Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 28 February 2014

Mat Yo didenda RM5,000


Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my




Norshahrul Idlan Talaha (dua dari kanan) mula menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya di Petaling Jaya, semalam setelah melapor diri kelmarin. - UTUSAN/Nasirruddin Yazid

PETALING JAYA - Penyerang kontroversi, Norshahrul Idlan Talaha bakal didenda RM5,000 atas kelewatannya melapor diri untuk menjalani latihan bersama Harimau Malaya selepas seminggu enggan menyahut panggilan skuad kebangsaan atas alasan peribadi.

Norshahrul atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Yo mula menyertai kem skuad kebangsaan menjalani latihan di padang Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya semalam selepas mengambil keputusan untuk menangguhkan urusan umrah yang dijadualkan pada 3 Mac ini.

Pengurus skuad kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, denda tersebut dikenakan sebagai pengajaran buat pemain lain agar perkara sama tidak berulang selagi tidak melibatkan sesuatu yang mustahak.

Kata Subahan, penyerang skuad Johor Darul Ta’zim itu juga telah memohon maaf dan berjumpa dengan pemain lain serta mengakui semua yang berlaku berpunca daripada kesilapannya sendiri.

“Kami kenakan denda RM5,000 sebagai satu pengajaran kerana tidak mahu menghancurkan masa depan pemain dan itu denda yang telah diputuskan oleh pengurusan.

“Bagi saya pemain perlu peka dengan tarikh permainan yang bakal berlangsung dan jika ada pemain yang dipanggil tidak mahu bersama pasukan kebangsaan mungkin selepas ini tiada lagi nama mereka akan disenaraikan," katanya kepada pemberita sewaktu sesi latihan skuad kebangsaan semalam.

Sementara itu, Subahan turut berharap pemain yang ada dapat terus kekal fokus untuk mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan persahabatan menentang Filipina, esok.

“Saya harap semua pihak dapat memberikan sokongan padu dan pemain perlu komited selain jangan mencari isu-isu kontroversi.

“Dalam masa sama juga saya berharap isu berkaitan Mat Yo tidak disensasikan kerana kami perlukan khidmat pemain itu bukan hanya untuk perlawanan menentang Yemen tetapi turut melibatkan aksi persahabatan sebegini (menentang Filipina Sabtu ini)," kata Subahan.

Perlawanan dengan Filipina adalah ujian terakhir skuad negara sebelum menentang Yemen dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2015 di Abu Dhabi.

Sementara itu, jurulatih Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee berkata, perlawanan menentang Filipina dianggap penting biarpun sekadar perlawanan persahabatan kerana akan menjadi medan untuk menilai kombinasi pemain yang akan digunakan untuk aksi bertemu Yemen.

“Saya harapkan yang terbaik buat semua pemain yang ada dan pemain perlu mempamerkan kelainan daripada corak permainan sebelum ini dengan segala taktikal yang saya gunakan.

“Latihan ini lebih tertumpu kepada beberapa unit penting dalam pasukan berkaitan serangan dan bertahan," kata Kim Swee.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140228/su_01/Mat-Yo-didenda-RM5000#ixzz2uaHyS4GC  © Utusan Melayu (M) Bhd


Anwar fail permohonan kali ketiga mohon Muhammad Shafee digugurkan






PUTRAJAYA 27 Feb. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan kali ketiga menggugurkan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes liwat melibatkan dirinya dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Permohonan tersebut akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 3 Mac ini, setelah Anwar gagal dalam dua permohonannya sebelum ini untuk menggugurkan Muhammad Shafee di mahkamah tersebut mahupun di Mahkamah Persekutuan.

Permohonan terbaharu itu difailkan pada 25 Februari lalu, iaitu tiga hari sebelum pengurusan kes rayuan  pihak pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang dijadualkan di Mahkamah Rayuan esok.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan pihaknya menerima permohonan terbaharu itu semalam.

Kali ini, alasan yang digunakan Anwar ialah Muhammad Shafee pernah didenda RM5,000 oleh Majlis Peguam selepas didapati melanggar peruntukan di bawah Profesion Undang-Undang (Publisiti) 2001 oleh Badan Disiplin Peguam Bela dan Peguam Cara pada 5 Oktober 2012.

Pada 10 Januari lalu, Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) menolak untuk mencampuri keputusan Majlis Peguam terhadap Muhammad Shafee yang didenda kerana memberi publisiti tentang dirinya dan firma guaman beliau kira-kira empat tahun lalu.

Muhammad Shafee memfailkan permohonan itu pada 16 November 2012 untuk mengetepikan keputusan badan tersebut yang mendenda beliau setelah didakwa terlibat dengan salah laku yang melanggar beberapa peruntukan di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976.

Dua percubaan Anwar untuk menggugurkan Muhammad Shafee daripada mengetuai pihak pendakwaan dalam rayuan kes liwatnya sebelum ini telah ditolak sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

Pada 12 Februari lalu, rayuan kes terbabit sepatutnya didengar di Mahkamah Rayuan namun sebelum sempat ia berlaku, Anwar melalui peguamnya Karpal Singh telah mengemukakan permohonan untuk memanggil semula bekas pegawai penyiasat kes liwat terbabit, Supritendan Judy Blacious Pereira.

Permohonan tersebut dibuat untuk mencabar kredibiliti saksi pendakwaan itu berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Januari lalu yang membatalkan petisyen Judy untuk menjadi peguam bela dan peguam cara.

Rayuan kes liwat itu telah ditangguhkan sebanyak tiga kali sejak Disember 2013.

Perbicaraan kes kes liwat itu sendiri pernah tertangguh lebih 55 kali sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan untuk melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan terbabit pada 9 Januari 2012.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140228/ma_02/Anwar-fail-permohonan-kali-ketiga-mohon-Muhammad-Shafee-digugurkan#ixzz2uaE22G8F  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Bidas tuduhan 'Myanmar' undi di Kajang


ITU CINA YANG TAK TAHU CAKAP BAHASA MELAYU TU WARGANEGARA KE? ADA YANG MENGUNDI DI KAJANG TU.


Kiri Wan Junaidi, Tian Chua

PUTRAJAYA 27 Feb. - Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan portal-portal pembangkang didakwa sengaja menimbulkan kekeliruan dengan memainkan isu kononnya warga asing akan mengundi di Kajang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, selain Tian Chua yang membangkitkan isu tersebut dalam akaun Facebook miliknya, blog Milo Suam turut melakukan pembohongan sama.

Menurutnya, portal www.selangorkini.com.my dalam artikelnya melaporkan '40,000 Warga Myanmar Bersiap Sedia Mengundi di DUN Kajang', The Malaysian Insider 'Pusat Pelindungan Pelarian di Kajang Cetus Kejutan' dan Presiden Solidiriti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham memainkan isu 'Kajang Sudah Jadi Yangoon'.

Tegas beliau, semua laporan tersebut sengaja ditimbulkan bagi mewujudkan salah faham demi kepentingan pembangkang ekoran Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang akan berlangsung tidak lama lagi.

"Sebenarnya, apa yang berlaku pada 21 Februari lalu, pukul 8 pagi hingga 3 petang, bertempat di pejabat Pertubuhan Kebajikan Pelindungan Pelarian (POR) di no. 94, 95 dan 96 di Jalan Bukit, Taman Bukit, Kajang, telah berlangsung pendaftaran bagi pelarian Myanmar dan Sri Lanka.

"Pendaftaran tersebut telah dilakukan selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Februari lalu dan akan diteruskan dari semasa ke semasa oleh penyelaras POR, R. Ravindran," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen kepada 928 penerima, di sini hari ini.

Wan Junaidi menjelaskan, POR bertujuan mendaftarkan warga Myanmar dan Sri Lanka atas platform sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Negeri Selangor sejak 24 Julai tahun lalu.

POR yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) bergiat cergas dalam aktiviti pendaftaran warga Myanmar dan Sri Lanka untuk didaftarkan bagi mendapatkan status pelarian selepas ditemuduga oleh UNHCR.

POR turut mengendalikan rumah pelindungan kepada pelarian yang memerlukan bantuan selain membantu Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen dan UNHCR memperoleh statistik serta butir-butir peribadi para pelarian.

"Pada 21 Februari lalu 2,000 orang warga Myanmar dan Sri Lanka dari seluruh negara datang ke pejabat POR namun siasatan mendapati mereka menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya pendaftaran akan ditutup.

"Pihak POR telah menafikannya dan mengesyaki ada pihak yang sengaja mencetuskan suasana panik sehingga ramai warga asing dari kedua-dua negara itu datang ke Kajang," ujar beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140228/po_02/Bidas-tuduhan-Myanmar-undi-di-Kajang#ixzz2ua5P3rYS  © Utusan Melayu (M) Bhd 



KOMEN : TAK HABIS-HABIS CINA RASIS NI BUAT FITNAH... INILAH CINA YANG UMNO MAAFKAN... 

Thursday 27 February 2014

Mat Yo batal pergi umrah






NORSHAHRUL Idlan Talaha membuat kejutan dengan kembali menyertai sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

KUALA LUMPUR - Selepas seminggu mengejutkan peminat bola sepak tempatan dengan enggan menyertai latihan skuad Harimau Malaya atas alasan peribadi, Norshahrul Idlan Talaha membuat satu lagi kejutan apabila kembali melaporkan diri di Wisma FAM, semalam.

Kemunculan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut mengejutkan pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee,.

Menurut Kim Swee, beliau dan pengurus, Datuk Seri Subahan Kamal hanya menerima panggilan pada waktu tengah hari yang menyatakan penyerang kebangsaan itu mahu kembali menyertai latihan.

Malah, pemain berusia 27 tahun itu sanggup membatalkan urusan pemergian ke umrah yang dijadualkan pada 3 Mac ini, sekali gus membuka ruang kepada Kim Swee menggunakan khidmatnya mengepalai jentera serangan negara pada aksi persahabatan menentang Filipina, 1 Mac.

Norshahrul juga boleh beraksi pada kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen pada 5 Mac.

"Saya baru mendapat panggilan pada waktu tengah hari ini dan selepas berbincang dengan Subahan, kami menerima alasan yang dikemukakan oleh Norshahrul.

"Apa jua alasannya, saya tidak boleh dedahkan kerana terlalu peribadi, namun pada sesi latihan petang ini, dia nampak begitu fokus kerana segala masalahnya telah diselesaikan, " kata Kim Swee ketika dihubungi, semalam.

Kehadiran Norshahrul atau Mat Yo pasti memberi kelegaan kepada Kim Swee setelah meratapi kehilangan Azamuddin Mohd. Akil yang diketepikan kerana kecederaan di pergelangan kaki kanan.

"Apa yang pasti dengan adanya Mat Yo, saya berasa cukup gembira kerana semua orang tahu kehebatan yang dia ada dan memberikan saya banyak pilihan di barisan hadapan selain adanya Safee Sali, Amri Yahyah, Fakri Saarani dan Bobby Gonzales.

"Saya telah maafkan apa yang dia lakukan dan ini masanya dia balas peluang kedua yang saya berikan, saya harap dia tidak menghampakan harapan semua pihak termasuk peminat, " katanya.

Sebelum ini, Mat Yo mengambil keputusan untuk tidak menyertai skuad kebangsaan atas alasan misteri dan tidak mahu didedahkan kepada umum sehingga membuat Kim Swee berasa berang.

Malah, Kim Swee mengakui beliau ada terfikir kemungkinan besar tidak akan memanggil Mat Yo selagi masih bergelar jurulatih Harimau Malaya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140227/su_02/Mat-Yo-batal-pergi-umrah#ixzz2uUSsKzQs  © Utusan Melayu (M) Bhd 

Kerajaan Selangor ambil alih 4 syarikat konsesi air






PUTRAJAYA 26 Feb. - Kerajaan Selangor akan mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri itu yang melibatkan kos berjumlah RM9.65 bilion berikutan penstrukturan semula industri bekalan air di negeri berkenaan.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pengambilalihan tersebut dilakukan secara pemilikan ekuiti dan akan dilaksanakan oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Beliau berkata, tawaran mengenai pengambilalihan itu akan bermula hari ini dan prosesnya pula berlangsung selama dua minggu.

"Secara ringkas dan dipersetujui oleh kerajaan Persekutuan, KDEB akan ditugaskan untuk melaksanakan penyusunan semula ini dengan menawarkan kepada pemilik-pemilik konsesi sejumlah RM9.65 bilion sebagai pampasan kepada penyusunan semula tersebut.

"Kita jangka tawaran pengambilalihan ini akan selesai dalam tempoh tiga bulan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili selepas menandatangani memorandum persefahaman penstrukturan semula industri bekalan air Selangor di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Empat syarikat konsesi air di Selangor yang terlibat dengan proses tersebut adalah Puncak Niaga Sdn. Bhd., Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd., Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash) dan Konsortium ABASS Sdn. Bhd.

Abdul Khalid berkata, kesemua syarikat itu akan diletakkan di bawah sebuah anak syarikat yang dimiliki 100 peratus oleh KDEB.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Khalid berkata, berikutan pengambilalihan itu dilakukan secara pemilikan ekuiti, kedudukan kakitangan dalam syarikat tersebut tidak akan terjejas.

"Saya ingin jelaskan disebabkan pengambilalihan secara pemilikan ekuiti iaitu saham-saham ditukar pemiliknya, semua tenaga kerja dalam syarikat berkenaan tidak akan berubah," ujarnya.

Abdul Khalid berkata, tujuan sebenar pengambilalihan itu dibuat adalah untuk memastikan pengurusan air di Selangor lebih efisien, sekali gus memastikan penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mendapat perkhidmatan air yang terbaik.

Selain itu, beliau turut memberi penekanan pentingnya mengurangkan masalah kadar kehilangan air tanpa hasil (NRW) yang pada masa ini mencatatkan 33 peratus.

"Di bawah penyusunan semula industri air di Selangor, kita berhasrat untuk mengurangkan masalah ini daripada 33 peratus kepada 20 peratus," ujarnya.

Dalam pada itu, kata beliau, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan sebanyak RM900 juta bagi program mitigasi sebelum Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) siap sepenuhnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140227/dn_03/Kerajaan-Selangor-ambil-alih-4-syarikat-konsesi-air#ixzz2uUJgHfL8  © Utusan Melayu (M) Bhd


Satu rahmat, namun sudah terlewat


Oleh AQILAH MIOR KAMARULBAID
pengarang@utusan.com.my




KUALA LUMPUR 26 Feb. - Persatuan Pengguna Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (Swan) menyambut baik perjanjian pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2, namun terkilan dengan sikap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berdolak-dalik untuk memberi kelulusan sejak empat tahun lalu.

Presidennya, Aldric Loong Kim Yew berkata, jika pembinaan loji itu disegerakan, sudah tentu masalah bekalan air dapat dielakkan kerana rizab bekalannya mampu menampung permintaan khususnya ketika krisis.

"Walaupun keputusan itu satu rahmat, namun sudah terlambat. Jika loji itu dibina sejak empat atau enam tahun lalu, sudah tentu rakyat tidak menderita seperti hari ini.

"Kita sudah banyak kali beri peringatan kepada kerajaan negeri, malah peringatan kali kedua pada 2010 pun tidak diendahkan dan situasi semasa yang getir menyebabkan mereka akhirnya akur dan mula menyedari kepentingan Langat 2," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang mengeluarkan arahan pembangunan untuk membenarkan kerajaan Pusat membina Langat 2 dan sistem agihannya berkuatkuasa hari ini.

Kelulusan tersebut sejajar dengan perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kerajaan Pusat dan Selangor berhubung penstrukturan semula industri bekalan air di negeri itu.

Sementara itu, Kim Yew berkata, pembinaan Langat 2 diyakini dapat menampung permintaan pengguna sekurang-kurangnya untuk tempoh 10 tahun.

Katanya, Langat 2 adalah pilihan terbaik daripada segi kewangan, teknikal dan sosial bagi memastikan pengguna di Lembah Klang mendapat bekalan air yang mencukupi sehingga tempoh tersebut.

"Kapasiti loji yang lebih besar mampu menampung 1,200 juta liter air sehari sekali gus dapat mengatasi peningkatan permintaan air terawat di kawasan terbabit," katanya.

Mengulas isu yang sama, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran berkata, kerajaan PKR Selangor tidak sepatutnya mengambil risiko melengahkan pembinaan loji tersebut berikutan faktor cuaca yang tidak menentu.

Katanya, kerajaan negeri itu sepatutnya mengambil kira faktor keselamatan dalam perancangan yang membabitkan keperluan rakyat termasuk pembinaan Langat 2.

"Jabatan Meteorologi pun mengatakan sukar untuk meramal cuaca di Malaysia. Maka, ketidaktentuan itu boleh mengugat penggunaan air dan para pemimpin tidak sepatutnya mengambil risiko yang akhirnya menyukarkan rakyat," tegasnya.

Mengenai catuan air yang dicadangkan Abdul Khalid, beliau berkata, kaedah itu merupakan alternatif terakhir namun bukanlah yang terbaik kerana tidak semua kawasan akan menerima air pada tekanan tinggi.

