Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label AFF. Show all posts
Showing posts with label AFF. Show all posts

Tuesday, 15 September 2015

AFF U15 : Malaysia belasah Kepulauan Mariana Utara 13-0


15 September 2015 12:56 AM


KETUA pasukan negara, Arif Shaqirin Suhaimi (tengah) melepasi kawalan pemain Kepulauan Mariana Utara di Vientiane, Laos, semalam. Gambar Harimau Muda Page - Young Tigers

KUALA LUMPUR – Selepas dihidang­kan dengan berita-berita sedih bola sepak negara sejak akhir-akhir ini, skuad bawah 15 tahun Malaysia memberi keceriaan kepada peminat bola sepak tempatan apabila memulakan kempen kelayakan Piala AFC Bawah 16 tahun dengan berpesta gol 13-0 ke atas Kepulauan Mariana Utara di Vientiane, Laos, semalam.

Anak-anak didik P. Somasundram memulakan pesta gol seawal minit keenam menerusi pemain sayap kiri, Muhammad Izreen Izwandy yang turut menambah tiga lagi jaringan peribadinya pada minit ke-32, 54 dan 67.

Pemain tengah, Muhammad Iqbal Hakem Mohd. Hata pula memahat nama sebagai penjaring hatrik pada minit ke-41, 44 dan 56.

Ketua pasukan, Arif Shaqirin Suhaimi (minit ke-36, m46) dan Muhammad Alif Safwan Sallahuddin (m58, m61) pula masing-masing menokok dua gol.

Bagai dahagakan jaringan, skuad negara terus mengganas dan memperoleh dua lagi gol melalui Nor Amirul dan Mohamad Najmi.

Malaysia diundi di dalam Kumpulan G bersama Kepulauan Mariana, Timor Leste, Filipina dan Laos.

Juara kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir yang berlangsung di India, tahun depan, manakala lima pasukan terbaik (naib juara) turut mendapat slot.

Skuad bawah 15 tahun Malaysia dibarisi pemain-pemain yang majoritinya mewakili Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dalam Liga Kementerian Pendidikan Malaysia Bawah 17 Tahun.

Kejohanan Piala AFC Bawah 16 tahun merupakan salah satu daripada kejohanan peringkat umur yang dianjurkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Malaysia akan meneruskan kempen dengan menentang Timor Leste esok, sebelum berdepan Fi­lipina pada Jumaat ini, diikuti tuan rumah, Laos dalam aksi terakhir kumpulan, Ahad.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/malaysia-belasah-kepulauan-mariana-utara-13-0-1.136006#sthash.xU83ZNW2.dpuf

Monday, 22 December 2014

AFF 2014 : Keputusan bersara kekal, Shukor puas

MUHAMMAD 
DAYNE AZMIN | 22 Disember 2014 12:54 AM


Shukor Adan

KUALA LUMPUR – Kapten Harimau Malaya, Muhammad Shukor Adan percaya, walaupun gagal menjulang Piala AFF buat kali kedua, namun kejayaan layak ke final telah membalas segala cemuhan dan kritikan yang dilemparkan kepada skuad kebangsaan selama ini.

Dalam masa yang sama, tonggak veteran Felda United berusia 35 tahun itu menegaskan, dia tidak akan merubah keputusan nya untuk bersara daripada arena bola sepak antarabangsa bersama rakan sepasukan, Indra Putra Mahayuddin.

“Saya mohon ampun dan maaf kepada rakyat Malaysia mewakili pemain negara kerana kami gagal membawa pulang Piala AFF.

“Namun saya rasa apa yang dilakukan pasukan dalam kejohanan ini perlu dihargai kerana semua pemain telah berjuang habis-habisan.

“Pelbagai cemuhan dan makian yang dilemparkan kepada kami selama ini.

“Malah ada pihak yang memandang rendah keupayaan pasukan, namun kami telah buktikan dengan kejayaan melangkah ke perlawanan akhir.

“Saya harap, semua pihak terus memberi sokongan kepada skuad kebangsaan dan juga Dollah Salleh sebagai jurulatih.

“Insya-Allah pasukan ini mampu memperbaiki kelemahan di masa akan datang,” ujar Shukor.

Shukor, yang hanya menyertai skuad Harimau Malaya dalam Piala AFF demi menghormati permintaan jurulatih, Dollah Salleh turut berharap, pemain-pemain muda mampu memikul cabaran negara pada masa akan datang.

“Niat saya mahu bersara telah diberitahu sejak daripada aksi separuh akhir di Vietnam lagi, jadi saya tidak akan tarik keputusan berkenaan.

“Cukuplah. Saya sudah berusia 35 tahun dan sampai masanya untuk pemain-pemain muda untuk menunjukkan kemampuan kepada Dollah.

“Sampai bila orang-orang lama seperti saya sahaja menjadi pemain utama dalam Liga Malaysia, pemain muda kena buktikan sesuatu,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/keputusan-bersara-kekal-shukor-puas-1.39421#sthash.4uMiUruH.dpuf

Jangan ‘perap’ harimau

Pemain muda juga perlu diberi kepercayaan sarung jersi kebangsaan

FADHILUL IZMEL ISHAK | 22 Disember 2014 12:55 AM


INDRA PUTRA MAHAYUDDIN (tengah) meraikan jaringannya bersama Badhri Radzi dalam perlawanan akhir kedua Piala AFF menentang Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

KUALA LUMPUR - Jika Malaysia serius untuk me­rampas Piala AFF 2016 dan melangkah ke peringkat lebih tinggi, ada dua perkara utama yang perlu diberi perhatian serius oleh pengurusan pasukan.

Pertama, semua tonggak utama Harimau Malaya harus diberi pe­ranan penting dalam pasukan ne­geri atau kelab masing-masing.

Kedua, memandangkan sebahagian besar barisan pemain yang tewas kepada Thailand sudah berusia, Dollah Salleh perlu memberi tumpuan kepada pemain muda.

Itu pandangan yang dilontarkan bekas pengendali skuad kebangsaan, B. Sathianathan sejurus melihat Harimau Malaya kempunan untuk merangkul Piala AFF buat kali kedua selepas tumpas menerusi agregat 3-4 kepada Thailand dalam perlawanan akhir.

Kemenangan 3-2 yang dicatat di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin tidak mampu menampung kekalahan 2-0 yang dialami anak-anak buat Dollah dalam final pertama di Bangkok, minggu lalu.

“Saya fikir pemain Harimau Muda yang bakal beraksi bersama pasukan ne­geri masing-masing musim depan harus diberi perhatian serius jika kita mahu mencari muka baharu untuk menghiasi skuad negara.

“Pemain Harimau Muda yang sebelum ini menerima didikan daripada Datuk Ong Kim Swee sudah banyak diberi pendedahan dan saya yakin mereka mampu menggalas cabaran bersama pasukan negeri dengan baik.

“Bagaimanapun pemain-pemain ini hanya boleh memberi permainan terbaik kepada skuad kebangsaan kalau mereka diberi pe­ranan penting bersama pasukan negeri atau kelab masing-masing.

“Kita lihat aksi Indra Putra (Mahayuddin), Shukor (Adan) dan Piya (Badhri Radzi) dalam Piala AFF kali ini. Walaupun sudah berusia, mereka mampu memberi persembahan yang cemerlang kerana mereka a­dalah watak penting buat Felda United serta Kelantan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sathianathan turut memuji Dollah kerana membuat beberapa keputusan berani dengan me­manggil pemain seperti Indra Putra, Shukor dan Badhri dalam pasukannya.

Tiga pemain ini jelas menjadi watak penting dalam membawa Malaysia muncul naib juara Piala AFF 2014.

Sementara itu bekas pengendali Perak, Mohd. Azraai Khor Abdullah turut sependapat dengan Sathianathan dalam soal tonggak utama Harimau Malaya sepatutnya diberi tempat dalam skuad utama Liga Super.

Beliau memberi contoh, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali adalah penyerang utama skuad kebangsaan tetapi malangnya tidak memainkan peranan penting bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).

Itu menyebabkan aksi mereka sedikit berkarat berbanding pemain seperti Mohd. Amri Yahyah.

“Patut pemain penting seperti ini diberi kepercayaan oleh kelab mereka, tetapi malangnya mereka tidak mendapat peluang. Ini menyebabkan mereka berkarat.

“Apa pun saya bangga dan kagum dengan Dollah Salleh kerana berjaya mencapai kejayaan dalam tempoh yang singkat.

“Dollah turut melepasi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan kepadanya, malah kejayaan ini turut menutup segala kritikan yang dilempar terhadap dirinya ketika mula memikul tanggungjawab tersebut.

“Kejayaannya itu membuktikan jurulatih kebangsaan masih mempunyai kualiti,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jangan-8216-perap-8217-harimau-1.39438#sthash.4XTK12Kp.dpuf


Friday, 19 December 2014

AFF 2014 : Safee yakin 
Harimau 
masih boleh!

MUHAMMAD DAYNE AZMIN | 19 Disember 2014 1:17 AM


SEMANGAT pemain Harimau Malaya belum padam, sebaliknya mereka bertekad untuk mencari kemenangan dalam final kedua Pial a AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.

BANGKOK - “Jika Thailand boleh melakukannya di tempat sendiri, mengapa tidak kami apabila di Bukit Jalil nanti.”

Itu kata-kata penuh bersemangat Safee Sali yang masih yakin keajaiban bakal berlaku dalam perlawanan akhir kedua Piala AFF esok.

Penyerang Harimau Malaya itu, yang dimasukkan pada pertengahan babak kedua untuk menggantikan Mohd.Amri Yahyah, menegaskan kekuatan Thailand dan skuad negara tidak banyak beza.

Justeru itu, katanya, jika Harimau Malaya dapat menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri dengan sebaik-baiknya, tidak mustahil Piala AFF akan dijulang di depan puluhan ribu penyokong negara.

“Sebenarnya kita bermain dengan baik menentang Thailand, terutama pada separuh masa pertama apabila kita mencipta banyak peluang.

“Namun, di penghujung babak kedua Thailand tampak semakin agresif dan sepakan penalti me­ngubah rentak perlawanan.

“Kita masih ada 90 minit dan saya tidak nampak mengapa kami tidak boleh bangkit,” katanya semalam.

Selepas jaringan penalti yang disempurnakan oleh Charyl Chappuis pada minit ke-72, Dollah Salleh mengambil risiko memasukkan Safee dan Baddrol Bakhtiar bagi memantapkan jentera serangan.

Langkah itu sebaliknya membuka ruang kepada Thailand yang berjaya mendapatkan gol kedua pada minit ke-86 menerusi serangan balas menarik yang diatur Chanathip Songkrasin sebelum disudahkan Kroekrit Thawikan.

Bagi Safee, kekuatan Thailand banyak bergantung kepada Cha­nathip yang mengawal bahagian tengah dengan baik.

“Kita boleh nampak pemain nombor 18 (Chanathip) yang ba­nyak menjadi perancang kepada segala gerakan Thailand.

“Mungkin jurulatih boleh merencana sesuatu supaya dia tidak dapat terlalu banyak ruang pada perlawanan kedua nanti,” katanya. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/safee-yakin-8232-harimau-8232-masih-boleh-1.38199#sthash.uoXtJSSO.dpuf

Thursday, 18 December 2014

AFF 2014 : Perjuangan belum tamat - Dollah

17 Disember 2014 10:15 PM


BANGKOK 17 DIS. 2014 - Pemain Harimau Malaya, Indra Putra Mahayuddin bersaing dengan pemain Thailand, Chanathip Songkrasin untuk mendapatkan bola pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 antara Malaysia menentang Thailand, di Stadium Nasional Rajamangala, di sini, hari ini. - UTUSAN/Abdul Razak Latif

BANGKOK 17 Dis. - Perjuangan belum berakhir. Harimau Malaya masih mempunyai 90 minit untuk merubah nasib mereka apabila menerima kunjungan Thailand dalam final kedua Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini, tegas jurulatih Malaysia, Dollah Salleh selepas melihat pasukannya tewas 2-0 di Stadium Rajamangala di sini, sebentar tadi.

“Kita tidak bermain sebaik ketika menentang Vietnam (separuh akhir kedua) di Hanoi, sedangkan Thailand menunjukkan permainan yang memang sudah kita jangkakan.

“Bahagian pertahanan juga agak goyah malam ini, terutama menerusi kesilapan yang dilakukan pada minit ke-72 (Thailand dihadiahkan sepakan penalti kerana Mohd. Fadhli Shas mengkasari lawan).

“Namun dalam bola sepak apa saja boleh berlaku. Kita tewas 2-0 hari ini tetapi kita masih boleh bangkit dan merubah kedudukan apabila beraksi di depan penyokong sendiri.

“Saya percaya, pemain kami akan tampil dengan aksi lebih baik apabila menerima kunjungan Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil,” ujar Dollah.

Malaysia beraksi bersama misi mencari kejuaraan Piala AFF buat kali kedua selepas muncul juara pada 2010, manakala Thailand pula bakal hadir dengan reputasi selaku juara tiga kali. - UTUSAN ONLINE

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/perjuangan-belum-tamat-dollah-1.37517#sthash.89BvB4Zy.dpuf

AFF 2014 : Cakar Harimau 
belum cukup tajam

18 Disember 2014 12:47 AM


Pemain Harimau Malaya, Indra Putra Mahayuddin bersaing dengan pemain Thailand, Chanathip Songkrasin untuk mendapatkan bola pada Perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 antara Malaysia menentang Thailand, di Stadium Nasional Rajamangala, di sini, hari ini.

BANGKOK - Skuad Harimau Malaya menghadapi laluan cukup sukar untuk meraih gelaran kedua dalam Piala AFF apabila melangkah ke perlawanan akhir kedua Piala AFF Sabtu ini selepas tumpas 2-0 di tangan juara tiga kali Thailand di Stadium Rajamangala di sini semalam.

Kekalahan itu mengulangi keputusan sama ketika skuad negara kali terakhir bertandang ke Thailand pada separuh akhir kedua 2012 di Stadium Supachalasai.

Bagaimanapun, masih ada yang positif dipertontonkan oleh Harimau Malaya apabila mereka me­ngasak sebaik permainan bermula dalam misi mendapatkan jaringan di tempat lawan apabila melancarkan dua percubaan dalam tempoh lima minit pertama.

Percubaan sulung skuad Dollah Salleh membuatkan kira-kira 50,000 penyokong tuan rumah tergamam apabila hantaran tinggi Safiq Rahim ke dalam kotak penalti ditanduk oleh Amri Yahyah namun dapat ditangkap kemas oleh Kawin Thamsatchanan pada minit ketiga.

Belum sempat Thailand mendapatkan rentak, dua minit kemudian Norshahrul Idlan Talaha pula me­nguji kewibawaan penjaga gol berpengalaman itu yang menampan kemas rembatannya.

Selepas membenarkan pelawat mengasak, skuad Gajah Perang me­nguji kekentalan benteng Harimau Malaya menerusi pemain sayap kiri Kroekrit Thawikan yang hampir menewaskan Farizal pada minit ketujuh tetapi percubaannya tersasar sedikit ke sebelah kanan.

Percubaan itu menambah semangat tuan rumah, yang perlahan-lahan membina rentak dan menguasai sepenuhnya permainan namun Harimau Malaya sekali-sekala mengatur serangan balas yang mencemaskan kubu Thailand.

Namun, tiga minit sebelum rehat, Mohd. Farizal Marlias bertindak cemerlang untuk menyelamatkan percubaan penyerang Adisak Kraisorn yang mengambil kesempatan atas kesilapan Mohd. Fadhli Shas yang tertanduk bola ke belakang.

Walaupun pada awalnya me­ngasak dan berjaya menyerap segala asakan Thailand, gawang Harimau Malaya akhirnya bocor ketika permainan semakin hampir ke penghujung.

Gol pertama tuan rumah diperoleh pada minit ke-72 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Charyl Chappuis selepas kekasaran dilakukan oleh Mohd. Fadhli.

Thailand kemudian memperoleh gol kedua apabila serangan balas yang digerakkan oleh ‘Iniesta Thailand’, Chanathip Songkrasin disem­purnakan penuh bergaya oleh Kroekrit pada minit ke-86.

Indra Putra Mahayuddin hampir menghadiahkan gol buat Harimau Malaya pada penghujung perlawanan namun tandukannya diselamatkan oleh Kawin.

Dollah berkata, skuadnya bermain dalam keadaan tertekan dan kesilapan bahagian pertahanan membolehkan Thailand menjaringkan kedua-dua gol.

“Kita main dalam keadaan tertekan. Thailand telah bermain seperti dijangka, mereka bermain di tempat sendiri.

“Bahagian pertahanan kita ketara goyang yang menyebabkan Thailand dapat menjaringkan kedua-dua gol,” katanya.

Bagaimanapun, dia yakin mereka mampu bangkit dalam perlawanan akhir kedua di Bukit Jalil Sabtu ini.

“Dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku. Di Kuala Lumpur nanti saya percaya pemain-pemain akan menunjukkan lebih daripada apa yang mereka lakukan malam ini,” tegasnya. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/cakar-harimau-8232-belum-cukup-tajam-1.37694#sthash.8VD8dHSC.dpuf

Wednesday, 17 December 2014

AFF 2014 : Safiq cedera, tapi enggan mengalah

17 Disember 2014 1:00 AM


Safiq Rahim tetap menjalani latihan semalam bagi perlawanan akhir pertama Piala AFF di Bangkok walaupun dia masih terasa sakit akibat kecederaan di bahagian lutut. – UTUSAN

BANGKOK - Setelah Shukor Adan disahkan boleh beraksi, kini Safiq Rahim pula menimbulkan kebimbangan dalam kem Malaysia apabila pemain tengah itu bergelut dengan kecederaan di lutut kanan.

Kecederaan itu dialaminya sejak kempen Piala AFF 2014 di pe­ringkat Kumpulan B, namun gagal memaksa Safiq mengalah dan kini pengorbanannya berbaloi apabila membawa Harimau Malaya mara ke perlawanan akhir.

Walaupun begitu, kecederaan Safiq tampak semakin serius selepas perlawanan separuh akhir kedua dengan Vietnam namun pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tetap berdegil mahu diturunkan.

“Tidak, saya sama sekali tidak mahu terlepas dua perlawanan akhir ini, aksi yang cukup penting kepada kami dan saya sanggup melakukan apa sahaja untuk diturunkan.

“Kecederaan ini saya alami sejak di Singapura cuma semakin lama semakin terasa kerana tempoh pemulihan yang pendek.

“Saya akan berjuang habis-habisan sbiarpun terpaksa bermain dalam kesakitan.

“Berdasarkan laporan fisioterapi, saya masih belum cergas 100 peratus tetapi itu tidak menghalang niat saya untuk bermain,” katanya yang ditemui sebelum sesi latihan akhir di Stadium Rajamangala semalam.

Safiq kini merupakan penja­ring terbanyak Piala AFF edisi ke-10 dengan empat gol, berkongsi kedudukan bersama penyerang Viet­nam, Le Cong Vinh.

Memainkan peranan penting di bahagian tengah, khidmat Safiq amat ditagih oleh Dollah kerana pemain yang berasal dari Selangor ini mampu membantu barisan pertahanan selain membuka ruang kepada penyerang.

Berdasarkan sesi latihan akhir semalam, Safiq dilihat mampu bermain dengan baik dan dijangka tetap akan disenaraikan oleh Dollah. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/safiq-cedera-tapi-enggan-mengalah-1.37287#sthash.P0pOvt44.dpuf

AFF 2014 : Kiatisuk bongkak atau penakut?

17 Disember 2014 1:00 AM


BANGKOK – Tindakan jurulatih Thailand, Kiatisuk Senamuang (karikatur) tidak menghadiri sidang akhbar pengurus perlawanan akhir pertama Piala AFF di sini semalam semakin memualkan pihak media.

Ini bukan kali pertama dia bertindak sedemikian sebaliknya sejak di peringkat kumpulan di Singa­pura lagi, termasuk untuk pertemuan dengan Harimau Malaya dan Singapura.

Tanpa sebarang alasan kukuh di­berikan, Thailand yang diwaki­li oleh penolongnya Choketawi Promrat enggan menyatakan sebab mengapa ketuanya tidak mahu tampil dalam sidang akhbar, seolah-olah mahu bermain psikologi dengan Harimau Malaya.

Malah, Thailand turut membatalkan latihan terakhir di Stadium Rajamangala pada saat-saat akhir.

Choketawi, demi menyelamatkan air muka bosnya, hanya memberi jawapan selamat iaitu bekerja dalam sebuah pasukan, dia hanya mengikut arahan serta menghormati arahan yang diberitahu oleh Kiatisuk.

“Bersama-sama dalam satu pasu­kan, kami di dalam staf kejurulatihan perlu hormat pendirian satu sama lain (pendirian Kiatisuk tidak hadir ke sidang akhbar),” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Menemani Choketawi ke sidang akhbar berkenaan adalah penjaga gol Kawin Thamsatchanan yang dijangka bertindak selaku ketua pasukan.

Choketawi menganggap kekalahan mereka dalam tiga edisi final sebelum ini tidak memberikan sebarang tekanan dan mahu menjadikan Harimau Malaya sebagai penamat badi Thailand.

“Bagi mana-mana perlawanan akhir, peluang adalah 50-50 untuk kedua-dua pasukan dan apa sahajaboleh terjadi.

“Rekod lalu tidak membuatkan kami rasa gementar dan kami akan beraksi mengikut cara tersendiri untuk memastikan Thailand kembali menjadi juara.

“Kami menghormati Malaysia, namun bermain di hadapan penyokong sendiri, sudah tentu mahu dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh pasukan Thailand dengan menampilkan aksi terbaik,” kata­nya.

Bagi Kawin, dia mahu menjadikan pentas final kali ini bagi me­nebus kembali kekalahan pada edisi 2012 di tangan Singapura.

“Bukan satu tugas yang mudah berdepan Singapura, juara tiga kali pada perlawanan akhir yang lalu dan inilah kesempatan terbaik bagi kami menamatkan penantian sejak sekian lama (kali terakhir Thailand menang 2002).

“Semangat semua pemain ter­nya­ta begitu berkobar-kobar dan sa­ya nampak kami kali ini amat mahukan trofi AFF,” katanya.

Selepas mengalahkan Indonesia pada perlawanan akhir AFF 2002, Thailand kalah dalam tiga penampilan di final pada 2007, 2008 dan 2012. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kiatisuk-bongkak-atau-penakut-1.37291#sthash.GKVC25AI.dpuf

AFF 2014 : Ulang pencapaian 
di Hanoi – Dollah

17 Disember 2014 1:02 AM


BANGKOK - Harimau Malaya sedia memanjangkan tempoh penderitaan pasukan Thailand yang kecewa dalam tiga perlawanan akhir Piala AFF dengan menghadiahkan kekalahan kepada skuad Gajah Perang di Stadium Raja­mangala malam ini.

Tidak memperlekehkan cabaran Thailand, jurulatih negara Dollah Salleh berkata, dia mengharapkan momentum kejayaan yang dicatatkan tiap kali beraksi di gelanggang luar mampu diteruskan.

Ditambah mendapat perkha­ba­ran ketua pasukan Shukor Adan ham­pir pasti dapat diturunkan se­te­lah laporan kecederaan di bahagi­an belakang tidak serius, Dollah semakin lega.

“Kami berharap dapat melakar sesuatu di sini sebagaimana di Vietnam walaupun tiada siapa menjangkakan kami boleh berbuat demikian.

“Sudah empat tahun kami tidak pernah menang ke atas Vietnam dan kali ini kami menang ke atas mereka di tempat sendiri. Keputusan itu sangat bermakna.

“Jadi bukan sesuatu yang mustahil untuk kami melakukannya di sini walaupun semua orang tahu Thailand cukup kuat,” katanya dalam sidang akhbar pengurus pasu­kan menjelang perlawanan akhir pertama semalam.

Menjelaskan situasi Shukor, Dollah berkata, pemeriksaan doktor pada awal pagi semalam mendapati pemain veteran berusia 35 tahun itu boleh beraksi menentang Thailand.

“Kami telah bawa Shukor ke hospital untuk menjalani pemeriksaan di bahagian belakang dan mendapati tiada sebarang masalah.

“Dia boleh beraksi dalam perlawanan esok (hari ini) dengan Thailand, begitu juga dengan Safee Sali.

“Bagi saya Shukor adalah nadi kepada pasukan kerana dia mampu memimpin pasukan dengan baik, begitu juga Indra Putra Mahayuddin yang bertindak selaku watak utama di jentera serangan,” kata­nya.

Berdasarkan laporan dari kem pasukan Thailand, penyerang Kirati Keowsombut serta pertahanan Adison Promrak mengalami kecede­raan dan tidak boleh diturunkan.

Safee, yang turut menghadiri sidang akhbar berkenaan, berkata dia dan rakan-rakan sepasukannya menghormati kekuatan Thailand yang menang dalam semua perlawanan di peringkat kumpulan, namun tidak bermakna mereka gentar.

“Thailand memang sebuah pasu­kan yang baik kerana tidak pernah kalah dalam peringkat kumpulan.

“Tetapi kami mampu memberi tentangan sengit kepada mereka dalam aksi di peringkat kumpulan, jadi tidak mustahil kami boleh lakar sesuatu,” katanya. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/ulang-pencapaian-8232-di-hanoi-8211-dollah-1.37292#sthash.Zeg18sks.dpuf


Tuesday, 16 December 2014

AFF 2014 : Awasi ‘Iniesta’ Thailand

Kelincahan Chanathip, Kroekrit, Adisak tarik perhatian Dollah

16 Disember 2014 1:10 AM


Chanathip SONGKRASIN (kiri) dan Kroekrit Thawikan bakal mendapat layanan ‘istimewa’ daripada Harimau Malaya apabila Thailand menentang Malaysia dalam perlawanan akhir pertama Piala AFF di Bangkok, esok.

BANGKOK - Kelibat pemain lincah Thailand, Chanathip Songkrasin yang dilabel sebagai ‘Lionel Messi Thailand’ akan diberi perhatian khas oleh jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh dalam perlawanan akhir pertama Piala AFF di Stadium Rajamangala, esok.

Bagi Dollah, beliau melihat aksi pemain berusia 21 tahun itu hampir sama seperti bintang Sepanyol dan Barcelona, Andres Iniesta.

Chanathip yang beraksi buat kelab BEC Tero Sassana menjadi duri dalam daging buat Malaysia dalam perlawanan peringkat kumpulan di Singapura, 26 November lalu.

Selain itu, Dollah turut waspada dengan penjaring dua gol ketika berdepan Filipina pada separuh akhir kedua, Kroekrit Thaweekarn yang disifatkan penuh dengan elemen kejutan di atas padang, begitu juga penyerang, Adisak Kraisorn.

“Ada dua pemain dalam pasukan Thailand yang saya bimbangkan iaitu No. 18 (Chanatip) dan No. 4 (Kroekrit). Mereka berdua cukup berbahaya.

“Pemain No. 18 (Chanatip) diberi jolokan Messi Thailand kerana aksi lincahnya, namun saya nampak dia macam Iniesta dan kita akan cuba menyekatnya.

“Seorang lagi adalah No. 4 (Kroekrit). Dia suka diam-diam datang dari belakang dan itu yang dia lakukan semasa lawan Filipina apabila menjaringkan dua gol,” kata­nya ketika ditemu di Stadium SCG Muangthong United, semalam.

Dalam pada itu, Adisak yang mendapat kad merah dalam separuh akhir pertama di Manila boleh beraksi pada pertemuan dengan Harimau Malaya.

Ini berikutan syarat kejohanan yang menetapkan pemain yang mendapat kad merah hanya digantung satu perlawanan kecuali melakukan tindakan yang berbaur keganasan.

Situasi itu mengejutkan Dollah yang pada mulanya menjangkakan penjaring dua gol ketika berdepan Harimau Malaya itu tidak akan diturunkan kerana masih digantung perlawanan.

“Saya terkejut juga dengar perkhabaran ini kerana saya ingatkan dia masih digantung, namun tidak mengapa, itu tidak menjejaskan perancangan saya.

“Tidak guna kalau kita fikirkan pemain mana yang akan mereka turunkan kerana apa yang penting pemain kena kekalkan disiplin dan fokus semasa permainan,” katanya.

Menilai kembali persembahan Harimau Malaya semasa bertemu Thailand di peringkat kumpulan, Dollah berkata, beliau sebenarnya berpuas hati dengan corak permai­nannya pemain walaupun kalah.

“Saya sebenarnya berpuas hati lagi dengan prestasi mereka semasa kalah dengan Thailand jika hendak dibandingkan menang bertemu Singapura,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/awasi-8216-iniesta-8217-thailand-1.36952#sthash.fWzZBcDo.dpuf

Monday, 15 December 2014

AFF 2014 : Pengalaman milik Harimau Malaya

15 Disember 2014 1:03 AM


Safee SALI (kiri) dan Norshahrul Idlan Talaha perlu bersaing untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama apabila menentang Thailand pada perlawanan akhir pertama Piala AFF di Bangkok, Rabu ini.

SEPANG – Aksi bertenaga dan corak permainan pantas yang ditampilkan Thailand tidak menggentarkan Safee Sali, yang berpandangan Harimau Malaya mampu memberi keseimbangan kepada skuad kendalian Kiatisuk Senamuang melalui pengalaman yang ada pada keba­nyakan pemain.

Menurut penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu lagi, format final yang berlangsung secara timbal balik juga memberi kelebihan kepada Malaysia, apatah lagi aksi kedua akan diadakan di Kuala Lumpur.

“Jika diperhatikan, Thailand memang sebuah pasukan muda dan cukup ampuh di bahagian tengah kerana dibarisi ramai bakat besar. Tidak dinafikan memang mereka memiliki skuad yang bagus.

“Cuma saya nampak mereka ada sedikit kekurangan daripada segi pengalaman.

“Di situlah kelebihan kita. Kita kena ambil kesempatan, tambahan perlawanan akhir berlangsung sebanyak dua kali.

“Saya yakin kita ada kelebihan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), semalam.

Tempat Safee dalam kesebelas­an utama dilihat sedikit terancam selepas Norshahrul Idlan Talaha yang menjadi penggantinya di saat akhir berjaya melaksanakan tugas dengan baik apabila menja­ringkan gol kedua Harimau Malaya ketika membenam Viet­nam 4-2 dalam separuh akhir kedua di Hanoi, Khamis lalu.

Selepas tewas 1-2 dalam separuh akhir pertama, Malaysia berjaya melangkah ke final menerusi agregat 5-4.

Safee tidak diturunkan dalam aksi di Hanoi kerana kecederaan pangkal paha, namun dia bersedia untuk beraksi jika jurulatih, Dollah Salleh meletakkannya dalam ke­sebelasan utama menentang Thailand.

“Selepas pulang dari Vietnam, saya rasa makin baik. Sebenarnya kecederaan saya tidaklah begitu serius dan memandangkan perlawanan ada dua ke tiga hari lagi, saya sempat pulih.

“Rasa terkilan juga tidak dapat membantu pasukan negara tempoh hari, namun syukur rakan-rakan berjaya melaksanakan tugasan de­ngan cemerlang,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/pengalaman-milik-harimau-malaya-1.36513#sthash.zn9jhQtf.dpuf

AFF 2014 : Kekal atau ubah?

Dollah pening hendak bentuk barisan terbaik

MUHAMMAD DAYNE AZMIN | 15 Disember 2014 1:03 AM


KUALA LUMPUR - Walaupun Dollah Salleh memberi bayangan akan mengekalkan kesebelas­an utama yang membenam Vietnam 4-2 di Stadium Nasional My Dinh, Khamis lalu, namun beliau mungkin melakukan rombakan sebagai strategi untuk mengejutkan Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok, Rabu ini.

Di atas kertas, Dollah mempu­nyai dua barisan yang boleh dipertaruhkan bagi menggempur juara Piala AFF tiga kali itu dalam usaha membawa pulang bekalan selesa sebelum membuat perhitungan terakhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Posisi penjaga gol menjadi pendebatan paling hangat dalam kalang­an pemerhati sejak Mohd. Farizal Marlias memperagakan aksi cemerlang ketika mengetepikan Khairul Fahmi Che Mat dalam separuh ­akhir kedua.

Bagi bersikap adil, Farizal mungkin perlu dikekalkan, namun ada yang berpendapat Khairul Fahmi Che Mat atau Apek lebih konsisten berbanding bakal penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.

Daripada senarai 22 pemain, hanya dua sahaja nama iaitu Azmi Muslim dan penjaga gol, Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid belum merasai pentas Piala AFF 2014, namun peluang mereka belum tertutup.

Persaingan di posisi pertahanan pula terarah kepada siapa yang bakal berganding dengan kapten, Shukor Adan sebagai bek tengah, sama ada Mohd. Fadhli Mohd. Shas, Mohd. Muslim Ahmad atau Afif Amiruddin yang tahap prestasinya hampir setara.

Setelah mencuba pelbagai kombinasi di peringkat kumpulan serta separuh akhir seperti Fadhli-Afif (Myanmar dan Thailand), Muslim-Shukor(Singapura), Muslim-Fadhli (Vietnam, separuh akhir pertama) dan Shukor-Fadhli (Vietnam, separuh akhir kedua), Dollah pasti penin­g memikirkan siapa ganding­an paling sesuai bersama Shukor.

Namun jawapan terbaik yang dilihat adalah Fadhli Shas.

Walaupun agak senyap dalam padang, Fadhli seorang pemain yang berdisiplin ketika mengawal gerakan pemain lawan. Berbanding Afif dan Muslim, pertahanan JDT ini kurang melakukan kesilapan dalam kebanyakan perlawanan.

Satu lagi persoalan, apakah pemain kesayangan penyokong Kelantan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi akan terus diberi peluang oleh Dollah atau kemungkinan beliau kembali kepada formasi lama dengan meletakkan Gary Steven Robbat di bahagian tengah bersama Safiq Rahim.

Melihat secara keseluruhan aksi Badhri atau Piya, dia cukup berkesan selaku arkitek kepada serangan.

Dia mencipta gerakan untuk gol ketiga serta keempat Harimau Malaya dalam pertemuan dengan Vietnam.

Namun, kekurangan yang ada pemain berusia 32 tahun ini adalah tidak mampu membantu pasukan dalam situasi diserang oleh lawan.

Kehadiran semula Safee Sali yang pulih daripada kecederaan pangkal paha memberi persaingan menarik kepada Norshahrul Idlan Talaha yang menamatkan kemarau gol sejak 15 Oktober lalu dengan menjaringkan gol ketika menentang Vietnam di Hanoi.

Jika Dollah melakar strategi menggunakan dua penyerang, Ind­ra Putra Mahyuddin atau Amri Yahyah yang bertindak selaku penyerang sokongan pasti akan dikekalkan.

Pilihan Dollah sama ada meneruskan khidmat Norshahrul atau memberikan kembali tempat kepada Safee.

Satu lagi taktikal yang boleh digunakan Dollah adalah mempertaruhkan penyerang tunggal sama ada Norshahrul atau Safee. Indra dan Amri mengisi bahagian sayap, manakala Gary, Safiq dan Badhri di tengah.

Apa jua perancangan yang Dollah, Shukor sentiasa perlu berada dalam pasukan memandangkan karakter yang ada pada pemain berusia 35 tahun ini cukup penting buat Harimau Malaya.

Selain bertindak selaku pemberi arahan di atas padang, dia pengala­m­an luas yang dimiliki pemain ini menjadikannya amat disegani oleh rakan-rakan sepa­suk­an.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kekal-atau-ubah-1.36509#sthash.XOwYv6rQ.dpuf




Friday, 12 December 2014

Piala AFF: Malaysia layak final benam Vietnam

KHAMIS, 11 DISEMBER 2014 @ 10:03 PM


PEMAIN Malaysia, Shukor Adan dikerumuni rakan sepasukan meraikan gol keempat jaringannya ketika perlawanan separuh akhir kedua antara Vietnam menentang Malaysia di Stadium My Dinh di Hanoi, malam ini. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Malaysia membuat Vietnam gigit jari apabila mencetus ceria peminat tanah air dengan melakar kemenangan - sekali gus gah layak ke final bola sepak Piala AFF Suzuki di Stadium My Dinh di Hanoi, malam ini.

Anak didik Dollah Salleh yang tidak diberi peluang sebelum perlawanan separuh akhir kedua ini membuat kejutan untuk menang 4-2 dan layak ke perlawanan akhir dengan agregat 5-4.

Dalam penentuan mahkota kejuaraan edisi kali ini Malaysia akan menentang Thailand pada 17 dan 20 Disember ini dalam format timbal balik.


Ini adalah final ketiga untuk skuad Harimau Malaya dalam kejohanan Piala AFF selepas layak pada 1996 dan 2010 (juara).

Dalam perlawanan, hari ini, gol Harimau Malaya adalah sumbangan Safiq Rahim pada minit ke-4, Norsharul Idlan Talaha (m-16), jaringan sendiri oleh Dinh Tien Thanh (m-29) dan Shukor Adan (m-43).

Vietnam merapatkan jurang dengan dua gol sumbangan kapten, Le Cong Vinh pada minit ke-22 dan 79.

Thailand layak ke final selepas menewaskan Filipina dengan agregat 3-0 dalam satu lagi saingan peringkat sama di Bangkok, semalam.

Vietnam yang menang 2-1 dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam pada 7 Disember lalu mengasak kubu lawan sebaik pengadil dari Jepun, Toma Masaaki meniupkan wisel berbekal sorakan puluhan ribu penyokong.

Namun, nasib menyebelahi Malaysia yang membuka tirai jaringan seawal minit keempat selepas Safiq merembat masuk kemas sepakan penalti.

Masaaki menghadiahkan penalti kepada tuan rumah selepas pemain tengah negara, Indra Putra Mahayuddin dikasari pertahanan Vietnam, Que Ngoc Hai.

Penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha menamatkan kemarau jaringan pada kejohanan kali ini dengan meledak gol kedua pada minit ke-16 hasil kesilapan benteng tuan rumah.

Tersentak, Vietnam mengasak dan berjaya merapatkan jurang menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Cong Vinh pada minit ke-22 tapi selang enam minit kemudian Dinh Tien Thanh tertampan bola ke dalam gol sendiri ketika menghalang percubaan Indra Putra.

Seminit sebelum tamat babak pertama, Shukor Adan menambah derita tuan rumah dengan gol keempat selepas menyudahkan tandukan depan gawang lawan.

Selepas rehat, Vietnam mengubah rentak perlawanan dengan menggandakan asakan dan usaha mereka berhasil apabila bagi Cong Vinh menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-78.

Namun, segala usaha berikut tuan rumah untuk menembusi gawang Harimau Malaya mencapai jalan buntu. Anak didik Dollah berjaya mengawal benteng dengan baik untuk layak ke final.

SKUAD PEMAIN

MALAYSIA: Mohd Farizal Marlias, Zubir Mohd Azmi, Fadhli Mohd Shas, Shukor Adan (kapten), Indra Putra Mahayuddin (Mohamad Muslim Ahmad), Safiq Rahim, S Kunalan, Mohd Badhri Mohd Radzi (Baddrol Bakhtiar), Azamuddin Mohd Akil, Amri Yahyah, Norshahrul Idlan Talaha

VIETNAM: Tran Nguyen Manh, Le Phuoc Tu, Dinh Tien Thanh, Nguyen Van Bien, Ngo Hoang Thinh (Le Tan Tai), Le Cong Vinh (kapten), Nguyen Van Quyet, Que Ngoc Hai, Pham Thanh Luong, Vo Huy Toan (Mac Hong Quan), Nguyen Huy Hung

PENGADILl: Toma Masaaki (Jepun)


AFF 2014 : Cakar Harimau pukau Vietnam

12 Disember 2014 1:55 AM


Pemain Malaysia meraikan kejayaan mereka layak ke perlawanan akhir Piala AFF 2014 selepas menumpaskan Vietnam 4-2 pada separuh akhir di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, semalam. – UTUSAN

HANOI - Harimau Malaya mengeluarkan segala jurus untuk membuat Vietnam terpaku di Stadium My Dinh sekali gus me­nempah tiket ke perlawanan akhir selepas melakukan kejutan dengan menumbangkan tuan rumah 4-2 dan agregat 5-4 semalam.

Malaysia akan berdepan Thailand di pentas akhir pada 17 Di­sember di Stadium Rajamangala, Bangkok dan perlawanan kedua di Stadium Shah Alam pada 20 Disember.

Perjudian Dollah melakukan rombakan dengan membawa ma­suk lima muka baharu dalam ke­sebelasan utama termasuk Mohd. Badhri Radzi, Indra Putra Mahayuddin dan Mohd. Farizal Marlias ternyata membuahkan hasil.

Ketinggalan dengan agregat 2-1 hasil kekalahan di Shah Alam pada Ahad lalu, skuad negara mengasak sebaik sepak mula dan permainan mereka jelas memukau Vietnam yang dibolosi empat gol pada babak pertama menerusi Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha dan Shukor Adan serta gol sendiri Dinh Thien Thanh.

Harimau Malaya mendahului seawal minit kedua menerusi sepakan penalti selepas Indra dijatuhkan oleh Tien Thanh.

Walaupun terpaksa mengambil sepakan penalti sebanyak dua kali, Safiq tiada masalah untuk menja­ringkan gol peribadi keempat dalam kejohanan ini pada minit kelima.

Norshahrul menjaringkan gol kedua Malaysia pada minit ke-15 setelah membuat sepakan lambung bola yang berada di antara penjaga gol Tran Nguyen Manh dengan seorang pemain pertahanannya.

Momentum Harimau terencat seketika apabila Vietnam merapatkan jurang lapan minit kemudian menerusi Le Cong Vinh yang me­nyempurnakan penalti.

Namun, jaringan sendiri daripada Thien Tinh pada minit ke-29 yang tertampan masuk hantaran lintang Indra Putra memastikan kelebihan sekali lagi menjadi milik anak-anak buah Dollah selain sudah mengatasi Vietnam dari segi gol di tempat lawan.

Ketua pasukan, Shukor Adan melengkapkan separuh masa pertama yang penuh bergaya apabila menanduk kencang bola hantaran Mohd. Fadhli Shas pada minit ke-43.

Segalanya tampak berlaku se­perti dirancang pada babak kedua tetapi sebaik sahaja Cong Vinh mendapatkan gol kedua pada minit ke-78, Vietnam tiba-tiba sahaja mendapat semangat baharu.

Asakan demi asakan membuatkan Dollah terpaksa membawa masuk Mohd. Afif Amiruddin untuk memperkukuhkan barisan pertahanan dan skuad negara berjaya mengekalkan kelebihan sehingga wiset penamat terakhir permainan.

Dollah, yang ditemui selepas perlawanan berkata, dia berasa se­perti di awang-awangan apabila Harimau Malaya mampu mengalahkan Vietnam buat kali pertama dalam sejarah bola sepak negara.

“Tidak sangkalah kita boleh menang hari ini, tahniah kepada pemain yang berjuang habis-habisan sepanjang permainan,” katanya. – UTUSAN

“Saya amat berbangga, apatah lagi sebagai jurulatih baharu pasukan ini... mereka buktikan tiada apa yang mustahil pada malam ini.

“Empat peluang yang mereka terima, empat gol yang kita jaringkan. Kalau inilah yang mereka terapkan, saya yakin kita boleh pergi jauh,” katanya.

Selain itu, dia terkejut kerana pertahanan Vietnam banyak melakukan kesilapan dan itu membuka ruang kepada pemainnya mendapatkan gol.

“Babak pertama kami menggunakan sepenuhnya kesempatan yang kami perolehi apabila pertahanan tuan rumah kerap kali melakukan banyak kesilapan mudah.

“Di separuh masa kedua barulah saya nampak Vietnam menunjukkan permainan sebenar mereka tetapi pemain kita mengekalkan disiplin hingga minit terakhir permainan,” katanya.

Rakan sejawatnya, Toshiya Miura pula menganggap persembahan yang ditampilkan Vietnam adalah terburuk sepanjang dia melatih pasukan itu.

“Sukar untuk mengatakannya namun memang ini adalah antara aksi paling mengecewakan sejak saya di sini.

“Mereka hanya tampak agresif di separuh masa kedua dan Malaysia menghukum segala kesilapan kami, mereka layak ke perlawanan akhir,” katanya. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/cakar-harimau-pukau-vietnam-1.35542#sthash.nJJV4kgu.dpuf



Wednesday, 3 December 2014

Piala AFF: Jurulatih Singapura dituntut letak jawatan

ISNIN, 1 DISEMBER 2014 @ 3:42 PM

SINGAPURA: Ketua jurulatih Singapura, Bernd Stange, hari ini menerima tekanan untuk meletak jawatan berikutan kegagalan skuad republik itu layak ke separuh akhir Piala AFF Suzuki.

Pengendali berasal dari Jerman berusia 66 tahun itu menerima kecaman pengkritik dan peminat kerana lebih gemar menggunakan tenaga muda serta corak permainan dengan hantaran pantas.

Dalam perlawanan terakhir Kumpulan B, Singapura tampak seperti mahu layak selepas menyamakan kedudukan 1-1 di Stadium Nasional.

Namun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Malaysia menjaringkan dua gol pada lewat babak permainan, termasuk satu daripada sepakan penalti untuk menang 3-1.

Rekod buruk Stange termasuk menyudahkan cabaran dalam kedudukan terakhir kelayakan Piala Asia, awal tahun ini.

Singapura kini berada dalam ranking ke-158 dunia.

Stange yang menyuarakan rasa kecewa tersingkir awal bagaimana pun memuji barisan muda yang purata berusia 25 tahun.

Laporan sebuah akhbar tempatan di sini pula menyebut ada seorang pemain yang tidak dinamakan berkata pemain mengadu pasukan itu tidak bersedia dengan baik serta amat marah ketika kejohanan dengan gaya pengurusan Stange.

"Stange bertegas dengan sistem tiki-taka tetapi pemain berpendapat corak itu tak sesuai untuk permainan di Asia Tenggara yang mempunyai pendekatan lebih terus dalam permainan. Ia didapati lebih berkesan," kata pemain itu seperti dilaporkan oleh akhbar berkenaan.

Stange dilantik Persatuan Bola Sepak Singapura untuk menggantikan Raddy Avramovic dari Serbia yang sebelum ini memimpin Singapura menjuarai Piala Suzuki tiga kali (2004, 2007 dan 2012).

Thailand, Malaysia, Filipina dan Vietnam layak ke separuh akhir kejohanan kali ini. - AFP


KETUA jurulatih Singapura, Bernd Stange. - Foto BERNAMA


Piala AFF: Miura tak bimbang kehilangan Minh Tuan

SELASA, 2 DISEMBER 2014 @ 11:20 AM

KUALA LUMPUR: Jurulatih Vietnam, Toshiya Miura yakin barisan bimbingannya mampu menampung kekosongan ditinggalkan pemain tengah, Vu Minh Tuan pada pertemuan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki menentang Malaysia, Ahad ini.

Minh Tuan mengumpul kad kuning kedua pada aksi peringkat kumpulan selepas menjaringkan gol cantik ketika Vietnam mencatat kemenangan 3-1 ke atas Filipina pada Jumaat lepas.

Pemain berusia 24 tahun itu membuka mata pengkritik menerusi kemahiran dan kemampuannya menjaring gol ketika membantu Vietnam mencatat keputusan seri 2-2 menentang Indonesia dan turut meledak bertemu Laos.

"Minh Tuan, tiga perlawanan, dua gol, dia bermain dengan amat baik namun saya fikir pemain simpanan untuk tiga perlawanan selepas ini mampu menampung ketiadaannya," kata Miura mengulas ketiadaan Minh Tuan pada perlawanan di Shah Alam dalam laman rasmi Piala AFF, www.affsuzukicup.com.

Untuk rekod, Vietnam sudah menewaskan Malaysia tiga kali dan seri dua kali daripada tujuh pertemuan sepanjang kempen serantau AFF.

Begitupun, pada edisi empat tahun lalu, Malaysia berjaya mara ke final selepas menewaskan Vietnam menerusi agregat 2-0 sebelum menewaskan Indonesia di pentas akhir untuk menjulang Piala AFF buat kali pertama.

Selain Vietnam, Malaysia begitupun turut kehilangan pemain berpengalaman, Shukor Adan dan penyerang veteran, Amri Yahyah kerana mengumpul kad kuning kedua.


BINTANG muda Vietnam, Vu Minh Tuan (kiri) meraikan jaringannya ketika bertemu Filipina bersama rakan sepasukan, Nguyen Van Quyet pada aksi peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki. Minh Tuan begitupun tidak boleh beraksi pada perlawanan separuh akhir pertama menentang Malaysia kerana mengumpul kad kuning kedua. - Foto Reuters


AFF 2014 : Perlawanan Malaysia-Vietnam mula 8 malam, Ahad ini

SELASA, 2 DISEMBER 2014 @ 10:20 PM


SETIAUSAHA Agung Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Datuk Azzuddin Ahmad (kanan) bersama Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin pada sidang media mengenai penganjuran perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014, antara pasukan negara bertemu Vietnam Ahad ini di Wisma FAM di sini, hari ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin

PETALING JAYA: Perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Shah Alam, Ahad ini, akan bermula jam 8 malam dan bukan 8.45 malam seperti kebiasaan di negara ini.

Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), selaku penganjur kejohanan, berkata waktu perlawanan ditetapkan bagi memberi laluan kepada kehendak siaran televisyen luar negara.

Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, kejohanan tersebut merupakan perlawanan antarabangsa dan Malaysia, selaku tuan rumah separuh akhir, perlu mematuhi jadual yang dipersetujui oleh semua pihak.

"Kita tidak boleh mengubah waktu tersebut kerana ianya bakal menimbulkan masalah seperti waktu siaran stesen televisyen luar negara," katanya pada sidang media di Wisma FAM di Kelana Jaya, dekat sini hari ini.

Sebelum itu, beliau menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Separuh Akhir Pertama Piala AFF Suzuki 2014 di sini.

Azzuddin berkata, stesen penyiaran luar negara telah menetapkan waktu siaran masing-masing dan telah menempah satelit untuk siaran langsung dan ia tidak boleh diubah.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata jualan tiket dalam talian pada hari pertama hari ini amat memuaskan apabila sebanyak 8,000 tiket telah dijual sebaik jualan tiket dalam talian dibuka pada pukul 10 pagi tadi.

Hamidin berkata jualan 70,000 tiket itu tidak terhad kepada rakyat Malaysia sebaliknya dibuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menyaksikan perlawanan tersebut termasuk penyokong Vietnam.

Beliau berkata FAM memandang serius dengan aspek keselamatan di stadium daan dijangka sebanyak 1,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terlibat pada hari perlawanan dan orang ramai diminta tidak membawa bahan-bahan terlarang seperti 'Suar' mahu pun mercun yang boleh membahayakan orang ramai.

"Kita akan membuat pemeriksaan rapi... Jadi saya memohon agar semua penyokong memberi kerjasama," katanya.

Pasukan Harimau Malaya berjaya mara ke peringkat separuh akhir Piala AFF Suzuki selepas menewaskan Singapura 3-1 pada aksi penutup tirai peringkat Kumpulan B pada Sabtu lalu. - BERNAMA

Tuesday, 2 December 2014

AFF 2014 : Safiq tagih sokongan padu peminat Harimau Malaya di Shah Alam

SELASA, 2 DISEMBER 2014 @ 1:19 PM

KUALA LUMPUR: Ketika Malaysia memahat sejarah menjuarai Piala AFF Suzuki pada 2010, pemain tengah, Safiq Rahim memakai lilitan kapten dan tugas itu mungkin kembali menjadi miliknya, Ahad ini.

Bertemu Vietnam pada pertembungan separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, Malaysia kehilangan kapten, Shukor Adan selain penyerang Amri Yahyah dengan Safiq boleh dianggap calon terbaik menggalas tugas penting itu.

Pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Singapura, Safiq membuktikan kemampuannya apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-92 yang dianggap kunci kejayaan skuad Harimau Malaya untuk layak ke separuh akhir.

Malaysia mara selepas menewaskan Singapura 3-1 namun terpaksa berdepan kehilangan Shukor dan Amri yang digantung selepas kedua-duanya menerima kad kuning kedua pada perlawanan peringkat kumpulan.

Bagi Safiq, skuad yang dimiliki jurulatih Dollah Salleh ketika ini memiliki ramuan mencipta kejayaan sama sekali lagi selain mengharapkan sokongan tidak berbelah bahagi peminat tempatan.

"Kami akan bermain menentang Vietnam pada aksi separuh akhir sekali lagi dan saya yakin kami mampu mengulangi pencapaian 2010," katanya dalam laman web rasmi Piala AFF, www.affsuzukicup.com.

"Kami bermain untuk mempertahankan maruah negara dan saya berharap peminat akan terus menyokong kali," katanya.

Sepanjang kejohanan serantau AFF, Malaysia dan Vietnam sudah bertemu tujuh kali dengan rekod lebih memihak Vietnam yang menang tiga perlawanan dan seri dua kali.

Begitupun pada edisi 2010, Malaysia berjaya menafikan cabaran Vietnam apabila melangkah ke final dengan keputusan agregat 2-0 sebelum menjuarai kejohanan buat kali pertama dengan kemenangan ke atas Indonesia.

REAKSI Safiq Rahim ketika meraikan gol bersama penyokong Harimau Malaya pada perlawanan menentang Singapura kumpulan B Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Jalan Besar. Malaysia berjaya menumpaskan Singapura dengan 3-1. - Foto Bernama


Monday, 1 December 2014

AFF 2014 : Tuah waktu kecederaan

Harimau baham singa untuk ke separuh akhir

30 November 2014 1:10 AM


PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Piala AFF selepas membenam Singapura 3-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional, Kallang semalam

SINGAPURA - Ketika Harimau Malaya sudah di ambang penyingkiran, tuah mengiringi mereka apabila dua gol waktu kecederaan membawa anak-anak buah Dollah Salleh ke separuh akhir Piala AFF dengan menundukkan Singapura 3-1 di Stadium Nasional, Kallang, semalam.

Walaupun Khairul Amri mema­dam gol pembukaan Safee Sali pada minit ke-83, semangat juang Malaysia nyata sukar dipadam.

Tindakan Shakir Hamzah menolak Amri Yahyah dalam kotak pe­nalti pada minit ke-90 mendorong pengadil, Al Kaf Ahmed Abu Bakar Said memberi sepakan penalti kepada Malaysia.

Safiq Rahim yang mengambil sepakan tenang menewaskan penjaga gol, Hassan Sunny untuk meletakkan Malaysia kembali di depan.

Tuan rumah tidak berputus asa apabila cuba mendapatkan gol pe­nyamaan, namun tindakan Hassan naik bagi membantu semasa situasi sepakan percuma membawa padah apabila Indra Putra Mahyuddin menghukum kecuaian Singapura.

Dia yang mendapat bola melalui tandukan Abdul Manaf Mamat tenang menyepak masuk ke gawang yang ternganga pada minit kelima waktu kecederaan.

Kali terakhir Malaysia menang ke atas Singapura di sini adalah pada Piala AFF 2002 dengan kemenangan besar 4-0. Kebetulan Indra adalah penjaring gol terak­hir ketika itu.

Kemenangan ini bagai me­ngulangi skrip 2010 apabila Malaysia tewas aksi pembukaan kepada Indonesia, seri dalam perlawanan kedua menentang Thailand sebelum mengalahkan Laos.

Malaysia menamatkan kempen selaku naib juara Kumpulan B dan me­nempah pertemuan dengan Vietnam pada separuh akhir.

Harimau Malaya akan menerima kunjungan lawan di Stadium Shah Alam pada 7 Disember ini, sebelum bertandang ke Hanoi pada 11 Disember.

“Terima kasih kepada tuhan kerana di saat akhir kami mendapat sepakan penalti. Pemain tidak kenal erti kekalahan apabila Singapura menyamakan kedudukan.

“Selepas empat perlawanan saya mengambil alih skuad ini, kami tidak mampu mendapatkan kemenangan, kami masih mampu melayakkan diri ke separuh akhir dan strategi saya menggunakan pemain senior dalam minit terakhir permainabenar-benar menjadi,” kata jurulatih negara, Dollah Salleh. – MINGGUAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tuah-waktu-kecederaan-1.30718#sthash.cNncgwaV.dpuf



Harimau Malaya ke separuh akhir Piala AFF Suzuki

29 November 2014 10:10 PM


PEMAIN Harimau Malaya, Safee Sali (kanan) dikawal ketat dua pemain Singapura pada separuh masa pertama dalam perlawanan kumpulan B Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Jalan Besar, Singapura malam ini.--fotoBERNAMA

SINGAPURA 29 Nov. - Malaysia mempamer karakter hebat ketika membenam penyandang juara, Singapura 3-1 di Stadium Nasional, Kallang sebentar tadi untuk melangkah ke separuh akhir Piala AFF Suzuki.

Selepas kedudukan terikat 0-0 pada babak pertama, Malaysia tampil dengan aksi lebih kemas di separuh masa kedua dan berjaya membuka jaringan menerusi Safee Sali pada minit ke-61.

Bagaimanapun tuan rumah mengejutkan Harimau Malaya apabila berjaya menyamakan kedudukan, 22 minit kemudian selepas Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal menolak bola muntah yang gagal ditepis kemas oleh penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Permainan kelihatan hampir akan tamat dengan kedudukan 1-1, namun Mohd. Safiq Rahim menggembirakan penyokong Malaysia apabila meletakkan pasukan negara kembali di depan pada waktu kecederaan menerusi sepakan penalti selepas Amri Yahyah dijatuhkan pertahanan lawan dalam kotak penalti.

Ketika Singapura ghairah untuk mencari gol penyamaan dengan semua pemainnya diarahkan turun ke kawasan Malaysia, pasukan negara mengatur serangan balas dan akhirnya pemain veteran, Indra Putra Mahyuddin menyempurnakan gol ketiga untuk kemenangan 3-1.

Malaysia melayakkan diri ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B, mengiringi Thailand yang dinobat sebagai juara selepas menumpaskan Myanmar 2-0 dalam satu lagi perlawanan di Stadium Jalan Besar. - UTUSAN ONLINE

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/harimau-malaya-ke-separuh-akhir-piala-aff-suzuki-1.30600#sthash.bTURelvA.dpuf