Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label SUKAN ASIA 2014. Show all posts
Showing posts with label SUKAN ASIA 2014. Show all posts

Wednesday, 1 October 2014

SUKAN ASIA 2012 : Skuad boling semakin tertekan


SIN Li Jane (kiri) memenangi pingat perak acara AllEvent wanita semalam dan dia serta Shalin Zulkifli turut layak bersaing dalam acara Masters wanita hari ini.

INCHEON - Skuad boling negara semakin tertekan apabila masih gagal mencari pingat emas pertama Sukan Asia XVII selepas sekadar menambah dua lagi perak menerusi berpasukan lelaki dan Sin Li Jane dalam AllEvent wanita di Gimnasium Anyang Hogye semalam.

Ini merupakan perak keempat diraih skuad boling di Incheon selepas memenanginya dalam acara trio lelaki dan beregu wanita.

Walaupun jumlah pingat yang diraih agak memberangsangkan, namun boling hadir di Incheon dengan membawa misi besar iaitu mengulangi pencapaian dua emas di Guangzhou empat tahun lalu.

Selepas mendahului saingan AllEvent pada dua hari terakhir, Li Jane terpaksa akur gagal mempertahankan kedudukan itu apabila dipintas pada saat akhir oleh pemain tuan rumah, Lee NaYoung hanya menerusi 37 pin.

Li Jane, 22, menamatkan saingan perseorangan, beregu, trio dan berpasukan dengan mengumpul 5,095 jatuhan pin. Pingat gangsa milik pemain Singapura, Jazreel Tan dengan 5,013 jatuhan pin.

Dalam berpasukan lelaki, Zulmazran Zulkifli, Adrian Ang, Alex Liew, Syafiq Ridhwan Abdul Malek dan Timmy Tang mempamer semangat juang hebat apabila bangkit daripada kedudukan ketujuh, untuk menamatkan cabaran dengan perak menerusi 5,986 jatuhan pin, 242 pin di belakang Korea Selatan.

Hong Kong dengan 5,900 jatuhan pin membawa pulang pingat gangsa.

"Saya tidak bermain baik semalam (kelmarin) dan itu mempengaruhi kedudukan saya dalam AllEvent. Sejak awal lagi saya tahu pemain Korea mengekori dengan amat rapat, jadi saya tidak boleh melakukan kesilapan.

"Selepas masih gagal menghadiahkan emas buat Malaysia, saya akan cuba melakukan apa saja untuk mencari emas terakhir yang ditawarkan dalam saingan Masters. Cabaran tidak pernah mudah tetapi saya akan melakukan yang terbaik," kata Li Jane

Selain Li Jane, pemain berpengalaman Shalin Zulkifli turut menempatkan diri dalam saingan Masters Wanita dengan menduduki tangga ke16 AllEvent menerusi 4,777 jatuhan pin. Zulmazran pula akan diiringi oleh Adrian Ang dalam Masters lelaki yang bermula hari ini.

Dalam saingan berpasukan wanita, Malaysia sekadar menutup kempen di tangga ketujuh dengan 5,793 jatuhan pin, 326 pin di belakang pemenang pingat emas, Singapura. Perak milik Korea Selatan menerusi 6,048, manakala Indonesia meraih gangsa. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20141001/su_08/Skuad-boling-semakin-tertekan#ixzz3ErGog2I0  © Utusan Melayu (M) Bhd


SUKAN ASIA 2014 : Skuad hoki kempunan ke akhir


PEMAIN-PEMAIN hoki negara (kiri) menangisi kegagalan mereka ke perlawanan akhir manakala anggota skuad Pakistan berpelukan meraikan kejayaan menewaskan Malaysia menerusi penalti shoot out di Stadium Hoki Seonhak, Incheon semalam. - UTUSAN

INCHEON - Skuad hoki lelaki negara terus kempunan pada Sukan Asia 2014 bagi mendapatkan slot automatik ke Sukan Olimpik 2016 apabila kecundang 6-5 kepada Pakistan menerusi penentuan penalti dalam aksi separuh akhir di Stadium Seonhak semalam setelah kedua-dua pasukan terikat 0-0 dalam masa sebenar.


Ini juga sudah kali kedua Malaysia gagal meraih slot ke Sukan Olimpik menerusi platform Sukan Asia selepas tewas kepada lawan sama dalam sa-ingan akhir empat tahun lalu.


Jurulatih sementara skuad hoki kebangsaan Arul Selvaraj berkata, pasukannya telah melaksanakan tugas dengan baik namun nasib tidak menyebelahi mereka semalam.


"Kami telah bermain dengan baik malah pertahanan juga telah menunjukkan komitmen dengan menghalang beberapa percubaan pasukan lawan dan saya sangat gembira dengan peningkatan dipamerkan pasukan.


"Selepas ini kami akan cuba untuk memperbaiki kelemahan terutama berkaitan hantaran bola bagi meraih keputusan lebih baik dalam perlawanan merebut pingat gangsa," kata Arul selepas tamat perlawanan semalam.


Dalam perlawanan tersebut kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan seimbang selain mencipta beberapa peluang mendapatkan jaringan menerusi pukulan sudut penalti.


Pertahanan skuad kebangsaan juga nampak berada di tahap terbaik apabila berupaya mematahkan serangan balas pasukan lawan.


Penjaga gol negara S. Kumar juga telah beraksi dengan hebat, terutama apabila menyelamatkan pukulan sudut penalti Pakistan yang diperoleh pada minit ke-66.


Kekuatan seimbang kedua-dua pasukan menyebabkan pemenang hanya dapat ditentukan menerusi penalti shoot out yang menyaksikan Malaysia tewas 6-5.


Lima gol penalti skuad kebangsaan dijaringkan oleh Muhammad Marhan Mohd. Jalil serta dua masing-masing diraih daripada Muhammad Shahril Saabah dan Mohd. Fitri Saari.


Sementara itu, Kumar berkata, kekalahan tersebut menyebabkan Malaysia terpaksa berhadapan tugas berat untuk layak ke Sukan Olimpik menerusi saingan kelayakan temasya tersebut.


"Beraksi dalam saingan kelayakan Sukan Olimpik sudah tentu amat sukar kerana banyak pasukan hebat termasuk dari Eropah bakal turut serta.


"Kekalahan ini juga membuatkan saya kecewa kerana tidak berupaya meraih pingat emas pada penyertaan Sukan Asia terakhir saya," katanya.


Malaysia akan menentang Korea Selatan untuk menentukan pemenang tempat ketiga dan keempat pada Khamis ini. Tuan rumah yang sebelum ini menang 2-1 ke atas Malaysia dalam pertemuan peringkat kumpulan, gagal ke perlawanan akhir setelah kalah kepada India. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20141001/su_09/Skuad-hoki-kempunan-ke-akhir#ixzz3ErFpV16A  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN ASIA 2014 : Terjun terus setia sumbang pingat, raih satu perak, satu gangsa semalam


INCHEON - Hampir menjadi atlet gimnastik, malah pernah terfikir untuk menjadi pemain bola sepak, namun pada akhirnya sukan terjun yang menghadiahkan pingat buat Ahmad Amsyar Azman pada Sukan Asia XVII.

Membuat penampilan sulung di temasya sukan terbesar Asia itu, Amsyar yang hampir tidak disenaraikan dalam acara tiga meter papan anjal seirama, bagaimanapun gembira kerana penyertaan pada saat akhir menghadiahkan sebutir perak bersama Ooi Tze Liang di Pusat Akuatik Munhak Park Taek-Hwan semalam.

Gandingan muda negara itu melengkapkan enam terjunan dengan mengumpul 405.81 mata, 55.05 mata di belakang pasangan China, Cao Yuan-Lin Yue. Gangsa miliki pasangan tuan rumah, Kim Yeong-Nam-Woo Ha-Ram dengan 399.09 mata.

"Hanya semalam baru jurulatih memutuskan saya akan berpasangan dengan Tze Liang dalam acara 3m papan anjal seirama. Sebelum ini, nama Chew Yiwei turut disebut tetapi akhirnya saya yang dipilih.

"Saya memang sedih kalau tidak dipilih kerana ini acara kegemaran saya, hari ini saya gembira dapat membalas kepercayaan jurulatih dengan menghadiahkan perak.

"Pingat ini saya tujukan buat bapa saya, Azman Hassan kerana tidak pernah jemu memberi sokongan, malah dia adalah orang yang bertanggungjawab mendorong saya untuk memilih terjun sebagai karier.

"Sebenarnya saya minat gimnastik, tetapi bapa kata terjun lebih sesuai dengan saya. Pernah juga terfikir hendak jadi pemain bola sepak atau perenang, tetapi kata bapa fizikal saya yang kecil tidak sesuai untuk semua sukan itu.

"Akhirnya saya memilih terjun kerana ikut cakap bapa dan alhamdulillah hari ini saya berada di sini. Selepas ini, misi saya adalah untuk layak ke Olimpik di Rio, itulah impian sejak mula menceburi sukan terjun," kata Amsyar, yang mula menjadi penerjun di usia 14 tahun.

Menurut penerjun kelahiran Kangar, Perlis berusia 22 tahun itu lagi, misi seterusnya di Incheon adalah cuba mencari satu lagi keputusan baik dalam acara 1m papan anjal individu yang berlangsung hari ini.

Sementara itu pasangan berpengalaman, Leong Mun Yee-Pandelela Rinong turut menambah pingat buat Malaysia selepas meraih gangsa dalam 10m platform seirama wanita selepas mengutip 313.92 mata.

Walaupun Mun Yee tidak pernah gagal membawa pulang pingat dalam semua Sukan Asia yang disertai sejak membuat penampilan sulung di Busan 2002, namun kegagalan mempertahankan perak yang diraih di Guangzhou empat tahun lalu dalam penampilan terakhir sedikit mengecewakannya.

Emas acara tersebut milik pasangan pilihan, Chen Ruolin-Liu Huixia dari China dengan 346.50 mata, manakala gandingan Korea Utara, Kim Unhyang-Song Namhyang merangkul perak menerusi 320.64 mata.

"Dapat menyumbang pingat dalam setiap Sukan Asia yang saya sertai memang menggembirakan, namun hari ini sebenarnya saya agak kecewa kerana kami sepatutnya boleh memberi persembahan yang lebih baik.

"Kesilapan dalam terjunan keempat memberi kesan kepada kutipan mata dan akhirnya kami terpaksa berpuas hati meraih gangsa. Ini mungkin Sukan Asia terakhir saya dan ini adalah satu-satunya acara yang saya sertai di Incheon, jadi sedikit mengecewakan," kata Mun Yee.- UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20141001/su_05/Terjun-terus-setia-sumbang-pingat-raih-satu-perak-satu-gangsa-semalam#ixzz3ErEoad73  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN ASIA 2014 : Pelayaran sahkan menang emas


MOHD. Faizal Norizan (tiga dari kiri) dan Syukri Abdul Aziz (kanan) meraikan kejayaan menang emas acara pelayaran 420 duo lelaki bersama rakan sepasukan yang turut memenangi dua perak di Marina Pelayaran Wangsan, Incheon semalam. - BERNAMA

INCHEON - Ketika kontinjen negara dirundung kesedihan gara-gara pingat emas Tai Cheau Xuen ditarik balik akibat positif dalam ujian doping, pelayaran mengembalikan semula 'mood' atlet Malaysia pada Sukan Asia XVII semalam apabila menghadiahkan pingat emas yang dinantikan menerusi Mohd. Faizal Norizan-Syukri Abdul Aziz dalam kelas 420 lelaki semalam.

Faizal-Syukri sudahpun mengesahkan emas ketika saingan masih berbaki satu perlumbaan selepas mempamer aksi cemerlang dalam 11 perlumbaan pertama di Marina Pelayaran Wangsan.

Malah, Sukan Asia kali ini juga akan dikenang sebagai pencapaian terbaik sukan pelayaran yang turut meraih dua perak menerusi Laser Standard (Khairulnizam Afendy) dan 420 wanita (Nuraisyah Jamil-Norwahidah Sallahuddin).

Kemenangan Faizal-Syukri menamatkan penantian lapan tahun Malaysia yang kali terakhir merangkul emas menerusi Rufina Tan dalam Optimist Perempuan di Doha 2006, dan juga memperbaiki pencapaian dua perak dan satu gangsa yang dilakukan di Guangzhou empat tahun lalu.

Faizal-Syukri menjadi atlet lelaki pertama menyumbangkan emas pada temasya di Incheon, selepas tiga emas terdahulu semuanya diraih peserta wanita iaitu Datuk Nicol David, skuasy berpasukan dan Cheau Xuen.

"Kami meraih perak di belakang Singapura pada Kejohanan Remaja Dunia di Portugal Jun lalu dan berada di depan Jepun ketika itu. Ia adalah kali pertama negara Asia menyapu bersih pingat dalam acara tersebut.

"Sejak awal lagi saya tahu, tiga pasukan ini akan bersaing sengit untuk merebut pingat emas pada Sukan Asia, namun keyakinan kami mula meningkat selepas memenangi dua perlumbaan pertama (24 September)," kata Faizal, yang meraih emas Sukan SEA Myanmar tahun lalu.

Pasangan Jepun, Koizumi Ibuki-Matsuo Kotaro yang memenangi perlumbaan ke-12 menutup saingan dengan pingat perak menerusi 23 mata, lima mata ditinggalkan Malaysia, manakala gangsa milik Loh Jia Yi-Jonathan Yeo dari Singapura dengan 36 mata. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20141001/su_02/Pelayaran-sahkan-menang-emas#ixzz3ErDQOVFJ  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN ASIA 2014 : Malaysia tak pulang pingat


TAI Cheau Xuen dibatalkan penyertaan pada Sukan Asia Incheon setelah didapati positif dalam ujian dadah dan pingatnya akan ditarik balik tetapi menunggu hasil rayuan kontinjen negara.

INCHEON - Malaysia tidak akan mengembalikan pingat emas Sukan Asia XVII yang dimenangi oleh Tai Cheau Xuen walaupun alet wusyu negara itu disahkan gagal ujian doping semalam.

Ketua kontinjen negara Datuk Danyal Balagopal sebaliknya menegaskan, rayuan akan dikemukakan kepada Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) kerana sejak awal lagi Malaysia meragui proses ujian doping itu dilakukan.

Antara yang menimbulkan keraguan adalah mengapa Majlis Olimpik Asia (OCA) mengambil masa yang terlalu lama sehingga 15 jam untuk mendapatkan keputusan ujian air kencing, sedangkan kebiasaannya boleh diketahui serta merta sebaik saja contoh air kencing dibawa masuk ke makmal.

Malah katanya, pada hari proses air kencing diambil, terdapat lima botol contoh yang diletakkan di satu tempat, justeru mungkin berlaku kesilapan seperti air kencing tertukar ketika dibawa ke makmal.

"Buat apa kami hendak pulangkan pingat emas? Kami akan mengemukan rayuan kepada CAS kerana terdapat banyak keraguan dalam cara kes ini dikendalikan.

"Mengapa mereka mengambil masa terlalu lama hingga 15 jam untuk mendapatkan keputusan, malah selepas pertandingan pun, Cheau Xuen menunggu hingga hampir dua jam untuk menjalani ujian.

"Ada beberapa perkara lagi yang meragukan, tetapi saya tidak boleh bercakap terlalu banyak kerana ini melibatkan isu undang-undang. Saya akan bincang dengan ISN (Institut Sukan Negara) dan mengemukakan dokumen untuk merayu kepada CAS," ujar Danyal.

Semalam, OCA mengesahkan pingat emas yang dimenangi Cheau Xuen dalam acara nanquan dan nandao all around wanita ditarik balik selepas atlet berusia 23 tahun itu didapati positif mengambil dadah sibutramine.

Cheau Xuen menyumbangkan emas pertama buat kontinjen Malaysia di Incheon pada 20 September lalu.

Apa yang berlaku kepada Cheau Xuen adalah sesuatu yang malang, apatah lagi kontinjen Malaysia amat yakin atlet kelahiran Negeri Sembilan itu tidak bersalah dan seorang yang jujur.

Menurut Danyal, beliau dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Aziz berulang kali menyoal Cheau Xuen sebaik keputusan sampel A diterima dan dia menafikan sekeras-kerasnya ada mengambil sebarang dadah atau bahan yang tidak dibenarkan.

"Saya yakin dia tidak bersalah. Kami akan mengemukakan rayuan di sini (Incheon) juga kerana CAS juga hadir pada Sukan Asia. Saya difahamkan dadah sibutramine biasanya terdapat dalam kandungan suplemen untuk menurunkan berat badan," kata Danyal lagi. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20141001/su_01/Malaysia-tak-pulang-pingat#ixzz3ErCLHMRD  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Tuesday, 30 September 2014

SUKAN ASIA 2014 : Yi Wei puas akhir raih pingat


Ooi Tze Liang (kanan) memeluk Chew Yi Wei apabila mengetahui mereka memenangi pingat gangsa selepas menamatkan lompatan terakhir dalam acara terjun 10m platform seirama lelaki di Pusat Akuatik Munhak Park Taek-Hwan, Incheon semalam. - UTUSAN

INCHEON - Selepas pulang tangan kosong pada Sukan SEA 2013 dan Sukan Komanwel Glasgow bulan lalu, Chew Yi Wei puas kerana akhirnya menebus kegagalan dengan meraih pingat gangsa Sukan Asia dalam acara terjun 10 meter platform seirama lelaki bersama Ooi Tze Liang semalam.

Penerjun berusia 18 tahun itu memastikan dia tidak terlepas pingat sekali lagi dalam penampilan ketiganya di temasya besar apabila aksi baik pada dua terjunan terakhir membolehkan dia dan Tze Liang mengumpul 384.90 mata untuk menaiki podium di Pusat Akuatik Munhak Park Tae-Hwan.

Biarpun menampilkan dua muka baharu, gergasi terjun dunia China masih mampu mempertahankan emas menerusi gandingan Zhang Yangquan-Chen Aisen yang mengumpul 462.90 mata selepas enam terjunan, jauh meninggalkan pemenang pingat perak dari Korea Selatan, Kim Yeong-Nam-Woo Ha-Ram dengan 403.50 mata.

Ini adalah pingat perak kedua buat Tze Liang selepas melakukannya bersama Bryan Nickson Lomas dalam acara yang sama di Guangzhou empat tahun lalu.

Kemenangan ini juga menebus kekecewaan Tze Liang-Yi Wei selepas tidak dihadiahkan gangsa pada Sukan Komanwel bulan lalu walaupun menamatkan cabaran di tangga ketiga kerana saingan ketika itu hanya disertai oleh empat penerjun.

"Kebimbangan gagal meraih pingat buat kali ketiga bermain di fikiran saya ketika saya dan Tze Liang sedang bersedia untuk melakukan terjunan keempat.

"Kami gagal memenangi emas pada Sukan SEA di Myanmar kerana melakukan kesilapan pada terjunan keempat walaupun sudah mendahului saingan sejak awal. Saya melalui dua temasya yang mengecewakan.

"Saya tidak sanggup berdepan kekecewaan sekali lagi selepas lama berlatih dan bekerja keras untuk persiapan ke Sukan Asia. Memang saya akui, agak tertekan ketika tiba di sini.

"Bagaimanapun saya gembira dapat mengeluarkan semua yang saya pelajari ketika latihan dengan begitu baik hari ini," kata Yi Wei, yang kembali menyertai skuad kebangsaan selepas meraih dua pingat emas pada Sukan Malaysia di Kuantan dua tahun lalu.

Menurutnya lagi, dia hanya diberitahu oleh jurulatih untuk bergandingan dengan Tze Liang pada saat akhir kerana sejak awal lagi nama Ahmad Amsyar disebut-sebut untuk beraksi dalam saingan 10m platform seirama. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140930/su_04/Yi-Wei-puas-akhir-raih-pingat#ixzz3ElG6o100  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN ASIA 2014 : Chong Wei perlu 'angin baharu'


Lee Chong Wei masih gagal memenangi gelaran kejohanan besar, termasuk di Sukan Asia walaupun menguasai kejohanan terbuka.

INCHEON - Tukar jurulatih, ubah program atau lakukanlah apa saja, yang pasti Datuk Lee Chong Wei perlu membuat perubahan besar jika mengimpikan untuk memburu pingat emas di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro atau menjadi juara dunia buat julung kalinya.

Selepas menjaga Chong Wei selama empat tahun sejak peletakan jawatan Datuk Misbun Sidek pada 2011, Tey Seu Bock telah melakukan segala yang termampu untuk membantu jaguh No. 1 dunia itu merangkul kejuaraan besar, namun usahanya gagal buat ke sekian kali apabila anak buahnya itu tersingkir di separuh akhir Sukan Asia XVII kelmarin.

Kekalahan 20-22, 21-12, 9-21 kepada musuh tradisi, Lin Dan dari China 'mencacatkan' karier Chong Wei yang sepatutnya cemerlang kerana telah mencipta begitu banyak rekod dalam kejohanan berstatus terbuka.

Selepas segala usaha menemui kegagalan, Seu Bock akhirnya akur - mungkin sudah tiba masanya Chong Wei melakukan 'anjakan besar' dalam kariernya bagi memenuhi impian bergelar juara kejohanan utama seperti Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia.

"Saya sudah melakukan segala-galanya yang termampu, mengorbankan banyak perkara untuk membantu Chong Wei menjadi juara Olimpik dan dunia seperti yang diharapkan oleh seluruh rakyat Malaysia, tetapi malangnya masih tidak berlaku.

"Sepanjang empat tahun menjaga Chong Wei, memang banyak kejayaan yang telah kami capai (dalam kejohanan Terbuka), malah dia melakukan rekod yang mungkin sukar untuk dipecah oleh mana-mana pemain, namun apabila tiba kejohanan utama...dia tetap gagal untuk bergelar juara.

"Seperti seluruh rakyat Malaysia, Chong Wei dan saya juga amat kecewa apabila gagal pulang bersama kemenangan. Kami sudah mencuba semua yang terdaya, bekerja keras semampu yang boleh dan merencanakan program terbaik, tetapi mungkin tidak cukup baik.

"Jadi, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan Chong Wei membawa pulang emas dari Sukan Asia Incheon. Apabila kembali ke Kuala Lumpur, saya akan jumpa BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan bincang tentang perubahan besar yang perlu dilakukan jika mereka mahu Chong Wei terus maju," kata Seu Bock.

Dalam tempoh empat tahun di bawah bimbingan Seu Bock, Chong Wei, 32, telah merangkul dua kejuaraan All England.

Pada 2011, dia memenangi enam kejuaraan Terbuka, diikuti lima pada 2012 dan tujuh pada 2013, termasuk gelaran Siri Super Masters Akhir. Tahun ini, Chong Wei menjuarai Terbuka Malaysia, All England, Terbuka India serta Terbuka Jepun.

Begitupun apabila tiba kejohanan utama, dia sering kandas di peringkat paling genting. Pada Kejohanan Dunia 2011, dia tumpas kepada Lin Dan di final, pada Sukan Olimpik London 2012 dia kalah kepada musuh yang sama dalam perebutan pingat emas.

Malang Chong Wei berterusan pada Kejohanan Dunia 2013 apabila Lin Dan sekali lagi menyekat impiannya untuk bergelar juara dunia, sebelum kemuncak kegagalan jaguh No. 1 dunia itu hadir pada Kejohanan Dunia 2014 yang dianggap peluang terbaiknya untuk muncul juara kerana Lin Dan tidak beraksi.

Chong Wei tewas kepada rakan senegara Lin Dan, Chen Long dalam perlawanan akhir di Copenhagen bulan lalu.

Pemain kelahiran Perak itu juga sebelum ini dikecewakan oleh Lin Dan dalam pertarungan merebut emas pada Sukan Olimpik Beijing 2008. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140930/su_03/Chong-Wei-perlu-angin-baharu#ixzz3ElEe4H1g  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN ASIA 2014 : Terjun menang 2 pingat


Wendy Ng (depan kiri), Cheong Jun Hoong (depan kanan), meraikan kejayaan mereka memenangi pingat perak bersama Chew Yi Wei (belakang kiri) dan Ooi Tze Liang yang memenangi gangsa di Pusat Akuatik Munhak Park Taek-Hwan, Incheon semalam. - UTUSAN

INCHEON - Walaupun sering bertukar pasangan, namun kombinasi Wendy Ng-Cheong Jun Hoong masih mampu mempamer terjunan cemerlang untuk meraih pingat perak acara 3 meter papan anjal seirama wanita pada hari pertama acara terjun Sukan Asia XVII berlangsung di Pusat Akuatik Munhak Park Taek-Hwan semalam.

Gandingan Chew Yi Wei-Ooi Tze Liang pula meraih pingat gangsa dalam 10 meter platform seirama lelaki selepas mengumpul 384.90 mata.

Memandangkan China dianggap kuasa besar yang hampir mustahil untuk disentuh, menduduki tempat kedua ibarat berjaya meraih 'emas' buat penerjun negara lain, baik pada Sukan Asia mahu pun Olimpik.

Bagi Wendy, 21, kejayaan mempertahankan perak yang dimenangi bersama Leong Mun Yee di Guangzhou empat tahun lalu bukan saja membayar kerja kerasnya selama ini, malah membuktikan dia cukup kompetitif untuk mencabar pingat di Sukan Asia.

Semalam, gandingannya bersama Jun Hoong mengumpul 287.70 mata, 30.90 mata di belakang penerjun China yang diketuai juara Olimpik, Wu Minxia bersama pasangan baharunya Shi Tingmao. Pasangan Korea Utara, Choe Ungyong-Kim Jinok meraih gangsa dengan 274.32 mata.

"Ini adalah pingat perak kedua saya dalam penampilan kedua Sukan Asia, ini pencapaian yang bagus. Saya gembira kerana segala kerja keras selama ini berbayar.

"Memang sebelum pertandingan kami tidak tahu siapa akan digandingkan dengan siapa kerana sering bertukar pasangan. Pada Sukan Komanwel, saya berpasangan dengan (Nur) Dhabitah (Sabri) dan empat tahun lalu saya menang perak bersama Mun Yee," kata Wendy, yang akan turut beraksi dalam saingan 3m papan anjal individu.

Jun Hoong pula bergandingan dengan Loh Zhiayi pada Sukan Komanwel lalu, di mana mereka menamatkan kempen di tangga kelima, manakala kombinasi Wendy-Nur Dhabitah menutup cabaran pada kedudukan keenam.

Sementara itu, kejayaan meraih pingat perak dianggap satu peningkatan dalam karier Sukan Asia bagi Jun Hoong selepas dia meraih gangsa 1m papan anjal individu di Guangzhou empat tahun lalu.

"Saya gembira berjaya meraih perak kerana ini pencapaian terbaik saya dalam Sukan Asia.

"Kami menjalani latihan yang sangat keras untuk menghadapi temasya ini, semua orang bekerja keras, termasuk jurulatih, jadi kami memang mahu pulang bersama pingat," ujar Jun Hoong, 24. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140930/su_01/Terjun-menang-2-pingat#ixzz3ElDI4Y5r
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Monday, 29 September 2014

SUKAN ASIA 2014 : Seluar rakan perempuan bawa tuah


Tan Wee Kiong (kiri) dan Goh V Shem diarahkan supaya menukar seluar mereka oleh pengadil sebelum mereka menewaskan Kenichi Hayakawa-Hiroyuki Endo di suku akhir acara badminton beregu Sukan Asia di Incheon semalam.

INCHEON - Walaupun melalui pengalaman paling pelik dalam karier mereka apabila terpaksa memakai seluar pemain wanita ketika beraksi, itu tidak menghalang Goh V Shem-Tan Wee Kiong melakar kejutan pada Sukan Asia XVII apabila menyingkirkan pilihan ketiga Kenichi Hayakawa-Hiroyuki Endo untuk melangkah ke separuh akhir badminton beregu lelaki semalam.

V Shem-Wee Kiong nyaris terpaksa memberi kemenangan percuma kepada Kenichi-Hiroyuki apabila pengadil mengarahkan mereka menukar pakaian kerana warna baju serta seluar yang dipakai sama dengan warna biru gelap pakaian pemain Jepun.

Selepas perlawanan tertangguh sebentar, pasangan negara kembali ke gelanggang dengan memakai seluar hitam yang dipinjam dari rakan sepasukan wanita. Insiden tersebut bagaimanapun tidak menganggu fokus V Shem-Wee Kiong, sebaliknya mereka mencatat kemenangan selesa 21-16, 21-16.

Di bawah peraturan badminton, pemain yang memiliki ranking lebih tinggi dibenarkan untuk memilih warna baju untuk dipakai dalam perlawanan.

"Kami terpaksa meminjam seluar daripada dua rakan wanita kerana pengadil tidak membenarkan kami meneruskan perlawanan selagi tidak menukar pakaian.

"Kami telah menghantar baju kuning ke dobi semalam dan saya tidak membawa baju. Saya tidak tahu pengadil begitu tegas.

"Selepas puas memberi penjelasan kepada pengadil, dia membenarkan kami menggunakan baju biru tetapi menyuruh kami menukar seluar. Kami bagaimanapun masih perlu mengemukakan laporan selepas tamat perlawanan," cerita Wee Kiong.

Kejayaan ke separuh akhir mengesahkan sekurang-kurangnya gangsa dalam genggaman, namun V Shem-Wee Kiong bertekad mendapatkan pingat lebih bernilai dengan melakar kejutan besar ke atas pilihan utama dari Korea Selatan, Lee Yong-Dae-Yoo Yeon-Seong hari ini.

Layak ke separuh akhir Sukan Asia merupakan pencapaian baik buat V Shem-Wee Kiong, yang mula digandingkan pada Piala Thomas Mei lalu. Kejayaan itu hadir tidak sampai sebulan selepas mereka muncul juara Sukan Komanwel.

Pasangan muda itu dianggap jelmaan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang merangkul pingat emas beregu lelaki pada Sukan Asia Doha 2006, tiga bulan selepas digandingkan.

