Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
Showing posts with label UiTM SENTIASA DI HATIKU DAN UiTM LAMBANG HARGA DIRI. Show all posts
Showing posts with label UiTM SENTIASA DI HATIKU DAN UiTM LAMBANG HARGA DIRI. Show all posts

Tuesday, 24 November 2015

20 universiti awam haramkan guna vape

SHOLINA OSMAN | 23 November 2015 1:40 AM


IDRIS JUSOH (dua dari kiri) menyalakan obor perasmian Sipma 2015 sambil diperhatikan Azlan Man (tiga dari kiri) dan Mary Yap Kain Ching (kanan) di Kangar, Perlis, semalam. UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI

KANGAR 22 Nov. - Semua 20 universiti awam (UA) bersetuju mengharamkan penggunaan vape atau rokok elektronik diharamkan di kampus masing-masing, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata, keputusan itu dicapai bersama oleh naib-naib canselor di 20 universiti berkenaan yang bermesyuarat Jumaat lepas.

Katanya, arahan larangan penggunaan vape itu dikuatkuasakan kerana pihak universiti mahu menjadikan kawasan kampus sebagai ‘zon hijau’.

Idris berkata, penggunaan vape adalah larangan terbaru selain pihak universiti telah lama menjadikan kawasan kampus bebas daripada merokok.

“Perkara ini telah diputuskan oleh naib canselor (NC) masing-masing yang memang mempunyai autonomi untuk melaksanakan sebarang peraturan tanpa melibatkan campur tangan kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (Sipma) Ke-6 2015 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi yang dikelolakan Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti di Dewan 2020 di sini malam tadi.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching; Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Datuk Amir Md. Noor.

Antara universiti yang terlibat dalam pengharaman itu ialah Universiti Malaya (UM), Universi­ti Sains Malaysia (USM), Universi­ti Kebangsaan Malaysia (UKM), Uni­versiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Mengenai sukan dalam ka­langan pelajar universiti, Idris berkata, kerajaan menyediakan banyak insentif dan kemudahan selain pengecualian tertentu kepada atlet yang aktif untuk mengga­lakkan mereka mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang sukan.

Malah, katanya, lebih separuh pingat yang diperoleh kontinjen negara dalam Sukan SEA disumbangkan oleh atlet dalam kalangan pelajar terutamanya pelajar universiti.

“Kerajaan memang mengiktiraf kejayaan pelajar dalam bidang sukan. Ini dapat dilihat melalui banyak insentif dan penganugerahan disediakan untuk mereka agar lebih produktif,” katanya.

Kejohanan yang bermula semalam sehingga 28 November ini disertai 994 atlet yang akan bertanding dalam tujuh acara iaitu renang, olahraga, badminton, tenpin boling, bola sepak, squasy dan hoki.

- See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/20-universiti-awam-haramkan-guna-vape-1.161423#sthash.IqVdqsIX.dpuf




Thursday, 29 October 2015

UiTM, Universiti Hatyai jalin kerjasama

29 Oktober 2015 12:53 AM


DR. AHMAD REDZUAN ABD. RAHMAN bertukar dokumen perjanjian persefahaman dengan Dr. Chairat Jussapalo (tiga dari kanan) sempena Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa mengenai Masa Depan ASEAN 2015 di Arau, Kangar, Perlis, semalam. Turut kelihatan Senator Ramli Shariff (tengah). UTUSAN/Muhamad Iqbal Rosli.

KANGAR 28 Okt. – Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Hatyai bagi menjalin kerjasama dalam memajukan pelbagai bidang khususnya perniagaan, sukan dan kebudayaan.

Perjanjian itu ditandatangani antara Rektor UiTM Perlis, Prof. Datuk Dr. Ahmad Redzuan Abd. Rahman dan Penolong Presiden bagi Teknologi Kajian dan Maklumat Universiti Hatyai, Prof. Madya Dr. Chairat Jussapalo sambil disaksikan oleh Senator Ramli Shariff.

Ramli mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man manakala Ahmad Redzuan pula mewakili Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

MoU itu diadakan sempena Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan ASEAN (Icofa) 2015 di sebuah hotel di sini.

Ahmad Redzuan dalam sidang akhbarnya memberitahu, kerjasama yang terjalin diharap dapat membuka ruang lebih luas dalam pelbagai penyelidikan antara dua buah universiti tersebut.

“Banyak bidang yang kita boleh jalinkan kerjasama antaranya untuk memajukan perniagaan yang begitu penting di Hatyai.

“Selain itu, terdapat isu-isu lain seperti sukan dan kebudayaan serta kemasyarakatan yang melibatkan ASEAN yang kita boleh majukan secara bersama pada masa hadapan,” katanya.

Tambah beliau, hubungan kerjasama itu tidak terhad terhadap UiTM Perlis tetapi melibatkan institusi tersebut secara keseluruhan.

“Ini bermakna, UiTM dari negeri-negeri lain juga boleh menjalin kerjasama dengan Universiti Hatyai,” ujarnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/uitm-universiti-hatyai-jalin-kerjasama-1.151787#sthash.pb4MFFK1.dpuf


Tuesday, 8 September 2015

IPT : Sedia beri kuasa autonomi

Sedia beri kuasa autonomi.Bagi bolehkan universiti awam buat keputusan lebih pantas - Perdana Menteri

FITRI AFFENDI MUSTAFA | 08 September 2015 2:02 AM


NAJIB TUN RAZAK berucap dalam majlis bersama warga Kementerian Pendidikan Tinggi di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Kerajaan bersedia untuk memberikan kuasa autonomi sepenuhnya kepada semua universiti awam dari segi tadbir urus, kewangan dan perjawatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah tersebut untuk membolehkan pihak pengurusan universiti membuat segala keputusan dengan lebih pantas.

“Kita nak empowerment atau memperkasakan universiti bererti kita nak beri kuasa, kenaikan pangkat, jawatan dan juga kuasa kewangan supaya keputusan-keputusan lebih pantas dapat dibuat oleh pihak universiti.

“Bagaimanapun, ia mesti di­sertai dengan proses akauntabiliti supaya agensi-agensi pusat boleh dirundingkan apa bentuk dan secepat mana proses pemerkasaan itu dapat diturunkan kepada universiti kita,” katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Bersama Warga Pendidikan Tinggi serta Pelancaran Buku Panduan Enhancing University Board and Effectiveness di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.

