PM umum subsidi TR1Ma
KUALA LUMPUR 24 Jun - Seramai 66,538 pemandu teksi di seluruh negara
diberikan baucar bernilai RM520 setiap seorang untuk menggantikan empat
tayar di bawah inisiatif program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma).
Mengumumkan demikian ketika himpunan terbesar pemandu teksi di Bukit
Jalil di sini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata,
pemberian subsidi itu melibatkan dana sejumlah RM35 juta melalui Yayasan
1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk tempoh dua tahun.
Menurut beliau, langkah itu dibuat sebagai menjaga kebajikan pemandu
teksi, sekali gus memastikan keselamatan perjalanan mereka termasuk
kira-kira 40,000 penumpang setiap hari.
‘‘Pemandu teksi boleh mendapat satu set tayar percuma di 300 pusat
servis tayar buatan Malaysia yang dikenal pasti, boleh pilih antara
Goodyear atau Continental.
‘‘Kita nak jaga kebajikan pemandu teksi, keselamatan mereka dan
penumpang. Jika memandu teksi menggunakan terus tayar ‘botak’ boleh
membahayakan. Jadi saya harap lepas ini gantilah tayar masing-masing,’’
katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran TR1Ma
yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan
Jabatan Penerangan.
Himpunan terbesar kira-kira 25,000 pemandu teksi dan ahli keluarga mereka itu turut dicatatkan dalam Malaysia Book of Records.
Turut hadir, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk
Seri Dr. Rais Yatim; Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar dan
Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa
Malaysia (Petekma), Yusoff Lahir.
Pada majlis itu juga, Perdana Menteri mengumumkan pemberian dana
melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berjumlah
lebih RM1 juta. Dana itu bagi melindungi lebih 100,000 pemandu teksi
seluruh negara melalui skim insurans perlindungan kemalangan diri.
Jelas beliau, skim insurans di bawah inisiatif TR1Ma iaitu meliputi
perlindungan kematian akibat kemalangan RM10,000; ketidakupayaan kekal
akibat kemalangan RM10,000; kos rawatan perubatan akibat kemalangan
RM500; khairat kematian akibat kemalangan RM1,500 dan khairat kematian
biasa RM1,000.
Najib berkata, kerajaan juga akan melonggarkan syarat untuk
memudahkan pemandu teksi mendapatkan pinjaman menukar teksi lama mereka
melalui skim pinjaman yang sebelum ini diuruskan Bank Simpanan Nasional
(BSN) dengan memberi kadar faedah dua peratus bagi pemilikan teksi baru
buatan tempatan.
‘‘Dalam Bajet 2012 lalu, kerajaan telah menawarkan bantuan rebat
RM3,000 bagi melupuskan teksi lama melebihi tujuh tahun tetapi kurang
daripada 10 tahun manakala bagi teksi yang berusia 10 tahun ke atas,
RM1,000 diberikan.
‘‘Saya harap lebih ramai pemandu yang akan memanfaatkan skim ini dan
merebut peluang yang disediakan. Namun, kita sedar ada yang menghadapi
sedikit kekangan daripada syarat-syarat itu, kita akan kaji dan
melonggarkannya,’’ katanya.
KOMEN : DURIAN RUNTUH... LEPAS NI REZEKI SIAPA PULAK?
No comments:
Post a Comment