Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label PAU2014. Show all posts
Showing posts with label PAU2014. Show all posts

Monday, 1 December 2014

TEKS UCAPAN PENGGULUNGAN PRESIDEN UMNO, DATUK SERI NAJIB RAZAK PADA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2014

SABTU, 29 NOVEMBER 2014 @ 9:24 PM


Bismillahirahmanirahim, Alhamdulillahirabilalamin wabihinastain, Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatu, salam sejahtera dan salam satu Malaysia.

Yang Amat Berhormat sahabat saya Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Umno, barisan naib-naib presiden, ketua Jawa, ketua lanun dan ketua Turki, minta maaf yang saya hormati Tan Sri Pengerusi Tetap dan Tan Seri Timbalan Pengerusi Tetap, Ketua Wanita, Pemuda Puteri, barisan pimpinan tertinggi Umno, Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Badawi (terima kasih Pak Lah hadir) dan Tun Jane, sidang perwakilan,pemerhati, mahasiswa ,mahasiswi seterusnya tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

Alhamdulillah, kita sudah sampai kepada penghujung Perhimpunan Agung bagi tahun 2014. Kalau kita lihat dalam masa empat hari ini, dalam semua media cetak, dalam semua saluran televisyen dan media sosial, memang cerita Perhimpunan Agung ini menjadi berita utama. Apakah ini bukan tanda dan bukti bahawa platform politik yang terpenting, platform politik yang amat dinanti-nantikan pada saban tahun, tidak lain dan tidak bukan ialah Perhimpunan Agung parti UMNO kita ini?


Ini membuktikan bahawa walaupun kita berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan, tidak ada siapapun yang dapat menafikan gah parti UMNO kita sehingga pada hari ini. Saya ingin memulakan ucapan penggulungan saya dengan menunjukkan edisi surat khabar, salinannya yang telah diterbitkan pada tanggal 1 September 1957. Kalau Pengerusi Tetap tunjuk surat khabar, saya pun nak tunjuk surat khabar. Tajuknya ialah pada masa itu, dalam bahasa Inggeris, 'look with the past with gratitude, look to the future with confident', (lihatlah masa lampau dengan kesyukuran, lihatlah masa depan dengan keyakinan) kata-kata Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Pada pendapat saya kata-kata ini masih relevan dan masih tepat sehingga pada hari ini. Melihat masa lampau dengan penuh kesyukuran dan memandang masa depan dengan penuh keyakinan dan inilah hasil perjuangan parti keramat, parti UMNO kita. Saya berterima kasih pada sidang perwakilan dan saya berterima kasih pada semua jurucakap yang hampir semua telah menyambut tema ucapan dasar saya, saya memilih perkataan...apa dia? So-li-da-ri-ti!

Saya boleh pilih perkataan lain, satu, muafakat, ada wakil yang tanya, nak balik kampung macam mana nak cerita pada orang kampung, nak cerita pada mak long, pak long, mak ngah, pak ngah, macam mana nak terangkan apa dia itu solidariti? Solidariti bermakna bersatu dalam satu angkatan yang kukuh dan padu, itu dia solidariti, dan bila saya lihat akhbar tahun 1997 yang dimuatkan dengan cerita kisah sambutan hari kemerdekaan, bagaimana kemerdekaan itu telah dicapai, asas dia apa? Asas British bagi kita kemerdekaan dengan agak mudah kerana kekuatan yang kita telah memperlihatkan atas semangat solidariti.

Saya tengok wakil dari Permatang Pauh, dia gunakan perkataan keautentikan tetapi keautentikan itu belum masuk lagi dalam Kamus Dewan tapi solidariti sudah masuk, dan kalau kita sebut dengan intonasinya solidariti kita akan masukkannya dalam jiwa, dalam roh kita kerana inilah yang akan menjamin kita akan terus berjaya dalam masa pilihan raya akan datang dan selanjutnya.

Saya ucap terima kasih pada sidang perwakilan kerana menyentuh banyak perkara. Oleh kerana Pengerusi Biro Agama tidak berucap, Datuk Seri Jamil Khir, dia minta saya mengulas sedikit tentang maqasid syariah. Saya pernah berkata bahawa jika kita menganggap Malaysia ini di bawah pimpinan UMNO, berada di atas landasan perjuangan, mengikut syariat Islam dan hukum syarak dan ada orang kata sebaliknya pula, bagaimana kita hendak cari satu penilaian yang boleh menggambarkan bahawa negara Malaysia ini, hala tuju yang dibawa oleh UMNO dari dulu sampai sekarang ini adalah berpandu kepada tuntutan Islam yang sebenarnya, maka lahirlah cadangan supaya kita buat satu indeks syariah. Indeks syariah ini akan membuat penilaian sejauh mana negara ini bawah UMNO menjaga agama kita, menjaga akal, menjaga keturunan, menjaga nyawa dan menjaga harta benda. Lima tuntutan maqasid syariah.

Saya sudah meminta supaya satu task force ditubuhkan dikendalikan oleh Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan JAKIM jadi urusetianya terdiri daripada pakar agama dan Indeks Syariah ini untuk Malaysia. Ia akan dibentangkan pada Februari tahun depan tidak lama lagi. Apabila kita sudah bentangkan Indeks Syariah ini untuk Malaysia, kita boleh juga berbuat demikian untuk negara Islam yang lain supaya dengan ini mudah-mudahan kita boleh gambarkan dan tunjukkan supaya tidak ada sesiapa boleh sangkal sama sekali bahawa negara yang di bawah pimpinan UMNO ini adalah benar-benar menegakkan dan mengembangkan Islam di bumi yang bertuah ini.

Bercakap sedikit tentang soal ekonomi, ada orang kata apabila ekonomi negara kita pertumbuhannya 6.1 peratus dalam tempoh sembilan bulan tahun ini, kadar pencapaian Malaysia adalah tertinggi di kalangan negara Asia. Satu pencapaian yang boleh kita banggakan tapi ada juga orang kata dia tidak rasa angka 6.1 peratus, angka ini tapi tidak ada apa-apa relevan kepada dia.

Saya hendak beritahu bahawa kalau tidak dapat 6.1 peratus...kata dapat dua atau tiga peratus, tentu sekali kita semua akan merasai tekanan apatah lagi dalam tahun 1997... kalau kita masih ingat lagi apabila ekonomi merudum masa itu apa berlaku kita terpaksa potong peruntukan semua kementerian jabatan kerajaan sampai elaun sara hidup untuk penjawat awam pun terpaksa kita hadkan. Kalau tidak ada kadar pertumbuhan yang tinggi, macam mana kita boleh mengagihkan kekayaan, macam mana kita boleh beri peruntukan yang amat diperlukan untuk kawasan luar bandar yang mesti kita utamakan, untuk bidang pendidikan yang harus kita utamakan, untuk aspek yang penting kerana hasil negara, amat wajar kita tokok tambah. Dan dengan ini maka kita bolehlah melaksanakan termasuk apa yang amat dihasratkan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputra.

Ramai yang bercakap tentang GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan). Apabila kita tambah GST, saya tak dapat ramalkan lagi dengan rasionalisasi subsidi, kita tidak tahu tahu mungkin RM5 bilion atau RM10 bilion tambahan tahun hadapan. Kalau ada rezeki dan kalau ada peruntukan tambahan saya ambil semangat dan hasrat daripada Perhimpunan Agung UMNO ini. Hasrat perhimpunan agung ini apa? Supaya peruntukan ini dibelanjakan untuk kawasan luar bandar. Ini mesti kita utamakan untuk bidang pendidikan yang disebutkan oleh Timbalan Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tadi mesti kita tambahkan. Pendapatan rendah orang Melayu kerana apa? Ini kerana kebanyakan berkelulusan SPM perlu diberikan latihan meningkatkan kemahiran. Kita tambah. Untuk perumahan orang muda, minta tambah rumah transit. Wakil daripada bahagian Kuala Kedah minta rumah PPR (Projek Perumahan Rakyat) lagi. Ini semua kita perlu tambah peruntukan melalui tambahan GST. Saya nak buktikan bahawa GST tidak bebankan rakyat dan GST akan membela rakyat.

Siapa kata GST tak menguntungkan? 160 lebih negara sudah laksanakan GST. Takkan mereka semua ini salah. Betul atau tidak? Takkanlah negara Burkino Faso yang miskin itu buat GST, yang kaya buat GST. Sebab apa kita perlu GST? Sebab ramai orang yang berniaga tidak bayar cukai. Apakah adil tuan-tuan bayar cukai? Tuan-tuan yang kerja tiap-tiap bulan ada penyata gaji. Tidak boleh elak bayar cukai. Yang berniaga kadang-kala ada satu, ada dua, ada tiga buku, yang dikatakan black economy ini, tidak bayar sampai ada jarak cukai sampai 30 peratus dalam negara kita. Mereka dapat perkhidmatan daripada kerajaan secara percuma. Maknanya mereka tidak bayar apa? Tak adil! Mereka patut bayar cukai kerana mereka perlu menampung perbelanjaan untuk rakyat. Inilah konsepnya. Sebab itu kita jangan politikkan GST ini. Kalau GST tidak baik tuan-tuan, saya tidak buat. Saya tidak buat. Cerita GST ini, sudah 20 tahun punya cerita. Berapa menteri kewangan termasuk ketua pembangkang, dia pernah cadangkan buat GST tarik balik lepas itu. Oleh itu, yakinlah bahawa niat kita tidak lain dan tidak bukan. Macam mana saya hendak cari hasil tiap-tiap kali perhimpunan minta lagi pembangunan luar bandar ditambah kerana di luar bandar adalah kubu kuat UMNO.

Tiap-tiap kali saya pandang pada muka Menteri Pembangunan Luar Bandar (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal), saya sudah nampak bukan saja muka lanun...dia tak nak sebut tapi dia segan tapi saya sudah boleh baca dia nak dan bila saya dengar perbahasan MARA mesti kita tambah peruntukan kerana MARA apa? Kerana MARA itu institusi lambang Melayu Bumiputera. Banyak lagi anak-anak kita nak pergi luar negara tidak ada biasiswa. Anak sebahagian daripada saudari sekalian tidak ada biasiswa negeri. Nak pergi ke MARA, MARA kena tambah peruntukan. Daripada mana? Takkanlah kita hendak pinjam lagi. Kalau kita pinjam daripada institusi kewangan luar negara, kita akan kehilangan kedaulatan sebagai sebuah negara. Ini kita tak boleh benarkan. Kita mesti berdiri di atas kaki kita sendiri. Ada wakil yang bercakap tentang ramai graduan yang tidak ada pekerjaan. Dia tidak ada pekerjaan ini ada beberapa sebab. Antaranya sebab kebolehan dia berkomunikasi umpamanya bukan saja kelulusan ijazah tapi kebolehan dia berkomunikasi umpamanya kurang dan mungkin personalitinya dan sebagainya. Jadi apa caranya? Saya hendak minta supaya Skim Latihan 1Malaysia untuk graduan yang tidak ada pekerjaan ini ditambah 100 peratus lagi.

