Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label PDRM. Show all posts
Showing posts with label PDRM. Show all posts

Monday, 7 March 2016

Putra Merdeka: Laporan Polis Terhadap AG..!

Putra Merdeka: Laporan Polis Terhadap AG..!: Kesian Pandi..! ada ajer yang menyebabkan Pandi tak senang duduk..! Ingat ganti Gani boleh menyandar tapi setakat ni duduk kerusi tu pun...

Thursday, 28 January 2016

Monday, 18 January 2016

Putra Merdeka: HOT ~ Menteri Pun Sebar Khabar Angin..!

Putra Merdeka: HOT ~ Menteri Pun Sebar Khabar Angin..!: Apalah nasib rakyat negara ni..!  Polis nafi kenyataan Tengku Adnan Tengku Adnan sebelum ini menamakan Bangsar, Hartamas, Publik...

Tuesday, 24 November 2015

TIAN CHUA ATUR DAN NAFI

Tian Chua atur pertemuan Nurul Izzah-Jacel Kiram

MOHD. AZRAIE MD. YUSOF DAN SOFIAN BAHAROM | 24 November 2015 1:09 AM



Keratan Utusan Malaysia pada 20 November 2015.

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua merupakan individu yang bertanggungjawab mengatur pertemuan antara Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dengan anak perempuan bekas ketua pengganas Jamalul Kiram III, Jacel Kiram.

Beliau berkata, Naib Presiden PKR itu juga merupakan individu yang turut bertanggungjawab menjalankan tindakan secara halus dalam mengatur tuntutan ‘Kesultanan Sulu’ terhadap Sabah sebelum ini.

“Saya harap Tian Chua hati-hati dalam perbuatannya, Tian Chua harus lebih teliti dalam mengatur program untuk pemimpin-pemimpin partinya, Tian Chua jangan sebarangan untuk mengeluarkan kenyataan beliau itu...,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Ekonomi Peringkat Tinggi Malaysia-China, di sini hari ini.

Beliau mengulas pertemuan Nurul Izzah dan Jacel seperti yang tertera dalam beberapa keping gambar yang dimuat naik oleh Jacel dalam akaun Facebook miliknya baru-baru ini.

Mengulas tindakan Tian Chua sebelum ini yang mempersoal adakah pertemuan itu merupakan kesalahan jenayah, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, ia berkaitan soal kedaulatan negara dan undang-undang negara yang perlu dipatuhi.

“Saya telah nyatakan bahawa kita boleh berbeza pendapat, tetapi dalam soal kedaulatan negara, soal maruah negara, harus tak ada kompromi ke atasnya.

Jika ada dalam kalangan rakan dalam parti yang mengatur perjumpaan itu, saya fikir sudah tentu ada tujuan tersirat oleh orang itu yang bertanya kepada saya dan kerajaan apa kesalahan jenayah yang telah dilakukan,” katanya.

Sementara itu di Parlimen, ketika mengulas kenyataan Tian Chua yang menafikan penglibatan beliau dan menganggap pendedahan tersebut sebagai tidak berasas dan tidak bertanggungjawab Ahmad Zahid menegaskan, beliau tidak akan menarik semula pendedahan berhubung penglibatan Naib Pre­siden PKR itu.

Sebaliknya beliau meminta Tian Chua tidak menafikan perkara itu kepada media tetapi memberi ke­nyataan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila dipanggil untuk memberi keterangan selepas ini.

“Sila beri keterangan dan penafian di mahkamah kalau dia mengaku tidak terlibat, saya tidak berhasrat menarik balik kenyataan saya pagi tadi. Beliau jawablah, kerana beliau sahaja yang tahu mengenai perjumpaan di Manila itu.

“Saya nasihatkan tak perlu beliau nafikannya kepada media, sila jawab kepada polis apabila diminta beri keterangan,” katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen hari ini.

Mengenai Nurul Izzah, Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun Ahli Parlimen Lembah Pantai itu telah membuat permohonan maaf, namun perbuatan Nurul Izzah seolah-olah memberi sokongan terhadap perbuatan pengganas Sulu yang menceroboh kedaulatan negara.

“Bagaimana perasaan keluar­ga mangsa yang ditinggalkan, bagaimana pula perasaan rakyat Sabah yang buminya diceroboh, bagaimana pula perasaan tentera dan polis yang usaha mereka untuk mempertahankan negara, seolah-olah tidak dihargai,” tegasnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tian-chua-atur-pertemuan-nurul-izzah-jacel-kiram-1.161792#sthash.nwQKKeEq.dpuf


Tian Chua nafi dalang pertemuan

24 November 2015 1:09 AM

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Naib Presiden PKR, Tian Chua meminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menarik balik pertuduhan mengatakan beliau sebagai dalang pertemuan antara Nurul Izzah Anwar dengan Jacel Kiram, anak perempuan bekas ketua pengganas kumpulan bersenjata Sulu.

Tian Chua

Katanya, tuduhan Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri itu tidak berasas dan tidak bertanggungjawab kerana sebagaimana penjelasan Nurul Izzah sebelum ini, kehadiran mereka di Filipina adalah atas undangan pelbagai parti politik negara itu.

“Saya akan pertimbangkan tindakan selanjutnya. Namun di peringkat ini saya seru supaya Ahmad Zahid tarik balik hujah itu.

“Beliau harus buat penarikan dalam tempoh yang munasabah. Jangan buat seperti insiden Lahad Datu, Sabah yang saya dituduh menghina pa­sukan keselamatan, pengkhianat negara.

Namun pada hari perbicaraan, UMNO tarik balik dakwaan mereka,” katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen hari ini.

Ahmad Zahid selepas Forum Ekonomi Peringkat Tinggi Malaysia-China di ibu negara, hari ini mendakwa Tian Chua mengaturkan mesyuarat Nurul Izzah dengan Jacel.

Dalam pada itu, Tian Chua memberitahu, tujuan perjumpaan di Filipina adalah untuk membawa isu-isu kesedaran rakyat negara itu dan isu hak asasi manusia dan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebagai menteri, Ahmad Zahid sepatutnya mengeluarkan ke­nyataan secara bertanggungjawab. Jika tidak, ia adalah satu hujah yang tidak berasas dan tidak memberi imej yang positif kepada keselamatan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Tian Chua berkata, beliau bersedia dipanggil pihak berkuasa untuk disiasat berhubung perjumpaan tersebut.

“Kita tak ada pilihan kalau dipanggil, kita kena pergi dan beri kerjasama,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tian-chua-nafi-dalang-pertemuan-1.161797#sthash.8G44Ro2C.dpuf


Tuesday, 13 October 2015

Abu Kassim akan jumpa tiga ketua pasukan petugas khas 1MDB

13 Oktober 2015 1:09 AM


Abu Kassim Mohamed (kiri) memakaikan selempang Anugerah Tokoh Pembangunanan kepada Zakaria Jaffar (dua dari kiri) di Akademi SPRM, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN

KUALA LUMPUR 12 Okt. – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan me­ngadakan pertemuan dengan tiga ketua pasukan petugas khas yang bertanggungjawab menyiasat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mereka ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, pertemuan itu bagi mengaktifkan semula peranan pasukan petugas khas tersebut yang turut dianggotai SPRM dalam menyelesaikan hal-hal yang berkaitan dengan 1MDB.

“Pasukan ini penting bagi membincangkan jalan penyelesaian dan keputusan dalam isu-isu yang timbul.

“Kita tidak kisah, kalau ada pertemuan memang saya hendak berjumpa dengan ketua-ketua jawatankuasa khas itu,” katanya selepas Majlis Paluan Berundur dan Persaraan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Seri Zakaria Jaafar di Akademi Pencegahan Rasuah, Jalan Duta, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saranan Zakaria dalam ucapan persaraannya agar pasukan petugas khas itu diaktifkan semula.

Abu Kassim bagaimanapun tidak menyatakan bila beliau akan me­ngadakan pertemuan dengan ketiga-tiga pemimpin pasukan petugas khas berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pe­su­ruhjaya (Pengurusan dan Pro­­fesionalisme) Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Zakaria Jaafar ber­kata, pasukan petugas khas yang di­pertanggungjawabkan un­tuk me­nyiasat isu membabitkan 1MDB perlu diaktifkan semula bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan berkesan.

Zakaria yang bersara wajib hari ini berkata, sebuah panel khas perlu diwujudkan bagi mengkaji hasil siasatan yang berkaitan dengan isu 1MDB agar segala keputusan diambil adalah adil tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

“Panel khas itu perlu dianggotai seorang bekas Peguam Negara, seorang bekas hakim dan seorang wakil daripada Majlis Peguam bagi menjalankan kajian terhadap keputusan siasatan yang melibatkan SRC International, dana RM2.6 bilion dan 1MDB.

“Peguam Negara mempunyai kuasa untuk melantik mana-mana pihak yang layak untuk bertindak membuat keputusan sama ada wujud kes atau tidak untuk didakwa di mahkamah. Perkara ini pernah dilakukan semasa bekas Peguam Negara disiasat oleh SPRM pada empat tahun lepas,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/abu-kassim-akan-jumpa-tiga-ketua-pasukan-petugas-khas-1mdb-1.145922#sthash.7Ry0fbkl.dpuf


Friday, 9 October 2015

CELAH GELEGAR: [ZALIM] Dulu Dia Pimpinan Tertinggi Polis Cawangan...

CELAH GELEGAR: [ZALIM] Dulu Dia Pimpinan Tertinggi Polis Cawangan...: PETALING JAYA: Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB) Datuk Abdul Hamid Bador berkata, beliau tidak akan menarik diri daripada terus...

Penguat kuasa MBPP dihina _ Betul kata Tajuddin LEMPANG AJE

Video dua pemuda bertindak biadab menjadi viral

MOHD. KHUZAIRI ISMAIL | 09 Oktober 2015 1:02 AM



SEORANG lelaki mencampakkan wang kompaun serta mengherdik anggota penguat kuasa MBPP yang terpaksa mengutipnya ketika rakan lelaki itu cuba membuka kunci pada tayar kereta dalam rakaman video yang menjadi viral di internet.

PULAU PINANG 8 Okt. - Ahli-ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menggesa pihak berkuasa me­nyiasat segera perbuatan biadab dua pemuda Cina terhadap anggota penguat kuasa mereka yang sedang melakukan tugas dalam kejadian di Lebuh Campbell di sini, kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Sambil melahirkan rasa kesal, wakil mereka, Mohd. Yusoff Mohd. Noh berkata, tindakan kurang ajar dua pemuda berkenaan yang membaling wang kompaun serta mencaci penguat kuasa wanita MBPP itu dengan perkataan `anjing’ jelas merupakan perbuatan tidak bertamadun.

Menurutnya, perbuatan itu juga boleh disifatkan sebagai cubaan mengganggu penjawat awam menjalankan tugas dengan baik serta memalukan anggota penguat kuasa di tempat awam.

Malah, jelas beliau, tindakan pemuda berkenaan yang cuba membuka sendiri kapit roda atas ke­salahan meletakkan kereta di laluan pejalan kaki juga merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Sepatutnya jika mana-mana pihak yang disaman tidak berpuas hati dengan tindakan yang dikenakan, mereka boleh membuat aduan terus kepada MBPP.

“Bukannya berkelakuan biadab dengan mencaci anggota penguat kuasa dan menghina mereka de­ngan mencampakkan wang kompaun seperti dilakukan pemuda berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kejadian tiga penguat kuasa MBPP yang diherdik dengan perkataan kesat oleh dua pemuda Cina kerana tidak berpuas hati selepas kenderaan mereka dikunci kerana kesalahan meletakkan kereta di laluan pejalan kaki.

Dalam rakaman kejadian itu yang tersebar di Internet hari ini, kedua-dua pemuda berkenaan dalam keadaan marah pada awalnya cuba membuka sendiri tayar yang dikunci anggota penguat kuasa MBPP berkenaan.

Bagaimanapun, mereka akhir­nya mengalah apabila salah seorang daripada mereka membayar kompaun kesalahan tersebut tetapi de­ngan mencampakkan wang ke lantai sebelum dikutip penguat kuasa MBPP wanita berkenaan.

Video berdurasi dua minit itu mengundang rasa marah dan kurang senang orang ramai yang menyifatkan tindakan pemuda berkenaan sebagai melampau dan menghina penjawat awam.

Malah, majoriti mereka menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap kedua-dua pemuda berkenaan sebagai pe­ngajaran kepada pihak lain supaya tidak sewenang-wenangnya memperlekehkan penjawat awam.

Sementara itu, Mohd. Yusoff melahirkan rasa bangga dengan sikap tenang ketiga-tiga anggota pe­nguat kuasa MBPP berkenaan dalam berdepan situasi tersebut.

Dalam masa sama, beliau menggesa orang ramai memahami serta menghormati bidang tugas penguat kuasa MBPP yang perlu bertindak ke atas kesalahan pemandu yang jelas menyusahkan pihak lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada salah seorang penguat kuasa MBPP berkenaan semalam.

Sehubungan itu, menurut beliau, polis akan menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana cuba menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/penguat-kuasa-mbpp-dihina-1.144493#sthash.CXpKQTW4.dpuf


Friday, 18 September 2015

JENAYAH : Kami tidak gentar’

AZMAN IBRAHIM | 18 September 2015 1:32 AM


KERATAN Utusan Malaysia semalam.

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Susulan kes pembunuhan Anthony Kevin Morais, Jabatan Peguam Negara me- negaskan pihaknya tidak akan tunduk dan gentar dengan tindakan pengecut yang mengugut mana-mana pegawainya.

Menurut jabatan itu, peraturan undang-undang sedia ada tidak dibenarkan menggugat tanggungjawab pihaknya jika Malaysia mahu menegakkan sistem demokrasi berparlimen.

Malah, Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan di sini, menggesa pihak polis untuk menyiasat secara terperinci kes pembunuhan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan jabatan itu bagi membolehkan pelaku jenayah itu didakwa.

“Jabatan Peguam Negara mahu melihat keadilan dan rasa kebertanggungjawaban dilakukan dalam kes berkenaan.

“Sementara menghormati pemisahan fungsi antara penyiasat dan pendakwa, kami dengan tegas menggesa pihak polis untuk menyiasat secara menyeluruh kes ini bagi membolehkan dalangnya dikenal pasti, ditemui dan didakwa berlandaskan pematuhan undang-undang sepenuhnya.

“Ini sekurang-kurangnya apa yang dapat jabatan ini lakukan untuk membalas jasa salah seorang pegawai kami yang telah berkhidmat kepada negara dengan rasa bangga, profesional, penuh dedikasi serta komited sama ada di dalam dan luar negara,” kata kenyataan itu.

Kevin, 55, kali terakhir dilihat meninggalkan kondominiumnya di Menara Duta di sini pada 4 September lalu untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan memandu kereta Proton Perdana berwarna kelabu yang memakai nombor pendaftaran WA 6264 Q.

Semalam, mayat beliau ditemukan di dalam tong berisi konkrit berhampiran Sungai Klang di Persiaran Subang Mewah, taman perumahan USJ1.

Pihak polis percaya pembunuhan Kevin mungkin bermotifkan balas dendam berhubung perbicaraan yang dikendalikan melibatkan seorang doktor di hospital tentera.

Doktor berumur 52 tahun itu adalah antara tujuh suspek yang sedang direman berhubung kes pembunuhannya.

Tambah Jabatan Peguam Negara, Kevin melambangkan perumpamaan melakukan pendakwaan tanpa rasa takut dan memihak sepanjang kerjayanya yang panjang dan cemerlang.

Jabatan tersebut turut menyampaikan takziah kepada keluarga Kevin atas kematiannya dalam melaksanakan tugas rasmi demi menegakkan keadilan dan undang-undang.

“Kehilangannya amat dirasai buat jabatan sama ada secara profesional atau peribadi dalam kalangan sahabat dan rakan-rakan sekerjanya di sini,” katanya.

Menurut jabatan itu, pegawai kanan jabatan dan rakan-rakan Kevin sentiasa bersama-sama keluarga mendiang ketika menempuh dalam keadaan sukar ini sebagai memberi sokongan dan bantuan apa yang terdaya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/8216-kami-tidak-gentar-8217-1.137339#sthash.pn2M4c6T.dpuf

1MDB : Nurul Izzah disiasat ekoran pengakuan Justo

18 September 2015 1:57 AM


Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR 17 Sept. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan Naib Presi­den PKR, Nurul Izzah Anwar kini disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti yang boleh memudaratkan demokrasi berparlimen.

Nurul Izzah disiasat berhubung satu pendedahan oleh bekas Ketua Teknologi Maklumat (IT) PetroSaudi International (PetroSaudi), Xavier Andre Justo baru-baru ini yang mendakwa Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berminat membeli data berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dicuri daripada bekas majikannya.

“Ya saya mengesahkan Nurul Izzah disiasat dan pegawai polis memang ada pergi ke pejabatnya,” kata Khalid yang kini berada di Mekah untuk menunaikan ibadat haji melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Sementara itu, dalam sebuah portal propembangkang, peguam Nurul Izzah, Latheefa Koya memberitahu, pihak polis telah mencari Ahli Parlimen Lembah Pantai itu di pejabatnya untuk soal siasat.

Walau bagaimanapun Latheefa mendakwa, Nurul Izzah ketika ini berada di Amerika Syarikat untuk urusan tertentu dan hanya akan pulang pada Isnin depan.

Laporan beberapa akhbar sebelum ini yang memetik butiran siasatan kes membabitkan Justo, termasuk penga­kuan bertulis yang dibuat atas ke­re­laan sendiri mendedahkan Nurul Izzah berminat membeli data mengenai 1MDB yang dicurinya pada tahun 2011.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/nurul-izzah-disiasat-ekoran-pengakuan-justo-1.137413#sthash.svmX8zSL.dpuf


Thursday, 17 September 2015

Kevin mati dibunuh

Mayat disimen dalam tong dram, dicampak ke paya

MASZUREEN HADZMAN | 17 September 2015 1:28 AM


MOHMAD SALLEH (kiri) melihat kesan tong simen yang telah dipecahkan pihak polis yang mana mayat Anthony Kevin Morais ditemui di Jalan Subang 3, Subang Jaya, semalam. – UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Dibunuh semasa dalam perjalanan ke utara dipercayai di kawasan berhampiran Sungai Buloh.

Mayatnya kemudian disumbat ke dalam guni serta dimasukkan ke dalam tong dram yang dicurah simen dan ditenggelamkan ke dalam paya di Jalan Subang 3, Su­bang Jaya dekat sini.

Itulah kekejaman yang dilakukan sekumpulan individu terhadap Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais, 55, selepas melarikannya di Jalan Dutamas, Damansara di sini semasa mangsa dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya pada 4 September lalu.

Difahamkan, sebelum dilarikan, kereta mangsa telah dilanggar dari arah belakang oleh kumpulan suspek terbabit di kawasan lampu isyarat berhampiran sebuah pusat komersial di tempat kejadian.

Mangsa yang keluar dari kereta untuk memeriksa kerosakan kemudiannya ditolak masuk ke dalam keretanya semula oleh kumpulan individu terbabit ke tempat duduk penum­pang belakang dan kenderaan itu dipandu menuju ke arah utara.

Ketika dalam perjalanan menuju ke arah utara, mangsa dipercayai dipukul dengan senjata tumpul dipercayai besi panjang yang digunakan untuk membuka nat tayar kereta di kawasan berhampiran Sungai Buloh.

Mayat mangsa dipercayai dibawa ke Subang Jaya sementara kere­tanya dipandu anggota kumpulan yang melarikannya ke arah Hutan Melintang dan ditemukan dibakar di sana.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, mayat mendiang Kevin ditemukan hasil pengakuan beberapa suspek utama yang ditahan dalam serbuan besar-besaran oleh Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) di seluruh negara, sejak semalam.

Menurut beliau, kesemua suspek ditahan di Pulau Pinang, Rawang dan sekitar Lembah Klang.

“Hasil pengakuan itu, sekumpulan pegawai dan anggota STAFOC kemudiannya membuat pemeriksaan ke lokasi kejadian pada pukul 6 pagi ini di mana mayat Kevin dibuang.

“Kita turut mendapat bantuan daripada pasukan penyelam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan bomba bagi membantu membawa naik tong dram terbabit untuk dipecahkan pada pukul 8 pagi sebelum menemukan satu mayat yang dipercayai mendiang Kevin,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohmad memberitahu, mayat mangsa di hantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan pihaknya berjaya merampas sebuah kende­raan pacuan empat roda (4WD) Mitsubishi Triton yang digunakan untuk melanggar kereta mangsa ketika hari Kevin dilarikan.

Tambahnya, turut dirampas ia­lah kereta Honda Accord dan sejumlah wang bernilai RM17,100 di Pulau Pinang.

“Selain itu, kita turut merampas sebuah kereta Proton Persona dan satu resit pembelian batu, simen dan pasir yang digunakan suspek serta sejumlah lagi wang bernilai RM15,000 di Selangor.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kesemua suspek berusia lingkungan 22 hingga 52 tahun itu telah ditahan reman bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Polis sebelum ini mengesahkan kehilangan Kevin pada 4 September lalu sebagai kes culik berdasarkan penelitian kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh di sepanjang jalan yang dilalui mangsa semasa hari kejadian dan sebahagiannya adalah milik persendirian bagi mengesan kedudukan mangsa.

Kevin dilaporkan hilang pada hari kejadian dan dilihat kali terakhir meninggalkan pangsapuri­nya di Menara Duta untuk ke pejabatnya di Putrajaya.

Susulan itu polis menubuhkan pasukan penyiasat khas untuk menyiasat kes tersebut.

Polis juga mengesahkan kereta terbakar yang ditemukan di ladang kelapa sawit, Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang, Perak pada 5 September lalu adalah mirip kenderaan yang digunakan Kevin pada hari dia diculik.

Umur: 55 tahun

Adik-beradik: 4 (sulung)

Status: Bujang

Pendidikan:

l Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, Ipoh

l Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB), Universiti London

Kerjaya:

1980

l Diterima masuk sebagai Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya

l Menyertai Perkhidmatan Perundangan dan Kehakiman

l Dilantik sebagai majistret

1985

l Menyertai Pejabat Peguam Negara (AGC)

2004

Dipinjamkan ke Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan kemudian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai Timbalan Pendakwa Raya

2014

1 Julai

Kembali bertugas di AGC sebagai Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/kevin-mati-dibunuh-1.136887#sthash.NLFxGuI7.dpuf


Tuesday, 15 September 2015

POLITIK : Dokumentari Al-Jazeera bermotif

Cubaan pertikai kredibiliti Perdana Menteri

MOHD. AZRAIE MD. YUSOF | 15 September 2015 2:11 AM


Musa Hassan

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Dokumentari pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shariibuu yang dipaparkan menerusi stesen televisyen antarabangsa, Al-Jazeera dilihat bermotif untuk mempertikaikan kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, hal demikian kerana dokumentari selama hampir setengah jam itu tidak memberikan fakta-fakta yang sah dalam mengaitkan Najib dengan kes tersebut.

Lebih-lebih lagi, kata beliau, apabila tiba babak menceritakan mengenai penyiasat persendirian, mendiang P. Balasubramaniam dan sesi temuramah dengan seseorang yang mengatakan penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda atau lebih dikenali sebagai Razak Baginda yang menembak Altantuya.

“Dokumentari itu pada peringkat awal betul sebagaimana perjalanan siasatan polis, tetapi lebih banyak fiksyen di babak-babak akhir. Ada perkara-perkara baharu yang kita tidak tahu, seperti diada-adakan.

“Jangan buat cerita jadikan polemik. Sepatutnya sesiapa yang ada petunjuk baharu mengenai kes ini, buat laporan polis, bukan mengada-adakan cerita. Jika ada maklumat baharu, polis boleh siasat untuk memastikan sebarang tuduhan yang dibuat itu benar atau tidak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam sidang akhbar itu, Musa menghuraikan secara terperinci mengenai perjalanan siasatan polis terhadap kes pembunuhan Altantuya sehingga dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar serta Razak Baginda dihadapkan ke mahkamah.

Laporan program mingguan Al-Jazeera, 101 East berjudul ‘Murder in Malaysia’, yang dilaporkan wartawan, Mary Ann Jolley mendakwa terdapat cubaan memeras ugut Najib dalam kes pembunuhan itu, selain menyatakan Razak Baginda turut didakwa berada di lokasi kejadian.

Musa yang juga Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) dalam pada itu menegaskan bahawa siasatan polis mendapati langsung tiada bukti yang boleh mengaitkan Najib dengan kes tersebut.

Malah katanya, Najib yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri memberi lampu hijau ketika beliau memberitahu hendak menahan Razak Baginda yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan.

“Saya diarahkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk memberi taklimat mengenai kes ini kepada Najib memandangkan Razak Baginda adalah penasihatnya.

“Saya kemudian pergi berjumpa Najib memberitahu hendak menahan Razak Baginda dan beliau berkata, ‘do your job’ (lakukan kerja kamu),” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, jika Najib atau terdapat pihak lain merasakan diri mereka difitnah menerusi dokumentari berkenaan, tindakan saman ke atas Al-Jazeera perlu diambil bagi membersihkan nama mereka.

Musa menegaskan bahawa beliau tidak memihak kepada sesiapa, sama ada Najib atau pihak-pihak yang hendak menjatuhkannya.

Tujuan sidang akhbar itu diadakan jelasnya adalah untuk menjelaskan kepada rakyat tentang perkara sebenar berdasarkan fakta, bukannya fiksyen sebagaimana dokumentari yang dibuat Al-Jazeera.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/dokumentari-i-al-jazeera-i-bermotif-1.136135#sthash.8fYogrsU.dpuf


Thursday, 10 September 2015

1MDB : Tony Pua akan dipanggil semula – KPN

Berikutan pendedahan Justo, polis buka kertas siasatan

MOHD. FIRDAUS ISMAIL | 10 September 2015 1:19 AM



PULAU PINANG 9 Sept. - Polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan berhubung pendedahan Xavier Andre Justo mengenai usaha menjatuhkan kerajaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sehubu­ngan itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua akan dipanggil semula untuk dirakam keterangan.

Menurutnya, tindakan itu perlu kerana ketika dipanggil sebelum ini, Tony mengakui terdapat beberapa perkara yang beliau tidak ingat mengenai pendedahan Justo.

“Sekarang mungkin dia sudah ingat, jadi kita akan panggil dia semula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan kepada 136 orang anggota polis yang bertugas semasa zaman darurat oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengakuan Justo tentang terdapat usaha menjatuhkan kerajaan seperti dilaporkan akhbar akan disiasat namun beliau tidak mempunyai maklumat lanjut.

Khalid berkata, pihaknya tidak melakukan siasatan berdasarkan laporan akhbar dan mempunyai garis panduan dalam menguatkuasakan undang-undang.

Justo seperti dilaporkan akhbar tempatan, turut mendedahkan, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berminat membeli data berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam pengakuan yang dilaporkan akhbar tertentu, Justo juga menyebut Nurul Izzah menawarkan bayaran dalam bentuk kontrak sekiranya pembangkang mengambil alih Kerajaan Persekutuan daripada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak namun dinafikan Nurul Izzah.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tony-pua-akan-dipanggil-semula-8211-kpn-1.134091#sthash.KHEGoaUq.dpuf


Wednesday, 9 September 2015

1MDB : Pengakuan Justo: Siasatan dijalankan

THOMAS CHONG | 09 September 2015 12:53 AM


Xavier Andre Justo


PUTRAJAYA 8 Sept. - Pengakuan Xavier Andre Justo seperti yang didedahkan oleh media jelas menunjukkan terdapat usaha terperinci untuk mengguling kerajaan dan siasatan akan dilakukan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengakuan Justo yang dilaporkan akhbar tempatan diperoleh daripada pihak berkuasa Thailand dan Malaysia juga bekerjasama dengan negara jiran tersebut dalam siasatan yang akan dijalankan.

Ditanya sama ada kertas siasatan telah dibuka atau sebaliknya, Ahmad Zahid berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak memaklumkan kepadanya mengenai perkembangan kes tersebut.

“Saya tidak diberitahu oleh Ke­tua Polis Negara, tetapi adalah menjadi prosedur biasa untuk membuka kertas siasatan.

“Polis mendapat kerjasama dari Thailand untuk ambil tindakan selanjut termasuk membuka kertas siasatan sebelum dokumen ber­kenaan diserah kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Pusat di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dilaporkan akhbar tempatan berminat membeli data berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada Justo.

Dalam pengakuan yang dilaporkan akhbar tertentu, Justo juga menyebut Nurul Izzah menawarkan bayaran dalam bentuk kontrak sekiranya pembangkang mengambil alih Kerajaan Persekutuan daripada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tawaran tersebut bagaimanapun ditolak kerana Justo mahukan bayaran tunai berjumlah AS$2 juta (RM8.62 juta).

Nurul Izzah bagaimanapun telah menafikan pernah menawarkan kontrak kepada Justo untuk membeli maklumat berkenaan.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pengakuan-justo-siasatan-dijalankan-1.133613#sthash.9thUoytw.dpuf


Monday, 7 September 2015

Thursday, 3 September 2015

Bersih 4.0: Polis akan panggil Tun M, Azmin

03 September 2015 12:41 AM


KHALID ABU BAKAR bersalaman dengan pasukan kadet polis sekolah sempena Peringatan Hari Pasukan Polis Marin Ke-68 di Markas Operasi Pasukan Polis Marin di Pelabuhan Klang, Selangor, semalam. Turut sama, Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Datuk Abd. Aziz Yusof (kiri). – BERNAMA

KLANG 2 Sept. – Beberapa tokoh dan pemimpin parti termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali akan dipanggil untuk diambil ketera­ngan berhubung pengli­batan dalam perhimpunan haram Bersih 4.0, hujung minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tum­puan diberikan kepada peng­anjur dan individu yang sudah dikenal pasti termasuk ucapan dan tuduhan yang dilemparkan semasa perhimpunan haram itu.

Menurutnya, polis sebelum ini telah memanggil beberapa individu untuk dirakamkan ketera­ngan dan tindakan itu dibuat bagi menyiasat beberapa kenyataan berbaur tuduhan untuk direkodkan seterusnya disiasat.

“Kita akan panggil dan beliau (Tun Mahathir) telah buat pelbagai ucapan dan tuduhan. Kita pun mahu tahu lebih lanjut apa yang beliau cakap, apa maksud, mana maklumat beliau peroleh.

“Antaranya, kenyataan bahawa ketua bahagian UMNO telah dirasuah, jadi kita mahu tahu lebih lanjut justeru saya harap beliau beri kerjasama,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Khalid turut menyelar tindakan peserta perhimpunan yang sengaja meniupkan api kemarahan dengan mengeksploitasi gam­­bar pemimpin termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin parti pembangkang.

“Inikah budaya yang hendak dibawa oleh Bersih? Ini bukan bu­­daya Malaysia. Saya dimaklumkan pihak penganjur ada pasukan yang mengawal ter­tib dan tingkah laku peserta tetapi ada pula video peserta memijak dan menonyoh gambar pemimpin.

“Inikah budaya yang akan dibawa pada masa depan dan saya menegaskan agar semua pihak jangan meniup api perkauman dalam setiap tindak-tanduk sehingga menaikkan kemarahan kaum lain.

“Jangan bawa budaya, sebab itu kita tidak mahu perhimpunan seper­ti ini dibuat di jalanan kerana ia dibuat mengikut sesuka hati masing-masing,” katanya.

Khalid juga mengingatkan yang polis sedang memburu individu yang memijak gambar pe­mimpin dan penganjur Bersih bertanggungjawab ke atas peserta yang sengaja meniupkan api perkauman.

“Perkara ini dapat dielakkan sekiranya perhimpunan dibuat secara tertutup dan kita boleh kawal serta memastikan perkara sebegini tidak berlaku. Semua pihak yang terlibat dengan perhimpunan tersebut tidak akan terlepas daripada tindakan dan polis tidak akan berkompromi dengan pihak yang sengaja mencabar undang-undang.

“Kita akan guna semua peruntukan undang-undang yang ada. Semua yang terlibat tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang,” tegasnya.

Terdahulu, Khalid menghadiri majlis memperingati Hari Polis Marin ke-68 di Markas Operasi Pasukan Polis Marin, Pelabuhan Klang dan menyampaikan surat penghargaan kepada 13 anggota pasukan keselamatan laut itu.

Pada perkembangan lain, ujarnya, Polis Marin bakal memperoleh 200 bot secara berperingkat untuk memperkasakan ke­selamatan di pantai timur Sabah.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/bersih-4-0-polis-akan-panggil-tun-m-azmin-1.131140#sthash.fTufZ2cg.dpuf


BERSIH 4 : Lebih 30 laporan polis dibuat

Gesa penganjur, peserta Bersih 4.0 diambil tindakan

SHARILFUDDIN SAARI, AZHARI ZAINOODDIN, SHAHRINNAHAR LATIB, ZULKIFLI SAINUDDIN, MASZUREEN HADZMAN DAN MOHD. IZZUL FARHAN AHMAD SURIANSHAH | 03 September 2015 12:42 AM


PENGERUSI Persatuan Kelab Kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Sembilan, Muhamad Shukri Zainudin (enam dari kiri) menunjukkan laporan polis berhubung peserta Bersih 4.0 yang memijak gambar Perdana Menteri di Balai Polis Rahang, Seremban, Negeri Sembilan, semalam. Utusan/Mohd. Izzul Farhan


KUALA LUMPUR 2 Sept. - Semakin banyak gesaan agar penganjur dan peserta Bersih 4.0 yang melanggar undang-undang dan bersikap biadab termasuk memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa perhimpunan haram minggu lalu, dikenakan tindakan tegas.

Gesaan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik iaitu UMNO dan Pas itu dilahirkan melalui lebih 30 laporan polis yang dibuat di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang dan Perlis hari ini.

Di KUALA LUMPUR, tujuh NGO diketuai oleh Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibah Malaysia (MJMM) menggesa agar dua individu yang memijak poster dua pemimpin itu segera ditahan.

Presidennya, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, pihaknya bersama-sama Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) dan Pertubuhan Permuafakatan Ayahanda Malaysia (Permas) serta pertubuhan Sirah Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan individu tersebut yang disifatkan tidak bertanggungjawab dan melampau.

“Tindakan mereka yang memijak poster dua pemimpin tersebut telah membangkitkan kemarahan rakyat di negara ini terutamanya umat Islam,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini.

Di SEREMBAN, Pengerusi Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia Negeri, Muhamad Shukri Zainudin menggesa penganjur perhimpunan haram Bersih 4.0 segera memohon maaf kerana gagal mengawal peserta perhimpunan sehingga ada dalam kalangan mereka bertindak biadab dengan memijak gambar Perdana Menteri.

Beliau berkata, tindakan luar batasan itu sekali gus memperlihatkan peserta perhimpunan haram itu melakukan provokasi melampau dan jelas membuktikan perhimpunan haram yang didakwa aman itu sebenarnya mempunyai agenda tersembunyi.

“Kami menggesa penganjur perhimpunan haram segera memohon maaf dan bertanggungjawab atas insiden tersebut,” katanya selepas membuat laporan polis ekoran insiden itu di Balai Polis Rahang dekat sini.

Turut membuat laporan yang sama ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bukit Temiang, JKKK Kampung Sungai Landak, Persatuan Belia Warisan Perdana dan Persatuan Belia Kampung Dusun Nyior.

Di PULAU PINANG pula, Ketua Biro Penerangan UMNO Bahagian Balik Pulau, Ismail Kassim menggesa pihak berkuasa segera menyiasat dan mengambil tindakan tegas selari dengan undang-undang terhadap tindakan biadab segelintir peserta perhimpunan tersebut.

“Apa yang terjadi ini juga melibatkan usaha menanam kebencian dalam kalangan rakyat yang tidak sepatutnya dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Balik Pulau, di sini.

Di SHAH ALAM, Pas Selangor membuat laporan polis bagi menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan peserta Bersih 4.0 yang memijak gambar Abdul Hadi.

Laporan itu dibuat oleh Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas Selangor, Datuk K. Deepakaran yang turut mewakili Badan Perhubungan Pas, Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat negeri.

“Sehubungan itu, kami meminta polis membuat siasatan terhadap penganjur dan peserta Bersih 4.0 yang memijak gambar Abdul Hadi mengikut Seksyen 505 Kanun Ke­seksaan,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini. Turut membuat laporan ialah Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Norazli Musa.

Di PAHANG, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan juga menggesa dua individu yang memijak poster Perdana Menteri semasa perhimpunan haram Bersih 4.0 di ibu negara baru-baru ini diambil tindakan melalui laporan polis yang dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Shahruddin Ahmad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di sini.

Menurut Shahruddin, pihaknya kesal dan terkilan dengan tindakan peserta perhimpunan tersebut memijak gambar Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO.

Sementara di KANGAR, Badan Perhubungan UMNO negeri dan Pas negeri turut membuat 13 laporan polis di Balai Polis Kangar di sini terhadap perbuatan biadab beberapa individu yang memijak gambar Perdana Menteri dan Abdul Hadi.

UMNO negeri diwakili oleh Ahli Jawatan Kuasa Badan Perhubungan UMNO negeri, Azizan Sulaiman manakala Pas negeri diwakili oleh Pengarah Pilihan Raya Pas Kawasan Kangar, Abd. Jamil Kamis.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/lebih-30-laporan-polis-dibuat-1.131153#sthash.xZQ52X98.dpuf

Friday, 28 August 2015

Polis KL nafi benarkan Bersih 4.0

28 Ogos 2015 1:37 AM


KUALA LUMPUR 27 Ogos – Polis Kuala Lumpur menafikan dakwaan penganjur Bersih 4.0 yang pihak­nya memberi kebenaran kepada mereka untuk me­ngadakan perhimpunan di ibu negara dan kawasan sekitarnya pada 29 dan 30 Ogos ini.

Tajudin Md. Isa

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md. Isa berkata, ke­nyataan penganjur, Maria Chin Abdullah dalam sebuah portal berita adalah tidak benar.

“Dalam perjumpaan yang diadakan Ketua Polis Dang Wangi bersama pihak penganjur Bersih 4.0, polis telah menasihatkan mereka tidak mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya kerana pada tarikh 29 dan 30 Ogos ini akan berlangsung­nya persiapan majlis sambutan Hari Kebangsaan 2015,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tajudin mengingatkan penganjur Bersih 4.0 supaya tidak memutar-belit sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh polis.

“Polis Kuala Lumpur juga ingin menegaskan bahawa perhimpunan itu adalah perhimpunan yang menyalahi undang-undang kerana pihak penganjur tidak mendapat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepertimana yang telah disyaratkan di bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012,” jelasnya,

Tambah Tajudin, tugas pihak polis adalah melaksanakan tanggungjawab memastikan keselamatan orang dan ketenteraman awam di ibu negara terjamin.

“Orang ramai dinasihatkan supaya memberi kerjasama dengan tidak memasuki kawasan Dataran Merdeka bagi menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang sepanjang tempoh itu,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/polis-kl-nafi-benarkan-bersih-4-0-1.129352#sthash.aTtm1XBb.dpuf

BERSIH 4 : Polis awasi kumpulan anarki

NORLIZA ABD. RAHMAN | 28 Ogos 2015 1:37 AM


PUTRAJAYA 27 Ogos - Kementerian Dalam Negeri tidak menolak kemungkinan akan wujud kumpulan anarki yang mahu mencetuskan huru-hara dalam perhimpunan haram Bersih 4.0 pada Jumaat dan Sabtu ini.

Nur Jazlan

Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kumpulan berkenaan mahu mencetuskan provokasi terhadap polis supaya pihak berkuasa menggunakan kekerasan terhadap peserta.

“Tindakan provokasi itu untuk menyebabkan polis dipersalahkan kerana menggunakan kekerasan terhadap peserta perhimpunan haram, sekali gus akan meningkatkan kebencian terhadap pihak berkuasa dan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nur Jazlan berkata, polis akan menggerakkan kira-kira 4,000 anggotanya bagi memastikan ketenteraman awam serta keselamatan rakyat ketika perhimpunan haram berkenaan dan tidak akan bertolak ansur bagi mengelakkan berlaku sebarang tindakan yang mengancam nyawa masyarakat.

Selain Kuala Lumpur katanya, perhimpunan haram berkenaan turut dirancang diadakan di Ku­ching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.

Katanya, tindakan itu pasti membabitkan kos tinggi ke atas kerajaan kerana perlu menggerakkan sejumlah besar anggota polis serta kelengkapan semata-mata untuk mengawasi peserta perhimpunan berkenaan.

Beliau berkata, lebih menyedihkan apabila peserta perhimpunan haram itu sebenarnya diperalatkan pembangkang yang menjadikan mereka sebagai alat politik untuk menumbangkan kerajaan.

“Sebenarnya, apa yang diperkatakan penganjur perhimpunan haram berkenaan sebagai hak untuk berhimpun serta mempunyai usaha murni adalah pembohongan semata-mata kerana terbukti ia didalangi ahli politik pembangkang,” katanya.

Nur Jazlan berkata, jika rakyat benar-benar sudah tidak mempercayai kerajaan Barisan Nasional (BN), mereka hanya perlu menunggu dua tahun lagi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 diadakan.

Katanya, motif berhimpun secara haram itu dengan cuba mengambil semangat menyambut Hari Kebangsaan 2015 demi kepentingan segelintir pihak, jelas mengetepikan hak majoriti rakyat Malaysia yang hidup aman dan tenteram selama ini.

“Saya benar-benar berharap rakyat Malaysia tidak terpedaya dengan menyertai perhimpunan haram itu kerana kemungkinan kekacauan berlaku amat tinggi disebabkan kita tidak mengetahui latar belakang peserta demonstrasi berkenaan yang mungkin terdiri daripada kumpulan yang mahu mengambil kesempatan menimbulkan huru hara.

“Polis tidak bersetuju dengan kaedah demonstrasi kali ini kerana tiada siapa yang jelas boleh dipertanggungjawabkan apabila berlaku sesuatu seperti kecederaan dan kerosakan harta benda,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/polis-awasi-kumpulan-anarki-1.129354#sthash.9Pm5NMVi.dpuf