Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label PROTON. Show all posts
Showing posts with label PROTON. Show all posts

Wednesday, 6 April 2016

Putra Merdeka: Nah..! Ambik Kau..!

Putra Merdeka: Nah..! Ambik Kau..!: Penyelamat dituduh perosak..! perosak dipuja sebagai wira..! Gila apa ni...! Permasalahan yang berlaku dalam Proton bukanlah berpu...

Wednesday, 17 February 2016

Proton Perdana baharu tidak melebihi RM150,000

ZUNAIDAH ZAINON | 17 Februari 2016 12:53 AM



Dr.Mahathir Mohamad




SHAH ALAM 16 Feb. - Proton Holdings Bhd. (Proton) akan memperkenalkan versi baharu Perdana dalam suku pertama tahun ini pada harga antara RM100,000 hingga RM150,000 sebuah.

Pengerusi Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tempahan bagi model tersebut sudah dibuka kepada orang ramai.

Katanya, Proton juga akan mengekalkan nama kenderaan tersebut termasuk model-model lain sebagai sebahagian daripada trend pemasaran yang juga dibuat oleh pengeluar kenderaan antarabangsa.

“Hari ini, bila kita bina kereta baharu, kita tidak tukar nama ke­rana orang akan ingat ia ialah kereta yang berbeza. Bila Proton bermula dengan Saga, pada masa depan juga masih ada Saga dan begitu juga dengan Perdana,” katanya dalam sidang akhbar dan taklimat khas media di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah.

Dalam taklimat khas itu, media berpeluang menyaksikan kemunculan pertama versi baharu Perdana itu yang ketika ini masih di pe­ringkat prototaip.

Bagaimanapun, pada tahun lalu, Perdana mula ‘ditayangkan’ kepada penonton dalam beberapa sedutan filem Kapsul yang turut menampilkan bekas Perdana Menteri itu sebagai pelakon.

Difahamkan, model Perdana itu menggunakan platform sedan mewah Honda, Accord seperti mana yang dilakukan terhadap 3,000 buah Proton Perdana yang digunakan oleh pegawai-pegawai tinggi kerajaan pada masa ini.

Generasi pertama Proton Perdana dilancarkan pada 1995 dengan menggunakan platform Mitsubishi Galant atau Eterna sewaktu kerjasama antara Proton-Mitsubishi.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, Proton mempunyai aspirasi untuk membangunkan 100 peratus kenderaannya di dalam negara walaupun usaha tersebut berdepan cabaran terutama dari segi kos yang terhad untuk membangunkan sesebuah model.

“Saya difahamkan, ada syarikat luar negara yang boleh memperuntukkan sehingga AS$2 bilion (RM8.27 bilion) untuk membangunkan sesebuah model dan kita tidak mampu melakukannya. Jadi, apa yang kita boleh buat ialah membina kenderaan tersebut mengikut kemampuan yang kita ada,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Harith berkata, kos pembangunan bagi versi baharu Perdana itu adalah sekitar RM200 juta.

“Kami menjangkakan versi baharu Perdana dan beberapa lagi model yang akan dilancarkan dapat membantu mencapai sasaran jualan Proton tahun ini antara 100,000 hingga 150,000 unit,” katanya.

Proton panggil semula 94,577 Exora, Preve dan Suprima > Muka 18

Proton kekalkan jenama Perdana. Model terbaharu akan dilancarkan suku pertama 2015

Kos pembinaan versi baharu Perdana RM200 juta

Harga berdaya saing antara RM100,000 hingga RM150,000 sebuah

- See more at: http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/proton-perdana-baharu-tidak-melebihi-rm150-000-1.191316#sthash.q6xbOhfb.dpuf


Tuesday, 13 October 2015

F1 : Hamilton hampiri kejuaraan dunia ketiga

12 Oktober 2015 12:19 AM


PEMANDU Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton meraikan kejayaannya memenangi Grand Prix Rusia di atas pentas selepas menerima trofi di Litar Sochi Autodrom, Sochi semalam. AFP

SOCHI, Rusia – Lewis Hamilton melakar kemenangan dramatik dalam Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Rusia semalam bagi mencerahkan peluang untuk merangkul gelaran dunia buat kali ketiga selepas rakan sepasukannya dalam Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg berdepan masalah pendikit.

Penyandang juara dunia itu menamatkan perlumbaan dalam masa satu jam, 37 minit dan 11.024 saat untuk muncul juara di sini, sementara pemandu Ferrari, Sebastian Vettel di tempat kedua (1’37:16.977s), manakala pelumba Force India, Sergio Perez di tempat ketiga (1’37:39.942s).

Kejayaan Vettel menamatkan saingan di kedudukan kedua membuka laluan kepadanya untuk memintas Rosberg sebagai pencabar terdekat Hamilton setelah dipisahkan 66 mata di belakang pemandu Britain itu dengan empat perlumbaan masih berbaki dan 100 mata maksimum menjadi rebutan.

Jika keputusan seiring dengan apa yang disasarkan Hamilton, maka pelumba itu berpeluang besar untuk memastikan kejuaraan dunia menjadi miliknya di Austin, Texas, Amerika Syarikat dalam tempoh dua minggu lagi.

Hamilton, yang turut menjuarai persaingan dalam penganjuran sulung GP Rusia pada tahun lalu, turut berjaya mengatasi rekod yang pernah dicipta juara dunia tiga kali, Ayrton Senna, setelah dia mengumpul 302 mata, sementara Vettel mengutip 236 mata dan Rosberg meraih 229 mata.

“Kami seperti akan terus bersaing dan saya berasakan ini sesuatu yang hebat. Apa yang pasti kami bakal mempamerkan aksi yang menarik,” kata Hamilton, selepas menerima trofi kemenangannya daripada Pre­siden Rusia, Vladimir Putin.

Mengulas mengenai kegagalan Rosberg menamatkan perlumbaan, Hamilton yang melakar kemena­ngan kesembilannya musim ini dan yang ke-42 dalam kariernya berkata, rakan sepasukannya itu telah me­lakukan kesilapan pada selekoh pertama sehingga menyebabkan jenteranya terbabas.

“Kesilapan itu membolehkan saya memintasnya, dan selepas itu dia telah berdepan beberapa masalah. Malang sekali untuk pasukan kami. Saya sendiri tidak tahu berapa banyak lagi peluang untuk saya berada di kedudukan sebegini sekali lagi,” tambah penyandang juara dunia itu.

Sementara itu, pemandu Williams, Felipe Massa melengkapkan perlumbaan 53 pusingan itu di kedudukan keempat dalam aksi yang memaksa dua kereta keselamatan masuk ke litar selepas pelumba Finland, Valtteri Bottas dan Kimi Raikkonen berlanggar ketika bersaing merebut keputusan podium terakhir.

Bagaimanapun, Raikkonen dari Ferrari sekadar berpuas hati di tangga kelima, yang mana keputusan itu menghalang Mercedes dinobatkan sebagai juara pengeluar lebih awal buat tahun kedua berturut-turut.

Namun, perbuatan nekad Raikkonen itu mengundang padah kepadanya, setelah dia berdepan siasatan steward perlumbaan kerana terbabit dalam pelanggaran. – REUTERS

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/hamilton-hampiri-kejuaraan-dunia-ketiga-1.145462#sthash.SJ6uE6B3.dpuf


Tuesday, 29 September 2015

F1 : Hamilton kembali kepada rentak kemenangan

28 September 2015 12:01 AM


SUZUKA, Jepun – Lewis Hamilton meluru ke garisan penamat di hadapan rakan sepasukannya dalam Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg untuk memenangi Grand Prix Formula Satu Jepun semalam dan mengukuhkan peluangnya untuk memenangi gelaran dunia kali ketiga.

Lewis Hamilton melambung trofi di atas podium selepas memenangi Grand Prix Jepun di Litar Suzuka semalam. AFP

Pemandu dari Britain itu, yang memburu kejuaraan dunia berturut-turut, kini berada 48 mata di hadapan Rosberg dalam kedudukan keseluruhan pemandu ketika musim ini berbaki lima perlumbaan selepas memperagakan pemanduan mengkagumkan di Litar Suzuka.

Sebastian Vettel, yang mencipta kejutan apabila menang di Singapura minggu lalu, menduduki tempat ketiga manakala seorang lagi pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen keempat.

“Sungguh hebat Lewis! Perlumbaan yang fantastik kawan!” kata jurutera pasukan Mercedes menerusi radio sewaktu Hamilton melintasi garisan penamat sambil menumbuk udara untuk meraikan kemenangan kelapannya musim ini.

Selepas kembali mencipta kejayaan selepas perlumbaannya tamat awal di Singapura minggu lalu, Hamilton membalas: “Kerja yang fantastik kawan. Rasa sungguh gembira dapat kembali menang.”

Bersemangat selepas kecewa di Singapura, Hamilton bermula dengan hebat, meluru ke hadapan di selekoh dua selepas Rosberg terbabas sedikit ke rumput dan tercicir ke tempat keempat setelah bermula dari petak pertama.

Pemandu Red Bull, Daniel Ricciardo mendapati tayarnya koyak ketika cuba memintas tetapi berlaga tayar dengan Felipe Massa, yang kemudian terpaksa memandu kereta Williamsnya kembali ke pit untuk menukar sayap depan.

Bagaimanapun, keadaan berjalan lancar untuk kelompok hadapan dengan kedua-dua pemandu Mercedes menguasai perlumbaan untuk membalas kekecewaan mereka di Singapura sehingga membuka peluang tipis kepada Vettel. – AFP

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/hamilton-kembali-kepada-rentak-kemenangan-1.140479#sthash.ltXIJQVW.dpuf


Vettel hidupkan persaingan rebut gelaran Formula Satu

21 September 2015 12:23 AM



SEBASTIAN VETTEL mencium trofi di atas podium selepas memenangi Grand Prix Formula Satu Singapura semalam. - AFP


SINGAPURA – Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) Formula Satu Singapura setelah mengambil kesempatan terhadap ketiadaan pelumba pilihan utama Lewis Ha­milton yang gagal menamatkan persaingan semalam.

Kejayaan Vettel itu sekali gus menghidupkan semula persa­ingan untuk memburu kejuaraan F1 musim ini, yang kini berbaki enam perlumbaan.

Pelumba kelahiran Jerman itu mendahului dari awal hingga ke akhir perlumbaan dan menamatkan persaingan dengan masa dua jam, satu minit 22.118 saat dalam perlumbaan yang terganggu seketika oleh peminat yang berkeliaran di dalam trek.

Vettel melintasi garisan penamat untuk kemenangan ketiganya musim ini dengan berada 1.4 saat di hadapan naib juara Daniel Ricciardo dari pasukan Red Bull.

Rakan sepasukan Vettel, Kimi Raikkonen menduduki tempat ketiga, yang mana ketiga-tiga pelumba ini kekal di posisi sama sejak awal perlumbaan yang berlangsung di litar Marina Bay.

Pelumba Mercedes, Hamilton pula terpaksa berundur awal apabila jentera yang dipandunya mengalami masalah teknikal di pertengahan perlumbaan, namun penyandang juara itu masih meng­ungguli kedudukan keseluruhan dengan 252 mata.

Kejayaan Vettel bagaimanapun merapatkan kedudukannya di tempat ketiga keseluruhan dengan berada lapan mata di belakang rakan sepasukan Hamilton, Nico Rosberg yang menamatkan perlumbaan semalam di tempat keempat. – AGENSI

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/vettel-hidupkan-persaingan-rebut-gelaran-formula-satu-1.138446#sthash.IYa2nj5u.dpuf


Thursday, 3 September 2015

Kereta solar: UiTM yakin beri saingan sengit

03 September 2015 12:48 AM




SHAH ALAM 2 Sept. – Pasukan Eco-Photon dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang akan menyertai pertandingan kereta solar The Bridgestone World Solar Challenge 2015 di Australia dari 18 sehingga 24 Oktober ini, kini sudah bersedia untuk menggalas tugas mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Ketua Projeknya, Azwan Abdullah, persediaan pasukannya kini hampir 90 peratus siap dan beliau positif mereka mampu memenangi pertandingan berkenaan bagi kelas Clipsal & Schneider Electric Challenger.

Menurutnya, keyakinan untuk menghadapi cabaran pertandingan itu semakin tinggi apabila kereta solar yang dipandu uji oleh tiga pemandu mencatatkan keputusan yang positif semasa pandu uji di litar milik Proton di sini semalam.

“Kami berharap dengan keputusan pemanduan dan kejayaan pada hari ini akan dapat membantu pa­sukan untuk mencapai rekod jarak 3,000 kilometer selama enam hari seperti yang telah ditetapkan dalam pertandingan.

“Ini juga merupakan peluang keemasan bagi pelajar UiTM untuk membuktikan kepakaran dan bakat yang ada kepada dunia, sekali gus memberi peluang untuk mengha­rumkan nama negara,” ujarnya selepas pandu uji di sini hari ini.

Azwan menambah, Malaysia yang diwakili UiTM turut bersaing dengan 34 kumpulan lain dari seluruh dunia.

“UiTM adalah wakil Malaysia, manakala negara Asia Tenggara yang akan mengambil bahagian dalam pertandingan sama ialah Si­ngapura dan Thailand,” ujarnya.

Jelasnya, sebanyak 25 pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Elektrik dan Kimia UiTM akan mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kereta-solar-uitm-yakin-beri-saingan-sengit-1.131039#sthash.P8ro14cD.dpuf


Tuesday, 7 July 2015

Tuesday, 21 April 2015

F1 : Hamilton calon hangat juara dunia




21 April 2015 1:36 AM


LEWIS HAMILTON meraikan kejayaan muncul juara Grand Prix Bahrain di Sakhir kelmarin,iaitu kejuaraan ketiganya musim ini. Reuters

SAKHIR – Lewis Hamilton kini memburu gelaran Formula Satu (F1) dunia ketiga selepas meneruskan momentum dengan menjuarai Grand Prix Bahrain, kelmarin, iaitu kejuaraan ketiga­nya daripada empat perlumbaan musim ini.

Pemandu pasukan Mercedes AMG Petronas itu yang memenangi perlumbaan dari petak utama mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu dalam carta pemandu dunia dengan me­ngumpul 93 mata.

Dia kini menjarakkan kedudukan kepada 27 mata di depan rakan sepasukan, Nico Rosberg yang semakin tertekan kerana sudah mula dikejar pemandu Ferrari.

Sebastian Vettel dari pasukan Ferrari berada di tangga ketiga dengan 65 mata, manakala seorang lagi pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen berada di kedudukan keempat menerusi 42 mata.

“Tidak kira dengan siapa pun anda lawan, anda perlu mencuba dan menewaskan setiap pencabar yang berada di luar sana.

“Memang menarik dapat bersaing dengan Ferrari,” kata Hamilton yang menegaskan, persaingan musim ini berbeza dengan tahun lalu, di mana dia lebih banyak bersaing dengan Rosberg.

Pemandu Britain itu memulakan aksi dari petak depan buat kali pertama dalam perlumbaan di padang pasir.

Beraksi pada sebelah malam di bawah lampu limpah tidak menjejaskan Hamilton, 30, selepas dia memandu dengan tenang untuk mengetepikan Raikkonen dan Rosberg, yang menduduki tangga kedua serta ketiga.

Masalah brek yang dialami Rosberg ketika saingan berbaki dua pusi­ngan telah membuka laluan kepada Raikkonen untuk menaiki podium buat kali pertama dalam tempoh dua tahun.

“Ferrari telah memberikan kami saingan yang cukup baik dan kami perlu terus berusaha sebagai sebuah pasukan.

“Jadi, kami tidak 100 peratus gembira dalam perlumbaan ini kerana kami mahukan kemenangan 1-2,” kata Ha­milton lagi.

