Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label SKMM. Show all posts
Showing posts with label SKMM. Show all posts

Wednesday, 9 March 2016

BN bentuk pasukan peguam tangani fitnah media sosial

09 Mac 2016 1:30 AM


Abdul Rahman Dahlan

CYBERJAYA 8 Mac – Barisan Nasional (BN) telah menubuhkan sebuah pasukan peguam yang berperanan untuk membantu wakil-wakil rakyat parti itu mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana portal berita atau media sosial yang bertindak memfitnah mereka di laman sosial.

Pengarah Strategik Komunikasi BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pasukan seumpama itu telah sedia wujud di dalam UMNO, justeru itu, peranan pasukan tersebut diperluaskan bagi memenuhi keperluan ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) BN secara menyeluruh.

Katanya, pasukan tersebut ketika ini berada dalam keadaan bersiap sedia untuk bertindak sekiranya diminta berbuat demikian oleh wakil-wakil rakyat BN.

“Kepada semua Yang Berhormat dan menteri-menteri, jika mereka merasakan telah difitnah dan portal-portal berita enggan menarik semula atau memperbaiki berita ber­kenaan, tindakan undang-undang adalah antara pilihan yang perlu diambil,” katanya kepada pemberita selepas menjadi salah seorang daripada speaker dalam Forum Ming­gu Media Sosial Malaysia (MSMW) 2016 di Universiti Limkokwing, di sini hari ini.

MSMW 2016 yang dianjurkan oleh Dewan Sosial Media Malaysia (SMC) itu merupakan sebuah program tahunan yang disokong oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Yang turut hadir, Presiden SMC, Shahul Hameed Dawood serta Ketua Informasi dan Teknologi Bharatiya Janata Party (BJP), India, Arvind Gupta.

Dalam pada itu, Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, kerajaan juga akan mewujudkan satu entiti dipanggil 'Fact Check' yang berperanan untuk menyemak kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli-ahli politik.

Jelas beliau, langkah penubuhan entiti itu adalah bagi memupuk persepsi yang lebih baik dalam perdebatan antara pihak politik di negara ini.

“Kita mahu membawa budaya debat berteraskan polisi, yang seterusnya akan memberi impak positif kepada negara pada masa depan, bukannya isu-isu remeh yang memenatkan kita semua,” katanya.

Terdahulu, semasa berucap da­lam forum berkenaan, Abdul Rahman meminta supaya pihak universiti menjalankan kajian terhadap sikap rakyat Malaysia yang mempercayai sesuatu berita atau isu dengan hanya membaca tajuk­nya sahaja.

“Kerajaan United Kingdom telah menjalankan kajian dengan mendalam supaya dapat membawa mereka yang menyebarkan fitnah ke muka pengadilan,” katanya.

“Sehubungan itu, saya meminta pihak universiti supaya mengkaji bagaimana tajuk itu boleh mempengaruhi minda orang ramai tanpa membaca keseluruhan berita. Ini amat penting buat kerajaan bagi memahami apa yang orang ramai faham dan cari hanya berdasarkan tajuk,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/bn-bentuk-pasukan-peguam-tangani-fitnah-media-sosial-1.198745#sthash.sH2tXgXM.dpuf


Friday, 30 October 2015

Putra Merdeka: Krik..Krik..! Krik..Krik..!

Putra Merdeka: Krik..Krik..! Krik..Krik..!: Errr... Pembaca berita RTM rancangan berita Mandarin hari ini membaca berita tanpa sebarang visual sokongan. Semua itu dikatakan b...

Friday, 10 July 2015

Tuesday, 31 March 2015

HASUTAN : Tiga pengarang The Malaysian Insider ditahan

Disiasat mengikut Akta Hasutan

MASZUREEN HADZMAN | 31 Mac 2015 1:37 AM


AHMAD Fadli Shaari (depan, dua dari kiri) bersama ahli jawatankuasa Dewan Pemuda Pas menunjukkan salinan laporan polis terhadap The Malaysian Insider di IPD Kota Bharu, semalam. – UTUSAN /YATIMIN ABDULLAH

KUALA LUMPUR 30 Mac - Tiga pengarang The Malaysian Insider ditahan hari ini bagi membantu siasatan berhubung beberapa laporan yang disiarkan dalam portal propembangkang itu.

Ketiga-tiga mereka masing-ma­sing merupakan pengarang bahasa Inggeris portal itu, Lionel Morais, 47, Pengarang Bahasa Melayu, Amin Shah Iskandar, 35, dan Pengarang Rencana serta Analisis, Zulkifli Sulong, 53.

Mereka ditahan semasa serbuan di pejabat portal itu di Mutiara Damansara, Petaling Jaya kira-kira pukul 5.45 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, ketiga-tiga mereka ditahan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut beliau, turut dirampas ialah komputer riba dan telefon bimbit.

“Serbuan dibuat bagi mendapatkan bahan-bahan berkaitan untuk membantu siasatan berhubung kenyataan berbaur hasutan yang dibuat portal propembangkang itu. Kesemua mereka ditahan di lokap Jinjang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman Twitternya turut mengesahkan penahanan tiga pengarang terlibat.

“@PDRMsia sahkan bahawa tiga kakitangan The Malaysian Insider te­lah ditahan untuk siasatan. Siasatan bersama oleh PDRM dan @SKMM di bawah Akta Hasutan,” katanya.

Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan memberitahu sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat The Malaysian Insider berhubung laporan-laporan yang disiarkan dalam portal itu.

Ketua Komunikasi Strategik SKMM, Sheikh Ahmad Raffie Sheikh Abdul Rahman berkata, siasatan itu termasuk laporan kononnya Majlis Raja-Raja menolak cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Menurutnya, siasatan itu dilakukan selepas Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja membuat laporan polis menafikan perkara itu, sementara banyak pihak turut mengeluarkan kenyataan bantahan terhadap portal tersebut.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tiga-pengarang-i-the-malaysian-insider-i-ditahan-1.75533#sthash.bPDc5Fcs.dpuf

Tuesday, 2 December 2014

POLITIK BANGANG : Rombak struktur organisasi SKMM

Perlu proaktif tangani fitnah, penghinaan dalam internet

KAMIL MASLIH | 02 Disember 2014 2:26 AM

KUALA LUMPUR 1 Dis. - k ementerian Komunika­si dan Multimedia dige­sa merombak semula struktur organisasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar lebih proaktif dalam menangani pelbagai bentuk fitnah dan penghinaan yang berlaku dalam internet khususnya menerusi media sosial.

Jamal Md. Yunus

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md. Yunus meminta menteri terlibat, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk membuat tindakan dras­tik meletak­kan go­longan yang mempunyai karisma serta jiwa kenegaraan dalam SKMM bagi menyelesaikan masalah tersebut yang tidak pernah selesai sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).

“SKMM adalah satu badan yang juga bertanggungjawab menjaga ketenteraman negara, kita tidak mahu perkara-perkara provokasi yang membimbangkan rakyat di­lihat secara sambil lewa oleh pengerusi atau struktur organisasi SKMM.

“Sebagai contoh, pelbagai fitnah dilakukan Red Bean Army (RBA) terhadap kerajaan, gambar babi di Kaabah dalam Facebook serta perbuatan mencerca pemim­pin dan raja-raja Melayu, rakyat melihat perkara itu tidak dapat ditangani, jadi lebih baik SKMM diganti oleh orang yang jiwanya ada semangat kenegaraan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Jamal, tindakan proaktif SKMM itu perlu dilakukan berikutan masalah fitnah dan hasutan yang berlegar di dalam media sosial tersebut turut disentuh oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO 2014 baru-baru ini.

Katanya, maklum balas SKMM terhadap pelbagai penghinaan dan fitnah di dalam internet bukan sahaja lambat malah ada yang tiada langsung sehingga pelaku perbuatan itu terlepas begitu sahaja tanpa sebarang tindakan undang-undang.

“Kita hendak melihat ketegasan tanpa perlu menunggu orang ramai marah baru hendak bertindak, masalah ini bukan kerana kerajaan lemah atau undang-undang tiada tetapi tanggungjawab ini yang perlu dipikul oleh SKMM secara proaktif.

“Menteri Komunikasi dan Multimedia kena bertindak tegas, kita mahu tindakan sekarang, kita tidak mahu laungan semasa ucapan pada Perhimpunan Agung UMNO hanya tinggal sebagai ucapan tanpa tindakan, jangan tunggu lama untuk bertindak,” katanya.

Katanya, laman media sosial tidak boleh dibiarkan tanpa sekatan dan pihak polis memerlukan kerjasama serta sokongan lebih padu daripada SKMM bagi mengambil tindakan terhadap mereka yang begitu kurang ajar dalam menghina agama, bangsa dan negara.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/rombak-struktur-organisasi-skmm-1.31679#sthash.yAR9mjLy.dpuf


Monday, 13 October 2014

Bajet 2015 diyakini mampu rancakkan industri komunikasi


KUALA LUMPUR 10 Okt. - Bajet 2015 diyakini mampu memberi kesinambungan kepada usaha berterusan negara dalam merancakkan industri komunikasi dan multimedia ke arah mencapai tahap negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi berkata, bajet kali ini lebih memberi fokus kepada peningkatan kandungan digital kreatif dan jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam usaha menjana pembangunan ekonomi maya.

"Usaha ini penting bagi melonjakkan kandungan digital tempatan ke persada antarabangsa dan turut selari dengan inisiatif kita baru-baru ini dalam penganjuran ekspo dan persidangan KL Converge yang telah memaparkan potensi industri kreatif tempatan serta serantau melalui platform penyatuan idea dan pengagihan kandungan digital.

"Bajet tersebut juga membantu meneruskan inisiatif merancakkan industri kreatif melalui dana industri kandungan digital dengan peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah SKMM merangkumi industri animasi, perfileman, seni reka, warisan budaya serta kandungan dalam talian termasuk portal internet dan aplikasi mudah alih," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Sharil turut berterima kasih kepada kerajaan yang terus berusaha meningkatkan keupayaan jalur lebar berkelajuan tinggi bagi memacu budaya serta gaya hidup digital di samping merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat di negara ini.

"Bajet 2015 terus memperlihatkan komitmen kerajaan melalui peruntukan sebanyak RM2.7 bilion bagi tempoh tiga tahun untuk membangunkan jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan ekonomi berimpak tinggi, meliputi ibu negeri dan bandar-bandar terpilih di seluruh negara.

