Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label KAKITANGAN AWAM. Show all posts
Showing posts with label KAKITANGAN AWAM. Show all posts

Friday, 9 October 2015

Penguat kuasa MBPP dihina _ Betul kata Tajuddin LEMPANG AJE

Video dua pemuda bertindak biadab menjadi viral

MOHD. KHUZAIRI ISMAIL | 09 Oktober 2015 1:02 AM



SEORANG lelaki mencampakkan wang kompaun serta mengherdik anggota penguat kuasa MBPP yang terpaksa mengutipnya ketika rakan lelaki itu cuba membuka kunci pada tayar kereta dalam rakaman video yang menjadi viral di internet.

PULAU PINANG 8 Okt. - Ahli-ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menggesa pihak berkuasa me­nyiasat segera perbuatan biadab dua pemuda Cina terhadap anggota penguat kuasa mereka yang sedang melakukan tugas dalam kejadian di Lebuh Campbell di sini, kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Sambil melahirkan rasa kesal, wakil mereka, Mohd. Yusoff Mohd. Noh berkata, tindakan kurang ajar dua pemuda berkenaan yang membaling wang kompaun serta mencaci penguat kuasa wanita MBPP itu dengan perkataan `anjing’ jelas merupakan perbuatan tidak bertamadun.

Menurutnya, perbuatan itu juga boleh disifatkan sebagai cubaan mengganggu penjawat awam menjalankan tugas dengan baik serta memalukan anggota penguat kuasa di tempat awam.

Malah, jelas beliau, tindakan pemuda berkenaan yang cuba membuka sendiri kapit roda atas ke­salahan meletakkan kereta di laluan pejalan kaki juga merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Sepatutnya jika mana-mana pihak yang disaman tidak berpuas hati dengan tindakan yang dikenakan, mereka boleh membuat aduan terus kepada MBPP.

“Bukannya berkelakuan biadab dengan mencaci anggota penguat kuasa dan menghina mereka de­ngan mencampakkan wang kompaun seperti dilakukan pemuda berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kejadian tiga penguat kuasa MBPP yang diherdik dengan perkataan kesat oleh dua pemuda Cina kerana tidak berpuas hati selepas kenderaan mereka dikunci kerana kesalahan meletakkan kereta di laluan pejalan kaki.

Dalam rakaman kejadian itu yang tersebar di Internet hari ini, kedua-dua pemuda berkenaan dalam keadaan marah pada awalnya cuba membuka sendiri tayar yang dikunci anggota penguat kuasa MBPP berkenaan.

Bagaimanapun, mereka akhir­nya mengalah apabila salah seorang daripada mereka membayar kompaun kesalahan tersebut tetapi de­ngan mencampakkan wang ke lantai sebelum dikutip penguat kuasa MBPP wanita berkenaan.

Video berdurasi dua minit itu mengundang rasa marah dan kurang senang orang ramai yang menyifatkan tindakan pemuda berkenaan sebagai melampau dan menghina penjawat awam.

Malah, majoriti mereka menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap kedua-dua pemuda berkenaan sebagai pe­ngajaran kepada pihak lain supaya tidak sewenang-wenangnya memperlekehkan penjawat awam.

Sementara itu, Mohd. Yusoff melahirkan rasa bangga dengan sikap tenang ketiga-tiga anggota pe­nguat kuasa MBPP berkenaan dalam berdepan situasi tersebut.

Dalam masa sama, beliau menggesa orang ramai memahami serta menghormati bidang tugas penguat kuasa MBPP yang perlu bertindak ke atas kesalahan pemandu yang jelas menyusahkan pihak lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada salah seorang penguat kuasa MBPP berkenaan semalam.

Sehubungan itu, menurut beliau, polis akan menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana cuba menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/penguat-kuasa-mbpp-dihina-1.144493#sthash.CXpKQTW4.dpuf


Friday, 18 September 2015

JENAYAH : Kami tidak gentar’

AZMAN IBRAHIM | 18 September 2015 1:32 AM


KERATAN Utusan Malaysia semalam.

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Susulan kes pembunuhan Anthony Kevin Morais, Jabatan Peguam Negara me- negaskan pihaknya tidak akan tunduk dan gentar dengan tindakan pengecut yang mengugut mana-mana pegawainya.

Menurut jabatan itu, peraturan undang-undang sedia ada tidak dibenarkan menggugat tanggungjawab pihaknya jika Malaysia mahu menegakkan sistem demokrasi berparlimen.

Malah, Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan di sini, menggesa pihak polis untuk menyiasat secara terperinci kes pembunuhan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan jabatan itu bagi membolehkan pelaku jenayah itu didakwa.

“Jabatan Peguam Negara mahu melihat keadilan dan rasa kebertanggungjawaban dilakukan dalam kes berkenaan.

“Sementara menghormati pemisahan fungsi antara penyiasat dan pendakwa, kami dengan tegas menggesa pihak polis untuk menyiasat secara menyeluruh kes ini bagi membolehkan dalangnya dikenal pasti, ditemui dan didakwa berlandaskan pematuhan undang-undang sepenuhnya.

“Ini sekurang-kurangnya apa yang dapat jabatan ini lakukan untuk membalas jasa salah seorang pegawai kami yang telah berkhidmat kepada negara dengan rasa bangga, profesional, penuh dedikasi serta komited sama ada di dalam dan luar negara,” kata kenyataan itu.

Kevin, 55, kali terakhir dilihat meninggalkan kondominiumnya di Menara Duta di sini pada 4 September lalu untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan memandu kereta Proton Perdana berwarna kelabu yang memakai nombor pendaftaran WA 6264 Q.

Semalam, mayat beliau ditemukan di dalam tong berisi konkrit berhampiran Sungai Klang di Persiaran Subang Mewah, taman perumahan USJ1.

Pihak polis percaya pembunuhan Kevin mungkin bermotifkan balas dendam berhubung perbicaraan yang dikendalikan melibatkan seorang doktor di hospital tentera.

Doktor berumur 52 tahun itu adalah antara tujuh suspek yang sedang direman berhubung kes pembunuhannya.

Tambah Jabatan Peguam Negara, Kevin melambangkan perumpamaan melakukan pendakwaan tanpa rasa takut dan memihak sepanjang kerjayanya yang panjang dan cemerlang.

Jabatan tersebut turut menyampaikan takziah kepada keluarga Kevin atas kematiannya dalam melaksanakan tugas rasmi demi menegakkan keadilan dan undang-undang.

“Kehilangannya amat dirasai buat jabatan sama ada secara profesional atau peribadi dalam kalangan sahabat dan rakan-rakan sekerjanya di sini,” katanya.

Menurut jabatan itu, pegawai kanan jabatan dan rakan-rakan Kevin sentiasa bersama-sama keluarga mendiang ketika menempuh dalam keadaan sukar ini sebagai memberi sokongan dan bantuan apa yang terdaya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/8216-kami-tidak-gentar-8217-1.137339#sthash.pn2M4c6T.dpuf

Friday, 21 August 2015

Friday, 14 August 2015

CELAH GELEGAR: (MEMANG ADA LAPORAN DIBUAT TERHADAP KSN & KPPA) Te...

CELAH GELEGAR: (MEMANG ADA LAPORAN DIBUAT TERHADAP KSN & KPPA) Te...: Beberapa laporan dibuat orang awam hari ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ketua Setiausaha Negara Tan S...

SPRM: Laporan Malaysiakini tidak berasas

14 Ogos 2015 1:52 AM


KUALA LUMPUR 13 Ogos – Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM) me­nafikan sekeras-ke­rasnya dakwaan portal berita propembangkang, Malaysiakini kononnya beberapa laporan telah dibuat pegawai suruhanjaya itu terhadap Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Mustafar Ali

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahannya, Datuk Mustafar Ali berkata, penyiaran berita yang bertajuk Pindah pengarah: SPRM siasat KSN, KP JPA itu adalah tidak berasas malah dilihat bermotifkan untuk melaga-lagakan agensi kerajaan.

“Laporan portal be­rita ber­kenaan yang mendakwa pe­gawai-pegawai SPRM ada membuat laporan terhadap Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal di bawah Seksyen 48 Akta SPRM 2009 adalah tidak berasas sama sekali.

“SPRM berpandangan laporan seumpama ini adalah bermotif untuk melaga-lagakan hubungan baik antara agensi-agensi kerajaan dan kepimpinan perkhidmatan awam di Malaysia,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Malaysiakini yang kononnya memetik daripada sumber mendakwa laporan berkenaan dibuat berhubung pemindahan dua pengarah SPRM iaitu Datuk Bahri Mohamad Zin dan Datuk Rohaizad Yaakob ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Mustafar juga menggesa pihak media agar lebih bertanggungjawab dalam membuat laporan de­ngan tidak menyiarkan berita yang memetik sumber tidak sah.

“SPRM menghargai kerjasama daripada pihak media namun kami juga berharap agar media bertanggungjawab dengan tidak menyiarkan laporan-laporan yang memetik sumber tidak sah,” ujarnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sprm-laporan-i-malaysiakini-i-tidak-berasas-1.124184#sthash.mFdl5mEn.dpuf



Tindakan tiada kaitan tugas hakiki SPRM – KPPA

14 Ogos 2015 1:52 AM

PUTRAJAYA 13 Ogos – Tindakan yang diambil ke atas dua pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiada kaitan dengan tugas hakiki mereka, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Mohamad Zabidi Zainal

Beliau menjelaskan, di bawah Akta SPRM 2009, seseorang pegawai suruhanjaya itu merupakan anggota perkhidmatan awam di bawah Perkara 132, Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, dengan kedudukan itu, katanya, mereka tertakluk kepada semua Perintah Am dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam khususnya yang berkaitan dengan kelakuan dan tatatertib.

Dalam hal itu, katanya, pegawai SPRM perlu mematuhi larangan daripada memberikan apa-apa kenyataan umum untuk apa-apa tujuan seperti yang diperuntukkan dalam Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Satu perjumpaan antara Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan saya bersama-sama Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mustafar Ali, Pe­ngarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob telah diadakan Isnin lalu.

“Perjumpaan ini bertujuan membincangkan perihal tindakan yang diambil terhadap kedua-dua pegawai terbabit adalah berdasarkan kepada perintah am tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tindakan-tiada-kaitan-tugas-hakiki-sprm-8211-kppa-1.124182#sthash.aEsRa9qq.dpuf


Tuesday, 11 August 2015

Bahri, Rohaizad kembali ke SPRM

JUANI MUNIR ABU BAKAR | 11 Ogos 2015 1:27 AM





























PUTRAJAYA 10 Ogos - keputusan pertukaran dua pengarah di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Datuk Bahri Mohamad Zin dan Datuk Rohaizad Yaakob ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) dibatalkan dengan serta-merta.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau mendengar penjelasan Bahri dan Rohaizad berhubung tindakan mereka me­ngeluarkan kenyataan kepada media.

“Susulan penjelasan tersebut, saya membuat keputusan membatalkan pertukaran kedua-dua pegawai itu ke JPM dan mereka kembali ke jawatan asal masing-masing di SPRM berkuatkuasa 10 Ogos (hari ini),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bahri dan Rohaizad masing-masing merupakan Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM telah diarahkan berpindah ke JPM pada Jumaat lalu.

Difahamkan, Bahri dan Rohaizad telah menemui Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal pada pagi ini bagi membincangkan keputusan pertukaran tersebut.

Pertukaran kedua-dua pegawai itu dipercayai atas tindakan mereka mengeluarkan kenyataan media berhubung siasatan terhadap SRC International Sdn. Bhd. yang dikaitkan dengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selain itu, salah seorang pengarah berkenaan didapati mengadakan dialog bersama pemimpin pembangkang yang mengadakan kunjungan ke Ibu Pejabat SPRM baru-baru ini.

Keputusan pertukaran itu mendapat pelbagai reaksi termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang me­­nyifatkan tindakan itu memberi kesan terhadap keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun pula berkata, jika tidak dibendung krisis tersebut akan memberi kesan negatif kepada kerajaan termasuk kemungkinan Barisan Nasional (BN) tumbang dalam pilihan raya umum akan datang.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/bahri-rohaizad-kembali-ke-sprm-1.123029#sthash.sxgkViCJ.dpuf


Monday, 10 August 2015

APANAMA: Ketua Setiausaha Negara dan kawan-kawan

APANAMA: Ketua Setiausaha Negara dan kawan-kawan: Kenyataan di-atas adalah jelas dan tepat. Dua orang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang 'ditukarkan serta-...

CELAH GELEGAR: [U-TURN SETELAH DIASAK][TERKINI] Pemindahan dua pe...

CELAH GELEGAR: [U-TURN SETELAH DIASAK][TERKINI] Pemindahan dua pe...: Kedua-dua pegawai, Pengarah Bahagian Operasi Khas Datuk Bahri Mohamad Zin (foto) dan Pengarah Strategik Komunikasi Datuk Rohaizad Yaakob m...

Wednesday, 29 July 2015

Khidmat Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara ditamatkan atas sebab kesihatan - KSN

28 Julai 2015 12:39 PM


ABDUL GANI PATAIL

KUALA LUMPUR 28 Julai - Perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara ditamatkan mulai 27 Julai atas sebab-sebab kesihatan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Ali dalam satu kenyataan media hari ini berkata, Abdul Gani akan terus berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sehingga beliau bersara wajib pada 6 Oktober 2015.

"Tan Sri Abdul Gani Patail telah banyak berjasa kepada negara selama beliau memegang jawatan sebagai Peguam Negara. Saya bagi pihak Kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas khidmat bakti beliau dan berharap beliau sentiasa beroleh kesihatan yang memuaskan," katanya.

Sementara itu, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu berkuat kuasa semalam (27 Julai 2015).

Pelantikan Mohamed Apandi dibuat mengikut Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan dan telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohamed Apandi berkelulusan LLB(Hons) Universiti of London dan Bar-At-Law, Inner Temple London serta telah mengikuti pengajian di Institute of Advanced Legal Studies, London.

