Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label Sukan Komanwel XX. Show all posts
Showing posts with label Sukan Komanwel XX. Show all posts

Wednesday, 6 August 2014

SUKAN KOMANWEL : Memang aksi terburuk Malaysia

Oleh AIZAWATI AHMAD
aizawati.ahmad@utusan.com.my

Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengakui, pencapaian kontinjen negara pada Sukan Komanwel XX yang berakhir di Glasgow, Ahad lalu antara yang terburuk pernah dilakar dalam sejarah penyertaan Malaysia pada temasya tersebut.

Justeru, satu program baharu perlu dirangka bagi mengelak kemerosotan daripada terus berlaku, apatah lagi Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2017.

"Saya akui kita memang memerlukan satu program baharu dan kita tidak lagi boleh mengikut program lama yang telah pun kita tahu hasilnya.

"Program sekarang yang telah kita bentuk sejak 2010 dan akan berakhir pada hujung 2014 adalah untuk persediaan Sukan Komanwel serta Sukan Asia.

"Memandangkan kita telah melihat hasilnya pada Sukan Komanwel, maka kita tidak boleh lagi mengguna pakai program lama ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Malaysia menamatkan kempen Sukan Komanwel XX di Glasgow dengan sekadar meraih enam pingat emas, tujuh perak dan enam gangsa.

Pencapaian itu bukan sahaja gagal memenuhi sasaran rendah tujuh emas yang ditetapkan, malah ia merupakan rekod terburuk kontinjen negara pada temasya tersebut dalam tempoh 16 tahun.

Menurut Khairy, pihaknya akan turut mengambil kira pandangan yang dilontarkan oleh Datuk Wira Mazlan Ahmad kerana teguran bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu ada kebenarannya dan memang kontinjen Malaysia telah mempamer aksi terburuk mereka pada Temasya Glasgow.

Jelas beliau, program baharu yang akan disusun untuk tahun depan perlulah dipastikan keberkesanannya, agar ia dapat membantu meningkatkan prestasi atlet.

Mengulas mengenai kemerosotan prestasi beberapa acara sukan pada Sukan Komanwel kali ini, Khairy memberitahu, sukan seperti boling padang dan berbasikal telah gagal mencapai sasaran yang diletakkan.

"Seperti boling padang, kemerosotan yang berlaku memang ketara apabila mereka pernah memenangi dua emas di Melbourne, tetapi sejak aksi di New Delhi dan Scotland mereka gagal menjelmakan pingat emas buat Malaysia.

"Begitu juga dengan sukan berbasikal yang pada empat tahun lalu Malaysia telah meraih emas menerusi Josiah Ng (acara keirin), namun pada penyertaan di Scotland, kita hanya mampu memenangi gangsa menerusi Azizulhasni (Awang)," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140806/su_02/Memang-aksi-terburuk-Malaysia#ixzz39ZX3xRZS  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Tuesday, 5 August 2014

SUKAN KOMANWEL : Tidak adil saya dikecam - Jurulatih


Muhammad Dhaarma

GLASGOW - Jurulatih skuad hoki negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menyifatkan kritikan yang dilemparkan terhadap dirinya ekoran persembahan buruk skuad hoki kebangsaan pada Sukan Komanwel adalah tidak adil memandangkan temasya tersebut hanya dijadikan platfrom bagi memilih pemain ke Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, September ini.

Beliau berkata, dirinya tidak harus menjadi mangsa kecaman kerana sasaran skuad negara bukanlah pada Sukan Komanwel, tetapi sebaliknya pada pentas Sukan Asia.

"Tidak adil saya dikecam, jika benar Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mahu bersaing untuk tempat keempat atau kelima kita seharusnya menghantar skuad utama bukannya pasukan kedua.

"Jika diikutkan, pencapaian pasukan tahun ini lebih bagus berbanding empat tahun lepas. Di India, skuad hoki yang senior meraih kedudukan kelapan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan skuad kendaliannya menewaskan pasukan tuan rumah, Scotland 2-1 pada aksi penentuan tempat ketujuh dan kelapan Sukan Komanwel di Stadium Hoki Nasional Glasgow, kelmarin.

Mengulas mengenai pemilihan pemain ke Sukan Asia, Muhammad Dharma memberitahu, dia sudah pun mengenal pasti barisan pemain untuk dibawa ke temasya tersebut nanti.

Malah, Dhaarma turut memuji persembahan positif yang dipamerkan skuad negara meskipun berdepan kritikan hebat ekoran prestasi hambar dalam aksi Kumpulan B.

"Saya berpuas hati dengan persembahan pasukan ketika menentang Scotland, ini kerana menentang pasukan tuan rumah bukan satu tugas yang mudah tambahan lagi tekanan semakin tinggi selepas tewas kepada Trinidad & Tobago 2-4.

"Bagaimanapun anak-anak buah saya menunjukkan moral yang begitu baik dengan memenangi perlawanan ini. Apa yang jelas saya telah mengenal pasti pemain untuk ke Sukan Asia," ujarnya. - BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140804/su_07/Tidak-adil-saya-dikecam---Jurulatih#ixzz39UkoAMGE  © Utusan Melayu (M) Bhd 






SUKAN KOMANWEL : Faktor kepenatan gangsa terlepas daripada genggaman


PEMAIN beregu wanita negara Lai Pei Jing (kiri) mengakui kepenatan setelah terpaksa beraksi dalam empat perlawanan dalam hari yang sama menyebabkan dia dan pasangannya Lim Yin Loo gagal untuk meraih gangsa buat Malaysia pada Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, semalam. - BERNAMA

GLASGOW - Faktor kepenatan menjadi punca kekalahan tiga wakil badminton negara dalam perlawanan penentuan pingat gangsa pada Sukan Komanwel di Emirates Arena, semalam.

Belum sempat berehat daripada aksi separuh akhir, beregu campuran negara Chan Peng Soon-Lai Pei Jing perlu menentang pasukan tuan rumah, Scotland, Robert Blair-Imogien Bankier, namun keputusan tidak memihak kepada mereka apabila tewas 17-21, 11-21.

Pei Jing juga perlu memikul satu lagi tugas iaitu bergandingan dengan Lim Yin Loo dalam saingan beregu wanita menentang Gabriel Adcock-Lauren Smith dari England.

Pei Jing-Yin Loo terpaksa akur dengan kelebihan pencabar mereka, Gabriel-Lauren, walaupun mendahului set pertama 21-16, namun kalah dalam dua set seterusnya iaitu 15-21 dan 16-21.

Turut mengalami nasib sama ialah pemain perseorangan wanita Tee Jing Yi apabila dikecewakan wakil dari India P V Sindhu dengan kekalahan straight set 21-23, 9-21.

Bagi Pei Jing, dia mengakui terlalu penat kerana perlu beraksi dalam empat pertemuan, semalam iaitu dua dalam pusingan separuh akhir serta dua aksi lagi perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

"Saya tidak tahu kenapa pihak pengurusan mengadakan perlawanan separuh akhir dan perlawanan penentuan gangsa pada hari yang sama. Saya hanya sempat berehat selama dua jam sahaja.

"Kalau perlawanan penentuan pingat gangsa tidak diadakan hari ini (semalam) saya yakin kami (beregu campuran dan beregu wanita) mempunyai peluang untuk meraih pingat untuk kontinjen negara," kata Pei Jing. - BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140804/su_08/Faktor-kepenatan-gangsa-terlepas-daripada-genggaman#ixzz39UjTQSnN  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN KOMANWEL : Ganjaran lumayan buat Hafifi

Oleh RADHUAN HUSSAIN
sukan@utusan.com.my

AHMAD Raziff Abd. Rahman menyampaikan sumbangan kepada Mohd. Hafifi Mansor yang memenangi pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Komanwel di Glasgow ketika majlis sambutan kepulangannya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu, Terengganu, semalam. - UTUSAN/SHAIFUDIN MOHD NOR

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri, semalam memberi pengiktirafan kepada jaguh angkat berat negara kelahiran Terengganu, Mohd. Hafifi Mansor atas kecemerlangannya menyumbang pingat emas pada Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland.

Sebagai bukti pengiktirafan itu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman menunaikan janjinya mengumumkan bentuk insentif kepada atlet tersebut iaitu satu lot tanah di kawasan Tok Jembal dekat sini serta cek bernilai RM10,000. Selain itu, Mohd. Hafifi, 24, turut menerima insentif berjumlah RM80,000 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas sumbangannya kepada negara.

Ahmad Razif mengumumkan perkara itu pada majlis menyambut kepulangan Mohd. Hafifi di pekarangan balai ketibaan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dekat sini, semalam.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Ahmad Razif berkata, proses pemberian tanah lot banglo kepada Mohd. Hafifi dijangka dapat diselesaikan dalam masa dua hingga tiga minggu ini.

"Dalam tempoh dua tiga minggu ini kita akan selesaikan urusan memberi insentif tanah lot banglo di kawasan Tok Jembal yang saya telah kenal pasti untuk kita serahkan kepada Mohd. Hafifi.

"Saya difahamkan yang dia ingin pulang ke Terengganu untuk tabur bakti di sini sebagai jurulatih, jadi eloklah dengan lot rumah ini dia tidak perlu berhijrah ke tempat lain, dia akan tinggal di Terengganu dan boleh bantu atlet sukan angkat berat di negeri ini," katanya.

Beliau menyifatkan kejayaan Mohd. Hafifi serta beberapa atlet lain negeri ini termasuk dalam sukan lumba basikal dan kanu telah mengharumkan Terengganu ke peringkat dunia.

"Alhamdulillah saya sangat bersyukur kerana hari ini (semalam) merupakan satu detik bersejarah kerana tidak secara langsung Terengganu sudah dikenali di persada dunia dan kita bukan lagi ‘jaguh kampung’.

"Hari ini kita sudah jadi jaguh antarabangsa dengan kehebatan altlet lumba basikal, kanu dan angkat berat. Selepas ini kita akan turut memberi fokus kepada sukan lain termasuk hoki dan bola sepak," jelasnya.

Sementara itu, sejurus selepas majlis menyambut kepulangan Mohd. Hafifi berakhir, atlet itu kemudian diarak dengan 10 buah kenderaan pacuan empat roda ke sekitar kawasan tempat kelahirannya di Seberang Takir.

Anak keempat daripada enam beradik itu menyumbang pingat emas pertama negara dalam kategori 69 kilogram pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow yang telah pun masuk hari terakhir temasya, semalam.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140804/su_03/Ganjaran-lumayan-buat-Hafifi#ixzz39UfZ33ya  © Utusan Melayu (M) Bhd 




SUKAN KOMANWEL - Hanya perak mampu dijelmakan Tze Liang


PENERJUN negara, Ooi Tze Liang menunjukkan pingat perak yang dimenanginya dalam acara terjun 10 meter platfom individu lelaki pada Sukan Komanwel XX di Glasgow, Scotland, semalam. - BERNAMA

EDINBURGH - Skuad terjun negara mengakhiri perjuangan mereka pada temasya Sukan Komanwel XX dengan kilauan pingat perak menerusi penerjun muda negara, Ooi Tze Liang dalam acara akhir 10 meter platform individu lelaki di Kolam Renang Diraja Komanwel di sini, semalam.

Keputusan itu bermakna, peluang kontinjen negara untuk mencapai sasaran tujuh emas sudah pun tertutup. Dalam aksi, semalam Tze Liang berjaya mengumpul 433.70 mata iaitu 82.85 mata di belakang jaguh Olimpik England, Tom Daley yang memungut 516.55 mata. Pingat gangsa dimenangi Vincent Riendeau dari Kanada dengan 429.25 mata.

"Macam dalam pertandingan lain saya cuba memberi fokus terbaik dalam setiap terjunan. Saya cuba sedaya upaya untuk tenang dan tidak panik," katanya selepas menamatkan saingan di sini, semalam. Dalam saingan 3m papan anjal individu lelaki pada Khamis lepas, Tze Liang menghadiahkan pingat emas keempat Malaysia bagi temasya kali ini.

"Saya mahu menghadiahkan kemenangan ini kepada ibu bapa dan jurulatih saya, Huang Qiang yang banyak mengajar saya supaya tidak gugup semasa bertanding," kata penerjun berusia 20 tahun dari Pulau Pinang itu.

Seorang lagi penerjun Malaysia yang beraksi dalam saingan peringkat akhir, Chew Yiwei sekadar di tempat ke-10 dengan 358.55 mata. Secara keseluruhan, Malaysia menamatkan saingan acara terjun di Sukan Komanwel dengan satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa.

Sementara itu, dalam saingan 3m papan anjal individu wanita, penerjun negara, Ng Yan Yee terlepas peluang meraih pingat gangsa setelah dia sekadar terikat di kedudukan keempat bersama penerjun Australia, Maddison Keeney dengan 308.20 mata.

Selain Yan Yee, Malaysia turut memiliki dua lagi wakil dalam pertandingan tersebut iaitu Nur Dhabitah Sabri dan Cheong Jun Hoong. Kedua-dua atlet berkenaan sekadar menamatkan saingan di tempat ke-11 setelah mengumpul 284.20 mata, manakala Jun Hoong di tempat terakhir dengan 271.95 mata.

"Saya merasa sedikit terkilan kerana melakukan kesilapan pada terjunan ketiga dan ia menyebabkan kedudukan saya jatuh, kalau tidak saya boleh menghadiahkan pingat buat Malaysia," katanya.

Pingat emas acara itu dimenangi Esther Qin dari Australia apabila mengumpul 347.25 mata dan diikuti Jennifer Abel (Kanada) serta Hannah Starling (England) yang masing-masing meraih perak serta gangsa dengan pungutan 324.70 mata dan 316.95 mata.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan pencapaian di sini. Saingan di sini agak sukar juga dengan adanya penerjun dari England, Kanada dan Australia. Selepas ini, saya akan tumpukan latihan menghadapi Sukan Asia pula. Bagaimanapun, saya belum tahu acara apa yang saya akan sertai kerana semua bergantung kepada keputusan jurulatih dan persatuan (Persatuan Renang Amatur Malaysia)," katanya.

Menurut Yan Yee, saingan di Sukan Asia tidak jauh berbeza dengan Sukan Komanwel berikutan kehadiran penerjun dari China, Jepun dan Korea Selatan. - BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140804/su_02/Hanya-perak-mampu-dijelmakan-Tze-Liang#ixzz39UZKy5vt  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN KOMANWEL - Sasaran 7 emas lebur


GANDINGAN Malaysia, Tan Wee Kiong (kiri) dan Goh V Shem menunjukkan pingat yang dimenangi selepas menundukkan pasangan Singapura, Danny Chrisnanta- Chayut Triyachart pada temasya Sukan Komanwel XX diGlasgow, Scotland, semalam.

KUALA LUMPUR - Dua pingat emas yang dihadiahkan oleh pasukan badminton negara pada hari terakhir Sukan Komanwel XX di Glasgow, Scotland, semalam hanya menggembirakan kem negara untuk seketika berikutan terpaksa menerima hakikat Malaysia gagal mencapai sasaran tujuh emas.

Malaysia hanya mampu menamatkan kempen Sukan Komanwel 2014 dengan enam pingat emas dan catatan di Glasgow adalah yang terendah berbanding penyertaan negara dalam empat edisi sebelum ini iaitu di Kuala Lumpur (1998, 10 emas), Manchester (2002, tujuh emas), Melbourne (2006, tujuh emas) dan New Delhi (2010, 12 emas).

Pingat emas, semalam hadir menerusi acara beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang menewaskan gandingan India, Jwala Gutta-Ashwini Ponnappa dengan keputusan 21-17, 23-21 dan sekali gus mengulangi pencapaian pasangan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty di Melbourne lapan tahun lalu.

Sementara itu, dalam aksi lelaki pasangan negara, Tan Wee Kiong-Goh V Shem menghadiahkan emas keenam Malaysia selepas menewaskan Danny Chrisnanta-Chayut Triyachart dari Singapura dengan keputusan 21-12, 12-21, 21-15.

BEREGU wanita negara, Vivian Hoo (kanan) dan Woon Khe Wei meraikan kejayaan memenangi pingat emas selepas menewaskan beregu India, Jwala Gutta-Ashwini Ponnappa ditemasya Sukan Komanwel XX, Glasgow, Scotland, semalam. - BERNAMA

Kempen Malaysia di Glasgow bermula penuh semangat apabila atlet angkat berat, Mohd. Hafifi Mansor menghadiahkan kilauan emas pertama menerusi kategori 69 kilogram (kg) lelaki dalam aksi final di Scottish Exhibition and Conference Centre Precint, Scotland, 26 Julai lalu.

Atlet Terengganu berusia 24 tahun itu juga antara prospek pingat emas yang berjaya menepati sasaran pada temasya kali ini, selain dapat memperbaiki pencapaian gangsa dalam kategori sama di Sukan Komanwel 2010.

Dua hari selepas Mohd. Hafifi membuktikan kecemerlangan, kem negara terus ceria apabila pemain No. 1 dunia, Datuk Nicol David berjaya menepati ramalan dengan menghadiahkan pingat emas kedua Malaysia menerusi acara skuasy perseorangan selepas menewaskan Laura Massaro dari England, 3-0 pada final 28 Julai lepas. Nicol, 30, menunaikan janji awalnya mempertahankan gelaran yang dimenangi pada temasya sama di New Delhi, India empat tahun lalu.

Pemburuan tujuh pingat emas pada Sukan Komanwel 2014 kelihatan berada di landasan selepas skuad badminton berjaya mempertahankan kejuaraan dalam acara berpasukan campuran pada Selasa lalu untuk pingat emas ketiga Malaysia.

Bagaimanapun selepas memasuki hari ketujuh temasya, sumbangan pingat emas dalam kalangan atlet negara nampak kurang memberangsangkan sekali gus menimbulkan keraguan untuk mencapai sasaran tujuh pingat emas yang telah ditetapkan sebelum ini.

Pingat emas keempat negara yang dihadiahkan oleh atlet terjun negara, Ooi Tze Liang pada 31 Julai lalu dalam acara akhir 3m papan anjal lelaki di Kolam Renang Diraja Komanwel seakan-akan menghidupkan kembali peluang untuk mencapai sasaran kontinjen negara.

Namun, kegembiraan itu tidak kekal lama apabila sandaran Malaysia menerusi pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2012, Pandelela Rinong pada temasya kali ini nampaknya tidak menjadi setelah anak kelahiran Sarawak itu hanya menjelmakan pingat perak dan turut gagal mempertahan emas Sukan Komanwel 2010 dalam acara 10 meter platform wanita.

Harapan untuk melihat skuad terjun menghadiahkan lebih banyak pingat emas terkubur selepas Tze Liang hanya mampu meraih perak dalam acara akhir 10m platform lelaki, semalam yang sekali gus menutup terus pintu kontinjen negara melengkapkan sasaran tujuh emas.

Pulang dengan enam emas bermakna kontinjen Malaysia bukan sahaja gagal memperbaiki pencapaian 12 pingat emas pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India tetapi boleh dianggap sebagai pencapaian hambar selepas Sukan Komanwel 1994 di Kanada.

Sewaktu di Kanada, Malaysia hanya mampu membawa pulang dua emas, bagaimanapun prestasi kontinjen negara meningkat naik sewaktu penyertaan edisi temasya 1998 di Kuala Lumpur apabila berupaya meraih 10 pingat emas dan pencapaian terbaik negara adalah pada empat tahun lalu di India.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140804/su_01/Sasaran-7-emas-lebur#ixzz39UWUm3jP  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Bolt curi tumpuan raih emas Sukan Komanwel


Usain Bolt mempamerkan gaya yang menjadi trademarknya selepas memenangi acara 4x100 meter berganti-ganti di Hampden Park pada Sukan Komanwel, semalam. - AFP

GLASGOW - Juara Sukan Olimpik, Usain Bolt mencuri tumpuan apabila dia menyumbangkan pingat emas buat Jamaica setelah dia mengetuai kuartet 4x100 meter negaranya dalam aksi akhir acara itu pada Sukan Komanwel, semalam.

Selepas mengharungi kontroversi dan harapan menggunung yang diletakkan ke atasnya, juara dunia lapan kali, Bolt telah membuat penonton di Hampden Park cukup teruja menyaksikan dia beraksi untuk membantu Jamaica melakar rekod baru temasya iaitu 37.58 saat.

Malah, kejayaan tersebut membolehkan pelari tinggi lampai itu meraih pingat Komanwel pertama sepanjang kariernya yang cukup gemilang itu.

"Saya gembira untuk penyokong dan saya juga gembira kerana dapat pingat emas dalam Sukan Komanwel. Temasya ini (Sukan Komanwel) sentiasa berada dalam senarai pertandingan yang perlu saya sertai.

"Saya selalu mengidamkan untuk beraksi dalam Sukan Komanwel. Saya mahu berlari dalam acara individu di sini, namun saya mengalami kecederaan, maka saya membuat keputusan untuk menyertai 4x100 meter sahaja," kata kepada pemberita.

Kehadiran atlet pecut Jamaica berjaya mencuri tumpuan apabila diramal menguasai lapangan olahraga berikutan ketiadaan begitu ramai jaguh pada temasya tersebut, dan mereka nyata tidak menghampakan apabila mempamerkan kehebatan dengan karisma yang tersendiri.

Selepas mengetuai kuartet Jamaica yang turut disertai Jason Livermore, Kemar Bailey-Cole dan Nikel Ashmeade, Bolt telah meraikan kejayaan pasukan negaranya dengan melakukan aksi trademarknya ‘lightning bolt’ sambil memakai topi tartan dan berselfie. - REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140804/sl_03/Bolt-curi-tumpuan-raih-emas-Sukan-Komanwel#ixzz39UTF93Eh  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Thursday, 24 July 2014

SUKAN KOMANWEL XX - Buruan pingat bermula



GLASGOW - Pemburuan pingat oleh kontinjen negara dalam Sukan Komanwel di sini akan bermula secara rasmi hari ini.

Upacara perasmian temasya sukan yang melibatkan 6,500 atlet dari 71 buah negara itu diadakan di Celtic Park di sini kira-kira pukul 3 pagi tadi waktu Malaysia.

Edisi ke-20 ini adalah yang ketiga dianjurkan oleh Scotland selepas dua kali diadakan di Edinburgh pada 1970 dan 1986.

Sepanjang penyertaan Malaysia dalam temasya Sukan Komanwel sejak 1950, kontinjen negara meraih dua pingat emas di Victoria, Kanada pada 1994; 10 emas di Kuala Lumpur (1998), tujuh emas di Manchester, England (2002) dan Melbourne, Australia (2006) serta pencapaian terbaik iaitu 12 emas di New Delhi, India (2010).

Pada temasya kali ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menetapkan sasaran tujuh pingat emas, jauh lebih rendah daripada pencapaian di New Delhi dengan 12 pingat emas.

Bagaimanapun, jumlah sasaran itu dipersetujui Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Majlis Sukan Negara (MSN) disifatkan sebagai realistik berdasarkan situasi semasa dan pengguguran beberapa acara kegemaran Malaysia oleh negara penganjur.

Untuk edisi kali ini, kontinjen negara diwakili 269 orang atlet dan pegawai. Daripada sejumlah 179 orang atlet, 135 daripadanya adalah atlet elit, lima atlet pelapis, 30 atlet luar program Majlis Sukan Negara dan sembilan atlet paralimpik.

Malaysia hanya akan menyertai 14 daripda 17 jenis sukan yang merangkumi 130 acara iaitu 67 acara lelaki, 55 acara wanita serta lapan acara sukan para.

Acara sukan yang akan disertai Malaysia ialah akuatik (renang dan terjun), angkat berat, badminton, berbasikal, boling padang, gimnastik (artistik dan berirama), hoki, judo, menembak, olahraga, pingpong, ragbi, skuasy dan tinju.

Untuk makluman, kejayaan merangkul pingat oleh atlet-atlet kurang upaya juga akan dikira dalam jumlah kedudukan pingat negara.

Pencapaian terbaik atlet paralimpik negara dalam temasya Sukan Komanwel ialah merangkul satu perak dan tiga gangsa pada edisi 2002 di Manchester.

Pada tahun ini, sejumlah lima acara sukan menawarkan 22 pingat kepada atlet paralimpik dan ia merupakan jumlah tertinggi setakat ini.

Antara fakta menarik untuk edisi Sukan Komanwel kali ini ialah pingat emas ke-3,000 akan dianugerahkan pada temasya kali ini sejak ia diperkenalkan buat kali pertama pada 1930.

Sementara itu maskot Sukan Komanwel Glasgow, Clyde, bukanlah sejenis haiwan seperti dalam temasya-temasya terdahulu tetapi adalah pokok bunga Thistle yang menjadi lambang Scotland dan nama Clyde pula diinspirasikan daripada nama sungai yang mengalir di sekitar Glasgow. - BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140724/su_05/Buruan-pingat-bermula#ixzz38LObgWFJ  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN KOMANWEL XX - Misi tebus kekecewaan di Delhi

Oleh FADHILUL IZMEL ISHAK
sukan@utusan.com.my

PASUKAN boling padang negara bergambar bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (depan, lima dari kiri) di Perkampungan Atlet Sukan Komanwel di Glasgow semalam.

KUALA LUMPUR - Selepas gagal membawa pulang pingat emas pada Sukan Komanwel di New Delhi empat tahun lalu, skuad boling padang negara memasang impian untuk menebus kekecewaan mereka itu di Glasgow.

Skuad boling padang wanita yang diketuai Nor Hashimah Ismail optimis misi itu mampu direalisasikan di Glasgow berikutan prestasi pasukan negara kini di tahap yang menyakinkan.

"Berdasarkan prestasi dan sesi latihan yang dilakukan saya yakin pasukan negara mampu memperolehi pingat emas. Ini merupakan kali kelima saya menyertai Sukan Komanwel dan sudah pasti saya akan menggunakan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki untuk memastikan emas menjadi milik negara.

"Empat tahun lalu kami tewas di tangan England dalam acara beregu wanita jadi tahun ini kami akan menggunakan keringat kami sepenuhnya bagi memastikan emas menjadi milik negara. Kami akan memberi fokus kepada pihak lawan terutamanya Australia, Scotland dan Afrika Selatan yang merupakan saingan kuat kami," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Skuad boling padang telah menjadi sandaran kontinjen negara untuk menuai emas di Sukan Komanwel setiap kali temasya itu berlangsung. Bagaimanapun untuk edisi kali ini Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) hanya mensasarkan sebutir emas berikutan prestasi mereka dalam temasya 2010 di New Delhi.

Nor Hashimah, 43, pernah memenangi acara bertiga dalam Sukan Komanwel Melbourne 2006 nyata gembira apabila pada tahun ini dia menyertai acara beregu dan berempat, sekali gus memberi kelebihan untuk menambah koleksi pingat.

"Pada edisi kali ini kami berasa bertuah kerana setiap pemain diberi peluang untuk beraksi dalam dua acara, jadi kami lebih bersemangat untuk menambah bilangan pingat dan sudah pasti emas menjadi sasaran kami,"ujar Nor Hashimah lagi, yang perak bersama Zuraini Khalid empat tahun lalu.

Bagi acara beregu wakil negara diletakkan di Seksyen A dan akan bertemu Papua New Guinea pada Isnin depan, Ireland Utara pada hari berikutnya, Niue Island dan Australia pada 30 Julai.

Dalam acara berempat Malaysia ditempatkan di Seksyen B akan memulakan cabaran dengan bertemu Niue Island pada Isnin depan, diikuti India dan Ireland Utara pada 25 Julai serta Fiji sehari kemudian.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140724/su_02/Misi-tebus-kekecewaan-di-Delhi#ixzz38LLmmUr8  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN KOMANWEL XX - Azizul tekad balas dendam

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

DUA pelumba negara, Mohd. Rizal Tisin (kanan) dan Edrus Yunos menjalani latihan di Velodrom Sir Chris Hoy di Arena Emirates, Glasgow semalam, untuk persiapan akhir sebelum acara berbasikal trek bermula hari ini. - AFP

KUALA LUMPUR - Jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang bertekad untuk memenangi pingat emas acara keirin pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland bagi menebus kekecewaan dialaminya empat tahun lalu.

Ketika Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, pingat emas keirin yang diraih Azizulhasni ditarik balik apabila pelumba itu dibatalkan oleh pegawai pertandingan atas dakwaan membuat kayuhan yang amat agresif hingga mengganggu pelumba lawan.

Bagaimanapun, Malaysia bernasib baik apabila pingat emas tersebut diberikan kepada rakan sepasukan Azizulhasni, Josiah Ng.

Kata Azizulhasni, persiapan untuk temasya Glasgow telah berlangsung dengan baik selain berpuas hati dengan prestasi semasanya ketika ini.

Tambah pelumba dari Terengganu itu, tumpuannya dalam penyertaan kali ini lebih kepada untuk menebus kekecewaan di New Delhi dalam acara keirin.

"Sasaran peribadi, saya sentiasa nak menang terutama kalau dalam saingan besar seperti ini (Sukan Komanwel) dan buat masa ini saya sasarkan pingat untuk acara keirin.

"Jika dapat meraih lebih banyak pingat itu adalah bonus kerana cabaran kali ini jauh lebih besar daripada edisi di New Delhi," kata Azizulhasni.

Saingan trek dalam Sukan Komanwel 2014 dijadual bermula esok dengan acara pecut akan menjadi tumpuan utama manakala keirin akan bermula pada Ahad.

Azizulhasni menjangkakan bakal menerima saingan lebih sengit kali ini daripada pelumba Australia dan New Zealand.

"New Zealand ketika ini memegang status juara dunia dan prestasi mereka sejak dua tahun lalu memang banyak meningkat manakala pelumba-pelumba Australia memang sentiasa berada di tahap terbaik.

"Malah saingan pada Sukan Komanwel kali ini juga sukar untuk dijangka kerana semua pelumba yang hadir adalah bertaraf dunia selain telah mencipta pelbagai kejayaan," jelas Azizulhasni.

Pada temasya sama empat tahun lalu pasukan berbasikal negara hanya mampu meraih satu emas, satu perak dan satu gangsa.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140724/su_01/Azizul-tekad-balas-dendam#ixzz38LKOr7bw  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Wednesday, 23 July 2014

SUKAN KOMANWEL XX - Cabaran Nur Ayuni berakhir sebelum mula menembak


NUR Ayuni Farhana

GLASGOW - Nur Ayuni Farhana Abdul Halim datang ke sini dengan semangat berkobar-kobar tetapi kini berputih mata setelah disingkirkan daripada acara menembak selepas jaket pertandingannya hilang semasa dalam perjalanan ke sini.

Nur Ayuni memenangi pingat emas bersama Nur Suryani Taibi dalam acara air rifle 10 meter berpasangan di New Delhi empat tahun lalu turut mengambil acara itu pada edisi kali ini, selain rifle prone 50 meter.

Pengurus pasukan, Musa Omar berkata, penembak itu tidak mempunyai pilihan selain daripada menarik diri selepas bagasinya hilang dan dipercayai berada di London. Bagaimanapun bagasinya gagal dijumpai sehingga hari pendaftaran peserta semalam manakala pertandingan akan bermula esok.

"Dia merupakan pemenang pingat emas pada edisi lalu dan sekarang dia tidak berkesempatan untuk bertanding. Ini sudah pasti merungsingkannya dan saya berasa simpati terhadap Nur Ayuni," kata Musa kepada media Malaysia semalam.

"Kami sudah membuat laporan mengenai kehilangan bagasinya. Kami menanti selama tiga hari dan hari ini (semalam) merupakan hari terakhir untuk membuat pengesahan nama peserta.

"Peraturan pertandingan jelas menyatakan penembak rifle perlu memakai jaket.

"Kami cuba untuk meminjam daripada peserta lain namun tidak muat dan kami berusaha untuk mendapatkan yang baharu namun Nur Ayuni mengatakan dia memerlukan dua bulan untuk membiasakan diri dengan jaket baharu," katanya.

Tambah Musa, Nur Ayuni tidak berhenti menangis dan mahu segera pulang ke Malaysia apabila dimaklumkan dia tidak dapat bertanding.

Bagaimanapun Musa berkata, Nur Ayuni akan terus tinggal bersama pasukan di sini dan memberi sokongan kepada Muslifah Zulkifli yang dipertanggungjawabkan untuk menggalas tugasnya dalam acara air rifle 10 meter dan Suryani yang bertanding pada Sukan Olimpik 2012 ketika mengandung 30 minggu akan menggantikannya dalam acara rifle prone 50 meter. - REUTERS

"Lesen untuk senjata api semuanya menggunakan nama Nur Ayuni dan disebabkan itu kami tidak boleh menghantarnya pulang.

"Nasib tidak menyebelahi kami tambahan pula dia terlalu memikirkan hal ini. Kami sedih apabila melihat keadaannya," kata Musa.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140723/su_06/Cabaran-Nur-Ayuni-berakhir-sebelum-mula-menembak#ixzz38GsZRqYz  © Utusan Melayu (M) Bhd 






Sukan Komanwel XX - 5 rebut emas badminton perseorangan lelaki


Rajiv Ouseph

GLASGOW - Jaguh badminton England, Rajiv Ouseph percaya terdapat lima pemain berpotensi meraih pingat emas acara perseorangan lelaki dalam Sukan Komanwel kali ini selepas jaguh nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menarik diri daripada temasya tersebut.

Chong Wei yang telah memenangi empat pingat emas pada dua temasya lalu tidak dapat turut serta pada Sukan Komanwel kali ini kerana mengalami kecederaan paha.

Ketiadaan jaguh No.1 dunia itu menjadikan pemain seperti Chong Wei Feng dari Malaysia, Kashyap Parupalli dari India dan Ouseph antara pilihan dalam saingan perseorangan lelaki.

Ouseph yang tewas kepada Chong Wei dalam perlawanan akhir di New Delhi empat tahun lalu berpendapat ketiadaan jaguh utama dunia itu mampu menjadikan persaingan lebih terbuka.

"Kini semua berpeluang untuk menang. Ketiadaan pemain terbaik dunia pada saingan ini umpama satu kehilangan yang besar namun dalam masa sama mampu membuatkan anda lebih berusaha untuk menjadi yang terbaik.

"Di sini juga ada empat atau lima pemain yang dilihat berpotensi untuk muncul sebagai pemenang dan saya salah seorang daripada mereka.

"Mendapatkan pingat emas di sini adalah satu keutamaan dan apa sahaja boleh berlaku terutama dengan ketiadaan Chong Wei.

"Kami yang turut serta pada temasya ini mempunyai tahap permainan yang tidak terlalu jauh dan perlu bekerja keras andai mahu memenangi perlawanan," kata Ouseph.

Sementara itu, dalam saingan perseorangan wanita juga menyaksikan saingan bakal berlangsung tanpa penyertaan penyandang pingat emas empat tahun lalu, Saina Nehwal dari India yang mengalami kecederaan kaki.

Ketiadaan pemain itu menjadikan rakan senegaranya, pemain berusia 19 tahun, PV Sindhu sebagai pilihan utama manakala Kirsty Gilmour dari Scotland sebagai pilihan kedua. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140723/su_05/5-rebut-emas-badminton-perseorangan-lelaki#ixzz38GqVQEhJ  © Utusan Melayu (M) Bhd 




Mohd. Fauzan tangguh ke Glasgow kerana kemalangan


MOHD. Fauzan Ahmad Lutfi melihat kerosakan Proton Exora miliknya yang kemalangan dengan sebuah lori di KM247, Lebuh Raya Utara-Selatan, menghala utara, dekat Seremban malam semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR - Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi sepatutnya akan ke Glasgow semalam tetapi terpaksa menangguhkan pemergiannya kerana mengalami kemalangan jalan raya semalam.

Pelumba itu kemalangan di KM247 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Seremban, malam semalam, menyebabkan ketua jurulatih skuad lebuh raya, Aminuddin Sulaiman membuat keputusan menangguhkan pemergian pelumba itu ke Sukan Komanwel.

Katanya, ini bagi memberi ruang kepada Mohd. Fauzan untuk berehat secukupnya dan memulihkan mental dan fokusnya.

"Keadaan Fauzan baik, alhamdulillah. Dia hanya mengalami kecederaan ringan, tetapi isterinya dimasukkan ke wad tetapi tidak lama malam tadi (malam semalam).

"Buat masa ini, kami beri Fauzan rehat dahulu dan kami minta pihak (MSN) uruskan tiket untuk dia pergi kemudian. Lagipun tidak sempat kerana pukul 4 pagi tadi segala urusan baharu selesai," katanya ketika dihubungi semalam.

Hanya dua pelumba lebuh raya akan mewakili negara iaitu Mohd. Fauzan dan Loh Sea Keong yang mengikuti latihan bersama pasukan Giant Shimano.

Atlet berusia 28 tahun itu sepatutnya berlepas ke Glasgow, Scotland bersama Aminuddin dalam penerbangan semalam manakala Sea Keong dari Amsterdam.

Dalam kejadian pada kira-kira 11.30 malam itu, Mohd. Fauzan nyaris maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang dipandunya merempuh sebuah lori yang melintang di tengah-tengah lebuh raya itu.

Pemandu lori berkenaan, Abas Baharom, 44, terbunuh di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan serius dan putus betis kanan.

Ketika kejadian Mohd. Fauzan bersama isteri Norasikin Omar, 31, sedang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama pasukan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) di Melaka.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140723/su_04/Mohd-Fauzan-tangguh-ke-Glasgow-kerana-kemalangan#ixzz38GpKapdn  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Sukan Komanwel XX - Glasgow sudah bersedia, atlet teruja


Pengurus skuad bola sepak Scotland, Gordon Strachan (kanan) bergaya untuk jurugambar ketika dia membawa baton Sukan Komanwel di trek Stadium Hampden Park di Glasgow semalam. - AFP

GLASGOW - Beribu-ribu atlet dan pegawai telah tiba di Glasgow dalam suasana keterujaan untuk menyertai upacara pembukaan dan perasmian Sukan Komanwel XX di Celtic Park hari ini.

Kelmarin sahaja lebih 1,000 atlet dari 25 negara tiba di Lapangan Terbang Glasgow untuk menyertai Sukan Komanwel termasuk dari Bangladesh, New Zealand, India dan Singapura.

Pemain bag pipe menyambut tetamu dengan tradisi orang Scotland, memastikan mereka berasa dialu-alukan sebelum menaiki kenderaan ke Perkampungan Atlet.

Secara keseluruhannya kira-kira 6,500 atlet dan pegawai kini mengisi rumah-rumah di Perkampungan Atlet di East End di sini sehinggalah tamat temasya selama 11 hari ini.

Setiap kontinjen diberikan majlis selamat datang ke perkampungan itu.

Majlis itu dihoskan oleh nama-nama besar dalam sukan yang termasuk legenda ragbi, Gavin Hastings, jaguh Olimpik paling berjaya dari Scotland, Chris Hoy dan gimnas Scotland pertama menang emas iaitu Steve Frew.


BEBERAPA atlet olahraga menjalani latihan di Stadium Hampden Park di Glasgow semalam sebagai persediaan terakhir untuk bersaing dalam Sukan Komanwel yang akan dirasmikan hari ini. - AFP

Ketua Perkampungan, Tony Sainsbury berkata: "Suasana di perkampungan ini sekarang sungguh baik dengan beribu-ribu atlet menyesuaikan diri dan tidak sabar untuk beraksi dalam acara masing-masing. Mereka terutamanya seronok kerana terdapat begitu banyak jenis makanan yang kami sediakan di dewan makan dan kafe-kafe di perkampungan ini."

Hari ini kesemua kontinjen akan menyertai 2,000 anggota yang membuat persembahan untuk Upacara Pembukaan di hadapan 40,000 penonton di Celtic Park. Selain itu, upacara itu juga berkemungkinan akan ditonton oleh lebih 1.5 bilion penonton dari rumah masing-masing di seluruh dunia.

Pihak tuan rumah menjanjikan majlis pembukaan yang spektakular dan penuh dengan kejutan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140723/su_01/Glasgow-sudah-bersedia-atlet-teruja#ixzz38GkUY6q3  © Utusan Melayu (M) Bhd