Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label GST. Show all posts
Showing posts with label GST. Show all posts

Thursday, 21 May 2015

Wednesday, 13 May 2015

Parti baharu dan pesta politik; GST dan Embargo

CUIT

ZAINI HASSAN (ZAINIBINHASSAN@GMAIL.COM) | 13 Mei 2015 1:21 AM

KHABARNYA sebuah parti po­litik baharu akan dilancarkan Jumaat ini. Namanya berbunyi lebih kurang Parti Ikatan Bangsa Malaysia.

Buku Embargo

Difahamkan ia adalah parti pelbagai kaum. Mengambil cadangan yang dibuat oleh Allahyarham Datuk Onn Jaafar lebih 69 tahun lalu, yang mengesyorkan UMNO ditukar namanya kepada United Malayan (bukan Malay) National Organisation, untuk membuka pintu kepada semua kaum. Itulah kononnya asas kepada parti baharu itu.

Jika benarlah kemunculan parti itu maka negara kita akan terus meriah dengan pesta politik. Orang kita berpolitik hari-hari.

Sehinggakan sebahagian tugas kerajaan sekarang ini ialah menepis dan menangkis sepak terajang politik.

Pembangkang sekarang bertepuk tangan sakan melihat fenomena yang berlaku.

Jika benarlah apa yang berlaku sekarang sebahagian daripada adalah usaha pembangkang, ternyata mereka berjaya. Sungguh halus permainan mereka.

Sehinggakan orang Melayu begitu marah sekali dengan kerajaan Melayu yang ada ini. Kalau boleh hari ini juga mereka mahu kuburkan kerajaan yang ada ini.

Alah sesiapa pun yang memerintah sama sahaja, kata mereka yang begitu amarah itu.

Pihak yang menjadi nasi tambah pun banyak. Berlambak-lambak dalam media sosial. Tugas mereka menuang petrol dan menabur cabai Melaka.

Orang yang membacanya panas meluap-luap. Seolah-olah mereka begitu mahir mengenai transaksi itu dan ini. Isu Tabung Haji juga menyebabkan mereka naik panas. Seolah-olah kerajaan ada muslihat mahu menipu rakyat. Hairannya, ramai yang percaya, termasuk cerdik-pandai.

Maka itulah banyak sekali pepatah Melayu yang menyebut mengenai tabiat amarah orang Melayu ini.

Kerana nyamuk seekor, satu kelambu dibakar. Akhirnya menang sorak, satu negara tergadai.

Pencacai politik kepada pemikiran orang Melayu ini semakin bercambah sekarang ini. Ada yang menjadikannya sebagai mata pencarian.

Yang menjadi mangsa ialah orang kita sendiri.

Berbalik kepada parti baharu itu, pengasasnya pula ialah bekas pemimpin tertinggi UMNO yang sekejap sebelah sana dan sini. Khabarnya lagi dia pun ada banyak masalah. Macam-macam masalah.

Kita tunggulah siapa dia...

GST Indonesia 
dan GST Malaysia

BARU-BARU ini seorang sahabat baru pulang dari membeli-belah di Jakarta.

Bersungguh-sungguh dia berkata, Indonesia ialah destinasi shopping yang murah - walaupun GST di negara itu ialah 10 peratus.

Peniaga-peniaga di sana, bukan macam di negara ini. Mereka tidak mencatut dan membuat untung keterlaluan.

Mereka tidak tamak. Jika harga di peringkat pembeli boleh dijual murah, maka rangkaian pengeluarannya sudah tentu juga murah.

Dengan jumlah kepelbagaian penduduk seramai suku bilion orang, negara itu ternyata hebat. Jangan kiralah kos buruh negara itu rendah menyebabkan barangannya murah. Orang hanya mahu tahu harganya murah.

Pelik di Indonesia barangan import juga murah berganda berban­ding negara ini.

Mengikut sahabat itu kain baju import yang berkualiti, harganya berganda-ganda lebih murah daripada yang dijual di gedung di negara ini.

Tidak hairan para peniaga di sini untung kerana harga di sini berlipat kali ganda mahalnya.

Berbalik kepada soal GST, di Indonesia hal cukai itu yang sudah dilaksanakan sejak lebih sedekad lalu tidak pernah menjadi satu kekecohan.

Malah saya mahu memetik apa yang dikatakan oleh Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno kepada sebuah akhbar tempatan.

“Malaysia tidak perlu takut kepada pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kerana ia banyak membawa faedah. Sebagai contoh Indonesia telah berjaya melaksanakan GST untuk kebaikan negaranya.

“Kenapa perlu takut? Pada saya pelaksanaan GST akan menguntungkan rakyat, menambah pendapatan negara kerana GST akan mengurangkan cukai yang sedia ada,” katanya.

Di Indonesia GST dipanggil Pertambahan Pajak Nilai (PPN) diper­kenalkan sejak 12 tahun lalu.

Pelaksanaan PPN atau VAT me­nyumbang 40 peratus kepada pertumbuhan ekonomi Indonesia dengan kadar terkini sebanyak 10 peratus.

GST di Malaysia dilaksanakan pada 1 April lalu dengan kadar 6 peratus.

Malah Presiden Indonesia Joko Widodo turut mempersenda kita.

“Pak Najib (Razak) di Malaysia sudah berkali-kali bilang GST itu bagus. Kalau bagus, waduh, kenapa harus 6 peratus saja? Jadi saya naik­kan GST di Indonesia sebagai 16 peratus.

“Moga-moga negara kita 10 peratus lebih makmur berbanding Malaysia dan tenaga kerja kita tidak lagi perlu mencari rezeki di sana,” kata Joko yang lebih dikenali sebagai Jokowi.

Saya kadang-kala mahu juga percaya bahawa konflik GST di negara ini sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu dengan niat-niat tertentu.

Namun saya tidak akan boleh maafkan pihak berkuasa, sekiranya mereka gagal mengajar para peniaga supaya berniaga dengan berhemah dan bertanggungjawab. Perlu disebut di sini, peniaga Malaysia adalah antara yang paling tamak di dunia.

Jika itu pun gagal dilakukan oleh pihak berkuasa, maka gagallah GST di Malaysia.

Dan sekali lagi merekalah yang akan menang!

EMBARGO oleh 
Zahari Affandi

BEBERAPA hari lalu saya mene­rima sebuah novel yang baharu dilancarkan bertajuk Embargo tulisan bekas wartawan Utusan Melayu, Zahari Affandi.

Bersama-sama buku itu diselit sepucuk surat bertulis: “Bukannya seperti kebanyakan penulis “Hantu Raya” yang makan upah, dapat makan telur, semuanya bagus, tetapi kalau tak ada telur, tuan sendiri pun dia makan.”

“Kerana saya cukup berminat dengan Cuit setiap Rabu, tolonglah luangkan masa untuk membaca Embargo... kerana banyak menyentuh tentang ke­renah dan perangai orang UMNO.”

Novel terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) itu mengisahkan:

YB Datuk Alang Bahadur dalam perancangan untuk mempertahankan jawatannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi sebuah parti politik. Ketika berusaha untuk mempertahankan kedudukannya itu, beliau berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam parti dan keluarganya.

Salah satu petikan menarik dalam buku itu: “Bagi aku Piah, kehidupan masyarakat majmuk di negara ini umpama tiga buah kapal di tengah samudera. Jika taufan melanda, ombak setinggi langit datang membadai, bukan sahaja kapal Cina atau India yang musnah, ke­semuanya hancur lebur. Sebab itu apabila Melayu bercakap mengenai orang Cina atau India kena berhati-hati jangan terlalu emosi...”

Zahari yang kini menerajui syarikat penerbitannya sendiri, pernah menjadi pengelola ruangan Sastera Mingguan Malaysia, penyunting Utusan Zaman dan majalah URTV sebelum meninggalkan Utusan Melayu pada 1982.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/parti-baharu-dan-pesta-politik-gst-dan-i-embargo-i-1.91216#sthash.gwSODVSI.dpuf

Wednesday, 15 April 2015

GST : Jangan tunduk dengan pengusaha restoran, hotel

FARHANA JONI 
DAN NAZWIN IZAN AHMAD NAZRI | 15 April 2015 1:42 AM


JACOB GEORGE

 S.M. Mohamed Idris

Datuk Yusoff Ismail 

Datuk Paul Selvaraj 


KUALA LUMPUR 14 April - Kerajaan tidak perlu membuang masa untuk mengkaji caj perkhidmatan yang dikenakan pengusaha restoran dan hotel terhadap pengguna, sebaliknya perlu bertindak tegas menghapuskan bayaran tersebut dengan segera.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M. Mohamed Idris berkata, langkah itu perlu kerana masyarakat hari ini kerap mempersoalkan sikap kerajaan yang terlalu bertolak ansur terhadap pengusaha restoran, hotel dan syarikat telekomunikasi hingga membebankan mereka sebagai pengguna.

Katanya, pengusaha restoran dan hotel seolah-olah mengambil kesempatan terhadap ‘kelembutan’ kerajaan dengan memberi alasan caj perkhidmatan lima hingga 10 peratus yang dikenakan terhadap pengguna itu akan diberikan kepada pekerja.

“Tidak logik jika kerajaan menerima alasan pengusaha hotel dan restoran itu kerana kutipan bayaran itu tiada kena-mengena langsung dengan pengguna, sebaliknya terkandung dalam syarat serta perjanjian antara majikan dengan pekerja.

“Apabila caj perkhidmatan ini masih ada, masyarakat mula sangsi dengan matlamat cukai barang dan perkhidmatan (GST) kerana pada peringkat awal kerajaan mengatakan ini berperanan meringankan beban tetapi kini mereka perlu membayar dua cukai pula,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Nege­ri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek bahawa kerajaan sedia menimbang untuk memansuhkan caj perkhidmatan 10 peratus dalam industri hotel dan makanan jika dilihat tidak adil kepada pengguna, semalam.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selvaraj mencadangkan kerajaan menghapuskan terus caj perkhidmatan sebanyak 10 peratus itu dan memperkenalkan dasar satu harga bagi mengurangkan beban pengguna.

“Jumlah caj tersebut sepatutnya diberikan oleh pelanggan hanya jika mereka berpuas hati dengan kualiti perkhidmatan yang telah diberikan. Bukan hak pengusaha untuk menentukan kadarnya.

“Pemerhatian yang dilakukan oleh FOMCA sendiri juga mendapati, kebanyakan pengusaha tidak mempunyai perjanjian bersama dengan pekerja yang menyatakan secara jelas mengenai caj perkhidmatan.

“Caj yang dikutip tidak diberikan kepada pekerja, sebaliknya hanyalah menjadi pendapatan tambahan kepada pengusaha yang jelas tidak adil kepada pekerja dan pengguna,” katanya ketika dihubungi.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail pula berkata, orang ramai telah muak dengan kenyataan mengkaji yang sering dikeluarkan oleh kerajaan berhubung isu cukai perkhidmatan kerana sepanjang tempoh kajian itu dilaksanakan, rakyat te­rus terbeban.

Katanya, jika kerajaan telah se­bulat suara melaksanakan GST pada 1 April lalu, maka tiada sebab untuk mengkaji atau berbincang dengan pengusaha hotel, restoran dan syarikat telekomunikasi tentang caj perkhidmatan, sebaliknya perlu dihapuskan serta-merta.

“Dalam tempoh dua minggu pelaksanaan GST, kami menerima kira-kira 500 aduan orang ramai yang keliru dengan dua cukai yang dikenakan terhadap setiap pembelian, malah mempertikaikan apa kuasa kerajaan sebenarnya dalam menangani isu caj perkhidmatan ini kerana jelas membebankan pengguna, khususnya yang berpendapatan rendah,” katanya.

Di samping itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, alasan untuk mengkaji dahulu membuktikan kerajaan tidak bersedia melaksanakan GST kerana mereka seharusnya bersedia dan merancang dengan teliti serta mendapatkan maklumat statistik yang mencukupi.

Jelasnya, saranan untuk menimbang dan meneliti caj perkhidmatan adalah gimik kerajaan semata-mata dan membuang masa.

“Perkara ini tidak betul-betul digambarkan oleh kerajaan, dalam keadaan sekarang semua pihak terperangkap sama ada pengguna, ahli ekonomi dan juga pelancong. Saya mendapat pertanyaan daripada pelbagai pihak antarabangsa seperti Singapura, Filipina, Amerika Syarikat dan sebagainya yang bertanyakan tentang soal GST ini.

“Kastam tidak dapat jawab soalan, kredibiliti dan kualiti yang dikeluarkan mereka amat mendukacitakan selain tidak bersedia sepenuhnya. Alih-alih kita (persatuan pengguna) yang kena seperti ‘punching bag’,” katanya.

Pandangan itu turut disuarakan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang melihat caj per­khidmatan tidak lagi wajar dikenakan pada masa sekarang.

“Kalau dahulu diwujudkan se­bab gaji rendah iaitu RM450 sebulan, kerana itu kerajaan wujudkan perjanjian bersama (CA) tetapi sekarang gaji minimum adalah RM900. Oleh itu, sudah tidak ada keperluan untuk terus mengenakan caj perkhidmatan ini malah gaji pekerja seharusnya ditanggung oleh majikan bukan pengguna yang telah membayar untuk makan dan minum.

“Kerajaan seharusnya mengikut corak sendiri dan bukan berpandukan negara yang mengamalkan pelaksanaan cukai ini. Caj perkhidmatan memang tidak diperlukan dan seharusnya di buang terus daripada sistem kerajaan,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/jangan-tunduk-dengan-pengusaha-restoran-hotel-1.81106#sthash.QGcJU4UH.dpuf

Tuesday, 14 April 2015

Tuesday, 31 March 2015

Aplikasi MyKira banding 
harga sebelum, selepas GST

31 Mac 2015 1:41 AM


HASAN MALEK (duduk) melancarkan Pusat Gerakan Antipencatutan dan Aplikasi MyKira GST di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad. – UTUSAN/RASHID MAHFOF

PUTRAJAYA 30 Mac – Orang ramai yang mahu membuat perbandi­ngan harga barang sebelum dan selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kini boleh berbuat demikian dengan mudah dan pantas menggunakan sistem aplikasi telefon mudah alih, MyKira GST.

Menteri Perdagangan Dalam Ne­geri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, aplikasi yang dibangunkan pihak­nya dengan kerjasama MIMOS Bhd. dapat menyediakan kemudahan kepada pengguna untuk memban­dingkan harga barang selepas pelaksanaan GST pada 1 April ini.

Beliau berkata, antara ciri utama aplikasi tersebut ialah orang ramai dapat menyemak lebih 10,000 harga barangan yang berada di pasaran dan pada masa sama, pengguna juga boleh terus membuat aduan dengan menggunakan e-aduan yang terdapat dalam aplikasi terbabit.

“Menerusi MyKira pengguna yang kurang pasti harga sesuatu barang sebelum dan selepas GST boleh membandingkannya melalui aplikasi ini dengan hanya menggunakan tiga langkah sahaja dan sistem ini akan memberitahu julat harga sesuatu barang terbabit, sekiranya tiada masalah sistem ini akan menunjukkan tanda bagus.

“Selain itu, pengguna juga boleh menggunakan sistem ini untuk terus melaporkan kepada Pusat Gerakan Anti Pencatutan (PGAP) sekiranya peniaga terbabit mengambil keuntungan secara berlebihan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan PGAP dan aplikasi MyKira GST di sini hari ini.

Menurut Hasan, buat masa sekarang sistem tersebut boleh dimuat turun menggunakan aplikasi Android sahaja, manakala aplikasi iOS hanya dapat dimuat turun selepas Rabu ini.

Dalam pada itu, Hasan berkata, pusat gerakan tersebut akan beroperasi selama 24 jam setiap hari bagi menerima aduan harga barang melalui telefon, saluran e-aduan dan media sosial selain pemantauan melalui siaran televisyen.

Katanya, pengguna yang mempunyai aduan boleh menghubungi terus talian hotline 1-800-886-800 atau talian 03-88826245 atau 03-88826088 dan setiap aduan akan direkod serta disalurkan kepada pegawai kementeriannya untuk diambil tindakan.

Hasan berkata, mana-mana peniaga yang didapati bersalah bakal didakwa di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Kita tidak akan bertolak ansur lagi selepas ini terhadap mana-mana peniaga yang degil kerana kerajaan sudah melakukan penerangan melalui pelbagai media masa dan mustahil mereka tidak tahu, oleh itu saya nasihatkan penggguna supaya membuat aduan kepada kita untuk diambil tindakan.

“Sekiranya kesalahan dilakukan sangat berat mereka boleh didakwa di mahkamah khas jenayah yang ditubuhkan di lima zon iaitu di kawasan utara, selatan, timur, tengah serta Sabah dan Sarawak untuk diadili,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/aplikasi-mykira-banding-8232-harga-sebelum-selepas-gst-1.75567#sthash.UT7H2jnF.dpuf


Friday, 27 March 2015

Senarai barang dikecualikan GST

Menjelang pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan 1 April ini

HERMAN HAMID | 27 Mac 2015 1:13 AM



KUALA LUMPUR 26 Mac - Menjelang pelaksanaan cukai barangan dan perkhid­matan (GST) 1 April ini, Kementerian Kewangan hari ini memperluaskan lagi senarai barang dan perkhidmatan yang dikecuali­kan daripada cukai tersebut bagi memanfaatkan rakyat dan industri.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, senarai tersebut meliputi empat perkara iaitu bahan bacaan, ubat, yuran penyelenggaraan terma­suk sinking fund kediaman dan perkhid­matan pendidikan.

Menurut Kementerian Kewa­ngan, pengecualian GST kini diperluaskan kepada semua jenis bahan bacaan termasuk surat khabar manakala majalah dan buku-buku lain yang bukan merupakan bahan bacaan dikenakan GST.

Kata kenyataan itu, langkah ini diharap dapat memastikan bahan bacaan yang dikecualikan GST tidak akan mengalami sebarang kenaikan dan seterusnya dapat me­ningkatkan budaya membaca dalam kalangan rakyat.

Selain itu, bilangan ubat yang dikecualikan GST di bawah Senarai Ubat-Ubatan Penting Nasional diperluaskan daripada 2,900 kepada 4,215 jenama ubat untuk memastikan ubat-ubatan di bawah senarai ini dapat meliputi semua dos dan kaedah pengambilan.