Antara jawatan yang pernah dipegang beliau adalah sebagai Majistret di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Timbalan Pendakwa Raya bagi Kelantan dan Terengganu, Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia dan Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia.-BERNAMA

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/khidmat-abdul-gani-patail-sebagai-peguam-negara-ditamatkan-atas-sebab-kesihatan-ksn-1.117870#sthash.lxwrvCfs.dpuf

Thursday, 18 June 2015

Bantuan khas penjawat awam

Perdana Menteri umum bantuan khas, elaun imbuhan tetap perumahan, bantuan kewangan

SAIFULIZAM MOHAMAD | 18 Jun 2015 1:40 AM


NAJIB TUN RAZAK menunjukkan buku ‘Melakar Wajah Baharu Perkhidmatan Awam - 8 Prinsip Pemangkin Kecemerlangan’ yang dilancarkannya dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-14 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam. Di sebelah beliau Muhyiddin Yassin dan Dr. Ali Hamsa. – BERNAMA

PUTRAJAYA 17 Jun - Penjawat awam hari ini menerima khabar gembira apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian bayaran bantuan khas kewangan sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM500 untuk gred 54 ke bawah.

Bagi penjawat awam gred 41 dan ke bawah pula mereka mendapat khabar gembira berganda apabila Perdana Menteri turut mengumumkan kenaikan kadar terendah elaun imbuhan tetap perumahan iaitu daripada RM180 sebulan kepada RM300 sebulan.

Najib berkata, tidak terkecuali bantuan khas kewangan sempena Ramadan dan hari raya itu juga dinikmati oleh lebih 700,000 pesara kerajaan yang menerima pencen dengan bayaran RM250.

“Pembayaran bantuan khas kewangan ini akan dibuat pada 25 Jun membabitkan anggaran implikasi kewangan RM1 bilion,” katanya.

Beliau mengumumkan dua khabar gembira itu ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-14 (MAPPA XIV) bertemakan Mendepani Realiti Baharu Negara: Pertumbuhan Melalui Produktiviti dan Inovasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri-Menteri Kabinet; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Berhubung kenaikan kadar terendah elaun imbuhan tetap perumahan, Najib berkata, kadar baharu itu berkuatkuasa 1 November ini, melibatkan lebih 1.1 juta kakitangan awam (gred 41 ke bawah).

Beliau berkata, keputusan itu membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM1.04 bilion setahun.

“Bagi penjawat awam yang mendiami kuarters pula yang selama ini tidak menikmati imbuhan tetap tersebut, mereka turut mendapat faedah sebanyak 25 peratus daripada kadar imbuhan tetap perumahan sebenar yang layak bagi mereka,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/bantuan-khas-penjawat-awam-1.104256#sthash.wC7kCOC6.dpuf

Thursday, 16 April 2015

CUEPACS tuntut naik gaji 35 peratus

Bagi menjadikan RM1,200 sebulan sebagai gaji minimum

ABD. AZIZ ITAR | 16 April 2015 2:30 AM


KUALA LUMPUR 15 April - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmat­an Awam (CUEPACS) me­nun­tut kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam sebanyak 35 pe­ratus bagi menjadikan RM1,200 sebulan sebagai gaji minimum.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, se­ta­kat ini gaji te­­rendah yang diterima oleh kakita­ngan awam se­banyak RM805 sebulan tidak memadai dan di bawah paras kemiskinan terutama bagi yang tinggal di kawasan bandar.

Menurutnya, tangga gaji itu ti­dak sepadan de­ngan garis kemiskinan yang telah ditetapkan iaitu bagi yang berpendapatan ba­wah RM880 sebulan dikira sebagai berada di bawah paras kemiskinan atau dikategorikan miskin bandar.

“Setakat ini, gaji terendah dalam perkhidmatan awam adalah RM805 dan RM820 sebulan. CUEPACS meng­gesa kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam 35 peratus agar gaji golongan itu boleh mencecah paling minimum RM1,200 sebulan.

“CUEPACS juga mahu kerajaan memperkenalkan jadual gaji yang lengkap dengan tangga gaji bermula daripada gaji minimum kepada maksimum selain membuat semakan gaji setiap tiga tahun sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Penjawat Awam dan Taklimat Isu-Isu Semasa kepada kakitangan awam di Pusat Konvensyen CIDB, Jalan Cheras anjuran CUEPACS yang dihadiri lebih 500 kakitangan awam di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Azih juga menyampaikan Memorandum CUEPACS 2015 berhubung tuntutan itu kepada Ketua Pengarah Perkhid­matan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dengan disaksikan ahli-ahli jawatankuasa kongres tersebut.

Kata Azih, kenaikan dan semakan gaji kakitangan awam itu pen­ting kerana kali terakhir kerajaan berbuat demikian adalah pada tahun 1995 dan ia relevan dengan keperluan dalam kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.

“Tahun 1995 adalah kali terakhir semakan gaji kakitangan awam dibuat oleh kerajaan dan sepatutnya lima tahun sekali diadakan semakan terbaharu tetapi perkara itu tidak berlaku. Kalau boleh CUEPACS mahu semakan itu nanti dibuat setiap tiga tahun sekali.

“CUEPACS juga menggesa agar kerajaan hanya mengambil kakita­ngan awam yang mempunyai kela­yakan pendidikan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk be­kerja bagi mengelakkan mereka mendapat gaji di bawah paras kemiskinan,” katanya.

Menurutnya, kenaikan 35 peratus gaji kakitangan awam itu juga berdasarkan hampir 70 peratus penjawat awam merupakan dalam kategori Kumpulan Pelaksana yang bergaji rendah dan sederhana daripada 1.6 juta keseluruhan kakita­ngan awam di negara ini.

Semakan kenaikan gaji itu bukan setakat perlu kepada golongan berpendapatan rendah, tetapi ia juga amat diharapkan oleh penjawat awam berpangkat tinggi kerana desakan terhadap kos sara hidup yang semakin tinggi.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/cuepacs-tuntut-naik-gaji-35-peratus-1.81477#sthash.nIDYTzQF.dpuf

Friday, 6 February 2015

SPRM buru lebih 50 individu - CARA NAK KAYA MENYUSAHKAN ORANG

Dalang jual Pas Lawatan Sosial bernilai jutaan ringgit

MASZUREEN HADZMAN | 06 Februari 2015 2:34 AM


Keratan Utusan Malaysia semalam.

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) me­ngenal pasti lebih 50 individu yang didapati terlibat dalam kes rasuah bernilai jutaan ringgit melibatkan sindiket menjual Pas Lawatan Sosial (PLS) kepada warga asing.

Berikutan itu, SPRM akan me­lancarkan operasi besar-besaran bagi menahan individu terlibat dalam tempoh terdekat yang kebanyakannya kakitangan kerajaan.

Menurut sumber, turut diburu pemegang PLS yang disyaki memberi rasuah bagi mendapat pas berkenaan.

“Sebagaimana kes siasatan lain, SPRM memerlukan bukti dan kete­rangan bagi melengkapkan siasatan. Perkara ini masih dalam penelitian SPRM dan maklumat mengenai perkara tersebut sama sekali tidak boleh didedahkan supaya tidak mengganggu prosedur siasatan.

“SPRM akan mengambil pelbagai pendekatan untuk membanteras rasuah dan tidak akan bertolak ansur dengan apa jua bentuk rasuah termasuk perbuatan meminta dan memberi rasuah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan SPRM menahan tujuh pegawai imigresen termasuk seorang berpangkat Timbalan Penolong Pengarah di Sabah dipercayai menjual ratusan PLS sehingga RM11,000 setiap satu kepada warga Pakistan.

Laporan tersebut antara lain turut mendedahkan SPRM mengesan modus operandi pegawai terlibat dipercayai termasuklah menerima sijil nikah palsu daripada ‘bakal pembeli’ warga Pakistan terbabit, bagi tujuan kelulusan PLS Jangka Panjang.

Sijil nikah merupakan bukti pen­ting dikehendaki pihak imigresen daripada pemohon PLS Jangka Panjang iaitu di bawah kategori pemohon adalah suami atau isteri kepada warganegara Malaysia, bagi membuktikan perkahwinan itu wujud.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sprm-buru-lebih-50-individu-1.56561#sthash.olf1J8X1.dpuf


Thursday, 4 December 2014

Thursday, 20 November 2014

Sultan Pahang murka

Menitahkan agar hentikan segera teroka tanah secara haram di Cameron Highlands

SYUKRI SHAARI | 20 November 2014 3:57 AM


Sultan Ahmad Shah berbincang sesuatu dengan pegawai-pegawai daerah semasa berkenan melakukan lawatan ke Lembah Bertam, Cameron Highlands, Pahang, semalam. – UTUSAN/HANAFI KHAMIS

CAMERON HIGHLANDS 19 Nov. - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa dukacita terhadap aktiviti penerokaan tanah secara haram untuk tujuan pertanian di daerah ini.

Baginda yang menyifatkan kegiatan itu sebagai penyakit yang melarat turut menitahkan supaya segala aktiviti penerokaan haram berkenaan dihentikan segera.

Sultan Ahmad Shah juga mengakui bahawa kegiatan berkenaan mempunyai kaitan dengan kumpulan samseng.

“Perkara ini telah lama berlaku, sejak zaman British lagi. Beta sudah penat dengan semua ini, beta tidak dapat menghentikan (kegiatan) kerana mereka menggaji kumpulan samseng.