Sementara itu langkah cemerlang Vivian Hoo-Woon Khe Wei tersangkut di separuh akhir apabila tumpas 16-21, 17-21 kepada pilihan utama dari Jepun, Ayaka Takahashi-Misaki Matsutomo. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140927/su_03/Seluar-rakan-perempuan-bawa-tuah#ixzz3EgdmQu7L  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN ASIA 2014 : Trio panah sejarah tersendiri


Khairul Anuar Mohamad mengetuai trio lelaki negara mara ke perlawanan akhir acara recurve selepas menumpaskan Jepun 5-1 semalam.- UTUSAN

INCHEON - Skuad memanah negara memahat sejarah tersendiri dalam penyertaan Sukan Asia apabila melangkah ke saingan akhir buat kali pertama dalam acara recurve berpasukan lelaki di Padang Memanah Gyeyang Asiad semalam.

Pasukan Malaysia yang diwakili Haziq Kamaruddin, Atiq Bazli Bakri dan Khairul Anuar Mohamad mara ke perlawanan akhir selepas menang 5-1 ke atas Jepun di separuh akhir semalam untuk menempah pertemuan dengan China esok.

Sekiranya trio Malaysia tersebut berjaya meraih pingat emas ia akan menjadi satu kejayaan dan kejutan paling besar buat negara.

Sebaliknya jika tewas sekali pun ia tetap satu sejarah buat skuad memanah kebangsaan kerana belum pernah mereka menghadiahkan pingat perak buat negara dari Sukan Asia sejak mula mengambil bahagian pada 2006.

Pemanah paling berpengalaman Khairul Anuar berkata, dia dan rakan-rakannya sudah bersedia untuk berhadapan China bagi merebut pingat emas pertama memanah.

"Pingat kini sudah pasti dalam genggaman kami namun kami tidak boleh berpuas hati dengan apa yang diraih sebaliknya harus cuba mendapatkan kejayaan dengan meraih pingat emas.

"China telah menewaskan Korea Selatan untuk melangkah ke saingan akhir sekali gus pencabar kami pada aksi akhir nanti adalah lawan yang bukan mudah untuk ditundukkan, bagaimanapun dalam sukan memanah tiada yang mustahil.

"Kami juga perlu mempamerkan aksi terbaik pasukan sewaktu menentang China sama seperti ketika kami menewaskan Jepun dalam separuh akhir," katanya.

Pencapaian terbaik skuad memanah negara pada Sukan Asia ialah melangkah ke saingan suku akhir pada temasya empat tahun lalu di Guangzhou, China. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140927/su_01/Trio-panah-sejarah-tersendiri#ixzz3EgaGCXj8  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN ASIA 2014 : Perak kedua boling 'cemaskan' Malaysia


(DARI kiri) Timmy Tan, Ridhwan Syafiq dan Zulmazran Zulkifli bergambar bersama pingat perak yang mereka menangi dalam acara boling trio lelaki di Gimnasium Anyang Hogye, Incheon semalam. - UTUSAN

INCHEON - Butang panik mungkin belum ditekan, namun tekanan semakin dirasai kontinjen Malaysia untuk memenuhi misi lapan pingat emas Sukan Asia XVII apabila boling masih gagal menyumbangkan emas selepas tamat acara trio lelaki dan wanita semalam.

Kegagalan beraksi cemerlang pada game terakhir menyaksikan trio lelaki menutup kempen di Gimnasium Anyang Hogye dengan sekadar membawa pulang pingat perak, iaitu perak kedua diraih boling selepas beregu wanita melakukannya Jumaat lalu.

Ketika mereka memerlukan 678 jatuhan pin pada game keenam dan terakhir untuk merangkul emas, Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Timmy Tan dan Zulmazran Zulkifli sebaliknya hanya mengumpul 597 pin untuk sekadar berpuas hati di tangga kedua.

Kombinasi itu kalah 80 pin kepada trio emas dari Jepun, Tomoyuki Sasaki, Shogo Wada dan Shusaku Asato yang mengumpul 3,881 jatuhan pin. Trio Korea Selatan, Kim Kyung Min, Park Jong Woo dan Choi Bo Keum meraih gangsa dengan 3,715 pin.

Boling, acara yang menjadi sandaran untuk mengutip sekurang-kurangnya dua emas belum memenuhi sasaran, namun peluang masih ada apabila saingan diteruskan dalam berpasukan lelaki dan wanita hari ini.

Malah, Sin Li Jane, yang menghadiahkan perak beregu wanita bersama Shalin Zulkifli mampu menghadirkan emas tidak diduga menerusi All-Events jika berjaya menunjukkan permainan konsisten dalam acara berpasukan kerana dia kini adalah pendahulu selepas mengumpul 3,901 pin, 25 pin di depan Lee Na-Young dari Korea.

Sementara itu pemain berpengalaman negara, Zulmazran mengakui, dia amat sedih kerana gagal mempamer aksi baik dalam saingan trio semalam.

"Saya gembira tapi pada masa sama saya sedih kerana gagal memenangi pingat emas. Saya tidak bermain dengan begitu baik hari ini tapi rakan-rakan saya lebih cemerlang.

"Mungkin pingat emas belum berjaya diraih lagi tapi kami harap dapat juga ditunaikan dalam acara lima sepasukan nanti," katanya.

Satu lagi trio negara Adrian Ang, Rafiq Ismail dan Alex Liew sekadar menghuni tangga ke-10 dengan 3,640 pin. Dalam trio wanita, pasukan negara juga gagal bertindak cemerlang apabila sekadar menghuni tempat keenam dan 16. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140929/su_06/Perak-kedua-boling-cemaskan-Malaysia#ixzz3EgDuL5OS  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN ASIA 2014 : Nicol tak kisah kritikan di laman sosial

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
sukan@utusan.com.my

NICOL David (empat dari kiri) dan rakan-rakan sepasukannya menunjukkan pingat emas yang dimenangi mereka di Sukan Asia kepada peminat yang berada di KLIA, Sepang semalam. - UTUSAN/Kamal Basir Wahab

SEPANG - Datuk Nicol David tidak begitu peduli dengan kritikan yang merendah-rendahkan pencapaian pemain-pemain skuasy negara yang membawa pulang dua pingat emas dari Sukan Asia di Incheon.

Pemain nombor satu dunia itu mengakui dia tidak begitu bernasib baik kerana tidak berpeluang beraksi di pentas Sukan Olimpik meskipun sudah meraih pelbagai gelaran di pentas antarabangsa termasuk muncul juara Kejohanan Terbuka Dunia sebanyak tujuh kali.

"Sangat tidak bernasib baik kerana skuasy tidak dipertandingkan di Sukan Olimpik tetapi saya fikir sukan ini akan dipertandingkan suatu hari nanti," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini semalam.

Nicol berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan di laman sosial milik Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang mempertikaikan kemenangannya di Incheon kerana sukan tersebut tidak dipertandingkan di Sukan Olimpik.

Nicol memecahkan rekod dalam kariernya yang gemilang apabila muncul atlet Malaysia paling cemerlang dalam sejarah Sukan Asia apabila merangkul pingat emas kelima dalam acara perseorangan wanita dan menambah satu lagi koleksi pingat emas menerusi acara berpasukan wanita.

Dia menyifatkan pasukan negara berjaya beraksi dengan baik selepas menyumbang dua pingat emas (perseorangan wanita, berpasukan wanita), dua pingat perak (perseorangan wanita, berpasukan lelaki) dan satu pingat gangsa (perseorangan lelaki) sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Secara keseluruhan pasukan negara berjaya beraksi dengan baik selain Wee Wern (Low Wee Wern) berjaya menyumbang pingat perak pertama untuk negara dalam acara perseorangan wanita," katanya.

Sementara itu, pemenang gangsa perseorangan lelaki Ong Beng Hee berkata, pemilihan sukan untuk dipertandingkan di Sukan Olimpik terletak di tangan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan persatuan sukan serta pemain hanya mampu melobi agar skuasy dapat dipertandingkan pada masa akan datang.

Katanya, memang sesuatu yang sangat mengecewakan apabila seseorang atlet itu tidak dapat beraksi di Sukan Olimpik kerana ia merupakan kejohanan sukan terulung di dunia.

"Bukan pilihan kami untuk tidak bermain kerana IOC yang menentukan sukan yang akan dipertandingkan tetapi saya berharap skuasy akan diberi peluang untuk bertanding di Sukan Olimpik 2020.

"Buat masa ini, para pemain perlu beraksi dengan baik selain menjaga sikap semasa di dalam dan di luar gelanggang serta menjaga nama baik sukan ini.

"Seperti Nicol, saya dan Azlan (Mohd. Azlan Iskandar) memang berharap untuk beraksi di Sukan Olimpik. Sekurang-kurangnya jika sukan ini dipertandingkan pada masa akan datang pemain generasi baharu berpeluang untuk bermain di sana," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140929/su_03/Nicol-tak-kisah-kritikan-di-laman-sosial#ixzz3Eg7AvbFA  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN ASIA 2014 : Memanah recurve raih perak akur kepada China


KHAIRUL Anuar Mohamad membuat panahan sambil diperhatikan oleh Atiq Bazil Bakri (kiri) dan Haziq Kamaruddin ketika menentang China dalam perlawanan akhir acara recurve berpasukan di Lapangan Memanah Gyeyang Asiad, Incheon semalam. - UTUSAN

INCHEON - Skuad memanah negara mengukir sejarah tersendiri di bumi Korea Selatan biarpun sekadar meraih pingat perak dalam acara akhir recurve berpasukan lelaki di Padang Memanah Gyeyang Asiad, semalam.

Pingat perak tersebut adalah yang pertama diraih skuad memanah sejak mula menyertai Sukan Asia pada 2006 di Doha dan pencapaian terbaik sebelum ini adalah melangkah ke saingan suku akhir temasya sama empat tahun lalu.

Pada saingan akhir itu, Malaysia yang diwakili trio Atiq Bazli Bakri, Haziq Kamaruddin dan Khairul Anuar Mohamad tewas 0-6 kepada China yang memenangi pingat emas manakala gangsa milik Korea Selatan.

Menurut Khairul Anuar, pasukan China terlalu hebat untuk ditundukkan dan mereka berpuas hati dengan pencapaian pingat perak, tambahan pula berupaya mengatasai sasaran separuh akhir.

"Ini adalah bukti peningkatan kami dari semasa ke semasa dan saya berpendapat pengalaman banyak membantu saya dan pasukan ini mencapai kejayaan.

"Secara keseluruhannya sepanjang saingan hari ini (semalam) kami telah beraksi dengan baik dan mempraktikkan semua yang telah dirancang sewaktu latihan dengan baik," katanya kepada pemberita selepas tamat saingan akhir di sini semalam.

Pada perlawanan akhir tersebut, trio Malaysia gagal untuk mendapatkan dua mata penuh dalam semua tiga set perlawanan kerana tidak dapat mengatasi skor diraih China.

Dalam set pertama trio negara hanya dapat mengumpul 54 mata, 53 pada set kedua dan 57 skor di set ketiga.

Sementara China tidak menghadapi masalah untuk mengekalkan skor yang tinggi sewaktu set pertama hingga ketiga iaitu 57, 57 dan 58. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140929/su_02/Memanah-recurve-raih-perak-akur-kepada-China#ixzz3Eg61nDYy  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN ASIA 2014 : Tutup karier tanpa emas


LEE Chong Wei (kanan) mengucapkan tahniah kepada Lin Dan selepas tewas dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Gyeyang, Incheon semalam. - UTUSAN

INCHEON - Datuk Lee Chong Wei bermula dengan meyakinkan, menang mudah di set kedua, namun pada akhirnya terpaksa menerima hakikat, Lin Dan terlalu bagus buatnya dan entah kali keberapa dia gagal lagi merangkul kejuaraan utama badminton.

Kekalahan terbaharu ini menyebabkan Chong Wei menutup kariernya dalam sejarah Sukan Asia tanpa pingat emas selepas tiga kali mencuba sejak meraih gangsa dalam penampilan sulung di Doha 2006, diikuti perak di Guangzhou empat tahun lalu.

Chong Wei berpeluang menamatkan saingan separuh akhir perseorangan lelaki Sukan Asia XVII semalam sebagai pemenang, malah mendahului 20-16 di set pertama. Tetapi dia kemudian hilang fokus, kurang berani mencuba serta gagal menyaingi kekuatan mental Lin Dan menyebabkan pemain No. 1 dunia itu tunduk 20-22, 21-12, 9-21.

Sejurus tamat permainan, Chong Wei, yang tumpas buat kali ke-23 daripada 32 pertemuan dengan bintang China itu, mengakui permainan lawannya masih bagus, biarpun jarang beraksi di pentas antarabangsa.

Malah, Chong Wei juga terpaksa akur tumpas kepada lawan yang sama dalam enam percubaan merangkul kejuaraan utama - dua dalam final Sukan Olimpik (2008, 2012), dua dalam final Kejohanan Dunia (2011, 2013) dan dua kali dalam Sukan Asia iaitu final 2010 serta separuh akhir kali ini.

"Saya kena terima kekalahan ini dan terima bahawa saya gagal meraih pingat emas Sukan Asia kerana ini adalah penampilan terakhir saya.

"Apa yang akan saya lakukan selepas ini...pulang berehat, kaji semula permainan saya dan kembali ke gelanggang pertandingan.

"Set pertama memang rugi. Saya sudah mendahului 20-16 tetapi melepaskan enam mata kepada Lin Dan kerana terlalu ingin menamatkan permainan dengan cepat. Bila mata menjadi rapat, saya mula hilang fokus.

"Di set ketiga apa yang berlaku...saya tidak boleh ikut permainan dia. Lin Dan main dengan keyakinan yang amat tinggi, dan bila dia mendahului 7-2 sudah terlalu sukar untuk saya kejar," katanya.

Chong Wei yang bakal menyambut ulang tahun ke-32 pada 21 Oktober ini turut mengakui, permainan Lin Dan masih bagus walaupun juara dunia lima kali itu tidak lagi berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

"Kalau tengok keadaan dia hari ini...dia masih ada kepantasan dan mampu menyerang dengan bagus. Dia bukan tidak bermain langsung dalam kejohanan, jadi sentuhan dia masih ada," ujarnya lagi.

Sementara itu Lin Dan, 31, pula berkata, dia tidak tahu apa yang membezakan dirinya dengan Chong Wei hingga menyaksikan perjalanan karier kedua-dua mereka amat berbeza, yang mana musuh tradisinya itu tidak pernah berjaya merangkul sebarang kejuaraan utama.

"Saya tidak tahu mengapa (Chong Wei sering gagal). Saya hanya boleh cakap tentang diri saya, mengapa sehingga sekarang saya boleh mencatat kemenangan.

"Saya amat bernasib baik kerana mempunyai sokongan yang kuat di China. Saya ada barisan jurulatih terbaik, saya ada rakan-rakan sepasukan dan sepelatih terbaik, jadi itu memang banyak membantu," ujar penyandang juara itu lagi.

Lin Dan akan berdepan rakan senegaranya yang juga juara dunia, Chen Long dalam perebutan pingat emas hari ini. Chen Long mara ke final selepas menyingkirkan pemain Hong Kong, Wei Nan 21-6, 21-10. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140929/su_01/Tutup-karier-tanpa-emas#ixzz3Eg4fWegx
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Friday, 26 September 2014

SUKAN ASIA 2014 : Arul gembira persembahan skuad


PEMAIN Malaysia, Muhammad Shahril Saabah terjatuh setelah diasak oleh pemain Korea Selatan, Jang Jong-Yun (kanan) dalam perlawanan di Stadium Seonhak semalam. Korea Selatan menang 2-1. - AFP

INCHEON - Biarpun tewas 2-1 kepada Korea Selatan namun skuad hoki lelaki negara tetap tidak memberikan laluan mudah kepada tuan rumah dalam saingan peringkat Kumpulan A di Stadium Seonhak semalam.

Jurulatih Arul Selvaraj berkata, sekiranya anak-anak buahnya terus mengekalkan prestasi sama maka mereka tiada masalah untuk meraih kemenangan dalam aksi menentang Jepun pada Sabtu ini.

"Saya gembira dengan persembahan pemain dan mereka mempamerkan peningkatan positif sejak perlawanan pertama.

"Sewaktu perlawanan tadi kami mengawal perlawanan dengan cukup baik sebelum gol pertama Korea Selatan diraih," katanya.

Jaringan tuan rumah hanya mampu diraih menerusi pukulan sudut penalti, kedua-duanya oleh Nam Hyun-Woo pada minit ke-24 dan 43, selepas gagal menembusi pertahanan skuad negara untuk mendapatkan gol padang.

Malaysia cuba mencari gol menerusi beberapa serangan balas pantas pemain penyerang.

Kerja keras pasukan akhirnya membolehkan Malaysia meraih gol pada minit ke-59 menerusi Muhammad Marhan Mohd. Jalil.

Sementara itu, Hyun-Woo mengakui pasukannya terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan kemenangan kerana pertahanan Malaysia terlalu sukar dibolosi.

"Kami telah diberikan cabaran sengit oleh pasukan lawan dan pada awal perlawanan semua yang kami rancang tidak menjadi," katanya. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140926/su_05/Arul-gembira-persembahan-skuad#ixzz3EP8zSFZ6  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN ASIA 2014 : Chong Wei umum Sukan Asia terakhir


Lee Chong Wei

INCHEON - Jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei akan melakukan apa saja untuk cuba mendapatkan kejuaraan pertama pada Sukan Asia selepas mengesahkan dia tidak akan beraksi lagi dalam temasya sukan terbesar di Asia itu.

Sejurus melangkah ke pusingan ketiga dengan menundukkan Umer Zeeshan dari Pakistan 21-14, 21-16 di Gimnasium Gyeyang semalam, Chong Wei mengumumkan selepas tiga kali beraksi di Sukan Asia sudah tiba masanya dia mengucapkan selamat tinggal.

"Saya tidak mungkin mampu bermain lagi empat tahun dari sekarang, umur saya sudah banyak ketika itu.

"Ini adalah Sukan Asia terakhir buat saya. Saya akan memberikan segalanya untuk cuba mencari keputusan terbaik," kata jaguh No. 1 dunia itu yang akan bertemu wakil India, Parupalli Kashyap di pusingan ketiga.

Chong Wei, yang bakal menyambut ulang tahun ke-32 pada 21 Oktober ini, sekadar meraih gangsa dalam penampilan sulung Sukan Asia di Doha 2006, sebelum meraih perak di Guangzhou 2010.

Rakan sepasukannya Chong Wei Feng gagal menyaingi kehebatan juara dunia Chen Long dari China apabila tewas mudah 7-21, 13-21.

Sementara itu, Goh V Shem-Lim Khim Wah terus menjadi sandaran Malaysia untuk memburu pingat dalam acara beregu lelaki apabila melangkah ke suku akhir dengan menyingkirkan pasangan Thailand, Wannawat Ampunsuwan-Patiphat Chalardchalaem 21-19, 15-21, 21-15.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel itu bakal berdepan cabaran getir pilihan ketiga dari Jepun, Kenichi Hayakawa-Hiroyuki Endo dalam usaha mencari tiket separuh akhir.

"Lawan kami esok lebih sukar. Pasangan Jepun sangat kuat dan berpengalaman, jadi kami kena beri yang lebih baik daripada hari ini jika mahu menang.

"Menggalas tugas sebagai beregu lelaki tunggal melayakkan diri ke suku akhir tidak memberi tekanan atau banyak perbezaan, kami hanya cuba memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan," kata V Shem. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140926/su_04/Chong-Wei-umum-Sukan-Asia-terakhir#ixzz3EP7QO06M  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN ASIA 2014 : Kesal tak dapat bantu Azizul


BERKONGSI KEMANISAN... Josiah Ng berkongsi kegembiraan bersama isterinya Kim Ong Suan selepas meraih pingat gangsa Sukan Asia menerusi acara keirin lelaki di Velodrom Antarabangsa Incheon semalam. - BERNAMA

INCHEON - Pelumba berbasikal trek negara, Josiah Ng menganggap pingat gangsa yang dimenangi dalam acara akhir keirin individu di Sukan Asia semalam diraih penuh emosi dan kontroversi.

Josiah yang meraih pingat itu selepas kemenangan tempat kedua rakan senegara Mohd. Azizulhasni Awang dibatalkan berkata, nasib tidak menyebelahinya untuk mendapatkan keputusan lebih baik dalam saingan akhir tersebut.

Katanya, dia telah cuba sedaya upaya untuk membantu Azizulhani berada di kedudukan terbaik namun cabaran diberikan oleh dua pelumba Jepun menyebabkan mereka terpaksa berpecah hingga ke garisan penamat.

"Pada perlumbaan tersebut cabaran berlaku antara kami (Malaysia) dengan pelumba dari Jepun namun apabila tiba di garisan penamat pelumba Iran memintas kedudukan kami.

"Inilah yang berlaku dalam perlumbaan apabila anda sedang bersaing akan ada pelumba lain yang mengambil kesempatan memintas kerana tidak diawasi dengan baik," katanya.

Dia seterusnya mengumumkan ini adalah penyertaan terakhirnya dalam Sukan Asia kerana memikirkan faktor usianya.

"Saya kini tidak lagi berada pada prestasi terbaik iaitu sebelum saya mengalami kemalangan dan apa yang saya pamerkan ketika ini tidak mencapai tahap tertinggi saya.

"Selepas ini saya mahu berehat dan bercuti bersama keluarga sebelum kembali menyertai latihan bersama skuad kebangsaan di Melbourne," katanya. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140926/su_03/Kesal-tak-dapat-bantu-Azizul#ixzz3EP5rBT3x  © Utusan Melayu (M) Bhd


SUKAN ASIA 2014 : Pingat Azizul kena tarik


Mohd. Azizulhasni Awang (dua dari kanan) memimpin perlumbaan diikuti oleh Kazunari Watanabe (kanan), Mohammad Daneshvarkhourram dan Josiah Ng (belakang) dalam acara keirin akhir di Velodrom Antarabangsa Incheon. - UTUSAN

INCHEON - Semalam adalah hari paling malang buat jaguh berbasikal negara, Mohd. Azizulhasni Awang apabila tempat kedua yang sepatutnya diraih dalam acara akhir keirin lelaki individu dibatalkan selepas tamat perlumbaan di Velodrom Antarabangsa Incheon.

Tempat kedua yang dimenangi Azizulhasni dibatalkan atas alasan dia telah menghalang laluan pelumba lain ketika menuju ke garisan penamat.

Pembatalan keputusan itu menyebabkan berlaku perubahan untuk kedudukan pelumba kedua dan ketiga yang menyaksikan seorang lagi pelumba negara Josiah Ng meraih pingat gangsa manakala pingat perak milik pelumba Jepun, Kazunari Watanabe.

Pingat emas acara tersebut dimenangi pelumba Iran, Mohammad Daneshvarkhourram.

Pembatalan keputusan Azizulhasni itu menyebabkan pelumba tersebut terlepas sasaran untuk mengekalkan pingat emas dalam acara keirin yang diraih pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou.

Katanya, dia akur dengan hukuman tersebut walaupun berpendapat keputusan itu tidak adil buatnya.

"Dalam perlumbaan tersebut berlaku persaingan antara saya dengan Watanabe dan pihak komisar telah melihat rakaman video dan mendapati saya serta pelumba Jepun tersebut bersalah dan perlu dibatalkan penyertaan.

"Bagaimanapun, selepas perkara tersebut dirujuk kepada ketua komisar lain pula jadinya dan keputusan lain dikeluarkan iaitu hanya saya sahaja disingkirkan.

"Bagi saya memang tidak adil tetapi jurulatih telah menasihatkan saya agar menerima keputusan tersebut kerana telah diputuskan oleh ketua komisar," katanya kepada pemberita selepas tamat perlumbaan semalam.

Katanya lagi, dia mahu berehat dan tidak mahu terlalu memikirkan keputusan pada Sukan Asia kali ini.

"Saya akan berehat bersama keluarga selepas menjalani persiapan yang amat panjang untuk Sukan Asia.

"Selepas ini juga saya akan cuba untuk mendapatkan jumlah mata yang lebih baik pada kejohanan Piala Dunia bulan November ini bagi mendapatkan tempat ke Sukan Olimpik 2016," katanya.

Sementara itu, dalam saingan akhir pecut individu wanita menyaksikan pelumba negara, Fatehah Mustapa hanya mampu menamatkan saingan di tempat keempat selepas tewas 0-2 kepada Lin Junhong dari China. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140926/su_02/Pingat-Azizul-kena-tarik#ixzz3EP4GOI3D
© Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN ASIA 2014 : Vivian, Khe Wei pahat sejarah


Woon Khee Wei (kiri) dan Vivian Khoo melompat untuk membalas pukulan beregu Macau dalam perlawanan suku akhir di Gimnasium Gyeyang, Incheon semalam. - UTUSAN

INCHEON - "Apa... sudah 44 tahun Malaysia tidak pernah menang pingat beregu wanita? Wow... sangat lama, saya tidak tahu hendak kata apa."

Itu reaksi spontan Vivian Hoo-Woon Khe Wei sejurus diberitahu mereka melakar sejarah muncul pasangan badminton wanita pertama Malaysia meraih pingat pada Sukan Asia selepas 44 tahun dengan melangkah ke separuh akhir semalam.

Kejayaan menempatkan diri di peringkat empat terbaik mengesahkan sekurang-kurangnya gangsa dalam genggaman, namun juara Sukan Komanwel Glasgow itu mampu menghadiahkan pingat lebih baik sekiranya berjaya memenangi saingan separuh akhir hari ini.

Semalam, Vivian-Khe Wei beraksi dalam keadaan cukup tegang sebelum menumpaskan pasangan Macau, Wang Rong-Zhang Zhibo 21-15, 19-21, 21-19 dalam pertarungan suku akhir yang berlangsung selama 55 minit di Gimnasium Gyeyang.

Kemenangan tersebut membolehkan juara Sukan SEA 2013 itu menjadi penyumbang pingat pertama negara dalam beregu wanita sejak kali terakhir Rosalind Ang-Teoh Siew Yong melakukannya di Bangkok pada 1970 apabila meraih gangsa.

"Saya tidak tahu bahawa kita sudah terlalu lama tidak memenangi pingat dalam acara beregu wanita pada Sukan Asia, malah tidak memikirkan tentangnya ketika datang ke sini.

"Saya sangat gembira berjaya mencipta satu lagi sejarah buat Malaysia, namun cabaran kami belum berakhir kerana masih ada perlawanan yang perlu diharungi esok," kata Khe Wei pula.

Vivian, 24, mengakui, selepas mengejutkan pasangan handalan China, Yu Yang-Wang Xiaoli 17-21, 21-11, 22-20 kelmarin, mereka memberi tekanan berlebihan kepada diri sendiri apabila berdepan beregu Macau kerana terlalu ingin mencari tiket ke separuh akhir.

Kata Vivian, biarpun keyakinannya dan Khe Wei semakin meningkat selepas mengalahkan bekas juara dunia, Yu Yang-Xiaoli di pusingan kedua, namun pertemuan dengan pilihan utama dari Jepun, Ayaka Takahashi-Misaki Matsumoto hari ini adalah situasi yang sama sekali berbeza.Sementara itu, cabaran Malaysia dalam perseorangan wanita berakhir selepas pemain remaja berusia 19 tahun, Yang Li Lian tewas 16-21, 13-21 kepada pemain tuan rumah, Sung Ji-Hyun.

Dua beregu campuran negara, Chang Peng Soon-Ng Hui Lin dan Lim Khim Wah-Lim Yin Loo juga tersingkir awal.

Peng Soon-Hui Lin tumpas 15-21, 21-6, 15-21 kepada beregu Singapura, Danny Bawa Chrisnata-Vanessa Neo, manakala Khim Wah-Yin Loo ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan Taiwan, Chen Hung Ling-Cheng Wen Hsing setelah tumpas 19-21, 19-21. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140926/su_01/Vivian-Khe-Wei-pahat-sejarah#ixzz3EO2Z4Vq8  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Thursday, 25 September 2014

SUKAN ASIA 2014 : Zulmazran kempunan pingat boling


Zulmazran Zulkifli

INCHEON - Harapan untuk melihat kilauan pingat Sukan Asia negara diraih di gelanggang bo-ling tidak kesampaian biarpun Zulmazran Zulkifli menggungguli saingan blok pertama acara perseorangan lelaki di Gimnasium Anyang Hogye semalam.

Zulmazran pada awalnya dilihat mampu menambah koleksi pingat kontinjen negara selepas menamatkan blok pertama di kedudukan teratas dengan 1,298 jatuhan pin.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Zulmazran apabila dia dipintas oleh dua atlet dari Thailand dan seorang pemain China yang beraksi pada blok kedua di sebelah petang, menyebabkan dia merosot ke tempat keempat keseluruhan.

"Keputusan itu sangat menya-kitkan bagi saya terutama apabila anda tidak dapat untuk berbuat apa-apa ketika pemain di blok kedua meraih jumlah jatuhan pin yang tinggi.

"Saya juga tidak menjangka Thailand akan memenanginya dan ini satu kejutan namun bagi saya siapa pun yang meraih pingat dia adalah seorang yang hebat," katanya kepada pemberita selepas tamat persaingan semalam.

Pingat emas dimenangi oleh Yannaphon Larp Apharat dari Thailand yang meraih 1,319 jatuhan pin dan pingat perak milik Du Jianchao dari China yang membuat 1,300 jatuhan pin.

Rakan senegara Yannaphon, Sithiphol Kunaksorn pulang dengan pingat gangsa selepas mengumpul 1,299 jatuhan pin, satu mata mengatasi Zulmazran.

Sementara itu, Zulmazran memberitahu ini adalah keputusan terbaik pernah diraihnya dalam acara perseorangan lelaki dan berharap mampu meneruskan kecemerlangan dalam acara berpasukan.

"Setakat ini saya masih lagi berpuas hati dengan prestasi semasa kerana jika dilihat aksi saya dalam Sukan Asia sebelum ini agak kurang memberansangkan terutama dalam acara perseorangan namun kali ini nampak peningkatan positif.

"Selepas ini saya harap berpasukan lelaki dapat mempertahankan pingat emas berpasukan kerana seperti yang semua tahu Malaysia amat hebat dalam acara itu," kata Zulmazran. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140924/su_08/Zulmazran-kempunan-pingat-boling#ixzz3EI8t66Fp  © Utusan Melayu (M) Bhd