Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label IPT. Show all posts
Showing posts with label IPT. Show all posts

Tuesday, 24 November 2015

20 universiti awam haramkan guna vape

SHOLINA OSMAN | 23 November 2015 1:40 AM


IDRIS JUSOH (dua dari kiri) menyalakan obor perasmian Sipma 2015 sambil diperhatikan Azlan Man (tiga dari kiri) dan Mary Yap Kain Ching (kanan) di Kangar, Perlis, semalam. UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI

KANGAR 22 Nov. - Semua 20 universiti awam (UA) bersetuju mengharamkan penggunaan vape atau rokok elektronik diharamkan di kampus masing-masing, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata, keputusan itu dicapai bersama oleh naib-naib canselor di 20 universiti berkenaan yang bermesyuarat Jumaat lepas.

Katanya, arahan larangan penggunaan vape itu dikuatkuasakan kerana pihak universiti mahu menjadikan kawasan kampus sebagai ‘zon hijau’.

Idris berkata, penggunaan vape adalah larangan terbaru selain pihak universiti telah lama menjadikan kawasan kampus bebas daripada merokok.

“Perkara ini telah diputuskan oleh naib canselor (NC) masing-masing yang memang mempunyai autonomi untuk melaksanakan sebarang peraturan tanpa melibatkan campur tangan kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (Sipma) Ke-6 2015 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi yang dikelolakan Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti di Dewan 2020 di sini malam tadi.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching; Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Datuk Amir Md. Noor.

Antara universiti yang terlibat dalam pengharaman itu ialah Universiti Malaya (UM), Universi­ti Sains Malaysia (USM), Universi­ti Kebangsaan Malaysia (UKM), Uni­versiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Mengenai sukan dalam ka­langan pelajar universiti, Idris berkata, kerajaan menyediakan banyak insentif dan kemudahan selain pengecualian tertentu kepada atlet yang aktif untuk mengga­lakkan mereka mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang sukan.

Malah, katanya, lebih separuh pingat yang diperoleh kontinjen negara dalam Sukan SEA disumbangkan oleh atlet dalam kalangan pelajar terutamanya pelajar universiti.

“Kerajaan memang mengiktiraf kejayaan pelajar dalam bidang sukan. Ini dapat dilihat melalui banyak insentif dan penganugerahan disediakan untuk mereka agar lebih produktif,” katanya.

Kejohanan yang bermula semalam sehingga 28 November ini disertai 994 atlet yang akan bertanding dalam tujuh acara iaitu renang, olahraga, badminton, tenpin boling, bola sepak, squasy dan hoki.

- See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/20-universiti-awam-haramkan-guna-vape-1.161423#sthash.IqVdqsIX.dpuf




Wednesday, 4 November 2015

Kerajaan bayar faedah RM1.5 bilion setahun

Pelajar enggan bayar pinjaman PTPTN

HAKIMI ISMAIL | 04 November 2015 1:26 AM


ZAINI UJANG (empat dari kiri) menyaksikan Zulkifli Md Salleh (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Lee Wei Jye pada Majlis Penyerahan Tenaga Kerja kepada Industri dan Pemeteraian Nota Kerjasama di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 3 Nov. - Kerajaan perlu menanggung kadar faedah sebanyak RM1.5 bilion setiap tahun akibat keengganan para peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membayar balik pinjaman mereka.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, sikap tidak bertanggungjawab itu menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan baharu untuk menyediakan pinjaman kepada pelajar lain.

Beliau berkata, dalam pembentangan Bajet 2016, kerajaan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 bilion untuk tujuan pinjaman kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

“Perkara ini amat mendukacitakan kerana kerajaan perlu menanggung kadar sebanyak empat peratus setahun dan RM1.5 bilion digunakan hanya untuk membayar bunga pinjaman dan bukannya asas pinjaman mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program penyerahan tenaga kerja kepada industri dan pemeteraian nota kerjasama di antara Politeknik Banting, Selangor dan Antah Schindler Sdn. Bhd. (Antah Schindler) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik, Datuk Mohlis Jaafar; Pengarah Politeknik Banting, Zulkifli Md. Salleh dan Ketua Pegawai Operasi Antah Schindler, Lee Wei Jye.

Sementara itu, Zaini berkata, kerajaan bercadang untuk memperkasakan lagi Jabatan Pendidikan Politeknik dengan menjadikannya sebagai sebuah badan berkanun pada tahun hadapan.

“Langkah ini merupakan pembaharuan yang baik kerana akan menjadikan politeknik lebih fleksibel termasuk dalam hal mengurus kewangan, perjawatan dan kenaikan pangkat,” katanya.

Mengulas mengenai pemeteraian nota kerjasama antara Politeknik Banting dan Antah Schindler, Zaini berkata, kerjasama tersebut akan memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak selain menjamin peluang pekerjaan kepada pelajar.

“Kementerian dan pihak industri akan terus menjalinkan kerjasama dengan lebih erat bagi memastikan transformasi sistem pendidikan tinggi dapat dicapai menjelang 2025, kerjasama hari ini adalah satu usaha yang baik untuk menjurus kepada kejayaan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli ketika berucap dalam program yang sama berkata, sebanyak 15 pelajar telah ditawarkan jawatan sebagai juruteknik oleh Antah Schindler sekali gus membuktikan pelajar politeknik sememangnya berkualiti serta berdaya saing.

“Nota kerjasama hari ini juga akan menjamin kebolehpasaran para pelajar Politeknik Banting dengan Antah Schindler secara berterusan dengan kadar sekurang-kurangnya 20 orang setiap tahun sebagai juruteknik.

“Ketika ini kebolehpasaran graduan lepasan Politeknik Banting amat konsisten iaitu telah berjaya mengekalkan rekod 100 peratus untuk tiga tahun berturut-turut bermula 2012, kejayaan ini adalah hasil kerjasama semua pihak terutamanya kementerian dan pihak industri,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kerajaan-bayar-faedah-rm1-5-bilion-setahun-1.154365#sthash.9F4wCSxe.dpuf


Tuesday, 22 September 2015

PANDIR JALANAN’ DI LENYAPKAN

ZULKIFLI JALIL | 22 September 2015 1:19 AM



KERATAN akhbar Utusan Malaysia melaporkan kemenangan Pro-Aspirasi dalam pilihan raya kampus di Universiti Putra Malaysia baru-baru ini.

ADAKAH himpunan ha­ram Bersih 4.0 dan bermacam-macam fitnah yang dilemparkan pembangkang terhadap kerajaan dalam setahun ini menjadi pukulan maut dalam penentuan pilihan raya kampus yang baru berakhir?

Kemenangan mengejut Pro-Aspirasi (prokerajaan) di tujuh universiti termasuk tiga yang tegar propembangkang, Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membuka lembaran baharu senario politik kampus.

Ini kali pertama Pro-Aspirasi memecah rekod walaupun selepas 2006 secara keseluruhan mereka menang lebih banyak kerusi namun belum berjaya menguasai kampus-kampus utama seperti tiga yang tegar tadi.

Semasa melayari Facebook baru-baru ini, penulis terkesan dan tergamam seketika dengan ucapan seorang ketua Pro-Aspirasi yang hanya sempat dicatatkan dari Perak. Dia begitu berterus-terang dalam nada ungkapannya.

Dengan dijulang rakan-rakannya sambil menghadap sekumpulan penyokong propembangkang daripada Pro-Mahasiswa, dia dengan lantang menolak pembabitan gaya politik pembangkang ke dalam kampus seluruh universiti di negara ini. Antaranya, yang sempat penulis catatkan adalah penolakannya terhadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Video berdurasi seminit dua yang mendapat ribuan ‘like’ jelas memperlihatkan mahasiswa sudah bosan dengan politik sepanjang masa pembangkang. Tempias daripada politik nasional berjangkit di kampus mendorong mahasiswa kumpulan majoriti senyap dan yang tidak aktif berpersatuan untuk tiba-tiba keluar mengundi sebagai bantahan kepada agenda pembangkang.

Hal ini tidak dijangka langsung oleh kumpulan Pro-Mahasiswa yang mengandaikan orang muda menyokong pelbagai kritikan dan penghinaan kepada pemimpin ke­rajaan.

Dalam menganalisis kemena­ngan Pro-Aspirasi, komen Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Abdul Halim Sidek kepada Bernama semalam, boleh dijadikan rumusan. Kata Abdul Halim, mahasiswa sentiasa menjadi pemerhati kepada kedua-dua pihak, kerajaan dan pembangkang.

“Usaha kerajaan seperti memperkenalkan Baucar Buku 1Malaysia, Kad Diskaun Siswa 1Malaysia dan beberapa langkah lain menjadi pemangkin kepada kemenangan Pro-Aspirasi.

“Mahasiswa memahami usaha kerajaan yang sentiasa bertungkus-lumus untuk membantu mahasiswa. Kemenangan Pro-Aspirasi adalah satu berita yang baik,” kata beliau.

Prof. Madya Dr. Sarjit Singh Gill dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pula merujuk kepada konflik dalaman pakatan pembangkang antara punca utama kejatuhan kumpulan Pro-Mahasiswa.

Biar apa pun analisis dan rumusannya, keputusan pilihan raya kampus terbaharu ini adalah cerminan kepada sikap mahasiswa berpolitik. Kematangan berpolitik mereka sebelum ini yang diragui barangkali berpunca daripada seorang dua individu yang cuba menonjolkan diri, mahu menjadi hero, lantas mengambil jalan singkat menjadikan pembangkang sebagai ikon mereka.

Ini boleh dibuat carian Internet dalam demonstrasi semasa perhimpunan Blackout 505, Bersih 1.0, 2.0 3.0, apabila pelajar universiti turut dipergunakan untuk menjayakan agenda licik mencalar imej kerajaan.

Mahasiswa menjadi golongan majoriti semasa himpunan-himpunan tajaan pembangkang dan pentohmah tegar kerajaan sebelum ini. Mereka menjadi pihak yang mengibarkan bendera alternatif selain Jalur Gemilang menjelang detik 12 malam Hari Kemerdekaan ke-55 dan ke-56.

Apa lagi dengan munculnya ‘hero pandir mahasiswa’ dari UPSI waktu itu yang seolah-olah menjadi klon kepada seorang lagi pemimpin kerajaan yang dipecat, menyebabkan segelintir mahasiswa meronta-ronta mahu melupakan tugas hakiki mereka sebagai pelajar di kampus.

Sudahlah pengajian si polan dari UPSI ini diberikan subsidi oleh kerajaan, bersekolah di sekolah menengah bantuan penuh kerajaan dan jika diamati dia sendiri bakal mendapat laluan mudah sebagai seorang guru apabila tamat belajar tanpa perlu menjadi seorang pe­nganggur dalam masa yang lama.

Tetapi ini tidak ada dalam kamus hidupnya. Yang ada hanya cercaan dan herdikan terhadap kerajaan yang menjadi makanannya untuk disuap kepada rakan-rakan penyokongnya di universiti. Darah muda yang meluap-luap hanya untuk menjadi hero muda jalanan mengakibatkannya tercicir dalam pengajian.

Politik kampus yang menghirup nafas baharu dengan kemena­ngan Pro-Aspirasi akan memadamkan imej mahasiswa yang terpekik terlolong di jalanan seperti yang dipertontonkan aktivis propembangkang seperti Hishamuddin Rais dan seorang budak hingusan dari UPSI tadi.

