Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label Pakatan Pembangkang. Show all posts
Showing posts with label Pakatan Pembangkang. Show all posts

Wednesday, 30 March 2016

Akhbar Cina persoal integriti Guan Eng

RODELIO JUNJUN TAUCAN | 30 Mac 2016 12:31 AM

KUALA LUMPUR 29 Mac - Akhbar-akhbar bahasa Cina mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng agar memberi penjelasan dan tidak berdolak-dalik dalam isu pembelian rumah banglo miliknya di Jalan Pinhorn, Georgetown.

Lim Guan Eng

Akhbar Sinchew Daily semalam menyiarkan artikel oleh penulis bebas, Chong Shaw Min bertajuk ‘Kenapa Tidak Boleh Hindari Duit’ mempersoal integriti pemimpin DAP itu yang sepatutnya sedar peranannya sebagai ketua kerajaan menghalangnya daripada terlibat dengan urusan pembelian yang meragukan.

“Sebagai seorang ahli politik, apa yang dihadiahkan di depan mata itu memang bukan perkara rumit baginya, tetapi kerana semua itu adalah disebabkan kuasa dan kedudukan kita, barulah kita dapat menikmatinya.

“Walaupun anda kata itu bukan kerana ada kepentingan kepada pihak penjual, ini tidak memberi jaminan jika satu hari ia tidak menjadi alasan untuk mendapatkan kepentingan yang lain atau pun menjadi bahan dan peluang serangan pihak musuh,” katanya dalam artikel itu.

Sementara itu, artikel bertajuk ‘Jual Beli Yang Kamu Sanggup Aku Pun Rela’ oleh penulis bebas, Wang Jek Ying dan disiarkan Nanyang Siangpau pada Ahad lalu menganggap pembelian tersebut menimbulkan banyak keraguan berikutan jawatan Guan Eng.

Menurut Jek Ying, masalah itu tidak akan timbul jika urus niaga berjalan antara dua individu biasa serta kedua-dua pihak menyatakan kesanggupan terhadap harga yang ditawarkan walaupun lebih murah berbanding nilai sebenar.

“Ada orang kata isu itu merupakan sebahagian pemberian hadiah sehingga menimbulkan keraguan. Jual beli seperti itu agak luar biasa, di dalamnya mungkin ada sesuatu yang tersorok yang tidak diketahui oleh orang luar, jika dikesan dan dicari bukti, pasti kita tidak akan terlepas walaupun sehalus tali benang sawang labah-labah,” katanya.

Dalam pada itu, akhbar Kwong Wah bertarikh 22 Mac menyiarkan artikel bertajuk ‘Rakyat Cemburu Beliau Boleh Membeli Banglo Mewah Terlalu Murah’ yang ditulis penulis bebas, Oh Tong Keong mempersoalkan tindakan Guan Eng kerana cuba mengalih isu tersebut daripada pengetahuan rakyat.

Menurut Tong Keong, lebih mengecewakan apabila pembinaan rumah mampu milik seluas 60.38 meter persegi yang dilancarkan Guan Eng pada harga RM400,000 seunit adalah lebih mahal iaitu kira-kira RM616 bagi setiap 0.09 meter persegi berbanding hanya RM275 untuk rumah banglo itu.

“Orang biasa tidak mampu membeli apa yang dikatakan rumah mampu milik dengan harga RM400,000. Tetapi kerajaan negeri telah menjual tanah yang dikhaskan untuk projek rumah rakyat. Syarikat besar membuat duit ketika rakyat Pulau Pinang merana.

“Ketua Menteri cuba mengalih tumpuan dengan menjemput media ke rumahnya. Walau bagaimanapun, perkara penting adalah bukan sama ada beliau mampu membeli banglo itu atau kemewahan hiasan dalamannya. Perkara penting adalah kenapa dia boleh bayar harga yang terlalu murah untuk banglo itu?” soalnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/akhbar-cina-persoal-integriti-guan-eng-1.206494#sthash.79vIoQ5H.dpuf


Friday, 18 March 2016

PARLIMEN : Siasat Ketua Menteri P. Pinang

Dakwaan beli rumah pada harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran

MOHD. ASRON MUSTAPHA | 18 Mac 2016 1:45 AM



INILAH rumah Lim Guan Eng yang terletak di Jalan Pinhorn, Jelutong, yang didakwa dibeli pada harga yang jauh lebih murah dari harga pasaran di Pulau Pinang. UTUSAN/AZMAN ASMAYATIM



KUALA LUMPUR 17 Mac - Seorang penyokong kerajaan hari ini mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bagaimana Ke­tua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng boleh membeli sebuah rumah di Jalan Pinhorn, Georgetown, dengan harga yang jauh lebih rendah berbanding nilai pasaran semasa.

Datuk Shabuddin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) mendakwa, rumah dengan keluasan tanah 10,161 kaki persegi (943.99 meter persegi) tersebut dibeli Guan Eng pada 25 Oktober tahun lalu dengan harga RM2.8 juta, sedangkan harga pasaran semasa rumah berkenaan ialah dalam lingkungan RM6 juta hingga RM6.5 juta.

Dakwanya, rumah beralamat Nombor 25, Jalan Pinhorn itu pada mulanya dimiliki seorang wanita, Phang Li Koon yang membelinya pada Oktober 2008 dengan harga RM2.5 juta sebelum diubah suai membabitkan kos ratusan ribu ringgit, kemudiannya disewa Guan Eng dengar kadar RM5,000 sebulan sejak Julai 2009 dan akhirnya dibeli oleh Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut.

“Jadi persoalannya, saya nak tanya Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta (JPPH) di bawah Kementerian Kewangan, apakah logik sebuah rumah yang dibeli dengan harga RM2.5 juta dan setelah diubah suai melibatkan kos ratusan ribu ringgit hanya disewa dengan kadar RM5,000 sahaja sebulan?

“Sedangkan dalam masa yang sama, sebuah rumah lagi dalam jarak empat buah rumah dari rumah nombor 25 ini, telah dinilai dengan harga yang jauh lebih tinggi, sedangkan keluasan tanahnya cuma separuh daripada keluasan rumah nombor 25 ini tadi.

“Satu lagi persoalan ialah bagaimana rumah ini setelah di­sewa selama tujuh tahun, dijual kepada Bagan (Guan Eng) dengan harga yang begitu murah iaitu cuma RM2.8 juta,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong, dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Selain isu pemilikan rumah tersebut, Shabuddin juga meminta SPRM menyiasat bagaimana Guan Eng boleh memberi kelulusan kepada penjualan lot tanah di Taman Manggis Fasa 2, George Town, bagi tujuan pembinaan hospital swasta dan hotel suite, sedangkan tanah itu sudah diperuntukkan ketika zaman Barisan Nasional (BN) untuk dibina perumahan rakyat termiskin.

