Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 25 March 2014

F1 2014 - Dengar sendiri deruan enjin


Oleh AIZAWATI AHMAD
aizawati.ahmad@utusan.com.my




MOKHZANI Mahathir (dua kiri) bersama Chen Tien Yue (dua kanan) melakukan simbolik perasmian majlis memperkenalkan trofi baharu Grand Prix Formula Satu Petronas Malaysia sambil diperhatikan oleh Razlan Razali (kanan) di Litar Sepang, semalam. - UTUSAN/Aizzul A.Majid

SEPANG - Bunyi enjin jentera Formula Satu (F1) yang berde­sing menusuk ke pendengaran merupakan salah satu tarikan sukan pemotoran tersebut, namun sejak Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) memper­kenalkan peraturan baharu bermula tahun ini, enjin yang digunakan oleh pasukan bertanding turut mengalami perubahan termasuk pada bunyi kereta.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali berkata, bagi para peminat F1, untuk me­ngetahui lebih lanjut mengenai perubahan yang dimaksudkan, mereka harus memanfaatkan kesempatan untuk mendengar sendiri bunyi enjin baru yang dikatakan telah mencetus pelbagai persepsi pada perlumbaan pertama di Melbourne, Australia, dua minggu lalu.

"Datang sendiri ke SIC dan dengar sendiri bunyi enjin baharu jentera F1 tersebut.

"Bagi saya ini peluang terbaik buat peminat untuk menyaksikan perubahan tersebut pada Grand Prix F1 Pe­tronas Malaysia yang akan berlangsung pada hujung minggu ini.

"Kalau sebelum ini mereka mendengar pelbagai komen, kali ini lebih elok sekiranya mereka menggunakan kesempatan terbaik ini untuk mendengar sendiri adakah bunyi enjin F1 itu masih sama seperti dulu, atau pun sebaliknya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengenalan Trofi F1 yang direka bentuk oleh Royal Selangor di SIC yang turut dihadiri Pengerusinya, Datuk Mokhzani Mahathir, Pengurus Besar Petronas Motorsports, Anita Azrina Abdul Aziz dan Pengarah Eksekutif Pemasaran Royal Selangor, Chen Tien Yue.

Mengulas mengenai penjualan tiket, Razlan memberitahu, setakat ini, pihaknya masih belum dapat mengesahkan jumlah sebenar tiket yang berjaya dijual, tetapi apa yang boleh dinyatakan bilangannya kini berjaya mengatasi jumlah yang dicatat pada tahun lepas.

"Malah, bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014, bilangan kehadiran pelancong asing yang menyaksikan Grand Prix Malaysia turut berlaku peningkatan jika hendak dibandingkan pada jumlah tahun lalu," ujarnya.

Selain itu, bercakap mengenai krisis yang sedang me­landa Malaysia ekoran pesawat MH370 disahkan berakhir di tengah-tengah Lautan Hindi, menurut Razlan, pihaknya turut mengadakan majlis doa selamat dan solat hajat.

Dalam perkembangan berkaitan, Mokhzani ketika diminta mengulas mengenai isu sama berkata, pihaknya amat menyedari mengenai kemelut tersebut dan SIC telah pun berbincang dengan pihak tertentu seperti Petronas agar aktiviti yang dijalankan tidak menyinggung sensitiviti rakyat negara ini yang masih dalam kesedihan.

"Sebagai contoh konsert terbuka di Menara Berkembar Pe­tronas yang akan diadakan pada Jumaat dan Sabtu ini akan ditukar temanya kepada konsert harapan bersesuaian dengan keadaan yang sedang dialami Malaysia.

"Konsert tersebut akan membabitkan penyanyi terkenal Hollywood, Christina Aguilera dan bintang K-Pop, Rain serta penyanyi Britain, Craig David," jelasnya.

Mokhzani Mahathir (dua kiri) bersama Chen Tien Yue (dua kanan) melakukan simbolik perasmian majlis memperkenalkan trofi baharu Grand Prix Formula Satu Petronas Malaysia sambil diperhatikan oleh Razlan Razali (kanan) di Litar Sepang, semalam. - UTUSAN/Aizzul A.Majid


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140325/su_04/Dengar-sendiri-deruan-enjin#ixzz2wvzUWXEz  © Utusan Melayu (M) Bhd


No comments: