Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label ATM. Show all posts
Showing posts with label ATM. Show all posts

Thursday, 14 January 2016

TUDM terima secara rasmi pesawat A400M kedua

MOHD. ASRON MUSTAPHA | 14 Januari 2016 1:21 AM


HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN menunjukkan isyarat bagus dalam majlis penerimaan pesawat kedua A400M dan Hangar A400M di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, semalam. Turut kelihatan Mohd. Johari Baharum (tiga dari kiri), Zulkifeli Mohd. Zin (lima dari kiri), Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (empat dari kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi (dua dari kiri). BERNAMA

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menerima secara rasmi pesawat pengangkut termoden keluaran Airbus, A400M keduanya daripada keseluruhan empat buah yang dibeli kerajaan.

Serentak dengan penerimaan tersebut, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengulangi jaminan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi jika kedaulatan negara cuba digugat oleh mana-mana pihak.

Katanya, kerajaan akan sentiasa memastikan kelengkapan persenjataan serta tahap kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada di tahap terbaik walaupun ketika persekitaran ekonomi global dalam keadaan tidak menentu.

“Apabila kedaulatan negara menjadi pertimbangan, kita tidak akan sesekali berkompromi,” tegasnya ketika berucap pada majlis penerimaan A400M dan perasmian hangar Skuadron 22 yang akan menempatkan pesawat itu di Pangkalan Udara TUDM Subang di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Mohd. Johari Baharum; Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin; Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Roslan Saad dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Sempena majlis penerimaan pesawat tersebut, Hishammuddin, tetamu kehormat dan kira-kira 40 pengamal media tempatan dibawa menaiki A400M selama 45 minit bagi membolehkan mereka merasai sendiri kecanggihan aset terbaharu TUDM itu.

Sementara itu, dalam sidang akhbarnya pula, Hishammuddin menjelaskan, Malaysia akan terus menggunakan saluran diplomasi dalam menyalurkan kebimbangan negara ini mengenai tindak-tanduk ketenteraan China ke gugusan kepulauan Spratly.

“Asalkan mereka tidak mema­suki perairan kita, isu berkait tuntutan bertindih di Laut China Selatan, kita guna saluran diplomasi tetapi dari aspek penguatkuasaan dalam perairan kita, itu tiada sebarang kompromi,” jelasnya.

Kepada soalan apakah perolehan beberapa aset kritikal untuk ATM akan ditangguhkan berikutan langkah kerajaan mahu menyemak semula Bajet 2016 beliau berkata, rancangan pembelian peralatan pertahanan yang sudah dimukta­madkan akan diteruskan.

Katanya, meskipun mengakui penurunan harga minyak dunia menyebabkan kerajaan berdepan dengan kekangan kewangan, tetapi perkara itu tidak akan sesekali menjejaskan aspek keselamatan dan kesiapsiagaan pertahanan Malaysia.

“Projek perolehan yang telah kita muktamadkan (pesawat A400M, kenderaan tempur berperisai AV8, kapal perang Gowind) tidak akan dipotong malah kita akan pastikan aset-aset kritikal tersebut diterima mengikut jadual,” ujarnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tudm-terima-secara-rasmi-pesawat-a400m-kedua-1.179417#sthash.GAQvuoFO.dpuf


Tuesday, 4 November 2014

Kapal selam negara buktikan keupayaan – Abdul Aziz

04 November 2014 2:36 AM


Abdul Aziz Jaafar (dua dari kanan) bersama Jean Yves Le Drian (tiga dari kiri) menunjukkan isyarat bagus di atas kapal selam KD Tun Razak dekat Sepanggar, Sabah, semalam. – UTUSAN/ Azrul Edham Mohd. Aminuddin

SEPANGGAR 3 Nov. – Keupayaan kapal selam negara, Kapal Diraja (KD) Tun Razak melancarkan torpedo Black Shark tepat ke sasaran dengan kelajuan yang ditetapkan pada 31 Oktober lalu memberi gambaran jelas terhadap kemampuan aset negara itu dalam melaksanakan tugas menjaga kedaulatan negara.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, kejayaan melakukan pelancaran torpedo berkeupayaan tinggi tersebut diharap dapat menutup segala tohmahan jahat pihak tidak bertanggungjawab terhadap ‘kekuatan' kapal selam negara.

Menurutnya, sesi latihan tersebut bukan sahaja membuktikan keupayaan memusnah dengan sempurna, malah penggunaan torpedo berkeupayaan tinggi iaitu Black Shark telah terbukti memberi satu kelebihan kepada kapal selam negara.

“Black Shark merupakan satu senjata baharu kapal selam yang merupakan hasil perkongsian kerjasama dua buah negara iaitu Itali dan Perancis. Malah tembakan yang dilakukan pada 31 Oktober lalu adalah yang pertama kalinya bagi torpedo Black Shark sejak diperkenalkan oleh syarikat pengeluar.

“Dalam latihan yang dilakukan di perairan Laut China Selatan itu, KD Tun Razak berjaya melaksanakan tugas dengan sempurna apabila memusnahkan struktur feri yang diubah suai untuk tujuan penembakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan rasmi Menteri Pertahanan Perancis, Jean Yves Le Drian ke Markas Angkatan Kapal Selam TLDM di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di sini hari ini. Yang turut hadir, Duta Perancis di Malaysia, Christophe Penot; Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Mohammad Rosland Omar dan Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Muda Abdul Rahman Ayob.

Dalam pada itu, Abdul Rahman ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, Malaysia merupakan negara kedua membeli torpedo Black Shark selepas Chile.

“Selepas itu baharu negara lain beli torpedo berkenaan. Berdasarkan rekod, negara itu banyak menggunakan torpedo Black Shark jenis latihan tetapi belum pernah menggunakan torpedo Black Shark untuk peperangan. Secara tidak rasminya, Malaysia atau TLDM boleh ditakrifkan sebagai negara pertama membuat penembakan torpedo Black Shark konfigurasi perang setakat ini,” jelasnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kapal-selam-negara-buktikan-keupayaan-8211-abdul-aziz-1.20548#sthash.HFRJ9W7g.dpuf



TLDM lancar penembakan torpedo Black Shark kapal selam Scorpene
01 November 2014 2:10 AM


Sebuah feri penumpang yang telah diubah suai kelihatan musnah selepas menerima sasaran tembakan torpedo Black Shark kapal selam KD TRZ di perairan Laut China Selatan pada pukul 11.20 pagi, semalam.

KOTA KINABALU 31 Okt. – Kapal selam KD Tun Razak hari ini melakar sejarah apabila melaksanakan penembakan torpedo Black Shark di Perairan Laut China Selatan.

Penembakan dari aset strategik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu mengenai sasaran permukaan yang disasar pada jarak dan kelajuan ditetapkan pada 11.20 pagi.

Menurut kenyataan Sel Perhubungan Awam Markas TLDM hari ini, KD Tun Razak melancarkan torpedo Black Shark ke sasaran permukaan iaitu sebuah feri penumpang yang mengenai dan memusnahkan struktur feri yang diubah suai untuk tujuan penembakan.

“Penembakan kali ini melakarkan sejarah, apabila buat pertama kalinya kapal selam negara melaksanakan penembakan torpedo semenjak kapal selam pertama negara KD Tunku Abdul Rahman tiba di Pelabuhan Klang pada 3 September 2009.

“Selain itu, penembakan itu adalah yang pertama kalinya bagi torpedo Black Shark sejak diperkenalkan oleh syarikat pengeluar torpedo Whitehead Alenia Sistemi Subacquei (WASS) dari Itali,” kata kenyataan itu.

Operasi penembakan itu melibatkan aset bantuan daripada perkhidmatan TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai aset untuk keselamatan kawasan, tim sasaran, rakaman dan analisis selain penglibatan KD Jebat, KD Terengganu, KD Kasturi, KD Laksamana Tan Pusmah, helikopter Fennec, kapal penyelamat kapal selam Mega Bakti dan bot tempur CB 90 serta tim penyelam sementara aset TUDM yang turut terlibat ialah pesawat B 200T dan EC 725.

Menurut kenyataan itu, kejayaan penembakan itu membuktikan kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia khususnya TLDM sentiasa di tahap tinggi dalam mempertahankan kedaulatan negara, sekali gus meletakkan TLDM antara pasukan tentera laut yang wajar digeruni di rantau ini. – BERNAMA

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tldm-lancar-penembakan-torpedo-black-shark-kapal-selam-scorpene-1.19329#sthash.7rsQyTg9.dpuf


Friday, 17 October 2014

Rekrut 'berjihad' satu ancaman

Oleh SITI NURAZLINA JAMALUDIN
utusankelantan@utusan.com.my

ZULKIFELI MOHD. ZIN

KOTA BHARU 16 Okt. - Kegiatan merekrut rakyat negara ini untuk berjuang di Syria atas nama jihad mampu menggugat keamanan dan keselamatan negara.

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, sehubungan itu, rakyat diminta menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi melaporkan kegiatan kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) di negara ini.

"Jika tidak dibanteras segera, bimbang lebih ramai rakyat negara ini akan terpengaruh untuk menyertai kegiatan kumpulan militan itu. Sudah ramai rakyat kita yang pergi ke negara tersebut untuk berjuang atas nama jihad malah ada yang di sini berniat untuk ke sana tidak lama lagi.

"Tidak mustahil kumpulan yang dilatih secara militan itu akan balik senyap-senyap ke negara ini semula pada suatu hari nanti dan menubuhkan gerakan (pengganas) baharu di sini," kata beliau dalam Majlis Penutupan Program Remaja Berwawasan-Summer Camp Siri 11/2014 di Kem Desa Pahlawan, di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Rusli Ahmad; Timbalan Panglima Tentera Darat, Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah dan Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Khas, Nasrudin Khalid.

Program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu berlangsung selama lima hari membabitkan penyertaan seramai 553 orang pelajar dari 15 buah sekolah di seluruh negeri ini.

Sehubungan itu, Zulkifeli memberitahu, kerajaan kini giat menguar-uarkan ancaman tersebut supaya kumpulan militan berkenaan tidak bertapak di negara ini.

"Rakyat perlu sedar ancaman ini kerana mereka (ISIS) mempunyai kemampuan yang lebih dahsyat daripada al-Qaeda yang mampu menggugat keamanan negara. Jadi sebelum terjadi perkara sedemikian, rakyat perlu melaporkan kepada agensi kerajaan yang bertanggungjawab kerana mereka (rakyat) di mana-mana.

"Kalau mereka (kumpulan militan) ada buat latihan walaupun dalam kumpulan kecil, lapor kepada pihak berkuasa segera," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zulkifeli berkata, pihaknya akan menempatkan 50 hingga 60 anggotanya di pelantar minyak, kira-kira 27 kilometer dari darat di perairan Sabah, berhampiran sempadan laut Filipina, bagi mencegah kes-kes culik di negeri itu.

"Ini akan memudahkan ATM membuat pengawasan lebih menyeluruh.

"Andai terdapat penceroboh yang mahu melarikan diri, kita yakin akan mampu menangkap mereka kerana tentera kita sudah bersiap-sedia di lautan," ujarnya.

Beliau mengulas situasi terkini kawalan keselamatan pihak ATM di perairan Sabah.

Pada pengumuman Bajet 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan menggunakan satu pelantar minyak yang diubah suai dan sebuah kapal bantuan sebagai 'sea basing' (pangkalan laut) di perairan kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah dengan peruntukan sebanyak RM230 juta melalui program tanggungjawab sosial korporat Petronas.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141017/je_03/Rekrut-berjihad-satu-ancaman#ixzz3GMaTjPb0  © Utusan Melayu (M) Bhd 




Monday, 13 October 2014

BAJET : RM27.604b tingkat keselamatan


KUALA LUMPUR 10 Okt. - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM27.604 bilion pada Bajet 2015 untuk meningkatkan tahap keselamatan, ketenteraman awam serta pertahanan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jumlah itu merangkumi peruntukan sebanyak RM17.7 bilion untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), RM9.1 bilion untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan RM804 juta bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Katanya, kerajaan meluluskan sebanyak 11,757 perjawatan anggota polis selain membina 14 ibu pejabat polis dan balai polis termasuk bangunan baharu Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis.

"Kerajaan komited untuk mengurangkan kadar jenayah di negara ini, yang menjadi salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)," katanya ketika membentangkan 'Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat' di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, sebanyak 1,000 lagi unit rondaan motosikal PDRM akan ditambah dan kerajaan juga memperuntuk RM121 juta kepada pihak berkuasa itu bagi melaksanakan pelbagai program NKRA.

Menurutnya, sebanyak RM7 bilion diperuntukkan bagi memperoleh dan menyelenggara aset-aset pertahanan bagi meningkatkan kesiapsiagaan aset dan anggota ATM.

Jelas beliau, kebajikan anggota tentera juga akan dipertingkat termasuk perkhidmatan kesihatan dan penyediaan kediaman golongan tersebut.

Beliau menambah, peruntukan RM393 disediakan untuk menambah baik kecekapan operasi dan pembelian tujuh kapal peronda baharu bagi meningkatkan keselamatan maritim.

Sementara itu, kata beliau, sebanyak RM117 juta diperuntukkan kepada Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terutamanya bagi tujuan latihan dalam mengukuhkan peranan jabatan berkenaan.

"Rela terus memainkan peranan sebagai sebuah agensi sukarelawan untuk membantu pasukan keselamatan dalam mengekalkan keselamatan dan keamanan negara," kata beliau.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141011/dn_05/RM27604b-tingkat-keselamatan#ixzz3FzamfBML  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Tuesday, 23 September 2014

Militan ISIS ancam pantai timur Sabah


Hishammuddin Tun Hussein bersama John Ambrose dan ahli UMNO Penampang bergambar kenangan ketika hadir merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Penampang di Kota Kinabalu, Sabah, semalam.

KOTA KINABALU 21 Sept. - Bukan mahu menakutkan rakyat negeri ini namun maklumat daripada sumber risikan negara mendapati terdapat kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) yang cuba mengubah landskap ancaman serta skop keselamatan di pantai timur negeri ini.

Ia didedahkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang turut menyatakan, kumpulan militan dari wilayah selatan Filipina, Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF) dan Abu Sayyaf secara terbuka telah membuat kenyataan menyokong perjuangan ISIS.

Selain itu, katanya, usaha berterusan bekas Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari yang tetap bertegas mahu menubuhkan kerajaan Islam di wilayah selatan Filipina serta melakukan tuntutan terhadap Sabah turut dipengaruhi dengan model ISIS.

Jelasnya, semua ancaman berkenaan lebih besar berbanding isu penyeludupan dan penculikan yang berlaku di pantai timur Sabah, malah risikan mendapati kumpulan Abu Sayyaf disyaki melatih individu tertentu bagi dihantar ke Syria untuk berjuang bersama ISIS.

"Namun masih terdapat individu daripada parti pembangkang yang masih melaungkan usaha untuk membawa keluar Sabah dari Malaysia hanya kerana sentimen politik sempit dan ghairah merebut kuasa.

"Ada had batasan untuk kita berpolitik, jangan sampai menggadaikan hak dan masa hadapan anak bangsa. Pihak pembangkang jangan tunjuk pandai untuk bercakap hal perjuangan mempertahankan negara kerana di manakah mereka semasa kejadian di Lahad Datu?

"Batang hidung mereka pun tidak nampak malah sanggup menyatakan kejadian serangan pihak pengganas sebagai sandiwara," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau sebelum itu merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Penampang dan mengadakan pertemuan khas dengan suami salah seorang mangsa nahas MH17 yang merupakan jurutera kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Leftenan Komander Ir. Lee Vee Weng.

Yang hadir sama timbalannya, Datuk Abdul Rahim Bakri; Ketua UMNO Bahagian Penampang, Datuk John Ambrose dan wakil Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Wetroom Bahanda yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, setakat ini, 19 rakyat Malaysia telah ditahan sejak April lalu kerana disyaki terlibat dengan ISIS termasuk dua individu yang ditahan di Sandakan.

Katanya, kesemua yang ditahan itu disyaki direkrut oleh empat sel militan iaitu Khaed Al Waled, Bridged Al Jemaah, Daulah Islamiyah dan Arakan Daulah Islamiyah Arakan sebelum dihantar ke Syria.

Selain itu, kata beliau, pihak berkuasa negara turut memburu lima lagi militan yang kini disyaki bersembunyi di selatan Filipina manakala seramai 56 warganegara Indonesia telah dikesan terlibat dalam ISIS.

Jelasnya, individu yang berjaya pulang ke Malaysia, selatan Filipina dan Indonesia setelah berjuang di Syria serta Iraq akan mengembangkan model ISIS bagi diaplikasi di rantau ini termasuk di Sabah.

"Kumpulan itu dijangka bergabung dan menubuhkan kumpulan jihad baharu bagi menegakkan negara Islam melalui perjuangan bersenjata.

"Kerajaan memandang serius ancaman ISIS ini dan sedang mengambil langkah perlu bagi mengekang kegiatan kumpulan militan ini daripada menular ke negara ini khususnya di Sabah," tegasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140922/dn_02/Militan-ISIS-ancam-pantai-timur-Sabah#ixzz3E5q2cyxh  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Friday, 5 September 2014

POLITIK : Jangan hasut rakyat Sabah

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my

HishamMuddin Tun Hussein bergambar dengan anggota-anggota tentera yang akan menyertai misi pengaman Malbatt 850-2 ke Lebanon di Pengkalan Udara TUDM Subang, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

SUBANG JAYA 4 Sept. - Pemimpin politik di Sabah yang dikaitkan dengan cubaan mahu memisahkan negeri itu dari Malaysia diingatkan supaya berpada-pada dalam politik dan tidak menjadikan soal kedaulatan negara sebagai modal murahan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihak keselamatan sedang meneliti dengan serius ancaman daripada pihak ketiga tersebut dan akan mengambil segala langkah perlu untuk menanganinya.

Beliau yang mengambil contoh pergolakan di Ukraine untuk dijadikan peringatan pihak terbabit berkata, perang saudara di negara itu juga meletus akibat perbuatan segelintir kumpulan politik yang tidak bertanggungjawab.

"Mereka (penghasut di Sabah) kena ingat, bila terjadinya pencerobohan di Lahad Datu majoriti anggota keselamatan negara yang menjadi korban adalah dari semenanjung. Soal kedaulatan ini bukan modal untuk dijadikan gadaian murahan.

"Sila jadi ahli politik budiman yang bertanggungjawab dan bukannya bangkitkan isu Sabah untuk Sabah," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Pemakaian Beret, Penyerahan Jalur Gemilang dan Penghantaran Kumpulan Malbatt 850-2 di sini hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan wujud usaha daripada pihak tertentu di Sabah yang cuba menghasut rakyat negeri di bawah bayu tersebut untuk keluar dari Malaysia.

Pendedahan itu kemudian disusuli pengesahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa pihak keselamatan sudah mengenal pasti golongan bertanggungjawab menghasut dan tindakan keras bakal menyusul.

Mengulas mengenai kejayaan pasukan keselamatan menggagalkan cubaan penceroboh memasuki perairan Sandakan pula, Hishammuddin berkata, usaha itu amaran kepada semua pihak yang berniat tidak baik ke atas negara ini.

Katanya, kawalan keselamatan di perairan negara khususnya di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) telah dipertingkatkan dan cubaan mana-mana pihak untuk menceroboh bakal berdepan tindakan tegas.

"Apa yang penting semua tindakan oleh anggota keselamatan yang terbabit dalam menggagalkan cubaan pencerobohan berkenaan dibuat mengikut Peraturan Operasi Standard (SOP) undang-undang negara kita," ujarnya.

Dalam perkembangan berasingan, Hishammuddin berkata beliau akan berlepas ke Keiv, Ukraine, hujung minggu ini bagi mendapatkan jaminan keselamatan untuk membolehkan pasukan penyiasat kembali ke lokasi nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.

Menurutnya, misi tersebut yang bertujuan mencari baki mayat penumpang pesawat MH17 yang belum ditemui akan turut disertai Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.

"Keadaan di timur Ukraine yang menjadi lokasi nahas MH17 sangat tegang kerana peperangan masih berlaku tetapi ia tidak sedikit pun mematahkan semangat kerajaan. Selepas Kiev, saya akan ke Rusia dan Belanda bagi menyelaras perbincangan lanjut," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140905/dn_04/Jangan-hasut-rakyat-Sabah#ixzz3CP1QGhAI  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Tuesday, 2 September 2014

putra merdeka: HOT ~ Dengar Apa Kata Najib..!

putra merdeka: HOT ~ Dengar Apa Kata Najib..!: Itu kata Ketua Polis Negara..! Seorang Ketua yang mengetuai satu pasukan yang menjaga keamanan dan ketenteraman awam dalam negara..! ...

Friday, 29 August 2014

Hari Pahlawan perlu jadi acara nasional

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA dan MOHD. FAUZI MOHAMAD SUHAIMI
pengarang@utusan.com.my

ISMAIL Ahmad (dua dari kiri) bersama Mohd. Anwar Mohd. Nor (empat dari kanan), Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin (tiga dari kanan), Mohd. Noordin Abbas (kiri) dan Abdul Aziz Ishak (kanan) melakukan simbolik perasmian logo baharu Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM) semasa majlis 'Pahlawan Jasamu Dikenang' di Dewan Besar Ibu Pejabat, Utusan Melayu (M) Berhad, Jalan Utusan, melalui Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AIZZUL A.MAJID

KUALA LUMPUR 28 Ogos -Hari Pahlawan yang disambut pada 31 Julai setiap tahun perlu dijadikan acara nasional seperti sambutan Hari Kebangsaan bagi menghargai pengorbanan keringat, darah dan nyawa para perajurit negara.

Langkah itu juga sebagai medan terbaik untuk menerapkan nilai patriotik terutama dalam soal mempertahankan kedaulatan negara daripada dicabuli mana-mana pihak khususnya dalam kalangan generasi muda yang kini dilihat semakin terhakis.

Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PV-ATM), Laksamana (B) Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan cadangan tersebut dan sekarang adalah waktu yang paling sesuai untuk berbuat demikian.

Katanya, cadangan mengenai langkah menjadikan Sambutan Hari Pahlawan sebagai acara nasional akan dibawa kepada kerajaan dalam masa terdekat dan berharap usaha berkenaan disokong pelbagai pihak kerana objektifnya demi patriotisme.

"Sekarang ini kalau tanya golongan muda, terlalu sedikit yang sedar dan mengingati tarikh Hari Pahlawan. Hari Pahlawan ini besar maknanya terutama bagi perajurit dan pengisiannya perlu bersifat nasional, bukan sekadar kutipan derma.

"Kerajaan perlu mempunyai kesungguhan politik untuk mengangkat darjat Hari Pahlawan sebagaimana sambutan Hari Kemerdekaan agar kita dapat mendidik rakyat Malaysia pentingnya nilai patriotik," katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau berkata demikian selepas majlis 'Pahlawan Jasamu Sentiasa Dikenang' anjuran bersama PV-ATM dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di ibu pejabat akhbar itu di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad dan serentak dengan itu, logo baharu PV-ATM juga dilancarkan.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Noordin Abbas dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Anwar memberitahu, sambutan orang ramai khususnya sektor korporat terhadap kempen derma Tabung Hari Pahlawan sangat tidak memberangsangkan tetapi pihaknya masih menyasarkan kutipan sebanyak RM5 juta.

"Sasaran kita sama seperti tahun lalu kerana kami realistik, memandangkan sambutan daripada sektor korporat khususnya sangat tidak menggalakkan. Namun begitu kami akan terus meningkatkan usaha untuk menyedarkan mereka," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd. Anwar berkata, PV-ATM yang dahulunya dikenali sebagai Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) kini sedang melaksanakan proses transformasi dan penjenamaan semula untuk mengembalikan kegemilangan persatuan.

Katanya, proses transformasi yang dibuat telah mula menampakkan hasil apabila kewujudan PV-ATM berjaya mendapatkan kembali penerimaan kerajaan, rakyat Malaysia serta veteran tentera sendiri yang berjumlah 160,000 orang kepada pertubuhan itu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140829/dn_04/Hari-Pahlawan-perlu-jadi-acara-nasional#ixzz3BjjU6LxT  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Friday, 18 July 2014

ATM lakar sejarah baharu risikan

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

Abdul Hadi Hussin (duduk, kiri) dan Suhaimi Mohd. Zuki (duduk kanan) menandatangani Sijil Penyerapan Pularis ke dalam Kolej Perisikan ATM sambil disaksikan oleh Nasaruddin Othman (berdiri, tiga dari kiri) pada Majlis Perbarisan Penyerapan Pularis ke dalam Kolej Perisikan ATM di Kolej Perisikan ATM Mentakab.

ANGKATAN Tentera Malaysia terus mengorak langkah ke hadapan dengan melakar sejarah dalam aspek risikan apabila Pusat Latihan Perisikan (Pularis) di Mentakab, Temerloh di Pahang secara rasmi dinaik taraf sebagai Kolej Perisikan ATM.

Majlis rasmi penyerapan Pularis sebagai Kolej Perisikan ulung negara itu dilakukan dalam penuh adat istiadat tentera yang dimulakan dengan perbarisan diikuti upacara menandatangani Sijil Penyerapan Pularis ke dalam Kolej Perisikan ATM sebelum diakhiri dengan upacara menurunkan bendera Pularis dan menaikkan Bendera Kolej Perisikan ATM.

Upacara menandatangani Sijil Penyerapan Pularis ke dalam Kolej Perisikan ATM di sempurnakan oleh Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Hadi Hussin dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Suhaimi Mohd. Zuki sambil disaksikan oleh Ketua Staf Markas ATM, Laksamana Madya Datuk Nasaruddin Othman.

Menurut Nasaruddin, penyerapan Pularis adalah seiring dengan penstrukturan semula Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Panglima-Panglima (JPP) ke-387 pada 29 Januari 2008.

“JPP yang bersidang pada 30 September 2013 telah meluluskan penyerapan Pularis ke dalam Kolej Perisikan ATM agar ia dapat terus beroperasi sebagai entiti yang terlaras dan tersusun serta bertanggungjawab dalam menyediakan keperluan latihan perisikan peringkat ATM.

“Manakala Majlis Angkatan Tentera yang bersidang pada 6 Januari 2014 telah meluluskan penubuhan Kolej Perisikan ATM dan berikutan itu juga moto, logo dan bendera Kolej Perisikan ATM pula telah diluluskan pada 28 Mei lalu," katanya kepada MegaWira selepas majlis penyerapan itu baru-baru ini.

Mengimbas kembali sejarah penganjuran kursus-kursus perisikan dalam ATM, Nasaruddin berkata, ia bermula seawal 1957 di mana markas unit perisikan Kementah diketuai Kapten E.A Atkinson telah ditugaskan untuk merancang dan menganjurkan kursus-kursus perisikan asas dan keselamatan di kem IMPHAL.

Katanya, Markas Kor Risik kemudian menubuhkan sekolah perisikan Angkatan Tentera (SPAT) pada 3 Mac 1981 dan mula ditempatkan di deretan rumah kedai di Taman Melawati pada April 1982 sehinggalah pada Januari 1983.

“SPAT kemudian telah berpindah ke kem Sungai Buloh pada 2 November 1988 bagi mengatasi masalah penginapan dan bilik kuliah berikutan jumlah kursus yang semakin bertambah.

“SPAT telah didesignasikan semula sebagai Sekolah Perisikan (SP) sehinggalah ia ditukarkan kepada Pusat Latihan Risikan pada 1994, sejajar dengan pertukaran nama pusat-pusat Latihan Tentera Darat," katanya.

Beliau memberitahu, setelah 27 tahun berada di kem Sungai Buloh, Pularis yang telah melatih bukan sahaja warga ATM, malah warga kementerian lain dan agensi keselamatan di dalam dan juga luar negara kini mempunyai kompleksnya sendiri di Kem Mentakab yang mula beroperasi pada 1 Januari 2010.

Dalam pada itu, Nasarudin berkata, penubuhan Kolej Perisikan ATM itu membuka lembaran baharu dalam kelangsungan usaha-usaha membentuk kepelbagaian kepakaran modal insan dalam semua bidang perisikan yang berorientasikan kebersamaan melibatkan ketiga-tiga cabang ATM.

Justeru katanya, kolej perisikan yang akan ditadbir oleh seorang kolonel akan terus menganjurkan pelbagai kursus risikan yang sesuai dan terkini.

Selain itu katanya, kolej tersebut juga akan menjalinkan kerjasama dengan pusat-pusat dan agensi latihan risikan antarabangsa bagi menganjurkan kursus-kursus kepakaran.

“Ini penting dalam usaha membentuk tenaga kerja yang profesional, responsif, dinamik dan mampu mengoptimumkan teknologi terkini dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Jadi adalah diharapkan operator-operator perisikan yang dilatih akan mampu berhadapan dengan senario ancaman yang kompleks dan mencabar selaras dengan perkembangan teknologi semasa," katanya.

Jelas beliau, keupayaan pemantauan perlu bergerak sejajar dengan perkembangan semasa masa hadapan merangkumi semua persekitaran dan spektrum ancaman.

Dalam pada itu, Jurulatih Kolej Perisikan ATM, Mejar Janie Ratib berkata, penyerapan Pularis kepada Kolej Perisikan amat bertepatan, selaras dengan peranan besar kolej berkenaan dalam aspek keselamatan negara.

Katanya, aspek pengajaran dan pembelajaran di kolej berkenaan sentiasa ditambah baik bersesuaian dengan keperluan terkini bagi memastikan ia terus relevan.

“Aspek pengajaran di sini adalah menyeluruh melibatkan pelbagai kaedah pengajaran termasuklah latihan fizikal dan ketahanan mental yang amat penting," katanya yang mengajar dalam kursus risik tempur.

Sementara itu, seorang pelatih, Kapten Azim Hazwan Shamsudin berkata, kursus di kolej itu memberi banyak pendedahan baharu yang penting kepadanya untuk kembali menjalankan tugas.

Menurutnya, selain pengetahuan khususnya mengenai risikan ia juga dapat menguatkan ketahanan mental dan fizikal pelatih yang mengikuti kursus di kolej berkenaan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Polis_&_Tentera/20140716/te_01/ATM-lakar-sejarah-baharu-risikan#ixzz37mkmEVC6  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Wednesday, 16 July 2014

TLDM - Mohamad Roslan Panglima Armada


ABDUL Aziz Jaafar (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas Panglima Armada di antara Abd Hadi A. Rashid (kiri) dengan Mohamad Roslan Mohamad Ramli di Pangkalan TLDM Lumut, Perak semalam.

LUMUT 14 Julai - Panglima Pemerintah Bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli dilantik sebagai Panglima Armada yang baharu, menggantikan Laksamana Madya Datuk Abdul Hadi A. Rashid yang bersara daripada perkhidmatan.

Pelantikan itu menjadikan Mohamad Roslan sebagai Panglima Armada yang ke-20 sejak Markas Armada ditubuhkan September 1980.

Mohamad Roslan memulakan tugasnya sebagai Panglima Armada secara rasmi hari ini dan pada masa sama memangku jawatan yang disandangnya sebelum ini iaitu Panglima Pemerintah Bantuan sehingga akhir bulan ini.

Majlis serah terima tugas antara kedua-duanya disaksi dan disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar di Pangkalan TLDM di sini hari ini.

Abdul Aziz dalam sidang akhbarnya selepas majlis berkenaan berkata, jawatan Panglima Armada merupakan posisi kedua terpenting di dalam ketumbukan itu dan sangat mencabar.

Bagaimanapun, katanya, sepanjang lebih dua tahun memegang jawatan itu, Abdul Hadi bukan sahaja berjaya melaksanakan tugas dengan baik, malah telah mengangkat imej serta reputasi TLDM.

"Beliau mengetuai tujuh operasi TLDM yang dilaksanakan secara berterusan di seluruh negara. Beliau juga terlibat dalam misi pencarian MH370 dan melaksanakannya dengan baik tetapi malangnya pesawat itu telah diumumkan berakhir di Lautan Hindi.

"Beliau telah menjalankan tugas dengan cemerlang sepanjang tempoh menjadi Panglima Armada. Cabarannya amat getir tetapi saya percaya beliau berjaya mengharunginya. Terima kasih diucapkan kepada beliau," katanya.

Mengulas mengenai Mohamad Roslan yang menggantikan Abdul Hadi pula, Abdul Aziz percaya dengan pengalaman luas yang dimiliki oleh Panglima Armada baharu itu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140715/dn_12/Mohamad-Roslan-Panglima-Armada#ixzz37bNx85PC  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Monday, 16 June 2014

Kerajaan tidak berkompromi

Oleh AIN SAFRE BIDIN
pengarang@utusan.com.my



Ahmad Zahid Hamidi (kanan) bersalaman dengan penduduk tempatan selepas majlis kesyukuran dan tahlil di rumahnya dekat Sungai Nipah, Bagan Datoh, Perak, semalam.

BAGAN DATOH 15 Jun - Kementerian Dalam Negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana kakitangan kerajaan khususnya dalam sektor keselamatan dan pertahanan yang menjadi tali barut kepada pihak luar.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak kementerian dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menjejaki kumpulan yang bersekongkol dengan pihak luar sehingga mengancam keselamatan negara.

Katanya, perkara itu tertakluk juga kepada mereka yang menjual maklumat atau melindungi serta memberi laluan kepada pihak luar untuk memasuki Malaysia.

"Kami tidak akan berkompromi dalam perkara ini, tidak kira sama ada rakyat biasa yang terlibat mahu pun mereka yang berpakaian uniform keselamatan.

"Dalam hal ini, sudah tentu kami berasa tidak sepatutnya seorang penguat kuasa keselamatan terlibat dan menjadi tali barut. Mereka sepatutnya menjaga kepentingan negara, bukannya memberi keutamaan kepada kepentingan peribadi," katanya ketika ditemui selepas majlis kesyukuran dan tahlil di rumahnya dekat Sungai Nipah, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Rungkup yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tiga warga tempatan termasuk seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditahan di Sandakan, Sabah kerana disyaki ada kaitan dengan kumpulan militan.

Mengulas mengenai tindakan yang bakal dikenakan terhadap tiga warga tempatan berkenaan, Ahmad Zahid memberitahu, perkara itu akan diserahkan kepada mahkamah setelah siasatan mendalam dilaksanakan.

Katanya, berdasarkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan seterusnya dengan mengheret mereka ke muka pengadilan selepas siasatan menyeluruh dibuat.

"Semua maklumat siasatan akan diserahkan kepada Peguam Negara," jelas beliau.

Ahmad Zahid memberitahu, kementerian bersama-sama PDRM akan bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membendung kegiatan yang memudaratkan negara.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140616/dn_02/Kerajaan-tidak-berkompromi#ixzz34lLhjR5L  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Friday, 9 May 2014

Aset keselamatan ditambah

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
utusansabah@utusan.com.my



ahmad Zahid Hamidi (dua dari kanan), Musa Aman (dua dari kiri) , Shahidan Kassim (kanan) dan Hamza Taib (kiri) di Sri Gaya, Kota Kinabalu, Sabah, semalam. - BERNAMA


KOTA KINABALU 8 Mei - Helikopter tempur Eurocopter Tiger atau Helikopter Longbow Apache dan bot laju berprestasi tinggi merupakan antara aset pasukan keselamatan yang bakal ditambah bagi memantapkan pemantauan dan penguatkuasaan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), terutama mengelak daripada berlakunya ancaman pencerobohan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, persetujuan juga telah diperoleh antara pasukan keselamatan negara dan Filipina bagi membuat tindakan susulan termasuk memantau sebarang kemasukan atau kewujudan elemen mengancam, terutama bot atau kapal di perairan kedua-dua buah negara.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan saya dan Shahidan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim) untuk membantu Ketua Menteri (Datuk Seri Musa Aman), kerajaan negeri dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bagi memperketatkan kawasan ini daripada diceroboh.

"Kabinet juga telah mengumumkan lima lagi langkah tambahan bagi menguatkan sembilan langkah drastik yang diputuskan oleh Jawatankuasa Keselamatan Negeri yang dipengerusikan oleh Musa," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Shahidan, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dan Ke­tua Pengarah Esscom, Datuk Mohammad Mentek.

Antara lima langkah tambahan itu yang berkuat kuasa serta-merta adalah kesemua bot atau kapal negara asing yang memasuki perairan negara terutama di Esszone wajib melalui laluan-laluan yang telah diwartakan sahaja iaitu Semporna, Lahad Datu, Kunak, Sandakan, Tawau, Kudat dan Kota Kinabalu.

Kesemua jenis bot milik penduduk tempatan pula wajib didaftarkan bagi memastikan bot berkenaan benar-benar kepunyaan mereka dan mengelak timbulnya kekeliruan dengan kemasukan bot asing di perairan negara.

Kabinet juga bersetuju memantapkan kuasa penguatkuasaan dengan menurunkan beberapa bidang kuasa tertentu Menteri Dalam Negeri dan Ketua Menteri kepada polis bagi memudahkan satu tindakan segera dapat dilaksanakan sekiranya berhadapan dengan insiden menggugat ketenteraman awam.

Mengenai spekulasi yang tersebar di laman sosial dan blog Filipina berhubung pembabitan beberapa personaliti termasuk pemimpin kumpulan pemisah negara itu, Nur Misuari yang menjadi dalang kepada beberapa siri penculikan di Sabah, Ahmad Zahid menegaskan, pasukan keselamatan mengambil kira kesemua kemungkinan yang wujud.

"Pihak kita memang bertukar-tukar maklumat perisikan dengan Filipina, hubungan kita erat. Negara memang bekerjasama dengan semua pihak termasuk dari negara luar.

"Apa yang ingin saya tegaskan, kerajaan langsung tidak akan berkompromi dengan mana-mana elemen pencerobohan dan menggugat ketenteraman awam termasuk siapa sahaja dalangnya," katanya.

Pada 2 Mei lalu, Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memaklumkan bahawa pihaknya bakal menambah sembilan lagi bot pemintas yang dinamakan Bot Petir bagi kegunaan di Esszone.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar berkata, aset itu akan menjalani latihan pandu uji oleh pegawai dan anggotanya bagi memastikan kesesuaiannya sebelum sedia untuk digunakan.

Ahmad Puzi turut memaklumkan bahawa pihaknya dalam perancangan untuk membina Pangkalan Udara Maritim Malaysia di negeri itu iaitu di Kota Kinabalu dan Sandakan.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140509/dn_02/Aset-keselamatan-ditambah#ixzz31CT6c8WH  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Tuesday, 29 April 2014

Malaysia-AS perangi keganasan

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
pengarang@utusan.com.my



KUALA LUMPUR 28 April - Malaysia akan mempertingkatkan kerjasama dua hala dalam bidang keselamatan dengan Amerika Syarikat (AS) bagi memerangi keganasan antarabangsa yang kini menjadi ancaman global.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu meliputi latihan pasukan keselamatan, program pertukaran maklumat serta penggunaan kelengkapan dan peralatan bagi memantau aktiviti yang mempunyai kaitan dengan keganasan.

Beliau berkata, kedua-dua negara sudah mempunyai persetujuan asal bagi perkongsian maklumat yang bukan hanya melibatkan usaha memerangi percambahan senjata pemusnah besar-besaran (WMD), malah semua aspek yang mempunyai kaitan dengan keganasan dan jenayah.

"Isu percambahan WMD telah disentuh secara spesifik oleh Presiden AS, Barack Obama dalam mesyuarat dua hala yang turut disertai saya di Putrajaya semalam.

"Untuk itu, latihan yang selama ini telah diberikan oleh pihak AS kepada pegawai polis dan tentera Malaysia akan terus dipertingkatkan dan saya sendiri akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai pertukaran maklumat serta latihan-latihan yang akan dilakukan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Respons Keadilan Jenayah kepada Pemerdagangan Manusia ASEAN Kali Keempat: Sokongan kepada Mangsa Pemerdagangan dalam Sistem Keadilan Jenayah, di sini hari ini.

Yang turut serta dalam bengkel tersebut ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin, Setiausaha Kehakiman Filipina, Leila M. De Lima; pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung pemerdagangan manusia terutama­nya wanita dan kanak-kanak, Dr. Joy Ngozi Ezeilo; Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Rod Smith dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohamad Khalid Shariff.

Ahmad Zahid berkata, dalam era dunia digital sekarang, kepakaran dan kemahiran pasukan keselamatan negara perlu disesuaikan dengan kecanggihan peralatan sedia ada bagi memenuhi keperluan semasa dan akan datang.

"Saya yakin selain Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia juga bersedia mengadakan program pertukaran maklumat dan menjalani kursus serta latihan lanjut di AS. Ini bagi memperkukuhkan kerjasama dengan AS," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Malaysia komited untuk memerangi pemerdagangan manusia dan ini terbukti apabila Anti Pemerdagangan Orang dan Akta Anti Penyeludupan Migran diluluskan di Parlimen pada 2007 sebelum dikuatkuasakan pada 28 Februari 2008.

Namun katanya, usaha tersebut memerlukan penyelarasan dalam kalangan negara-negara ASEAN dan luar rantau ini kerana masalah itu kini semakin kompleks dengan melibatkan negara-negara lain yang suatu ketika dahulu tidak berpotensi terlibat dengan aktiviti tersebut.

"Keadaan ini berlaku melalui sindiket dan disebabkan adanya peluang ekonomi di negara kita atau negara kita dijadikan sebagai batu loncatan untuk ke negara ketiga.

"Bagaimanapun, Malaysia telah bekerjasama dengan Indonesia supaya kedua-dua negara tidak dijadikan negara loncatan untuk ke negara ketiga seperti Australia. Kita telah berjaya mengekang beberapa aktiviti pemerdagangan manusia sebelum ini," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140429/dn_02/Malaysia-AS-perangi-keganasan#ixzz30EJKLFXR  © Utusan Melayu (M) Bhd


Monday, 21 April 2014

ATM : Abdul Aziz: TLDM perlu aset pertahanan baharu

Abdul Aziz Jaafar menunjukkan buku Defining Moments yang akan dilancarkan pada 28 April semasa program wawancara Sambutan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia Ke-80 di DSA 2014, PWTC, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 17 April - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memerlukan aset pertahanan baharu agar pasukan itu mampu terus memenuhi tuntutan geostrategik semasa yang terdedah dengan pelbagai bentuk ancaman.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, TLDM yang bakal menginjak usia 80 tahun pada 27 April ini perlu memiliki kesiapsiagaan tertinggi dalam menangani sebarang ancaman dari segenap spektrum sekali gus menjamin kedaulatan negara.

Kata beliau, insiden melibatkan pencerobohan di Lahad Datu, penculikan di Sabah dan kehilangan pesawat MH370 telah menuntut ketumbukan itu untuk dilengkapi aset berteknologi tinggi dan selaras dengan keupayaan semasa organisasi ketenteraan.

"Kawasan maritim negara amat luas dan terdedah dengan pelbagai kemungkinan. Keluasan maritim yang dua kali ganda lebih besar daripada daratan adalah sesuatu yang mencabar bagi kita. Perkara ini kerana apa yang berlaku kelak (ancaman) pastinya bermula daripada perairan dahulu.

"Pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014 ini, kita lihat pelbagai aset dipamerkan dan telah mengenal pasti sebahagian daripadanya untuk dijadikan perolehan TLDM. Boleh dikatakan kini kami berada dalam fasa perundingan perolehan.

"Walau bagaimanapun, semua perkara itu akan dimuktamadkan berdasarkan kemampuan kewangan semasa negara," katanya pada sidang akhbar sempena Sambutan Ulang Tahun TLDM Ke-80 pada DSA 2014 di sini hari ini.

Sambutan bertemakan 'TLDM Siaga Perairan Terpelihara' akan disambut di Lumut, Perak itu turut diisi dengan pelbagai program melibatkan elemen perbarisan, kerohanian dan pembangunan sosial.

Sempena sambutan kali ini juga, pasukan itu bakal melancarkan buku terkini bertajuk 'Detik-detik Kegemilangan' setebal 276 muka surat yang merekodkan kecemerlangan TLDM dalam mempertahankan negara sejak penubuhannya pada 1934.

Dalam pada itu, Abdul Aziz memberitahu, inventori aset TLDM akan dipertingkatkan lagi dengan perolehan kapal latihan pada tahun ini dan kapal tempur pesisir pantai (LCS) pada pertengahan 2019 dalam usaha memperkasakan keupayaan Armada TLDM.

Pada masa sama, beliau berkata, Kapal Diraja (KD) Kasturi dan KD Lekir melalui Program Pemanjangan Hayat Perkhidmatan (SLEP) akan dinaik taraf sebagai langkah perancangan serta pengurusan bijak sementara menantikan aset-aset baharu.

Abdul Aziz menambah, TLDM juga bakal mencatat satu sejarah apabila dianugerahkan serentak dua panji pasukan iaitu kepada KD Sri Semporna dan KD Duyong oleh Yang Dipertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada sambutan kali ini.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung spekulasi misi mencari dan menyelamat (SAR) kehilangan MH370 sedikit sebanyak menjurus kepada kebocoran maklumat strategik negara kepada pihak luar, beliau menafikan perkara tersebut.

Abdul Aziz yang merupakan salah seorang anggota Pasukan Kerja Teknikal pencarian itu menjelaskan, setiap pergerakan misi tersebut dipantau secara dekat dan formasi operasi berada pada landasan yang sepatutnya.

"Saya telah berada dalam misi itu dan tiada ancaman intipan daripada mana-mana pihak, itu semua spekulasi. Kita telah melakukan terbaik bagi menjayakan SAR ini," tegasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140418/dn_19/Abdul-Aziz-TLDM-perlu-aset-pertahanan-baharu#ixzz2zTpuwsWw  © Utusan Melayu (M) Bhd


Tuesday, 15 April 2014

ATM - Weststar edar peluru berpandu Starstreak

Sebahagian daripada delegasi tempatan dan antarabangsa melihat kelengkapan ketenteraan dalam Pameran Pertahanan dan Sekuriti 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 14 April - Kumpulan Weststar melalui anak syarikatnya, Global Komited Sdn. Bhd. hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama UK Thales Air Defence Ltd. bagi mengedar sistem peluru berpandu Starstreak.

Starstreak bakal menggantikan sistem pertahanan udara teknologi lama dikenali sebagai Starburst yang digunakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim berkata, MoU itu adalah satu langkah positif kerana memberi manfaat kepada ATM sekali gus pasukan bersenjata di rantau ini.
Ini adalah perkembangan positif untuk industri pertahanan negara kerana MoU ini tidak hanya melibatkan transaksi perniagaan semata-mata tetapi merangkumi pertukaran teknologi dan pengetahuan sistem pertahanan yang akan memberi manfaat jangka masa panjang.

“Melalui MoU ini, kami diberi hak mempromosi, mengedar dan memasarkan sistem peluru berpandu generasi baru Starstreak di negara ini bagi menggantikan sistem Starburst," katanya.

Majlis yang diadakan sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan (DSA) 2014 itu disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Azman berkata, sistem peluru berpandu berkenaan boleh dipasang pada kenderaan utama GK-M1 yang turut dipamerkan dalam pameran kali ini.

“Teknologi ini adalah yang terkini dihasilkan UK Thales yang membolehkan ATM menggantikan sistem Peluru Berpandu Starburst yang diguna sebelum ini.

“Dengan kerjasama ini, UK Thales memudahkan Global Komited menggabungkan pelbagai sistem rangkaian pertahanan yang lengkap seperti sistem perintah dan kawalan radar untuk menyokong dan melindungi aset penting kerajaan dan tentera," tambahnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140415/dn_03/Weststar-edar-peluru-berpandu-Starstreak#ixzz2yuuFGP00  © Utusan Melayu (M) Bhd


Monday, 14 April 2014

ATM - TUDM perlu dibekalkan MPAMH

Pasukan Tentera Laut Australia yang berada di atas kapal HMAS Success membuat persediaan untuk mencari pesawat MH370 di Luatan Hindi. Gambar ini dikeluarkan oleh Pasukan Pertahanan Australia, semalam. - REUTERS

ALOR SETAR 11 April - Kerajaan disyorkan agar membekalkan pesawat rondaan maritim (MPA) bagi meningkatkan keupayaan Tentera Diraja Udara Malaysia (TUDM) dalam menjalankan rondaan serta misi mencari dan menyelamat (SAR) di lautan yang lebih luas pada masa depan.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata, pesawat Maritim Domain Awareness (MDA) yang dimiliki sekarang seperti Beechcraft King Air 200 hanya sesuai digunakan untuk operasi di Selat Melaka dan Laut China Selatan.

“Jarak capaian pesawat ini tidak dapat sampai ke Lautan Hindi, kita hanya mampu untuk operasi di Selat Melaka dan Laut China Selatan.

“Kita harap kerajaan dapat membekalkan TUDM dengan MPA yang lebih sesuai pada masa depan kerana cabaran lebih besar akan ditempuh," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Sayap Penerbangan kepada 26 pegawai TUDM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Darat di Kolej Tentera Udara, Kepala Batas di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Leftenan Mohd. Firdaus Awang Koding dianugerahkan Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (terbaik akademik), Kapten Ahmad Zulfikri Ahmad Kamal pula menerima Piala Komandan (terbaik penerbangan sayap kaku), manakala Kapten Hafizullah Mohd. Noor Mohd. Sallehhuddin menerima Piala Nuri (terbaik penerbangan sayap putar).

Menurut Rodzali, pihaknya mahu meningkatkan keupayaan bukan sahaja dari segi melakukan pencarian pada permukaan laut malah di bawah permukaan terutama dalam misi SAR pada masa depan.

