NEW DELHI 19 Mac - Polis Maldives menjalankan siasatan terhadap laporan yang mendakwa beberapa penduduk di kepulauan berkenaan melihat sebuah jet jumbo terbang lebih rendah daripada biasa pada hari kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Polis Maldives dalam kenyataan lewat semalam memaklumkan mereka sedang menyiasat laporan portal berita Haveeru yang mendakwa penduduk melihat sebuah pesawat besar terbang di pulau terpencil di selatan Kuda Huvadhoo pada 8 Mac lalu.
"Kami sedang meneliti laporan portal berita itu yang menyatakan sebuah pesawat terbang lebih rendah, dikesan atas Kuda Huvadhoo," katanya.
Pesawat MH370 yang membawa sebanyak 239 penumpang dan anak kapal hilang pada 8 Mac lalu ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China.
Berikutan insiden itu, beberapa pihak telah tampil mendakwa melihat pesawat Boeing 777-200 berkenaan malangnya terbukti tidak benar, malah laporan juga menunjukkan sehingga kini tiada serpihan milik pesawat MH370 ditemui di laut.
Menurut portal berita tersebut, beberapa saksi melihat sebuah pesawat putih berjalur merah, terbang ke arah hujung selatan Maldives.
"Saya tidak pernah melihat jet terbang begitu rendah sebelum ini di pulau ini. Kami pernah melihat pesawat laut namun saya pasti pesawat ini bukan tergolong dalam kategori itu," kata portal itu yang memetik kenyataan seorang saksi.
Dalam pada itu, wartawan portal berkenaan, Farah Ahmed berkata, beberapa saksi telah tampil memberi kenyataan sama.
"Pada mulanya, penduduk terdengar bunyi kuat kemudian keluar untuk melihat dan mendapati pesawat itu terbang lebih rendah daripada biasa," katanya kepada AFP ketika dihubungi.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini tertumpu di dua koridor berdasarkan kedudukan terakhir pesawat sebelum terputus hubungan.
Kawasan koridor utara itu bermula dari selatan Kazakhstan di Asia Tengah dan menuju ke utara Thailand sementara koridor selatan merentangi selatan Lautan Hindi sehingga ke Australia.
Maldives, yang terletak jauh dari kedua-dua koridor tersebut bukan antara 26 negara yang terlibat dalam SAR secara besar-besaran.
Sementara itu, Pasukan Pertahanan Nasional Maldives (MNDF) dalam satu kenyataan mengesahkan tidak mengesan pesawat MH370 bagaimanapun pihak berkuasa penerbangan sedang meneliti dakwaan penduduk terbabit.
Menurut kenyataan itu, hasil analisis mendapati, radar tentera juga tidak mendedahkan sebarang petunjuk setakat ini.
"Berdasarkan pemantauan sehingga hari ini, tiada sebarang petunjuk pesawat MH370 dikesan pada mana-mana radar tentera di negara ini.
"Malah, radar di lapangan terbang Maldives juga telah dianalisis, namun tiada petunjuk pesawat MH370," katanya. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140320/dn_09/Polis-Maldives-siasat-dakwaan-penduduk#ixzz2wSmRyU8Z © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment