Orang Biasa aje, "Tell me and I'll forget; show me and I may remember; involve me and I'll understand." Pentingnya ILMU untuk di pelajari dan di kongsi bersama....Yang baik jadikan tauladan dan yang buruk jadikan sempadan....
Showing posts with label PERLEMBAGAAN. Show all posts
Showing posts with label PERLEMBAGAAN. Show all posts
Monday, 18 April 2016
CELAH GELEGAR - Mencari Kebenaran Yang Sebenar: Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan HANYA Ada 4 B...
CELAH GELEGAR - Mencari Kebenaran Yang Sebenar: Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan HANYA Ada 4 B...: Tulisan : Buzze Azam Saya tidak melihat keputusan kerajaan ini di buat semata2 utk membeli jiwa pengundi di Sarawak tetapi lebih kepad...
Thursday, 1 October 2015
KUASA UNDI SURVIVAL POLITIK
ZULKIFLI JALIL | 01 Oktober 2015 1:05 AM
KUASA sebagai pengundi menjadi penentu sur vival mana-mana par ti politik terutama dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang dijadual berlangsung pada 2018. – GAMBAR HIASAN/BERNAMA
DALAM sibuk-sibuk berhimpun, sampai lupa ‘dunia’ realiti. ‘Dunia’ realiti yang dimaksudkan penulis adalah ‘sudahkah mendaftar sebagai pengundi buat mereka yang berhimpun sama ada dalam himpunan berpermit mahupun sekadar demonstrasi jalanan?
Berhimpun dalam situasi sekarang dalam maksud yang hampir adalah kecenderungan kepada politik, tidak kiralah memihak parti kerajaan atau pembangkang. Tiada gunanya sekumpulan besar orang berhimpun kalau nama mereka pun tidak tersenarai pengundi berdaftar.
Dalam konteks ini, izinkan penulis menggamit perhatian orang Melayu termasuk orang UMNO betapa kuasa atas kertas undi lebih bernilai dan realistik berbanding apa sahaja perlakuan berpolitik. Kuasa pengundi berada di tempat pertama berbanding perbuatan atau perilaku menyuarakan sesuatu isu semasa.
Kisah Kabinet Malaysia hakikatnya banyak berpaut kepada kisah UMNO kerana kepimpinan Kabinet disediakan oleh UMNO. Perkara ini mempunyai alasan yang mudah kerana UMNO membekalkan jumlah bilangan besar dalam keahlian Dewan Rakyat. Untuk memiliki Kabinet, perlulah menewaskan UMNO.
Oleh itu, selagi UMNO mengekalkan status quo kekuatan dan pengaruhnya yang sekali gus menikmati sokongan popular orang Melayu, Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai pilihan melainkan untuk melantik seorang Presiden UMNO untuk mengetuai Kabinet sebagai Perdana Menteri.
Namun, perlu diingatkan sekali lagi, tanpa kuasa sebagai pengundi berdaftar yang disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ahli UMNO, waima pemimpin kanan parti itu sekali pun tidak akan bermakna apa-apa dalam politik penentu parti memerintah.
Dan itu belum lagi yang liat untuk mendaftar, bahkan telah mendaftar pun, masih malas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Ini berbeza dengan kaum lain, yang akan terpacul seawal pagi lagi yang belum pun pusat pengundian dibuka - untuk berlumba-lumba membuang undi dalam usaha memenangkan calon mereka.
Orang Melayu termasuk daripada UMNO harus sedar dan mengambil iktibar hal ini. Misalnya, dalam proses pelantikan Perdana Menteri tidak ada disebutkan prasyarat mengenai bangsa atau agama. Ini bermakna bangsa bukan Melayu boleh dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada masa akan datang untuk menjadi Perdana Menteri, iaitu selagi beliau dapat menguasai keyakinan ahli-ahli Dewan Rakyat.
Hakikat bahawa ini tidak pernah berlaku sebelum ini tidak bermakna bahawa ia tidak boleh atau tidak akan berlaku pada masa depan terutamanya apabila keadaan politik yang berubah-ubah di Malaysia. Ini kelak memungkinkan akan timbulnya beberapa orang lain yang boleh mendapat keyakinan Dewan.
Perkataan keyakinan di sini jelas merujuk seseorang yang memimpin parti dengan bilangan ahli-ahli dalam Dewan Rakyat yang terbesar. Keyakinan pada bahagian Yang di-Pertuan Agong pula tidak boleh membawa pengertian selain itu atau dalam konteks yang dibuat walaupun terikat dengan perkataan ‘pada pendapat beliau’ yang menandakan penentuan subjektif.
Mengikut makna konteks, walaupun beliau menggunakan fakulti subjektif dalam artikel itu, aplikasi tidak terkawal mengenai niat subjektif tidak boleh digunapakai. Jika berlaku pada masa akan datang, satu keadaan apabila pemimpin dua buah parti sama popular, sama kuat serta mempunyai jumlah perwakilan yang agak sama di Dewan Rakyat, Yang di-Pertuan Agong akan terperangkap dalam kedudukan yang sukar.
Adakah baginda akan menggunakan kayu pengukur berdasarkan atas bilangan wakil-wakil untuk menyukat kekuatan dan sokongan para pemimpin parti-parti yang berkaitan? Atau mungkinkah baginda akan bertitah dan menentukan bahawa ‘pada pendapatnya’ seorang pemimpin lain mendapat keyakinan Dewan - mungkin pada ciri-ciri kekuatan wataknya, baik akhlaknya dan lain-lain sifat.
Hanya masa akan menentukan kerana peruntukan ini tidak pernah diuji sebelum ini walaupun terdapat pendapat yang berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa baki untuk berbuat demikian. Dan pihak mahkamah akan menjadi pengadil sekiranya perkara ini diuji pada satu tarikh di masa akan datang.
Di mata dunia, Malaysia masih boleh dengan yakin mempertahankan bahawa ia tidak mengamalkan kecenderungan diskriminasi di bawah undang-undang pelantikan kuasa eksekutif. Ini adalah mengikut keadaan semasa kesan Perlembagaan yang ada. Namun ia, tertakluk kepada kemungkinan ia akan dipinda pada satu masa kelak.
Hakikatnya Artikel 43 bukanlah salah satu artikel-artikel yang memerlukan majoriti dua pertiga dan sokongan kedua-dua majlis Parlimen untuk diluluskan bagi maksud pindaan. Mana-mana parti politik yang mempunyai kedudukan majoriti mudah di Dewan memang boleh mencetuskan proses meminda peruntukan dalam Artikel 43 yang mana terletaknya pangsi ketua eksekutif negara.
(Perdana Menteri dilantik di bawah Artikel 43(2) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa pelantikannya hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat sebelum pembentukan sebenar Kabinet, iaitu yang pada pendapat beliau (baginda) dapat menguasai kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan).
Kuasa sebagai pengundi menjadi penentu survival mana-mana parti terutama dalam pilihan raya umum ke-14 yang dijadual dilangsungkan pada 2018.
Sekitar 2011 telah timbul perdebatan bahawa walaupun statistik penduduk Pulau Pinang menunjukkan peratusan orang Melayu mengatasi kaum Cina, masing-masing 42.05 peratus dan 40.92 peratus, namun pengundi Cina lebih ramai daripada pengundi Melayu.
Itu belum lagi dikira pada masa ini yang jika direkodkan daripada SPR, nescaya kita akan menemukan satu data yang memeranjatkan dari segi komposisi pengundi. Jika dulu ‘mereka’ mendominasi bandar-bandar, kini ‘mereka’ berada di pinggir bandar dan tidak lama lagi pasti menerobos mendominasi luar bandar dan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Jangan salahkan sesiapa. Pokok pangkalnya tanya diri sendiri. Siapa yang komited, rajin dan berdaya saing terutama memastikan nama tersenarai dalam daftar pengundi sahaja yang boleh survive.
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/kuasa-undi-survival-politik-1.141613#sthash.wfR0apgE.dpuf
Wednesday, 30 September 2015
dinturtle - Blogger PARTI MELAYU: Undi Tidak Percaya - Tun Mahathir Bidas Speaker ! ...
dinturtle - Blogger PARTI MELAYU: Undi Tidak Percaya - Tun Mahathir Bidas Speaker ! ...: astroawani Sebelum ni dah heboh mengenai cadangan Tun Mahathir yang mahu Usul Undi Tidak Percaya dibawa ke sidang Parlimen sebagai salah...
Tuesday, 8 September 2015
PARLIMEN : Tiada usul undi tidak percaya – Pandikar
08 September 2015 1:39 AM
Pandikar Amin Mulia (kanan) bersalaman dengan sebahagian daripada peserta AIPA ketika hadir merasmikan mesyuarat Ahli Parlimen Wanita ASEAN di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Doris Sophia Brodi (dua dari kanan). utusan/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN
KUALA LUMPUR 7 Sept. – Dewan Rakyat tidak menerima sebarang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada mana-mana ahli Parlimen termasuk wakil rakyat pembangkang sehingga kini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, keperluan bagi mempertimbangkan perkara itu hanya wujud sekiranya terdapat usul dan selaku Speaker, beliau berkuasa mutlak sama ada mahu menerima atau menolak
“Saya hanya akan mempertimbangkan sekiranya ada pihak yang tampil mengemukakan usul itu,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Agung Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) Ke-36 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan pembangkang yang menuntut sidang tergempar Dewan Rakyat diadakan bagi membolehkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibentangkan.
Tindakan pembangkang itu dibalas dengan kecaman oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said kerana ujarnya, usul berkenaan bercanggah dengan Perkara 43 (a) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam perkembangan yang sama, Pandikar Amin berkata, tiada mana-mana menteri atau ahli Parlimen yang boleh bertindak melebihi kuasa Speaker dalam menentukan usul yang layak dibentangkan.
Malah katanya, Perdana Menteri sendiri tidak mempunyai kuasa dalam menentukan perkara itu kerana hanya Speaker layak membuat keputusan.
“Saya dapati beberapa pihak termasuk pemimpin pembangkang, Lim Kit Siang memberi penerangan tidak tepat. Demokrasi bersandarkan Perlembagaan dan peraturan Parlimen di bawah Perkara 62,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tiada-usul-undi-tidak-percaya-8211-pandikar-1.133101#sthash.9jKsNe6i.dpuf
Thursday, 19 March 2015
Teliti hukum hudud terlebih dahulu sebelum dilaksanakan
19 Mac 2015 2:19 AM
KUALA LUMPUR 18 Mac – Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 atau hukum hudud perlu diteliti dengan lebh terperinci kerana membabitkan banyak persoalan Perlembagaan yang perlu diselesaikan sebelum dapat dilaksanakan.
Shamrahayu Ab. Aziz
Pakar undang-undang perlembagaan, Prof. Shamrahayu Ab. Aziz berkata, terdapat banyak cabaran memandangkan wujud ruang-ruang dari sudut perundangan yang boleh dicabar dengan mudah oleh pihak yang tidak bersetuju dengan hukum ini.
“Enakmen tersebut jelas tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Contohnya dari segi kesalahan seperti keselamatan awam iaitu membunuh, mencuri dan merompak yang termaktub kesalahannya ini di bawah kuasa Persekutuan.
“Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya mempunyai kuasa bagi kesalahan seperti murtad, minum arak dan berzina sahaja. Bagaimanapun, hukuman yang ditetapkan melampaui bidang kuasa mahkamah syariah.
“Justeru, kita bimbang situasi ini akan memberi peluang kepada individu-individu yang tidak berpuas hati untuk mencabarnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kerajaan Pas Kelantan hari ini membentangkan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 dalam sidang DUN walaupun mendapat tentangan daripada rakan sekutunya, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sementara itu, Shamrahayu berkata, fasa seterusnya ialah untuk mendapatkan kebenaran meluaskan kuasa negeri menerusi Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan agar dapat mencakupi hukuman bagi kesalahan bunuh, mencuri dan merompak yang terdapat dalam enakmen berkenaan.
Katanya, satu lagi ialah meminda Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) yang sekarang ini hanya memperuntukkan bidang kuasa iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/teliti-hukum-hudud-terlebih-dahulu-sebelum-dilaksanakan-1.71148#sthash.aZ0u7Kwy.dpuf
Wednesday, 4 March 2015
CELAH GELEGAR: UMAT ISLAM PERLU SEDAR, Kafir Harbi DAP & MCA seda...
CELAH GELEGAR: UMAT ISLAM PERLU SEDAR, Kafir Harbi DAP & MCA seda...: Tindakan NGO bukan Islam, termasuk persatuan Kristian dan Buddha membantah pengedaran al-Quran terjemahan dalam beberapa bahasa kepada...
Monday, 19 January 2015
Hubungan kaum, agama semakin rapuh
Tuanku Abdul Halim zahir kebimbangan lihat situasi masa kini
JAMLIAH ABDULLAH | 19 Januari 2015 2:23 AM
Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah (dua dari kiri) berkenan memeriksa perbarisan kehormat pada Istiadat Perbarisan Kehormat Sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-87 di Dataran Balai Besar, Alor Setar, semalam . – BERNAMA
ALOR SETAR 18 Jan. - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini menzahirkan kebimbangan mengenai hubungan antara kaum dan agama dalam kalangan rakyat yang dilihat semakin rapuh.
Titah baginda, sikap toleransi dan hormat-menghormati antara kaum dan agama yang dipelopori sejak merdeka hingga kini seolah-olah tidak diutamakan.
‘‘Dengan izin Allah SWT, beta telah bersemayam di takhta selama 57 tahun. Walaupun pelbagai peristiwa beta saksi sepanjang pemerintahan, beta tidak pernah berasa begini bimbang dengan hubungan antara kaum dan agama yang semakin rapuh.
‘‘Kebebasan dan hak bersuara tanpa batasan akan mengundang reaksi balas daripada pihak yang tersinggung. Malah, Perlembagaan Persekutuan secara jelas digubal untuk mengelak daripada tercetusnya konflik dalam kalangan rakyat.
‘‘Jika rakyat cintakan keamanan dan kedamaian seperti beta, maka gunakanlah kebebasan dan hak bersama ini dengan berhemah,’’ titah Tuanku Abdul Halim dalam Istiadat Menyembah Tahniah dan Pengurniaan Darjah serta Bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-87 di Istana Anak Bukit di sini hari ini.
Teks baginda dibacakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tuanku Temenggong Datuk Seri Diraja Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.
Justeru, Tuanku Abdul Halim bertitah menggesa rakyat tidak mengambil tindakan provokasi yang boleh menimbulkan perbezaan pendapat dan sentimen perkauman.
‘‘Keadaan negara yang aman dan selamat merupakan prasyarat utama bagi meningkatkan aktiviti ekonomi dan menarik masuk pelaburan. Apa yang berlaku di beberapa negara lain boleh dijadikan contoh dan teladan,’’ titah baginda.
Tuanku Abdul Halim turut menzahirkan kebimbangan dengan pembabitan rakyat negara ini dalam kegiatan dan fahaman ekstremisme sehingga sanggup menjadi pengganas berani mati di negara asing.
‘‘Ibu bapa disaran mengawasi anak-anak supaya menghindari mereka daripada terjebak dengan fahaman yang sebenarnya menyimpang daripada ajaran agama sebenar.
‘‘Beta berharap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam akan dapat meneruskan usaha pemantapan fahaman ajaran Islam dalam kalangan rakyat, sekali gus menghindarkan umat Islam daripada tercicir pegangan dan amalan yang sebenar,’’ titah baginda.
Baginda menyeru semua rakyat memastikan projek pembangunan serta kegiatan sosioekonomi yang dirancang tidak menjejaskan alam sekitar, sekali gus menyebabkan bencana alam.
Titah baginda, semua pihak perlu bertanggungjawab memelihara alam sekitar dengan berkesan demi mengelakkan bencana alam seperti banjir di Pantai Timur baru-baru ini.
“Elakkanlah daripada menarah bukit, melakukan pembalakan haram, pembakaran terbuka dan pembuangan sampah yang tidak terkawal,” titah Tuanku Abdul Halim.
Dalam perkembangan lain, Tuanku Abdul Halim turut menzahirkan keinginan untuk melihat cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Sungai Petani oleh kerajaan negeri menjadi kenyataan.
‘‘Adalah diharapkan Kerajaan Persekutuan akan segera meluluskan cadangan kerajaan beta untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.
‘‘Beta yakin pembinaan projek tersebut dapat mencetuskan pertumbuhan ekonomi bagi negeri-negeri di wilayah utara,’’ titah baginda.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/hubungan-kaum-agama-semakin-rapuh-1.49543#sthash.Z3v7gLvw.dpuf
Monday, 22 December 2014
Melayu meringkuk daif kuasa dan mengemis’?
ANALISIS
ZULKIFLI JALIL (PENGARANG@UTUSAN.COM.MY) | 22 Disember 2014 1:49 AM
Ali Abd. Jalil
FAKTA bahawa negara ini adalah asalnya negeri Melayu tetapi dikongsi pembangunannya dan pentadbirannya dengan warga bukan Melayu memerlukan penegasan dan penerimaan.
Pendidikan nasional mesti terasas kepada beberapa prinsip antaranya hak Raja-raja, hak pribumi, bahasa dan budaya Melayu di samping menyatakan hak-hak sah kaum lain diterima.
Jika Dong Zao Dong memekak, UMNO dan Pas mesti berani bersatu menempelak mereka. Jika penulis blog seks Alvin Tan dan aktivis Ali Abd. Jalil menderhakai Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja dan negara ini, seret mereka untuk didakwa cepat dan berkesan.
Jika ada yang mengkhianati dasar pelajaran negara, semua pihak mesti berani ke depan dan bertindak bagi pihak orang Melayu dan Bumiputera. Pemimpin parti-parti Melayu semua peringkat tidak harus lembik, takut-takut, teragak-agak bila berdepan dengan sebarang pencabulan hak-hak asasi kaum.
Perimbangan ini perlu diterima oleh orang Melayu dan bumiputera serta kaum-kaum Malaysia lain.
Mesti dihidupkan budaya berundang-undang mahir, berbicara juga mesti mahir dan menang.
Melayu dan bumiputera harus jangan segan-silu mempelopori keutamaan perjuangannya sekali pun berlainan agama. Bagaimana dilaung, begitulah diamalkan.
Dalam hal ini, fakta politik bilangan (politics of number) mesti dijuarakan, yakni dengan kekuatan 60 peratus Melayu-bumiputera di negara ini, di samping menghormati hak semua pihak, ‘kita jangan takut memperjuangkan dan mengekalkan apa yang hakiki bagi kita’.
Perjuangan hakiki membela Melayu-bumiputera perlu terus diterapkan dalam perjuangan.
Masyarakat bukan Melayu amat teguh budaya bangsa mereka hingga memegang hampir 68 peratus kekayaan negara ini tetapi mereka bebas mengatakan pelbagai cerca dan penidakan konon mereka disisih didiskrimasikan, seolah-olah mereka jadi warga nombor dua atau nombor tiga.
Sedangkan semua maklum Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin kesamatarafan semua warga Malaysia.
Namun, hak-hak keistimewaan seperti yang terjamin di bawah Perkara 153 jangan dipolitikkan kerana hak-hak asas keistimewaan itu bukan sesuatu yang mencabul Perlembagaan negara. Memberi latihan, biasiswa, dermasiswa, galakan ekonomi bagi orang Melayu dan Bumiputera adalah tuntutan Perlembagaan negara yang dipersetujui semua pihak pra 1957,”.
