PUTRAJAYA 21 Mac - Dataran Masjid Putra di sini malam ini bergema dengan alunan merdu bacaan qasidah dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW oleh ratusan ribu yang menghadiri majlis Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul yang merupakan perhimpunan selawat terbesar pernah dianjurkan di pusat pentadbiran negara.
Majlis bertemakan Kesatuan, Perpaduan dan Persaudaraan itu diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Yang turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.
Orang ramai yang majoritinya berpakaian jubah warna putih mula membanjiri dataran Masjid Putra seawal pukul 6 petang walaupun hujan renyai bagi mengikuti pelbagai pengisian program berbentuk keagamaan disediakan penganjur.
Para peserta antaranya terdiri daripada ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), belia, pelajar sekolah, mahasiswa universiti tempatan dan luar negara, golongan profesional serta ahli korporat.
Alunan qasidah dan selawat yang memuji Rasulullah SAW itu dipimpin oleh tokoh agama terkenal nusantara, Habib Syech Abdul Qodir Asseqaf dan Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid.
Sepanjang program yang berlangsung hampir empat jam itu, para hadirin turut menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah, selain disajikan dengan zikir terapi dan bacaan al-Quran berduet oleh peserta Imam Muda Amiril Md. Banin serta Pencetus Ummah (PU).
Hadirin juga disajikan dengan dua tazkirah duet oleh para peserta rancangan PU iaitu Fakhrul Islam Md. Zarin, Rahmat Ikhsan Mohd. Sofyan, Salman Maslori, Shahul Hamid Seeni MD dan Attan Thowi Yusof.
Selepas solat Isyak, Perdana Menteri menyertai hadirin daripada pelbagai latar belakang dan usia menunaikan solat hajat serta bacaan doa bagi memohon supaya operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu dipermudahkan.
Solat hajat dan bacaan doa tersebut dipimpin oleh Jamil Khir di Masjid Putra.
Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul juga ditayangkan secara langsung di tiga saluran televisyen tempatan iaitu TV1, Astro Oasis dan TV AlHijrah.
Program anjuran Sekretariat Selawat Perdana yang mendapat kerjasama Perbadanan Putrajaya itu berakhir dengan jayanya pada pukul 11 malam menerusi penglibatan dan sokongan pelbagai pihak tanpa mengira latar belakang serta fahaman politik.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140322/dn_01/Malam-Cinta-Allah-dan-Rasul-berjaya#ixzz2wqFU4dHK © Utusan Melayu (M) Bhd
KOMEN : ALHAMDULILLAH...AMIN...
No comments:
Post a Comment