi empat pingat emas Sukan SEA 2015.

Empat Sukan SEA yang lalu mereka tidak pernah menyumbangkan pingat emas namun dalam temasya di Singapura, mereka mempamerkan peningkatan prestasi mendadak di bawah kendalian jurulatih tempatan Adnan Ahmad. Malah, mereka hampir menyapu bersih semua pingat emas namun Zulfadhli Ruslan tewas dengan perbezaan satu mata dalam perlawanan akhir individu lelaki.

Kejayaan ini juga pasti sesuatu yang manis kepada pasukan compound kerana akhirnya mereka dapat membuka mata pihak berwajib seperti Majlis Sukan Negara (MSN) agar memberikan layanan sama rata seperti mana yang dinikmati oleh skuad recurve.

Difahamkan, sebelum pasukan compound tiba ke Singapura, mereka hanya diberi penajaan anak panah dan selebihnya atas perbelanjaan sendiri, mungkin kerana kurang yakin skuad itu mampu menyerlah dalam Sukan SEA kali ini.

Layanan itu sememangnya sesuatu yang pelik memandangkan trio berpasukan wanita compound yang terdiri daripada Fatin, Saritha Cam Nong dan Nor Rizah Ishak baharu sahaja melakar kejayaan terbesar pada 9 Mei lalu iaitu memenangi Piala Dunia di Shanghai, China dengan mengalahkan Amerika Syarikat.

Bagi pasukan recurve, prestasi pasukan lelaki boleh dikatakan agak sederhana sementara skuad wanita, yang terdiri daripada ramai muka baharu, masih dalam proses mencari pengalaman dan pendedahan bertanding di kejohanan peringkat tinggi.

Maruah skuad recurve di­selamatkan oleh trio Khairul Anuar Mohamad, Mohd. Iqram Joni dan Haziq Kamaruddin yang mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua temasya lalu untuk mengubati kekecewaan Haziq yang tewas kepada pemanah Thailand, Witthaya Thamwong dalam acara individu.

Skuad recurve wanita yang terdiri daripada Farah Amalina Azhar (20 tahun), Loke Shin Hui (18 tahun) dan Nur Afisa Abdul Halil (17 tahun) pula membawa pulang pingat gangsa wanita berpasukan selepas menewaskan Singapura, dan itu sekurang-kurangnya membuktikan mereka ada potensi menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2017.

Fatin, yang merangkul tiga pi­ngat emas, mengakui mereka terpaksa berlatih secara berasingan untuk menghadapi Sukan SEA namun itu tidak menghalang mereka melakar kejayaan yang pasti akan dikenang dalam tempoh yang lama.

“Disebabkan masing-masing tinggal di tempat berasingan, kami terpaksa berlatih sendirian dan semuanya atas tanggungjawab ma­sing-masing tetapi atas semangat dahagakan kejayaan, kami berjaya melakukan apa yang orang lain fikir mustahil.

“Tiada sebarang rahsia tertentu di atas apa yang kami semua lakukan, hanya kerja keras dalam latihan dan disiplin, alhamdulilah apa yang kami buat di sini sesuatu yang sangat manis dan harap mampu dikekalkan selepas ini,” katanya. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/skuad-compound-cipta-sejarah-1.104479#sthash.HjwEPHWB.dpuf

Thursday, 18 June 2015

SUKAN SEA 2015 : Selamatkan olahraga negara

16 Jun 2015 1:06 AM




SINGAPURA – Pencapaian terburuk olahraga dalam sejarah Sukan SEA apabila sekadar meraih tiga pi­ngat emas di Singapura menunjukkan sukan itu kini dalam keadaan ‘tenat’ dan sesuatu perlu dilakukan seandainya Malaysia memasang impian untuk muncul juara keseluruhan apabila menjadi tuan rumah, dua tahun dari sekarang.

Olahraga adalah lubuk emas Sukan SEA, tanpa olahraga peluang untuk mengungguli temasya tidak mudah, jadi baik Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mahu pun Majlis Sukan Negara (MSN) perlu segera memikirkan apakah program terbaik yang boleh dilakukan untuk memulihkan kembali prestasi sukan itu.

Pada edisi ke-28 Sukan SEA di Singapura, kesemua tiga emas yang diraih adalah daripada acara padang menerusi Muhammad Irfan Shamsuddin (lempat cakera), Muhamad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Nauraj Singh Randhawa dalam lompat tinggi lelaki.

Secara keseluruhan, olahraga hanya mampu menghadiahkan tiga emas, dua perak dan sembilan gangsa daripada 24 acara yang di­sertai, selain memecah dua rekod kebangsaan.

Hakimi menghadirkan emas pertama selepas melakukan lompatan sejauh 16.76 meter, sekali gus me­lebur rekod temasya (16.67m) milik atlet Vietnam, Nguyen Van Hung.

Dia bukan sahaja memperbaharui rekod baharu kebangsaan tetapi turut meraih emas pertama negara untuk tempoh 18 tahun dalam acara lompat kijang lelaki selepas kali terakhir diraih menerusi Zaki Sadri pada Sukan SEA 1997 di Jakarta.

Irfan pula mempertahankan emas yang dimenangi di Myanmar, dua tahun lalu dengan jarak sejauh 56.62m, manakala Nauraj cemerlang melepasi ketinggian 2.13m.

Satu lagi pencapaian yang boleh dibanggakan buat olahraga pada Sukan SEA kali ini apabila berupaya melebur rekod berusia 14 tahun dalam acara 4x100m lelaki.

Kuartet yang dibarisi oleh Johnathan Nyepa, Mohd. Izzuddin Yahaya, Harith Ammar Mohd Sobri dan Nixson Kennedy mencatat masa 39.67 saat dan menamatkan sai­ngan di tempat keempat.

Catatan masa tersebut memperbaharui rekod lama 39.83s milik gandingan kuartet, Watson Nyambek, Nazmizan Muhammad, Azmi Ibrahim dan R. Ganeshwaran yang dilakukan pada Sukan SEA 2001.

Jika diteliti beberapa acara prospek pingat emas olahraga seperti lompat bergalah lelaki, 20km jalan kaki, 200m lelaki dan 4x100m seakan sukar memberikan saingan kepada lawan masing-masing.

Begitupun sedikit berita baik yang dibawa daripada Sukan SEA kali ini adalah kemunculan beberapa bakat baharu yang boleh diketengahkan pada Sukan SEA 2017 .

Atlet 100m, Harith Ammar dan Nixson Kennedy, selain atlet 200m, G. Aravinn Thevarr antara yang perlu diberi perhatian. Turut mempunyai potensi adalah atlet pecut wanita, Zaidatul Husniah Zulkifli.

Nixson dan Harith Ammar yang berusia 20 tahun ketika ini mempunyai rekod peribadi terbaik iatu sekitar 10.50s, manakala Aravinn, 21, memegang rekod peribadi 21.40s dalam acara 200m.

Zaidatul Husniah, 21, berjaya mara ke saingan akhir 100m wanita dan membantu kuartet 4x100m meraih pingat gangsa mempunyai rekod peribadi yang cukup baik dalam acara 100m iaitu 11.62s.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/selamatkan-olahraga-negara-1.103452#sthash.1G6CeiWp.dpuf


SUKAN SEA 2015 : Pencapaian boling menakjubkan

16 Jun 2015 1:10 AM


PEMAIN boling negara merangkul kejuaraan berganda dalam acara berpasukan apabila meraih emas lelaki dan wanita untuk menutup kempen Sukan SEA 2015 dengan lima pingat emas keseluruhan.

SINGAPURA – Menamatkan kempen Sukan SEA 2015 de­ngan meraih lima pingat emas, satu perak dan empat gangsa adalah pencapaian menakjubkan buat skuad boling negara.

Malah, pencapaian tersebut juga menjadi salah satu penyumbang utama pingat buat kontinjen Malaysia pada Sukan SEA edisi Ke-28 di Singapura.

Pemain muda, Muhd. Rafiq Ismail, 18 tahun merupakan atlet pa­ling menonjol sepanjang saingan di Orchid Country Club kerana berjaya menghadiahkan tiga emas daripada lima yang diraih skuad boling negara menerusi acara individu, trio dan lima berpasukan lelaki.

Dua lagi pingat emas diraih menerusi beregu wanita dan lima berpasukan wanita.

Sementara, satu perak menerusi acara Masters lelaki dan empat pingat gangsa melalui beregu lelaki, lelaki Masters, beregu wanita dan individu wanita.

Ketua Jurulatih skuad bo­ling kebangsaan, Holloway Cheah berkata, semua pemain telah me­laksanakan tugas dengan baik terutama Rafiq.

Kata Holloway, pemain muda itu mempunyai masa depan yang cerah dan mampu meraih lebih banyak kejayaan buat negara.

“Dia telah melaksanakan tugas dengan baik pada Sukan SEA kali ini iaitu pada penyertaan pertamanya.

“Bagi saya dia masih muda dan perlu lebih banyak pengalaman untuk membantunya cemerlang dalam sukan boling,” kata Holloway.

Pada Sukan SEA 2013, acara boling tidak dipertandingkan manakala pada 2011, skuad negara meraih lima pingat emas, tiga pe­rak dan enam gangsa.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/pencapaian-boling-menakjubkan-1.103464#sthash.rz0RqGsv.dpuf

SUKAN SEA 2015 : Bola keranjang raih emas ke-60

Kembalikan status gergasi Asia Tenggara, emas ke-13 Sukan SEA

16 Jun 2015 1:13 AM


PEMAIN negara, Lee Jo Rynn (kanan) diasak oleh pemain Vietnam, Bich Nguyen dalam saingan terakhir Sukan SEA 2015 di Arena OCBC, Singapura semalam.

SINGAPURA - Malaysia mengembalikan status mereka sebagai gergasi bola keranjang wanita Asia Tenggara selepas me­rampas semula pingat emas yang ‘hilang’ sejak lapan tahun lalu de­ngan menundukkan Vietnam, semalam.

Malah, lebih istimewa lagi, emas tersebut merupakan emas ke-60 buat kontinjen negara pada Sukan SEA 2015 dan kejuaraan disahkan milik mereka selepas mengalahkan Vietnam 82-50 dalam aksi terakhir saingan yang dijalankan menerusi format liga sepusingan.

Malaysia memiliki sejarah hebat dalam bola keranjang wanita Sukan SEA apabila merangkul kejua­raan tujuh kali berturut-turut pada 1977, 1979, 1981, 1983, 1985, 1987 dan 1989, selain meraih emas pada 1993, 1997, 2001, 2003 serta 2007.

Bola keranjang tidak dipertan­dingkan dalam Sukan SEA 2005 di Manila dan Myanmar 2009, namun sebaik saja ia kembali, Malaysia gagal mempertahankan kejuaraan, sebaliknya Thailand merangkul emas dalam dua temasya terakhir pada 2011 dan 2013.

Justeru, tidak hairanlah me­ngapa kejayaan membawa pulang emas Sukan SEA buat kali ke-13 amat bermakna buat anak-anak buah Yoong Sze Yuin, apatah lagi dia hadir ke Singapura dengan bersandarkan kudrat pemain muda dengan purata umur sekitar 22 tahun.

“Rata-rata pemain baru berusia 22 tahun, namun mereka menunjukkan semangat juang yang tinggi dan ini kunci utama kejayaan kami.

“Skuad ini mempunyai masa depan yang cerah dan saya yakin, apabila Sukan SEA kembali ke Kuala Lumpur, dua tahun dari sekarang, kami mampu mengulangi pencapaian emas,” kata Sze Yuin.

Kemenangan ke atas dua pencabar utama, Indonesia (70-45) dan Thailand(65-56) menjadi kunci kejayaan Malaysia yang tidak berdepan masalah menumpaskan tuan rumah, Singapura (65-39).

Emas juga begitu bermakna buat R. Kalaimathi yang hampir terlepas Sukan SEA apabila mendapat kecederaan lutut semasa perlawanan persahabatan.

“Pada mulanya doktor sahkan saya mendapat kecederaan lutut, seminggu sebelum saya datang ke sini dalam satu perlawanan persahabatan.

“Nasib baik dengan kerja keras fisioterapi melakukan rawatan pemulihan, saya sempat menyertai pasukan.

“Tidak dinafikan tuah juga memainkan peranan apabila Indonesia menumpaskan Filipina, jika tidak mungkin emas agar sukar buat Malaysia,” katanya.

Kemenangan juga cukup istimewa buat pendatang baharu Sukan SEA, Yap Fook Yee yang meraikan ulang tahun ke-22 semalam. Sebaik saja tamat permainan, rakan-rakan sepasukannya menghadiahkan kek kepadanya.

“Ini adalah Sukan SEA pertama saya dan kami memenangi emas pada hari jadi saya, ia sangat istimewa,” ujar Fook Yee.

Sementara itu, pasukan lelaki negara sekadar menamatkan kempen di tangga kelima.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-keranjang-raih-emas-ke-60-1.103474#sthash.LLTc4nJ6.dpuf

SUKAN SEA 2015 : Wei Feng puas kembalikan emas

Juara perseorangan lelaki pertama selepas 14 tahun

17 Jun 2015 12:18 AM


Chong WEI FENG (kanan) dan Mohd. Arif Abdul Latif meraikan pingat emas serta perak yang dimenangi mereka selepas mengalahkan satu sama lain dalam perlawanan akhir badminton perseorangan lelaki Sukan SEA 2014 di Stadium Tertutup Singapura, semalam.

SINGAPURA - Biarpun lawan yang dikalahkan adalah rakan se­negara sendiri, namun Chong Wei Feng puas kerana berjaya menamatkan penantian 14 tahun Malaysia dengan merangkul pingat emas badminton perseora­ngan lelaki dalam Sukan SEA 2015 semalam.

Pemain kelahiran Kedah berusia 28 tahun itu mudah menundukkan Mohd. Arif Abdul Latif 21-8, 21-9 untuk menghadiahkan pingat emas terakhir kontinjen negara di Si­ngapura, yang juga emas ke-62 buat Malaysia.

Individu terakhir yang menyumbangkan emas perseorangan lelaki buat negara adalah Mohd. Roslin Hashim pada Temasya 2001 di Kuala Lumpur.

Menurut Wei Feng, emas tersebut mengubat sedikit kekecewaan tidak dapat beraksi dalam Kejohanan Dunia di Indonesia, Ogos ini selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memilih untuk menyenaraikan bekas jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan Zulfadli Zulkiffli.

“Ini adalah hadiah istimewa buat seluruh rakyat Malaysia kerana sudah lama kita tidak memena­ngi pingat emas dalam perseorangan lelaki pada Sukan SEA.

“Saya lihat, Arif tidak beraksi baik sepanjang permainan dan kerap melakukan kesilapan. Itu memudahkan saya untuk mengutip mata demi mata.

“Saya memang berpuas hati dapat mengembalikan emas kepada Malaysia, malah saya lega kerana prestasi saya semakin meningkat. Itu petanda baik dalam usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik,” kata Wei Feng.

Ketika Wei Feng meraikan kejayaan terbesar dalam kariernya, impian Malaysia untuk menamatkan penantian 16 tahun dalam acara beregu campuran tidak kesampaian selepas Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tewas pada perlawanan akhir yang amat mendebarkan.

Peng Soon-Liu Ying yang baru kembali bergandingan akibat kecederaan yang menimpa Liu Ying, dikerah dalam pertarungan se­ngit yang berlarutan selama 1 jam 9 minit sebelum akur dengan kekalahan 21-18, 13-21, 23-25 kepada pasangan No. 11 dunia, Praveen Jordan-Debby Susanto dari Indonesia.

Dengan kekalahan itu, Chew Choon Eng-Chor Hooi Yee kekal sebagai pasangan terakhir Malaysia menjuarai acara beregu campuran pada Sukan SEA 1999 di Brunei.

Praveen-Debby pula memastikan Indonesia terus menguasai acara tersebut buat kali keenam berturut-turut.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/badminton/wei-feng-puas-kembalikan-emas-1.103739#sthash.bIqfxOEw.dpuf

SUKAN SEA 2015 : Emas ini untuk anda semua’

17 Jun 2015 12:18 AM


SOONG FIE CHO (kiri) memeluk Amelia Alicia Anscelly sebaik saja menewaskan Vivian Hoo-Woon Khe Wei untuk muncul juara beregu wanita Sukan SEA 2015 di Singapura, semalam.

SINGAPURA – “Pingat emas ini buat semua rakyat Malaysia, terutama rakyat Sabah.”

Itu kata Amelia Alicia Anscelly dan Soong Fie Cho sambil menahan tangisan kegembiraan sejurus mengejutkan pasa­ngan utama negara yang juga penyandang juara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei untuk muncul juara beregu wanita Sukan SEA 2015, semalam.

Jika selama ini, Vivian-Khe Wei, yang juga juara Sukan Komanwel sering menjadi sandaran Malaysia dalam kejohanan utama, kemenangan 21-18, 21-13 yang dilakar Amelia-Fie Choo ke atas mereka menunjukkan skuad badminton negara kini mempunyai beberapa pemain yang boleh diharapkan.

Malah, ini bukan kemena­ngan pertama dilakar Amelia-Fee Choo ke atas beregu No. 11 dunia itu tahun ini. Mereka sebelum ini turut mengejutkan Vivian-Khe Wei dalam perlawanan akhir Terbuka India, Januari lalu.

Bagaikan tidak percaya berjaya menghadiahkan emas buat negara dalam Sukan SEA, kedua-dua pemain yang ber­asal dari Sabah itu menangis sejurus mengutip mata kemenangan dan menitiskan air mata, sebaik saja lagu Negaraku berkumandang.

“Kemenangan ini buat kedua ibu bapa, teman lelaki saya dan semua rakan-rakan di Sabah yang membantu kami. Emas ini untuk anda semua.

“Sabah sebuah negeri yang cantik, di mana setiap rak­yatnya mengambil berat antara satu sama lain. Saya percaya semua orang di tempat kami akan bangkit dengan lebih kuat,” kata Amelia, yang turut mendedikasikan kejuaraannya kepada mangsa gempa bumi di Gunung Kinabalu baru-baru ini.

Menurut pasangan No. 26 dunia itu, kejayaan menumpaskan beregu utama negara membuktikan mereka juga mampu menyumbang biarpun sekadar turun bersama status No. 2 di belakang Vivian-Khe Wei.

“Memang puas dapat kalahkan beregu utama negara. Kami membuktikan biarpun kami hanya No. 2, tetapi tetap berupaya memberikan saingan kepada mereka.

“Persefahaman dan komunikasi yang baik bersama Fie Choo hari ini menjadikan kami lebih bersemangat. Kami juga bermain tanpa tekanan,” kata Amelia lagi.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/badminton/8216-emas-ini-untuk-anda-semua-8217-1.103747#sthash.AbYUojq5.dpuf

ACA mahu Malaysia anjur semua acara pada Sukan SEA 2017

17 Jun 2015 1:14 AM


MOHD. HARRIF SALLEH menyumbangkan dua pingat emas buat skuad berbasikal dalam Sukan SEA 2015 menerusi acara kriterium dan lepas beramai-ramai.

MELAKA – Peluang skuad kebangsaan untuk meraih lebih tujuh pingat emas pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur tampak cerah selepas Kongres Persatuan Berbasikal Asean (ACA) merayu agar Malaysia menganjurkan semua acara berbasikal seperti lebuh raya, trek, BMX dan berbasikal bukit (MTB) pada temasya dwitahunan itu.

Presiden ACA, Datuk Abu Samah Abd. Wahab berkata, usul tersebut telah dibawa oleh beberapa negara termasuk Thailand, Indonesia serta Vietnam dan ia diluluskan sebulat suara dalam Kongres ACA yang diadakan di Singapura pada minggu lalu.

Tambahnya, Thailand misalnya kecewa dengan tindakan negara penganjur Sukan SEA 2015, Si­ngapura yang hanya menganjurkan acara lebuh raya dan mencicirkan acara tradisi lain seperti trek, BMX serta MTB.

“Thailand telah mendesak Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA 2017 agar kembali menjadikan lebuh raya, trek, BMX dan MTB sebagai acara wajib pada temasya di Kuala Lumpur. Usul tersebut kemudian dipanjangkan lagi oleh Vietnam dan Indonesia.

“Malah Myanmar juga menjelaskan bahawa, ia turut menjadikan lebuh raya, BMX dan MTB sebagai acara di Nay Pyi Taw pada 2013.

“Kongres kemudian secara sebulat suara meluluskan usul mendesak Malaysia menganjurkan acara lebuh raya, trek, BMX dan MTB pada pengunjuran akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Abu Samah yang juga Naib Pre­siden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menjelaskan, andai usul tersebut diterima oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA 2017, lebih 18 emas bakal diraih daripada disi­plin basikal.

Ujar beliau, sekurang-kurangnya sembilan atau sepuluh emas bakal dipertaruhkan menerusi acara trek, manakala tujuh emas dalam acara lebuh raya di samping tiga masing-masing dalam acara MTB dan BMX.

Beliau menjelaskan, ACA akan menulis kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berhubung usul tersebut seterusnya akan mendesak perkara itu dibentangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Abu Samah yang juga Presiden PKBM percaya, penampilan semua acara trek pada Sukan SEA 2017 hampir pasti membolehkan Malaysia menuai lebih tujuh emas sebagaimana diraih pada edisi 2011 di Jakarta, Indonesia.

“Saya juga percaya acara trek Sukan SEA 2017 akan diadakan pada arena baru yang bertaraf Kategori Satu. Saya dimaklumkan Velodrom Nilai akan siap sebelum bermulanya Sukan SEA 2017,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji persembahan pasukan negara yang meraih lima pingat, termasuk dua emas dihadiahkan oleh Mohd. Ha­r­rif Salleh dalam Sukan SEA 2015.

Kemenangan tersebut menamatkan kemarau 10 tahun acara lebuh raya sejak kali terakhir Suhardi Hassan menang emas di Manila, Filipina pada 2005.

Raih banyak emas andai Malaysia anjur semua kategori berbasikal pada Sukan SEA 2017

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/berbasikal/aca-mahu-malaysia-anjur-semua-acara-pada-sukan-sea-2017-1.103832#sthash.N3uZzVPv.dpuf

SUKAN SEA 2015 : Frost puas hati kejayaan kutip 2 emas

18 Jun 2015 1:05 AM

Goh Jin Wei melepasi jangkaan di Singapura apabila mara ke separuh akhir acara individu di mana dia kalah kepada pemain Indonesia, Hanna Ramadini 21-16, 12-21 dan 18-21 untuk meraih pingat gangsa. UTUSAN

SINGAPURA - Meraih dua pingat emas, empat pingat perak dan dua gangsa di Singapura adalah pencapaian yang memuaskan oleh skuad badminton negara setelah agak lama tidak membawa pulang lebih daripada satu emas dari Sukan SEA.

Kali terakhir badminton menghadiahkan dua pingat emas kepada kontinjen Malaysia ialah ketika Sukan SEA 2003 di Ho Chi Minh, Viet­nam menerusi Datin Wong Mew Choo dalam acara perseorangan wanita dan beregu lelaki Choong Tan Fook-Lee Wan Wah.

Pencapaian kali ini juga menepati sasaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) iaitu mahukan empat wakil negara layak ke final Sukan SEA 2015 apabila dua perseorangan lelaki, dua beregu wanita, satu beregu campuran serta berpasu­kan wanita layak ke perlawanan me­rebut emas.

Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen berkata, kejayaan mencapai sasaran tersebut pasti akan menghilangkan segala keraguan terhadap prestasi badminton negara.

“Kami telah membuktikan bahawa ini bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai dan saya amat puas hati dengan pencapaian ini.

“Dalam Sukan SEA ini dapat dilihat pemain muda seperti Goh Jin Wei telah membuktikan dirinya mampu untuk bersaing dan ini juga menjadi satu petanda positif kepada badminton Malaysia,” katanya, yang mengulas pencapaian keseluruhan skuad negara.

Pingat emas badminton diperoleh menerusi Chong Wei Feng yang mengungguli acara perseorangan lelaki, menewaskan rakan senegara Mohamad Arif Abdul Latif dalam perlawanan akhir manakala Amelia Alicia Anscelly-Soon Fie Cho mencipta kejutan ke atas Vi­vian Hoo-Woon Khe Wei.

Dua pingat perak pula hadir menerusi beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan berpasukan wanita.

Pemain berusia 15 tahun, Jin Wei pula melakukan kejutan apabila mara ke separuh akhir individu wanita untuk meraih pingat gangsa. Satu lagi gangsa diperoleh menerusi berpasukan lelaki. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/badminton/frost-puas-hati-kejayaan-kutip-2-emas-1.104035#sthash.bpeCfUo2.dpuf

SUKAN SEA 2015 : Skuad Projek lulus ujian pertama

ZAZALI JAMIAN | 18 Jun 2015 1:05 AM

Pemain-pemain Malaysia meraikan kejayaan selepas menewaskan Singapura dalam perlawanan akhir hoki Sukan SEA 2015 di Singapura untuk mempertahankan kejuaraan sejak 1973. BERNAMA

SINGAPURA – Walaupun dipaksa berhempas pula dan diheret dalam penentuan pukulan penalti shoot out sebelum mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2015, namun dengan mengambil kira Malaysia sekadar menghantar skuad Projek 2016, ia boleh dianggap satu pencapaian yang bagus untuk masa depan hoki negara.

Skuad Bawah 23 tahun negara mengalahkan pasukan utama Si­ngapura menerusi pukulan penalti 4-3 selepas perlawanan sebenar di Stadium Hoki Sengkang pada 13 Jun lalu berkesudahan 2-2.

Malaysia memenangi emas dalam setiap Sukan SEA yang disertai, kecuali pada 1973 apabila mereka tewas kepada Singapura.

Malah, sebelum skuad lelaki menumpaskan tuan rumah, pasukan wanita turut mempertahankan emas dengan mengalahkan Thailand 3-1, sekali gus membuktikan Malaysia masih kuasa hoki Asia Tenggara yang sukar ditandingi.

Secara keseluruhannya pemain negara berjaya memenuhi misi yang ditetapkan iaitu membawa pulang emas, malah skuad lelaki negara ‘lulus’ ujian besar pertama mereka, biarpun temasya di Singapura telah mendedahkan beberapa kelemahan ketara anak-anak buah Arul Selvaraj.

Objektif utama penubuhan skuad Projek 2016 adalah Piala Remaja Dunia yang akan diadakan di India tahun depan. Justeru, ada beberapa aspek perlu diperbaiki Arul untuk memastikan persiapan pasukannya berjalan baik.

Aspek pertama adalah memperkemaskan jentera serangan yang jelas kurang tajam dan kelemahan paling ketara, ketiadaan pakar pukulan sudut penalti selepas Malaysia dilihat mempersiakan banyak peluang untuk menghasilkan gol dalam situasi berkenaan.

Dua perkara ini perlu diberi perhatian serius sebelum mereka berdepan ujian besar kedua iaitu mempertahankan kejuaraan Piala Remaja Asia di Kuantan pada November ini.

Skuad hoki remaja sebenarnya mampu melangkah jauh, tetapi anak-anak buah Arul perlu diberikan sebanyak mungkin perlawanan persahabatan bertaraf antarabangsa untuk nenambah pengalaman dan membantu pemain untuk menjadi lebih kreatif. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/hoki/skuad-projek-lulus-ujian-pertama-1.104037#sthash.QvxlcKWB.dpuf


SUKAN SEA 2015 : Gimnastik artistik ada bintang baharu

MUHAMMAD DAYNE AZMIN | 18 Jun 2015 1:06 AM

Gimnas artistik wanita Malaysia menamatkan penantian selama 14 tahun apabila memenangi pingat emas acara berpasukan dalam Sukan SEA 2015 di Singapura. UTUSAN

SINGAPURA – Sudah sekian lama sukan gimnastik artistik seperti tenggelam di rantau Asia Tenggara walaupun negara belum putus dengan bakat-bakat baharu.

Selepas Wei Sian Ooi (lelaki) dan Chan Sau Wah (wanita) ma­sing-masing memenangi pingat emas Sukan SEA Korat 2007, dunia gimnastik negara seperti merindui gimnas yang boleh dikete­ngahkan.

Akhirnya dalam Sukan SEA 2015 di Singapura, gimnastik artistik kembali bernafas dengan sumbangan tiga pingat emas menerusi acara berpasukan wanita, Farah Ann Abdul Hadi (senaman lantai) dan Tan Ing Yueh (palang bertingkat).

Kelibat Farah paling mencuri perhatian dalam edisi ke-28 Sukan SEA apabila sentiasa menyum­bangkan pingat dalam setiap disiplin yang disertainya.

Dalam acara individu lain se­perti melombol, palang ber­tingkat dan batang titian, Farah berjaya menyumbangkan pingat gangsa, sementara Ing Yueh pula menambah koleksi pingat perak dalam melombol.

Orang yang paling gembira dengan peningkatan dipamerkan oleh skuad gimnastik artistik pastinya jurulatih negara Nataliya Sinkova, yang sudah menunggu terlalu lama untuk meraih kejayaan ini.

Kali terakhir skuad gimnastik artistik wanita memenangi acara berpasukan ialah pada 2001 di Kuala Lumpur, di mana Nataliya adalah jurulatih yang bertanggungjawab membimbing pasukan ketika itu.

Melabelkan anak-anak buah­nya seperti bidadari yang sempurna, Nataliya memberi kredit terhadap Farah serta rakan-rakannya yang bekerja keras sehingga mampu ke tahap ini.

“Saya memang menjangkakan mereka mampu meraih sesuatu kali ini, namun memenangi pi­ngat emas dalam acara berpasukan adalah sesuatu yang manis.

“Tiada apa yang saya boleh minta lagi kerana mereka semua berjaya memberi satu persembahan yang amat mengagumkan dan masa depan gimnastik di negara kita cukup cerah.

“Masih ada beberapa gimnas muda yang berusia 16 tahun ke bawah berada di negara kita, jadi sememangnya saya tidak bimbang dengan peluang kita untuk Sukan SEA 2017,” katanya.

Dalam acara lelaki, walaupun sekadar satu perak diraih menerusi Jeremiah Loo dalam palang tunggal, ia tetap bermakna kerana mereka tidak menetapkan sebarang sasaran pingat dalam acara berkenaan.

Dalam sukan gimrama, memenangi dua emas dengan satu daripadanya dianggap emas bonus menerusi acara individu berjaya mencapai piawaian ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Koi Sie Yan dan Shansangari Sivaneswary Nagarajan, berjaya mempamer kecemerlangan tersendiri selepas terikat sama mata dan pihak penganjur kejohanan bersetuju menghadiahkan dua pingat emas. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/gimnastik-artistik-ada-bintang-baharu-1.104048#sthash.fYFHb6zC.dpuf

Friday, 12 June 2015

SUKAN SEA 2015 : Lelaki kita kecundang, wanita ke akhir

12 Jun 2015 1:01 AM




SINGAPURA - Skuad muda Indonesia meranapkan impian kem badminton negara untuk menamatkan kemarau 10 tahun tanpa pingat emas acara berpasukan lelaki Sukan SEA selepas ditunjukkan jalan keluar dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Tertutup Singapura semalam sementara skuad wanita berada selangkah lagi untuk muncul juara.

Kali terakhir Malaysia menang emas berpasukan lelaki ialah dalam Sukan SEA 2005 di Manila.

Kehadiran bekas pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei ternyata belum cukup untuk menguatkan pasukan lelaki negara apabila tewas 2-3 kepada Indonesia yang menghantar pemain-pemain muda kali ini.

Perseorangan ketiga negara Mohamad Arif Ab. Latif, yang diharapkan untuk memberikan mata kemenangan selepas kedudukan terikat 2-2, gagal memikul tekanan untuk tewas 12-21, 20-22 kepada Ihsan Maulana.

“Pada awalnya saya masuk untuk bermain secara santai dan tidak mahu rasa tertekan tetapi semua itu hilang pada set kedua hingga hilang tumpuan kerana mahu menamatkan perlawanan dengan cepat.

“Saya pernah bertemu Ihsan Maulana sebelum ini dalam Terbuka Indonesia minggu lalu dan saya juga tewas pada perlawanan tersebut. Saya akui dia bermain dengan baik berbanding saya,” kata Mohamad Arif selepas tamat perlawanan.

Sebelum itu, Malaysia memulakan persaingan dengan baik apabila perseorangan pertamanya Chong Wei Feng menewaskan Christie Jonatan 21-18, 13-21, 21-15 untuk meraih mata pertama.

Bagaimanapun, kejutan berlaku dalam acara beregu pertama apabila Tan Wee Keong dan Goh V Shem tewas kepada Ricky Karandasuwardi-Angga Pratama 17-21, 21-15, 17-21 sebelum Chong Wei tidak menghadapi masalah untuk menang 21-19, 21-10 ke atas Firman Abdul Kholik tetapi beregu kedua Mak Hee Chun-Teo Kok Siong kalah 10-21, 13-21 kepada Kevin Sukamuljo-Markus Gideon sebelum kekalahan Mohamad Arif.

Sementara itu skuad wanita negara menempah tempat dalam perlawanan akhir selepas menundukkan Indonesia 3-1 dalam aksi mendebarkan semalam apabila dua beregu dan seorang pemain perseorangan terpaksa beraksi hingga ke set penentuan sebelum meraih kemenangan.

Skuad wanita negara bermula dengan langkah sumbang apabila pemain perseorangan Tee Jing Yi tewas kepada Lindaweni Fanetri 12-21, 10-21 dalam tempoh 37 minit.

Selepas Vivian-Khe Wei meraih mata penyamaan selepas menang ke atas Awanda Anggia Shitta-Mahadewi Istirani 21-18, 19-21, 21-6, Ho Yen Mei meletakkan skuad negara di depan apabila menang 21-19, 11-21, 21-19 ke atas Hanna Ramadini dalam perseorangan kedua.

Beregu kedua negara, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Choo kemudian mencemaskan kem negara apabila tewas set pertama 15-21 ketika menentang Andini Suci Rizky-Giovani Maretha Dea dalam beregu kedua sebelum meraih kemenangan 21-19, 21-13 sekali gus mengesahkan kemaraan Malaysia ke perlawanan akhir. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/badminton/lelaki-kita-kecundang-wanita-ke-akhir-1.101867#sthash.jRjwnU57.dpuf


SUKAN SEA 2015 : Malaysia raih kemenangan saguhati

11 Jun 2015 11:16 PM


SINGAPURA 11 Jun - Malaysia menamatkan kempen bola sepak Sukan SEA 2015 dengan menumpaskan Laos 3-1 di Stadium Bishan, sebentar tadi, kemenangan yang bagaimanapun tidak memberi sebarang makna kerana mereka sudahpun tersingkir daripada saingan separuh akhir.

Skuad Bawah 23 tahun negara menutup saingan Kumpulan B dengan memperoleh gol menerusi Syafiq Ahmad pada minit ke-42, diikuti jaringan Saiful Ridzuwan Selamat dan Syahrul Ibrahim pada minit ke-71 dan 81.

Laos terlebih dulu mengejutkan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee apabila membuka jaringan seawal minit ke-22 menerusi Soukchinda Natphasouk.

Thailand, yang muncul juara Kumpulan B akan bertemu naib juara Kumpulan A, Indonesia dalam separuh akhir, Sabtu ini, manakala Myanmar berdepan Vietnam dalam satu lagi separuh akhir. - UTUSAN ONLINE

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/malaysia-raih-kemenangan-saguhati-1.101698#sthash.MgUmlvcS.dpuf


SUKAN SEA 2015 : Pandelela impikan beraksi 
di depan penyokong sendiri

12 Jun 2015 1:00 AM


Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Ab. Jalil Abdullah (tengah) bersama Ketua Cawangan Sukan Kemahiran Bahagian Atlet MSN, Joherman Amir (depan, empat dari kiri) meraikan kepulangan atlet terjun negara dari Sukan SEA 2015 di Bukit Jalil kelmarin.

KUALA LUMPUR – Walaupun enam pingat emas Sukan SEA telah berada dalam koleksinya, namun belum cukup memuaskan hati ratu terjun negara Pandelela Rinong yang mengimpikan untuk beraksi cemerlang di hadapan peminat di negeri kelahirannya.

Peluang itu bakal diperoleh atlet dari Sarawak itu dua tahun lagi, apabila Kuala Lumpur menjadi tuan rumah temasya sukan dwitahunan itu.

Ada yang mempersoalkan penyertaannya dalam Sukan SEA kerana menganggap pemenang pingat gangsa Olimpik 2012 London itu tidak seharusnya mengambil bahagian kerana temasya tersebut tidak setaraf dengan kehebatannya.

Bagaimanapun, bekas Olahragawati Kebangsaan itu tidak ambil pusing dengan perkara tersebut kerana dia menyifatkan Sukan SEA telah banyak memberi makna tersendiri kepada dirinya sepanjang bergelar atlet terjun negara.

“Saya ada terdengar yang acara terjun Sukan SEA 2017 akan dilangsungkan di Sarawak. Sebagai anak jati Sarawak, sudah tentu impian saya untuk bertanding di hadapan penyokong sendiri.

“Ini peluang seumur hidup untuk saya beraksi di sana. Saya harap diberi peluang untuk menyertainya. Untuk saya, Sukan SEA menyediakan cabaran tersendiri, sebab itu saya tak pernah memandang rendah terhadap pihak lawan.

“Lagi pun saya rasa saingan terhebat adalah daripada rakan sepasukan sendiri,” katanya ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil selepas pulang dari Sukan SEA Singapura kelmarin.

Pandelela membantu Malaysia sekali lagi mengesahkan diri sebagai kuasa terjun yang tiada tandingan di Asia Tenggara apabila menyapu bersih kesemua lapan pingat emas yang dipertandingkan untuk mengulangi pencapaian dua tahun lalu di Myanmar.

Di Singapura, Pandelela meraih pingat emas acara 10 meter platform sekali gus mempertahankan kemenangannya sejak Sukan SEA 2009 di Vientiane, Laos.

Sementara itu rakan sepasukannya Ooi Tze Liang yang memenangi empat pingat emas dalam semua acara terjun kategori lelaki berharap mendapat penaja utnuk mengembangkan lagi kariernya.

“Di Myanmar saya hanya berjaya pungut tiga emas daripada empat acara, tapi Sukan SEA kali ini adalah yang paling cemerlang untuk saya.

“Saya harap ada pihak yang tampil untuk menaja saya. Sehingga kini belum ada lagi. Sekurang-kuranya pakaian sukan pun jadilah,” katanya sambil melemparkan senyuman.

Selepas ini, fokus Tze Liang adalah untuk menghadapi Kejohanan Siri Dunia di Kazan, Rusia yang dijadualkan pada bulan depan dan mahu melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio pada 2016.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/pandelela-impikan-beraksi-8232-di-depan-penyokong-sendiri-1.101852#sthash.hyud33VU.dpuf


SUKAN SEA 2015 : Nauraj tahan sakit untuk emas

12 Jun 2015 1:01 AM


Nauraj Singh Randhawa beraksi dalam acara akhir lompat tinggi Sukan SEA 2015 di Stadium Nasional Singapura semalam. Nauraj menang emas dengan lompatan 2.13m. UTUSAN

SINGAPURA – Walaupun terpaksa beraksi dengan kaki yang sakit, namun Nauraj Singh Randhawa masih mampu melakukan lompatan yang memadai untuk membolehkannya mempertahankan pingat emas lompat tinggi lelaki Sukan SEA di Stadium Nasional Singapura, semalam.

Jika diikutkan Nauraj, catatan yang dilakukan 2.13 meter memang tidak memuaskan, apatah lagi lompatan peribadi terbaiknya adalah 2.22 meter yang dibuat pada Februari lalu.

Bagaimanapun, mengambil kira kesakitan yang dialami, atlet kelahiran Johor Bahru berusia 23 tahun itu sudah cukup gembira dapat mempertahan emas yang dimenangi di Myanmar dua tahun lalu

Nauraj berkongsi catatan bersama pemenang pingat perak, Dao Van Thuy dari Vietnam.

Begitupun, Van Thuy terpaksa berpuas hati meraih perak kerana melepasi ketinggian tersebut dalam percubaan ketiga, berbanding Nauraj yang melepasinya dalam percubaan kedua.

Gangsa acara tersebut menjadi milik seorang lagi atlet negara, Muhammad Ashraf Saipurahman dengan ketinggian 2.11m .

Nauraj mengakui, biarpun gembira menghadiahkan emas olahraga ketika buat Malaysia dalam Sukan SEA Singapura, namun dia tidak gembira dengan catatannya kerana terlalu jauh untuk melepasi kelayakan Sukan Olimpik 2016 di Rio.

“Saya hanya ada masa beberapa bulan untuk bekerja keras andai mahu melepasi kelayakan ke Sukan Olimpik tahun depan.

“Apa pun, dalam masa sama saya tetap gembira dengan pingat emas ini tetapi tidak boleh leka dengan pencapaian ini kerana saya perlu melompat lebih tinggi lagi,” kata Nauraj.

Terdahulu, Malaysia turut meraih emas dalam lempar cakera lelaki menerusi Muhammad Irfan Shamsuddin yang mempertahankan kejuaraan yang dimenangi di Sukan SEA 2013.

Malaysia bagaimanapun gagal merampas kembali pingat emas 110 meter lari berpagar yang kali ter­akhir dimenangi oleh Rayzam Shah Wan Sofian di Thailand pada 2007.

Buat kali ketiga berturut-turut, Rayzam terpaksa berpuas hati memenangi perak selepas mencatat 13.97s. Jaguh senior Thailand, Jamras Rittidet memahat rekod muncul juara buat kali keempat berturut-turut bersama catatan rekod baharu temasya, 13.69s. Gangsa milik Patrick Unso dari Filipina dengan masa 14.12s.

Malaysia turut meraih gangsa dalam 4x400m wanita menerusi rangkaian Fathin Faqihah Yusuf, Nurul Faizah Asma Mazlan, Zaimah Zainuddin dan Shereen Samson Vallabouy. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/nauraj-tahan-sakit-untuk-emas-1.101863#sthash.0iL8BrO4.dpuf

SUKAN SEA 2015 : 5 emas, 1 rekod renang dilakar

12 Jun 2015 1:01 AM


SINGAPURA - Perenang remaja berusia 18 tahun, Welson Sim menutup kempen acara renang dengan penuh bergaya apabila merangkul pingat emas bersama rekod baharu temasya untuk melengkapkan pu­ngutan lima emas yang diraih kontinjen Malaysia pada hari ketujuh Sukan SEA 2015, semalam.

Welson Sim

Atlet kelahiran Sarawak itu menamatkan acara 400m gaya bebas dengan catatan masa 3 minit, 53.97s iaitu 0.02s lebih pantas daripada rekod Sukan SEA milik rakan senegaranya, Daniel Beego yang dilakukan pada Temasya Laos, 2009.

Olahraga pula menyumbangkan dua emas, masing-masing menerusi lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin dan lompat tinggi, Nauraj Singh Randhawa, manakala boling meneruskan aksi konsisten dengan merangkul emas ketiga berturut-turut, kali ini dalam trio lelaki.

Selepas beberapa hari gagal memburu emas, menembak akhirnya menamatkan penantian menerusi Alia Sazana Azhari yang menguasai acara 25 meter pistol wanita selepas menewaskan wakil tuan rumah, Teh Xiu Hong 7-1.

Biarpun olahraga sudah membutirkan tiga emas setakat ini, namun semua kejayaan disumbangkan oleh atlet padang pada ketika saingan trek masih buntu menghadiahkan kejuaraan.

Irfan nyata berada dalam kelas tersendiri ketika mempertahankan emas lempar cakera apabila melakukan catatan terbaik 56.62 meter, jauh meninggalkan dua pencabar dari Thailand, Narong Benjaroon (52.59m) dan Kwanchai Numsomboon (51.02m).

Nauraj juga mempertahankan emas yang dimenangi di Myanmar, dua tahun lalu biarpun melakukan lompatan sederhana 2.13m, berkongsi catatan bersama atlet Vietnam, Dao Van Thuy. Seorang lagi wakil Malaysia, Muhammad Ashraf Saipurahman meraih gangsa dengan ketinggian 2.11m.

Malaysia bagaimanapun gagal merampas emas 110m lari berpagar yang kali terakhir dimenangi Rayzam Shah Wan Sofian di Thailand pada 2007.

Buat kali ketiga berturut-turut, Rayzam terpaksa berpuas hati memenangi perak selepas mencatat 13.97s. Jaguh senior Thailand, Jamras Rittidet memahat rekod muncul juara buat kali keempat berturut-turut bersama rekod baharu temasya, 13.69s. Gangsa milik Patrick Unso dari Filipina dengan masa 14.12s.

Sementara itu, kombinasi tiga pemain muda, Muhammad Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fishol dan Timmy Tan memastikan emas ketiga Malaysia di arena boling Orchid Country Club apabila mengumpul 3,710 jatuhan pin, 45 pin mengatasi saingan sengit trio tuan rumah, Javier Tan, Howard Saw dan Keith Saw.

Secara keseluruhan, Malaysia merangkul lima emas, dua perak dan lima gangsa semalam untuk membolehkan mereka kekal di tangga keempat dalam pungutan pingat dengan mengumpul 32 emas, 33 perak dan 43 gangsa.

Singapura terus unggul di kedudukan teratas dengan 66 emas, 58 perak dan 69 gangsa, diikuti Vietnam (57-31-50) dan Thailand (55-62-49).

Hari ini Malaysia dijangka menambah beberapa lagi emas dengan pasukan hoki wanita akan berentap di pentas final menentang Thailand dan dijangka tidak berdepan masalah untuk muncul juara.

Skuad badminton wanita bakal berdepan saingan sukar dalam usaha merebut emas berpasukan selepas dijadual bertemu Thailand, manakala skuad lelaki gagal ke final selepas tewas 2-3 kepada Indonesia.

Jika boling mampu meneruskan aksi konsisten, emas mungkin mampu ditambah dalam berpasukan lelaki dan wanita. Malaysia turun sebagai penyandang juara dalam berpasukan lelaki.

Sementara itu skuad Bawah 23 tahun negara menamatkan kempen acara bola sepak Sukan SEA 2015 dengan kemenangan 3-1 ke atas Laos dalam perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Bishan semalam.

Gol pasukan negara disumbangkan oleh Syafiq Ahmad pada minit ke-42 bagi memadamkan kelebihan jaringan Soukchinda Natphasouk pada minit-22 sebelum Saiful Ridzuwan Selamat dan Syahrul Ibrahim, memastikan kemenangan Malaysia dengan gol pada minit ke-71 dan 81. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/5-emas-1-rekod-renang-dilakar-1.101864#sthash.Rl4uKHKM.dpuf


SUKAN SEA 2015 : Welson pecah rekod Daniel untuk emas

12 Jun 2015 1:01 AM


Welson Sim memecut ke garisan penamat ketika bersaing dalam perlumbaan akhir acara 400m gaya bebas lelaki Sukan SEA 2015 di Pusat Akuatik OCBC, Singapura semalam. UTUSAN

SINGAPURA – Welson Sim meraih pingat emas acara 400 meter gaya bebas lelaki dengan penuh bergaya apabila perenang negara itu turut memecahkan rekod Sukan SEA berusia enam tahun di Pusat Akuatik OCBC semalam.

Merakamkan masa 3 minit 53.97 saat, dia mengatasi rekod rakan senegara Daniel Bego iaitu 3:53.99s yang dilakukan di Laos.

Pingat emas itu boleh dianggap sebagai penawar duka kepada kem negara pada hari terakhir acara renang semalam, untuk membawa pulang tiga pingat emas, gagal untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaian empat pingat emas di Myanmar dua tahun lalu.

Welson begitu teruja dengan kejayaan itu kerana dia tidak pernah terfikir untuk memecahkan rekod dalam penampilan pertamanya di Sukan SEA.

“Secara jujurnya, memang tidak menjangkakan yang saya boleh memecahkan rekod kerana saya hanya mahukan pingat emas sahaja.

“Sebelum ini, catatan terbaik yang saya lakukan ialah 3:55.93s dan memperbaharui rekod adalah satu bonus kepada saya.

“Siapa tidak gembira dapat memecahkan rekod Daniel, malah dia sendiri datang mengucapkan tahniah kepada saya dan dia turut memberitahu dia gembira dengan kejayaan saya.

“Sasaran saya pada masa depan adalah untuk melakukan yang terbaik dalam Kejohanan Dunia kerana ia adalah penyertaan pertama saya dalam acara 200m dan 400m gaya bebas,” katanya.

Daniel turut beraksi dalam acara itu namun menduduki tempat keempat dengan catatan 3:58.34s.

Seorang lagi perenang negara Wong Fu Kang menambah koleksi pingatnya apabila meraih gangsa dalam acara 50 meter kuak dada lelaki dengan masa 28.67s yang memperbaharui rekod kebangsaan 28.69s milik Shaun Yap yang dilakukan pada 2013.

Chui Lai Kwan pula terlepas pingat apabila ketinggalam 0.03s kepada Jasmine Alkhaldi dari Filipina yang mencatat masa 25.79s untuk meraih gangsa dalam acara 50m gaya bebas. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/welson-pecah-rekod-daniel-untuk-emas-1.101869#sthash.G4lFu4lp.dpuf

Thursday, 11 June 2015

SUKAN SEA 2015 : Menang tapi kurang garang

09 Jun 2015 1:12 AM


NURRIDZUAN ABU HASSAN (kanan) menyempurnakan satu daripada dua gol yang diperoleh Malaysia ketika mengalahkan Brunei 2-0 dalam saingan Kumpulan B, semalam.

SINGAPURA – Bagai aksi pemanas badan, skuad Bawah 23 tahun negara seperti bermain sambil lewa ketika menewaskan Brunei 2-0 di Stadium Bishan, semalam.

Dua jaringan daripada Muhammad Nurridzuan Abu Hassan pada minit ke-71 dan Adam Nor Azlin, minit ke-77 sudah cukup untuk mempertahankan maruah Malaysia.

Beberapa perubahan dilakukan oleh Datuk Ong Kim Swee dalam kesebelasan utama dengan memasukkan Adan Nor Azlin, S.Kumaahran, Mohd.Fandi Othman dan Mohd. Ariff Farhan Mohd. Isa tetapi tidak banyak memberi impak pada corak permainan negara.

Selepas melepaskan banyak peluang pada babak pertama, gol sulung skuad negara akhirnya ditemui melalui sepakan bebas diambil Nurridzuan dari jarak 30 meter.

Enam minit kemudian, berpunca daripada situasi kelam kabut di depan pintu gol, Adam bijak menyepak masuk ke dalam gawang yang terhidang.

Syahrul sepatutnya menjadikan angka perlawanan dengan keputusan 3-0 apabila pintu gol ternganga luas ekoran penjaga gol, Mohd. Ahsanuddin Mohd.Dani yang terkeluar posisi.

Kim Swee mengakui, pasukannya mencipta banyak peluang, namun disebabkan sudah kehilangan minat ekoran sudah tersingkir, pemainnya seperti tidak menunjukkan kesungguhan.

“Kita berjaya mendapatkan tiga mata namun banyak peluang dilepaskan dan memang ketara kita masih di bawah Vietnam dan Thailand.

“Macam ada satu peluang yang kita dapat jaringan tadi, takkan saya hendak masuk ke dalam padang dan beritahu bagaimana hendak jaringkan gol,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/menang-tapi-kurang-garang-1.100692#sthash.d6Yyks4y.dpuf


SUKAN SEA 2015 : Grace Wong tak sangka raih gangsa

10 Jun 2015 2:00 AM


Grace Wong beraksi dalam acara baling tukul besi wanita akhir, Sukan SEA 2015 di Stadium Nasional, Singapura semalam. UTUSAN

SINGAPURA – Atlet berusia 15 tahun, Grace Wong Xiu Mei tidak menyangka penampilan sulungnya dalam Sukan SEA berjaya menghadiahkan pingat gangsa kepada kontinjen Malaysia apabila menamatkan saingan baling tukul besi wanita di tangga ketiga di Stadium Nasional, Kallang semalam.

Berasal dari Sarawak, Grace melakukan balingan terbaik 53.80 meter, ketinggalan 1.67m di belakang pemenang pingat perak yang juga penyandang juara, Gimsrang Panwat dari Thailand (55.47m).

Seorang lagi atlet Thailand, Koomphon Mingkamon mengungguli saingan tersebut dengan catatan 56.57m, sekali gus memadam rekod Sukan SEA, 56.41m yang dilakukan atlet negara, Tan Song Hwa di Laos pada 2009.

Menurut Grace, dia hadir di Singapura hanya untuk mengutip pengalaman kerana sandaran Malaysia sebenarnya diletakkan kepada Casier Lee Renee Kelly, namun Casier sebaliknya sekadar menamatkan saingan di tempat keempat dengan catatan 50.78m.

“Saya sebenarnya agak tertekan sepanjang saingan kerana terpaksa bersaing dengan ramai atlet yang sangat berpengalaman.

“Kejayaan meraih pingat benar-benar meningkatkan keyakinan saya. Sasaran saya selepas ini adalah cuba untuk menjadi atlet baling tukul besi terbaik Asia dalam tempoh lima tahun dari sekarang, saya kena berlatih lebih gigih,” kata Grace, yang memahat nama sebagai atlet olahraga paling muda meraih pingat pada Sukan SEA.

Sementara itu, dalam saingan lelaki, teknik balingan yang kurang tepat menyaksikan jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong sekadar meraih gangsa, sekali gus mengulangi pencapaiannya di Myanmar dua tahun lalu.

Jackie melakukan catatan 61.18m, ketinggalan jauh di belakang pemenang pingat emas, Caleb John Christian Stuart dari Filipina (65.63m). Perak milik Tantipong Phetchaiya dari Thailand dengan jarak 62.12m.

“Teknik balingan saya dalam percubaan kedua terakhir sangat teruk,” kata Jackie. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/grace-wong-tak-sangka-raih-gangsa-1.101072#sthash.iYgr4pD9.dpuf


SUKAN SEA 2015 : Atlet pecut gagal beri saingan

10 Jun 2015 2:00 AM


Zaidatul Husniah Zulkifli (kanan) hanya mampu melihat Kayla Anise Richardson (kiri) dan Tassaporn Wannakit menamatkan larian sebagai pemenang pertama dan kedua acara 100m Sukan SEA 2015 di Stadium Nasional, Singapura semalam. UTUSAN

SINGAPURA – Pengalaman adalah pengajaran terbaik. Itulah yang berlaku kepada pelumba remaja Zaidatul Husniah Zulkifli apabila dia membuang tenaga dalam peringkat saringan dan tidak sempat pulih ketika bersaing dalam perlumbaan akhir acar 100 meter wanita Sukan SEA ke-28 semalam.

“Saya terlalu penat,” katanya selepas menamatkan acara riben biru itu di kedudukan keempat dengan catatan masa 11.93 saat di Stadium Nasional, Singapura.

Gelaran ratu pecut Sukan SEA 2015 menjadi milik atlet dari Filipina, Kayla Anise Richardson yang melakukan catatan masa 11.76s menewaskan Tassaporn Wannakit dari Thailand (11.76s) di tempat kedua manakala gangsa milik wakil tuan rumah, Veronica Shanti Pereira (11.88s).

“Saya sudah cuba yang terbaik dan pada pertengahan larian tenaga saya seakan berkurangan untuk berlari lebih pantas, saya terlalu penat,” kata Zaidatul, mengulas lariannya dalam perlumbaan akhir.

“Ini adalah kali pertama saya beraksi dalam Sukan SEA dalam acara 100m, jadi ini adalah pengajaran kepada diri saya dan pengalaman ini akan saya gunakan untuk melakukan yang lebih baik dalam 200m esok (hari ini),” katanya lagi.

Dalam acara 100m lelaki, sandaran utama negara Mohd. Izzuddin Yahya tersingkir pada peringkat saringan selepas hanya mampu melakukan catatan masa 10.61s untuk berada di tempat keenam. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/atlet-pecut-gagal-beri-saingan-1.101079#sthash.FSiVmOLi.dpuf


SUKAN SEA 2015 : Muslifah bantu tembak perak rifle prone 50m

10 Jun 2015 2:00 AM


Muslifah Zulkifli (dua, kanan) beraksi pada Acara 10 Meter Air Rifle Wanita Sukan SEA ke-28 di Kelab Menembak Safra hari ini. Malaysia berjaya meraih pingat perak dalam acara itu. BERNAMA

SINGAPURA – Walaupun ditimpa kecederaan mata, Muslifah Zulkifli tidak menjadikan alasan itu untuk menghalang dia meraih pingat perak dalam acara 50 meter rifle prone berpasukan di Pusat Menembak Nasional semalam.

Bergandingan dengan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Nur Sur­yani Mohammed Taibi, mereka me­ngumpul keseluruhan 1,839 mata.

Acara itu dimenangi trio Thailand yang mengutip 1,869.3 mata sementara Singapura meraih gangsa apabila mengutip 1,829 mata.

Ketiga-tiga penembak negara itu masih berpeluang mendapatkan emas dalam acara itu selepas layak beraksi dalam acara 50m prone rifle individu akhir hari ini.

Muslifah berkata, dia berdepan masalah semasa siri terakhir tembakan kerana minyak dalam senjata­nya terpercik ke dalam mata kanan tetapi dia tetap cekal meneruskan tembakan untuk muncul empat peserta terbaik dalam sesi kelayakan.

“Semasa siri tembakan terakhir, minyak terpercik ke dalam mata dan saya terus mencuci mata kerana baki tembakan pada masa itu tinggal lima minit lagi. Saya tiada pilihan dan terus menghabiskan tembakan namun saya gagal memberikan tembakan terbaik,” katanya yang terpaksa berkejar ke National University Hospital selepas itu untuk mendapatkan rawatan.

Dalam satu lagi acara, gandingan Gan Kong Leong, Amran Risman dan Teh Chee Fei memungut gangsa untuk skeet berpasukan lelaki selepas mengumpul 308 mata.

Pingat emas diraih oleh Thailand yang mengumpul 342 mata sementara perak menjadi milik Singapura yang mencatat 338 mata. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/muslifah-bantu-tembak-perak-rifle-prone-50m-1.101081#sthash.3Vex0CrN.dpuf