"Kawasan-kawasan pedalaman akan ada masalah sama ada air yang diterima bertekanan rendah atau langsung tiada air," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140227/dn_02/Satu-rahmat-namun-sudah-terlewat#ixzz2uUI5UEw6  © Utusan Melayu (M) Bhd


 

Projek Langat 2 diteruskan - AIR LUDAH JATUH KE MUKA KHALID


Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my




Najib Tun Razak (dua dari kiri) dan Muhyiddin Yassin menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Selangor di Putrajaya, semalam. Kerajaan Pusat diwakili Dr. Maximus Ongkili (kiri) manakala Selangor diwakili Khalid Ibrahim (kanan). - UTUSAN/ ZAKI AMIRUDDIN

PUTRAJAYA 26 Feb. - Selepas menangguhkan pelaksanaan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) selama hampir enam tahun, kerajaan Selangor hari ini akhirnya akur untuk membenarkan projek itu diteruskan.

Projek Langat 2 yang tertangguh sejak 2008 akan diteruskan selepas Selangor bersetuju mengeluarkan kebenaran merancang (Development Order) berkuat kuasa hari ini.

Persetujuan tersebut sejajar dengan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri berhubung penstrukturan semula industri bekalan air Selangor di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Sehubungan itu Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata, kerajaan Selangor akan memastikan semua kelulusan dan kebenaran yang berkaitan dengan pembangunan projek Langat 2 diluluskan dalam masa 30 hari dari tarikh memorandum itu ditandatangani.

"Melalui MoU ini, Kerajaan Persekutuan turut membenarkan Kerajaan Selangor mengemukakan tawaran untuk mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri tersebut iaitu Puncak Niaga Sdn. Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd., Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd (Splash) dan Konsortium ABASS Sdn. Bhd.

"Kerajaan Persekutuan juga bersedia menyuntik dana tambahan untuk membantu Kerajaan Selangor mengambil alih syarikat-syarikat konsesi air dan seterusnya membenarkan mereka menguruskan perkhidmatan bekalan air melalui satu syarikat milik kerajaan negeri," katanya dalam sidang akhbar selepas menandatangani MoU, di sini hari ini.

Dalam majlis yang cukup bersejarah itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyaksikan Kerajaan Persekutuan diwakili oleh Ongkili manakala Kerajaan Selangor diwakili oleh Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menandatangani perjanjian tersebut.

Antara lain MoU itu mengambil kira:

l Pelaksanaan penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor oleh kerajaan Selangor sebagai suatu keperluan yang berterusan bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan bekalan air di Selangor serta mengambil kira perkhidmatan bekalan air yang lebih mampan dan efisien bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya.

l Kerajaan Persekutuan sedang melaksanakan Skim Bekalan Air dari Pahang ke Selangor yang mempunyai dua komponen iaitu Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor, mengambil kira MoU antara Pahang dan Selangor mengenai pembekalan air mentah bertarikh 27 Mac 2001 dan Perjanjian Jual Beli Air Mentah antara Pahang dan Selangor pada 22 November 2007. Lanjutan daripada itu, Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan merupakan satu langkah jangka panjang untuk menjamin bekalan air berterusan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dalam pada itu, Ongkili berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa yang turut dianggotai wakil Kerajaan Selangor bagi pelaksanaan projek Langat 2.

"Dengan termeterainya memorandum persefahaman ini, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor berharap semua syarikat konsesi air di Selangor memberi kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan penstrukturan semua industri perkhidmatan bekalan air demi kesejahteraan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya.

Ongkili sebelum itu mengakui kegagalan mencari sebarang penyelesaian berhubung isu air di Selangor sejak 2008, bukan sahaja telah menjejaskan industri perkhidmatan bekalan air di negeri berkenaan, malah memberi kesan kepada negara berikutan projek-projek pembangunan baharu tidak dapat dimulakan disebabkan ketiadaan bekalan air.

"Kemelut itu telah menyebabkan pembinaan Langat 2 yang merupakan langkah Kerajaan Persekutuan untuk selesaikan masalah kekurangan air di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya tertangguh sehingga kini.

"Namun begitu pada Mei 2013, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor bersetuju agar satu rundingan semula diadakan antara kerajaan Selangor dan semua syarikat konsesi bagi mencapai persetujuan berhubung penstrukturan semula industri air di Selangor termasuk pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi berkenaan," ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai projek Langat 2, Ongkili berkata, projek tersebut dijangka siap sepenuhnya 39 bulan dari sekarang.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140227/dn_01/Projek-Langat-2-diteruskan#ixzz2uUFTUXC6  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Wednesday 26 February 2014

Azamuddin digugurkan dari skuad Harimau Malaya


Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
sukan@utusan.com.my




PEMAIN skuad kebangsaan gigih menjalani latihan di Wisma FAM , Kelana Jaya semalam sebagai persediaan menentang Yemen dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2015, bulan depan. - UTUSAN/Hafiz Johari

PETALING JAYA - Pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee terpaksa menggugurkan Azamuddin Mohd. Akil daripada skuad kebangsaan ekoran kecederaan pergelangan kaki kanan yang dialami penyerang Pahang itu.

Menurut Kim Swee, pakar perubatan mengesahkan Azamuddin atau lebih mesra dengan nama panggilan Alex tidak sempat untuk pulih menjelang perlawanan menentang Filipina Sabtu ini.

Perlawanan dengan skuad negara jiran itu adalah aksi pemanas badan sebelum Harimau Malaya menentang Yemen dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2015 pada 5 Mac.

"Selepas berbincang dengan pakar perubatan, mereka mendapati Alex tidak sempat untuk pulih kerana masih terdapat kesakitan di bahagian kecederaan yang dialaminya dan kita ambil keputusan untuk menggugurkannya daripada perlawanan menentang Yaman," katanya ketika ditemui di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya di sini semalam.

Kim Swee memberitahu, akibat kesuntukan masa, pihaknya tidak akan memanggil mana-mana pemain baharu untuk menggantikan Alex, sebaliknya akan menggunakan khidmat pemain sedia ada di dalam skuad itu.

Katanya, skuad Harimau Malaya akan menggunakan khidmat Baddrol Bakhtiar atau Fakri Saarani bagi mengisi bahagian sayap kanan yang ditinggalkan pemain yang berasal dari Kuala Lipis itu.

"Kita juga memiliki Amri Yahyah untuk mengisi posisi yang sama dan saya melihat para pemain perlu bersaing untuk merebut tempat di dalam kesebelasan utama," katanya.

Jurulatih berusia 43 tahun itu berkata, perlawanan persahabatan menentang Filipina akan menjadi medan untuk dirinya menguji beberapa kombinasi pemain untuk mencari keserasian bagi mengisi jentera tengah pasukan itu.

"Semua pemain memberikan komitmen yang baik dan ini menyukarkan saya untuk memilih kesebelasan utama bagi pasukan ini.

"Hanya melalui perlawanan persahabatan menentang Filipina dan pertemuan dengan Yaman akan menjadi penentu kepada saya untuk menentukan kesebelasan utama Harimau Malaya," katanya.

Pemain yang menyertai Piala AFC telah dilepaskan kembali ke pasukan masing-masing semalam dengan para pemain Selangor akan kembali melapor diri hari ini sementara pemain-pemain Kelantan esok.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140226/su_05/Azamuddin-digugurkan-dari-skuad-Harimau-Malaya#ixzz2uPd6j415  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Hodak sah pengurus JDT


Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
sukan@utusan.com.my




Bojan Hodak dikerumuni pemberita sejurus diumumkan sebagai pengurus baharu Johor Darul Ta’zim di Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU - Perancangan jangka panjang Johor Darul Ta’zim (JDT) antara faktor yang menarik bekas jurulatih Kelantan, Bojan Hodak untuk menjadi pengurus Harimau Selatan, biarpun beliau sebelum ini pernah menafikan akan menyertai pasukan itu ketika desas-desus mengenainya bertiup kencang.

Hodak berkata, kehadirannya ke negeri selatan tanah air ini pada asalnya memang untuk bercuti, namun beliau berubah haluan tidak lama selepas itu.

"Setelah berbual beberapa minit dengan Presiden Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, saya tertarik dengan perancangan jangka masa panjang yang dimilikinya.

"Setelah menyatakan persetujuan, saya memikul tanggungjawab selaku pengurus pasukan JDT mulai hari ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini semalam.

Desas-desus berkaitan pengendali kelahiran Croatia itu menyertai JDT mula bertiup sejak 14 Februari lalu apabila beliau dilihat dikelilingi kanak-kanak sambil memakai jersi JDT sewaktu menyaksikan perlawanan JDT II dengan PBAPP FC di Stadium Pasir Gudang bersama bekas pemain kebangsaan dan Johor, Serbegeth Singh.

Menurut Hodak, kehadirannya dalam pasukan tersebut bukan untuk menggantikan tempat jurulatih skuad Harimau Selatan sedia ada iaitu Cesar Ferrando Jimenez, yang kekal sebagai Ketua Jurulatih.

"Jimenez seorang jurulatih yang cemerlang, namun sedikit masalah yang dihadapi adalah berhubung komunikasi kerana pertuturan Jimenez sedikit berbeza dan mungkin sukar difahami. Namun itu bukanlah masalah besar kerana kepakaran dan ilmu taktikalnya yang ditagih pasukan ini untuk terus menempa kejayaan," ujarnya.

Hodak turut menolak bahawa kehadiran beliau itu menandakan dirinya akan menggantikan tempat Jimenez selaku jurulatih dan menegaskan beliau tidak tahu apa yang mungkin terjadi dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Dalam temubual ringkas tersebut, Hodak juga tidak menyatakan tempoh kontraknya bersama JDT namun menjelaskan semuanya bergantung kepada pencapaian pasukan di akhir musim nanti.

Mengakui berpuas hati dengan pasukan yang akan diuruskannya, Hodak berharap JDT akan mula menghasilkan lebih banyak kemenangan kerana para pemain sudah mula menunjukkan keserasian antara satu sama lain.

"Buat waktu ini saya masih menilai situasi para pemain, namun secara keseluruhan saya berpuas hati dengan prestasi mereka, apatah lagi saya juga mengenali sebahagian daripada mereka. Sasaran kami mudah sahaja iaitu untuk melakar kejayaan demi kejayaan," akuinya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140226/su_04/Hodak-sah-pengurus-JDT#ixzz2uPaNH2k8  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Suara Pondok larang undi Anwar


Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR
utusankelantan@utusan.com.my






KOTA BHARU 25 Feb. - Suara Ulama Pondok Kelantan (Suara Pondok) meminta pengundi Dewan Undangan Negeri Kajang memilih pemimpin atau wakil rakyat yang berdedikasi, mempunyai integriti, telus, adil serta amanah dalam menunaikan mandat rakyat berdasarkan syariat agama.

Ketua Penerangannya, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff (gambar) menegaskan, sehubungan itu pihaknya membuat ketetapan melarang pengundi DUN itu daripada mengundi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang 23 Mac ini.

"Adakah Anwar menepati ciri-ciri itu? Sebagai orang Melayu beragama Islam, kita sepatutnya berasa bimbang jika sekiranya memilih orang yang tidak mempunyai ciri-ciri sedemikian menjadi pemimpin," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

PRK DUN Kajang diadakan berikutan penyandang kerusi itu, Lee Chin Cheh daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, Chin Cheh mendapat 19,571 undi untuk menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Lee Ban Seng yang menerima 12,747 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pilihan raya kecil itu akan diadakan pada 23 Mac ini manakala penamaan calon pada 11 Mac.

Tambah Mohd. Syamsul, dalam konteks perjuangan politik, Anwar tidak pernah menyediakan kemudahan yang sepatutnya, sebaliknya hanya mengelirukan rakyat menerusi janji-janji tidak mampu ditunaikan.

"Malah, dalam perkara menyentuh sensitiviti agama terutama dalam isu kalimah Allah, beliau hanya mengambil sikap berdiam diri, tidak pernah menunjukkan ketegasannya bagi mempertahankan isu tersebut," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140226/po_02/Suara-Pondok-larang-undi-Anwar#ixzz2uPUcMrAC  © Utusan Melayu (M) Bhd



Kenapa RBA begitu kebal?


Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my




Shen Yee Aun

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Red Bean Army (RBA), tentera siber propembangkang muncul semula. Kali ini dengan tindakan lebih berani apabila melakukan ugutan bunuh ke atas Presiden Pertubuhan Hak Belia Malaysia yang juga pengasas blog SYA For The Nation, Shen Yee Aun.

Yee Aun yang juga kolumnis Mingguan Malaysia menerima ugutan itu berikutan tulisan beliau dalam akhbar tersebut bertajuk, Laman Penyokong RBA ditutup' Ahad lalu.

Bagaimanapun ini bukan kali pertama beliau menerima ugutan seumpama itu tetapi persoalannya kenapakah sehingga ke hari ini kumpulan yang dianggap cukup biadab itu terlalu sukar untuk dibawa ke muka pengadilan? Apakah mereka begitu kebal?

RBA cukup terkenal dengan propaganda dan perbuatan kurang ajar mereka menyerang pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) dan kerajaan semasa, sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Namun begitu apa yang lebih bahaya, RBA tidak mempunyai sedikit pun perasaan hormat kepada institusi negara.

Sebutlah apa sahaja, institusi raja-raja, badan kehakiman, jabatan kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu semuanya pernah menjadi sasaran serangan RBA. Lebih biadab lagi RBA turut menghina agama Islam.

Walaupun tindakan RBA dianggap boleh menghancurkan negara sebagaimana pandangan pelbagai pihak, namun sehingga sekarang kumpulan ini masih terus dengan kerja-kerja kotor mereka.

Siapa sahaja yang menyentuh atau menyerang RBA akan diserang balas dengan pelbagai kata-kata kesat dan diancam termasuk ugutan bunuh seperti dialami oleh Yee Aun.

RBA bagaikan 'hantu' yang mengganggu dan mengancam rakyat Malaysia tetapi tiada siapa boleh menghalang mereka.

Atas sebab itulah, banyak pihak bertanya apa yang berlaku kepada siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang pada 3 Julai 2013 menyatakan akan mengumumkan keputusan siasatan mengenai kewujudan RBA. Sehingga ke hari ini siasatan itu entah ke mana.

Sebenarnya, pihak berkuasa amat memahami betapa bahayanya RBA kepada perpaduan rakyat dan keselamatan negara, tetapi mereka seolah-olah tidak mampu berbuat apa-apa sehingga wujudnya pandangan RBA ini terlalu kebal .

Apakah mereka ini benar-benar kebal sehingga sukar dikesan biar pun setiap hari memuat turun pelbagai propaganda yang boleh mencetuskan huru-hara dalam negara atau terdapat kelemahan dalam agensi yang bertanggungjawab mengendali tentera siber seumpama ini?

Tetapi anehnya, apabila ada kes-kes tertentu yang melibatkan penghinaan kepada kaum bukan Islam atau bukan Melayu, begitu pantas sekali pihak berkuasa bertindak.

Justeru adalah wajar ugutan bunuh yang diterima oleh Yee Aun dijadikan asas untuk pihak berkuasa kembali agresif memburu RBA sehingga ke lubang cacing. Kelompok biadab dan tidak tahu menghormati undang-undang ini tidak harus dibiarkan bermaharajalela seolah-olah tiada siapa mampu menghalang kerja jahat mereka.

Oleh itu tindakan yang benar-benar tegas dan serius perlu diambil untuk menangani RBA termasuklah mengetahui siapa dalang yang menggerakkan mereka kerana tanpa sokongan kewangan sudah pasti RBA tidak ke mana dan tidak sekebal sekarang?


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140226/po_01/Kenapa-RBA-begitu-kebal#ixzz2uPSJxvp2  © Utusan Melayu (M) Bhd



Orang Melayu sudah tidak peduli dengan bangsa sendiri?


Oleh Zaini Hassan





JIKA semua Melayu bersetuju, selepas ini tiada lagi tanda ‘bangsa’ atau ras dalam mana-mana borang rasmi di negara ini. Tiada lagi kotak tanda: Melayu, Cina, India dan Lain-Lain. Sebaliknya yang ada hanya Warganegara dan Bukan Warganegara. Puncanya kerana sekarang ini mahu sebut Melayu pun orang sudah takut dan fobia. Maka itu, perkataan itu perlu dipadam.

Cadangan itu disokong sendiri oleh seorang menteri Kabinet hasil desakan oleh badan-badan hak asasi manusia. Jika dulu ada NGO yang diwujudkan untuk memansuhkan ISA (Abolish ISA), yang kemudiannya desakan mereka didengari kerajaan, tidak mustahil cadangan di atas pun akan diterima.

Lagi pun sudah ada suara-suara yang berani mempersoalkan asal-usul orang Melayu. Mereka dakwa Melayu pun kaum pendatang, mereka pun pendatang. Maka semua sama sahaja.

Betul juga, Melayu sekarang ini rata-rata nak cakap Melayu pun sudah malu. Nak baca dan kepit surat khabar Utusan Melayu pun malu. Apatah lagi anak-anak Melayu elit yang tak pernah belajar di sekolah rendah kebangsaan pun sudah ramai.

Jika Melayu bersetuju selepas ini maka kita kena akurlah juga dengan cadangan sebuah lagi NGO hak asasi manusia iaitu Comango.

Comango, Coalition of Malaysian NGOs in the UPR Process atau Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Malaysia ialah sebuah gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengemukakan laporan hak asasi manusia ke proses Semakan Berkala Sejagat Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Difahamkan terdapat 13 usul akan dibentangkan oleh NGO Comango yang salah satunya ialah menuntut kebebasan LGBT di negara ini.

Berikut adalah di antara tuntutan Comango yang sudah pun diserahkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ‘United Nation Human Rights Council, (UNHRC) di Geneva:

* Menuntut supaya Malaysia menerima Hak SOGI (Sexual Orientation & Gender Identity). Maknanya menuntut supaya negara kita menghalalkan LGBT - iaitu amalan seks songsang!

* Mereka turut memberi tekanan untuk menghapuskan Seksyen 377A Kanun Keseksaan berhubung jenayah liwat. Di dalam tuntutan ini Comango turut tidak setuju pusat-pusat gay diserbu pihak berkuasa (maknanya mereka mahu gejala seperti itu berleluasa).

* Mempersoalkan Enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan mereka mendesak pemansuhan atau pindaan terhadap kesalahan-kesalahan jenayah Syariah dan enakmen-enakmen yang didakwa sebagai "mengganggu hak peribadi".

* Membuat tuntutan yang mewujudkan kekeliruan-kekeliruan terhadap isu kebebasan beragama seperti membawa kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian yang masih belum diputuskan secara muktamad oleh mahkamah tertinggi di Malaysia - untuk dibicarakan di Geneva!

* Mereka juga mempersoalkan larangan terhadap penganut ajaran Syiah menyebarkan fahaman mereka di kalangan orang Islam. Dan juga isu hak seorang bapa beragama Islam untuk mengislamkan anak-anak di bawah umur (juga dijadikan isu hak asasi manusia).

Oleh itu, jika orang Melayu beragama Islam bersetuju dengan itu semua, maka negara kita akan menjadi negara Islam pertama bersetuju dengan cadangan-cadangan itu.

Lagi pun tiada kedengaran pun sebuah parti yang menggunakan nama Islam di negara ini membantah atau "sanggup berbaring di atas jalan" untuk menghalangnya. Yang bising hanyalah NGO-NGO totok Melayu yang rasis. Yang lain-lain senyap sahaja.

Jika dikaji, tuntutan demi tuntutan itu dibuat oleh pihak liberal yang banyak berhaluankan parti yang diberi nama "pakatan rakyat".

Jika rakyat semua sudah berpakat maka tidak susahlah untuk mempersetujuinya.

Selain di atas, orang Melayu juga mungkin akan bersetuju dengan satu kumpulan pendesak meminta penghapusan dasar perlindungan kepentingan bumiputera dan tanah rizab Melayu serta kelonggaran kepada orang Islam untuk murtad.

Jika semua orang Melayu Islam bersetuju, maka Malaysia selepas ini akan dikenali sebagai negara yang paling liberal di muka bumi ini.

Tak apalah, lagipun orang Melayu di negara inilah yang sering dituduh paling rasis, paling perkauman. Orang lain tak begitu. Mereka baik. Mereka tidak pandang kaum.

Orang Melayu amat dibenci di negara ini, adakah kerana orang Melayulah yang paling banyak menguasai jawatan-jawatan penting di syarikat-syarikat milik bukan Melayu di negara ini? Atau juga kerana orang Melayulah yang menguasai kesemua gedung perniagaan di negara ini?

Adakah orang Melayu juga yang menguasai rantaian pengedaran barangan (supply chain) di negara ini? Adakah orang Melayu yang menguasai kartel dan monopoli perniagaan di negara ini? Kaum lain tak boleh masuk, kerana jika mereka masuk maka samseng-samseng akan digunakan untuk menghapuskan perniagaan mereka.

Pendek kata Melayulah yang menguasai kekayaan di negara ini. Maka itu, tidak timbul untuk mereka tidak bersetuju untuk menerima cadangan-cadangan di atas itu kerana mereka sudah senang dan mewah. Namun, adakah itu hakikatnya?

Jika bangsa Melayu masih menjadi bangsa yang asyik meminta-minta itu dan ini untuk hidup, apakah mereka sudah bersedia menerima kesemua tuntutan itu?

Yang pasti kekalutan kaum di negara ini semakin gawat. Sudah ramai orang sudah berani kurang ajar di negara ini. Yang hairannya mereka bebas bercakap apa sahaja.

Secara peribadi, saya cukup-cukup bimbang dengan perkembangan ini.

Atau mungkin orang Melayu sudah tidak peduli lagi, kerana bimbang akan dicap rasis?


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140226/re_06/Orang-Melayu-sudah-tidak-peduli-dengan-bangsa-sendiri#ixzz2uPOYjTzA  © Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday 25 February 2014

Mana perginya suara Islam Pas?


Zulkiflee bakar

HANYA CACAI DAP DAN PKR SEMUANYA KERANA KUASA



SUASANA Malam Mahabbatur Rasul Kedah Berselawat di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah anjuran kerajaan negeri baru-baru ini yang dipertikaikan oleh pemimpin Pas negeri itu.

"Kalau tidak mempunyai pengetahuan mengenai agama Islam, mengapa buat komen pasal Islam? Kalau ini dibiarkan, ia boleh menyebabkan kita berpecah belah. Negara kita belum cukup kukuh, itu patut menjadi matlamat kita sebagai bangsa Malaysia. Dahulu kalau ulama mengeluarkan fatwa, bangsa lain tak sentuh kerana itu adalah fatwa untuk orang Islam. Jadi mengapa pula ada orang bukan Islam nak komen pasal agama Islam.’’

Demikian penegasan yang dibuat oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Haniff Omar di Muar, kelmarin yang menunjukkan betapa kecewanya beliau dengan perkembangan berkaitan tindakan pihak-pihak tertentu termasuklah ahli politik bukan Islam mencampuri urusan hal ehwal Islam.

Haniff bukanlah individu pertama yang melahirkan kekesalan tersebut, sebelum ini sudah banyak pihak mempunyai pandangan serupa dan tertanya-tanya kenapakah wujud keberanian luar biasa dalam kalangan pihak tertentu termasuklah ahli politik pembangkang.

Apa yang dikesalkan, biar pun wujudnya parti politik yang mendakwa memperjuangkan Islam iaitu Pas tetapi parti itu lebih banyak mendiamkan diri. Suara Islam Pas seolah-olah tenggelam atau ditenggelamkan sejak menjalin tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Pas langsung tidak tampil mempertahankan institusi ulama mahu pun Majlis Fatwa Kebangsaan apabila sekutu mereka mengkritik pihak tersebut.

Keadaan itulah yang menyebabkan sesetengah pemimpin pembangkang khususnya DAP begitu biadab seperti mana dilakukan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung larangan menyambut Hari Kekasih dalam kalangan umat Islam.

Sejak tercetusnya kenyataan kontroversi itu, tiada seorang pun pemimpin Pas yang bersuara, biar pun Tony mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh sebuah badan yang cukup tinggi dalam institusi Islam di Malaysia. Sama ada Dewan Ulama, Dewan Pemuda Pas Pusat mahupun pemimpin-pemimpin Pas di semua peringkat, tiada suara bantahan bagi mengecam kebiadaban Tony.

Tidak cukup dengan itu, Pas juga `membisu’ apabila seorang pemimpin kanan DAP mempertikaikan khutbah Jumaat yang mengandungi firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 111. Walaupun perbuatan ini sudah dilihat keterlaluan dan tidak pernah berlaku dalam sejarah politik negara, namun Pas tidak memprotes kenyataan biadab tersebut. Pas mengamalkan sikap seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

Sedangkan tindakan pemimpin kanan DAP itu menunjukkan mereka semakin hilang perasaan gerun untuk menghormati agama Islam.

Sebelum ini Pas juga dilihat ‘menikus’ dalam isu penggunaan kalimah Allah, biarpun wujudnya bantahan keras daripada umat Islam di seluruh negara. Pas terus berpegang dengan perjanjian awal dengan sekutunya bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Islam asalkan ia tidak disalah gunakan.

Tetapi bagi isu di Selangor, Sultan Selangor sudah mengeluarkan titah bahawa bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah Allah namun Pas tidak berkongsi sentimen yang sama biar pun mereka mempunyai wakil dalam kerajaan negeri.

Lebih mengecewakan, sejak awal isu kalimah Allah ini tercetus termasuklah apabila ia diputuskan di mahkamah, Pas tidak memberikan sebarang reaksi, biar pun ketika itu ada seruan supaya seluruh umat Islam tanpa mengira fahaman politik bersatu mempertahankan kalimah suci itu.

Hakikatnya, kalau mahu disenaraikan terlalu banyak bukti yang menunjukkan Pas semakin hilang suara Islamnya, biar pun sering mendabik dada mereka memperjuangkan Islam jauh lebih baik daripada UMNO.

Bagaimanapun apa yang kita saksikan suara dan perjuangan Islam setakat ini hanyalah retorik akibat terlalu menjaga hubungan dengan PKR dan DAP.

Dan tidak keterlaluan jika dikatakan perjuangan Islam Pas hanya sekadar untuk meraih sokongan politik khususnya dalam memancing undi daripada kalangan umat Islam.

Ini jelas apabila dalam bab-bab berkaitan politik Pas paling ke hadapan. Mereka bersedia mengadakan solat hajat bagi mengekalkan pemerintahan parti itu di Kelantan tetapi tidak bersedia mengadakan solat hajat bagi mempertahankan kalimah Allah.

Pas juga paling ghairah mengerahkan penyokong-penyokongnya turun ke jalanan bagi membantah keputusan pilihan raya atau menuntut pilihan raya bersih dan adil tetapi tiada seruan meminta mereka turun mengadakan demonstrasi bagi mempertahankan kesucian Islam.

Selain itu, pemimpin-pemimpin Pas juga begitu lantang mengkritik kepimpinan UMNO termasuklah dalam hal ehwal Islam tetapi apabila pemimpin DAP dan PKR membuat kenyataan bertentangan dengan Islam, Pas `kecut perut’.

Dalam soal sikap Pas ini, penulis bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan oleh Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin apabila pemimpin Pas negeri itu mempertikaikan majlis selawat yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Kedah pimpinan Barisan Nasional (BN) yang dihadiri oleh 40,000 orang.

"Majlis selawat ini merupakan satu lagi inisiatif kerajaan negeri untuk mendidik umat Islam khususnya di Kedah dengan nilai-nilai murni yang di ajar oleh Nabi Muhammad SAW malahan program sebegini jauh lebih baik daripada Pas yang menganjurkan solat hajat bagi tujuan politik dan lebih teruk lagi mendoakan kehancuran sesama umat Islam,’’ katanya ketika dihubungi.

Sememangnya itulah sikap Pas, mereka sentiasa sahaja memperkecil dan memperlekehkan apa juga program Islam yang dianjurkan oleh UMNO seolah-olah program berlandaskan Islam itu hanya eksklusif untuk Pas.

Tidak cukup dengan itu, sehingga ke hari ini Pas terus menjaja kononnya UMNO tidak mempertahan atau memperjuangkan Islam dan dalam soal ini, Shaiful Hazizy menegaskan, tuduhan itu sangat dangkal.

"Ini kerana mereka buta mata hati untuk melihat bahawa UMNO meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, seperti tercatat dalam Perlembagaan, yang jauh lebih tinggi kedudukannya daripada sekadar sebagai agama rasmi. Wajar dilihat satu persatu usaha UMNO mempertahan Islam secara berterusan sejak merdeka selama 55 tahun dahulu, dan bukannya hanya baru-baru ini sahaja,’’ tegasnya.

Tetapi apakah fakta ini dikaji dan dinilai oleh Pas secara ikhlas sebagai pihak yang kononnya mahu melihat pemerintahan Islam dimartabatkan di negara ini, sudah pasti tidak. Apa yang berlaku seperti mana kata Shaiful Hazizy, setiap kali pilihan raya Pas tidak pernah melepaskan peluang menggunakan agama sebagai alat untuk meraih undi.

Bagaimanapun kita yakin perjuangan Pas tidak akan ke mana selagi mereka terus bersekongkol dengan PKR dan DAP. Semoga pemimpin dan pengikut Pas akan diberi hidayah bagi memahami fakta ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140225/re_01/Mana-perginya-suara-Islam-Pas#ixzz2uIbPnG4h  © Utusan Melayu (M) Bhd