Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label MALAYSIA AIRLNE. Show all posts
Showing posts with label MALAYSIA AIRLNE. Show all posts

Friday, 14 March 2014

AS dakwa MH370 mungkin dirampas






Juruterbang helikopter Super Lynx Tentera Laut Diraja Malaysia meninjau dari kokpit dalam operasi pencarian dan menyelamat pesawat MH 370 yang dilaporkan hilang di perairan Laut China Selatan, semalam.

WASHINGTON 13 Mac - Selepas enam hari operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dijalankan, penyiasat Amerika Syarikat (AS) mendedahkan satu andaian baharu, tentang kemungkinan pesawat itu dirampas untuk tujuan sabotaj.

Wall Street Journal (WSJ) memetik dua sumber keselamatan dan penerbangan negara ini melaporkan pesawat itu masih berada di udara selama empat jam dari lokasi terakhir ia dilaporkan hilang di Laut China Selatan pada Sabtu lalu.

Laporan itu mengandaikan seseorang telah bertindak mematikan sistem transponder pesawat tersebut yang berfungsi sebagai radar dan 'mengarahkan' pesawat tersebut ke tempat lain.

Pendedahan terbaharu itu menimbulkan kebarangkalian pesawat itu terbang ke kawasan lain pada jarak tambahan 3,500 kilometer (km), yang memungkinkan ia sampai ke sempadan Pakistan atau destinasi sejauh Lautan Hindi atau Laut Arab.

Kali terakhir pesawat itu dikesan pada radar ialah pada pukul 1.30 pagi, kurang sejam selepas ia berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing.

Menurut sumber itu, mereka percaya pesawat itu telah terbang selama lima jam termasuk kira-kira sejam bermula dari ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dan hilang dikesan radar berdasarkan data automatik yang dimuatnaik dan dihantar ke bumi daripada enjin pesawat Boeing Co 777 sebagai sebahagian daripada standard program pemantauan pesawat tersebut.

Seorang sumber berkata, sebahagian daripada perjanjian penyelenggaraan, pesawat MAS mampu untuk menghantar data enjin pesawat secara langsung ke pembuat enjin kapal terbang, Rolls-Royce untuk dianalisis.

Sistem itu menghantar data daripada dua enjin Trent 800 Boeing 777 dengan memberi butiran seperti kedudukan altitude dan kelajuan pesawat.

Sementara itu, dalam satu taklimat, pegawai-pegawai AS memberitahu penyiasat secara aktif mengandaikan bahawa destinasi pesawat itu telah diubah 'dengan niat untuk menggunakannya bagi tujuan lain pada masa depan', lapor WSJ.

Antara kes pesawat yang pernah disabotaj adalah membabitkan pesawat syarikat penerbangan China Northern Airlines yang terhempas pada 7 Mei 2002 mengakibatkan 103 penumpang dan sembilan anak kapal terkorban.

Kejadian itu berlaku di perairan berhampiran Dalian sejurus juruterbang menerima laporan kebakaran di dalam pesawat terbabit berpunca daripada seorang penumpang yang membakar pesawat dengan petrol selepas dia dilaporkan membeli insurans nyawa dipercayai bagi membayar hutangnya yang banyak.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140314/dn_05/AS-dakwa-MH370-mungkin-dirampas#ixzz2vtgzBGtJ  © Utusan Melayu (M) Bhd


Mustahil kerosakan komunikasi


Oleh SOFIAN BAHAROM dan KAMIL MASLIH
pengarang@utusan.com.my





KUALA LUMPUR 13 Mac - Kerosakan komunikasi yang berpunca daripada faktor elektrik dan mekanikal adalah mustahil untuk berlaku pada Boeing 777 memandangkan pesawat itu dilengkapi lima unit radio serta dua transponder.

Leeham News, sebuah laman web analisis penerbangan berkata, sistem Aircraft Communication Addressing and Reporting System (ACARS) sebagai medium perhubungan Boeing 777 dengan pihak di darat merupakan salah satu daripada tiga radio frekuensi sangat tinggi (VHF) yang jika ditutup atau rosak sekali pun, terdapat dua lagi radio frekuensi tinggi (HF) lain.

Tambahan pula jelas laman web itu, dua transponder yang berfungsi sebagai alat pengenalan pesawat kepada pusat kawalan trafik juga tidak beroperasi serentak dan jika salah satu daripadanya gagal berfungsi, juruterbang boleh menjadikan unit kedua sebagai sokongan.

Walau bagaimanapun, MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu kata laman itu, tidak menghasilkan isyarat elektronik serta perhubungan radio ketika penerbangan kerana telah hilang daripada pengesanan pusat kawalan trafik.

"George Nolly, seorang bekas juruterbang dan jurulatih Boeing 777 yakin apa sahaja yang terjadi kepada pesawat itu berpunca daripada kokpit, termasuk kemungkinan pencerobohan atau disebabkan pengendali.

"Merekalah yang boleh menutup semua radio dan transponder untuk 'memotong' isyarat ke pusat kawalan udara," lapor laman web itu.

Semalam, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata, pesawat yang dikesan oleh radar tentera pada pukul 2.15 pagi Sabtu lalu masih belum dapat disahkan sama ada pesawat MH370 atau tidak.

Radar model Ground Master 400 (GM400) buatan Thales milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mampu mengesan dan mencari sasaran sejauh 390 hingga 420 kilometer (km) dengan ketinggian lebih daripada 33,000 meter.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140314/dn_02/Mustahil-kerosakan-komunikasi#ixzz2vtf2RjF7  © Utusan Melayu (M) Bhd


Misi sukar tumpu dua lokasi






SEBAHAGIAN wartawan asing dan tempatan yang hadir dalam sidang akhbar oleh Hishammuddin Tun Hussein mengenai maklumat terkini pesawat MH370 di Hotel Sama-Sama, KLIA, semalam.

SEPANG 13 Mac - Misi sukar untuk mengesan pesawat MH370 yang masih hilang sejak awal pagi Sabtu lalu ditumpukan pada dua lokasi utama iaitu Laut China Selatan dan Selat Melaka sebagai petunjuk utama dalam menggerakkan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bagaimanapun tumpuan utama pasukan SAR adalah di kawasan perairan Laut China Selatan di mana isyarat terakhir pesawat itu diterima pada pukul 1.30 pagi.

"Keutamaan kita masih lagi di dua kawasan ini berikutan petunjuk yang diterima dari radar primer dan sekunder, namun tumpuan lebih terarah di Laut China Selatan di mana kita telah kerahkan sebanyak 26 kapal dan 25 pesawat ke kawasan itu.

"Di kawasan Selat Melaka pula, pasukan SAR telah menghantar sebanyak 17 kapal dan 15 pesawat bagi menjejaki pesawat MH370 ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama di pusat media Hotel Sama-Sama di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, Malaysia tidak bersendirian dalam misi mencari itu, malah turut mendapat bantuan dari negara lain, antaranya Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei, Amerika Syarikat, India dan New Zealand.

Katanya, pada masa sama, pasukan tersebut juga akan memperluaskan lagi kawasan pencarian bagi mengesan pesawat itu sekiranya masih gagal ditemui.

Menjawab tuduhan bahawa Malaysia lambat dan tidak cekap menjalankan operasi itu, tegasnya, tuduhan itu tidak tepat, malah turut mendapat bantuan dari negara kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat untuk mengesan pesawat itu.

Mengulas tentang siasatan terhadap dua penumpang pesawat itu yang menggunakan pasport palsu, katanya, pihaknya menyerahkan kepada pihak keselamatan negara dan Organisasi Perisikan Antarabangsa (Interpol) untuk menyiasat lebih lanjut.

Sementara itu, ditanya mengapa operasi tersebut turut diperluaskan hingga ke kawasan perairan India, Azharuddin berkata, pihaknya tidak menolak sebarang kemungkinan tentang kedudukan pesawat itu.

"Oleh sebab itu, operasi itu turut meliputi kawasan Laut Andaman serta mendapat kerjasama kerajaan India,'' ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140314/dn_03/Misi-sukar-tumpu-dua-lokasi#ixzz2vtVwr0TN  © Utusan Melayu (M) Bhd


Tak putus asa, tak sembunyi maklumat






HELIKOPTER Super Lynx memulakan operasi berikutan penemuan terbaharu objek di 150 batu nautika timur laut Pulau Perhentian dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines MH370 di Perairan Laut China Selatan, semalam. - UTUSAN/IRWAN MAJID

SEPANG 13 Mac - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 yang masih hilang sejak awal pagi Sabtu lalu tidak akan dihentikan sehingga pesawat itu ditemui semula dalam apa jua keadaan.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan berjanji kepada semua pihak terutamanya keluarga penumpang pesawat jenis Boeing 777-200 itu bahawa operasi SAR akan terus berjalan sehingga berjaya ditemui.

"Ini merupakan tanggungjawab dan janji kita kepada keluarga penumpang ini bahawa operasi berkenaan akan terus berjalan tanpa henti sehingga pesawat MH370 dijumpai semula.

"Pada masa sama, kerajaan juga berjanji tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat tentang nasib pesawat ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama di pusat media Hotel Sama-Sama di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya.

Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan menggesa semua pihak supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat atau spekulasi kerana boleh memberi kesan kepada operasi tersebut.

"Apabila kita menerima sebarang maklumat, segala aset dalam operasi ini perlu dikerahkan ke tempat terbabit untuk pengesahan dan sekiranya maklumat itu palsu, maka akan hanya merugikan masa pasukan tersebut yang boleh meluaskan lagi pencarian di kawasan kenal pasti," katanya.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, pihaknya juga akan memperluaskan lagi operasi menyelamat itu terutama di kawasan perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka sekiranya masih tiada tanda-tanda pesawat itu ditemui.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil inisiatif mengadakan solat hajat dan bacaan doa supaya pesawat tersebut dijumpai semula.

"Kita agak terharu bukan sahaja orang Islam sahaja, malah semua agama turut tampil dalam satu kesatuan, kami hargai usaha ini," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140314/dn_09/Tak-putus-asa-tak-sembunyi-maklumat#ixzz2vtUDkVge  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Thursday, 13 March 2014

MH 370 - Kerjasama SAR MH370 menakjubkan


Azmi Hassan





Anggota Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) meninjau kawasan Laut China Selatan dengan menggunakan pesawat C130, kelmarin. - REUTERS

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang dilaksanakan di Laut China Selatan dan juga Selat Melaka sudah menjangkau hari ke enam, namun setakat ini tiada petunjuk positif yang dapat merungkai persoalan apa sebenarnya yang telah berlaku terhadap pesawat MH370.

Operasi SAR yang membabitkan tiga negara utama iaitu Malaysia, Vietnam dan China turut melibatkan penyertaan beberapa negara lain iaitu Singapura, Indonesia, Filipina, Brunei, Thailand, Australia, New Zealand dan juga Amerika Syarikat (AS).

Paling terkini India telah menawarkan kepakaran dan aset tentera mereka dalam membantu misi mencari MH370.

Selain daripada aset ketenteraan negara terlibat digunakan secara meluas, beberapa agensi berkaitan penerbangan awam seperti Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) dari AS dan juga agensi perisikan seperti Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Organisasi Perisikan Antarabangsa (Interpol) juga menghulurkan bantuan.

Begitu juga AS dikatakan telah menggunakan kecanggihan satelit perisikan mereka yang dapat mengenali objek sebesar 5 sentimeter tidak kira di lautan atau daratan adalah manifestasi bahawa semua negara mahu membantu merungkaikan misteri MH370.

Kerjasama yang dihulurkan adalah amat dihargai oleh Malaysia sebagai negara induk yang terlibat dalam operasi SAR kerana hakikatnya adalah kawasan pencarian adalah begitu luas kerana perairan Malaysia dan Vietnam sahaja sudah merangkumi lebih dari 30,000 kilometer persegi. Jika kawasan pencarian Selat Melaka diambil kira, Malaysia berseorangan sukar melakukannya.

Satu perkara yang paling menarik dalam kerjasama misi operasi SAR MH370 adalah ia melibatkan sempadan maritim Laut China Selatan yang dianggap begitu sensitif sekali.

Malaysia, Vietnam, Brunei, Filipina dan China terlibat secara langsung dalam kemelut sempadan bertindih yang masih tiada jalan penyelesaian sehingga hari ini.

Isu sempadan Laut China Selatan adalah begitu sensitif kerana Vietnam dan Filipina pernah berperang dengan China. Beberapa bulan lepas Malaysia telah membuat bantahan diplomatik kepada Beijing kerana kapal Pengawal Pantai China telah menceroboh perairan negara di Beting Serupai berhampiran Bintulu.

Sebab itu kerjasama yang dipamerkan oleh semua negara terlibat dalam operasi SAR dianggap begitu menakjubkan jika bersandarkan senario Laut China Selatan yang amat begitu sensitif sekali.

Umpamanya tidak timbul isu kedaulatan sempadan maritim dicabul apabila kapal perang Malaysia memasuki perairan Vietnam. Menarik juga diberitakan bahawa pihak berkuasa Vietnam turut memberi kebenaran kepada dua kapal perang China iaitu Kunlinshan dan Haikou memasuki perairan mereka dalam usaha memperkemaskan operasi SAR.

Hakikatnya adalah operasi SAR yang melibatkan banyak negara memerlukan koordinasi supaya ia mudah ditadbir urus. Ini adalah kerana setiap organisasi tentera mempunyai kaedah dan tatacara yang agak berbeza bagaimana mereka beroperasi.

Latihan ketenteraan di antara negara sama ada secara bilateral atau multilateral adalah kaedah termudah untuk mencapai koordinasi yang serasi di antara negara yang terlibat dalam operasi SAR.

Begitu kritikalnya latihan ketenteraan secara bersama ini amat menyerlah kerana selain daripada meningkatkan kerjasama dalam kalangan organisasi tentera negara peserta, ia juga boleh dijadikan landasan untuk mendalami setiap taktik dan strategi ketenteraan yang menggunakan peralatan tercanggih dan terbaru dalam operasi SAR.

Sebab itu dinilai operasi SAR yang melibatkan tentera Malaysia, Vietnam, Brunei, Singapura, Thailand dan AS berjalan dengan lancar kerana kesemua organisasi tentera negara tersebut sudah serasi dalam bentuk tadbir urus yang di amalkan masing-masing. Ini kerana kesemua negara tersebut terlibat dalam latihan ketenteraan yang dinamakan Cobra Gold.

Jika pada asalnya Cobra Gold diwujudkan sebagai pengekang pengaruh komunis negara Indo China yang begitu kuat pada tahun 70an, tetapi Cobra Gold hari ini adalah jauh berbeza daripada matlamat asal jika diteliti komposisi negara yang mengambil bahagian.

Malaysia yang menjadi negara pemerhati sejak 2003 telah menyertai Cobra Gold 2010 dengan status yang serupa dengan negara pemerhati lain seperti China, Jerman, Brunei dan Vietnam. Tetapi bermula 2011 Malaysia menyertai latihan tersebut sebagai ahli penuh.

Begitu juga latihan Kerjasama Kesiagaan dan Latihan (CARAT) di antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Tentera Amerika Syarikat (USF) menyerlahkan lagi betapa mudahnya untuk dua organisasi tentera membantu antara satu sama lain.

Perlu diungkitkan kerjasama ATM dan USF melalui CARAT adalah sudah buat sekian lama terjalin dan latihan terakhir diadakan pada Jun 2013 di sekitar kawasan Kemaman, Kuantan, Pekan dan Laut China Selatan adalah kali ke 19.

Jika pada era Perang Dingin, latihan ketenteraan di rantau ini lebih menjerumus kepada kekangan pengaruh komunis di Asia Tenggara. Tetapi setelah tamat era Perang Dingin latihan tersebut mula menumpukan kepada aspek kerjasama operasi tentera antara negara pada ketika kecemasan dan darurat.

Penyertaan negara yang terlibat dalam SAR MH370 dalam Cobra Gold dan juga CARAT secara sepenuhnya terbukti manfaatnya kerana ia telah memudahkan kerjasama operasi ketenteraan yang amat diperlukan seperti yang ditempuhi dalam operasi SAR MH370.

Semoga kerjasama di antara organisasi tentera yang terlibat dalam operasi SAR MH370 dapat mempercepatkan urusan merungkai misteri yang sehingga kini masih berdepan jalan buntu.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140313/re_01/Kerjasama-SAR-MH370-menakjubkan#ixzz2vot8JtQB  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH370 mangsa ujian alat perang elektronik?






Alat elektronik Duke V3 Counter Radio-controlled yang sering digunakan tentera AS untuk melumpuhkan isyarat komunikasi termasuk isyarat alat kawalan jauh yang digunakan musuh bagi meletupkan bom. - AGENSI

LONDON 12 Mac - Laman web popular yang membincangkan teori-teori misteri, Beforeitsnews.com tidak menolak kemungkinan, kehilangan MH370 mungkin ada kaitan dengan ujian penggunaan alat perang elektronik yang canggih bagi mengelak pesawat itu termasuk kotak hitamnya dikesan radar.

Menurut laporan tersebut, dalam peperangan elektronik, peralatan elektronik langkah balas (ECM) amat penting untuk mengelirukan sistem radar, sonar atau alat pengesan lain seperti laser inframerah dan boleh digunakan dengan tujuan serangan atau pertahanan bagi menyekat maklumat dihantar atau melumpuhkan sistem komunikasi pihak musuh.

Jelasnya, syarikat teknologi yang beribu pejabat di Austin, Freescale Semiconductor dilapor membangunkan teknologi tersebut bagi memenuhi keperluan sektor pertahanan dan aeroangkasa AS.

“Teori ini berbangkit kerana terdapat sekurang-kurangnya 20 penumpang dari syarikat elektro­nik Freescale Semiconductor yang beribu pejabat di Texas, Amerika Syarikat (AS), menaiki pesawat berkenaan dengan kesemuanya mempunyai kepakaran dalam teknologi elektronik untuk tujuan pertahanan ketenteraan.

“Tidak mustahil pesawat MH370 menjadi ‘halimunan’ dengan ujian penggunaan senjata berteknologi tinggi yang sememangnya wujud dan digunakan oleh pihak tentera," jelas laporan tersebut.

Laporan itu memberi contoh, Israel telah mencipta senjata yang mampu meniru isyarat telefon bimbit untuk mengarahkan rangkaian telefon tersebut memasuki status ‘tidur’, sekali gus menghentikan transmisi komunikasi, selain memiliki peralatan elektronik yang mampu mengganggu isyarat kecemasan pihak tentera musuh.

“Pada 2007, tentera Syria berpeluang menyaksikan teknologi moden itu apabila pesawat tentera Israel gagal dikesan radar tentera.

“Malah tahun lalu, Israel mengumumkan tentang teknologi baharu yang menjadikan pesawat tidak dapat dilihat dengan mata kasar, apatah lagi dikesan radar," jelas portal berita itu.

Laman web tentera, Military.com, pula melaporkan China kini giat membangunkan teknologi halimunan menggunakan panel kaca heksogan bagi memantulkan cahaya di sekeliling objek yang ingin ‘dihilangkan’.

Pakar tentera Amerika Syarikat (AS) mengesahkan projek membangunkan teknologi berkenaan memang wujud, tidak menyamai projek yang dilaksanakan AS dan Eropah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bekas tentera khas AS, Chris Sajnog berkata, secara umumnya, kebolehan teknologi yang dibangunkan AS masih belum diketahui kerana Pentagon masih merahsiakannya, namun beberapa negara lain tidak jauh ketinggalan membangunkan teknologi yang sama.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140313/lu_04/MH370-mangsa-ujian-alat-perang-elektronik#ixzz2voWQ0fEI  © Utusan Melayu (M) Bhd 

MH 370 - Pakar cetus teori lubang hitam






Imej dari Digitized Sky Survey menunjukkan lubang hitam, Cygnus X-1 terletak berdekatan kawasan aktif pembentukan bintang dalam galaksi Bima Sakti yang menjangkau sehingga 700 tahun cahaya. - AGENSI

LONDON 12 Mac - Pakar-pakar kejuruteraan penerbangan dari seluruh dunia mengetengahkan pelbagai teori berhubung misteri kehilangan pesawat MH370 yang masuk hari kelima hari ini, termasuk teori yang tidak masuk akal tentang kemungkinan pesawat yang membawa 239 penumpang itu berada di ‘lubang hitam’ dan menjadi mangsa perang elektronik.

Pakar kejuruteraan penerbangan dari Akademi Kejuruteraan Diraja Britain, Stewart John berkata, pesawat terbabit mungkin memasuki ‘lubang hitam’ seperti lubang hitam di angkasa lepas dan hilang disedut tanpa dapat dikesan. Bagaimanapun, kemungkinan perkara itu berlaku boleh ditolak begitu sahaja kerana lubang hitam itu hanya terdapat di angkasa lepas.

Namun, beberapa teori luar biasa lain turut dikaitkan dengan kehilangan pesawat MH370 itu termasuk fenomena ghaib iaitu lenyap tanpa diketahui manusia dengan penggunaan teknologi canggih.

Portal berita Naturalnews.com melaporkan secara teorinya, kemungkinan wujud satu kuasa ghaib baharu yang misteri di planet bumi seperti lubang hitam di angkasa lepas sehingga mampu menyedut pesawat yang terbang di udara tanpa meninggalkan sebarang kesan atau bukti.

Apa yang lebih membimbangkan, jika kuasa itu dibangunkan sebagai senjata oleh sesebuah negara atau pihak tertentu yang mempunyai teknologi canggih, ia akan menjadi teori yang menakutkan berbanding teori kegagalan teknikal pesawat MH370.

Ada laporan menyebut sesetengah entiti tentera manusia atau bukan manusia sedang menguji keupayaan teknologi canggih yang boleh melenyapkan atau menghantar sesuatu objek ke tempat atau dimensi lain.

Teori ini dikaitkan dengan laporan yang berlaku kira-kira 70 tahun lalu apabila tentera laut AS didakwa menjalankan ujian ‘menghilangkan’ kapal pemusnah USS Eldridge di pangkalan Philadelphia pada 28 Oktober 1943 dan kemudian membawa kapal perang itu semula ke alam nyata. Namun, AS menafikan ia pernah menjalankan ujian tersebut.

Kejadian ini sama seperti kejadian di Segi Tiga Bermuda yang melibatkan kehilangan beberapa kapal dan 
pesawat tanpa dapat dikesan dan dapat dijelaskan dengan kajian saintifik.

Satu lagi teori yang dikaitkan dengan kehilangan MH370 ialah teori teleportasi yang mengaitkan dengan Stargate yang memindahkan atau membawa sesuatu objek ke tempat lain dan dalam konteks ini pesawat MH370 menjadi mangsa fenomena ini. Penjelasan ini kelihatan seperti sains fiksyen dan mustahil boleh berlaku tetapi kita perlu menyedari dalam era sains fizik moden pernah menunjukkan ia boleh dilakukan melibatkan pengahantaran maklumat menerusi angkasa lepas.

Dalam konteks kehilangan pesawat MH370, jika pesawat itu dilaporkan terhempas, kotak hitam sepatutnya dari awal telah menghantar isyarat kecemasan bagi memudahkan ia dikesan, tetapi dalam kes kehilangan MH370 keadaan ini tidak berlaku.

Selepas lima hari, masih belum ada sebarang isyarat diterima daripada kotak hitam MH370.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140313/lu_03/Pakar-cetus-teori-lubang-hitam#ixzz2voUSia9u  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH 370 - Kawasan operasi diperluas







HISHAMMUDDIN Tun Hussein bersama Azharuddin Abdul Rahman (dua, kanan) dan Zulkifeli Mohd. Zin (dua, kiri) pada sidang akhbar di Hotel Sama-Sama, Sepang, semalam. Turut hadir Ahmad Jauhari Yahya (kanan) dan Rodzali Daud. - UTUSAN/RASHID MAHFOF

SEPANG 12 Mac - Operasi mencari dan menyelamat yang masuk hari kelima hari ini diperluaskan sehingga 27,000 batu nautika melibatkan perairan Laut China Selatan (14,440 batu nautika) dan Selat Melaka (12,425 batu nautika).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, secara keseluruhan untuk operasi hari ini sebanyak 42 kapal dan 39 pesawat telah digunakan untuk mengesan kedudukan pesawat MH370.

Beliau berkata, sebanyak 12 negara turut terbabit dalam operasi tersebut dan yang terbaharu melibatkan penyertaan India, Jepun dan Brunei.

"Operasi ini merupakan operasi yang melibatkan banyak negara dan kita amat berterima kasih dengan segala bantuan yang telah diberikan.

"Kita juga sedang bekerjasama dengan pakar-pakar termasuk daripada Boeing, pihak berkuasa penerbangan Amerika Syarikat (AS) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan AS untuk turut serta menyiasat kejadian tersebut," katanya dalam sidang akhbar di pusat media Hotel Sama-Sama di sini hari ini.

Yang turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkefili Mohd. Zin; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud; Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya.

Dalam perkembangan berkaitan Hishammuddin yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan berkata, beliau cukup bersimpati terhadap keluarga penumpang serta anak kapal yang sehingga kini nasib mereka masih belum diketahui.

"Saya memberi jaminan yang kerajaan tidak akan mengurangkan tempoh atau mengurangkan segala usaha dalam kita mencari pesawat yang hilang ini.

"Kita akan berusaha sedaya upaya dengan menggunakan segala aset dan keperluan yang ada sehingga pesawat ini ditemui," ujarnya.

Sementara itu beliau berkata, sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan gerakan mencari dan menyelamat diperluaskan Sabtu lalu, pihaknya setakat ini masih belum menemui pesawat berkenaan termasuk di kawasan baru berdasarkan rekod radar tentera.

"Apabila kita dapati ada kemungkinan pesawat ini dikatakan telah melintasi Selat Melaka, pihak kerajaan terus menghantar kapal-kapal dan pesawat-pesawat untuk melakukan gerakan mencari dan menyelamat," katanya lagi.

Menjawab satu soalan berhubung penemuan mayat di Selat Melaka beliau berkata, perkara itu tidak benar.
Selain itu Hishammuddin turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan menyembunyikan sebarang fakta berhubung kes kehilangan pesawat MH370 daripada pengetahuan umum terutama ahli keluarga.

"Segala maklumat akan disalurkan kepada umum melalui media. Saya sendiri akan berada di sini dalam pukul 5 petang hingga 5.30 petang untuk menyalurkan maklumat terkini kes kehilangan pesawat MAS MH370," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140313/dn_04/Kawasan-operasi-diperluas#ixzz2voNqrclA  © Utusan Melayu (M) Bhd 




Wednesday, 12 March 2014

MH370: Misteri, konspirasi, satu suara dan doa...


Zaini Hassan





PESAWAT Malaysia Airlines (MAS) tidak akan hilang begitu sahaja. Semuanya ada sebab-musabab. Saya doakan semasa tulisan ini dalam proses percetakan atau semasa ia sedang dibaca, MH370 akan ditemui.
Mustahil ia boleh hilang begitu sahaja. Kecualilah jika ada satu `konspirasi maha besar’ melibatkan unsur-unsur duniawi atau alam ghaib, insya-Allah pesawat itu akan ditemui.

Bercakap mengenai konspirasi alam duniawi, ada bermacam-macam teori telah timbul. Yang menakjubkan ia ditulis dengan begitu terperinci, logik dan teliti sekali. Jika diikut akal ada logiknya. Misalnya melalui tulisan yang sedang berlegar sekarang oleh `al-faedah’ berhubung soal `red flag atau false flag’.

Saya tidak mahu mengulas mengenai tulisan itu, tetapi cukup kagum juga dengan usaha yang diambil oleh penulis itu untuk menulisnya dengan begitu detail sekali. Sehingga saat ini saya masih cuba menyelami teorinya dan cuba membaca fikirannya.

Saya juga tertarik untuk memikirkan mengenai teori peralatan simulasi yang dimiliki oleh juruterbang itu dan haluan politiknya. Bagi saya tidak adil untuk mengaitkan semua itu dengan juruterbang berkenaan - waima ia logika sekalipun.

Jika dikaji dari segi usaha mencari dan menyelamat, sudah tentu Jabatan Penerbangan Awam (DCA) yang mengetuai operasi itu akan menolak mentah-mentah semua teori itu.

Tetapi dalam dunia alam maya ini pelbagai teori boleh dilahirkan oleh sesiapa pun di luar sana. Ia lebih membabitkan naluri manusia dan itu adalah normal.

Jika semasa tragedi pesawat terhempas di Pasir Gudang pada 1977 dulu, pelbagai spekulasi berkisar kepada cakap mulut dan akhbar sahaja, dunia digital sekarang telah mengubah sama sekali landskap komunikasi.
Maka itu, terpulanglah kepada kita di alaf baru ini untuk menilai dan memperhalusi maklumat-maklumat sedemikian.

Anggaplah ia sebagai "masuk ke kiri keluar telinga kanan" atau ia akan tertanam di fikiran kita? Atau adakah kita akan terpengaruh dengan pendapat-pendapat itu dan kemudian potong dan tampal tulisan-tulisan itu sehingga ia bercambah-cambah di media sosial? Atau, mungkin ia boleh dijadikan satu kajian imperikal saintifik kemudian hari?

Episod MH370 ini sebenarnya ada hikmahnya. Semua rakyat Malaysia kini bersatu - bersatu untuk mencari jalan, idea, mencipta teori, mengesyor cadangan dan sebagainya - membantu secara tidak langsung untuk merungkai misteri ini.

Walaupun ia tidak akan berupaya untuk mempengaruhi operasi DCA dan SAR, namun ia adalah amat positif.
Positif kerana rakyat Malaysia, sejak sekian lama atas kecelaruan politik, sudah bercakap dalam satu bahasa mengenai satu isu, iaitu mengenai nasib MH37 - dan, bukan lagi mengenai verdict Anwar bin Ibrahim dan nasib politiknya, selepas kurang 12 jam kes rayuannya diumumkan mahkamah!

Ingatlah rakyat Malaysia yang dikasihi, percayalah Allah pernah berfirman "mesti ada jalan keluar". Dalam episod pesawat malang MH370 ini, marilah kita terus berdoa dan bersolat hajat. Amin.

HARI ini pukul 2 petang di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan hadir dalam satu siri wacana profesional.

Ia akan berkisar mengenai isu negara bangsa - bangsa Melayu, rakyat Malaysia dan tanah air tercinta ini. Dan, akhirnya ke mana kita semua akan menuju?

Sudah tentu juga wacana itu turut berkisar mengenai Dr. Mahathir sendiri yang mentadbir negara ini selama 22 tahun serta soal-soal polisi beliau dan selepas eranya.

Ia akan dipermudah cara oleh dua orang alumni UiTM iaitu Datuk Kamaruddin Meranun (Pengerusi Eksekutif AirAsia) dan saya sendiri.

Wacana yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) dan Pusat Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (ICAN) universiti itu akan dihadiri oleh lebih 3,000 hadirin.

Berikut ialah sajak yang akan dideklamasikan oleh bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Prof. Dr. 
Hashim Yaacob yang juga alumni UiTM, pada majlis itu.

Renungilah bersama-sama sajak ini:

KE MANA KAU MELAYUKU

Melayuku di kala ini
di kampung dan di kota
sedang bersengketa mereka.
Berpecah dua dan tiga
Tidak lagi sekata.

Tidak nampak Melayuku ini
pada bara yang pantas menjadi unggun menunggu membakar mereka!

Mari Melayuku kita ke kota:
Melihat gedung jualan, dan
bangunan menyergam
kita pun berasa megah.

Kita pun menjadi jaguh
pada cakap dan pandang.

Yang menyergam itu bukan kita pemiliknya!
Mega pun mendung di langit kita
bumi dipijak rekah tanahnya.

Ombak mengganas di laut luas angin bertiup mati punca.
Di timur matahari tidak bersinar di barat cepat terbenam.
Di utara taufan melanda di selatan api terpadam.

Kita pun memakai kelubung suram gelap pekat warnanya hitam.
Ini warkah durja.
Kutulis di tepian sumur air mataku yang masih boleh mengalir.
Kutulis dengan hati luluh mengenang bangsaku.

Siapa!
Siapa berani meniup angin mengalihkan mendung mematikan taufan, menenangkan ombak,
membawa matahari kembali bercahaya,
menyuburkan bumi,
menyalakan api pelita?

Mari Melayuku kita fikirkan:
Apakah lima puluh tahun nanti di tanah pusaka turun temurun kita ini
kita masih jadi tuannya?

Mari kita fikirkan
cara memadamkan bara
yang kian mengunggun

Menanti membakar kita!
Kalau nanti orang bertanya
mengapa begini Melayu kita?

Katakan, itulah bangsa kita
yang bersengketa
mengambil mudah
dan pelupa.

DATUK PROFESOR
DR. HASHIM YAACOB
Petaling Jaya


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140312/re_06/MH370-Misteri-konspirasi-satu-suara-dan-doa#ixzz2vj6WObou  © Utusan Melayu (M) Bhd


 

MH370 - Empat elemen disiasat






TINJAUAN UDARA PEMANGKU Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin (kanan), Panglima Operasi Tentera Udara, Datuk Seri Ackhbal Samad (kiri) dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar (tengah) membuat tinjauan dari udara ke kawasan sektor Pantai Barat dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370, semalam. - BERNAMA

SEPANG 11 Mac - Fasa baharu siasatan kehilangan pesawat MH370 kini menjurus kepada elemen rampasan, sabotaj serta masalah psikologi dan peribadi yang dihadapi oleh penumpang serta krew pesawat.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung insiden kehilangan pesawat yang menjadi tumpuan seluruh dunia itu.

Sehubungan itu, kata beliau, satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk menyiasat kes berkenaan diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah.

"Siasatan dari pelbagai sudut sedang dijalankan dan kita sedang bekerjasama dengan rakan-rakan risikan dari 14 buah negara termasuk Jerman dan Iran.

"Saya katakan masalah peribadi dan psikologi, sebagai contoh kita melihat jika ada di antara 12 anak kapal dan 227 penumpang itu telah membeli insurans hayat yang memberi pampasan tinggi, jika sesuatu terjadi kepada mereka seterusnya ia (bayaran) akan diberikan kepada ahli keluarganya," katanya di sini hari ini.

Berhubung isu lima penumpang yang dikatakan tidak menaiki pesawat selepas mendaftar masuk dan meninggalkan bagasi mereka di dalam pesawat, Khalid menegaskan:

"Perkara tersebut tidak berlaku kerana siasatan kita mendapati setiap orang yang membeli tiket telah menaiki pesawat berkenaan."

Beliau berkata, hanya ada seorang pelajar perempuan yang tidak menaiki pesawat berkenaan kerana tersilap tarikh penerbangan dan perkara itu telah dimaklumkan kepada Malaysia Airlines (MAS) untuk membatalkan tiketnya.

Menjawab satu soalan beliau berkata, pihaknya bukan sahaja menyiasat dalam konteks keganasan sebaliknya turut mengambil kira tiga lagi elemen lain.

"Kita menyiasat dalam semua aspek dan semua kemungkinan. Oleh itu, kita tidak akan fokus kepada satu elemen sahaja kerana bagi kami di peringkat ini segala kemungkinan perlu diambil kira," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140312/dn_11/Empat-elemen-disiasat#ixzz2vixAIHYo  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Tuesday, 11 March 2014

Pakar 'bingung' pesawat hilang






Kapal Penyelamat Kawalan Pantai China (kanan) dan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia melakukan rondaan di kawasan yang dipercayai MH370 hilang dari radar di perairan Laut China Selatan, semalam. - Gambar Ihsan Unit Perhubungan Maritim Malaysia

KUALA LUMPUR 10 Mac - Rata-rata pakar dan penganalisis penerbangan melahirkan rasa bingung dan terkejut dengan misteri kehilangan pesawat MH370 sejak awal pagi Sabtu lalu.

Penganalisis penerbangan, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini merupakan pengalaman pertama kehilangan pesawat canggih seperti MH370 walaupun beliau telah berkecimpung dalam kerjaya ini selama puluhan tahun.

Bekas Ketua Jabatan Aeroangkasa Universiti Pertanian Malaysia itu berkata, beliau sedaya upaya mengkaji segala macam kemungkinan yang mungkin terjadi kepada pesawat tersebut namun 'buntu' walaupun sudah masuk hari ketiga.

"Kita tahu dan sedia maklum dengan bencana alam dan tragedi akan berlaku dalam mana-mana lapangan. Namun, ini merupakan kejadian pertama yang mempunyai seribu persoalan.

"Saya sendiri tidak pasti apa lagi yang boleh saya komen. Industri penerbangan masih terkejut dan bingung memikirkan segala kemungkinan yang telah terjadi dengan pesawat MH370," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Industri penerbangan Malaysia semalam dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China selepas terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada pukul 2.40 pagi.

Sebanyak 34 pesawat dan 40 kapal milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM) beserta kelengkapan dari Thailand, Singapura, China, Indonesia, Filipina, Australia dan Amerika Syarikat telah dikerahkan untuk operasi mencari dan menyelamat.

Jelas beliau, adalah sesuatu yang luar biasa kerana dalam insiden berkenaan, kapal terbang dan menara kawalan tidak berkomunikasi seperti kebiasaan.

"Menara kawalan tidak menerima apa-apa isyarat, tiada bangkai atau serpihan andai terhempas, tiada isyarat kecemasan. Mungkin juga juruterbang patah balik mengikut gerak hati. Sukar untuk membuat sebarang andaian ketika ini. Semuanya nampak seperti mimpi dan mustahil untuk ditafsirkan.

"Mungkin berlaku perkara yang mengejutkan pada enjin atau letupan sehingga menyebabkan sistem kawalan berada di luar kawalan biasa sehingga menyebabkan terputusnya hubungan," katanya.

Tambahnya, beliau dimaklumkan pesawat MH370 sudah diselenggarakan dua minggu lepas dan sekiranya terdapat kerosakan sekalipun, masih mampu untuk berhubung dengan pusat kawalan.

Pakar Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mohd. Fadzil Mohd. Akhir pula membuat andaian, kemungkinan MH370 terhempas ke laut.

"Ini hanyalah salah satu andaian, mungkin pesawat terhempas dan hanyut ke arah Teluk Thailand, atau ke perairan Malaysia.

"Walau bagaimanapun, semua andaian ini hanyalah kemungkinan yang berlaku kepada pesawat tersebut. Kejadian ini masih kekal misteri dan sukar dijawab," ujarnya.

Sementara itu, seorang juruterbang veteran yang pernah berkhidmat dengan agensi kerajaan mendakwa, dalam tempoh kurang dari 24 jam ini, kemungkinan 'misteri' kehilangan pesawat MH370 akan mendapat petanda penting.

"Saya rasa kita akan dapat dapat sedikit petunjuk dalam tempoh kurang dari 24 jam ini. Kita perlu banyak berdoa dan yakin dengan usaha yang sedang dilakukan oleh semua pihak.

"Tidak mungkin pesawat itu hilang daripada radar begitu sahaja, risiko tersebut sangatlah rendah" katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_08/Pakar-bingung-pesawat-hilang#ixzz2vczdHEdH  © Utusan Melayu (M) Bhd