KUALA LUMPUR 22 Mac - Malaysia amat menghargai bantuan Jepun dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta kata-kata semangat diberikan berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Bercakap dengan perdana menteri Jepun Shinzo Abe semalam. Malaysia amat menghargai bantuan Jepun bagi ops SAR dan kata-kata semangat diberikan," kata Perdana Menteri dalam tweet di @NajibRazak hari ini.
Kedutaan Jepun di sini dalam kenyataan dikeluarkan malam tadi berkata, Abe dalam perbualan telefon kira-kira 10 minit pada 5.30 petang semalam, memberitahu Najib, Jepun akan terus menyokong usaha kerajaan Malaysia melaksanakan operasi SAR bagi mencari pesawat itu yang hilang sejak 8 Mac lepas.
Menurut kenyataan itu, Abe juga melahirkan rasa bimbangnya mengenai pesawat itu yang masih belum ditemui walaupun operasi SAR telah diperluaskan.
Perdana Menteri Jepun itu turut menyatakan penghargaannya terhadap kepimpinan Najib dalam menangani situasi sukar itu dan memaklumkan kesediaan Jepun untuk terus menyokong usaha Najib.
Pesawat Boeing 777-200ER yang dalam penerbangan ke Beijing, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. - BERNAMA.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140323/dn_01/Malaysia-amat-hargai-bantuan-Jepun-dalam-operasi-mencari-MH370---Najib#ixzz2wqgh9akf © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment