Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label PKR. Show all posts
Showing posts with label PKR. Show all posts

Tuesday, 24 November 2015

TIAN CHUA ATUR DAN NAFI

Tian Chua atur pertemuan Nurul Izzah-Jacel Kiram

MOHD. AZRAIE MD. YUSOF DAN SOFIAN BAHAROM | 24 November 2015 1:09 AM



Keratan Utusan Malaysia pada 20 November 2015.

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua merupakan individu yang bertanggungjawab mengatur pertemuan antara Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dengan anak perempuan bekas ketua pengganas Jamalul Kiram III, Jacel Kiram.

Beliau berkata, Naib Presiden PKR itu juga merupakan individu yang turut bertanggungjawab menjalankan tindakan secara halus dalam mengatur tuntutan ‘Kesultanan Sulu’ terhadap Sabah sebelum ini.

“Saya harap Tian Chua hati-hati dalam perbuatannya, Tian Chua harus lebih teliti dalam mengatur program untuk pemimpin-pemimpin partinya, Tian Chua jangan sebarangan untuk mengeluarkan kenyataan beliau itu...,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Ekonomi Peringkat Tinggi Malaysia-China, di sini hari ini.

Beliau mengulas pertemuan Nurul Izzah dan Jacel seperti yang tertera dalam beberapa keping gambar yang dimuat naik oleh Jacel dalam akaun Facebook miliknya baru-baru ini.

Mengulas tindakan Tian Chua sebelum ini yang mempersoal adakah pertemuan itu merupakan kesalahan jenayah, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, ia berkaitan soal kedaulatan negara dan undang-undang negara yang perlu dipatuhi.

“Saya telah nyatakan bahawa kita boleh berbeza pendapat, tetapi dalam soal kedaulatan negara, soal maruah negara, harus tak ada kompromi ke atasnya.

Jika ada dalam kalangan rakan dalam parti yang mengatur perjumpaan itu, saya fikir sudah tentu ada tujuan tersirat oleh orang itu yang bertanya kepada saya dan kerajaan apa kesalahan jenayah yang telah dilakukan,” katanya.

Sementara itu di Parlimen, ketika mengulas kenyataan Tian Chua yang menafikan penglibatan beliau dan menganggap pendedahan tersebut sebagai tidak berasas dan tidak bertanggungjawab Ahmad Zahid menegaskan, beliau tidak akan menarik semula pendedahan berhubung penglibatan Naib Pre­siden PKR itu.

Sebaliknya beliau meminta Tian Chua tidak menafikan perkara itu kepada media tetapi memberi ke­nyataan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila dipanggil untuk memberi keterangan selepas ini.

“Sila beri keterangan dan penafian di mahkamah kalau dia mengaku tidak terlibat, saya tidak berhasrat menarik balik kenyataan saya pagi tadi. Beliau jawablah, kerana beliau sahaja yang tahu mengenai perjumpaan di Manila itu.

“Saya nasihatkan tak perlu beliau nafikannya kepada media, sila jawab kepada polis apabila diminta beri keterangan,” katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen hari ini.

Mengenai Nurul Izzah, Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun Ahli Parlimen Lembah Pantai itu telah membuat permohonan maaf, namun perbuatan Nurul Izzah seolah-olah memberi sokongan terhadap perbuatan pengganas Sulu yang menceroboh kedaulatan negara.

“Bagaimana perasaan keluar­ga mangsa yang ditinggalkan, bagaimana pula perasaan rakyat Sabah yang buminya diceroboh, bagaimana pula perasaan tentera dan polis yang usaha mereka untuk mempertahankan negara, seolah-olah tidak dihargai,” tegasnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tian-chua-atur-pertemuan-nurul-izzah-jacel-kiram-1.161792#sthash.nwQKKeEq.dpuf


Tian Chua nafi dalang pertemuan

24 November 2015 1:09 AM

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Naib Presiden PKR, Tian Chua meminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menarik balik pertuduhan mengatakan beliau sebagai dalang pertemuan antara Nurul Izzah Anwar dengan Jacel Kiram, anak perempuan bekas ketua pengganas kumpulan bersenjata Sulu.

Tian Chua

Katanya, tuduhan Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri itu tidak berasas dan tidak bertanggungjawab kerana sebagaimana penjelasan Nurul Izzah sebelum ini, kehadiran mereka di Filipina adalah atas undangan pelbagai parti politik negara itu.

“Saya akan pertimbangkan tindakan selanjutnya. Namun di peringkat ini saya seru supaya Ahmad Zahid tarik balik hujah itu.

“Beliau harus buat penarikan dalam tempoh yang munasabah. Jangan buat seperti insiden Lahad Datu, Sabah yang saya dituduh menghina pa­sukan keselamatan, pengkhianat negara.

Namun pada hari perbicaraan, UMNO tarik balik dakwaan mereka,” katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen hari ini.

Ahmad Zahid selepas Forum Ekonomi Peringkat Tinggi Malaysia-China di ibu negara, hari ini mendakwa Tian Chua mengaturkan mesyuarat Nurul Izzah dengan Jacel.

Dalam pada itu, Tian Chua memberitahu, tujuan perjumpaan di Filipina adalah untuk membawa isu-isu kesedaran rakyat negara itu dan isu hak asasi manusia dan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebagai menteri, Ahmad Zahid sepatutnya mengeluarkan ke­nyataan secara bertanggungjawab. Jika tidak, ia adalah satu hujah yang tidak berasas dan tidak memberi imej yang positif kepada keselamatan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Tian Chua berkata, beliau bersedia dipanggil pihak berkuasa untuk disiasat berhubung perjumpaan tersebut.

“Kita tak ada pilihan kalau dipanggil, kita kena pergi dan beri kerjasama,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tian-chua-nafi-dalang-pertemuan-1.161797#sthash.8G44Ro2C.dpuf


Friday, 20 November 2015

POLITIK : Pertemuan Nurul Izzah-Jacel dipersoal

AZMAN IBRAHIM | 20 November 2015 2:00 AM


NURUL IZZAH ANWAR (dua dari kanan) dan Jacel Kiram (kiri) dalam satu majlis makan di Filipina baru-baru ini. GAMBAR FACEBOOK

KUALA LUMPUR 19 Nov. – Tindakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bertemu dengan anak perempuan bekas ketua pengganas kumpulan bersenjata Sulu, Jacel Kiram menimbulkan persoalan.