“Buat masa sekarang apa yang kita ada masih kekurangan kalau dibandingkan dengan peralatan di luar sana. Pesawat C130 tidak dilengkapi dengan peralatan mencari di dasar laut.

“Sebagaimana kita tahu, apa yang diperlukan adalah mencari di bawah permukaan laut, lebih-lebih lagi dari segi elektronik dan akuastik," jelasnya.

Tambah beliau, misi SAR pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang di Lautan Hindi amat mencabar kerana jarak pencarian jauh iaitu 2,000 hingga 2,500 kilometer dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce, Perth, Australia.

“Sebanyak tiga pesawat C130 terlibat dalam misi SAR ini. Perjalanan pergi dan pulang mengambil masa lapan jam dan dua jam untuk mencari, semuanya berjalan baik dan kita berharap operasi ini selesai dengan jayanya," katanya.

Rodzali berkata, kehilangan pesawat MH370 itu memberi banyak pengajaran kepada semua pihak bagaimana untuk mentadbir situasi itu dengan baik.

“Kita belajar daripada apa yang jadi sekarang supaya bakal dilaksanakan lebih baik pada masa depan," jelasnya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140412/dn_09/TUDM-perlu-dibekalkan-MPA#ixzz2ypXryUNk  © Utusan Melayu (M) Bhd


Friday, 11 April 2014

Cuba fahami pengorbanan ATM, bukan memperlekeh

Anggota Tentera turut membantu mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Menengah Kebangsaan Banggol, Paya Berenjut, Kemaman, Terengganu hujung tahun lalu.

DARAH pahlawan yang mengalir dalam diri ini menyebabkan penulis terpanggil menulis artikel mengenai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini.

Tajuk berita 'Rakyat diseru pertahan ATM' di muka surat tiga akhbar Mingguan Malaysia baru-baru ini menyuntik semangat berkobar-kobar dalam diri penulis. Hakikatnya, tidak dapat ditolak bahawa ATM adalah peneraju barisan pertahanan negara kita. Jika goyah pasukan keselamatan ini maka musnah sesebuah negara.

ATM adalah pasukan keselamatan yang terdiri daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). ATM bertanggungjawab mempertahankan negara daripada ancaman luar yang mampu menggugat kedaulatan tanah air.

Mereka juga berperanan mengekalkan keamanan negara bermula daripada pasca pra merdeka hingga sekarang seperti Perang Dunia ke-2, Darurat 1948 (ancaman komunis), Konfrontasi Indonesia-Malaysia, Pencerobohan Lahad Datu, Sabah dan banyak lagi. ATM turut dihantar dalam misi pengaman dunia seperti di Kemboja, Somalia, Bosnia dan lain-lain.

Persoalan di sini, sejauh mana kita menghargai pengorbanan anggota tentera yang berjuang bermati-matian mempertahankan tanah air dari serangan musuh? Setiap kali bencana atau konflik berlaku di Malaysia, pasti ada suara sumbang yang mempersoalkan kemampuan dan memperlekeh usaha yang dilakukan anggota tentera kita.

Hal ini bukan sahaja terkesan kepada anggota ATM malah ahli keluarga turut merasakannya. Penulis sendiri tersentuh hati apabila ada pihak yang mempersoalkan pengorbanan ATM.

Mereka tahukah anggota tentera sanggup meninggalkan keluarga demi menyahut seruan negara? Anak-anak, isteri atau suami, harta diketepikan sementara hanya untuk memberi sepenuh perhatian memperjuangkan kedaulatan, keamanan dan ketenteraman awam.

Hal ini tidak terkecuali bagi keluarga penulis. Bapa yang menjadi ketua keluarga menyahut seruan semboyan berbulan-bulan lama di perairan laut. Sewaktu penulis masih kecil, ibu adalah tempat bermanja dan hari-hari menjadi `kaunter pertanyaan’ di mana bapa berada. Mujurlah ketika itu, penulis mempunyai adik-beradik, rakan-rakan, guru-guru dan Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) . BAKAT sering menganjurkan aktiviti bagi mengisi masa lapang. Mereka juga menjaga kebajikan dan hal ehwal keluarga tentera.

Namun begitu, seiring pertambahan usia penulis amat berbangga kerana lahir dalam keluarga pejuang. Jika tidak pasti penulis tidak dapat merasai erti sedih, rindu dan kesunyian. Walaupun berbulan lama tidak berjumpa, bapa penulis tetap memainkan peranan terbaik dalam keluarga kami sehingga bergelar veteran ATM. Ini semua mengajar kami sekeluarga menghargai keamanan yang perlu dikekalkan oleh semua pihak.

Penulis pernah ditanya tentang tugasan penjawat badan beruniform seperti tentera dan polis sewaktu kekecohan pencerobohan Lahad Datu tidak lama dahulu. Tanggapan sinis dan berat sebelah kebanyakan orang amat menguji kesabaran penulis. Mereka menganggap bahawa ATM hanya makan gaji buta dan apabila timbul isu besar seperti Lahad Datu baru mereka melihat keterlibatan ATM.

Ini sangat tidak adil. Jika diukur pengorbanan yang diberi anggota tentera dan polis demi mengekalkan sebuah kemerdekaan nescaya pihak yang memandang negatif peranan ATM akan terduduk malu. Bayangkan bagaimana keadaan negara ini tanpa ATM. Jika sesaat mereka leka pasti ketenteraman negara tergugat. 

Bagaimana pula jika perairan laut tidak dikawal? Lanun dan penjenayah pasti bermaharajalela di mana laut dan kawasan sekitar tidak selamat. Pendatang asing tanpa izin mudah membolosi sempadan laut kita. Begitu juga hal dengan darat dan udara. Jika ATM tidak mengawal, mana mungkin kita bersenang-lenang di sini.

Terbaru, peristiwa kehilangan pesawat MH370. Ada pihak yang membuat kenyataan tidak adil seperti di papar dalam media massa. Ada juga pihak yang membuat kenyataan berat sebelah di dalam akhbar Daily Telegraph yang berpangkalan di United Kingdom. Ini sepatutnya tidak berlaku. Rakyat Malaysia dan semua pihak perlu mendoakan agar pencarian MH370 dipermudahkan .

Jika negara-negara lain berusaha mencari dan menyelamat bersama ATM dan tidak pula menyalahkan Malaysia. Kenapa kita perlu saling menyalahkan satu sama lain meskipun berbeza fahaman politik seperti stesen televisyen Cable News Network (CNN) cuba menimbulkan pelbagai andaian dan spekulasi menghentam kerajaan?

Berburuk sangka merugikan semua pihak dan setiap berita perlu diselidiki terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan seperti firman Allah dalam surah Al-Hujuraat ayat 6 bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan."

Kepada semua perajurit tanah air, syabas dan teruskan menabur bakti demi kepentingan bangsa, agama dan negara. Kami tetap sentiasa bersama kalian dengan iringan doa dan pesanan selamat berjuang walau di mana sahaja anda ditugaskan.

OLEH NUR NABILA ZUKIFLI
PENULIS ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140409/re_06/Cuba-fahami-pengorbanan-ATM-bukan-memperlekeh#ixzz2yXoSwWMi  © Utusan Melayu (M) Bhd