KUALA SELANGOR 7 Jun - Cadangan untuk meneruskan Bantuan Rakyat
1Malaysia (BR1M) bagi pusingan kedua telah dibincangkan dalam mesyuarat
Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan
itu boleh dilaksanakan sekiranya kerajaan memperoleh peningkatan sumber
pendapatan termasuk penambahan jumlah kutipan cukai oleh Lembaga Hasil
Dalam Negeri (LHDN).
“Semalam kita bincang dalam Kabinet. Datuk Seri Noh (Omar) pun ada.
Saya beritahu Perdana Menteri, kalau agak ada duit lebih kita buat
sekali lagilah (BR1M). Tidak tahulah, itu pandangan saya tetapi PM
senyum sahaja.
“Beliau kata apa susah, cari sumber, kita sudah ada sumber tetapi
kadang-kadang pendapatan tidak dikutip dan bila Perdana Menteri arahkan
LHDN tingkatkan kutipan, tahun lalu dapat tambah hasil RM26 bilion dan
tahun ini diarahkan tingkatkan kepada RM30 bilion," katanya.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap
pada Program Mesra Rakyat sempena Sambutan 100 Tahun Sekolah Kebangsaan
(SK) Tambak Jawa, Jeram di sini hari ini. Hadir sama, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani;
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Amiruddin Setro; Ketua
Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud dan Pengarah Pelajaran
Selangor, Abdullah Mad Yunus.
Sehingga kini, dianggarkan seramai 4.78 juta orang telah menerima
manfaat daripada pengagihan BR1M daripada keseluruhan jumlah peruntukan
sebanyak RM2.6 bilion yang diluluskan kerajaan. Ia termasuk penerima BR1M di Parlimen Kuala Selangor yang mencecah 8,376 orang dengan nilai sebanyak RM4 juta.
Muhyiddin berkata, kerajaan mampu menyalurkan pelbagai bantuan kepada
rakyat dan melaksanakan pembangunan melalui dasar transformasi nasional
yang digerakkan oleh pentadbiran Najib.
Malah, katanya, bantuan itu diberikan dalam bentuk subsidi mencecah
berbilion ringgit setahun, namun tidak disedari rakyat kerana sudah
terlalu lama menikmatinya di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional
(BN).
“Subsidi yang kerajaan tanggung berjumlah RM2 bilion, tuan-tuan tidak
tepuk tangan, fasal sudah biasa kerana apa yang BN beri biasanya orang
sudah lali, sebab sudah lama sangat tetapi tidak dapat dinilai. Kalau
sebelah sana beri RM100, ya Allah cerita gempak seluruh dunia.
“Kita beri RM500, bagi subsidi...(orang kata) biasalah itu
tanggungjawab kerajaan, sedangkan tidak semua negara buat begitu. Jiran
kita Indonesia, rakyat mereka berarak di jalan raya kerana membantah
keputusan kerajaan menaikkan harga minyak," katanya.
Pada masa sama, Muhyiddin turut menegur sikap penganjur perhimpunan
haram Bersih 3.0 baru-baru ini yang sanggup melakukan demonstrasi ketika
negara kekal aman dan makmur. Katanya, demonstrasi itu juga tidak wajar diadakan ketika rakyat
menikmati harga komoditi seperti getah dan kelapa sawit yang terus
meningkat manakala harga bahan bakar dapat dikawal tanpa berlaku
kenaikan.
“Tidak ada rakyat kita yang mati kebuluran tetapi di mana-mana tempat
saya pergi ramai yang meninggal dunia kerana sebab terlebih makan.
“Macam hari ini, makanan yang disediakan sampai tidak termakan,
masya-Allah, inilah ‘Baldatun Taiyyibatun Wa Rabbun Ghafur’ (negara yang
baik dan diampuni Tuhan)," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat negeri ini kembali
memberikan sokongan kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi
memastikan lebih banyak manfaat disalurkan kepada mereka.
“Kalaulah ini usaha kerajaan mengapa tidak sokong BN. Kita hendak ingatkan orang Selangor agar kembalikan semula kerajaan kepada BN.
“Kita sudah buat banyak perkara semasa mentadbir dan kita akan buat
lebih banyak lagi berbanding apa yang dilakukan pembangkang, ini janji
kita," tegasnya.
KOMEN : ALHAMDULILLAH KALAU DAH REZEKI, TAPI JANGAN PULA MENJADI KUFUR NIKMAT DAN ANJING YANG MENGGIGIT TANGAN YANG MEMBERI MEREKA MAKAN...
No comments:
Post a Comment