Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label Negara Jiran. Show all posts
Showing posts with label Negara Jiran. Show all posts

Wednesday, 26 August 2015

Pilihan raya umum Singapura 11 September

Parlimen dibubar bagi dapatkan mandat baharu

26 Ogos 2015 1:23 AM


Lee Hsien Loong

SINGAPURA 25 Ogos - Presiden Singapura, Tony Tan Keng Yam hari ini membubarkan Parlimen, membolehkan pilihan raya umum diadakan ketika Perdana Menteri, Lee Hsien Loong cuba mendapatkan mandat baharu daripada pengundi yang bimbang berhubung isu imigrasi dan kos sara hidup dalam ekonomi yang lembap.

Susulan pembubaran itu, Presiden mengeluarkan Writ Pilihan Raya yang menetapkan hari pencalonan pada 1 September dan tarikh pilihan raya ditetapkan pada 11 September ini.

Pilihan raya ini merupakan yang pertama buat Hsien Loong tanpa bapanya, Lee Kuan Yew yang meninggal dunia pada Mac lalu.

“Saya mahu pilihan raya ini diadakan bagi mendapatkan mandat baharu untuk membawa Singapura ke arah yang lebih baik pada masa hadapan.

“Anda akan menentukan siapa yang bakal memerintah Singapura bagi tempoh lima tahun lagi. Selain itu, anda juga perlu memilih ‘pasukan’ yang akan bekerja dengan anda untuk tempoh 15-20 tahun seterusnya, seterusnya menentukan hala tuju Singapura,” katanya di laman Facebook beliau sejurus writ berkenaan dikeluarkan.

Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang mentadbir Singapura lebih 50 tahun dengan pelbagai kawalan ketat politik dan pembangunan ekonomi, dijangka mempertahankan majoriti 89 kerusi Parlimen berikutan perpecahan dalam parti pembangkang.

Bagaimanapun, PAP akan menghadapi tekanan untuk memperbaiki keputusan Pilihan Raya Umum 2011 yang teruk apabila memperoleh hanya 60 peratus undi walaupun mempertahankan 89 kerusi berkenaan.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pilihan-raya-umum-singapura-11-september-1.128573#sthash.yWmvxmKX.dpuf

Wednesday, 12 August 2015

TLDM, TNI tubuh pasukan atur cepat cegah lanun

12 Ogos 2015 1:26 AM


ABDUL AZIZ JAAFAR (dua dari kanan) memberi tepukan tahniah kepada Dr. Nor Aieni Mokhtar, yang turut bersama ialah suaminya Prof. Dr. Mohamed Amin Alias, (dua dari kiri) dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kehormat PSSTLDM di Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur, semalam. Utusan/MD.SHAHJEHAN MAAMIN

KUALA LUMPUR 11 Ogos – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menjalinkan kerjasama dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI) dengan menubuhkan tim pasukan atur cepat di kawasan perairan kedua-dua negara bagi mengekang ancaman lanun.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, pasukan tersebut yang dianggotai pasukan khas kedua-dua negara iaitu Pasukan Khas Laut (Paskal) dan Detasmen Jala Mengkara (Denjaka) TNI-AL turut dibantu dua buah helikopter bagi memberi sokongan jika keadaan memerlukan.

Katanya, antara lokasi yang telah dikenal pasti untuk menempatkan pasukan tersebut termasuklah di perairan Tanjung Pengelih, Johor dan Tanjung Pinang, Indonesia.

“Setiap pasukan yang kita tempatkan terdiri daripada dua tim yang mempunyai kekuatan 14 anggota pasukan khas dan kita akan bersama-sama bertindak terhadap setiap laporan yang diterima.

“Dalam operasi seterusnya, bidang penguatkuasaan adalah tugas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).Tetapi, apabila kapal dirampas, kami (TLDM) akan bertindak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pemakaian Pangkat Kepten (Kehormat) Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) kepada Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Panglima TLDM, Laksamana Madya Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Dalam pada itu, Abdul Aziz turut menyarankan setiap kapal yang beroperasi di perairan Malaysia mempunyai pelan tindak kecemasan bagi melaporkan sebarang kejadian dengan pantas kepada pihak yang berkuasa.

“Syarikat kapal perlu pastikan keselamatan kapal dan anak kapal dalam keadaan bersiap sedia. Jika ambil mudah dan leka, musuh dengan mudah dapat menawan kapal pada bila-bila masa,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tldm-tni-tubuh-pasukan-atur-cepat-cegah-lanun-1.123336#sthash.ldqdSXnX.dpuf


Tuesday, 30 June 2015

1MDB : PDRM hantar permohonan untuk soal siasat Justo

30 Jun 2015 1:36 AM



Khalid Abu Bakar (empat dari kiri) melihat bungkusan kuih raya yang akan diagihkan kepada pegawai dan anggota polis yang bertugas ketika lebaran pada Majlis Penyerahan Bungkusan Kuih Raya PDRM 2015 di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Noor Rashid Ibrahim (empat dari kanan). UTUSAN/Farid Janudin

KUALA LUMPUR 29 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat permohonan kepada Polis Diraja Thailand (RTP) untuk menyoal siasat bekas eksekutif kanan PetroSaudi International Ltd. (Pe­troSaudi), Xavier Andre Justo, 49, yang ditahan di negara itu, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, permohonan itu dilakukan sebelum suspek yang dikaitkan dengan kebo­coran maklumat IMDB itu dihukum mengikut undang-undang negara tersebut.

“PDRM menunggu apa sahaja hasil siasatan yang diperoleh polis Thailand. Namun begitu, kita turut membuat permohonan untuk menemu bual Justo di Thailand,” katanya dalam sidang akhbar, di Bukit Aman di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, PDRM juga akan melakukan perbincangan dengan polis Thailand berhubung penahanan bekas eksekutif kanan itu sejurus wakil RTP tiba dalam satu lawatan rasmi di Bukit Aman pada 2 Julai ini.

“Ketua Polis Thailand akan berada di sini pada minggu ini dan saya akan berbincang untuk mendapatkan langkah-langkah yang akan diambil selepas ini,” katanya.

Ditanya tentang jumlah mangsa rakyat tempatan yang telah diperas ugut oleh Xavier Justo, Khalid enggan menjawab bagi menghormati siasatan yang dilakukan pihak berkuasa negara jiran.

Malah beliau juga memberitahu, senarai nama individu yang dikaitkan dengan kebocoran maklumat IMDB juga belum dihantar ke Thailand untuk membantu siasatan.

Xavier Justo ditahan sepasukan anggota Jabatan Pembanterasan Jenayah (CSD), Polis Diraja Thailand (CSD) di sebuah rumah mewah di Ban Bang Makham, Tambon Angthong di pulau peranginan terkenal Koh Samui, Surathani pada 22 Jun lalu.

Penahanan warga Switzerland itu dibuat selepas PetroSaudi membuat laporan rasmi terhadap kegiatan peras ugut yang membabitkan wang 2.5 juta Swiss Francs (RM10 juta).

Xavier Justo dikatakan pernah menandatangani satu kontrak de­ngan syarikat itu agar tidak membocorkan maklumat sulit selain dibayar pampasan berjumlah le­bih RM15 juta semasa dipecat kira-kira dua tahun lalu.

Berdasarkan siasatan, polis mendapati Xavier Justo berdendam dengan bekas majikannya. Ini ke­rana selepas tidak mendapat wang yang diminta berjumlah RM10 juta daripada PetroSaudi, dia telah membocorkan maklumat termasuk menokok tambah sebahagian maklumat kepada syarikat pesaing dan pihak lain melalui e-mel.

Sementara itu, dalam majlis penyerahan bungkusan kuih raya, Khalid berkata, sebanyak 4,500 bungkusan akan diagihkan kepada pegawai dan anggota yang ber­khidmat pada hari lebaran nanti.

Yang turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis, Puan Sri Imran Ibrahim dan timbalannya, Datin Seri Shahriza Saad @ Mansor.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/pdrm-hantar-permohonan-untuk-soal-siasat-justo-1.108942#sthash.kDzUHKPn.dpuf

Tuesday, 19 May 2015

Thursday, 7 May 2015

Wednesday, 6 May 2015

Tuesday, 28 April 2015

Tuesday, 21 April 2015

APANAMA: Malaysia masyhur di mata dunia

APANAMA: Malaysia masyhur di mata dunia: Baru menerima gambar serta petikan artikel majalah Tempo dari rakan wartawan di Jakarta.  Yang diterima ialah petikan dari...

Monday, 20 April 2015

Tuesday, 30 September 2014

Aceh lulus rang undang-undang baharu hukum pelaku homoseksual


GAMBAR fail tidak bertarikh ini memaparkan seorang lelaki dijatuhi hukuman sebatan selepas melanggari undang-undang syariah di Aceh. - AGENSI

BANDA ACHEH 27 Sept. - Aceh hari ini meluluskan rang undang-undang membenarkan hukuman sebatan sebanyak 100 kali dikenakan ke atas pesalah homoseksual, ketika kumpulan hak asasi manusia menyifatkan keputusan berkenaan sebagai 'satu langkah ke belakang’.

Anggota Parlimen Aceh yang memulakan perbincangan mengenai rang undang-undang berkenaan sejak malam tadi, secara sebulat suara bersetuju untuk meluluskannya.

Undang-undang terbabit menggariskan perbuatan liwat antara lelaki dan ‘persentuhan badan antara wanita untuk rangsangan seks’ merupakan satu kesalahan dan bakal berhadapan dengan hukuman sebatan.

Hukuman itu bukan sahaja dikenakan ke atas penduduk Islam di Aceh tetapi membabitkan penduduk bukan Islam sama ada orang tempatan atau pun warganegara asing.

Perbuatan homoseksual bukan merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang Indonesia yang sehingga kini masih berpandukan kepada Akta Jenayah Belanda, negara yang pernah menjajah negara ini.

Aceh merupakan satu-satunya wilayah di negara ini dibenarkan untuk menguatkuasakan undang-undang Syariah.

Wilayah autonomi itu sebelum ini melaksanakan hukuman sebatan ke atas pesalah judi, minum arak dan zina.

Sementara itu, Pengarah Amnesty International Asia-Pasifik, Richard Bennett menggesa supaya undang-undang berkenaan dimansuhkan segera demi menjaga hak asasi manusia.

"Perkara ini mewujudkan iklim homophobia, ketakutan dan gangguan kepada ramai penduduk di Aceh," jelas Bennett. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140928/lu_04/Aceh-lulus-rang-undang-undang-baharu-hukum-pelaku-homoseksual#ixzz3ElAhm9Y5  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Tuesday, 23 September 2014

Militan ISIS ancam pantai timur Sabah


Hishammuddin Tun Hussein bersama John Ambrose dan ahli UMNO Penampang bergambar kenangan ketika hadir merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Penampang di Kota Kinabalu, Sabah, semalam.

KOTA KINABALU 21 Sept. - Bukan mahu menakutkan rakyat negeri ini namun maklumat daripada sumber risikan negara mendapati terdapat kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) yang cuba mengubah landskap ancaman serta skop keselamatan di pantai timur negeri ini.

Ia didedahkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang turut menyatakan, kumpulan militan dari wilayah selatan Filipina, Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF) dan Abu Sayyaf secara terbuka telah membuat kenyataan menyokong perjuangan ISIS.

Selain itu, katanya, usaha berterusan bekas Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari yang tetap bertegas mahu menubuhkan kerajaan Islam di wilayah selatan Filipina serta melakukan tuntutan terhadap Sabah turut dipengaruhi dengan model ISIS.

Jelasnya, semua ancaman berkenaan lebih besar berbanding isu penyeludupan dan penculikan yang berlaku di pantai timur Sabah, malah risikan mendapati kumpulan Abu Sayyaf disyaki melatih individu tertentu bagi dihantar ke Syria untuk berjuang bersama ISIS.

"Namun masih terdapat individu daripada parti pembangkang yang masih melaungkan usaha untuk membawa keluar Sabah dari Malaysia hanya kerana sentimen politik sempit dan ghairah merebut kuasa.

"Ada had batasan untuk kita berpolitik, jangan sampai menggadaikan hak dan masa hadapan anak bangsa. Pihak pembangkang jangan tunjuk pandai untuk bercakap hal perjuangan mempertahankan negara kerana di manakah mereka semasa kejadian di Lahad Datu?

"Batang hidung mereka pun tidak nampak malah sanggup menyatakan kejadian serangan pihak pengganas sebagai sandiwara," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau sebelum itu merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Penampang dan mengadakan pertemuan khas dengan suami salah seorang mangsa nahas MH17 yang merupakan jurutera kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Leftenan Komander Ir. Lee Vee Weng.

Yang hadir sama timbalannya, Datuk Abdul Rahim Bakri; Ketua UMNO Bahagian Penampang, Datuk John Ambrose dan wakil Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Wetroom Bahanda yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, setakat ini, 19 rakyat Malaysia telah ditahan sejak April lalu kerana disyaki terlibat dengan ISIS termasuk dua individu yang ditahan di Sandakan.

Katanya, kesemua yang ditahan itu disyaki direkrut oleh empat sel militan iaitu Khaed Al Waled, Bridged Al Jemaah, Daulah Islamiyah dan Arakan Daulah Islamiyah Arakan sebelum dihantar ke Syria.

Selain itu, kata beliau, pihak berkuasa negara turut memburu lima lagi militan yang kini disyaki bersembunyi di selatan Filipina manakala seramai 56 warganegara Indonesia telah dikesan terlibat dalam ISIS.

Jelasnya, individu yang berjaya pulang ke Malaysia, selatan Filipina dan Indonesia setelah berjuang di Syria serta Iraq akan mengembangkan model ISIS bagi diaplikasi di rantau ini termasuk di Sabah.

"Kumpulan itu dijangka bergabung dan menubuhkan kumpulan jihad baharu bagi menegakkan negara Islam melalui perjuangan bersenjata.

"Kerajaan memandang serius ancaman ISIS ini dan sedang mengambil langkah perlu bagi mengekang kegiatan kumpulan militan ini daripada menular ke negara ini khususnya di Sabah," tegasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140922/dn_02/Militan-ISIS-ancam-pantai-timur-Sabah#ixzz3E5q2cyxh  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Wednesday, 23 July 2014

Jokowi sah Presiden baharu Indonesia

Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA
saharudin@utusan.com.my

JOKO Widodo

JAKARTA 22 Julai - Suruhanjaya Pemilihan Umum (KPU) mengumumkan pasangan Joko Widodo (Jokowi) dan Jusuf Kalla secara rasmi memenangi Pemilihan Umum Presiden (Pilpres) Indonesia 2014 dengan menerima undian sebanyak 53.15 peratus.

Keputusan itu adalah hasil kiraan akhir yang diumumkan pada pukul 5.15 petang, hari ini merangkumi kesemua kertas undi di 33 wilayah di seluruh Indonesia.

Daripada jumlah tersebut, Jokowi-Jusuf memperolehi 70.6 juta undian berbanding pasangan lawan Prabowo Subianto-Hatta Rajasa mendapat 62.2 juta undian atau 46.85 peratus.

Perbezaan undi antara kedua-dua pasangan itu ialah sebanyak 8.37 juta sementara jumlah kertas undi yang sah mengundi pada Pilpres 2014 yang berlangsung pada 9 Julai lalu ialah lebih 132.8 juta undi.

Sementara itu, Prabowo dan Hatta membuat kejutan menolak keputusan Pilpres 2014, tidak sampai dua jam sebelum keputusan rasmi diumumkan oleh KPU Indonesia, hari ini.

Jusuf Kalla

Prabowo yang juga pemimpin Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) mendakwa beliau dan pasangannya menolak keputusan itu kerana berlaku banyak penipuan pada hari pengundian.

Menurut Prabowo, beliau menyifatkan perjalanan Pilpres 2014 bertentangan dengan aturan undang-undang serta tidak demokratik.

Berikutan penolakan tersebut, saksi pasukan Prabowo-Hatta yang sedang meneliti proses kiraan akhir keputusan Pilpres 2014 di ibu pejabat KPU diarahkan meninggalkan sidang pleno serta-merta.

Keputusan mengejutkan itu diumumkan Prabowo di hadapan penyokong-penyokongnya serta dihadiri pemimpin-pemimpin pelbagai parti politik yang menyertai kerjasama dengan Gerindra pada Pilpres 2014.

Prabowo juga meluahkan kekecewaannya terhadap KPU penyenggara Pilpres 2014 yang disifatkan beliau sebagai tidak jujur, tidak adil, tidak terbuka serta mengabaikan laporan kecurangan Pilpres.

"Kami tidak bersedia mengorbankan mandat yang telah diberikan oleh rakyat dipermainkan dan diselewengkan. Kami, Prabowo-Hatta siap menang dan siap kalah dengan cara yang demokratis dan terhormat.

