Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label SUKAN. Show all posts
Showing posts with label SUKAN. Show all posts

Thursday, 18 June 2015

ACA mahu Malaysia anjur semua acara pada Sukan SEA 2017

17 Jun 2015 1:14 AM


MOHD. HARRIF SALLEH menyumbangkan dua pingat emas buat skuad berbasikal dalam Sukan SEA 2015 menerusi acara kriterium dan lepas beramai-ramai.

MELAKA – Peluang skuad kebangsaan untuk meraih lebih tujuh pingat emas pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur tampak cerah selepas Kongres Persatuan Berbasikal Asean (ACA) merayu agar Malaysia menganjurkan semua acara berbasikal seperti lebuh raya, trek, BMX dan berbasikal bukit (MTB) pada temasya dwitahunan itu.

Presiden ACA, Datuk Abu Samah Abd. Wahab berkata, usul tersebut telah dibawa oleh beberapa negara termasuk Thailand, Indonesia serta Vietnam dan ia diluluskan sebulat suara dalam Kongres ACA yang diadakan di Singapura pada minggu lalu.

Tambahnya, Thailand misalnya kecewa dengan tindakan negara penganjur Sukan SEA 2015, Si­ngapura yang hanya menganjurkan acara lebuh raya dan mencicirkan acara tradisi lain seperti trek, BMX serta MTB.

“Thailand telah mendesak Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA 2017 agar kembali menjadikan lebuh raya, trek, BMX dan MTB sebagai acara wajib pada temasya di Kuala Lumpur. Usul tersebut kemudian dipanjangkan lagi oleh Vietnam dan Indonesia.

“Malah Myanmar juga menjelaskan bahawa, ia turut menjadikan lebuh raya, BMX dan MTB sebagai acara di Nay Pyi Taw pada 2013.

“Kongres kemudian secara sebulat suara meluluskan usul mendesak Malaysia menganjurkan acara lebuh raya, trek, BMX dan MTB pada pengunjuran akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Abu Samah yang juga Naib Pre­siden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menjelaskan, andai usul tersebut diterima oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA 2017, lebih 18 emas bakal diraih daripada disi­plin basikal.

Ujar beliau, sekurang-kurangnya sembilan atau sepuluh emas bakal dipertaruhkan menerusi acara trek, manakala tujuh emas dalam acara lebuh raya di samping tiga masing-masing dalam acara MTB dan BMX.

Beliau menjelaskan, ACA akan menulis kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berhubung usul tersebut seterusnya akan mendesak perkara itu dibentangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Abu Samah yang juga Presiden PKBM percaya, penampilan semua acara trek pada Sukan SEA 2017 hampir pasti membolehkan Malaysia menuai lebih tujuh emas sebagaimana diraih pada edisi 2011 di Jakarta, Indonesia.

“Saya juga percaya acara trek Sukan SEA 2017 akan diadakan pada arena baru yang bertaraf Kategori Satu. Saya dimaklumkan Velodrom Nilai akan siap sebelum bermulanya Sukan SEA 2017,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji persembahan pasukan negara yang meraih lima pingat, termasuk dua emas dihadiahkan oleh Mohd. Ha­r­rif Salleh dalam Sukan SEA 2015.

Kemenangan tersebut menamatkan kemarau 10 tahun acara lebuh raya sejak kali terakhir Suhardi Hassan menang emas di Manila, Filipina pada 2005.

Raih banyak emas andai Malaysia anjur semua kategori berbasikal pada Sukan SEA 2017

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/berbasikal/aca-mahu-malaysia-anjur-semua-acara-pada-sukan-sea-2017-1.103832#sthash.N3uZzVPv.dpuf

Thursday, 24 July 2014

SUKAN KOMANWEL XX - Buruan pingat bermula



GLASGOW - Pemburuan pingat oleh kontinjen negara dalam Sukan Komanwel di sini akan bermula secara rasmi hari ini.

Upacara perasmian temasya sukan yang melibatkan 6,500 atlet dari 71 buah negara itu diadakan di Celtic Park di sini kira-kira pukul 3 pagi tadi waktu Malaysia.

Edisi ke-20 ini adalah yang ketiga dianjurkan oleh Scotland selepas dua kali diadakan di Edinburgh pada 1970 dan 1986.

Sepanjang penyertaan Malaysia dalam temasya Sukan Komanwel sejak 1950, kontinjen negara meraih dua pingat emas di Victoria, Kanada pada 1994; 10 emas di Kuala Lumpur (1998), tujuh emas di Manchester, England (2002) dan Melbourne, Australia (2006) serta pencapaian terbaik iaitu 12 emas di New Delhi, India (2010).

Pada temasya kali ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menetapkan sasaran tujuh pingat emas, jauh lebih rendah daripada pencapaian di New Delhi dengan 12 pingat emas.

Bagaimanapun, jumlah sasaran itu dipersetujui Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Majlis Sukan Negara (MSN) disifatkan sebagai realistik berdasarkan situasi semasa dan pengguguran beberapa acara kegemaran Malaysia oleh negara penganjur.

Untuk edisi kali ini, kontinjen negara diwakili 269 orang atlet dan pegawai. Daripada sejumlah 179 orang atlet, 135 daripadanya adalah atlet elit, lima atlet pelapis, 30 atlet luar program Majlis Sukan Negara dan sembilan atlet paralimpik.

Malaysia hanya akan menyertai 14 daripda 17 jenis sukan yang merangkumi 130 acara iaitu 67 acara lelaki, 55 acara wanita serta lapan acara sukan para.

Acara sukan yang akan disertai Malaysia ialah akuatik (renang dan terjun), angkat berat, badminton, berbasikal, boling padang, gimnastik (artistik dan berirama), hoki, judo, menembak, olahraga, pingpong, ragbi, skuasy dan tinju.

Untuk makluman, kejayaan merangkul pingat oleh atlet-atlet kurang upaya juga akan dikira dalam jumlah kedudukan pingat negara.

Pencapaian terbaik atlet paralimpik negara dalam temasya Sukan Komanwel ialah merangkul satu perak dan tiga gangsa pada edisi 2002 di Manchester.

Pada tahun ini, sejumlah lima acara sukan menawarkan 22 pingat kepada atlet paralimpik dan ia merupakan jumlah tertinggi setakat ini.

Antara fakta menarik untuk edisi Sukan Komanwel kali ini ialah pingat emas ke-3,000 akan dianugerahkan pada temasya kali ini sejak ia diperkenalkan buat kali pertama pada 1930.

Sementara itu maskot Sukan Komanwel Glasgow, Clyde, bukanlah sejenis haiwan seperti dalam temasya-temasya terdahulu tetapi adalah pokok bunga Thistle yang menjadi lambang Scotland dan nama Clyde pula diinspirasikan daripada nama sungai yang mengalir di sekitar Glasgow. - BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140724/su_05/Buruan-pingat-bermula#ixzz38LObgWFJ  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN KOMANWEL XX - Misi tebus kekecewaan di Delhi

Oleh FADHILUL IZMEL ISHAK
sukan@utusan.com.my

PASUKAN boling padang negara bergambar bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (depan, lima dari kiri) di Perkampungan Atlet Sukan Komanwel di Glasgow semalam.

KUALA LUMPUR - Selepas gagal membawa pulang pingat emas pada Sukan Komanwel di New Delhi empat tahun lalu, skuad boling padang negara memasang impian untuk menebus kekecewaan mereka itu di Glasgow.

Skuad boling padang wanita yang diketuai Nor Hashimah Ismail optimis misi itu mampu direalisasikan di Glasgow berikutan prestasi pasukan negara kini di tahap yang menyakinkan.

"Berdasarkan prestasi dan sesi latihan yang dilakukan saya yakin pasukan negara mampu memperolehi pingat emas. Ini merupakan kali kelima saya menyertai Sukan Komanwel dan sudah pasti saya akan menggunakan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki untuk memastikan emas menjadi milik negara.

"Empat tahun lalu kami tewas di tangan England dalam acara beregu wanita jadi tahun ini kami akan menggunakan keringat kami sepenuhnya bagi memastikan emas menjadi milik negara. Kami akan memberi fokus kepada pihak lawan terutamanya Australia, Scotland dan Afrika Selatan yang merupakan saingan kuat kami," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Skuad boling padang telah menjadi sandaran kontinjen negara untuk menuai emas di Sukan Komanwel setiap kali temasya itu berlangsung. Bagaimanapun untuk edisi kali ini Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) hanya mensasarkan sebutir emas berikutan prestasi mereka dalam temasya 2010 di New Delhi.

Nor Hashimah, 43, pernah memenangi acara bertiga dalam Sukan Komanwel Melbourne 2006 nyata gembira apabila pada tahun ini dia menyertai acara beregu dan berempat, sekali gus memberi kelebihan untuk menambah koleksi pingat.

"Pada edisi kali ini kami berasa bertuah kerana setiap pemain diberi peluang untuk beraksi dalam dua acara, jadi kami lebih bersemangat untuk menambah bilangan pingat dan sudah pasti emas menjadi sasaran kami,"ujar Nor Hashimah lagi, yang perak bersama Zuraini Khalid empat tahun lalu.

Bagi acara beregu wakil negara diletakkan di Seksyen A dan akan bertemu Papua New Guinea pada Isnin depan, Ireland Utara pada hari berikutnya, Niue Island dan Australia pada 30 Julai.

Dalam acara berempat Malaysia ditempatkan di Seksyen B akan memulakan cabaran dengan bertemu Niue Island pada Isnin depan, diikuti India dan Ireland Utara pada 25 Julai serta Fiji sehari kemudian.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140724/su_02/Misi-tebus-kekecewaan-di-Delhi#ixzz38LLmmUr8  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN KOMANWEL XX - Azizul tekad balas dendam

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

DUA pelumba negara, Mohd. Rizal Tisin (kanan) dan Edrus Yunos menjalani latihan di Velodrom Sir Chris Hoy di Arena Emirates, Glasgow semalam, untuk persiapan akhir sebelum acara berbasikal trek bermula hari ini. - AFP

KUALA LUMPUR - Jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang bertekad untuk memenangi pingat emas acara keirin pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland bagi menebus kekecewaan dialaminya empat tahun lalu.

Ketika Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, pingat emas keirin yang diraih Azizulhasni ditarik balik apabila pelumba itu dibatalkan oleh pegawai pertandingan atas dakwaan membuat kayuhan yang amat agresif hingga mengganggu pelumba lawan.

Bagaimanapun, Malaysia bernasib baik apabila pingat emas tersebut diberikan kepada rakan sepasukan Azizulhasni, Josiah Ng.

Kata Azizulhasni, persiapan untuk temasya Glasgow telah berlangsung dengan baik selain berpuas hati dengan prestasi semasanya ketika ini.

Tambah pelumba dari Terengganu itu, tumpuannya dalam penyertaan kali ini lebih kepada untuk menebus kekecewaan di New Delhi dalam acara keirin.

"Sasaran peribadi, saya sentiasa nak menang terutama kalau dalam saingan besar seperti ini (Sukan Komanwel) dan buat masa ini saya sasarkan pingat untuk acara keirin.

"Jika dapat meraih lebih banyak pingat itu adalah bonus kerana cabaran kali ini jauh lebih besar daripada edisi di New Delhi," kata Azizulhasni.

Saingan trek dalam Sukan Komanwel 2014 dijadual bermula esok dengan acara pecut akan menjadi tumpuan utama manakala keirin akan bermula pada Ahad.

Azizulhasni menjangkakan bakal menerima saingan lebih sengit kali ini daripada pelumba Australia dan New Zealand.

"New Zealand ketika ini memegang status juara dunia dan prestasi mereka sejak dua tahun lalu memang banyak meningkat manakala pelumba-pelumba Australia memang sentiasa berada di tahap terbaik.

"Malah saingan pada Sukan Komanwel kali ini juga sukar untuk dijangka kerana semua pelumba yang hadir adalah bertaraf dunia selain telah mencipta pelbagai kejayaan," jelas Azizulhasni.

Pada temasya sama empat tahun lalu pasukan berbasikal negara hanya mampu meraih satu emas, satu perak dan satu gangsa.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140724/su_01/Azizul-tekad-balas-dendam#ixzz38LKOr7bw  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Wednesday, 23 July 2014

SUKAN KOMANWEL XX - Cabaran Nur Ayuni berakhir sebelum mula menembak


NUR Ayuni Farhana

GLASGOW - Nur Ayuni Farhana Abdul Halim datang ke sini dengan semangat berkobar-kobar tetapi kini berputih mata setelah disingkirkan daripada acara menembak selepas jaket pertandingannya hilang semasa dalam perjalanan ke sini.

Nur Ayuni memenangi pingat emas bersama Nur Suryani Taibi dalam acara air rifle 10 meter berpasangan di New Delhi empat tahun lalu turut mengambil acara itu pada edisi kali ini, selain rifle prone 50 meter.

Pengurus pasukan, Musa Omar berkata, penembak itu tidak mempunyai pilihan selain daripada menarik diri selepas bagasinya hilang dan dipercayai berada di London. Bagaimanapun bagasinya gagal dijumpai sehingga hari pendaftaran peserta semalam manakala pertandingan akan bermula esok.

"Dia merupakan pemenang pingat emas pada edisi lalu dan sekarang dia tidak berkesempatan untuk bertanding. Ini sudah pasti merungsingkannya dan saya berasa simpati terhadap Nur Ayuni," kata Musa kepada media Malaysia semalam.

"Kami sudah membuat laporan mengenai kehilangan bagasinya. Kami menanti selama tiga hari dan hari ini (semalam) merupakan hari terakhir untuk membuat pengesahan nama peserta.

"Peraturan pertandingan jelas menyatakan penembak rifle perlu memakai jaket.

"Kami cuba untuk meminjam daripada peserta lain namun tidak muat dan kami berusaha untuk mendapatkan yang baharu namun Nur Ayuni mengatakan dia memerlukan dua bulan untuk membiasakan diri dengan jaket baharu," katanya.

Tambah Musa, Nur Ayuni tidak berhenti menangis dan mahu segera pulang ke Malaysia apabila dimaklumkan dia tidak dapat bertanding.

Bagaimanapun Musa berkata, Nur Ayuni akan terus tinggal bersama pasukan di sini dan memberi sokongan kepada Muslifah Zulkifli yang dipertanggungjawabkan untuk menggalas tugasnya dalam acara air rifle 10 meter dan Suryani yang bertanding pada Sukan Olimpik 2012 ketika mengandung 30 minggu akan menggantikannya dalam acara rifle prone 50 meter. - REUTERS

"Lesen untuk senjata api semuanya menggunakan nama Nur Ayuni dan disebabkan itu kami tidak boleh menghantarnya pulang.

"Nasib tidak menyebelahi kami tambahan pula dia terlalu memikirkan hal ini. Kami sedih apabila melihat keadaannya," kata Musa.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140723/su_06/Cabaran-Nur-Ayuni-berakhir-sebelum-mula-menembak#ixzz38GsZRqYz  © Utusan Melayu (M) Bhd 






Sukan Komanwel XX - 5 rebut emas badminton perseorangan lelaki


Rajiv Ouseph

GLASGOW - Jaguh badminton England, Rajiv Ouseph percaya terdapat lima pemain berpotensi meraih pingat emas acara perseorangan lelaki dalam Sukan Komanwel kali ini selepas jaguh nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menarik diri daripada temasya tersebut.

Chong Wei yang telah memenangi empat pingat emas pada dua temasya lalu tidak dapat turut serta pada Sukan Komanwel kali ini kerana mengalami kecederaan paha.

Ketiadaan jaguh No.1 dunia itu menjadikan pemain seperti Chong Wei Feng dari Malaysia, Kashyap Parupalli dari India dan Ouseph antara pilihan dalam saingan perseorangan lelaki.

Ouseph yang tewas kepada Chong Wei dalam perlawanan akhir di New Delhi empat tahun lalu berpendapat ketiadaan jaguh utama dunia itu mampu menjadikan persaingan lebih terbuka.

"Kini semua berpeluang untuk menang. Ketiadaan pemain terbaik dunia pada saingan ini umpama satu kehilangan yang besar namun dalam masa sama mampu membuatkan anda lebih berusaha untuk menjadi yang terbaik.

"Di sini juga ada empat atau lima pemain yang dilihat berpotensi untuk muncul sebagai pemenang dan saya salah seorang daripada mereka.

"Mendapatkan pingat emas di sini adalah satu keutamaan dan apa sahaja boleh berlaku terutama dengan ketiadaan Chong Wei.

"Kami yang turut serta pada temasya ini mempunyai tahap permainan yang tidak terlalu jauh dan perlu bekerja keras andai mahu memenangi perlawanan," kata Ouseph.

Sementara itu, dalam saingan perseorangan wanita juga menyaksikan saingan bakal berlangsung tanpa penyertaan penyandang pingat emas empat tahun lalu, Saina Nehwal dari India yang mengalami kecederaan kaki.

Ketiadaan pemain itu menjadikan rakan senegaranya, pemain berusia 19 tahun, PV Sindhu sebagai pilihan utama manakala Kirsty Gilmour dari Scotland sebagai pilihan kedua. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140723/su_05/5-rebut-emas-badminton-perseorangan-lelaki#ixzz38GqVQEhJ  © Utusan Melayu (M) Bhd 




Mohd. Fauzan tangguh ke Glasgow kerana kemalangan


MOHD. Fauzan Ahmad Lutfi melihat kerosakan Proton Exora miliknya yang kemalangan dengan sebuah lori di KM247, Lebuh Raya Utara-Selatan, menghala utara, dekat Seremban malam semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR - Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi sepatutnya akan ke Glasgow semalam tetapi terpaksa menangguhkan pemergiannya kerana mengalami kemalangan jalan raya semalam.

Pelumba itu kemalangan di KM247 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Seremban, malam semalam, menyebabkan ketua jurulatih skuad lebuh raya, Aminuddin Sulaiman membuat keputusan menangguhkan pemergian pelumba itu ke Sukan Komanwel.

Katanya, ini bagi memberi ruang kepada Mohd. Fauzan untuk berehat secukupnya dan memulihkan mental dan fokusnya.

"Keadaan Fauzan baik, alhamdulillah. Dia hanya mengalami kecederaan ringan, tetapi isterinya dimasukkan ke wad tetapi tidak lama malam tadi (malam semalam).

"Buat masa ini, kami beri Fauzan rehat dahulu dan kami minta pihak (MSN) uruskan tiket untuk dia pergi kemudian. Lagipun tidak sempat kerana pukul 4 pagi tadi segala urusan baharu selesai," katanya ketika dihubungi semalam.

Hanya dua pelumba lebuh raya akan mewakili negara iaitu Mohd. Fauzan dan Loh Sea Keong yang mengikuti latihan bersama pasukan Giant Shimano.

Atlet berusia 28 tahun itu sepatutnya berlepas ke Glasgow, Scotland bersama Aminuddin dalam penerbangan semalam manakala Sea Keong dari Amsterdam.

Dalam kejadian pada kira-kira 11.30 malam itu, Mohd. Fauzan nyaris maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang dipandunya merempuh sebuah lori yang melintang di tengah-tengah lebuh raya itu.

Pemandu lori berkenaan, Abas Baharom, 44, terbunuh di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan serius dan putus betis kanan.

Ketika kejadian Mohd. Fauzan bersama isteri Norasikin Omar, 31, sedang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama pasukan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) di Melaka.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140723/su_04/Mohd-Fauzan-tangguh-ke-Glasgow-kerana-kemalangan#ixzz38GpKapdn  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Sukan Komanwel XX - Glasgow sudah bersedia, atlet teruja


Pengurus skuad bola sepak Scotland, Gordon Strachan (kanan) bergaya untuk jurugambar ketika dia membawa baton Sukan Komanwel di trek Stadium Hampden Park di Glasgow semalam. - AFP

GLASGOW - Beribu-ribu atlet dan pegawai telah tiba di Glasgow dalam suasana keterujaan untuk menyertai upacara pembukaan dan perasmian Sukan Komanwel XX di Celtic Park hari ini.

Kelmarin sahaja lebih 1,000 atlet dari 25 negara tiba di Lapangan Terbang Glasgow untuk menyertai Sukan Komanwel termasuk dari Bangladesh, New Zealand, India dan Singapura.

Pemain bag pipe menyambut tetamu dengan tradisi orang Scotland, memastikan mereka berasa dialu-alukan sebelum menaiki kenderaan ke Perkampungan Atlet.

Secara keseluruhannya kira-kira 6,500 atlet dan pegawai kini mengisi rumah-rumah di Perkampungan Atlet di East End di sini sehinggalah tamat temasya selama 11 hari ini.

Setiap kontinjen diberikan majlis selamat datang ke perkampungan itu.

Majlis itu dihoskan oleh nama-nama besar dalam sukan yang termasuk legenda ragbi, Gavin Hastings, jaguh Olimpik paling berjaya dari Scotland, Chris Hoy dan gimnas Scotland pertama menang emas iaitu Steve Frew.


BEBERAPA atlet olahraga menjalani latihan di Stadium Hampden Park di Glasgow semalam sebagai persediaan terakhir untuk bersaing dalam Sukan Komanwel yang akan dirasmikan hari ini. - AFP

Ketua Perkampungan, Tony Sainsbury berkata: "Suasana di perkampungan ini sekarang sungguh baik dengan beribu-ribu atlet menyesuaikan diri dan tidak sabar untuk beraksi dalam acara masing-masing. Mereka terutamanya seronok kerana terdapat begitu banyak jenis makanan yang kami sediakan di dewan makan dan kafe-kafe di perkampungan ini."

Hari ini kesemua kontinjen akan menyertai 2,000 anggota yang membuat persembahan untuk Upacara Pembukaan di hadapan 40,000 penonton di Celtic Park. Selain itu, upacara itu juga berkemungkinan akan ditonton oleh lebih 1.5 bilion penonton dari rumah masing-masing di seluruh dunia.

Pihak tuan rumah menjanjikan majlis pembukaan yang spektakular dan penuh dengan kejutan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140723/su_01/Glasgow-sudah-bersedia-atlet-teruja#ixzz38GkUY6q3  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Wednesday, 28 May 2014

Tengku Abdullah tepati ramalan, menang Presiden FAM

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan FADHILUL IZMEL ISHAK
sukan@utusan.com.my



Sultan Ahmad Shah menyampaikan watikah penyerahan tugas kepada anakandanya, Tengku Abdullah yang terpilih sebagai Presiden FAM yang baharu menggantikan baginda dalam pemilihan sempena Kongres FAM ke-50 di Shah Alam semalam. - Utusan/Nasirruddin Yazid

SHAH ALAM - Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memenangi jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2014-2018 dalam pemilihan sempena Kongres FAM ke-50 semalam, yang berlangsung sengit dan mendebarkan apabila dibuat dua pusingan.

Seperti diduga, penyandang, Sultan Ahmad Shah mengambil keputusan menarik diri pada pemilihan kali ini semasa menyampaikan ucapan perasmian kongres dan menjadikan pemilihan presiden hanya melibatkan dua calon iaitu Tengku Abdullah dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pada pusingan pertama, Tengku Abdullah meraih 24 undi sementara Tunku Ismail mendapat 15. Pengundian terpaksa dilakukan sekali lagi kerana berdasarkan Artikel 39.2 bagi pemilihan jawatan presiden, majoriti dua pertiga diperlukan jika terdapat tiga calon memandangkan nama Sultan Ahmad Shah masih terdapat dalam kertas pengundian kerana lewat menarik diri.

Apabila keputusan pengundian pusingan kedua diumumkan Tengku Abdullah berjaya mendapat tambahan tiga undi daripada perwakilan, menjadikan 27 undi manakala Tunku Ismail terpaksa berpuas hati dengan 12 undi.

Sementara itu, kejutan berlaku dalam pemilihan timbalan presiden apabila calon popular, Datuk Seri Subahan Kamal tewas kepada Datuk Seri Afandi Hamzah dan muka baharu, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad.

Afandi mendapat 27 undi dengan Mokhtar yang sebelum ini dilabelkan calon underdog, meraih 26 undi untuk menduduki tempat kedua - meninggalkan Subahan yang merupakan Naib Presiden FAM sebelum ini dengan 25 undi.

Bagi empat jawatan Naib Presiden pula menyaksikan Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin meraih perhatian apabila mendapat undi paling tinggi dengan 28 undi diikuti Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Rozabil Abdul Rahman, 27 undi, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman, 26 undi dan Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM),Datuk Takiyuddin Hassan, 21 undi.

Dalam sidang akhbar pertamanya selaku presiden FAM, Tengku Abdullah berkata, beliau tetap memerlukan sokongan daripada semua pihak terutama Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail sambil mengingatkan peminat bola sepak agar jangan terlalu cepat membuat penilaian terhadapnya apabila mengambil alih jawatan itu.

“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada mereka yang berjaya dan pada yang gagal, jangan patah semangat dan patut berbangga ke­rana dicalonkan.

“Sebagai Presiden, saya bersedia mendengar pendapat semua pihak dan menghulurkan tangan kepada sesiapa sahaja, saya memerlukan bantuan daripada semua pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung, termasuk TMJ juga.

“Banyak perkara perlu diperbetulkan terutamanya dalam melakukan audit, kewangan, pentadbiran dan hal-hal lain, tambahan pula 10 daripada 15 exco terdiri daripada muka-muka baharu.

“Nilailah saya dalam tempoh empat tahun, janganlah tunggu hingga 30 tahun dan bersabarlah menunggu perubahan daripada saya. Tidak guna juga pelbagai perubahan dilakukan tetapi para pemain tidak ada sikap mahukan kejayaan," katanya.

Jawatan exco pula menjadi milik Datuk Yusof Mahadi, Abdul Aziz Yeop Jamaludin, Datuk S. Sivasundram(penyandang), Alijus@Mohd Ali Sipil, Datuk Osman Salleh(penyandang), Goh Ah Chai, Datuk Mohd. Junid Noor dan Datuk Othman Aziz sementara Exco Wanita yang kali pertama diperkenalkan dimenangi Brig. Jen. Datuk Norhuda Ahmad dan Normala Md. Yusof.

Sebanyak 20 badan gabungan terdiri daripada 39 perwakilan layak mengundi dengan setiap persatuan diberikan hak dua undi manakala Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia mempunyai kelayakan satu undi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140526/su_02/Tengku-Abdullah-tepati-ramalan-menang-Presiden-FAM#ixzz32yiLZ6Xg  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Thursday, 27 March 2014

F1 - Tragedi MH370 bayangi Grand Prix Malaysia






Nico Rosberg (kiri) dan Lewis Hamilton turut melahirkan rasa simpati kepada keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370.

KUALA LUMPUR - Malaysia bakal menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu paling suram dalam sejarah 15 tahun penganjurannya hujung minggu ini dengan tragedi yang menimpa pesawat malang, MH370 bakal membayangi saingan.

Pada ketika juara dunia, Red Bull mengancam untuk menarik diri dan peraturan baharu bahan api yang diperkenalkan oleh pe­nganjur menerima reaksi bercampur baur daripada pasukan-pasukan Formula Satu, perlumbaan itu berdepan ujian besar yang jarang berlaku.

Tindakan pemilik Red Bull, D­ietrich Mateschitz yang mengancam untuk memboikot perlumbaan ekoran tindakan penganjur membatalkan kejayaan pemandunya, Daniel Ricciardo daripada menduduki tangga kedua Grand Prix Australia, dua minggu lalu memburukkan lagi keadaan.

FIA, badan yang mengawal sukan Formula Satu mendapati, jentera yang digunakan oleh pemandu Australia itu melanggar peraturan penggunaan bahan api, salah satu peraturan baharu yang diperkenalkan musim ini.

Begitupun bagi kebanyakan pasukan, perlumbaan hujung minggu ini akan dimulakan dengan penuh kesedihan ekoran tragedi yang menimpa pesawat MH370, yang disahkan hilang di tengah-tengah Lautan Hindi.

Bagi mereka, kedudukan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang amat hampir dengan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), lokasi di mana MH370 berlepas, membuatkan perlumbaan itu amat dekat dengan tragedi tersebut.

Malah, Formula Satu secara tidak langsung juga menjadi ‘sebahagian’ daripada peris­tiwa malang itu apabila pusat media dan beberapa anggota keluarga penumpang MH370 terpaksa dipindahkan dari hotel penginapan mereka untuk memberi laluan kepada tetamu perlumbaan.

Terdahulu, penganjur juga meng­umumkan konsert Twin Tower yang dijadual berlangsung pada 28 dan 29 Mac, sempena perlumbaan tersebut turut dibatalkan bagi menghormati tragedi yang berlaku. Penyanyi ter­kenal, Christina Aguilera antara yang dijadual membuat persembahan.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali membe­ritahu, jumlah kehadiran penonton di­jangka tetap tinggi biarpun perlumbaan dibayangi tragedi, di mana 30 peratus tiket pada hari saingan sudah habis dijual.

Pemandu Mercedes, Nico Rosberg dan Lewis Hamilton antara yang melahirkan rasa simpati mereka terhadap kepada keluarga penumpang serta anak kapal MH370.

“Semua doa dan rasa simpati saya mengiringi keluarga serta rakan-rakan penumpang dan anak kapal MH370," tulis bekas juara dunia, Hamilton dalam akaun Twitter miliknya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140327/su_02/Tragedi-MH370-bayangi-Grand-Prix-Malaysia#ixzz2x7YGn39W  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN - Vettel, Franklin Atlet Terbaik Dunia


Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my




Sebastian Vettel, Missy Franklin

KUALA LUMPUR - Kejayaan merangkul kejuaraan Formula Satu dunia buat kali keempat berturut-turut tahun lalu membolehkan Sebastian Vettel dinobat sebagai Atlet Lelaki Terbaik pada Anugerah Dunia Sukan Laureus 2013, manakala kemenangan sensasi perenang remaja Amerika Syarikat, Missy Franklin pada Kejohanan Dunia melayakkannya muncul Atlet Wanita Terbaik.

Majlis anugerah berprestij itu yang julung kalinya diadakan di Asia Tenggara, berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur semalam, sambil turut disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pemandu Jerman yang beraksi buat pasukan Red Bull, Vettel berjaya mengetepikan cabaran nama-nama besar lain, termasuk jaguh pecut Jamaica yang juga pemenang anugerah tiga kali, Usain Bolt dan Pemain Bola Sepak Terbaik Dunia, Cristiano Ronaldo.

Turut berada dalam senarai ak­hir pencalonan adalah bintang tenis Sepanyol, Rafael Nadal, Mo Farah (olahraga) dan LeBron James (bola keranjang).

“Saya telah memberi yang terbaik di atas trek. Berada dalam se­narai akhir pencalonan dalam kalangan atlet terbaik di planet ini adalah satu penghormatan.

“Menerima anugerah ini adalah sangat istimewa. Di sini saya dapat berjabat tangan dengan legenda dan bintang sukan lain.

“Saya sangat menghormati mereka, ini adalah saat istimewa dan saya duduk bersebelahan Tony Hawk, di mana saya membesar melihat serta bermain permainan videonya," kata Vettel.

Sementara itu, kejayaan Franklin, 18, melakar kemenangan sensasi dengan merangkul enam pingat emas pada Kejohanan Renang Dunia di Barcelona, tahun lalu memboleh­kannya mengetepikan atlet senior seperti Serena Williams (tenis), Yelena Isinbayeva (olahraga) dan Shelly-Ann Franser-Pryce. Turut tersenarai ialah Nadine Angerer (bola sepak) dan Tina Maze (ski).

“Bagai mimpi menjadi kenya­taan. Pertama sekali saya ingin mengucapkan takziah di atas tragedi MH370. Saya melihat kembali video kejayaan saya dan tidak mempercayainya, saya juga bertemu ramai legenda sukan di sini. Inilah kali pertama saya datang ke Malaysia, terima kasih semua termasuk ibu bapa saya," kata Franklin yang turut terkenal dengan jolokan Missile Missy.

Kejayaan meraih gelaran treble tahun lalu membolehkan Ba­yern Munich merangkul anugerah Pasukan Terbaik Dunia dengan mengetepikan pasukan ragbi New Zealand (All Blacks), pasukan bola sepak kebangsaan Brazil, pemain tenis beregu Amerika Syarikat, Bob dan Mike Bryan, pasukan bola keran­jang, Miami Heat dan pasukan F1, Red Bull.

Pelumba MotoGP dari Sepanyol, Marc Marquez berjaya me­raih Anugerah Atlet Baharu Paling Menonjol di atas kejayaannya menjadi pelumba termuda memenangi kejuaraan dunia tahun lalu pada usia 20 tahun 266 hari.

Anugerah Kebangkitan Dunia Laureus pula diraih pemain tenis sensasi Sepanyol, Nadal yang bergelut dengan kecederaan sebelum bangkit semula tahun lepas dengan memenangi dua kejuaraan Grand Slam, Terbuka Perancis dan Amerika Syarikat serta lima kejua­raan Master ATP.

Sementara itu Najib mengucapkan tahniah kepada semua pemenang, sambil menegaskan, anugerah ini bukan hanya untuk sukan semata-mata.

“Anugerah ini bukan hanya untuk sukan semata-mata, malah melibatkan pelbagai program termasuk dari segi pendidikan seperti mana yang dilakukan di Brazil," kata Perdana Menteri dalam ucapan pembukaan.

Jaguh badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei antara atlet tempatan yang dijemput mengha­diri anugerah berprestij ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140327/su_01/Vettel-Franklin-Atlet-Terbaik-Dunia#ixzz2x7UFXxas  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Friday, 21 March 2014

MANC. U - Hatrik Van Persie 'selamatkan' Moyes






PENYERANG Manchester United, Robin van Persie (dua dari kanan) membuat sepakan bebas untuk gol ketiganya dalam perlawanan Liga Juara-juara menentang Olympiakos di Manchester semalam. United menang 3-0. - AFP

MANCHESTER - Robin van Persie mungkin telah menyelamatkan karier jurulatihnya, David Moyes apabila menjaringkan gol hatrik untuk membantu Manchester United melayakkan diri ke suku akhir Liga Juara-juara selepas membenam Olympiakos 3-0 di Old Trafford semalam.

Pada malam yang pasti akan dikenang oleh seluruh penyokong Red Devils itu, Van Persie menja­ringkan dua gol di babak pertama dan menambah satu pada separuh masa kedua untuk memastikan United layak menerusi agregat 3-2 selepas tewas 2-0 dalam perlawanan pertama, peringkat 16 pasukan terbaik di Greece tiga minggu lalu.

David de Gea juga wajar dipuji kerana beberapa kali menafikan percubaan Olympiakos, sekali gus melegakan Moyes yang masih dibayangi kekalahan 0-3 kepada musuh ketat, Liverpool dalam persaingan Liga Perdana Inggeris hujung minggu lalu.

"Saya tidak mahu datang ke sini untuk bercakap mengenai kekalah­an itu. Saya juga tidak mahu bercakap besar bahawa masa kami sudah tiba (kebangkitan United), tetapi saya benar-benar berharap kami bangkit," kata Moyes sejurus tamat perlawanan.

Sebelum memasuki padang, United berada di ambang penyingkiran ekoran ketinggalan dengan defisit dua gol. Moyes sedar, seandainya perkara itu berlaku ia mungkin akan merosakkan kariernya dan peminat pula akan hilang sabar.

Begitupun perlawanan berakhir dengan keputusan yang diinginkan oleh seluruh penyokong The Red Devils, malah kapten Olympiakos, Giannis Maniatis terduduk sejurus tamat permainan kerana tidak menyangka pasukannya telah mensia-siakan kelebihan 2-0 yang diperoleh sebelum berlepas ke Manchester.

Van Persie menyelamatkan Mo­yes menerusi gol pembukaan hasil sepakan penalti pada minit ke-25, sebelum melepaskan rembatan kaki kiri pada waktu kecederaan separuh masa pertama untuk kedudukan 2-0.

Tujuh minit selepas babak kedua bersambung, bintang penyerang Belanda itu menggamatkan Old Trafford dengan ledakan gol ketiga yang berpunca daripada sepakan bebas yang melencong cantik ke dalam gawang lawan.

Moyes turut menghambur pujian kepada pemain sayap veteran, Ryan Giggs, sekali gus meredakan khabar angin yang mengatakan kedua-dua watak penting United itu sedang bertelagah kerana tidak sebulu mengenai pendekatan latihan.

Pada usia yang sudah menjangkau 40 tahun, Giggs terbukti masih berbisa dengan menjadi perancang utama United di bahagian tengah, malah beraksi sepanjang 90 minit permainan.

"Dia pemain serba boleh yang sa­ngat bagus. Pada usianya sekarang, saya boleh kata dia cukup hebat," kata pengendali dari Scotland itu.

Namun begitu, kemenangan cukup bermakna buat United dan Moyes itu terpaksa dibayar de­ngan harga tinggi apabila Van Persie di­usung keluar pada minit terakhir permainan akibat kecederaan kaki.

Bagaimanapun Moyes menegaskan, kecederaan belakang lutut yang dialami penyerang berusia 29 tahun itu tidak seserius yang difikirkan.

Sementara itu bagi Olympiakos, ini adalah kekalahan mereka yang ke-12 berturut-turut di England, sekali gus menafikan peluang mereka untuk melangkah ke suku akhir buat kali pertama sejak 1999.

"Kami benar-benar tidak bernasib baik. Kami sangat terkejut de­ngan keputusan ini," kata pemain tengah Olympiakos, David Fuster. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140321/sl_01/Hatrik-Van-Persie-selamatkan-Moyes#ixzz2wYXp889H  © Utusan Melayu (M) Bhd


Thursday, 20 March 2014

Malaysia belasah China






Pemain Malaysia, Tengku Ahmad Tajudin (tengah) cuba melepaskan diri daripada kawalan ketat tiga pemain China dalam kempen Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah, Ipoh malam tadi. Malaysia menang 7-3. - UTUSAN/ANAFI KHAMIS

IPOH - Malaysia mencerahkan peluang untuk beraksi dalam perlawanan akhir apabila membelasah China 7-3 dalam perlawanan keempat di peringkat awal kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di sini malam tadi.

Skuad muda kendalian jurulatih Muhammad Dharma Raj Abdullah kalihatan begitu garang, terutama pada babak pertama apabila mendahului pasukan lawan 5-0.

Muhammad Marhan Mohd. Jalil memulakan pesta gol pasukan negara menerusi jaringan padang pada minit keenam dan empat minit kemudian ketua pasukan, Azlan Misron menambah gol kedua menerusi pukulan penalti sudut.

Skuad negara mempamerkan permainan kemas dan jarang melakukan kesilapan untuk menutup ruang yang dapat digunakan pasukan lawan untukmembuat gerakan berbahaya.

Bagaimanapun, skuad negara terpaksa menunggu sehingga ke minit ke-24 untuk menambah gol tetapi membolosi kubu China tiga kali dalam masa enam minit, bermula dengan Hakimi Jamaluddin menyempurnakan penalti sudut yang diikuti oleh jaringan padang Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil dua minit kemudian dan Shahril Saabah ketika babak pertama berbaki lima minit.

Jurulatih China, Jiang Xishang menggunakan masa rehat untuk membuat perubahan strategi menjadikan babak kedua lebih seimbang dalam usaha China mengelak daripada kalah besar.

China memperoleh gol semangat pada minit ke-44 menerusi pukulan penalti sudut E Liguang tetapi Malaysia mendahului dengan 6-1 seminit kemudian menerusi pukulan penalti Fitri Saari.

Pasukan pelawat turut dihadiahkan pukulan penalti yang disudahkan de­ngan baik oleh Du Talake untuk gol ke­dua pasukannya pada minit pada minit ke-61 tetapi sekali lagi mereka dikecewakan apabila Firhan Ashari menolak masuk penalti sudut seminit kemudian.

Enggan menyerah mudah, China agresif melancarkan serangan dan akhirnya mendapat gol ketiga menerusi Talake yang menewaskan penjaga gol Hafizuddin Othman menerusi penalti sudut.

Sementara itu, Afrika Selatan menewaskan Kanada 3-2 untuk meraih kemenangan pertamanya.

Gol-gol Afrika Selatan dijaringkan oleh Timothy Drummond, Julian Hykes dan Lungile Tsolekile manakala Kanada melalui Scott Tupper dan Matthew Guest.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140320/su_02/Malaysia-belasah-China#ixzz2wSXk7Hos  © Utusan Melayu (M) Bhd 


KOMEN : TANIAH DAN TERUSKAN PERJUANGAN...

Tuesday, 18 March 2014

HOKI - Malaysia benam cabaran Kanada






PEMAIN Malaysia, Muhammad Marhan Jalil (tengah) cuba melepaskan diri daripada kawalan dua pemain Kanada dalam perlawanan ketiga di kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh semalam yang berkesudahan skuad negara menang 3-1. - UTUSAN/Zulkarnain Mohd. Saidin

KUALA LUMPUR - Malaysia beraksi cemerlang untuk mencatat kemenangan kedua dalam kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah 2014 apabila mengalahkan Kanada 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Azlan Shah, Ipoh semalam.

Kemenangan itu meletakkan Malaysia di anak tangga ketiga dengan tujuh mata, hanya ketinggalan kepada Korea Selatan di tempat kedua menerusi perbezaan jumlah gol.

Skuad muda bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah sebelum ini menewaskan Afrika Selatan 3-2 dalam perlawanan pembukaan pada Khamis lalu dan mencatat keputusan seri 2-2 menentang Korea Selatan kelmarin untuk terus mengekalkan rekod tanpa kalah.

Kemenangan semalam sangat penting buat pasukan bimbingan Muhammad Dharma untuk mencari slot ke perlawanan akhir Ahad ini, selepas Korea Selatan berjaya menewaskan China 3-2 dalam satu lagi perlawanan.

Skuad kebangsaan berjaya membuka jaringan seawal minit keempat menerusi gerakan padang Faizal Saari selepas menerima hantaran Muhammad Marhan Jalil.

Bagaimanapun, Kanada berjaya menyamakan kedudukan 10 minit kemudian berpunca daripada pukulan sudut penalti yang disempurnakan Adam Froese.

Malaysia sepatutnya dihadiahkan pukulan penalti stroke pada minit ke-31 apabila Firhan Ashaari ditolak dalam kawasan separuh bulatan ketika cuba melakukan pukulan namun tidak diendahkan oleh pengadil.

Faizal sekali mencatat nama sebagai penjaring gol apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-46 sebelum Ahmad Kazamirul Ahmad Nasruddin mengesahkan kemenangan Malaysia melalui gol ketiga pada minit ke-67.

Esok Malaysia akan menentang China dan perlu mencatat kemenangan bagi membolehkan mereka terus mencabar kedudukan teratas liga yang sekarang ini dikuasai oleh penyandang juara, Australia dan Korea Selatan.

Australia terus unggul di anak tangga teratas selepas membelasah Afrika Selatan 7-0 dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal, sekali gus mengekalkan rekod menang dalam kesemua tiga perlawanan yang telah diharungi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140318/su_01/Malaysia-benam-cabaran-Kanada#ixzz2wHELZnv3  © Utusan Melayu (M) Bhd 


KOMEN : TAHNIAH DAN TERUS BERJUANG...

Monday, 17 March 2014

Man. U dimalukan di laman sendiri






PENYERANG Liverpool, Luis Suarez (bawah) meraikan jaringannya bersama Martin Skrtel dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Manchester United di Old Trafford, Manchester semalam. Liverpool menang 3-0. - REUTERS

MANCHESTER - Dua sepakan penalti ketua pasukan, Steven Gerrard membantu Liverpool mencatat kemenangan 3-0 ke atas musuh tradisi, Manchester United semalam untuk memboleh­kan mereka te­rus menghambat pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea.

Gerrard menjaringkan gol menerusi sepakan penalti di kedua-dua separuh masa perlawanan untuk membolehkan pasukan pelawat menguasai perlawanan dan jaringan ketiga melalui Luis Suarez melengkapkan kemenangan kedua Liverpool di Old Trafford dalam tempoh sepuluh tahun.

Liverpool tidak berasa kekok memulakan perlawanan di gelanggang lawan apabila menguasai perlawanan dan dalam tempoh sepuluh minit pertama mereka telah dua kali membuat percubaan ke arah gol menerusi penyerang, Daniel Sturridge dan pertahanan kiri mereka, Glen Johnson namun kedua-dua­nya tidak menepati sasaran.

Tersentak dengan percubaan tersebut, United bangkit untuk mencari gol pendahuluan namun percubaan Robin van Persie dari dalam petak penalti juga gagal menerjah gawang gol.

Pada minit ke-27 pertahanan United sekali lagi diuji, kali ini menerusi percubaan pemain tengah pasukan pelawat, Joe Allen namun penjaga gol, David De Gea bersedia untuk menyelamatkan rembatan bintang Wales itu.

Mimpi buruk mula melanda pasukan tuan rumah pada minit ke-32 apabila Rafael menampan bola de­ngan tangan ketika cuba mengawal Suarez di dalam kawasan gol dan pengadil perlawanan, Mark Clattenburg tidak teragak-agak memberi sepakan penalti yang mudah di­sempurnakan Gerrard, yang me­rembat ke sebelah kanan tatkala De Gea merebahkan badan ke sebelah kiri.

United cuba bangkit untuk menyamakan kedudukan dan peluang terbaik hadir pada minit ke-43 tetapi rembatan Wayne Rooney dari dalam petak penalti selepas menerima hantaran Rafael berjaya diselamatkan penjaga gol, Simon Mignolet.

Tidak sampai seminit perlawanan separuh masa kedua bersambung Liverpool dihadiahkan satu lagi sepakan penalti apabila Phil Jones merempuh Allen dan Gerrard sekali lagi tidak mempersiakan peluang yang terhidang apabila me­rembat leret ke tempat yang sama dan kali ini gagal dijangkau De Gea walaupun dia sudah merebahkan badan ke arah yang tepat.

Clattenburg menghadiahkan sepakan penalti ketiga buat Liverpool pada minit ke-76 kerana Nemanja Vidic menerjah Daniel Sturridge sehingga menyebabkan ketua pasukan United itu diperintah keluar padang kerana menerima kad kuning kedua, namun Gerrard gagal menyempurnakan peluang untuk mencatat hatrik apabila sepakannya terkena tiang kiri gawang.

Kad merah yang diterima Vidic adalah kali keempat buatnya sepanjang bertemu Liverpool iaitu kali pertama pada September 2008 (Liver­pool 2 United 1), Mac 2009 (United 1 Liverpool 4), Oktober 2009 (Liverpool 2 United 0).

Bagaimanapun, kegagalan sepakan penalti tersebut berjaya ditebus dengan gol ketiga Liverpool apabila Suarez berjaya melepasi perangkap ofsaid selepas menerima hantaran Sturridge dan tidak melepaskan peluang dengan merembat untuk menewaskan De Gea. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140317/sl_01/Man-U-dimalukan-di-laman-sendiri#ixzz2wC56ZGnq  © Utusan Melayu (M) Bhd




Malaysia bangkit ikat Korea


Oleh SAYED HESHAM IDRIS
sukan@utusan.com.my




Pemain-pemain Malaysia meraikan jaringan gol penyamaan kedua dalam perlawanan dengan Korea Selatan yang berkesudahan seri 2-2 dalam kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh semalam. - UTUSAN/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN

IPOH - Dua gol menerusi pukulan penalti sudut membantu skuad negara bangkit untuk mengikat juara Asia empat kali, Korea Selatan 2-2 pada kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di sini semalam yang turut disaksikan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

Shahril Saabah memulakan kebangkitan skuad negara yang ke­tinggalan 0-2 pada babak pertama menerusi jaringannya pada minit ke-58 untuk kedudukan 1-2. Faizal Shaari memastikan skuad negara berkongsi mata hasil jaringan pe­nya­maan pada minit ke-65.

Sebelum itu, skuad Muhammad Dharma Raj Abdullah, yang turun dengan penuh semangat ke padang Stadium Azlan Shah setelah me­ngalahkan Afrika Selatan 3-2 dalam perlawanan pembukaan Khamis lalu, bermula hambar apabila ke­tinggalan dua gol pada babak pertama.

Korea Selatan yang membariskan skuad terkuatnya pada kejohanan kali ini mudah membolosi pintu gol skuad negara pada minit ke-10 menerusi jaringan padang Oh Dae Keun.

Juara Asia empat kali itu terus mengukuhkan kedudukan 2-0 pada minit ke-30, sekali lagi menerusi Dae Keun yang menahan bola dan membuat kuisan untuk menewaskan penjaga gol muda negara, Hafizuddin Othman.

Skuad negara cuba bangkit pada babak kedua dengan beberapa asakan namun tidak menjadi sebalik­nya hampir dikejutkan dengan gol ketiga Korea Selatan pada minit ke-38, namun Hafizuddin lebih bersedia menampan percubaan pemain lawan susulan daripada pukulan penalti sudut.

Kelemahan meraih gol menerusi pukulan sudut yang menjadi masalah sebelum ini ternyata berjaya diperbaiki apabila menerusi dua situasi itu berjaya menghasilkan gol penyamaan.

Ia bermula pada ke-58 apabila Shahril Saabah bijak melakukan pukulan yang menewaskan penjaga gol lawan Lee Myung Ho untuk kedudukan 1-2.

Pada minit ke-65, Malaysia memperoleh satu lagi pukulan sudut penalti dan Faizal Shaari melakukan tolakan kemas untuk gol pen­yamaan.

Sementara itu, dalam perlawanan awal, Australia meneruskan pes­ta gol apabila membelasah Kanada 6-0 setelah mengalahkan China 7-0 dalam aksi pembukaan kejohanan Khamis lalu.

Pasukan juara bertahan itu mendahului 3-0 pada babak pertama menerusi Glenn Simpson (m-10), Jeremy Hayward (m-26) dan Nicholas Budgeon (m-35).

Australia meneruskan penguasaan pada babak berikutnya untuk menambah tiga lagi gol menerusi Rusell Ford (m-46) dan dua jaringan Jacob Whetton (m-54 dan m-64).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140317/su_01/Malaysia-bangkit-ikat-Korea#ixzz2wC3u6Ukm  © Utusan Melayu (M) Bhd


PDRM kekal peneraju Liga Perdana






KUALA LUMPUR - PDRM mengukuhkan cengkaman peneraju Liga Perdana selepas membelasah PBAPP 4-0 menundukkan PBAPP di Stadium Petaling Jaya, semalam.

Kejayaan itu menyaksikan pasukan kendalian Dollah Salleh mengutip 18 mata dan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan.

Bobby Gonzalez membuka jaringan PDRM pada minit ke-23, sebelum Mohd. Munir Amran, Charles Souza Chad dan Ali Shafaq menambah tiga lagi gol.

Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang sekadar seri 1-1 dengan Felda United. Gol tuan rumah dijaringkan oleh Buengo Andre Titi, manakala Indra Putra Mahyudin menyamakan kedudukan Felda.

Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pula mencatat kemenangan 2-0 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang menerusi jaringan kapten, Shahril Ishak pada minit ke-51 dan Braulio Nobrega Rodriguez.

Aksi di Stadium Hang Jebat menyaksikan Kedah berpesta gol menundukkan SPA Putrajaya 4-1.

Gol Kedah disempurnakan Jose Franco Gomez, Mohd. Syazwan Zainon, Adam Aidil dan Billy Mehmet.

Di Stadium Darul Aman Perlis terikat 1-1 dengan Sabah. Farouk Hashim meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-36, sebelum Marwan Sayedeh me­nyamakan kedudukan.

Aksi di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyaksikan DRB-Hicom menundukkan UiTM dengan keputusan 2-1.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140315/su_08/PDRM-kekal-peneraju-Liga-Perdana#ixzz2wBb55uWy  © Utusan Melayu (M) Bhd