Saya sudah bercakap pagi tadi dengan Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar. Saya kata semua GLC (syarikat berkaitan kerajaan) kalau tahun depan rancangan 4,000 kita jadikan 10,000 untuk graduan kita yang tidak ada pekerjaan. Saya buat ini sekali lagi kerana apa? Kerana hasrat para perwakilan dalam perhimpunan. Lagi apa? Rizab Melayu? Tanah Rizab Melayu mestilah kita pertahankan. Jadi saya minta semua menteri besar negeri yang dikuasai oleh kita, memastikan tanah rizab itu jika dibuka untuk pembangunan digantikan dengan yang lain.

Keduanya, saya nak sebut tanah rizab ini jangan rizab saja. Ia mesti dibangunkan. Apabila hendak dibangunkan mesti ada sumber kewangan. Sekarang ini saya diberitahu bahawa ada kesukaran dari segi perundangan, National Land Code dan juga enakmen negeri untuk membolehkan akses kepada instrumen. Daripada Islamic Instrument pinjaman memajukan Tanah Rizab Melayu. Satu jawatankuasa ditubuhkan dan laporannya pun sudah disediakan dan saya hendak minta bahawa semua undang-undang yang perlu dipinda. Dibuat pindaan supaya Tanah Rizab Melayu ini boleh dibangunkan dengan nilai yang menguntungkan pemilik. Kita tidak boleh bangga dengan jumlah tanah tapi yang penting pulangannya kepada pemilik Tanah Rizab Melayu.

Saya tertarik dengan ucapan, YB Zahidi Abidin. Dia kata kalau tengok pada pembangkang, dia jaga pemimpin dia macam nak rak. Pemimpin tidak betul dia bela habis-habisan sampai sudah nampak spender (seluar dalam) besar pun, masih terlepas. Sampai kalau kata Ku Nan (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) spender besar tak terlepas. Apalagi setiausaha kerja kita...lagi besar. Tapi saya jamin dua-dua tak buat kerja ini. Dah keluar video dia boleh kata, "eh itu bukan saya, perut saya tak boroi." Bukan boroi, terlepas, senang je.

Kalau kena pada orang UMNO, bukan saja pembangkang, orang UMNO sendiri kecam. Sudah lama terjun lombong dan terbongkang kita. Itu saya hendak kata, kalau hendak kuat, jagalah pemimpin kita. Kalau hendak buat, jagalah pemimpin kita. Kalau dia bersalah tegurlah dengan baik supaya parti kita kuat, kita boleh ke depan. Kita semua manusia biasa, tiada yang sempurna. Semuanya, mana-mana pun tiada. Orang yang kata kita, dia pun tidak sempurna. Jadi, kita sama-samalah jaga antara kita. Bantu parti kita kuat. Kita nak menang tak? Kita hendak menang pilihan raya.

Kita mesti faham, pembangkang lebih teruk daripada kita. Saya nak bawa satu maksud solidariti. Dalam akhbar dua hari lalu, Datuk Seri Anifah Aman, ditawarkan RM100 juta, lompat parti pada pilihan raya ke-12, 16 September 2008. Ditawarkan RM100 juta untuk bawa 10 ahli parlimen Barisan Nasional (BN) masuk pembangkang hendak tubuh kerajaan. Cerita ini sudah keluar dalam mahkamah. Saya petik dalam akhbar. Jangan kata saya subjudis. Tidak. Saya sudah periksa dengan peguam. Sebab sudah keluar, saya petik apa yang ditulis dalam akhbar. Datuk Seri Anifah Aman sudah diikat jamin, bebas daripada RM100 juta, nak tubuh kerajaan. Ini Mother of Corruption (Ibu segala rasuah). Kita, UMNO dituduh macam-macam tetapi yang buat angkara, parti pembangkang.

Sebab itu, saudara saudari, kita teruk, pembangkang lagi teruk. Boleh suruh wakil rakyat letak jawatan sebab isteri hendak bertanding. Suruh pula Menteri Besar (MB) yang tidak bersalah letak jawatan sebab isteri kena jadi MB. Cuba bayangkan kalau saya suruh MB Negeri Sembilan letak jawatan sebab isteri saya hendak jadi MB. Mati saya. Dia (isteri) tidak akan jadi MB. Jadi, Ketua Wanita UMNO Bahagian pun tidak mahu.

Apa yang kita boleh katakan, inilah 'Nepotisme' yang terbesar. Kenapa kita tidak salahkan mereka? Jangan serang kita, seranglah pembangkang. Saya setuju dengan kata-kata Datuk Seri Zahid Hamidi. Dia kata blogger, kadang-kadang tembak kita. Mana ada! Friendly fire is not friendly. Blogger kita, dia cari makan dengan siapa? Pergilah tembak pembangkang! Itu cara kita untuk menang dalam peperangan.

Jangan berperang sesama sendiri. Tidak masuk akal. Bangang namanya! Saya belajar perkataan daripada isteri saya (bahasa minang).

Ini semua menyebabkan kita lemah. Kita lemah kerana kita sendiri buat masalah pada kita. Cuba kita tidak buat masalah, menghayati solidariti! Parti UMNO akan sentiasa kuat. Insya-Allah.

Saya hendak cakap sedikit tentang peremajaan. Saya setuju dengan cakap Ketua Pemuda UMNO, Khairi Jamaludin. Saya tahu, saya bekas Ketua Pemuda Malaysia dulu. Saya tahu. Zaman saya pun ada puluhan bahagian ada masalah dengan Ketua Pemuda bahagian. Kita tahu semua ini belaka. Sampai apabila UMNO diharamkan, ada rombongan datang mendesak supaya tidak lantik jadi ketua Pemuda bahagian. Saya tahu ada banyak masalah. Sebab itu, kita kata peremajaan parti.

Meremajakan parti, kita mesti faham bahawa kita ada tiga golongan dalam UMNO. Kita perlukan ketiga-tiga golongan, untuk bentuk kerjasama sebagai satu haluan. Kalau duduk sekeliling, kita diserang ke, tidak diserang ke, tidak akan wujud keadaan solidariti. Dalam pada itu, berilah peluang. Mana yang patut kita beri peluang, kita beri. Orang muda kita akan beri lebih banyak peluang, tapi mesti layak, ada merit dan mesti layak sebagai ahli UMNO. Perlu menepati kriteria, bukan sembarangan orang. Hari ini masuk UMNO, terus mahu bertanding. Tidak boleh. Kita uji dulu, jadi perdana felo, setiausaha politik, atau apa saja! Barulah sampai masa kita ambil.

Ada masa kita perlu kepada orang lama. Macam di Pilihan Raya Kecil Pengkalan Kubur, kita pilih orang lama, Ustaz Md Radzi. Menang besar, orang lama. Ada masa kita perlu pada orang muda. Kita tengok Irmohizam (Datuk) di Kuala Selangor bertanding dengan Dr Zul, kalah dia. Pergi kenduri, beri RM30. Dalam UMNO, RM30 tidak dipandang. Dia beri kerana dia tidak mampu, tetapi cara dia menampakkan dia, autentik. Orang kesian, dia menang. Biarlah. Cara dia lain. Itu stail dia. Dia tidak pakai stokin merah, merah berbelang-belang. Bukan merah tapi merah berbelang, seluar bukan main ketat lagi. Masing-masing ada stail. Saya tidak berani ikut stail dia. Jangan ya. Sebab itulah saya hendak kata, kita perlukan pada seseorang.

Apabila berlaku peremajaan, banyak panggilan yang saya terima, sms. "Saya ini patut berhenti ke? dan macam-macam lagi. Kalau dari Utara, dia kata, "Najib, hang sudah tidak mahu kami hak tua-tua ni kah? Dia kata macam itu pada saya. Yang dari Kelantan, "Demo, tokse doh ke ore tuo ni? Tidak mahu ke? Saya kata sabar, sabar. Bila pula chek tidak mahu? Semua kita mahu. Yang dari Pantai Timur pula, "Buke lagu tu, dok eh kita nak semua. Hendak belaka". Yang penting, kita remajakan jasad. Satu jasad. Jasad remaja macam mana? Jangan ada penyakit, jangan ada kencing manis, darah tinggi, jaga 'perkakas'. Maaf, ini pengaruh tuan pengerusi pada saya. Kita remajakan akar, strategi baru, ada pelan, moden mesti ada, sosial media, pandai guna sosial media dan remajakan roh perjuangan UMNO.

Saya tertarik pada dua orang dalam perhimpunan. Yang pertama, Datuk Hajah Rahmah Haji Kassim, 90, yang menyerahkan gelang membiayai rombongan Tunku (Abdul Rahman Putra). Dia selalu datang ke perhimpunan. Maknanya, roh dia kuat. Spirit of UMNO strong (semangat UMNO kuat). Sampai dia ingatkan Tunku, menitiskan air mata. Inilah peremajaan yang kita maksudkan, roh kita.

Lagi seorang, Dr Mohd Nawar, wakil Kedah, orang Pokok Sena. Apa dia kata?. "Setiap butir nasi yang dia makan itu hasil perjuangan UMNO. Saya tersentuh perasaan. Setiap kali sesuap nasi yang dia makan itu, dia rasa itu hasil perjuangan UMNO. Sebab itu, dia merasa nasi. Disebabkan UMNO, dia jadi pakar bedah, sebab UMNO dia dapat menyara keluarga, terhutang budi. Inilah peremajaan UMNO hari ini.

Bukan orang dapat kekayaan, lupa UMNO. Dapat kekayaan lupa pada UMNO, dapat jawatan dari UMNO tinggalkan UMNO, dapat serba serbi tinggalkan UMNO. Ini bukan peremaajan UMNO tapi pengkhianat UMNO.

Oleh itu, saudara saudari marilah kita bersama-sama meneruskan perjuangan kita, perjuangan kita ini, ingatlah jika rosak UMNO maka tersingkirlah kita, jika terbuangnya UMNO maka hanyutlah kita. Percayalah jika kuatnya UMNO pasti terjaminlah kita, jika hebat UMNO pasti berjayalah kita, maka yakinlah dengan mata hati kerana segala tindakan sudah diperhalusi. Usahlah dipertikai dan diragui. Berilah kepercayaan sepenuh hati hilangkan resah dan gelisah, janji yang dilafazkan tiada dimungkiri. Segala keputusan dan tindakan Melayu dan Bumiputera tidak pernah kita dilupakan.

Tariklah nafas kita, tarikan bersama roh perjuangan, tariklah bersama nafas keberanian, tariklah bersama nafas keyakinan, jadilah kita barisan hadapan untuk mempertahan tindakan dan keputusan yang dibuat parti, jadilah kita barisan hadapan untuk mempertahan maruah parti dan usah biar ia dicemari. Berjanjilah selagi hayat dikandung badan, selagi mentari masih menyinar parti UMNO kita kukuhkan, Melayu dan Bumiputera kita pertahankan, agama Islam dimuliakan, Malaysia kita makmurkan, maju UMNO, maju Melayu, maju Bumiputera.

Friday, 28 November 2014

PAU 2014 : Jangan ada kerengga dalam perjuangan parti

Nampak segak tapi suka ‘kencing’ dalam mata

28 November 2014 2:41 AM



Badruddin Amiruldin menunjukan akhbar Utusan Malaysia semasa membacakan petikan amanat Tunku Abdul Rahman sebelum bermula ucapan dasar Presiden UMNO pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2014 di Dewan Merdeka, PWTC, semalam.

KUALA LUMPUR 27 Nov. – Kerengga sering kali dikaitkan dengan keindahan sehinggakan ada perumpamaan Melayu menyebut ‘pinggang ramping bak kerengga’ iaitu bagi menggambarkan kecantikan bentuk badan seorang wanita hingga menjadi dambaan lelaki.

Namun dalam perjuangan politik, sifat kerengga perlu dijauhi kerana walaupun nampak cantik dan segak pada luarannya tetapi serangga itu mempunyai sifat buruk, iaitu suka memancut cecair kepada sesiapa sahaja jika buah yang dihurung cuba diambil.

Bagi Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin, tabiat suka menghurung buah dan memancut cecair yang beliau labelkan sebagai ‘kencing’ perlu dibuang jauh-jauh dalam perjuangan UMNO jika semua pihak mahu parti menjadi kukuh.

“Saya nak habaq (beritahu) kat (kepada) Puteri, Pemuda dan Wanita jangan jadi semut kerengga. Badan cantik, pinggang ramping, misai dok (pun) ada (tapi) perangai kotor. Dia hurung buah, bukan boleh makan tapi bila kita ambil, dia kencing dalam mata kita.

“Lebih teruk kalau kerengga masuk dalam kain, dia ketik (gigit) merata. Dalam UMNO jangan ada semut kerengga, semut api takpa (boleh), semut hitam pun (kerana) dia dok hurung gula sahaja, habis gula kena kencing manis, tapi kencing manis ada ubat.

“Tapi kalau kencing kawan tiada ubat. Jadi dalam perjuangan kena ada solidariti, jangan kencing kawan,” katanya ketika memberikan analogi kerengga bagi memperingatkan seluruh ahli UMNO ketika mempengerusi Perhimpunan Agung UMNO, 2014 di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun memuji langkah Pergerakan Puteri UMNO menubuhkan Barisan Semut Api bagi mengatur strategi untuk menepis propaganda, penipuan dan fitnah dalam media sosial kerana jelas Badruddin, sifat semut api adalah setia serta tidak suka membuat kacau.

Katanya dalam bahasa berkias, semut api adalah serangga yang taat kepada ketua, gemar berjalan beriringan mengikut susunan langkah dan walaupun gigitannya memeritkan tetapi semut tersebut hanya mempertahankan diri jika ada pihak cuba mengancam.

Terdahulu, wakil Puteri UMNO, Nazliah Ali, ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden menjelaskan, nama semut api dipilih kerana serangga itu mengajar manusia tentang budaya positif dalam hidup.

“Melalui perjuangan semut api, kami akan terus mendekati orang muda khususnya wanita muda. Kami insya-Allah akan membersihkan pemikiran mereka agar tidak terpedaya dengan pembohongan daripada pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/jangan-ada-kerengga-dalam-perjuangan-parti-1.30196#sthash.vCh0uBmK.dpuf


PAU 2014 : Sabah akan berdiri teguh sebagai perisai UMNO

JUMAAT, 28 NOVEMBER 2014 @ 3:01 PM


WAKIL UMNO Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Sabah akan tetap berdiri teguh sebagai perisai UMNO dan berjuang bermati-matian mempertahankan setiap inci negeri itu daripada dicerobohi anasir jahat.

Wakil Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, berkata walaupun terdapat segelintir pihak cuba menanam kebencian dalam kalangan rakyat negeri itu terhadap kepimpinan Presiden, Datuk Seri Najib Razak, namum UMNO Sabah akan tetap bekerja keras dan berdiri teguh di belakang kepimpinan beliau.

"UMNO Sabah membuat pendirian 100 peratus untuk menyokong kepimpinan presiden dan terus bekerja keras supaya Sabah terus jadi kubu kuat UMNO. Presiden kita bukan seorang 'hercules', bukan superman, bukan si badang. Kita semua kena bantu beliau. Kalau kita bantu beliau, kita bantu UMNO. Inilah bukti solidariti saf yang mantap.


"Sudah pasti Sabah tetap akan jaga Datuk Seri (Najib Razak). Andai Gunung Tahan tak cukup jadi perisai Datuk Seri, orang Sabah ada Gunung Kinabalu untuk jadi perisai," katanya yang mendapat tepukan gemuruh perwakilan ketika ketika membahaskan ucapan presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tawau berkata, dalam kesedihan negara mengenang insiden pencerobohan Lahad Datu, Mac lalu, terdapat segelintir pihak mengambil kesempatan menghidupkan api kebencian dengan cuba mengkucar-kacirkan keamanan rakyat negeri itu dan menghasut supaya Sabah keluar daripada Malaysia.

"Insiden Lahad Datu adalah kenangan pahit kepada orang Sabah malah ia juga turut dirasai oleh rakyat negeri lain. Oleh itu, kita perlu bersatu. Bersatu ini solidariti... bukan sekadar bersatu dari segi fizikal tetapi bersatu hati, bersatu fikiran, kerisauan dan melaksanakan dengan jelas apa yang dirancang.

"Sumbang tenaga material dan buah fikiran untuk kebaikan. Untuk parti kekal dan terus utuh. Kita semua perlu menyumbang... bukannya menumbang," tegasnya.

Mengakhiri perbahasan beliau, Tawfiq menyeru supaya ahli UMNO mengambil iktibar dan lebih sensitif terhadap senario yang berlaku di dalam negara dan tidak terus duduk selesa dengan keadaan sekarang.

"Kita mesti ambil iktibar... dengan suara akan umbi. Jangan hanya suara-suara ini sekadar tertulis dalam buku. Ia mesti dilaksanakan... kita mesti merakyatkan UMNO bermula dari atas hingga di bawah. Yang pasti, rakyat di luar sana menjadi hakim dan penentu kita di mana kelak," katanya

PAU 2014 : Elemen kualiti sebagai asas perjuangan bela nasib orang Melayu

JUMAAT, 28 NOVEMBER 2014 @ 12:35 PM

KUALA LUMPUR: UMNO harus meletakkan elemen kualiti sebagai asas perjuangan supaya parti yang mempunyai 3,477,365 ahli itu terus utuh membela nasib kaum Melayu.

Wakil Kedah, Dr Mohammad Nawar Ariffin, berkata UMNO kini berada dalam keadaan tenat dan harus bangkit memperkuatkan saf kepimpinan supaya parti itu lebih diterima oleh golongan muda dan profesional.

"UMNO kini berada dalam keadaan sakit... kita tidak segagah dulu, kita tidak sekuat dulu. Jadi, mari kita lihat bagaimana nak betulkan perkara ini... Jika ia kronik, kita kena cari ubat... Insya-Allah penyakit ini dapat sembuh," katanya katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.

Beliau yang juga Ketua Cawangan Kampung Menerong, Pokok Sena menegaskan ahli UMNO ketika ini tidak lagi bertolak ansur dengan kualiti.

"Mulai sekarang, kita tidak boleh bertolak ansur dalam kualiti. Yang lepas itu adalah sejarah tetapi kualiti pada masa kini yang akan tentukan sejarah pada masa depan.

"Kita mesti cari kualiti... contohnya dalam sektor perubatan, kita nak ubat yang autentik...yang asli, kita tak nak ubat yang palsu," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menggariskan enam kunci utama bagi memantapkan lagi kepimpinan parti.

"Yang pertama... integriti. Laporan audit mesti diambil kira. Jangan pandang remeh setiap perkara yang ditegur. Yang kedua, Ambil sesuatu isu secara terperinci... jangan hanya bagi kepimpinan kepada individu itu tetapi hasilnya masih tidak berubah.

"Yang ketiga, lihat pada hasilnya... jika dalam sektor perubatan, kita bagi ubat... lancar program... kesannya mesti ada. Jika bagi ubat tapi dua, tiga tahun tak berubah, 'something wrong' la tu," katanya.

Manakala katanya, yang keempat ialah kualiti. 'Yang bawah harus rasa kualiti di atas... yang di atas pula harus rasa kualiti di bawah. Jangan hanya syok sendiri saja," katanya.

Sementara itu, elemen kelima ialah sesuatu tindakan lahir dari hati.

"Seorang pejuang UMNO harus buat kerja tanpa harapkan balasan, jangan harapkan wang ringgit. Setiap tindakan harus ikhlas dan lahir dari hati.

"Terakhir adalah setiap daripada kita kena balik kepada agama... lambang kepada parti bukan kerana pengikut tetapi kerana pemimpin. Jadikan agama sebagai asas dalam memimpin. Doakan kita dapat perbetulkan keadaan, supaya lebih ramai anak muda dan golongan profesional kembali tertarik kepada UMNO kerana kualitinya," tegasnya.

Beliau juga mengingatkan kepada golongan muda supaya tidak terus-menerus menentang kerajaan dan menggelarkan parti UMNO sebagai parti rasuah.

"Jangan tuduh parti ini parti rasuah... kita hantar belajar tetapi tuduh UMNO parti macam-macam. Kita bantu mereka daripada susah tetapi bila dah berjaya, mereka tentang kerajaan.

"Anak muda kena tengok balik apa yang mereka perjuangkan. Sepatutnya kena bantu kerajaan bangunkan ekonomi anak muda yang lain... bantu dan perbetulkan ekonomi mereka.

"Ingat anak-anak, setiap butir beras yang kamu makan itu adalah kerana UMNO... itu peringatan kepada anak-anak muda di luar sana," tegasnya.

TIMBALAN Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (dua dari kiri) membuat lawatan ke Pameran Wanita Kreatif 2014 bersempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. - Foto Asyraf Hamzah


PAU 2014 : UMNO: Realiti kehidupan rakyat luar bandar perlu diteliti - Perwakilan

JUMAAT, 28 NOVEMBER 2014 @ 11:26 AM

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meneliti realiti kehidupan rakyat berpendapatan rendah terutamanya di luar bandar dan tidak hanya berbangga dengan statistik berhubung peningkatan pendapatan isi rumah yang dikeluarkan agensi tertentu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Setiu, Terengganu, Mohd Iskandar Jaafar berkata hakikatnya, statistik itu tidak melambangkan kehidupan sebenar rakyat kerana masih ramai yang hidup kais pagi makan pagi.

"Walaupun kita sudah bekerja bertungkus lumus, kadang-kadang kita rasa sedih...tiba-tiba keluar dalam surat khabar, di kaca televisyen, purata pendapatan isi rumah rakyat Malaysia meningkat RM5,900, amboi...

"Betullah menjadi sebuah negara maju menjelang 2020 kita kena ada statistik yang menunjukkan kita bergerak 'in progress' (di landasan yang betul) tetapi bila rakyat dengar mereka tanya pendapatan ini pendapatan siapa?" katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Mohd Iskandar menarik perhatian misalnya golongan penoreh getah di kawasan Setiu yang masih ramai antaranya berpendapatan RM25 seminggu ekoran harga getah yang tidak menentu selain faktor cuaca.

"Di tempat saya hari ini, harga getah cukup teruk, ada pernah sampai RM1.60 sekilogram, semalam saya telefon di kampung tanya berapa harga getah hari ini, katanya RM1.70 sekilogram, seminggu motong (menoreh) getah tak dapat sampai RM50 pun.

"Makanya kita tidak boleh terlalu bergantung kepada statistik untuk nak meyakinkan kepada rakyat bahawa beban sara hidup mereka ini sudah dibantu," kata Mohd Iskandar.

Pandangan sama turut disuarakan Ketua UMNO Bahagian Kampar, Perak, Datuk Mohd Radzi Manan yang mahu kerajaan menambah baik pendekatan dalam meningkatkan taraf hidup Melayu dan Bumiputera di luar bandar.

Mengambil contoh hasil keluaran padi yang bernilai hampir RM70 juta setahun, beliau mahu pendapatan dan keuntungan yang diperoleh disalurkan secara adil kepada petani yang terlibat.

"Katakan harga padi daripada petani sebanyak RM600 satu tan dan bila ditolak ke pasaran harganya menjadi RM3,000. Nilai tambah kira-kira RM2,000 itu siapa yang dapat? Bukan kita Bumiputera. Saya minta kita fikirkan perkara ini," tegasnya.

Menyifatkan golongan Melayu dan Bumiputera sebagai 'simpanan tetap' sebenar bagi UMNO, Mohd Radzi berkata golongan itulah yang sepatutnya diberi perhatian, berbanding Melayu di bandar yang seakan-akan telah menjauhi parti itu.

"Akar umbi kita di luar bandar masih kuat. Mereka ini kalau lari, tentu kita kalah," katanya.

- BERNAMA

PERWAKILAN Terengganu, Mohd Iskandar Jaafar ketika membahaskan usul pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-68 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. - Foto BERNAMA


PAU 2014 : Peremajaan UMNO perlu 'zuriat' berkualiti - Perwakilan

JUMAAT, 28 NOVEMBER 2014 @ 10:49 AM


PERWAKILAN Wanita UMNO berkumpul di ruang legar pada hari keempat Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PTWC) hari ini. - Foto Ghazali Kori

KUALA LUMPUR: Proses peremajaan parti memerlukan pemimpin pelapis yang berani, tidak cepat melatah, bersifat terbuka dan sentiasa ingin belajar untuk menambah pengetahuan selok-belok politik.

Wakil Umno Pahang, Mohd Shahrir@Shaharir Abdullah, berkata golongan pelapis perlu mempunyai ciri-ciri berkenaan kerana mereka akan menghadapi suasana politik negara yang semakin mencabar.

"Anak-anak muda belum pernah merasai pahit getir perjuangan dan 'sepak terajang' politik. Mereka ini perlu dibimbing melalui proses pembelajaran berterusan.

"Jangan cepat melatah, jangan jadi pengecut. Politik ini ada seni yang perlu dan sentiasa dipelajari dari semasa ke semasa," katanya ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.


WAKIL UMNO Pahang, Mohd Shahrir@Shaharir Abdullah. - Foto Abdullah Yusof

Beliau berkata agenda peremajaan parti bukanlah sekadar bermaksud menukar atau mengganti kepimpinan sedia ada secara keseluruhannya sebaliknya dilakukan bagi mengembalikan maruah serta menjamin kelangsungan perjuangan parti pada masa depan.

"Anak-anak muda perlu tunjuk semangat tinggi. Kita nak tengok pemimpin pelapis yang dinamik, berkarisma serta lantang bersuara dan berjuang dalam satu saf bersama 'orang lama'," katanya. - BERNAMA


PAU 2014 : UMNO perlu lebih berhati-hati bagi pastikan kelangsungan perjuangan parti

JUMAAT, 28 NOVEMBER 2014 @ 10:42 AM


WAKIL UMNO Perak, Datuk Mohd Radzi Manan. - Foto Abdullah Yusof

KUALA LUMPUR: UMNO perlu tegas dan lebih berhati-hati apabila menerima isyarat daripada pihak luar bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti terus terpelihara dan kekal relevan pada masa hadapan.

Peringatan itu disampaikan oleh wakil Perak, Datuk Mohd Radzi Manan supaya UMNO tidak lari daripada dasar perjuangannya iaitu untuk membela nasib kaum Melayu.

"Kita kena kenal pasti signal yang diterima... pastikan kita dapat signal yang betul dan baca signal ini dengan nada yang serius bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti tidak dipengaruhi oleh pihak luar," katanya ketika membahaskan ucapan presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.


Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kampar menegaskan UMNO perlu mengenal pasti pemimpin yang berkelayakan untuk terus memimpin parti terbesar kaum Melayu itu dan tidak hanya mendengar pandangan segelintir pihak ketika sesi pemilihan.

"Kenal pasti individu yang perjuangkan hak kaum Melayu, jangan kita tunduk pada kaum-kaum lain jika mahu UMNO terus gah dilihat sebagai pembela nasib Melayu," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru parti supaya membuat keputusan berdasarkan musyawarah parti dan tidak membelakangkan kesengsaraan golongan pertengahan dan bawahan.

"Contohnya isu harga minyak naik... minyak naik sehari sebelum Hari Raya Haji, inilah yang kita katakan 'timing failed'. Sepatutnya kerajaan lebih prihatin... jangan dengar nasihat yang salah," tegasnya.

Bercakap mengenai peremajaan parti, Mohd Radzi berkata, Ketua Pemuda dan Puteri harus diberi peluang dalam pentadbiran kerajaan.

"Tukarkan jawatan Ketua Puteri, beri mereka jawatan. Jangan hanya sekadar mencari Ahli Parlimen... Kalau kita tak bagi mereka kenderaan macam mana mereka nak berjalan? Lepas tu mulalah bersuara kata puteri ni tak bergerak, tak berjalan.

"Saya juga seru Pusat buat tindakan positif, tindakan yang lebih berkesan... bukan hanya bercakap dan berjalan tetapi tengoklah yang berada di bawah... kalau kita nak betulkan UMNO, kita kena betulkan dari atas," katanya.

Dalam pada itu, bagi memastikan proses peremajaan parti dapat dilakukan dengan kadar segera, beliau meminta supaya pemuda dan puteri di dalam UMNO supaya bangun dari tidur dan menunjukkan taring mereka sebagai seorang pemimpin.

"Saya minta orang muda bangun tunjuk kewibawaan mereka dahulu... apa yang mereka boleh buat. Buktikan kepada pucuk pimpinan," katanya.


PAU 2014 : Najib berikrar terus komited perjuang nasib Melayu, Bumiputera

KHAMIS, 27 NOVEMBER 2014 @ 6:37 PM


SEMANGAT... Datuk Seri Najib Razak ketika berucap pada majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2014 di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur hari ini. - Foto Effendy Rashid

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, hari ini berikrar untuk terus komited memperjuangkan nasib kaum Melayu dan Bumiputera.

Semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2014, Najib berkata komitmen itu bukan sekadar di bibir, tetapi beliau dan rakan-rakannya dalam parti serta kerajaan, telah melakukan segala yang termampu untuk membuktikannya.

"Ketahuilah, saya berdiri di sini, tidak sama sekali sekadar (sebagai) Perdana Menteri, saya juga berdiri di hadapan ini, bukan setakat Presiden UMNO, tapi saya berdiri dan berbicara di hadapan saudara sekalian, sebagai penyambung lidah dan warisan perjuangan Melayu Bumiputera.


"Dari itu, mana mungkin, saya sanggup membiarkan keturunan dan bangsa saya melarat, terhina, hingga terbangsat menjadi celaka di tanah sendiri," katanya dalam ucapan dasar bertemakan Solidariti Melayu dan Bumiputera, Solidariti UMNO, Solidariti Malaysia.

Perhimpunan agung yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu dihadiri 2,752 perwakilan.

Turut hadir dua bekas perdana menteri dan presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Najib yang berbaju Melayu berwarna jingga menegaskan bahawa komitmen berkenaan adalah antara cara UMNO membayar balik harga pengorbanan dan harga kesetiaan anggotanya.

"Kepada akar umbi UMNO pula yang sejak dahulu istiqamah dan iltizam dalam perjuangan, kita harus membayar balik harga pengorbanan dan harga kesetiaan mereka dengan cara terus membela untung nasib bangsa, kerana UMNOlah satu-satunya parti tempat berlindung dan bergantung harap demi masa depan kita semua," katanya.

Perdana Menteri menegaskan bahawa ahli UMNO tidak perlu apologetik dan berasa segan silu, jika ada pihak cuba memperlekeh dan mencemuh kononnya parti itu sudah jumud dan tidak relevan lagi.

Sebaliknya, beliau berkata ahli UMNO mesti berhijrah ke arah yang lebih baik supaya parti itu menjadi platform kepada perjuangan masa depan dan menjadi parti berguna kepada generasi akan datang.

"Oleh yang demikian, saya selaku presiden ingin menyeru, kembalikanlah semangat UMNO yang kian pudar, pulihkanlah jiwa UMNO yang sudah hampir malap, nyalakanlah semangat perjuangan asal serta roh UMNO yang sudah makin menghilang.

"Sematkanlah, rasa sayang dan kasih kepada parti, kerana di situlah kita akan bertemu jawapannya," katanya.

Najib turut menggariskan tiga formula yang perlu terus diamalkan UMNO dalam pembinaan negara bangsa termasuk konsep wasatiyyah, pendekatan berimbang dan mementingkan kecemerlangan.

"Orang-orang UMNO sewajibnya menjadi golongan yang terunggul atau memperoleh tahap tiada tolok banding. Tapi, janganlah pula jadi "Pak Maun" macam dalam cerita P Ramlee, Nasib Do Re Mi," katanya.

Beliau mengingatkan ahli UMNO agar tidak sekali-kali berasa berpuas hati tidak kira sebanyak mana kejayaan dan setinggi manapun pengiktirafan yang diterima.

"Ini kerana, musuh daripada dalaman mahupun luar, akan terus mengintai-intai, cuba menerobos apa jua celah dan ruang untuk menjatuh-jatuhkan perjuangan kita, bagi merapuh-rapuhkan semangat kita, seterusnya untuk mengapi-apikan persengketaan supaya kita retak dan berpecah-belah.

Sebelum mengakhiri ucapan selama sejam 10 minit itu, Najib sekali lagi mengingatkan anggota UMNO agar tidak berasa kecewa dan lesu apabila perjuangan mereka dikritik dan diragui bangsa sendiri.

"Sedarlah, insaflah, sesungguhnya kita tidak berhadapan dengan banyak pilihan, hanya satu sahaja. Seandainya parti ini rebah, sekiranya parti ini jatuh dan tumbang, keindukan Melayu Bumiputera akan turut tersungkur dan terkubur bersamanya. Nauzubillah.

"Oleh itu saudara seperjuanganku sekalian, marilah kita bangun, marilah kita berdiri. Tegakkan kepalamu, jangan mundur, pandang ke depan, sekali layar sudah dikembangkan, sekali sauh sudah dinaikkan, bahtera UMNO tidak boleh berpatah balik.

"Kita akan pastikan, panji-panji Sang Saka Bangsa akan terus berkibar megah di persada," katanya.

- BERNAMA

PAU 2014 : UMNO sedia timbangkan jawatan Naib Presiden untuk Wanita - Najib

KUALA LUMPUR: UMNO akan mempertimbangkan permintaan pergerakan Wanita supaya dua kerusi tambahan diwujudkan dalam jawatan Naib Presiden UMNO dan Naib Ketua UMNO Bahagian untuk anggota sayap itu.

Presidennya, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau akan berunding dengan semua pihak mengenai perkara tersebut dan berhasrat untuk mencari jalan terbaik untuk memperkasakan agenda parti.

"Saya faham, ada tentangan dalam UMNO, dan sebagai sebuah parti kita kena duduk dan berbincang, cari satu jalan yang terbaik untuk memperkukuhkan parti kita.

"Dalam hal ini, saya dengar dan kita akan timbang setelah kita mengadakan rundingan dengan semua pihak sama ada bersabit dengan jawatan Naib Presiden untuk wanita ataupun Naib Ketua Bahagian untuk wanita," katanya ketika berucap di hadapan 2,752 perwakilan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam ucapan dasar Ketua Pergerakan Perhimpunan Agung Wanita Umno 2014 semalam, mahu satu kerusi naib presiden dan satu kerusi naib ketua bahagian diperuntukkan untuk Wanita UMNO.

Shahrizat berkata, hasil mesyuarat perwakilan Wanita UMNO bahagian tahun ini, 171 bahagian dan 12,483 cawangan menyokong usul berkenaan. Wanita UMNO dianggotai 1.3 juta orang, hampir separuh daripada jumlah keseluruhan 3.47 juta anggota UMNO.

Najib berkata selain itu, hasrat Pemuda dan Puteri yang diusul dalam Perhimpunan Agung mereka semalam, turut akan diteliti dan dipertimbangkan oleh beliau.

"Kita sedia menimbang tapi dengan syarat mereka yang dikemukakan nanti menepati kriteria-kriteria Jil-Umno yang saya sebutkan dan mereka mesti diuji," katanya. - BERNAMA


PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Najib Razak memeriksa perbarisan yang terdiri daripada ahli Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2014 di PWTC, Kuala Lumpur hari ini. - Foto Muhd Asyraf Sawal


PAU 2014 : Ucapan Dasar Presiden UMNO 2014

KHAMIS, 27 NOVEMBER 2014 @ 2:27 PM


SOLIDARITI MELAYU DAN BUMIPUTERA,

SOLIDARITI UMNO, SOLIDARITI MALAYSIA.

Bismillahhirrahmanirrahim,


Alhamdulillahirabbil'alamin. Wabihi Nasta'in. Allahumma Solli Ala Saidina Muhammad Wa'ala A-li Saidina Muhammad.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam 1Malaysia,

Yang Berbahagia Tan Sri Pengerusi Tetap,

Yang Berbahagia Tan Sri Timbalan Pengerusi Tetap,

YAB Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden,

Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri,

Barisan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi,

Pimpinan Parti-Parti Komponen,

Yang Amat Berbahagia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi,

Dif-Dif Kehormat,

Seterusnya Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan dalam Parti UMNO yang berkeramat ini.

1. Pagi ini merupakan kali ke-6, saya berdiri di hadapan para perwakilan serta para tetamu sebagai Presiden. Saya merujuk juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang sedang menonton di kaca-kaca televisyen dan mendengar di corong-corong radio.

2. Termasuklah sebahagian besar generasi Y, yang mengikuti Persidangan Agung UMNO ini.

3. Apatah lagi pada saudara sekalian, barisan pimpinan di atas pentas, para perwakilan yang sedang duduk dan berdiri di bawah serta yang di atas sana, pimpinan mahasiswa tempatan, perwakilan-perwakilan UMNO luar negara, tidak dilupakan adik kakak, pakcik makcik, yang sedang mengamati layar besar di luar dewan ini.

Saudara sekalian,

4. Pada 11 Mei kira-kira 68 tahun lalu, UMNO telah ditubuhkan. Ini merupakan usaha terbesar dalam agenda menyatupadukan orang-orang Melayu.

5. Terbukti, setelah parti ini dibentuk, maka, termaktublah dalam catatan sejarah bahawa, UMNOlah yang telah berjaya menguburkan rancangan penubuhan Malayan Union.

6. Sememangnya lagi, perjuangan dan pengorbanan orang-orang Melayu dalam menempuh semua cabaran itu, tidak lain tidak bukan, dengan berpegang kepada satu prinsip dan semangat yang dinamakan solidariti.

7. Sesungguhnya, inilah bukti dari mata ke mata, dari hati ke hati bahawa, semangat perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO akan terus marak, terus menjulang dan terus menyala.

Mari kita laungkan bersama-sama, sebanyak 3 kali,

Hidup UMNO!! Hidup UMNO!! Hidup UMNO!!

Saudara Sekalian,

8. Pada 31 Ogos lepas, kita telah merayakan ulangtahun kemerdekaan tanah air yang ke-57. Kemudiannya, pada 16 September semasa sambutan Hari Malaysia di Bumi Kenyalang, hasil perbincangan bersama para pimpinan di Sabah dan Sarawak, kita telah putuskan bahawa, akan hanya menyambut satu tarikh rasmi kemerdekaan.

9. Ini kerana, 16 September itu bukanlah disengajakan. Ia hanyalah berpunca daripada kelewatan pengesahan laporan pungutan suara daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

10. Dalam hal ini, barangkali ramai yang tertanya-tanya mengapa kita mahukan satu sahaja tarikh kemerdekaan bagi seluruh Malaysia. Jawapannya adalah, solidariti.

11. Malah, yang lebih mustahak perlu diketahui, itulah hasrat Almarhum Tunku Abdul Rahman, bahawa kita semua hendaklah menyambutnya di tanggal 31 haribulan Ogos. Tapi jangan bimbang, cuti umum 16 September masih tatap kita raikan dan rayakan.

Saudara sekalian,

12. Hakikatnya, kita semua sedang berpijak di atas tanah air yang sungguh aman dan sentosa. Menjunjung pula langit luas terbentang. Disimbahi hujan rahmat sepanjang tahun. Bertulangkan, antaranya banjaran Titiwangsa, Banjaran Crocker serta Tama Abu, Malaysia diliputi pula hutan hujan tropika.

13. Selain itu, kita berada pula hampir pada garis pembahagi hemisfera, iaitu Khatulistiwa menjadikan tanah air ini sentiasa dilindungi awan.

14. Malah, cahaya matahari tetap menyinar sepanjang tahun. Bersyukurlah atas nikmat-nikmat ini. Semuanya itu, kurniaan daripada Maha Pencipta.

15. Secara geografinya, gabungan Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang dipisahkan oleh Laut China Selatan, membentuk kawasan 330,290 km persegi.

16. Inilah pusaka tinggalan nenek moyang kita, yang diwargai lebih 28 juta penduduk. Terdiri daripada puluhan suku, ras, etnik, dan kaum.

17. Apatah lagi menjelang tahun 2020 nanti, keseluruhan jumlah Melayu dan Bumiputera, Islam dan bukan Islam akan mencecah angka lebih 70 peratus.

18. Seandainyalah semua dapat bersatu di bawah lembayung UMNO dan Barisan Nasional, bayangkanlah saudara sekalian, betapa kuatnya kita, betapa kukuhnya kita, bukan sahaja setakat boleh memenangi pilihanraya umum ke-14 nanti, bahkan kita dengan bangganya dapat bersama-sama menjengah negara maju atau high income advanced economy dalam satu ikatan solidariti yang tidak mungkin terpecah bentengnya.

Saudara sekalian,

19. Ternyata, pertiwi indah ini, telah terbina sejak hampir 6 dekad. Segala yang kita lihat tidak datang dengan mudah dan sendirinya. Sebetulnya pun, suka duka perjalanan Malaysia penuh episod dan peristiwa.

20. Selanjutnya, bak kata pepatah, disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Insiden pahit Lahad Datu telah mempalit dan mencalarkan sejarah watan.

21. Berbekalkan peristiwa itu, bersyukurlah, akan hikmah-hikmah yang muncul bersamanya. Kejadian perit yang tidak diundang itu ternyata telah mempertautkan lagi persaudaraan dan ikatan silaturrahmi antara rakyat Malaysia.

22. Buktinya, ramai perajurit yang berasal daripada Tanah Semenanjung, telah turut gugur di medan juang, bersama rakan-rakan perwira dan anggota keselamatan dari Negeri di Bawah Bayu, demi mempertahankan, supaya, jangan sejengkal pun tanah Sabah, jatuh ke tangan sesiapa.

Inilah dia lambang solidariti.

Saudara Sekalian,

23. Demikianlah, berkait perjalanan negara meniti ceritera kemakmuran. Dulunya, bermula dengan cemuhan, ketidakpercayaan oleh banyak pihak dan sindiran tajam, bahawa kita tidak mungkin mencapai matlamat sebagai sebuah negara bangsa.

24. Tapi kini, di sana sini orang bertanya-tanya, apakah formula dan apakah rahsia sebagai azimat kepada kesentosaan Malaysia. Jawapannya, sekali lagi, solidariti.

Saudara Sekalian,

25. Takwim 2014, sangat menguji kita, apabila digemparkan dengan tragedi tidak terduga, misteri kehilangan pesawat MH370 dan peristiwa tragik pesawat MH17 yang terhempas di kawasan Timur Ukraine.

26. Pada detik-detik cemas itu Saudaraku Sekalian, kuasa-kuasa besar pun tidak mampu untuk menolong. Lalu tidak pernah terjadi dalam sejarah, saya terpaksa berunding dengan puak pemberontak yang tidak beridentiti negara, sehingga berjaya mendapatkan kotak hitam dan akhirnya memasuki kawasan kejadian.

27. Pucuk pangkalnya, dengan kehendak Allah jua, kita telah berupaya membawa pulang hampir kesemua jenazah yang telah terkorban kembali ke tanah air, di mana mereka berasal.

28. Jelasnya, saudara sekalian, rakyat Malaysia secara keseluruhan telah menunjukkan semangat muafakat yang sungguh luar biasa, khususnya sewaktu Hari Berkabung.

29. Sebab itulah, kita mahu dan kita ingin semangat kebersatuan yang berkobar-kobar lagi membara sebegini, diteruskan sampai bila-bila. Inilah lambang perpaduan yang dinamakan solidariti.

FALSAFAH DAN KERANGKA MALAYSIA SEBAGAI SEBUAH NEGARA BANGSA MENUJU MASA DEPAN

Saudara Sekalian,

30. Jikalau kita membongkar tamadun dunia, pastinya antara peristiwa penting yang perlu kita rujuk sebagai iktibar adalah tawarikh seorang Nabi besar bergelar Ulul Azmi, Ibrahim Alaihi Salam.

31. Semasa baginda memulakan pembinaan Kota Mekah yang kontang dan kering ketika itu, Nabi Ibrahim telah berdoa seperti tercatat dalam Surah Al-Baqarah, ayat 126, mafhumnya, meminta agar Tuhan menjadikan bumi dan tanah suci tempat Baginda bertapak itu, satu tempat yang aman dan subur serta dikurniakan pula rezeki kepada para penduduknya.

32. Seterusnya bila disingkap sirah junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Apabila Baginda mula membina negara Madinah, 3 hal atau 3 perkara yang utama telah disabda dan diperbuat.

33. Pertamanya: menyebarkan salam dan keamanan. Dalam erti kata, mempertautkan hubungan antara pelbagai puak dan kaum, tidak kira apa jua keturunan serta kefahaman.

34. Keduanya: menumpukan hal ehwal ekonomi dan kebajikan sehingga kepada bab keperluan makan dan minum para penduduk negeri.

35. Dan ketiganya: mengukuhkan hubungan persaudaraan atau silaturrahmi antara semuanya, tidak kira sesama Islam khususnya, dan di antara Islam dan bukan Islam umumnya.

Saudara Sekalian,

36. Berhubung itu, kita tidak pernah mengatakan pimpinan UMNO memiliki apa-apa karomah, jauh sekali mempunyai apa-apa mukjizat seperti para Rasul dan Nabi-Nabi. Tidak seperti ada orang itu, yang sanggup mengangkat suaminya sendiri sebagai "Anugerah Tuhan".

37. Akan tetapi, kita berasa bersyukur atas nikmat akal fikiran yang dikurniakan oleh Ilahi kepada pimpinan UMNO serta parti, oleh sebab, pabila dirujuk dalam konteks negara kita, bolehlah dibuat perbandingan, dalam pembinaan negara bangsa Malaysia bermula sejak merdeka, ternyata tanpa sedar, kita telah mengambil pengajaran daripada dua peristiwa besar para anbiya' itu tadi, Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad.

38. Sebagai contoh, jika kita teliti, bapa-bapa pimpinan yang terdahulu, dengan segala pendekatan berhikmah dan bijaksana, telah memulakan lembaran baharu negara ini, ibarat menghampar sehelai kain putih yang terbentang untuk dipercorak serta diwarna-warnikan.

39. Langkah terawal diambil oleh pimpinan Kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO adalah mewujudkan keamanan dan kestabilan melalui suatu persefahaman dinamakan kontrak sosial.

40. Ia melibatkan pengorbanan semua pihak yang mempersetujuinya terutama orang-orang Melayu dan Bumiputera. Kontrak sosial itu menjadi satu wahana demi mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat, bagi sebuah negara yang masih muda dan baharu.

41. Terserlah, solidariti yang dipupuk itu, menjadi asas kepada perjalanan Malaysia sejak dulu hingga kini, dan InsyaAllah selama-lamanya.

Saudara Sekalian,

42. Langkah kedua yang dibuat oleh para pemimpin UMNO terdahulu sampai sekarang pula, turut mengikuti jejak-jejak yang dianjurkan dalam sirah Islam dengan menumpukan kepada pelbagai rancangan berbentuk ekonomi, sehingga Tahun 2010 dan apabila saya mengambil alih tampuk pentadbiran, kita telah perkenalkan pula Dasar Transformasi Nasional.

43. Menjelang pertengahan tahun hadapan kelak, kita bakal memulakan Rancangan Malaysia ke-11, yang menjadi pelonjak mula menuju negara maju berpendapatan tinggi.

44. Kesemuanya ini, adalah garis-garis besar dan haluan-haluan penting, bagi memperteguhkan ketahanan ekonomi, memakmurkan negara serta menjaga kebajikan rakyat terbanyak sejak berdekad-dekad yang lalu.

45. Selanjutnya, satu tindakan yang dilakukan tanpa jemu oleh Kerajaan, yang dikemudi oleh parti ini ialah untuk mempastikan kelangsungan solidariti masyarakat, kerana itulah aset yang paling mustahak untuk kita pelihara, demi survival UMNO, demi survival Barisan Nasional malah demi survival Malaysia tercinta.

Saudara Sekalian,

46. Menyisir apa yang sudah saya sampaikan, secara sedar ataupun tidak, dalam tempoh kurang dari 60 tahun, negara bertuah ini telah melalui pelbagai peringkat kemajuan dan kepesatan.

47. Seterusnya, semasa membentangkan bajet 2015, saya telah menetapkan bahawa, falsafah tunjang mestilah menitikberatkan keseimbangan antara Capital Economy dan People Economy.

48. Kerana, dari sudut teori mahupun ilmiah, kedua-duanya wujud secara simbiosis atau saling perlu bagi membentuk Ekonomi Keperluan Rakyat atau EKR, tapi bukan PKR.

49. Bajet yang digubal itu menumpukan kepada 7 strategi, demi kebajikan dan keperluan harian rakyat, khususnya berkaitan kos sara hidup.

50. Berdasarkan hal yang demikian, tampaknya, apa yang telah dirancang, direkayasa dan dilaksana oleh Kerajaan pimpinan UMNO bersama rakan-rakan komponen, sejak lima puluh tujuh tahun yang lepas adalah betul dan telah berjaya meletakkan Malaysia di jajaran yang kukuh dan pada landasan yang tepat.

51. Inilah dia usaha yang dilakukan atas rasa tanggungjawab moral yang tinggi oleh UMNO dan Barisan Nasional, demi kepentingan rakyat dan negara.

Saudara Sekalian,

52. Malaysia kini dilihat dan digelar sebagai sebuah negara Islam moden, progresif lagi dinamik.

53. Menyentuh ehwal inilah, sejak beberapa tahun kebelakangan, saya menyebut bahawa negara kita seharusnya berteraskan kerangka Maqasid Syariah yang dipaksi oleh falsafah keadilan sosial.

54. Seperti yang digariskan oleh Imam Al-Ghazali dan Imam Ash-Shatibi, Maqasid Syariah adalah prinsip yang mendasarkan 5 perkara pokok, sebagai teras dan pedoman kepada semua rukun perjalanan negara.

55. Maknanya, apa jua hal pentadbiran, politik dan ekonomi, semestinya dipandu dan dirujuk serta saling lengkap-melengkapi, saling berkait dengan objektif syariah. Barulah nanti, terbit pengamalan Islam sebagai Ad-Deen yang sejati, menurut Al-Quran dan Sunnah.

56. Berasaskan semua itu tadi saudara sekalian, jika dapat saya rangkumkan, formula kepada parti UMNO yang kita amalkan selama ini, berserampang kepada beberapa elemen utama.

57. Pertamanya, wasatiyyah atau kesederhanaan. Bersederhana di sini tidak bermaksud pencapaian yang biasa-biasa atau mediokriti, sebaliknya menuntut kepada nilai kerja yang tinggi, halus, bermutu dan bersungguh, bukan juga yang ala kadar. Manakala budaya kehidupan pula, yang penuh beretika, bukan pincang akal budinya, atau penuh kerosakan.

58. Keduanya, UMNO perlu terus menjadi parti yang mementingkan pendekatan berimbang. Ia bersifat pertengahan dan tidak melampau serta menyampaikan hak kepada yang berhak.

59. Sebagai contoh, dalam langkah konsolidasi fiskal, cara Kerajaan memberi subsidi, kini beralih daripada secara pukal kepada subsidi bersasar. Ertinya, kita memberi pertolongan dan hak kepada yang berhak, seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia terus kepada golongan masyarakat yang benar-benar memerlukan.

Saudara Sekalian,

60. Ketiganya, UMNO perlu menjadi parti yang unggul dan mementingkan kecemerlangan. Maknanya, orang-orang UMNO dituntut menjadi saf atau barisan yang unggul mendepani kelok kejayaan. Kata-kata Hukamak menukilkan bahawa, bekerjalah kamu untuk kepentingan dunia, seolah-olah ingin hidup seribu tahun dan beribadatlah kamu seperti akan menemui mati pada hari esoknya.

61. Sememangnya pun, pada UMNO, selama ini, dunia kita kelek, akhirat pun kita junjung. Lantas, orang-orang UMNO sewajibnya menjadi golongan yang terunggul atau memperoleh tahap 'par excellence'. Tapi, janganlah pula jadi "Pak Maun" macam dalam cerita P.Ramlee Nasib Do Re Mi.

62. Sekali lagi saya ulang kita mahu orang-orang UMNO menjadi "par excellence" yang cemerlang dan unggul di segala bidang.

Saudara Sekalian,

63. Sehubungan perkara ini, menurut dapatan dan maklumat semasa, sekarang, semakin ramai masyarakat yang berada di luar sana, menjadi pihak yang berada di atas pagar.

64. Mereka sedang meninjau-ninjau dan memerhati, serta menghakimi parti mana atau kelompok mana yang ingin mereka dekati dan beri sokongan.

65. Di hujung sudut sana, ada kelompok-kelompok yang terlalu ekstrem dalam fahaman beragama, sehingga menyalahtafsir istilah jihad.

66. Sampai kepada tahap terlibat dalam aktiviti militan dan membenarkan perbuatan "suicide bombers" atau pengebom berani mati. Sebetulnya, perbuatan itu dilarang keras di sisi agama.

67. Di satu sudut yang lain pula, ada kelompok-kelompok yang terlalu longgar fahamannya terhadap agama, sehingga menjadi liberal, terlibat di kancah hedonisme dan kesongsangan.

68. Apa yang lebih mustahak, UMNO amat teguh di landasan dengan menjadikan Islam sebagai panduan dan bukan seperti pihak lain, yang menjadikan Islam sebagai parti mereka.

69. Bersempena juga pengertian surah At-Taubah ayat-122, UMNO perlu terus tampil memperjuangkan Islam yang sebenar, bersifat universal dan sejagat, tidak ekstremis, memahami hukum-hukum dengan tepat, penghayatan yang sederhana, namun cemerlang dalam pekerjaan, menggalakkan pena'kulan dan berjihad di pengkalan bakti, seperti yang dilakukan oleh kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional, demi kebajikan rakyat serta pembangunan negara.

70. Barulah, barulah masyarakat akan mendekati UMNO dan mahu bersama kita. Seterusnya, Malaysia sebagai negara Islam yang moden, progresif lagi dinamik akan selamanya dipandang mulia oleh kawan dan lawan di seantero dunia.

CERITERA-CERITERA KEJAYAAN MALAYSIA

Saudara Sekalian,

Kalau Roboh Kotanya Jati,

Kayu Belian Kita Dirikan,

Kalau UMNO terus dihormati,

Malaysia yang Makmur jadi HARAPAN.

71. Sejak awal tadi, saya mempidatokan tentang pentingnya solidariti sebagai foundation atau tapak terbangunnya Malaysia terkasih ini.

72. Ternyata, hampir 6 dasawarsa, bertonggak kepada tiang seri-tiang seri ini, berpasakkan kepada prinsip kesederhanaan dan dasar-dasar yang sistematik lagi ampuh, kita telah mencapai prestasi-prestasi menakjub dan rekod-rekod yang mampu diperbanggakan.

73. Antara 11 kejayaan utama yang boleh saya senaraikan:

Pertama: Kalau dahulu semasa mencapai kemerdekaan, kadar kemiskinan isi rumah rakyat Malaysia adalah pada tahap lebih 60 peratus.

Alhamdulillah, berkat kepimpinan UMNO, bersama rakan-rakan parti komponen, sukacita saya mengumumkan, kadar kemiskinan telah menyusut kepada satu peratus, malah kemiskinan tegar kini telah hampir disifarkan kesemuanya.

Kedua: Mutakhir ini, sekalipun ekonomi dunia tidak menentu, Malaysia telah mencapai pertumbuhan positif dalam semua sektor dan mencatatkan kenaikan KDNK sebanyak 6.1 peratus.

Sayugia saya menyatakan, pencapaian ini, telah menempatkan kita sebagai yang paling tinggi di kalangan negara ASEAN.

Ketiga: Kemasukan pelaburan asing sebanyak 38.7 bilion ringgit pada tahun 2013, merupakan catatan paling tinggi actual realized investments yang pernah dicapai dalam sejarah Negara.

Keempat: Pada Julai 2014, Indeks Bursa Malaysia telah mencecah mata seribu lapan ratus sembilan puluh dua, paras paling tinggi dalam tawarikh negara.

Kelima: Malaysia terus kekal kedudukannya sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia.

Keenam: Menurut laporan International Finance Corporation, World Bank Group di dalam 'Doing Business 2015 Report', Malaysia berada di tangga ke-18 daripada 189 negara di dunia.

Dan menurut Laporan CNN Travel 2013 pula, Kuala Lumpur menduduki tempat keempat sebagai bandaraya paling popular untuk membeli-belah selepas New York, Tokyo dan London.

Ketujuh: Dalam konteks serantau, kita harus berbangga kerana Malaysia diberi kepercayaan dan penghormatan mendamaikan Kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro atau MILF, sekaligus menamatkan sengketa berdarah selama berdekad-dekad di negara itu.

Kelapan: Pada tahun 2015, Malaysia dengan rasminya akan mempengerusikan ASEAN. Ini adalah satu penghormatan kepada pimpinan UMNO dan Barisan Nasional.

Kesembilan: Kita terus dipandang tinggi oleh saudara-saudara seakidah di bumi Gaza, kerana kepimpinan UMNOlah yang terus konsisten, membantu dan memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang tertindas oleh rejim Zionis.

Kesepuluh: Nama Malaysia, semakin mengharum di persada antarabangsa dan berjaya mendapat 187 undian bagi menduduki Kerusi Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB. Dan,

Kesebelas: Saya dengan penuh rasa rendah diri, telah menerima Anugerah Kepemimpinan Islam Global, pada sidang World Islamic Economic Forum 2014 di Dubai. Sesungguhnya, pengiktirafan dunia Islam ini, saya dedikasikan kepada parti UMNO dan pastinya kepada seluruh rakyat Malaysia.

74. Begitulah saudara, sedikit sebanyak kisah kejayaan yang dapat dipersembahkan. Sebenarnya, ceritera-ceritera kejayaan yang telah kita tempa sepanjang lima puluh tujuh tahun, lebih banyak daripada itu dan tidak terhitung jumlahnya.

REALITI SEMASA

Sahabat-Sahabat Seperjuanganku Sekalian,

75. Walau sebanyak manapun kejayaan yang telah kita raih, hatta segunung pun rekod yang mampu dicipta, walau setinggi mana pun pengiktirafan yang telah kita terima, kita tidak boleh sekali-kali berasa complacent dan duduk bersimpuh.

76. Ini kerana, musuh dari dalaman mahupun luar, akan terus mengintai-intai, cuba menerobos apa jua celah dan ruang untuk menjatuh-jatuhkan perjuangan kita, bagi merapuh-rapuhkan semangat kita, seterusnya untuk mengapi-apikan persengketaan supaya kita retak dan berpecah-belah.

77. Menyentuh realiti semasa ini, para alim ulama berpesan-pesan, adalah menjadi adat manusia dan organisasi yang bersifat makhluk, kita adalah lemah, kita akan sentiasa melakukan kesalahan.

78. Tapi, tidak mengapa, setiap kali berkumpul, dan ini yang ke-65 Perhimpunan Agung UMNO diadakan, kita akan terus bermuhasabah, saling memperingatkan antara satu sama lain, dan membuat pengislahan demi pengislahan, kerana memang diakui tiada siapa pun antara kita yang sempurna.

79. Sekalipun begitu, perjuangan kita di dalam UMNO, demi membela untung nasib orang-orang Melayu dan Bumiputera itu wajib disempurnakan.

Saudara Sekalian,

80. Atas sebab itulah, ingin dinyatakan bahawa, parti UMNO tidak bersalah, parti UMNO tidak berdosa. Sebaliknya, yang bersalah dan yang sering berdosa itu adalah diri kita.

81. Ternyata, atas kelalaian dan kealpaan kitalah dalam membenteng serta mempertahankan UMNO dengan sewajarnya, menyebabkan realiti politik terutamanya lebih 15 tahun yang lalu begitu berubah.

82. Dari apa yang kita saksikan, benarlah cendekiawan menyebut, 'for evil to triumph, good men do nothing'. Malah, menurut para ilmuwan, kata-kata ini, disesuaikan daripada beberapa hadis antaranya oleh Abu Daud.

83. Maksudnya, sekalipun kita di pihak yang benar, tapi hanya duduk berdiam, dan tidak melakukan apa-apa, maka musuh akan bermaharajalela dan makin menjadi-jadi. Tambahan pula, dipertualang dan dikhianat oleh si kitul-si kitul moden itu tadi.

84. Sayang seribu kali sayang, sedih sejuta kali sedih, natijahnya, ramai orang Melayu dan Bumiputera khususnya, dan masyarakat Malaysia umumnya, telah tersalah sangka dengan perjuangan ikhlas dan murni parti UMNO.

Saudara Sekalian,

85. Apa yang penting, saya ingin menegaskan bahawa orang-orang UMNO tidak perlu apologetic, orang-orang UMNO tidak perlu berasa segan silu, jika ramai pihak yang cuba memperlekeh, mencemuh kononnya parti ini sudah jumud dan tidak relevan lagi.

86. Hakikatnya, jangan sesekali kita lupa, dalam perhimpunan-perhimpunan yang bersejarah seperti inilah kementerian-kementerian strategik untuk kepentingan Melayu dan Bumiputera diusulkan, di perkumpulan sebeginilah institusi-institusi Melayu serta Bumiputera seperti UiTM dimartabatkan.

87. Begitulah juga nasib penjawat awam yang jumlahnya kini lebih 1.5 juta terus dibela, di sinilah Raja-Raja Melayu terus dipermuliakan, di sinilah syiar agama Islam tetap diperteguh dan dipertinggikan, dan yang paling mustahak, di perhimpunan inilah orang-orang Melayu menumpang teduh, membawa hati demi menghitung masa depan keturunan anak cucu mereka.

88. Jadinya, jika kita ingin bertanya, semua kejayaan yang telah kita kecapi, seluruh prestasi yang sudah kita capai, hasil perjuangan siapa? Jawapannya, sudah barang pasti, jasa perjuangan parti yang bertuah ini.

Saudara Seperjuanganku Sekalian,

89. Dari itu, cukup-cukup dan sudah-sudahlah dengan sikap buruk yang merosakkan bangsa kita dari dulu sampai sekarang. Kita harus meninggalkan kisah-kisah Hang Nadim, Singapura dilanggar todak dan musuh dalam selimut.

90. Waima, ada yang menjadi api dalam sekam, bahkan gunting dalam lipatan, tumpul di hujung tapi tajamnya menikam di dalam.

91. Oleh itu, kita orang-orang UMNO mesti berhijrah ke arah yang lebih baik, sebagai penawar kepada luka-luka bangsa.

92. Sebagai platform kepada perjuangan masa depan dan menjadi parti berguna kepada anak cucu dan keturunan kita, bukan sekadar untuk tempoh 50 tahun atau sekurun lagi, bahkan untuk tempoh yang lebih panjang dari itu.

JIL UMNO ATAU GENERASI MASA DEPAN UMNO

93. Bertolak dari situ, Saudara Sekalian, setiap kali Perhimpunan Agung UMNO, semua orang ingin bercakap tentang peremajaan parti.

94. Berbicara di sudut ini, semakin hari semakin jelas kita mendengar keluhan dan rintihan anak-anak muda yang ingin turut serta berjuang dalam UMNO.

95. Malangnya, semakin hari semakin jelas juga kita mendapat maklum bahawa hasrat anak-anak muda ini, katanya dihalang dan ditolak oleh mereka yang lebih lama di dalam parti.

96. Merujuk perkara ini, seperti yang saya sebutkan dalam taklimat Presiden 2 hari lepas, kita perlu menyedari hakikat bahawa UMNO sebenarnya sudah terdiri daripada 3 generasi.

97. Generasi pertama yang berusia 50 tahun ke atas. Generasi kedua berumur antara 30 hingga 50 tahun. Manakala, generasi ketiga pula, adalah mereka yang berusia 30 tahun ke bawah.

98. Apa yang penting, demi masa depan parti, ketiga-tiga generasi perlu bekerjasama. Apa yang paling mustahak juga, generasi ketiga mesti diperluaskan, diperkukuhkan dan diperkasakan.

99. Makanya Saudara Sekalian, saya sebagai Presiden dan seperti yang disuarakan oleh Tan Sri Mahyuddin selaku Timbalan Presiden dua malam lepas, dan turut disokong oleh Pimpinan-Pimpinan Tertinggi UMNO, kami dengan tegas dan penuh komited menyatakan bahawa:

...bermula dari perhimpunan kali ini, kita akan menjadi lebih komited untuk membuka akses dan pintu-pintu UMNO seluas-luasnya kepada para pemuda pemudi Melayu serta Bumiputera.

Anak-Anak Muda yang Dikasihi Sekalian, samada yang berada di dalam dewan mahupun di luar sana,

100. Maka, seperti yang saya sebut dalam taklimat Presiden 2 hari lepas, secara rasminya, diumumkan bahawa kita akan membuka pendaftaran keahlian UMNO secara terus.... melalui online yang akan ditempatkan di bawah pendaftaran Ibu Pejabat UMNO Pusat kepada anak-anak muda seawal usia 18 tahun.

Saudara Sekalian,

101. Bersabit hal anak-anak muda, teringat saya ungkapan Saidina Umar al-Khattab, apabila memperkatakan tentang generasi muda.

102. Anak muda yang menjadi rujukan Saidina Umar adalah Abu Ubaidah. Malah, Nabi Muhammad sendiri memberi gelaran Al-Amin kepada beliau.

Anak-Anak Muda Sekalian,

103. Itulah pewaris generasi UMNO yang kami mahu dan itulah juga yang kami impikan. Satu saf dan barisan generasi dalam istilah arabnya kita namakan sebagai JIL-UMNO yang bererti generasi pewaris kepimpinan masa depan UMNO.

104. Oleh yang demikian, sekiranya pada perhimpunan tahun lepas, saya membicarakan tentang isu pengkaderan. Pada perhimpunan ini pula, saya mahu menyentuh soal-soal pengisian atau pentarbiyahan.

105. Antara kriteria pertarbiyahan JIL UMNO adalah:

Kriteria pertama: JIL UMNO yang berilmu dan berpengetahuan secara holistik atau menyeluruh, yakni mereka yang cerdas, pintar dan bijaksana, yang bukan sahaja berilmu serta berkemahiran, tetapi beramal dengan ilmunya.

Kriteria kedua: JIL UMNO yang berjatidiri dan berintegriti. Maksudnya, kumpulan anak muda ini perlu dilatih supaya berimbang, berakhlak, mempunyai nilai kesederhanaan, tidak menjadi pelampau dan tidak pula terlalu liberal, sehingga membelakangkan nilai-nilai murni agama.

Kriteria ketiga: JIL UMNO yang bersifat glokal. Simpulan kalam, walaupun mereka ini belajar tinggi di Universiti Azhar, Madinah atau di Harvard, Oxford mahupun Cambridge, tetapi jangan sekali-kali terpisah daripada nilai-nilai ketimuran, kesantunan Melayu serta nilai-nilai yang murni di tanahair kita.

Itulah dia kerja-kerja pentarbiyahan yang harus kita lakukan dalam melahirkan JIL UMNO yang unggul.

106. Makanya, menjadi tugas dan tanggungjawab moral kita supaya terus membimbing, melatih, mendidik dan mengasuh generasi muda dan memberi peluang serta diberi tempat yang setimpal dengan kebolehan, keperibadian, menurut penerimaan masyarakat atau organisasi yang berkaitan.

107. Kesimpulannya, JIL UMNO atau pewaris kepimpinan yang kita dambakan adalah generasi yang kuat sebagai bunga-bunga bangsa, bukannya zuriat yang lemah seperti buih-buih di samudera. Barulah nanti kita mampu bernafas dengan lepas dan lega bila diserahkan parti ini pada mereka kelak.

108. Dalam konteks ini, kalau kita ingin menambat hati generasi muda, UMNO mesti dilihat sebagai parti yang sanggup membanteras rasuah dan politik wang. Oleh sebab rasuah adalah punca kepada banyak kerosakan dan kepincangan.

109. Di atas segalanya, makna besar kepada peremajaan parti adalah, sekalipun UMNO sudah berumur lebih 68 tahun dan hampir 25 ribu hari usianya, tapi jiwa muda dan roh perjuangan mestilah terus membara seolah-olah seperti mana pada hari pertama ia ditubuhkan.

110. Malah segala-gala secara total dan tuntas mesti diremajakan termasuk bagaimana kita menggunakan teknologi, strategi dan pendekatan kita sebagai parti yang kreatif dan inovatif dalam semua hal.

Saudara Sekalian,

111. Merujuk kepada Wanita UMNO, kita akan terus mengangkat dan mengiktiraf jasa serta pengorbanan mereka selama ini. Untuk perhimpunan kali ini kepimpinan wanita telah menyatakan hasrat supaya mereka diberi pengiktirafan yang lebih daripada sekadar tulang belakang parti.

112. Dalam hal ini, kita akan menimbang dan mengadakan rundingan dengan semua pihak berkaitan pengwujudan jawatan Naib Ketua Wanita di Peringkat Bahagian dan Naib Presiden Parti di peringkat Kebangsaan.

113. Namun, saya tahu akan wujud "resistance". Yang mustahak dan utama, kita sebagai parti yang bersaudara akan berunding dan melihat daripada semua faktor supaya apa pun keputusan yang kita ambil nanti menjadi satu keputusan bersama demi memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada bakti wanita UMNO setelah 66 tahun ini.

Saudara sekalian,

114. Merujuk permintaan Pemuda dan Puteri pula, yang memohon lebih ramai di bawah usia 40 tahun diberi peluang dan jawatan yang setimpal. Kita juga akan merundingi dan melihat perkara ini dari semua aspek agar keputusan yang diambil nanti adalah wajar.

Saudara Seperjuanganku Sekalian,

115. Saya tahu, saya tahu benar, isu yang paling hangat diperkatakan dan dinanti-nanti oleh semua ialah AKTA HASUTAN 1948.

116. Sabar, dengar dulu apa yang nak saya perkatakan.

Saudara Sekalian,

117. Tampaknya, berdasarkan apa yang kita lihat sebentar tadi, saya mendengar pendapat dan cadangan daripada Timbalan Presiden, Wanita,Pemuda, Puteri, usul-usul daripada bahagian, keresahan suara-suara akar umbi, serta pandangan-pandangan NGO, maka dengan ini saya sebagai Perdana Menteri memutuskan bahawa Akta Hasutan 1948, akan terus dikekalkan.

118. Malah, akta ini bukan sahaja akan dipertahan, tetapi akan diperkuat dan diperkukuhkan lagi sekurang-kurangnya dalam 2 perkara.

119. Pertamanya, kita akan masukkan peruntukan khas untuk melindungi kesucian agama Islam, bahkan agama-agama lain juga tidak boleh dihina.

120. Keduanya, kita akan mengenakan tindakan keras ke atas sesiapa yang cuba menghasut supaya Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.

121. Ertinya lagi, apa-apa jua perkataan, perbuatan mahupun ucapan yang bersifat menghasut serta menghina Islam, Melayu dan Raja-Raja akan kita halang dan kita tentang habis-habisan.

Saudara Seperjuangan dan Bangsaku Sekalian,

122. Seperkara lagi, semua ingin tahu apa sebenarnya pendirian saya selaku Presiden tentang masa depan Melayu dan Bumiputera.

123. Ketahuilah, saya berdiri di sini, tidak sama sekali sekadar Perdana Menteri, saya juga berdiri di hadapan ini, bukan setakat presiden UMNO, tapi saya berdiri dan berbicara di hadapan saudara sekalian, sebagai penyambung lidah dan warisan perjuangan Melayu Bumiputera.

124. Dari itu, mana mungkin, saya sanggup membiarkan keturunan dan bangsa saya melarat, terhina, hingga terbangsat menjadi celaka di tanah sendiri.

125. Berkait itu, saya akan terus komited dalam memperjuangkan nasib kaum Melayu dan Bumiputera. Bukan sekadar di bibir, tapi saya dan rakan-rakan dalam parti serta Kerajaan, telah melakukan segala yang termampu untuk membuktikannya.

126. Sehubungan itu, selagi hayat dikandung badan, saya bersama Timbalan Perdana Menteri, rakan-rakan kepimpinan juga, komited untuk bersidang sekurang-kurangnya sekali setiap bulan demi menjamin halatuju dan agenda pemerkasaan ekonomi Melayu serta Bumiputera diteruskan.

127. Bahkan, kita akan menunaikan setiap apa yang dijanjikan semasa ucapan saya di Dewan Agong Tuanku Canselor, UiTM pada tahun lepas, satu persatu.

Sesungguhnya kerajaan Barisan Nasional tunjangan UMNO adalah Kerajaan yang menepati janji.

PENUTUP

HALATUJU DAN HALUAN TERBESAR UMNO

Saudara Seperjuangan Sekalian,

128. Walau apapun, adakala, waktunya kita berasa letih dan lesu apabila tidak henti-henti diherdik, dikritik dan dibentak-bentak.

129. Adakala, kita juga berasa kecewa apabila segelintir bangsa kita sendiri ragu-ragu tentang perjuangan ini.

130. Oleh yang demikian, saya selaku Presiden ingin menyeru,

Kembalikanlah,... semangat UMNO yang kian pudar.

Pulihkanlah,.... jiwa UMNO yang sudah hampir malap.

Nyalakanlah,... semangat perjuangan asal serta roh UMNO yang sudah makin menghilang.

Sematkanlah, rasa sayang dan kasih kepada parti, KERANA DI SITULAH,... DI SITULAH KITA AKAN BERTEMU JAWAPANNYA.

Saudara Sekalian,

131. Kepada akar umbi UMNO pula, yang sejak dahulu istiqamah dan iltizam dalam perjuangan, kita harus membayar balik harga pengorbanan dan harga kesetiaan mereka dengan cara terus membela untung nasib bangsa, kerana UMNOlah satu-satunya parti tempat berlindung dan bergantung harap demi masa depan kita semua.

132. Sedarlah, insaflah, sesungguhnya kita tidak berhadapan dengan banyak pilihan, hanya satu sahaja.

Seandainya parti ini rebah, sekiranya parti ini jatuh dan tumbang, keindukan Melayu Bumiputera akan turut tersungkur dan terkubur bersamanya. Nauzubillah.

Oleh itu Saudara Seperjuanganku Sekalian,

133. Marilah kita bangun, marilah kita berdiri. Tegakkan kepala mu, jangan mundur, pandang ke depan, sekali layar sudah dikembangkan, sekali sauh sudah dinaikkan, bahtera UMNO tidak boleh berpatah balik.

Kita akan pastikan, panji-panji Sang Saka Bangsa akan terus berkibar megah di persada.

Saudara Seperjuanganku Sekalian,

134. Angkatkan telapak tangan kanan kalian, genggamlah erat perjuangan ini, sebagai simbolis solidariti bangsa.

Ayuh! Ayuh, letakkannya di perabung-perabung dada, di mana bertempatnya hati dan sanubari.

Bersama kita teriakkan, bersamalah kita laungkan,

MAJU MELAYU!

MAJU BUMIPUTERA!

MAJU UMNO!

MAJU BARISAN NASIONAL!

MAJULAH MALAYSIA!

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.