KUALA LUMPUR - Mungkin selepas Korea Selatan, ramai peminat percaya
skuad Bawah 22 tahun negara yang akan menyertai kelayakan Piala AFC di
Myanmar pada 23 Jun hingga 3 Julai ini dilihat mampu mengisi slot kedua
dalam Kumpulan G.
Namun tidak bagi jurulatihnya, Ong Kim Swee yang awal-awal lagi tidak
mahu memberikan harapan tinggi, biarpun mempamerkan rentak positif
selepas menewaskan skuad Bawah 22 Qatar, 2-0 di Stadium Shah Alam,
kelmarin.
"Saya tidak mahu menaburkan janji bahawa kita mampu layak ke pusingan akhir mengiringi pasukan pilihan, Korea Selatan.
"Bukan kerana saya tidak percaya dengan kemampuan pemain tetapi bimbang mereka akan dibuai perasaan terlalu yakin.
"Sedangkan saingan dalam kumpulan ini dilihat agak terbuka, apa-apa
boleh berlaku biarpun saya memang mahukan kita mampu mengisi salah satu
daripada dua pasukan teratas.
"Saya mahu memikirkan pertemuan sulung dengan Korea Selatan terlebih dahulu pada 23 Jun ini, " katanya ketika dihubungi.
Selain Korea Selatan, Malaysia diundi bersama Filipina (25 Jun),
Taiwan (28 Jun), Vietnam (30 Jun) dan tuan rumah, Myanmar (3 Julai)
dalam Kumpulan G.
Hanya dua pasukan teratas layak ke pusingan akhir dan satu slot diberikan kepada pasukan ketiga terbaik daripada tujuh kumpulan.
Menyentuh kekuatan pencabar yang lain, Kim Swee awal-awal lagi
merasakan Korea Selatan hampir pasti mampu mengisi salah satu slot yang
ditawarkan.
"Korea dalam apa jua perlawanan kelayakan AFC tidak kira peringkat
umur, mereka pasti mampu melayakkan diri, itu satu hakikat yang kita
perlu tahu," katanya.
No comments:
Post a Comment