Dinar KGT didakwa tiada ciri Islam
KOTA BHARU 24 Jun - Bekas Pengarah Eksekutif
Kelantan Golden Trade Sdn. Bhd. (KGT), Nik Mahani Mohamad mendakwa, mata
wang syariah dinar dan dirham yang dikeluarkan oleh syarikat milik
Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu tidak mempunyai ciri-ciri
yang dikehendaki Islam.
Nik Mahani mendakwa, sepanjang berada dalam syarikat tersebut sejak
tahun 2008 sehingga awal tahun ini, beliau mendapati KGT lebih
mementingkan keuntungan berbanding untuk memperkenalkan sistem kewangan
yang menghapuskan riba secara keseluruhannya.
Malah, beliau yang pernah membentangkan kertas di satu forum dinar
emas peringkat kebangsaan pada tahun 2006 mendakwa, fungsi dan peranan
KGT dalam menguruskan jual beli dinar tidak ubah seperti
syarikat-syarikat yang mengeluarkan syiling emas konvensional iaitu
mementingkan keuntungan.
"Saya ingin nyatakan di sini, jangan terpedaya dengan kenyataan
bahawa KGT adalah memperkenalkan mata wang syariah kerana sejak daripada
awal mata wang syariah perlu diletakkan di bawah sultan atau baitulmal.
''KGT sebenarnya ditubuhkan oleh dua orang, kemudian saya dipanggil
untuk membantu sebelum saya 'ditendang' apabila mereka mendapati saya
tidak berguna lagi.
"Syarikat ini ditubuhkan untuk mendapatkan keuntungan, kalau di bawah
baitulmal mereka tidak boleh mendapatkan keuntungan, jadi apa KGT buat
ialah menjual dinar dan dirham melalui ejen atau wakalah, sekiranya
baitulmal yang menempa dinar atau dirham maka rakyat boleh membelinya
pada harga kos, maka tidak ada elemen keuntungan," dakwanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia di sini hari
ini ketika diminta mengulas mengenai dakwaan wujud skandal salah laku
pegawai kanan KGT - syarikat yang mengeluar dan mengedarkan dinar dan
dirham Kelantan selepas didedahkan oleh penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz.
Nik Mahani mendakwa, KGT juga terpaksa membayar royalti antara satu
sehingga dua peratus ke atas setiap syiling yang dikeluarkan kepada
sebuah pertubuhan antarabangsa kerana menggunakan logo serta mengikut
piawaian pertubuhan itu.
Dakwanya lagi, peneraju pertubuhan antarabangsa itu adalah individu
yang sama menjadi tulang belakang kepada KGT sebelum beliau dipecat dan
dibawa masuk semula untuk jawatan tertentu.
"Pada awal dulu kami menerima cadangan yang diberikan oleh individu
ini agar dinar yang ditempa adalah di bawah piawaian pertubuhan tersebut
kerana diberitahu bahawa ia adalah penting untuk keseragaman syiling
sebab bila kita melangkah pada cara pembayaran elektronik akan lebih
memudahkan kita untuk membuat transaksi antarabanga.
"Tetapi saya rasakan kenyataan ini meleset sebab yang dipiawaikan
oleh Saidina Umar al-Khattab ialah tentang keberatan dinar dan dirham
dan sepanjang kerajaan berkhalifah tidak ada satu syiling yang standard
untuk sesuatu khalifah dan tidak ada satu logo pun yang menjadi logo
kepada kerajaan berkhalifah semasa itu.
"Ini yang telah dimanipulasikan oleh individu tertentu, saya rasakan
sekiranya kita mengambil pendekatan sedemikian kita akan mengambil
kesempatan ke atas orang ramai yang tidak faham cerita ini, ia semacam
penjajah atas mata wang Islam yang mahu kita bangunkan," dakwanya yang
mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam sistem kewangan Islam serta
terlibat secara langsung untuk penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad.
Dakwa Nik Mahani, atas sebab-sebab tersebut beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan pada awal tahun ini.
"Saya berpendapat KGT telah ditubuhkan atas maksud yang diberikan
arah tuju oleh 'dua orang yang berkenaan sahaja' dan saya dipanggil
untuk beri jasa saya dan apabila keadaan bertukar saya tidak dikehendaki
lagi untuk menyumbang tenaga," dakwanya.
Mengulas mengenai laporan polis yang dibuatnya berhubung salah laku
seorang pegawai kanan KGT pada penghujung Januari lalu, Nik Mahani
berkata, ia diserahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan
enggan mengulas lanjut.
KOMEN : FITNAH ORNAG TAK BERINGAT... PENYAMUN DEPAN MATA BUAT-BUAT TAK NAMPAK... YANG TERTIPU PENGIKUT MEREKA JUGA...
No comments:
Post a Comment