Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label EURO2016. Show all posts
Showing posts with label EURO2016. Show all posts

Friday, 16 October 2015

Rusia layak ke Euro 2016, England terus cemerlang

14 Oktober 2015 12:04 AM


PENYERANG Rusia, Artem Dzyuba (dua dari kiri) bersaing dengan pemain tengah Montenegro, Mladen Kascelan (kiri) dan Esteban Saveljich dalam perlawanan kelayakan Euro 2016 di Otkrytie Arena, Moscow semalam. AFP

PARIS - Rusia dan Slovakia layak ke pusingan akhir Kejohanan Eropah (Euro) 2016, manakala juara bertahan, Sepanyol dan England masing-masing menamatkan kempen dengan kemenangan.

Rusia mempamer kebangkitan di bawah bimbingan Leonid Slutsky apabila menewaskan Montenegro 2-0 di laman sendiri untuk mendapat kelayakan automatik selaku naib juara Kumpulan G di belakang Austria dan memaksa Sweden untuk bermain dalam playoff.

Pemain pertahanan veteran, Oleg Kuzmin menjaringkan gol pertamanya dalam kejohanan antarabangsa untuk meletakkan Rusia di depan pada minit ke-33 di Arena Otkrytie sebelum Aleksandr Kokorin menyempurnakan sepakan penalti selepas Dmitri Kombarov dikasari oleh Vladimir Rodic.

Kejayaan itu merupakan kemenangan keempat berturut-turut sejak Slutsky mengambil alih tugas Fabio Capello yang telah dipecat serta memastikan Rusia mengatasi Sweden meskipun mereka menewaskan Moldova 2-0 di laman sendiri.

“Pemain saya sangat hebat. Mereka telah berjaya keluar daripada masalah yang membelenggu pa­sukan sewaktu menyertai kempen kelayakan Euro 2016,” kata Slutsky.

Sementara itu, Zlatan Ibrahimovic meletakkan Sweden di depan menerusi jaringannya yang ke-59 di pentas antarabangsa dan yang kelapan dalam kempen kelayakan sebelum Erkan Zengin mengukuhkan kedudukan.

Bagaimanapun, skuad kendalian Erik Hamren itu perlu berdepan dengan dua perlawanan playoff, bulan depan dan seandainya mereka menang, Sweden layak ke pusingan akhir Euro untuk kali kelima.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan G, Marko Arnautovic menjaringkan satu gol sebelum Marc Janko meledak dua gol untuk memastikan Austria menumpaskan Liechtenstein 3-0 di Vienna, sekali gus muncul juara kumpulan.

Sementara itu, Slovakia menyertai Euro 2016 sebagai negara merdeka buat kali pertama selepas menumpaskan Luxembourg 4-2, sekali gus menduduki tempat ke­dua dalam Kumpulan C di belakang Sepanyol.

Sebelum perlawanan bermula Slovakia berkongsi mata dengan Ukraine dan hanya kemenangan dapat memastikan mereka layak ke Perancis .

Skuad bimbingan Jan Kozak berjaya melakukannya hasil jaringan Adam Nemec, Robert Mak serta Marek Hamsik (dua gol) dalam perlawanan terakhir kumpulan, manakala Ukraine tewas 0-1 kepada Sepanyol di Kiev.

England yang sudah layak lebih awal menamatkan kempen kelayakan dengan cukup apabila mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 10 perlawanan di bawah kendalian Roy Hodgson setelah menewaskan Lithuania 3-0.

“Ini satu pencapaian. Saya bangga dengan prestasi pemain. Kualiti permainan bagus dan memenangi 10 perlawanan memberikan kepuasan. Kami bangga dengan kejayaan ini,” kata Hodgson. – AFP

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/rusia-layak-ke-euro-2016-england-terus-cemerlang-1.146096#sthash.EYR0jliD.dpuf


EURO 2016 : Belanda tersingkir, Turki mara

Turki dan Croatia layak ke Euro 2016

15 Oktober 2015 12:01 AM



Pemain-pemain Turki meraikan kejayaan mereka menumpaskan Iceland dalam kelayakan Euro 2016 di Stadium Konya Arena, Konya, Turki semalam sekali gus mara ke pusingan akhir di Perancis. AFP

LONDON - Turki dan Croatia merebut slot automatik terakhir ke Kejohanan Eropah (Euro 2016) dengan cara cukup dramatik namun malang menimpa Belanda apabila untuk pertama kalinya gagal ke pusingan akhir kejohanan itu setelah tewas kepada Republik Czech di laman sendiri.

Belanda, juara Eropah pada 1988 serta finalis Piala Dunia tahun lalu menamatkan kempen kelayakan Euro 2016 di tempat keempat dalam Kumpulan A untuk kali pertamanya tersingkir daripada kejohanan tersebut sejak 1984.

Turki dan Belanda masing-ma­sing memburu tempat ketiga terbaik dalam kumpulan, di belakang Iceland dan Republik Czech yang telah pun layak, namun nasib menyebelahi Turki apabila muncul sebagai pasukan ketiga terbaik kumpulan dan layak secara automatik setelah menewaskan Iceland 1-0 di laman sendiri.

Mereka perlu mengelak daripada kalah kepada Iceland, sebagai bekalan sekiranya Belanda menewaskan Republik Czech, dan memiliki peluang tipis untuk menamatkan kempen selaku pasukan ketiga terbaik yang memiliki rekod terbaik dalam sembilan kumpulan di peringkat kelayakan sekiranya mereka menang dan Kazakhstan turut menewaskan Latvia.

Dan itulah yang berlaku semalam. Turki menang, Belanda kalah 2-3 dan Kazakhstan menang 1-0 di Latvia untuk membolehkan Turki layak ke pusingan akhir Euro buat kali keempat.

Sebelum perlawanan semalam, Hungary memiliki rekod pasukan ketiga terbaik tetapi mereka kini terpaksa bersaing dalam playoff.

Turki, yang menamatkan permainan dengan 10 pemain, menang menerusi sepakan bebas Selcuk Inan pada minit ke-89.

“Sebagai sebuah negara kami memerlukan kemenangan ini untuk berasa gembira, walaupun untuk hanya beberapa jam. Kami sangat gembira kerana dapat memberikan kegembiraan kepada orang Turki,” kata jurulatih Fatih Terim, yang me­rujuk kepada insiden pengeboman di ibu negara Ankara yang membunuh hampir 100 orang minggu lalu.

Skuad Oranje memulakan kempen kelayakan Euro 2016 dengan longlai selepas diaibkan 1-5 oleh Sepanyol malah mereka turut me­ngalami lima kekalahan dalam 10 perlawanan peringkat kelayakan.

Harapan Belanda untuk beraksi di pentas Eropah musnah apabila dibolosi dua gol serta ditambah pula de­ngan kesilapan Robin Van Persie yang tertanduk bola ke dalam gawang sendiri sekali gus meletakkan Repu­blik Czech di depan dengan tiga gol.

“Kami telah mensia-siakan peluang. Kami perlu lebih berdisiplin dan tajam sebab kami tidak memiliki banyak peluang. Kami tahu keadaan menjadi sukar namun melepaskan gol dengan mudah bermakna harapan kami dalam perlawanan tersebut telah pun musnah,” kata pemain tengah, Wesley Sneijder kepada radio Belanda NOS.

Croatia pula mara ke pusingan akhir Euro 2016 apabila menca­tat kemenangan 1-0 ke atas Malta meskipun pada mulanya kedudukan mereka belum selamat.

Croatia, yang memulakan perlawanan semalam dengan 17 mata, dan Norway, 19, masing-masing memburu tiket kelayakan automatik kedua di dalam Kumpulan H di belakang juara kumpulan Itali.

Sementara Croatia menang di Malta hasil jaringan Ivan Perisic pada minit ke-25, keadaan masih mencemaskan apabila Norway sedang mendahului Itali menerusi ja­ringan Alexander Tettey pada minit ke-23 di Rom.

Bagaimanapun, ketika perlawanan semakin menuju penghujung, Norway tumbang apabila dibolosi gol Alessandro Florenzi pada minit ke-73 dan Graziano Pelle lapan minit sebelum permainan berakhir, untuk kalah 1-2 dan membenarkan Croatia me­mintas mereka.

Norway sekurang-kurangnya masih boleh berusaha untuk layak apabila berada dalam undian untuk playoff.

Dua puluh pasukan, termasuk tuan rumah Perancis, telah layak ke pusingan akhir Euro 2016 manakala lapan pasukan perlu beraksi dalam playoff yang undiannya akan berlangsung Ahad ini. – REUTERS

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/belanda-tersingkir-turki-mara-1.146449#sthash.mOo7RDB6.dpuf


EURO 2016 : Belgium jadi pasukan No 1. dunia 5 November ini

15 Oktober 2015 12:01 AM


PENYERANG Belgium, Dries Mertens (tengah) meraikan jaringannya ketika menentang Israel dalam kelayakan Euro 2016 di Stadium King Baudouin di Brussels, Belgium semalam. Belgium menang 3-1. AFP

BRUSSELS – Belgium bakal melonjak ke kedudukan No. 1 dunia dalam ranking FIFA selepas muncul juara Kumpulan B dalam aksi kelayakan Euro 2016 dengan menumbangkan Israel 3-1 semalam.

Kemenangan yang dilakar skuad bimbingan Marc Wilmots itu bermakna Belgium, yang telahpun mengesahkan tempat ke pusingan akhir Euro 2016 di Perancis lebih awal, bakal memintas Argentina dan Jerman yang kini menghuni kedudukan No. 1 dan No. 2 dunia dalam ranking FIFA.

Senarai terbaharu bakal diumumkan 5 November ini dan Belgium akan mengambil alih kedudukan tersebut daripada Argentina yang sekadar mengutip satu mata dalam dua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018.

Argentina dikejutkan oleh kekalahan 0-2 kepada Ecuador dalam perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia Jumaat lalu dan semalam skuad bimbingan Gerardo Martino itu sekadar seri 0-0 dengan Paraguay di Asuncion.

“Saya amat berpuas hati. Ya! No. 1 di dunia,” kata penyerang Belgium, Dries Mertens mengenai pasukan negaranya yang sekadar menghuni kedudukan No. 71 dunia pada 2007.

Selain Mertens, turut memberi reaksi mengenai kedudukan terbaharu ranking FIFA itu ialah penjaga gol Liverpool, Simon Mignolet yang melahirkan rasa bangganya menjadi sebahagian daripada anggota skuad kebangsaan Belgium.

“Memang hebat dapat menjadi sebahagian daripada anggota skuad No. 1 @BelRedDevils. Berkongsi kegembiraan ini dengan penyokong juga,” kata Mig­nolet menerusi laman sosial Twitter.

Pemain pertahanan Barcelona, Thomas Vermaelen dalam akaun Twitter miliknya pula berkata: “La­yak ke Perancis, muncul juara kumpulan dan menjadi No. 1 dalam ranking dunia FIFA. Satu detik yang cukup hebat buat @BelRedDevils.” – AGENSI

Sementara itu, kekalahan 3-1 kepada Belgium semalam sekali gus memusnahkan impian skuad bimbingan Eli Guttman itu untuk menjejakkan kaki ke pusingan akhir Euro di Perancis tahun depan.

Malah, kekalahan tersebut turut memusnahkan impian Israel untuk ke aksi playoff, setelah Bosnia menamatkan saingan di kedudukan ketiga Kumpulan B hasil melakar kemenangan 2-0 ke atas Cyprus menerusi jaringan pemain tengah Haris Medunjanin dan pemain gantian Milan Djuric. – AGENSI

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/belgium-jadi-pasukan-no-1-dunia-5-november-ini-1.146454#sthash.IAc1TDBL.dpuf


EURO 2016 : ‘Saya tidak akan lari’

Van Persie enggan bersara selepas Oranje tersingkir

16 Oktober 2015 12:13 AM

KEKECEWAAN jelas di wajah Robin van Persie apabila Belanda gagal melayakkan diri ke Euro 2016 selepas tewas 2-3 kepada Republik Czech dalam aksi kelayakan di Amsterdam Arena, kelmarin. - AFP

LONDON - Robin van Persie menegaskan, dia tidak akan lari daripada tanggungjawab dan tidak akan bersara daripada bola sepak antarabangsa hanya kerana Belanda dimalukan apabila gagal mela­yakkan diri Kejohanan Eropah (Euro) 2016.

Bekas bintang penyerang Arsenal dan Manchester United itu menegaskan, dia tetap teguh bersama skuad negaranya sama ada dalam keadaan suka atau duka.

Van Persie, 32, yang kini beraksi bersama kelab Turki, Fenerbahce melakukan kesilapan dengan menjaringkan gol sendiri ketika Oranje tewas 2-3 kepada Republik Czech dalam kelayakan Euro 2016 kelmarin, sekali gus menyebabkan Belanda menghuni tangga keempat Kumpulan A.

Apa yang lebih memalukan, Czech menamatkan perlawanan tersebut dengan 10 pemain.

“Saya tidak akan lari daripada detik sukar yang sedang kami hadapi sekarang. Saya akan teguh berdiri di sini dan sentiasa bersedia untuk menawarkan khidmat saya pada bila-bila masa yang diperlukan.

“Dapat menyarung jersi Oranje adalah satu penghormatan buat saya, tidak kiralah sama ada kami berada dalam situasi suka atau duka.

“Saya bukan jenis yang akan lari daripada tanggungjawab. Berputus asa tiada dalam kamus saya, namun sudah tentu peluang itu (beraksi buat Belanda) bergantung kepada jurulatih, sama ada mahukan saya atau tidak,” kata Van Persie kepada akhbar Belanda, De Telegraaf.

Menurut Van Persie lagi, sebagai manusia biasa sudah pasti dia amat kecewa apabila skuad Oranje yang sarat dengan sejarah hebat gagal layak ke Euro buat kali pertama sejak 1984.

“Sebagai ahli sukan, hati saya menangis. Kegagalan layak ke Euro sangat mengecewakan dan ia detik terburuk buat Belanda.

“Namun, kami perlu kekal positif biarpun berdepan situasi sukar. Kesakitan akan dirasai untuk tempoh yang lama, tetapi kami harus bangkit selepas ini,” ujar Van Persie lagi.

Walaupun Van Persie meraikan penampilan ke-101 bersama Belanda kelmarin, namun perkara itu tidak langsung menggembirakannya kerana tiada apa yang mampu dilakukan untuk menyelamatkan Oranje.

Kekalahan ini cukup memalukan buat sebuah pasukan yang memiliki reputasi besar seperti Belanda.

Mereka menamatkan kempen Piala Dunia 2014 di tangga ketiga dan merupakan juara Eropah 1988.

Sementara itu, bekas bintang tengah Oranje, Bolo Zenden berkata, gol sendiri Van Persie hanya memburukkan lagi situasi Belanda yang sudahpun teruk.

“Kami tiada kualiti. Perlawanan diakhiri dengan gol sendiri dan itu memburukkan lagi keadaan,” kata Zenden kepada BBC Radio 5. 
– AGENSI

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-saya-tidak-akan-lari-8217-1.146817#sthash.7FpbmLzu.dpuf


Tuesday, 13 October 2015

EURO 2016 : England tidak boleh hanyut dibuai kejayaan – Walcott

12 Oktober 2015 12:11 AM



Theo Walcott

VILNIUS, Lithuania – Theo Walcott memberi amaran kepada rakan sepasukannya dalam skuad England bahawa melakar rekod kemenangan bersejarah 100 peratus dalam kempen kelayakan Euro 2016 tidak memberi sebarang makna me­lainkan jika mereka menjadi pencabar terkuat pada pusingan akhir nanti.

Skuad bimbingan Roy Hodgson berpeluang berada dalam enam pasukan terbaik yang melakar kemenangan dalam semua perlawanan kelayakan Kejuaraan Eropah, jika mereka me­numpaskan Lithuania dalam aksi ke-10 dan juga pertemuan terakhir Kumpulan E di Stadium LFF, hari ini.

Pencapaian melayakkan diri merupakan kali pertama dicipta England dalam format pertan­dingan yang diguna pakai sekarang, tanpa keciciran walau satu mata.

Namun Walcott, yang memastikan England berada di landasan tepat untuk mencipta kena­ngan yang akan terus diingati menerusi jaringan pembukaan sewaktu England menundukkan Estonia 2-0 kelmarin, bersikap jujur apabila me­ngakui skuad bimbingan Hodgson hanya bertemu lawan yang lemah di peringkat kumpulan.

Katanya, ujian lebih getir bakal menanti England dalam pusingan akhir di Perancis nanti.

“Kami mahu menjadikannya kepada 10 kemenangan pada malam Isnin (subuh Selasa waktu Malaysia). Ia satu pencapaian kecil yang cukup manis untuk dilakukan. Kami mahu menang dalam kesemua perlawanan.

“Namun, kekuatan pasukan kami bakal menerima ujian sebenar dalam aksi persahabatan akan datang (menentang Perancis dan Sepanyol, bulan depan) dan semua orang mahu mencipta kemenangan dalam mana-mana pertandingan serta menjadi kebanggaan negara.

“Terdapat segelintir pemain muda yang begitu teruja di dalam bilik persalinan dan cukup bersemangat untuk bermain baik, tetapi kami hanya akan benar-benar diadili apabila melangkah dalam pertandingan sebenar bola sepak,” kata penyerang Arsenal itu.

Walaupun Walcott lebih selesa bersikap berhati-hati mengingatkan England, yang se­ring mempamerkan prestasi kurang baik dalam pertandingan besar, dia bagaimanapun turut memuji Hodgson dan para pemain yang layak menerima pujian kerana mampu bangkit selepas kekecewaan terkandas seawal saingan kumpulan semasa Piala Dunia tahun lalu. – AFP

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/england-tidak-boleh-hanyut-dibuai-kejayaan-8211-walcott-1.145371#sthash.EkijUzHV.dpuf

EURO 2016 : Wales tamat penantian 57 tahun

12 Oktober 2015 12:11 AM


PENYERANG Itali, Eder (kanan) meraikan jaringannya bersama pemain tengah Antonio Candreva sewaktu menentang Azerbaijan dalam perlawanan Kumpulan H kelayakan Euro 2016 di Baku, Azerbaijan semalam. Itali menang 3-1. AFP

PARIS - Wales mengesahkan tempat ke pusingan akhir pertandingan antarabangsa untuk kali pertama sejak Piala Dunia 1958, setelah melayakkan diri ke Euro 2016 meskipun tewas 0-2 kepada Bosnia semalam.

The Dragons memastikan tempat mereka ke Euro 2016 terjamin setelah Isreal tewas 1-2 kepada Cyprus di laman sendiri.

Belgium turut menempah slot ke Euro 2016 dalam aksi Kumpulan B selepas membelasah Andorra 4-1. Itali juga memastikan tempat mereka di Perancis pada musim panas tahun depan setelah me­nundukkan Azerbaijan 3-1.

Wales, Balgium dan Itali menyertai Austria, Republik Czech, England, Perancis, Iceland, Ireland Utara, Portugal, Sepanyol dan Switzerland yang terlebih dahulu melayakkan diri ke pusingan akhir 24 pasukan itu.

Bosnia berada di depan selepas 71 minit permainan berlangsung di Zenica, apabila Miralem Pja­nic melakukan rembatan jarak jauh ke dalam petak penalti untuk membolehkan pemain gantian Milan Djuric menanduk masuk menewaskan penjaga gol Wayne Hennessey.

Vedad Ibisevic menyumbat gol kedua pada hujung permainan, sekali gus menghidupkan peluang Bosnia beraksi dalam playoff. Namun, kekalahan itu tidak menjejaskan peluang Wales, setelah Cyprus mengejutkan Israel 2-1 di Jerusalem, terima kasih kepada jaringan Jason Demetriou pada minit ke-80.

“Inilah kekalahan paling indah sepanjang hidup saya. Untuk membuat pencapaian ini merupakan satu impian yang menjadi kenyataan dan sekarang kami perlu bersedia untuk ke Perancis. Ini membuktikan kemampuan sebenar kami. Kami seperti mempunyai ikatan persaudaraan ketika di dalam padang,” kata bintang Real Madrid, Gareth Bale.

Sementara itu, Belgium menambah derita Andorra, yang ditimpa kekalahan ke-49 dalam kelayakan Euro, sewaktu beraksi dalam hujan di padang sintetik dan melayakkan diri buat ke kelima ke pusingan akhir.

Skuad bimbingan Marc Wilmot memperoleh gol sulung selepas 19 minit perlawanan bermula apabila pemain Roma, Radja Nainggolan meledakkan gol menerusi rembatan jarak jauh, sebelum bintang Manchester City, Kevin De Bruyne menambah gol kedua dari jarak 22 meter tiga minit sebelum rehat.

Pemain Andorra, Ildefons Lima merapatkan jurang menerusi sepakan penalti pada minit ke-51, sebelum Eden Hazard kembali meletakkan Belgium dua gol di depan yang turut disempurnakan dari petak penalti lima minit kemudian.

Laurent Depoitre menyumbat gol keempat Belgium, manakala Hazard yang sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti gagal menyempurnakan amanah tersebut.

Dalam pada itu, bagi aksi Kumpulan A, Belanda melakar kemenangan 2-1 ke atas Kazakhstan, namun berdepan saingan untuk merebut slot playoff setelah Turki membenam Republik Czech 2-0 untuk mengekalkan kelebihan jurang dua mata di depan. – AFP

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/wales-tamat-penantian-57-tahun-1.145374#sthash.7JklQauQ.dpuf


EURO 2016 : Norway tak dapat simpati Azzurri

13 Oktober 2015 12:12 AM


Antonio Conte

MILAN – Walaupun sudah mengesahkan tiket ke Kejohanan Eropah (Euro) 2016, Sabtu lalu, namun Itali tidak akan memberi ‘ihsan’ kepada Norway yang masih memburu tempat ke Perancis apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan terakhir Kumpulan H di Rom, hari ini.

Pengendali Azzurri, Antonio Conte berkata, pasukannya turun untuk memburu kemenangan ketujuh daripada 10 perlawanan peringkat kumpulan, sekali gus melengkapkan kecemerlangan selepas menumpaskan Azerbaijan 3-1, minggu lalu.

Malah katanya, kemenangan amat penting untuk membolehkan juara 1968 itu menamatkan kempen kelayakan selaku juara kumpulan.

“Kami mahu Norway hormat kami. Aksi di Rom akan menjadi satu perlawanan yang menarik,” kata pengendali berusia 46 tahun itu.

Kenyataan Conte nyata bukan berita baik buat Norway, yang bersaing sengit dengan Croatia untuk memburu tiket automatik ke Euro 2016 atau terpaksa memburu tempat menerusi playoff.

Norway kini hanya meninggalkan Croatia dengan dua mata selepas mengumpul 19 mata daripada sembilan perlawanan, dua mata di belakang Itali.

Croatia dijangka tiada masalah untuk mengalahkan pasukan kerdil, Malta apabila bertandang ke tempat lawan hari ini, sekali gus memberi tekanan kepada Norway bahawa mereka perlu pulang dari Rom dengan tiga mata.

Bagaimanapun, misi itu tidak mudah kerana kali terakhir Norway menang ke atas Itali adalah adalah pada 2000.

Dalam perlawanan di Oslo ketika itu, Gianluigi Buffon menjadi penjaga gol dan Conte bermain di bahagian tengah. Mereka menang tipis 1-0.

Jika Norway dan Itali seri manakala Croatia menang ke atas Malta, mereka akan berkongsi 20 mata, namun Croatia akan menamatkan saingan selaku naib juara kerana memiliki kelebihan jaringan yang baik. – AFP

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/norway-tak-dapat-simpati-i-azzurri-i-1.145717#sthash.rCxcVkoT.dpuf


Jerman sahkan tiket Euro 2016

Poland, Albania, Romania turut layak

13 Oktober 2015 12:12 AM


MAX KRUSE (tengah) diraikan oleh rakan-rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kemenangan ketika membantu Jerman menumpaskan Georgia dalam aksi kelayakan Euro 2016 di Leipzig, semalam. REUTERS

LEIPZIG, Jerman - Juara dunia, Jerman mengesahkan tiket ke Kejohanan Eropah (Euro) 2016 selaku juara Kumpulan D, meskipun mempa­mer aksi kurang meyakinkan ketika menumpaskan Georgia 2-1 di laman sendiri semalam.

Dalam satu lagi saingan Kumpulan D, Ireland gagal mengiringi Jerman untuk menjejakkan kaki ke Perancis, sebaliknya slot naib juara menjadi milik Poland yang mengalahkan mereka 2-1.

Pasukan kerdil Albania pula meraikan kejayaan melayakkan diri ke kejohanan utama buat kali pertama selepas membenam Armenia 3-0 untuk muncul naib juara Kumpulan I di belakang Portugal, dan mengatasi pasukan pilihan, Denmark.

Kejayaan bersejarah Albania diraikan di seluruh negara, malah sehingga ke Kosovo. Di Tirana, mercun dibakar sebaik saja tamat perlawanan dan orang ramai berkumpul di jalan utama sambil mengibar bendera.

“Ini adalah kejayaan bersejarah. Kami tidak memiliki pemain bertaraf bintang, tetapi semangat sepa­sukan telah menjulang Albania,” kata Presiden Persatuan Bola Sepak Albania, Armando Duka.

Albania di depan seawal minit kesembilan hasil jaringan sendiri pemain Armenia, Kamo Hovhan­nisyan, sebelum menambah dua lagi gol menerusi pemain pertahanan, Berat Djimsiti dan pemain gantian, Armando Sadiku.

Turut mengesahkan tiket ke Euro 2016 adalah Romania yang menumpaskan Kepulauan Faroe 3-0 untuk muncul naib juara Kumpulan F di belakang Ireland Utara, yang seri 1-1 dengan Finland.

Sementara itu, Jerman yang ha­nya memerlukan satu mata ke atas Georgia untuk mengesahkan tiket ke Perancis terpaksa menunggu ja­ringan Max Kruse pada minit ke-79 untuk mengesahkan kemenangan dan muncul juara kumpulan.

Thomas Mueller terdahulu meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-50 selepas menyempurnakan penalti, namun Jaba Kankava berjaya menyamakan kedudukan buat Georgia, tiga minit kemudian.

“Kami tetap gembira berjaya melayakkan diri, namun tidak berpuas hati dengan persembahan dalam dua perlawanan terakhir.

“Kami tidak menunjukkan standard sebenar dan banyak kelemahan yang harus diperbaiki,” kata jurulatih Jerman, Joachim Loew.

Dalam perlawanan di Warsaw, Robert Lewandowski mengesahkan kemenangan Poland pada minit ke-42.

Grzegorz Krychowiak membuka jaringan Poland pada minit ke-13, namun Jon Walters menyamakan kedudukan menerusi sepakan pe­nalti, tiga minit kemudian. – AFP

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jerman-sahkan-tiket-euro-2016-1.145722#sthash.T0BRE55h.dpuf

Wednesday, 9 September 2015

EURO 2016 : Oranje di ambang penyingkiran

08 September 2015 12:27 AM


PEMAIN Belanda, Georgino Wijnaldum (kanan) tidak mampu menahan kecewa selepas pasukannya tumpas 0-3 kepada Turki dalam aksi kelayakan Euro 2016 di Stadium Arena, Konya, semalam. AFP

AMSTERDAM – Belanda kini dilanda krisis apabila tewas mengejut 0-3 kepada Turki, semalam sekali gus menyukarkan peluang mereka untuk melayakkan diri ke Kejohanan Eropah (Euro) 2016.

Jurulatih baharu Oranje, Danny Blind berkata, masalah yang melanda pasukannya menjadi bertambah parah ekoran kesilapan individu sewaktu kecundang di Konya.

Kekalahan tersebut hadir hanya beberapa hari selepas mereka dikejutkan 0-1 oleh Iceland di laman sendiri, Khamis lalu.

Dua kekalahan dalam dua perlawanan pertama sejak Blind dilantik sebagai pengendali pasukan menyebabkan Belanda kini merudum ke tangga keempat Kumpulan A.

Mereka keciciran dua mata di belakang Turki, yang menghuni tempat ketiga dengan hanya dua perlawanan berbaki.

Belanda tidak punya pilihan kecuali memenangi semua baki perlawanan untuk beraksi dalam playoff, November ini sambil berharap Turki keciciran mata dalam perlawanan mereka.

Dalam kata lain, nasib Oranje kini bukan di tangan mereka sendiri, sebaliknya bergantung kepada keputusan perlawanan Turki.

Kemerosotan yang ditunjukkan Belanda amat drastik selepas mereka menamatkan saingan di tangga ketiga dalam Piala Dunia di Brazil tahun lalu.

“Pencapaian itu (Piala Dunia 2014) tidak boleh diambil kira lagi,” tajuk muka depan akhbar tempatan Algemeen Daglad, semalam.

Akhbar Volkskrant pula berkata, skuad tersebut gagal mempamer kualiti, tidak cergas, tiada kelajuan serta semangat berpasukan dan tiada keberanian.

Pemain tengah, Wesley Sneijder tidak mampu untuk menjelaskan di mana silapnya sehingga mereka mempamerkan aksi seburuk itu.

“Mungkin kami tidak bernasib baik, dan juga kurang keyakinan. Kami melepaskan dua gol mudah yang mendedahkan kepincangan kami,” kata pemain Galatasaray itu kepada televisyen Belanda.

Robin van Persie, yang dilucutkan sebagai kapten sewaktu perlawanan menentang Iceland kembali menggalas tugas tersebut semalam ekoran ketiadaan Arjen Robben.

Bekas penyerang Manchester United dan Arsenal itu tidak mampu menyembunyikan kekecewaan atas kekalahan yang dianggap memalukan.

“Kesemua perlawanan pada kelayakan ini begitu sukar buat kami. Kami kini hilang kuasa. Saya rasa cukup teruk sekali,” katanya.

Belanda bakal bertemu Kazakhs­tan dalam aksi berikutnya di tempat lawan pada 10 Oktober ini.

Mereka kemudian menamatkan peringkat kumpulan di laman sendiri menentang Republik Czech yan telah pun melayakkan diri pada 13 Oktober. – REUTERS

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/i-oranje-i-di-ambang-penyingkiran-1.132889#sthash.0FAizDv2.dpuf


EURO 2016 : Iceland lakar sejarah

08 September 2015 12:27 AM



PEMAIN Iceland meraikan kejayaan melayakkan diri ke pusingan akhir Kejohanan Eropah buat kali pertama selepas mengikat Kazakhstan 0-0 di Reykjavik, semalam

REYKJAVIK, Ireland - Iceland melakar sejarah bola sepak apabila melayakkan diri ke kejohanan utama buat kali pertama dengan menempah tiket pusingan akhir Kejohanan Eropah (Euro) 2016.

Dengan hanya memiliki 330,000 penduduk, mereka muncul negara yang mempunyai populasi paling rendah berjaya layak ke kejohanan berprestij itu, berterima kasih kepada keputusan seri 0-0 dengan Kazaksh­tan di Reykjavik, semalam.

Selepas mengejutkan Belanda 1-0, Khamis lalu, Iceland hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan kedudukan selaku dua pasukan teratas Kumpulan A.

Ketua pasukan mereka, Aron Gunnarsson dibuang padang seminit sebelum tamat permainan, namun itu tidak menghalang Iceland daripada memahat sejarah.

Keputusan tersebut membolehkan skuad bimbingan Heimir Hallgrimsson itu menyertai jejak England dan Republik Czech, dua pasukan pertama yang mengesahkan tiket ke Perancis, tahun depan.

“Ia sukar dipercayai, saya masih terkejut. Kami telah bekerja keras untuk mencapai tahap ini.

“Menjadi anggota pasukan pertama Iceland berjaya mela­yakkan diri ke pusingan akhir Euro adalah sesuatu yang saya impikan sejak sekian lama.

“Sejak saya mula bermain bola sepak, saya sentiasa berharap akan menjadi orang yang membawa negara kami ke pentas besar,” kata Gunnarsson.

Gunnarsson juga adalah sebahagian daripada anggota pasukan yang hampir membawa Iceland melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 di Brazil, namun mereka disingkir oleh Croatia dalam saingan playoff.

Selepas kekecewaan itu, dia dan rakan-rakan sepasukannya bangkit dengan lebih kuat biarpun diletak dalam kumpulan yang dibarisi pasukan gergasi seperti Belanda, Republik Czech dan Turki. Turut menganggotai Kumpulan A adalah Latvia.

Selepas mengharungi lapan perlawanan, Iceland mencatat enam kemenangan, satu seri dan satu kekalahan untuk mengumpul 19 mata, berkongsi mata bersama Republik Czech, yang mengesahkan tiket ke Perancis selepas menundukkan Latvia 2-1.