"Untuk itu, kepada seluruh rakyat Indonesia yang telah memilih, kami minta tetap bertenang kerana kami tidak akan diam. Hak demokrasi kita dicederai dan dirampas," kata Prabowo yang ditemani Ketua Umum Parti Golkar, Aburizal Bakrie, Ketua Umum Parti Pembangunan Persatuan, Suryadharma Ali dan pemimpin-pemimpin lain.

Kubu Prabowo-Hatta juga menolak apa sahaja keputusan Pilpres 2014 yang akan diumumkan KPU. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140723/lu_06/Jokowi-sah-Presiden-baharu-Indonesia#ixzz38GwZpxT4  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Thursday, 17 July 2014

Perintah berkurung 4 daerah di Sabah

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my



KUALA LUMPUR 16 Julai - Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan perintah berkurung pada waktu-waktu tertentu di Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Sandakan bagi melindungi dan mengukuhkan tahap keselamatan kawasan Pantai Timur Sabah.

Perintah berkurung itu adalah antara tujuh langkah drastik yang akan dilaksanakan kerajaan dalam tempoh 48 jam ini.

Sehubungan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihak yang tidak mematuhi arahan perintah berkurung akan ditangkap mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.

"Perintah berkurung ini dilakukan selari dengan langkah mewujudkan laluan yang telah ditetapkan. Ia akan dilaksanakan dengan secepat mungkin," katanya selepas mesyuarat keselamatan Sabah bersama beberapa kementerian dan agensi kerajaan yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, di Bukit Aman hari ini.

Hadir sama dalam sidang akhbar itu ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohamad Khalid Shariff; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Datuk Mohd. Amdan Kurish.

Sementara itu, Abdul Aziz ketika ditemui pemberita, mengesahkan lima kapal TLDM akan berada di perairan Pantai Timur Sabah untuk mengawal keselamatan di situ.

Katanya, dalam tempoh 48 jam ini, kesemua aset dan keanggotaan berada di situ untuk mengukuhkan lagi tahap keselamatan daripada sebarang ancaman anasir-anasir luar.

"KD Bunga Emas 5 kini berada di Kota Kinabalu dan dalam perjalanan ke satu kawasan yang telah ditetapkan. Selain itu KD Lekiu, kapal superlink akan turut berada di sana," katanya.

Difahamkan, KD Bunga Emas 5 akan menjadi markas utama yang akan menempatkan penguat kuasa dari pelbagai agensi yang bertugas di Pantai Timur Sabah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140717/je_03/Perintah-berkurung-4-daerah-di-Sabah#ixzz37i8yn6Hj  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Friday, 13 June 2014

Agihan terus ikut kelayakan - PEMBAYAR CUKAI LEBIH LAYAK

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my




KUALA LUMPUR 12 Jun - Pemberian diesel dan petrol bersubsidi secara terus kepada rakyat mengikut kelayakan adalah langkah terbaik untuk memastikan tidak berlaku ketirisan dan menghalang warga asing daripada turut menerima manfaat tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar (gambar) berkata, langkah tersebut dapat membendung bahan api itu daripada terus dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu yang mengaut keuntungan dengan menjualnya di pasaran gelap.

Menurut beliau, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM136.6 bilion dana untuk membekalkan bahan bakar tersebut sejak 2000 justeru jumlah itu boleh dikurangkan jika sistem baharu agihan diesel dan petrol diperkenalkan.

"Pada 2006 kerajaan membelanjakan sebanyak RM7.3 bilion dan meningkat kepada RM23.5 bilion pada 2014 untuk membekalkan bahan api bersubsidi.

"Bagaimanapun, bekalan yang sepatutnya untuk rakyat Malaysia turut dinikmati warga asing malah isunya sekarang adalah penyeludupan yang berleluasa sehingga di jual ke luar negara," katanya ketika menjadi ahli panel pada program dialog 21st Nation Building Series ‘Revisiting The New Economic Model’ di sini, malam tadi.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan desakan pelbagai pihak supaya kerajaan memperkenalkan langkah baharu agihan bahan api selepas pendedahan bahawa daripada sejumlah 8.5 bilion liter diesel subsidi yang diguna pakai oleh kenderaan komersial, 3.5 bilion liter telah disalahgunakan akibat aktiviti penyeludupan dan kegiatan mengaut untung keterlaluan termasuk melalui ‘cara gelap’.

Persoalan timbul tentang bagaimana ini boleh berlaku dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini sehingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM1.2 bilion akibat sindiket penyeludupan petrol dan diesel subsidi.

Menjelaskan langkah yang akan diambil kerajaan, Abdul Wahid berkata, agihan bahan api secara umum sudah tidak relevan justeru pendekatan langsung adalah yang terbaik untuk memberi keadilan kepada rakyat Malaysia.

"Kita boleh melantik lebih ramai anggota penguatkuasaan tetapi tidak akan berjaya menyelesaikan masalah ini secara total justeru kerajaan akan mengeluarkan langkah baharu yang lebih relevan selepas ini.

"Penyeludup akan sentiasa mengambil kesempatan dalam apa juga cara maka kita perlukan satu penyelesaian secara menyeluruh yang lebih berkesan iaitu pendekatan terus," tegas beliau.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140613/dn_13/Agihan-terus-ikut-kelayakan#ixzz34TVTgvIi  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Tuesday, 15 April 2014

Kerjasama keselamatan ASEAN

NAJIB Tun Razak mengiringi Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah (tengah) melihat Pelancar Peluru Berpandu Anti Pesawat RBS70NG dalam Pameran Pertahanan dan Sekuriti 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Hishammuddin Tun Hussien (kanan). - UTUSAN/MOHD . FARIZWAN HASBULLAH

KUALA LUMPUR 14 April - Kerjasama serantau untuk memperkukuhkan ASEAN dan hubungan lebih erat dengan negara-negara lain di dunia perlu sebagai persediaan menghadapi pelbagai cabaran kese­lamatan pada masa akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peningkatan pengaruh global di Asia termasuk Asia Tenggara datang bersama peluang dan juga risiko.

Menurut beliau, negara-negara ASEAN boleh memilih untuk beker­jasama bagi meraih manfaat hasil daripada kestabilan dan bukannya menanggung kesan akibat konflik.

“Kita mesti meneruskan usaha generasi terdahulu iaitu memperkukuhkan ASEAN, ekonomi se­rantau, kumpulan sosial dan keselamatan yang memberikan setiap negara anggota kekuatan kolektif jauh melebihi keupayaan individu.

“Sebagai salah sebuah negara pengasas, dasar luar Malaysia tanpa ASEAN adalah sukar difahami. Kami percaya kekuatan dan kejayaan ASEAN bukan sahaja perlu dari segi ekonomi, malah dari segi kepentingan strategik," katanya ketika berucap merasmikan Forum Putrajaya 2014 di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Forum berkenaan dianjurkan sem­pena pameran Perkhidmatan Per­tahanan Asia (DSA) 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini mulai hari ini sehingga 17 April ini.

Najib seterusnya mengiringi Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah melawat pameran DSA 2014 dan menyaksikan demonstrasi ketenteraan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Perdana Menteri memberitahu, Malaysia sedang dalam proses membuat persiapan untuk mempengerusikan ASEAN tahun depan dan juga bidaan untuk menganggotai Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau menjelaskan, pada masa sama Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai fasilitator dalam menangani konflik-konflik dalaman apabila diperlukan.

“Terdapat beberapa contoh positif dalam menangani situasi sedemikian. Pertikaian antara Malaysia dan Indonesia berhubung Pulau Sipadan dan Ligitan telah diselesaikan secara baik di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

“Selain itu, pertikaian antara Malaysia dan Singapura tentang Pedra Branca (Pulau Batu Putih) turut diselesaikan menerusi kaedah yang sama sekali gus membuktikan diplomasi serta pematuhan undang-undang antarabangsa mesti diutamakan," ujarnya.

Najib menambah, ASEAN juga membuka ruang untuk penyelesaian konflik dan usaha itu berjaya mengurangkan ancaman keselamatan di rantau berkenaan.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut melahirkan penghargaan kepada Presiden Filipina, Benigno Aquino III dan pihak berkuasa negara itu di atas bantuan yang diberikan kepada Malaysia ketika menghadapi krisis Lahad Datu tahun lalu.

“Dengan sukacitanya saya memaklumkan kita telah membalas jasa Filipina itu dan menunjukkan komitmen kita terhadap kedamaian berkekalan di rantau ASEAN menerusi penglibatan dalam proses rundingan Perjanjian Komprehensif Bangsamoro yang memasuki fasa terakhir tahun ini," jelasnya.

Beliau berkata, perjanjian itu merupakan contoh yang jelas tentang bagaimana kerjasama erat dan semangat persahabatan boleh mengatasi konflik serta memadamkan pergolakan di rantau ASEAN.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140415/dn_01/Kerjasama-keselamatan-ASEAN#ixzz2yulbFBx9  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Tuesday, 8 April 2014

Jambatan persahabatan

NAJIB Tun Razak bersama delegasi Malaysia (kanan) bermesyuarat dengan delegasi Singapura yang diketuai Lee Hsien Loong (kiri) semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-5 selama dua hari di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, semalam. - BERNAMA

PUTRAJAYA 7 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia mengemukakan cadangan kepada Singapura untuk membina sebuah jambatan baharu yang dapat menghubungkan kedua-dua negara berjiran itu.

Beliau berkata, rancangan itu yang merupakan inisiatif jangka masa panjang dijangka meningkatkan hubungan jalan raya dan menambah baik keadaan alam sekitar.

"Salah satu rancangan jangka masa panjang adalah dengan membina jambatan persahabatan bagi meningkatkan hubungan jalan raya, menambah baik keadaan alam sekitar, sekali gus menjadi simbol persahabatan kedua-dua negara.

"Rancangan ini merupakan rancangan jangka masa panjang dan kedua-dua negara akan mengkaji lebih lanjut tentang inisiatif ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura kelima di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, cadangan tersebut dibuat kerana kapasiti kenderaan yang melalui Tambak Johor untuk ke negara jiran itu semakin bertambah.

Menurut Najib, pembinaan jambatan tersebut merupakan salah satu daripada inisiatif baharu yang dirancang, selain untuk mewujudkan kawalan sempadan bersama antara kedua-dua negara berjiran itu.

Beliau berkata, menerusi pendekatan itu, rakyat kedua-dua negara yang hendak memasuki salah sebuah negara hanya perlu melalui sekali pemeriksaan sahaja.

Hsien Loong ketika mengulas perkara sama berkata, rancangan jambatan persahabatan itu telah dibincangkan, namun katanya, tumpuan utama Singapura pada masa ini adalah meningkatkan kemudahan laluan jalan raya antara kedua-dua negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, cadangan untuk membina jambatan yang bakal menjadi simbol ikonik kepada kedua-dua negara itu akan tetap dikaji secara mendalam sebagai salah satu kaedah mengurangkan kesesakan.

Sementara itu, ditanya tentang inisiatif yang diambil oleh Singapura bagi mengurangkan kesesakan ketika memasuki ke negara itu, Hsien Loong berkata, pihaknya akan menggunakan kaedah biometrik untuk pengguna yang kerap memasuki negara itu.

"Pengguna yang kerap memasuki Singapura hanya perlu menggunakan kaedah biometrik dan hanya perlu mengimbas ibu jari dalam tempoh 10 saat dan semua data dan maklumat akan terpapar. Kita harap 90 hingga 95 peratus pengguna terbabit akan menggunakan kaedah ini," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140408/dn_03/Jambatan-persahabatan#ixzz2yFem4w4N  © Utusan Melayu (M) Bhd


Thursday, 3 April 2014

Brunei mula laksanakan hukum hudud

Sultan Hassanal Bolkiah

BANDAR SERI BEGAWAN 2 April - Brunei muncul negara Asia Timur pertama melaksanakan hukum hudud bermula semalam, yang menyaksikan semua rakyatnya termasuk masyarakat bulan Islam turut tertakluk di bawah undang-undang tersebut.

Pemerintahnya, Sultan Hassanal Bolkiah menyelia sendiri peralihan itu yang antaranya memperuntukkan hukuman berasaskan undang-undang Islam terhadap pelbagai kesalahan seperti mencuri, merogol, berzina, meliwat, minum minuman keras dan terlibat dalam kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Brunei sebelum ini telah pun melaksanakan undang-undang syariah, namun hanya terhad kepada masalah melibatkan perkahwinan, wasiat dan keluarga Islam.

Bermula semalam, perundangan Islam itu diperluaskan lagi melibatkan hukuman seperti direjam sampai mati kerana kesalahan berzina dan sebatan sekiranya melakukan pengguguran bayi.

Badan bebas, Global Voices Online yang beribu pejabat di Amsterdam, Belanda sebelum ini melaporkan, Sultan Hassanal Bolkiah pernah memberi amaran bahawa individu yang menentang pelaksanaan hukum hudud boleh didakwa.

Akhbar berbahasa Inggeris India, Deccan Chronicle pula melaporkan, keputusan Brunei untuk melaksanakan hukuman hudud dan memperkenalkan semula hukuman mati, menerima banyak kritikan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan hak asasi manusia yang menyifatkannya bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Selain itu, perkara tersebut turut menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat bukan Islam Brunei, yang turut tertakluk dalam beberapa ketetapan kod berkenaan.

Penasihat Undang-Undang Antarabangsa Asia Tenggara, Suruhanjaya Undang-Undang Antarabangsa (ICJ) Emerlynne Gil dalam sepucuk suratnya kepada Sultan Hassanal Bolkiah berkata, jika peraturan baharu itu dilaksanakan, pencabulan hak asasi manusia yang serius bakal berlaku.

"Brunei tidak mengamalkan hukuman mati sebelum ini dan keputusan melaksanakannya begitu mengejutkan," ujar Gil.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140403/lu_01/Brunei-mula-laksanakan-hukum-hudud#ixzz2xnNgYf3X  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Friday, 28 March 2014

Harapan baharu bagi Bangsamoro






Seorang wanita Islam (kiri) melukis bendera Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di pipi ibunya semasa satu perhimpunan menyokong pemeteraian perjanjian antara kumpulan pemisah itu dengan kerajaan Filipina di Cotabato City, Mindanao, selatan Filipina, semalam. - AFP

COTABATO CITY 27 Mac - Penduduk di wilayah Mindanao menaruh harapan tinggi terhadap Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), yang dimeterai hari ini sebagai permulaan baharu bagi kehidupan mereka di selatan negara ini.

Malah mereka berharap perjanjian yang diusahakan oleh kerajaan Malaysia sebagai orang tengah itu turut menjadi petanda berakhirnya keganasan sejak empat dekad lalu yang menyaksikan peluang, kehidupan dan ekonomi wilayah berkenaan jauh ketinggalan.

Portal berita Filipina, inquirer.net yang memetik kenyataan seorang petani dari Sultan Kudarat di Maguindanao, Tato Sumagka, 47, berkata, dia bersama penduduk kampung lain bersorak kegembiraan apabila mendengar berita tentang pemeteraian perjanjian bersejarah itu.

Tato berkata, dia hidup dalam suasana keganasan di Mindanao sejak usia muda ekoran perbalahan antara kumpulan pemisah dan tentera kerajaan.

“Saya telah menyaksikan pepe­rangan, kehilangan jiwa dan peluang untuk menaikkan taraf hidup kami. “Sejak kecil, saya hidup sebagai pelarian sebanyak beberapa kali dan hanya pulang ke rumah selepas keadaan kembali pulih," kata petani itu yang mengakui enggan menyertai MILF atas sebab yang tidak dinyatakan.

Sementara itu, penjual beras, Kautin Sumalindig, 53, turut berkongsi pendapat apabila menyuarakan keletihannya terhadap perang yang berlaku di Mindanao.

Jelasnya, penduduk tempatan terutamanya etnik Bangsamoro telah lama inginkan keamanan di wilayah ini. Tambahnya, dia terpaksa menjual ladangnya di Datu Piang dan menjalankan perniagaan di Cotabato City gara-gara peperangan.

“Kami telah menyaksikan banyak perjanjian damai sebelum ini, tetapi tiada perubahan ekonomi dan pembangunan yang dapat kami kecapi. Walaupun saya gembira dengan perjanjian baharu kali ini, saya tetap bersedia dengan ke­mungkinan yang lebih teruk," katanya.

Kenyataan Kautin turut diso­kong oleh Odin Latip yang sejak kecil menjadi pelarian akibat perang di Mindanao. Katanya, penduduk Mindanao pernah berasa gembira menyambut perjanjian damai antara Filipina-MILF pada 1996, namun keganasan masih berterusan sehingga mengorbankan banyak nyawa.

“Kami mengharapkan sesuatu yang lebih baik selepas perjanjian kali ini dimeterai," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140328/lu_03/Harapan-baharu-bagi-Bangsamoro#ixzz2xDSfPueg  © Utusan Melayu (M) Bhd