Abdul Hadi, Nik Abdul Aziz berdendam?
DARI UTUSAN MALAYSIA5/6/2012
KUALA LUMPUR 4 Jun - Pertelagahan pendapat antara Presiden Pas, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang dengan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat menunjukkan mereka berdendam antara satu sama lain.
Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu
Bakar berkata, perkara itu sebenarnya telah berlaku sejak Nik Abdul Aziz
membantah cadangan Abdul Hadi untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan
bersama UMNO.
Katanya, Abdul Hadi selaku Presiden parti merasa tercabar apabila cadangan beliau ditolak mentah-mentah oleh Nik Abdul Aziz.
"Tetapi apabila Nik Abdul Aziz mencadangkan untuk bermuzakarah
bersama UMNO, giliran Abdul Hadi pula menentangnya bagi membalas dendam
terhadap tindakan Mursyidul Am Pas itu.
"Walaupun Presiden parti, Abdul Hadi tidak dapat membuat sebarang
keputusan kerana Nik Abdul Aziz telah mengawal sepenuhnya Majlis Syura,
badan tertinggi parti tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi yang mengakui Pas tidak boleh
menjanjikan syurga kepada mereka yang mengundi parti itu dalam pilihan
raya.
Kenyataan Presiden PAS itu sekali gus bercanggah dengan Nik Abdul Aziz yang mempertahankan pendirian undi Pas masuk syurga.
Kedua-dua pemimpin itu turut bercanggah dalam isu Perdana Menteri
Melayu yang mana Abdul Hadi menegaskan jawatan tersebut mesti disandang
orang Melayu sedangkan Musyidul Amnya tidak kisah mana-mana kaum asalkan
individu berkenaan beragama Islam.
Menurut Ramlan, Pas merupakan sebuah parti yang mendakwa kononnya
memperjuangkan Islam tetapi sering berpecah-belah sesama sendiri,
menunjukkan mereka telah membelakangi ajaran yang dibawa oleh al-Quran
dan al-Sunnah.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Nik Abdul Aziz yang meletakkan
syarat muzakarah supaya UMNO menghapuskan prinsip perjuangannya
sedangkan Pas kini dilihat menggadaikan namanya apabila bekerjasama
dengan DAP.
"Menteri Besar Kelantan itu sebenarnya termakan umpannya sendiri
kerana sewaktu para pemimpin DAP mengeluarkan ucapan berbaur anti-Islam,
beliau tidak pernah membantah tindakan mereka," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM),
Osman Abu Bakar mencadangkan supaya Pas mengadakan Muktamar Khas untuk
membincangkan pertelagahan kedua-dua pemimpin berkenaan.
Katanya, muktamar itu bertujuan mendengar pendapat ahli-ahli Pas yang selama ini berdiam diri terhadap gelagat pemimpin mereka.
"Jangan nafikan hak ahli-ahli Pas, mereka juga berhak menyuarakan
pandangan terhadap kepincangan yang berlaku di dalam parti," katanya.
KOMEN : MEREKA PUN TAK BETUL DAN TIDAK BOLEH DIPERCAYAI... SEORANG DENGAN SLOGAN MENGKAFIRKAN ORANG UMNO DAN SEORANG LAGI DENGAN SLOGAN TIKET KE SYURGA BILA UNDI PAS DAN BOLEH BERKAWAN DENGAN SYAITAN... SEMUANYA PENUH DENGAN TOPENG DENDAM... SIFAT SIAPA TU?
No comments:
Post a Comment