Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label PERPADUAN. Show all posts
Showing posts with label PERPADUAN. Show all posts

Tuesday, 22 September 2015

Utamakan sekolah 
satu aliran

Murid dapat mengenali satu sama lain

FADZIL ZAINOL | 22 September 2015 1:39 AM


Abdul Wahid Umar

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, sistem sekolah satu aliran merupakan antara usaha yang perlu diutamakan oleh kerajaan bagi memastikan setiap murid daripada pelbagai kaum dapat mengenali antara satu sama lain.

Katanya, keharmonian kaum di negara ini perlu bermula di peringkat sekolah rendah dan murid daripada pelbagai kaum seharusnya ditempatkan di bawah sistem atau aliran persekolahan yang sama, bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negara melalui perpaduan kaum.

“Saya ada dua anak perempuan seorang tahun enam dan seorang lagi tahun lima. Salah satu sebab mengapa saya hantar kedua-dua mereka ke sekolah kebangsaan adalah supaya mereka dapat mengenali orang (kaum) lain.

“Ia merupakan sekolah yang baik terletak di Putrajaya, tetapi malangnya tiada kepelbagaian kaum di sekolah tersebut. Terdapat juga murid daripada kaum India di sekolah itu, tetapi tiada daripada kaum Cina. Keadaan itu bukanlah sesuatu yang perlu diamalkan di negara ini,” katanya ketika menjadi ahli panel sempena Laporan Terkini Ekonomi Malaysia anjuran Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), di sini hari ini.

Turut menjadi ahli panel ialah Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu, Datuk Seri Idris Jala.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes yang turut hadir pada sesi perbincangan tersebut. Tony bertanya bagaimana prospek Malaysia untuk mencapai pertumbuhan ekonomi di sebalik isu perkauman yang sering dibangkitkan sejak akhir-akhir ini.

Dalam pada itu Abdul Wahid berkata, usaha membawa pulang hasil pelaburan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) di negara asing untuk dilaburkan di negara ini adalah sesuatu yang baik bagi merancakkan kembali pelaburan domestik.

Katanya, sehingga Jun 2015, jumlah pelaburan bersih syarikat tempatan ke luar negara bernilai lebih RM500 bilion mengatasi pelaburan langsung asing di negara ini yang berjumlah RM477 bilion.

“Itu menandakan syarikat-syarikat Malaysia kini sudah menjadi jaguh dunia seperti Petronas, Kumpulan Sunway dan AirAsia. Selama ini kita mengalakkan mereka ke pasaran asing memandangkan pasaran domestik yang tidak begitu besar,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/utamakan-sekolah-8232-satu-aliran-1.138977#sthash.OSN9MkmL.dpuf

Monday, 19 January 2015

Hubungan kaum, agama semakin rapuh

Tuanku Abdul Halim zahir kebimbangan lihat situasi masa kini

JAMLIAH ABDULLAH | 19 Januari 2015 2:23 AM


Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah (dua dari kiri) berkenan memeriksa perbarisan kehormat pada Istiadat Perbarisan Kehormat Sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-87 di Dataran Balai Besar, Alor Setar, semalam . – BERNAMA

ALOR SETAR 18 Jan. - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini menzahirkan kebimbangan mengenai hubungan antara kaum dan agama dalam kalangan rakyat yang dilihat semakin rapuh.

Titah baginda, sikap toleransi dan hormat-menghormati antara kaum dan agama yang dipelopori sejak merdeka hingga kini seolah-olah tidak diutamakan.

‘‘Dengan izin Allah SWT, beta telah bersemayam di takhta selama 57 tahun. Walaupun pelbagai peristiwa beta saksi sepanjang pemerintahan, beta tidak pernah berasa begini bimbang dengan hubungan antara kaum dan agama yang semakin rapuh.

‘‘Kebebasan dan hak bersuara tanpa batasan akan mengundang reaksi balas daripada pihak yang tersinggung. Malah, Perlembagaan Persekutuan secara jelas digubal untuk mengelak daripada tercetusnya konflik dalam kalangan rakyat.

‘‘Jika rakyat cintakan keamanan dan kedamaian seperti beta, maka gunakanlah kebebasan dan hak bersama ini dengan berhemah,’’ titah Tuanku Abdul Halim dalam Istiadat Menyembah Tahniah dan Pengurniaan Darjah serta Bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-87 di Istana Anak Bukit di sini hari ini.

Teks baginda dibacakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tuanku Temenggong Datuk Seri Diraja Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.

Justeru, Tuanku Abdul Halim bertitah menggesa rakyat tidak mengambil tindakan provokasi yang boleh menimbulkan perbezaan pendapat dan sentimen perkauman.

‘‘Keadaan negara yang aman dan selamat merupakan prasyarat utama bagi meningkatkan aktiviti ekonomi dan menarik masuk pelaburan. Apa yang berlaku di beberapa negara lain boleh dijadikan contoh dan teladan,’’ titah baginda.

Tuanku Abdul Halim turut menzahirkan kebimbangan dengan pembabitan rakyat negara ini dalam kegiatan dan fahaman ekstremisme sehingga sanggup menjadi pengganas berani mati di negara asing.

‘‘Ibu bapa disaran mengawasi anak-anak supaya menghindari mereka daripada terjebak dengan fahaman yang sebenarnya menyimpang daripada ajaran agama sebenar.

‘‘Beta berharap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam akan dapat meneruskan usaha pemantapan fahaman ajaran Islam dalam kalangan rakyat, sekali gus menghindarkan umat Islam daripada tercicir pegangan dan amalan yang sebenar,’’ titah baginda.

Baginda menyeru semua rakyat memastikan projek pembangunan serta kegiatan sosioekonomi yang dirancang tidak menjejaskan alam sekitar, sekali gus menyebabkan bencana alam.

Titah baginda, semua pihak perlu bertanggungjawab memelihara alam sekitar dengan berkesan demi mengelakkan bencana alam seperti banjir di Pantai Timur baru-baru ini.

“Elakkanlah daripada menarah bukit, melakukan pembalakan haram, pembakaran terbuka dan pembuangan sampah yang tidak terkawal,” titah Tuanku Abdul Halim.

Dalam perkembangan lain, Tuanku Abdul Halim turut menzahirkan keinginan untuk melihat cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Sungai Petani oleh kerajaan negeri menjadi kenyataan.

‘‘Adalah diharapkan Kerajaan Persekutuan akan segera meluluskan cadangan kerajaan beta untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.

‘‘Beta yakin pembinaan projek tersebut dapat mencetuskan pertumbuhan ekonomi bagi negeri-negeri di wilayah utara,’’ titah baginda.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/hubungan-kaum-agama-semakin-rapuh-1.49543#sthash.Z3v7gLvw.dpuf


Friday, 16 January 2015

Gabungan NGO Melayu serah memorandum perpaduan

16 Januari 2015 1:36 AM


MUHYIDDIN YASSIN menerima Memorandum Perpaduan Nasional yang diserahkan oleh Azih Muda (dua dari kanan) sambil disaksikan Abdul Hamid Mohamad (tiga dari kanan) di Sri Satria, Putrajaya, semalam. – BERNAMA

PUTRAJAYA 15 Jan. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima Memorandum Perpaduan Nasional daripada Gabungan NGO Melayu yang dianggotai 320 badan bukan kerajaan (NGO).

Memorandum itu yang bertemakan Perpaduan Rakyat Malaysia Teras Keamanan dan Kemakmuran Negara diserahkan oleh Pengerusi Konvensyen Perpaduan Nasional, Datuk Azih Muda sambil disaksikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Dalam majlis yang berlangsung di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri di Sri Satria itu, seramai 12 wakil pemimpin NGO Melayu turut hadir antaranya Pre­siden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali; Presiden Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Zaini Hassan dan Datuk Ruhanie Ahmad.

Memorandum tersebut me­ngandungi 54 usul membabitkan 19 usul berkaitan politik, Perlembagaan negara dan undang-undang; 20 usul melibatkan sosio- ekonomi dan tujuh usul berkaitan hal ehwal agama Islam itu telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 29 November lalu.

Azih berkata, konvensyen yang berlangsung di Kuala Lumpur pada November lalu telah meluluskan Memorandum Perpaduan Nasional sebagai usul dan pandangan kepada Perdana Menteri dan kerajaan bagi dipertimbangkan secara serius dalam kerangka kerajaan menggubal Dasar Perpaduan Nasional.

Sementara itu, Abdul Hamid melahirkan rasa kesal apabila penglibatannya dalam konvensyen tersebut sebagai pakar rujuk dan penasihat telah mendapat kritikan daripada pihak-pihak tertentu sedangkan beliau bukan ahli mana-mana NGO.

“Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas pernah menyer­tai politik dan bertanding menentang Shahrizat (Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam pilihan raya umum) selain pernah dilantik sebagai Exco Kerajaan Ne­geri Terengganu selepas memang dalam pilihan raya.

“Ketika itu tidak ada siapa pun persoalkan, tetapi kenapa saya yang hanya dijadikan sebagai tempat rujukan dan memberikan pandangan dituduh rasis,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/gabungan-ngo-melayu-serah-memorandum-perpaduan-1.48449#sthash.RVD01iGF.dpuf


Monday, 24 November 2014

Konvensyen lulus Memorandum Perpaduan Nasional

24 November 2014 2:50 AM


Ibrahim Ali (dua dari kanan) menyerahkan Laporan Memorandum dan Usul Konvensyen Perpaduan Nasional kepada bekas Setiausaha Politik Tun Mahathir Mohamad, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin pada Konvensyen Perpaduan Nasional di Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/Hafiz Johari

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Konvensyen Perpaduan Nasional hari ini meluluskan Memorandum Perpa­duan Nasional yang berlandaskan pada status quo hak-hak pribumi, Melayu dan Islam serta bukan pribumi.

Memorandum itu diluluskan selepas dibahaskan oleh 24 pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh-tokoh dan ahli akademik dalam konvensyen anjuran Gabungan NGO Melayu dan Islam Penggerak Perpaduan Nasional di Pusat Islam di sini.

Ia diluluskan secara sebulat suara oleh peserta perhimpunan selepas diusulkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penyediaan Memorandum Perpaduan Nasional, Datuk Ibrahim Ali.

Perhimpunan pertama kali disertai kira-kira 350 NGO tersebut merupakan platform terbaharu kepada mereka untuk membincangkan masalah dihadapi masyarakat masa kini, khususnya dalam kalangan orang Melayu.

Ibrahim berkata, memorandum berkenaan merupakan suara hati nurani NGO pribumi, Melayu dan Islam yang mengandungi 54 usul.

Beliau berkata, sejumlah 19 usul dihasilkan daripada penghujahan tentang politik, Perlembagaan, undang-undang dan keselamatan negara manakala 20 usul pula melibatkan isu-isu ekonomi.

“Sebanyak lapan usul daripada suara hati kita adalah tentang pendidikan dan bakinya perbincangan dari sudut agama,’’ katanya ketika membentangkan laporan memorandum dan usul berkenaan dalam konvensyen tersebut.

Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata, keseluruhan usul itu berlatarbelakangkan suasana di negara ini sejak Pilihan Raya Umum 2008, melibatkan lapan perkara iaitu:

Keunggulan Perlembagaan Per­sekutuan yang kini dipertikaikan oleh sesetengah pihak.

Keluhuran undang-undang negara terutama untuk menjamin ketenteraman awam dan keselamatan seperti Akta Hasutan yang cuba dimansuhkan.

Kesucian Islam sebagai agama rasmi Persekutuan yang kebelakangan ini dijadikan bahan polemik dan cuba diperkecilkan oleh sesetengah pihak.

Kedaulatan institusi Raja-raja Melayu.

Keselamatan politik Barisan Nasional (BN) berteraskan UMNO yang sedang terhakis dan terancam.

Status pribumi, Melayu dan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Keselamatan ekonomi pribumi yang terumbang-ambing.

Isu-isu pendidikan yang dipersepsikan sebagai mengancam kesejahteraan pribumi dalam bidang itu.

Menurutnya, senario dan isu-isu tersebut perlu ditangani secara tegas oleh kerajaan kerana perpaduan nasional akan terjejas, sentimen perkauman boleh memuncak serta kesejahteraan rakyat boleh terancam jika dibiarkan berlarutan.

Beliau berkata, memorandum itu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, raja-raja Melayu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan jemaah menteri.

“Penyerahan kepada Najib akan cuba dibuat sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang bermula Selasa ini,” katanya.

Katanya, penyerahan memorandum bertajuk ‘Perpaduan Rakyat Teras Keamanan dan Kemakmuran Negara’ itu bertujuan membantu kerajaan dengan menjadikannya sebagai panduan untuk menangani isu-isu yang timbul.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/konvensyen-lulus-memorandum-perpaduan-nasional-1.28544#sthash.xFT0fEp5.dpuf


Wednesday, 15 October 2014

Bahasa kebangsaan belum berjaya

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

MUHYIDDIN Yassin menyampaikan hadiah penulisan Karya Ilmiah 2014 kepada Prof. Mat Rofa Ismail dalam pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam. Turut hadir Dr. Rais Yatim (kiri), Dr. Md. Salleh Yaapar (tiga, kanan) dan Dr. Awang Sariyan. - BERNAMA

PUTRAJAYA 14 Okt. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui hasrat kerajaan untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan masih belum benarbenar berjaya.

Sehubungan itu beliau mahu pembabitan semua warganegara dalam menjayakan Dasar Bahasa Kebangsaan ditingkatkan apatah lagi nilai bahasa kebangsaan begitu berbezabeza pada golongan tertentu.

"Saya menyeru semua warganegara tanpa mengira asal keturunan di negara ini agar memberikan nilai yang tinggi kepada bahasa kebangsaan dan bersamasama bergerak memajukan bahasa dan persuratan kebangsaan.

"Sinergi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan pelbagai persatuan dan institusi pelbagai keturunan yang sedikit sebanyak menunjukkan kesan positif perlu juga ditingkatkan supaya bahasa kebangsaan kita benarbenar menjadi milik sepunya seluruh warganegara," katanya.

Beliau berucap melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Datuk Seri Dr. Md. Salleh Yaapar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Awang Sariyan.

Dalam majlis tersebut Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan turut menyerahkan watikah pelantikan sebagai anggota kerja Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) dan antara penerimanya ialah Awang (DBP); Prof. Dr. Dustin Carrell Cowell (University of WisconsinMadison, Amerika Syarikat); Dr. K. Alexander Adelaar (University of Melbourne, Australia); Prof. Wu Zong Yu (Beijing Foreign Studies University, China) dan Dr. Victor A. Pogadaev (Universiti Negara Moscow, Rusia).

Muhyiddin berkata, begitu juga peranan media cetak dan media ekektronik yang seharusnya diberikan perhatian khusus dalam konteks memartabatkan bahasa kebangsaan berdasarkan pengaruhnya kepada masyarakat.

"Sebagai pihak yang amat berpengaruh kepada masyarakat peranan media massa cukup penting dalam menyemaikan mesej yang berkesan melalui bahasa yang difahami oleh golongan terbanyak.

"Media massa turut berperanan dalam memupuk budaya berbahasa santun, selaras dengan adab dan budi bahasa kita sebagai warganegara yang menjunjung kesopanan dan kesusilaan," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan Muhyiddin berkata, cabaran media baharu yang sebahagiannya cenderung untuk bebas daripada norma adab, akhlak dan juga bentuk bahasa tidak terkawal boleh menjejaskan usaha menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu serta pemikiran jika perkara tersebut dibiarkan.

"Bahasa kebangsaan tidak wajar dikorbankan dengan menjadi bahasa pasar atau bahasa perhubungan harian sematamata walaupun kita akui keperluan penggunaan bahasa untuk perhubungan biasa dalam kehidupan bermasyarakat," katanya lagi.

Pada peringkat institut pengajian tinggi (IPT) pula Muhyiddin berkata, sejak Pelan Memperkasakan Bahasa Kebangsaan di IPT dilancarkan tiga tahun lalu sebanyak enam institut pengajian tinggi awam (IPTA) telah diaudit di peringkat awal.

"Selepas ini semua IPTA akan diaudit bagi memastikan semua IPTA memperkasakan bahasa kebangsaan sebagaimana digariskan di dalam pelan berkenaan.

"Antaranya penggunaan bahasa kebangsaan sebagai pengantar kuliah selain penegasan penghasilan karya ilmiah dalam bahasa kebangsaan sebagai salah satu asas pengiktirafan untuk kemajuan kerjaya tenaga akademik," katanya lagi.

Ujarnya, program itu akan diperluaskan kepada institut pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi memastikan IPTS tidak mengesampingkan bahasa kebangsaan dalam proses pembelajaran dan pengajarannya.

"Penggubalan dasar dan pelan memperkasakan bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan negara melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 20132025 juga antara langkah meningkatkan tahap serta mutu bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar (sekolah)," ujar beliau.

Muhyiddin turut menyentuh peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memperkasakan bahasa kebangsaan antaranya berkaitan dengan kelulusan memaparkan iklan di tempat awam.

Hakikatnya ujar beliau, citra bahasa di tempat awam masih memerlukan kesungguhan PBT dalam menguatkuasakan Undangundang Kecil Pengiklanan yang menggariskan keutamaan bahasa kebangsaan pada iklan, nama perniagaan, nama tempat, nama bangunan dan paparan lain.

"Peningkatan nama yang tidak bercitra kebangsaan bagi taman perumahan, kawasan dan gedung perniagaan atau institusi misalnya agak membimbangkan dalam konteks pembinaan citra kebangsaan.

"Mesyuarat Negara bagi Kerajaan Tempatan kali ke67 pada 4 Mac lalu yang dipengerusikan oleh saya sendiri memutuskan bahawa paparan di tempat awam sama ada pihak swasta atau agensi kerajaan hendaklah mendapat pengesahan dan kelulusan daripada DBP dalam aspek bahasanya," katanya.

Oleh itu beliau berharap semua PBT mensyaratkan pengiklan dan pihak yang memohon untuk memaparkan sesuatu di tempat awam mematuhi peraturan itu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141015/dn_05/Bahasa-kebangsaan-belum-berjaya#ixzz3GAsj9pth  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Monday, 8 September 2014

Perpaduan kaum bermula di sekolah

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my



ROMPIN 6 Sept. - Agenda menyemarakkan perpaduan kaum di negara ini seharusnya bermula di peringkat sekolah.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim (gambar) berkata, untuk itu cadangan beliau supaya diperbanyakkan sekolah kebangsaan (SK) dengan menyeragamkan sukatan mata pelajaran harus dilihat dalam sudut yang positif.

"Dalam masa sama, hentikan penambahan sekolah jenis kebangsaan Cina (SKJC) yang jelas berbeza sukatan mata pelajarannya sehinggakan ada pelajar yang tidak fasih berbahasa kebangsaan.

"Saya bukan suruh tutup, sebaliknya kekalkan yang sedia ada kerana kita perlu memperkasakan SK," kata beliau ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNOKERBahagian Rompin di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) kampus Muadzam Shah, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Rompin, Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis; Ketua Pemuda UMNO bahagian, Datuk Mohd. Johari Hussain; Ketua Wanita UMNO bahagian, Datin Samsiah Arshad dan Ketua Puteri UMNO bahagian, Azlina Azma Mohd. Azmi.

Menurut Razali, jika pembinaan SKJC masih diteruskan beliau bimbang masyarakat akan keliru kerana usaha memupuk perpaduan kaum tidak bermula dari awal iaitu di peringkat sekolah.

"Senario inilah yang berlaku hari ini contohnya dalam bidang sukan, orang Melayu hanya bermain takraw dan orang Cina menguasai permainan bola keranjang," jelasnya.

Sementara itu katanya, persidangan perwakilan UMNO yang dianjurkan setiap tahun merupakan satu proses yang mustahak bagi membincangkan agenda rakyat dan bukan sekadar perjumpaan biasa.

"Persidangan ini sebagai medan untuk setiap perwakilan melontarkan pandangan dan membincangkan pelbagai isu terutama berkaitan perpaduan kaum, pendidikan, ekonomi dan sosial.

"Persidangan perwakilan UMNO di setiap bahagian merupakan satu proses yang sangat mustahak kerana berlandaskan matlamat asal UMNO iaitu membela nasib rakyat," katanya.

Menurutnya, UMNO bukan lahir disebabkan individu atau ketua, sebaliknya lahir daripada perjuangan orang Melayu terdahulu dan walaupun bertukar pemimpin, UMNO tetap meneruskan agenda perjuangan yang sama tanpa sedikit pun berganjak.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140907/po_08/Perpaduan-kaum-bermula-di-sekolah#ixzz3ChBkGIz8  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Tuesday, 2 September 2014

Najib garis tiga Amanat Merdeka


PERDANA Menteri melaungkan 'Merdeka' ketika menyampaikan amanat sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57 di Matic, Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Mewariskan sebuah Malaysia yang makmur lagi sejahtera untuk generasi akan datang adalah antara tiga Amanat Merdeka yang digariskan Datuk Seri Najib Tun Razak demi kesinambungan negara bangsa supaya terus gagah bersaing di persada antarabangsa.

Perdana Menteri menggariskan:

* Amanat Merdeka Pertama: Mengukuhkan solidariti rakyat Malaysia dalam menghadapi pahit getir cabaran, berdepan dengan dugaan, termasuk kebersatuan dalam kesedihan.

* Amanat Merdeka Kedua: Memupuk keyakinan bahawa kita mampu mencapai apa jua cita-cita sebagai sebuah negara bangsa jika wujudnya kebersatuan.

* Amanat Merdeka Ketiga: Mewariskan sebuah Malaysia yang makmur lagi sejahtera.

Berucap menyampaikan perutusan Hari Kebangsaan ke-57 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di sini, beliau berkata, mengukuhkan solidariti rakyat ketika kebersatuan dalam kesedihan, sebagai contoh, dalam istiadat penghormatan jenazah tragedi MH17 adalah Istiadat Penghormatan Tertinggi Negara yang tiada pernah diberi kepada orang awam.

Ini merupakan julung kalinya Najib menyampaikan perutusan Hari Kebangsaan secara langsung di hadapan khalayak ramai tanpa rakaman terlebih dahulu seperti amalan biasa.

Ia disiarkan secara langsung oleh radio dan televisyen malam ini.

Najib dalam amanat merdeka pertamanya itu menjelaskan rakyat bertafakur serentak selama satu minit di seluruh negara sebagai solidariti dan semangat kebersatuan demi membina satu Negara, 1Malaysia.

"Pokoknya, saudara dan saudari, kita telah tunjukkan kebersatuan itu sewaktu Hari Berkabung di seluruh negara tempoh hari, dan kita akan teruskan semangat kebersamaan di kala senang mahupun tatkala dalam kesusahan, selamanya," katanya.

Dalam menghuraikan amanat merdeka keduanya mengenai memupuk keyakinan rakyat itu, beliau berkata masa depan yang cerah akan menjadi milik semua jika rakyat mempunyai ikhtiar-ikhtiar yang mantap dan hidup saling ganding-bergandingan, demi sebuah hasrat yang murni itu.

Najib berkata, pentadbirannya akan terus membuat keputusan demi keputusan yang terbaik untuk rakyat Malaysia berlandaskan keperluan, tuntutan dan kemampuan kerajaan.

Menyentuh mengenai amanat merdeka ketiga iaitu mewariskan sebuah Malaysia yang makmur lagi sejahtera, beliau berkata: "Walau apa dugaan melanda, walau apa ujian melintang, kita akan terus mara dan melangkah ke depan, membina sebuah Malaysia yang permai bagi masa depan anak-anak cucu kita".

Najib seterusnya mengajak rakyat sama-sama berusaha gigih menggapai kejayaan demi generasi akan datang.

Pemilihan Dewan Tunku Abdul Rahman sebagai lokasi penyampaian perutusan itu kerana ia mempunyai sejarah tersendiri termasuk ia tempat sidang pertama Parlimen pada 1959 dan tempat berlangsungnya tiga istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

Najib turut menyentuh mengenai usaha pembangkang yang cuba memecahbelahkan rakyat dalam masa pentadbirannya mempunyai tanggungjawab cukup besar demi mendahulukan kepentingan rakyat.

"Makanya, sekali apapun yang cuba digoyahkan oleh pihak pembangkang, seandai apapun yang mereka ingin mengadudombakan, tidak kira tohmahan apa yang dilemparkan, agenda memperkasakan pembelaan rakyat akan tetap dipertahankan," katanya.

Beliau juga menegur sesetengah pihak yang mempertikaikan pengiktirafan kerajaan kepada para perajurit dan anggota keselamatan.

"Apa yang ingin pihak kerajaan jelaskan, usahlah diperbanding-bandingkan, tentang penghormatan tertentu yang diberikan kepada mangsa tragedi MH17 bahawa kononnya kenapakah istiadat tertinggi sedemikian tidak diwajarkan juga kepada para perajurit dan anggota keselamatan dalam peristiwa Lahad Datu," katanya.

Najib berkata, hasutan itu adalah memesongkan dengan niat yang tidak baik.

"Jelasnya, sekali lagi saya menegaskan bahawa jasa para wira negara ini akan sentiasa disanjung tinggi dan mendapat tempat utama dalam kenangan bakti yang telah dicurahkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140831/dn_01/Najib-garis-tiga-Amanat-Merdeka#ixzz3C7rhnkCE  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Tuesday, 19 August 2014

POLITIK : Isu SJKC dan hina Islam jadi tumpuan


Tengku Adnan Tengku Mansor (tiga dari kiri) bersama Mohd. Zainal Abidin Rafique (dua dari kiri) beramah mesra dengan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Mohd. Feisol Mohammad Hasan (dua dari kanan) pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bintang, di Dewan Tun Hussein, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/Hafiz Johari

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Isu mengenai sistem sekolah satu aliran serta penggunaan media sosial untuk menghina agama lain mendapat perhatian ahli UMNO apabila terus dibangkitkan dalam mesyuarat perwakilan bahagian serta sayap Pemuda, Wanita dan Puteri bahagian yang berlangsung hari ini.

Di JOHOR, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Muar menegaskan, UMNO tidak rasis hanya kerana membangkitkan isu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang baharu tidak perlu dibina dan menyifatkan tuduhan itu berniat jahat serta cubaan mengalih perhatian daripada isu pokok.

Sambil membidas tuduhan itu, katanya, isu sebenar ialah berkenaan perpaduan yang gagal dipupuk dan kira-kira 1,200 SJKC sedia ada dilihat sudah cukup mengikut kuota ditetapkan.

"Kita kena ada sasaran (jumlah SJKC). Kita perlu tahu sekolah mesti jadi tempat permulaan perpaduan. Kalau dari kecil sudah dipisahkan (apabila besar mereka) akan terus terpisah dan ada yang tidak fasih berbahasa Melayu.

"Kalau kita ikhlas nak bersatu padu dan maju bersama ini perlu dilakukan. Kalau tidak cukup SJKC dan minta lagi, sampai bila masalah (perpaduan) tidak selesai," katanya dalam mesyuarat yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahkota, Muar.

Di PULAU PINANG, Ketua Wanita UMNO negeri, Norliza Abdul Rahim pula berkata, sistem sekolah satu aliran yang pernah dicadangkan sebelum ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih meluas dan tidak disempitkan dengan persepsi sebagai percubaan 'membunuh' sistem pendidikan vernakular.

Menurutnya, sistem sekolah satu aliran sebenarnya merupakan asas penting kepada penyatuan nasional yang harus bermula pada peringkat kanak-kanak lagi.

"Sekiranya sistem sekolah satu aliran dilaksanakan tidak bermaksud bahasa Mandarin dan Tamil akan pupus di negara ini, tetapi tetap boleh diajar dan diseragamkan mengikut kesesuaian.

"Dalam masa sama akan mewujudkan sikap saling menghormati dalam kalangan murid terhadap kepelbagaian bahasa yang wujud di negara ini," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Bukit Mertajam.

Dalam pada itu, isu pendakwaan terpilih yang berlaku dengan majoriti 'mangsanya' merupakan orang Melayu menjadi topik panas dalam Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Mertajam hari ini.

Pengerusi Biro Hal-Ehwal Bandar dan Perumahan Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin ketika merasmikan mesyuarat berkenaan secara terbuka mengkritik pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam hal itu tetapi gagal melaksana tugas mereka sehingga mewujudkan keadaan demikian.

"Kita dapat lihat pendakwaan terpilih berleluasa dan pihak Pemuda UMNO, saya berasa tersentuh hati apabila beberapa ahli Pemuda di negeri ini sudah didakwa di mahkamah baru-baru ini kerana menceroboh Dewan Undangan Negeri (DUN) sedangkan orang yang memulakannya masih bebas," katanya.

Nazir Hussin kecewa apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) memberi alasan tidak munasabah setiap kali isu pendakwaan terpilih dibangkitkan.

"Dalam kes Namewee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Delima, R.S.N. Rayer dan seorang lelaki menendang remaja yang tersebar dalam laman sosial, terdapat beratus-ratus laporan polis dibuat di seluruh negara tetapi tiada tindakan. Dalam kes Namewee misalnya, bukti video klip jelas menunjukkan perbuatan menghina agama Islam apabila mempersendakan azan tetapi tiada tindakan susulan. Adakah pihak berkuasa terlalu lemah sehingga gagal mengesan beliau?" katanya.

Nizar Hussin turut mendedahkan, siasatan pihaknya mendapati terdapat 17 kes berkaitan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu dan perkauman menerusi media sosial diabaikan.

Di KEDAH, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula menggesa orang Melayu supaya bersatu bermula daripada sekarang jika mahu kekal berkuasa dan dihormati oleh kaum lain di negara ini.

Katanya, penghinaan terhadap agama Islam, orang Melayu dan institusi raja yang semakin menjadi-jadi di laman sosial sekarang disebabkan orang Melayu berpecah.

"Dulu kita kuat dan orang lain tidak berani menggugat kita, namun sekarang kerana kita berpecah kita senang dirobohkan dan dihina.

"Orang lain melihat Melayu sebagai kaum yang lemah disebabkan kita berpecah-belah walaupun kita adalah majoriti. Perpecahan membuatkan kita menjadi seperti kaum minoriti di negara ini,'' katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sik di Dewan Institut Kemahiran Mara di situ.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140817/po_12/Isu-SJKC-dan-hina-Islam-jadi-tumpuan#ixzz3AnkK9mI4  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Tuesday, 12 August 2014

Sekolah 1Malaysia satu mekanisme terbaik



KUALA LUMPUR 11 Ogos - Kewujudan Sekolah Kebangsaan 1Malaysia dilihat sebagai satu mekanisme terbaik dan paling asas untuk terus mencipta keharmonian serta keamanan negara pada masa hadapan sekali gus menghakis ancaman terhadap semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

Menurut Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Ab. Rahim Bakar, saranan tegas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini yang mahukan penjenamaan semula sekolah vernakular disifatkan sebagai nadi penggerak kepada perpaduan kaum di negara ini.

Jelasnya, 'pembahagian' dalam sistem pendidikan yang terdiri daripada sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan Cina (SKJC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) menjadi punca kepincangan semangat muhibah dalam kalangan rakyat.

"Semangat menghormati kaum lain perlu dibentuk sejak kecil lagi, sekiranya dari kecil mereka berkawan dan saling hormat-menghormati, saya percaya negara pada masa hadapan tidak lagi perlu berhadapan dengan rakyat yang mementingkan diri sendiri dan sering menghukum serta menghina agama lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Ab. Rahim, matlamat untuk menjadikan sekolah di negara ini sebagai Sekolah Kebangsaan 1Malaysia boleh dicapai sekiranya semua pihak termasuk Kementerian Pendidikan mempunyai keberanian dan kekuatan politik untuk melaksanakannya.

"Harapan mereka yang mengharapkan perubahan dalam sistem pendidikan negara terutamanya dalam mengekang budaya rasis dalam kalangan rakyat adalah mustahil sekiranya tiada kerjasama dan tidak mencapai satu matlamat," katanya.

Jelasnya, matlamat itu hanya boleh dicapai sekiranya kerajaan bertegas tetap mahu mewujudkan sekolah berkenaan selain rakyat mendukung penuh impian itu.

"Maka, setiap rakyat perlu berkompromi selain kerajaan menyediakan subjek khas untuk mata pelajaran Cina dan Tamil kepada semua murid. Cara itu, bukan sahaja membolehkan murid-murid memahami bahasa lain dengan baik, malah tidak akan ada lagi kenyataan-kenyataan berbau hasutan yang dikeluarkan dalam bahasa lain yang tidak difahami," katanya.

Tambahnya, kerajaan juga perlu sensitif terhadap tenaga pengajar dengan memastikan guru di setiap sekolah terdiri daripada pelbagai kaum.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan turut menyokong saranan Razali agar kerajaan tidak tunduk dengan mana-mana pihak untuk menambah bilangan SJKC.

Sebaliknya beliau berkata, kerajaan perlu lebih fokus serta memberi tumpuan memperbaiki kualiti prasarana dan pendidikan di sekolah kebangsaan agar jauh lebih baik berbanding sekolah alternatif tersebut.

"Penambahbaikan itu perlu bagi kedua-kedua perkara tersebut agar ibu bapa yakin dengan sistem pengajaran dan kokurikulum di sekolah kebangsaan untuk pendidikan anak mereka. Perkara pertama, kerajaan perlu buktikan sistem pendidikan negara mencapai standard cemerlang dan menjadi pilihan utama selain kerap menganjurkan aktiviti yang boleh mengikat perpaduan kaum.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140812/dn_03/Sekolah-1Malaysia-satu-mekanisme-terbaik#ixzz3A8r3Ned7  © Utusan Melayu (M) Bhd 



DUN KEDAH : Sultan dukacita

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI dan SAFINA RAMLI
pengarang@utusan.com.my

Tunku Sallehhuddin Sultan Badlishah menerima titah ucapan daripada Mukhriz Tun Mahathir (kiri) pada majlis perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah di Wisma Darulaman di Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/Safrizal Azmi

ALOR SETAR 11 Ogos - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dukacita berikutan terdapat banyak kejadian yang menggugat keharmonian kaum dan agama kebelakangan ini.

Baginda bertitah, ketegangan agama dan ideologi perkauman yang berlaku dalam masyarakat terutamanya melalui media sosial membayangkan sikap tidak beradab terhadap pelbagai keputusan yang dimuktamadkan oleh datuk nenek semua warga.

"Ketika ini, terlalu ramai anak-anak muda yang menyampaikan pandangan dan fikiran melalui media sosial tanpa mempedulikan sensitiviti hubungan antara kaum, agama, tradisi dan adat resam. Tanpa kebijaksanaan datuk nenek kita ketika mencapai kemerdekaan, maka ramai keturunan kini mungkin menjadi rakyat tanpa negara.

"Dengan demikian, adalah amat wajar semua pihak faham dan sentiasa hormat dengan asas-asas kehidupan seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Teks titah ucapan baginda dibacakan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Diraja Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.

Yang turut hadir, Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tuanku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim serta Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Tuanku Abdul Halim turut menasihatkan rakyat jelata agar memelihara negeri dan negara sebaik-baiknya supaya kemerdekaan dan kebebasan yang dikecapi dapat dipertahankan selama-lamanya.

"Apabila kita bersengketa antara kita dan tamak haloba maka kita sanggup mengamalkan rasuah hingga menjual maruah bangsa dan agama sehingga anak cucu kita akan menderita," titah baginda.

Baginda bertitah, sistem pendidikan nasional yang bersepadu boleh dijadikan pemangkin utama perpaduan sekali gus mengatasi perbuatan yang menggugat keharmonian kaum dan agama.

Titah baginda, sarjana sosiologi pendidikan tersohor, E.D Hirsch melalui bukunya 'Cultural Literacy' menyatakan pendidikan adalah unsur terpenting dalam mewujudkan perpaduan rakyat di sesebuah negara.

Titah baginda, Hirsch menyarankan bahawa masyarakat yang bersatu padu hanya dapat dibentuk melalui satu sistem pendidikan nasional yang bersepadu.

"Peribahasa Melayu mengatakan, kalau ingin melentur buluh, biarlah daripada rebungnya.

"Justeru beta percaya sekiranya kita ingin memupuk perpaduan yang kental dalam kalangan rakyat, maka pendidikan boleh menjadi pemangkin utama," titah baginda.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140812/dn_02/Sultan-dukacita#ixzz3A8n34QeC  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Thursday, 7 August 2014

Sekolah untuk semua kaum


Oleh Radhuan hussain
pengarang@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 6 Ogos - Persatuan Alumni GPMS Kebangsaan (Alumni GPMS) mahu kerajaan bertindak lebih tegas dan berani merangka pendekatan bagi mengembalikan kedudukan sekolah kebangsaan sebagai sekolah untuk semua kaum.

Presidennya, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, pada masa yang sama sekolah jenis kebangsaan Cina (SKJC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) tidak harus dikembangkan lagi, semata-mata atas tuntutan politik.

"Langkah itu wajar bagi membolehkan lebih ramai kalangan pelbagai kaum diletakkan sebumbung di bawah satu sistem persekolahan seperti dilaksanakan negara lain kerana kesan buruk pemisahan melalui pelbagai sistem kini mulai menyerlah,'' ujarnya.

Katanya, kewujudan sekolah jenis itu di negara ini bukan sahaja telah menyimpang daripada matlamat sebenar mencapai integrasi nasional malah jurang perpaduan antara kaum semakin melebar.

"Alumni GPMS berpendapat konsep 1Malaysia akan mudah dicapai sekiranya sekolah satu aliran diwujudkan kerana kesemua kaum akan berada di bawah satu sistem persekolahan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim agar kerajaan menghentikan pembinaan SKJC baharu kerana kewujudannya tidak menyumbang kepada perpaduan nasional dan meretakkan hubungan antara kaum.

Razali berkata, sudah sampai masa perkara itu dipertimbangkan memandangkan keharmonian antara kaum ketika ini semakin renggang dengan pelbagai isu.

Syed Anuar berkata, Alumni GPMS menyokong penuh kenyataan Razali supaya kerajaan tidak lagi melayan sebarang permohonan dan tuntutan bagi membina SJKC atau SJKT baharu.

"Alumni GPMS berpandangan isu penghinaan dan mencabar agama Islam, bangsa Melayu dan institusi kesultanan sedikit sebanyak disumbangkan oleh sikap tidak sensitif generasi hari ini akibat berlakunya pengasingan dalam sistem persekolahan sejak dulu lagi," ujarnya.

Sehubungan itu juga, katanya, Alumni GPMS menyarankan agar Kementerian Pendidikan memberi penekanan khas terhadap pelaksanaan sistem pengajaran dan pembelajaran (P & P) subjek pendidikan sivik dan kewarganegaraan bagi memastikannya mencapai matlamat dan dapat diamalkan dalam kalangan murid dengan lebih berkesan.

"Walaupun hanya merupakan subjek elektif dan bukan teras, guru-guru sepatutnya diberi pendedahan atau kursus khas kerana menyentuh pelbagai aspek termasuk pengwujudan perpaduan dan toleransi antara kaum di Malaysia," tambahnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140807/dn_01/Sekolah-untuk-semua-kaum#ixzz39fTIApRh  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Thursday, 8 May 2014

Keputusan hapus ruangan kaum dalam borang hakis identiti etnik











KUALA LUMPUR 7 Mei - Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini membantah sekeras-kerasnya keputusan Jemaah Menteri untuk menghapuskan ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menegaskan, keputusan itu dilihat sebagai satu langkah halus untuk menghakis identiti kaum di negara ini.

Beliau berkata, alasan kononnya keputusan itu untuk memupuk perpaduan budaya pelbagai kaum di negara ini adalah tidak berasas kerana perpaduan hanya boleh dikecapi melalui perubahan sikap bukannya penghapusan ruang dalam borang.

"Saya terkejut dengan keputusan ini. Perubahan dalam sesuatu borang tiada mengena dengan usaha perpaduan kerana ia berfungsi untuk mengenali kaum. Orang Melayu yang juga bumiputera memiliki banyak bantuan keistimewaan daripada kaum lain.

"Saya tidak nampak manfaat daripada keputusan ini. Kalau hendak pupuk perpaduan kaum, apa kata laksana sekolah satu aliran? Benda pokok tidak buat, tapi benda yang remeh pula buat buat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Jemaah Menteri hari ini bahawa ruangan kaum akan dihapuskan dalam borang-borang rasmi termasuk borang permohonan kerja di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), permohonan pasport dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, keputusan itu dibuat kerana ia tidak mempunyai nilai tambah dalam usaha kerajaan memupuk perpaduan budaya pelbagai kaum di negara ini.

Menurutnya, ruangan kaum ketika mengisi borang rasmi untuk memohon bantuan di JKM tidak perlu kerana semua rakyat berhak mendapatnya tanpa mengira kaum.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Bertindak Anti Penyelewengan Negeri Kedah, Khairul Anuar Ramli mendesak kerajaan tidak termakan hasutan dari pihak-pihak tertentu yang berniat untuk menghapuskan sedikit demi sedikit hak keistimewaan orang Melayu.

"Kerajaan perlu mengutamakan kaum pribumi terlebih dahulu. Tidak wajar untuk berbuat demikian kerana kita perlu beri keistimewaan kepada kaum pribumi di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia, Mohammad Nazlee Aziz Yeop menegaskan, keputusan itu dikhuatiri akan lebih menyebabkan ketegangan kaum.


"Kita selama ini hidup dalam harmoni dengan identiti kaum masing-masing. Kenapa perlu dihapuskan pula identiti-identiti ini? Berfikir sebelum melakukan sebarang tindakan yang kontroversi seperti ini," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140508/dn_03/Keputusan-hapus-ruangan-kaum-dalam-borang-hakis-identiti-etnik#ixzz315FfOLlj © Utusan Melayu (M) Bhd 






MENTERI TRANSFORMASI BORANG 1MALAYSIA - Ruangan kaum borang rasmi dihapus

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my


Joseph Entulu Belaun

PUTRAJAYA 7 Mei - Jemaah Menteri hari ini memutuskan menghapuskan ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan kerana dianggap tidak perlu ketika melakukan urusan rasmi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun ketika menjelaskan perkara itu berkata, antaranya borang permohonan kerja di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), permohonan pasport dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM)

Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana ia tidak mempunyai nilai tambah dalam usaha kerajaan memupuk perpaduan budaya pelbagai kaum di negara ini.

Menurutnya, ruangan kaum ketika mengisi borang rasmi untuk memohon bantuan di JKM tidak perlu kerana semua rakyat berhak mendapatnya tanpa mengira kaum.

"Keputusan itu dibuat bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan kerajaan selain memenuhi aspirasi 1Malaysia ke arah perpaduan nasional.

"Keputusan ini bukan bertujuan menjaga sensitiviti kaum tertentu di negara ini kerana ia bersifat menyeluruh," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Setakat ini, terdapat hampir 100 borang rasmi kerajaan telah menggugurkan perkataan kaum seperti borang permohonan Skim Pinjaman Perumahan Untuk Golongan Berpendapatan Rendah dan borang pendaftaran Pegawai Farmasi di sektor kerajaan.

Joseph Entulu berkata, kerajaan juga berhasrat menggugurkan ruangan identiti kaum dalam semua borang kerajaan pada masa akan datang.

Ujarnya, tindakan itu bukan dalam masa terdekat memandangkan banyak masa diperlukan bagi kerajaan membuat penelitian dan kajian.

Beliau menambah, masih terdapat borang kerajaan yang memerlukan pengisian maklumat berdasarkan tiga keperluan tertentu agar ruangan itu dikekalkan.

Jelasnya, tiga perkara tersebut adalah berkaitan dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, memenuhi keperluan perundangan dan penyelidikan serta perancangan.

"Contohnya borang soal selidik masih diperlukan ruangan kaum bagi keperluan Jabatan Perangkaan, Jabatan Perdana Menteri untuk menyediakan statistik demografi dan ekonomi mengikut kaum.

"Kerajaan sentiasa komited untuk menyemak dan menambah baik borang-borang rasmi dari semasa ke semasa bagi memenuhi aspirasi 1Malaysia ke arah perpaduan nasional," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140508/dn_02/Ruangan-kaum-borang-rasmi-dihapus#ixzz3155PLEzn  © Utusan Melayu (M) Bhd 

KOMEN : LEPAS NI ; 1) RUANGAN AGAMA DI TIADAKAN SEBAB SEMUA AGAMA SAMA  2) RUANGAN JANTINA DI TIADAKAN SEBAB LELAKI DAN PEREMPUAN SAMA AJE SO LGBT SEMAKIN SUBUR  3) ..... APA LAGI SENDIRI MAHU FIKIRLAH....?

Wednesday, 12 March 2014

MH370: Misteri, konspirasi, satu suara dan doa...


Zaini Hassan





PESAWAT Malaysia Airlines (MAS) tidak akan hilang begitu sahaja. Semuanya ada sebab-musabab. Saya doakan semasa tulisan ini dalam proses percetakan atau semasa ia sedang dibaca, MH370 akan ditemui.
Mustahil ia boleh hilang begitu sahaja. Kecualilah jika ada satu `konspirasi maha besar’ melibatkan unsur-unsur duniawi atau alam ghaib, insya-Allah pesawat itu akan ditemui.

Bercakap mengenai konspirasi alam duniawi, ada bermacam-macam teori telah timbul. Yang menakjubkan ia ditulis dengan begitu terperinci, logik dan teliti sekali. Jika diikut akal ada logiknya. Misalnya melalui tulisan yang sedang berlegar sekarang oleh `al-faedah’ berhubung soal `red flag atau false flag’.

Saya tidak mahu mengulas mengenai tulisan itu, tetapi cukup kagum juga dengan usaha yang diambil oleh penulis itu untuk menulisnya dengan begitu detail sekali. Sehingga saat ini saya masih cuba menyelami teorinya dan cuba membaca fikirannya.

Saya juga tertarik untuk memikirkan mengenai teori peralatan simulasi yang dimiliki oleh juruterbang itu dan haluan politiknya. Bagi saya tidak adil untuk mengaitkan semua itu dengan juruterbang berkenaan - waima ia logika sekalipun.

Jika dikaji dari segi usaha mencari dan menyelamat, sudah tentu Jabatan Penerbangan Awam (DCA) yang mengetuai operasi itu akan menolak mentah-mentah semua teori itu.

Tetapi dalam dunia alam maya ini pelbagai teori boleh dilahirkan oleh sesiapa pun di luar sana. Ia lebih membabitkan naluri manusia dan itu adalah normal.

Jika semasa tragedi pesawat terhempas di Pasir Gudang pada 1977 dulu, pelbagai spekulasi berkisar kepada cakap mulut dan akhbar sahaja, dunia digital sekarang telah mengubah sama sekali landskap komunikasi.
Maka itu, terpulanglah kepada kita di alaf baru ini untuk menilai dan memperhalusi maklumat-maklumat sedemikian.

Anggaplah ia sebagai "masuk ke kiri keluar telinga kanan" atau ia akan tertanam di fikiran kita? Atau adakah kita akan terpengaruh dengan pendapat-pendapat itu dan kemudian potong dan tampal tulisan-tulisan itu sehingga ia bercambah-cambah di media sosial? Atau, mungkin ia boleh dijadikan satu kajian imperikal saintifik kemudian hari?

Episod MH370 ini sebenarnya ada hikmahnya. Semua rakyat Malaysia kini bersatu - bersatu untuk mencari jalan, idea, mencipta teori, mengesyor cadangan dan sebagainya - membantu secara tidak langsung untuk merungkai misteri ini.

Walaupun ia tidak akan berupaya untuk mempengaruhi operasi DCA dan SAR, namun ia adalah amat positif.
Positif kerana rakyat Malaysia, sejak sekian lama atas kecelaruan politik, sudah bercakap dalam satu bahasa mengenai satu isu, iaitu mengenai nasib MH37 - dan, bukan lagi mengenai verdict Anwar bin Ibrahim dan nasib politiknya, selepas kurang 12 jam kes rayuannya diumumkan mahkamah!

Ingatlah rakyat Malaysia yang dikasihi, percayalah Allah pernah berfirman "mesti ada jalan keluar". Dalam episod pesawat malang MH370 ini, marilah kita terus berdoa dan bersolat hajat. Amin.

HARI ini pukul 2 petang di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan hadir dalam satu siri wacana profesional.

Ia akan berkisar mengenai isu negara bangsa - bangsa Melayu, rakyat Malaysia dan tanah air tercinta ini. Dan, akhirnya ke mana kita semua akan menuju?

Sudah tentu juga wacana itu turut berkisar mengenai Dr. Mahathir sendiri yang mentadbir negara ini selama 22 tahun serta soal-soal polisi beliau dan selepas eranya.

Ia akan dipermudah cara oleh dua orang alumni UiTM iaitu Datuk Kamaruddin Meranun (Pengerusi Eksekutif AirAsia) dan saya sendiri.

Wacana yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) dan Pusat Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (ICAN) universiti itu akan dihadiri oleh lebih 3,000 hadirin.

Berikut ialah sajak yang akan dideklamasikan oleh bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Prof. Dr. 
Hashim Yaacob yang juga alumni UiTM, pada majlis itu.

Renungilah bersama-sama sajak ini:

KE MANA KAU MELAYUKU

Melayuku di kala ini
di kampung dan di kota
sedang bersengketa mereka.
Berpecah dua dan tiga
Tidak lagi sekata.

Tidak nampak Melayuku ini
pada bara yang pantas menjadi unggun menunggu membakar mereka!

Mari Melayuku kita ke kota:
Melihat gedung jualan, dan
bangunan menyergam
kita pun berasa megah.

Kita pun menjadi jaguh
pada cakap dan pandang.

Yang menyergam itu bukan kita pemiliknya!
Mega pun mendung di langit kita
bumi dipijak rekah tanahnya.

Ombak mengganas di laut luas angin bertiup mati punca.
Di timur matahari tidak bersinar di barat cepat terbenam.
Di utara taufan melanda di selatan api terpadam.

Kita pun memakai kelubung suram gelap pekat warnanya hitam.
Ini warkah durja.
Kutulis di tepian sumur air mataku yang masih boleh mengalir.
Kutulis dengan hati luluh mengenang bangsaku.

Siapa!
Siapa berani meniup angin mengalihkan mendung mematikan taufan, menenangkan ombak,
membawa matahari kembali bercahaya,
menyuburkan bumi,
menyalakan api pelita?

Mari Melayuku kita fikirkan:
Apakah lima puluh tahun nanti di tanah pusaka turun temurun kita ini
kita masih jadi tuannya?

Mari kita fikirkan
cara memadamkan bara
yang kian mengunggun

Menanti membakar kita!
Kalau nanti orang bertanya
mengapa begini Melayu kita?

Katakan, itulah bangsa kita
yang bersengketa
mengambil mudah
dan pelupa.

DATUK PROFESOR
DR. HASHIM YAACOB
Petaling Jaya


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140312/re_06/MH370-Misteri-konspirasi-satu-suara-dan-doa#ixzz2vj6WObou  © Utusan Melayu (M) Bhd


 

Monday, 24 February 2014

Bahasa ‘perpaduan’ tak dipedulikan lagi


Oleh Azman Anuar
azman.anuar@utusan.com.my




TULISAN saya tentang nama Melayu, orang Melayu bandar dan penghinaan terhadap Melayu dan Islam mendapat reaksi pembaca termasuk bukan Melayu. Terima kasih yang menyokong dan yang menghentam.

Tujuan utama topik itu dibangkitkan bukan untuk mengkritik sesiapa tetapi untuk mengingatkan. Perpaduan antara kaum hari ini semakin terhakis dan tergugat akibat permainan sentimen yang mempertikaikan perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dulu tak ada siapa yang terang-terang berani mempersoal dan menghina kedudukan istimewa orang Melayu, agama Islam dan kedudukan Raja-raja yang sepatutnya bukan Melayu pun mesti menghormatinya. Sekarang semua sudah berubah dan berbeza.

Tiada tujuan tulisan saya mahu kaum-kaum di Malaysia berpecah-belah. Saya hanya ingin mengingatkan yang perpaduan kaum di negara ini semakin longgar. Punca utama kerana sudah kurang atau hilang rasa tolak ansur. Kadang kala terfikir, sampai bila kita hendak bertolak ansur kalau sebelah pihak sahaja yang bersikap demikian.

Percaya atau tidak kalau dikatakan generasi muda kaum bukan Melayu banyak yang tidak tahu bertutur dalam bahasa Melayu dengan betul. Jawapannya tidak pelik - sebab generasi tua kaum itu pun ada yang masih tidak tahu berbahasa kebangsaan.

Tapi penguasaan bahasa Melayu oleh kaum itu di kawasan kampung lebih baik. Malah kita rasa bangga kerana mereka berusaha bertutur dalam bahasa Melayu dengan betul. Hal ini jauh berbeza kalau kita mendengar pelat kaum itu bila berbahasa Melayu di kawasan pekan dan bandar.

Salah satu faktor keadaan ini berlaku hingga sekarang sebab mereka kurang bergaul dengan orang Melayu dan ia tidak jadi keutamaan. Bagi mereka, guna bahasa pasar pun orang Melayu boleh faham.

Kalau begini situasinya bermakna pekerja Bangladesh dan Pakistan lebih baik tutur kata bahasa Melayunya daripada kaum itu.

Tidak adil jika kaum itu sahaja dikatakan tidak tahu berbahasa Melayu, kaum satu lagi pun hampir sama. Jika dibandingkan dengan keturunan kaum bukan bumiputera, kaum satu lagi lebih ramai bermastautin dan menetap di Asia Tenggara ini. Tetapi kaum itu di Malaysia, tidak sama sikap dan semangat kenegaraannya seperti bangsa mereka yang bermastautin di Vietnam, Kemboja, Thailand, Filipina dan Indonesia.

Melalui asimilasi, kaum itu di negara jiran kita boleh berbahasa tempatan dengan fasih. Kadang kala kita jadi tidak percaya mendengar dan melihat bahawa mereka bertutur bahasa tempatan tanpa rasa kekok.

Contoh terdekat ialah kaum itu di Indonesia yang tanpa segan silu bertutur bahasa Indonesia sesama kaum mereka, apatah lagi berbual dengan rakyat Indonesia lain. Bukan sahaja di negara mereka sendiri tetapi kalau datang ke Malaysia pun, bahasa itu juga yang mereka tuturkan.

Begitu juga rakyat keturunan kaum itu di negara jiran lain yang benar-benar menghayati semangat kenegaraan - ‘di mana bumi di pijak di situ langit dijunjung.’ Mereka patuh kepada ‘kedaulatan’ bahasa negara masing-masing.

Cemburu kian bertambah bila melihat keadaan ini dengan mata sendiri. Kaum bukan pribumi di sana begitu akur dan setia mendaulatkan bahasa kebangsaan masing-masing.

Di Malaysia keadaan sebaliknya yang berlaku. Sekarang seolah-olah begitu kuat sikap tidak peduli kepada bahasa kebangsaan. Hal ini mungkin disedari dan mungkin kita pun tidak sedar. Lihat fenomena ini dalam sektor awam mahupun swasta.

Bila difikir dan direnung dengan mendalam, fenomena itu terjadi kerana di negara jiran hanya mempunyai satu sistem sekolah. Di sana tiada sekolah jenis kebangsaan yang mengekalkan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantara.

Anak-anak berbilang kaum diajar menggunakan satu bahasa, belajar di bawah satu bumbung, bermain dalam satu kawasan sekolah. Bila masuk universiti, tak rasa kekok bergaul. Jadi tidak timbul masalah penggunaan bahasa pertuturan berlainan, tiada masalah perbezaan budaya yang ketara. Oleh itu perpaduan antara pribumi dengan bukan pribumi bertambah erat dan kuat ikatan kenegaraannya.

Kepura-puraan

Inilah formula yang tiada di negara kita. Daripada peringkat sekolah, anak-anak kita dipisahkan oleh sistem sekolah mengikut kaum. Budak Melayu dan bumiputera ke sekolah kebangsaan, budak Cina ke SJKC dan India ke SJKT.

Sejak kecil mereka sudah dipisahkan mengikut aliran bahasa ibunda masing-masing. Kita ada sekolah kebangsaan yang diharap menjadi tempat untuk semua anak tanpa mengira kaum dapat bergaul dan belajar bersama-sama. Anak Cina dan India bukan banyak pun, tetapi atas fahaman perkauman yang kuat maka penyatuan dan perpaduan antara kaum tidak dapat kita jayakan walaupun melalui sekolah.

Kalau hanya ada satu sistem sekolah kebangsaan yang digunakan, mungkin masalah perkauman sekarang tidak terjadi. Melalui satu bahasa, semua orang boleh saling memahami. Kesan sistem pelbagai jenis sekolah ini sudah menampakkan kesannya. Kira-kira enam dekad kita sudah mengguna pakai sistem sekolah pelbagai aliran bahasa ini, saya tidak nampak sistem ini membantu pembinaan satu masyarakat yang bersatu padu dalam erti kata sebenar.

Selama ini kita hanya berpura-pura kerana ingin menjaga hati dan perasaan antara kaum. Sikap berpura-pura ini akan berterusan untuk tahun-tahun akan datang. Hakikatnya kita perlu teruskan hidup dalam ‘kepura-puraan’ dan percaya perpaduan antara kaum kita masih utuh seperti dahulu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140223/re_14/Bahasa-perpaduan-tak-dipedulikan-lagi#ixzz2uCQMOVR5  © Utusan Melayu (M) Bhd


 KOMEN : BILA ADA PEMIMPIN MELAYU YANG SANGGUP MENGELUARKAN AYAT " SELAGI ADA BULAN DAN BINTANG SEKOLAH VERNAKULAR TIDAK AKAN DIHAPUSKAN. APA CERITANYA...?