Buku panduan itu yang juga dikenali sebagai UniTP Green Book merupakan salah satu daripada lima buku panduan yang dihasilkan bagi memacu program transformasi di universiti awam.

Yang turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; timbalannya, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.

Sementara itu, Perdana Menteri berharap Lembaga Pengarah serta Naib Canselor universiti awam dapat membantu kerajaan untuk mencari sumber kewangan sendiri bagi me­ngendalikan pengurusan universiti.

“Salah satu perkara yang amat rumit menjadi Perdana Menteri apabila terpaksa naikkan sesuatu perkara, lebih-lebih lagi kalau terpaksa naik yuran universiti dan sebab itu kita pertahankan yuran dari dahulu tak naik sampai sekarang.

“Dan jika nak pertahankannya dan mencapai sasaran 2.5 juta rakyat menerima pendidikan tinggi menjelang 2025 berbanding 1.4 juta sekarang, tak disebut sumber kewangan daripada mana. Jadi, saya berharap LPU (Lembaga Pengarah Universiti) dan NC (Naib Canselor) lihat dan guna keupayaan intelektual mereka untuk mencari sumber kewangan sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya Menteri Pendidikan Tinggi mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi LPU dan Naib Canselor universiti dua kali setahun bagi membincangkan pencapaian Indeks Prestasi Utama (KPI) masing-masing.

Najib berkata, perkara tersebut bukan untuk mencari kesalahan atau kelemahan universiti sebalik­nya bagi mendapatkan maklumat berkenaan masalah yang dihadapi pihak pengurusan.

“Perkara ini saya telah lalukan dengan menteri (kabinet) iaitu mengadakan KPI pada pertengahan tahun dan hujung tahun. Ini bukan sesi untuk ‘mendera’ Naib Canselor tetapi berkongsi masalah dan mencari penyelesaian bagi memastikan perjalanan universiti lebih berkesan dan lancar,” jelasnya.

Najib turut menyarankan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menekankan kepentingan subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik kepada orang ramai.

Selain itu, Perdana Menteri turut menyatakan kepentingan kepada orang ramai untuk menguasai Bahasa Inggeris pada tahap tinggi.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sedia-beri-kuasa-autonomi-1.133159#sthash.8adAnhhN.dpuf

Thursday, 3 September 2015

Kereta solar: UiTM yakin beri saingan sengit

03 September 2015 12:48 AM




SHAH ALAM 2 Sept. – Pasukan Eco-Photon dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang akan menyertai pertandingan kereta solar The Bridgestone World Solar Challenge 2015 di Australia dari 18 sehingga 24 Oktober ini, kini sudah bersedia untuk menggalas tugas mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Ketua Projeknya, Azwan Abdullah, persediaan pasukannya kini hampir 90 peratus siap dan beliau positif mereka mampu memenangi pertandingan berkenaan bagi kelas Clipsal & Schneider Electric Challenger.

Menurutnya, keyakinan untuk menghadapi cabaran pertandingan itu semakin tinggi apabila kereta solar yang dipandu uji oleh tiga pemandu mencatatkan keputusan yang positif semasa pandu uji di litar milik Proton di sini semalam.

“Kami berharap dengan keputusan pemanduan dan kejayaan pada hari ini akan dapat membantu pa­sukan untuk mencapai rekod jarak 3,000 kilometer selama enam hari seperti yang telah ditetapkan dalam pertandingan.

“Ini juga merupakan peluang keemasan bagi pelajar UiTM untuk membuktikan kepakaran dan bakat yang ada kepada dunia, sekali gus memberi peluang untuk mengha­rumkan nama negara,” ujarnya selepas pandu uji di sini hari ini.

Azwan menambah, Malaysia yang diwakili UiTM turut bersaing dengan 34 kumpulan lain dari seluruh dunia.

“UiTM adalah wakil Malaysia, manakala negara Asia Tenggara yang akan mengambil bahagian dalam pertandingan sama ialah Si­ngapura dan Thailand,” ujarnya.

Jelasnya, sebanyak 25 pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Elektrik dan Kimia UiTM akan mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kereta-solar-uitm-yakin-beri-saingan-sengit-1.131039#sthash.P8ro14cD.dpuf


Friday, 28 August 2015

UiTM bantu 32,485 belia miskin

80 peratus daripada mereka berjaya peroleh pekerjaan

ZABRY MOHAMAD | 27 Ogos 2015 1:36 AM

SHAH ALAM 26 Ogos - Sebanyak 32,485 pelajar daripada keluarga miskin berjaya dibantu untuk melanjutkan pengajian tinggi menerusi program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) yang diperkenalkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak 2010.

Sahol Hamid Abu Bakar

Naib Canselor UiTM, Profesor Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, daripada jumlah tersebut, kira-kira 80 peratus sudah mendapat pekerjaan dan berjaya dalam kerjaya masing-masing.

Menurutnya, kejayaan itu mungkin tidak mampu dicapai sekiranya tiada campur tangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sejak lima tahun kebelakangan ini, Perdana Menteri banyak membantu sehingga membawa perkembangan pesat kepada UiTM.

“Sebagai penjawat awam, menjadi tanggungjawab saya untuk memberitahu banyak perkembangan positif yang berlaku dalam UiTM. Contohnya MDAB banyak dibantu oleh Perdana Menteri sejak dimulakan pada 2010,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Antara program yang disediakan dalam MDAB ialah kursus pradiploma bagi pelajar miskin lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak mempunyai cukup kelayakan kredit untuk melanjutkan pengajian peringkat diploma.

Menerusi program tersebut, UiTM menubuhkan pelbagai bentuk tabung bagi membantu golongan berkenaan seperti tabung pelajar miskin, tabung pembangunan pelajar dan tabung zakat.

> Diperkenalkan pada 2010

> 32,485 pelajar daripada keluarga miskin dibantu

> Lepasan SPM yang tidak mempunyai cukup kelayakan kredit

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/uitm-bantu-32-485-belia-miskin-1.128879#sthash.XO2szSTf.dpuf

Zaidee Laidin dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM

28 Ogos 2015 1:38 AM


SHAH ALAM 27 Ogos – Bekas Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Ir. Dr. Ahmad Zaidee Laidin dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM yang baharu, berkuat kuasa 7 Jun lalu.

Ahmad Zaidee Laidin

Ketua Timbalan Pendaftar Bahagian Canselori dan Komunikasi Korporat UiTM, Alfina Bakar berkata, Ahmad Zaidee menggantikan Tan Sri Dr. Wan Zahid Mohd. Noordin yang tamat tempoh perkhidmatan pada 6 Jun lalu.

“Ahmad Zaidee ialah seorang tokoh yang tidak asing bagi warga UiTM kerana pernah menerajui Institut Teknologi Mara (ITM) ketika ITM dalam proses peralihan untuk dinaik taraf ke status sebuah universiti.

“Pelantikan beliau sebagai Pengarah ITM berkuat kuasa pada 1994 sebelum jawatan tersebut dinaik taraf kepada Rektor ITM pada 1996. Apabila status ITM bertukar menjadi sebuah universiti pada 26 Ogos 1999, perkhidmatannya diteruskan dan beliau dilantik sebagai Naib Canselor pertama UiTM,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Alfina berkata, Ahmad Zaidee ialah seorang jurutera profesional berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia yang melanjutkan pengajian di Brighton College of Technology (University of Brighton) dalam bidang kejuruteraan elektrik di bawah tajaan biasiswa Lembaga Letrik Negara (LLN) pada 1966.

Jelasnya lagi, Ahmad Zaidee seterusnya memperoleh ijazah sarjana sains dalam bidang ekonomi teknologikal pengkhususan dalam pengurusan dan sains industri atau MSc. in Technological Economies dari University of Stirling, Scotland.

Ahmad Zaidee ialah Felo Kehormat Institusi Jurutera Malaysia dan di Akademi Sains Malaysia.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/zaidee-laidin-dilantik-sebagai-pengerusi-lembaga-pengarah-uitm-1.129364#sthash.Xtnd7txn.dpuf


Wednesday, 12 August 2015

Satu fakulti di lima universiti awam dipilih sebagai perintis iCGPA

10 Ogos 2015 5:15 PM


IDRIS Jusoh beramah mesra bersama tetamu yang hadir semasa majlis sambutan Aidilfitri anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi, di Putrajaya hari ini. - Foto RASHID MAHFOF

PUTRAJAYA 10 Ogos - Sebuah fakulti di lima universiti awam akan dipilih sebagai perintis kepada pelaksanaan sistem penilaian pelajar baharu Purata Nilai Gred Keseluruhan Berintegrasi (iCGPA), kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata, ia melibatkan kira-kira 300 pelajar baharu bagi kemasukan September 2015 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Katanya penilaian meliputi sembilan aspek iaitu kefahaman akademik; kemahiran akademik; pemikiran kritikal dan saintifik; kemahiran berkomunikasi; kemahiran sosial, berkumpulan dan kemanusiaan; etika, moral dan profesionalisme; pengurusan maklumat dan pembelajaran sepanjang hayat; pengurusan dan keusahawanan; dan kepimpinan.

Menurutnya, iCGPA dapat mengatasi masalah ketidaksepadanan antara kualiti graduan dan kehendak majikan memandangkan sistem sedia ada hanya mengukur kemampuan akademik pelajar.

"Kita sentiasa mendengar komen mahukan graduan yang holistik, mempunyai ciri keusahawanan dan seimbang. Inilah yang kita harap dapat lahirkan melalui iCGPA," katanya kepada pemberita pada majlis ramah mesra dan sambutan Aidilfitri KPT, di sini hari ini.- BERNAMA

- See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/satu-fakulti-di-lima-universiti-awam-dipilih-sebagai-perintis-icgpa-1.122767#sthash.aG1r5XNc.dpuf

Friday, 31 July 2015

Autonomi UiTM dilaksana serentak mulai 1 September

30 Julai 2015 1:15 AM


SAHOL HAMID ABU BAKAR (tiga dari kanan) bersama Redzuan Abd. Rahman (empat dari kanan) mengagihkan buah durian kepada kakitangan dan pelajar UiTM Perlis semasa Majlis Sambutan Aidilfitri UiTM Perlis 2015 di Arau, semalam.

ARAU 29 Julai – Pemberian autonomi kepada kesemua 13 cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan dilaksanakan secara serentak bermula 1 September ini, dengan proses penurunan kuasa dijalankan secara berperingkat-peringkat sehingga 2018.

Pada 2018 juga, kesemua kampus UiTM akan diletakkan secara bersendirian dalam ranking universiti terbaik dunia namun masih mengekalkan jenama universiti terbabit.

Naib Canselornya, Tan Sri Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, beliau sendiri akan menjelajah ke seluruh kampus universiti itu untuk menerangkan perubahan transformasi yang sedang berlaku dalam pentadbiran UiTM.

Kata beliau, pemberian kuasa autonomi kepada kampus UiTM merupakan langkah penurunan kuasa kepada rektor bagi membolehkan pengurusan UiTM ditadbir secara lebih berkesan.

“Dengan pemberian kuasa autonomi ini, rektor mempunyai kuasa sebagai Naib Canselor (NC) dan setiap kampus akan bertindak sebagai sebuah ‘universiti’ bersendirian.

“Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan perubahan misi serta visi UiTM dan ini bermakna yuran pelajar dan gaji kakitangan kekal selain masih menggunakan Senat UiTM yang sama,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Aidilfitri UiTM Perlis di sini hari ini.

Yang turut hadir Rektor UiTM Perlis, Prof. Datuk Dr. Ahmad Redzuan Abdul Rahman.

Pada 11 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penganugerahan status autonomi kepada semua kampus UiTM dalam usaha menjadikan institusi keramat itu sebagai universiti terbaik di dunia.

Penganugerahan tersebut perlu untuk memastikan sistem tadbir urus UiTM mampu mentadbir sebanyak 224,000 pelajar yang dijangka menyertai 244 program di universiti itu menjelang 2020.

Sahol Hamid seterusnya memberitahu, pemberian autonomi berkenaan merupakan gabungan penyesuaian antara konsep sistem pentadbiran Universiti California, Amerika Syarikat (AS) dan Universiti Oxford, United Kingdom (UK).

Katanya, UiTM akan mengutamakan 11 elemen dalam menjayakan perubahan transformasi itu antaranya adalah pemilihan pensyarah yang benar-benar berkualiti.

“Kita akan pastikan hanya pensyarah yang mempunyai azam dan semangat untuk memajukan anak bangsa diterima di UiTM. Sehingga kini, kita telah mengambil tindakan terhadap 20 pensyarah dan kakitangan UiTM yang tidak menepati kriteria kita,” ujar beliau.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/autonomi-uitm-dilaksana-serentak-mulai-1-september-1.118423#sthash.Mj8Zhnnc.dpuf


Tuesday, 7 July 2015

Chowrasta UiTM

Filem karya FiTA yang berjaya diiktiraf MBR

OLEH ABDUL RAZAK IDRIS
KAMPUS@UTUSAN.COM.MY | 06 Julai 2015 1:00 PM


ARSHAD Ayub (depan, empat dari kiri) memegang sijil MBR yang mengiktiraf tayangan perdana filem Chowrasta terbitan warga UiTM dan Nation Film Studio Sdn. Bhd. ditonton oleh paling ramai penonton di Dewan Agong Tuanku Canselor, baru-baru ini.

Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencatatkan nama di dalam Malaysia Book Of Record (MBOR) apabila tayangan perdana filem, Chowrasta, hasil kreativiti pensyarah dan pelajar Fakulti Filem Teater dan Animasi (FiTA) Chowrasta berjaya mencatatkan bilangan penonton seramai 4,416 orang di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) di sini baru-baru ini.

Menurut Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof. Ir.Dr.Sahol Hamid Abu Bakar, rekod tersebut membuktikan minat para pelajar dan bekas pelajar terhadap filem yang menggambarkan jerih perih perjuangan seorang graduan UiTM yang berjaya bangun setelah sekali gagal.

“Rekod yang dicatatkan di dalam MBOR memberi publisiti yang baik kepada filem Chowrasta yang bakal ditayangkan kepada umum 10 Disember tahun ini dan saya teruja dengan perkembangan ini,”katanya kepada pemberita selepas tayangan perdana filem tersebut.

Yang hadir sama ialah Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub dan isteri, Puan Sri Zaleha Arshad, Naib Canselor UiTM.Tan Sri Prof.Ir.Dr.Sahol Hamid Abu Bakar dan tetamu kenamaan serta pengurusan kanan UiTM.

Sementara itu menurut Pengarah filem Chowrasta yang juga Dekan FiTA, Prof.Datuk Abdul Razak Mohaideen,beliau gembira kerana filem yang diterbitkan dengan kerjasama UiTM dan Nation Film Studio Sdn.Bhd.mencipta rekod tayangan perdana di tempat tertutup teramai di negara ini.

“Kejayaan yang menggembirakan ini adalah hasil dari publisiti di media sosial yang mana kita menyiarkan video-video klip pendek Chowrasta yang diinspirasi dari teater muzikal dengan sinopsis yang sama tahun lalu,” katanya.

Abdul Razak berkata, filem Chowrasta adalah kisah perjuangan seorang pelajar UiTM bernama Hamid yang berasal dari sebuah kawasan yang penuh dengan aktiviti samseng di Pulau Pinang yang dinamakan Chowrasta.

Ia padat dengan drama kisah suka dan duka pelajar yang mengubah destini hidupnya dari seorang yang terlibat dengan dunia yang penuh dengan sengketa antara kumpulan samseng kini beliau berjaya menjadi seorang pemimpin yang disegani masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Antara pelakon yang membintangi filem ini adalah Datuk Rosyam Nor, Chem Amar, Aminah Rhapor, Fauzi Nawawi dan Amylia Nattasha Aziz.

- See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/chowrasta-uitm-1.111135#sthash.jbOGnFQC.dpuf

Friday, 19 June 2015

UiTM umum Dr. Suhaimi 
Timbalan Naib Canselor

19 Jun 2015 1:10 AM


SHAH ALAM 18 Jun – Penolong Naib Canselor (Pembangunan, Fasiliti dan ICT) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Ir. Dr. Suhaimi Abd. Talib dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) universiti itu yang baharu berkuatkuasa pada 7 Jun lalu.

Suhaimi Abd. Talib

Ketua Timbalan Pendaftar Bahagian Canselori dan Komunikasi Korporat, UiTM Shah Alam, Alfina Bakar berkata, pelantikan Suhaimi bagi menjalankan tugas yang sebelum ini disandang Prof. Dr. Azni Zain Ahmed.

“Beliau memiliki kepakaran dalam bidang pengurusan alam sekitar, kawalan pencemaran, kejuruteraan air dan sisa air, bio-remediation dan pengurusan perkhidmatan air dan sisa air,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Alfina, Suhaimi telah dianugerahkan ijazah doktor falsafah dari Universiti Teknologi Malaysia (Oktober 2002), Sarjana Sains Pengurusan Air dan Alam Sekitar (Kepujian) dari Universiti Loughborough, United Kingdom (Disember 1996) dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (Kepujian) dari Universiti Melbourne, Australia (Disember 1986).

Suhaimi mula berkhidmat di UiTM pada 1988 dan menjadi pensyarah di Fakulti Kejuruteraan UiTM untuk program peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana.

“Selain mengajar, beliau juga secara aktif terlibat dalam menyelia projek penyelidikan pelajar sarjana muda, sarjana sehingga ke peringkat doktor falsafah di UiTM.

“Antara jawatan yang pernah disandang ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Perhubungan Industri) Fakulti Kejuruteraan Awam UiTM, Penolong Naib Canselor UiTM Kampus Puncak Alam dan Puncak Perdana dan Penolong Naib Canselor (Pembangunan, Fasiliti dan ICT) UiTM,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/uitm-umum-dr-suhaimi-8232-timbalan-naib-canselor-1.104544#sthash.lxyoTcnz.dpuf

Tuesday, 26 May 2015

UiTM : Sasar jana 60,000 akauntan

TalentCorp, UiTM meterai kerjasama

ABDUL RAZAK IDRIS | 26 Mei 2015 12:59 AM


ABDUL WAHID OMAR dan Sahol Hamid Abu Bakar (dua dari kanan) menyaksikan pertukaran MoU antara Johan Mahmood Merican (kanan) dan Venkkat Ramanan di UiTM Puncak Alam, Kuala Selangor, semalam. UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS

KUALA SELANGOR 25 Mei - Dalam usaha untuk melahirkan 60,000 akauntan bertauliah menjelang 2020, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan dua badan perakaunan profesional iaitu Akauntan Awam Bertauliah (CPA) dan Institusi Pengurusan Akauntan Berkanun (CIMA) dari Australia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, pemeteraian MoU tersebut akan membuka jalan kepada pelajar Malaysia di universiti tempatan untuk memulakan langkah mereka bergelar sebagai akauntan berkanun ketika masih menuntut.

“Usaha kerajaan untuk melahirkan graduan yang bersedia untuk industri bertujuan memastikan tenaga kerja muda Malaysia berpeluang memperoleh pendapatan tinggi hasil daripada transformasi ekonomi.

“Langkah meningkatkan kemahiran para graduan kita dengan kelayakan profesional yang diiktiraf di peringkat industri akan membantu tenaga kerja Malaysia mencapai potensi mereka.

“Syabas saya ucapkan kepada Fakulti Perakaunan UiTM kerana menerajui inisiatif menggalakkan pelajarnya untuk memperoleh kelayakan profesional dan mula mengambil kertas profesional sebelum tamat pengajian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU antara UiTM, TalentCorp, CPA Autralia dan CIMA Australia serta melancarkan Zon Pembabitan Industri (Ind-E-Zone) di UiTM Kampus Puncak Alam di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof. Ir .Dr. Sahol Hamid Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Johan Mahmood Merican dan Pengarah Bahagian Hubungan Industri, Bahagian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Prof. Madya Dr. Arham Abdullah.

Mengulas mengenai penubuhan Zon Pembabitan Industri di UiTM Puncak Alam, Johan Mahmood berkata, ia bermatlamat untuk menangani ketidakserasian kemahiran antara graduan baharu dan permintaan industri dan pada masa memberi kesempatan kepada graduan untuk bersedia sebelum memasuki dunia kerjaya.

“Program meningkatkan kemahiran perakaunan profesional dan pusat Ind-E-Zone merupakan usaha TalentCorp untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui usaha sama antara pihak industri dan akademik,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sasar-jana-60-000-akauntan-1.95830#sthash.jfbBeiU5.dpuf

Thursday, 14 May 2015

UiTM : Kuasa autonomi tingkat daya saing

NORIZAN ABDUL MUHID (PENDIDIKAN@UTUSAN.COM.MY) | 14 Mei 2015 1:52 AM


SAHOL HAMID ABU BAKAR

Naib Canselor NC Universiti Tek­nologi Mara (UiTM), Tan Sri Prof. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar mengakui dirinya tidak boleh menjadi ‘Super NC’ untuk mengawal lebih 200,000 pelajar, pensyarah dan kakitangan sokongan universiti itu di seluruh negara.

Oleh sebab itu, beliau menyambut baik penganugerahan status autonomi kepada setiap kampus UiTM di seluruh negara yang akan dijaga dan diuruskan oleh seorang rektor bermula tahun ini, merangkumi empat bidang iaitu pentadbiran institusi; kewangan dan penjanaan pendapatan; pengurusan sumber manusia dan pengurusan akademik serta pelajar.

“Sebagai Naib Canselor, tugas untuk mengawal 200,000 pelajar, 10,000 pensyarah dan 10,000 kakitangan sokongan amat sukar, jika dibandingkan dengan universiti lain yang cuma ada sekitar 20,000 pelajar tetapi UiTM ada 200,000 pelajar, 10 kali ganda berbanding universiti lain. Saya tidak mampu untuk kawal dan urus semua.

“Saya sebagai NC tidak boleh jadi Super NC, saya mengaku, ia satu ego yang salah jika saya tidak mengakuinya,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kampus Induk UiTM Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Autonomi universiti bermaksud penurunan kuasa membuat keputusan daripada agensi pusat dan kementerian kepada pihak universiti selain merupakan prasyarat penting untuk mewujudkan persekitaran kampus yang dinamik melalui pengurusan institusi pengajian tinggi awam berdaya saing.

Pelaksanaan autonomi ini ber­teraskan integriti dan akauntabiliti yang tinggi serta perlu dipatuhi oleh pentadbiran universiti selain keputusan kemasukan pelajar diuruskan oleh universiti berkenaan, tidak lagi menerusi Unit Pengambilan Universiti.

UiTM telah menjalani audit kesediaan autonomi pada Mac tahun lalu oleh Kementerian Pendidikan dan Pusat Produktiviti. Laporan audit berpandukan Code of University Good Governance dan University Good Governance Index menunjukkan prestasi UiTM cemerlang terutama dalam bidang akademik.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Sahol Hamid berkata, bilangan pelajar UiTM kian meningkat setiap tahun dengan hanya 140,000 pelajar pada tahun 2000 tetapi kini meningkat kepada 190,000 orang dan komposisi itu perlu sei­ring dengan kualiti serta kebolehpasaran kerja melalui program pengajian yang ditawarkan.

“Kita mahu buka akses kepada semua pelajar tetapi pada masa sama kita harus menjaga kualiti dan bagi menjaga kualiti, kita mengurangkan program pengajian sama ada kita tutup atau gabungkan program demi memastikannya mampu menampung kebolehpasaran graduan UiTM.

“Namun UiTM semakin ramai pelajar dan popular, jadi untuk mengawal dan mengurus semuanya di kampus induknya di Shah Alam memang payah.

“Saya mengaku bukan senang nak jaga, jadi satu caranya adalah mewujudkan 13 kampus dan setiap daripadanya diberikan autonomi. Setiap kampus dijaga dan diuruskan oleh seorang rektor, sebagai contoh Kampus UiTM Perlis ada 12,000 pelajar, Perak 17,000 orang dan Melaka mempunyai 15,000 orang,’’ katanya.

Jelas Sahol Hamid, melalui pemindahan kuasa autonomi itu kepada rektor di setiap kampus membolehkan beliau sebagai Presiden mengawal secara keseluruhan pentadbiran dengan lancar dan lebih memfokuskan kepada pengurusan kewangan.

“Rektor akan lapor kepada saya (Presiden), saya akan lebih fokus terhadap kawalan kualiti pentadbiran yang lancar, pengurusan kewangan lebih mantap dan sekarang tidak akan ada banyak isu birokrasi, kita kurangkan isu ini habis-habisan, tidak perlu protokol terlalu banyak, maka kerja akan lebih lancar.

“Kita akan pantau dari segi kua­liti dan tatacara sama ada rektor jalankan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP), bertugas dengan integriti, tiada penyelewe­ngan atau salah guna kuasa,’’ katanya sambil menambah kuasa autonomi kepada kampus universiti sudah lama dipraktikkan di United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Tegas Sahol Hamid, rektor yang dilantik perlu menjalankan tugas dengan penuh integriti dan me­lakukan yang terbaik demi membawa nama UiTM ke peta dunia, menjaga kualiti dengan ketat di samping memastikan pelajar yang tamat pengajian mendapat pekerjaan yang baik.

“Perbincangan mengenai per­kara ini masih berjalan dengan pihak Kementerian Pendidikan termasuk memperhalusi beberapa perkara, bagi tahun pertama, kita kena pantau rektor yang mungkin terlepas pandang sesuatu atau terlalu ghairah hingga tidak ikut SOP, saya sebagai Presiden, perlu melihat perkembangan ini dengan te­liti bagi memastikan tiada masalah yang berlaku,’’ kata beliau.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/kuasa-autonomi-tingkat-daya-saing-1.91566#sthash.T3SXvJIJ.dpuf

Monday, 11 May 2015

Alumni UiTM perlu jayakan TP1B – Arshad

11 Mei 2015 3:57 AM

Arshad Ayub (dua dari kiri) dan isteri, Puan Sri Zaleha Arshad (kiri) melihat Anugerah Sarjana Cemerlang dalam bidang Pentadbiran Perniagaan yang diterima anak mereka, Azmir Razaleigh Arshad sambil diperhatikan isteri Azmir, Siti Shazlina Shamsirruddin selepas Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-82 di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 10 Mei – Alumni dan ibu bapa pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) diseru menjayakan pelaksanaan Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B) dengan menyalurkan sumbangan bagi memastikan agenda pembangunan ilmu pengetahuan bumiputera dapat diperkasakan pada masa depan.

Seruan itu dinyatakan Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub yang yakin TP1B dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada April lalu, mampu menjadi sumber kewangan besar untuk membela golongan bumiputera terus maju dalam bidang pendidikan.

“Sebagai Pro-Canselor UiTM, saya melihat inilah masa untuk alumni UiTM dan ibu bapa bekas pelajar universiti ini yang berjumlah hampir 500,000 orang menyumbang kembali kepada institusi yang telah berjaya mengubah landskap masa depan anak mereka.

“Saya tidak ingin menyatakan jumlah yang patut disumbang oleh golongan itu, tetapi apa yang penting adanya rasa ingin memberi balik dalam diri masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-82 di sini hari ini.

Arshad berkata, jika diandaikan seorang Alumni UiTM atau ibu bapa mereka memberi sumbangan sebanyak RM2,000, mungkin sasaran yang diimpikan sebanyak RM1 bilion menjadi kenyataan tanpa menunggu masa yang lama.

Katanya, budaya memberi balik kepada UiTM perlu dilihat sebagai satu perilaku murni demi mewujudkan kesinambungan pendidikan tinggi bumiputera bagi mengisi pasaran tenaga kerja profesional dan separa profesional pada masa depan.

“Inilah masa ibu bapa yang memiliki anak yang berjaya sebagai graduan pelbagai bidang untuk turut sama menyumbang ke dalam TP1B. Menjadi harapan saya juga, untuk melihat graduan yang tamat belajar hari ini turut menyumbang kepada anak bangsa apabila sudah berjaya nanti,” katanya.

Beliau menambah, inisiatif TP1B yang telah diilhamkan oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan turut digerakkan bersama Persatuan Alumni UiTM (PAUiTM) itu perlu disokong sepenuhnya kerana ia diwujudkan untuk disalurkan bagi tujuan pendidikan, kebajikan, biasiswa dan penyelidikan ilmiah.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/alumni-uitm-perlu-jayakan-tp1b-8211-arshad-1.90597#sthash.ibwCelEB.dpuf

Monday, 13 April 2015

Kampus UiTM diberi autonomi

RODELIO JUNJUN TAUCAN | 12 April 2015 2:14 AM


Najib Tun Razak bersama Idris Jusoh (depan, empat dari kanan) dan Lodin Wok Kamarudin (depan, dua kanan) bergambar bersama penerima-penerima watikah pelantikan pemegang amanah Tabung Pendidikan 1Bilion (TP1B) UiTM termasuk Prof. Sahol Hamid Abu Bakar (belakang, kanan) dan Zaini Hassan (depan, kanan) dalam Majlis Sumbangsih Perdana TP1B UiTM di Kuala Lumpur, malam tadi. mingguan/Hafiz Johari

KUALA LUMPUR 11 April - Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penganuge­rahan status autonomi kepada semua kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam usaha menjadikan institusi keramat itu sebagai universiti terbaik di dunia.

Perdana Menteri berkata, penga­nugerahan tersebut perlu untuk memastikan sistem tadbir urus UiTM mampu mentadbir sebanyak 224,000 pelajar yang dijangka menyertai 244 program di universiti itu menjelang 2020.

Beliau berkata, melalui kuasa autonomi, setiap kampus UiTM akan ditadbir oleh seorang rektor yang boleh membuat keputusan dalam memastikan pentadbiran dan sumber universiti diuruskan dengan baik.

“Saya telah putuskan bersama bahawa konsep yang paling sesuai ialah kita kekalkan UiTM sebagai institusi keramat bumiputera, ini tidak boleh dikompromi, identiti UiTM tidak akan ditukar.

“Tetapi oleh kerana UiTM sudah terlalu besar, saya bersetuju sistem autonomi akan dilaksanakan, maka setiap kampus ada kuasa autonomi tetapi strukturnya tetap kekal,” katanya ketika berucap melancarkan majlis Malam Sumbangsih Perdana Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B) UiTM di sini malam ini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengerusi Lembaga Pemegang TP1B, Tan Sri Lodin Wok Kamarudin.

Yang hadir sama, Naib Canselor UiTM, Prof. Tan Sri Ir. Sahol Hamid Abu Bakar dan Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia, Datuk Zaini Hassan.

Perdana Menteri berkata, pemberian kuasa autonomi yang diputuskan bersama timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah bagi memastikan identiti UiTM terus kekal sebagai universiti terbaik untuk golongan bumiputera.

Tambahnya, sehingga Oktober 2014, UiTM telah berkembang de­ngan pesat dan menampung seba­nyak 177,051 pelajar daripada pe­ringkat pengajian asasi sehingga doktor falsafah.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kampus-uitm-diberi-autonomi-1.80120#sthash.GfvXf2a1.dpuf

Tuesday, 24 March 2015

1,500 lepasan SPM serbu 
program lanjut pelajaran ke UiTM

24 Mac 2015 12:22 AM


Abdul Azeez Abdul Rahim dan Mohd. Noor Mohd Amin (dua dari kiri) beramah mesra dengan pelajar lepasan SPM di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, Baling, kelmarin.