Dalam perlawanan Kumpulan B, Wales masih kekal di tangga teratas biarpun sekadar seri tanpa jaringan dengan Israel di tempat sendiri, manakala Bosnia & Herzegovina menumpaskan Andorra 3-0.

Belgium mencerahkan peluang untuk layak selepas menang tipis 1-0 ke atas Cyprus.

Sementara itu, dalam saingan Kumpulan H, Itali mengukuhkan kedudukan pendahulu selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Bulgaria. Mereka diekori rapat oleh Norway yang menundukkan Croatia 2-0, manakala Malta dan Azerbaijan terikat 2-2. – REUTERS

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/iceland-lakar-sejarah-1.132900#sthash.BLwWEdn6.dpuf


EURO 2016 : Belanda kalah, Depay digelar sebagai ‘penjahat James Bond’

09 September 2015 12:18 AM


Memphis Depay

LONDON – Memphis Depay menjadi sasaran kritikan bekas pemain antarabangsa Belanda, Willem van Hanegem ekoran prestasi buruk Belanda dalam kempen kelayakan Euro 2016.

Belanda tewas kepada Iceland dan Turki dalam dua perlawanan kelayakan sewaktu rehat antarabangsa, yang menyebabkan peluang mereka untuk layak ke Euro tahun depan terumbang-ambing, malah untuk menyertai perlawanan playoff sekali pun sukar untuk dijang­kau oleh skuad bimbingan Danny Blind kerana kempen kelayakan kini hanya berbaki dua perlawanan.

Beberapa pemain yang pernah beraksi dalam separuh akhir Piala Dunia 2014 sewaktu Belanda berada di bawah kendalian Louis van Gaal masih kekal bersama pasukan itu, tetapi mereka gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan.

Bekas pemain antarabangsa Belanda, Van Hanegem antara yang paling lantang mengkritik aksi buruk Oranje dan Depay antara pemain yang menjadi sasaran kutukannya apabila memberi gelaran pemain itu sebagai ‘penjahat dalam filem James Bond’.

“Terdapat beberapa pemain dalam skuad Oranje yang hanya memikirkan tentang diri mereka sendiri sahaja. Misalnya Memphis, dia seperti Goldfinger dengan kasut emasnya. Tetapi apa kegunaannya untuk Belanda?

“Saya tidak peduli dia menyertai Oranje dengan memakai topi dan selendang. Apa yang dia lakukan di luar padang itu hak peribadi dia. Tetapi dengan memakai kain selendang dan berjanggut, dia dengan mudahnya boleh menyertai penduduk Amish di Amerika Syarikat dan menaiki kereta kuda,” katanya. – AGENSI

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/belanda-kalah-depay-digelar-sebagai-8216-penjahat-james-bond-8217-1.133391#sthash.Dio0a3AX.dpuf

EURO 2016 : Roy Hodgson yakin Raheem Sterling mampu kumpul 100 cap

09 September 2015 12:17 AM


RAHEEM STERLING (kanan) berlatih bersama pemain pertahanan John Stones sewaktu sesi latihan England di London kelmarin untuk persediaan menentang Switzerland dalam kempen kelayakan Euro 2016. AFP

WATFORD, United Kingdom – Pengurus England, Roy Hodgson kagum dengan permulaan yang dipamerkan Raheem Sterling bersama Manchester City dan percaya pemain berusia 20 tahun itu mampu tampil 100 kali di peringkat antarabangsa.

Sterling berhadapan situasi sukar pada penghujung musim lalu terutama apabila pemain itu menolak tawaran melanjutkan kontrak dengan Liverpool sebelum menyertai City dengan harga 49 juta pound (RM 327 juta).

Kini penyerang tersebut menjadi antara tonggak utama City selepas mempamerkan permulaan yang baik dalam Liga Perdana Inggeris musim ini serta telah menjaringkan gol pertamanya ketika menentang Watford dalam penampilan terakhir­nya dan kecemerlangan pemain itu membuatkan Hodgson teruja untuk memanfaatkan prestasi semasa Sterling dalam kempen kelayakan Euro 2016.

“Ini tahun yang besar untuknya. Dia akan menghadapi banyak lagi tahun penting: Perancis pada 2016 (Euro), Rusia pada 2018 (Piala Dunia), seluruh Eropah pada 2020 (pusingan akhir Euro pada 2020 akan berlangsung di seluruh Eropah) 2022 (Piala Dunia)...

“Itu adalah tahun-tahun penting, tetapi dengan usianya dia masih ada banyak masa untuknya. Saya yakin satu hari nanti dia akan memburu penampilannya yang ke-100),” kata Hodgson.

Dalam pada itu, kapten England, Wayne Rooney juga percaya Sterling mampu membantu Hodgson untuk membina pasukan masa hadapan yang berupaya meraih kecemerlangan.

“Anda dapat melihat bagaimana dia melakukannya. Saya juga percaya dia kini gembira kerana dapat berpindah seperti yang diinginkannya.

“Malah dia juga bermula dengan baik sekali bersama Manchester City.

“Apabila dia dapat apa yang diinginkan selepas menempuh situasi sukar, pasti akan memberikan kelebihan kepada kami kerana kegembiraan dirinya mampu membuatkan dia menghasilkan prestasi bagus bersama pasukan kebangsaan,” kata Rooney. – AGENSI

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/roy-hodgson-yakin-raheem-sterling-mampu-kumpul-100-i-cap-i-1.133369#sthash.CePqlPsk.dpuf

Jerman hampir ke Euro 2016

09 September 2015 12:17 AM


Thomas Muller (lima dari kiri) meraikan jaringan pertamanya untuk Jerman bersama-sama rakan sepasukannya ketika menentang Scotland di Glasgow semalam. Reuters

GLASGOW - Dua jaringan Thomas Muel­ler menjamin tempat Jerman sebagai pendahulu Kumpulan D selepas menewaskan Scotland 3-2 dalam kelayakan Euro 2016 di Hampden Park semalam.

Mueller menja­ringkan gol awal pada minit ke-18 melalui rembatan kaki kiri yang berjaya menewaskan penjaga gol tuan rumah David Marshall dalam perlawanan yang menyaksikan Jerman berjaya menyekat hasrat Scotland untuk menguasai perlawanan biarpun bermain di laman sendiri.

Bagaimanapun, jaringan sendiri Mats Hummels membolehkan skuad bimbingan Gordon Strachan menyamakan kedudukan pada minit ke-27 setelah bola melantun hasil sepakan bebas Shaun Maloney terkena pemain itu.

Bagaimanapun, Jerman kembali di depan menerusi tandukan Mueller tujuh minit kemudian tetapi tuan rumah sekali lagi me­nyamakan kedudukan menerusi percubaan James McArthur pada minit ke-43.

Bintang Bayern Munich, Mueller kemudian membantu pasukannya mendapatkan gol, tetapi kali ini sebagai watak pembantu apabila mengumpan kepada Ilkay Gundogan untuk gol ketiga Jerman pada minit ke-54.

“Seperti ada sesuatu di dalam diri mereka yang menggerakkan mereka untuk bermain dengan lebih baik, malah mereka juga boleh berbangga dengan persembahan baik pada perlawanan ini.

“Kami berjaya mengawal bola dengan baik untuk mendapatkan kemenangan yang memang kami impikan.

“Dalam masa sama saya juga bangga kerana kami kini sema­kin hampir untuk melangkah ke pusingan akhir di Perancis pada 2016,” kata jurulatih Jerman, Joachim Loew. – AFP

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jerman-hampir-ke-euro-2016-1.133371#sthash.5Lpk2Trm.dpuf


Tuesday, 31 March 2015

Kelayakan Euro 2016: Jerman atasi Georgia 2-0

ISNIN, 30 MAC 2015 @ 9:27 AM



PEMAIN Jerman, Mesut Oezil (kiri) dan Marco Reus meraikan jaringan gol kedua ketika menentang Georgia dalam saingan kelayakan Euro 2016 di Tbilisi. - Foto AFP

TBILISI: Juara Dunia, Jerman menang mudah 2-0 ke atas tuan rumah Georgia dalam saingan kelayakan Euro 2016 dengan dua jaringan dalam tempoh lima minit oleh Marco Reus dan Thomas Mueller cukup untuk memantapkan semula kempen dalam Kumpulan D.

Reus menjaringkan gol selepas 39 minit permainan dan disusuli Mueller untuk membolehkan Jerman yang sebelum ini tewas kepada Poland, menguasai permainan.


PEMAIN Georgia, Giorgi Chanturia (kiri) bersaing dengan pertahanan Jerman, Jonas Hector dalam saingan kelayakan Euro 2016 di Tbilisi. - Foto AFP

Kemenangan itu memberikan Jerman 10 mata daripada lima perlawanan, sama dengan pendahulu Poland serta satu lagi pesaing, Scotland.

"Melihat kedudukan dalam kumpulan sudah cukup untuk memahami situasi yang mendesak. Kami bermain dengan dinamik dan menguasai permainan," kata jurulatih Jerman, Joachim Loew.



PEMAIN Jerman, Mario Gotze (kanan) bersaing dengan pemain Georgia, George Navalovsky dalam saingan kelayakan Euro 2016 di Tbilisi. - Foto AP


Keputusan kelayakan Euro 2016

ISNIN, 30 MAC 2015 @ 8:09 AM


PARIS: Berikut keputusan perlawanan kelayakan Euro 2016 yang berlangsung awal pagi tadi.


PEMAIN Serbia, Aleksandar Mitrovic (kiri) mengawal bola di depan pemain Portugal, Ricardo Carvalho pada perlawanan Kelayakan Euro 2016 di Stadium Luz, Lisbon awal pagi tadi. - Foto Reuters

Kumpulan D

Di Tbilisi

Georgia 0 - Jerman 2 (Reus 39, Mueller 44)

Di Glasgow, Scotland

Scotland 6 (Maloney 18-pen, 34-pen, S Fletcher 29, 77, 90, Naismith 39) - Gibraltar 1 (L Casciaro 20)

Di Dublin

Republik Ireland 1 (Long 90+1) - Poland 1 (Peszko 26)

Kumpulan F

Di Belfast

Ireland Utara 2 (K Lafferty 33, 38) - Finland 1 (Sadik 90+1)

Di Ploiesti, Romania

Romania 1 (Keseru 21) - Kepulauan Faroe 0

Di Budapest

Hungary 0 - Greece 0

Kumpulan I

Di Elbasan, Albania

Albania 2 (Mavraj 77, Gashi 81) - Armenia 1 (Movsisyan 4)

Di Lisbon

Portugal 2 (Carvalho 10, Fabio Coentrao 63) - Serbia 1 (Matic 61)

- AFP

Keputusan kelayakan Euro 2016

AHAD, 29 MAC 2015 @ 8:59 AM

LONDON: Berikut keputusan perlawanan kelayakan Euro 2016 yang berlangsung, awal pagi tadi.


PEMAIN Wales, Aaron Ramsey (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan, Gareth Bale pada perlawanan kelayakan Euro 2016 yang berlangsung, awal pagi tadi. - Foto Reuters

KUMPULAN A

- Di Astana

KAZAKHSTAN...... 0 ICELAND....... 3

Iceland (Gudjohnsen 20, B Bjarnason 32, 90+1)

- Di Prague

REPUBLIK CZECH....... 1 LATVIA....... 1

Re Czech (Pilar 90)

Latvia (A Visnakovs 30)

- Di Amsterdam

BELANDA....... 1 TURKI....... 1

Belanda (Huntelaar 90+2)

Turki (Burak Yilmaz 37)

KUMPULAN B

- Di Haifa

Israel....... 0 WALES....... 3

Wales (Ramsey 45+1, Bale 50, 77)

- Di Andorra la Vella

ANDORRA....... 0 BOSNIA & HERZEGOVINA....... 3

Bosnia & Herzegovina (Dzeko 13, 49, 62)

- Di Brussels

BELGIUM....... 5 CYPRUS....... 0

Belgium (Fellaini 21, 66, Benteke 35, Hazard 67, Batshuayi 80)

KUMPULAN H

- Di At Baku

AZERBAIJAN...... 2 MALTA....... 0

Azerbaijan (C Huseynov 4, Nazarov 90+2)

- Di Zagreb

CROATIA....... 5 NORWAY....... 1

Croatia (Brozovic 30, Perisic 54, Olic 66, Schildenfeld 87, Pranjic 90+4)

Norway (Tettey 81)

- Di Sofia

BULGARIA....... 2 ITALI....... 2

Bulgaria (Popov 11, Micanski 17)

Itali (Y Minev 4-og, Eder 84)

- AFP

Keputusan kelayakan Euro 2016

SABTU, 28 MAC 2015 @ 8:11 AM



PENYERANG Sepanyol, Alvaro Morata (kanan) bersaing dengan pemain Ukraine, Evgeny Khacheridi (kiri) pada aksi kelayakan Euro 2016 di Stadium Sanchez Pijuan, Seville, Sepanyol. - Foto EPA

PARIS: Berikut keputusan perlawanan kelayakan Euro 2016 yang berlangsung, awal pagi tadi.

KUMPULAN C

Di Skopje

- MACEDONIA....... 1 BELARUS....... 2

Macedonia (Trajkovski m9)

Belarus (Kalachev m44, Kornilenko m82)

Di Zilina, Slovakia

- SLOVAKIA........ 3 LUXEMBOURG....... 0

Slovakia (Nemec m10, Weiss m21, Pekarik m40)

Di Seville

- SEPANYOL........ 1 UKRAINE....... 0

Sepanyol (Morata m28)

KUMPULAN E

Di London

- ENGLAND....... 4 LITHUANIA....... 0

England (Rooney m6, Welbeck m45, Sterling m58, Kane m73)

Di Ljubljana

- SLOVENIA....... 6 SAN MARINO....... 0

Slovenia (Ilicic m10, Kampl m, Andraz Struna m50, Novakovic m52, Lazarevic m73, B Ilic m88)

Di Lucerne, Switzerland

- SWITZERLAND....... 3 ESTONIA....... 0

Switzerland (Schaer m17, Xhaka m27, Seferovic m80)

KUMPULAN G

Di Vaduz

- LIECHTENSTEIN........ 0 AUSTRIA....... 5

Austria (Harnik m14, Janko m16, Alaba m59, Junuzovic m74, Arnautovic m90+3)

Di Chisinau

- MOLDOVA....... 0 SWEDEN...... 2

Sweden (Ibrahimovic m46, m84-pen)

Di Podgorica

- MONTENEGRO mln RUSSIA

(Dihentikan selepas minit ke-66 akibat gangguan penyokong)

- AFP

EURO 2016 : Gol aksi sulung Kane bantu England belasah Lithuania 4-0

SABTU, 28 MAC 2015 @ 6:44 PM


PENYERANG Tottenham, Harry Kane (kanan) cuba memperdaya pemain Lithuania, Tadas Kijanskas pada aksi Kelayakan Euro 2016, di Wembley, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

LONDON: Penyerang Tottenham, Harry Kane menjaringkan gol pada penampilan sulungnya, kurang dua minit selepas masuk sebagai pemain gantian ketika England membelasah Lithuania 4-0 pada aksi Kelayakan Euro 2016 di Wembley, awal pagi tadi.

Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan England di tangga teratas Kumpulan E dengan kini mengumpul 15 mata maksimum selepas lima perlawanan.

Kane, 22, yang menjaringkan 29 gol dalam semua kejohanan musim ini bersama Tottenham masuk menggantikan kapten, Wayne Rooney pada minit ke-71 berjaya menanduk masuk gol keempat England, dua minit kemudian.

Terdahulu tiga gol awal England dijaringkan Rooney pada minit ketujuh, Danny Welbeck (45) dan Raheem Sterling (58).

"Ini permulaan yang saya impikan. Untuk melihat ia menjadi kenyataan, sesuatu yang menakjubkan.

"Ia mungkin satu detik yang membuatkan saya sedikit bingung tetapi saya gembira dan berasa bangga. Apa yang paling penting ialah kami mencatat kemenangan," kata Kane.

England kini enam mata mengatasi dua pesaing terdekat, Slovenia dan Switzerland yang turut mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing, awal pagi tadi. - Reuters

Monday, 17 November 2014

Keputusan Kelayakan Euro 2016

SABTU, 15 NOVEMBER 2014 @ 8:19 AM


Kumpulan D

Georgia 0 Poland 4 (Glik 51, Krychowiak 71, Mila 73, Milik 90+2)

Jerman 4 (Mueller 12, 29, Goetze 38, Santos 67-og) Gibraltar 0

Scotland 1 (Maloney 75) Republik Ireland 0


Kumpulan F

Hungary 1 (Gera 84) Finland 0

Romania 2 (Papp 74, 79) Ireland Utara 0

Greece 0 Faroe Islands 1 (Edmundsson 61)


Kumpulan I

Portugal 1 (Ronaldo 72) Armenia 0

Serbia 1 (Tosic 4) Denmark 3 (Bendtner 60, 85, Kjaer 62). - AFP



PERTAHANAN Gibraltar, Josep Chipolina (kiri) melompat untuk mendapatkan bola daripada penyerang Jerman, Thomas Muller (tengah) dalam aksi kelayakan peringkat kumpulan Euro 2016 di Nueremberg, Jerman pagi ini. Jerman tewaskan Gibraltar 4-0. - Foto Reuters


EURO 2014 : Ronaldo ledak gol tunggal Portugal tewaskan Armenia

SABTU, 15 NOVEMBER 2014 @ 8:49 AM


CRISTIANO Ronaldo (tengah) bersaing dengan penjaga gol Armenia, Roman Berezovsky (kiri) dalam saingan kelayakan Euro 2016, awal pagi tadi. - Foto AFP

FARO (Portugal): Cristiano Ronaldo meledak gol tunggal kemenangan Portugal ke atas Armenia 1-0, sekali gus kekal satu mata di belakang pendahulu Kumpulan I, Denmark dalam saingan kelayakan Euro 2016, awal pagi tadi.

Gol Ronaldo hasil sepakan jarak dekat dihasilkan pada minit ke-72 permainan.

"Kami kini dalam keadaan sempurna dalam pusingan kelayakan ini. Denmark juga menang namun pasukan itu turut cemerlang ketika ini dan jika kita berjaya menang lagi, kita akan di tempat teratas," kata Ronaldo.

"Jurulatih Fernando Santos sudah mampu melaksanakan sistem baharu, membawa pemain muka baharu dan saya fikir kami di landasan yang betul ketika ini," katanya.

Sementara itu, Nicklas Bendtner meledak dua kali untuk membantu kemenangan 3-1 Denmark ke atas Serbia.

Susulan keputusan itu, jurulatih Serbia dari Belanda, Dick Advocaat mengumumkan bahawa dia sedang menimbang untuk meletak jawatan.


PEMAIN Denmark, Simon Kjaer (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan, Nicklas Bendtner ketika menentang Serbia di Belgrade, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Dalam pertemuan itu, Serbia memperoleh gol awal menerusi pemain sayap, Zoran Tosic yang melakukan rembatan deras pada jarak 12 meter pada minit ke-4.

Bendtner menyamakan kedudukan pada minit ke-60 diikuti gol kedua Denmark menerusi tandukan pemain pertahanan Simon Kjaer hasil sepakan percuma oleh Christian Eriksen dua minit selepas itu.

Bendtner kemudian menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-85.

Sementara itu, Perancis yang sudah melayakkan diri sebagai hos Euro 2016 nanti hanya mencatat keputusan seri 1-1 ke atas Albania. - AFP

PENYERANG Portugal, Helder Postiga (kiri) berentap dengan pertahanan Armenia, Taron Voskanyan (tengah) dan pemai tengah Armenia, Karlen Mkrtchyan (kanan) dalam saingan kelayakan Euro 2016, awal pagi tadi. - Foto AFP