“Malah Kementerian Kewangan juga akan mengkaji cadangan Kementerian Kesihatan untuk memperluaskan lagi jenis ubat bagi penyakit tertentu untuk dikecualikan GST,” kata kenyataan itu.

Di samping itu, Kementerian Kewangan memaklumkan, yuran penyelenggaraan dan sinking fund yang sebelum ini hanya dikecuali­kan GST ke atas rumah kos rendah dan kos sederhana rendah kini turut diperluaskan meliputi semua jenis bangunan kediaman yang dipegang di bawah hak milik strata.

Perkhidmatan pendidikan yang dikecualikan daripada GST turut diperluaskan meliputi pendidikan kemahiran yang disediakan oleh penyedia latihan kemahiran yang menjalankan program yang diluluskan dan ditauliahkan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652).

Selain itu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan itu turut memberi penjelasan berhubung empat perkara iaitu GST ke atas perkhidmatan kesihatan, pertubuh­an bukan kerajaan (NGO) terma­suk institusi keagamaan, GST di zon perdagangan bebas dan gudang, serta barang yang dikecualikan cukai tersebut.

Menurut Kementerian Kewangan, perkhidmatan jagaan kesihatan oleh hospital, klinik, pusat rawatan dialisis dan seumpanya tidak dikenakan GST namun GST akan dikenakan ke atas caj rawatan atau perkhidmatan rundingan yang diberikan oleh doktor bebas (independent doctor) yang tidak berdaftar sebagai kemudahan jagaan kesihatan.

“Di dalam membantu kemudah­an jagaan kesihatan swasta untuk mengurangkan kos untuk menyediakan perkhidmatan jagaan kesihatan, sebanyak 120 jenis peralatan perubatan yang dibeli oleh hospital, klinik atau mana-mana kemudahaan jagaan kesihatan swasta diberi pelepasan GST,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Kementerian Kewangan turut menjelaskan barang yang dikecualikan GST termasuk susu formula bayi di bawah umur 36 bulan, semua jenis beras dan gula.

Sementara itu, tambah Kementerian Kewangan, bagi aktiviti NGO dan institusi keagamaan yang terlibat sepenuhnya di dalam aktiviti kebajikan atau keagamaan juga tidak dikenakan GST.

“Mengenai layanan GST di zon perdagangan bebas dan gudang, secara prinsipnya, pengenaan GST ke atas perkhidmatan yang dibekalkan tidak akan menambahkan kos perniagaan kerana apa-apa GST yang dibayar boleh dituntut semula sebagai kredit oleh syarikat yang berdaftar.

“Penelitian semula sedang dijalankan dan secara prinsipnya beberapa jenis perkhidmatan yang digunakan di dalam kawasan berikut akan diberi layanan khas. Langkah ini bagi memastikan aktiviti perniagaan yang dijalankan di dalam kawasan tersebut adalah kompetetif dan selaras dengan amalan di pe­ringkat antarabangsa.

“Keputusan mengenai jenis perkhidmatan yang akan diberi pelepasan GST akan dimaklumkan kepada pihak industri,” ujar kenya­taan itu.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/senarai-barang-dikecualikan-gst-1.74064#sthash.usi4hKiQ.dpuf


Wednesday, 15 October 2014

Perkhidmatan dikecualikan GST

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN 
dan JUANI MUNIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my


PUTRAJAYA 14 Okt. - Kerajaan telah mewartakan pengecualian cukai barangan dan perkhidmatan (GST) 2014 terhadap beberapa perkhidmatan berkaitan dengan kepentingan orang ramai antaranya pemilikan rumah, perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.

Selain itu, menurut Warta Kerajaan Persekutuan berhubung perkara tersebut, pengecualian GST turut melibatkan lebuh raya bertol, perkhidmatan pengangkutan awam, operasi berkaitan urusan bank, pembiayaan pinjaman dan insurans nyawa serta perkhidmatan kewangan syariah.

Sehubungan itu, manamana tanah dan bangunan yang digunakan untuk tujuan kediaman, atau pertanian atau kegunaan am turut dikecualikan GST dan ini tidak termasuk hotel, rumah tumpangan, dan rumah penginapan.

"Bagi perkhidmatan pendidikan pula, taman asuhan kanakkanak, prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah swasta, sekolah agama Islam di semua negeri serta pendidikan tinggi yang disediakan oleh penyedia institusi pendidikan tinggi yang diluluskan undang undang," menurut warta tersebut yang dipetik menerusi laman web Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Warta itu turut menggariskan beberapa pengecualian lain bagi maksud perkhidmatan pendidikan antaranya, bahan kursus, lawatan dan pengangkutan pelajar.

"Perkhidmatan pentadbiran berkaitan pendidikan seperti pendaftaran pelajar dan pengeluaran kad pelajar, perkhidmatan peperiksaan, pembekalan perkhidmatan, pembersihan dan penyelenggaraan, elektrik, gas, penyaman udara sebagai sebahagian daripada penyediaan penginapan pelajar turut dikecualikan GST.

"Makanan dan minuman yang dibekalkan oleh operator kantin di semua peringkat sekolah termasuk prasekolah sama ada kerajaan mahupun swasta juga dikecualikan," katanya.

Menurut warta itu lagi, turut dikecualikan adalah perkhidmatan penjagaan kesihatan yang merangkumi perkhidmatan penjagaan kesihatan yang disediakan pihak swasta yang berdaftar.

"Perkhidmatan yang dimaksudkan meliputi perkhidmatan perubatan, pergigian, kejururawatan, perbidanan, farmasi, dan ambulans.

"Ini juga termasuk sebarang perkhidmatan bagi pemeriksaan diagnosis atau rawatan seseorang yang menghidap apa apa penyakit kecederaan atau hilang upaya anggota badan," katanya.

Pada masa yang sama, perkhidmatan pengangkutan awam juga tersenarai dalam warta tersebut melibatkan perkhidmatan bas dan teksi yang menjadi kegunaan rakyat.

Walau bagaimanapun menurut warta tersebut, bagi bas dan teksi sewa tidak termasuk dalam senarai pengecualian GST.

Tambah warta itu, penyedia perkhidmatan rel yang dilesenkan di bawah Akta Keretapi 1981 serta kapal penumpang tidak termasuk kapal yang digunakan untuk rekreasi atau keseronokan turut mendapat pengecualian GST.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141015/dn_25/Perkhidmatan-dikecualikan-GST#ixzz3GAvJWeTS  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Thursday, 11 September 2014

GST tidak susahkan rakyat

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my

Najib Tun Razak dengan gaya tersendiri ketika berucap pada Majlis Penerangan Perdana Cukai Barang dan Perkhidmatan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Abdul Razak Latif

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan mulai 1 April tahun depan bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) adalah untuk masa depan rakyat serta negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelaksanaan sistem percukaian baharu itu bukan sahaja lebih adil kepada pembayar cukai bahkan dapat memastikan ekonomi negara menjadi lebih kukuh dan berdaya saing.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan sebenarnya mengambil masa selama 30 tahun untuk mengkaji baik buruk GST sehingga sistem itu buat pertama kalinya diumumkan bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1992.

Katanya, jika GST bukan merupakan sistem percukaian efisien dan telus sebagaimana dakwaan pembangkang, adalah mustahil Anwar mengumumkan rancangan pelaksanaannya semasa pembentangan bajet pada tahun tersebut.

''Tidak apalah kalau kita ada masalah dan orang kata GST tidak popular. Selepas kita laksanakan, selepas ekonomi lebih kukuh dan selepas Malaysia menjadi negara maju, rakyat akan berterima kasih kepada kerajaan.

''Tetapi yakinlah sebagai ketua kerajaan, saya tidak akan menyusahkan rakyat kerana saya tahu kerajaan ini berdiri atas sokongan rakyat,'' katanya semasa berucap dalam Majlis Penerangan Perdana GST di sini hari ini.

Majlis tersebut yang mendapat sambutan hampir 4,000 orang ramai termasuk kelompok peniaga dianjurkan Kementerian Kewangan dan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

Hampir keseluruhan anggota Kabinet juga turut hadir dalam majlis berkenaan yang dimulakan dengan sesi penerangan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebelum disusuli dengan forum.

Sempena majlis berkenaan, Perdana Menteri turut melancarkan dua buku berkenaan GST iaitu Buku Panduan Cukai Barang dan Perkhidmatan Bagi Peniaga serta Buku Panduan Pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, untuk memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju dengan memenuhi hampir kesemua impian rakyat, kerajaan memerlukan sumber kewangan yang kukuh dan cara terbaik ialah melalui GST.

Jelasnya, hal demikian kerana melalui sistem SST yang diguna pakai sekarang, hanya 1.2 juta daripada 12 juta pekerja Malaysia yang membayar cukai untuk digunakan bagi menampung keperluan 28 juta rakyat negara ini.

''Setiap kali belanjawan dibentangkan pada setiap tahun (misalnya), jika tidak disebut bonus, maka belanjawan itu dianggap sebagai tidak baik. Untuk sebulan bonus, kerajaan perlu mengeluarkan hampir RM5.6 bilion.

''Ia menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kebajikan penjawat awam yang berjumlah 1.5 juta orang dan 300,000 lagi merupakan pesara. Jadi, negara memerlukan hasil yang mencukupi," katanya.

Sementara itu, beliau mengakui GST akan menyebabkan sedikit kenaikan iaitu sebanyak 1.8 peratus terhadap harga barang tertentu tetapi bukan membabitkan barangan keperluan asas.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140911/dn_01/GST-tidak-susahkan-rakyat#ixzz3Cy8CJvge  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Friday, 13 June 2014

Petrol, diesel dikecualikan GST?



Datuk Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR 12 Jun - Kerajaan akan mempertimbangkan tidak mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas bahan api terutama petrol dan diesel apabila sistem percukaian baharu itu dilaksanakan April tahun depan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, perkara itu boleh dilaksanakan jika rasionalisasi subsidi petroleum yang akan diumumkan dalam masa terdekat berupaya memberi penjimatan besar sebagaimana disasarkan.

"Ketika ini, petrol dan diesel di Malaysia memang dikecualikan daripada cukai jualan. Bagi setiap liter petrol, 58.26 sen cukai jualan dikecualikan manakala bagi setiap liter diesel pula 40 sen cukai jualan tidak dikenakan," katanya semasa menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa rang undang-undang Akta Perbekalan Tambahan 2014 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Ahmad bersetuju dengan Rafizi Ramli (PKR-Pandan) iaitu jika GST dikenakan ke atas petrol dan diesel, kerajaan mampu meraih sehingga RM3 bilion setahun.

Namun, tegasnya, ‘kehilangan’ hasil tersebut jika GST tidak dikenakan ke atas petrol dan diesel, mampu ditampung jika pelan rasionalisasi subsidi yang bakal dilaksanakan kelak memberi penjimatan besar.

Ahmad memberitahu, bermula Januari tahun hadapan, kerajaan akan menerbitkan buku panduan tentang barangan yang dikenakan GST.

Jelasnya, menerusi buku panduan tersebut, orang ramai dapat mengetahui harga sesuatu barangan sama ada naik atau tidak mengalami sebarang perubahan selepas GST.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20140613/pa_01/Petrol-diesel-dikecualikan-GST#ixzz34TZ2WnZY  © Utusan Melayu (M) Bhd 

KOMEN : SUKA KE TAK SUKA KE SEBELUM GST DILAKSANAKAN AKAN ADA RASIONALISASI SUBSIDI PETROLEUM PADA MASA TERDEKAT... ADA KAH HARGA MINYAK AKAN NAIK LAGI?????

Monday, 5 May 2014

GST - Yang berhimpun itu tahukah apa sebenarnya yang mereka bantah?

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS



Sebahagian peserta perhimpunan berarak dari pusat beli-belah Sogo ke Dataran Merdeka semasa perhimpunan membantah GST di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ZAINI HUSIN

REZEKI ada di mana-mana. Tidak kira beker­ja sebagai kakitangan awam mahupun swasta. Begitu juga peniaga yang berniaga hingga ke negara China dan Alaska bagi mendapatkan keuntungan. Pendek kata bekerjalah hingga nafas terhenti tidak kira di siang mahupun malam hari.

Namun semalam seperti ada kepelikan berlaku apabila ada yang rela menjadi penentang pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan pertengahan tahun depan.

Memang dari segi logiknya manusia akan membantah jika duit mereka dicukai setelah penat berjam-jam membuat kerja-kerja pemasaran tiba-tiba bila dapat hasil dikenakan cukai pendapatan pula.

Namun dalam bab GST tidak perlulah kita mengheret anak kecil dan isteri untuk membantah GST sedangkan pada hakikatnya cukai GST dikenakan kepada kelompok yang sering berbelanja mewah bagi memberi hadiah kepada diri sendiri setelah berjaya mendapatkan keuntungan hasil berniaga di negara yang aman damai ini.

Bukankah sesuatu yang janggal apabila beribu-ribu manusia membantah cukai yang lebih memberi kesan kepada orang kaya berbanding orang miskin di kampung-kampung dan di tengah-tengah bandar.

Orang yang sibuk menjerit mahu GST dihapuskan rasanya terlupa bahawa GST akan memberi manfaat kepada mereka dari segi penambahan Bantuan Rakyat 1Malaysia sehingga boleh mencecah RM1,000 setahun malahan RM3,000.

Jika dilihat wajah-wajah yang membantah GST bukannya golongan kaya mahupun peniaga berjaya, kebanyakannya anak muda dan rakyat daripada golongan pertengahan yang sudah pasti membeli dari gedung dan toko-toko milik peniaga kaya.

Malahan jika mereka faham akan penerangan mengenai GST ia bukan isu yang terke­na ke batang hidung mereka tetapi batang hidung peniaga dan pengusaha yang selama ini sudah memasukkan bayaran GST yang tidak sah dalam harga barang jualannya.

Apa yang dapat dilihat sejak beberapa tahun ini, kita melihat fenomena orang kaya semakin kaya dan pihak yang menghentam kerajaan semakin mewah kehidupan mereka berbanding rakyat yang mengundi mereka dalam pilihan raya.

Dulu sebelum mendapat kuasa hasil undi orang miskin hari ini apabila Kerajaan Pusat mahu melaksanakan dasar percukaian yang menguntungkan orang miskin mengapa ia dihalang. Bukankah percubaan pun belum dan pelaksanaan masih jauh, isu GST ibarat lebih sudu dari kuah dimainkan oleh pembangkang.

Tidakkah pemimpin pembangkang dan penyokong mereka sedar, bahawa semua dasar kerajaan tidak pernah mendapat tempat di fikiran mereka hanya yang ada rasa emosi menebal dalam segala isu hingga GST yang baik untuk orang miskin dianggap sebagai menekan rakyat.

Kalau orang miskin hendak menonton wayang pun tidak mampu dan makan di restoran berhawa dingin jauh sekali, bagaimana GST boleh menyebabkan mereka tertindas? Rakyat nilaikanlah sendiri betapa pemimpin pembangkang begitu taksub membela orang kaya dan peniaga yang mengenakan cukai dua kali kepada pengguna dalam kelekaan kita membeli-belah.

Hari ini kita lihat sendiri betapa pening­nya Kerajaan Pusat mengawal ekonomi akibat permainan kartel dan peniaga yang menggunakan pelbagai helah demi memanipulasi harga barangan dan perkhidmatan. Tidakkah pemimpin pembangkang sedar apabila cukai meningkat kerajaan akan mempunyai banyak pendapatan untuk pembangunan bukan sebaliknya.

Justeru sedarlah kepada manusia yang mahu mengganyang kerajaan sampai tumbang bahawa GST dilaksanakan demi memberi keadilan kepada rakyat yang ditekan oleh peniaga dengan cukai dua kali yang tersembunyi.

Beratus negara melaksanakan GST dan negara tersebut mempunyai sumber yang kukuh untuk memberi bantuan wajar kepada rakyat seperti persekolahan, belanja membuat sekolah malahan belanja untuk kelahiran anak anda di hospital kerajaan seperti Hospital Shah Alam yang sudah hampir siap di Seksyen 7.

Kepada rakyat nilaikanlah siapa yang bijak menyalurkan bantuan sistematik kepada rakyat dan siapa yang lebih rela menjadi soldadu pemimpin yang bukan sahaja bijak memainkan isu agama malahan isu air yang merupakan asas kehidupan. Teruskan GST demi orang miskin dan menghapuskan peniaga yang kejam.

* PENULIS ialah bekas peguam dan penulis bebas

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140502/re_07/Yang-berhimpun-itu-tahukah-apa-sebenarnya-yang-mereka-bantah#ixzz30obu6olF  © Utusan Melayu (M) Bhd

GST - Himpunan gagal capai matlamat



SEBAHAGIAN peserta bantahan pelaksanaan GST menyertai perarakan di Dataran Maybank, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 1 Mei - Perhimpunan membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) anjuran pakatan pembangkang di Dataran Merdeka, bukan sahaja gagal mencapai matlamat utamanya untuk menarik ratusan ribu orang, malah ia dijadikan medan oleh pemimpin pembangkang melemparkan dakyah kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Selain itu, matlamat kononnya untuk menjadi perhimpunan itu bagi menumbangkan kerajaan hanyalah omong kosong apabila peserta yang mula berkumpul sejak pukul 1 petang, mula beredar dari kawasan dataran tersebut pada pukul 4.30 petang.

Seperti perhimpunan pembangkang sebelum ini, ia turut menyaksikan perlanggaran Akta Perhimpunan Aman apabila ada peserta membawa kanak-kanak ke perhimpunan hari ini.

Walaupun membantah GST dikatakan menjadi matlamat utama, namun perhimpunan kali ini menunjukkan tiada sepakatan dan dijadikan platform bagi sesetengah pihak menonjolkan diri mereka di hadapan khalayak.

Ini termasuklah sekumpulan pemuda Cina yang mengaku mengamalkan homoseksual dengan membawa sepanduk yang tertera perkataan, 'Kami homoseksual, kami menentang GST' dan 'Tidak kira saya tidur dengan siapa, tetapi saya menentang GST'’.

Kecelaruan juga timbul apabila ada peserta turut membawa sepanduk-sepanduk yang sama sekali tiada kaitan dengan matlamat perhimpunan seperti tuntutan ro­yalti minyak untuk Kelantan dan kes kematian Teoh Beng Hock. Malah lebih melucukan ada pula kelompok melaungkan slogan mengecam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Apa dikesalkan, perhimpunan itu juga menjadi medan kepada pemimpin-pemimpin pembangkang yang berucap untuk menyebar dakyah termasuk melakukan fitnah terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan.

Antara isu yang difitnah oleh mereka termasuklah kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, pembunuhan model Mongolia, Altantuya Sharibu dan mengecam hukuman penjara ke atas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut menarik perhatian ialah kehadiran ribuan penyokong Pas yang dikatakan peserta majoriti perhimpunan itu walaupun mereka menyedari PKR dan DAP menentang keras pelaksanaan hukum hudud di Kelantan melalui usaha Pas untuk membentangkan Rang Undang-undang persendirian berhubung perkara itu di Dewan Rakyat, pada Jun atau Disember ini.

Sementara itu, menyedari perhimpunan kali ini gagal untuk mencetuskan kekecohan bagi menarik perhatian media asing, penyokong pembangkang cuba menggunakan taktik kotor apabila menyebarkan dalam laman sosial berita kononnya ada pemimpin pembangkang termasuk Anwar ditahan dan seorang anggota Unit Amal Pas mati ditikam ketika pergaduhan dengan anggota Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Mereka juga turut menyebarkan gambar seorang pemuda yang didakwa sebagai suspek kes itu digari dan terbaring di atas pengusung.

Pergaduhan dikatakan berlaku apabila peserta SAMM dikatakan mahu merempuh hadangan bagi memasuki kawasan padang di Dataran Merdeka dan tindakan itu dihalang oleh Unit Amal Pas.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa anggota SAMM bertindak ganas dengan menyerang petugas media yang membuat liputan sehingga ia mencetuskan kekecohan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140502/je_01/Himpunan-gagal-capai-matlamat#ixzz30oP4DnGh  © Utusan Melayu (M) Bhd

GST demi mantapkan negara

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
dan SAFINA RAMLI
pengarang@utusan.com.my




NAJIB Tun Razak beramah mesra dengan penjawat awam selepas merasmikan Hari Pekerja Penjawat Awam 2014 bertemakan Penjawat Awam Tiang Seri Negara di Dewan Seri Wawasan Jitra, Kubang Pasu, Kedah, semalam. Turut kelihatan Mukhriz Tun Mahathir. - BERNAMA

KUBANG PASU 1 Mei - Datuk Seri Najib Razak menegaskan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) merupakan langkah kerajaan untuk memantapkan hasil demi menjamin masa depan negara dan kebajikan rakyat.

Perdana Menteri turut menyeru rakyat supaya berfikir secara rasional dan bukan mengikut perasaan berhubung pelaksanaan GST walaupun ada pihak membuat bantahan mengenainya di ibu negara hari ini.

Katanya, GST adalah keperluan supaya negara tidak berdepan himpitan ekonomi pada masa depan yang akhirnya mengundang kesusahan dan penderitaan kepada rakyat.

"Proses ini mesti kita teruskan kerana kalau kita tidak buat perubahan, maka kita akan berdepan himpitan kepada ekonomi yang akhirnya boleh membawa kesusahan dan penderitaan kepada rakyat.

"Sebab itu GST akan dapatkan hasil yang mantap untuk kerajaan. Saya minta kepada semua supaya memahami akan 'nawaitu' (niat) kerajaan. 'Nawaitu' kerajaan adalah untuk melakukan perubahan," katanya.

Beliau berucap dalam majlis sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam 2014 bertemakan Penjawat Awam Tiang Seri Negara di Dewan Seri Wawasan Jitra di sini.

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Azih Muda.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, langkah memperkenalkan GST yang dijangka dilaksanakan pada April tahun depan juga bertujuan mengupayakan kemampuan kewangan kerajaan agar lebih kukuh, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

"Sebagai kerajaan, kita perlu lakukan kedua-duanya. Kita perlu sebuah ekonomi yang ada kemampuan kerajaan, keyakinan dunia kepada kita bertambah dan ekonomi kukuh berkembang. Kita perlukan pasaran modal yang lebih memberangsangkan, kalau ini terjadi penambahan pelaburan akan berlaku.

"Saya percaya kalau kita fikir rasional, kita faham setiap dasar yang kerajaan buat bertujuan untuk kebaikan rakyat. Jangan lihat dalam tempoh sehari dua. Inilah pertimbangan yang harus ada pada kita," katanya.

Tambah beliau, kerajaan tidak menjanjikan sesuatu perkara yang tidak mungkin dapat ditunaikan semata-mata untuk meraih sokongan atau populariti tanpa memikirkan kemudaratan.

"Bila nak buat sesuatu kita timbang dengan teliti dan gunakan pertimbangan adil. Kalaulah Presiden CUEPACS hendak elaun diperbaiki, gaji ditambah, maknanya kita perlu kepada hasil bertambah. Dari mana nak mencari dananya kalau tak ada hasil untuk nak biaya pertimbangan ini," katanya.

Jelasnya, pertimbangan seumpama itu oleh kerajaan telah membawa kejayaan kepada negara walaupun dunia kini berhadapan krisis ekonomi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140502/dn_02/GST-demi-mantapkan-negara#ixzz30oGsM1EP  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Monday, 28 April 2014

GST - Perhimpunan GST: Tindakan tegas jika ingkar APA 2012

PENERIMA Tokoh Ulul Albab, Amjad Hakim iaitu pelajar tingkatan dua menerima sijil disampaikan oleh Mohd. Khalil Yaakub sambil disaksikan Ahmad Zahid Hamidi (kiri), Idris Haron (dua kiri) dan Mohd. Ali Rustam (kanan) pada Majlis Perasmian Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab di Masjid Tanah Melaka, semalam. - MINGGUAN Gaie Uchel

ALOR GAJAH 26 April - Kementerian Dalam Negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap penganjur serta sesiapa yang terbabit dalam perhimpunan membantah cukai barang dan perkhidmatan (GST) sekiranya mereka didapati tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun kementerian membenarkan perhimpunan yang bakal diadakan awal bulan hadapan itu diadakan tetapi ia perlu mengikut garis panduan ditetapkan serta tidak mengganggu ketenteraman awam.

Namun begitu, tegasnya, beliau tidak akan memberi amaran sekiranya didapati ada dalam kalangan penganjur yang tidak mematuhi sebarang syarat dikenakan dalam akta tersebut.

"Kita (kementerian) beri peluang untuk mereka mengadakan perhimpunan aman tetapi jika melakukannya di luar daripada syarat diberikan, maka mereka harus menanggung risiko daripada pelanggaran syarat berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Sekolah Menengah Imitiaz Ulul Albab, Masjid Tanah yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron; Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin.

Jelas Ahmad Zahid, beliau turut menasihatkan penganjur me­ngubah lokasi perhimpunan ke Stadium Merdeka disebabkan kerja-kerja baik pulih sedang dijalankan di Dataran Merdeka.

Namun begitu, ujarnya, pihak penganjur hanya boleh menggunakan stadium berkenaan setelah mendapat kebenaran daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang bertanggungjawab terhadap stadium tersebut.

"Kami telah menyarankan agar pihak penganjur tidak menggunakan Akta Perhimpunan Aman sebagai alasan untuk mereka me­ngadakan perhimpunan di Dataran Merdeka.

"Kalau mereka tidak berpuas hati dengan apa juga isu termasuk GST, maka mereka boleh menyatakan dengan alasan dalam perhimpunan berkenaan secara aman di stadium tersebut," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140427/dn_06/Perhimpunan-GST-Tindakan-tegas-jika-ingkar-APA-2012#ixzz309JS7DM2  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Tuesday, 8 April 2014

POLITIK - Itu dakyah pembangkang

Ahmad Fauzi

KUALA LUMPUR 7 April - Rakyat diminta tidak terpedaya dengan dakyah pembangkang kononnya pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) boleh dimansuhkan sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) ditumbangkan.

Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) berkata, pemimpin-pemimpin pembangkang memberi gambaran kurang tepat apabila mendakwa pelaksanaan GST di beberapa negara seperti Kanada dan Australia merupakan faktor yang membawa kepada peralihan parti yang memerintah.

Menurut beliau, andaian itu dibuat berdasarkan kepada kejayaan Parti Liberal yang berpendirian anti-GST menewaskan Parti Progresif Konservatif pimpinan Brian Mulroney pada pilihan raya Kanada 1993.

"Perlu diingat bahawa Parti Liberal pimpinan Jean Chretien bukan sahaja memungkiri janji untuk memansuhkan GST malah meneruskannya sehingga menyebabkan dua ahli Parlimen dari parti tersebut iaitu Sheila Copps dan John Nunziata meletak jawatan.

"Kerajaan Kanada selepas itu sehingga di bawah pimpinan Perdana Menteri sekarang, Stephen Harper tidak berani memansuhkan GST," katanya ketika membahaskan usul Rang Undang-Undang GST 2014 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Ahmad Fauzi, situasi sama turut berlaku di Australia apabila Perdana Menteri selepas John Howard iaitu Kevin Rudd, Julia Gillard dan Tony Abbott tidak memansuhkan pelaksanaan GST.

Malah, jelas beliau, Parti Liberal pimpinan Howard yang berkempen menentang GST pada pilihan raya Australia 1996 telah melaksanakan sistem percukaian itu pada 1 Julai 2000.

"Sekiranya Kanada dan Australia menjadi rujukan oleh pakatan pembangkang dalam isu GST, maka saya cukup yakin mereka juga akan melakukan perkara yang sama iaitu pura-pura menolak GST tetapi setelah memegang kuasa, mereka akan meneruskannya," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20140408/pa_01/Itu-dakyah-pembangkang#ixzz2yFvLK3cE  © Utusan Melayu (M) Bhd 









POLITIK - Kesan positif GST malapetaka kepada pembangkang

Ikmal Hisham

KUALA LUMPUR 7 April - Pakatan pembangkang membantah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana kesan positif daripada pelaksanaan sistem percukaian tersebut akan mengundang malapetaka politik kepada mereka.

Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) berkata, pelaksanaan GST bukan sahaja mampu mengukuhkan ekonomi negara malah turut menyumbang kepada peningkatan taraf hidup rakyat.

Menurut beliau, pakatan pembangkang sebenarnya takut apabila ekonomi negara kukuh dan rakyat gembira dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan.

"Saya yakin ketakutan pakatan pembangkang terhadap GST yang kadangkala bagaikan hantu yang memburu mereka di siang hari bukanlah kerana GST tidak baik kepada negara.

"Sebaliknya, saya yakin pakatan pembangkang bimbang pelaksanaan GST akan mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN)," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang GST 2014 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ikmal Hisham menambah, bantahan terhadap GST dilakukan kerana pakatan pembangkang tiada lagi modal untuk memburuk-burukkan kerajaan sekali gus menghalang niat songsang mereka meraih sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Beliau memberitahu, pakatan pembangkang tidak sepatutnya menghasut rakyat untuk menentang pelaksanaan GST tahun depan.

"Biarlah rakyat menilai sendiri apabila GST dilaksanakan. Sama ada ia baik atau tidak, biarlah rakyat menentukannya," ujarnya.

Namun, Ikmal Hisham yakin impian pakatan pembangkang untuk melihat kerajaan BN tumbang selepas GST dilaksanakan tidak akan menjadi realiti.

"Apabila GST dilaksanakan, sokongan kepada BN bukan sahaja akan bertambah kukuh malah semakin meningkat khususnya dalam Dewan Rakyat.

"Situasi tersebut akan berlaku kerana apabila GST dilaksanakan, rakyat akan sedar betapa bijaknya kerajaan BN mentadbir negara sekali gus menolak segala tohmahan dan dakyah pembangkang terhadap pelaksanaan cukai ini," jelasnya.

Berikutan kejayaan pelaksanaan GST itu, beliau percaya rakyat akan menolak pakatan pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 setelah menyedari hakikat bahawa mereka hanyalah saudagar mimpi, pedagang janji dan penjual ilusi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20140408/pa_02/Kesan-positif-GST-malapetaka-kepada-pembangkang#ixzz2yFtlj1Vz  © Utusan Melayu (M) Bhd 


KOMEN : PUAK PEMBANGKANG NI KUAT KENCING DAN TEMBERANG AJE... FITNAH NOMBOR WAHI....