TAHNIAH
IPOH - Percaturan Muhammad Dharma Raj Abdullah menurunkan pemain muda pada kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah membuahkan hasil apabila Malaysia mengalahkan Afrika Selatan 3-2 dalam aksi pembukaan di Stadium Azlan Shah di sini semalam.
Lebih membanggakan apabila dua gol pasukan kebangsaan dijaringkan oleh pemain yang pertama kali beraksi di peringkat senior, Shahril Saabah pada minit kesepuluh dan Rashid Baharom pada minit ke-42.
Namun, khidmat orang lama ternyata masih diperlukan apabila Faizal Shaari muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan pasukan negara pada minit ke-63.
Sebelum perlawanan, tidak ramai yang memberi harapan kepada skuad Muhammad Dharma apabila jurulatih itu membuat keputusan membariskan ramai pemain muda dan cuma mengekalkan beberapa senior iaitu Azlan Misron sebagai ketua pasukan, Fitri Shaari, Faizal Shaari serta Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil.
Ternyata, barisan pemain muda ini tidak mempersia-siakan kepercayaan yang diberikan apabila beraksi cemerlang dan akhirnya meraih gol pertama pada minit kesepuluh menerusi Shahril yang tidak dikawal untuk mudah menolak masuk bola ke gawang lawan.
Afrika Selatan bangkit menyamakan kedudukan 1-1, enam minit berselang menerusi Jethro Eustice hasil pukulan sudut penalti yang menewaskan penjaga gol muda negara, Hafizuddin Othman.
Permainan lebih menarik disajikan pada babak kedua dan giliran seorang lagi pemain yang pertama kali beraksi bersama skuad senior, Rashid berjaya meletakan Malaysia mendahului 2-1 pada minit ke-42 menerusi gol padang hasil gerak solo dari penjuru kiri gawang lawan.
Namun, Afrika Selatan tidak mahu mengalah apabila sekali lagi bangkit mengikat kedudukan 2-2 juga menerusi Eustice hasil jaringan yang bermula daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-57.
Faizal menggunakan sepenuh pengalamannya untuk memastikan skuad negara meraih tiga mata apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-63.
Aksi skuad negara seterusnya adalah menentang Korea Selatan pada pukul 8.05 malam, Ahad ini.
Sementara itu dalam satu lagi perlawanan, Australia membuka tirai dengan berpesta gol apabila membelasah China 7-0.
Penyandang juara itu mendahului 3-0 pada babak pertama menerusi Nicholas Budgeon (minit ketiga), Trent Mitton (20) dan Jamie Dwyer(33), sebelum menambah empat lagi gol pada separuh masa kedua hasil jaringan Jacob Whetton (37), Russell Ford (47) dan sekali lagi masing-masing menerusi Budgeon (56) serta Dwyer (64).
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140314/su_02/Percaturan-Dharma-Raj-menjadi#ixzz2vu3qfoW6 N© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment