Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label RUSUHAN. Show all posts
Showing posts with label RUSUHAN. Show all posts

Thursday, 1 October 2015

DAP perlu mohon maaf

Gerakan, MCA lihat DAP punca polarisasi sosial

SOFIAN BAHAROM | 01 Oktober 2015 1:19 AM


LIANG TECK MENG (kanan) dan Ti Lian Ker menunjukkan gambar yang berunsur perkauman semasa sidang akhbar di Menara Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM), Pudu Ulu, Cheras, Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/AIZZUL A.MAJID

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Polarisasi sosial dan ke­tegangan sentimen perkauman dalam kalangan rakyat Malaysia ketika ini berpunca daripada angkara DAP yang berterusan bermain dengan api perkauman.

Sehubungan itu, Gerakan dan MCA hari ini mendesak DAP supaya tampil memohon maaf serta bertaubat atas tindakan mereka selama ini yang dilihat akan membawa kehancuran kepada kehidupan bermasyarakat di negara ini.

Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng menegaskan, taktik DAP untuk mengapi-apikan sentimen dalam kalangan masyarakat telah pun bermula sebelum Bersih 4.0 apabila Penasihatnya, Lim Kit Siang memijak gambar beberapa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang.

Kata beliau, DAP seterusnya te­lah merampas perhimpunan haram Bersih 4.0 dengan matlamat buruk dan agenda politik untuk menunjukkan kuasa melalui demonstrasi jalanan yang menyaksikan kebiadaban penyokong-penyokongnya.

“Bukti ini jelas menunjukkan bahawa DAP yang memulakan budaya tidak sihat ini. Kita perlu faham kenapa tidak munculnya himpunan baju merah pada Bersih 1, 2, 3 tetapi apabila Bersih 4.0 ada perhimpunan baju merah. Ini kerana reaksi kepada kebiadaban tersebut.

“Kita kena lihat ada kain ren­tang minta hapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) pada perhimpunan baju merah. Kenapa ada SKJC sahaja kenapa tiada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT)?

“Ini kerana DAP telah pun menanam kebencian dan cuba mengapi-apikan sentimen antara kaum. Oleh itu kami mengutuk sekeras-keras­nya tindakan DAP dan mahu DAP bertaubat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker.

Dalam pada itu, Lian Ker berkata, tindakan penyokong-penyokong DAP memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menyinggung perasaan dan hati masyarakat Melayu.

Menurutnya, provokasi-provokasi politik oleh DAP tidak wajar dilakukan memandangkan negara sedang dilanda krisis ekonomi global dan kejatuhan nilai ringgit.

“Sedarlah bahawa pembinasaan negara dapat berlaku dalam sekelip mata tetapi pembinaan negara mengambil tempoh masa yang lama, begitu juga jambatan silaturahim dan hubungan baik antara kaum dalam negara ini,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/dap-perlu-mohon-maaf-1.141661#sthash.iJBjE7XL.dpuf

Wednesday, 9 September 2015

Protes: Maria Chin, 7 individu lain didakwa

MARZITA ABDULLAH | 09 September 2015 12:53 AM


Maria Chin Abdullah, Mandeep Singh (kiri), dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah dan tujuh yang lain dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan menyertai protes jalanan dalam perhimpunan #KitaLawan di ibu negara, awal tahun ini.

Yang turut didakwa ialah Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Chang Lih Kang; anggota Sekretariat Bersih, Mandeep Singh; Pengerusi Jingga 13, Mohd. Fariz Abd. Talib; pegawai khas ahli Parlimen Batu, Rozan Azen Mat Rasep; ahli PKR, Lee Chean Chung dan aktivis propembangkang, Adam Adli Abd. Halim.

Kesemua mereka yang didakwa sebagai orang kena saman (OKS) di mahkamah berasingan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan masing-masing.

Maria Chin, Mandeep, Mohd. Fariz dan Tze Tzin didakwa bersama-sama beberapa individu lain yang masih bebas menyertai protes itu dengan tujuan tertentu iaitu reformasi dan bebas Datuk Seri Anwar Ibrahim serta cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka bermula di hadapan kawasan air pancut di persimpangan Jalan Tun Perak dan berakhir di kompleks beli-belah Sogo di sini antara pukul 3.15 petang dan 6 petang, 28 Mac lalu.

Mohd. Fariz sekali lagi didakwa bersama-sama Adam Adli dan beberapa individu lain yang masih bebas terhadap pertuduhan sama dengan tujuan iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib berundur, bantahan kenaikan harga barang dan kos sara hidup, Anwar dibebaskan dan menjemput peserta hadir protes Kita Lawan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu bermula di hadapan Sogo dan berakhir di Esplanade KLCC antara pukul 4 petang dan 7.30 petang, 28 Februari lalu.

Lih Kang, Rozan Azen dan Chean Chung juga didakwa dengan tuduhan dan tujuan sama termasuk menggesa Ketua Polis Negara dipecat, bermula di hadapan Sogo dan berakhir di kawasan air pancut persimpangan Jalan Tun Perak di sini antara pukul 4.30 petang dan 5.05 petang, 21 Mac lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Sesyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000.

Pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Faizal Ismail, Majistret Mohd. Rehan Mohd. Aris dan Majistret Mohd. Asyraf Abdul Manan.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Musli Ab. Hamid mencadangkan ikat jamin setiap OKS sebanyak RM500 dengan seorang penjamin seperti yang telah dipersetujui oleh pihak pembelaan.

Mahkamah membenarkan permohonan jaminan itu dan menetapkan 16 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi kesemua OKS kecuali Adam Adli dan Mohd. Fariz yang sebutan semula kes mereka ditetapkan pada 19 Oktober ini.

OKS diwakili peguam-peguam, Ramkarpal Singh, Datuk S. Ambiga, Latheefa Koya, Amer Hamzah Arshad dan Eric Paulsen.

Sepanjang prosiding tersebut mahkamah penuh sesak dengan kehadiran penyokong-penyokong OKS termasuk Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Exco kerajaan negeri Selangor, Elizabeth Wong.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/protes-maria-chin-7-individu-lain-didakwa-1.133605#sthash.CrB6WJIR.dpuf


Thursday, 3 September 2015

Bersih 4.0: Polis akan panggil Tun M, Azmin

03 September 2015 12:41 AM


KHALID ABU BAKAR bersalaman dengan pasukan kadet polis sekolah sempena Peringatan Hari Pasukan Polis Marin Ke-68 di Markas Operasi Pasukan Polis Marin di Pelabuhan Klang, Selangor, semalam. Turut sama, Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Datuk Abd. Aziz Yusof (kiri). – BERNAMA

KLANG 2 Sept. – Beberapa tokoh dan pemimpin parti termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali akan dipanggil untuk diambil ketera­ngan berhubung pengli­batan dalam perhimpunan haram Bersih 4.0, hujung minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tum­puan diberikan kepada peng­anjur dan individu yang sudah dikenal pasti termasuk ucapan dan tuduhan yang dilemparkan semasa perhimpunan haram itu.

Menurutnya, polis sebelum ini telah memanggil beberapa individu untuk dirakamkan ketera­ngan dan tindakan itu dibuat bagi menyiasat beberapa kenyataan berbaur tuduhan untuk direkodkan seterusnya disiasat.

“Kita akan panggil dan beliau (Tun Mahathir) telah buat pelbagai ucapan dan tuduhan. Kita pun mahu tahu lebih lanjut apa yang beliau cakap, apa maksud, mana maklumat beliau peroleh.

“Antaranya, kenyataan bahawa ketua bahagian UMNO telah dirasuah, jadi kita mahu tahu lebih lanjut justeru saya harap beliau beri kerjasama,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Khalid turut menyelar tindakan peserta perhimpunan yang sengaja meniupkan api kemarahan dengan mengeksploitasi gam­­bar pemimpin termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin parti pembangkang.

“Inikah budaya yang hendak dibawa oleh Bersih? Ini bukan bu­­daya Malaysia. Saya dimaklumkan pihak penganjur ada pasukan yang mengawal ter­tib dan tingkah laku peserta tetapi ada pula video peserta memijak dan menonyoh gambar pemimpin.

“Inikah budaya yang akan dibawa pada masa depan dan saya menegaskan agar semua pihak jangan meniup api perkauman dalam setiap tindak-tanduk sehingga menaikkan kemarahan kaum lain.

“Jangan bawa budaya, sebab itu kita tidak mahu perhimpunan seper­ti ini dibuat di jalanan kerana ia dibuat mengikut sesuka hati masing-masing,” katanya.

Khalid juga mengingatkan yang polis sedang memburu individu yang memijak gambar pe­mimpin dan penganjur Bersih bertanggungjawab ke atas peserta yang sengaja meniupkan api perkauman.

“Perkara ini dapat dielakkan sekiranya perhimpunan dibuat secara tertutup dan kita boleh kawal serta memastikan perkara sebegini tidak berlaku. Semua pihak yang terlibat dengan perhimpunan tersebut tidak akan terlepas daripada tindakan dan polis tidak akan berkompromi dengan pihak yang sengaja mencabar undang-undang.

“Kita akan guna semua peruntukan undang-undang yang ada. Semua yang terlibat tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang,” tegasnya.

Terdahulu, Khalid menghadiri majlis memperingati Hari Polis Marin ke-68 di Markas Operasi Pasukan Polis Marin, Pelabuhan Klang dan menyampaikan surat penghargaan kepada 13 anggota pasukan keselamatan laut itu.

Pada perkembangan lain, ujarnya, Polis Marin bakal memperoleh 200 bot secara berperingkat untuk memperkasakan ke­selamatan di pantai timur Sabah.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/bersih-4-0-polis-akan-panggil-tun-m-azmin-1.131140#sthash.fTufZ2cg.dpuf


BERSIH 4 : Lebih 30 laporan polis dibuat

Gesa penganjur, peserta Bersih 4.0 diambil tindakan

SHARILFUDDIN SAARI, AZHARI ZAINOODDIN, SHAHRINNAHAR LATIB, ZULKIFLI SAINUDDIN, MASZUREEN HADZMAN DAN MOHD. IZZUL FARHAN AHMAD SURIANSHAH | 03 September 2015 12:42 AM


PENGERUSI Persatuan Kelab Kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Sembilan, Muhamad Shukri Zainudin (enam dari kiri) menunjukkan laporan polis berhubung peserta Bersih 4.0 yang memijak gambar Perdana Menteri di Balai Polis Rahang, Seremban, Negeri Sembilan, semalam. Utusan/Mohd. Izzul Farhan


KUALA LUMPUR 2 Sept. - Semakin banyak gesaan agar penganjur dan peserta Bersih 4.0 yang melanggar undang-undang dan bersikap biadab termasuk memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa perhimpunan haram minggu lalu, dikenakan tindakan tegas.

Gesaan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik iaitu UMNO dan Pas itu dilahirkan melalui lebih 30 laporan polis yang dibuat di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang dan Perlis hari ini.

Di KUALA LUMPUR, tujuh NGO diketuai oleh Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibah Malaysia (MJMM) menggesa agar dua individu yang memijak poster dua pemimpin itu segera ditahan.

Presidennya, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, pihaknya bersama-sama Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) dan Pertubuhan Permuafakatan Ayahanda Malaysia (Permas) serta pertubuhan Sirah Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan individu tersebut yang disifatkan tidak bertanggungjawab dan melampau.

“Tindakan mereka yang memijak poster dua pemimpin tersebut telah membangkitkan kemarahan rakyat di negara ini terutamanya umat Islam,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini.

Di SEREMBAN, Pengerusi Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia Negeri, Muhamad Shukri Zainudin menggesa penganjur perhimpunan haram Bersih 4.0 segera memohon maaf kerana gagal mengawal peserta perhimpunan sehingga ada dalam kalangan mereka bertindak biadab dengan memijak gambar Perdana Menteri.

Beliau berkata, tindakan luar batasan itu sekali gus memperlihatkan peserta perhimpunan haram itu melakukan provokasi melampau dan jelas membuktikan perhimpunan haram yang didakwa aman itu sebenarnya mempunyai agenda tersembunyi.

“Kami menggesa penganjur perhimpunan haram segera memohon maaf dan bertanggungjawab atas insiden tersebut,” katanya selepas membuat laporan polis ekoran insiden itu di Balai Polis Rahang dekat sini.

Turut membuat laporan yang sama ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bukit Temiang, JKKK Kampung Sungai Landak, Persatuan Belia Warisan Perdana dan Persatuan Belia Kampung Dusun Nyior.

Di PULAU PINANG pula, Ketua Biro Penerangan UMNO Bahagian Balik Pulau, Ismail Kassim menggesa pihak berkuasa segera menyiasat dan mengambil tindakan tegas selari dengan undang-undang terhadap tindakan biadab segelintir peserta perhimpunan tersebut.

“Apa yang terjadi ini juga melibatkan usaha menanam kebencian dalam kalangan rakyat yang tidak sepatutnya dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Balik Pulau, di sini.

Di SHAH ALAM, Pas Selangor membuat laporan polis bagi menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan peserta Bersih 4.0 yang memijak gambar Abdul Hadi.

Laporan itu dibuat oleh Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas Selangor, Datuk K. Deepakaran yang turut mewakili Badan Perhubungan Pas, Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat negeri.

“Sehubungan itu, kami meminta polis membuat siasatan terhadap penganjur dan peserta Bersih 4.0 yang memijak gambar Abdul Hadi mengikut Seksyen 505 Kanun Ke­seksaan,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini. Turut membuat laporan ialah Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Norazli Musa.

Di PAHANG, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan juga menggesa dua individu yang memijak poster Perdana Menteri semasa perhimpunan haram Bersih 4.0 di ibu negara baru-baru ini diambil tindakan melalui laporan polis yang dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Shahruddin Ahmad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di sini.

Menurut Shahruddin, pihaknya kesal dan terkilan dengan tindakan peserta perhimpunan tersebut memijak gambar Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO.

Sementara di KANGAR, Badan Perhubungan UMNO negeri dan Pas negeri turut membuat 13 laporan polis di Balai Polis Kangar di sini terhadap perbuatan biadab beberapa individu yang memijak gambar Perdana Menteri dan Abdul Hadi.

UMNO negeri diwakili oleh Ahli Jawatan Kuasa Badan Perhubungan UMNO negeri, Azizan Sulaiman manakala Pas negeri diwakili oleh Pengarah Pilihan Raya Pas Kawasan Kangar, Abd. Jamil Kamis.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/lebih-30-laporan-polis-dibuat-1.131153#sthash.xZQ52X98.dpuf

Friday, 28 August 2015

Perhimpunan anti-Bersih ditunda

28 Ogos 2015 1:30 AM


KUALA LUMPUR 27 Ogos – Kumpulan anti-Bersih yang digerakkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili golongan peniaga bersetuju menunda perhimpunan 30,000 aktivis yang dirancang bagi membantah penganjuran perhimpunan haram Bersih 4.0 di ibu negara Sabtu ini.

Jamal Md. Yunos

Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Jamal Md. Yunos berkata, pihaknya bersetuju me­nunda perhimpunan berkenaan kepada satu tarikh lain pada bulan kemerdekaan di lokasi yang lebih sesuai seperti dinasihatkan pihak polis.

Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas perbincangan pihaknya dengan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md. Isa berhubung persiapan pasukan berkenaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan buruk semasa perhimpunan haram berkenaan berlangsung.

“Walaupun baju sebanyak 30,000 helai telah pun siap dan deposit untuk 200 buah bas juga sudah dibayar, kami komited menunda perhimpunan kami yang cintakan keamanan di lokasi yang lebih sesuai dengan pelbagai acara berfaedah.

“Sebagai NGO yang prokerajaan serta menghormati undang-undang, kami patuh dengan arahan polis supaya tidak terlibat dengan perhimpunan haram yang dianjurkan NGO propembangkang,” kata­nya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, Jamal telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi dirakam percakapan berhubung siasatan polis ke atas kumpulan anti-Bersih tersebut.

Sementara itu, Jamal membe­ritahu, pihaknya telah pun memberikan kerjasama kepada pihak polis berhubung kes berkenaan agar siasatan lengkap dapat dilakukan.

“Kami tidak takut atau gentar untuk tampil dan bekerjasama dengan pihak polis dalam menjalankan siasatan,” ujarnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/perhimpunan-anti-bersih-ditunda-1.129348#sthash.vDdNerOt.dpuf


Polis KL nafi benarkan Bersih 4.0

28 Ogos 2015 1:37 AM


KUALA LUMPUR 27 Ogos – Polis Kuala Lumpur menafikan dakwaan penganjur Bersih 4.0 yang pihak­nya memberi kebenaran kepada mereka untuk me­ngadakan perhimpunan di ibu negara dan kawasan sekitarnya pada 29 dan 30 Ogos ini.

Tajudin Md. Isa

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md. Isa berkata, ke­nyataan penganjur, Maria Chin Abdullah dalam sebuah portal berita adalah tidak benar.

“Dalam perjumpaan yang diadakan Ketua Polis Dang Wangi bersama pihak penganjur Bersih 4.0, polis telah menasihatkan mereka tidak mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya kerana pada tarikh 29 dan 30 Ogos ini akan berlangsung­nya persiapan majlis sambutan Hari Kebangsaan 2015,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tajudin mengingatkan penganjur Bersih 4.0 supaya tidak memutar-belit sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh polis.

“Polis Kuala Lumpur juga ingin menegaskan bahawa perhimpunan itu adalah perhimpunan yang menyalahi undang-undang kerana pihak penganjur tidak mendapat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepertimana yang telah disyaratkan di bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012,” jelasnya,

Tambah Tajudin, tugas pihak polis adalah melaksanakan tanggungjawab memastikan keselamatan orang dan ketenteraman awam di ibu negara terjamin.

“Orang ramai dinasihatkan supaya memberi kerjasama dengan tidak memasuki kawasan Dataran Merdeka bagi menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang sepanjang tempoh itu,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/polis-kl-nafi-benarkan-bersih-4-0-1.129352#sthash.aTtm1XBb.dpuf

BERSIH 4 : Polis awasi kumpulan anarki

NORLIZA ABD. RAHMAN | 28 Ogos 2015 1:37 AM


PUTRAJAYA 27 Ogos - Kementerian Dalam Negeri tidak menolak kemungkinan akan wujud kumpulan anarki yang mahu mencetuskan huru-hara dalam perhimpunan haram Bersih 4.0 pada Jumaat dan Sabtu ini.

Nur Jazlan

Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kumpulan berkenaan mahu mencetuskan provokasi terhadap polis supaya pihak berkuasa menggunakan kekerasan terhadap peserta.

“Tindakan provokasi itu untuk menyebabkan polis dipersalahkan kerana menggunakan kekerasan terhadap peserta perhimpunan haram, sekali gus akan meningkatkan kebencian terhadap pihak berkuasa dan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nur Jazlan berkata, polis akan menggerakkan kira-kira 4,000 anggotanya bagi memastikan ketenteraman awam serta keselamatan rakyat ketika perhimpunan haram berkenaan dan tidak akan bertolak ansur bagi mengelakkan berlaku sebarang tindakan yang mengancam nyawa masyarakat.

Selain Kuala Lumpur katanya, perhimpunan haram berkenaan turut dirancang diadakan di Ku­ching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.

Katanya, tindakan itu pasti membabitkan kos tinggi ke atas kerajaan kerana perlu menggerakkan sejumlah besar anggota polis serta kelengkapan semata-mata untuk mengawasi peserta perhimpunan berkenaan.

Beliau berkata, lebih menyedihkan apabila peserta perhimpunan haram itu sebenarnya diperalatkan pembangkang yang menjadikan mereka sebagai alat politik untuk menumbangkan kerajaan.

“Sebenarnya, apa yang diperkatakan penganjur perhimpunan haram berkenaan sebagai hak untuk berhimpun serta mempunyai usaha murni adalah pembohongan semata-mata kerana terbukti ia didalangi ahli politik pembangkang,” katanya.

Nur Jazlan berkata, jika rakyat benar-benar sudah tidak mempercayai kerajaan Barisan Nasional (BN), mereka hanya perlu menunggu dua tahun lagi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 diadakan.

Katanya, motif berhimpun secara haram itu dengan cuba mengambil semangat menyambut Hari Kebangsaan 2015 demi kepentingan segelintir pihak, jelas mengetepikan hak majoriti rakyat Malaysia yang hidup aman dan tenteram selama ini.

“Saya benar-benar berharap rakyat Malaysia tidak terpedaya dengan menyertai perhimpunan haram itu kerana kemungkinan kekacauan berlaku amat tinggi disebabkan kita tidak mengetahui latar belakang peserta demonstrasi berkenaan yang mungkin terdiri daripada kumpulan yang mahu mengambil kesempatan menimbulkan huru hara.

“Polis tidak bersetuju dengan kaedah demonstrasi kali ini kerana tiada siapa yang jelas boleh dipertanggungjawabkan apabila berlaku sesuatu seperti kecederaan dan kerosakan harta benda,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/polis-awasi-kumpulan-anarki-1.129354#sthash.9Pm5NMVi.dpuf


BERSIH 4 : Berani buat berani tanggung – KPN

Amaran polis kepada penganjur Bersih 4.0

SHAHRINNAHAR LATIB | 28 Ogos 2015 1:42 AM


KUANTAN 27 Ogos - Negara kita ada undang-undang, berani buat beranilah tanggung akibatnya,”.

Khalid Abu Bakar

Demikian kata dua yang diberikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kepada penganjur Bersih 4.0 yang tetap berdegil mahu mengadakan perhimpunan di ibu negara pada hujung minggu ini walaupun diisytiharkan sebagai haram.

Beliau menegaskan, polis sudah memberi nasihat, berunding dan menawarkan pelbagai pilihan kepada penganjur namun mereka tetap berdegil mahu meneruskan perhimpunan tersebut.

“Jadi mereka kena terima akibatnya. Secara ringkasnya jangan marahkan polis nanti kalau kita ambil tindakan.

“Kalau mereka masih ingin langgar undang-undang, apa yang kami boleh buat. Kami adalah penguat kuasa undang-undang, tanggungjawab kami adalah mengambil tindakan mengikut undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Istiadat Pengurniaan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan menyampaikan pingat tersebut kepada seramai 100 bekas petugas polis bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka dalam memperjuangkan keamanan tanah air.

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Menurut Khalid, penganjur Bersih 4.0 masih diberi pilihan untuk menganjurkan perhimpunan tersebut di stadium.

“Itulah sebab awal-awal lagi saya cadangkan supaya mereka menggunakan stadium kerana mudah dikawal dan tidak mengganggu orang lain serta peniaga yang berada di sekitar kawasan terlibat.

“Pilihan untuk buat perhimpunan di stadium masih lagi dibuka, mereka boleh buat di Stadium Bukit Jalil kerana stadium itu boleh memuatkan ramai peserta,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau membidas tindakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang mahu memantau kelakuan pihak berkuasa dalam perhimpunan tersebut.

“Mengapa Suhakam tidak memantau orang yang melanggar undang-undang. Kenapa mesti sebut pantau penguat kuasa. Apakah orang yang langgar undang-undang tidak perlu dipantau?.

“Apakah Suhakam hanya mementingkan hak orang yang melanggar undang-undang, jadi mana kedudukan undang-undang di negara kita?,” soalnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/berani-buat-berani-tanggung-8211-kpn-1.129366#sthash.ntJwQ83n.dpuf





Wednesday, 26 August 2015

BERSIH 4 : Polis jamin tidak guna taser gun

26 Ogos 2015 1:47 AM


KUALA LUMPUR 25 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan tidak akan menggunakan senjata renjat (Taser gun) terhadap peserta yang menyertai perhimpunan Bersih 4.0 yang bakal diadakan pada hujung minggu ini.

Noor Rashid Ibrahim

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, walau bagaimanapun, senjata berkenaan akan digunakan pihaknya dalam kes jenayah lain pada masa depan bagi melumpuhkan sementara penjenayah yang terlibat.

Menurut beliau, senjata tersebut sememangnya dimiliki PDRM dan sedang diagih-agihkan ke pelbagai peringkat dalam pasukan kese­lamatan itu.

“Taser gun ini dapat melumpuhkan sementara atau melemahkan pesalah atau penjenayah tapi belum lagi digunakan untuk perhimpunan Bersih.

“Di masa hadapan kita (PDRM) akan lebih banyak guna taser gun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis pelancaran laman web iSelamat.my di sini hari ini yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa polis akan menggunakan senjata itu terhadap peserta perhimpunan tersebut jika berlaku insiden rusuhan atau keganasan.

Dalam pada itu, Noor Rashid meminta kerjasama masyarakat yang menyertai perhimpunan supaya lebih bertanggungjawab walaupun mereka mempunyai hak kebebasan bersuara.

Tegas beliau, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana peserta yang melanggar peraturan pada perhimpunan itu nanti.

“Kita benarkan apa juga hak rakyat untuk berhimpun. Tetapi masyarakat juga mempunyai tanggungjawab untuk pastikan perhimpunan itu tidak ganggu orang lain,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/polis-jamin-tidak-guna-taser-gun-1.128628#sthash.7NwzWYzQ.dpuf

Bersih 4.0 
pertubuhan haram – KDN

SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH 
DAN MASZUREEN HADZMAN | 26 Ogos 2015 1:47 AM


Alwi Ibrahim


PUTRAJAYA 25 Ogos - Kementerian Dalam Negeri menasihatkan orang ramai supaya tidak hadir dan menyertai perhimpunan yang akan dianjurkan oleh sebuah pertubuhan tidak berdaftar di Dataran Merdeka pada Sabtu dan Ahad ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati Bersih 4.0 bukan sebuah pertubuhan berdaftar dan tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa untuk menganjurkan perhimpunan tersebut.

"Kita juga mendapati Bersih 4.0 bergiat secara tidak sah dan mencetuskan suasana gelisah serta membangkitkan kebimbangan orang ramai khususnya rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan keturunan.

"Selain itu, pertubuhan tidak berdaftar ini turut menyebarkan propaganda untuk menghasut rakyat bagi tujuan negatif terhadap kerajaan dengan mengedarkan risalah-risalah tertentu yang boleh mendatangkan keburukan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Alwi, pihaknya turut mendapati pelbagai kegiatan yang dianjurkannya bukan sahaja telah memberi kesan buruk kepada imej negara, bahkan boleh mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan, kemakmuran ekonomi dan kedaulatan negara.

Pada masa sama katanya, kegiatan pertubuhan yang tidak berdaftar itu juga boleh menjejaskan keharmonian hidup masyarakat majmuk di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md. Isa berkata, perhimpunan Bersih 4.0 diisytiharkan sebagai perhimpunan haram selepas penganjurnya gagal mematuhi peruntukan yang diperlukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.


Menurut beliau, perkara itu diputuskan termasuk mengambil kira penganjur gagal mendapatkan kelulusan daripada pemilik lokasi berkenaan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
 Beliau memberitahu, polis tidak mempunyai masalah membantu penganjur perhimpunan sekiranya mereka mengikut sepenuhnya undang-undang dan mengadakan perhimpunan di tempat tertutup seperti stadium yang dicadangkan DBKL.


“Bersih 4.0 adalah haram dan sekiranya ia diteruskan tindakan tegas akan diambil berdasarkan akta sedia ada

.
 “Amaran telah diberikan kepada umum agar tidak menyertai perhimpunan itu. Perhimpunan sememangnya dibenarkan, tetapi ia perlu dibuat mengikut peruntukan undang-undang yang ada,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.


Mengulas lanjut, Tajudin memberitahu, polis akan memantau setiap ucapan yang dibuat pada perhimpunan itu terutamanya kenyataan yang memberi kesan kepada demokrasi berparlimen serta menggugat ketenteraman awam.


 “Kami akan bekerjasama dengan DBKL dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang melanggar undang-undang,” ujarnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/bersih-4-0-8232-pertubuhan-haram-8211-kdn-1.128630#sthash.aIrAreZB.dpuf

Tuesday, 14 July 2015

Tuesday, 10 March 2015

Perbuatan cukup memalukan Malaysia

Demonstrasi sokong Anwar di United Kingdom

MOHAMMAD YASIR JAAFAR | 10 Mac 2015 12:57 AM


Wan Toren Wan Yusoff

KUALA LUMPUR 9 Mac - tindakan sekumpulan rak­yat Malaysia mengadakan demonstrasi di United Kingdom (UK), Sabtu lalu bagi menunjukkan sokongan terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhkan hukuman penjara kerana meliwat adalah amat memalukan serta menjejaskan imej negara.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) UK, Wan Toren Wan Yusoff berkata, pihaknya amat kesal dengan penganjuran himpunan tersebut yang didalangi oleh pakatan pembangkang demi memburukkan nama negara sendiri atas kepentingan politik peribadi.

“Ini menunjukkan bahawa mereka langsung tiada jati diri, sifat patriotik, maruah dan harga diri, sekiranya mereka tidak setuju dengan kerajaan sekarang lebih baik tunggu sahaja pilihan raya umum akan datang.

“Berkempen dengan baik dan berhemah untuk mendapat sokongan rakyat. Bukan dengan memburukkan negara sendiri di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Wan Toren, lebih memalukan, perhimpunan yang hanya disertai 40 orang itu turut membabitkan ahli Kelab Pelajar Undang-Undang Malaysia di UK.

“Kami berharap agar kerajaan mahupun pembangkang ti­dak menggunakan pelajar untuk kepentingan politik peribadi.

“Kami juga berharap agar pelajar menumpukan kepada pengajian dan kembali ke tanah air untuk mencurah bakti,” katanya.

Tegasnya, apa yang lebih penting rakyat jangan mudah terpengaruh dengan sebarang khabar angin serta dakwaan yang berbaur fitnah.

“Mereka sepatutnya meneliti dan menyelidik sesuatu berita terutama dari media sosial sebelum membuat sebarang kesimpulan,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/perbuatan-cukup-memalukan-malaysia-1.67819#sthash.jgWPNhop.dpuf


Monday, 23 February 2015

SEMUT HITAM: OKU PUN TAK SUKA 'ANJING' MELALAK!!!

SEMUT HITAM: OKU PUN TAK SUKA 'ANJING' MELALAK!!!: Spesis "...." Dua Kaki ni bukannya reti bahasa!!! Diorang menyalak ikut suka hati diorang je... Jangan kata orang yang normal...

Monday, 16 February 2015

Perhimpunan gagal bukti rakyat hormat sistem kehakiman

16 Februari 2015 1:20 AM


SHAHIDAN KASSIM menyampaikan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina 2015 kepada sebahagian penghuni warga emas di Rumah Seri Kenangan, Jejawi, Kangar, Perlis, semalam.

KANGAR 15 Feb. – Kegagalan perhimpunan haram anjuran penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur semalam, membuktikan rakyat negara ini menghormati sistem kehakiman negara yang memutuskan bahawa pemimpin pembangkang itu bersalah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, ini juga menunjukkan rakyat negara ini mencintai keamanan serta bosan dengan budaya ganas jalanan yang dianjurkan parti pembangkang.

“Kita kesal kerana dalam perhimpunan itu, peserta menggunakan bahasa-bahasa kesat dan langsung tidak menghormati budaya masyarakat negara ini. Apatah lagi kita dalam suasana perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya semasa menghadiri majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Rumah Seri Kenangan, Jejawi, di sini malam tadi.

Dalam majlis tersebut yang dianjurkan Wanita UMNO Bahagian Arau, Shahidan menyampaikan sumbangan termasuk buah limau kepada penghuni rumah itu.

Dalam pada itu, Shahidan yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri bersetuju dengan cadangan beberapa pihak supaya Barisan Nasional (BN) tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

Beliau secara peribadi berpendapat, lebih baik BN menumpukan perhatian terhadap usaha pemulihan mangsa banjir di Kelantan, selain memberi fokus terhadap PRK Permatang Pauh, ekoran penyandangnya, Anwar dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan meliwat baru-baru ini.

Shahidan mengulas PRK DUN Chempaka selepas penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia malam Jumaat lalu di rumahnya di Pulau Melaka.

Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Md. Alwi Che Ahmad meminta BN berfikir panjang sekiranya mahu meletakkan calon pada PRK DUN Chempaka kerana tidak akan memberikan kesan kepada struktur kerajaan Pas Kelantan.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/perhimpunan-gagal-bukti-rakyat-hormat-sistem-kehakiman-1.60124#sthash.ohH2UBLQ.dpuf

Friday, 31 October 2014

POLITIK : Rusuhan: UM buat laporan polis

29 Oktober 2014 11:05 PM

IZZAT Zalman Abd. Kader (kiri) bersama dua Pengarah Keselamatan UM, Khairul Anuar Abu Shari (tengah) dan Yusoff Harun menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Pantai, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Universiti Malaya (UM) hari ini membuat laporan polis terhadap tindakan kumpulan aktivis mahasiswa dan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menceroboh kawasan kampus pusat pengajian itu di Lembah Pantai di sini malam tadi.

Laporan yang dibuat di Balai Polis Pantai kira-kira pukul 11 pagi itu menuntut satu siasatan dijalankan berhubung pencerobohan dan rusuhan di pintu pagar universiti berkenaan.

Pengarah Keselamatan UM, Mohd. Shaiful Zamri Abdul Iman berkata, kumpulan aktivis mahasiswa dan orang awam penyokong Ketua Pembangkang tersebut dianggarkan hampir 1,000 orang telah berkumpul sejak pukul 7 malam di luar pagar pintu masuk utama sebelum menceroboh kawasan universiti tanpa kebenaran.

“Rusuhan itu berlaku berikutan tindakan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PPUM) yang menganjurkan majlis itu menjemput Anwar sebagai tetamu tanpa mendapat sebarang kelulusan daripada pihak universiti.

“Rempuhan dan pencerobohan yang berlaku sekitar pukul 9 malam itu menyebabkan pintu pagar roboh dan mangga serta rantai pagar ber­kenaan telah pecah,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis tersebut.

Sementara itu, Ketua Unit Media dan Korporat UM, Izzad Zalman Abd. Kader berkata, siasatan dalaman sedang dilakukan ke atas pelajar-pelajar yang terlibat dan penelitian secara telus akan dilaksana berdasarkan rakaman kejadian malam tadi.

“UM sedang menyiasat penglibatan pelajar berkenaan dan sebarang tindakan bergantung kepada hasil siasatan yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Mereka (pelajar) sedia maklum penganjuran ini tidak mendapat kelulusan daripada UM dan apakah implikasi kepada mereka jika terlibat. Sebarang tindakan akan mengikut undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/rusuhan-um-buat-laporan-polis-1.18162#sthash.GIoR7sW1.dpuf



KOMEN : JANGAN LUPA MANUSIA YANG DI ARAK DAN MEMBERI CERAMAH SELEPAS PINTU PAGAR DIROBOHKAN JUGA HARUS DITANGKAP DAN DIDAKWA KERANA ADA UNSUR2 HASUTAN MENGAJAK PELAJAR MERUSUH...DAN JUGA MENCEROBOH... 

Thursday, 30 October 2014

LIWAT : Penganjur perhimpunan tidak mohon permit

30 Oktober 2014 3:22 AM

Pasukan polis terpaksa menahan pagar daripada dirempuh penyokong Anwar Ibrahim yang berarak dengan membawa sepanduk dan bendera parti untuk masuk ke Istana Kehakiman, Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 29 Okt. - Penganjuran perhimpunan di hadapan Istana Kehakiman di sini sejak semalam bagi menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat secara haram.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid (gambar) berkata, pihak penganjur tidak pernah memohon permit bagi mengadakan perhimpunan tersebut daripada pihak polis.

“Bagaimanapun keadaan masih terkawal dan setakat ini tiada tangkapan atau sebarang kejadian tidak diingini berlaku walaupun ada cubaan merempuh pintu penghadang besi yang diletakkan di sekeliling Istana Kehakiman,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas mengenai insiden seorang jurugambar News Straits Times Press (NSTP), yang dibaling telur oleh penyokong Anwar, Abdul Razak menjelaskan pihaknya sedang melakukan siasatan.

“Kejadian itu memang berlaku namun kita tidak dapat mengenal pasti pelakunya. Mungkin tersilap baling atau apa sahaja, niat pelaku itu tidak dapat dikenal pasti kerana ia berlaku terlalu pantas,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Razak menegaskan, beliau tidak akan tunduk dengan desakan penyokong Anwar yang mahu pagar penghadang besi diletakkan di depan Istana Kehakiman dialihkan.

Katanya, walaupun kehadiran penyokong Anwar bertambah 400 orang berbanding 300 orang semalam, pihak polis masih dapat mengawal keadaan meskipun berhadapan dengan provokasi melampau kumpulan berkenaan.

Katanya, kelancaran prosiding mahkamah menjadi keutamaan pihak berkuasa.

“Bagaimanapun kita telah buka pintu penghadang besi‎pada pukul 3.20 petang bagi memberi ruang mereka berlindung di bawah khemah kerana hujan.

“Polis menasihatkan kumpulan berkenaan supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan bagi mengelak dikenakan tindakan tegas,” katanya.

Abdul Razak berkata, penyokong sepatutnya tahu dan memahami tujuan datang ke sini bukannya menjadi pengikut yang tidak cerdik termasuk gagal menjadi pembangkang yang bijak.

“Kita percaya terdapat perancangan untuk melanjutkan prosiding sehingga Jumaat ini supaya lebih ramai penyokong pembangkang dapat berhimpun sekali gus hendak menunjukkan mereka mendapat sokongan ramai.

“Namun hakikatnya tiada apa yang perlu ditunjukkan kerana kes ini (liwat) merupakan masalah individu dan rakyat sepatutnya tidak diheret sama,” katanya.

Mahkamah Persekutuan hari ini menyambung hari kedua prosiding rayuan akhir Anwar yang ditudu meliwat bekas pembantu peri­badinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/penganjur-perhimpunan-tidak-mohon-permit-1.18614#sthash.vA290Jjk.dpuf


Wednesday, 29 October 2014

POLITIK : Mana kelibat VC, TNC Akademik, HEP UM?

OLEH ZULKIFLI JALIL (PENGARANG@UTUSAN.COM) | 29 Oktober 2014 12:59 PM


Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Tan Sri Prof Dr Ghauth Jasmon (kiri) menyerahkan dokumen serah tugas kepada penggantinya yang baru Datuk Prof Dr Mohd Amin Jalaludin (kanan) pada Majlis Serah Tugas di Pejabat Canselor Universiti Malaya di sini hari ini.

PIHAK berkuasa harus belajar dari isu yang terjadi di Universiti Malaya (UM) malam kelmarin.

Dakwa Persatuan Mahasiswa UM, pihaknya telah berjumpa dengan Naib Canselor (VC), Prof. Datuk Dr. Mohd. Amin Jalaludin (gambar) pada tengah hari hari berkenaan. Tetapi pentadbiran universiti itu dikatakan tetap enggan membenarkan program yang dihadiri Anwar Ibrahim itu. Namun program yang jelas bermotif politik itu akhirnya dijayakan juga di Dataran Dewan Tunku Canselor.

Mengapa program seperti ini boleh dibenarkan? Mana perginya kelibat ketegasan VC, Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan TNC Akademik UM? Adakah sukar sangat hendak mengekang anak muda yang mengetuai persatuan mahasiswa terbabit?

Perlakuan pelajar mengetepikan nasihat pentadbiran universiti tidak patut berlaku sekiranya ditangani dari awal lagi.

Apatah lagi nada keangkuhan presiden persatuan mahasiswanya ‘kalau berani pecatlah saya’ yang nampak sangat kedangkalannya dalam meluahkan kenyataan itu. Dalam sibuk pelajar-pelajar Cina dan India menelaah pelajaran untuk mencapai keputusan akademik terbaik, anda sendiri tidak tahu ke mana hala tuju anda.

Adakah kemungkinan dalam isu ini, VC tidak mahu pening kepala, kemudiannya menyerahkan kepada TNC HEP untuk membuat keputusan membenarkan atau tidak program ‘40 Tahun: Dari Universiti Malaya ke Penjara’ itu. Dan TNC HEP terpaksa ‘ambil langkah selamat’ buat laporan polis sebagai jalan keluar.

Belum pun isu ‘kajian penyelidikan’ Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya UM (UMcedel) yang tercetus baru-baru ini selesai, kelmarin satu lagi isu timbul di universiti sama.

Bagi mengelak pelajar termasuklah anak muda yang mengetuai persatuan mahasiswa di UM terikut-ikut mahu meniru ‘rentak pemberontak dan mengejar populariti’ dan akhirnya merosakkan institusi tempat anak Melayu belajar menimba ilmu, sesuatu perlu dilakukan.

Siasat dan banteraslah sentimen pembangkang yang telah dan sedang menular di sebilangan universiti.

Di UM sendiri, VC terbabit perlu menyiasat adakah pegawai yang diamanahkannya benar-benar bertanggungjawab menjalankan peranan mendidik. Adakah pegawai yang berdamping dengannya sebagai rakan teh tarik, berperilaku umpama ‘gunting dalam lipatan’.

Periksalah apa muslihat mereka. Mereka nampakkan cara menghalang tetapi hakikatnya mereka seperti mahu program berkenaan diteruskan.

Andai pengurusan UM mengambil jalan untuk ‘Blackoutkan’ UM, ia umpama tindakan yang memberi persepsi buruk kepada kerajaan.

Sepatutnya VC UM bertegas untuk tidak mengheret UM dalam episod dianggap menghina mahkamah. Adakah VC UM seakan-akan mengikut telunjuk orang lain?

Kepemimpinan universiti yang tidak boleh berdepan dengan mahasiswa serta isu-isu sekelilingnya tidak seharusnya terjadi.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mana-kelibat-vc-tnc-akademik-hep-um-1.18160#sthash.G5sS6Gy6.dpuf



Thursday, 9 October 2014

POLITIK : Tindakan tegas terhadap Kuan Yau


HEW KUAN YAU

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Kerajaan digesa mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap ahli DAP, Hew Kuan Yau yang telah menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan China dalam satu demonstrasi besar-besaran di Hong Kong baru-baru ini.

Presiden Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong berkata, dalam demonstrasi anjuran penunjuk perasaan prodemokrasi yang menuntut demokrasi sepenuhnya daripada kerajaan China itu, Kuan Yau telah memberi tanggapan buruk terhadap kerajaan apabila memegang sekeping kertas tertera perkataan 'Malaysia Solidarity With Hong Kong' atau Solidariti Malaysia Bersama Hong Kong.

Menurut Lum Yong, walaupun bebas menyertai mana-mana demonstrasi sekalipun dibuat di luar negara, namun Kuan Yau tidak berhak menyampaikan mesej atau mengeluarkan kenyataan peribadi dengan menggunakan nama Malaysia.

"Mesejnya itu menunjukkan seolah-olah seluruh rakyat Malaysia menyokong demonstrasi tersebut dan berita mengenainya telah disiarkan di media-media antarabangsa," katanya.

``Hal demikian sudah tentu akan menimbulkan salah faham kerajaan China terhadap Malaysia sekali gus menjejaskan dasar negara yang tidak mencampuri hal ehwal negara lain serta hubungan baik kedua-dua negara,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas gambar yang dimuat naik di laman Facebook Kuan Yau pada 6 Oktober lalu yang menunjukkan bekas Ketua Publisiti DAP itu menyertai satu demonstrasi dipercayai di Hong Kong dengan memegang sekeping kertas tertera perkataan 'Malaysia Solidarity With Hong Kong'.

Dalam pada itu, Lum Yong menyifatkan perbuatan Kuan Yau itu sebagai tidak tahu malu apabila cuba mewakili kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia untuk mencampuri urusan negara lain.

Sementara itu, cubaan untuk mengesahkan perkara tersebut dengan Kuan Yau sendiri gagal apabila beliau meletakkan gagang sebaik sahaja mengetahui panggilan yang dibuat datang daripada Utusan Malaysia.

Kuan Yau yang dikenali sebagai `Superman' dalam kalangan ahli DAP sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila sering menggunakan kata-kata kesat di pentas-pentas ceramah sewaktu kempen Pilihan Raya Umum (PRU) lalu termasuk menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20141009/po_04/Tindakan-tegas-terhadap-Kuan-Yau#ixzz3FbqZfxBv  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Wednesday, 16 July 2014

PDRM, Peguam Negara perlu adil

Oleh TERMIZI CHE ANUAR
pengarang@utusan.com



MOHD. Razlan Muhammad Rafii (tiga dari kanan) dan Rizalman Mokhtar (tiga dari kiri) mengadakan sidang akhbar selepas sesi kawad cam di Ibu Pejabat Polis Pudu di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR

KUALA LUMPUR 14 Julai - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Peguam Negara digesa berlaku adil terhadap semua pihak yang menimbulkan kekacauan dan bukannya mengamalkan 'pendakwaan terpilih' kerana dikhuatiri akan menjejaskan imej kedua-dua institusi tersebut.

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, polis dilihat bertindak cemerlang dalam kes membabitkan dirinya yang berhimpun di hadapan ibu pejabat DAP, di Jalan Pudu bagi membantah tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Delima, RSN Rayer menyebut UMNO celaka 22 Mei lalu.

Bagaimanapun, katanya, apa yang terjadi dengan kes-kes perhimpunan haram lain yang lebih ganas berlaku sebelum ini seperti perhimpunan Bersih 3.0.

"Malah ada gambar-gambar perusuh Bersih 3.0 seperti disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 29 April 2012, termasuk mereka yang memukul polis, tetapi apa tindakan polis terhadap mereka itu? Adakah mereka menghadiri kawad cam dan didakwa seperti yang dilakukan kepada kami?

"Janganlah ada tindakan memilih seperti ini hanya untuk memperlihatkan polis melakukan sesuatu terhadap satu pihak dan satu pihak lagi polis berdiam diri seolah-olah mereka itu kebal daripada undang-undang," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju bagi menghadiri sesi kawad cam bagi kes tersebut di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar; Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO, Sheikh Nafiq Alfirdaous dan Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat.

Mengulas lanjut, Mohd. Razlan juga mempersoal sama ada tindakannya berhimpun di hadapan pejabat DAP itu mengancam keselamatan berbanding mereka berdemonstrasi di Dataran Merdeka.

"Saya berjalan bersama 300 orang tutup jalan tidak sampai setengah jam. Tetapi mereka yang tutup Kuala Lumpur selama 12 jam tidak nampak ada pendakwaan atau didenda.

"Kami akan memberi sepenuh kerjasama kepada pihak polis tetapi pada masa sama polis juga perlu mengambil tindakan sama terhadap semua yang mengganggu keselamatan awam lain," jelasnya.

Dalam pada itu, Sheikh Nafiq Alfirdaous memberitahu, pihaknya komited untuk membantu kesemua mereka yang terlibat dalam kes tersebut.

"Semua pihak perlu diberi hak serta peluang yang saksama bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi perundangan dan penguatkuasaan di negara ini.

"Kami juga turut melantik SukaGuam bagi menasihatkan semua urusan berkaitan hal ehwal perundangan berkaitan kes ini," jelasnya
.Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140715/po_04/PDRM-Peguam-Negara-perlu-adil#ixzz37cO8B1LP  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Tuesday, 8 July 2014

Tidak mustahil 13 Mei 1969 berulang - TPM


MUHYIDDIN Yassin menyerahkan bantuan kepada anak-anak yatim pada majlis penyerahan zakat, bantuan dan berbuka puasa di Masjid Jamek Haji Yaakob, Lenga dekat Pagoh, Muar, semalam.

PAGOH 4 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peristiwa rusuhan kaum yang pernah tercetus pada 13 Mei 1969 boleh berulang jika perpecahan dalam kalangan rakyat tidak dapat dibendung manakala Perlembagaan negara terus dipersoalkan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perbalahan kaum ketika ini sudah menjadi kebiasaan apabila satu kaum mengkritik kaum lain dan perbuatan itu adalah bertentangan dengan adat, budaya dan tatasusila rakyat negara ini.

"Sebab itu timbul pelbagai andaian apabila hubungan kaum sudah sampai ke tahap cetus ketegangan dan hubungan tidak baik. Ini boleh menyebabkan peristiwa tersebut dan saya tidak mahu sebut tarikh itu (13 Mei 1969).

"Sebab itu kita harus lihat kembali apa yang dilakukan pejuang kemerdekaan. Kita sudah hampir 57 tahun merdeka dan berupaya membentuk masyarakat Malaysia yang bersatu padu. (Sebelum ini) memang ada perbezaan dan salah faham tetapi tidak sehingga kita berbalah atau berlaku perpecahan," katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang di Masjid Jamek Haji Yaakob, Lenga, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr. Saharudin Md. Salleh; ADUN Bukit Serampang, Ismail Mohamed dan Naib Presiden Bank Rakyat Wilayah 4 (Melaka/Johor), Azman Abd. Aziz.

Dalam majlis tersebut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut menyampaikan zakat perniagaan daripada Bank Rakyat berjumlah RM100,000 kepada surau dan masjid serta fakir miskin dan anak yatim di daerah ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, hubungan antara kaum diburukkan lagi apabila media sosial seperti Facebook, Twitter dan blog yang tidak bertanggungjawab menyebarkan cerita-cerita tidak benar selain ditokok tambah kepada umum.

Menurutnya, rakyat perlu menapis sebarang berita atau khabar angin yang didengar menerusi Internet kerana tidak semua yang disampaikan adalah benar malah kerajaan tidak dapat mengawalnya secara keseluruhan.

Muhyiddin berkata, apabila perbalahan tidak dapat dibendung, maka akan berlaku kucar-kacir kerana hubungan antara kaum tidak seperti dahulu apabila mereka saling tidak mempercayai dan mencurigai antara satu sama lain.

"Saya sendiri sebagai Timbalan Perdana Menteri setiap malam sebelum tidur memikirkan macam mana nak uruskan negara. Ada orang hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya, apa nak jadi dengan Melayu, kenapa Islam dihina dan hal-hal yang sama.

"Mengapa hal-hal sebegini berlaku dan ini membimbangkan kita. Kita semua perlu balik ke pangkal jalan. Letakkan agama sebagai tonggak dan kekuatan kita sebagai orang Islam begitu juga budaya dan adat resam kita," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan sedang memikirkan pendekatan terbaik iaitu dengan mengadakan pertemuan dengan pemimpin kaum dan agama dalam satu majlis untuk sama-sama membincangkan masalah tersebut.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak mahu negara ini menjadi kacau-bilau seperti yang berlaku di negara Islam seperti Syria, Iraq, Mesir dan Libya.

Dalam perkembangan lain, beliau mahu umat Islam di negara ini sentiasa bersatu-padu dan kembali kepada ajaran agama yang sebenar dalam usaha menangani pelbagai cabaran pada masa kini.

Katanya, cabaran dihadapi umat Islam bukan sahaja dicetuskan oleh orang bukan Islam malah umat Islam sendiri terutamanya mereka yang ingin mengembangkan pemikiran, ideologi dan fahaman bertentangan.