Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label SARAWAK. Show all posts
Showing posts with label SARAWAK. Show all posts

Wednesday, 11 February 2015

HASUTAN : Polis cadang kumpulan 
SSKM dituduh di mahkamah

11 Februari 2015 1:27 AM


KOTA KINABALU 10 Feb. – Polis telah mengemukakan kertas siasatan berhubung tangkapan individu yang didakwa kumpulan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) kepada Timbalan Pendakwa Raya termasuk mencadangkan tuduhan di mahkamah di bawah Akta Hasutan 1948.

JALALUDDIN ABDUL RAHMAN

Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, cadangan itu dibuat pihaknya selepas mendapati tindakan kumpulan dan penyokong SSKM tersebut mampu mengganggu-gugat keselamatan serta ketenteraman awam di negeri ini.

Malah, jelas beliau, pihaknya turut mengenal pasti pemimpin mahupun parti politik yang menjadi dalang kumpulan itu bergiat aktif.

“Setakat ini kita telah menahan 14 individu, masing-masing di Tuaran dan Lahad Datu pada minggu lalu serta baru-baru ini.

“Terbaharu, tangkapan lima individu di Lahad Datu, kesemua mereka ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan RM2,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 1 Februari lalu, polis menahan sembilan individu termasuk tiga wanita kerana mengedar risalah dan membuat pungutan suara SSKM di pasar tamu Tuaran, dekat sini.

Sabtu lalu pula, polis menahan lima lagi individu di sekitar pekan Lahad Datu sambil merampas 200 risalah, baju dan topi yang tertera perkataan SSKM.

Jalaluddin memberitahu, pihak­nya telah memperoleh waran tangkap ke atas individu dikenali sebagai Doris Jones yang dipercayai dalang kepada aktiviti SSKM.

Setakat ini, kata beliau, pihak­nya hanya memperoleh waran tangkap terhadap individu berkenaan.

Mengulas tentang laman web SSKM, menurutnya, polis mempunyai pasukan khas untuk memantau kenyataan yang dikeluarkan berhubung SSKM termasuk laman web kumpulan itu.

“Kita ada pasukan khas. Setiap hari kita akan pantau dan buat laporan polis termasuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Jika terdapat elemen menghasut kita akan ambil tindakan,” katanya.

Sementara itu, Jalaluddin memaklumkan perintah berkurung di pantai timur Sabah dilanjutkan bermula esok sehingga 26 Februari ini.

Kata beliau, lanjutan perintah berkurung itu dibuat pihaknya mengambil kira tiga aspek iaitu, jaminan kepada keselamatan dan aktiviti pelancongan di daerah-daerah Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

“Kedua, memudahkan penguat kuasa menjalankan tugas-tugas mencegah aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan serta ketiga, jaminan daerah-daerah di pantai timur Sabah selamat daripada aktiviti penculikan selain cubaan menceroboh oleh penculik untuk tebusan (KFR) dan kumpulan yang mendakwa tentera Sulu,” jelasnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/polis-cadang-kumpulan-8232-sskm-dituduh-di-mahkamah-1.58290#sthash.AClN4Uj8.dpuf


Monday, 13 October 2014

BAJET : Hadiah kepada Sabah,Sarawak


Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Okt. - Bajet 2015 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan hadiah kepada penduduk Sabah dan Sarawak yang selama ini berharap kerajaan dapat memajukan keperluan infrastruktur di kedua-dua negeri itu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, peruntukan sebanyak RM4.5 bilion yang disediakan termasuk RM2.5 bilion bagi menaik taraf Lebuh Raya Pan Borneo merentasi Sabah dan Sarawak akan turut menjadi pemacu kepada peningkatan ekonomi kedua-dua negeri khususnya masyarakat luar bandar.

"Ini adalah inisiatif yang kita alu-alukan terutama masyarakat luar bandar di Sabah dan Sarawak yang menuntut supaya mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan infrastruktur seperti yang ada di Semenanjung.

"Dengan usaha seperti ini kita amat yakin apa yang dipohon oleh mereka akan ditunaikan malah saya yakin Lebuh Raya Pan Borneo akan menjadi pemangkin kepada peningkatan ekonomi penduduk," katanya ketika ditemui selepas pembentangan Bajet 2015 di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd. Shafie berkata, bajet bertajuk Ekonomi Keperluan Rakyat (EKR) itu juga merupakan penyelesaian kepada masalah keperluan asas yang dialami masyarakat luar bandar di seluruh negara selama ini.

Jelasnya, ini adalah bukti kerajaan menunaikan janji bahawa pendapatan yang diperoleh hasil perkembangan pesat ekonomi negara akan diagih-agihkan kepada setiap rakyat terutama golongan yang memerlukan.

"Saya sangat gembira apabila masyarakat luar bandar diutamakan dengan peruntukan RM900 juta untuk memajukan jalan-jalan kampung, RM30 juta untuk lampu jalan di luar bandar, RM1.1 bilion bagi bekalan elektrik dan RM400 juta lagi dalam menyediakan bekalan air bersih.

"Dalam jangka masa panjang, kemajuan di luar bandar akan dapat dilihat dengan jelas terutama di Sabah dan Sarawak kerana saya yakin Pan Borneo akan meningkatkan nilai hartanah di situ," katanya.

Sementara itu, dalam sudut ekonomi makro, katanya, pelbagai insentif pelaburan yang disediakan mampu memacu kepesatan pembangunan total negara melalui kemasukan jumlah pelaburan yang lebih tinggi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141011/dn_18/Hadiah-kepada-SabahSarawak#ixzz3FziLL6Xv  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Wednesday, 17 September 2014

Sambutan Hari Malaysia Ke-51 meriah


SEBAHAGIAN daripada ribuan pengunjung yang membanjiri sambutan Hari Malaysia di Miri, Sarawak malam tadi.


MIRI 16 Sept. - Sambutan Hari Malaysia Ke-51 di Dataran Kipas di sini malam ini, berlangsung dalam suasana meriah dan penuh patriotik apabila kira-kira 40,000 orang menyaksikan upacara bersejarah itu.

Orang ramai terdiri daripada pelbagai kaum yang mula membanjiri lokasi sambutan sejak pukul 6 petang telah dihiburkan dengan acara pra persembahan oleh artis jemputan sementara menunggu ketibaan tetamu kenamaan.

Mereka yang memegang Jalur Gemilang termasuk ada yang membawa anak kecil kelihatan cukup ceria dan bersemangat mengibarkan bendera itu sepanjang acara berlangsung terutama semasa lagu-lagu patriotik dinyanyikan.

Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem bersama isteri, Puan Sri Jamilah Anu tiba di Dataran Kipas pada pukul 8.30 malam.

Yang turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan serta barisan menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan negeri.

Acara sambutan dimulakan sejurus ketibaan Abdul Taib dengan nyanyian lagu negeri Ibu Pertiwiku, diikuti persembahan lagu patriotik oleh Kumpulan Koir Jabatan Penerangan.

Majlis sambutan diteruskan dengan ucapan Adenan dan tayangan video khas sebelum ucapan oleh Perdana Menteri.

Selesai acara rasmi diadakan, penonton dihiburkan dengan persembahan beberapa artis tempatan popular termasuk penyanyi Iban.

Antara artis yang membuat persembahan ialah Datuk DJ Dave, Bob (Akademi Fantasi 2), Dayang Nurfaizah, Nicole Lai, Jaclyn Victor, Jimmy Palikat, Atai (anak saudara Allahyarham Datuk Sudirman Arshad) dan penyanyi Iban yang terkenal dengan lagu berjudul Bekikis Bulu Betis, Andrewson Ngalai.

Tahun ini adalah kali ke-51 negara meraikan sambutan Hari Malaysia bagi mengenang sejarah penggabungan Sabah dan Sarawak bersama Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia pada 16 September 1963.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140917/dn_02/Sambutan-Hari-Malaysia-Ke-51-meriah#ixzz3DYSkTURc  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Bersama dalam satu keluarga yang besar

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

Tetamu Kehormat...Abdul Taib Mahmud, Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin dan anggota Kabinet Persekutuan dan negeri mengibarkan Jalur Gemilang dalam Majlis Sambutan Hari Malaysia ke-51 di Dataran Kipas, Miri malam tadi. - UTUSAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA

MIRI 16 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semenjak terbentuknya Malaysia 51 tahun lalu, rakyat negara ini telah menempuh pelbagai perubahan dan transformasi dari sudut politik, ekonomi dan sosial.

Sehubungan itu, katanya, dalam usia melebihi setengah abad, rakyat Malaysia seharusnya sudah mempunyai jati diri kental dan semangat patriotisme yang teguh terhadap negara.

Beliau berkata, hari ini, masyarakat dapat melihat kesinambungan jasa pemimpin terdahulu yang berjuang untuk memerdekakan negara dan pengorbanan itu wajar disanjung dan terus diwarisi.

"Tuan-tuan dan puan-puan (rakyat Sarawak) yang hadir pada sambutan Hari Malaysia Ke-51 di Dataran Kipas Miri pada malam ini adalah penyambung warisan Sarawak merdeka dalam Malaysia.

"Apabila rakyat mengatakan bahawa Sarawak mendapat seribu satu macam rahmat merdeka dalam Malaysia, maka rakyat Sarawak menyatakan kemerdekaan Sarawak itu akan terus dipertahankan.

"Pada saya, kenyataan ini yang menyebabkan kita (orang luar) yang datang ke Sarawak, saya rasa isteri, saya rasa menteri Persekutuan bila kita turun ke Sarawak...turun ke Sabah, kita merasakan kita bersama dalam satu keluarga yang besar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Sambutan Perayaan Hari Malaysia Ke-51 Tahun 2014 di Dataran Kipas di sini malam ini.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib; isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem bersama isteri, Puan Sri Jamilah Anu serta barisan menteri Kabinet Persekutuan dan negeri.

Menurut Najib, dalam tempoh 51 tahun pembentukan Malaysia, rakyat negara ini telah kukuh perasaan kekeluargaan setelah berdepan dengan pelbagai cabaran, rintangan dan dugaan.

"Pasukan keselamatan kita dari Semenanjung menitiskan darahnya di Sarawak dan Sabah untuk mempertahankan kemerdekaan di kedua-dua negeri ini.

"Kita juga menghargai pejuang dari Sarawak dalam pasukan polis yang turut berkorban nyawa kerana mempertahankan kemerdekaan negara kita," katanya.

Tambahnya, setelah 'berjalan' jauh selama 51 tahun, beliau percaya dalam hati sanubari sebahagian besar penduduk Sarawak dan Sabah, mereka tidak menyesal dengan keputusan menyertai Malaysia.

Katanya, rakyat Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak juga tidak akan patah semangat untuk terus pertahankan kemerdekaan negara.

"Kita akan terus pertahankan Sarawak dan Sabah dalam Malaysia dan saya sebagai Perdana Menteri, tanggungjawab dan kewajipan saya ialah kalau ada pihak cuba menggugat kedaulatan kita, keselamatan kita, maka hendaklah mereka diambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang yang ada," tegasnya.

Dalam pada itu, Najib mengakui Malaysia ibarat sebuah keluarga yang besar dan sememangnya kadang kala akan timbul beberapa masalah berbangkit dan beliau sebagai ketua keluarga sanggup mendengar apa sahaja suara yang dinyatakan dalam keluarga.

"Kalau Ketua Menteri Sarawak minta sesuatu (mengikuti) kehendak rakyat Sarawak, kalau Ketua Menteri Sabah minta sesuatu kehendak rakyat negeri Sabah dalam Malaysia, maka menjadi tanggungjawab saya mesti mendengar dan memberi pertimbangan yang sewajarnya.

"Dalam perhimpunan malam ini, saya nak nyatakan bahawa kehendak dan suara rakyat Sarawak dari kerajaan negeri Sarawak pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap kita akan beri pertimbangan yang sewajarnya.

"Saya dengar permintaan rakyat nak tambah pendapatan Sabah dan Sarawak daripada hasil minyak. Kita bersikap terbuka, kerajaan Pusat bersedia menimbang apa yang patut untuk memberi pendapatan yang lebih kepada negeri Sarawak," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140917/dn_01/Bersama-dalam-satu-keluarga-yang-besar#ixzz3DYM6TLJS  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Isu Sabah: Polis buru penghasut

Oleh ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my

Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan para perwakilan yang menghadiri Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Silam di Dewan Sri Perdana, Lahad Datu, semalam. Turut kelihatan, Ketua UMNO Bahagian Silam, Datuk Mohd. Yusof Apdal (kiri). - UTUSAN/Azrul Edham Mohd Aminuddin

LAHAD DATU 12 Sept. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan operasi besar-besaran memburu individu atau kumpulan kecil yang didakwa 'melancarkan' kempen menghasut supaya Sabah keluar dari Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi itu turut melibatkan buruan ke atas kumpulan kecil atau individu yang terlibat dalam gerakan Kesultanan Sulu yang mahu merampas Sabah.

Tegas beliau, PDRM telah mengenal pasti individu terlibat termasuk mereka yang bergiat aktif menyebarkan gerakan itu melalui media sosial.

"Kita telah kesan individu yang terlibat. Ada di antara mereka berada di sini (Sabah), Malaysia dan luar negara.

"Tindakan tidak bertanggungjawab mereka ini tidak berpanjangan kerana PDRM giat memburu mereka. Mereka tidak akan terlepas," tegasnya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Silam di Dewan Sri Perdana di sini, hari ini.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan, pihaknya menahan tiga individu yang dipercayai menyertai Kesultanan Sulu dan merekrut ahli-ahli baharu bagi tujuan membawa Sabah keluar daripada Malaysia dan diperintah menjalani tahanan di pusat pemulihan tidak melebihi dua tahun mengikut Seksyen 19A Akta Pencegahan Jenayah.

Jelas Khalid, ketiga-tiga individu terbabit merupakan dua rakyat Malaysia, Abu Bakar Yajari dan Zainuddin Mislani serta seorang rakyat Filipina, Kassim Ibrahim.

Sambil menganggap individu atau kumpulan kecil yang ingin membawa keluar Sabah daripada Malaysia sebagai penderhaka, Ahmad Zahid berkata, tindakan tegas akan diambil ke atas mereka mengikut Akta Hasutan 1948, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau undang-undang lain berkaitan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid mengumumkan kerajaan bakal mewujudkan sebuah Markas Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kekuatan satu batalion di daerah Kunak dalam waktu terdekat.

Jelasnya, tindakan itu mampu membantu memantapkan struktur Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menjaga keselamatan dan kedaulatan negeri ini.

Selain itu, beliau memaklumkan akan menaik taraf semua balai polis di daerah Lahad Datu, Tungku dan Kunak selain menyediakan kemudahan bersesuaian dengan senario jenayah di kawasan tersebut.

Terdahulu, beliau sempat mengadakan lawatan bagi melihat operasi Esscom di pejabat Esscom di daerah ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140913/dn_07/Isu-Sabah-Polis-buru-penghasut#ixzz3DXkLqw00  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Friday, 28 March 2014

PRK BALINGIAN - Pengundi jangan terpedaya


Oleh ANGELINA SINYANG
utusansarawak@utusan.com.my






MUHYIDDIN Yassin melawat salah sebuah inap desa pada majlis Pelancaran Rumah Inap Kampung Tanjung Pedada dan Bunut, di Mukah, Sarawak semalam. Turut sama, Abang Johari Tun Openg (dua dari kiri) dan Yussibnosh Balo (kiri). - BERNAMA

MUKAH 27 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat negara ini terutama bakal pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian pada Sabtu ini, agar tidak terpedaya dengan dakwaan pembangkang yang menuduh Barisan Nasional (BN) sebagai parti tidak bertanggungjawab dan kejam.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau dimaklumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah datang ke Balingian untuk berkempen bagi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdul Jalil Bujang beberapa hari lalu.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, dalam ucapannya, Penasihat PKR itu dengan sombongnya berbangga memberitahu beliau sudah menang dalam PRK DUN Kajang.

"Anwar juga menuduh BN sebagai sebuah parti anak-beranak dan kejam seperti Firaun kerana tidak membela nasib rakyat sehingga ramai penduduk di Balingian miskin dan tertinggal dalam pembangunan.

"Tetapi saya nak tanya orang Sarawak, berapa ramai yang kebuluran tidak makan? Yang saya tahu ramai yang mati sebab makan banyak, masuk hospital kerana kencing manis," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Pelancaran Rumah Inap Kampung Tanjung Pedada di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Pelancongan negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan calon BN bagi PRK DUN Balingian, Yussibnosh Balo.

Menurut Muhyiddin, walaupun Anwar berbangga dengan kemenangan PKR di Kajang, namun beliau terlupa bahawa partinya sedang menghadapi krisis dalaman yang cukup serius membabitkan beliau dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Presiden parti itu, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden, Azmin Ali.

"Malah, kali ini undi diperoleh oleh isteri beliau juga merosot apabila menurun 1,445 undi berbanding Pilihan Raya Umum Ke-13. Ini bermakna beliau telah tersilap langkah," ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan Anwar yang menuduh BN kejam, Muhyiddin berkata, kenyataan beliau adalah tidak berasas kerana di bawah parti tersebut, rakyat menerima pelbagai subsidi bagi beberapa jenis barangan untuk meringankan beban kehidupan.

Menurutnya, kerajaan telah menampung kos subsidi barangan berjumlah RM42 bilion setahun iaitu hampir sama dengan RM40 bilion diperuntukkan bagi projek pembangunan.

Namun, katanya, kerajaan berasa tidak wajar jika bantuan subsidi bagi sesetengah barangan dilaksanakan sepanjang masa lalu mengurangkan sedikit nilai bantuan tersebut.

"Tetapi ada baiknya subsidi itu dikurangkan kerana wang dikumpul hasil pengurangan subsidi boleh diberikan semula kepada rakyat melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM).

"Kerajaan sudah memberikan RM3 bilion kepada lebih 7 juta penerima BRIM di seluruh negara. Pemberian BRIM adalah lebih baik kerana ia hanya dinikmati oleh kumpulan sasaran berbanding subsidi yang turut memberi faedah kepada golongan berpendapatan tinggi," katanya.

Melihat kepada keadaan itu, kata Muhyiddin, rakyat jangan terpengaruh dengan pembangkang dan masyarakat Balingian diminta memberi sokongan padu kepada BN dengan mengundi Yussibnosh pada hari mengundi nanti.

Mengenai kempen pilihan raya yang tinggal dua hari lagi, beliau berpuas hati dengan sambutan diterima penduduk Balingian terhadap BN dan berharap parti itu boleh mendapat undi majoriti yang lebih tinggi pada pilihan raya kali ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140328/po_01/Pengundi-jangan-terpedaya#ixzz2xDP5MAsw  © Utusan Melayu (M) Bhd 




Thursday, 27 March 2014

PRK BALINGIAN - Tindakan halang kemasukan pemimpin pembangkang disokong






MUKAH 26 Mac - Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak menyokong tindakan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem menghalang beberapa pemimpin pembangkang memasuki negeri ini untuk berkempen dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian semalam.

Ketuanya, Datuk Fadillah Yusof berkata, keputusan dibuat itu adalah berasas disebabkan terdapat bukti menunjukkan individu yang dihalang itu terlibat dalam perkara boleh menjejaskan kestabilan dan keharmonian di Sarawak.

Beliau berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab pemimpin berkenaan telah terbukti berlaku di Semenanjung Malaysia.

"Sebab itu, saya dan semua ahli Pemuda BN negeri dan Parti Pesaka Bumiputera (PBB) menyokong tindakan Ketua Menteri agar kestabilan dan keharmonian di Sarawak dapat terus dipelihara.

"Sebagaimana dikatakan oleh Ketua Menteri bahawa bukan sahaja Sarawak ini mempunyai apa yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia iaitu kuasa dalam bidang kuasa imigresen.

"Namun, kuasa ini (Imigresen) tidak digunakan sewenang-wenangnya iaitu hanya dipakai untuk memastikan kestabilan dan keharmonian di Sarawak dipelihara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan majlis Penyerahan Pelekat Kereta 'Pray for MH370 Never Forget We Care' bagi mengajak masyarakat berdoa serta memperingati penumpang dan kru pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Malaysia (Jasa), Datuk Fuad Hassan.

Semalam, Adenan mengarahkan pihak Imigresen di Lapangan Terbang Sibu menghalang Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua; Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution dan Pengarah Strategi parti itu, Rafizi Ramli daripada memasuki negeri ini untuk menyertai ceramah diadakan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena pilihan raya kecil Balingian.

Mengulas lanjut, Fadillah yang merupakan Menteri Kerja Raya berkata, keputusan dibuat oleh Ketua Menteri itu sangat baik dan tidak menggambarkan beliau adalah seorang pemerintah 'kuku besi' kerana tindakan diambilnya demi menjaga kepentingan rakyat Sarawak dan memelihara kehidupan aman yang dinikmati di negeri ini.

"Sekarang kita lihat semuanya (isu) dipolitikkan oleh pemimpin pembangkang. Apabila semua perkara dipolitikkan maka keadaan menjadi tidak stabil, menjejaskan pembangunan ekonomi dan imej negara.

"Ini sudah berlaku di Semenanjung dan kita tidak mahu budaya seumpama itu dibawa ke Sarawak. Sebab itu, saya menyokong penuh tindakan Ketua Menteri," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata, beliau gembira mendapati semua jentera Pemuda BN dan program diadakan mereka sepanjang tempoh berkempen dalam pilihan raya ini mendapat sambutan baik masyarakat di Balingian.

Katanya, sambutan diterima bukan sahaja di luar jangkaan tetapi masyarakat sangat mesra terhadap mereka menyebabkan BN berasa cukup yakin mampu mencapai kejayaan cemerlang dalam pilihan raya tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140327/po_03/Tindakan-halang-kemasukan-pemimpin-pembangkang-disokong#ixzz2x7cQpK3F  © Utusan Melayu (M) Bhd


Pembangkang tiada hak mendesak






MUKAH 26 Mac - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) tidak mempunyai sebarang niat jahat apabila datang dan mengembangkan pengaruh ke Sabah dan Sarawak.

Menurut Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali, perjuangan Perkasa di bawah pimpinan Presiden, Datuk Ibrahim Ali hanya untuk mempertahankan hak kaum Melayu dan bumiputera di dua negeri ini yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Sehubungan itu, katanya, tiada sebab untuk pihak pembangkang dan aktivis di negeri ini mendesak kerajaan negeri supaya menyekat kemasukan Ibrahim serta Perkasa dari Semenanjung memasuki Sarawak.

"Mengapa perlu halang Datuk Ibrahim Ali dan Perkasa ke Sarawak? Jika halang Perkasa ke Sarawak bermakna tindakan itu ibarat menghalang hampir 500,000 ahli Perkasa masuk ke Sarawak.

"Bagaimana dengan lebih 4,000 ahli Perkasa di Sarawak sekarang? Adakah mereka perlu dihalau keluar juga?" katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari Ini.

Beliau menjawab kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mendesak kerajaan negeri agar menghalang Ibrahim dan Perkasa memasuki Sarawak disiarkan dalam akhbar tempatan, The Borneo Post kelmarin.

Menurut Chee How, Ibrahim dan Perkasa sepatutnya tidak dibenarkan datang ke Sarawak kerana pernah menyinggung perasaan umat Kristian sebelum ini berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Mengulas lanjut, Syed Hassan berkata, apa alasan Chee How untuk menghalang Ibrahim dan Perkasa memasuki Sarawak sedangkan pertubuhan bukan kerajaan itu (NGO) itu tidak pernah melakukan kesalahan kepada kerajaan negeri ini.

"Jika halang Ibrahim kerana isu kalimah Allah, apakah Sarawak juga perlu halang Yang di-Pertuan Agong dan beberapa Sultan kerana pernah bertitah hanya umat Islam sahaja boleh guna Kalimah Allah?

"Tidak bolehkah Chee How menganggap titah Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Melayu itu melampau dan penghasut juga?" ujarnya.

Menurut Syed Hassan, rakyat majoriti bumiputera di Sarawak rata-rata ketinggalan disebabkan kaum bukan bumiputera membolot sebanyak-banyaknya hasil negeri ini.

Katanya, keadaan itu menjadi punca dan sebab Perkasa memasuki Sarawak atas permintaan kaum bumiputera di negeri ini.

Tambahnya, Jawatankuasa Penyelaras Perkasa Negeri Sarawak (Perkasa Sarawak) sudah bertapak di negeri ini sejak 2009 tetapi belum pernah lagi melakukan kekacauan atau menghina kaum bukan bumiputera di sini.

"Sepatutnya bumiputera di Sabah dan Sarawak menyokong dan mengalu-alukan Perkasa ke negeri mereka kerana Perkasa memperjuangkan kepentingan bumiputera jauh berbeza dengan PKR dan DAP yang memperjuangkan kesamarataan.

"Bagi PKR dan DAP, kaum lain boleh membolot segalanya atas dasar liberalisasi tanpa ada kepentingan kaum bumiputera lagi pada mereka. Sepatutnya PKR dan DAP yang perlu dihalang masuk ke Sarawak," katanya.

Mengenai Peter John Jaban, seorang aktivis Hak Asasi Manusia yang senada dengan Chee How, Syed Hassan berkata, adalah lebih baik bagi beliau memperjuangkan nasib kaumnya daripada masyarakat keturunan lain yang mahu memonopoli ekonomi negeri ini.

Jika kamu perjuangkan hak asasi kamu sepatutnya pertahankan hak orang untuk menyeberangi sempadan juga.

Syed Hassan turut mempersoalkan kenapa ada pihak yang memperjuang hak asasi manusia untuk membenarkan hubungan seks sejenis tidak dihalang memasuki Sarawak, manakala mereka yang memperjuangkan hak kaum sendiri disekat daripada melangkah sempadan negeri atau negara.

"Perjuang hak asasi manusia bersungguh-sungguh memperjuangkan kebebasan sesuatu perbuatan melangkau undang-undang agama tertentu tetapi tidak perjuangan hak orang melintasi sempadan melangkau undang-undang imigresen sesebuah negeri atau negara," katanya.

"Inikah nama namanya Perjuang hak asasi manusia bersungguh-sungguh memperjuangkan kebebasan sesuatu perbuatan melangkau undang-undang agama tertentu tetapi tidak perjuangan hak orang melintasi sempadan melangkau undang-undang imigresen sesebuah negeri atau negara. Inikah nama namanya perjuang hak asasi manusia?.

"Ibrahim dan ahli Perkasa adalah rakyat negara ini dan sepatutnya bebas mahu ke mana-mana sahaja dalam negara ini seperti mana kamu (Chee How) bebas ke Semenanjung," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140327/po_01/Pembangkang-tiada-hak-mendesak#ixzz2x7O7cDWZ  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Friday, 21 March 2014

PRK BALINGIAN - BN mahu majoriti besar


Oleh FARHANA JONI
utusansarawak@utusan.com.my




MUHYIDDIN Yassin sempat bergurau ketika memperkenalkan Yussibnosh Balo dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Tellian Tengah, Mukah, Sarawak semalam. - BERNAMA

MUKAH 20 Mac - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu 13,366 pengundi berdaftar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian turun mengundi parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadual berlangsung 29 Mac ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kesemua pengundi berkenaan perlu memberi kemenangan dengan majoriti yang besar kepada calon BN, Yussibnosh Balo, 48, sekali gus menghilangkan wang taruhan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata, sekiranya calon BN menang dalam pilihan raya kali ini, kerajaan negeri dan Pusat memberi jaminan lebih banyak projek pembangunan akan dilaksanakan di Balingian dan Mukah.

"Saya mengharapkan kemenangan majoriti yang lebih besar berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011 lalu sehingga menghilangkan wang taruhan calon pembangkang yang diwakili PKR.

"Penduduk di Balingian perlu mengetahui sekiranya Yussibnosh menang dalam pilihan raya ini, kerajaan BN akan berusaha memajukan lagi bahagian Mukah yang menjadi pusat pembangunan Koridor Sarawak Bagi Tenaga Diperbaharui (SCORE)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Tellian Tengah di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan isteri, Puan Sri Jamilah Anu; Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri, Datuk Fatimah Abdullah.

Turut kelihatan, Ahli Parlimen Mukah, Datuk Dr. Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah dan Yussibnosh. Dalam majlis tersebut, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan turut mengumumkan peruntukan RM19 juta bagi membina bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tellian.

Terdahulu Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata, sekiranya wakil rakyat yang dipilih bukan daripada parti BN maka sukar untuk kerajaan negeri dan Pusat menyalurkan peruntukan.

Beliau berkata, kesemua pengundi berdaftar di DUN tersebut harus bijak memilih calon iaitu daripada parti BN bagi meneruskan usaha pembangunan dijalankan.

"Pengundi di Balingian perlu memilih BN untuk kesinambungan pembangunan di sini malah saya sebagai Ketua Menteri memberi jaminan lebih banyak aktiviti perindustrian akan dilakukan di masa akan datang," katanya

"Walau bagaimanapun kesemua pembangunan itu akan terlaksana sekiranya pengundi memilih calon BN, bukan calon daripada parti pembangkang," katanya.

PRK DUN Balingian akan diadakan pada 29 Mac ini dalam persaingan satu lawan satu iaitu antara calon BN dengan PKR yang diwakili ahli perniagaan, Abdul Jalil Bujang, 55.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140321/po_01/BN-mahu-majoriti-besar#ixzz2wYPUIdJB  © Utusan Melayu (M) Bhd


Tuesday, 18 March 2014

Pertembungan satu lawan satu


Oleh ANGELINA SINYANG dan FARHANA JONI
pengarang@utusan.com.my




YUSSIBNOSH Balo (kanan) bersalaman dengan Abdul Jalil Bujang semasa penamaan calon untuk Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Balingian di Dewan Suarah Mesra Mukah, Sarawak, semalam. - BERNAMA

MUKAH 17 Mac - Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian pada 29 Mac ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu membabitkan seorang bekas pegawai daerah yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan seorang usahawan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Shafrie Saili mengumumkan bekas Pegawai Daerah Dalat, Yussibnosh Balo, 48, sebagai calon BN manakala Setiausaha PKR Cabang Bintulu, Abdul Jalil Bujang, 55, mewakili parti itu.

Pengumuman itu dibuat pukul 10.10 pagi ini selepas proses penamaan calon tamat di pusat penamaan calon di Dewan Suarah Mesra Mukah di sini.

Yussibnosh menyerahkan borang penamaan calon pada pukul 9.05 pagi manakala Abdul Latif berbuat demikian pukul 9.12 pagi.

Pilihan Raya Kecil DUN Balingian diadakan ekoran peletakan jawatan penyandangnya bekas Ketua Menteri merangkap Presiden Parti Pesaka Bumiputera (PBB), Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Dalam Pilihan Raya Negeri Ke-10 pada 2011, Abdul Taib memperoleh majoriti 5,154 undi dalam pertandingan tiga penjuru di DUN Balingian melibatkan calon BN, PKR dan calon Bebas.

Seramai 13,366 pemilih berdaftar layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil DUN Balingian termasuk 133 pengundi awal.

Jumlah keseluruhan pengundi itu terdiri daripada Melayu (57.65 peratus), Iban (28.99 peratus), Cina (12.59 peratus) dan lain-lain (0.41 peratus), Orang Ulu (0.22 peratus) serta Bidayuh (0.14 peratus).

Sebanyak 21 pusat mengundi akan dibuka iaitu sebuah pusat mengundi awal pada 25 Mac ini manakala 20 lagi pusat mengundi dibuka pada hari mengundi pada 29 Mac.

Terdahulu, Yussibnosh tiba di Dewan Suarah Mesra Mukah pada pukul 8.55 pagi dengan diarak oleh kira-kira 1,000 penyokong dari Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) St. Patrick di sini diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Yang turut mengiringi beliau ialah Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan isteri, Puan Sri Jamilah Anu; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan beberapa lagi pemimpin parti komponen BN peringkat Pusat dan negeri.

Abdul Jalil pula tiba pada pukul 9 pagi dengan diiringi kira-kira 100 penyokong diketuai Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali; Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution; Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian; Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Mohd. Akin dan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140318/po_01/Pertembungan-satu-lawan-satu#ixzz2wGy3GXes  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Tuesday, 4 March 2014

Adenan kekalkan Kabinet


Oleh MD. AZRIN ROSLY
utusansarawak@utusan.com.my




ADENAN Satem (kiri) menerima kunjungan ketua-ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di pejabat rasmi Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, Sarawak, semalam. - UTUSAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA

KUCHING 3 Mac - Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem mengekalkan portfolio kesemua menteri Kabinet negeri yang dilantik oleh Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebelum ini bagi membantunya menguruskan pentabdiran Sarawak.

Bagaimanapun, terdapat satu kekosongan jawatan dalam Kabinet negeri apabila beliau melepaskan portfolio sebagai Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-tugas Khas) setelah dilantik menjadi Ketua Menteri berkuat kuasa kelmarin.

"Dalam barisan Kabinet negeri, saya telah menggugurkan seorang menteri iaitu Tan Sri Adenan Satem maka beliau bukannya Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-Tugas Khas) lagi," katanya secara berseloroh.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pertama yang diadakannya selepas dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak kelima di Dewan Lapau, Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Istiadat Angkat Sumpah Pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Menteri-menteri Muda Negeri di Dewan Lapau.

Majlis angkat sumpah tersebut diadakan di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud sambil disaksikan oleh Adenan.

Yang turut hadir, isteri Abdul Taib, Puan Sri Ragad Kurdi Taib dan isteri Adenan, Puan Sri Jamilah Anu. Menurut Adenan, tiada sebab untuk beliau menukar barisan Kabinet negeri yang sedia ada kerana pemimpin yang dipilih bagi memegang jawatan di dalamnya sudah cukup baik.

"Apabila kepemimpinan yang ada sudah baik, kita kekalkan. Kita telah menuju ke arah yang betul, mengapa perlu diubah," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga akan memegang jawatan yang disandang Abdul Taib sebelum ini sebagai Menteri Kewangan serta Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar negeri.

Ditanya mengenai pelantikan bagi mengisi kekosongan portfolio Timbalan Ketua Menteri II Sarawak, Adenan memberitahu, perkara itu sedang dilihat dan akan diumumkan apabila tiba masa yang sesuai.

Tambahnya, pelantikan jawatan tersebut tidak perlu dilakukan tergesa-gesa.

Mengulas mengenai pilihan raya kecil (PRK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, beliau berkata, pihaknya yakin Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan kemenangan di kerusi itu seperti sebelum ini.

"Penduduk (Balingian) masih mempercayai kita (kerajaan). Dalam masa terdekat akan diumumkan calon kita.

"Beberapa nama calon telah diterima dan saya akan berbincang dengan pemimpin kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan BN bagi menentukan calon paling sesuai untuk diletak bertanding di situ," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140304/po_03/Adenan-kekalkan-Kabinet#ixzz2uxBNU3hl  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Friday, 14 February 2014

Terus beri kerjasama - Muhyiddin


Oleh ANGELINA SINYANG
utusansarawak@utusan.com.my





Muhyiddin Yassin diiringi Alfred Jabu Numpang setelah menerima anugerah Darjah Utama Yang Amat Mulia 'Bintang Kenyalang' (D.P) daripada Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Kuching, semalam. - UTUSAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA


KUCHING 13 Feb. - Kerajaan Pusat berjanji akan memberi kerjasama kepada Tan Sri Adenan Satem selepas dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak yang kelima bagi memastikan kemajuan di negeri ini dapat diteruskan seperti semasa pemerintahan Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihak kerajaan Pusat menyokong sepenuhnya keputusan Abdul Taib melepaskan jawatan dan melantik Adenan sebagai pengganti.

"Kami pimpinan kerajaan Pusat seperti yang pernah disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini menyokong penuh apa yang telah diputuskan (peralihan kuasa di Sarawak) dan akan terus memberikan kerjasama kepada beliau (Adenan) untuk memajukan Sarawak seperti semasa Abdul Taib memimpin sebagai Ketua Menteri.

"Saya yakin beliau (Adenan) juga mempunyai visi sama (dengan Abdul Taib) iaitu mahu melihat Sarawak maju dalam Malaysia, mencipta lebih banyak lagi kemajuan dan mencontohi kerjasama antara kaum yang begitu baik seperti mana diwujudkan oleh Abdul Taib," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Persatuan Penjaja dan Persatuan Pembekal Sarawak di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hassan Malek serta Menteri Muda Pembangunan Usahawan Bumiputera negeri, Datuk Mohd. Naroden Majais.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih kepada Abdul Taib atas jasa dan perkhidmatan cemerlangnya untuk Sarawak dan Malaysia.

"Tempoh 33 tahun perkhidmatan Abdul Taib adalah cukup panjang dan beliau telah menyempurnakan tanggungjawab dengan cemerlang sekali, malah menjadi satu legasi amat bernilai, khususnya di Sarawak.

"Ada beberapa perkara utama yang telah beliau laksanakan, pertama, bukan sahaja tempoh perkhidmatannya cemerlang tetapi beliau berjaya mewujudkan kerjasama, persefahaman dan perpaduan di antara semua rakyat yang ada di Sarawak kerana negeri ini cukup unik dengan latar belakang etnik pelbagai agama dan budaya," ujarnya.

Selain itu beliau berkata, Abdul Taib juga cemerlang dari segi pembangunan dan boleh dilihat melalui perubahan wajah Sarawak sejak kebelakangan ini, contohnya penubuhan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan kedatangan pelabur yang mencurah-curah ke negeri ini.

Katanya, semasa pemerintahan Abdul Taib, jalinan kerjasama antara kerajaan Pusat dan negeri menjadi semakin kukuh kerana hubungan peribadinya dengan Perdana Menteri terdahulu.

"Sebab itu, kita percaya pelantikan Adenan sebagai penggantinya adalah satu pilihan beliau dan atas pertimbangan bijaksana. Ini kerana saya kenali secara peribadi Adenan sewaktu beliau menganggotai Kabinet 
Persekutuan, apa lagi pengalamannya di peringkat negeri yang saya kira agak cemerlang.

"Latar belakangnya begitu baik dan beliau memahami dasar sedia ada. Saya yakin beliau (Adenan) dapat meneruskan dasar yang telah dipelopori oleh Abdul Taib tetapi diperkukuhkan lagi dengan inisiatif baharu," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin memberitahu, Pilihan Raya Negeri Sarawak akan diadakan selewat-lewatnya pada Jun 2016 dan strategi awal sudah dibincangkan untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya tersebut.

"Saya yakin berdasarkan kepada kepimpinan Abdul Taib yang lalu dan diteruskan oleh pimpinan baharu, sokongan rakyat akan terus diperkukuhkan. Langkah dan strategik seterusnya tidak perlu saya sebut di sini tetapi yang penting Sarawak akan terus menjadi satu daripada benteng kuat BN," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140214/dn_03/Terus-beri-kerjasama---Muhyiddin#ixzz2tG4QIAJj  © Utusan Melayu (M) Bhd




 


Thursday, 13 February 2014

Adenan Ketua Menteri Sarawak


Oleh ANGELINA SINYANG dan FARHANA JONI
utusansarawak@utusan.com.my




Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Abdul Taib Mahmud (kanan) ketika menghadiri perjumpaan khas bersama presiden parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak di Kuching, Sarawak, malam tadi. - BERNAMA

KUCHING 12 Feb. - Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak dan mengumumkan Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-tugas Khas), Tan Sri Adenan Satem sebagai penggantinya.

Pemilihan Adenan, 70, yang juga Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diumumkan oleh Abdul Taib dalam sidang akhbar selepas menghadap dan mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Astana Negeri di sini.

Abdul Taib berkata, Adenan akan mengangkat sumpah jawatan pada 28 Februari ini dan memulakan tugas pada 1 Mac.

"Beliau (Yang Dipertua Negeri) tiada bantahan dan saya gembira sebab semuanya berjalan lancar. Rakan saya (pemimpin parti komponen Barisan Nasional) juga faham alasan saya mahu meletak jawatan dan mereka sangat gembira. Semuanya akan berjalan lancar sebab banyak perkara dibuat secara bersama sebelum ini," katanya.

Yang turut hadir dalam sidang akhbar tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Timbalan Presiden PBB, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri Kewangan II negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh dan Menteri Pembangunan Sosial negeri merangkap Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP), Tan Sri William Mawan Ikom.

Mengenai kedudukan beliau sebagai Yang Dipertua Negeri bagi menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin yang akan tamat tempoh perkhidmatan pada 28 Februari ini, Abdul Taib berkata, beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat pelantikan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.


Abdul Taib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian berkata, pilihan raya kecil di kawasan itu akan diadakan jika beliau dilantik Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Terdahulu Abdul Taib yang tiba di Astana Negeri pada pukul 2.50 petang menghadap Yang Dipertua Negeri Sarawak pada pukul 3.25 hingga pukul 3.56 petang.

Mengulas lanjut peletakan jawatannya, Abdul Taib berkata, beliau yakin tindakannya itu tidak menjejaskan perpaduan dalam Barisan Nasional (BN) Sarawak kerana parti dianggotai oleh ahli berbilang kaum itu sudah menjalin kerjasama sejak sedekad lalu.

Ditanya tentang pemilihan Adenan sebagai pengganti, beliau berkata, pemimpin itu memenuhi syarat dikehendakinya antara tiga calon yang disenaraikan sebelum ini.

"Saya juga melihat beliau mampu mengekalkan semangat berpasukan yang telah ada dalam PBB dan parti komponen BN sejak beberapa tahun lalu.

"Saya yakin Tan Sri (Adenan) dan pasukan lama (pemimpin BN Sarawak sedia ada) mampu mengekalkan momentum untuk meneruskan pembangunan bagi negeri ini pada masa akan datang," ujarnya.

Abdul Taib berkata, beliau tidak berasa sedih mahu melepaskan jawatan kerana memilih berbuat demikian ketika negeri ini berada dalam keadaan baik tetapi akan merindui rutin harian iaitu bekerja dalam tekanan.

"Saya boleh bagi tahu anda (saya tidak sedih) sebab saya meninggalkan negeri ini dalam keadaan baik, pengalaman baik. Saya saya tidak was-was kerana mereka (Adenan bersama barisan Kabinet) akan lakukan terbaik tanpa saya mulai sekarang," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140213/dn_01/Adenan-Ketua-Menteri-Sarawak#ixzz2t9pPiZdT  © Utusan Melayu (M) Bhd