Jacel memuat naik empat keping gambar pertemuan dengan Nurul Izzah dalam akaun Facebook, Princess Jacel H. Kiram-Hassan dipersoalkan.

Malah, turut dimuat naik gambar Jacel memegang kain rentang yang tertera perkataan ‘Lepaskan Anwar Segera’.

Gambar-gambar yang dimuat naik Jacel bertarikh 9 November lalu menerima dua perkongsian oleh rakan Facebook serta tiga hingga 89 likes.

Rakan Facebook Jacel, Jerico Natividad Bustamante mengemukakan soalan dalam satu daripada empat keping gambar yang dimuat naik; “Adakah itu anak perempuan Anwar?”

Jawab Jacel; “Ya!”.

Seorang lagi rakan Facebook, Ead MasReka menjawab Nurul Izzah Anwar.

Sementara itu, penulis blog LSS Report, Lim Sian See dalam akaun Facebook miliknya turut mempersoalkan pertemuan tersebut kerana mempunyai bukti secara bergambar dan dianggap mempunyai agenda tertentu.

“Saya berasa hairan apa yang dibincangkan oleh Nurul Izzah, Jacel dan rakan lelaki ‘Mat Salih’ yang tidak dikenali dalam majlis makan malam. Adakah kerana makanan itu sangat sedap?,” soal Sian See.

Menurut Sian See, Jacel merupakan ketua jurucakap sewaktu pencerobohan Lahad Datu suatu masa dahulu.

Katanya, anak perempuan Kiram itu pada waktu ini dikatakan sedang mengejar jawatan senator untuk dijadikan landasan untuk menuntut Sabah dari Malaysia.

Sian See turut mengandaikan beberapa alasan yang mungkin diberi oleh Nurul Izzah jika dipersoalkan rakyat mengenai pertemuan itu, termasuk tidak mengenali Jacel.

Kali pertama bertemu dengan anak perempuan Kiram, tidak mengenali Kiram, tidak mendatangkan bahaya kerana berbual dengan gadis itu, cuba meyakinkan Jacel untuk menggugurkan tuntutan ke atas Sabah bagi manfaat hubungan Malaysia-Filipina dan beberapa lagi.

“Ini adalah penghinaan kepada warga Malaysia, orang Sabah dan terutamanya wira-wira negara yang mempertahankan kedaulatan negara,” kata Sian See.

Sementara itu, Nurul Izzah dalam satu kenyataan mengakui beliau bertemu Jacel pada 9 November lalu, apabila berada di Filipina bersama-sama dengan Ahli Parlimen Batu Tian Chua sebagai sebahagian daripada rombongan PKR untuk bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan negara itu.

Beliau berkata majlis itu dianjurkan Majlis Hal Ehwal Filipina dan Institut Asia bagi Demokrasi, pejabat Datuk Bandar Manila dan pejabat Naib Presiden Filipina.

“Mereka putuskan mengenai senarai para pemimpin yang perlu ditemui. Antaranya calon-calon sah yang bertanding atas tiket naib presiden Jejomar Binay - dan banyak lagi pemimpin pertubuhan awam,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/pertemuan-nurul-izzah-jacel-dipersoal-1.160307#sthash.I4X0WGkg.dpuf


Thursday, 29 October 2015

Friday, 16 October 2015

POLITIK : Saifuddin umum 
sertai PKR

16 Oktober 2015 1:20 AM


PETALING JAYA 15 Okt. – Ura-ura mengatakan Datuk Seri Saifuddin Abdullah bakal bertukar parti menjadi realiti, apabila bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu secara rasmi mengesahkan penyertaan beliau dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini.

Saifuddin

Pengumuman itu dibuat Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di sini.

“Kami mengalu-alukan penyertaan beliau (Saifuddin)...penyertaannya bertepatan dengan strategi Keadilan untuk memberi fokus kepada isu-isu masyarakat Melayu dan Bumiputera agar kebajikan mereka terbela,” katanya.

Turut hadir Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali serta pemimpin-pemimpin tertinggi parti itu.

Dalam sidang media sama, Saifuddin yang juga bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, keputusannya didorong oleh kemahuan untuk melihat perubahan dalam arena politik negara.

“Saya sudah berfikir panjang lebar sebelum membuat keputusan.

“Saya mahu membina negara ini melalui pembaharuan institusi...ia tidak dibincangkan secara komprehensif dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN)...maka sudah sampai masa saya rasakan saya tidak lagi serasi dengan UMNO dan BN,” katanya.

Saifuddin sebelum ini dikatakan bakal menyertai PKR apabila beliau menghadiri Sidang Meja Bulat Pakatan 2.0 yang diadakan untuk memuktamadkan pembentukan pakatan pembangkang yang baharu. 
– BERNAMA

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/saifuddin-umum-8232-sertai-pkr-1.146976#sthash.5dH3Q7rx.dpuf

Tuesday, 22 September 2015

Siasat dakwaan DEIG mohon pinjam RM500j

ABDUL YAZID ALIAS | 22 September 2015 1:38 AM

SHAH ALAM 21 Sept. - Jawatankuasa Pilihan Agen­si, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) Se­langor digesa memanggil Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali supaya memberikan jawapan sebenar me­ngenai dakwaan konon­nya Darul Ehsan Investment Group (DEIG) telah memohon cada­ngan pinjaman daripada tiga buah bank berjumlah RM500 juta.

BUDIMAN MOHD. ZOHDI

Setiausaha Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Selangor, Budiman Mohd. Zohdi berkata, tindakan sedemikian harus dilakukan bagi memastikan kesahihannya kerana cadangan pinjaman tersebut dikatakan bertujuan dijadikan modal kerja anak syarikat milik Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) itu.

Katanya, berdasarkan laporan sebuah portal, www.malaysia-today.net pada 8 September lalu, difahamkan sebuah bank telah mengeluarkan surat tawaran pinjaman kepada DEIG yang mana jika benar, berkemungkinan digunakan oleh syarikat itu untuk menampung operasinya.

“Kita melihat dakwaan ini satu perkara yang serius yang perlu disusuli dengan tindakan segera oleh JP-ABAS. Maka, untuk memastikan kesahihannya, jawatankuasa berkenaan perlu memanggil Menteri Besar termasuk pengurusan DEIG untuk memberikan keterangan yang sebenarnya di sebalik dakwaan ini.

“Kita tidak mahu perkara ini terus menjadi polemik lebih-le­bih lagi kemungkinan wujudnya unsur-unsur penipuan di sebalik penubuhan DEIG,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Budiman yang juga ADUN Sungai Panjang menambah, sekiranya dakwaan portal itu benar, maka tindakan tersebut dilihat bercanggah sama sekali dengan kenyataan yang dibuat oleh Mohamed Azmin pada 18 Ogos lalu semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyatakan DEIG dari segi struktur modal tidak akan membuat sebarang pinjaman, tidak memiliki aset dan hanya akan beroperasi pada suku pertama tahun depan.

“Jika kita berpegang kepada kenyataan Menteri Besar ketika sesi DUN lalu, maka DEIG masih belum beroperasi dan tidak mempunyai aktiviti setakat ini. Namun, mengapa pula syarikat ini dikaitkan dengan dakwaan memohon pinjaman untuk modal kerja melibatkan jumlah kira-kira RM500 juta?

“Kita melihat seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dalam soal ini. Maka sebab itu, kita gesa Menteri Besar tidak terus-menerus mengambil sikap berdiam diri, rakyat Selangor ingin tahu perkara yang sebenarnya,” tegas beliau.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi DEIG, Soffan Affendi Aminudin gagal apabila beliau tidak membalas soalan menerusi aplikasi WhatsApp.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/siasat-dakwaan-deig-mohon-pinjam-rm500j-1.138966#sthash.CwEosuFG.dpuf

Friday, 18 September 2015

1MDB : Nurul Izzah disiasat ekoran pengakuan Justo

18 September 2015 1:57 AM


Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR 17 Sept. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan Naib Presi­den PKR, Nurul Izzah Anwar kini disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti yang boleh memudaratkan demokrasi berparlimen.

Nurul Izzah disiasat berhubung satu pendedahan oleh bekas Ketua Teknologi Maklumat (IT) PetroSaudi International (PetroSaudi), Xavier Andre Justo baru-baru ini yang mendakwa Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berminat membeli data berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dicuri daripada bekas majikannya.

“Ya saya mengesahkan Nurul Izzah disiasat dan pegawai polis memang ada pergi ke pejabatnya,” kata Khalid yang kini berada di Mekah untuk menunaikan ibadat haji melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Sementara itu, dalam sebuah portal propembangkang, peguam Nurul Izzah, Latheefa Koya memberitahu, pihak polis telah mencari Ahli Parlimen Lembah Pantai itu di pejabatnya untuk soal siasat.

Walau bagaimanapun Latheefa mendakwa, Nurul Izzah ketika ini berada di Amerika Syarikat untuk urusan tertentu dan hanya akan pulang pada Isnin depan.

Laporan beberapa akhbar sebelum ini yang memetik butiran siasatan kes membabitkan Justo, termasuk penga­kuan bertulis yang dibuat atas ke­re­laan sendiri mendedahkan Nurul Izzah berminat membeli data mengenai 1MDB yang dicurinya pada tahun 2011.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/nurul-izzah-disiasat-ekoran-pengakuan-justo-1.137413#sthash.svmX8zSL.dpuf


Tuesday, 15 September 2015

PKR tidak perlu jaga hati Pas?

15 September 2015 1:31 AM


Azmin Ali


SHAH ALAM 14 Sept. – PKR seolah-olah merasakan mereka tidak perlu menjaga hati sekutunya, Pas apabila memandang mudah polisi untuk ti­dak menerima ahli daripada parti lain dalam pakatan pembangkang.

Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu tidak seharusnya diperbesar-besarkan asalkan semua parti dalam pakatan pembangkang mengamalkan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain.

"Tidak apalah. Kita hormat-menghormati antara satu sama lain," jawabnya ringkas ketika ditemui dalam majlis peletakan batu asas projek Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar diminta mengulas kekecewaan Dewan Pemuda Pas berhubung tindakan PKR mengkhianati polisi ti­dak menerima ahli daripada parti rakan seperti dipersetujui dalam pakatan pembangkang sebelum ini.

Semalam, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz memberitahu, tindakan berkenaan dilihat bercanggah dengan pendekatan pihaknya selama ini yang tidak menerima ahli-ahli dan wakil rakyat daripada PKR meskipun terdapat segelintir daripada mereka berminat untuk menyertai Pas sebelum ini.

Kelmarin, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan Ahli Parlimen Tumpat daripada Pas, Datuk Kamaruddin Jaffar dan bekas Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib me­nyertai parti berkenaan.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/pkr-tidak-perlu-jaga-hati-pas-1.136020#sthash.4dQdJKJr.dpuf

Thursday, 20 August 2015

Jiwa Paradox: SYABAS DAN TAHNIAH:AZMIN ALI DIUMUM SEBAGAI ANTARA...

Jiwa Paradox: SYABAS DAN TAHNIAH:AZMIN ALI DIUMUM SEBAGAI ANTARA...: INI DAH ADA PELURU... APA LAGI TUNGGU??? CEPAT-CEPAT KITA TEMBAK... BIAR RAKYAT TAU... SAPER DIA AZMIN A...

Putra Merdeka: 1MDB2..?

Putra Merdeka: 1MDB2..?: Makin gila pemimpin politik dalam negara ni..! Azmin ice cream pun sama menggila..! Around RM30 billion worth of assets previously ha...

Tuesday, 7 April 2015

Azmin tidak layak jadi negarawan - Khalid

07 April 2015 2:04 AM


SHAH ALAM 6 April – Bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menganggap penggantinya, Mo­hamed Azmin Ali tidak layak menjadi negarawan kerana masih bermain retorik dan sandiwara politik da­lam isu membabitkan rakyat.


Abdul Khalid berka­ta, sikap Mohamed Az­min itu dapat dilihat dalam isu pembatalan projek Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) baru-baru ini.

Menurutnya, keputusan tersebut ternyata tidak kena dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan khusus­nya dalam Jadual Ke­sembilan yang menetapkan bidang kuasa dan prerogatif bagi kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan sama ada di bawah senarai Persekutuan, negeri atau bersama.

“Berdasarkan jadual tersebut, amat jelas bahawa projek Kidex terletak di bawah bidang kuasa penuh Kerajaan Persekutuan memandang­kan perkara-perkara berkaitan komunikasi, pengangkutan serta kontrak di bawahnya termasuk dalam senarai Persekutuan.

“Hakikatnya, skop dan capaian bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dalam hal-ehwal berkepentingan awam sangat meluas dan hampir mutlak.