Menurutnya, mengikut perancangan asal kerajaan BN sebelum tampuk pimpinan negeri terlepas kepada DAP, projek perumahan rakyat termiskin tersebut selepas dibangunkan akan disewakan de­ngan kadar hanya RM100 sebulan kepada rakyat termiskin di Pulau Pinang.

“Oleh kerana isu ini isu inte­griti dan juga isu perumahan rakyat termiskin di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dari segi dasarnya, maka saya bangkitkan dalam Dewan Rakyat bagi mendapat penjelasan daripada menteri berkenaan dan SPRM,” katanya.

Dakwa Shabuddin lagi, Li Koon iaitu pemilik asal rumah Nombor 25, Jalan Pinhorn itu merupakan salah seorang pemegang saham dalam syarikat Windbond Mana­gement & Consultant Sdn. Bhd. dan syarikat tersebut mempunyai kaitan dengan Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn. Bhd. (KLIDC) yang diberi kelulusan untuk membeli tanah di Taman Manggis Fasa 2.

Bagaimanapun, pendedahan ser­ta desakan yang dibangkitkan Shabuddin itu mengundang kemarahan pemimpin pembangkang terutamanya wakil DAP yang secara berterusan cuba mengganggu perbahasan Ahli Parlimen Tasek Gelugor tersebut.

Paling awal menuntut Shabuddin menarik balik ucapannya ialah Loke Siew Fook (DAP-Seremban) yang mendakwa kenyataan itu sebagai tidak berasas sehingga mencetuskan kekecohan dalam Dewan Rakyat tetapi segera ditenangkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said.

“Tarik balik, apa sumber yang digunakan oleh Tasek Gelugor, dakwaan tidak berasas, kenyataan itu tidak berasas,” jerit Siew Fook sambil beberapa wakil pembangkang lain turut membuat bising termasuk mempersoal mengapa isu berkenaan dibangkitkan di Dewan Rakyat.

Gangguan itu kemudiannya segera dibalas Shabuddin dengan berkata: “Apa salahnya? Hak saya sebagai Ahli Parlimen dan juga rakyat negeri Pulau Pinang ingin mendapatkan penjelasan, kalau tidak betul biarlah orang yang ber­kenaan menjawabnya.”

Namun penjelasan itu tetap ti­dak memuaskan Siew Fook, yang berterusan mempersoal mengapa isu tersebut dibawa ke Dewan Rak­yat dan bukannya Dewan Undangan Negeri (DUN) selain membangkitkan persoalan ketika pendedahan berkenaan dibuat Guan Eng tiada di dalam dewan untuk membela diri.

“Tadi saya dengar Bukit Gelugor (Ramkarpal Singh berucap sebelum Shabuddin) pun macam-macam, saya biarkan. Pekan (Datuk Seri Najib Tun Razak) juga tiada dalam dewan (ketika dilemparkan de­ngan pelbagai tuduhan),” jelas Ismail bagi menenangkan Siew Fook dan beberapa wakil pembangkang.

Penjelasan Timbalan Yang Dipertuan Dewan Rakyat itu tetap tidak dipedulikan pemimpin pembangkang antaranya Teresa Kok (DAP-Seputeh), Julian Tan (DAP-Stampin), Steven Sim Chee Keong (DAP-Bukit Mertajam), P. Kasthuriraani (DAP-Batu Kawan), Gobind Singh (DAP-Puchong), Khalid Abdul Samad (PAN-Shah Alam) dan Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa (PAN-Parit Buntar) yang berterusan membuat kecoh.

Kecewa dengan tindakan pembangkang yang berterusan mengganggu ucapan serta pendedahan yang dibuat Shabuddin, Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) mempersoal mengapa DAP dan rakan pakatannya mesti bersikap hipokrit dengan menjadikan isu remeh-temeh sebagai modal dalam usaha mempertahankan Guan Eng.

“Saya nak beritahu, apa yang dibangkitkan Tasek Gelugor ini pernah berlaku kepada bekas Menteri Besar Selangor (Dr. Mohamad Khir Toyo). Isunya mula-mula ditimbulkan dalam dewan selepas itu baru disiasat SPRM, sebab itu kalau betul isu ini berlaku, jika bekas Menteri Besar Selangor boleh diambil tindakan, kita minta SPRM siasat (Guan Eng).

“Mengapa semasa di DUN Sela­ngor boleh bangkit isu terhadap bekas Menteri Besar Selangor? Inilah perangai pembangkang, bila kena batang hidung sendiri mula sebut soal Peraturan Mesyuarat. Ini semua bukti hipokrit,” katanya.

Dalam pada itu, usaha pemberita termasuk Utusan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan Guan Eng berhubung pendedahan Shabu­ddin gagal kerana sehingga Dewan Rakyat habis bersidang, Setiausaha Agung DAP itu tidak kelihatan.

Bagaimanapun, Guan Eng menerusi laman Twitter miliknya berkata, beliau akan menjawab perkara yang ditimbulkan Shabu­ddin dalam sidang akhbar esok.

Dalam reaksi ringkas kepada dakwaan itu juga, Guan Eng menambah, rumah berusia 40 tahun berkenaan adalah hartanah terpakai, bukannya dibeli menerusi pemaju.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/siasat-ketua-menteri-p-pinang-1.201832#sthash.wVO0BJkb.dpuf


Tuesday, 24 November 2015

TIAN CHUA ATUR DAN NAFI

Tian Chua atur pertemuan Nurul Izzah-Jacel Kiram

MOHD. AZRAIE MD. YUSOF DAN SOFIAN BAHAROM | 24 November 2015 1:09 AM



Keratan Utusan Malaysia pada 20 November 2015.

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua merupakan individu yang bertanggungjawab mengatur pertemuan antara Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dengan anak perempuan bekas ketua pengganas Jamalul Kiram III, Jacel Kiram.

Beliau berkata, Naib Presiden PKR itu juga merupakan individu yang turut bertanggungjawab menjalankan tindakan secara halus dalam mengatur tuntutan ‘Kesultanan Sulu’ terhadap Sabah sebelum ini.

“Saya harap Tian Chua hati-hati dalam perbuatannya, Tian Chua harus lebih teliti dalam mengatur program untuk pemimpin-pemimpin partinya, Tian Chua jangan sebarangan untuk mengeluarkan kenyataan beliau itu...,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Ekonomi Peringkat Tinggi Malaysia-China, di sini hari ini.

Beliau mengulas pertemuan Nurul Izzah dan Jacel seperti yang tertera dalam beberapa keping gambar yang dimuat naik oleh Jacel dalam akaun Facebook miliknya baru-baru ini.

Mengulas tindakan Tian Chua sebelum ini yang mempersoal adakah pertemuan itu merupakan kesalahan jenayah, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, ia berkaitan soal kedaulatan negara dan undang-undang negara yang perlu dipatuhi.

“Saya telah nyatakan bahawa kita boleh berbeza pendapat, tetapi dalam soal kedaulatan negara, soal maruah negara, harus tak ada kompromi ke atasnya.

Jika ada dalam kalangan rakan dalam parti yang mengatur perjumpaan itu, saya fikir sudah tentu ada tujuan tersirat oleh orang itu yang bertanya kepada saya dan kerajaan apa kesalahan jenayah yang telah dilakukan,” katanya.

Sementara itu di Parlimen, ketika mengulas kenyataan Tian Chua yang menafikan penglibatan beliau dan menganggap pendedahan tersebut sebagai tidak berasas dan tidak bertanggungjawab Ahmad Zahid menegaskan, beliau tidak akan menarik semula pendedahan berhubung penglibatan Naib Pre­siden PKR itu.

Sebaliknya beliau meminta Tian Chua tidak menafikan perkara itu kepada media tetapi memberi ke­nyataan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila dipanggil untuk memberi keterangan selepas ini.

“Sila beri keterangan dan penafian di mahkamah kalau dia mengaku tidak terlibat, saya tidak berhasrat menarik balik kenyataan saya pagi tadi. Beliau jawablah, kerana beliau sahaja yang tahu mengenai perjumpaan di Manila itu.

“Saya nasihatkan tak perlu beliau nafikannya kepada media, sila jawab kepada polis apabila diminta beri keterangan,” katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen hari ini.

Mengenai Nurul Izzah, Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun Ahli Parlimen Lembah Pantai itu telah membuat permohonan maaf, namun perbuatan Nurul Izzah seolah-olah memberi sokongan terhadap perbuatan pengganas Sulu yang menceroboh kedaulatan negara.

“Bagaimana perasaan keluar­ga mangsa yang ditinggalkan, bagaimana pula perasaan rakyat Sabah yang buminya diceroboh, bagaimana pula perasaan tentera dan polis yang usaha mereka untuk mempertahankan negara, seolah-olah tidak dihargai,” tegasnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tian-chua-atur-pertemuan-nurul-izzah-jacel-kiram-1.161792#sthash.nwQKKeEq.dpuf


Tian Chua nafi dalang pertemuan

24 November 2015 1:09 AM

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Naib Presiden PKR, Tian Chua meminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menarik balik pertuduhan mengatakan beliau sebagai dalang pertemuan antara Nurul Izzah Anwar dengan Jacel Kiram, anak perempuan bekas ketua pengganas kumpulan bersenjata Sulu.

Tian Chua

Katanya, tuduhan Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri itu tidak berasas dan tidak bertanggungjawab kerana sebagaimana penjelasan Nurul Izzah sebelum ini, kehadiran mereka di Filipina adalah atas undangan pelbagai parti politik negara itu.

“Saya akan pertimbangkan tindakan selanjutnya. Namun di peringkat ini saya seru supaya Ahmad Zahid tarik balik hujah itu.

“Beliau harus buat penarikan dalam tempoh yang munasabah. Jangan buat seperti insiden Lahad Datu, Sabah yang saya dituduh menghina pa­sukan keselamatan, pengkhianat negara.

Namun pada hari perbicaraan, UMNO tarik balik dakwaan mereka,” katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen hari ini.

Ahmad Zahid selepas Forum Ekonomi Peringkat Tinggi Malaysia-China di ibu negara, hari ini mendakwa Tian Chua mengaturkan mesyuarat Nurul Izzah dengan Jacel.

Dalam pada itu, Tian Chua memberitahu, tujuan perjumpaan di Filipina adalah untuk membawa isu-isu kesedaran rakyat negara itu dan isu hak asasi manusia dan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebagai menteri, Ahmad Zahid sepatutnya mengeluarkan ke­nyataan secara bertanggungjawab. Jika tidak, ia adalah satu hujah yang tidak berasas dan tidak memberi imej yang positif kepada keselamatan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Tian Chua berkata, beliau bersedia dipanggil pihak berkuasa untuk disiasat berhubung perjumpaan tersebut.

“Kita tak ada pilihan kalau dipanggil, kita kena pergi dan beri kerjasama,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tian-chua-nafi-dalang-pertemuan-1.161797#sthash.8G44Ro2C.dpuf


Monday, 23 November 2015

Friday, 20 November 2015

ADUN PKR menangis dalam Sidang Dewan - MANA ADA TIPU...

20 November 2015 2:33 AM



Norela Ariffin

PULAU PINANG 19 Nov. – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini dikejutkan dengan tangisan Dr. Norela Ariffin (PKR-Penanti) yang kecewa kerana Kerajaan DAP Pulau Pinang mengabaikan kawasannya.

Norela berkata, beliau berasa sedih kerana kerajaan negeri tidak mahu memahami masalah yang dihadapi oleh penduduk di 28 kampung dalam DUN Penanti yang tersepit kerana tiada kemudahan asas.

Katanya, setiap soalan yang ditanya dalam DUN sejak Isnin lalu tidak dijawab malahan ditolak oleh satu Exco kepada Exco lain.

“Saya buang masa hampir sejam menunggu jawapan. Tahukah kerajaan negeri bahawa saya membawa suara orang kampung yang mana di kawasan kami tidak ada kemudahan seperti di kawasan lain?” kata­nya yang menangis teresak-esak dan ditenangkan Lydia Ong Kok Fooi (DAP-Berapit).

Norela berkata, DAP sebagai parti demokratik sosialis seharusnya memahami masalah rakyat bawahan dan penduduk kampung, namun perkara itu tidak berlaku di Penanti.

“Apa yang saya hendak cakap kepada orang kampung, masalah banjir lumpur yang tidak diselesaikan, masalah kilang haram, jeti yang tidak dilengkapi kemudahan asas sehingga gagal digunakan nelayan... saya bawa suara orang kampung, kenapa kerajaan negeri tidak mahu faham, mengabaikan Penanti,” tegasnya.

Datuk Roslan Saidin (BN-Pinang Tunggal) kemudian bangkit menyatakan sokongan kepada Norela sambil mendakwa itulah realiti sebenar yang dihadapi penduduk di negeri ini di bawah pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Sokongan Roslan itu menyebabkan wakil penyokong kerajaan ne­geri lain berang dan berlaku pertengkaran sehingga terpaksa ditenangkan oleh Timbalan Spea­ker, Datuk Makhtar Shapee.

Kritikan keras Norela terhadap Kerajaan DAP Pulau Pinang turut tidak disenangi oleh Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Malik Kassim.

Abdul Malik (PKR-Batu Maung) berkata, tuduhan Norela tidak adil kerana Ketua Menteri, Lim Guan Eng menyebut terdapat peruntukan disalurkan kepada Permatang Pauh.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mohd. Rashid Hasnor (PKR-Pantai Jerejak) turut campur tangan apabila meminta Abdul Malik bertenang dan menurutnya, masalah yang diutarakan Norela perlu dibincang secara mendalam.