BALING 23 Mac – Kira-kira 1,500 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyerbu program Melanjutkan Pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Peringkat Parlimen Baling 2015 di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak dekat sini semalam.

Program anjuran Pemuda UMNO Baling dengan kerjasama UiTM cawangan Merbok itu bagi membolehkan lepasan SPM di kawasan ini meninjau peluang melanjutkan pelajaran ke universiti berkenaan bagi sesi baharu pada Jun ini.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim ketika berucap merasmikan program tersebut berkata, ini adalah peluang kedua bagi membantu pelajar yang mempunyai kelayakan agar mereka dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading.

“Peluang kedua ini dibuka kepada pelajar lepasan SPM untuk memasuki UiTM setelah mereka gagal ataupun terlepas peluang ke universiti lain.

“Ini merupakan peluang untuk mereka mencapai cita-cita sehingga ke peringkat yang lebih tinggi dan tidak seharusnya mereka melepaskan begitu sahaja,” kata Abdul Azeez.

Antara kursus yang ditawarkan ialah pra-Perdagangan dan pra-Sains dan mereka akan menjalani kursus pra-Diploma selama enam bulan bermula Jun ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Baling, Mohd. Noor Mohd. Amin berkata, anak muda di kawasan ini perlu diberi pendedahan dan peluang untuk mengubah nasib dan masa hadapan mereka agar menjadi lebih berjaya dan sempurna.

“Kita tidak mahu anak bangsa ketinggalan jauh daripada arus perdana dan mereka perlukan ilmu untuk terus bersaing,” kata Mohd. Noor.

Lepasan SPM, Nazatul Afigah Mohd. Asri, 18, Kampung Ketemba Luar dekat sini berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang yang disediakan itu demi mencapai cita-citanya.

“Peluang ini amat baik untuk saya dan rakan-rakan. Sekiranya terpilih saya tidak akan mensia-siakan peluang yang diberi ini,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/sekolah/1-500-lepasan-spm-serbu-8232-program-lanjut-pelajaran-ke-uitm-1.72813#sthash.O13LCK13.dpuf

Monday, 9 March 2015

2,000 belia Shah Alam mohon masuk UiTM

09 Mac 2015 1:40 AM


AZHARI SHAARI (depan, tiga dari kiri) bersama Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Abdul Rahim Mat Shah (depan, dua dari kiri), Naib Ketua Bahagian, Datuk Nor Hisham Ses (depan, empat dari kiri) dan Ketua Pemuda Bahagian, Ahmad Mua’adzam Shah Yaakop (kiri) melaungkan ‘Kami Mahu Masuk U’ bersama calon-calon pelajar Universiti Teknologi Mara dalam Program Jom Masuk U yang diadakan di Dewan Beringin, Seksyen 24 di sini semalam. – utusan/ABDUL RAZAK IDRIS

SHAH ALAM 8 Mac – Walaupun keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak cemerlang, namun demi mengubah masa depan yang lebih baik, 2,000 belia yang kebanyakannya daripada keluarga kurang kemampuan memohon melanjutkan pelajaran di Uni­versiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi program Jom Masuk UiTM.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, penganjuran program tersebut bertujuan memberi peluang kepada belia yang mendapat keputusan SPM sekurang-kurangnya tiga kredit meneruskan pendidikan tinggi, seterus­nya dapat mengubah nasib keluarga yang terpaksa berdepan kos tinggi di bandar besar.

“Program yang dianjurkan oleh UMNO Bahagian Shah Alam ini bukan sahaja mendapat perhatian warga bandar raya itu, malah ada yang datang dari Kuala Lumpur dan sejauh Miri, Sarawak.

“Kita berharap program sebegini dapat dikembangkan lebih jauh oleh semua UMNO bahagian di Selangor,” katanya semasa berucap merasmikan program tersebut di Dewan Beringin, Seksyen 24, di sini hari ini.

Calon-calon yang berjaya mendapat tempat di UiTM menerusi program berkenaan akan menjalani kursus pradiploma sebelum ke peringkat diploma.

Azhari menambah, pihaknya sentiasa komited menganjurkan program pendidikan untuk anak-anak warga bandar raya ini seperti tuisyen percuma menjelang pe­periksaan SPM pada tahun lalu.

- See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/2-000-belia-shah-alam-mohon-masuk-uitm-1.67421#sthash.kiXaAMHp.dpuf


Thursday, 26 February 2015

Alumni UiTM jangan lupa diri – Ibrahim Ali

26 Februari 2015 1:36 AM


Ibrahim Ali bersalam dengan para pelajar baharu UiTM selepas menyampaikan ucapan di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), Shah Alam, semalam. – UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS

SHAH ALAM 25 Feb. – Lepasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang kurang semangat jati diri dan patriotisme ditegur kerana sikap sedemikian boleh membantutkan usaha kerajaan mahu terus membantu melahirkan orang Melayu dan bumiputera berpendidikan tinggi.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, alumni UiTM tidak sepatutnya lupa dengan budi yang ditabur oleh kerajaan sehingga membolehkan mereka berjaya dalam hidup dan mempunyai kerjaya baik.

Menurutnya, golongan tersebut seharusnya membalas jasa itu dengan menyokong atau membantu UiTM apabila diperlukan.

"Sekarang ada kira-kira 500,000 alumni UiTM yang berjaya dalam bidang masing-masing, mempunyai jawatan penting, namun apabila sokongan daripada mereka diperlukan, tidak ramai yang boleh menyumbang balik kepada UiTM.

"Sehubungan itu, setiap pelajar UiTM perlu ada sikap bertanggungjawab, pengorbanan tinggi dan sentiasa bersyukur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah di depan kira-kira 900 pelajar baharu UiTM sempena program Minggu Destini Siswa di sini hari ini.

Dalam ceramahnya itu, Ibrahim yang juga Ahli Lembaga Pengarah UiTM turut menasihatkan pelajar-pelajar tersebut supaya tidak mudah diperalatkan atau dipergunakan untuk kepentingan pihak tertentu.

Jelasnya, setiap daripada mereka mempunyai peranan khusus untuk mengangkat martabat orang Melayu dan bumiputera.

"Tugas kamu sekarang adalah belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan cemerlang. Jangan hampakan harapan ibu bapa.

"Apabila tamat belajar nanti, balas jasa mereka yang membantu dengan menyumbang kepada bangsa dan negara," ujarnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/alumni-uitm-jangan-lupa-diri-8211-ibrahim-ali-1.63781#sthash.Ynr2xZY8.dpuf


Monday, 16 February 2015

Tiga pelajar UiTM terima biasiswa JCorp

15 Februari 2015 1:11 AM

KUALA LUMPUR 14 Feb. – Tiga pelajar Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menerima biasiswa daripada Johor Corporation (JCorp) untuk bekerja di firma audit di London dan mengikuti program profesional Institute of Chartered Accountants, England and Wales (ICAEW)

Sahol HamidAbu Bakar

Pelajar jurusan Sarjana Muda Perakaunan terbabit ialah Shafreena Mirza Tariq Beg, Noor Liyana Hajar Bakri dan Fiza Ismail yang telah menamatkan pengajian mereka tahun lalu.

Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar ber­kata, keja­yaan tersebut sa­ngat berharga ke­rana telah membuktikan keupayaan universiti terbabit dalam melahirkan mahasiswa yang berdaya saing.

“Ketiga-tiga pelajar tersebut berkemungkinan akan bekerja di firma audit di London selama tiga tahun, namun tertakluk kepada perjanjian mereka dengan pihak JCorp.

“Saya berharap pengalaman yang diperoleh di tempat tersebut dibawa pulang ke Malaysia untuk membantu membangunkan negara memandangkan bukan mudah untuk pelajar mendapat peluang keemasan seperti ini,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

Ketiga-tiga pelajar berkenaan telah menjalani sesi temuduga yang sengit apabila terpaksa melalui 11 jenis penilaian oleh JCorp dan perlu bersaing dengan lebih 100 calon lain yang mempunyai pengalaman kerja dalam pelbagai bidang.

Menurut Sahol Hamid, pengalaman serta komitmen pensyarah UiTM dalam memberi tunjuk ajar kepada siswazah-siswazah itu tidak seharusnya dilupakan.

“Tanpa didikan daripada tenaga pengajar UiTM, mereka mungkin tidak mencapai kejayaan tersebut,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/tiga-pelajar-uitm-terima-biasiswa-jcorp-1.59601#sthash.FLEp8GmN.dpuf

Thursday, 12 February 2015

UiTM : Undur jika tidak mampu galas amanah Melayu

11 Februari 2015 1:26 AM


SHAH ALAM 10 Feb. –Mana-mana warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang merasakan mereka tidak lagi mampu memikul amanah untuk melahirkan lebih ramai profesional Melayu diingatkan supaya berundur.

ARSHAD AYUB

Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub berkata, hal ini demikian kerana institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu bertanggungjawab sepenuhnya untuk meramaikan siswazah yang mampu bersaing dengan kaum lain.

Beliau juga mengingatkan semua pihak yang diberikan tanggungjawab berkenaan supaya tidak mengkhianati amanah bangsa.

“Semua pihak tidak kira naib canselor, pensyarah atau mahasiswa perlu komited meneruskan agenda untuk mengeluarkan siswazah dalam kalangan bangsa Melayu dan Bumiputera yang mempunyai daya saing dengan bangsa-bangsa lain.

“Kita perlu ingat, UiTM bukan sembarangan universiti sebagaimana institut pengajian tinggi yang lain di negara ini. Mana-mana pihak yang saya sebutkan tadi jika merasakan sudah tidak mampu memikul amanah yang besar ini, saya sarankan agar berundur dan beri peluang kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Perutusan Tahun Baharu Naib Canselor 2015 dan Konferensi Akademik di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar memberitahu, IPTA tersebut yang sudah melonjak dalam ranking universiti dunia bakal melalui transformasi dalam setiap aspek pentadbiran dan pelaksanaan kursus sedia ada.

“Hari ini saya membentangkan perutusan yang menyentuh tentang transformasi yang akan kita laksanakan bermula tahun ini bagi memastikan UiTM terus kekal relevan dalam menghasilkan mahasiswa yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran," katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/undur-jika-tidak-mampu-galas-amanah-melayu-1.58286#sthash.9uuvIQfG.dpuf


Tuesday, 27 January 2015

1400 sukarelawan UiTM

Membantu membersihkan rumah penduduk yang terjejas banjir di Pantai Timur

ABDUL RAZAK IDRIS | 26 Januari 2015 3:02 PM


Dr. Abdullah Mohd. Said mengibarkan bendera UiTM sebagai tanda pelepasan Konvoi Misi Bantuan Pasca Banjir UiTM ke Pantai Timur baru-baru ini.

Universiti Teknologi MARA(UiTM) menghantar seramai 1400 mahasiswa bagi membantu kerja-kerja membersihkan rumah mangsa banjir di Pantai Timur baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohd. Said berkata, misi kali ini disertai mahasiswa semester akhir kursus ijazah sarjana muda.

“Setelah menghantar misi seramai 2000 termasuk misi seramai 200 orang bagi membersihkan rumah mangsa banjir misi kali ini menghantar 1400 orang pelajar ke pantai timur.

“Misi kali ini, kesemua sukarelawan akan dibawa dengan beberapa buah bas diiringi oleh sukarelawan 1M4U dan pegawai keselamatan UiTM,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan acara pelepasan Konvoi Misi Bantuan Pasca Banjir Fasa Kedua di Pusat Ko-Kurikulum UiTM di UiTM, Shah Alam, baru-baru ini.

Abdullah berkata, kesemua mahasiswa bergabung dengan sukarelawan Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM) bagi menjayakan misi kali ini yang lebih menumpukan membersih selut tebal di rumah, sekolah dan bangunan yang terlibat dengan banjir.

“Selain daripada misi membersihkan rumah penduduk kita turut membawa bersama beberapa barangan keperluan mangsa banjir.

“Kita berasa bangga kerana sukarelawan yang terpilih dalam misi ini mendaftar dengan sukarela sehingga UiTM terpaksa membuat penapisan kerana hampir 2,000 yang berminat menjadi sukarelawan,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/1400-sukarelawan-uitm-1.52664#sthash.D6CxRAjJ.dpuf