Kita tidak mahu timbul gerakan melibatkan seorang anak muda bernama Sondang Hutagalung, seorang mahasiswa undang-undang dari Universiti Bung Karno (UBK) yang pernah menggemparkan republik Indonesia. Sondang membakar dirinya di hadapan istana Pre­siden Susilo Bambang Yudhiyono sebagai protes terhadap pemerintahan yang dianggap tidak memberi kebaikan kepada rakyat. Selepas dirinya terbakar, Sondang dibawa ke hospital dan akhirnya meninggal dunia pada 10 Disember 2011.

Sondang mungkin mengorbankan dirinya sebagai isyarat kepada mahasiswa dan masyarakat Indonesia agar lebih tegas menolak ketirisan dan rasuah dalam pemerintahan kerajaan. Namun masih banyak cara yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat tersebut.

Dan mahasiswa di Malaysia diyakini penulis tidak sampai ke tahap itu kerana kaedah diplomasi masih ada untuk digunakan dan masih boleh membuatkan pucuk pimpinan negara ‘panas punggung’.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/pandir-jalanan-di-lenyapkan-1.138933#sthash.dLMSJUYo.dpuf


Tuesday, 8 September 2015

IPT : Sedia beri kuasa autonomi

Sedia beri kuasa autonomi.Bagi bolehkan universiti awam buat keputusan lebih pantas - Perdana Menteri

FITRI AFFENDI MUSTAFA | 08 September 2015 2:02 AM


NAJIB TUN RAZAK berucap dalam majlis bersama warga Kementerian Pendidikan Tinggi di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Kerajaan bersedia untuk memberikan kuasa autonomi sepenuhnya kepada semua universiti awam dari segi tadbir urus, kewangan dan perjawatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah tersebut untuk membolehkan pihak pengurusan universiti membuat segala keputusan dengan lebih pantas.

“Kita nak empowerment atau memperkasakan universiti bererti kita nak beri kuasa, kenaikan pangkat, jawatan dan juga kuasa kewangan supaya keputusan-keputusan lebih pantas dapat dibuat oleh pihak universiti.

“Bagaimanapun, ia mesti di­sertai dengan proses akauntabiliti supaya agensi-agensi pusat boleh dirundingkan apa bentuk dan secepat mana proses pemerkasaan itu dapat diturunkan kepada universiti kita,” katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Bersama Warga Pendidikan Tinggi serta Pelancaran Buku Panduan Enhancing University Board and Effectiveness di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.

Buku panduan itu yang juga dikenali sebagai UniTP Green Book merupakan salah satu daripada lima buku panduan yang dihasilkan bagi memacu program transformasi di universiti awam.

Yang turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; timbalannya, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.

Sementara itu, Perdana Menteri berharap Lembaga Pengarah serta Naib Canselor universiti awam dapat membantu kerajaan untuk mencari sumber kewangan sendiri bagi me­ngendalikan pengurusan universiti.

“Salah satu perkara yang amat rumit menjadi Perdana Menteri apabila terpaksa naikkan sesuatu perkara, lebih-lebih lagi kalau terpaksa naik yuran universiti dan sebab itu kita pertahankan yuran dari dahulu tak naik sampai sekarang.

“Dan jika nak pertahankannya dan mencapai sasaran 2.5 juta rakyat menerima pendidikan tinggi menjelang 2025 berbanding 1.4 juta sekarang, tak disebut sumber kewangan daripada mana. Jadi, saya berharap LPU (Lembaga Pengarah Universiti) dan NC (Naib Canselor) lihat dan guna keupayaan intelektual mereka untuk mencari sumber kewangan sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya Menteri Pendidikan Tinggi mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi LPU dan Naib Canselor universiti dua kali setahun bagi membincangkan pencapaian Indeks Prestasi Utama (KPI) masing-masing.

Najib berkata, perkara tersebut bukan untuk mencari kesalahan atau kelemahan universiti sebalik­nya bagi mendapatkan maklumat berkenaan masalah yang dihadapi pihak pengurusan.

“Perkara ini saya telah lalukan dengan menteri (kabinet) iaitu mengadakan KPI pada pertengahan tahun dan hujung tahun. Ini bukan sesi untuk ‘mendera’ Naib Canselor tetapi berkongsi masalah dan mencari penyelesaian bagi memastikan perjalanan universiti lebih berkesan dan lancar,” jelasnya.

Najib turut menyarankan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menekankan kepentingan subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik kepada orang ramai.

Selain itu, Perdana Menteri turut menyatakan kepentingan kepada orang ramai untuk menguasai Bahasa Inggeris pada tahap tinggi.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sedia-beri-kuasa-autonomi-1.133159#sthash.8adAnhhN.dpuf

Wednesday, 8 April 2015

Penentu masa depan negara Najib

PPPM (PT) diyakini mampu lahirkan graduan berilmu, berakhlak

KAMIL MASLIH 
DAN SOFIAN BAHAROM | 08 April 2015 2:29 AM

  29  1 Google +0
Najib Tun Razak dan Muhyiddin Yassin bergambar bersama tokoh korporat
NAJIB TUN RAZAK dan Muhyiddin Yassin bergambar bersama tokoh korporat dan akademik yang bersetuju menyumbang kepakaran di institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menyokong pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 di Kuala Lumpur, semalam. utusan/MOHD. NAIM AZIZ


KUALA LUMPUR 7 April - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PT) yang dilancarkan hari ini merupakan hala tuju baharu yang bakal menentukan masa depan negara.

Menurut Perdana Menteri, pelan berkenaan yang menggariskan 10 lonjakan serta lima aspirasi sistem itu diyakini dapat melahirkan graduan berilmu, berakhlak dan mampu memberi sumbangan kepada negara.

Jelasnya, beliau dapat merumuskan objektif pelan itu sebagai 3B iaitu melahirkan graduan-graduan yang berbakat, bertaraf global dan berteraskan nilai positif.

“Saya tahu bukan mudah untuk menghasilkan pelan ini tetapi saya yakin pelan ini boleh menentukan masa depan yang lebih cemerlang untuk Malaysia, “ katanya ketika berucap pada majlis pelancaran PPPM (PT) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Pada majlis berkenaan, para hadirin yang berjumlah lebih 2,500 orang itu turut dipertontonkan vi­deo ucapan tahniah daripada Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, Kebudayaan Bangsa -Bangsa Bersatu (UNESCO), Irina Bokova.

Menurut Najib, beliau menyokong penuh PPPM (PT) kerana pelan itu bukan sahaja dapat menjana modal insan berkualiti yang memenuhi kehendak industri tetapi juga mempunyai nilai positif dari segi akhlak, rohaniah dan moral selari dengan identiti nasional.

“Ini sebab pandai sahaja tapi tiada akhlak pun tidak berguna. Dia boleh menggunakan kepandaiannya merosakkan negara kita. Contoh paling ekstrem, ada kelulusan tinggi tetapi guna ilmu itu buat bom, ini tidak mustahil,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Najib, autonomi yang diperoleh institusi-institusi pengajian tinggi awam di negara ini perlu dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan selain menjana kewangan sendiri tanpa terlalu berharap peruntukan tambahan daripada kerajaan.

Kata Najib, kerajaan sememangnya memberi penekanan tinggi kepada bidang pengajian tinggi kerana peruntukan daripada bajet negara dalam bidang itu adalah sebanyak 7.7 peratus iaitu jauh lebih tinggi berbanding negara Korea Selatan sebanyak 3.9 peratus, Jepun (1 peratus), Indonesia (3.1 peratus), Thailand (3 peratus) dan Singapura (6.4 peratus).

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/penentu-masa-depan-negara-najib-1.78815#sthash.3CeH6akh.dpuf

Monday, 9 March 2015

2,000 belia Shah Alam mohon masuk UiTM

09 Mac 2015 1:40 AM


AZHARI SHAARI (depan, tiga dari kiri) bersama Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Abdul Rahim Mat Shah (depan, dua dari kiri), Naib Ketua Bahagian, Datuk Nor Hisham Ses (depan, empat dari kiri) dan Ketua Pemuda Bahagian, Ahmad Mua’adzam Shah Yaakop (kiri) melaungkan ‘Kami Mahu Masuk U’ bersama calon-calon pelajar Universiti Teknologi Mara dalam Program Jom Masuk U yang diadakan di Dewan Beringin, Seksyen 24 di sini semalam. – utusan/ABDUL RAZAK IDRIS

SHAH ALAM 8 Mac – Walaupun keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak cemerlang, namun demi mengubah masa depan yang lebih baik, 2,000 belia yang kebanyakannya daripada keluarga kurang kemampuan memohon melanjutkan pelajaran di Uni­versiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi program Jom Masuk UiTM.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, penganjuran program tersebut bertujuan memberi peluang kepada belia yang mendapat keputusan SPM sekurang-kurangnya tiga kredit meneruskan pendidikan tinggi, seterus­nya dapat mengubah nasib keluarga yang terpaksa berdepan kos tinggi di bandar besar.

“Program yang dianjurkan oleh UMNO Bahagian Shah Alam ini bukan sahaja mendapat perhatian warga bandar raya itu, malah ada yang datang dari Kuala Lumpur dan sejauh Miri, Sarawak.

“Kita berharap program sebegini dapat dikembangkan lebih jauh oleh semua UMNO bahagian di Selangor,” katanya semasa berucap merasmikan program tersebut di Dewan Beringin, Seksyen 24, di sini hari ini.

Calon-calon yang berjaya mendapat tempat di UiTM menerusi program berkenaan akan menjalani kursus pradiploma sebelum ke peringkat diploma.

Azhari menambah, pihaknya sentiasa komited menganjurkan program pendidikan untuk anak-anak warga bandar raya ini seperti tuisyen percuma menjelang pe­periksaan SPM pada tahun lalu.

- See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/2-000-belia-shah-alam-mohon-masuk-uitm-1.67421#sthash.kiXaAMHp.dpuf


Thursday, 18 December 2014

Sultan Nazrin sebak kenang amanat ayahanda

RODELIO JUNJUN TAUCAN | 18 Disember 2014 2:31 AM


SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH sebak ketika menerima persalinan jubah bekas Canselor Universiti Malaya, Almarhum Sultan Azlan Shah daripada Prof. Dr. Mohd. Amin Jalaludin (kanan) pada Majlis Memperingati Almarhum Sultan Azlan Shah di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, semalam

KUALA LUMPUR 17 Dis. – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebak ketika mengenang kembali amanat ayahanda baginda, Almarhum Sultan Azlan Shah 35 tahun lalu mengenai pentingnya perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia terus dipelihara.

Baginda yang kelihatan mengalirkan air mata mengenangkan pesanan itu bertitah, suasana negara sekarang menyaksikan ramai rakyat semakin cenderung mencetuskan isu-isu sensasi sehingga menjejaskan hubungan harmoni antara kaum selain berpotensi mencetuskan konflik agama dan perkauman.

Sehubungan itu baginda menyeru semua pihak memahami atau membaca kembali pesanan tersebut yang dizahirkan Almarhum dalam pidato pada 30 Jun 1979 menyentuh mengenai prinsip-prinsip asas penubuhan negara ini.

Jelas baginda, pidato dizahirkan semasa majlis Pidato Penghargaan Graduan Kehormat sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) tersebut merupakan satu antisipasi dan peringatan yang mendahului waktu khususnya untuk rakyat Malaysia.

“Mesej utama yang terkandung dalam pidato tersebut menyentuh aspek-aspek keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, prinsip pemisahan kuasa antara badan perundangan, eksekutif dan kehakiman.