Sementara itu, Rosberg masih belum mencatat sebarang kemenangan mahu pun menempah petak utama setakat ini. Dia hanya memenangi satu perlumbaan dalam 15 saingan terakhir.

“Hamilton telah memacu jenteranya dengan laju hari ini, memang mustahil untuk mengejarnya,” kata Rosberg.

Vettel yang pada mulanya tampak berkedudukan baik untuk menaiki podium, bagaimanapun gagal mengekalkan momentum ekoran penukaran sayap depan jentera yang mengambil masa agak lama, sekali gus sekadar di tangga kelima di belakang Valtteri Bottas dari Williams. – AP

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/hamilton-calon-hangat-juara-dunia-1.83125#sthash.SjgtW5Mw.dpuf


Monday, 13 April 2015

F1 : Hamilton menang di China, Rosberg berang

13 April 2015 12:45 AM

SHANGHAI - Lewis Hamilton membuktikan kehebatannya apabila menjuarai Grand Prix China, tetapi kemenangannya itu dicemari de­ngan kemarahan rakan sepasukan dalam Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg apabila persengke­taan lama kedua-dua pemandu itu meletus kembali semalam.

Lewis Hamilton menjulang trofi kejuaraan selepas memenangi Grand Prix China di Shanghai semalam. AFP

Dalam perlumbaan yang ber­akhir dengan kereta keselamatan memimpin saingan, pemandu Bri­tain tersebut melakar kemenangan kedua daripada tiga Grand Prix yang telah berlangsung tahun ini, sementara Rosberg di kedudukan kedua dan pelumba Ferrari, Sebastian Vettel di anak tangga ketiga.

Rosberg, yang menghamburkan kemarahan terhadap mekaniknya setelah tewas tipis semasa sesi kelayakan untuk merebut petak utama, pada satu ketika meminta Hamilton agar meningkatkan kelajuan jenteranya, setelah Vettel semakin menghampiri belakang pelumba Jerman itu.

“Saya tidak mengawal perlumbaannya, saya hanya menguasai perlumbaan saya sendiri. Saya langsung tidak diancam oleh Nico sepanjang saingan,” kata Hamilton ketika ditanya tentang arahan pa­sukannya agar meningkatkan kelajuan jenteranya.

Rosberg yang benar-benar marah membalas kembali kenyataan tersebut dan berkata: “Memang menarik dapat mendengar alasan daripada anda, Lewis yang menunjukkan anda sememangnya mementingkan diri sendiri.

“Memandu lebih perlahan daripada sepatutnya pada awal saingan telah membuka laluan kepada Sebastian untuk memintas saya. Keadaan itu benar-benar meletakkan diri saya dalam bahaya.”

Hamilton melebarkan rekod kemenangannya di China kepada empat kejuaraan, tetapi kejayaannya itu telah dibayangi pertelingkahan terbaharunya dengan Rosberg.

Vettel, yang mengejutkan Mercedes apabila memenangi saing­an di Malaysia dua minggu lalu, telah menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga, dengan pemandu kedua Ferrari, Kimi Raikkonen di tempat keempat.

Hamilton berada hampir lima saat di depan Rosberg sehinggalah pemandu Torro Rosso, Max Verstappen yang berdepan masalah teknikal ketika saingan berbaki dua lagi pusingan untuk tamat, telah memaksa kereta keselamatan ma­suk ke dalam litar.

“Kereta keselamatan masuk di hujung perlumbaan benar-benar tidak membantu sesiapapun,” kata Hamilton yang hanya berdepan masalah kokpit jenteranya yang terlalu panas.

Sementara itu, dua pemandu Williams, Felipe Massa dan Valtteri Bottas masing-masing menamatkan saingan di kedudukan kelima serta keenam. – AFP

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/hamilton-menang-di-china-rosberg-berang-1.80330#sthash.thsCs160.dpuf


Tuesday, 31 March 2015

F1: Ferrari terlalu pantas buat kami hari ini - Hamilton

AHAD, 29 MAC 2015 @ 8:10 PM

Oleh Khairil S Iswan



SEPANG: Kemenangan Ferrari di Grand Prix Malaysia 2015 menamatkan rentetan tujuh bulan kemenangan Mercedes AMG PETRONAS sejak tahun lalu namun ia masih dianggap positif oleh pelumbanya, Lewis Hamilton.

Begitupun, pelumba kelahiran Britain itu pantas meminta pasukannya mengatasi kelemahan yang berlaku di Litar Antarabangsa Sepang itu yang disifatkannya turut berpunca daripada kesilapan strategi.

"Mereka (Ferrari) terlalu pantas buat kami hari ini," kata Hamilton yang dilihat beberapa kali mempertikaikan strategi pasukannya menerusi radio dan dapat didengari di bilik media.

"Masih ada ruang yang boleh kami tingkatkan dan kamu tidak boleh memenangi segala-galanya.

"Agak baik untuk melihat pemenang daripada pasukan lain. Saya ketika ini bersedia untuk menghadapi saingan lebih mencabar ketika ini," katanya.

Sekalipun gagal mencatat kemenangan, Hamilton masih mengungguli carta teratas kedudukan pemandu dengan mengumpul 43 mata, hanya dibezakan dengan kelebihan tiga mata berbanding Vettel di kedudukan kedua.

Pada perlumbaan pembuka musim 2015 Formula Satu (F1) di Australia, dua minggu lalu, Hamilton menjuarai perlumbaan diikuti rakan sepasukannya, Nico Rosberg di kedudukan kedua dengan Vettel melengkapkan kedudukan podium.

Mencatat kemenangan cukup meyakinkan di Melbourne, jurang itu terus mengecil di Malaysia dan kesilapan strategi pantas dibayar dengan harga yang mahal.

Bos Mercedes, Toto Wolf turut mengakui peningkatan ditampilkan Ferrari yang memaksa pasukannya bekerja lebih keras.

PEMANDU Mercedes, Lewis Hamilton menduduki petak pertama dalam perlumbaan Formula Satu (F1), Sepang. -Foto AP


F1 : Ferrari, Vettel sekat Mercedes 'di laman sendiri'

Oleh Khairil S Iswan



SEPANG: Ferrari dan Sebastian Vettel mengakhiri dominasi Mercedes AMG PETRONAS, malah lebih manis di perlumbaan Formula Satu (F1) di Grand Prix Malaysia PETRONAS yang dianggap 'laman sendiri' Mercedes, hari ini.

Lebih menggembirakan buat Ferrari dan Vettel, ia menamatkan kemarau buat kedua-duanya yang kali terakhir merakam kemenangan pada perlumbaan jentera empat roda elit itu pada 2013.

Mercedes dalam pada itu terpaksa menerima hakikat jurang yang dicipta mereka tahun lalu kian pudar apabila kedua-duanya sekadar melengkapkan kedudukan podium di Sepang.

Juara dunia tahun lalu, Lewis Hamilton menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua manakala rakan sepasukannya, Nico Rosberg ketiga.

Memulakan perlumbaan di petak kedua, Vettel menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 1 jam 41 minit 05.793 saat, kelebihan 8.5 saat di depan Hamilton.

Perlumbaan yang pada awalnya diramalkan berlangsung dalam hujan tidak menjadi kenyataan apabila hanya awan mendung berarak di SIC, hari ini.

Memulakan perlumbaan di petak pertama dan menggunakan tayar lembut menyaksikan segala-galanya seakan tidak memihak Hamilton yang kemudian mengakui bergelut dengan pemilihan yang dilakukannya.

Ia bertambah parah apabila bendera kuning dikibarkan marsyal perlumbaan kerana kemalangan membabitkan pelumba Sauber, Marcus Ericsson seawal pusingan kedua dengan Hamilton dan Rosberg pantas memasuki hentian pit untuk menukar tayar kepada pertengahan selepas kereta keselamatan memasuki litar.

Peluang itu terus diambil Vettel yang memimpin perlumbaan dan mengakhirinya dengan strategi dua hentian pit berbanding tiga dilakukan kedua-dua pelumba Mercedes.

Kali terakhir Vettel memenangi perlumbaan F1 adalah di GP Brazil pada November 2013 ketika menjuarai gelaran dunia keempatnya pada musim sama bersama pasukan Red Bull.

Begitupun, pelumba kelahiran Jerman itu bergelut sepanjang tahun 2014 yang menyaksikan kebangkitan Mercedes.

Kali terakhir Ferrari memenangi perlumbaan juga pada Mei 2013 pada GP Sepanyol menerusi bekas pelumbanya, Fernando Alonso yang ketika ini berlumba bersama pasukan McLaren-Honda.

Mengikuti kejayaan Vettel ialah rakan sepasukannya, Kimi Raikkonen yang mencipta kejutan menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat sekalipun memulakan perlumbaan di petak ke-11.

Dua pelumba Williams, Valtteri Bottas dan Felipe Massa turut meneruskan persembahan baik musim ini dengan menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima dan keenam.

Ini kali pertama Bottas berlumba musim ini selepas tidak dibenarkan beraksi di GP Australia kerana masalah kesihatan.

Pelumba Belanda dan Toro Rosso, Max Verstappen menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh diikuti pelumba baharu Sepanyol yang juga rakan sepasukannya, Carlos Sainz kelapan.

Masalah berterusan buat pelumba Red Bull apabila kedua-dua pelumbanya, Daniil Kvyat dan Daniel Ricciardo sekadar melengkapkan senarai pemungut mata.

Perlumbaan pusingan tiga F1 akan berlangsung di China pada 12 April depan.

SEBASTIAN Vettel mendahului perlumbaan di Sepang meninggalkan Mercedes di tempat kedua. - Foto AFP


F1: Vettel menitis air mata julang gelaran di Sepang

AHAD, 29 MAC 2015 @ 7:17 PM

Oleh Khairil S Iswan



PELUMBA Ferrari, Sebastian Vettel mengangkat tangan selepas melintasi garisan penamat perlumbaan Grand Prix Malaysia PETRONAS 2015 di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto EPA

SEPANG: Sebastian Vettel jelas terlalu gembira dan hampir kehilangan kata-kata ketika diminta mengulas kemenangan dilakar olehnya pada perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia PETRONAS, hari ini.

Turut hampir menitiskan air mata di atas podium kemenangan, pelumba baharu Ferrari itu begitupun kembali ke 'dunia nyata' dan apa yang diluahkan selepas itu pasti cukup menggembirakan pasukan berpangkalan di Itali itu.

"Sasaran kami adalah untuk membawa Kejuaraan Dunia kembali ke Maranello," kata pelumba kelahiran Jerman itu dengan nada yakin yang turut mengucapkan perkataan sama dalam bahasa Itali.