Ramai yang lupa bahawa apa yang ada pada orang Melayu hanyalah sekelumit berbanding apa yang dimiliki kaum-kaum lain.
Dalam hal pemilikan tanah, perniagaan, pelajaran dalam bidang profesional, teknikal, perubatan dan sebagainya, orang Melayu dan bumiputera masih jauh terkebelakang walaupun kejayaan di tahap-tahap tertentu sudah menunjukkan kejayaan.
Dalam sejarah 20 orang terkaya di negara ini, siapa yang berada di barisan 15 pertama. Hanya tiga orang Melayu dalam senarai itu. Dalam berbilion ringgit hartanah, bangunan, saham, industri, siapa yang muncul teratas dan terkaya?
Siapa yang kaya dengan pegangan harta di Pulau Pinang, Kangar, Alor Setar, Ipoh, Kuala Lumpur, Seremban, Johor Bahru, Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching?
Melayu dan Bumikah atau kaum Tionghua?
Kenapa ada orang Melayu khususnya daripada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) segan silu nak berterus-terang dalam hal seperti ini? Dan kenapa pula ada orang segan bercakap pasal toleransi dan agihan kepentingan sebesar itu?
Inilah cabaran-cabaran negara hadapi buat masa depan.
Selagi Melayu tak sedar akan hakikat ini, selama itulah kaum itu akan meringkuk dalam keadaan daif kuasa.
Inilah mungkin ‘analogi’ yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan perihal ‘Melayu mengemis di negara sendiri’.
Dan ini barangkali disedari atau sengaja dibuat tidak tahu oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mahu pula mengajak Dr. Mahathir berdebat hal ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/melayu-meringkuk-daif-kuasa-dan-mengemis-8217-1.39534#sthash.g5tfpXB8.dpuf
Wednesday, 3 December 2014
Perlembagaan selaras hal ehwal Islam semua negeri
RABU, 3 DISEMBER 2014 @ 5:04 AM
Oleh Shamrahayu A Aziz
Keluhuran Perlembagaan secara harfiahnya bermaksud kemuliaan, ketinggian dan keagungan Perlembagaan. Bagi setiap negara yang mempunyai Perlembagaan bertulis, Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara.
Bagi pelajar undang-undang, keluhuran Perlembagaan bermaksud apa juga undang-undang yang tidak selaras dengan Perlembagaan adalah tidak sah. Dalam pentadbiran negara prinsip keluhuran Perlembagaan ini menghendaki setiap aspek pentadbiran hendaklah sentiasa selaras dengan Perlembagaan. Dalam bahasa mudah Perlembagaan sentiasa menjadi kayu ukur kepada semua tindakan, sama ada perundangan atau juga pentadbiran.
Dalam konteks sebuah negara Persekutuan seperti Malaysia, prinsip keluhuran Perlembagaan terpakai sebagai suatu bentuk perjanjian. Dalam Perlembagaan itu termaktubnya persetujuan antara kedua peringkat negeri. Antara lain ia menyatakan pembahagian kuasa antara Persekutuan dan negeri.
Dalam proses mencapai kemerdekaan, dinyatakan dalam Laporan Suruhanjaya Perlembagaan bahawa Suruhanjaya tersebut bertanggungjawab untuk mendraf Perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu dengan menubuhkan sebuah negara Persekutuan yang mempunyai kuasa yang kuat dan negeri menikmati suatu ukuran kuasa autonomi (The establishment of a strong central government with the States and Settlements enjoying a measure of autonomy).
Perincian kuasa autonomi negeri
Dalam konteks kedudukan Islam Perkara 3 menjadi peruntukan dasar tentang Islam sebagai urusan autonomi negeri dan seterusnya meletakkan Islam dalam urusan negeri-negeri. Raja-Raja diisytihar sebagai ketua agama bagi negeri-negeri, manakala Yang di-Pertuan Agong pula dijadikan Ketua Agama bagi negeri baginda sendiri dan bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai raja.
Inilah antara inti pati perjanjian antara Persekutuan dan negeri dalam hal berkaitan agama Islam. Perincian berkaitan kuasa autonomi negeri-negeri berkaitan ini telah disebut, terutamanya dalam Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Walaupun hal ehwal agama Islam dijadikan urusan negeri ini tidak bermakna urusan Islam tidak boleh diselaraskan bagi semua negeri. Perlembagaan juga menyediakan mekanisme untuk hal berkaitan Islam itu diselaraskan bagi negeri-negeri. Maksudnya, Perlembagaan juga memungkinkan hal-ehwal Islam diseragamkan di seluruh negara.
Mekanisme ini dinyatakan antara lain dalam bidang kuasa budi bicara Raja-Raja Melayu menerusi Perkara 38 Perlembagaan.
Perkara 38 ini, antara lain, selain daripada menggabungkan kesemua Raja yang memerintah, termasuk Yang di-Pertua Negeri, meletakkan peranan yang boleh dimainkan oleh Raja-Raja Melayu berkaitan kedudukan Islam. Fasal 38(6)(d) menyatakan perkara ini. "Anggota Majlis Raja-Raja boleh bertindak menurut budi bicara mereka...berhubungan dengan fungsi yang berikut,:.... (d) mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh."
Selain itu Fasal 76(1)(b) dan (c) juga memberi ruang kepada penyelarasan kepada undang-undang Islam di negeri-negeri dengan beberapa syarat yang dikenakan oleh Perlembagaan sendiri, seperti dalam Fasal 76(3).
Akur dengan pembahagian kuasa
Mekanisme Perlembagaan yang disebut dalam peruntukan-peruntukan di atas boleh dijadikan sumber kuasa bagi menambahbaik kedudukan agama Islam dan sistem perundangannya, termasuklah membentuk Mahkamah Syariah pada peringkat Persekutuan.
Itulah yang kita ada dalam Perlembagaan setelah kita mencapai kemerdekaan. Kita bersetuju dalam perkara berkaitan keluhuran Perlembagaan. Kita akur dengan pembahagian kuasa tersebut. Kita tidak menolak prinsip yang meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi dan hal ehwal agama Islam, yang berkaitan dengan kekeluargaan dan peribadi umat Islam diletakkan di bawah urusan negeri. Kita juga faham dengan ketetapan Perlembagaan Persekutuan menjadi penanda aras kepada keabsahan sesuatu undang-undang, termasuk undang-undang Syariah.
Umat Islam negara ini sudah begitu akur dengannya walaupun mungkin ada antara umat Islam yang terdetik mahukan lebih banyak daripada itu.
Setelah menelusuri merdeka lebih daripada 50 tahun umat Islam negara ini tidak sedikitpun membelakangi kedudukan atau ketetapan Perlembagaan itu. Malah, begitu patuh dengan keadaan itu.
Justeru, apabila akur dengan ketetapan Perlembagaan tersebut, umat Islam mahukan pelaksanaan Islam, termasuk ajaran dan perundangannya dilaksana menurut apa sahaja yang ditetapkan oleh Perlembagaan.
Segala apa yang dijamin oleh Perlembagaan hendaklah dipatuhi oleh semua pihak atas dasar keluhuran Perlembagaan. Pematuhan ini penting kerana setiap peruntukan Perlembagaan itu akan hanya berfungsi dengan baik andainya dihormati semua pihak. Pematuhan ini juga akan menambahbaik integrasi antara semua warga Malaysia.
Penulis ialah Felo Utama Pusat Syariah, Undang-Undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Thursday, 20 November 2014
Thursday, 6 November 2014
Bangkit!: Khutbah Pagi Anas Zubedy : Ikut Bila Betul, Betulk...
Bangkit!: Khutbah Pagi Anas Zubedy : Ikut Bila Betul, Betulk...: Anas Zubedy dipetik sebagai berkhutbah pagi ini. Tidak pasti sama ada The Star melaporkannya dengan betul, atau pun mungkin kenyataan sauda...
Thursday, 23 October 2014
POLITIK : Melayu pendatang di Malaya?
ZULKIFLI NORDIN | 23 Oktober 2014 2:18 AM
SAYA mengutuk keras kenyataan Perwakilan Johor dalam persidangan Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Tan Lai Soon baru-baru ini yang mendakwa orang Melayu juga ialah kaum pendatang di bumi Malaya ini sama seperti Cina dan India.
KUALA LUMPUR 07 JANUARI 2014 - Datuk Zulkifli Nordin bercakap pada Sidang akhbar mengenai isu Kalimah Allah di Taman Melawati, di sini, hari ini. Gambar : Abdul Razak Latif / Gambar sahaja.
Dakwaan seperti ini lahir mungkin kerana kejahilan mereka mengenai sejarah Nusantara Melayu dan Malaya ataupun dalam geopolitik dan geobudaya Melayu di Nusantara.
Mendakwa bangsa Melayu datang dari Indonesia dan kemudian berhijrah ke Malaya sebagai pendatang ternyata membuktikan kedangkalan mereka.
Bangsa Melayu sudah menduduki dan mendiami arkipelago Nusantara Melayu yang merangkumi antaranya Indonesia, Selatan Filipina, Selatan Thailand, Brunei, sebahagian Kemboja termasuk Malaya dan Kalimantan sejak sekian lama.
Memandangkan keseluruhan arkipelago ini adalah Nusantara Melayu, maka bangsa Melayu bebas bergerak dalam wilayah ini tanpa keperluan kepada pasport atau apa juga sekatan politik mahupun geografi.
Namun kuasa penjajah barat British dan Belanda telah memecahbelahkan geopolitik dan geografi Nusantara Melayu pada tahun 1824.
Pada 1822, British dan Belanda mengadakan kerjasama ketenteraan untuk menentang pemerintah Perancis Napoleon Bonaparte. Setelah kejayaan kerjasama itu, pada 1824, British dan Belanda mengadakan persefahaman membahagi-bahagikan wilayah jajahan mereka menurut sempadan imaginari mereka sehingga akhirnya menyebabkan wilayah arkipelago nusantara Melayu berpecah-belah; antaranya kawasan barat Selat Melaka di bawah Belanda dan timur Selat Melaka kepada British.
Bermula dari 1824, bangsa Melayu yang sebelum itu bergerak bebas di dalam wilayah arkipelago Nusantara Melayu terpaksa menggunakan pasport untuk memasuki wilayah yang dipisah-pisahkan ini.
Oleh itu, pergerakan bangsa Melayu di dalam wilayah arkipelago nusantara Melayu sebelum 1824 ini tidak boleh disamakan dengan perpindahan kaum Cina ke sini. Mendakwa pergerakan itu sebagai ‘pendatang’ samalah seperti mendakwa mereka yang datang dari wilayah Canton ke Shanghai sebagai imigran!
Pergerakan bangsa Melayu di dalam wilayah arkipelago Nusantara Melayu sebelum 1824 adalah pergerakan biasa bagi mana-mana bangsa di dunia ini yang mendiami wilayah sendiri.
Sebaliknya sejarah mencatatkan nenek-moyang kaum Cina datangnya dari negara China. Itulah hakikat sejarah yang kita tidak boleh nafikan!
Negara China tidak termasuk dalam arkipelago Nusantara Melayu - sebab itu nenek-moyang mereka yang datang ke wilayah Nusantara Melayu dipanggil imigran, sebab mereka melakukan perpindahan benua. Mereka juga tiada pertalian dengan bangsa Melayu sama ada dari segi agama, bahasa mahupun geopolitik dan geobudaya!
Oleh itu mendakwa pergerakan bangsa Melayu di dalam Nusantara Melayu sama seperti perpindahan kaum Cina dari China ke Nusantara Melayu adalah satu putar belit fakta dan sejarah.
Apa pun, pada saya isu seperti ini tidak sepatutnya dimainkan apatah lagi oleh parti komponen BN yang sepatutnya lebih memahami sensitiviti isu sebegini. Adakah mereka mahu menjadi lebih cauvinis daripada DAP? Apakah ini cara mereka mahu meraih populariti politik yang sudah merudum sehingga mengorbankan persefahaman yang telah dibina sekian lama?
Persoalan status anak watan bangsa Melayu ataupun persoalan kewarganegaraan dan nenek moyang kaum Cina dalam negara ini tidak sepatutnya lagi dibangkitkan atau dijadikan bahan politik murahan mana-mana pihak semata-mata untuk meraih undi dan populariti!
Kita perlu menerima hakikat bahawa kini bangsa Melayu, Cina dan India ialah warganegara Malaysia yang terikat dengan persefahaman, aspirasi, semangat dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial untuk bersama-sama membina dan membangunkan tanah air ini ke arah negara maju demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang.
Kita sekarang, Melayu Cina dan India, adalah rakyat dan warganegara Malaysia!
Selagi kita menghormati Perlembagaan Persekutuan dan cuba sedaya upaya untuk hidup berdasarkan persefahaman, aspirasi, semangat dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial, saya percaya kita akan berjaya membina dan membangunkan negara Malaysia tercinta ini setaraf dan mungkin mengatasi negara-negara maju lain di dunia ini!
Kita juga mesti menolak sebarang amalan atau fahaman ekstremisme, fanatik, rasis, cauvinis dan pelampau sama ada perkauman atau keagamaan! Oleh itu, saya mendesak tindakan keras di bawah Akta Hasutan diambil terhadap Lai Soon kerana ucapan seperti itu adalah berbaur hasutan dan menghina bangsa Melayu.
Malahan ucapan seperti ini perlu dihentikan terus kerana ini bukan pertama kali wakil Gerakan membuat dakwaan seperti ini.
Oleh itu, saya juga mendesak Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Kong supaya mengotakan janjinya untuk mengambil tindakan disiplin yang tegas termasuk dipecat sebagai ahli terhadap mana-mana pimpinan atau perwakilan kerana memainkan isu perkauman ini.
Kita berharap kesemua pihak termasuk ahli dan pemimpin Gerakan menghayati saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan Persidangan Gerakan Ahad lalu supaya semua bentuk fanatik dan ekstremisme agama dan perkauman ditolak!
PENULIS ialah bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/melayu-pendatang-di-malaya-1.15855#sthash.maIkoRp9.dpuf
Thursday, 16 October 2014
SEMUT HITAM: MUJAHID DAN SAIFUDDIN NAK JADI BARUA DAPigs???
SEMUT HITAM: MUJAHID DAN SAIFUDDIN NAK JADI BARUA DAPigs???: Itu perkara nyata yang perlu diterima oleh puak - puak pencinta DAPigs tu diluar sana. Itu realitinya perlu dihadam oleh mereka. Hakika...
Monday, 13 October 2014
POLITIK : Perpaduan masa depan MCA - MARI SAMA-SAMA FIKIR...
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my
NAJIB Tun Razak berbual bersama beberapa pemimpin MCA ketika melawat galeri sejarah MCA sambil diperhatikan oleh Liow Tiong Lai (kanan) dan Wee Ka Siong (empat dari kiri) pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-61 di Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR
KUALA LUMPUR 12 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak meminta sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan muridnya ke tahap lebih baik.
Perdana Menteri berkata, langkah itu bagi membolehkan mereka menggunakan bahasa Melayu dengan lancar dalam percakapan.
"Kita harap SJKC belajar bahasa kebangsaan dengan baik, boleh tak? Jangan guna 'gua', 'lu' lagi. Bercakap seperti Presiden MCA. Keseluruhan ucapan dasar beliau dalam bahasa (Melayu), tahniah. Kita hendak macam itulah, lancar bahasa kebangsaannya.
"Orang Melayu pun boleh belajar bahasa Mandarin, anak saya pun belajar bercakap bahasa Mandarin,'' katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-61 di Wisma MCA, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Timbalannya, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan barisan kepemimpinan parti itu serta komponen Barisan Nasional (BN).
Najib yang juga Pengerusi BN berkata, masyarakat Cina tidak perlu bimbang dengan pembelajaran bahasa ibunda di SJKC kerana telah termaktub dalam Perlembagaan dan undang-undang negara.
"Jangan risau mengenai SJKC, ia sudah pun termaktub bahawa hak belajar bahasa ibunda dalam undang-undang negara. Dalam nasional blue print pun ada SJKC. Sebab itu saya bagi peruntukan baharu kepada SJKC dalam bajet kali ini,'' katanya.
Sementara itu, menurut Najib, masa depan MCA kini bergantung sepenuhnya kepada perpaduan ahli dan pemimpinnya.
Berikutan itu, kata beliau, pemimpin MCA perlu merapatkan barisan dan menghentikan sebarang pertelingkahan sesama sendiri bagi mengelakkan rakyat berasa bosan serta parti tersebut kehilangan hala tuju.
Sebagai parti komponen BN, kata beliau, MCA mesti menjadi parti yang kuat dan bersatu sekali gus membantu mengembalikan semula sokongan masyarakat Cina terhadap BN pada pilihan raya akan datang.
"Masa depan MCA bergantung kepada perpaduan. Perlu saling bekerjasama dan kuat bersama-sama. MCA ialah rakan kongsi kami, jangan gaduh sesama sendiri. Sudah-sudahlah,'' katanya yang menyifatkan kewujudan puak-puak dalam parti akan menyulitkan pemilihan calon pilihan raya.
Najib bagaimanapun percaya kepemimpinan baharu MCA di bawah Tiong Lai telah menetapkan hala tuju dan gerakan untuk memulihkan parti berkenaan selain mengajak mereka mengingati sejarah perjuangan pemimpin terdahulu dan memahami asal-usul pembentukan negara, Perlembagaan serta perjanjian kontrak sosial.
Beliau cuba berlaku adil dan mahu melakukan lebih banyak kepada semua kaum tetapi masyarakat Cina juga perlu untuk menyokong BN.
Terdahulu, Tiong Lai dalam ucapannya berkata, MCA membantah pihak yang mencabar atau mempersoalkan kedudukan pendidikan Cina dalam negara ini khususnya desakan agar SJKC dimansuhkan.
Beliau berkata, institusi pendidikan Cina telah melahirkan ramai golongan profesional berkemahiran tinggi dan berkualiti yang menyumbang kepada pembangunan negara.
"Desakan untuk memansuhkan SJKC tidak akan membantu BN meraih sokongan rakyat. Kerajaan harus mengambil tindakan sewajarnya untuk menjamin kesinambungan kepelbagaian bahasa yang terdapat dalam negara kita,'' katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141013/dn_01/Perpaduan-masa-depan-MCA#ixzz3G0DnJOFF © Utusan Melayu (M) Bhd
Bangkit!: Kenyataan Media PEMBELA : Tahniah YB Nancy Shukri ...
Bangkit!: Kenyataan Media PEMBELA : Tahniah YB Nancy Shukri ...: Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, YB Nancy ...
Friday, 10 October 2014
The Selangor Chronicle: Bahagian Mana Yang Menyatakan Persoalan Kewujudan ...
The Selangor Chronicle: Bahagian Mana Yang Menyatakan Persoalan Kewujudan ...: Sekarang ini, para pemimpin bukan Melayu, khususnya dari DAP dan parti komponen Barisan Nasional sendiri, kelihatan amat marah apabila...
Tuesday, 30 September 2014
BICARA PERJUANGAN: SAIFUDDIN ABDULLAH..... INI SOALAN UNTUK KAMU !!!
BICARA PERJUANGAN: SAIFUDDIN ABDULLAH..... INI SOALAN UNTUK KAMU !!!: Berikut disenaraikan 7 soalan untuk kamu.... Saifuddin Abdullah.
Friday, 19 September 2014
The Sense, Credibility and Accountability: PEMIMPIN yang GAGAL mengHUKUM mereka yang menDERHA...
The Sense, Credibility and Accountability: PEMIMPIN yang GAGAL mengHUKUM mereka yang menDERHA...: ASSALAMUALAIKUM dan SALAM SEJAHTERA.. Kita nak TANYA kepada anda SEMUA yang mengaku WARGANEGARA Malaysia samada WARGANEGARA secara ...
Thursday, 4 September 2014
POLITIK : Jangan cabar Perlembagaan, perundangan negara
KUALA LUMPUR 3 Sept. - Pemimpin-pemimpin parti politik di negara ini tidak seharusnya menggunakan kuasa serta pengaruh politik untuk mencabar perlembagaan dan sistem perundangan negara.
Felo Utama Pusat Kajian Syariah Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Shamrahayu Ab. Aziz berkata, pemimpin parti politik sepatutnya bijak menggunakan kuasa untuk membezakan antara kepentingan politik dengan manfaat sesuatu tindakan kepada negara.
Mengulas isu penubuhan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, Shamrahayu berkata, pasukan itu jelas melanggar perundangan dan perlembagaan kerana tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
"Sudah termaktub dalam perlembagaan bahawa kuasa menjaga keselamatan hanya diberikan kepada pasukan keselamatan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan jelas ia adalah hak di bawah kerajaan Persekutuan bukan kerajaan negeri.
"Sebarang perkara melibatkan ketenteraman awam adalah di bawah penyeliaan PDRM. Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin menubuhkan pasukan keselamatan, perlulah merujuk kepada pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan," katanya kepada Bernama di sini semalam.
Shamrahayu berkata, pemimpin politik juga perlu mendidik diri mereka untuk mematuhi perlembagaan dan peraturan negara supaya menjadi contoh kepada rakyat.
"PPS telah mencabar landskap perlembagaan dan perundangan negara. Sekiranya pemimpin sendiri tidak mengikut perlembagaan dan undang-undang sedia ada, maka mereka secara tidak langsung telah menggugat keharmonian dan perpaduan," katanya.
Pada Ahad lalu, polis menahan 156 anggota PPS sebelum dibebaskan kemudiannya atas jaminan polis kelmarin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata tindakan itu disebabkan PPS adalah sebuah pasukan tidak berdaftar dengan ROS dan dianggap sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula dalam kenyataan medianya baru-baru ini dipetik sebagai berkata, kerajaan negeri tetap mempertahankan PPS dan menyifatkan ia sebagai pertubuhan sah yang diluluskan kerajaan negeri sama seperti JKKK.
Lim berkata, PPS bermatlamat membantu kerja bantuan bencana dan kecemasan serta memberikan segala bantuan kepada pihak polis.
Shamrahayu berkata, penubuhan PPS tidak boleh disamakan dengan penubuhan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) kerana jawatankuasa itu ditubuhkan sebagai sebuah organisasi komuniti yang kecil untuk sesebuah kampung dan bukannya berperanan menjaga keselamatan rakyat.
Mengulas kes penahanan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bidang kuasa menjaga keselamatan negeri terletak di bawah kerajaan Persekutuan seperti termaktub dalam perundangan dan perlembagaan negara dan bukannya bidang kuasa kerajaan negeri.
Katanya, berdasarkan laporan yang diterima pihak polis, terdapat anggota PPS yang melakukan tindakan di luar batas seperti memukul, mengugut dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang ramai. - BERNAMA
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140904/dn_03/Jangan-cabar-Perlembagaan-perundangan-negara#ixzz3CJLptl8w © Utusan Melayu (M) Bhd
Wednesday, 3 September 2014
Merdeka bukan bererti bebas menghina orang lain
oleh Hassan Mohd. Noor
PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilaporkan bersedia 'membina semula Gaza' yang musnah akibat serangan Israel. Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon bagaimanapun berkata, pembangunan semula itu adalah buat kali yang terakhir. Beliau bertanya, adakah kita perlu terus begini...bina, musnah dan bina dan musnah? Hanya keamanan berkekalan di Gaza dapat menghentikan kitaran penderitaan di Gaza. PBB boleh membina semula Gaza walaupun kosnya dilaporkan sebanyak RM19.1 bilion. Masjid, rumah, sekolah, hospital, bangunan boleh dibina semula tetapi nyawa manusia akibat pembunuhan beramai-ramai terutama melibatkan kanak-kanak yang sedang membesar bolehkah dikembalikan semula? Setiap sesuatu yang bernama binaan boleh dibina semula walaupun ia tidak sama seperti yang asal. Manusia sebagai arkitek boleh membina sama ada serupa atau lebih baik lagi akibat sesuatu kemusnahan itu. Ia mungkin mengambil masa berbulan-bulan atau setahun dua mengikut kecekapan dan kepantasan manusia bekerja. Begitu juga tanaman dan ternakan yang musnah, boleh dikembalikan dengan penanaman semula.
Bagaimana pula dengan kehilangan anggota badan akibat peperangan? Adakah boleh dikembalikan kepada asal? Adakah kaki atau tangan palsu berupaya berfungsi seperti yang asal? Nyawa tidak ada galang gantinya. Tubuh badan yang cedera atau hilang tidak mampu dikembalikan, sama seperti yang asal. Begitu jugalah dengan perpaduan di dalam sesebuah negara. Bukan mudah untuk 'membina semula' perpaduan yang hancur dalam kalangan penduduk berbilang kaum yang mengamalkan pelbagai budaya dan agama. Kehancuran perpaduan akan membawa kehancuran kepada sesebuah negara. Memetik risalah Rukun Negara terbitan Jabatan Penerangan Malaysia, tanpa perpaduan, negara akan lemah dan boleh mengakibatkan kedaulatan negara terjejas, berlaku huru-hara, rusuhan, pergaduhan kaum dan sebagainya. Rakyat Malaysia yang hebat adalah rakyat yang memegang teguh kepada Rukun Negara. Lima prinsip Rukun Negara sekiranya diamal dan dipraktikkan mampu menjadikan seseorang itu hebat dan seterusnya mengukuhkan kedaulatan negara.
Hari ini selepas 57 tahun merdeka, di manakah kedudukan perpaduan kita? Adakah semakin kukuh atau sedang menuju kehancuran? Selak pernah memperkatakan tentang isu ini di bawah tajuk Kenapa semua ini berlaku selepas 53 tahun negara kita merdeka. Selak menimbulkan persoalan ini dengan bertanya: ''Tanyalah diri anda, adakah kemerdekaan yang berusia 53 tahun ini tidak memberi apa-apa makna kepada ?kebebasan kehidupan selama ini? Selepas 53 tahun, adakah perpaduan kita semakin mantap atau bertambah rapuh dan longgar?''.
Ketika itu, dalam usia 53 tahun, semakin ramai bercakap mengenai hak mereka yang dulunya tidak pernah kedengaran. Dulu tidak ada yang berani mempermainkan lagu Negaraku dan mempersendakan Jalur Gemilang. Satu persatu prinsip Rukun Negara juga cuba diabaikan. Semuanya ini ada puncanya. Banyak perkara yang jijik ?dihalal atau dibolehkan disebabkan politik atau dipengaruhi provokasi politik. Memaki hamun, memfitnah dan macam-macam lagi yang mengaibkan seseorang dibenarkan kerana politik. Hakikatnya peraturan dan adab sopan sudah berubah. Lebih terbuka, lebih moden, lebih bebas berbanding pada masa lalu. Kehadiran pelbagai media sosial menambah 'kebebasan' ini.
Menyelak kembali kelahiran Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun ke-13 kemerdekaan negara, ia lahir selepas Majlis Perundangan Negara merumuskan bahawa satu ideologi yang mampu mengatasi garis pemisah antara kaum perlu diwujudkan. Sebelum itu, hubungan kaum semakin keruh apabila parti-parti politik membuat provokasi antara satu sama lain yang akhirnya membawa kepada pergaduhan dan semakin serius sehingga mencetuskan peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Kesan peristiwa itu, kerajan mencari formula bagi mengatasi masalah pergaduhan kaum supaya ia tidak berulang. Majlis Gerakan Negara (Mageran) dibentuk yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak Hussein, tiga menteri iaitu Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Tun Tan Siew Sin dan Tun V.T Sambanthan. Akhirnya majlis itu merumuskan satu ideologi yang mampu mengatasi garis pemisah antara kaum perlu diwujudkan. Maka lahirlah Rukun Negara. Lima prinsip yang digariskan ialah Kepercayaan Kepada Tuhan; Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang; Kesopanan dan Kesusilaan.
Begitulah lahirnya Rukun Negara. Apakah rakyat masih 'berpegang' kepada prinsip-prinsip Rukun Negara? Sejak kebelakangan ini, ada banyak pihak yang bertindak kurang sopan, kurang ajar, biadap, menunjukkan keangkuhan yang melampaui prinsip Rukun Negara. Ada yang berlagak seolah-olah kuasa di tangan mereka dan tidak perlu tunduk kepada pihak yang lebih berkuasa. Rasanya tidak perlu diulas panjang lebar mengenai isu ini. Orang ramai tahu siapa mereka.
Adakah pada suatu hari nanti, lima prinsip Rukun Negara hanya tinggal hiasan? Hakikatnya, merdeka bukan bererti kita bebas menghina sesiapa sahaja. Dalam kita menegur seseorang, elakkanlah menggelar dengan nama-nama yang kurang baik dan tidak enak didengar sehingga boleh menimbulkan kemarahan. Tidak dinafikan ada pihak yang cuba menimbulkan provokasi bagi menimbulkan kemarahan orang lain. Bertindaklah secara rasional, jangan terdorong oleh perasaan angkuh dan sombong.
Selak juga terpanggil untuk mengulas serba sedikit mengenai apa yang berlaku di Pulau Pinang. Isu Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri pimpinan DAP pada Mei 2011. Tujuan awalnya dikatakan untuk membantu pihak berkuasa keselamatan menangani kegiatan atau aktiviti sosial yang negatif di sesuatu kawasan. PPS dianggotai 937 orang dengan 46 pasukan dan selepas tiga tahun, bilangannya meningkat kepada 9,002 orang dengan 299 pasukan. Dalam tempoh itu, terdapat beberapa aduan daripada orang ramai yang kurang senang dengan PPS yang dilihat mengambil tugas pasukan keselamatan. Terdapat juga dakwaan, anggota pasukan itu mengasari seorang jurugambar dan aktivis sosial mendakwa dipukul. Berikutan aduan aktivis sosial itu, ada juga yang mengaitkan penglibatan PPS dengan gangster tetapi kerajaan DAP menafikannya sebaliknya menyifatkan pertubuhan itu dijadikan 'kambing hitam' oleh individu tertentu untuk mengkritik dasar kerajaan negeri.
Isu ini semakin panas apabila Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar mengeluarkan kenyataan bahawa PPS adalah pasukan yang tidak berdaftar dan dianggap menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan. Beliau menegaskan tindakan menangkap anggota PPS akan dilakukan sekiranya mereka meneruskan aktiviti pertubuhan haram itu.
Dari situ bermulalah serangan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap Khalid. Sesiapa yang mendengar ucapan Guan Eng tentu dapat merasai keangkuhan Ketua Menteri itu dalam menangani isu ini. Tidak sewajarnya seorang yang digelar sebagai pemimpin bertindak demikian. Ini bukan kali pertama, Guan Eng menunjukkan keangkuhannya. Ramai pemimpin yang 'pernah bersamanya' membuat teguran termasuk bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mansor Othman, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, bekas anggota Parlimen PKR termasuk Zahrain Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) dan Wee Choo Keong (Wangsa Maju). Tidak kurang juga kalangan pemimpin parti di peringkat akar umbi.
Mansor pernah menggelar Guan Eng sebagai sombong, angkuh dan tokong. Tunku Abdul Aziz pula menyifatkan Guan Eng sebagai Ketua Menteri yang tidak boleh diusik. Apakah yang sedang berlaku sekarang menunjukkan beliau adalah?ketua menteri yang benar-benar berkuasa seperti slogan yang pernah menjadi kempen pilihan raya umum (PRU) parti itu semasa diterajui oleh Lim Kit Siang? Ketika itu, pada 1995, muncul poster Kit Siang (sebagai Setiausaha Agung DAP) yang tertera perkataan CHIEF MINISTER WITH POWER - Ketua Menteri Dengan Kuasa). Lebih menarik lagi ada watak Robocop menghiasi poster itu. Adakah, masanya kini telah tiba untuk menunjukkan kuasa?
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140901/re_05/Merdeka-bukan-bererti-bebas-menghina-orang-lain#ixzz3CDwjTxnW
© Utusan Melayu (M) Bhd
Subscribe to:
Posts (Atom)