“Pentingnya negara memiliki badan kehakiman yang bebas berkecuali dan mahkamah mestilah mengenali keadilan, berkawan mesra dengan kedaulatan undang-undang, bersahabat rapat dengan kebenaran dan berjinak-jinak dengan kejujuran,” titah baginda dalam nada yang sesekali tersekat-sekat.

Baginda bertitah demikian dalam majlis Memperingati Almarhum Sultan Azlan Shah yang juga bekas Canselor UM selama 28 tahun di universiti itu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Naib Canselor UM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Amin Jalaludin.

Titah baginda itu menyebabkan para hadirin yang memenuhi Dewan Tunku Canselor senyap, malah sebahagian daripadanya kelihatan turut mengalirkan air mata.

Sementara itu, Sultan Nazrin yang kini dilantik Canselor UM menggantikan ayahandanya berkata, Almarhum turut pernah mengingatkan agar pemimpin politik tidak menjadikan universiti sebagai salah satu pentas untuk berpolitik.

Titah baginda, peringatan itu dizahirkan pada tahun 1987 berikutan telah terbukti mana-mana universiti yang mendapat campur tangan luar akan menyebabkan kemerosotan dalam mutu akademiknya.

“Sultan Azlan Shah secara konsisten menegaskan pentingnya universiti merangka kandungan pendidikan yang holistik, merangkumi aspek agama, intelek, nilai-nilai murni dan integriti.

“Titah tersebut dizahirkan 27 tahun lalu. Namun, kata-kata pe­ringatan tersebut adalah mutiara kata yang wajib dijadikan pedoman demi menjamin mutu akademik universiti tidak dikorbankan oleh faktor-faktor bukan akademik,” titah baginda.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sultan-nazrin-sebak-kenang-amanat-ayahanda-1.37898#sthash.eFHt1Ms0.dpuf


Thursday, 20 November 2014

Kemasukan pertama pelajar UiTM Raub November tahun depan

19 November 2014 12:41 AM


Shahiruddin Ab. Moin (dua dari kanan) melihat pelan pembinaan kampus UiTM Raub, Pahang, baru-baru ini.

RAUB 18 Nov. – Pembinaan Kampus Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Raub bernilai RM230 juta dijangka siap lebih awal pada Julai tahun hadapan berbanding jadual asal pada Oktober 2015.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, proses pembinaan yang dimulakan pada November 2012 berjalan dengan lancar di mana sebanyak 70 peratus pembinaan telah siap setakat ini.

“Kita berpuas hati dengan perlaksanaan projek yang setakat ini berjalan dengan lancar dimana lebih cepat sebanyak kira-kira 15 peratus atau pun 75 hari.

“Jadi kita menjangkakan projek ini akan diserahkan pada Oktober tahun depan sebelum kemasukan pelajar pertama pada 1 November 2015,” katanya selepas melakukan lawatan di tapak projek UiTM Raub di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Projek Utusan Intelek Sdn. Bhd., Mohd. Khalil Dan dan Pegawai Daerah Raub, Khairul Anuar Mahmood.

Menurut Shahiruddin, kampus yang mampu memuatkan sehingga 3,000 pelajar itu akan menawarkan tiga bidang pengajian utama iaitu Fakulti Sains dan Pentadbiran, Fakulti Sains dan Matematik dan Fakulti Pengurusan.

Justeru, beliau berharap kampus berkenaan bukan sahaja dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelajar setempat tetapi mampu melonjakkan lagi ekonomi penduduk setempat.

“Jadi saya berharap peluang perniagaan di dalam kampus akan turut diberikan kepada penduduk setempat selain pembinaan kawasan perniagaan di luar kampus.

“Saya juga berharap penduduk setempat akan mengambil kesempatan dengan merebut pelbagai peluang yang ada bagi meningkatkan pendapatan masing-masing,” ujarnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/kemasukan-pertama-pelajar-uitm-raub-november-tahun-depan-1.26292#sthash.am8PIZRF.dpuf


Istiadat Konvokesyen UiTM ke-81 Sabtu ini



ABDUL RAZAK IDRIS | 18 November 2014 1:51 AM

SHAH ALAM 17 Nov. - Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan melangsungkan Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-81 bermula dari 22 November hingga 9 Disember depan.

Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat UiTM, Alfina Bakar berkata, istiadat itu akan menyaksikan sebanyak 31,532 graduan UiTM di seluruh negara menerima pengiktirafan di atas kecemerlangan mereka dalam pelbagai bidang pengajian meliputi doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma.

Katanya, sebanyak 52 graduan akan menerima PhD manakala 1,170 graduan akan menerima ijazah sarjana. Sebanyak 13,370 penuntut pula bakal menerima ijazah sarjana muda, diikuti 16,699 (diploma), diploma lepasan ijazah (48) dan profesional (193).

“Sebanyak 17,134 penerima ijazah dan diploma merupakan penuntut di kampus induk di sini manakala sebanyak 14,398 penuntut dari kampus cawangan di seluruh negara bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing.

“Penganugerahan ijazah itu akan di­sempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang juga Canselor UiTM yang mana Seri Paduka berkenan menyampaikan ijazah tersebut pada sidang pertama istiadat konvokesyen itu,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, Seri Paduka juga berkenaan menyampaikan Anugerah Seri Paduka Baginda Tuanku Canselor; Anugerah Pingat Emas Naib Canselor dan Anugerah Tun Abdul Razak kepada graduan cemerlang sempena istiadat konvokesyen berkenaan yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM.

Selain itu, anugerah lain yang akan turut disampaikan pada istiadat konvokesyen tersebut adalah Anugerah Cemerlang Tan Sri Arshad Ayub; Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang); Anugerah Cemerlang Pharmaniaga; Anugerah Pingat Emas Yayasan Budiman UiTM; Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah Hashim; Anugerah Kepimpinan Cemerlang dan Anugerah Hadiah Buku MTDC.

- See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/istiadat-konvokesyen-uitm-ke-81-sabtu-ini-1.26031#sthash.31VUtyVn.dpuf


Monday, 17 November 2014

Friday, 31 October 2014

POLITIK : Rusuhan: UM buat laporan polis

29 Oktober 2014 11:05 PM

IZZAT Zalman Abd. Kader (kiri) bersama dua Pengarah Keselamatan UM, Khairul Anuar Abu Shari (tengah) dan Yusoff Harun menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Pantai, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Universiti Malaya (UM) hari ini membuat laporan polis terhadap tindakan kumpulan aktivis mahasiswa dan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menceroboh kawasan kampus pusat pengajian itu di Lembah Pantai di sini malam tadi.

Laporan yang dibuat di Balai Polis Pantai kira-kira pukul 11 pagi itu menuntut satu siasatan dijalankan berhubung pencerobohan dan rusuhan di pintu pagar universiti berkenaan.

Pengarah Keselamatan UM, Mohd. Shaiful Zamri Abdul Iman berkata, kumpulan aktivis mahasiswa dan orang awam penyokong Ketua Pembangkang tersebut dianggarkan hampir 1,000 orang telah berkumpul sejak pukul 7 malam di luar pagar pintu masuk utama sebelum menceroboh kawasan universiti tanpa kebenaran.

“Rusuhan itu berlaku berikutan tindakan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PPUM) yang menganjurkan majlis itu menjemput Anwar sebagai tetamu tanpa mendapat sebarang kelulusan daripada pihak universiti.

“Rempuhan dan pencerobohan yang berlaku sekitar pukul 9 malam itu menyebabkan pintu pagar roboh dan mangga serta rantai pagar ber­kenaan telah pecah,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis tersebut.

Sementara itu, Ketua Unit Media dan Korporat UM, Izzad Zalman Abd. Kader berkata, siasatan dalaman sedang dilakukan ke atas pelajar-pelajar yang terlibat dan penelitian secara telus akan dilaksana berdasarkan rakaman kejadian malam tadi.

“UM sedang menyiasat penglibatan pelajar berkenaan dan sebarang tindakan bergantung kepada hasil siasatan yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Mereka (pelajar) sedia maklum penganjuran ini tidak mendapat kelulusan daripada UM dan apakah implikasi kepada mereka jika terlibat. Sebarang tindakan akan mengikut undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/rusuhan-um-buat-laporan-polis-1.18162#sthash.GIoR7sW1.dpuf



KOMEN : JANGAN LUPA MANUSIA YANG DI ARAK DAN MEMBERI CERAMAH SELEPAS PINTU PAGAR DIROBOHKAN JUGA HARUS DITANGKAP DAN DIDAKWA KERANA ADA UNSUR2 HASUTAN MENGAJAK PELAJAR MERUSUH...DAN JUGA MENCEROBOH... 

Wednesday, 29 October 2014

POLITIK : Mana kelibat VC, TNC Akademik, HEP UM?

OLEH ZULKIFLI JALIL (PENGARANG@UTUSAN.COM) | 29 Oktober 2014 12:59 PM


Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Tan Sri Prof Dr Ghauth Jasmon (kiri) menyerahkan dokumen serah tugas kepada penggantinya yang baru Datuk Prof Dr Mohd Amin Jalaludin (kanan) pada Majlis Serah Tugas di Pejabat Canselor Universiti Malaya di sini hari ini.

PIHAK berkuasa harus belajar dari isu yang terjadi di Universiti Malaya (UM) malam kelmarin.

Dakwa Persatuan Mahasiswa UM, pihaknya telah berjumpa dengan Naib Canselor (VC), Prof. Datuk Dr. Mohd. Amin Jalaludin (gambar) pada tengah hari hari berkenaan. Tetapi pentadbiran universiti itu dikatakan tetap enggan membenarkan program yang dihadiri Anwar Ibrahim itu. Namun program yang jelas bermotif politik itu akhirnya dijayakan juga di Dataran Dewan Tunku Canselor.

Mengapa program seperti ini boleh dibenarkan? Mana perginya kelibat ketegasan VC, Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan TNC Akademik UM? Adakah sukar sangat hendak mengekang anak muda yang mengetuai persatuan mahasiswa terbabit?

Perlakuan pelajar mengetepikan nasihat pentadbiran universiti tidak patut berlaku sekiranya ditangani dari awal lagi.

Apatah lagi nada keangkuhan presiden persatuan mahasiswanya ‘kalau berani pecatlah saya’ yang nampak sangat kedangkalannya dalam meluahkan kenyataan itu. Dalam sibuk pelajar-pelajar Cina dan India menelaah pelajaran untuk mencapai keputusan akademik terbaik, anda sendiri tidak tahu ke mana hala tuju anda.

Adakah kemungkinan dalam isu ini, VC tidak mahu pening kepala, kemudiannya menyerahkan kepada TNC HEP untuk membuat keputusan membenarkan atau tidak program ‘40 Tahun: Dari Universiti Malaya ke Penjara’ itu. Dan TNC HEP terpaksa ‘ambil langkah selamat’ buat laporan polis sebagai jalan keluar.

Belum pun isu ‘kajian penyelidikan’ Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya UM (UMcedel) yang tercetus baru-baru ini selesai, kelmarin satu lagi isu timbul di universiti sama.

Bagi mengelak pelajar termasuklah anak muda yang mengetuai persatuan mahasiswa di UM terikut-ikut mahu meniru ‘rentak pemberontak dan mengejar populariti’ dan akhirnya merosakkan institusi tempat anak Melayu belajar menimba ilmu, sesuatu perlu dilakukan.

Siasat dan banteraslah sentimen pembangkang yang telah dan sedang menular di sebilangan universiti.

Di UM sendiri, VC terbabit perlu menyiasat adakah pegawai yang diamanahkannya benar-benar bertanggungjawab menjalankan peranan mendidik. Adakah pegawai yang berdamping dengannya sebagai rakan teh tarik, berperilaku umpama ‘gunting dalam lipatan’.

Periksalah apa muslihat mereka. Mereka nampakkan cara menghalang tetapi hakikatnya mereka seperti mahu program berkenaan diteruskan.

Andai pengurusan UM mengambil jalan untuk ‘Blackoutkan’ UM, ia umpama tindakan yang memberi persepsi buruk kepada kerajaan.

Sepatutnya VC UM bertegas untuk tidak mengheret UM dalam episod dianggap menghina mahkamah. Adakah VC UM seakan-akan mengikut telunjuk orang lain?

Kepemimpinan universiti yang tidak boleh berdepan dengan mahasiswa serta isu-isu sekelilingnya tidak seharusnya terjadi.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mana-kelibat-vc-tnc-akademik-hep-um-1.18160#sthash.G5sS6Gy6.dpuf



Friday, 25 April 2014

Martabatkan institusi pondok - Najib

Najib Tun Razak menyampaikan Anugerah Pondok Progresif 2014 kepada Uztaz Kazim Elias Al - Hafiz ( kiri ) sambil diperhatikan Mukhriz Tun Mahathir, Jamil Khir Baharom ( kanan) dan Dr. Mashitah Ibrahim dalam Majlis Penutup Ijtimak Pondok Malaysia 2014, di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/Safrizal Azmi

ALOR SETAR 24 April - Datuk Seri Najib Tun Razak berharap institusi pondok tetap aktif dalam menyuarakan nasihat beraspirasikan ajaran agama yang murni tanpa terikat kepada sentimen politik kepartian.

Menurut Perdana Menteri, ini kerana para umarak (pemerintah) sebagai pemikul amanah kepimpinan pentadbiran memang sentiasa mengharapkan pandangan, nasihat dan doa restu para ulama dalam menjalankan tugas mereka.

“Tetapi situasi yang sebegini akan sukar dibentuk jika suara nasihat ataupun teguran yang dikemukakan terlalu menyerupai nada dan corak digunakan oleh persaingan politik kepartian.

“Para ulama harus menasihati dan menegur sesiapa sahaja tetapi sudah tentu dengan kaedah dan budaya yang sesuai dengan wibawa dan kedudukan mereka yang tinggi dalam neraca Islam.

“Adalah menjadi harapan saya agar warga pondok akan terus memainkan peranan sebagai benteng mempertahan kedaulatan dan kesucian Islam sebagai ad-din, berteraskan Perlembagaan Negara," katanya ketika berucap pada majlis penutupan Ijtimak Pondok Malaysia 2014 di Seri Mentaloon di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.

Ijtimak tersebut julung-julung kali dianjurkan oleh YPPM dengan menghimpunkan lebih 1,300 warga pondok bersama tokoh akademik dan cendekiawan agama dari dalam serta luar negara.

Perdana Menteri turut melahirkan kebimbangan tentang berlakunya ajaran liberalisme, sekularisme, pluralisme dan fahaman songsang yang bertentangan dengan Islam sejak kebelakangan ini.

“Percayalah bahawa kerajaan menolak sebarang ancaman terhadap akidah umat Islam dan sebarang usaha memecahbelahkan perpaduan antara rakyat. Kita juga tegas menolak sebarang gerakan dan fahaman yang bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam konteks ini, saya amat menghargai pandangan dan pendirian para ulama dan warga pondok berserta badan bukan kerajaan (NGO) di dalam mempertahankan kesucian Islam.

“Realitinya, hari ini wujud sesetengah kelompok yang bersikap liberal, secara terbuka dan bebas bersuara tanpa mengambil kira perasaan atau sensitiviti pihak lain. Walaupun mengetahui bahawa Islam adalah agama Persekutuan yang dijamin dalam Perlembagaan, mereka terus mencabar dan mahu mengubah apa yang sudah termaktub selama ini," katanya.

Najib turut menegaskan, kerajaan mahu melihat sistem pengajian pondok terus kekal dan relevan, serta pengiktirafan sewajarnya diberikan kepada para ulama dan guru pondok.

“Insya-Allah, kerajaan akan terus mengarusperdanakan institusi pondok bagi mengangkat agenda pendidikan Islam negara," katanya.

Dalam majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan geran sebanyak RM500,000 kepada YPPM bagi usaha mencari, memperoleh dan memulih semula kitab-kitab lama dan muktabar, yang berada di merata tempat di dalam dan luar negara.

“Semoga YPPM menjadi pusat rujukan yang penting kepada semua warga pondok dan para pelajar yang melakukan penyelidikan atau penulisan mengenai pondok, malah kepada sesiapa saja yang berminat.
Geran ini tidak tertakluk kepada aktiviti membaik pulih kitab-kitab lama sahaja, malah bahan-bahan ilmiah lain seperti manuskrip, jurnal dan dokumen peribadi," katanya yang juga Penaung YPPM.

Sebagai sebagai menghargai peranan, jasa dan sumbangan pondok selama ini, Perdana Menteri turut mengumumkan akan membuka 100 tempat kepada warga pondok untuk melanjutkan pendidikan dan latihan dalam bidang pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

“Separuh daripada bilangan ini, iaitu 50 tempat, dikhususkan kepada guru-guru pondok yang layak ke Institut Pendidikan Guru, Kampus Pendidikan Islam di Bangi, Selangor. Manakala bakinya, juga 50 tempat adalah untuk 50 pelajar pondok yang memenuhi kelayakan minimum untuk ke universiti-universiti tempatan seperti Universiti Sains Islam Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan.

“Insya-Allah, kemasukan pelajar pondok yang berkelayakan ke universiti dan institut perguruan agama dengan pembiayaan sepenuhnya oleh kerajaan akan bermula pada sesi 2015/2016," kata beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140425/dn_01/Martabatkan-institusi-pondok---Najib#ixzz2zrciR700  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Thursday, 6 March 2014

Kursus kejuruteraan UiTM terima iktiraf tertinggi badan profesional







Sahol Hamid Abu Bakar (kiri) menunjukkan senarai kursus yang mendapat pengiktirafan badan tertinggi profesional kepada (dari kiri) Ahmed Jaafar, Azmi Ibrahim dan Ayub Md. Som di UiTM Shah Alam, Selangor, semalam. - Utusan/ABDUL RAZAK IDRIS

SHAH ALAM 5 Mac - Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencipta sejarah dalam pembangunan akademik di negara ini apabila tiga kursus kejuruteraan yang ditawarkan di universiti itu menerima pengiktirafan tertinggi daripada badan profesional.

Naib Canselor UiTM, Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, pengiktirafan lima tahun itu diberikan oleh Majlis Akreditasi Malaysia (AEC) dan Lembaga Jurutera Malaysia dengan kerjasama badan akreditasi dunia, Washington Accord.

Menurutnya, tiga kursus kejuruteraan yang menerima pengiktirafan tersebut ialah Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam, Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekanikal dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Kimia Bio Proses.

"Pengiktirafan kursus kejuruteraan ini bagi tempoh maksimum lima tahun menandakan UiTM sebagai institusi untuk bumiputera telah berjaya mengatasi lain-lain institut pengajian tinggi awam (IPTA) di negara kita yang menawarkan kursus yang sama.

"Ia boleh dianggap sebagai satu pencapaian yang besar kerana kita mendapat pengiktirafan untuk tempoh yang panjang tanpa perlu dinilai semula tahun ke tahun," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan dekan-dekan fakulti kejuruteraan UiTM di sini hari ini.

Yang hadir sama, Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam, Prof. Dr. Azmi Ibrahim; Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia, Prof. Madya Dr. Ayub Md. Som; Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Prof. Ir. Dr. Ahmed Jaafar dan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Alfina Bakar.

Tambah Sahol, alumni dan pelajar UiTM kursus-kursus tersebut seharusnya berbangga dengan tempoh akreditasi tersebut kerana ia hanya diberi kepada IPTA yang benar-benar menepati kriteria yang ditetapkan badan-badan akreditasi yang berkenaan.

"Bagi mendapat pengiktirafan akreditasi lima tahun setiap program mestilah tidak mempunyai kekurangan dan kelemahan dari segi tenaga pengajar, kemudahan pembelajaran, silibus dan kertas peperiksaan yang sentiasa dikemaskini dan segalanya perlu berkualiti.

"Kita berbangga kerana kemudahan di setiap fakulti dianggap sebagai yang terbaik di negara ini. Apa yang penting graduan yang kita hasilkan daripada program-program terbabit sentiasa menjadi rebutan dan mempunyai kebolehpasaran yang tinggi," katanya.

Menurutnya, selain kursus kejuruteraan, kursus-kursus di bawah Fakulti Pergigian, Farmasi dan Perubatan turut mendapat pengiktirafan akreditasi lima tahun.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kampus/20140306/ka_01/Kursus-kejuruteraan-UiTM-terima-iktiraf-tertinggi-badan-profesional#ixzz2v9O6IStI  © Utusan Melayu (M) Bhd



Tuesday, 4 February 2014

Muhyiddin rasmi SukIPT 2014


Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
sukan@utusan.com.my




Muhiyiddin Yassin (kanan) menyaksikan persembahan bunga api selepas merasmikan SukIPT 2014 di Stadium UiTM Shah Alam malam tadi. - UTUSAN/Saharuddin Abdullah

SHAH ALAM - Temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi 2014 (SukIPT 2014) membuka tirainya setelah dirasmikan oleh Timbalan Perana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam majlis yang berlangsung dengan meriah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) malam tadi.

Majlis perasmian itu dimulakan dengan persembahan tarian tradisional sebelum diikuti perarakan masuk penuh warna-warni 105 kontinjen terdiri daripada 20 kontinjen Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum), 10 kontinjen Majlis Sukan Kolej Komuniti (Maskom), 59 kontinjen Majlis Sukan IPTS (Masiswa), Majlis Sukan Matrikulasi, empat kontinjen Majlis Sukan Institut Perguruan Malaysia dan 13 kontinjen Majlis Sukan Politeknik.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, SukIPT mempunyai peranan tersendiri untuk menggerakkan usaha kementerian dalam melahirkan modal insan secara holistik.

"Atlet IPT telah membuktikan mereka harus disegani apabila menjadi antara penyumbang terbesar dalam Sukan SEA lalu dengan 24 emas, 19 perak dan 40 gangsa iaitu 53 peratus daripada keseluruhan 157 pingat yang dimenangi Malaysia.

"Secara jelas, SukIPT adalah medium terbaik dalam mencungkil bakat dan potensi atlet terbaik untuk negara," katanya dalam ucapan perasmian.

Pemenang pingat emas lempar cakera Sukan SEA Myanmar 2013, Irfan Shamsuddin diberi penghormatan untuk menyampaikan watikah perasmian kepada Timbalan Perdana Menteri sebagai gimik perasmian sebelum disusuli persembahan bunga api menyinari seluruh Stadium UiTM.

Majlis diteruskan dengan upacara menaikkan bendera kejohanan dan disusuli bacaan ikrar kejohanan yang diketuai pemain hoki kebangsaan, Fazilah Sylvester Silin dan Azreen Rizal Nasir. Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan berkonsepkan moden kontemporari daripada penuntut Fakulti Filem Teater dan Animasi UiTM.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140204/su_06/Muhyiddin-rasmi-SukIPT-2014#ixzz2sJKF3sJ1  © Utusan Melayu (M) Bhd