“Mereka (peneroka haram) melakukannya di dalam negeri beta, sudah tiba masanya kegiatan haram ini dihentikan serta-merta. Semua tertakluk kepada undang-undang, beta sebagai pemerintah juga tertakluk kepada undang-undang.

“Dalam hal ini, beta berharap kerajaan Pusat akan membantu kerajaan negeri mengatasi masalah ini kerana mereka mempunyai kelengkapan secukupnya menerusi agensi-agensi sedia ada,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam sidang akhbar selepas berkenan mencemar duli melawat kawasan Lembah Bertam yang terjejas ekoran banjir kilat pada 5 November lalu di sini hari ini. Yang turut mengiringi baginda, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Menjawab soalan pemberita mengenai pengeluaran ‘surat kuning’ dari istana yang kononnya membenarkan aktiviti penerokaan tanah di daerah ini untuk tujuan pembangunan dan pertanian, Sultan Ahmad Shah bertitah bahawa baginda tidak tahu menahu mengenainya.

Baginda juga menafikan bahawa pihak istana sewenang-wenangnya mengeluarkan surat berkenaan dan meminta pihak berkuasa tempatan memeriksa terlebih dahulu dengan kerajaan negeri sekiranya ada kontraktor atau syarikat yang mengemukakannya.

“Beta tidak tahu-menahu mengenai perkara ini. Kalau beta tahu, beta pukul dia (orang yang guna surat kuning),” titah baginda.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sains-teknologi/alam-sekitar/sultan-pahang-murka-1.26936#sthash.imf29jFA.dpuf



Wednesday, 19 November 2014

Kenaikan gaji tidak kurang 10 peratus wajar diberi pertimbangan

RABU, 19 NOVEMBER 2014 @ 10:08 AM


Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda. - Foto Shahrul M Zain

KUALA LUMPUR: Kenaikan gaji tidak kurang daripada 10 peratus wajar diberi pertimbangan kerajaan dan majikan swasta sejajar dengan peningkatan produktiviti dan prestasi pekerja di negara ini, demikian menurut kesatuan pekerja sektor awam dan swasta.

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda, berkata kenaikan gaji juga harus sesuai dengan kenaikan kos sara hidup semasa, khususnya kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Selain faktor kemampuan untuk menyara kehidupan seharian, Azih berkata, seseorang pekerja khususnya penjawat awam juga perlu sekurang-kurangnya mampu membeli rumah dan menyara pendidikan anak-anak dengan gaji yang diterima.

"Gaji ini diukur daripada perkara tertentu seperti pencapaian akademik, pengalaman dan juga kebolehan seseorang pekerja itu, (selain itu) gaji juga harus dilihat berdasarkan kos sara hidup.

"Tetapi hari ini kita lihat gaji pekerja tidak mampu untuk menampung itu semua (kos sara hidup)," katanya ketika dihubungi BERNAMA di sini, hari ini.

Menurut laporan kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah yang dibentangkan kelmarin, kenaikan gaji pekerja adalah perlu, memandangkan produktiviti pekerja di Malaysia terus meningkat sejak 1960.

Pengarah Urusan institut itu, Datuk Charon Mokhzani dilaporkan berkata, sejak lebih 50 tahun lalu, paras produktiviti pekerja sentiasa melebihi paras gaji yang diberikan majikan, dan sejak itu juga peningkatan pembayaran gaji sentiasa tidak setimpal dengan pertumbuhan produktiviti pekerja.

Keadaan itu membuatkan gaji dan faedah yang dirasai oleh pekerja hanya sekitar 33 peratus saja daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala selebihnya dinikmati syarikat bersama pemegang kepentingan sesebuah entiti itu, kata Charon.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), N Gopal Kishnam yang senada dengan Azih berkata, kenaikan gaji lebih daripada 10 peratus boleh membantu Malaysia mencapai taraf negara maju.

Kenaikan itu juga katanya, akan merangsang pertumbuhan ekonomi kerana ia dapat meningkatkan kuasa membeli pengguna.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan pula berbeza pendapat apabila mengatakan peningkatan sebenar produktiviti tidaklah sebanyak mana jika dibandingkan dengan kenaikan gaji tahunan yang diberikan kepada pekerja.

Sebagai contoh, beliau berkata, menurut laporan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), purata kenaikan produktiviti pekerja adalah kira-kira 2.5 peratus dalam 10 tahun kebelakangan ini.

"Tetapi kalau kita lihat kenaikan gaji tahunan yang diberikan kepada pekerja terutamanya sektor swasta ialah sebanyak lima hingga enam peratus setiap tahun.

"Ini sudah tentu melebihi kadar peningkatan produktiviti berkenaan dan kadar itu juga harus dibandingkan dengan kadar sebenar produktiviti yang kita ada pada masa ini, yang mana tahapnya adalah kira-kira tujuh kali lebih rendah daripada di Amerika Syarikat dan Jepun.

"Jadi kalau kita ingin mengatakan bahawa peningkatan gaji itu tidak tinggi kalau dibandingkan dengan nilai produktiviti, itu adalah sesuatu yang tidak benar," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai satu lagi laporan kajian Institut Penyelidikan Khazanah yang menyebut harga rumah yang boleh dibeli berdasarkan gaji median tahunan rakyat Malaysia masih lagi mahal daripada yang sepatutnya, Shamsuddin berkata, kerajaan bertanggungjawab untuk mengawal harga berkenaan supaya harga rumah mampu untuk dimiliki.

Gopal Kishnam pula berpendapat kerajaan seharusnya membina lebih banyak rumah mampu milik khusus untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana, memandangkan harga rumah ditentukan oleh pasaran semasa. - BERNAMA

Monday, 13 October 2014

BAJET : Bonus minimum RM500 untuk penjawat awam


KUALA LUMPUR 10 Okt. - Kerajaan mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 kepada kira-kira 1.5 juta penjawat awam yang akan dibayar pada Januari tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pesara kerajaan pula diberi bantuan khas sebanyak RM250 yang turut akan dibayar pada Januari 2015.

"Kita berharap pemberian bonus itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban kenaikan kos sara hidup dan menjaga kebajikan penjawat awam terutama kepada keluarga untuk persediaan musim awal persekolahan kelak," katanya ketika membentangkan 'Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat' di Dewan Rakyat hari ini.

Pada Julai lepas, kerajaan memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 dan RM250, masing-masing kepada penjawat awam dan pesara kerajaan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Bayaran bantuan khas kewangan kepada penjawat awam itu adalah untuk Gred 1 hingga Gred 54.

Najib berkata, kerajaan juga bersetuju memberi bantuan bulanan RM300 seorang bagi menghargai khidmat pegawai dan petugas kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasioanal (JPNIN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Seranta Felda yang berkhidmat melebihi 15 tahun dan telah tamat perkhidmatan kontrak mengikut umur persaraan wajib.

"Inisiatif ini akan memanfaatkan 1,655 individu," katanya.

Sementara itu, bagi mempertingkat keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menambah baik 252 lagi skim sedia ada serta mengumumkan penambahbaikan 81 skim perkhidmatan awam.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141011/dn_11/Bonus-minimum-RM500-untuk-penjawat-awam#ixzz3FzeAQbKt  © Utusan Melayu (M) Bhd 



BAJET : Pinjaman perumahan kakitangan awam dinaikkan

KUALA LUMPUR 10 Okt. - Kerajaan bersetuju menaikkan had kelayakan minimum pinjaman perumahan untuk penjawat awam daripada RM80,000 kepada RM120,000.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, had kelayakan maksimum juga dinaikkan daripada RM450,000 kepada RM600,000.

"Malah, wang proses pinjaman perumahan sebanyak RM100 dimansuhkan. Kedua-dua cadangan ini berkuat kuasa 1 Januari 2015," katanya ketika membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat hari ini.

Najib berkata, kerajaan juga komited untuk terus mempertingkatkan pembinaan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) apabila sebanyak 10,639 unit rumah mendapat kelulusan untuk projek berkenaan.

"Pada 2015, bagi membolehkan lebih ramai penjawat awam memiliki rumah, kerajaan bersetuju membina 5,380 unit rumah lagi iaitu di Putrajaya sebanyak 1,600 unit, Bukit Jalil (1,530); Papar, Sabah (1,290) dan Bukit Pinang, Kedah (960).

"Di samping itu, kerajaan akan menambah baik PPA1M seperti menurunkan harga minimum rumah berkenaan yang kini RM150,000 kepada RM90,000 seunit dengan keluasan lantai minimum 850 kaki persegi.

"Malah, kerajaan menaikkan syarat kelayakan pendapatan isi rumah daripada RM8,000 kepada RM10,000 serta menyediakan dana mudah cara sehingga 25 peratus daripada kos projek kepada pemaju yang menyertai skim PPA1M," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga menyediakan peruntukan RM500 juta untuk membaik pulih dan menyelenggara secara berperingkat kuarters tentera, polis, guru dan petugas kesihatan di seluruh negara.

Beliau berkata, sebanyak RM105 juta pula diperuntukkan kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi penyelenggaraan kuarters kerajaan di bawah program My Beautiful Malaysia membabitkan 126 lokasi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141011/dn_12/Pinjaman-perumahan-kakitangan-awam-dinaikkan#ixzz3FzeeKXIc  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Bajet 2015 hargai penjawat awam


PUTRAJAYA 10 Okt. - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan atas pemberian bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 serta bantuan khas untuk pesara RM250 di samping penambahbaikan ke atas 252 skim perkhidmatan awam.

Selain itu beliau berkata, pemberian cuti menjaga anak selama setahun untuk penjawat awam wanita dalam bajet kali ini pula mencerminkan hasrat kerajaan yang mengutamakan kebajikan penjawat awam daripada golongan tersebut.

Malah katanya, perluasan insentif MyBrain15 kepada penjawat awam untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan memperlengkapkan usaha mewujudkan kakitangan awam yang lebih berkualiti.

"Begitu juga dengan pengenalan Skim Perumahan Belia yang boleh dinikmati oleh penjawat awam berkelayakan serta insentif-insentif lain yang menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan penjawat awam antaranya had kelayakan maksimum pinjaman perumahan yang dinaikkan sehingga RM600,000," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas Bajet 2015 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen hari ini.

Merujuk perkara berkaitan, Ali berkata, pertambahan pembinaan unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M); penurunan harga minimum PPA1M; peningkatan kadar pendapatan isi rumah yang layak memiliki PPA1M kepada RM10,000 serta pemberian geran dana mudah cara kepada pemaju PPA1M juga bertepatan pada masanya bagi memastikan keperluan asas perumahan mampu dimiliki oleh penjawat awam.

"Ini menunjukkan betapa kerajaan secara berterusan mengambil berat dan prihatin terhadap kebajikan penjawat awam sama ada yang masih berkhidmat ataupun yang sudah bersara," katanya.

Sementara itu beliau berkata, dalam tempoh Malaysia berhadapan dengan pelbagai cabaran yang bukan sahaja dihadapi oleh negara ini bahkan hingga ke peringkat global semua penjawat awam diingatkan supaya sentiasa berbelanja dan menggunakan wang secara berhemah serta bijaksana.

Pada masa yang sama, beliau turut meminta penjawat awam yang merupakan tunjang dan nadi kepada Agenda Transformasi Negara untuk terus melipatgandakan usaha mempertingkatkan produktiviti supaya sistem penyampaian perkhidmatan awam melangkaui jangkaan rakyat.

"Langkah ini selaras dengan konsep 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. Penjawat awam juga perlu bersedia bersama-sama dengan kerajaan untuk melaksanakan Strategi Pembangunan Nasional yang akan dilancarkan pada tahun 2015 di samping merancakkan lagi pelbagai inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

"Semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan hendaklah segera melaksanakan Bajet 2015 untuk kesejahteraan rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141011/dn_04/Bajet-2015-hargai-penjawat-awam#ixzz3FzYsMiIh  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Monday, 16 June 2014

Kerajaan tidak berkompromi

Oleh AIN SAFRE BIDIN
pengarang@utusan.com.my



Ahmad Zahid Hamidi (kanan) bersalaman dengan penduduk tempatan selepas majlis kesyukuran dan tahlil di rumahnya dekat Sungai Nipah, Bagan Datoh, Perak, semalam.

BAGAN DATOH 15 Jun - Kementerian Dalam Negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana kakitangan kerajaan khususnya dalam sektor keselamatan dan pertahanan yang menjadi tali barut kepada pihak luar.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak kementerian dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menjejaki kumpulan yang bersekongkol dengan pihak luar sehingga mengancam keselamatan negara.

Katanya, perkara itu tertakluk juga kepada mereka yang menjual maklumat atau melindungi serta memberi laluan kepada pihak luar untuk memasuki Malaysia.

"Kami tidak akan berkompromi dalam perkara ini, tidak kira sama ada rakyat biasa yang terlibat mahu pun mereka yang berpakaian uniform keselamatan.

"Dalam hal ini, sudah tentu kami berasa tidak sepatutnya seorang penguat kuasa keselamatan terlibat dan menjadi tali barut. Mereka sepatutnya menjaga kepentingan negara, bukannya memberi keutamaan kepada kepentingan peribadi," katanya ketika ditemui selepas majlis kesyukuran dan tahlil di rumahnya dekat Sungai Nipah, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Rungkup yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tiga warga tempatan termasuk seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditahan di Sandakan, Sabah kerana disyaki ada kaitan dengan kumpulan militan.

Mengulas mengenai tindakan yang bakal dikenakan terhadap tiga warga tempatan berkenaan, Ahmad Zahid memberitahu, perkara itu akan diserahkan kepada mahkamah setelah siasatan mendalam dilaksanakan.

Katanya, berdasarkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan seterusnya dengan mengheret mereka ke muka pengadilan selepas siasatan menyeluruh dibuat.

"Semua maklumat siasatan akan diserahkan kepada Peguam Negara," jelas beliau.

Ahmad Zahid memberitahu, kementerian bersama-sama PDRM akan bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membendung kegiatan yang memudaratkan negara.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140616/dn_02/Kerajaan-tidak-berkompromi#ixzz34lLhjR5L  © Utusan Melayu (M) Bhd