Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label MALAYSIA - US. Show all posts
Showing posts with label MALAYSIA - US. Show all posts

Monday, 16 February 2015

LIWAT : Bebelan Duta AS tidak menjadi kudis, tetapi kenalah bertindak



ANEKDOT AHAD
KU SEMAN KU HUSSAIN (KUSEMANKH@GMAIL.COM) | 15 Februari 2015 12:09 AM

Amerika Syarikat (AS) telah mencabuli kedaulatan undang-undang negara ini apabila mempersoalkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Tindakan ini bukanlah kerana berteraskan hak asasi manusia tetapi lebih kepada mahu menekan Malaysia supaya membebaskan Anwar.

Hubungan Anwar dengan AS bukan rahsia lagi. Kalau buka sejarah lama, kita akan tahu bagaimana rapatnya Anwar dengan bekas Setiausaha Pertahanan AS pada era Presiden Bill Clinton, William Cohen yang juga seorang Zionis daripada Parti Demokrat. Ketika itu Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Difahamkan Cohen mengenali Anwar pada pertengahan 1990-an melalui Projek Dailog Pasifik yang dianjurkan oleh Institut Kajian Dasar (IKD) sebuah badan pemikir yang diterajui Anwar. Ditaja oleh sebuah yayasan Kristian Jerman, Konrad Adenauer Foundation (KAF).

Semua ini serba sedikit fakta untuk menunjukkan hubungan rapat Anwar dengan AS. Ini bertujuan supaya sesetengah pihak tidak "terkejut beruk" apabila Duta AS ke negara ini, Joseph Y. Yun sanggup mempersoalkan keputusan mahkamah terhadap Anwar di atas tuduhan jenayah seksual. Dia bukan mengeluarkan kenyataan peribadi tetapi mewakili pendirian negaranya.

Nampaknya kehadiran Presiden Barack Obama ke negara ini selepas hampir setengah abad Presiden AS tidak datang ke Malaysia tidak berkesan untuk mencairkan hubungan setiakawan Anwar - AS. Walaupun sesetengah pihak begitu teruja dengan kehadiran Obama seolah-olah itu “rahmat dari Tuhan” kepada negara ini, perbuatan memperlekeh undang-undang kita kenalah dibetulkan.

Apabila berlaku perkara ini, diharapkan orang yang begitu teruja dengan Obama tidak menghantuk kepala ke dinding kerana kecewa dipermainkan AS. Ada yang tidak suka tulisan yang mengkritik AS dan ini menjadikan Duta AS di Kuala Lumpur agak “besar kepala” membuatkan dia berani mengkritik undang-undang kita.

AS sepatutnya menghormati sistem demokrasi sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Dalam sistem demokrasi Malaysia, Anwar ditolak apabila pakatan pembangkang gagal memenangi pilihan raya umum sebanyak tiga kali iaitu 1999, 2004, 2008 dan 2013. Hendak dikatakan sistem pilihan raya dikawal oleh kerajaan, parti kerajaan sendiri pun kehilangan banyak kerusi dan 2013 adalah sejarah terburuk parti Barisan Nasional (BN).

Ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, layanan AS terhadap Anwar melebihi kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Salah satu sebabnya Dr. Mahathir lantang mengkritik dasar-dasar AS yang berat sebelah menindas negara-negara Islam di Asia Barat terutama di Palestin dan Iraq. Sebab itulah AS berbaik-baik dengan Anwar yang hanya selangkah sahaja lagi untuk menjadi Perdana Menteri.

Saya faham AS merupakan rakan dagang Malaysia yang besar. Misalnya nilai eksport Malaysia ke AS mencecah lebih RM80 bilion. Satu jumlah yang besar. Tetapi kita wajar memperlihatkan ketegasan dalam perkara-perkara yang melibatkan maruah dan kedaulatan negara. Tidak boleh bertolak ansur dalam perkara ini.

Walaupun kenyataan Duta AS itu boleh dianggap terpencil tetapi wajar diambil tindakan. Tujuannya membuktikan Malaysia bukan berada di bawah telunjuk AS. Malaysia bukan Iraq atau Libya di mana AS boleh menghasut rakyat negara itu bertindak tidak demokratik menukar pemimpin. Tambahan pula ini bukan kali pertama AS mencampuri hal dalaman negara ini malah sebelum ini mempersoalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Hasutan 1948.

Banyak pihak tahu bahawa yang kuat menentang Akta Hasutan 1948 dan ISA ialah pembangkang, dalam kata lain ialah Anwar. Walaupun ISA telah dimansuhkan tetapi hujah hak asasi manusia terus diperalatkan dengan sokongan AS. Malah hukuman ke atas Anwar juga dikaitkan dengan pelanggaran hak asasi.

Isu Anwar ini berbeza dengan ketegangan hubungan diplomatik antara Indonesia dan Belanda apabila Indonesia menjatuhkan hukuman mati terhadap rakyat Belanda atas kesalahan mengedar dadah. Belanda sedaya upaya mahu menyelamatkan rakyatnya. Sekiranya AS mempersoalkan hukuman ke atas Anwar yang merupakan rakyatnya, kita boleh memahami situasi itu walaupun tidak sepatutnya berlaku.

Malah isu Anwar ini juga berbeza dengan nasib bekas Perdana Menteri Pakistan, Zulfikar Ali Bhutto yang dikenakan hukuman mati oleh Jeneral Zia ul- Haq yang merampas kuasa negara itu pada 1979. Banyak negara merayu kepada Zia supaya tidak melaksanakan hukuman mati itu tetapi semua rayuan itu tidak diendahkan. Yang dilakukan oleh banyak negara ketika itu adalah atas dasar kemanusiaan dan bukan mencabuli kedaulatan undang-undang Pakistan, sekalipun hukuman itu lebih kepada dendam politik. Bagaimanapun campur tangan AS dalam kes Anwar adalah satu penghinaan terhadap sistem perundangan dan kehakiman negara ini.

Kalau benarlah ketidakadilan dan pencabulan hak asasi yang menjadi asas duta itu membebel, saya fikir AS tidak layak bercakap tentang perkara itu. Saya ada banyak hujah, salah satunya AS menggunakan Patriot Act 2001 kini dikenali sebagai USA PATRIOT (Uniting and Strengthening America by Providing Appropriate Tools Required to Intercept and Obstruct Terrorism) untuk mencabul hak asasi dan keadilan.

Akta USA PATRIOT membolehkan individu terutama bukan rakyat AS yang disyaki pengganas diseksa di kem tahanan Guantanamo. Sebahagian besarnya teraniaya dan mereka ditahan tanpa bicara serta diseksa bertahun-tahun lamanya. Ini lebih tidak bertamadun. Sebab itu AS tidak layak bercakap soal keadilan dan hak asasi manusia, mereka sendiri mencabulnya.

AS berbohong mahu menegakkan keadilan atau memperjuangkan hak asasi manusia. Itu retorik yang sudah basi. Sebab itulah kita kena menyedarkan mereka tentang hal ini. Berdiam diri dan menelan kebiadaban AS boleh menghakis keyakinan rakyat, walaupun tindakan Duta AS itu tidak boleh mengubah pandangan dunia kepada Malaysia.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/bebelan-duta-as-tidak-menjadi-kudis-tetapi-kenalah-bertindak-1.59539#sthash.YBIdiAaZ.dpuf


Tuesday, 29 April 2014

Malaysia-AS perangi keganasan

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
pengarang@utusan.com.my



KUALA LUMPUR 28 April - Malaysia akan mempertingkatkan kerjasama dua hala dalam bidang keselamatan dengan Amerika Syarikat (AS) bagi memerangi keganasan antarabangsa yang kini menjadi ancaman global.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu meliputi latihan pasukan keselamatan, program pertukaran maklumat serta penggunaan kelengkapan dan peralatan bagi memantau aktiviti yang mempunyai kaitan dengan keganasan.

Beliau berkata, kedua-dua negara sudah mempunyai persetujuan asal bagi perkongsian maklumat yang bukan hanya melibatkan usaha memerangi percambahan senjata pemusnah besar-besaran (WMD), malah semua aspek yang mempunyai kaitan dengan keganasan dan jenayah.

"Isu percambahan WMD telah disentuh secara spesifik oleh Presiden AS, Barack Obama dalam mesyuarat dua hala yang turut disertai saya di Putrajaya semalam.

"Untuk itu, latihan yang selama ini telah diberikan oleh pihak AS kepada pegawai polis dan tentera Malaysia akan terus dipertingkatkan dan saya sendiri akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai pertukaran maklumat serta latihan-latihan yang akan dilakukan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Respons Keadilan Jenayah kepada Pemerdagangan Manusia ASEAN Kali Keempat: Sokongan kepada Mangsa Pemerdagangan dalam Sistem Keadilan Jenayah, di sini hari ini.

Yang turut serta dalam bengkel tersebut ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin, Setiausaha Kehakiman Filipina, Leila M. De Lima; pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung pemerdagangan manusia terutama­nya wanita dan kanak-kanak, Dr. Joy Ngozi Ezeilo; Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Rod Smith dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohamad Khalid Shariff.

Ahmad Zahid berkata, dalam era dunia digital sekarang, kepakaran dan kemahiran pasukan keselamatan negara perlu disesuaikan dengan kecanggihan peralatan sedia ada bagi memenuhi keperluan semasa dan akan datang.

"Saya yakin selain Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia juga bersedia mengadakan program pertukaran maklumat dan menjalani kursus serta latihan lanjut di AS. Ini bagi memperkukuhkan kerjasama dengan AS," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Malaysia komited untuk memerangi pemerdagangan manusia dan ini terbukti apabila Anti Pemerdagangan Orang dan Akta Anti Penyeludupan Migran diluluskan di Parlimen pada 2007 sebelum dikuatkuasakan pada 28 Februari 2008.

Namun katanya, usaha tersebut memerlukan penyelarasan dalam kalangan negara-negara ASEAN dan luar rantau ini kerana masalah itu kini semakin kompleks dengan melibatkan negara-negara lain yang suatu ketika dahulu tidak berpotensi terlibat dengan aktiviti tersebut.

"Keadaan ini berlaku melalui sindiket dan disebabkan adanya peluang ekonomi di negara kita atau negara kita dijadikan sebagai batu loncatan untuk ke negara ketiga.

"Bagaimanapun, Malaysia telah bekerjasama dengan Indonesia supaya kedua-dua negara tidak dijadikan negara loncatan untuk ke negara ketiga seperti Australia. Kita telah berjaya mengekang beberapa aktiviti pemerdagangan manusia sebelum ini," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140429/dn_02/Malaysia-AS-perangi-keganasan#ixzz30EJKLFXR  © Utusan Melayu (M) Bhd


MALAYSIA-US - Perjanjian komersial RM6.4 bilion

Oleh JOHARDY IBRAHIM
ekonomi@utusan.com.my



BARACK Obama sambil diperhatikan oleh Najib Tun Razak berucap pada majlis pemeteraian perjanjian komersial antara syarikat Malaysia dan AS bernilai RM6.4 bilion di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 28 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama hari ini menyaksikan pemeteraian tiga perjanjian komersial antara syarikat negara ini dengan AS bernilai AS$2 bilion (RM6.4 bilion) dalam sektor penerbangan, bioteknologi dan insurans di Malaysia.

Obama dalam ucapan ringkasnya mengalu-alukan kerjasama antara pihak swasta Malaysia dan AS yang pastinya bakal mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan peluang ekonomi kepada kedua-dua negara.

"Semalam, kita bersetuju bagi perkongsian komprehensif baharu antara Malaysia dan AS, dan berusaha untuk mengembangkan ekonomi kita.

"AS sudah menjadi pelabur asing terbesar di Malaysia dan Malaysia adalah pelabur yang paling pesat berkembang di Amerika Syarikat," katanya.

Presiden AS itu berkata, mengenai masa depan, kedua-dua negara boleh mengharapkan pertumbuhan dan kemakmuran yang lebih baik lagi.

"Ini memerlukan komitmen dan peningkatan usaha, lebih bersaing, melabur lebih lagi, bukan sahaja di negara lain tetapi di seluruh rantau ini.

"Kita perlu melakukan lebih lagi untuk menggalakkan lebih banyak perdagangan dan ini termasuk mengurangkan beberapa halangan sedia ada bagi perdagangan dan pelaburan, menyokong perkongsian, eksport dan pekerjaan," katanya.

Syarikat-syarikat terbabit ialah GE Aviation dengan Kumpulan AirAsia untuk pembelian enjin 80E1 untuk 25 pesawat baharu Airbus A330-300 milik AirAsia X bernilai lebih AS$1.5 bilion (RM4.8 bilion).

Syarikat kedua ialah Kumpulan Sime Darby untuk mengambil alih 30 peratus kepentingan bernilai AS$30 juta (RM96 juta) dalam firma bioteknologi Verdezyne yang berpangkalan di San Diego, California.

Yang ketiga ialah perkongsian antara Ambank dan Metlife, yang telah melabur hampir AS$249 juta (RM812 juta) untuk membeli kepntingan dalam AmLife dan AmTakaful, sekali gus pelaburan pertama firma AS dalam pasaran takaful Malaysia.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140429/dn_01/Perjanjian-komersial-RM64-bilion#ixzz30EHrvSRQ  © Utusan Melayu (M) Bhd


Monday, 28 April 2014

MALAYSIA-US - Amerika akan terus bantu cari pesawat








PUTRAJAYA: Amerika akan terus menghulurkan apa sahaja bantuan yang diperlukan dalam penyiasatan dan misi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang, kata Presiden Barack Obama.

Pemimpin Amerika itu berkata, sejak berlakunya tragedi itu, pihak berkuasa Amerika bekerjasama rapat dengan rakan sejawatan mereka dari Malaysia dan beliau pula sentiasa berbincang dengan pasukan dari negaranya tentang perkara itu. 

"Sejak berlakunya tragedi ini, kami bekerjasama rapat dengan rakan kami dari Malaysia dan kami akan terus memberi segala bantuan yang termampu dalam urusan penyiasatan dan usaha mencari pesawat itu. 

"Saya ingin memaklumkan kepada anda bahawa Amerika benar-benar komited dalam membekalkan (apa sahaja) sumber dan aset yang kami mampu, manakala Kerajaan Malaysia pula amat mengalu-alukannya," kata beliau dalam sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Seri Perdana di sini hari ini.

Beliau juga mengaku misi mencari pesawat itu amat mencabar serta sukar dan mengambil masa yang lama.

Obama, yang sedang melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, berkata terdahulu, dalam mesyuaratnya dengan Najib, mereka berbincang tentang pengajaran yang boleh diambil daripada tragedi tersebut dan bagaimana semua negara boleh bekerjasama dalam usaha mencari selanjutnya.

Amerika adalah antara negara paling awal menyertai operasi mencari pesawat yang sepatutnya mendarat di Beijing itu apabila ia hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal pada awal pagi 8 Mac. 

Operasi mencarinya yang melibatkan pelbagai negara dilancarkan di Laut China Selatan dan kini pencarian ditumpukan di selatan Lautan Hindi, lokasi terakhir penerbangan itu dikesan sebelum isyaratnya hilang sama sekali. 

Sehingga kini, bukti berkaitan pesawat malang itu belum dijumpai. 

Obama juga menyampaikan ucapan takziah rakyat Amerika kepada keluarga mereka yang hilang bersama pesawat itu. 

"Saya amat memahami keadaan yang dialami keluarga terbabit, mereka mahukan jawapan dan (apa) yang paling penting (adalah) seperti yang saya nyatakan kepada Perdana Menteri Najib iaitu ketelusan sepenuhnya, mengenai apa yang kita tahu dan apa yang kita tidak tahu, bagaimana prosesnya berjalan," kata beliau. 

Terdahulu, Najib merakamkan penghargaan Malaysia atas bantuan Amerika dalam menghadapi tragedi itu. 

"Sejak dua bulan lepas, kekukuhan persahabatan antara kami didedahkan untuk pengetahuan semua, sejak hari hilangnya MH370. Amerika menghulurkan kepakaran mendalamnya dari segi penyiasatan serta kemampuan dan aset uniknya dalam usaha mencari. 

"Kami amat berterima kasih kepada Tuan kerana sanggup bersama Malaysia ketika kami berdepan dengan kesusahan," kata Najib. 

Pada peringkat awal operasi mencari pesawat MH370 di Laut China Selatan dan Selat Melaka, Amerika menggunakan pelbagai aset dan kepakarannya, termasuk kapal pemusnah periuk api USS Kidd daripada Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika. 

Negara itu juga menggunakan USS Pinckney, kapal pemusnah kelas Arleigh Burke daripada tentera Laut Amerika bersama dua pesawat pengintip P-8 dan sebuah pesawat P-3C Orion Tentera Laut Amerika yang dilengkapi radar untuk pencarian jarak jauh dan peralatan komunikasi. 

Dalam misi mencari di selatan Lautan Hindi berhampiran Australia pula, Amerika menghantar hidrofon Towed Pinger Locator dan Kenderaan Dalam Air Autonomi dikenali sebagai Bluefin-21. 

Di samping itu, Amerika juga menghantar pakarnya termasuk daripada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB) dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan untuk membantu dalam penyiasatan dan usaha mencari pesawat MH370. 

Empat daripada penumpang pesawat malang itu adalah warga Amerika. - Bernama

MALAYSIA0US - Obama akhiri lawatan ke Malaysia, berlepas ke Manila pagi ini




PRESIDEN Amerika Syarikat, Barack Obama melambai tangan sebelum berangkat ke Manila menaiki pesawat 'Air Force One' di Lapangan Terbang TUDM Subang, hari ini bagi meneruskan lawatan kerja ke Asia. - Foto Aizuddin SaadSUBANG: Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia dengan pesawat Air Force One yang membawanya berlepas ke Manila, Filipina jam 10.20 pagi ini dari pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.

Lawatan obama melakar sejarah dalam tempoh 50 tahun selepas lawatan pertama oleh Presiden Lyndon B. Johnson. 

Antara yang hadir untuk mengucapkan selamat jalan kepada Obama ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. 

Destinasi seterus presiden AS ialah Filipina, hentian terakhir dalam siri lawatan beliau ke empat negara Asia. 

Sebelum Malaysia, beliau melawat Jepun dan Korea Selatan. 

Atur cara terakhir Obama adalah menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian komersial antara syarikat Malaysia dan Amerika bernilai AS$2 bilion dalam sektor penerbangan, bioteknologi dan insurans.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut hadir pada majlis itu yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur. 

Kedua-dua pemimpin mengadakan mesyuarat dua hala di pusat pentadbiran Malaysia di Putrajaya pada Ahad yang menyaksikan Malaysia dan AS bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Komprehensif.

AS juga berjanji untuk terus membantu Malaysia dalam operasi dan penyiasatan untuk mengesan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac.

Sepanjang lawatan itu, Obama antara lain menghadiri sesi perjumpaan tidak formal dengan pemimpin belia dari Asia Tenggara dan melawat Masjid Negara.

Presiden juga menghadiri jamuan negara bersama-sama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara beberapa jam selepas tiba di negara ini kelmarin.

MALAYSIA-US - Obama hargai komitmen Najib



Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersama Barack Obama ketika menerima kunjungan Presiden Amerika Syarikat itu di Seri Perdana, Putrajaya, semalam.

KUALA LUMPUR 27 April - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di atas komitmennya membantu usahawan muda di Malaysia.

Beliau berkata, komitmen Najib itu dibuktikan menerusi inisiatif kerajaan mewujudkan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).

Menurutnya, kejayaan MaGIC melahirkan produk-produk inovatif dan berteknologi tinggi membuktikan pelaburan Malaysia dalam inisiatif tersebut telah membuahkan hasil.

"Kami berpeluang melihat beberapa inovasi rekaan usahawan muda iaitu aplikasi dalam talian bagi membantu pelajar membuat persembahan digital, go-kart elektrik dan jam tangan khas bagi pesakit kencing manis.

"Saya dan Najib sentiasa memberi galakan kepada kegiatan keusahawanan sebegini," katanya ketika menyampaikan ucapan ringkas di hadapan 40 pelajar sekolah yang terlibat dalam projek pengaturcaraan komputer di bangunan MaGIC di Cyberjaya hari ini.

Terdahulu, Obama diiringi Najib dan Pengerusi MaGIC, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah mengunjungi pameran produk Hypoband, Piktochart dan go-kart Dream Edge di ruang legar bangunan berkenaan.

Presiden AS itu percaya golongan muda di bawah bimbingan MaGIC akan terus mencipta lebih banyak produk berinovatif apabila mereka dewasa kelak.

"Saya amat teruja untuk melihat apa yang bakal berlaku kepada usahawan-usahawan muda di sini serta perkara membanggakan yang mereka akan lakukan ke arah kemajuan Malaysia, rantau ini dan dunia," ujarnya.

Sementara itu, Najib dalam ucapan ringkasnya mengumumkan, dataran di pekarangan bangunan MaGIC dinamakan sebagai Obama Oval mulai hari ini.

"Nama itu adalah bagi memperingati kunjungan Obama ke Malaysia," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140428/dn_05/Obama-hargai-komitmen-Najib#ixzz309WmmOmA  © Utusan Melayu (M) Bhd

MALAYSIA-US - Obama, Najib ulas isu Anwar dan hak asasi manusia










KUALA LUMPUR 27 April - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyatakan perbincangan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini turut menyentuh hak asasi manusia dan kebebasan bersuara di negara ini.

Jelas beliau, agenda itu sentiasa menjadi keutamaan beliau dalam mana-mana lawatan dilakukan memandangkan masih banyak ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan.

"Saya tidak bertemu dengan Datuk Seri Anwar (Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim), saya juga tidak bertemu dengan banyak orang lain tetapi ini tidak bermakna saya tidak menitikberatkan (isu hak asasi manusia).

"Apa yang saya telah kongsikan dengan Perdana Menteri Najib adalah prinsip asas sebuah masyarakat yang menghormati perintah undang-undang, kebebasan bersuara, hak untuk membangkang walaupun tidak menyenangkan, kebebasan berhimpun dan rasa hormat terhadap anggota masyarakat yang berbeza agama serta pendirian politik, ini semua adalah ukuran masyarakat yang berjaya pada abad ke-21," katanya dalam sidang akhbar yang turut disertai Najib di Seri Perdana di sini hari ini.

Obama menjawab soalan seorang wartawan media asing yang bertanya sama ada beliau menitikberatkan atau tidak isu hak asasi manusia dan kebebasan bersuara di Malaysia apabila memutuskan tidak bertemu dengan Anwar.

Sementara itu, menurut Najib, Malaysia adalah antara negara yang terkehadapan dalam menegakkan prinsip hak asasi manusia apabila memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menggubal Akta Perhimpunan Aman.

Dalam kes liwat melibatkan Anwar, beliau berkata, di sisi undang-undang, semua individu mempunyai hak keadilan yang sama walau sekecil atau sebesar mana kedudukannya, tidak elok untuk saya ulas lebih lanjut kes yang masih berada dalam proses mahkamah," katanya.

Terdahulu, dalam meraikan kehadiran Obama, Najib berkata, Malaysia telah banyak berubah sejak lawatan Presiden Lyndon B. Johnson pada tahun 1966 dan negara majoriti muslim serta pelbagai etnik ini sedang pesat menuju kemodenan.

"48 tahun lalu, seorang Presiden AS telah memijakkan kakinya di tanah Malaysia, ketika itu televisyen adalah hitam putih, kumpulan The Monkees menjuarai carta lagu AS dengan lagu 'Last Train to Clarksville dan filem 'The Sound of Music' memenangi Anugerah Akademi.

"Hari ini, Tuan Presiden, anda tidak melihat pokok-pokok getah sebagaimana Lyndon B. Johnson saksikan tetapi pencakar-pencakar langit yang melambung tinggi, ini adalah petunjuk transformasi yang berlaku di Malaysia," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140428/dn_04/Obama-Najib-ulas-isu-Anwar-dan-hak-asasi-manusia#ixzz309Vi7Z30  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MALAYSIA-US - Pentingnya lindungi keselamatan maritim



PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ceria dalam sidang akhbar bersama selepas mengadakan mesyuarat dua hala di Seri Perdana, Putrajaya, semalam. - BERNAMA

PUTRAJAYA 27 April - Malaysia dan Amerika Syarikat menegaskan pentingnya melindungi ke-selamatan maritim serta menjamin kebebasan pelayaran dan penerbangan di seluruh rantau ini, termasuk laluan perair-an penting di Laut China Selatan.

Perkara ini terkandung dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas rundingan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di sini pada Ahad.

"Kedua-dua pemimpin menegaskan tentang perlunya semua pihak terbabit menyelesaikan pertikaian wilayah dan maritim mereka secara aman, termasuk melalui timbangtara antarabangsa," katanya.

Mereka berkata penyelesaian pertikaian itu perlu dibuat mengikut prinsip undang-undang antarabansga yang diterima sejagat, termasuk Konvensyen Bangsa Bersatu Mengenai Undang-undang Laut.

"Kedua-dua pemimpin menegaskan tentang perlunya semua pihak terbabit mengelak daripada menggunakan kekerasan, ugutan atau paksaan serta mengawal diri ketika menjalankan aktiviti," katanya.

Kata kenyataan itu, Najib dan Obama mengakui tentang perlunya ASEAN dan China berusaha de-ngan gigih untuk mempercepatkan penggubalan satu Kod Tata Laku (COC) di Laut China Selatan.

"Perdana Menteri dan Presiden mengulangi penegasan tentang kepentingan pelaksanaan secara penuh dan berkesan deklarasi me-ngenai tata laku pihak berkenaan di Laut China Selatan dalam meningkatkan sikap saling mempercayai dan meyakini dalam kalangan semua pihak yang terbabit," katanya.

China, Taiwan dan empat negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Malaysia, Filipina dan Vietnam terlibat dalam pertikaian wilayah di Laut China Selatan.

Mengenai Pergerakan Kesederhanaan Global yang diilhamkan Malaysia, kedua-dua pemimpin memuji matlamatnya untuk meningkatkan persefahaman dan sikap sederhana dalam kalangan rakyat daripada pelbagai agama melalui peningkatan penglibatan antara kerajaan dengan kerajaan dan rakyat dengan rakyat.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa Obama memuji peranan penting Malaysia dalam memudahkan proses damai di selatan Filipina hingga membawa kepada pemeteraian Perjanjian Komprehensif Mengenai Bangsamoro, baru-baru ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140428/dn_02/Pentingnya-lindungi-keselamatan-maritim#ixzz309TnxBAR  © Utusan Melayu (M) Bhd

 

AS-Malaysia tingkat kerjasama

Oleh KAMIL MASLIH
dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
pengarang@utusan.com.my




NAJIB Tun Razak dan Barack Obama mengetuai delegasi negara masing-masing dalam mesyuarat dua hala Malaysia-Amerika Syarikat sempena lawatan Obama ke negara ini di Putrajaya , semalam. -BERNAMA

PUTRAJAYA 27 April - Kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) hari ini mencapai persetujuan untuk meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara itu ke peringkat kerjasama komprehensif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bidang kerjasama tersebut antaranya meliputi ekonomi, keselamatan, pendidikan, sains dan teknologi.

"Malaysia juga mengalu-alukan tumpuan AS terhadap Asia dan sumbangannya kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini," katanya dalam sidang akhbar yang turut disertai Presiden AS, Barack Obama di Seri Perdana di sini.

Menurut Najib, Malaysia dan AS juga bersetuju meningkatkan lagi peranan Dialog Pegawai-pegawai Kanan sebagai forum utama perbincangan peringkat tinggi agar lebih banyak kerjasama dapat diadakan kelak.

Dari segi keselamatan, Perdana Menteri berkata, beliau dan Obama bersetuju meningkatkan kerjasama dalam latihan misi pengaman di samping Malaysia bersetuju menyokong prinsip Proliferation Security Initiative (Perjanjian Kawalan Senjata Nuklear) bagi mengekang senjata pemusnah besar-besaran (WMD).

Berhubung isu di Laut China Selatan, beliau dan Obama sepakat menekankan betapa pentingnya mendukung prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Undang-Undang Laut.

Dalam pada itu, Najib juga menghargai sokongan AS terhadap ASEAN dan Sidang Kemuncak Asia Timur serta keyakinan AS terhadap peranan Malaysia bagi mempengerusikan ASEAN pada tahun hadapan.

"Dalam kita bersiap sedia untuk mempengerusikan ASEAN dan membida tempat sebagai anggota tidak tetap dalam Majlis Keselamatan PBB, kita berharap dapat mempromosikan lagi keamanan sejagat serta kestabilan serantau," katanya.

Kata Najib, pada bulan lalu sahaja, Malaysia telah membantu menjayakan pemeteraian perjanjian damai di selatan Filipina bagi menamatkan konflik yang telah meragut nyawa 150,000 orang serta menghalang Al-Qaeda dan sekutunya daripada kemungkinan bertapak di rantau ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140428/dn_01/AS-Malaysia-tingkat-kerjasama#ixzz309SWJkdV  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MALAYSIA-US - Signifikan lawatan Obama

Oleh MUSTAFA KAMAL BASRI



PRESIDEN Amerika Syarikat Barack Obama setibanya di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang bagi rangka lawatan ke ibu negara selama tiga hari bermula semalam.

Lawatan Presiden Barack Obama ke Malaysia selama tiga hari, bermula semalam bakal mencipta sejarah tersendiri dan membawa hubungan Malaysia-Amerika Syarikat (AS) ke fasa baharu, setelah ditunda sebelum ini.

Obama sebelum ini dijadualkan melawat Malaysia pada Oktober lalu, tetapi terpaksa dibatalkan setelah AS berdepan krisis pentadbiran apabila Kongres AS gagal meluluskan satu bajet khas Persekutuan, ekoran perbalahan berhubung rang undang-undang penjagaan kesihatan yang diutarakan oleh Obama, sehingga hampir melumpuhkan kerajaannya.

Lawatan sulung Presiden AS itu ke negara ini dalam tempoh 48 tahun, dilihat bukan sahaja bakal menguntungkan Malaysia sebelah pihak, tetapi juga kepada AS sendiri.

Selepas beberapa siri lawatan ke Asia sebelum ini, Obama menyedari beliau tidak boleh mengabaikan lawatannya ke negara-negara Islam di rantau ini, terutama negara-negara Islam berfahaman sederhana seperti Malaysia bagi memperbaiki imej AS di dunia Islam.

Daripada segi politik, lawatan Obama ke Malaysia kali ini, bukan sahaja merupakan satu penghormatan kepada Malaysia tetapi juga pengiktirafan kerajaan AS kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang memperolehi mandat daripada rakyat setelah BN memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 pada tahun lalu.

Lawatan Obama merupakan lawatan keyakinan kerajaan AS terhadap Malaysia setelah hubungan Washington-Kuala Lumpur agak kurang memberangsangkan semasa era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (1981-2003) yang sering mengkritik keras polisi luar Washington, kata penganalisis.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam taklimat kepada media di Wisma Putra kelmarin sempena lawatan Obama ke negara ini mengakui kunjungan Presiden AS itu akan membawa lembaran baharu dalam hubungan dua hala Malaysia-AS, selepas hampir 50 tahun pentadbiran AS mengabaikan kepentingan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Kali terakhir Presiden AS melawat Malaysia ialah pada 1966 oleh Presiden Lyndon B. Johnson.

Sejak lebih setengah abad, kepentingan AS banyak ditumpukan di rantau Asia Barat, serta menangani kebangkitan komunis dan melalui fasa perang dingin dengan blok komunis diketuai Kesatuan Soviet, dan diikuti kempen memerangi keganasan di seluruh dunia.

Imej AS di mata dunia Islam sangat buruk semasa kempen memerangi keganasan kerana pentadbiran AS sering melihat dunia Islam seolah-olah sebagai ‘musuh’ terutama semasa era Bush yang sering mengaitkan keganasan dengan Islam.

AS juga sudah lama mengabaikan kepentingan di rantau ini, selepas banyak memberi tumpuan di Asia Barat dan terlalu memberi fokus kepada kempen memerangi keganasan.

Konflik di Syria dan isu pertikaian di Laut China Selatan dan Laut China Timur serta krisis di Ukraine mendorong AS untuk menilai semula strateginya dengan memberi fokus kepada Asia Timur bagi mengimbangi kuasa China di rantau ini.

Namun, AS berhati-hati dalam menyatakan kehadirannya di rantau ini, bukan sahaja bagi mengelakkan kemarahan China tetapi juga daripada segi strategi, dengan mengubah pendekatan daripada berpendirian sebagai paksi (pivot) kepada mengimbangi (rebalancing).

Merebut peluang

Dasar pivot lebih menjurus kepada meningkatkan cengkaman dan membina kekuatan tentera yang dilihat sangat tidak disukai oleh China dan dengan mengubah pendekatan itu kepada rebalancing ia bukan sahaja dilihat lebih lembut tetapi juga membawa faedah lebih besar kepada AS tanpa membangkitkan kemarahan China.

Dengan dasar mengimbangi semula pengaruhnya di rantau ini, AS bukan sahaja dapat memberi perlindungan keselamatan kepada sekutu-sekutunya di rantau ini seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Filipina daripada ancaman China dalam isu-isu melibatkan pertikaian wilayah maritim tetapi juga dapat merebut peluang-peluang ekonomi di rantau ini.

Banyak pihak melihat lawatan Presiden AS itu mempunyai dua agenda utama iaitu untuk mempengaruhi pemimpin-pemimpin rantau ini termasuk Jepun dan Malaysia menerima Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang lebih menguntungkan AS dan kedua adalah untuk mengukuhkan kedudukannya di rantau ini.Walaupun banyak pihak termasuk di Malaysia mengkritik lawatan Obama ke Asia kali ini, namun lawatan Presiden AS itu ke Malaysia sangat signifikan kerana ia dapat meningkatkan keyakinan pelabur untuk melabur di negara ini, terutama pelaburan dari Amerika, selain merancakkan lagi iklim perniagaan di Malaysia dan meningkatkan eksport.

Peningkatan hubungan dua hala AS-Malaysia akan dapat menjadi sinergi bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi di Malaysia dengan kemasukan pelaburan baharu dari AS, selain keyakinan pelabur dari negara lain, kerana lawatan Obama itu, sekali gus memberi gambaran keyakinan AS terhadap politik dan iklim pelaburan di negara ini, selain Malaysia sebuah negara yang bebas daripada ancaman keganasan dan selamat untuk membuat pelaburan.

Banyak pihak mendakwa lawatan Obama ke Malaysia adalah bagi memberi tekanan kepada Malaysia supaya menandatangani TPPA. Anifah menjelaskan Malaysia tidak akan menggadaikan kedaulatan negara dan mengetepikan kepentingan dan hak Malaysia sebelum menandatangani perjanjian itu.Blok perjanjian itu mengandungi 12 negara anggota termasuk Malaysia dan menguasai 40 peratus daripada perdagangan dunia.

Menurut Anifah, banyak rundingan perlu diadakan terlebih dahulu sebelum perjanjian itu boleh ditandatangani, selain ia perlu dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan sebelum diluluskan.

Katanya, kedatangan Obama ke Malaysia bukan untuk memberi tekanan kepada Malaysia atau untuk memihak, kerana Obama sendiri menyedari Malaysia mempunyai pendirian tersendiri berhubung dasar luar dan domestiknya dan fahaman kesederhanaan dan berkecuali yang menjadi pegangan Malaysia selama ini dan dasar berbaik-baik dan bersahabat dengan semua negara adalah kunci utama dalam menentukan hubungannya dengan semua negara termasuk dengan AS.

Dalam lawatan Obama ke Jepun sebelum tiba di Malaysia, dilaporkan AS-Jepun gagal mencapai sebarang kemajuan dalam rundingan berhubung TPPA apabila Jepun mempunyai pandangan berbeza berhubung sektor pertanian dan automotif.

Kini terbukti dakwaan pembangkang bahawa Jepun dan AS akan bersatu untuk menekan Malaysia supaya menandatangani perjanjian TPPA, sebagai tidak berasas. Lawatan Obama ke Asia kali ini termasuk Malaysia mencetuskan kebimbangan China yang menyaksikan AS cuba mengukuhkan kedudukannya di Asia Pasifik.

Lebih-lebih lagi ketika China sedang meningkatkan pengaruhnya di rantau ini dan ketika pertikaian berhubung wilayah maritim antara Beijing dan ASEAN di Laut China Selatan sedang memuncak, selain pertikaiannya dengan Jepun berhubung wilayah maritim di Laut China Timur berhubung Kepulauan Senkaku atau turut dikenali sebagai Diaoyu di China.

Sehubungan itu, China mengikuti daripada dekat lawatan Obama ke Asia kali ini. Namun, AS berpendapat tumpuannya di Asia Pasifik kali ini adalah bagi mengimbangi semula dasarnya di Asia setelah mengundurkan tenteranya dari Iraq dan Afghanistan serta berikutan perkembangan di Syria dan di Ukraine menyebabkan AS menilai semula strateginya di tempat-tempat lain.

AS melihat tumpuannya di rantau ini perlu diperkukuhkan bagi mengimbangi kebangkitan China bukan sahaja daripada segi ketenteraan tetapi juga daripada segi ekonomi. Malaysia memerlukan AS dan China di rantau ini bagi membawa kemakmuran dan kestabilan di rantau ini dan bukan untuk memihak.

Selain itu, kedatangan Obama di Malaysia dapat mengurangkan kritikan global terhadap pengurusan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

Dalam masa sama, Malaysia melihat lawatan Obama ke negara ini dapat meningkatkan lagi kerjasama dan hubungan dua hala dalam banyak bidang, terutama kerjasama membantu Malaysia dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370.

Selain itu, ia dapat meningkatkan kerjasama dan hubungan dua hala dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan, teknologi serta hubungan antara rakyat dengan rakyat.

AS juga mahu menjalinkan hubungan dengan penduduk di Asia terutama golongan muda dengan mengadakan pertemuan dengan golongan itu di Universiti Malaya, apabila beliau melancarkan Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara yang turut dihadiri oleh wakil dari 100 negara.

Selain itu, lawatan itu turut akan memberi sinergi kepada Malaysia yang bakal menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun depan bagi merealisasikan Komuniti ASEAN yang dijangka dilaksanakan pada tahun depan.

Kedatangan Obama ke negara ini juga akan membantu memberi sokongan kepada hasrat Malaysia untuk menjadi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

PENULIS ialah Pengarang Meja Luar Negara Utusan Malaysia.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140427/re_01/Signifikan-lawatan-Obama#ixzz309NcIofv  © Utusan Melayu (M) Bhd 


MALAYSIA-US - Kawalan keselamatan Obama sangat ketat









KUALA LUMPUR 26 April - Jalan ditutup, penembak tepat di atas bumbung serta puluhan kenderaan pengiring termasuk kenderaan berperisai dinaiki ejen perkhidmatan rahsia di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang dekat sini, sudah cukup menggambarkan betapa ketatnya kawalan keselamatan yang diberikan sempena lawatan tiga hari Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama ke negara ini, bermula hari ini.

Malah petugas media yang ditugaskan membuat liputan ketibaan Obama di pangkalan udara itu kira-kira pukul 4.50 petang ini, turut dapat merasai bahang kedatangan pemimpin nombor satu di AS itu.

Petugas media bukan sahaja perlu tiba dua hingga tiga jam lebih awal untuk pemeriksaan keselamatan, malah perlu melalui lima tapisan keselamatan sebelum dibenarkan masuk ke dalam balai ketibaan dan itu pun, perlu berada di tempat yang dikhaskan untuk media.

Sebaik sahaja masuk ke kawasan meletak kereta, petugas media terus diperiksa oleh ejen perkhidmatan rahsia AS yang menggunakan anjing German Shepherd dan perlu melepasi tapisan nama daripada pegawai Jabatan Penerangan yang diiringi pasukan keselamatan AS semasa pendaftaran petugas media.

Petugas media juga perlu menjalani pemeriksaan badan menggunakan alat pengesan logam dan perlu melepasi satu lagi tapisan keselamatan sebelum diberikan pas White House Press Pool untuk masuk ke sebuah bilik dikhususkan untuk media dan tidak boleh keluar selepas itu.

Apabila pesawat Air Force One yang membawa Obama tiba di pangkalan udara itu, barulah petugas media dibawa ke kawasan landasan tetapi diletakkan di dalam satu kawasan berpagar yang jaraknya lebih 20 meter dari kenderaan yang akan dinaiki Presiden AS itu.

Begitu juga semasa Obama diberikan sambutan negara di bangunan Parlimen, orang ramai yang berada di situ akan diperiksa oleh ejen perkhidmatan rahsia AS sehingga beg tangan wanita juga akan diselongkar bagi memastikan tiada objek terlarang dibawa masuk.

Semasa majlis santapan diraja bersama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di Istana Negara pukul 8 malam ini, petugas media perlu tiba untuk pemeriksaan keselamatan sebelum pukul 5 petang.

Petugas media yang membuat liputan mesyuarat dua hala antara Obama dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana, Putrajaya esok juga perlu tiba hampir empat jam lebih awal dan perlu mendapat perakuan daripada polis untuk membawa apa jua barang ke tempat tersebut.

Selain program itu, Presiden AS itu dijadual merasmikan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya esok sebelum berlepas ke Manila, Filipina, keesokannya.

Kunjungan Obama ke Malaysia merupakan sebahagian daripada lawatan Obama ke empat negara Asia yang turut melibatkan Jepun, Korea Selatan dan Filipina.

Ini merupakan kunjungan yang pertama oleh seorang Presiden AS dalam tempoh 50 tahun selepas lawatan kali terakhir oleh Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140427/dn_04/Kawalan-keselamatan-Obama-sangat-ketat#ixzz309IBQTqp  © Utusan Melayu (M) Bhd


 

MALAYSIA-US - Terima kasih AS - Seri Paduka



Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah melihat Presiden Amerika Syarikat Barack Obama bersalaman dengan para peserta yang membuat persembahan selepas Majlis Jamuan Negara Meraikan Presiden Amerika Syarikat ke Malaysia di Istana Negara, Kuala Lumpur malam tadi. Turut sama Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah dan Najib Tun Razak. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 26 April - Ketika usaha mencari pesawat udara Malaysia yang hilang sedang diteruskan, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyampaikan ucapan terima kasih Malaysia kepada Amerika Syarikat (AS) kerana terus memberi sokongan dan kerjasama padunya dalam operasi itu.

Pada majlis jamuan negara meraikan Presiden Barack Obama malam ini, baginda bertitah kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 itu melibatkan penumpang pelbagai negara termasuk Malaysia dan AS.

Seri Paduka bertitah bantuan yang dihulurkan AS itu menjadi bukti wujudnya hubungan rapat antara kedua-dua negara.

"Sesungguhnya, penglibatan saudara sejak peringkat awal misi mencari dan menyelamat itu dan operasi pencarian yang dilakukan ketika ini mencerminkan komitmen kukuh yang wujud antara kedua-dua negara kita," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah baginda gembira melihat hubungan antara Malaysia dengan AS semakin kukuh dan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kepentingan bersama dan nilai yang dikongsi kedua-dua negara, begitu pesat berkembang.

"Beta gembira kerana kedua-dua negara kita akan membincangkan cara untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, keselamatan dan pertahanan, pendidikan, tenaga, sains dan teknologi serta hubungan antara rakyat dengan rakyat," titah Seri Paduka.

Obama dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menghadiri majlis itu, dijadual mengadakan perbincangan dan menghadiri jamuan kerja tengah hari di Putrajaya, esok.



Ejen Perkhidmatan Rahsia AS mengawal kenderaan rasmi yang membawa Presiden Barack Obama di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang, semalam. - AFP

Sambil menyifatkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara berada dalam keadaan amat kukuh, Tuanku Abdul Halim bertitah sokongan berterusan AS terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia akan membantu mengemudi negara yang mempunyai 30 juta penduduk ini mencapai status negara maju.

Titah baginda, AS dialu-alukan untuk terus berganding bahu dengan Malaysia bagi menjamin keamanan dan kestabilan rantau ini.

"Ini boleh dicapai melalui nilai yang dikongsi bersama dan sikap saling menghormati, saling memahami dan kesederhanaan, disertai hubungan kukuh antara rakyat dengan rakyat," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah Malaysia akan terus berusaha memupuk hubungan kukuh dan berkekalan dengan AS sebagai asas dalam usaha mewujudkan kestabilan dan kemakmuran bagi kedua-dua negara. - BERNAMA

Seri Paduka menyuarakan harapan agar Obama gembira dan berpuas hati dengan layanan Malaysia serta kembali ke AS dengan membawa kenangan manis tentang negara ini.

"Beta harap lawatan saudara ke Malaysia memberi penuh makna dan menyimpul pelbagai kenangan. Beta mendoakan agar saudara sekeluarga sentiasa sihat dan sejahtera, begitu juga bagi seluruh rakyat AS," titah baginda. --BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140427/dn_02/Terima-kasih-AS---Seri-Paduka#ixzz309EGwaeD  © Utusan Melayu (M) Bhd


MALAYSIA-US - Manfaatkan kekuatan kepelbagaian etnik - Obama

TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan mengiringi Barack Obama selepas sambutan rasmi Presiden Amerika Syarikat itu di Dataran Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Najib Tun Razak. Obama berada di Malaysia bagi lawatan rasmi selama tiga hari bermula semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 26 April - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berkata, Malaysia boleh mencari kekuatan daripada kepelbagaian etnik dan agama rakyatnya serta harapan yang terlakar dalam sejarah untuk mengukir masa depan yang lebih cerah bagi generasi akan datang.

Berucap pada majlis jamuan negara di Istana Negara sempena lawatan negara tiga hari beliau ke Malaysia, Obama berkata, walaupun AS dan Malaysia adalah dua negara berbeza, namun rakyatnya berkongsi harapan dan hasrat yang sama.

"Saya percaya, tidak kira sama ada kita berasal dari sebuah kampung terpencil atau bandar raya megah, sama ada kita tinggal di AS atau di Malaysia, sebagai manusia, kita berkongsi hasrat yang sama - untuk hidup dengan bermaruah dan aman.

"(Kita ingin) mencorakkan masa depan kita sendiri, boleh mencari rezeki dan bekerja keras untuk menyara keluarga. Dan paling penting, mewariskan kepada generasi akan datang sesuatu yang lebih baik daripada apa yang ditinggalkan untuk kita," katanya.

Inilah hasrat yang beliau percaya boleh memberi sinar lebih gemilang kepada era baharu dalam perkongsian antara AS dan Malaysia, kata Obama pada majlis itu, yang diserikan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong , Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.

Pemimpin AS itu menyelit bebe­rapa perkataan Melayu dalam ucapannya, sesuatu yang disambut baik oleh hadirin seperti yang terpamer daripada tepukan bergemuruh mereka.

Ketika memulakan ucapannya, Obama mengucapkan "Selamat Petang" dan mengakhirkannya dengan ungkapan "Terima kasih banyak."

Beliau juga menggunakan perkataan ‘bekerjasama’ apabila me­nyen­tuh tentang perkongsian antara AS dan Malaysia serta ‘boleh spirit’ bagi merujuk kepada slogan Malaysia Boleh.

Obama mendarat dengan pesawat khas di ibu negara pada kira-kira pukul 5 petang untuk melakukan lawatan ke Malaysia sebagai sebahagian daripada siri jelajah beliau ke empat negara Asia, bermula dengan Jepun dan diikuti Korea Selatan. Destinasi terakhir beliau ialah Filipina.

Kunjungan beliau ke sini adalah yang pertama oleh Presiden Amerika dalam tempoh 48 tahun, sejak lawatan Presiden Lyndon B. Johnson ke Malaysia pada 1966. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140427/dn_01/Manfaatkan-kekuatan-kepelbagaian-etnik---Obama#ixzz309CrLB68  © Utusan Melayu (M) Bhd