YAB Tan Sri. Izinkan saya memulakan surat terbuka ini , yang juga saya anggap sebagai warkah silaturrahim kepada YAB Tan Sri Khalid Ibrahim, dengan mengulang kembali satu ayat atau ungkapan popular tentang politik dalam bahasa Inggeris: "In politics there is no permanent friend and there is no permanent enemy." Dalam politik tidak ada sahabat abadi dan tidak juga ada musuh abadi. Yang abadi ialah kepentingan diri.
Ungkapan `kepentingan diri' dapat ditafsirkan sebagai kepentingan diri peribadi atau kepentingan kelompok yang kita anggotai, boleh jadi kepentingan jangka pendek atau kepentingan jangka panjang.
Terlalu banyak contoh yang boleh dirujuk untuk membuktikan kesahihan ayat tersebut. Umpamanya, penasihat atau pemimpin utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekarang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pernah menjadi sahabat akrab Senator S. Nallakurapan dan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang terjalin oleh haluan dan wadah politik yang sama. Tetapi sekarang antara Anwar dengan kedua-dua tokoh yang berbeza status itu, yang wujud ialah perseteruan peribadi dan politik, tidak lagi persahabatan.
Selain itu, terdapat satu senarai panjang tokoh-tokoh terkenal yang pernah menjadi sahabat karib Anwar dalam politik, tetapi sekarang sudah berpatah arang. Antaranya cendekiawan terkenal Dr. Chandra Muzaffar yang pernah menjadi Timbalan Presiden PKR semasa Anwar menjadi presiden; tokoh akademik Profesor Dr. Sidek Baba, salah seorang pemimpin tertinggi ABIM bersama Anwar; dan tokoh politik lulusan Universiti Islam Antarabangsa, Senator Ezam Mohammed Nor yang pernah menjadi Ketua Sayap Pemuda PKR. Dan ramai lagi tokoh lain yang dapat dirujuk sebagai contoh.
Begitu pula sebaliknya, terdapat satu senarai panjang nama rakan politik Anwar sekarang yang pada suatu masa dahulu musuh-musuh ketatnya dalam politik. Antaranya pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan Karpal Singh serta pemimpin Pas, Mat Sabu. Karpal Singh, seperti dilaporkan beberapa kali dalam akhbar, pernah secara terbuka menyatakan keyakinannya bahawa Anwar memang pernah terlibat dalam kes liwat di penghujung 1990-an. Tetapi dalam kes liwat Anwar yang kedua melibatkan Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Karpal berperanan sebagai peguam bela Anwar yang utama.
Begitu juga Mat Sabu pada suatu masa dahulu melakukan cercaan yang berlebih-lebihan terhadap Anwar. Bukan sahaja Anwar yang menjadi sasaran kutukan Mat Sabu, malah turut diheret adik beradik dan anggota keluarga terdekat Anwar. Saya sendiri hingga saat ini masih menyimpan dan sekali-sekali mendengar kembali kaset rakaman pidato Mat Sabu yang mengutuk Anwar itu.
Semua itu adalah contoh konkrit bahawa sahabat dan musuh dalam politik tidak pernah abadi, sebaliknya bila-bila bisa bertukar ganti. Saya percaya Tan Sri lebih faham serta menyedari dan mengalami sendiri hakikat ini. Tentu sekarang Tan Sri akan bertanya, apakah yang mendorong saya untuk menulis surat terbuka ini kepada Tan Sri dengan merujuk kembali hakikat sahabat dan musuh yang tidak pernah abadi serta `kepentingan diri' yang senantiasa abadi dalam politik?
Jawapan saya: Walaupun sekarang kita berbeza parti politik (saya penyokong UMNO manakala YAB pemimpin PKR) namun saya tetap mengakui dan menghargai kepakaran dan prestasi YAB sebagai seorang tokoh korporat, sama ada semasa menjadi Pengurus Besar PNB dahulu, begitu juga semasa menjadi Menteri Besar (MB) Selangor. Prestasi Tan Sri sebagai MB terutama dari segi penjanaan dan penghematan kewangan negeri, diakui oleh kawan dan lawan.
Tetapi dari segi politik, Anwar sudah tidak dapat menerima kepimpinan YAB sebagai MB. Kata Anwar, Selangor memerlukan kepimpinan politik yang lebih kuat. Ini menyebabkan dilancarkannya `Manipulasi Kajang' untuk membuka ruang dan peluang kepada Anwar bertanding menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dan seterusnya menjadi MB menggantikan Tan Sri sendiri.
Selain untuk memberi `kepimpinan politik' yang lebih kuat, keinginan Anwar untuk menjadi MB Selangor itu dikaitkan juga dengan rayuan kes liwatnya. Apa pun, untuk memenuhi keinginan Anwar menjadi MB, jawatan tersebut mestilah dikosongkan terlebih dahulu. Mungkin Tan Sri secara halus diminta mengundur diri atau, jika enggan, akan disingkirkan dengan cara manipulasi yang mengaibkan. Sekali lagi ini akan mengingatkan kita tentang `kesahihan' ayat yang kita ulas di atas: "Dalam politik tidak ada sahabat abadi dan tidak ada musuh abadi. Yang abadi hanyalah kepentingan sendiri."
Pesan utama yang hendak saya sampaikan melalui surat terbuka ini ialah supaya Tan Sri jangan sampai melepaskan atau menyerahkan jawatan MB yang sedang Tan Sri pegang sekarang, walau apa pun keputusan pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang itu. Walaupun sekarang Anwar gagal menjadi calon dalam pilihan raya kecil DUN Kajang itu dan kerana itu adalah mustahil untuk dia menjadi MB, namun Tan Sri mestilah tetap waspada agar jangan sampai tersingkir.
Saya berpendapat, jika jawatan MB itu terlepas daripada tangan Tan Sri, implikasinya sangatlah buruk kepada diri Tan Sri dan begitu juga kepada kestabilan politik dan pentadbiran negeri Selangor serta kemurnian sistem demokrasi di negara ini.
Dari segi peribadi, sejarah kecemerlangan kerjaya Tan Sri sudah tentu akan terjejas dan tercalar. Sejarah akan mencatat Tan Sri sebagai seorang MB yang mudah mengalah kepada tekanan-tekanan politik oleh sahabat separti yang lebih mengutamakan `kepentingan peribadi'. Dan sekali gus ini juga akan membenarkan dakwaan atau tuduhan bahawa Tan Sri gagal memberi kepimpinan politik yang berkesan terhadap negeri Selangor.
Dilihat dari segi hubungan Persekutuan-kerajaan negeri secara beransur-ansur Tan Sri telah berjaya membina hubungan yang sihat dan produktif yang masing-masing diperintah oleh dua parti berlainan.
Begitu pula, pada pandangan mata umum, antara Tan Sri dan sultan sudah wujud persefahaman dan hubungan kerja yang produktif. Semua itu dilihat oleh sesetengah pihak sebagai petanda-petanda positif kualiti kepimpinan yang lebih mengutamakan pembangunan dan kebajikan rakyat serta negeri daripada kuasa politik untuk kemegahan diri sendiri.
Lebih daripada itu, ramai pula pihak yang mengharapkan agar Tan Sri memainkan peranan sebagai seorang tokoh utama menyahut seruan Perdana Menteri ke arah perpaduan kebangsaan atau rekonsiliasi nasional.
Saya akhiri warkah terbuka ini dengan mengulang kembali ayat keramat di atas tadi: Dalam politik tidak ada sahabat abadi dan juga tidak ada musuh abadi.
Kalau pada suatu masa dahulu YAB mempunyai sahabat dan musuh dalam UMNO, dalam PKR sekarang pun YAB mempunyai musuh yang tidak kurang ramainya. YAB mempunyai kelayakan dan potensi untuk menyatukan kembali semua sahabat di kedua-dua parti dan sama-sama kembali ke pangkal jalan, mengambil yang jernih dan membuang yang keruh serta meneruskan amanat perjuangan yang diwariskan oleh generasi terdahulu. Wassalam.
SENATOR Datuk Dr. Firdaus Abdullah
Pakar rujuk Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dan Profesor Tamu di Universitas Andalas, Padang, Indonesia.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140318/re_01/Surat-terbuka-kepada-Khalid-Ibrahim#ixzz2wTAf35S5 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment