Oleh SITI JARUM
DALAM laman sosial sejak Jumaat lalu heboh dengan gelagat seorang tukang masak warga emas yang mempersenda tragedi MH370.
Tukang masak ini menerusi laman Instagram memperlihatkan dia seorang yang rendah pekerti. Dalam keadaan orang lain bersedih dengan kehilangan MH370, dia masih boleh buat lawak sengalnya.
Tulisnya dalam Instagram, Dua objek di Perth dan satu ni I (saya) ingatkan ya la sebahagian daripada pintu kapal terbang MAS. Tapi setelah diteliti rupanya sebahagian daripada pintu jamban rumah Cik Kiah di pantai Morib yang telah usang rupanya... adoi frust-nya."
Siti macam tak percaya ini yang ditulis oleh tukang masak itu. Tapi itulah yang dikirimkan kepada Siti petang Jumaat lalu. Kawan Siti meminta pandangan Siti untuk mengelaskan orang jenis ini. Siti beritahu kepada kawan Siti itu, biarkanlah, tidak semua orang ada otak.
Bukan Siti memperendahkan tukang masak, cuma secara kebetulan dia ini jadi tukang masak. Sebab itu Siti anggap keceluparan dia bukan mewakili semua tukang masak lain termasuk room mate Siti yang pandai masak.
Kalau Siti menjadi salah seorang keluarga penumpang sudah tentulah sangat terkilan. Siti yang bukan keluarga penumpang itu pun sedih sejak hari pertama lagi, inikan pula keluarga.
Kawan Siti kirim pula lagi jawapan tukang masak itu, antara lain tulisnya, Lets play a joke and see the reaction of all Malaysian yg suka melatah and mengutuk orang as well as press and blog that will take this issue even bigger!"
Mak oii, speaking London dia. Tapi maaflah, kalau ikut pesan orang tua-tua dulu, orang jenis ini tidak boleh bawa masuk majlis. Sebab tidak tahu bawa diri, sentiasa songsang dengan orang lain. Memang ada benarnya juga, tengoklah perkara yang serius seperti MH370 pun nak dibuat lawak.
Tapi bila memikirkan bukan semua orang ada otak sihat, darah Siti tak menyirap sangat. Sebaliknya bersimpati ke atas orang yang tidak dapat merasai apa yang orang lain rasa. Ini satu kekurangan. Siti harap kalau suatu hari nanti tukang masak ini ditakdirkan ditimpa musibah, janganlah sesiapa mempersendakan dia. Ini bukan tindakan yang baik.
Ingatlah hidup kita ini ibarat tanduk lembu yang bukan menghala ke belakang tapi menghala ke depan. Maknanya setiap hari kita menghala masa depan yang kita tidak tahu apa yang berlaku kepada kita. Moral ceritanya, jangan takbur sangat dengan kegembiraan yang dimiliki. Esok lusa tak tahu lagi.
Cuma Siti nak pesan kepada tukang masak yang seorang ini, orang Malaysia bukan cepat melatah. Jangan salahkan orang lain untuk melindungi keterlanjuran yang kita lakukan. Siti percaya, bukan orang Malaysia atau orang Melayu yang akan marah kalau dia tulis begitu, mat saleh pun marah juga.
Sebelum ini pun Siti banyak membebel tentang orang yang tak tahu menggunakan teknologi maklumat. Salah seorang ialah tukang masak ini. Bagi Siti dia telah menyalahgunakan teknologi maklumat daripada perkakas di telapak tangannya.
Kalau beginilah cara dia menggunakan teknologi maklumat, Siti berani kata dia bukannya maju tapi terkena kejutan budaya telefon canggih. Tapi sayang sekali telefon canggih itu tidak dimanfaatkan. Dia tak tahu menggunakannya. Orang ada Instagram, dia pun nak Instagram. Orang guna untuk kebaikan, dia guna untuk mempersendakan orang.
Siti secara peribadi tak ada masalah dengan tukang masak ini. Malah tak pernah bercakap pun, jauh sekali menulis tentang dia yang kawan-kawan Siti angkat sebagai selebriti. Ini pun satu masalah di negara kita, celupar dan kontroversi terus diangkat jadi selebriti. Dijulang-julang. Pantang dia bersin sikit, berkajang-kajang kawan-kawan Siti tulis dalam surat khabar.
Bila jadi selebriti, sanjungan yang diberikan melampaui tahap pemikiran. Sekarang barulah orang membuka mata rupa-rupanya tinggi populariti tidak semesti tinggi juga pemikirannya.
Siti harap tukang masak ini jangan melilau di hotel yang menempatkan keluarga penumpang MH370. Ini untuk keselamatan dia juga. Siti bimbang kalau ada yang bagi penampar, macam bomoh yang dakwa tampar buaya sampai bisu.
SITI JARUM: Hanya pilih MAS, yang lain minta maaflah.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140323/re_15/Lawak-sengal-seorang-tukang-masak#ixzz2wqrYYwRj © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment