Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label HARIMAU MALAYA. Show all posts
Showing posts with label HARIMAU MALAYA. Show all posts

Wednesday, 20 January 2016

FAM : Persediaan lebih terancang

SUFIAN HADI SOJAK | 20 Januari 2016 12:32 AM


Ong Kim Swee

KUALA LUMPUR - Datuk Ong Kim Swee menyi­fatkan kuasa penuh yang digalasnya selepas dilantik sebagai pengendali Harimau Malaya membolehkannya merangka persediaan untuk menghadapi sesuatu perlawanan dengan lebih tersusun, berbanding ketika menjadi jurulatih sementara sebelum ini.

Jurulatih berusia 46 tahun itu bagaimanapun berkata perkara pertama dalam fikirannya kini ialah menyediakan skuad yang mantap untuk berdepan dengan Arab Saudi dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 pada Mac nanti.

Katanya, dia berharap dapat mengumpulkan skuad tiga ming­gu awal sebelum perlawanan itu untuk kem latihan selain me­ngadakan perlawanan sebelum dan selepas perlawanan dengan Arab Saudi pada 24 Mac nanti.

“Jadi kita akan ada tiga perlawanan pada Mac nanti. Setiap perlawanan adalah penting kerana daripada situ kita perlu mencapai sesuatu sasaran.

“Tak semestinya untuk meraih kemenangan semata-mata, sebaliknya pendedahan terutama kepada pemain muda, selain memperbaiki kelemahan yang ada di peringkat antarabangsa mahupun tempatan adalah lebih penting.

“Jadual pertama yang saya terima daripada pengelola Liga Malaysia, FMLLP (Football Malaysia Limited Liability Partnership) berhubung kalender tahun ini amat positif. Mereka mengikut rangka jadual yang sudah saya berikan.

“Sebab perlawanan ini (menentang Arab Saudi) amat penting. Walaupun kita sedar peluang sudah tertutup untuk kelayakan Piala Dunia, tetapi aksi berkenaan masih lagi mempengaruhi ranking.

“Jadi perlawanan itu sangat mustahak dan kita harus me­nyiapkan diri dengan lebih rapi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Kim Swee pernah menggalas tanggungjawab jurulatih sementara sebanyak dua kali iaitu ketika mengambil alih jawatan daripada Datuk K. Rajagopal pada 31 Disember, 2013 dan menggantikan Dollah Salleh yang melepaskan jawatan pada September tahun lepas.

Mengulas berhubung cada­ngannya untuk mengadakan antara 10 hingga 12 perlawanan persahabatan kelas A sepanjang tahun ini, pengendali kelahiran Melaka itu berkata, beliau akan lebih banyak menurunkan pemain muda untuk memberikan pendedahan sebelum boleh menyertai barisan utama Harimau Malaya.

“Pemain muda ini sangat penting, sebab kita khuatir jika ada kecederaan yang dialami oleh tonggak Harimau Malaya, maka kita boleh masukkan mereka yang sudah bersedia,” ujarnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/persediaan-lebih-terancang-1.181321#sthash.jOYLYRso.dpuf


Friday, 16 October 2015

Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 : Amri pastikan kemenangan sulung

FADHILUL IZMEL ISHAK | 14 Oktober 2015 12:05 AM


Amri Yahyah memastikan Malaysia membawa pulang tiga mata dari Dili apabila menjaringkan gol pada minit ke-10 dalam pertemuan dengan Timor Leste semalam.

KUALA LUMPUR - Jaringan Mohd. Amri Yahyah menghidupkan peluang tipis skuad Harimau Malaya apabila menumpaskan Timor Leste 1-0 untuk meraih kemenangan pertama mereka dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.

Kemenangan itu menyaksikan pasukan negara melonjak satu anak tangga ke tempat keempat Kumpulan A, di belakang Palestin, selepas mengutip empat mata daripada lima perlawanan dengan mencatat satu kemenangan, seri sekali dan tewas tiga kali. Arab Saudi terus unggul di anak tangga pertama setelah menang semua perlawanan mereka dan diikuti oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Ini adalah kemenangan pertama jurulatih sementara skuad negara Datuk Ong Kim Swee dalam perlawanan kompetitif daripada dua perlawanan sejak menggantikan Dollah Salleh.

Bagaimanapun, ini adalah kemenangan kedua jurulatih Harimau Muda itu, setelah pasukan negara menang 3-1 ke atas Laos di Bangkok minggu lalu.

Malaysia akan menentang Palestin dalam perlawanan seterusnya pada 12 November.

Kejayaan menewaskan Timor Leste tersebut memberi kepuasan kepada Kim Swee apabila skuad negara kini kembali memberi saingan kepada pasukan lain dalam aksi dwi kelayakan tersebut setelah memulakan kempen dengan aksi longlai, termasuk seri dengan Timor Leste di Bukit Jalil.

“Sangat penting untuk kita mendapatkan tiga mata pertama di pe­ringkat kelayakan kerana kita tahu skuad negara memerlukan kemenangan untuk menghidupkan kembali peluang terutamanya untuk ber­akhir di tempat ketiga.

“Satu situasi yang sukar dengan cuaca yang panas (ketika perlawanan). Kita nampak pemain berusaha bersungguh-sungguh jadi gol yang diperoleh bagi saya cukup baik dan kami berjaya bertahan (tidak dibolosi) selama 90 minit permainan,” kata Kim Swee menerusi telefon.

Ketika ditanya mengenai hanya satu gol yang dihasilkan meskipun skuad negara mencipta beberapa peluang bagus, Kim Swee berkata: “Saya tidak peduli tentang apa yang berlaku dalam padang kerana yang penting kita dapat tiga mata.

“Kalau dapat tiga gol tapi dibolosi empat gol kita masih kalah. Apa yang mustahak adalah kita menang dan pemain perlu menjaga disiplin mereka. Saya fikir ini, untuk sekian lama, ini kali pertama kita tidak dibolosi... jadi bahagian pertahanan dan pemain lain telah membuktikan mereka boleh bertahan.”

Skuad negara hanya memerlukan 10 minit untuk berada di depan apabila penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd. Amri, yang menjadi ketua pasukan menggantikan Mohd. Safiq Rahim yang tidak boleh disenaraikan pada saat-saat akhir, menjaringkan gol tunggal perlawanan selepas menerima hantaran lintang daripada Nazirul Naim Che Hashim.

Ketika perlawanan memasuki babak kedua gawang skuad negara berada dalam bahaya apabila Timor Leste kerap melakukan asakan, terutama percubaan daripada Rodrigro Sausa serta Ramon Saro hampir menyamakan kedudukan.

Mengulas mengenai ketiadaan arkitek Harimau Malaya, Mohd. Safiq dalam kesebelasan pasukan, Kim Swee memberitahu bahawa ia adalah disebabkan keputusan komisioner perlawanan yang tidak membenarkan pemain JDT itu diturunkan kerana mengutip kad kuning sewaktu menentang Palestin (16 Jun) dan Arab Saudi (8 September).

“Kita dimaklumkan oleh FIFA bahawa perlawanan menentang Arab Saudi digantung jadi pemain lawan yang menerima kad kuning dilupuskan. Kita menunggu sehingga pada saat akhir iaitu dalam mesyuarat komisioner perlawanan di sebelah petang (kelmarin) dan diberitahu Safiq boleh diturunkan.

“Bagaimanapun semalam (kelmarin) komsioner perlawanan memaklumkan Safiq tidak boleh bermain. Jadi saya terpaksa membuat sedikit pertukaran,” jelasnya.

Tambah Kim Swee keputusannya untuk membawa Safiq adalah bukan disebabkan salah faham cuma tidak mahu terlepas peluang untuk menggunakan khidmat pemain JDT itu sekira­nya kad kuning yang diterima­nya ketika menentang Arab Saudi tempoh hari tidak dikira.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/amri-pastikan-kemenangan-sulung-1.146112#sthash.PqwQAfkw.dpuf

Tuesday, 13 October 2015

Kelayakan ­Piala Dunia ­2018/Piala Asia 2019 : Tak gentar samba Timor Leste

Harimau Malaya turun dengan misi cari kemenangan di Dili

MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI | 13 Oktober 2015 12:14 AM















PASUKAN Harimau Malaya sempat bergambar di Dili semalam, sehari sebelum menghadapi Timor Leste hari ini.

KUALA LUMPUR - WALAUPUN Timor Leste membariskan ramai pemain naturalisasi, terutama dari Brazil, namun itu tidak menggetarkan Harimau Malaya apabila berdepan pasukan itu dalam kelayakan ­Piala Dunia ­2018/Piala Asia 2019 di Dili, hari ini.

Jurulatih Malaysia, Datuk Ong Kim Swee menegaskan, anak-anak buahnya sudah bersedia untuk bangkit daripada kekecewaan diikat Timor Leste 1-1 dalam perlawanan pertama mereka, Julai lalu.

Namun, beliau tetap mengi­ngatkan anak-anak buahnya supaya berwaspada dengan ancaman Timor Leste, yang sudah menunjukkan peningkatan berbanding pertemuan pertama kedua-dua pasukan, tiga bulan lalu.

“Persiapan kita berjalan baik, di mana kita sampai ke Dili dua hari lepas dan semua mengikut perancangan apa yang ingin saya lakukan. Saya harap esok (hari ini) kita akan dapat mempamer aksi terbaik.

“Timor Leste bertambah baik..kita nampak yang mereka mempunyai ramai pemain naturalisasi da­ripada Brazil.

“Kejayaan mereka mendapatkan mata ketika menentang Palestin (1-1) menunjukkan bahawa mereka pasukan yang cukup baik tetapi kita juga melakukan persiapan yang rapi kali ini,” katanya dalam sidang akhbar di Dili, semalam.

Dalam aksi pertama Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, skuad negara diikat 1-1 dengan Timor Leste di Bukit Jalil.

Malaysia kini berada di kedudukan tercorot kumpulan A selepas sekadar mengumpul satu mata dengan tiga kekalahan berturut-turut.

Skuad Kim Swee membawa misi wajib menang ke atas Timor Leste untuk memperbaiki kedudukan, sekali gus mencerahkan peluang beraksi pada pusingan akhir Piala Asia 2019 nanti.

Mengulas mengenai jumlah ja­ringan, Kim Swee berkata, itu tidak penting kerana yang mustahak pa­sukannya menampilkan aksi terbaik dan menunjukkan disiplin serta fokus tinggi dalam perlawanan itu.

“Setiap kali kita bermain semestinya kita akan menjaringkan gol dan terpulanglah berapa jumlah gol dapat dihasilkan, tetapi yang pen­ting kita mendapat keputusan yang baik tidak kira satu, dua atau tiga gol.

“Kalau daripada segi fizikal, Timor Leste mempunyai kelebihan namun sebelum ini ketika perlawanan dengan Arab Saudi mereka juga mempunyai fizikal yang baik .

“Banyak lagi pasukan yang ada fizikal yang bagus, tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk pasukan negara tidak menampilkan aksi terbaik dan kita mempunyai kelebihan kita sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim menuntut rakan-rakan sepasukan menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam perlawanan menentang Timor Leste dan berharap dapat meneruskan momentum kemenangan ke atas Laos minggu lalu.

“Pertama sekali kita tahu pa­sukan Timor Leste bukan pasukan yang sama seperti dulu dan jelas sangat berbeza.

“Jadi kami perlu bersedia daripada segala aspek sama ada taktikal, posisi, kawalan bola dan sebagainya.

“Moral pemain lebih baik ketika ini selepas berjaya melakar kemenangan dengan Laos tempoh hari dan saya harap momentum itu dapat diteruskan dalam perlawanan esok.

“Saya percaya rakan-rakan pa­sukan mahu keputusan yang baik agar kita berada dalam landasan baik untuk saingan ke Piala Asia,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tak-gentar-samba-timor-leste-1.145760#sthash.0JPYqhfi.dpuf

Friday, 9 October 2015

Harimau akhirnya tunjuk belang

09 Oktober 2015 12:19 AM



AZAMMUDDIN AKIL meledak satu gol buat Harimau Malaya ketika menumpaskan Laos di Bangkok, semalam.

KUALA LUMPUR - SKUAD Harimau Malaya ­akhirnya berjaya mencatat kemenangan pertama tahun ini meskipun terpaksa menanti sehingga perlawanan antarabangsa kelapan apabila menundukkan Laos 3-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Thai Army Sports, Bangkok semalam.

Kemenangan itu hadir tepat pada masanya ketika skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee memerlukan motivasi untuk meneruskan kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Timor Leste di Dili, 13 Oktober ini.

Kim Swee nyata gembira de­ngan keputusan yang diraih, apatah lagi mereka berlepas ke Bangkok dalam situa­si tidak menggembirakan selepas menerima kekalahan 0-3 kepada Arab Saudi gara-gara kekecohan yang ditimbulkan penyokong dalam insiden 8 September.

“Satu kemenangan yang bagus untuk pasukan sebab seperti yang anda tahu kami belum pernah menang dalam mana-mana perlawanan pada tahun ini.

“Jadi saya harap dengan keputusan yang bagus ini dapat memberi keyakinan kepada pemain untuk menghadapi Timor Leste.

“Biarpun pemain tidak mempamerkan corak permainan yang seperti diharapkan pada masa-masa tertentu tapi anda perlu faham dengan keadaan padang yang tidak begitu baik dan mereka telah mencuba sedaya termampu untuk memenangi perlawanan ini,” kata Kim Swee.

Kali terakhir pasukan kebangsaan mencatat kemenangan dalam perlawanan antarabangsa adalah ketika menundukkan Thailand 3-2 pada final Piala AFF, Disember tahun lalu.

Dalam perlawanan semalam, dua gol skuad negara diperoleh menerusi pemain Felda United, Christie Jayaseelan pada minit ke-50 dan minit ke-92, manakala satu lagi jaringan dihasilkan oleh Azammuddin Mohd. Akil (minit ke-53).

Harimau Malaya hampir mendapat satu lagi jaringan, namun sepakan penalti yang diambil oleh Mohd. Safee Mohd. Sali gagal disempurnakan.

Gol saguhati Laos diperoleh menerusi jaringan penalti yang disempurnakan oleh Sitthideth Khanthavong pada minit ke-82.

Dalam pada itu, Kim Swee turut memberikan pujian kepada Christie kerana mampu memainkan peranannya dengan baik ketika beraksi bagaimanapun tidak bimbang terhadap Safee kerana gagal menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan.

“Ini satu petanda apabila melihat kepada aksi Christie sebab kita sudah lama tidak menghasilkan tiga gol dalam satu-satu per­lawanan untuk tempoh yang lama kerana apabila dapat melakukannya ia memberikan keyakinan kepada pasukan.

“Mendapatkan dua gol ini membuktikan Christie seorang pemain ada kualiti untuk main di peringkat lebih tinggi.

“Ini berlaku kepada sesiapa pun (gagal menyempurnakan sepakan penalti) dan bagi saya setiap pemain yang gagal melakukannya pasti akan menerima satu tekanan.

“Bagi saya hari ini mungkin bukan hari Safee tapi sumbangan dia untuk pasukan selama 90 minit permainan amat baik,” katanya lagi.

Tambah Kim Swee untuk berdepan menentang Timor Leste di tempat lawan dia berharap agar pemain negara dapat mengekalkan corak permainan berdisiplin kerana menyedari lawan yang bakal dihadapi bukan sembarangan apabila mereka berjaya mencatat keputusan seri 1-1 ketika menentang Palestin dalam aksi dwi kelayakan itu.

Pertahanan Pahang, Razman Roslan dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya menentang Timor Leste menggantikan Mohamad Fadhli Mohd. Shas yang mengalami kecederaan pada buku lali akibat pertemuan tersebut.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/harimau-akhirnya-tunjuk-belang-1.144338#sthash.yGZWGbin.dpuf

Wednesday, 9 September 2015

WORLD CUP/PIALA ASIA : Perlawanan tergantung

FADHILUL IZMEL ISHAK DAN MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI | 09 September 2015 12:54 AM



PEMAIN Arab Saudi Yasyn Aalnakhu (kanan) cuba mengawal bola sambil cuba diasak oleh Azammuddin Akil dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia-Piala Asia di Stadium Shah Alam, Selangor, malam tadi.

SHAH ALAM - Perlawanan Malaysia menentang Arab Saudi dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018-Piala Asia 2019 tergantung apabila segelintir penonton dipercayai dari Ultras Malaya membuat kecoh pada penghujung perlawanan di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Perlawanan itu dihentikan pada minit ke-88 oleh pengadil setelah mercun, bom asap, suar, malah kerusi dibaling ke padang oleh penyokong Malaysia ketika skuad tuan rumah ketinggalan 1-2.

Namun, perlawanan itu setidak-tidaknya membuktikan bahawa pemain-pemain negara telah pulih semangat mereka daripada kekalahan 10-0 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini.

Yang jelas, pengalaman, kepantasan dan kebolehan teknikal individu menjadi jurang pemisah antara kedua-dua pasukan.

Walaupun memberikan persaingan hebat, skuad negara tidak boleh terlalu teruja untuk menghadapi perlawanan mereka seterusnya dalam kempen dwi kelayakkan tersebut apabila persembahan yang dipamerkan oleh anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee kurang meyakinkan apabila gagal mencipta peluang berbahaya untuk merobek gawang lawan.

Dalam perlawanan tersebut tidak banyak gerakan cantik yang berjaya direncanakan oleh Harimau Malaya malah mereka mudah kehilangan bola apabila diasak pihak lawan sekali gus merencatkan gerakan pasukan.

Penjaga gol Arab Saudi, Khalid Sharahili banyak berehat berbanding Khairul Fahmi Che Mat yang bertungkus lumus mematahkan satu demi satu percubaan pasukan lawan.

Lebih mendukacitakan lagi pada separuh masa pertama skuad negara dilihat sukar untuk melepasi garisan tengah padang sebaliknya mereka lebih banyak berkumpul di dalam kawasan kotak penalti Harimau Malaya untuk membantu Khairul Fahmi mengekang asakan lawan.

Ekoran persembahan goyah skuad negara, sekumpulan penyokong tuan rumah berkumpul di satu sudut sambil melaungkan nyanyian mengutuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada minit ke-40 perlawanan sebelum babak pertama tamat tanpa jaringan.

Arab Saudi yang menewaskan Timor Leste 7-0 dalam perlawanan sebelum ini mendominasi perlawanan sebaik sahaja bermula apabila Taiseer Al Jassam melepaskan rembatan leret namun gagal melepasi Khairul Fahmi.

Skuad negara, yang dibimbing oleh jurulatih baharu Datuk Ong Kim Swee, mempunyai peluang terbaik untuk berada di depan seawal minit ke-28 namun sepakan leret pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar melewati tiang gol lawan.

Bermula babak kedua skuad negara bermain lebih kemas dan mendapat peluang pertamanya di dalam kawasan gol namun tandukan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd. Amri Yahyah berjaya ditangkap kemas oleh Khalid.

Akhirnya asakan skuad negara membuahkan hasil apabila serangan balas pantas dari sebelah kanan membolehkan Harimau Malaya gembira buat seketika apabila ketua pasukan Mohd. Safiq Rahim merembat masuk bola umpanan cantik oleh Amri.

Tersentak dengan jaringan itu anak-anak buah Bert van Marwijk mengatur gerakan lebih kemas dan hanya memerlukan dua minit kemudian untuk menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Taiseer setelah berlaku situasi kelam-kabut dalam kawasan kotak penalti Harimau Malaya.

Mohammed Al Sahlawi kemudiannya memastikan tiga mata penting menjadi milik Arab Saudi selepas menanduk masuk bola di penjuru gawang setelah menerima hantaran lintang daripada pertahanan, Yasir Alnakhli pada minit ke-76 sebelum keadaan menjadi kecoh apabila penonton Malaysia mula membakar suar, mercun, malah menanggalkan tempat duduk dan dibaling ke dalam padang sehingga nyaris terkena pemain dan penyokong pasukan pelawat.

Untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk pegawai perlawanan mengarahkan pemain meninggalkan kawasan padang.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/perlawanan-tergantung-1.133626#sthash.aMiJ0925.dpuf

WORLD CUP/PIALA ASIA : Penyokong pula malukan negara!

ZULKIFLEE BAKAR | 09 September 2015 12:54 AM


SEGELINTIR penonton dipercayai Ultras Malaya cetuskan kekecohan dengan membaling kerusi, suar dan mercun ke padang sewaktu perlawanan kelayakan Piala Dunia-Piala Asia Malaysia menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam, Shah Alam, Selangor, malam tadi. utusan/Asyraaf Muqri

KUALA LUMPUR - MEMALUKAN! Itulah perka­taan paling sesuai bagi meng­gambarkan kekeco­han yang dicetuskan oleh penyo­kong bola sepak Malaysia ketika perlawanan antara pasukan Harimau Malaya menentang Arab Saudi dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Segala-galanya bermula ketika perlawanan masuk minit ke-88 apabila segelintir penyokong Malaysia melakukan perbuatan bia­dab melemparkan suar, bunga api dan mercun ke tengah padang menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan ketika Malaysia ketinggalan 1-2.

Sebelum itu Malaysia terlebih dahulu berada di depan melalui ja­ri­ngan ketua pasukan Safiq Rahim pada minit ke-71, sebelum Arab Saudi menyamakan kedudukan pa­da minit ke-73 melalui jaringan Taseer Al Jessam dan menambah jaringan melalui tandukan Al Sahlawi pada minit ke-76

Berikutan keadaan semakin te­gang, pengadil perlawanan Liu Kwok Man dari Hong Kong terpaksa menghentikan perlawanan, sebelum mengarahkan semua pemain masuk ke bilik persalinan, ketika pasukan keselamatan cuba mengawal keadaan.

Apa yang berlaku benar-benar memalukan negara memandangkan perlawanan itu juga disiarkan secara langsung ke beberapa buah negara khususnya Arab Saudi. Ia juga menimbulkan persoalan apa sudah jadi dengan kawalan keselamatan ke atas penonton yang memasuki stadium? Bagaimana mereka boleh membawa masuk mercun, bunga api dan suar ke dalam stadium?

Perkara ini turut dipersoalkan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin melalui akaun Twitter beliau yang antara lain berkata: “Saya ada di Stadium SA (Shah Alam) malam ini. Melihat sendiri insiden yang memalukan. Baling suar salah. Kawalan Stadium.” Beliau turut mempersoalkan, kegagalan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengawal keadaan.

Sesungguhnya apa yang berlaku sekali lagi mencatatkan sejarah hitam kepada bola sepak Malaysia selepas tidak sampai seminggu pasukan negara mengalami kekalahan memalukan dibelasah 10-0 oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi pada Khamis lalu.

Namun begitu perlu dingat, ini bukanlah kali pertama sekelompok penonton yang kononnya meng­anggap diri mereka penyokong tegar bola sepak Malaysia berbuat demikian. Sebelum ini ketika perlawanan Liga Super kejadian seumpa­ma itu sudah berlaku.

Tetapi apakah FAM belajar daripada peristiwa yang terjadi? Kalau dijadikan pengajaran kenapakah peristiwa yang sama boleh berulang dan lebih memalukan ia melibatkan perlawanan bertaraf antarabangsa.

Justeru FAM tidak boleh lagi memandang remeh kebiadaban dan kejahilan penyokong yang berasakan seolah-olah tanpa mereka, sokongan kepada sesuatu pasukan tidak ke mana. Kita mengakui memerlukan penonton untuk memberi sokongan moral kepada pasukan bertanding terutamanya kepada pasukan kebangsaan tetapi biarlah mereka terdiri daripada kelompok yang bertamadun, bukannya samseng bola sepak.

Episod memalukan melibatkan bola sepak Malaysia harus dihentikan. FAM perlu bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menghentikan kegilaan sesetengah penyokong yang memasuki stadium bukannya untuk menonton bola sepak tetapi mahu menimbulkan kekecohan.

FAM perlu memandang serius apa yang berlaku di Stadium Shah Alam malam tadi. Ia bukan sekadar soal keselamatan tetapi juga masa depan bola sepak negara serta imej Malaysia di peringkat antarabangsa. Ini memandangkan Malaysia berhadapan hukuman berat daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) – segalanya kerana kejahilan kita mengawal penonton sendiri.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/penyokong-pula-malukan-negara-1.133629#sthash.F6T0QcqV.dpuf


Tuesday, 8 September 2015

WORLD CUP/PIALA ASIA : Jangan burukkan lagi keadaan

FADHILUL IZMEL ISHAK | 08 September 2015 12:29 AM



ONG KIM SWEE (baju merah) memberi arahan kepada pemain negara dalam latihan terakhir Harimau Malaya menjelang pertemuan dengan Arab Saudi di Stadium Shah Alam, semalam. utusan/Nasirruddin Yazid


KUALA LUMPUR - Sudahlah diaibkan 10-0 oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE), hilang jurulatih dan berdepan kemungkinan hilang Presiden, pa­sukan Malaysia bakal berdepan Arab Saudi pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 hari ini dalam keadaan serba tidak kena.

Justeru, jurulatih sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee merayu kepada penyokong bola sepak negara agar tidak memburukkan lagi keadaan pasukannya dengan membuat kacau di Stadium Shah Alam.

Kata Kim Swee, pasukannya mungkin tidak mampu menjanjikan kemenangan, namun mereka berjanji akan mempamer aksi terbaik dan memberi tentangan kepada Arab Saudi, sekali gus me­nebus aib di Abu Dhabi.

“Sudah pasti tidak mudah buat kami melupakan mimpi ngeri (kalah kepada UAE) dalam masa yang singkat, tetapi pemain masih mempunyai satu hari lagi untuk bangkit dan saya harap mereka akan melakukannya.

“Kami perlukan peluang kedua, malah menagih sokongan daripada penyokong,” kata Kim Swee dalam sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Pada ketika Kim Swee merayu sokongan diberikan kepada skuad Harimau Malaya, pemainnya sendiri sebenarnya perlu melakukan sesuatu untuk kembali mendapat kepercayaan seluruh rakyat negara ini.

Mereka hanya akan memburukkan lagi keadaan sekiranya masih mempamer persembahan tidak bersemangat apabila menentang Arab Saudi, pasukan yang sama handal dengan UAE.

Kebanyakan peminat bola sepak Malaysia sedar untuk menewaskan gergasi Asia yang pernah beberapa kali merasai pentas Piala Dunia itu bukan perkara mudah.

Namun, apa yang dimahukan oleh mereka adalah satu persembahan bersungguh-sungguh ditunjukkan oleh pemain bola sepak negara.

Dalam erti kata lain, sekali pun tewas, usahlah sampai dibelasah dan tumbanglah dalam keadaan bermaruah.

“Saya harap menjelang perlawanan esok (hari ini) tiada sebarang gangguan diterima oleh pasukan. Anda perlu ingat banyak ­aspek serta faktor yang perlu dipertimbangkan sekiranya berlaku kekecohan.

“Peraturan sangat ketat dan saya harap peminat dapat datang memberi sokongan kepada pasukan negara. Saya harap dalam perlawanan esok tiada sebarang insiden yang tidak ­diingini berlaku dan semua orang akan pulang ke rumah dengan selamat,” kata Kim Swee lagi.

Katanya, meskipun Arab Saudi mendapat sentuhan bekas jurulatih Belanda, Bert van Marwijk yang pernah memimpin pasukan lama­nya layak ke final Piala Dunia 2010, namun faktor itu tidak akan menggentarkan Harimau Malaya.

Mereka pasti tidak mahu menghampakan penyokong di Stadium Shah Alam.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jangan-burukkan-lagi-keadaan-1.132929#sthash.v3Gd1lUb.dpuf


Friday, 4 September 2015

Friday, 24 July 2015

Jangan jadi ‘lauk’ – Dollah

Pilihan Malaysia tidak mahu tenggelam dalam ‘lautan merah’ di Bukit Jalil

FADHILUL IZMEL ISHAK DAN ROZAIDI ZULKIFLI | 24 Julai 2015 12:28 AM


DOLLAH SALLEH memerhatikan sesi latihan skuad Pilihan Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam menjelang aksi persahabatan menentang Liverpool, malam ini. UTUSAN/IRWAN MAJID

KUALA LUMPUR - Walaupun Stadium Nasional, Bukit Jalil di­jangka bertukar menjadi lautan ‘merah’ malam ini, namun Dollah Salleh tidak rela melihat Pilihan Malaysia tenggelam di tempat sendiri dan berazam untuk tidak menjadi mangsa belasahan gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool.

Dollah mengakui, berdepan Reds yang dibarisi ramai bintang antarabangsa bukan tugas mudah, tetapi dia tidak akan sesekali membiarkan skuad kendaliannya dibelasah teruk.

“Liverpool adalah pasukan yang tidak perlu diperkenalkan lagi kerana semua orang tahu mereka antara kelab gergasi dunia.

“Menghimpunkan beberapa pemain bertaraf antarabangsa sudah pasti mereka kuat kalau hendak dibandingkan dengan kita (Pilihan Malaysia). Mereka memang pasukan handalan.

“Bagaimanapun saya tidak mahu dalam pertemuan ini nanti kami dibelasah teruk oleh lawan.

“Saya tidak mahu kami menjadi pasukan belasahan. Apa yang penting kami mahu memberi saingan sengit kepada Liverpool kerana saya tidak mahu kami menjadi pelengkap jadual perlawanan mereka semata-mata.

“Saya lihat pemain bersemangat untuk menghadapi perlawanan ini. Semua orang tidak sabar menanti perlawanan kerana saya dapat melihatnya menerusi sesi latihan yang diadakan,” kata Dollah.

Mengulas lanjut mengenai persediaan pemain yang dilakukan dalam tempoh singkat, pe­ngendali berusia 51 tahun itu tidak menafikan dia sedikit bimbang jika anak-anak buahnya gagal membentuk persefahaman dengan baik sewaktu perlawanan.

“Kami membentuk pasukan ini dalam tempoh yang singkat.

“Se­perti yang semua sedia maklum, pemain sedang bercuti ketika saya memanggil mereka dan kami hanya sempat menjalani latihan empat hari, malah ada pemain yang berlatih bersama kami dua hari.

“Keadaan ini sudah pasti merisaukan saya sebab saya khuatir sama ada pemain dapat membentuk keserasian dengan baik sewaktu perlawanan atau tidak,” katanya lagi.

Dollah menyenaraikan skuad Pilihan Malaysia pada 19 Julai lepas bagi memulakan sesi latihan pertama mereka.

Bagaimanapun, pengendali Pilihan Malaysia itu tidak dapat membentuk pasukan terbaik kerana terdapat beberapa pemain yang enggan menyertai pasukan.

Keadaan bertambah malang lagi apabila Dollah terpaksa mencari pengganti pemain import PDRM, Dramane Traore pada saat akhir selepas penyerang Mali itu enggan beraksi atas alasan tidak berada pada tahap kecergasan terbaik.

Penyerang PKNS, Patrick Ro­naldinho dipanggil menyertai Pilihan Malaysia, Selasa lalu untuk melengkapkan skuad Dollah.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jangan-jadi-8216-lauk-8217-8211-dollah-1.116207#sthash.ckI5TmJW.dpuf


Friday, 19 June 2015

Nasib Dollah ditentukan
10 Julai

ABDUL HAFIZ AHMAD | 19 Jun 2015 12:41 AM

Dollah Salleh kelihatan begitu kecewa selepas skuad negara tewas kepada Palestin 0-6 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia-Piala Asia di Stadium Nasional, di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

PETALING JAYA - Nasib Dollah Salleh sama ada akan dikekalkan sebagai ketua jurulatih negara atau sebaliknya ekoran kekalahan teruk 6-0 kepada Palestin, bakal ditentukan Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 10 Julai ini.

Sekalipun jurulatih itu telah ditetapkan Indeks Prestasi Utama (KPI) untuk layak ke Piala Asia 2019 yang perjalanannya masih terbuka, Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan jawatankuasa itu mempunyai budi bicara untuk membuat keputusan sebaliknya.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Amin berkata, setakat ini kedudukan Dollah bersama Harimau Malaya kekal tetapi sebarang rombakan atau tindakan susulan tertentu turut perlu bergantung kepada mesyuarat Exco dan dua lagi jawatankuasa yang turut akan membincangkan laporan jurulatih.

Hamidin turut membayangkan rombakan pemain adalah perlu dilaksanakan memandangkan kekalahan dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018-Piala Asia 2019 di Bukit Jalil, Selasa lalu menyerlahkan ada antara mereka yang tidak menunjukkan komitmen tahap tinggi.

“Setakat ini kedudukan Dollah kekal, kontraknya habis hujung tahun depan. KPI (sebagai ketua jurulatih negara) ialah layak ke Piala Asia 2019, tetapi Presiden dan Exco ada budi bicara untuk membuat keputusan sebaliknya, mengikut peraturan atau kontrak.

“(Semalam) saya adakan mesyuarat dengan Dollah dan staf kejurulatihannya, diikuti dua tiga lagi sesi lampas minda bersama. Dia diarahkan menyiapkan laporan dan bawa kepada Jawatankuasa Teknikal dan Pengurusan Pasukan Kebangsaan pada 6 dan 7 Julai ini sebelum dibincangkan Exco yang dipengerusikan Presiden pada 10 Julai,” katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Hamidin, yang ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman dengan Liga Jepun dan Persatuan Bola Sepak Jepun, turut mengakui kekalahan besar dalam aksi Kumpulan A itu merupakan saat paling sukar dan tidak boleh diterimanya apatah lagi selaku pengurus pasukan negara.

“Apabila habis perlawanan malam itu, saya cakap dengan Dollah - semenjak kita main, kita banyak bolos dan dua kali kena 6-0 (termasuk dengan Oman dalam persahabatan). Cara bertahan kita memang teruk,” tegasnya, yang mendakwa pengurusan pasukan telah memberikan segala layanan terbaik kepada pemain dan pegawai sepanjang persiapan selama sebulan untuk menghadapi pertandingan itu.

Mengenai kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kelmarin supaya pasukan negara tidak lagi menggunakan khidmat pemain Johor Darul Ta’zim kerana sering dipersalahkan apabila kalah teruk, Hamidin berkata: “saya rasa itu pandangan peribadi beliau tetapi bukanlah jalan keluarnya.

“Kami akan terus memilih pemain yang terbaik dan berkeinginan bermain untuk negara. Kami juga sudah ada garis panduan (tentang hal ini) - mana-mana pemain yang dipanggil jurulatih (Malaysia) perlu hadir ke kem latihan pusat kecuali cedera,” katanya.

Namun beliau yakin berdasarkan sistem kelayakan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) bagi Piala Asia 2019 di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), peluang dan perjalanan anak-anak buah Dollah masih jauh lagi antaranya menerusi pencapaian tempat ketiga dan keempat setiap kumpulan selain play-off antara 12 pasukan terbawah untuk merebut baki lapan tempat.

Mengenai terdapatnya hasrat Tengku Abdullah sendiri untuk melepaskan jawatan Presiden FAM sekiranya skuad Dollah masih tidak melepasi KPI (layak Piala Asia 2019), kata Hamidin: “Itu hak individu, hak Presiden. Kalau hasratnya begitu, bererti sesuatu yang dipandangnya serius. Juga satu cabaran kepada pasukan untuk bangkit balik.”

Mesyuarat Exco FAM pada 10 Julai nanti juga dijangka membincangkan prestasi hambar skuad Bawah 23 dan Bawah 22 tahun negara bimbingan Datuk Ong Kim Swee dan Razip Ismail masing-masing dalam Sukan SEA Singapura yang baru tamat dan Kelayakan Asia Mac lalu.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/nasib-dollah-ditentukan-8232-10-julai-1.104485#sthash.mcrzTHUb.dpuf

Thursday, 18 June 2015

FAM jangan ulangi kesilapan

17 Jun 2015 12:18 AM

MALAYSIA menutup kempen bola sepak Sukan SEA 2015 bersama kegagalan selepas terkandas di peringkat kumpulan apabila tewas kepada Vietnam dan Thailand.

SINGAPURA – Anti-klimaks. Kegagalan skuad bola sepak mara ke separuh akhir buat pertama kali sejak Sukan SEA 2007 Korat bagai menghilangkan seri kontinjen negara yang menutup kempen dengan meraih 62 pingat emas di Singapura.

Apatah lagi, mereka sudah pun tersingkir sebelum Sukan SEA dibuka secara rasmi pada 5 Jun ekoran tumpas kepada Vietnam dan Thailand dalam saingan Kumpulan B.

Fakta bahawa pasukan kali ini memang tiada ciri-ciri juara sudah mula kelihatan sejak perlawanan pembukaan menentang Timor Leste, yang menyaksikan Malaysia sekadar menang tipis 1-0.

Penggantungan enam perlawanan yang diterima Muhammad Nazmi Faiz Mansor memburukkan lagi keadaan buat pengendali skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee.

Dia jelas bergelut untuk mencari pemain yang memiliki tahap kecergasan terbaik kerana anak-anak buahnya bagaikan `kurang angin’ semasa berdepan Vietnam dan Thailand.

Begitupun Kim Swee tidak boleh dipersalahkan 100 peratus kerana sebahagian besar anggota skuad bawah 23 tahun negara bukanlah muka-muka yang sentiasa beraksi dalam kesebelasan utama skuad negeri masing-masing se­perti Mohd. Fandi Othman, Gary Steven Robbat, D. Saarvindran dan Shahrol Saad.

Malah, Kim Swee langsung tidak diberi ruang membentuk skuad ini sejak awal selepas tugas membimbing pasukan dalam kempen kelayakan Piala AFC bawah 23 tahun dan Liga Si­ngapura (S-League) diberikan kepada Razip Ismail.

Keputusan Jawatankuasa Pe­ngurusan Pasukan Kebangsaan itu nyata menimbulkan persoalan dan tidak keterlaluan untuk dilabel sebagai melucukan.

Seperti meletakkan dua nakhoda dalam satu kapal, keputusan kucar-kacir akhirnya membawa kehancuran kepada pasukan bawah 23 tahun, selain ketiadaan skuad Harimau Muda A yang dibubarkan secara tiba-tiba.

Nasi sudah menjadi bubur dan apa yang berlaku pada Sukan SEA 2015 perlu dijadikan pengajaran oleh FAM bagi memastikan skrip yang sama tidak berulang di Kuala Lumpur, dua tahun lagi.

Perancangan perlu bermula dari sekarang untuk membentuk skuad yang benar-benar bersedia dan matang sepenuhnya.

Masih ada 10 pemain yang boleh bermain di Sukan SEA Kuala Lumpur, namun persoalannya adakah mereka mampu menjadi pemain lebih baik pada waktu tersebut atau kekal di takuk lama?

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/fam-jangan-ulangi-kesilapan-1.103736#sthash.vu5IXy5x.dpuf

PIALA DUNIA DAN PIALA ASIA : Mengecewakan, memalukan!

Palestin belasah Malaysia tanpa belas kasihan

FADHILUL IZMEL ISHAK DAN MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI | 17 Jun 2015 1:15 AM


KAPTEN Malaysia, Safiq Rahim (8) dan Mahali Jasuli tidak mampu menahan kecewa selepas Harimau Malaya dibelasah 0-6 oleh Palestin dalam kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam. UTUSAN/Roy Azis Abd. Aziz

KUALA LUMPUR - Tiada apa lagi yang boleh diperkatakan tentang pasukan Harimau Malaya selepas di­belasah 0-6 oleh Palestin dalam perlawanan kedua kelayakan Pia­la Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Kekalahan memalukan itu me­nimbulkan persoalan mengenai kemampuan skuad negara untuk mengharungi perlawanan seterusnya apabila berdepan lawan yang jauh lebih kuat.

Malah semalam, sorakan padu yang pada awalnya diberikan penyokong Harimau Malaya bertukar menjadi ejekan serta hinaan selepas anak-anak buah Dollah Salleh langsung tidak bermaya untuk memberi tentangan.

Dollah sendiri tidak mampu menyembunyikan kekecewaannya melihat prestasi hambar anak-anak buahnya, yang sebelum ini nyaris dimalukan Timor Leste dalam aksi pembukaan apabila seri 1-1, minggu lalu.

“Saya benar-benar kecewa dengan cara pemain beraksi. Saya tidak menyangka bahawa mereka mudah mengalah selepas lawan mendahului 2-0.

“Apabila kedudukan menjadi 3-0 sebelum tamat separuh masa mereka seperti rebah. Saya cuba memberikan kata-kata semangat kepada mereka, namun nasi sudah menjadi bubur.

“Daripada gawang gol sehinggalah bahagian serangan semua­nya sudah berputus asa,” katanya kepada pemberita sebaik saja perlawanan tamat.

Gawang negara yang dijaga oleh Mohd. Farizal Marlias mudah dibolosi oleh penyandang juara Piala Cabaran 2014, Palestin seawal minit kelapan menerusi rembatan kencang pemain pertahanan, Mu­sab Battat yang menyambut bola susulan berpunca daripada sepakan penjuru.

Benteng pertahanan skuad negara sekali lagi dibolosi menerusi jaringan penyerang, Sameh Maraaba selepas dia menerima hantaran cantik daripada Matias Hadwa pada minit ke-22 menjadikan kedudukan 2-0.

Belum sempat pengadil perlawanan meniup wisel untuk menamatkan babak pertama, skuad kendalian Abdalnasser Barakat menambah derita Harimau Malaya.

Penyerang, Tamer Seyam menerusi gerakan solo dalam kotak penalti berjaya menggelecek tiga pertahanan Malaysia sebelum menewaskan Farizal.

Bagaikan tersentak dengan keputusan perlawanan anak-anak buah Dollah cuba mengatur sera­ngan ke arah kubu lawan, namun percubaan penyerang Selangor, Muhammad Afiq Azmi nyata tidak memberi sebarang impak untuk mengubah kedudukan.

Serba tidak mengena buat pasukan Harimau Malaya apabila Matias mudah membawa bola melepasi celah kaki Mohd. Fadhli Shas untuk membuat hantaran kepada Khader Abuhammad bagi mengukuhkan kedudukan 4-0 pada minit ke-63.

Palestin terus berpesta apabila Sameh mudah menyumbat gol pada minit ke-75 selepas menanduk bola ke dalam gawang hasil hantaran rakan sepasukan, Tamer.

Ketika perlawanan berbaki empat minit untuk ditamatkan, Tamer memastikan mereka pulang bersama kemenangan besar apabila berjaya menyumbat gol keenam perlawanan berpunca da­ripada hantaran leret Mohammed Abukhamis.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/mengecewakan-memalukan-1.103841#sthash.amT1a0G1.dpuf

PIALA DUNIA DAN PIALA ASIA : Dollah enggan angkat bendera putih

FADHILUL IZMEL ISHAK | 18 Jun 2015 1:05 AM


PEMAIN Malaysia, Amri Yahyah membuat percubaan sambil cuba dihalang oleh dua pemain Palestin, Ahmed Mahajna (dua dari kanan) dan Tamer Seyam (tengah) dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia-Piala Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelmarin. AFP


KUALA LUMPUR – “Saya bukan pe­ngecut.”

Itu tegas pengendali skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh apabila ditanya apakah dia bersedia mele­takkan jawatan selepas pasukannya diaibkan 0-6 oleh Palestin dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.

Ini adalah kali kedua pasukannya kalah dengan jaringan setengah dozen setelah tumpas kepada Oman dalam perlawanan persahabatan di Muscat pada 26 Mac lalu.

Jurulatih berusia 51 tahun itu mengakui, dia amat kecewa dengan persembahan pasukannya, namun itu tidak bermakna dia perlu me­ngalah kerana tugas skuad Harimau Malaya belum selesai dan mereka masih mempunyai beberapa perlawanan penting untuk diharungi.

Tegas Dollah lagi, tiada sebab dia perlu berundur sekarang kerana apa yang mustahak ketika ini adalah melakukan lebih banyak perubahan terhadap pasukan untuk perlawanan seterusnya.

“Banyak perubahan yang perlu saya lakukan selepas melihat perlawanan ini dan saya amat dukaci­ta dengan persembahan Harimau Malaya pada malam ini (kelmarin) kerana saya lihat begitu banyak kelemahan berlaku. Pemain seperti berputus asa selepas ketinggalan 3-0 pada babak pertama.

“Saya lihat di bahagian tengah cukup longlai, begitu juga di pertahanan. Pemain seperti mahu mencukupkan masa penuh perlawanan semata-mata.

“Untuk menghadapi perlawanan seterusnya, banyak perubahan yang perlu dilakukan dan saya akan berbincang dengan pegawai pasukan. Bagaimanapun, saya tidak akan gugurkan semua pemain yang saya ada ketika ini sebab kalau saya buat macam itu siapa lagi yang saya patut panggil.

“(Kalau nak) diikutkan saya ada senaraikan beberapa pemain muda tetapi mereka tidak dapat menyertai kami kerana terpaksa mewaki­li negara dalam Sukan SEA di Singa­pura.

“Apa pun, perubahan tetap akan dilakukan dan saya memang tidak puas hati dengan pasukan yang ada sekarang,” katanya.

Dalam perlawanan tersebut, skuad negara dengan mudah dibolosi tiga kali sebelum babak pertama tamat dan Palestin terus berpesta gol dengan menambah tiga lagi sebelum wisel penamat dibunyikan.

Malaysia memiliki beberapa peluang untuk menghasilkan gol, namun tiada satu pun percubaan pemain tuan rumah dapat me­nembusi gawang Palestin dan itu membuktikan ketumpulan jentera serangan perlu diperbaiki.

“Ini merupakan perlawanan terburuk yang saya pernah alami sebagai jurulatih skuad negara dan tidak sangka gawang kami mudah dibolosi hingga enam gol.

“Bahagian serangan ada melancarkan beberapa gerakan bahaya, namun entah mengapa mereka hilang kawalan bola dan pihak lawan mudah merampas bola daripada pemain kita,” katanya lagi.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/dollah-enggan-angkat-bendera-putih-1.104031#sthash.xtLs0Ndd.dpuf


Bola sepak perlu pandang ke timur

MUHAMMAD AFIFI 
ABDUL RAZAK | 18 Jun 2015 1:32 AM


PENYERANG Harimau Malaya, Mohd. Amri Yahya memohon maaf kepada penyokong pasukan negara selepas tewas kepada Palestin 0-6 pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Bukit Jalil, kelmarin. BERNAMA

SENARIO bola sepak Malaysia sekali lagi mempamerkan cerita duka. Selepas pasukan Harimau Muda gagal di Sukan SEA, Singapura, ‘abangnya’, Harimau Malaya pula ‘terkial-kial’ mencari rentak bagi menghadapi saingan kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.

Selepas dua perlawanan awal, Harimau Malaya bukan sahaja gagal ‘membaham’ pasukan yang dianggap lemah apabila seri 1-1 dengan Timor Leste bahkan tewas 0-6 kepada Palestin.

Hanya berita perkembangan terkini pasukan remaja Malaysia di bawah kendalian Lim Teong Kim di Eropah menjadi penawar dan harapan kepada masa depan bola sepak Malaysia. Apa yang pasti, pasukan negara, khasnya Harimau Muda, perlu satu perubahan besar bagi memastikan survival, sekurang-kurangnya di peringkat Asia.

Malaysia bukannya ‘pendatang baru’ dalam dunia bola sepak Asia. Sejarah bola sepak negara bermula sejak zaman sebelum merdeka lagi. Apabila Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957, sukan bola sepak negara berkembang selaras dengan kemajuan negara.

Bekas Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, yang pernah menerajui AFC, memperkenalkan kejohanan Pesta Bola Merdeka - antara kejohanan bola sepak tertua di Asia. Pasukan Malaysia juga pernah layak dua kali ke Sukan Olimpik iaitu di Munich, Jerman, pada 1972, dan di Moscow, Russia, pada 1980.

Di rantau Asia Tenggara, Malaysia pernah menjadi ‘kuasa’ bola sepak yang digeruni. Malah, di rantau Asia, Malaysia pernah sebaris dengan pasukan tersohor Asia seperti Jepun dan Korea Selatan. Beberapa pemain kebangsaan juga pernah membarisi pasukan Asian All Stars. Entah bagaimana, tiba-tiba, prestasi pasukan bola sepak Malaysia semakin malap dan merudum.

Pengenalan Liga Semi Profesio­nal pada akhir 1980-an jelas tidak banyak membantu meningkatkan prestasi pasukan bola sepak Malaysia. Sebaliknya, sukan nombor satu itu terpalit dengan beberapa insiden rasuah yang menyaksikan beberapa pemain tempatan dan kebangsaan ditahan dan ‘dibersarakan’ terus.

Beberapa perkembangan terkini dikatakan telah dan sedang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pun begitu, prestasi pasukan bola sepak Malaysia yang tidak menentu mengundang pelbagai persoalan. Sejauhmanakah keberkesanan program pembangunan sukan bola sepak di Malaysia? Apakah fungsi dan peranan FAM dan Kementerian Belia dan Sukan dalam merencana pembangunan sukan bola sepak dan pasukan bola sepak Malaysia?

Antara faktor yang mendorong kemerosotan prestasi pasukan bola sepak Malaysia, khasnya Harimau Malaya dan Harimau Muda, secara tidak langsung, ialah, pertama, tiada atau kurangnya elemen pemantauan dalam pengurusan kedua-dua pasukan ini.

Kedua, jadual pertandingan liga tempatan yang ketat menyebabkan prestasi pemain kebangsaan merosot. Ketiga, kegagalan pasukan kebangsaan untuk menghasilkan beberapa ‘key player’ untuk menerajui barisan pertahanan, tengah dan serangan.

Pasukan Malaysia juga tidak mampu melahirkan walau seorang pun penyerang ‘deadly striker’ yang bukan sahaja lincah menggelecek, malah mampu menjaringkan gol dalam apa jua keadaan.

Keempat, hampir tiada langsung elemen dan sumbangan ‘sains sukan’ dalam pembangunan pemain dan pasukan bola sepak Malaysia; dan kelima, kebanyakan pemain bola sepak kebangsaan bermain ‘ala kadar’, tidak sebagaimana yang dipamerkan ketika mewakili pasukan kelab ataupun negeri yang telah membayar mereka dengan imbuhan dan gaji berpuluh ribu ringgit.

Justeru pasukan bola sepak Malaysia disaran ‘memandang ke timur’ bagi mencari ubat terhadap kemerosotan prestasi pasukan bola sepak Malaysia.

‘Dasar pandang ke timur’ ini jelas sekali bukan sahaja baik untuk aspek pembangunan ekonomi di Malaysia, malah mampu membantu menghidupkan kembali ‘roh’ dan ‘semangat’ pasukan bola sepak Malaysia yang semakin hari semakin hilang.

Ini bermakna pasukan bola sepak Malaysia boleh mengambil contoh dan model beberapa pasukan dari Asia Timur yang sedang meningkat maju seperti Jepun, Korea Selatan dan China. Ketiga-tiga pasukan ini bukan sahaja pernah layak ke Piala Asia, tetapi juga pernah beberapa kali layak ke Piala Dunia dan Piala Konfederasi.

Jepun mempunyai Visi 100 Tahun yang menjadi panduan utama dalam program pembangunan bola sepak negara itu. Liga J yang dibentuk pada akhir 1980-an telah mengangkat prestasi pasukan Jepun sehingga layak ke Piala Dunia bahkan muncul antara 16 pasukan terbaik dalam Piala Dunia 2002.

‘Visi 100 Tahun’ bola sepak Jepun ini sebenarnya dibentuk berdasarkan kepada model sukan bola sepak dalam komuniti di Eropah dengan mengambil Jerman sebagai negara contoh. Kelab-kelab bola sepak profesional di Jerman ialah sebuah entiti yang bersifat komprehensif iaitu seluruh keluarga, bermula dari usia kanak-kanak sehingga dewasa, boleh menikmati kemudahan bermain bola sepak di kelab-kelab tersebut. Malah, kemudahan sukan bola sepak disediakan oleh kerajaan di hampir semua kawasan kediaman termasuk latihan profesional kepada mereka yang berminat.

Walaupun bola sepak Jepun pernah melalui ‘zaman gelap’ apabila disisihkan selama beberapa tahun daripada dunia bola sepak berikutan Perang Dunia Kedua, perancangan teratur dan wawasan tinggi akhirnya meletakkan pasukan negara matahari terbit ini di tempat selayaknya.

Di bawah jurulatih Jerman, Dettmar Cramer, pasukan bola sepak Jepun mara ke peringkat suku akhir Sukan Olimpik di Tokyo pada 1964 dan memenangi pingat gangsa dalam Sukan Olimpik di Mexico City empat tahun kemudian. Jepun juga layak buat pertama kalinya menyertai kejohanan Piala Dunia di Perancis pada 1998.

Pada 2002, Jepun dan Korea Selatan melakar sejarah apabila dipilih sebagai penganjur bersama Piala Dunia.

Sejak itu, pasukan bola sepak Jepun tidak menoleh ke belakang lagi apabila berjaya melayakkan diri beberapa kali ke kejohanan Piala Dunia di Jerman (2006), Afrika Selatan (2010) dan Brazil (2014).

Pasukan bola sepak Jepun juga telah menghasilkan banyak pemain berkaliber seperti Kunishige Kamamoto (penjaring terbanyak Sukan Olimpik 1968), Yasuhiko Okudera (pemain Jepun pertama bermain dalam Busdesliga di Jerman), Kazuyoshi Miura (pemain kelahiran Brazil-Jepun yang diiktiraf sebagai Pemain Terbaik Asia 1993), Hidetoshi Nakata (pemain terbaik Asia 1997 dan 1998), Shunsuke Nakamura (pemain terbaik dalam Liga Scotland 2007), serta Shinji Ono (pemain terbaik Asia 2002).

Demikianlah kisahnya bagaimana Jepun mencatatkan kejayaan membangunkan pasukan bola sepaknya hingga berjaya mencapai satu tahap yang sangat membanggakan pada hari ini.

Malaysia juga tidak mustahil untuk mencapai kejayaan sebagaimana Jepun. Malah, Malaysia juga boleh berjaya seperti pasukan Asia lain, Korea Selatan dan China. Prasyarat bagi kejayaan ini ialah mesti ada perubahan besar kepada pasukan bola sepak Malaysia.

Beberapa cadangan boleh dipertimbangkan. Pertama, Malaysia mesti melantik jurulatih asing yang berkaliber dari negara yang mempunyai ‘budaya tinggi’ dalam sukan bola sepak, dan kedua, cadangan untuk mengambil pemain bukan kelahiran Malaysia secara proses naturalisasi mesti dipertimbangkan.

Ketiga, aspek sains sukan khasnya dalam membentuk sahsiah, jasmani, mental serta kualiti pemain mesti digabungkan dalam program pembangunan bola sepak Malaysia.

Keempat, kejohanan liga tempatan mesti diurus secara teratur dan lebih profesional dan tidak membebankan pemain-pemain dalam pasukan kebangsaan. Kelima, pasukan bola sepak kebangsaan mesti didedahkan dengan perlawanan bertaraf ‘A’ untuk menimba pengalaman dengan sebanyak mungkin. Dan akhir sekali ‘memasarkan’ pemain-pemain muda negara untuk bermain dengan kelab-kelab di luar negara khasnya di Asia.

Apa yang paling penting ialah bagaimana menjadikan sukan bola sepak sebagai satu ‘budaya’ di Malaysia sebagaimana yang wujud di Jepun dan kebanyakan negara di Eropah.

Program pembangunan bola sepak di Malaysia yang ada pada hari ini dilihat kurang membantu dalam meningkatkan prestasi sukan bola sepak dan pasukan bola sepak Malaysia. Jika kita masih ingin menunggu hasilnya, berdasarkan kepada perkembangan terkini, adalah agak sukar dan mungkin akan menjadi satu usaha yang sia-sia sahaja.

Satu proses transformasi pasukan bola sepak Malaysia secara besar-besaran mengambil model negara-negara di Asia Timur sebagai contoh mesti dilakukan di samping usaha membudayakan sukan bola sepak dalam kalangan rakyat.

Semoga pasukan Harimau Malaya dan Harimau Muda dapat bangkit dan kembali mengaum di dalam gelanggang sukan bola sepak Asia serta mampu bersaing sebaris dengan pasukan bola sepak tersohor dunia. Ayuh! Bangkitlah Harimau Malaya!

PENULIS ialah pensyarah bidang 
sains politik di Pusat Pengajian 
Antarabangsa, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah Darulaman.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/bola-sepak-perlu-pandang-ke-timur-1.104226#sthash.lq3fphqo.dpuf

KELAYAKAN PIALA DUNIA DAN PIALA ASIA : Nasihat dari Palestin

FADHILUL IZMEL ISHAK | 18 Jun 2015 1:05 AM


PEMAIN-pemain Palestin meraikan kemenangan besar 6-0 ke atas Malaysia dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018-Piala Asia 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelmarin. AFP

KUALA LUMPUR - Sama ada nasihat atau sindiran, ada benarnya apa yang dikatakan oleh jurulatih Palestin, Abdel Nasser Barakat mengenai skuad Harimau Malaya.

Abdel Nasser mencadangkan agar skuad dikendalikan oleh Dollah Salleh itu dirombak secara besar-be­saran selepas mencatat keputusan memalukan, tewas 0-6 kepada pa­su­kannya kelmarin.

Walaupun sebelum perlawanan bermula dia telah menjangkakan pa­sukannya akan menang, tetapi Abdel Nasser seperti tidak percaya de­ngan prestasi longlai yang dipamerkan pemain-pemain Malaysia dalam perlawanan kedua kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 kelmarin.

Malah, dia mengakui terkejut apabila melihat betapa mudahnya anak-anak buahnya merobek gawang skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional.

“Ya, kami memang menjangkakan akan menang tetapi saya amat terkejut dengan keputusan perlawanan malam ini (kelmarin), malah saya tidak sangka kami mampu memperoleh jaringan yang sangat besar.

“Saya juga tidak sangka bahawa kami mampu mendahului tuan rumah 3-0 pada separuh masa dan saya mendapati pemain lawan sudah berputus asa ketika kami mempunyai kelebihan tiga gol. Mereka seolah-olah tidak cuba untuk melawan.

“Saya fikir mereka (FAM) perlu buat yang sama seperti kami lakukan. Kami merombak keseluruhan skuad melibatkan hampir kesemua pemain. Kami menggantikan pemain yang sudah berusia dengan yang lebih muda.

“Saya tahu Malaysia memiliki pemain muda yang ramai dan mungkin mereka (FAM) perlu mengambil langkah drastik seperti kami,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Abdel Naser melakukan 15 pertukaran terhadap skuadnya dengan memasukkan pemain berusia antara 20 hingga 24 tahun selepas mereka tersingkir di peringkat kumpulan dalam kejohanan Piala Asia 2015 di Australia pada Januari lalu.

Sambil mengakui, bahawa pasukannya meraih kemenangan mudah dalam perlawanan menentang Malaysia, katanya matlamat untuk membina skuad masa depan negaranya seperti mula membuahkan hasil.

“Ini perlawanan paling mudah untuk kami sebab kami mampu menyumbat tiga gol pada separuh masa. Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami masih baharu kerana pemain sedia ada ini jauh lebih muda dan mereka masih memerlukan pengalaman serta pendedahan.

“Memang matlamat saya ialah merangka pasukan ini untuk masa hadapan tetapi kami berjaya memasuki pusingan kelayakan ini dan secara tidak langsung pemain boleh menimba pengalaman serta mencatat kemenangan untuk menaikkan lagi semangat.

“Bagus untuk kami sebab menang 6-0 walaupun pemain kami belum cukup pengalaman. Kami kehilangan beberapa pemain terbaik, antara empat hingga lima orang kerana mereka cedera. Kami juga tidak memiliki bajet besar untuk membina pasukan dan saya fikir semua orang pun tahu satu lagi fakta mengenai kami (negara bergolak),” katanya lagi.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/nasihat-dari-palestin-1.104041#sthash.ImyfJrD4.dpuf


Friday, 12 June 2015

KELAYAKAN PIALA DUNIA DAN PIALA ASIA : Harimau tak mampu baham Timor Leste

FADHILUL IZMEL ISHAK DAN MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI | 12 Jun 2015 1:00 AM


Reaksi kecewa terpapar pada wajah pemain-pemain Malaysia selepas sekadar seri 1-1 dengan Timor Leste dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018-Piala Asia 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam. utusan/Farid Janudin

KUALA LUMPUR - Ketika kemenangan sudah hampir menjadi milik Malaysia, kealpaan pada waktu kecederaan membolehkan Ramon De Lima Saro menghukum Harimau Malaya apabila membantu Timor Leste mengikat kedudukan 1-1 dalam perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

“Saya sangat kecewa dengan persembahan keseluruhan pasukan selepas mereka gagal mengambil peluang menewaskan lawan yang hanya membuat persiapan dalam tempoh yang cukup singkat.

“Saya tidak sangka dalam sekelip mata keputusan perlawanan berubah,” kata jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh, yang kini berdepan tugas getir apabila menentang Palestin dalam aksi kedua, Selasa depan.

Biarpun berjaya mendahului pada minit ke-34 menerusi Safee Sali, iaitu jaringan pertama penye­rang senior negara itu bersama Harimau Malaya sejak November lalu, namun secara keseluruhan tidak banyak percubaan yang dilakukan pemain negara.

Sebaliknya, Timor Leste yang dibimbing Fabio Joaquim hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-42 selepas penyerang naturalisasi, Patrick Fabiano menembusi gawang Malaysia, namun jaringannya dibatalkan oleh pengadil kerana ofsaid.

Sebaik saja babak kedua bersambung, pemain negara mengasak ke kubu lawan, malah dihadiahkan sepakan bebas oleh pengadil, namun peluang tersebut disia-siakan apabila tiada sebarang percubaan bahaya berjaya dihasilkan.

Ketika pasukan tuan rumah sibuk mengasak kubu lawan, Timor Leste sekali lagi hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-76 selepas penyerang kelahiran Brazil, Rodrigo Sousa melakukan sepakan bebas dari jarak 25 meter, namun percubaannya terkena palang gol Malaysia.

Penjaring terbanyak Selangor, Muhammad Afiq Azmi gagal menyempurnakan dua peluang terbaik untuk menghasilkan gol selepas percubaannya berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol lawan, Ramos Maxanches.

Ketika perlawanan hampir berpihak kepada Harimau Malaya, Timor Leste berjaya mencuri satu mata berharga hasil jaringan Ramon pada masa kecederaan selepas dia berjaya menanduk masuk bola sepakan bebas, Juninho Aparecido.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/harimau-tak-mampu-baham-timor-leste-1.101856#sthash.BBEkHQh1.dpuf


Thursday, 11 June 2015

KELAYAKAN PIALA DUNIA DAN PIALA ASIA : Kehadiran Safiq buat Dollah lega

10 Jun 2015 1:59 AM


KUALA LUMPUR – Pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh lega kerana dia dapat menggunakan kembali khidmat pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd. Safiq Rahim apabila skuadnya memulakan kempen kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia menentang Timor Leste di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.

Safiq terlepas perlawanan pemanas badan menentang Hong Kong pada minggu lalu kerana menerima kad kuning ketika bertemu Oman dalam perlawanan persahabatan pada 26 Mac lalu.

Kehadiran semula Safiq ke dalam kem latihan nyata melegakan Dollah yang memerlukan pemain yang bijak melorongkan bola kepada jentera serangan malah antara pakar sepakan bebas terbaik di rantau ini.

“Tidak dapat dinafikan dia (Safiq) kerap membantu jentera serangan skuad kita, malah pada masa sama dia juga berkebolehan bertindak sebagai penyerang. Jadi kehadiran pemain yang memiliki kaliber seperti dia amatlah diha­rapkan.

“Dalam setiap perlawanan saya lihat dia (Safiq) begitu bersemangat untuk mencari gol. Saya percaya dengan kemasukan Safiq mampu menyemarakkan lagi semangat rakan sepasukannya dan saya percaya dia membuatkan pasukan menjadi lebih mantap,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, Dollah turut menjelaskan kecederaan yang dialami oleh penjaga gol Mohd. Farizal Marlias (lutut) serta pemain tengah Junior Eldstal (koyak tendon) kian pulih dan mereka berkemungkinan beraksi pada malam esok.

“Kalau nak diikutkan kecederaan Junior tidak begitu serius, dia boleh main cuma setiap kali selepas beraksi dia akan rasa sakit. Dia ada memberitahu saya bahawa dia tidak sabar untuk beraksi menentang Timor Leste dan semangat seperti ini yang saya mahukan.

“Farizal pula, semasa latihan saya lihat tiada masalah cuma dia berasa sakit setiap kali dia merebahkan badan. Tetapi ahli fisioterapi pasukan memberitahu buat masa sekarang dia tiada masalah,” katanya lagi.

Dollah turut memberitahu dia kini sedang menggandakan usahanya mencari kombinasi terbaik dalam membentuk kesebelasan utama menjelang perlawanan esok.

“Ini merupakan fasa terakhir kepada persiapan kami, jadi saya lebih tumpukan kepada latihan kesebelasan utama dan saya lihat banyak peningkatan yang dilakukan oleh pemain. Sekarang ini saya cuma perlu memastikan keserasian dalam kesebelasan utama dapat dibentuk dengan baik,” katanya lagi.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kehadiran-safiq-buat-dollah-lega-1.101066#sthash.en69W1r5.dpuf