Norela yang masih gagal mengawal emosi kemudian bangkit menyanggah Abdul Malik dengan mendakwa semua peruntukan yang disebut itu bukan disalurkan kepada kawasannya sebaliknya untuk DUN Permatang Pasir dan Seberang Jaya.

“Tahukah bahawa penduduk kampung di sana terperangkap disebabkan kekurangan infrastruktur di kawasan berkenaan? Kami terpinggir, tiada pengangkutan awam serta kemudahan mesin pengeluaran automatik (ATM),” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Law Heng Kiang (DAP-Batu Lancang) yang berbahas sebelum itu menjelaskan isu infrastruktur yang dibangkitkan Norela bukan berada di bawah bidang kuasanya walaupun soalan asal yang dikemukakan adalah berkaitan perancangan rumah inap desa di Penanti.

R.S.N Rayer (DAP-Seri Delima) kemudian turut masuk campur dengan mengatakan sidang DUN bukan hanya untuk membincangkan masalah di Penanti dan Berapit sahaja.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/adun-pkr-menangis-dalam-sidang-dewan-1.160322#sthash.Mg2vJkqf.dpuf

POLITIK : Pertemuan Nurul Izzah-Jacel dipersoal

AZMAN IBRAHIM | 20 November 2015 2:00 AM


NURUL IZZAH ANWAR (dua dari kanan) dan Jacel Kiram (kiri) dalam satu majlis makan di Filipina baru-baru ini. GAMBAR FACEBOOK

KUALA LUMPUR 19 Nov. – Tindakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bertemu dengan anak perempuan bekas ketua pengganas kumpulan bersenjata Sulu, Jacel Kiram menimbulkan persoalan.

Jacel memuat naik empat keping gambar pertemuan dengan Nurul Izzah dalam akaun Facebook, Princess Jacel H. Kiram-Hassan dipersoalkan.

Malah, turut dimuat naik gambar Jacel memegang kain rentang yang tertera perkataan ‘Lepaskan Anwar Segera’.

Gambar-gambar yang dimuat naik Jacel bertarikh 9 November lalu menerima dua perkongsian oleh rakan Facebook serta tiga hingga 89 likes.

Rakan Facebook Jacel, Jerico Natividad Bustamante mengemukakan soalan dalam satu daripada empat keping gambar yang dimuat naik; “Adakah itu anak perempuan Anwar?”

Jawab Jacel; “Ya!”.

Seorang lagi rakan Facebook, Ead MasReka menjawab Nurul Izzah Anwar.

Sementara itu, penulis blog LSS Report, Lim Sian See dalam akaun Facebook miliknya turut mempersoalkan pertemuan tersebut kerana mempunyai bukti secara bergambar dan dianggap mempunyai agenda tertentu.

“Saya berasa hairan apa yang dibincangkan oleh Nurul Izzah, Jacel dan rakan lelaki ‘Mat Salih’ yang tidak dikenali dalam majlis makan malam. Adakah kerana makanan itu sangat sedap?,” soal Sian See.

Menurut Sian See, Jacel merupakan ketua jurucakap sewaktu pencerobohan Lahad Datu suatu masa dahulu.

Katanya, anak perempuan Kiram itu pada waktu ini dikatakan sedang mengejar jawatan senator untuk dijadikan landasan untuk menuntut Sabah dari Malaysia.

Sian See turut mengandaikan beberapa alasan yang mungkin diberi oleh Nurul Izzah jika dipersoalkan rakyat mengenai pertemuan itu, termasuk tidak mengenali Jacel.

Kali pertama bertemu dengan anak perempuan Kiram, tidak mengenali Kiram, tidak mendatangkan bahaya kerana berbual dengan gadis itu, cuba meyakinkan Jacel untuk menggugurkan tuntutan ke atas Sabah bagi manfaat hubungan Malaysia-Filipina dan beberapa lagi.

“Ini adalah penghinaan kepada warga Malaysia, orang Sabah dan terutamanya wira-wira negara yang mempertahankan kedaulatan negara,” kata Sian See.

Sementara itu, Nurul Izzah dalam satu kenyataan mengakui beliau bertemu Jacel pada 9 November lalu, apabila berada di Filipina bersama-sama dengan Ahli Parlimen Batu Tian Chua sebagai sebahagian daripada rombongan PKR untuk bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan negara itu.

Beliau berkata majlis itu dianjurkan Majlis Hal Ehwal Filipina dan Institut Asia bagi Demokrasi, pejabat Datuk Bandar Manila dan pejabat Naib Presiden Filipina.

“Mereka putuskan mengenai senarai para pemimpin yang perlu ditemui. Antaranya calon-calon sah yang bertanding atas tiket naib presiden Jejomar Binay - dan banyak lagi pemimpin pertubuhan awam,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/pertemuan-nurul-izzah-jacel-dipersoal-1.160307#sthash.I4X0WGkg.dpuf


Friday, 30 October 2015

Anwar gagal tuntutan saman

NORAZLITA MOHD. SIES | 30 Oktober 2015 1:18 AM

Anwar Ibrahim


KUALA LUMPUR 29 Okt. - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini gagal dalam tuntutan saman fitnah RM100 juta terhadap Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan kerajaan berhubung dakwaan bekas Ketua Pembangkang itu telah menawarkan RM100 juta kepada beliau untuk melompat parti.

Mahkamah Tinggi di sini berpendapat, meskipun daripada kete­rangan dan fakta kes adalah jelas bahawa penerbitan akhbar The Star pada 16 Mei 2009 ditujukan secara khususnya kepada Anwar namun begitu Penasihat PKR itu telah gagal membuktikan kenyataan akhbar tersebut diterbitkan oleh Anifah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah S. Hassan Badjenid dalam penghakimannya menyatakan, ke­adaan dalam kes saman itu agak berbeza memandangkan tiada saksi dikemukakan oleh Anwar selain daripada dirinya sendiri.

Beliau menambah kata, Anwar juga tidak membawa keterangan daripada saksi-saksi biasa dalam kalangan orang awam mengenai pandangan, tanggapan dan tafsiran mereka apabila membaca kenyataan akhbar tersebut.

Ini menyebabkan, mah­kamah tiada pilihan lain selain daripada bergantung kepada kenyataan akhbar tersebut dan keterangan Anwar selaku pihak plaintif semata-mata untuk mendapatkan tafsiran dan tanggapannya dari sudut tersebut, ujar Siti Khadijah.

Pihak plaintif menurut Siti Khadijah, telah berjaya menunjukkan kenyataan akhbar tersebut menepati ketiga-tiga ujian iaitu terdapat kaitan yang cenderung untuk memperkecilkan dirinya, ia menyebabkan orang lain menjauhkan diri daripadanya dan perkataan itu mengundang kebencian masyarakat terhadapnya.

“Atas imbangan kebarangkalian, mahkamah mendapati pihak plaintif telah berjaya membuktikan kenyataan akhbar itu mempunyai sengatan yang berbisa dengan kesan bercirikan fitnah terhadapnya. Iaitu plaintif cuba menarik masuk secara rasuah ahli-ahli Parlimen daripada parti lawan untuk menyertai parti diketuai oleh plaintif.

“Kenyataan akhbar tersebut apabila ditafsirkan, implikasinya adalah menggambarkan plaintif tidak beretika, korup dan tidak sesuai memegang jawatan awam,” kata Siti Khadijah.

Anwar yang diwakili peguam, Razlan Hadri Zulkifli memfailkan saman pada 27 Mei 2009 kerana mendakwa Anifah memfitnahnya ketika sidang akhbar pada 16 Mei 2009 bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) ketika itu, Hillary Clinton semasa lawatan kerja ke negara tersebut.

Ketika menolak saman itu dengan kos RM20,000, Siti Khadijah juga berpendapat, walaupun pada 16 Mei 2009 akhbar The Star telah menerbitkan kenyataan berkaitan fitnah terhadap Anwar, namun pihak plaintif gagal membuktikan ia diterbitkan oleh Anifah yang merupakan Ahli Parlimen Kimanis.

Siti Khadijah berkata, Anifah yang dinamakan sebagai pihak defendan sehubungan itu tidak ditanggungkan dengan beban untuk membuktikan artikel tersebut mempunyai kewajaran, mengan­dungi komen yang berpatutan atau dilindungi keistimewaan bersyarat untuk membela dirinya.

Malah katanya, Anifah sebelum menjawab soalan telah memberikan kenyataan amaran iaitu: “Just for the informatian of the audience here.” (hanya untuk maklumat khalayak di sini).

Mahkamah menyatakan, jika kenyataan dibuat secara tertutup sudah tentu tiada keperluan untuk pihak defendan memberikan kenyataan amaran sedemikian dan daripada keterangan yang ada ia lebih cenderung untuk menunjukkan bahawa defendan tidak bermaksud untuk kenyataannya disiarkan di Malaysia.

Selepas menghalusi kenyataan amaran itu menurut Siti Khadijah, jika pesanan tersebut tidak dipatuhi maka risiko adalah tanggungan sendiri.

Bagi Siti Khadijah, adalah jelas kenyataan lisan tersebut dibuat di Amerika Syarikat dan tiada kaitan dengan kenyataan akhbar yang diterbitkan oleh akhbar The Star di Malaysia.

Merujuk kepada kenyataan defendan itu, punca tindakan jika ada adalah fitnah lisan dan bukannya fitnah bertulis serta tempat kejadian di luar Malaysia.

“Mengikut Seksyen 23(1)(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, bidang kuasa sivil Mahkamah Tinggi adalah bagi kes yang tindakannya berbangkit dalam bidang kuasa tempatan mahkamah itu. Mahkamah Tinggi di Malaysia tidak mempunyai bidang kuasa ke atas kes-kes yang kausa tindakannya berbangkit di luar dari Malaysia,” katanya.

Anwar, 68, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh tiba di mahkamah dengan kawalan ketat pihak penjara selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun 2008.

Razlan Hadri memberitahu pemberita, pihaknya akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan tersebut. Anwar turut diwakili peguam Latheefa Koya, J. Leela dan Shahid Adli Kamarudin.

Anifah diwakili peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah dan Sarah Abishegam.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/anwar-gagal-tuntutan-saman-1.152250#sthash.zAnMU40d.dpuf


Friday, 16 October 2015

POLITIK : Saifuddin umum 
sertai PKR

16 Oktober 2015 1:20 AM


PETALING JAYA 15 Okt. – Ura-ura mengatakan Datuk Seri Saifuddin Abdullah bakal bertukar parti menjadi realiti, apabila bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu secara rasmi mengesahkan penyertaan beliau dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini.

Saifuddin

Pengumuman itu dibuat Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di sini.

“Kami mengalu-alukan penyertaan beliau (Saifuddin)...penyertaannya bertepatan dengan strategi Keadilan untuk memberi fokus kepada isu-isu masyarakat Melayu dan Bumiputera agar kebajikan mereka terbela,” katanya.

Turut hadir Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali serta pemimpin-pemimpin tertinggi parti itu.

Dalam sidang media sama, Saifuddin yang juga bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, keputusannya didorong oleh kemahuan untuk melihat perubahan dalam arena politik negara.

“Saya sudah berfikir panjang lebar sebelum membuat keputusan.

“Saya mahu membina negara ini melalui pembaharuan institusi...ia tidak dibincangkan secara komprehensif dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN)...maka sudah sampai masa saya rasakan saya tidak lagi serasi dengan UMNO dan BN,” katanya.

Saifuddin sebelum ini dikatakan bakal menyertai PKR apabila beliau menghadiri Sidang Meja Bulat Pakatan 2.0 yang diadakan untuk memuktamadkan pembentukan pakatan pembangkang yang baharu. 
– BERNAMA

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/saifuddin-umum-8232-sertai-pkr-1.146976#sthash.5dH3Q7rx.dpuf

Monday, 5 October 2015

Thursday, 1 October 2015

DAP perlu mohon maaf

Gerakan, MCA lihat DAP punca polarisasi sosial

SOFIAN BAHAROM | 01 Oktober 2015 1:19 AM


LIANG TECK MENG (kanan) dan Ti Lian Ker menunjukkan gambar yang berunsur perkauman semasa sidang akhbar di Menara Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM), Pudu Ulu, Cheras, Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/AIZZUL A.MAJID

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Polarisasi sosial dan ke­tegangan sentimen perkauman dalam kalangan rakyat Malaysia ketika ini berpunca daripada angkara DAP yang berterusan bermain dengan api perkauman.

Sehubungan itu, Gerakan dan MCA hari ini mendesak DAP supaya tampil memohon maaf serta bertaubat atas tindakan mereka selama ini yang dilihat akan membawa kehancuran kepada kehidupan bermasyarakat di negara ini.

Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng menegaskan, taktik DAP untuk mengapi-apikan sentimen dalam kalangan masyarakat telah pun bermula sebelum Bersih 4.0 apabila Penasihatnya, Lim Kit Siang memijak gambar beberapa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang.

Kata beliau, DAP seterusnya te­lah merampas perhimpunan haram Bersih 4.0 dengan matlamat buruk dan agenda politik untuk menunjukkan kuasa melalui demonstrasi jalanan yang menyaksikan kebiadaban penyokong-penyokongnya.

“Bukti ini jelas menunjukkan bahawa DAP yang memulakan budaya tidak sihat ini. Kita perlu faham kenapa tidak munculnya himpunan baju merah pada Bersih 1, 2, 3 tetapi apabila Bersih 4.0 ada perhimpunan baju merah. Ini kerana reaksi kepada kebiadaban tersebut.

“Kita kena lihat ada kain ren­tang minta hapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) pada perhimpunan baju merah. Kenapa ada SKJC sahaja kenapa tiada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT)?

“Ini kerana DAP telah pun menanam kebencian dan cuba mengapi-apikan sentimen antara kaum. Oleh itu kami mengutuk sekeras-keras­nya tindakan DAP dan mahu DAP bertaubat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker.

Dalam pada itu, Lian Ker berkata, tindakan penyokong-penyokong DAP memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menyinggung perasaan dan hati masyarakat Melayu.

Menurutnya, provokasi-provokasi politik oleh DAP tidak wajar dilakukan memandangkan negara sedang dilanda krisis ekonomi global dan kejatuhan nilai ringgit.

“Sedarlah bahawa pembinasaan negara dapat berlaku dalam sekelip mata tetapi pembinaan negara mengambil tempoh masa yang lama, begitu juga jambatan silaturahim dan hubungan baik antara kaum dalam negara ini,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/dap-perlu-mohon-maaf-1.141661#sthash.iJBjE7XL.dpuf

CELAH GELEGAR: [SELEPAS ISU PEMBESAR SUARA] Pulau Pinang Didakwa ...

CELAH GELEGAR: [SELEPAS ISU PEMBESAR SUARA] Pulau Pinang Didakwa ...: KENYATAAN MEDIA Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat Minta Penjelasan Kerajaan Pulau Pinang Didakwa Hentikan Bantuan Sekolah Agama...

Tuesday, 29 September 2015

Saya tidak akan tunduk – Mufti Pahang

29 September 2015 12:57 AM

KUANTAN 28 Sept. – Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman tidak gentar dengan ancaman DAP yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa agama negeri kerana khutbah Aidiladha yang mendakwa DAP menentang Islam.

Abdul Rahman Osman

Menurut beliau, khutbah ter­sebut merupakan satu nasihat kepada orang Islam supaya bersatu padu dan bukan bersama dengan pihak yang mencabar Islam.

“Kita tidak akan tunduk kepada pihak yang mahu jabatan ini memohon maaf dan menarik balik teks khutbah Aidiladha itu.

“Sepatutnya mereka yang me­mohon maaf terlebih dahulu kerana campur tangan dalam hal ehwal Islam seperti pelaksanaan hudud di Kelantan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas me­ngenai tindakan DAP kelmarin yang menggesa JAIP memohon maaf ber­hubung teks khutbah Aidiladha itu.

Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puri dilaporkan memberi masa lima hari sehingga Rabu ini untuk JAIP memohon maaf secara terbuka dan menarik balik khutbah itu atau berdepan tindakan undang-undang.

Menurut Abdul Rahman, beliau sedih dengan tindakan beberapa orang Islam dalam DAP yang lebih mempertahankan dasar parti itu dan tidak menghormati institusi Islam.

“Saya rasa terkilan dengan orang Islam dalam DAP, sepatutnya mereka kena mempertahankan ahli agama dan institusi Islam ini, namun mereka pula ingin menyaman ka­mi dan meminta kami memohon maaf,” katanya.

Dalam teks khutbah solat sunat Aidiladha yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang itu, umat Islam dinasihat supaya terus bersatu padu walaupun berlainan ideologi politik bagi mengelak perpecahan dalam kalangan orang Melayu yang semakin ketara.

Perpecahan itu kerana meng­utamakan parti politik melebihi perpaduan dan persaudaraan Is­lam seperti UMNO, Pas, PKR dan ditambah dengan Parti Amanah Negara (Amanah) malahan ada dalam kalangan umat Islam yang menyertai DAP secara terang-terangan menentang Islam.

Teks khutbah yang dibaca oleh Abdul Rahman di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 itu turut mengingatkan umat Islam supaya bergabung dan bersatu suara walaupun berlainan dasar politik mereka.

Abdul Rahman berkata, kan­dungan dalam khutbah berkenaan adalah benar dan bukannya ber­baur fitnah serta telah merujuk kepada al-Quran iaitu ayat 28 Surah Ali Imran.

Menurutnya, surah berkenaan menjelaskan larangan orang muk­min berpihak kepada orang kafir dan menjadikan mereka teman setia dengan meninggalkan orang mukmin.

“Kandungan dalam khutbah Ai­diladha bukan hasutan seperti didakwa DAP tetapi kita hendak berdakwah dan memberitahu ke­pada orang Islam lain mengenai perkara yang sudah dinyatakan dalam al-Quran.

“Kalau kita lihat dalam beberapa isu seperti hudud sebelum ini, mereka menentangnya yang ber­makna menolak hukum Islam sedangkan Islam tidak pernah me­nafikan hak orang lain walaupun Islam adalah agama Persekutuan di Malaysia,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/saya-tidak-akan-tunduk-8211-mufti-pahang-1.140977#sthash.Nci4YCKT.dpuf


Friday, 18 September 2015

1MDB : Nurul Izzah disiasat ekoran pengakuan Justo

18 September 2015 1:57 AM


Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR 17 Sept. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan Naib Presi­den PKR, Nurul Izzah Anwar kini disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti yang boleh memudaratkan demokrasi berparlimen.

Nurul Izzah disiasat berhubung satu pendedahan oleh bekas Ketua Teknologi Maklumat (IT) PetroSaudi International (PetroSaudi), Xavier Andre Justo baru-baru ini yang mendakwa Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berminat membeli data berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dicuri daripada bekas majikannya.

“Ya saya mengesahkan Nurul Izzah disiasat dan pegawai polis memang ada pergi ke pejabatnya,” kata Khalid yang kini berada di Mekah untuk menunaikan ibadat haji melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Sementara itu, dalam sebuah portal propembangkang, peguam Nurul Izzah, Latheefa Koya memberitahu, pihak polis telah mencari Ahli Parlimen Lembah Pantai itu di pejabatnya untuk soal siasat.

Walau bagaimanapun Latheefa mendakwa, Nurul Izzah ketika ini berada di Amerika Syarikat untuk urusan tertentu dan hanya akan pulang pada Isnin depan.

Laporan beberapa akhbar sebelum ini yang memetik butiran siasatan kes membabitkan Justo, termasuk penga­kuan bertulis yang dibuat atas ke­re­laan sendiri mendedahkan Nurul Izzah berminat membeli data mengenai 1MDB yang dicurinya pada tahun 2011.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/nurul-izzah-disiasat-ekoran-pengakuan-justo-1.137413#sthash.svmX8zSL.dpuf


Thursday, 17 September 2015

Parti Pekerja tetap guna nama Amanah

ZABRY MOHAMAD 
DAN ZULKIFLI SAINUDDIN | 17 September 2015 12:53 AM


Mohamad Sabu (dua dari kanan) menyentuh bola kaca sebagai simbolik pelancaran perdana Parti Amanah Negara di Shah Alam, Selangor, semalam. Utusan/Izham Jaafar

SHAH ALAM 16 Sept. - Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia (Parti Pekerja) tidak mengendahkan larangan Jaba­tan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) supaya tidak menggunakan nama baharu iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) apabila meneruskan majlis pelancaran perdana parti itu hari ini.

Setiausaha Agungnya, Mohd. Anuar Mohd. Tahir bagaimanapun mendakwa, majlis tersebut hanya memperkenalkan logo dan bendera parti baharu itu.

Menurutnya, beliau yakin permohonan mereka tiada masalah dan akan diluluskan kerana segala yang diperlukan oleh ROS sudah dipenuhi.

“Saya rasa tiada masalah kerana proses permohonan pertukaran nama seperti dimaklumkan oleh ROS akan memakan masa beberapa hari. Kadang-kadang orang sengaja memperbesar-besarkan cerita.

“Ini program Parti Pekerja untuk memperkenalkan logo dan bendera baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berkenaan yang disempurnakan Pengerusi Parti Pekerja, Mohamad Sabu di sini hari ini.

Selain logo dan bendera baharu, majlis yang dihadiri kira-kira 3,000 orang kebanyakannya bekas pemimpin dan ahli Pas itu turut memperdengarkan lagu parti.

Antara yang hadir Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng dan Pengerusi Bersih 4.0, Maria Chin Abdullah.

Semalam, Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah dalam kenyataannya memaklumkan yang pihaknya belum meluluskan permohonan penukaran nama Parti Pekerja kepada Ama­nah.

Katanya, tindakan menggunakan nama dan menganjurkan program atas nama Amanah selagi tidak diluluskan oleh ROS merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 11 Akta Pertubuhan 1966.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/parti-pekerja-tetap-guna-nama-amanah-1.136833#sthash.XTbnCw12.dpuf


Wednesday, 9 September 2015

Protes: Maria Chin, 7 individu lain didakwa

MARZITA ABDULLAH | 09 September 2015 12:53 AM


Maria Chin Abdullah, Mandeep Singh (kiri), dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah dan tujuh yang lain dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan menyertai protes jalanan dalam perhimpunan #KitaLawan di ibu negara, awal tahun ini.

Yang turut didakwa ialah Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Chang Lih Kang; anggota Sekretariat Bersih, Mandeep Singh; Pengerusi Jingga 13, Mohd. Fariz Abd. Talib; pegawai khas ahli Parlimen Batu, Rozan Azen Mat Rasep; ahli PKR, Lee Chean Chung dan aktivis propembangkang, Adam Adli Abd. Halim.

Kesemua mereka yang didakwa sebagai orang kena saman (OKS) di mahkamah berasingan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan masing-masing.

Maria Chin, Mandeep, Mohd. Fariz dan Tze Tzin didakwa bersama-sama beberapa individu lain yang masih bebas menyertai protes itu dengan tujuan tertentu iaitu reformasi dan bebas Datuk Seri Anwar Ibrahim serta cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka bermula di hadapan kawasan air pancut di persimpangan Jalan Tun Perak dan berakhir di kompleks beli-belah Sogo di sini antara pukul 3.15 petang dan 6 petang, 28 Mac lalu.

Mohd. Fariz sekali lagi didakwa bersama-sama Adam Adli dan beberapa individu lain yang masih bebas terhadap pertuduhan sama dengan tujuan iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib berundur, bantahan kenaikan harga barang dan kos sara hidup, Anwar dibebaskan dan menjemput peserta hadir protes Kita Lawan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu bermula di hadapan Sogo dan berakhir di Esplanade KLCC antara pukul 4 petang dan 7.30 petang, 28 Februari lalu.

Lih Kang, Rozan Azen dan Chean Chung juga didakwa dengan tuduhan dan tujuan sama termasuk menggesa Ketua Polis Negara dipecat, bermula di hadapan Sogo dan berakhir di kawasan air pancut persimpangan Jalan Tun Perak di sini antara pukul 4.30 petang dan 5.05 petang, 21 Mac lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Sesyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000.

Pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Faizal Ismail, Majistret Mohd. Rehan Mohd. Aris dan Majistret Mohd. Asyraf Abdul Manan.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Musli Ab. Hamid mencadangkan ikat jamin setiap OKS sebanyak RM500 dengan seorang penjamin seperti yang telah dipersetujui oleh pihak pembelaan.

Mahkamah membenarkan permohonan jaminan itu dan menetapkan 16 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi kesemua OKS kecuali Adam Adli dan Mohd. Fariz yang sebutan semula kes mereka ditetapkan pada 19 Oktober ini.

OKS diwakili peguam-peguam, Ramkarpal Singh, Datuk S. Ambiga, Latheefa Koya, Amer Hamzah Arshad dan Eric Paulsen.

Sepanjang prosiding tersebut mahkamah penuh sesak dengan kehadiran penyokong-penyokong OKS termasuk Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Exco kerajaan negeri Selangor, Elizabeth Wong.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/protes-maria-chin-7-individu-lain-didakwa-1.133605#sthash.CrB6WJIR.dpuf


Thursday, 3 September 2015

Bersih 4.0: Polis akan panggil Tun M, Azmin

03 September 2015 12:41 AM


KHALID ABU BAKAR bersalaman dengan pasukan kadet polis sekolah sempena Peringatan Hari Pasukan Polis Marin Ke-68 di Markas Operasi Pasukan Polis Marin di Pelabuhan Klang, Selangor, semalam. Turut sama, Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Datuk Abd. Aziz Yusof (kiri). – BERNAMA

KLANG 2 Sept. – Beberapa tokoh dan pemimpin parti termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali akan dipanggil untuk diambil ketera­ngan berhubung pengli­batan dalam perhimpunan haram Bersih 4.0, hujung minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tum­puan diberikan kepada peng­anjur dan individu yang sudah dikenal pasti termasuk ucapan dan tuduhan yang dilemparkan semasa perhimpunan haram itu.

Menurutnya, polis sebelum ini telah memanggil beberapa individu untuk dirakamkan ketera­ngan dan tindakan itu dibuat bagi menyiasat beberapa kenyataan berbaur tuduhan untuk direkodkan seterusnya disiasat.

“Kita akan panggil dan beliau (Tun Mahathir) telah buat pelbagai ucapan dan tuduhan. Kita pun mahu tahu lebih lanjut apa yang beliau cakap, apa maksud, mana maklumat beliau peroleh.

“Antaranya, kenyataan bahawa ketua bahagian UMNO telah dirasuah, jadi kita mahu tahu lebih lanjut justeru saya harap beliau beri kerjasama,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Khalid turut menyelar tindakan peserta perhimpunan yang sengaja meniupkan api kemarahan dengan mengeksploitasi gam­­bar pemimpin termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin parti pembangkang.

“Inikah budaya yang hendak dibawa oleh Bersih? Ini bukan bu­­daya Malaysia. Saya dimaklumkan pihak penganjur ada pasukan yang mengawal ter­tib dan tingkah laku peserta tetapi ada pula video peserta memijak dan menonyoh gambar pemimpin.

“Inikah budaya yang akan dibawa pada masa depan dan saya menegaskan agar semua pihak jangan meniup api perkauman dalam setiap tindak-tanduk sehingga menaikkan kemarahan kaum lain.

“Jangan bawa budaya, sebab itu kita tidak mahu perhimpunan seper­ti ini dibuat di jalanan kerana ia dibuat mengikut sesuka hati masing-masing,” katanya.

Khalid juga mengingatkan yang polis sedang memburu individu yang memijak gambar pe­mimpin dan penganjur Bersih bertanggungjawab ke atas peserta yang sengaja meniupkan api perkauman.

“Perkara ini dapat dielakkan sekiranya perhimpunan dibuat secara tertutup dan kita boleh kawal serta memastikan perkara sebegini tidak berlaku. Semua pihak yang terlibat dengan perhimpunan tersebut tidak akan terlepas daripada tindakan dan polis tidak akan berkompromi dengan pihak yang sengaja mencabar undang-undang.

“Kita akan guna semua peruntukan undang-undang yang ada. Semua yang terlibat tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang,” tegasnya.

Terdahulu, Khalid menghadiri majlis memperingati Hari Polis Marin ke-68 di Markas Operasi Pasukan Polis Marin, Pelabuhan Klang dan menyampaikan surat penghargaan kepada 13 anggota pasukan keselamatan laut itu.

Pada perkembangan lain, ujarnya, Polis Marin bakal memperoleh 200 bot secara berperingkat untuk memperkasakan ke­selamatan di pantai timur Sabah.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/bersih-4-0-polis-akan-panggil-tun-m-azmin-1.131140#sthash.fTufZ2cg.dpuf


BERSIH 4 : Lebih 30 laporan polis dibuat

Gesa penganjur, peserta Bersih 4.0 diambil tindakan

SHARILFUDDIN SAARI, AZHARI ZAINOODDIN, SHAHRINNAHAR LATIB, ZULKIFLI SAINUDDIN, MASZUREEN HADZMAN DAN MOHD. IZZUL FARHAN AHMAD SURIANSHAH | 03 September 2015 12:42 AM


PENGERUSI Persatuan Kelab Kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Sembilan, Muhamad Shukri Zainudin (enam dari kiri) menunjukkan laporan polis berhubung peserta Bersih 4.0 yang memijak gambar Perdana Menteri di Balai Polis Rahang, Seremban, Negeri Sembilan, semalam. Utusan/Mohd. Izzul Farhan


KUALA LUMPUR 2 Sept. - Semakin banyak gesaan agar penganjur dan peserta Bersih 4.0 yang melanggar undang-undang dan bersikap biadab termasuk memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa perhimpunan haram minggu lalu, dikenakan tindakan tegas.

Gesaan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik iaitu UMNO dan Pas itu dilahirkan melalui lebih 30 laporan polis yang dibuat di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang dan Perlis hari ini.

Di KUALA LUMPUR, tujuh NGO diketuai oleh Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibah Malaysia (MJMM) menggesa agar dua individu yang memijak poster dua pemimpin itu segera ditahan.

Presidennya, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, pihaknya bersama-sama Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) dan Pertubuhan Permuafakatan Ayahanda Malaysia (Permas) serta pertubuhan Sirah Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan individu tersebut yang disifatkan tidak bertanggungjawab dan melampau.

“Tindakan mereka yang memijak poster dua pemimpin tersebut telah membangkitkan kemarahan rakyat di negara ini terutamanya umat Islam,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini.

Di SEREMBAN, Pengerusi Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia Negeri, Muhamad Shukri Zainudin menggesa penganjur perhimpunan haram Bersih 4.0 segera memohon maaf kerana gagal mengawal peserta perhimpunan sehingga ada dalam kalangan mereka bertindak biadab dengan memijak gambar Perdana Menteri.

Beliau berkata, tindakan luar batasan itu sekali gus memperlihatkan peserta perhimpunan haram itu melakukan provokasi melampau dan jelas membuktikan perhimpunan haram yang didakwa aman itu sebenarnya mempunyai agenda tersembunyi.

“Kami menggesa penganjur perhimpunan haram segera memohon maaf dan bertanggungjawab atas insiden tersebut,” katanya selepas membuat laporan polis ekoran insiden itu di Balai Polis Rahang dekat sini.

Turut membuat laporan yang sama ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bukit Temiang, JKKK Kampung Sungai Landak, Persatuan Belia Warisan Perdana dan Persatuan Belia Kampung Dusun Nyior.

Di PULAU PINANG pula, Ketua Biro Penerangan UMNO Bahagian Balik Pulau, Ismail Kassim menggesa pihak berkuasa segera menyiasat dan mengambil tindakan tegas selari dengan undang-undang terhadap tindakan biadab segelintir peserta perhimpunan tersebut.

“Apa yang terjadi ini juga melibatkan usaha menanam kebencian dalam kalangan rakyat yang tidak sepatutnya dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Balik Pulau, di sini.

Di SHAH ALAM, Pas Selangor membuat laporan polis bagi menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan peserta Bersih 4.0 yang memijak gambar Abdul Hadi.

Laporan itu dibuat oleh Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas Selangor, Datuk K. Deepakaran yang turut mewakili Badan Perhubungan Pas, Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat negeri.

“Sehubungan itu, kami meminta polis membuat siasatan terhadap penganjur dan peserta Bersih 4.0 yang memijak gambar Abdul Hadi mengikut Seksyen 505 Kanun Ke­seksaan,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini. Turut membuat laporan ialah Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Norazli Musa.

Di PAHANG, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan juga menggesa dua individu yang memijak poster Perdana Menteri semasa perhimpunan haram Bersih 4.0 di ibu negara baru-baru ini diambil tindakan melalui laporan polis yang dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Shahruddin Ahmad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di sini.

Menurut Shahruddin, pihaknya kesal dan terkilan dengan tindakan peserta perhimpunan tersebut memijak gambar Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO.

Sementara di KANGAR, Badan Perhubungan UMNO negeri dan Pas negeri turut membuat 13 laporan polis di Balai Polis Kangar di sini terhadap perbuatan biadab beberapa individu yang memijak gambar Perdana Menteri dan Abdul Hadi.

UMNO negeri diwakili oleh Ahli Jawatan Kuasa Badan Perhubungan UMNO negeri, Azizan Sulaiman manakala Pas negeri diwakili oleh Pengarah Pilihan Raya Pas Kawasan Kangar, Abd. Jamil Kamis.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/lebih-30-laporan-polis-dibuat-1.131153#sthash.xZQ52X98.dpuf