“Dalam pembangunan infra­struktur dan kemudahan awam, peranan kerajaan negeri tidak lebih daripada memberi nasihat dan tiada kuasa menolak projek Kerajaan Persekutuan. Malah, walaupun sebarang perkara berkaitan tanah di bawah senarai negeri, perancangan pembangunan bandar dan desa masih tertakluk di bawah senarai bersama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam masa sama, Abdul Khalid turut meragui serta berasa aneh dengan tindakan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor membatalkan projek lebuh raya tersebut kerana pembatalan itu tidak membabitkan langsung perjanjian yang ditandatangani antara syarikat konsesi dan Kerajaan Persekutuan pada 16 November 2013.

Selain itu, katanya, terdapat percanggahan hujah oleh kerajaan negeri yang mendakwa syarikat konsesi gagal mematuhi semua syarat ditetapkan dalam tempoh diberi sehingga 14 Februari lalu sedangkan syarikat konsesi dan Kerajaan Persekutuan mendakwa sebaliknya.

“Berpandukan krisis Kidex, kita tidak dapat menolak kemungkinan pelabur swasta akan berfikir berulang kali sebelum membuat keputusan melabur di Selangor khususnya dalam pembinaan infrastruktur pengangkutan awam,” ujar beliau lagi.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/azmin-tidak-layak-jadi-negarawan-khalid-1.78318#sthash.dYPz8zIr.dpuf


Thursday, 12 February 2015

TIBAI dibubar selepas Anwar dipenjara

Masa terbaik Azmin ambil alih kepemimpinan PKR

MOHD. ASRON MUSTAPHA | 12 Februari 2015 1:48 AM


MUHAMMAD Zahid Md. Arip (kanan) mengumumkan pembubaran pertubuhan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) setelah Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara lima tahun di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, semalam. – UTUSAN /Hafiz Johari

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Sekarang adalah waktu paling sesuai untuk Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali, melakukan gerakan politik bagi mengambil alih kepemimpinan parti itu daripada Presiden, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Zahid Md. Arip berkata, ketiadaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihukum penjara lima tahun atas kesalahan liwat kini membuka seluas peluang untuk Azmin meruntuhkan dinasti Ketua Pembangkang itu dalam PKR.

Katanya dalam politik, jika Azmin lambat menggunakan peluang yang terhidang itu, dibimbangi kebarangkalian untuk beliau mendaki puncak tertinggi PKR sebagaimana diimpinya, akan terhalang kerana sudah pasti kumpulan pro-Wan Azizah tidak akan berdiam diri.

“Sebagai seorang berkuasa di Selangor dan berjawatan Timbalan Presiden, saya galakkan supaya Azmin bertindak segera meruntuhkan dinasti Anwar dalam PKR kerana adalah tidak mustahil selepas ini, calon di Permatang Pauh juga ahli keluarga Anwar.

“Jika itu berlaku, semakin sukarlah untuk Azmin memenuhi impiannya menjadi Presiden PKR, sesuatu yang telah sekian lama menjadi idamannya tetapi terhalang kerana Anwar ada,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan pembubaran pertubuhan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu, berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan penjara lima tahun ke atas Anwar kerana meliwat.

Menurut Muhammad Zahid, beliau mendapat maklumat bahawa ramai dalam kalangan pemimpin PKR gembira dengan hukuman penjara yang dikenakan ke atas Anwar, walaupun terdapat segelintir daripada mereka cuba memperlihatkan rasa sedih dengan mengecam kerajaan.

“Ramai pemimpin dalam PKR ini, kesedihan yang mereka paparkan apabila Anwar dihukum penjara hanyalah lakonan kerana sebenarnya mereka gembira. Ini kerana setelah Anwar terpaksa meringkuk dalam penjara, gerakan politik mereka akan lebih berjaya,” katanya.

Mengenai pembubaran TIBAI pula beliau berkata, kewujudan pertubuhan itu tidak lagi relevan selepas Anwar dipenjarakan kerana objektif TIBAI ditubuhkan pada 22 April 2012 adalah bagi mendedahkan kepada rakyat siapa sebenarnya Ketua Pembangkang tersebut.

Bagaimanapun katanya, beliau dan bekas Ahli Majlis Syura TIBAI yang rata-rata merupakan bekas ahli dan penyokong kuat PKR ketika zaman reformasi akan terus berjuang menggunakan kapasiti peribadi, untuk menyedarkan rakyat mengenai keburukan pembangkang.

“Kami berpendapat tugas kami untuk menyedarkan rakyat mengenai siapa sebenarnya Anwar sudah selesai, walaupun tidak sebesar mana sumbangan itu tetapi jauh di sudut hati, kami semua berpuas hati dengan apa yang telah diperjuangkan selama ini,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/tibai-dibubar-selepas-anwar-dipenjara-1.58655#sthash.kWvkOzxx.dpuf


Friday, 16 January 2015

Sarang pelacuran: PKR Selangor lepas tangan?

16 Januari 2015 1:32 AM


EAN YONG HIAN WAH

SHAH ALAM 15 Jan. – Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor seolah-olah cuba melepaskan tanggungjawab berhubung kewujudan 2,067 sarang maksiat yang menawarkan khid­mat seks pelacur warga ­asing di negeri ini apabila menyerahkan sepenuhnya tugas memantau serta membendung kegiatan tidak sihat itu kepada polis.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baharu negeri, Ean Yong Hian Wah ketika ditanya status premis-premis terbabit ternya­ta gagal memberikan penjelasan.

Beliau juga tidak menjawab soalan sama ada lambakan sarang pelacuran terbabit berpunca daripada kelemahan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memastikan syarat-syarat lesen bagi pusat hiburan, spa dan rumah urut, hotel dan sebagainya dipatuhi.

Sebaliknya, beliau hanya me­nyatakan polis memainkan peranan utama dalam mencegah sebarang aktiviti maksiat dan jenayah selain melahirkan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membendungnya.

“Kerajaan negeri memandang serius isu ini (premis tawar khid­mat seks pelacur warga asing). Aktiviti haram ini merupakan jenayah dan pihak polis memainkan peranan utama untuk mencegahnya.

“Kita sudi bekerjasama dengan pihak polis. Jika polis ada maklumat, sila kongsi dengan kerajaan negeri dan kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat,” katanya kepada Utusan Malaysia menerusi aplikasi Whats­App, di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat mendedahkan terdapat 2,067 premis di seluruh negeri ini dikenal pasti sebagai sarang maksiat yang menawarkan khidmat seks pelacur warga asing.

Menurutnya, premis terbabit termasuk spa, rumah urut, hotel, karaoke, bar serta salun yang kini dalam pemantauan polis dan diperiksa secara berterusan bagi tujuan pembanterasan menerusi Ops Noda Khas yang digerakkan sejak 18 November tahun lalu.

Malah, Abdul Samah turut memaklumkan bahawa setakat ini pihaknya telah menjalankan 2,969 serbuan di bawah operasi tersebut selain melakukan tangkapan 1,781 individu membabitkan 1,363 wanita dan 124 lelaki warganegara asing serta 28 wanita dan 266 lelaki tempatan.

Dari segi pecahan jumlah tangkapan tersebut, Abdul Samah memberitahu, polis telah menahan wanita warga asing melibatkan 717 Vietnam , 299 Thailand, 162 China dan beberapa negara lain termasuk Indonesia, Laos, Bangladesh dan Kemboja.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/sarang-pelacuran-pkr-selangor-lepas-tangan-1.48411#sthash.39Ux40DI.dpuf


Wednesday, 7 January 2015

Isu MBI: Faekah sifatkan Azmin melampau

Minta pulangkan wang pampasan RM2.6 juta

ZULKIFLI SAINUDDIN | 07 Januari 2015 2:00 AM

SHAH ALAM 6 Jan. - Arahan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali supaya lapan bekas kakitangan Perbadanan Menteri Besar (MBI) memulangkan semula wang pampasan berjumlah RM2.6 juta yang diterima mereka selepas berhenti daripada perbadanan itu, disifatkan sebagai tindakan melampaui batas yang luar biasa.
FAEKAH HUSIN

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Husin berkata, pembayaran tersebut dilakukan selepas persetujuan antara pegawai-pegawai terlibat dengan pentadbiran terdahulu yang dicapai atas dasar kepercayaan dan sikap profesional semua pihak.

Menurutnya, pendekatan Skim Pelepasan Sepakat (MSS) diambil bagi memberi ruang secukupnya kepada pentadbiran baharu untuk meneruskan agenda dan corak pentadbiran tanpa terpaksa berhadapan dengan kumpulan warga kerja pasukan terdahulu.

“Meskipun ramai pegawai yang masih mempunyai baki tempoh perkhidmatan seperti dalam kontrak, pendekatan pertengahan telah diambil dan sejumlah potongan besar dipersetujui.

“Saya kesal persetujuan bersama ini telah dicemar dan dilanggar pentadbiran baharu dan kami dengan ini mencabar persetujuan tersebut,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Lapan bekas kakitangan MBI yang juga pembantu kepada bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini diarah memulangkan semula wang pampasan berjumlah RM2.6 juta yang diterima mereka selepas berhenti daripada perbadanan itu.

Mohamed Azmin berkata, pemulangan itu perlu kerana beberapa perkara didapati telah melanggar tatacara dan peraturan kewangan.

Faekah yang menerima surat arahan pemulangan pampasan itu hari ini menjelaskan, secara peribadi, beliau menafikan pembayaran wang melalui MSS dibuat secara salah dan tanpa mendapat kelulusan sebagaimana yang dinyatakan dalam surat tersebut.

Tegasnya, surat tuntutan berkenaan juga gagal menyatakan dengan jelas sebarang pelanggaran undang-undang dan tatacara kewangan serta salah laku yang telah dilakukan ketika pembayaran dibuat.

“Saya telah menerima surat tuntutan pemulangan keseluruhan wang yang diberikan oleh pengurusan MBI kepada saya sebelum pentadbiran baharu mengambil alih pucuk pimpinan kerajaan negeri.

“Memandangkan isu ini berkaitan undang-undang, maka kesemua penerima wang akan mengambil khidmat peguam bagi meneliti surat tuntutan tersebut dan mengambil langkah-langkah seterusnya,” ujarnya.

Selain itu, jelas Faekah, laporan audit yang kononnya menjadi asas tuntutan didakwanya satu laporan cacat, tidak dilakukan secara profesional dengan menurut tatacara pengauditan yang betul serta berniat jahat.

Beliau memberitahu, audit tersebut juga cacat apabila dijadikan dokumen awam tanpa mendapat penjelasan daripada pihak terlibat termasuk Abdul Khalid sendiri.

“Tindakan tidak profesional dengan memanipulasikan audit cacat tersebut telah mewujudkan prasangka yang dahsyat terhadap semua pihak yang terlibat dalam membuat keputusan termasuk para penerima pampasan.

“Justeru, saya telah mengarahkan peguam saya untuk melihat dari semua sudut undang-undang dan melakukan tuntutan balas yang tidak terbatas hanya kepada untuk mendapatkan keseluruhan jumlah sehingga tamat kontrak, gantirugi bagi pecah janji MMS dan kerosakan penghinaan yang kami alami,” tegasnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/isu-mbi-faekah-sifatkan-azmin-melampau-1.45365#sthash.Z2xIlsTr.dpuf


Monday, 29 December 2014

POLITIK : ‘Tidak ke Taiwan disyaki lompat parti’

27 Disember 2014 1:30 AM


Dr. Mohd. Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR 26 Dis. – Mahkamah Tinggi di sini diberitahu, ahli Parlimen (MP) Barisan Nasional (BN) yang tidak menyertai program Lawatan Sambil Belajar ke Taiwan anjuran Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) akan disyaki mahu melompat parti bagi membentuk kerajaan baharu pada 2008.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, program berkenaan diadakan beberapa hari sebelum 16 September 2008 bagi mengelak ahli Parlimen pembangkang menghubungi ahli Parlimen BN supaya melompat parti.

Beliau bagimanapun bersetuju dengan cadangan peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa MP Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Datuk Seri Anifah Aman (MP Kimanis), Khairy Jamaluddin (MP Rembau), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (MP Bagan Datoh), Tan Sri Shahrir Abdul Samad (MP Johor Bahru) dan Datuk Nur Jazlan Mohamed (MP Pulai) tidak mengikuti program itu.

“Keenam-enam ahli Parlimen itu tidak pernah disyaki akan melompat parti kerana suspek yang saya maksudkan ialah ahli BNBBC yang menjadi fokus kepada pihak pembangkang,” katanya Mohd Puad, yang merupakan Naib Pre­siden BNBBC ketika itu.


Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi defendan dalam perbicaraan kes saman RM100 juta dikemukakan Anwar terhadap Anifah, yang juga Menteri Luar berhubung kenyataan Anifah dalam sidang media di Washington pada Mei 2009.

Ketika ditanya Razlan adakah kesetiaan ahli BNBBC dipersoalkan jika mereka melompat parti, Mohd. Puad berkata: “Saya tidak mempersoalkan kesetiaan mereka tetapi mereka yang dipengaruhi oleh ahli parti pembangkang”.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan Razlan bahawa beliau dan ahli BNBBC boleh menolak tawaran daripada pihak pembangkang jika dipe­ngaruhi dan bahawa melompat parti bukan menjadi kesalahan undang-undang.


Mohd. Puad berkata, ketika berada di Taiwan beliau dihubungi bekas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Datuk Saifuddin Nasution, yang cuba memujuknya supaya meninggalkan BN dan menyertai parti pembangkang, namun pujukan itu tidak berjaya.

Katanya, beliau juga telah dihu­bungi oleh rakan Anwar iaitu Dr. Abdul Rahim Ghouse yang turut menyatakan hasrat untuk bertemu dengannya dan pertemuan itu turut dihadiri seorang lelaki bernama Azman Hussin.

Ketika disoal Razlan mengapa beliau bersetuju untuk berjumpa dengan Abdul Rahim dan Azman sedangkan telah menolak pelawaan Saifuddin untuk menyertai parti pembangkang, Mohd. Puad berkata: “Mereka (parti pembangkang) tidak akan berjaya sebab itu saya bersetuju untuk berjumpa dan saya percaya 16 September tidak akan berlaku”.


“Saya tahu mereka (parti pembangkang) terdesak dan sebab itu saya nak tengok apa yang Abdul Rahim dan Azman akan ceritakan kepada saya,” kata Mohd. Puad.

Anwar mengemukakan saman terhadap Anifah pada 27 Mei 2009 kerana mendakwa kenyataan anggota Parlimen Kimanis itu pada sidang media di Washington, pada 16 Mei 2009, yang turut dihadiri oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat yang ketika itu Hillary Clinton, telah mencemarkan nama baiknya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah S. Hassan Badjenid menetapkan 5 Januari ini untuk mendengar hujahan peguam yang mewakili Anifah, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengemukakan permohonan untuk meminda pernyataan pembelaan. - BERNAMA

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/8216-tidak-ke-taiwan-disyaki-lompat-parti-8217-1.41410#sthash.kNzBr6DS.dpuf


Tuesday, 23 December 2014

headbomb: hairan macai mulut puaka tak marah perihal ladang ...

headbomb: hairan macai mulut puaka tak marah perihal ladang ...: Ini dikatakan politik badigol sout, ohh sebab yang luluskan kerajaan pr, lokasinya pula kawasan orang melayu, alasan projek ini dari zaman B...

Wednesday, 3 December 2014

POLITIK : PAS gesa DAP henti tuntut jawatan Timbalan Speaker DUN Selangor : BAGI AJE JAWATAN MB...DAP NAK YANG TU..

SELASA, 2 DISEMBER 2014 @ 10:40 PM

SHAH ALAM: PAS Selangor mengingatkan sekutunya, DAP supaya menghentikan tuntutan mereka berhubung kerusi jawatan Timbalan Speaker II Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Timbalan Pesuruhjaya I PAS Selangor, Sallehen Mukhyi berkata buat masa ini, tiada keperluan bagi jawatan itu diwujudkan memandangkan jawatan tersebut telahpun diisi oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi dari PAS, Mohd Shafie Ngah.

"Saya tidak setuju supaya diadakan jawatan Timbalan Speaker II DUN (sebagaimana yang dituntut oleh DAP). Tidak ada keperluan jawatan itu diwujudkan.

"Ini sebab tugas Timbalan Speaker DUN hanya terhad semasa persidangan dewan sahaja," katanya yang juga ADUN Sabak ketika ditemui pemberita di lobi DUN Selangor di sini pada Selasa.

Beliau berkata tuntutan jawatan timbalan speaker akan mengundang pelbagai persepsi negatif dalam kalangan rakyat yang akan melihat Pakatan Rakyat seolah-olah gila jawatan.

Sallehen berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Setiausaha DAP Selangor, Ng Suee Lim semalam bahawa DAP wajar diberikan kerusi jawatan timbalan speaker DUN memandangkan parti itu menunjukkan kesetiaan penuh kepada PKR dan Pakatan Rakyat sewaktu krisis menteri besar kira-kira lima bulan lepas.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian IKS, Perdagangan dan Pengangkutan Selangor, Datuk Teng Chang Kim berkata peruntukan bagi rumah ibadat selain Islam di Selangor akan dinaikkan sekali ganda dari RM3 juta kepada RM6 juta mulai tahun depan.

Katanya, dengan peruntukan terbaru itu, rumah ibadat Kristian akan menerima peruntukan RM1 juta, Hindu dan Sikh RM2 juta manakala tokong Cina dan Buddha RM3 juta.

"Peruntukan ini akan digunakan bagi tujuan perayaan dan kelas agama selain menaik taraf bangunan rumah ibadat masing-masing," katanya yang menambah peruntukan itu disediakan menerusi Rang Undang-undang Perbekalan 2015. - BERNAMA


Timbalan Pesuruhjaya I PAS Selangor, Sallehen Mukhyi. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria


! BUJANG SENANG ! : Negara Bagaimana yang Zombie dan Rafizi Mahukan?

! BUJANG SENANG ! : Negara Bagaimana yang Zombie dan Rafizi Mahukan?: Apa yang para zombie dan Rafizi mahu jadikan Malaysia: 1.  Pendidikan percuma seperti Norway  - ( tetapi Norway mempunyai GST 25% ) 2.  ...

Friday, 28 November 2014

POLITIK : Anifah pernah 
ditawar RM100 juta

Jika setuju sertai pakatan pembangkang

SUWARNI MOKHTAR | 28 November 2014 1:58 AM


Anifah Aman

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini beliau pernah ditawarkan wang sebanyak RM100 juta sebagai dorongan untuk dirinya agar membawa masuk beberapa ahli Parlimen dari Sabah menyertai pakatan pembangkang.

Menurut Anifah, tawaran tersebut diterima daripada seorang tokoh korporat yang dikenali dengan nama Ishak Ismail di sebuah hotel terkemuka di ibu negara sekitar tahun 2008.

Walau bagaimanapun beliau tidak dapat mengingati sama ada tawaran berupa wang itu dibuat sebelum atau selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepadanya melalui telefon sekiranya bersetuju untuk ‘lompat parti’.

Menjawab mengenai perbualan telefonnya dengan Anwar sekitar Mei dan Jun 2008, Anifah telah menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak berminat untuk berpaling tadah daripada Barisan Nasional (BN).

Menteri itu turut menyatakan, beliau berkemungkinan ditawarkan kedudukan (jawatan Timbalan Perdana Menteri) ekoran ucapannya mengkritik kerajaan kerana kurang memberikan jawatan menteri kepada ahli-ahli Parlimen dari Sabah atau Sarawak selepas pilihan raya umum pada 2008.

“Anwar mengenali saya dan selepas apa yang saya nyatakan di Parlimen ketika itu, saya menjadi sasaran oleh Anwar untuk merealisasikan kerajaan 16 September beliau. Tambahan pula, terdapat beberapa orang ahli Parlimen dari Sabah yang akan mengikut saya sekiranya berbuat demikian,” katanya yang enggan mendedahkan nama ahli Parlimen yang rapat dengannya.

Anifah memberitahu, sebelum Anwar membuat panggilan menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepadanya, sudah terdapat beberapa usaha untuk menarik beberapa ahli Parlimen terutama dari Sabah dan Sarawak namun beliau dan beberapa lagi telah membuat ketetapan untuk tidak berpaling tadah.

Anifah atau nama sebenarnya, Anifa Aman @ Haniff Amman, 61, berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam, Razlan Hadri Zulkifli pada perbicaraan kes saman fitnah RM100 juta oleh Anwar selaku plaintif terhadapnya.

Ahli Parlimen Kimanis itu sepatutnya memberi keterangannya pada Selasa lalu namun ditangguhkan ke hari ini ekoran beliau tidak sihat akibat keracunan makanan dan konjunktivitis.

Anwar memfailkan saman pada 27 Mei 2009 kerana mendakwa Anifah memfitnahnya ketika sidang akhbar bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) ketika itu, Hillary Clinton semasa lawatan kerja ke negara tersebut.

Dalam saman tersebut, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa, Anifah dalam sidang akhbar itu menyatakan beliau pernah menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepadanya sebagai ‘umpan’ melompat parti selepas Pilihan Raya Umum 2008.

Terdahulu, ketika pemeriksaan utama oleh peguamnya, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, menteri terbabit memberitahu, beliau tidak menyimpan nombor telefon ahli perniagaan bernama Tony Vun mahupun Anwar.

Katanya, kali terakhir beliau bercakap dengan Anwar adalah sewaktu plaintif masih bersama UMNO dan BN serta memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Walau bagaimanapun, ketika menerima panggilan daripada Vun, beliau mengenali individu yang bercakap dengannya adalah Anwar.

“Saya sudah lama tidak berhubung dengan Vun dan tidak menyimpan nombor telefon bimbitnya. Namun, ketika sedang berjalan keluar dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), saya menerima panggilan telefon daripadanya (Vun). Saya cam suaranya dan ketika itu dia memberitahu saya ada seseorang hendak bercakap dengan saya.

“Selepas menunggu beberapa saat, terdengar suara orang memberi salam dan saya tahu itu adalah Anwar kerana itu merupakan caranya. Beliau kemudian memberitahu saya yang beliau mencari saya di Macau, China namun saya beritahu saya berada di ibu negara.

“Kami berbual kira-kira 10 minit dan dalam tempoh itu beliau berulang kali menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada saya. Namun sepanjang perbualan itu jugalah, saya menolak tawarannya dan memberitahu sangat tidak berminat dengan tawaran yang dibuat.

“Anwar turut meminta saya membawa beberapa lagi ahli Parlimen untuk bersama dengannya membentuk kerajaan 16 September dan mengatakan akan menjaga mereka yang setuju berbuat demikian,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah S. Hassan Badjenid bersambung esok.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/anifah-pernah-8232-ditawar-rm100-juta-1.30155#sthash.zFB4M53V.dpuf


Monday, 10 November 2014

LIWAT : Keputusan rayuan Anwar ditangguh tarikh lain

OLEH NORLIZAH ABAS, SUWARNI MOKHTAR, NAZMIL NASIRUDDIN DAN JUANI MUNIR ABU BAKAR (PENGARANG@UTUSAN.COM.MY) | 08 November 2014 2:37 AM


SAIFUL Bukhari


PUTRAJAYA 7 Nov. - Rayuan akhir Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlanjutan selama lapan hari bernoktah hari ini apabila Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh lain bagi keputusan sama ada membebaskan atau memenjarakan beliau atas kesalahan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria menangguhkan keputusan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak bagi membolehkan panel bersidang meneliti penghujahan panjang lebar yang dikemukakan oleh pihak pembelaan dan pendakwaan.

Beliau menyatakan, mahkamah memerlukan masa bagi meneliti isu-isu yang dibangkitkan yang terkandung dalam sejumlah 14 dokumen penghujahan bertulis serta ikatan nas undang-undang sebelum membuat keputusan muktamad terhadap rayuan Ketua Pembangkang tersebut.

Sehubungan itu, jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin yang dikenakan terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dikekalkan sementara menunggu keputusan rayuan tersebut.

Hakim Arifin bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Sebaik sahaja mahkamah selesai bersidang selama kira-kira 40 minit, kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan dilihat berjabat tangan sesama sendiri sementara Anwar bergegas memeluk para peguamnya sambil meluahkan penghargaan kepada mereka.

Mahkamah penuh sesak dengan ahli keluarga, para penyokongnya, petugas media serta orang awam sejak hari pertama panel itu bersidang sehingga ditangguhkan.

Penghujahan yang bermula pada 28 Oktober lalu dan berlarutan sehingga lapan hari disifatkan sebagai rayuan terpanjang bagi kes jenayah yang didengar oleh mahkamah tertinggi negara.

Rayuan itu yang sepatutnya berlangsung selama dua hari dilanjutkan hingga hari ini disebabkan pelbagai isu yang ditimbulkan oleh peguam bela Anwar diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Selain beliau, peguam-peguam yang turut mengemukakan hujah ialah Ramkarpal Singh, N. Surendran, Sangeet Kaur Deo dan Gobind Singh Deo manakala pihak pendakwaan diketuai oleh Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.

Pada prosiding hari ini, Sri Ram menggulung hujah dengan menyatakan, mahkamah wajar membebaskan Anwar dan memaafkannya dengan mengambil kira isu konspirasi politik terancang yang dibangkitkannya dalam pembelaan.

Beliau menghujahkan, panel itu harus memberi pertimbangan bahawa Anwar pernah didakwa, disabitkan atas kesalahan serupa sebelum dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan lain dengan keputusan majoriti 2-1 pada 2 September 2004.

Hujah Sri Ram, anak guamnya kemudian ditahan, didakwa atas tuduhan serupa dan disabitkan oleh Mahkamah Rayuan yang berpuas hati bahawa Mohd. Saiful Bukhari merupakan saksi yang boleh dipercayai sedangkan dakwanya, keterangan saksi itu sangat goyah dan mempunyai banyak pertikaian.

Beliau menghujahkan, Mah­kamah Rayuan terkhilaf kerana menolak keterangan saksi-saksi yang lebih berwibawa termasuk Dr. Mohamed Osman Abdul Hamid yang mula-mula memeriksa mangsa dan tidak menemukan sebarang kemasukan zakar dalam duburnya.

Hujah beliau, Mahkamah Rayuan juga tersalah arah dari segi undang-undang kerana gagal mempertimbangkan bahawa Mohd. Saiful Bukhari merupakan saksi yang mempunyai motif dan berkepentingan berikutan dakwaan liwat terhadap Anwar.

Sebaik sahaja Sri Ram selesai berhujah, Muhammad Shafee bangun memohon kebenaran mahkamah untuk berhujah lanjut berhubung isu `kerelaan’ yang mengaitkan Mohd. Saiful Bukhari dengan pertuduhan terhadap Anwar.

Bagaimanapun, panel bersidang memaklumkan bahawa beliau tidak perlu berhujah lanjut kerana mereka boleh membaca dokumen bertulis dan nas undang-undang yang dikemukakan.

Hakim Arifin menyatakan, permohonan itu hanya dibenarkan jika penghujahan melibatkan isu baharu kerana jika tidak, prosiding rayuan itu tidak akan ada penyudahnya.

Mahkamah sedang mendengar rayuan akhir Ahli Parlimen Permatang Pauh itu terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya pada 2008 yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu.

Penghakiman itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012 yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan tersebut.

Anwar, 67, disabit bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/keputusan-rayuan-anwar-ditangguh-tarikh-lain-1.22174#sthash.hUbiQXnD.dpuf


LIWAT : Kes Anwar: Majlis Peguam, Suhakam amal dwi standard

OLEH KAMIL MASLIH (PENGARANG@UTUSAN.COM.MY) | 06 November 2014 2:20 AM


RUSLAN KASSIM

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) tidak sewajarnya bersikap ‘memilih bulu’ dengan membiarkan sahaja para penyokong Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar sistem undang-undang dan menggunakan demonstrasi jalan raya untuk mempertahankan Ketua Pembangkang itu.

Kedua-dua institusi tersebut perlu sedar bahawa bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan juga mempunyai hak untuk mendapatkan keadilan daripada sistem undang-undang di Malaysia tanpa dipengaruhi ugutan demonstrasi para penyokong Ketua Pembangkang itu serta provokasi terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipertanggungjawab menjaga keselamatan mahkamah.

Peguam Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, Majlis Peguam sewajarnya ke hadapan bagi mempertahankan institusi undang-undang di negara ini dan mengecam tidak kira pihak mana pun yang membuat kenyataan menghina dan mengugut mahkamah.

“Sikap dwi standard dan berdiam diri terhadap tindakan pakatan pembangkang ini sangat jelas, saya melihat Majlis Peguam gagal memberi mesej yang betul kepada rakyat mengenai proses keadilan di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perbicaraan kes liwat Anwar dicemari dengan pelbagai provokasi penyokongnya yang cuba merempuh ke Istana Kehakiman, Putrajaya dan terbaru, beberapa pemimpin pembangkang didapati menghina mahkamah selain mengugut menga-dakan perhimpunan besar-besaran di Dataran Merdeka sekiranya Anwar didapati bersalah dalam kes liwat itu.

Menurut Khairul Azam, sikap dwi standard Majlis Peguam juga amat ketara apabila sanggup mengetepikan resolusinya mela-rang bekas hakim dilantik mewaki-li mana-mana pihak di mahkamah dan memilih berdiam diri sahaja mengenai pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram mewakili Anwar.

“Kita juga masih ingat betapa pantasnya Majlis Peguam mengecam tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menya-man portal Malaysiakini atas kononnya menyekat kebebasan media tetapi mereka membiarkan sahaja pemimpin-pemimpin pembangkang menyaman media arus perdana yang lain,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Negeri Sembilan, Ruslan Kasim berkata, kedua-dua pihak Majlis Peguam dan Suhakam perlu bertindak proaktif bagi mengutuk tindakan penyokong Anwar mencetuskan provokasi di Istana Kehakiman kerana dikhuatiri menjejaskan proses keadilan dilaksanakan.

“Kalau keadilan hanya untuk Anwar bagaimana pula keadilan untuk Mohd. Saiful, keadilan perlu diletakkan di tempatnya. Majlis Peguam dan Suhakam tidak boleh berdiam diri sahaja apabila pelbagai provokasi dilakukan penyokong Anwar sehingga mencabar pihak polis di Istana Kehakiman,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Presiden Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong, sikap berdiam diri Suhakam terhadap kes Mohd. Saiful terlalu ketara seolah-olah kes tersebut tidak berprofil tinggi dan tidak melibatkan isu-isu hak asasi manusia.

“Siapa yang benar, siapa yang salah, itu terpulang kepada mahkamah tetapi Suhakam juga perlu tonjol ke hadapan supaya kes ini tidak dilihat berat sebelah dan mereka juga perlu mengeluarkan pendirian mengutuk mana-mana pihak yang mencetuskan provokasi serta cuba mengganggu proses mahkamah,” katanya.

Jelas beliau, sekiranya kes mendiang Teoh Beng Hock boleh diberikan perhatian oleh Suhakam, kes antara Anwar dengan Mohd. Saiful itu juga perlu diberikan tumpuan sewajarnya agar keadilan dapat ditegakkan dan tidak dicemari penyokong pembangkang yang hanya mahu melakukan demonstrasi.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/kes-anwar-majlis-peguam-suhakam-amal-dwi-standard-1.21317#sthash.iCvoekBb.dpuf