Orang Biasa aje, "Tell me and I'll forget; show me and I may remember; involve me and I'll understand." Pentingnya ILMU untuk di pelajari dan di kongsi bersama....Yang baik jadikan tauladan dan yang buruk jadikan sempadan....
Showing posts with label FITNAH. Show all posts
Showing posts with label FITNAH. Show all posts
Wednesday, 12 August 2015
CELAH GELEGAR: [TERSEBAR] "Najib Pernah ada PERHUBUNGAN SULIT Den...
CELAH GELEGAR: [TERSEBAR] "Najib Pernah ada PERHUBUNGAN SULIT Den...: Satu screenshot palsu yang kononnya daripada laman web The Malaysian Insider dengan tajuk "Najib Pernah ada Perhubungan Sulit Denga...
Tuesday, 11 August 2015
Kelab bekas calon BN Kelantan buat laporan polis terhadap Raja Petra
11 Ogos 2015 1:20 AM
MOHD. NOOR YAACOB (tengah) menunjukkan laporan polis terhadap Raja Petra Kamarudin kerana menerbitkan artikel yang didakwa memfitnah Muhyiddin Yassin di Ibu Pejabat Polis Kota Bharu, Kelantan, semalam. UTUSAn/Wahidin Salim
KOTA BHARU 10 Ogos – Kelab bekas calon Barisan Nasional (BN) Kelantan membuat laporan polis terhadap pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin kerana didakwa menerbitkan artikel memfitnah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Wakil kelab berkenaan, Mohd. Noor Yaacob berkata, artikel yang diterbitkan Raja Petra bertajuk Najib’s last day as PM was supposed to be 29 July menerusi portal Malaysia Today itu jelas merupakan fitnah kerana tidak disokong dengan bukti jelas dan kukuh.
Beliau berkata, pihaknya tampil membuat laporan polis itu supaya individu terbabit disiasat kerana dibimbangi tindakan tersebut akan mengundang persepsi negatif rakyat terhadap Timbalan Presiden UMNO serta parti itu.
“Kami melihat artikel ini cukup berbahaya dan dipercayai mengandungi elemen hasutan yang boleh menggugat perpaduan rakyat.
“Kami dalam kalangan bekas calon BN telah bersatu hati dalam satu misi dan rasa tanggungjawab untuk terus berjuang menangkis fitnah yang semakin berleluasa di laman sosial,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini hari ini.
Dalam artikel berkenaan, Raja Petra mendakwa, pengguguran Muhyiddin dibuat kerana beliau didakwa turut bersama pemimpin pembangkang merancang meluluskan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen.
Dalam artikel itu, Raja Petra mendakwa, komplot tersebut tidak berjaya kerana Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mahu menyertai konspirasi berkenaan sekali gus menyebabkan mereka kekurangan undi.
Sementara itu di BACHOK, sekumpulan ahli akar umbi UMNO yang diketuai bekas Naib Ketua Pemuda UMNO bahagian, Datuk Hilmi Yusoff turut membuat laporan sama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok.
Hilmi yang juga seorang ahli perniagaan berkata, dakwaan Raja Petra dilihat mempunyai niat untuk menggugat kedudukan orang Melayu dan UMNO.
“Sebagai rakyat dan ahli UMNO di Bahagian Bachok, saya rasa bertanggungjawab untuk membuat laporan terhadap dakwaan tersebut.
“Kami juga minta Kementerian Dalam Negeri dan polis segera siasat sama ada ia benar atau sebaliknya,” kata beliau.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/kelab-bekas-calon-bn-kelantan-buat-laporan-polis-terhadap-raja-petra-1.122915#sthash.zroEJLhj.dpuf
Thursday, 23 April 2015
CELAH GELEGAR: KES WARDINA, SALIB, VAMPIRE : antara Gereja, Alvin...
CELAH GELEGAR: KES WARDINA, SALIB, VAMPIRE : antara Gereja, Alvin...: Straight to the Point – Kenapa isu gereja di Taman Medan itu menjadi minit mesyuarat Kabinet? Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri ...
VOICES AROUND: Another reason why reading TMI will only damage yo...
VOICES AROUND: Another reason why reading TMI will only damage yo...: THE MALAYSIANS INCITER Incite | Definition of incite by Merriam-Webster www.merriam-webster.com/dictionary/ incite Merriam...
Tuesday, 2 December 2014
POLITIK BANGANG : Rombak struktur organisasi SKMM
Perlu proaktif tangani fitnah, penghinaan dalam internet
KAMIL MASLIH | 02 Disember 2014 2:26 AM
KUALA LUMPUR 1 Dis. - k ementerian Komunikasi dan Multimedia digesa merombak semula struktur organisasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar lebih proaktif dalam menangani pelbagai bentuk fitnah dan penghinaan yang berlaku dalam internet khususnya menerusi media sosial.
Jamal Md. Yunus
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md. Yunus meminta menteri terlibat, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk membuat tindakan drastik meletakkan golongan yang mempunyai karisma serta jiwa kenegaraan dalam SKMM bagi menyelesaikan masalah tersebut yang tidak pernah selesai sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).
“SKMM adalah satu badan yang juga bertanggungjawab menjaga ketenteraman negara, kita tidak mahu perkara-perkara provokasi yang membimbangkan rakyat dilihat secara sambil lewa oleh pengerusi atau struktur organisasi SKMM.
“Sebagai contoh, pelbagai fitnah dilakukan Red Bean Army (RBA) terhadap kerajaan, gambar babi di Kaabah dalam Facebook serta perbuatan mencerca pemimpin dan raja-raja Melayu, rakyat melihat perkara itu tidak dapat ditangani, jadi lebih baik SKMM diganti oleh orang yang jiwanya ada semangat kenegaraan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Jamal, tindakan proaktif SKMM itu perlu dilakukan berikutan masalah fitnah dan hasutan yang berlegar di dalam media sosial tersebut turut disentuh oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO 2014 baru-baru ini.
Katanya, maklum balas SKMM terhadap pelbagai penghinaan dan fitnah di dalam internet bukan sahaja lambat malah ada yang tiada langsung sehingga pelaku perbuatan itu terlepas begitu sahaja tanpa sebarang tindakan undang-undang.
“Kita hendak melihat ketegasan tanpa perlu menunggu orang ramai marah baru hendak bertindak, masalah ini bukan kerana kerajaan lemah atau undang-undang tiada tetapi tanggungjawab ini yang perlu dipikul oleh SKMM secara proaktif.
“Menteri Komunikasi dan Multimedia kena bertindak tegas, kita mahu tindakan sekarang, kita tidak mahu laungan semasa ucapan pada Perhimpunan Agung UMNO hanya tinggal sebagai ucapan tanpa tindakan, jangan tunggu lama untuk bertindak,” katanya.
Katanya, laman media sosial tidak boleh dibiarkan tanpa sekatan dan pihak polis memerlukan kerjasama serta sokongan lebih padu daripada SKMM bagi mengambil tindakan terhadap mereka yang begitu kurang ajar dalam menghina agama, bangsa dan negara.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/rombak-struktur-organisasi-skmm-1.31679#sthash.yAR9mjLy.dpuf
Tuesday, 25 November 2014
Tuesday, 26 August 2014
Nizar didakwa fitnah Perdana Menteri
Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my
Mohammad Nizar Jamaluddin ketika hadir di Mahkamah Sesyen, Ipoh, semalam. - Utusan/HANAFI KHAMIS
IPOH 25 Ogos - Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu ceramah politik, dua tahun lalu.
Mohammad Nizar, 57, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang didakwa dilakukan dalam ucapannya kepada orang ramai di Taman Desa Pakatan di sini, antara pukul 9 malam dan 12 tengah malam, 23 April 2012.
Ketua Pembangkang negeri yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas negeri itu didakwa mengetahui tohmahan seperti yang terkandung dalam transkrip ucapan seperti dalam Lampiran A yang disertakan bersama-sama kertas pertuduhan tersebut akan merosakkan nama baik Najib.
Dalam ucapannya itu , Mohammad Nizar didakwa menuduh Najib telah memanggil semua pemimpin angkatan tentera untuk bertanyakan pendirian mereka sekiranya Barisan Nasional (BN) tumbang dalam pilihan raya.
Pertuduhan terhadap Mohammad Nizar dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Dengan pertuduhan tersebut, ahli politik Pas itu kini berdepan kehilangan kelayakan sebagai ADUN sekiranya didapati bersalah oleh mahkamah dan dikenakan hukuman penjara lebih dari setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000.
Dalam prosiding hari ini, Hakim Madihah Harullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 26 September ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Negeri, Masri Mohd. Daud dan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab. Wahab manakala tertuduh diwakili 12 peguam bela yang diketuai oleh Hatim Musa.
Peguam lain terdiri daripada Asmuni Ani, Aminuddin Zulkipli, Mohd. Fitri Asmuni, M. Kulasegaran, Nga Hock Cheh, N. Selvam, A. Sivanesan, Mohamad Hanipa Maidin, Leong Cheok Keng, Mohammad Zamri Ibrahim dan Chan Sook Ching.
Terdahulu, Masri memohon mahkamah mengenakan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap Mohammad Nizar.
Bagaimanapun, Asmuni memohon anak guamnya tidak dikenakan sebarang jaminan kerana sebagai Ketua Pembangkang negeri, beliau akan memberi kerjasama kepada pihak pendakwaan.
"Jika permohonan ini ditolak saya memohon supaya jaminan dikurangkan sebanyak 10 peratus daripada jumlah yang ditetapkan oleh mahkamah," katanya.
Masri sebaliknya menyatakan jumlah jaminan yang dicadangkan pihak pendakwaan adalah satu jumlah yang wajar.
Terdahulu, Mohammad Nizar hadir ke mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan ditemani isterinya, Datin Seri Fatimah Taat serta beberapa pemimpin pembangkang lain.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140826/ma_01/Nizar-didakwa-fitnah-Perdana-Menteri#ixzz3BSwVt26j © Utusan Melayu (M) Bhd
Thursday, 19 June 2014
Saman fitnah: Malaysiakini, dua editor kanan diarah fail pernyataan pembelaan pada 1 Julai ini
KUALA LUMPUR 18 Jun - Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan pengendali portal Malaysiakini dan dua editor kanannya memfailkan pernyataan pembelaan pada 1 Julai ini berhubung kes saman fitnah terhadap mereka yang dikemukakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Kerjanya, Datuk Ab. Rauf Yusoh.
Timbalan Pendaftar, Norfauzani Mohd. Nordin turut memerintahkan Najib dan UMNO memfailkan pernyataan balas pada 15 Julai ini.
Beliau turut menetapkan 24 Julai ini untuk pengurusan kes.
Hadir pada pengurusan kes hari ini ialah peguam Wan Azmi Wan Najib bagi pihak plaintif, manakala kesemua defendan diwakili peguam Ashok Kandiah.
Pada 30 Mei lalu, Najib dan Ab. Rauf memfailkan saman tersebut dengan menamakan syarikat pemilik dan penerbit laman portal tersebut, Mkini Dotcom Sdn. Bhd.; Ketua Editor Malaysiakini, Steven Gan dan Ketua Pengarangnya, Fathi Aris Omar masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Najib selaku plaintif kedua memfailkan saman tersebut atas kapasiti peribadi manakala Ab. Rauf sebagai plaintif pertama bertindak bagi pihak UMNO.
Dalam pernyataan tuntutan, pihak plaintif mendakwa defendan telah melapor, mengeluar dan membenarkan penerbitan dua artikel bertajuk A case of the PM reaping what he sows dan How much will Najib spend to keep Terengganu? di bawah ruangan Yoursay di laman portal berkenaan, www.malaysiakini.com pada 14 Mei lalu.
Dalam ruangan itu, pihak defendan sendiri atau ejen atau pembantu mereka telah mengumpul komen-komen daripada pelanggan atau pengguna laman portal itu dan kemudian menggabungkan komen-komen yang terpilih sebagai satu artikel, yang secara jelas telah memfitnah pihak plaintif dan diterbitkan semula di laman portal tersebut.
Pihak plaintif mendakwa, artikel-artikel tersebut adalah komen-komen yang diberikan tanpa sebarang asas dan tanpa mempedulikan kebenarannya, hanya tuduhan melulu yang berniat jahat (mala fide) yang sangat serius kerana menyebabkan ketegangan antara rakyat dengan mereka berdua.
Pihak defendan juga dengan sengaja didakwa membenarkan penerbitan artikel-artikel itu bertujuan menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap plaintif pertama selaku sebuah parti politik dan tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) serta plaintif kedua selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri, bagi meneruskan dan mementingkan agenda tersendiri pihak defendan tanpa menghiraukan sensitiviti isu-isu yang dibangkitkan.
Akibat daripada penerbitan tersebut, pihak plaintif mendakwa, reputasi mereka telah terjejas dengan teruk apabila dikecam terutama di media sosial dan media massa.
Penerbitan artikel itu, kata mereka, turut menyebabkan kredibiliti pihak plaintif dipersoalkan oleh banyak pihak sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa kerana isu skandal rasuah dan perkauman secara amnya mendapat perhatian umum.
Najib dan UMNO kemudian telah menghantar surat tuntutan pada 15 Mei lalu supaya pihak defendan antara lain membuat permohonan maaf tidak bersyarat dan menarik balik artikel-artikel itu serta menyediakan akujanji bertulis tidak akan mengeluarkan kenyataan serupa.
Bagaimanapun pihak defendan melalui surat balasannya pada keesokan harinya menjawab dengan menggunakan pembelaan komen yang wajar untuk kepentingan awam selain menawarkan peluang kepada pihak plaintif menjawab artikel-artikel itu tanpa memenuhi tuntutan asal pihak plaintif.
Sehubungan itu, pihak plaintif melalui surat bertarikh 28 Mei lalu telah menolak tawaran tersebut atas alasan pihak defendan tidak menyangkal sama sekali tuduhan-tuduhan tidak berasas dan kata-kata fitnah tersebut.
Pihak defendan sebaliknya telah menerbitkan satu lagi artikel bertajuk Najib threatens to sue Mkini over readers comments bertarikh 16 Mei lalu yang turut memuatkan komen daripada defendan kedua dan pada 17 Mei pula, mereka sekali lagi mengumpulkan komen-komen pengguna atau pelanggan mereka dan dijadikan artikel bertajuk Najibs legal action aims to silence Malaysiakini.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk, ganti rugi keterlaluan, faedah, kos dan perintah injunksi bagi menghalang pihak defendan, pembantu atau ejen mereka daripada berbicara lebih lanjut atau menerbitkan atau menyebabkan penerbitan artikel-artikel itu atau seakan-akan dengannya.
Di samping itu, pihak plaintif menuntut defendan-defendan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis di surat khabar atau majalah yang akan ditentukan oleh plaintif, dalam bentuk serta istilah yang akan ditetapkan oleh pihak plaintif.
Sementara itu, Ashok ketika ditemui memberitahu, beliau akan mendapatkan arahan selanjutnya daripada anak guam sama ada akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut atau memohon sekuriti kos.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140619/ma_01/Saman-fitnah-Malaysiakini-dua-editor-kanan-diarah-fail-pernyataan-pembelaan-pada-1-Julai-ini#ixzz352o42NjV © Utusan Melayu (M) Bhd
Tuesday, 10 June 2014
Saman yang bukan luar biasa
Oleh Salleh Buang
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140610/re_01/Saman-yang-bukan-luar-biasa#ixzz34Bw07WNj © Utusan Melayu (M) Bhd
PADA 3 Jun lalu, firma guaman Hafarizan Wan & Aisha Mubarak bertindak bagi anak guam mereka (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abdul Rauf Yusoh) menyerahkan satu writ saman ke portal Malaysiakini di pejabatnya di Bangsar, Kuala Lumpur.
Writ serta pernyataan tuntutan yang diserahkan firma guaman itu menamakan 3 defendan - Mkini Dotcom Sdn. Bhd. (penerbit portal berkenaan), Steven Gan (Ketua Pengarang Kumpulan) dan Fathi Aris Omar (Ketua Pengarang).
Penyampaian writ saman serta pernyataan tuntutan ini adalah langkah pertama kes tuntutan fitnah oleh kedua-dua plaintif terhadap ketiga-tiga defendan. Asas tuntutan ini adalah fitnah yang disiarkan portal Malaysiakini pada 14 Mei 2014, terkandung dalam dua artikel (kompilasi komen pembaca portal dalam bahasa Inggeris) yang dimuatkan dalam ruangan Yoursay bertajuk A case of the PM reaping what he sows dan How much will Najib spend to keep Terengganu?
Kita dimaklumkan bahawa pengurusan kes itu ditetapkan pada 18 Jun di hadapan Hakim SM Komathy Suppiah. Ramai meramalkan paling awal kes ini didengar adalah pada hujung tahun ini dan mungkin berterusan hingga tahun depan.
Notis tuntutan
Kira-kira dua minggu sebelum itu, pada 15 Mei, firma guaman berkenaan menghantar notis tuntutannya kepada Malaysiakini, meminta portal itu memohon maaf tanpa bersyarat dalam tempoh 48 jam kepada anak guamnya berhubung pernyataan fitnah tersebut. Selain itu, portal itu dikehendaki menarik balik artikel tersebut dan memberi akujanjinya tidak akan mengulangi fitnah itu di masa depan.
Notis tuntutan itu menyatakan jika defendan gagal memberi maklum balas dalam tempoh ditetapkan, tindakan guaman akan diteruskan terhadap portal itu, termasuk memohon injunksi menghalang penerbitan yang sama. Mengikut peguam plaintif, Datuk Muhd Hafarizam Harun, kenyataan yang terkandung dalam artikel yang disiarkan pada 14 Mei itu "adalah tidak berasas sama sekali, tanpa sebarang bukti yang kukuh" serta didorong oleh "mala fide untuk memburukkan dan merosakkan reputasi" anakguamnya.
Artikel itu juga menjejaskan kredibiliti mereka "selaku tulang belakang kerajaan BN yang mentadbir Malaysia dan mempunyai imej awam yang baik".
Dalam reaksi spontannya terhadap notis tuntutan itu, Steven Gan (defendan kedua) menyatakan dia sudah menjangka Malaysiakini akan menghadapi tuntutan sivil ini selepas portal itu "diserang oleh Utusan Malaysia" ekoran penyiaran komen pembaca Malaysiakini dalam ruangan "Yoursay" itu.
Katanya lagi, portal Malaysiakini sentiasa memberi peluang kepada Najib untuk menjawab dan menyampaikan pandangannya kepada pembaca portal berita itu bagi menjelaskan mengapa beliau fikir pandangan terhadapnya dan UMNO "adalah salah". Katanya, itu adalah lebih baik dari mengancam organisasi media dengan prosiding fitnah.
Dalam jawapannya kepada notis tuntutan itu, Malaysiakini menyatakan apa yang disiarkan dalam artikel itu adalah "fair comment" (komen saksama) yang dibuat untuk kepentingan awam. Malaysiakini turut menyatakan enggan menarik balik artikel berkenaan, sebaliknya menawarkan plaintif peluang untuk menjawab fitnah berkenaan dalam portal Malaysiakini.
Pada 16 Mei, Malaysiakini menerbitkan satu artikel lagi bertajuk Najib Threatens To Sue Mkini Over Reader's Comments, dan ini disusuli dengan kompilasi komen pembaca dalam satu lagi artikel bertajuk Najib's Legal Action Aims To Silence Malaysiakini, diterbitkan pada hari berikutnya.
Pada 28 Mei, plaintif memaklumkan defendan bahawa ia menolak tawaran defendan itu atas alasan defendan tidak menyangkal sama sekali dakwaan kosong yang tidak berasas dan kata-kata fitnah yang diterbitkan itu.
Dalam pernyataan tuntutannya terhadap defendan, plaintif menyatakan bahawa defendan tahu dan sedar bahawa dengan mengizinkan kedua-dua artikel diterbitkan, ia melakukan fitnah dalam bentuk penerbitan semula. Kata-kata fitnah yang terkandung dalam artikel itu memberi makna bahawa UMNO tidak kompeten sebagai sebuah parti politik dan tulang belakang Kerajaan Barisan Nasional (BN), tidak mempunyai integriti, bersifat perkauman, tidak bermoral dan sengaja mengaburi rakyat bagi menutup konspirasi jahat.
Selain itu, kata-kata fitnah itu juga memberi makna bahawa plaintif pertama tidak layak menjadi seorang ahli politik, Presiden UMNO dan Perdana Menteri, tidak berintegriti, bersifat perkauman, tidak bermoral dan tidak boleh dipercayai ketulusannya.
Plaintif juga mendakwa bahawa kata-kata fitnah yang disiarkan dalam artikel itu merupakan komen yang dibuat tanpa asas kukuh, sebaliknya merupakan tuduhan melulu yang berniat jahat. Plaintif menuntut ganti rugi am, gantirugi khas/ teruk serta injunksi bagi menghalang terus menerbitkan artikel itu dan permohonan maaf secara bertulis diterbitkan di media cetak.
"Jumpa anda di mahkamah"
Walaupun menyedari kini ia berdepan dengan satu tindakan guaman, portal itu seperti biasa meneruskan serangannya terhadap plaintif pertama.
Dalam kenyataannya bertarikh 5 Jun 2014, bertajuk See you in court, Mr. Prime
Minister, defendan menyatakan walaupun Perdana Menteri dipelawa untuk menyatakan versinya dan menjawab segala tohmah yang terhadapnya, beliau memilih untuk bertarung di arena perundangan. Portal itu selanjutnya menyatakan "Najib fails to understand that he, his party, his coalition, his administration and all his politicians and top civil servants suffer from a credibility gap." (sila http://www.malaysiakini.com/news/264752)
Terus pertikai tindakan undang-undang
Malaysiakini terus menerus menyiarkan pendapat pembacanya yang antara lain, bertanya apakah Perdana Menteri tak ada kerja lain selain menyaman portal ini? (sila lihat artikel bertajuk PM's lawsuit only shows pettiness and insecurity bertarikh 5 Jun 2014.
Portal ini juga menyiarkan pendapat Naib Presiden PKR N Surendran, yang menyerang Najib kerana memfailkan tuntutan fitnahnya terhadap Malaysiakini, yang disifatkan olehnya sebagai tindakan mengekang kebebasan bersuara.
Kata Surendran lagi, Perdana Menteri Malaysia tidak sepatutnya mencontohi tindakan Perdana Menteri Singapura ("Don't ape Singapore in shutting media, Najib told", bertarikh 5 Jun 2014) Katanya, rakyat Malaysia memerlukan suara alternatif dan padanya Malaysiakini merupakan suara alternatif itu kerana ia memberi peluang kepada kedua-dua pihak jurang politik negara meluahkan pendapatnya.
Dalam bahasa mudah, Malaysiakini sudah memulakan perbicaraan kes ini di dunia maya dan mengemukakan "pembelaannya" untuk diadili oleh pembaca (penyokong portalnya).
Tidak ada yang luar biasa
Pada hemat saya, berlandaskan kajian dan penulisan saya mengenai undang-undang fitnah di negara ini dan di negara luar lebih 3 dekad, tidak ada yang luar biasa dalam kes fitnah yang difailkan oleh dua plaintif ini.
Ia adalah satu kes biasa di mana plaintif telah difitnah oleh defendan kerana dalam portal defendan itu ada disiarkan kenyataan yang memfitnah plaintif. Kenyataan itu tidak semestinya dibuat oleh pengendali/pemilik portal itu sendiri; memadai jika ia di buat oleh pihak lain, yang disiarkan semula oleh portal itu.
Defendan dalam kes yang kita bincang ini adalah sebuah portal yang bukan hanya menyiarkan berita, tetapi juga pandangan orang ramai. Sekiranya kenyataan pembacanya yang disiarkan dalam portal itu mengandungi fitnah, pengendali portal juga melakukan fitnah sebagai "penyiar semula" bahan yang mengandungi fitnah itu.
Pengendali atau pemilik portal yang menyiarkan pendapat pembacanya yang mengandungi fitnah itu tidak boleh berselindung hanya dengan wujudnya satu notis disclaimer dalam muka depan portalnya.
Sebagaimana tidak ada luar biasanya liabiliti seorang pengendali atau pemilik portal sebagai "penyiar semula" fitnah yang pada asalnya diucapkan oleh pihak lain, begitu juga tidak ada luar biasanya pembelaan komen saksama yang dibangkitkan oleh defendan dalam kes ini semasa menjawab notis tuntutan plaintif kepadanya. Undang-undang sudah jelas tentang apa yang diterima sebagai komen saksama.
Semuanya ini adalah isu perundangan biasa yang berzaman diputuskan mahkamah kita. Mengenai kenyataan Surendran bahawa dalam tindakannya terhadap defendan, plaintif pertama bertindak selaku Perdana Menteri Singapura - itu adalah pendapat peribadinya sendiri. Terlalu awal bagi kita membuat kesimpulan itu sekarang.
* PENULIS ialah Penganalisis Undang-undang
Wednesday, 28 May 2014
Umpama memfitnah Rasulullah
Oleh HASHNAN ABDULLAH

Dr. Mohd Izhar Ariff Kashim
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140527/ba_01/Umpama-memfitnah-Rasulullah#ixzz32yQzObwx © Utusan Melayu (M) Bhd
Dr. Mohd Izhar Ariff Kashim
HADIS palsu atau dipanggil sebagai maudhu' sebenarnya telah lama bersarang dalam kalangan umat Islam. Penggunaan hadis itu telah bermula secara aktif selepas kewafatan Rasulullah SAW.
Ini boleh dilihat jelas bukan hanya pada amalan ibadat seharian umat Islam, tetapi sering kali digunakan bagi menyokong hujah atau pendapat apabila bercakap tentang hukum agama.
Malah, gejala yang sangat dibenci oleh Rasulullah SAW tersebut sering kali dilakukan oleh musuh-musuh Islam seperti Yahudi, Majusi dan Nasrani yang begitu mahu menjatuhkan Islam.
Golongan ini memang sentiasa menyimpan dendam terhadap Islam dan sentiasa menunggu peluang bagi merosak dan menimbulkan keraguan di dalam hati, sama ada sesama Islam atau bukan Islam terhadap agama Islam.
Pada masa sama ada juga dalam kalangan orang Islam yang bersikap fanatik, ada kepentingan peribadi serta jahil tentang kehendak dan keperluan agama Islam itu sendiri turut menggunakan hadis palsu ini.
"Mereka ini ada masalah hati iaitu benci atau tidak suka kepada pengembangan agama Islam. Keadaan itu turut disulitkan lagi dengan sikap segelintir para pendakwah tidak kira yang berstatus ustaz atau ustazah yang tidak amanah dalam menyampaikan kuliah agama mereka kepada orang ramai," kata Pensyarah Kanan Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim ketika ditemui di pejabatnya di Bangi, baru-baru ini.
Dalam suasana tersebut, tidak hairanlah ramai yang menyatakan bahawa jumlah hadis palsu lebih banyak berbanding hadis sahih yang diriwayatkan oleh para perawi yang diakui keilmuan dan ketelitiannya.
Beliau menegaskan, penyebaran hadis palsu itu adalah haram kerana boleh membawa kepada gejala fitnah kepada Rasulullah SAW.
Jelas Mohd. Izhar, hadis palsu tersebut juga bukan hanya boleh menimbulkan kekeliruan tetapi juga perpecahan dalam kalangan umat Islam itu sendiri.
Penghuni neraka
Rasulullah SAW pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a yang bermaksud: Sesiapa yang menipu ke atasku dengan sengaja, maka dia akan duduk dalam api neraka (riwayat Bukhari)
Ketegasan tersebut adalah sejajar dengan makna hadis palsu itu sendiri yang merupakan kenyataan atau perbuatan atau amalan yang disandarkan kepada Nabi SAW sedangkan baginda tidak pernah sama sekali melakukannya," katanya.
Begitu pun, Mohd. Izhar berkata, ada ulama yang berpandangan bahawa hadis palsu itu boleh disampaikan kepada masyarakat umum.
Tetapi jangan disandarkan kepada Nabi tetapi menyatakan bahawa ia adalah kisah yang disampaikan oleh ulama sebelum ini," katanya.
Antara yang popular dikaitkan dengan hadis palsu adalah peristiwa Israk Mikraj. Kisah perjalanan Rasulullah SAW itu telah menimbulkan banyak perdebatan dalam kalangan para ulama.
Perdebatan tersebut lebih berkisar tentang cerita-cerita apa yang ditemui oleh Rasulullah SAW di sepanjang perjalanan baginda sehingga ke Sidratul Muntaha.
Ada para ulama yang menegaskan bahawa kerana isinya diselitkan cerita-cerita Israiliyat daripada kaum Bani Israel yang sengaja ingin mengagungkan bangsa mereka dan Nabi Musa a.s serta mengecilkan peranan Rasulullah SAW berserta pengikutnya.
Banyak cerita yang disampaikan yang mana Nabi SAW berjumpa dengan itu, dengan ini adalah antara hadis yang tidak ada asas dan sering kali dipertikaikan oleh ramai ulama.
Namun ia sering digunakan untuk menyedapkan ceramah atau tulisan bagi menarik minat orang ramai," kata Mohd. Izhar.
Sehubungan itu, Mohd. Izhar menyeru bukan hanya kepada para penceramah agama, tetapi umat Islam agar meneliti terlebih dahulu mana-mana hadis yang mungkin agak mencurigakan.
Malahan tambahnya, pihak berkuasa agama perlu meningkatkan usaha bagi membanteras dan mengadakan kempen kesedaran tentang kesan daripada penyebaran hadis palsu.
Saya tidak nafikan bahawa masyarakat umum minat dengan hadis palsu kerana dikuasai sifat malas untuk mengimarahkan masjid. Ini kerana masjid adalah tempat yang boleh memberi penjelasan kepada jemaah masjid berkaitan perbezaan antara hadis palsu dengan hadis sahih," katanya.
Kebiadaban tidak mampu disekat lagi
Oleh Hassan Mohd. Noor
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140526/re_05/Kebiadaban-tidak-mampu-disekat-lagi#ixzz32yMWELXC © Utusan Melayu (M) Bhd
HEBOH satu Malaysia mengenai perkataan celaka yang dituturkan oleh wakil rakyat DAP di Pulau Pinang, RSN Rayer. Ramai yang marah dengan kata-kata celupar itu dan mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima itu menarik balik perkataan itu. Apa yang hendak ditarik balik? Kata sudah diucap. Ini bukan soal terlajak perahu. Kata-kata yang menghiris perasaan sudah diucap. Satu dunia tahu mengenainya. Apa lagi yang mahu diperbaiki? Dunia tanpa sempadan mengajar kita untuk bercakap apa sahaja tanpa mengira sensitiviti orang lain. Lebih-lebih lagi yang turut bercakap tanpa mengira perasaan orang lain datang daripada kaum yang sama. Mereka tidak peduli dengan maki hamun yang dilontarkan di pentas politik sama ada melalui ceramah, media sosial seperti Twitter, Facebook, WhatsApp dan pelbagai lagi.
Contohnya jika orang Melayu beragama Islam yang dididik dengan pelbagai peraturan kehidupan yang baik sama ada melalui agama atau budaya sudah bersedia untuk memaki hamun sesama bangsa sendiri, apa hendak dihairankan dengan orang lain? Memang benar jika Rayer dipetik sebagai berkata, beliau dimaklumkan bahawa perkara tersebut menjadi isu disebabkan DAP yang memaki UMNO, bukannya pihak lain. Lebih menarik, Rayer didakwa berkata, perkataan (celaka) itu biasa bagi orang Pulau Pinang. Mungkin kenyataan itu ada kebenarannya tetapi ia harus merujuk dalam konteks apa perkataan itu diucapkan. Kadang-kadang dalam nada gurau sesama rakan, perkataan itu jadi lumrah.
Bagaimanapun perkataan itu menjadi luar biasa apabila dituturkan dalam nada yang serius, marah, tanda menunjukkan kebencian serta bergantung kepada niat seseorang. Celaka bukanlah sesuatu yang bermaksud baik. Apa maksud celaka? Mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), celaka membawa maksud tidak baik (tentang nasib); tidak bahagia; malang dan sial. Perkataan itu juga membawa erti kata makian yang bermaksud bedebah atau jahanam. Jika dilihat maksudnya tentulah sesiapa juga akan marah.
Persoalannya adakah celaka itu sebagai sesuatu yang biasa di Pulau Pinang? Apa komen anak-anak Pulau Pinang terutama orang Melayu dan Islam? Mungkin akan ada perbezaan pendapat. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Zainal Abidin Osman mempunyai pandangannya berhubung kata-kata itu. Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu @ Mat Sabu, orang Pulau Pinang yang berasal dari kampung Guar Petai, Seberang Perai juga mempunyai pandangan tersendiri lebih-lebih lagi yang menuturkannya adalah rakan sekutunya, DAP. Kadang-kadang dalam politik, sesuatu yang dilarang akan bertukar menjadi perkara yang harus kononnya atas muslihat tertentu. Begitulah realiti yang ada hari ini. Maki hamun, kata-kata kesat serta sikap tidak beradab atau tidak berakhlak sudah menjadi produk biasa dalama politik termasuklah yang melibatkan orang Melayu dan Islam. Bagi sesetengah orang, mereka tidak peduli lagi akhlak dan etika. Maki hamun jadi `makanan. Maknanya ia bukan sesuatu yang memeranjatkan dan menghairankan apabila orang bukan Melayu/bukan Islam berani meminjam perkataan-perkataan yang menyakitkan telinga.
Jika celaka menjadi satu kebiasaan, bagaimana pula (jika ada) perkataan, ungkapan atau perbuatan lain yang dikatakan boleh menyinggung orang bukan Melayu? Tidak perlulah disebut perkataan atau ungkapan berkenaan. Cuma apakah dalam berpolitik, sudah hilang rasa hormat terhadap orang lain? Bagaimana agaknya apabila perkataan celaka itu boleh digunakan sesuka hati di dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang? Kita tidak tahu perkataan itu akan ditujukan kepada siapa. Mungkin perkataan yang setaraf dengannya akan turut diungkapkan. Apa akan jadi jika DUN Pulau Pinang menjadi gelanggang untuk menghamburkan kata-kata yang menyakitkan dan menimbulkan kebencian?
Selak tidak mahu menyebut kata-kata itu kerana bimbang ia boleh dianggap sebagai bermain api. Bimbang dituduh rasis. Memang benar ingatan Zainal Abidin supaya lebih hati-hati apabila bercakap kerana mulut badan binasa. Kata Zainal: "Kita kecewa, duka seperti dihiris apabila dia menggelar UMNO celaka. UMNO tidak kisah jika nak mengkritik parti tetapi kritikan itu biarlah beretika dan bukan dengan perkataan yang boleh menyakiti orang Melayu,". Dalam politik sudah tidak ada etika. Demi meraih sokongan politik, pihak berkenaan akan menggunakan pelbagai kaedah untuk menarik perhatian rakyat. Lihatlah apa yang berlaku terhadap pemimpin negara yang disindir melalui pelbagai cara. Apa sahaja tindakan dan keputusan kerajaan walaupun untuk kebaikan atau faedah bersama dipandang sinis.
Begitu kreatif rakyat Malaysia termasuk yang bergelar Melayu Islam mencipta sindiran. Walaupun tindakan itu melampaui batasan tatasusila agama dan budaya, tetapi ada sesetengah pihak tidak peduli itu semua. Bagi yang beragama Islam, soal dosa, pahala seolah-olah ditolak ke tepi. Sama ada sedar atau tidak, mereka menjadi penyumbang kepada tindak tanduk yang boleh dianggap menghina, mencerca dan mengaibkan seseorang dengan niat untuk memalu atau memperlekeh individu berkenaan. Hari ini ramai yang tidak dapat mengawal keceluparan dengan membangkitkan pelbagai isu atau kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Bercakap ikut sedap mulut dan kenyataan mereka tersiar di media cetak dan media sosial. Bagi mereka, mengeluarkan kenyataan menandakan matlamat sudah tercapai. Apakah dengan meminta maaf semuanya akan selesai? Sebelum ini banyak kata atau tindakan biadab berlalu begitu sahaja. Apa yang berlaku hari ini adalah kesinambungan cerita-cerita tidak beretika dan biadab yang sebelum ini sudah dihidangkan. Isu seperti ini tidak ada kesudahannya. Mulut celupar tidak mampu disekat. Mereka bercakap ikut sedap mulut . Puas dan lega apabila apa yang terbuku dan ingin diucapkan sudah dilontar . Biarlah seribu kecaman, kutukan atau ribuan laporan polis dibuat, tetapi yang penting, batu sudah dilontar, tumbukan atau tikaman sudah dilepaskan.
Sama ada mengenai sasaran atau tidak, itu perkara kedua. Mereka puas dan gembira kerana melepaskan segala-galanya sama ada berbentuk kritikan, fitnah, tohmahan, maki hamun atau penghinaan. Cakap sejengkal dibawa sehasta. Selak balik pelbagai isu - agama, bahasa, budaya, kaum yang dilontarkan sebelum ini yang mengundang pelbagai kenyataan balas yang kadangkala mencemaskan. Bak kata orang luka di tangan dapat diubat, luka di hati siapa tahu. Luka di tangan kerana pisau, luka di hati kerana kata. Memang mudah menarik balik kenyataan dan memohon maaf tetapi luka sudah hilang, parutnya tinggal juga.
Wednesday, 7 May 2014
Klip video: Teresa didakwa menghasut
TERESA Kok (kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR 6 Mei - Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghasut membabitkan penerbitan satu klip video bertajuk Teresa Kok Onederful" Malaysia CNY 2014, Februari lalu.
Teresa, 50, yang hadir ke mahkamah memakai baju kurung moden berwarna merah membuat pengakuan tidak bersalah dengan hanya menjawab tidak selepas jurubahasa membaca pertuduhan berkenaan kepadanya di hadapan Hakim Norsharidah Awang.
Berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, Teresa bakal hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen sekiranya disabitkan atas pertuduhan itu dan dihukum penjara tidak kurang dari satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 serta gagal merayu sehingga ke peringkat tertinggi.
Naib Pengerusi DAP itu didakwa melakukan perbuatan itu melalui laman web http://www.youtube.com/watch?v=JtsRcld70bk di alamat 90-02-07 Apartmen Putra Ria, Jalan Bangsar di sini kira-kira pukul 9 pagi, 1 Februari lalu.
Bersama pertuduhan tersebut, disertakan Lampiran A iaitu transkrip terjemahan dalam bahasa Melayu klip video itu yang terkandung ayat-ayat yang didakwa menghasut.
Teresa Kok atau nama sebenarnya Teresa Kok Suh Sim didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan berikutnya, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan penerbitan berbaur hasutan pada milikan seseorang atau digunakan sebagai keterangan dalam perbicaraan tersebut hendaklah dilucutkan hak dan boleh dimusnahkan atau dilupuskan seperti arahan dari mahkamah.
Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad dan P. Viknesvaran mengendalikan pendakwaan manakala Teresa diwakili peguam Datuk Param Cumaraswamy, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden, Sankara Nair dan Gobind Singh Deo.
Muhamad Iskandar mencadangkan Teresa diikat jamin RM4,000 dan menegaskan jumlah itu adalah munasabah untuk memberi pengajaran kepada tertuduh.
Bagaimanapun, Param memohon mahkamah memberi jaminan bon peribadi kepada anak guamnya.
Sankara pula menyatakan, bon peribadi memadai kerana anak guamnya tidak mungkin melarikan diri malah telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.
Mahkamah kemudian membenarkan Teresa diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Jun ini bagi pengurusan kes manakala perbicaraan kes itu akan berlangsung selama empat hari bermula 2 September ini.
Muhammad Iskandar turut memaklumkan, pihak pendakwaan dijangka mengemukakan kira-kira 15 saksi untuk memberi keterangan di mahkamah.
Berdasarkan laporan akhbar, klip video berdurasi 11 minit 39 saat itu telah disiarkan dalam Youtube sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang memaparkan Teresa selaku moderator bersama tiga tetamu undangan, mengeluarkan kenyataan menyindir pemimpin negara dalam beberapa perkara termasuk pendidikan dan keganasan di Sabah.
Berikutan penyiaran video itu banyak pihak termasuk masyarakat Cina yang tidak berpuas hati dan menyifatkan ia memaparkan keganasan halus yang secara tidak langsung boleh mempengaruhi masyarakat.
Pada 11 Februari lalu, ahli Parlimen Seputeh itu mengakui skrip video tersebut adalah hasil cetusan ideanya sendiri bersama beberapa orang rakan.
Tanpa rasa bersalah, Teresa menganggap video itu adalah salah satu sesi kelakarnya dan bertujuan menggembirakan penonton.
Meskipun dikecam Teresa enggan memohon maaf dan menganggap tindakannya itu hanya sebagai satu lawak jenaka yang menyindir isu semasa di negara ini.
Ekoran tindakannya itu, pada 20 Februari lalu, pejabat pusat khidmat Ahli Parlimen Seputeh dekat Kuchai Entreprenuers berhampiran Jalan Kuchai Lama di sini telah disimbah cat merah dipercayai ada kaitan dengan penghasilan video.
Selain cat merah, bangkai seekor ayam jantan juga ditemui di pusat khidmat tersebut.
Lebih 300 laporan polis berhubung klip video itu telah dibuat oleh pelbagai pihak sehingga 7 Februari lalu.
Sementara itu pada 12 Februari lalu, tiga pelakon klip video berkenaan iaitu pelakon wanita, Lim Ching Miau dan dua pelakon lelaki yang hanya dikenali sebagai Ah Kok dan Lim telah dipanggil oleh pihak polis untuk memberi kenyataan.
Menurut peguam Aaron Lee yang mewakili ketiga-tiga pelakon itu, anak guamnya hanya dipanggil sebagai saksi untuk membantu siasatan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140507/ma_01/Klip-video-Teresa-didakwa-menghasut#ixzz30zW2gPpJ © Utusan Melayu (M) Bhd
KOMEN : TAKAN SATU PUN TAK SANGKUTKAN
Tuesday, 29 April 2014
RBA boleh didakwa pelbagai akta
Jailani Johari
KUALA LUMPUR 28 April - Tindakan yang boleh diambil terhadap mana-mana pihak termasuk tentera siber propembangkang, Red Bean Army (RBA) kerana menyebarkan elemen fitnah, hasutan dan provokasi tidak terhad kepada Akta Komunikasi dan Multimedia semata-mata.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, setiap kesalahan yang dilakukan dalam media sosial masih tertakluk kepada akta lain melibatkan pelbagai agensi penguatkuasa.
"Contohnya kandungan melibatkan elemen fitnah, hasutan, provokasi dan sebagainya daripada pelbagai pihak termasuk yang menggelarkan diri mereka RBA, terdapat undang-undang spesifik yang boleh diguna pakai seperti Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan," katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Senator Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang meminta kementerian itu menyatakan jumlah kes fitnah siber dalam laman media baharu yang telah diambil tindakan.
Menurut Jailani, dalam kes seumpama itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membantu dengan menyiasat medium internet yang digunakan dalam menjalankan kegiatan jenayah dikenal pasti.
Katanya, kertas siasatan yang dilengkapkan secara bersama dengan agensi penguatkuasa lain akan dimajukan kepada Jabatan Peguam Negara untuk pendakwaan di mahkamah.
Dalam pada itu, beliau membe-ritahu, sebanyak 2,026 laman web telah disekat kerana didapati me-nyalahi pelbagai undang-undang bertulis di negara ini sepanjang tahun lalu.
Tambah beliau, berdasarkan pemantauan dan aduan diterima dari 2013 hingga Mac lepas, sejumlah 2,850 aduan penyalahgunaan internet direkodkan yang mana seba-nyak 792 daripadanya melibatkan media sosial.
"Walaupun jumlah ini kurang daripada satu peratus berbanding pengguna internet di seluruh negara, kerajaan tetap memandang serius dan mengambil berat kepada ancaman dibawa di media sosial," katanya.
Beliau memberikan contoh bagi kes-kes fitnah berunsur penghinaan kepada institusi beraja, pemimpin negara dan provokasi agama serta kaum, sebanyak 13 kes didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 98) dari 2008 hingga tahun lalu.
"Selain itu, laporan salah guna turut dikenakan kepada pengendali perkhidmatan seperti Facebook, Youtube, Twitter dalam membendung penyebaran maklumat tersebut," katanya.
Wednesday, 23 April 2014
Daim sifatkan Anwar 'kaki goreng'
Daim Zainuddin (kiri), bercakap pada program Bicara Petang yang bertemakan Ekonomi Bandar Malaysia. Adakah Bandar Melayu?. Turut kelihatan Moehamad Izat Emir di MIDA, Plaza Sentral, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
KUALA LUMPUR 22 April - Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kaki goreng kerana mendakwa mempunyai bukti kukuh tentang penyelewengan yang beliau lakukan di luar negara.
Katanya, jika Ketua Pembangkang itu mempunyai bukti berhubung perkara itu, Anwar sepatutnya membuat laporan terperinci kepada pihak berkuasa dan bukannya memperbesar-besarkan isu yang tidak sahih.
"Dia (Anwar) ketika itu berjumpa dengan Presiden Tanzania dalam sesi pelaburan dan bertanya tentang aset saya. Presiden itu berkata, memang saya ada bank di Tanzania, jadi apa masalahnya?
"Anwar lepas dibuang daripada parti, semua dia kata tak betul, jadi apa yang dibuat masa dalam parti? Anwar ini kaki goreng," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Bicara Petang yang dianjurkan oleh Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud, Presiden Perdasama, Datuk Moehamad Izat Emir dan Pengerusi Biro SME Perdasama, Datuk Norizan Bakar.
Daim diminta mengulas dakwaan Anwar bahawa beliau mempunyai akaun di luar negara hasil penyelewengan semasa beliau dalam Kabinet.
Daim menjelaskan, pada tahun 1999 ketika Anwar dalam Kabinet, Ketua Pembangkang itu pernah membuat laporan dan melakukan siasatan ke atasnya.
"Siasatan berdasarkan salinan surat-surat yang saya serahkan padanya. Tetapi, dia potong nama saya, dan dia kata memperoleh surat itu sendiri. Saya telah dua kali disiasat tentang pemilikan aset.
"Masa tu dia (Anwar) Menteri Kewangan dan juga pengerusi tentang rasuah. Kenapa tak ambil tindakan? Lepas kena buang daripada parti UMNO, semua dia kata tak betul," jelas beliau.
Beliau juga mempersoalkan dakwaan Anwar yang menyatakan mempunyai beberapa kotak mengandungi dokumen penyelewengan oleh tokoh-tokoh politik.
"Tetapi sehingga kini tidak ada apa yang didedahkan oleh ketua pembangkang itu," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140423/po_01/Daim-sifatkan-Anwar-kaki-goreng#ixzz2zfqr57eF © Utusan Melayu (M) Bhd
Friday, 11 April 2014
Politik 'menangguk di air keruh'
Oleh Zulkiflee Bakar
ARENA politik negara sentiasa sahaja diwarnai oleh permainan politik tidak berkesudahan oleh pakatan pembangkang. Tidak kira apa pun isu segalanya mahu dijadikan modal politik oleh mereka dengan hasrat untuk meraih sokongan rakyat.
Bermula sejak 2008, pakatan pembangkang begitu ghairah sekali untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN), menawan Putrajaya menjadi misi utama mereka. Atas sebab itulah, mereka tidak pernah berputus asa untuk terus menyakinkan rakyat kononnya merekalah pilihan terbaik bagi memerintah negara dan sudah pasti Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menjadi sasaran seterusnya.
Sememangnya, tidak salah untuk pakatan pembangkang menyimpan cita-cita untuk memerintah negara ini kerana itulah politik, ia berkaitan soal kedudukan dan kekuasaan. Namun begitu dalam keghairahan dan keterujaan itu janganlah segalanya mahu dipolitikkan.
Begitulah juga apabila berlakunya beberapa kejadian melibatkan negara khususnya dalam peristiwa pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, penculikan warga China di Semporna dan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sejak 8 Mac lalu.
Kesemua isu ini tidak terlepas menjadi bahan politik kepada pakatan pembangkang. Politik menangguk di air keruh dengan menjadikan peristiwa-peristiwa itu sebagai modal politik sebenarnya bukanlah menunjukkan keprihatinan pembangkang sebaliknya menampakkan wajah sebenar mereka dalam memburu kekuasaan.
Bagi pembangkang, apa sahaja yang boleh dipolitikkan akan dipolitikkan, sama ada ia memberi kebaikan atau keburukan kepada negara itu soal kedua. Apa yang penting imej kerajaan di bawah kepimpinan BN harus diburuk-burukkan seumpama mungkin dengan harapan ia akan menjejaskan sokongan majoriti rakyat kepada parti tersebut.
Ketika pakatan pembangkang begitu mendabik dada bercakap soal menegakkan kebenaran, mengwujudkan keadilan dan memperjuangkan kebebasan melalui demokrasi tetapi tindak tanduk mereka sendiri tidak memaparkan semangat itu.
Kalau mahu mengatakan mereka mampu memerintah jauh lebih daripada BN, ia hanyalah omong kosong, kalau mahu mendabik dada kononnya mereka lebih telus daripada kerajaan BN itu hanyalah pembohongan dan kalau mereka mahu berbangga menyatakan mereka memperjuangkan demokrasi ia hanyalah penipuan.
Sebenarnya, pakatan pembangkang sendiri mempunyai seribu satu keburukan tetapi ia berjaya ditutupi melalui politik alih isu dan menangguk di air keruh. Kepetahan bercakap, kepakaran memutar belit fakta dan kebijaksanaan mengwujudkan persepsi menjadi kelebihan kepada pembangkang untuk menutupi kepincangan politik mereka.
Kesudahannya, mereka semakin rancak menyerang kerajaan walaupun memahami dalam sesetengah isu mereka sepatutnya bersama kerajaan menanganinya atau sekurang-kurangnya bersedia memberikan pandangan yang membina.
Dalam isu kehilangan pesawat MH370 sejak hari pertama lagi, pakatan pembangkang menganggap ia kesempatan terbaik untuk dipolitikkan. Lidah rasmi mereka menyerang kerajaan habis-habisan melalui teori-teori yang cukup memualkan. Malah ada pula dalam kalangan pemimpin mereka bersedia membuat kenyataan yang dilihat berupaya memburukkan imej kerajaan negara ini.
Isu MH370 juga menjadi modal untuk menarik orang ramai ke ceramah-ceramah mereka dengan memaparkan tajuk sensasi seperti penjelasan misteri MH370'. Tetapi sebenarnya tidak ada pun penjelasan, sebaliknya hanya dakwaan dan tuduhan kepada kerajaan semata-mata.
Ada dalam kalangan pemimpin pakatan pembangkang yang merasakan seolah-olah mereka jauh lebih bijak berbanding seluruh masyarakat dunia yang kini berusaha bermati-matian mencari dan merungkai misteri kehilangan pesawat tersebut.
Bagaimanapun kita bersyukur kerana setakat ini tiada mana-mana negara yang bersedia bersekongkol dengan pakatan pembangkang untuk memburuk-burukkan Malaysia dalam isu MH370 ini. Sebaliknya, 26 buah negara dengan sukarela tampil membantu Malaysia.
Pemimpin-pemimpin negara terlibat tidak mempedulikan kerenah politik pembangkang di Malaysia kerana apa yang lebih penting sekarang ialah mencari pesawat yang hilang tersebut. Mungkin pemimpin pembangkang boleh berbangga kerana ada media asing yang mahu bersekongkol dengan mereka bagi memburuk-burukkan kerajaan tetapi soalnya sejak bila pula media asing pernah membuat liputan baik mengenai Malaysia apabila timbul sesuatu isu?
Politik menangguk di air keruh pembangkang ini juga berterusan apabila kerajaan mahu melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang Rang Undang-undang mengenai perkara itu sedang dibahaskan di Dewan Rakyat. Pakatan pembangkang cuba memberi pandangan negatif terhadap pelaksanaan cukai itu biar pun ia amat baik untuk masa depan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
Sebenarnya seperti mana ditegaskan oleh Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz ketika membahaskan rang undang-undang itu, pembangkang membantah GST kerana kesan positif daripada pelaksanaan sistem percukaian tersebut akan mengundang malapetaka politik kepada mereka.
Hujah Ikmal Hisham, pelaksanaan GST bukan sahaja mampu mengukuhkan ekonomi negara malah turut menyumbang kepada peningkatan taraf hidup rakyat.
"Pakatan pembangkang sebenarnya takut apabila ekonomi negara kukuh dan rakyat gembira dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan, ia akan menyebabkan mereka tiada lagi modal untuk memburuk-burukkan kerajaan sekali gus menghalang niat songsang mereka meraih sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti," kata Ikmal Hisham.
Hujah Ikmal Hisham tersebut memang tepat kerana pakatan pembangkang takut dengan apa juga perkara yang dilihat mampu menaikkan imej kerajaan BN. Atas alasan inilah jika apa juga perkara baik yang hendak dilakukan oleh kerajaan BN akan dipolitikkan dan diberikan gambaran negatif.
Bukan kata dalam soal pengurusan politik dan negara malah dalam bidang agama juga mereka bimbang, kalau BN khususnya UMNO menonjol dalam soal mengembangkan syiar Islam.
Sebab itulah, program selawat perdana yang dianjurkan oleh kerajaan BN dan UMNO di seluruh negara diperlekehkan dengan pelbagai hujah. Mereka bimbang kalau UMNO menonjol dalam melaksanakan aktiviti Islam, apa modal politik mereka untuk meraih sokongan orang Islam? Bagaimana mereka hendak meneruskan agenda menuduh UMNO menolak Islam?
Bagaimanapun biarlah pakatan pembangkang dengan apa juga corak politik mereka termasuklah mengamalkan politik menangguk di air keruh kerana akhirnya seperti mana kata Ikmal Hisham, rakyat pasti akan menyedari bahawa pembangkang hanyalah saudagar mimpi, pedagang janji dan penjual ilusi.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140409/re_03/Politik-menangguk-di-air-keruh#ixzz2yXdVetEU © Utusan Melayu (M) Bhd
POLITIK - Malaysiakini, RBA kongsi agenda
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 8 April - Portal propembangkang, Malaysiakini yang dalam banyak perkara membuat laporan tidak bersandarkan fakta sebaliknya gemar bermain sentimen bagi memburuk-burukkan imej kerajaan disifatkan tidak ubah seperti Red Bean Army (RBA).
Pengerusi Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Perak, Hamdan Mohd. Salleh berkata, Malaysiakini dan RBA dilihat sebagai entiti yang berkongsi agenda dan fokus sama sebagai ejen penyebar propaganda menerusi bantuan dana pihak tertentu.
Katanya, JMM pernah membangkitkan mengenai isu dana asing diterima Malaysiakini tetapi sehingga kini portal berkenaan masih menutup mulut.
"Anggota RBA pula didakwa dibiayai oleh banyak syarikat bagi membodohkan orang awam dengan pelbagai provokasi memburuk-burukkan kerajaan.
"Malaysiakini dan RBA mempunyai hubungan yang akrab untuk menjatuhkan kerajaan. Dana yang mereka peroleh amat besar dan mereka menafikan serta bersikap berdiam diri ketika pendedahan dibuat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Hamdan, Malaysiakini semakin menjadi barah kepada kerajaan dan dilihat sebagai satu ancaman dengan memberi impak negatif terhadap pembaca khususnya di negara ini.
Katanya, bentuk ancaman halus itu adalah liabiliti kepada kerajaan tetapi tiada tindakan diambil termasuk melibatkan isu portal propembangkang berkenaan memperoleh dana asing dalam menyebarkan agenda mereka.
"Kerajaan harus bertindak awal jika ingin membendung ancaman halus yang telah menular dan menjadi racun kepada pemikiran rakyat," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Osman Mansor berkata, laporan yang disiarkan oleh Malaysiakini lebih ke arah memburukkan keadaan apabila dengan mudah melemparkan tuduhan tidak berasas.
Sedangkan katanya, sesuatu laporan itu mesti berlandaskan fakta dan ditulis mengikut garis panduan serta etika kewartawanan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140409/po_01/Malaysiakini-RBA-kongsi-agenda#ixzz2yXZSXcCr © Utusan Melayu (M) Bhd

Monday, 7 April 2014
RBA pengkhianat bukan pejuang
Oleh Zulkiflee Bakar
BARU-baru ini penulis menerima senarai hampir 160 laman Facebook yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Red Bean Army (RBA).
Sebelum itu pada 1 April lalu, Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) mendakwa memperoleh senarai 800 nama anggota RBA yang dibayar dengan gaji RM3,000 sebulan bagi membodohkan orang awam dengan pelbagai provokasi memburuk-burukkan kerajaan.
Penulis percaya ada dalam kalangan mereka ini terdiri daripada anak Melayu yang bersedia menggadaikan maruah diri hanya kerana sedikit bayaran dan dipengaruhi politik kebencian.
Sememangnya apa yang dilakukan oleh RBA amat berbahaya kepada negara kerana mereka sanggup menyebarkan apa juga fitnah dan tohmahan semata-mata untuk memburuk-burukkan imej kerajaan.
Berdasarkan maklumat, RBA yang dikatakan beroperasi di sebuah bangunan di Pulau Pinang dan di sebuah hotel di Kuala Lumpur telah bergerak aktif sejak empat tahun lepas.
Modus operandi mereka cukup terancang dengan mensasarkan pengguna teknologi maklumat (IT) dalam kalangan pengundi muda melalui Facebook, Twitter, blog dan portal berita Internet.
Mungkin pihak yang menaja RBA berbangga kerana setakat ini usaha mereka untuk memburuk-burukkan kerajaan berhasil dan paling ketara mereka berjaya mempengaruhi pengundi Cina dalam pilihan raya umum lalu untuk tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun tanpa mereka sedari atau sengaja melupakan, mereka sedang bersekongkol dengan satu kelompok yang bertindak sebagai pengkhianat dan jika kelompok RBA ini terus dibiarkan bermaharajalela ia boleh mendatangkan kesan buruk kepada negara.
Apa yang dilakukan oleh RBA sejak kebelakangan ini bukanlah berkaitan soal untuk memberi keuntungan politik kepada sesiapa tetapi boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman negara. Bagi mereka yang terlibat dalam kelompok ini, mungkin mereka berasa bangga kerana setakat ini tiada mana-mana pihak pun dapat mengesan siapa sebenar RBA.
Malahan pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk menyekat akses Internet individu yang dipercayai terlibat dengan RBA juga tidak mampu berbuat apa-apa. Justeru ia menyebabkan RBA semakin biadab dan kebiadapan mereka tiada batasannya.
Oleh itu, tidak perlulah kita menaruh harapan untuk melihat RBA dihapuskan, sebaliknya apa yang harus dilakukan adalah mempertingkatkan kesedaran kepada rakyat khususnya dalam kalangan orang Melayu untuk menolak kebiadapan RBA kerana RBA bukanlah pejuang tetapi pengkhianat.
Orang Melayu perlu sedar RBA bukan berjuang untuk kesejahteraan rakyat negara ini biar pun ada orang Melayu bersedia menjadi hamba mereka. Sebaliknya, RBA berjuang bagi membolehkan kelompok tertentu mencapai cita-cita politik mereka. Jika dakwaan ini tidak benar, maka RBA perlu tampil untuk menafikan tuduhan ini, tetapi penulis yakin RBA tidak mempunyai keberanian tersebut termasuklah kelompok yang membiayai aktiviti mereka.
RBA hanyalah kelompok pengecut yang berselindung di sebalik nama-nama samaran dan akaun Facebook yang menggunakan identiti palsu, sebab perjuangan mereka bukanlah ikhlas untuk kepentingan negara tetapi sebaliknya mahu menghancurkan apa yang ada di negara ini khususnya dari segi perpaduan kaum dan kestabilan politik.
Sebab itulah, RBA menyerang kerajaan dalam apa juga isu dan tiada satu pun pujian yang diberikan kepada kerajaan biar pun mereka mengetahui tindakan kerajaan adalah betul termasuk insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Malah kita tidak harus lupa bahawa RBA juga pernah menghina Islam, pemimpin negara, orang Melayu dan raja-raja Melayu. Dalam diri mereka yang terlibat dengan RBA tidak ada perasaan hormat terhadap mana-mana institusi atau individu di negara ini. Keadaan itulah yang membolehkan RBA sentiasa biadab atau kurang ajar dalam tindakan mereka.
Selain itu, penulis tidak menganggap apa yang dilakukan oleh RBA akan memberi keuntungan politik jangka masa panjang kepada mana-mana pihak, sebaliknya ia akan mengundang petaka kepada mereka yang bersedia bersubahat dengan pengkhianat negara tersebut.
RBA tidak boleh selama-lamanya berselindung di sebalik tohmahan, fitnah, cacian dan penghinaan bagi menjayakan agenda songsang mereka, lambat laun rakyat akan sedar juga betapa bahaya permainan RBA.
Berikutan keadaan itulah pihak tertentu tidak boleh berputus asa untuk memburu RBA sehingga ke lubang cacing. Kalau pun puak ini tidak boleh dihapuskan sekurang-kurangnya ada langkah agresif bagi memerangi segala tohmahan dan dakyah yang disebarkan RBA.
Kita harus menerima hakikat, ketika ini ada kelemahan untuk memerangi RBA. Pihak yang bertanggungjawab menangkis serangan RBA tidak berupaya untuk berbuat apa-apa. Situasi inilah yang memungkinkan RBA semakin besar kepala dan bergembira dengan kerja-kerja jahat mereka.
Justeru sudah sampai masanya sebelum terlambat, satu tindakan perlu disusun untuk memastikan RBA mampu dihapuskan. Mungkin ia nampak sukar tetapi jika RBA begitu yakin dengan perbuatan gila dan jahat mereka, kenapakah pihak yang terlibat tidak ada keyakinan untuk memastikan RBA ditamatkan riwayatnya.
Hebat sangatkah RBA sehinggakan tidak ada mana-mana pihak mampu menentang mereka?
Penulis yakin RBA tidak akan mampu selama-lamanya bertahan kerana dari semasa ke semasa siapa, di mana dan bagaimana modus operandi kumpulan haram itu semakin terdedah.
Selain itu, sejarah juga sudah membuktikan, mana-mana kelompok yang cenderung untuk mengkhianati negara ini tidak pernah selamat. Inilah hakikat yang harus diterima oleh RBA - tidak kira siapa pun mereka dan siapa yang mengupah mereka!
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140407/re_06/RBA-pengkhianat-bukan-pejuang#ixzz2yA5eulYM © Utusan Melayu (M) Bhd
Subscribe to:
Posts (Atom)

