"Ia juga melibatkan pembinaan 1,000 menara pencawang telekomunikasi baharu dan pembinaan kabel dasar laut bagi meningkatkan capaian internet di Sabah dan Sarawak," katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Pasaran Modal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nurhisham Hussein berkata, Bajet 2015 dapat mengimbangi usaha kerajaan mengukuhkan ekonomi serta memenuhi keperluan rakyat terutama bagi memiliki kediaman sendiri.

"Ketika negara berhadapan dengan peningkatan harga hartanah dan rakyat terutamanya golongan muda berdepan kesukaran membuat pinjaman perumahan, sekiranya peminjam terus bergantung kepada simpanan KWSP untuk membeli rumah, pencarum bakal berdepan masalah apabila bersara kelak.

"Sehubungan itu, kami amat mengalu-alukan pewujudan Skim Perumahan Belia untuk pembeli pertama yang dibentangkan dalam Bajet 2015. Melalui skim tersebut, pencarum bukan sahaja dapat memiliki kediaman sendiri, malah mampu meluaskan pelaburan dan bersedia dengan dunia persaraan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141011/dn_16/Bajet-2015-diyakini-mampu-rancakkan-industri-komunikasi#ixzz3FzhE2rL2 © Utusan Melayu (M) Bhd 



Thursday, 18 September 2014

UPSR: 3 guru direman

Oleh NORLIZAH ABAS dan TERMIZI CHE ANUAR
pengarang@utusan.com.my

ANGGOTA polis membawa tiga guru untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan berhubung kes kebocoran soalan UPSR di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam. - UTUSAN/RASHID MAHFOF

PUTRAJAYA 17 Sept. - Tiga lagi guru termasuk seorang wanita direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes kebocoran kertas soalan Sains dan Bahasa Inggeris Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014.

Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan polis untuk menahan reman mereka yang berumur di antara 24 dan 36 tahun bermula hari ini sehingga Sabtu ini.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nur Dahlia Azmi mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Jumlah itu menjadikan seramai lapan individu termasuk seorang jurutera berusia 34 tahun dan seorang guru besar ditahan reman sejak Isnin lalu.

Jurutera lelaki itu yang bekerja di sebuah syarikat cari gali minyak serta menetap di Kemaman, Terengganu direman selama empat hari bermula semalam.

Esok, tahanan reman empat hari bermula Isnin lalu terhadap tiga guru termasuk seorang guru besar dari Pulau Pinang dan seorang ejen insurans dari Sentul di ibu negara, selesai.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 8(1) Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 iaitu kesalahan memiliki dan mendedahkan kepada umum bahan rasmi yang dikategorikan sebagai rahsia kerajaan secara salah.

Kesemua individu terbabit ditahan di beberapa tempat sekitar Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan ibu negara.

Polis turut merampas beberapa gajet telekomunikasi milik mereka bagi membantu siasatan.

Pada 10 September lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan peperiksaan mata pelajaran Sains 018, 028 dan 038 UPSR yang sepatutnya diduduki pada Khamis lalu ditunda berikutan berlaku kebocoran kertas peperiksaan tersebut.

Keesokan harinya, peperiksaan mata pelajaran Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 yang telah diduduki pelajar pula dibatalkan ekoran masalah yang sama.

Keadaan itu memaksa LPM menetapkan 30 September ini sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu.

Sementara itu, polis menahan seorang guru wanita di Labis, Johor dan seorang guru lelaki di Nilai, Negeri Sembilan lewat petang ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, kedua-dua guru itu akan direman esok di Putrajaya.

Penahanan terbaharu itu menjadikan kesemua yang ditahan bagi membantu siasatan kebocoran soalan UPSR meningkat kepada 12 orang.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140918/ma_01/UPSR-3-guru-direman#ixzz3DdA8en00  © Utusan Melayu (M) Bhd


Wednesday, 17 September 2014

UPSR: Empat guru ditahan

Oleh AZRAI MOHAMMAD dan TERMIZI CHE ANUAR
pengarang@utusan.com.my

Sebahagian calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah terdiri daripada murid Orang Asli berada di luar kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Mas, Sungai Lembing, Kuantan, selepas peperiksaan itu dibatalkan baru-baru ini. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Siasatan polis dalam mencari dalang yang membocorkan kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 menunjukkan perkembangan positif apabila Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur hari ini menahan empat guru termasuk seorang wanita di Pulau Pinang dan Perak.

Kesemua suspek yang berusia di antara 30 hingga 54 tahun itu masing-masing ditahan dalam serbuan yang bermula pukul 3.30 petang.

Ketua JSJ Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, tiga daripada guru terbabit ditahan di Pulau Pinang dan seorang lagi ditahan di Parit Buntar, Perak.

"Kita turut merampas beberapa gajet telekomunikasi milik keempat-empat suspek bagi membantu siasatan. Kesemua suspek akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada pukul 8.30 malam ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Kong Meng, polis turut mengambil keterangan tiga lagi individu untuk membantu siasatan kes yang sama.

Katanya, jumlah itu menjadikan individu yang telah diambil keterangan setakat ini bertambah kepada 10 orang.

Ujar beliau, kesemua tiga individu terbabit bertugas sebagai guru dan tujuh lagi individu yang telah diambil keterangan sebelum ini ialah enam pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta seorang wartawan.

Tambahnya, polis kini giat mengumpul keterangan serta meneliti prosedur operasi standard (SOP) bagi melihat bagaimana kebocoran tersebut boleh berlaku.

"Sehubungan itu, saya meminta kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi tentang kes ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Kong Meng memberitahu, dua daripada guru yang ditahan itu telah dibebaskan dengan jaminan selepas kenyataan mereka dirakamkan malam ini.

Katanya, sekiranya siasatan tidak dapat dilengkapkan dalam masa 24 jam, polis akan memohon perintah tahanan reman terhadap dua guru lagi esok.

Pada 10 September lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan peperiksaan mata pelajaran Sains 018, 028 dan 038 UPSR yang sepatutnya diduduki pada Khamis lalu ditunda berikutan berlaku kebocoran kertas peperiksaan tersebut.

Keesokan harinya, peperiksaan mata pelajaran Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 yang telah diduduki pelajar pula dibatalkan ekoran masalah yang sama.

Keadaan itu memaksa LPM menetapkan 30 September ini sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu.

Susulan kejadian tersebut, kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pengarah LPM, Dr. Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi LPM, Dr. Wan Ilias Wan Salleh digantung tugas berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan selesai.

Sementara itu, di PULAU PINANG, Pengarah Pendidikan negeri, Osmain Hussain mengesahkan negeri itu terlibat dalam siasatan polis dalam kes kebocoran kertas soalan UPSR.

Namun, beliau enggan mengulas perkara itu atas nasihat pihak polis.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140915/dn_03/UPSR-Empat-guru-ditahan#ixzz3DYGtysdA  © Utusan Melayu (M) Bhd 




UPSR : Hukuman maksimum wajar

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my

Idris Jusoh menunjukkan plastik pembalut kertas soalan pada sidang media di Kementerian Pendidikan, Putrajaya, semalam. Turut bersama beliau Misrah Ibrahim (kiri) dan Dr. Na' imah Ishak. - UTUSAN/RASHID MAHFOF

PUTRAJAYA 12 Sept. - Empat lokasi panas termasuk beberapa individu telah dikenal pasti oleh pasukan penyiasat yang terlibat dengan siasatan isu kebocoran kertas soalan mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tahun ini.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, maklumat itu diperoleh selepas pasukan penyiasat yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Pendidikan memulakan siasatan berhubung kes tersebut sejak semalam.

Beliau berkata, siasatan rapi dan terperinci akan terus dilakukan sehingga pengkhianat-pengkhianat itu diberkas dan kemudian dibawa ke muka pengadilan ekoran tindakan tidak amanah mereka yang menyebabkan 473,175 calon UPSR dan hampir sejuta ibu bapa terjejas.

"Kementerian memandang serius apa yang berlaku ini dan kita akan meneruskan kerjasama dengan pihak polis dan SKMM untuk menahan pengkhianat-pengkhianat ini bagi tujuan membawa mereka ke muka pengadilan atas kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

"Sekiranya sabit kesalahan pengkhianat-pengkhianat yang terbukti membocorkan dua kertas soalan berkenaan wajar menerima hukuman peringkat paling maksimum," katanya dalam sidang akhbar di bangunan Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan, di sini hari ini.

Sidang akhbar tersebut turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Misrah Ibrahim dan Pengarah Lembaga Peperiksaan, Dr. Na'imah Ishak.

Selain melibatkan jumlah pelajar sebanyak 473,175 orang, UPSR tahun ini turut membabitkan 51,438 petugas 8,299 pusat peperiksaan dan 382 bilik kebal.

Dalam perkembangan berkaitan Idris berkata, pasukan penyiasat akan terus menyenarai pendek mana-mana pihak yang disyaki terlibat di dalam kes tersebut sepanjang siasatan dijalankan.

Ketika ditanya sama ada 'orang dalam' terlibat di dalam kes tersebut memandangkan prosedur operasi standard (SOP) UPSR amat ketat, Idris berkata, perkara itu belum dapat dipastikan apatah lagi kes itu masih di peringkat siasatan.

"Walau apa pun kita tetap berdukacita dengan apa yang berlaku. Disebabkan terdapat satu atau dua orang mereka yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah, kepentingan 473,175 calon-calon UPSR terjejas. Hampir sejuta ibu bapa turut menerima nasib yang sama.

"Tidak kira siapa yang melakukan perbuatan ini mereka perlu menerima hukuman yang setimpal," katanya.

Dalam pada itu Idris berkata, pihak kementerian amat bersimpati dengan kesemua calon UPSR kerana terpaksa mengambil semula kertas Sains dan Bahasa Inggeris pada 30 September ini selepas kedua-dua kertas soalan asal terpaksa dibatalkan oleh Lembaga Peperiksaan.

"Saya amat berharap guru-guru kaunseling bersiap sedia sekiranya terdapat pelajar-pelajar kita ini memerlukan nasihat atau kaunseling daripada mereka.

"Sekali lagi saya bagi pihak kementerian memohon maaf kepada semua pelajar dan hampir satu juta ibu bapa ekoran kes ini yang tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140913/dn_01/Hukuman-maksimum-wajar#ixzz3DXdYZTLc  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Tuesday, 19 August 2014

POLITIK : Isu SJKC dan hina Islam jadi tumpuan


Tengku Adnan Tengku Mansor (tiga dari kiri) bersama Mohd. Zainal Abidin Rafique (dua dari kiri) beramah mesra dengan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Mohd. Feisol Mohammad Hasan (dua dari kanan) pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bintang, di Dewan Tun Hussein, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/Hafiz Johari

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Isu mengenai sistem sekolah satu aliran serta penggunaan media sosial untuk menghina agama lain mendapat perhatian ahli UMNO apabila terus dibangkitkan dalam mesyuarat perwakilan bahagian serta sayap Pemuda, Wanita dan Puteri bahagian yang berlangsung hari ini.

Di JOHOR, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Muar menegaskan, UMNO tidak rasis hanya kerana membangkitkan isu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang baharu tidak perlu dibina dan menyifatkan tuduhan itu berniat jahat serta cubaan mengalih perhatian daripada isu pokok.

Sambil membidas tuduhan itu, katanya, isu sebenar ialah berkenaan perpaduan yang gagal dipupuk dan kira-kira 1,200 SJKC sedia ada dilihat sudah cukup mengikut kuota ditetapkan.

"Kita kena ada sasaran (jumlah SJKC). Kita perlu tahu sekolah mesti jadi tempat permulaan perpaduan. Kalau dari kecil sudah dipisahkan (apabila besar mereka) akan terus terpisah dan ada yang tidak fasih berbahasa Melayu.

"Kalau kita ikhlas nak bersatu padu dan maju bersama ini perlu dilakukan. Kalau tidak cukup SJKC dan minta lagi, sampai bila masalah (perpaduan) tidak selesai," katanya dalam mesyuarat yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahkota, Muar.

Di PULAU PINANG, Ketua Wanita UMNO negeri, Norliza Abdul Rahim pula berkata, sistem sekolah satu aliran yang pernah dicadangkan sebelum ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih meluas dan tidak disempitkan dengan persepsi sebagai percubaan 'membunuh' sistem pendidikan vernakular.

Menurutnya, sistem sekolah satu aliran sebenarnya merupakan asas penting kepada penyatuan nasional yang harus bermula pada peringkat kanak-kanak lagi.

"Sekiranya sistem sekolah satu aliran dilaksanakan tidak bermaksud bahasa Mandarin dan Tamil akan pupus di negara ini, tetapi tetap boleh diajar dan diseragamkan mengikut kesesuaian.

"Dalam masa sama akan mewujudkan sikap saling menghormati dalam kalangan murid terhadap kepelbagaian bahasa yang wujud di negara ini," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Bukit Mertajam.

Dalam pada itu, isu pendakwaan terpilih yang berlaku dengan majoriti 'mangsanya' merupakan orang Melayu menjadi topik panas dalam Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Mertajam hari ini.

Pengerusi Biro Hal-Ehwal Bandar dan Perumahan Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin ketika merasmikan mesyuarat berkenaan secara terbuka mengkritik pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam hal itu tetapi gagal melaksana tugas mereka sehingga mewujudkan keadaan demikian.

"Kita dapat lihat pendakwaan terpilih berleluasa dan pihak Pemuda UMNO, saya berasa tersentuh hati apabila beberapa ahli Pemuda di negeri ini sudah didakwa di mahkamah baru-baru ini kerana menceroboh Dewan Undangan Negeri (DUN) sedangkan orang yang memulakannya masih bebas," katanya.

Nazir Hussin kecewa apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) memberi alasan tidak munasabah setiap kali isu pendakwaan terpilih dibangkitkan.

"Dalam kes Namewee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Delima, R.S.N. Rayer dan seorang lelaki menendang remaja yang tersebar dalam laman sosial, terdapat beratus-ratus laporan polis dibuat di seluruh negara tetapi tiada tindakan. Dalam kes Namewee misalnya, bukti video klip jelas menunjukkan perbuatan menghina agama Islam apabila mempersendakan azan tetapi tiada tindakan susulan. Adakah pihak berkuasa terlalu lemah sehingga gagal mengesan beliau?" katanya.

Nizar Hussin turut mendedahkan, siasatan pihaknya mendapati terdapat 17 kes berkaitan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu dan perkauman menerusi media sosial diabaikan.

Di KEDAH, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula menggesa orang Melayu supaya bersatu bermula daripada sekarang jika mahu kekal berkuasa dan dihormati oleh kaum lain di negara ini.

Katanya, penghinaan terhadap agama Islam, orang Melayu dan institusi raja yang semakin menjadi-jadi di laman sosial sekarang disebabkan orang Melayu berpecah.

"Dulu kita kuat dan orang lain tidak berani menggugat kita, namun sekarang kerana kita berpecah kita senang dirobohkan dan dihina.

"Orang lain melihat Melayu sebagai kaum yang lemah disebabkan kita berpecah-belah walaupun kita adalah majoriti. Perpecahan membuatkan kita menjadi seperti kaum minoriti di negara ini,'' katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sik di Dewan Institut Kemahiran Mara di situ.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140817/po_12/Isu-SJKC-dan-hina-Islam-jadi-tumpuan#ixzz3AnkK9mI4  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Friday, 18 July 2014

Altel lancar produk 4G pada 18 Julai

Oleh Fadzil Zainol
ekonomi@utusan.com.my



KUALA LUMPUR 15 Julai - Penerima slot terbesar spektrum 4G tempatan, Altel Communications Sdn. Bhd. (Altel), akhirnya bakal melancarkan produk evolusi jangka panjang (LTE) pada 18 Julai ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Rizwal Mohd. Ain berkata, pelancaran itu sebenarnya sedikit lewat berbanding tarikh awal iaitu pada 1 Julai lalu, disebabkan beberapa masalah teknikal yang mahu diperhalusi.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan ciri-ciri komersial dan promosi yang akan diguna pakai, tetapi percaya industri kini telah bersedia untuk menerima 4G kerana pengguna semakin memerlukan jumlah data yang banyak

"Telefon pintar yang berada di pasaran sudah ada memiliki keupayaan 4G, malah boleh didapati dengan harga antara RM800 hingga RM1,100 seunit," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tarikh baharu itu diumumkan menerusi laman Facebook Altel. Syarikat itu ketika ini hanya menawarkan perkhidmatan prabayar (2G dan 3G) dengan menggunakan prasarana milik Celcom.

Altel adalah unit kepada Puncak Semangat Sdn. Bhd. (Puncak Semangat), iaitu syarikat pegangan di bawah Al-Bukhary Group yang menumpukan sektor perkhidmatan teknologi maklumat (IT).

Pada hujung 2012, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menganugerahkan lapan syarikat lesen mengakses spektrum 2.6GHz, yang membolehkan kesemuanya menawarkan perkhidmatan jalur lebar 4G iaitu pada kelajuan 100 megabit sesaat.

Lapan syarikat tersebut ialah Celcom, DiGi, Maxis, Packet One Networks (P1), REDtone, U Mobile, YTL dan Puncak Semangat.

Puncak Semangat dilaporkan menerima slot sebanyak 40 MHz, manakala yang lain menerima 20 MHz. Bagi membolehkan perkhidmatan yang diberikan pada kadar optimum iaitu 2x20 MHz, SKMM menggalakkan setiap pemain berkongsi blok dan prasarana.

"Kami mengambil tempoh setahun (sejak diperkenalkan Ogos 2013) untuk menawarkan produk 4G kerana mahu bersiap sedia dari segi rangkaian

jualan, supaya pengguna tidak sukar mendapatkan perkhidmatan Altel," kata Rizwal.

Syarikat akan menjalankan kempen promosi dengan lebih intensif seiring dengan pengenalan 4G Altel sehingga akhir tahun ini.

"Dijangka pada peringkat awal mungkin sambutan pelanggan sedikit perlahan, tetapi berpotensi meningkat dengan baik dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi, berdasarkan trend pengguna semasa yang beralih dari 2G ke 3G beberapa tahun lalu," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20140716/ko_01/Altel-lancar-produk-4G-pada-18-Julai#ixzz37mStGm5i  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Tuesday, 8 July 2014

Wajib menghormati simbol negara

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada 500 pelajar Sekolah Kebangsaan Laksamana, Kuching, Sarawak mengibarkan Jalur Gemilang dalam satu majlis yang diadakan di sekolah itu. - GAMBAR HIASAN

SEBAHAGIAN daripada kita sudah pasti masih ingat perbuatan biadab beberapa aktivis propembangkang yang cuba menukar Jalur Gemilang dengan bendera Sang Saka Malaya.

Mereka dengan bangganya mengibarkan bendera yang menyerupai bendera Indonesia dan Singapura pada malam sambutan hari kemerdekaan di Dataran Merdeka selama dua tahun berturut-turut pada 2012 dan 2013.

Antara alasan yang diberikan oleh kumpulan berkenaan untuk bertindak sedemikian adalah kerana Jalur Gemilang cukup sinonim dengan Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah negara sejak merdeka.

Oleh itu, bukan sahaja kerajaan yang perlu ditukar, malah ia juga harus melibatkan bendera walaupun pada hakikatnya Jalur Gemilang telah dipilih majoriti rakyat menerusi satu pertandingan.

Cukup menyedihkan, perbuatan kumpulan terbabit yang mengguris hati banyak pihak terlepas daripada hukuman walaupun terdapat peruntukan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 yang boleh digunakan.

Ekoran itu, perlakuan menghina simbol negara terus menjadi-jadi termasuk perbuatan kira-kira 100 pelajar Malaysia di Taiwan berpakaian serba hitam sambil memegang Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik.

Apabila kita menghina Jalur Gemilang, ia bererti kita memperlekehkan maksud tersirat yang terdapat pada bendera berkenaan seperti warna biru yang melambangkan perpaduan rakyat, bulan sabit sebagai tanda Islam agama rasmi dan warna kuning yang melambangkan raja-raja Melayu.

Sebenarnya, bukan sahaja bendera diperlekehkan, malah ia telah merebak untuk mencaci Malaysia, kaum Melayu, orang Islam dan agama Islam semata-mata kerana marahkan UMNO dan BN.

Perkara itu didedahkan oleh pengendali Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dalam artikel yang dimuat naik dalam portal berkenaan pada 23 Jun lalu.

Hasil pemantauan beliau terhadap komen-komen dan bahan-bahan yang dimuat naik dalam Facebook serta Twitter mendapati jurang antara kaum dan agama kini semakin melebar sehingga ke tahap melampaui batas.

Menurutnya, rakyat Malaysia kini seolah-olah tidak lagi kisah apa yang keluar dari mulut mereka dan sama ada apa yang diperkatakan itu menyinggung atau melukakan perasaan orang lain.

Penganalisis politik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling yang diminta mengulas pandangan Raja Petra itu berkata, apa yang didedahkan bukanlah sesuatu yang baharu kerana komen sedemikian sudah lama berlegar di ruang siber.

Beliau melihat fenomena itu semakin ketara setelah DAP memenangi banyak kerusi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini termasuk berjaya memerintah Pulau Pinang.

"Bagi saya komen-komen yang memburukkan negara, raja, agama Islam dan mengaitkan Malaysia sebagai kerajaan Melayu merupakan agenda tersusun pihak-pihak berkenaan bagi memburukkan BN.

"Yang cukup menyedihkan, terdapat juga segelintir orang Melayu yang terlibat sama dalam perbuatan memburuk-burukkan negara," ujarnya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menegaskan, tragedi 13 Mei tidak akan berulang jika kerajaan dapat bertindak terhadap pihak-pihak yang jelas sekali cuba menghasut dan mencetuskan huru-hara.

"Saya melihat pertubuhan Melayu seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mempunyai tahap kesabaran yang tinggi sehingga tidak melakukan tindak balas yang akan mencetuskan huru-hara.

Pertubuhan-pertubuhan Melayu ini masih meletak harapan kepada kerajaan untuk bertindak termasuk melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Harapan ini tidak harus disia-siakan. Pihak kerajaan tidak boleh menjadikan faktor Facebook dan Twitter dikendali syarikat asing sebagai alasan untuk tidak menyekat komen-komen sedemikian.

"Walaupun tidak mendapat kerjasama syarikat yang mengurus laman sosial terbabit, kerajaan masih boleh mendapat perintah mahkamah supaya individu terbabit menarik balik komen-komen mereka yang menghina negara," katanya.

Mengulas isu sama, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sivamurugan yakin 13 Mei versi kedua seperti yang diramalkan itu tidak akan berlaku kerana semakin ramai yang mula sedar bahawa komen-komen bercorak sedemikian tidak baik untuk perpaduan kaum.

"Pengguna Internet sudah semakin matang dan saya dapati ramai di kalangan mereka yang tidak bersetuju dengan komen-komen yang menghina orang Melayu, raja dan Islam," katanya.

Kepada segelintir yang masih tidak mahu menggunakan Internet dengan berhemah, beliau bagaimanapun berharap kerajaan agar mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap mereka.

Dalam pada itu, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, secara peribadi sebagai rakyat Malaysia dan presiden pertubuhan itu, beliau berharap tragedi berkenaan tidak berulang.

Beliau berkata, terdapat tiga faktor yang akan menentukan sama ada tragedi berkenaan akan berulang atau tidak.

Pertamanya, kerajaan tegas dalam mengurus perkara-perkara yang berkaitan dengan undang-undang dan keselamatan.

Kedua, jika rakyat termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dan lantang, masih lagi dapat mengawal keadaan dan diri bagi mengelak detik hitam itu daripada berulang.

Bagaimanapun, jelasnya, terdapat faktor ketiga yang dibimbangi boleh mencetuskan huru-hara iaitu ‘nila setitik yang merosakkan susu sebelanga’.

Beliau menarik perhatian keadaan huru-hara yang tercetus di Mesir dan Tunisia semasa Arab Spring, gara-gara provokasi seorang dua yang terlibat dalam perhimpunan haram.

"Perkasa insya-Allah tetap (inginkan keamanan). Selagi mana saya masih menjadi Presiden, saya seboleh mungkin akan mengawal ahli-ahli agar tidak termakan provokasi yang boleh mencetuskan anarki," katanya.




Tuesday, 29 April 2014

RBA boleh didakwa pelbagai akta



Jailani Johari

KUALA LUMPUR 28 April - Tindakan yang boleh diambil terhadap mana-mana pihak termasuk tentera siber propembangkang, Red Bean Army (RBA) kerana menyebarkan elemen fitnah, hasutan dan provokasi tidak terhad kepada Akta Komunikasi dan Multimedia semata-mata.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, setiap kesalahan yang dilakukan dalam media sosial masih tertakluk kepada akta lain melibatkan pelbagai agensi penguatkuasa.

"Contohnya kandungan melibatkan elemen fitnah, hasutan, provokasi dan sebagainya daripada pelbagai pihak termasuk yang menggelarkan diri mereka RBA, terdapat undang-undang spesifik yang boleh diguna pakai seperti Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan," katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Senator Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang meminta kementerian itu menyatakan jumlah kes fitnah siber dalam laman media baharu yang telah diambil tindakan.

Menurut Jailani, dalam kes seumpama itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membantu dengan menyiasat medium internet yang digunakan dalam menjalankan kegiatan jenayah dikenal pasti.

Katanya, kertas siasatan yang dilengkapkan secara bersama dengan agensi penguatkuasa lain akan dimajukan kepada Jabatan Peguam Negara untuk pendakwaan di mahkamah.

Dalam pada itu, beliau membe-ritahu, sebanyak 2,026 laman web telah disekat kerana didapati me-nyalahi pelbagai undang-undang bertulis di negara ini sepanjang tahun lalu.

Tambah beliau, berdasarkan pemantauan dan aduan diterima dari 2013 hingga Mac lepas, sejumlah 2,850 aduan penyalahgunaan internet direkodkan yang mana seba-nyak 792 daripadanya melibatkan media sosial.

"Walaupun jumlah ini kurang daripada satu peratus berbanding pengguna internet di seluruh negara, kerajaan tetap memandang serius dan mengambil berat kepada ancaman dibawa di media sosial," katanya.

Beliau memberikan contoh bagi kes-kes fitnah berunsur penghinaan kepada institusi beraja, pemimpin negara dan provokasi agama serta kaum, sebanyak 13 kes didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 98) dari 2008 hingga tahun lalu.

"Selain itu, laporan salah guna turut dikenakan kepada pengendali perkhidmatan seperti Facebook, Youtube, Twitter dalam membendung penyebaran maklumat tersebut," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20140429/pa_01/RBA-boleh-didakwa-pelbagai-akta#ixzz30EYNFqqL  © Utusan Melayu (M) Bhd

KOMEN : CAKAP AJE...TINDAKANNYA MANA...NAK TUNGGU SAMPAI NEGARA PUNAH RANAH BARU NAK BERTINDAK... BILA KES PUAK PEMBANGKANG AJE...TINDAKAN LEMBAB MACAM SIPUT BABI...

Wednesday, 26 February 2014

Kenapa RBA begitu kebal?


Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my




Shen Yee Aun

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Red Bean Army (RBA), tentera siber propembangkang muncul semula. Kali ini dengan tindakan lebih berani apabila melakukan ugutan bunuh ke atas Presiden Pertubuhan Hak Belia Malaysia yang juga pengasas blog SYA For The Nation, Shen Yee Aun.

Yee Aun yang juga kolumnis Mingguan Malaysia menerima ugutan itu berikutan tulisan beliau dalam akhbar tersebut bertajuk, Laman Penyokong RBA ditutup' Ahad lalu.

Bagaimanapun ini bukan kali pertama beliau menerima ugutan seumpama itu tetapi persoalannya kenapakah sehingga ke hari ini kumpulan yang dianggap cukup biadab itu terlalu sukar untuk dibawa ke muka pengadilan? Apakah mereka begitu kebal?

RBA cukup terkenal dengan propaganda dan perbuatan kurang ajar mereka menyerang pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) dan kerajaan semasa, sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Namun begitu apa yang lebih bahaya, RBA tidak mempunyai sedikit pun perasaan hormat kepada institusi negara.

Sebutlah apa sahaja, institusi raja-raja, badan kehakiman, jabatan kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu semuanya pernah menjadi sasaran serangan RBA. Lebih biadab lagi RBA turut menghina agama Islam.

Walaupun tindakan RBA dianggap boleh menghancurkan negara sebagaimana pandangan pelbagai pihak, namun sehingga sekarang kumpulan ini masih terus dengan kerja-kerja kotor mereka.

Siapa sahaja yang menyentuh atau menyerang RBA akan diserang balas dengan pelbagai kata-kata kesat dan diancam termasuk ugutan bunuh seperti dialami oleh Yee Aun.

RBA bagaikan 'hantu' yang mengganggu dan mengancam rakyat Malaysia tetapi tiada siapa boleh menghalang mereka.

Atas sebab itulah, banyak pihak bertanya apa yang berlaku kepada siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang pada 3 Julai 2013 menyatakan akan mengumumkan keputusan siasatan mengenai kewujudan RBA. Sehingga ke hari ini siasatan itu entah ke mana.

Sebenarnya, pihak berkuasa amat memahami betapa bahayanya RBA kepada perpaduan rakyat dan keselamatan negara, tetapi mereka seolah-olah tidak mampu berbuat apa-apa sehingga wujudnya pandangan RBA ini terlalu kebal .

Apakah mereka ini benar-benar kebal sehingga sukar dikesan biar pun setiap hari memuat turun pelbagai propaganda yang boleh mencetuskan huru-hara dalam negara atau terdapat kelemahan dalam agensi yang bertanggungjawab mengendali tentera siber seumpama ini?

Tetapi anehnya, apabila ada kes-kes tertentu yang melibatkan penghinaan kepada kaum bukan Islam atau bukan Melayu, begitu pantas sekali pihak berkuasa bertindak.

Justeru adalah wajar ugutan bunuh yang diterima oleh Yee Aun dijadikan asas untuk pihak berkuasa kembali agresif memburu RBA sehingga ke lubang cacing. Kelompok biadab dan tidak tahu menghormati undang-undang ini tidak harus dibiarkan bermaharajalela seolah-olah tiada siapa mampu menghalang kerja jahat mereka.

Oleh itu tindakan yang benar-benar tegas dan serius perlu diambil untuk menangani RBA termasuklah mengetahui siapa dalang yang menggerakkan mereka kerana tanpa sokongan kewangan sudah pasti RBA tidak ke mana dan tidak sekebal sekarang?


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140226/po_01/Kenapa-RBA-begitu-kebal#ixzz2uPSJxvp2  © Utusan Melayu (M) Bhd