Sekalipun melakar kemenangan ke-40 sepanjang kerjayanya, ia adalah kemenangan pertama buat Vettel yang kali terakhir menjuarai perlumbaan pada 2013.

Pelumba kelahiran Jerman itu bergelut sepanjang tahun lalu bersama Red Bull tanpa memenangi sebarang kejuaraan sebelum membuat keputusan berpindah menyertai Ferrari.



PEMANDU pasukan Ferarri, Sebastian Vettel mengucup piala yang dimenangi pada perlumbaan Grand Prix Malaysia PETRONAS 2015, hari ini. - Foto AP

Jeritan di pit

Bagi Ferrari, ia pasti kejayaan yang lebih istimewa kerana kali terakhir pasukan itu memenangi Kejuaraan Dunia kategori pengeluar ialah pada 2008.

Manakala kali terakhir pasukan gergasi F1 itu memenangi gelaran pelumba ialah pada 2007 bersama pelumbanya ketika ini, Kimi Raikkonen.

"Untuk menewaskan Mercedes secara adil adalah sesuatu yang istimewa," kata juara dunia empat kali, Vettel dalam sidang media selepas perlumbaan.

Kemenangan Vettel disambut meriah ribuan peminat pasukan itu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang membanjiri podium selepas kejayaan itu.

Pasukannya turut gembira dengan kemenangan itu dan jeritan mereka di pit pasukan jelas kedengaran di bilik media.

"Ferrari kembali, Ferrari kembali," menerusi radio pasukan.

Raikkonen pula menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat sekalipun berdepan pelbagai halangan dan memulakan perlumbaan di petak ke-11.

Friday, 27 March 2015

F1 : Rosberg susun strategi terbaik

AIZAWATI AHMAD 
DAN FADHILUL IZMEL ISHAK | 27 Mac 2015 12:41 AM


NICO ROSBERG berjalan di paddock sebelum menyertai sidang akhbar di Litar Antarabangsa Sepang, semalam. Reuters



SEPANG - Pemandu Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg menyifatkan Litar Antrabangsa Sepang (SIC) sebagai litar perlumbaan terbaik untuk pasukan-pasukan menyusun strategi bagi melancarkan serangan masing-masing.

SIC yang merupakan litar perlumbaan sebenar dianggap oleh pemandu Jerman itu sebagai lokasi terbaik untuk pelumba memanfaatkan kesempatan me­mintas lawan masing-masing ketika saingan berlangsung.

Justeru, Rosberg berkata, amat penting untuknya mencatat keputusan baik dalam pusingan kelayakan dengan strategi yang tepat perlu dirancang bagi mendapatkan petak depan dalam perlumbaan sebenar nanti.

“Pusingan kelayakan amat penting untuk kami bersaing antara satu sama lain. Berdasarkan pengalaman tahun lalu, pemilihan tayar juga mempengaruhi keputusan perlumbaan, selain memanfaatkan kesempatan untuk memintas lawan.

“Persaingan hujung minggu ini mungkin peluang terbaik untuk kami menyusun strategi bagi melancarkan serangan ke atas pencabar kami,” katanya dalam sidang akhbar, di sini semalam.

Ketika ditanya tentang peluang pasukan pesaing merapatkan jurang dengan jentera Mercedes, Rosberg memberitahu, sukar untuknya mengulas mengenai perkara tersebut kerana jawapannya hanya akan diketahui apabila perlumbaan sebenar berlangsung.

“Sukar untuk saya katakan dengan keadaan litar di sini jurang akan dapat dirapatkan oleh pasukan lain, kita perlu tunggu dan lihat apa yang akan berlaku,” ujarnya.

Pemandu berusia 29 tahun itu turut meramal persaingan sengit daripada Kimi Raikkonen dan menganggap pelumba Ferrari tersebut sebagai ancaman terbesar buat pasukannya.

“Saya lihat Kimi sebagai ancaman terbesar buat kami, saya rasa Ferrari berjaya memperbaiki prestasi mereka dan dijangka mencatat keputusan lebih baik berbanding pencabar terdekat kami pada tahun lalu,” tambahnya.

NICO ROSBERG memandang pemandu McLaren, Fernando Alonso menjawab soalan wartawan dalam sidang akhbar di Litar Antarabangsa Sepang, semalam, – UTUSAN/RUSHDI SALLEH

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/rosberg-susun-strategi-terbaik-1.73942#sthash.Z4xK4cSR.dpuf

Thursday, 26 March 2015

F1- Jangan cari alasan - Hamilton

26 Mac 2015 1:35 AM


LEWIS HAMILTON (duduk kanan) dan Nico Rosberg melayan peminat dalam sesi ramah mesra di Suria KLCC, Kuala Lumpur semalam menjelang Formula Satu yang akan bermula di Sepang, hujung minggu ini. utusan/RUSHDI SALLEH

KUALA LUMPUR - Pelumba pasukan Formula Satu (F1) Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton menyifatkan pencabar mereka, Red Bull Racing tidak sepatutnya menjadikan peraturan baharu perlumbaan sebagai alasan untuk menarik diri daripada sukan pemotoran itu.

Katanya, F1 memerlukan lebih ra­mai pemandu dan kereta di litar bagi menjadikannya lebih me­nyeronokkan untuk ditonton.

Justeru, alasan yang diberikan Red Bull bukan sesuatu yang bagus untuk sukan berkenana, apatah lagi ia datang daripada pasukan yang pernah menguasai perlumbaan selama empat tahun.

“Jika saya sebagai peminat F1, saya mahu melihat lebih ramai pemandu dan lebih banyak kereta supaya sukan ini lebih menyeronokkan.

“Tidak sepatutnya (peraturan baharu perlumbaan) jadi alasan untuk sebuah pasukan yang menguasai F1 empat tahun, mahu menarik diri.

“Bukan idea yang baik untuk Red Bull menarik diri,” katanya dalam sidang akhbar sambil dite­mani rakan sepasukan, Nico Rosberg di De­wan Filharmonilk Petronas di sini, semalam, menjelang perlumbaan Grand Prix F1 Malaysia di Litar F1 Sepang, hujung minggu ini.

Sejurus selepas Grand Prix Australia 15 Mac lalu, Red Bull menyatakan hasrat menarik diri daripada F1.

Malah, mereka mencadangkan semua pasukan supaya menggunakan unit kuasa turbo standard yang didapati tidak menepati kehendak peraturan perlumbaan baharu yang diperkenalkan Persekutuan Automotif Antarabangsa (FIA).

Pegawai Teknikal pasukan Williams, Pat Symonds pula mempersoalkan cadangan Red Bull supaya setiap pasukan menggunakan unit kuasa turbo yang standard walaupun cuba meminta FIA mewujudkan garis panduan peraturan yang fleksibel bagi memastikan kelangsungan penyertaan setiap pasukan dalam sukan itu.

Rosberg turut mengecam keras ura-ura penarikan diri Red Bull itu, malah menganggapnya amat mengecewakan selain mereka wajar mengiktiraf terdapat pasukan lain yang mampu memecahkan penguasaan mereka selama empat tahun.

“Saya mengecam keras hasrat mereka. Amat mengecewakan apabila datangnya daripada sebuah pasukan yang sudah lama bergelar juara. Mereka sepatutnya mengiktiraf kejayaan pasukan lain apabila berjaya mengatasi mereka,” katanya.

Sementara itu, Hamilton yang mengakui terpikat dengan keenakan makanan tempatan khususnya roti canai, berkata: “Saya rasa hebat kembali ke sini.

“Kami disambut hangat walaupun saya fikir cuaca panas di Sepang seperti ‘membunuh’. Saya juga mahu lebih banyak kereta dan pemandu yang mampu menamatkan perlumbaan dari di Australia (hanya 11 pasukan tamatkan saingan).

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Mercedes, Toto Wolff me­negaskan beliau tidak mahu mana-mana anak buahnya memandang ringan saingan di Sepang walaupun yakin Hamilton dan Rosberg mampu mencapai keputusan baik.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/jangan-cari-alasan-hamilton-1.73645#sthash.tedX0aq9.dpuf

Tuesday, 24 March 2015

F1 hampir pasti kekal

SIC dijangka sambung kontrak 3 tahun

AIZAWATI AHMAD | 24 Mac 2015 1:11 AM


PEKERJA Litar Antarabangsa Sepang sedang sibuk melakukan persiapan akhir menjelang Grand Prix Formula Satu Malaysia yang akan berlangsung hujung minggu ini.

SEPANG - Ada khabar gembira mungkin menanti peminat sukan pemotoran Formula Satu (F1) negara apabila Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang sedang dalam rundingan penyambungan kontrak dikatakan hampir mencapai kata sepakat untuk menyambung ikatan selama tiga tahun lagi.

Walaupun masih belum ada hitam putih berhubung isu kontrak tersebut, namun Pengerusi SIC, Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir memberi bayangan bahawa perbincangan dengan Pengurusan Formula Satu (FOM) hampir mencapai situasi menang-menang.

“Kita masih dalam perbinca­ngan dengan FOM. Kita sedang mencari satu situasi menang-menang yang sekarang ini hampir mencapai kata sepakat.

“Kita perlu meneliti perjanjian yang paling baharu dan ada isu-isu yang masih belum memuaskan hati kedua-dua belah pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu menyertai lawatan media ke SIC menjelang perlumbaan Grand Prix Malaysia pada hujung minggu ini yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali di sini, semalam.

Menurut Mokhzani, sekiranya semua isu yang dibangkitkan dapat dirunding dengan baik bersama FOM, maka kontrak selama tiga tahun akan disambung.

Bagaimanapun jelasnya, buat masa ini, pihaknya masih belum dapat berbuat demikian kerana SIC perlu meneliti perjanjian yang bakal ditandatangani itu mampu memberi hasil pelaburan yang benar-benar berbaloi.

“Kita sebagai penganjur perlu dapat ROI (Return On Investment) yang positif sebelum kita menjadi tuan rumah F1.

“Kita hendak tengok orang yang datang ke sini (mendapati) harga tiket tak begitu mahal. Begitu juga dengan pelancong yang datang Malaysia.

“Lebih-lebih lagi pertukaran mata wang asing antara Ringgit Malaysia (RM) dan Dollar Amerika Syarikat mengalami perubahan. Saya hendak pastikan mereka datang ke Malaysia ini kerana mahu tengok F1,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai kontrak, beliau memberitahu, tempoh tiga tahun dipilih berbanding lima tahun adalah bagi memberi ruang kepada SIC untuk melihat sebarang perubahan yang berlaku dalam F1 sepanjang jangka masa tersebut.

Tambahnya, amat penting juga bagi SIC untuk memantau penglibatan Petronas dalam pasukan Mercedes AMG yang mana mereka dikhabarkan akan terus menjadi penaja pasukan itu bagi tempoh tiga tahun lagi.

Ketika ditanya kemungkinan pengumuman mengenai kontrak akan dibuat sewaktu perlumbaan GP Malaysia pada hujung minggu ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Mokhzani menegaskan, segala keputusan muktamad terletak di tangan Kementerian Kewangan yang bertindak selaku rakan kongsi utama.

Selagi ‘lampu hijau’ belum dinyalakan, maka sebarang pengumuman tidak boleh dilakukan.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/f1-hampir-pasti-kekal-1.72984#sthash.T4k2oZBy.dpuf


Monday, 23 March 2015

Kekalkan F1 di Malaysia

Rosberg anggap Litar Sepang antara yang terbaik

SUFIAN HADI SOJAK | 23 Mac 2015 1:02 AM





KUALA LUMPUR - Pemandu pasukan Mercedes, Nico Rosberg mahu perlumbaan Formula Satu (F1) terus diadakan di Malaysia dan kontrak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang bakal berakhir pada 29 Mac ini disambung.

Pelumba kelahiran Jerman itu menganggap, SIC memiliki laluan trek yang sangat hebat, selain menjadi lokasi tumpuan orang ramai untuk hadir menyaksikan perlumbaan berprestij dunia itu.

“Semema­ngnya ia sangat penting untuk F1 berada di sini. Selain mempunyai laluan yang menarik, ia turut menarik minat orang di luar sana untuk datang memberi sokongan kepada kami (pelumba).

“Malah, SIC juga menjadi trek pertama yang menganjurkan Grand Prix di Asia dan ia sangat istimewa. Sudah tentu ia menjadi perlumbaan penting buat Petronas di sini.

“Saya harap dapat kembali (berlumba) di sini untuk tahun-tahun seterusnya. Treknya sangat menarik dan bagus untuk dipandu.

“Saya pernah naik podium banyak kali dan ia menjadi satu momen yang istimewa untuk saya datang ke sini lagi,” katanya.

Rosberg berkata demikian selepas majlis menaiki teksi bersamanya di ibu negara, semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan SIC berdepan ancaman hilang hak penganjuran F1 dan perlumbaan 2015 pada 27-29 Mac ini mungkin menjadi yang terakhir di Sepang selepas 16 tahun me­nganjurkannya.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali yang sudah mengadakan perbincangan pertama bersama pengurusan F1 yang diketuai Bernie Ecclestone di London Januari lalu, memberi bayangan penganjurannya pada tahun ini bukanlah yang terakhir.

Keputusan hak penganjuran Malaysia dijangka diketahui, ­minggu depan.

Sementara itu, Rosberg, 31, optimis pasukannya mampu melakar kemenangan kedua musim ini di Sepang, hujung minggu ini.

“Kami mempunyai jentera yang hebat selain berlumba di laman sendiri dan saya ucapkan terima kasih kepada Petronas.

“Kami akan melakukan yang terbaik dan ia akan menjadi satu pertembungan hebat antara saya dan Lewis (Hamilton). Harap-harap saya akan berada di depan untuk saingan kali ini,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/kekalkan-f1-di-malaysia-1.72544#sthash.LjELOHVE.dpuf


Friday, 6 February 2015

Proton Exora baharu dengan penurunan harga hingga RM4,710

Oleh Che Wan Badrul Alias


Proton Exora baharu. - Foto emel
SHAH ALAM: Proton Holdings Bhd melancarkan varian dipertingkat Proton Exora dengan tambahan varian baharu Proton Exora Super Premium (SP) yang menggantikan varian Prime.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abdul Harith Abdullah, berkata dengan pengenalan varian baharu, syarikat menyasar menjual 2,000 unit Exora sebulan.

Proton Exora baharu. - Foto emel
Katanya, Proton juga sudah menjalankan kajian semula harga model itu dan kini menawarkan pengurangan tambahan kira-kira 5.8 peratus atau RM4,710 bagi varian terpilih sejajar rancangan kerajaan untuk merendahkan harga kenderaan di negara ini.
"Kini kami memperkenalkan varian SP baharu yang bukan hanya menyediakan kuasa pacuan enjin turbo 1.6L tetapi juga dinaik taraf dengan reka bentuk menarik menepati hasrat membangunkannya sebagai sebuah kenderaan premium untuk keluarga.
"Dengan enjin lebih berkuasa bagi varian SP, Premium dan Executive, Proton turut mempertingkatkan aspek keselamatan MPV berkenaan. Justeru, varian Premium dan Super Premium kini dinaik taraf dengan beg udara sisi menjadikan MPV baharu ini memiliki empat beg udara dan sistem kawalan kestabilan elektronik (ESC)," katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Varian baharu Proton Exora ditawarkan dalam tujuh warna - Solid White, Elegant Brown, Cocoa Grey, Genetic Silver dan Tranquility Black manakala Luxury Blue dan Indiana Grey adalah dua warna baharu diperkenalkan untuk Exora baharu.
Proton sudah menjual 128,824 unit Exora sejak diperkenalkan pada 2009.
Varian baharu Exora kini dibuka untuk tempahan dan Proton menawarkan jaminan tiga tahun atau 100,000 kilometer.